Selasa, 30 April 2013

DUGAANNYA,...

   

 

                Termangu aku di jendela waktu, menghitung detik demi detik usia yang telah berlalu. Pahit getir kehidupan yang di tempuhi seakan takkan pernah habis. Aku rasa amat cuak untuk meneruskan kehidupan ini. Aku benar- benar letih untuk melangkahi onak dan duri yang berpanjangan ini.

                Kesabaran dan ketabahanku sudah punah di telan masa, di bawa arus gelombang kehidupan yang begitu hebat. Apa dayaku, tak mampu untuk melawan segala badai itu. Aku hanya mampu menurut dan menyerah seadanya. Bukan tak pernah aku mencuba menjadi sekuat gelombang, tapi aku sering tewas.

                 Kehidupanku sering kali di uji. Sejak kecil lagi. Aku benar-benar tidak mengerti. Aku hanya inginkan kekuatan dan ketabahan yang abadi andai aku perlu terus diuji. Aku takut benar-benar tewas. Kadang-kadang aku merayu kuatkanlah hati ini. Aku tak mampu terus bertahan lagi. Di mana lagi harus aku cari kekuatan itu? Aku sekadar insan biasa yang keimananku hanya senipis kulit bawang. Jiwaku benar-benar kusut saat dan ketika ini. Dugaan ini semua begitu hebat buatku.

                      ALLAH berikanlah aku kekuatan. Ujianmu ini tak mampu lagi ku bertahan. Aku hanya inginkan secebis kebahagiaan.

1.11.2011,..

                  Tanggal keramat buatku. Ujian yang paling getir dalam kehidupanku. Sudah sebulan aku hilang selera makan. Tak menentu kesihatanku. Tapi hari ini ALLAH menguji aku lagi. Aku tumpah darah dengan banyaknya. Mencurah-curah darah yang keluar dari rahimku. Aku tahu aku bakal keguguran lagi. Tika ini aku hanya pasrah pada yang ESA.

                     Pukul 3.00 pagi, aku sudah tak dapat melelapkan mataku. Kesakitan yang aku rasa di bawah ari-ariku membuat fikiranku rasa tidak tenang, namun jawapannya terungkai bila setiap kali aku batuk, rahimku memuntahkan darah. YA ALLAH, ujian apakah lagi yang bakal KAU berikan padaku? Aku merintih di dalam hati. Jiwaku amat resah dan terseksa. Pilunya hati dan perasaanku, kerana aku tahu bayi yang ku idamkan selama ini, aku akan bakal kehilangannya lagi.

                   Tiga helai kain batikku sudah berganti. Habis lencun dengan darah yang keluar dengan banyaknya. Aku tiba-tiba diserang kepenatan yang teramat. Disaat ini kesakitan dan ketakutanku tak mampu ku ungkap dengan kata-kata. Hanya kalimah ALLAH yang mampu ku ucap disaat ini. Terasa aku bagaikan kehilangan nyawaku. Terpana aku dengan keadaan ini.

                Aku hanya mampu menangis untuk memberitahu bahawa aku amat letih dan takut sekali menghadapi saat-saat getir ini. Aku dibawa dengan ambulan ke hospital. Ini bukan kali pertama aku berpeluang untuk naik ambulan ni. Dah banyak kali ku rasa. Berbeza kali ini, aku terpaksa dimasukkan dengan oksigen kerana aku sudah terlalu banyak kehilangan darah dan oksigen dalam darah pun sudah berkurangan.

                 Sampai di hospital aku di kelilinggi dengan para jururawat dan Doktor. Aku diperiksa, badanku penuh berselirat dengan wayar-wayar. Aku sudah tiada daya untuk berkata-kata. Aku hanya sekadar pasrah dan menyerah apa yang bakal dilakukan padaku. Walau aku ditelanjangkan sekali pun, aku sudah tidak mampu untuk menghalang. Saat ini, perasaan maluku terpaksa ku tolak ke tepi. Dari tangan hingga kaki badanku dicucuk dengan jarum, dimasukkan air dan darah.

                       Sampai satu ketika keletihan dan kepenatan itu menyerang lagi. Aku jadi kalut dan hilang punca. Nafasku tercungap-cungap. Doktor dan jururawat menjadi gelabah. Kelam kabut juga keadaan ketika itu bila aku tiba-tiba jadi senyap dan membisu. Aku dikejutkan berulang kali. Kata-kata semangat diucapkan untukku agar berlawan dengan keadaan tenatku itu.

                 “Kak, bangun kak. Buka mata kak. Lawan kak, lawan, lawan..”

                  “Kak, jangan tidur lagi. Bangun, bangun.”

                  Aku terus dikejutkan agar  tidak pengsan terus. Biar pun mataku sudah tidak mampu untuk diangkat, tapi aku masih sedarkan diri. Selepas satu beg darah dimasukkan dalam badanku, aku kembali stabil. Tapi, aku kesejukan. Aku mengigil. Kain selimut diselimutkan ke tubuhku, namun kesejukan yang ku tanggung tak juga hilang.

                   Aku bertahan, dan akhirnya sekali lagi aku di bawa menaiki ambulan untuk dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Star. Seorang doktor dan 2 orang jururawat mengiringiku di dalam ambulan. Suamiku juga turut serta menemaniku. Disaat aku melihat suami, aku rasa sayu dan dan tak sanggup untuk menyusahkan dirinya lagi. Tapi, aku hanya manusia biasa yang tak mampu melawan kehendak takdir. Andai ini ujian untuk kami harungi, aku terimanya dengan redha dan aku juga berharap suami dapat menerima diriku yang kekurangan ini seadanya.

                   Hidup tak semudah yang disangkakan. Banyak yang harus aku hadapi dan harungi. Selagi aku masih bernafas, ujian demi ujian harus aku tempuh dengan redha. Bukan mudah sebenarnya untuk terima hakikat, bahawa aku bukan seperti orang lain. Tapi, aku pasti setiap manusia ada ujian yang berbeza yang terpakasa dilalui. Aku hanya bahagia bila ALLAH telah anugerahkan aku dengan seorang suami yang penyayang. Aku amat bertuah memiliki dirinya yang sanggup menerima aku seadanya. Walaupun aku banyak kekurangan, dia masih tetap setia di sisiku.

                    Masa yang berlalu begitu pantas sekali. Tanpa sedar kami sudah sampai di Hospital Alor Star. Aku dikelilingi sekali lagi. Doktor yang mengiringiku terpaksa menerangkan tentang situasi diriku pada doktor yang bertugas. Kali ini badan aku dicucuk merata tempat untuk mencari urat yang boleh diambil darahku.Dua beg darah telah dimasukkan ke tubuhku, tapi dalam masa yang sama darahku juga diambil untuk diuji. Tujuh botol darahku telah disuntik keluar. Badanku usah dikata lagi, habis lebam dan sakit-sakit dikerjakan oleh doktor-doktor yang bertugas.

                Badanku disuntik dengan jarum. Sakitnya bila darah yang disuntik tidak keluar. Aku sudah mula rasa sengal-sengal urat bila doktor menyuntik di tempat yang sama walau darah tidak berjaya diambil. Dan akhirnya, setelah 7 botol darah berjaya diambil, barulah aku dilepaskan.

             Dari bilik kecemasan pakaianku disalin untuk dibawa terus ke bilik pembedahan. Bajuku digunting atas permintaanku sendiri. Alahai, sayangnya baju baruku dikerjakan. Tapi, memandangkan badanku dipenuhi wayar, jadi memang sukar untuk menanggalkannya. Biarlah aku kerugian sikit, yang penting segalanya dapat diuruskan dengan mudah. Masa tu baru aku terfikir alangkah eloknya kalau aku pakai baju buruk saja. Aduhaii…cobaannn.

                Di bilik pembedahan, aku lebih diutamakan. Mungkin kes aku lebih serius, jadi aku terus disorong untuk dijalankan proses D&C. Sebelum aku dibius, aku diminta untuk menandatangani borang keizinan. Selesai semua urusan aku diangkat di atas katil bedah. Badanku telah diletakkan dengan berbagai wayar. Sempat lagi aku mendengar arahan dari doktor bius.

                     “Puan, saya nak bius ni. Sebelum tidur Puan mengucap di dalam hati.”

                        Tanpa berfikir panjang, aku pun mula melafazkan kalimah shahadah.

                     Ashaduanlailahaillallah waashaduannamuhammadarasullullullah. Ya Allah, kau permudahkanlah segala urusan, dan selamatkanlah diriku ini. Sesungguhnya, aku masih belum bersedia untuk pergi. Masih banyak lagi yang aku ketinggalan, dan banyak lagi urusanku denganmu yang belum aku selesaikan. Hutang amalanku terhadapMU jua masih banyak yang tertangguh. KAU ampunkanlah dosa-dosaku Ya Allah, dan kau panjangkanlah usiaku. Aamiin.

                Terlafaz saja doa-doa  kudusku itu di dalam hati, aku terus merenung lampu pembedahan. Perlahan-lahan aku rasa alam ini hilang dari penglihatanku dan aku tertidur dengan nyenyaknya. Terjaga saja dari tidurku yang panjang, ku rasa tekakku amat perit sekali.

            “Puan, kita sedut kahak ya.”

               Kahakku yang ku rasa memenuhi setiap ruang mulutku disedut keluar. Aku merasa tekakku begitu kering dan aku batuk berpanjangan. Tak tahan rasanya menanggung segala penderitaan ini. Hampir sejam berlalu aku masih batuk-batuk.

                       Bila keadaanku sudah kembali stabil, aku mula disorong keluar dari bilik pembedahan. Aku dibawa ke wad KENANGA 2D. Aku diarahkan agar tidur dalam keadaan melentang dan tanpa berbantal selama enam jam. Seksaan yang amat sangat untukku lalui. Selama ini aku memang tak suka tidur melentang ni, pinggangku akan sakit yang teramat. Itulah yang aku rasa selama enam jam. Seksanya hanya Allah yang tahu.

                      Pukul sepuluh malam nurse yang bertugas mengarahkan aku bangun dan katilku telah ditinggikan, tapi aku dilarang berdiri atas sebab-sebab kesihatanku. Bimbang aku akan jatuh pitam kerana kekurangan darah. Aku disuruh minum air kosong untuk sementara. Apabila aku tak muntah, aku disuruh pula untuk makan nasi. Aku jamah juga sedikit nasi sebagai pengalas perut yang seharian kosong. Apa yang membuatkan aku semakin terseksa, bila setiap kali batuk perutku sakit yang teramat sangat. Terpaksa aku menahan segala kesakitan itu.

                   Ya ALLAH, dugaanMU ini amat berat untukku tanggung. Rasanaya sudah tiada daya lagi untukku tanggung segalanya ini. Tapi, aku juga tiada daya untuk menolak segala cobaan yang kau turunkan untukku.

                    Hanya rintihan di dalam hati yang mampu ku ungkapkan. Hidup ini tidak seindah yang ku duga. Disaat aku bahagia, aku di uji. Aku terlalu letih dengan setiap ujian ini.

                   Malam ini aku tertidur sambil duduk. Aku bukan sekadar letih fizikal, tapi jiwaku juga turut letih untuk menanggung bebanan perasaan ini. Aku cuba bertahan sedaya mungkin. Pukul satu pagi barulah nurse datang padaku dan menurunkan sedikit kepala katil supaya aku dapat tidur dengan selesa. Tapi, aku sekejap-sekejap terjaga kerana orang di katil sebelah sudah mula menahan kesakitan untuk bersalin. Kadang-kadang hatiku juga terguris. Kenapa orang lain mampu untuk menimang cahayamata mereka? Adakah aku ini memang tak layak untuk memilikinya?

                 Hanya satu persoalan yang selalu bersarang di benak mindaku. Kebanyakan orang dalam wad ini sedang menunggu saat-saat melahirkan anak mereka, sedangkan aku sudah kehilangannya

*****************
                   Pagi yang bening, aku masih terlantar dan tak mampu lagi bangun dari katil. Masih ada tiub kencing yang dipasang dan aku memang tak boleh untuk bangun lagi. Rasa tak selesa sangat dengan keadaanku ini. Aku cuba tabahkan hati, kerana aku pasti pagi ni segalanya yang menyeksakan aku akan berakhir dan aku akan dibenarkan pulang.

                    Aku didatangi dua orang jururawat praktikal. Kali pertama dalam hidupku, badanku dilap orang. Aku ni dah masuk dua hari tak mandi. Memang tak selesa sangat bila dilayan begini. Aku rasa, aku ni langsung tak berdaya. Selepas badanku dilap, aku diarahkan bangun dan duduk di kerusi. Tak selesa langsung, bila tiub kencing masih lagi terpasang. Aku cuba bergerak ke arah singki di tepi katilku untuk berkumur. Mulut aku ni dah rasa tak selesa sangat. Tapi, baru saja bangun, aku jalan terhuyung hayang. Aku dimarahi oleh nurse yang bertugas.

              Aku buat selamba saja. Selepas aku dibenarkan tidur semula barulah jarum yang berlambak tercucuk di lengan dan kakiku dibuang. Cuma satu saja yang ditinggalkan untuk disuntik ubat antibiotik. Akhirnya tiup kencing juga dibuang. Tapi, aduhh..sakitnya. Tahan sajalah. Ini bukannya ada apa-apa pun. Badan aku ni dah mangli dengan semua kesakitan. Aku dah tak hairan dengan semuanya. Aku dah rasa beberapa kali bakal kehilangan nyawa. Memang terseksa. Dengan dugaan yang sekecil ini apalah sangat. Aku mampu untuk menghadapi segalanya ini.

*********************


                Aku dipindahkan pula ke WAD KENANGA 2B. Di wad ni aku bebas berbuat apa saja. Aku sudah mampu berjalan sendiri. Aku kuatkan diri mudahan aku dibenarkan pulang hari ini.Tapi, ternyata doktor masih tidak berpuas hati dengan keadaan aku. Aku masih diperiksa. Darah diambil dan akhirnya aku dimasukkan lagi dengan satu beg darah.

            Malam ni aku tidur dengan nyenyak, tapi setiap kali aku tertidur aku dikejutkan. Bermakna, senyenyak mana pun aku tidur, aku masih di bawah pengawasan. Bukannya apa, selagi masih di wad, tekanan darahku diambil. Antibiotik disuntik setiap 12 jam sekali. Malam ini aku dimasukkan air dan darah berselang seli. Habis, barulah aku dapat berehat dengan tenang.

                  Awal pagi lagi doktor sudah mendatangiku dan memberitahu aku mungkin akan dibenarkan pulang hari ini. Gembiranya rasa hati, tapi sampailah ke petang barulah segala urusan keluar wad selesai.

**********************

                         Selepas seminggu keluar wad, aku dikehendaki untuk pergi sekali lagi  ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk diambil darah. Aku diarahkan berpuasa malamnya. Aku turuti segala arahan. Tepat pukul sembilan pagi, kami sampai di Hospital. Pukul sepuluh, urusan selesai. Leganya, kerana tak perlu tunggu seharian. Tapi, aku diarahkan untuk pergi sekali lagi dua bulan lagi.

                   Balik dari hospital, aku dan suami singgah di Bandar Alor Setar. Ronda-ronda sambil berdating. Bahagianya bila dapat peluang jalan berdua dan berpegangan tangan. Memang, dalam seminggu ni emosi aku tidak stabil dan aku sentiasa inginkan perhatian dari suami. Aku sentiasa ingin bermanja dan mendampinginya setiap masa. Aku rasa bahagia bila berdua, tapi hatiku mudah benar terguris. Entahlah, kenapa jiwa aku begitu amat sensitif sekali.

**************

Mac 2016…

               Dugaan itu ada di mana-mana saja. Selagi kita hidup di atas bumi Allah ini, dugaan hidup ini takkan pernah habis. Seingat aku keguguran aku di tahun 2011 adalah keguguran kali yang ke-9. Selepas itu aku gugur lagi. Kali ke-10 aku keguguran pada awal tahun 2012 dan kali terakhirnya pada hujung tahun 2012. Tiga kali berturut-turut membuatkan doktor mengambil keputusan supaya D&C tak perlu dibuat untuk keguguran kali yang ke-11. Doktor kata, rahim aku mungkin akan koyak atau dinding rahim akan melekat di antara satu sama lain kesan membuat D&C yang kerap. Aku pasrah saja dan menurut apa saja yang akan dilakukan untukku.

             Bila pulang ke rumah selepas keguguran kali ke-11, aku menderita sakit di dalam perut. Pada awalnya, aku menyangka, aku sakit batu meryam. Almaklumlah, kerap sangat aku keguguran, tapi rupanya bukan itu sebabnya. Selepas lima hari barulah janin yang tak menjadi itu keluar. Ya Allah, hanya KAU yang tahu, betapa sedihnya aku melihat dia yang keluar dari rahimku dalam keadaan itu. Begitu menyayat hati dan aku rasa terluka yang amat sangat. Walaupun begitu, aku harus redha, kerana semuanya ini adalah kehendakNYA.

             Hari ini setelah tahun semakin berlalu dan semua kenangan itu masih segar dalam ingatanku. Aku bersyukur kerana aku masih mampu berdiri dan masih bernafas di atas bumi Allah ini. Aku diberi peluang untuk berkongsi apa yang telah aku lalui dengan semua. Bukan untuk bercerita tentang nasib diri. Aku sekadar ingin berkongsi cerita, bahawa Allah bukan ingin mendera hambaNYA.

             Ada hikmahnya atas semua dugaan. Aku menjadi semakin matang dan tabah dalam mengharungi onak dan duri yang merintangi perjalanan hidupku.Aku lebih tenang dalam menghadapi apa saja situasi. Jangan mengeluh ketika diri diuji. Percayalah, Allah sedang menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk kita. Jangan BERPUTUS ASA!. Jangan sesekali merungut. Teruskan bertahan dengan setiap ujian. Kita mungkin tak nampak hikmahnya sewaktu diuji, tapi andai kita bersabar dan terus bertahan, Subhanallah, manisnya kehidupan di sebalik kepahitan.

           Ahad, 4 Disember 2016..

            Aku baca kembali catatan ini. Apa yang aku fikir? Ya Allah, semua ujian ini semakin mematangkan fikiranku. Kerana dugaan yang bertali arus, akhirnya aku di sini. Menjadi penulis bebas secara online. Biar pun tak dikenali oleh orang ramai tapi aku tetap bahagia berimaginasi dan berkongsi rahsia mindaku dengan orang lain. Begitu rupanya kesedihan aku dibalas dengan kemanisan berimaginasi. Seperti kata seorang rakan sekolah rendah dalam group WhatsApp..aku beruntung walaupun masih miskin seperti dulu kerana aku dianugerahkan dengan ilmu untuk berimaginasi. Wanita yang tak berpelajaran seperti aku yang hanya menjadi suri rumah tangga sepenuh masa, mempunyai begitu banyak masa di depan skrin monitor untuk melakarkan sebuah cerita untuk bacaan semua. Apa lagi yang aku mahu? Sekurang-kurangnya impian untuk bergelar seorang penulis sejak di alam persekolah berjaya juga aku raih dengan keadaanku yang serba kekurangan ini.

                Oleh itu, jangan sesekali merungut jika diuji dan terus diuji. Bertabah dan bersabarlah, dan pastikan kita sentiasa redha dengan semua ujian. Manisnya kejayaan takkan dapat diungkapkan dengan kata-kata selepas kesakitan yang pernah kita rasa.

Ahad, 28 April 2013

HAMPANYA JIWA INI,




             
              Aku menongkat dagu di tepi jendela merenung kejauhan. Sekali sekala minda aku menorobos ke masa lalu. Betapa hampanya jiwa ini. Hari-hari berendam air mata dan menyulam duka. Kata kejian dan umpat nista usah dikira. Boleh dikatakan sudah menjadi makanan harianku. Namun, walau pun pernah terdetik di hati untuk menamatkan hidup, aku masih  bertuah lagi, kerana ALLAH masih menyayangi diriku ini dari terus membuat dosa dan mati sesat yang sia-sia.

          ''Woi mangkuk ayun, kau ni memang langsung tak boleh harapkan? '' kak Sarah tanpa usul periksa menyerang aku. Entah atas kesalahan apa pun, aku tak tahu.

         ''Kenapa kau ni miang sangat? Kamil tu tunang aku! Takkan bakal abang ipar sendiri pun kau nak rembat?'' aku semakin pening kepala memikirkan kata-kata kak Sarah. Bila pula aku nak rembat abang Kamil tu?

      ''Ehh, bila masa pulak orang...''

       ''Kau diam! Kau memang anak tak guna. Bawa sial tau tak? Dulu mak lahirkan kau, mak meninggal. Kerana nak selamatkan kau jugak, ayah meninggal. Sekarang ni, tunang aku pun kau nak goda. Kau ni memang pembawa sial. Pergi jahanamlah kau. Aku memang tak ada adik macam kau!'' belum sempat aku membela diri, kak Sarah sudah menunjal kepala aku hingga aku terdorong ke dinding. Bukan itu saja, kata-kata kak Sarah memang benar-benar meremukkan hati aku. Salahkah aku, kalau ibu meninggal ketika melahirkan aku? Salahkah aku, kalau ayah kemalangan ketika mahu menyelamatkan aku, ketika aku baru berumur lima tahun?

          Aku tak tahu cerita sebenar, tapi aku selalu dengar mak ngah, adik ayah selalu mencaci aku. Katanya, ketika aku lahir aku ni pembawa sial. Kak Sarah juga begitu. Hanya kata-kata itu yang selalu dia ungkapkan di telingaku ini. Sialkah aku?

            Bukan kemahuan aku semuanya itu. Kenapa mereka tergamak membuat aku begini? Dosa dan kesalahan apakah yang telah aku lakukan, hingga aku diuji begini?

            Ya Allah, kau ringankanlah penderitaanku ini. Aku tak mampu untuk mengharungi ujian seberat ini. Aku kehilangan kasih sayang ayah dan ibu. Aku hanya ada kak Sarah dan mak ngah, tapi sejak kecil aku hanya dicaci dan dihina.

           ''Kak Sarah, Aina...''

           Pangggg! Penampar kak Sarah sudah singgah di pipiku. Pedih, namun hati aku lagi pedih diperlakukan sebegini. Apa salah aku? Tak layakkah aku untuk membela diri sendiri?

            ''Abang Kamil cakap, kau goda dia dan kau ajak dia kawen di siamkan?'' kak Sarah terus menyerang aku tanpa belas kasihan. Kepala aku dihentakkan ke dinding berkali-kali. Aku hanya mampu menangis. Bukan menahan sakit di badan, tapi menahan sakitnya hati kerana tidak dapat membela diri sendiri.

         ''Aina takk....''

          ''Sial!'' badan aku sudah lemai dikerjakan kak Sarah.

               Ya Allah, bantulah aku menamatkan penderitaan ini. Kenapa harus begini nasibku? Hampanya jiwaku ini diperlakukan oleh kakak kandung sendiri begini. Aku tak pernah goda abang Kamil, tapi abang Kamil yang selalu menganggu aku. Bukan salah aku. Aku terus menangis tersedu-sedu. Ibu, Ayah, kenapa tinggalkan Aina?

*********************

      Derita ini bila akan berakhir?

              ''Abang Kamil tolong jangan buat Aina macam ni. Apa salah Aina?''  aku terus merayu abang Kamil yang sudah dikuasai oleh nafsu syaitan.

              Sebaik kak Sarah keluar dari rumah aku terus masuk ke bilik untuk tidur. Segala rasa sakit dan perit tak ku hiraukan. Aku hanya ingin menenangkan hati dan jiwa yang sedang diamuk duka. Belum hilang penat lelah menahan rasa, terdengar pintu rumah dibuka orang. Aku langsung tak ambil kisah kerana aku sangkakan kak Sarah tertinggal barang. Tapi baru saja aku ingin memejamkan mata, pintu bilikku pula dikuak orang dengan kasar.

               Abang Kamil sudah menghampiriku dan memperlakukan diriku dengan kasar. Bajuku direntap tanpa belas kasihan. Keadaan aku yang sedang dalam kesakitan langsung tak dipedulikan. Kenapa ada manusia yang berhati binatang seperti ini. Tadi aku dipukul oleh kak Sarah tanpa sempat membela diri. Dalam keadaan yang masih lemah, aku didatangi pula oleh manusia yang bertopengkan syaitan ini.

           Ya Allah, selamatkanlah aku dari diperlakukan seperti ini. Tolonglah hambamu ini Ya Allah. Aku lebih rela dipukul kak Sarah dan dicaci oleh mak ngah dari dinodai oleh lelaki ini.

            Aku terus-terusan berdoa di dalam hati kerana hanya ini saja yang aku mampu. Aku sudah tiada daya untuk melawan. Disaat badanku mula ditindih oleh abang Kamil, kak Sarah muncul di muka pintu bilikku. Sepantas kilat abang Kamil bangun dan menuju kepada kak Sarah.

              ''Sarah, adik You ni dah gila. I datang cari You tadi, tapi dia terus goda I dan ajak I masuk bilik ni. I tak nak Sarah tapi dia paksa jugak I..'' sayup-sayup aku dengar abang Kamil bersuara. Air mataku kembali mengalir laju.

     Ya Allah, apakah lagi ini? Dosa yang mana yang harus aku tebus atas ujianMU ini. Aku  terus merintih dalam hati.

               Kak Sarah terus menyerang aku tanpa bertanya terlebih dahulu. Kenapa aku dikurniakan seorang kakak yang tak mempunyai akal dan fikiran? Tak letihkah dia terus memukul dan menyeranah aku saban waktu?

              ''Kau memang perempuan sial! Sial, kau tau tak? Sial! Kau memang tak tahu di untung! Aku yang cari makan untuk kau! Aku yang bekerja siang malam nak bagi kau makan, tapi kau memang sial!'' sambil melepaskan amarahnya, kak Sarah terus memukul aku dengan segala kudratnya. Tak habis dengan rambut aku ditarik, kepala aku dihantuk ke lantai. Dalam waktu yang sama, kak Sarah menendang badanku. Aku cuba menahan serangan kak Sarah, namun semakin ku cuba semakin kak Sarah mengila.

              ''Sakit kak..Aina sakit. Kasihanilah Aina kak. Aina adik kakak. Kenapa akak lebih percayakan abang Kamil dari Aina? Aina tak bersalah kak. Abang Kamil yang nak perkosa Aina..''  aku cuba juga bersuara walau kudratku langsung tiada. Tapi apa yang aku dapat selepas itu lagi menjadikan aku seorang yang sangat malang.

               ''Hey perempuan! Kau jangan cuba-cuba nak buat fitnah! Apa kejadahnya aku nak perkosa kau? Kau suluh cermin tu sikit, dan tengok muka kau tu! Aku tengok pun tak berseleralah!'' kepala aku ditunjal kuat oleh abang Kamil.

              ''Dahlah tu sayang. Dia dah dapat balasan atas perbuatan dia tu. Dah lemai budak tu You kerjakan. Jom, I belanja You makan. Kang mati pulak budak tu..''  aku dengar abang Kamil bersuara lagi. Aku terus mengkerekot di atas lantai bilik. Badan aku sakit yang amat sangat. Kepala aku sudah mula berbinar. Dalam samar-samar, aku lihat tangan kak Sarah dipegang abang Kamil dan ditarik keluar dari bilik.

               Mak, Aina nak ikut mak. Bawalah Aina sama mak. Aina tak tahan mak. Kak Sarah tak sayang Aina. Mak ngah pun tak sayang Aina. Ayah, kenapa ayah pun tinggalkan Aina? Apa salah Aina? Aina derita ayah. '' aku terus meraung dalam hati. Sakitnya jiwaku tak tertahan rasanya. Betapa beratnya ujian ini untukku. Apa yang harus aku lakukan?

            Ya Allah, andai ini ujianMU untuk kasih sayangMU terhadapku, aku Redha dalam meraih kasih sayangMU hingga ke akhir hayatku, tapi aku mohon padamu Ya Allah, kuatkanlah hatiku untuk terus menerima ujianMU ini. Aku terlalu lemah Ya Allah. Aku takut, aku tak mampu untuk terus bertahan dengan segala ujianMU.

             Dalam kesakitan, aku masih memohon pada Allah kerana ku tahu, hanya Allah yang mampu meringankan penderitaanku. Hanya Allah Yang Maha Mendengar setiap rintihan hatiku. Aku sapu air mata yang masih mengalir dengar laju. Dalam esak tangis yang masih bersisa, aku cuba pejamkan mata. Dalam perit dan bisanya yang masih terasa, aku cuba menahan walau payah. Dalam beratnya kepala dan sakit yang berdenyut, aku cuba lapangkan minda dari terus memikirkan nasib diri. Aku tak tahu, bilakan derita ini akan berakhir.
   
************************

Selamat Tinggal Derita, Selamat Tinggal Dunia...

             Kepala aku pening sangat bila aku bangun pagi ni. Seluruh rumah dirasakan berpusing. Badan aku panas, dan perut aku pedih menahan lapar. Sejak semalam, aku tak makan apa-apa. Badan aku usah ditanya. Kesakitan yang aku rasa masih berbisa. Aku cuba gagahkan diri untuk bangun, tapi baru bangun duduk, aku rasa seluruh rumah jadi kelam. Aku rebahkan kembali tubuhku.

             Demamkah aku? Aku bertanya diri sendiri sambil mata terus aku pejam. Tekak terasa mual tiba-tiba, dan perut terus mengelupur di dalam. Ahh, aku dah tak mampu nak bertahan. Tanpa dapat dibendung, air mataku terus berguguran laju. Seksa...

              Ya Allah, bantu aku ringankan bebanku ini. Aku merintih lagi di dalam hati. Kepalaku langsung tak boleh diangkat. Setiap kali aku bergerak, aku rasa perut aku seakan ingin memuntahkan isi. Aku pejam mata rapat ,agar dapat menghilangkan rasa pening, dan pandangan yang ku rasakan bagai berpusing-pusing. Aku menarik nafas kasar, cuba menghilangkan rasa mualku, namun semakin ku cuba semakin terseksa aku rasa.

             Makkk..Aina tak tahan mak. Alangkah bahagianya kalau mak masih hidup. Tentu mak akan jaga Aina ,kalau Aina sakit. Tentu mak akan belai Aina dan berikan kasih sayang yang secukupnya pada Aina.

              ''Woi budak sial! Kau masih tidur lagi? Bangunlah! Mak ngah datang nak bawa kau tinggal di rumah dia.'' aku dengar suara kak Sarah, tapi aku tak berdaya untuk buka mata.

             ''Kau tidur mati ke hapa? Nuraina Aqilah!'' lantang suara kak Sarah di pendengaranku. Serentak dengan bunyi suaranya, aku terasa ada yang menendang kepalaku. Semakin sakit ku rasakan. Kak Sarah, sejak bila kak Sarah jadi samseng macam ni? Kepala Aina pun kak Sarah nak jadikan bola. Sudah kehabisan stokkah bola di kedai, hinggakan kak Sarah terlalu gian untuk menendang? Akibat perasaan geram yang teramat aku sudah mula melalut di dalam hati.

             ''Oitt, kau dah mati ke?'' Sarah letakkan jari telunjuknya di depan lubang hidung Aina, sambil tu telinganya ditekapkan ke dada Aina. Bila Aina tidak berkutik, Sarah mula cuak.

              ''Mak ngah!'' kuat laungan Sarah. Wajahnya sudah cemas. Telapak tangannya diletakkan di dahi Aina.

              ''Ya Allah, panasnya. Mak ngah!'' bila ibu saudaranya masih tidak muncul, Sarah melaung sekali lagi. Sarah dah mula mengelabah. Macam mana kalau Aina mati? Habislah aku. Di saat begini pun Sarah masih pentingkan diri sendiri. Langsung tiada riak kesedihan di wajahnya.

             ''Kenapa dengan kau ni Sarah? Terjerit, terlolong...'' ibu saudaranya masuk ke bilik dengan wajah yang garang.

            ''Aina, Aina mak ngah. Cuba mak ngah chek, jangan-jangan dah mati.'' Sarah bersuara cemas. Ibu saudaranya, Puan Waty menghampiri Aina yang masih tidur di lantai. Dipegangnya dahi Aina dan turun ke leher Aina. Mukanya dah berkerut. Ditelitinya seluruh badan Aina.

             ''Kau buat apa dengan budak Aina ni Sarah? Kau pukul dia ke?'' Sarah mencebikkan bibirnya.

               ''Alahh, pukul sikit je. Manja sangat, baru kena sikit dah pengsan-pengsan..'' Sarah cuba membela diri. Langsung tiada keinsafan disebalik nada suaranya.

                ''Sikit apa macam ni? Sudah, panggil pak ngah kau angkat dia,  kita bawa ke hospital.'' arahan sudah diberikan dan tiba-tiba Sarah berubah riak.

                ''Mak ngah, kesiankan Sarah mak ngah. Kita rawat saja Aina di rumah. Kalau dah jadi kes polis nanti, matilah Sarah. Sarah tak nak masuk jail.'' Sarah mula kecut bila membayangkan dirinya ditangkap polis atas kesalahan mendera adiknya sendiri. Semalam Sarah dikuasai perasaan cemburu bila Kamil mengadu Aina sudah mengoda Kamil dan mengajak Kamil kahwin lari ke siam.

               ''Habis, kalau budak sial ni mati, macam mana?'' Puan Waty hilang punca, antara permintaan Sarah dan Aina yang sedang kesakitan. Sedang mereka bertelagah sesama sendiri Aina bergerak sedikit dan tiba-tiba..

Bluwekkk...

               Berlambak darah yang keluar dari mulut Aina. Hidung Aina juga berdarah. Aina tercunggap-cunggap menahan nafasnya. Sarah dan Puan Waty sudah mula kalut. Perlahan-lahan Aina terkulai layu selepas itu.

Selamat tinggal derita. Selamat tinggal dunia.
Mak, Ayah..tunggu Aina...

*****************TAMMAT**************

KISAH BENAR,..

DI  COPY AND DARI FACEBOOK



               MESTI BACA : " DETIK2 TERAKHIR SITI HAJAR "

( jangan MENANGIS baca kisah ini )

6 Jan 2013 (Ahad)
Kami dapat panggilan telefon mengatakan Hajar kemalangan. Segera bergegas ke Hospital Besar Melaka. Ramai pelajar UTEM sedia menunggu berita kemalangan itu.

7 Jan 2013 (Isnin)
Hajar dimasukkan ke wad ICU Mawar. Pegawai HEPA UTEM mula membuat lawatan.Doktor mencadangkan pembedahan segera dilakukan. Masalah kewangan mula berbangkit, wang kami tidak mencukupi’

8 Jan 2013 (Selasa)
Gerakan mengumpul derma utk pembedahan Hajar berjalan lancar. Pembedahan dilakukan pada pukul 1 tengahari. Pukul 6 ptg, pembedahan selesai.

9 Jan 2013 (Rabu)
Kesihatan Hajar baik sebelah pagi tapi merosot sedikit menjelang petang. Tekanan darah mula turun, lalu ubat untuk menaikkan tekanan darah segera diberikan. Muka dan badan mula sembab sebab dah 2 hari hanya drip air tanpa makanan. Sebelah petang, susu disalurkan ke perutnya melalui tiub. Walaupun tulang belakang telah di betulkan kedudukannya, saraf tunjang tetap telah tercedera dan kita menunggu dan berharap kekuasaan Allah Ke atas Hajar berkat doa semua sahabat di dalam dan di luar negara.

10 Jan 2013(Khamis)
Selepas Subuh tadi, kami lawat dia dan bacakan ayat2 suci dan syifa’. Dia tenang je.Kami berbual. Memang dia tak gelak tapi matanya lebih bermaya. Kami ceritakan tentang kawan2 yang datang, yang berkirim salam dan sebagainya. Memang dia tak dapat lawan bergurau, ketawa besar macam biasa tapi dia dengar kami tu pun dah cukup. Langsung tak tunjuk airmata pada dia. Kami usap tangannya, usap pipi dan dahi berkali2 dan bercakap dengan nada yang ceria juga. Tak boleh nak pandang dia dengan mata sayu, cakap dengan suara sebak..tak boleh. Kalau kita positif, kita ceria, aura kita berpindah kepadanya.

Ramai yang bersimpati dengannya lalu mencadangkan pelbagai bentuk rawatan pemulihan. Ada yang mencadangkan pergi kepada sekian-sekian dukun patah jika Hajar telah keluar dari Hospital nanti. Ada juga peniaga air yang menawarkan sebotol air pada harga RM25, dan menjanjikan penyembuhan dalam 10 minit sahaja. Hajar senyum . Pesannya, dia tidak mahu apa-apa rawatan yang menggunakan perantaraan jin dan hanya mahukan perubatan Islam. Dia rela lumpuh seumur hidup atau sanggup mati, asalkan tidak mensyirikkan Allah.

11 Jan 2013 (Jumaat)
Doktor dah benarkan makan bubur. Kami sudukan dengan sup ayam, sup sayur, ikan dan buah2an. Minum air zam zam pakai straw. Memang haus betul dia. Berkat air terbaik di atas mukabumi, dia segera nampak bertenaga. Menitis airmata sahabat2 melihat dia telah makan. Berebut2 mereka nak tolong layan Hajar. Suasana ceria berlanjutan dengan cerita2 lucu mereka.
Solat Hajat dilakukan di merata tempat dari sebelah malam hingga ke siangnya.UTeM sendiri menganjurkan solat hajat di Masjid, melibatkan kerjasama BADAR dan Majlis Perwakilan Pelajar .

Lawatan Naib Canselor, memberikan suntikan semangat luarbiasa kepada Hajar. Dia ingin sembuh. Dia ingin kembali belajar. Dan dia dijanjikan pelbagai kemudahan pembelajaran jika dia sihat dan masih berminat menuntut ilmu.
Sedikit jangkitan kuman mula dikesan di paru-paru menyebabkan pernafasannya tidak stabil.

12 Jan 2013 (Sabtu)
Doa dan kata-kata peransang tak henti2 masuk ke telefon untuk memberi semangat kepada Hajar. Kami perlu kuatkan pernafasannya. Latihan pernafasan mula diberikan supaya oksigen banyak masuk ke badan dan dia dapat melawan kuman2 yang datang menyerang. Hasilnya, kedua dua tangan dah boleh diangkat tinggi. Selepas ini, kami nak teruskan dengan latihan menggenggam. Semua ini menyakitkan, kerana itu motivasi dari sahabat2 amat diperlukan. Peranan saya sebagai ibu adalah untuk mengukuhkan keimanannya dan meletakkan pergantungan harapan sepenuhnya pada Allah.
Sebelah petangnya, Hajar di keluarkan dari ICU Mawar dan diletakkan di wad D3.

13 Jan 2013(Ahad)
Akhirnya berbekalkan sedikit kekuatan yang diberi oleh Allah, saya terangkan situasi sebenar, kesan kemalangan itu kepada Hajar. The whole truth. Dan sebagai hambanya yang patuh, dia Redha dengan apa saja Qada dan QadarNYA. Pendapat doktor itu berdasarkan pengetahuan manusia. Yang mana ia hanya ibarat setitik air di lautan yang luas. Terlalu kecil kemampuan manusia berbanding dengan kekuasaan Allah itu sendiri. Baginya hidup mesti diteruskan, ada banyak lagi nikmat tuhan yang sedang dinikmatinya. NIKMAT TUHAN YANG MANAKAH YANG KAMU DUSTAKAN?
Setiap hari Allah menuntut perjanjian kita dengannya sebelum kita dilahirkan. Iaitu untuk mengakui DIA itulah tuhan kita yang layak disembah. Dia yang maha berkuasa, yang memiliki segala2nya. Sedang kita inilah si fakir yang tak punya apa2…dan sentiasa meminta2 darinya. Kalau dah lidah kita mengakui Allah itu maha berkuasa, maka ikrarkan pula dihati..yang DIA mampu mengubah nasib Hajar lantas menyembuhkannya sekalipun.

Tiada rahsia lagi. Dia dah tahu dirinya lumpuh sementara. Dah tahu situasi tulang belakangnya, saraf tunjangnya yang cedera dan juga pembedahan yang telah dilaluinya. Tanpa setitik airmata, tanpa keluhan, tanpa menyesali nasib, tanpa mematahkan semangatnya untuk terus hidup, katanya kalau mak dan ayah boleh redha, dia juga akan redha. Banyak lagi tanggungjawab untuk digalas, ramai lagi diluar sana yang perlukan bimbingan dan kerana Allah masih selamatkannya, dia akan bersyukur. Pasti ada hikmahnya.

Malam itu, sedang saya membacakan ayat-ayat suci kepadanya, dia kata
“Mak dengar tak tu? Suara seruan tu?”
Saya terdengar seruan bersahut-sahutan dua atau tiga kali dari arah yang tak pasti.
“Orang azan kot” tingkah saya.
Dia jawab “mana pulak, azan mana ada SUBHANALLAH.. orang tu sebut SUBHANALLAH berkali2. Akak dengar, Cuba tengok jam, bukan masa azan, kan?.”akuinya penuh jujur.
Saya rasa berdebar, “Selalu ke akak dengar?”
“Selalu gak, entah siapa lah yang jerit tu gaknya…” jawabnya naif’

14Jan 2013 (Isnin)
Sebelah siang Hajar demam. Batuk2 Kecil, Menjelang maghrib, cuaca sejuk, batuk makin memberat. Demam semakin tinggi mencecah 39C. Selsema, kahak tersumbat di saluran kerongkong dan belakang hidung. Hajar semakin lemah. Apabila pernafasan tersekat,Hajar menggelepar mencari nafas. Doktor segera bertindak bila kami menjerit meminta bantuan kecemasan diberikan dengan menyedut kahak menggunakan mesin penyedut. Tiup dimasukkan ke saluran kerongkong dan saluran hidung. Prosedur yang menyakitkan dan tidak selesa. Tapi masih tak banyak membantu, selsema mengalir lagi, dan kesejukan malam menyebabkan hidung tersumbat semula. Kami disuruh keluar semasa bantuan kecemasan itu. Keadaan agak membimbangkan. Kami berdua berusaha menolong dengan membacakan ayat2 suci dan zikir2. Menjelang tengah malam barulah dia bernafas selesa dan tidak mencungap cungap lagi. Keletihan yg teramat sangat..tetapi bersyukur terselamat dr situasi bahaya. Stabil.

Bila dah tenang, Hajar bercerita semula, semasa doktor membantunya dan kami memohon bantuan Allah, pertolongan tersebut telah datang. Bagaimana? Secara tiba2 dia sendawa berkali kali. Dan setiap kali angin sendawa itu keluar, terasa hidung yg tersumbat tidak tersumbat lagi dan dia boleh bernafas dgn selesa. Kemudian, dia terasa mukanya dipercikkan air 3 kali. Air yang sgt sejuk dan selesa. Dia yang sedang demam panas dan terasa muka berbahang, tetiba rasa sangat selesa dan demam mula menurun. SUBHANALLAH.

Hari dah jauh malam, suami saya nak pulang menjaga anak2 yang lain di rumah. Suami beritahu Hajar, dengan cepat dia jawab “Ayah percaya Allah tak?”jawab suami”Percaya”.
Tambah Hajar lagi, “Kalau percaya pada Allah, ayah baliklah..Allah ada jaga akak kat sini.”
Sesekali dia tersenyum manis.
Kami tanyakan "kenapa senyum?”
Dia jawab…"Ada bau wangi sangat”.
"Selalu ke akak terbau macam tu?”
Jawabnya, “Kadang2 aje, kadang2 masa nurse datang, kadang2 waktu sahabat ziarah”
Hati kami mula rasa sesuatu. Suami saya tak jadi balik. Kami berdua tertidur kepenatan menemani dia malam tu. Dipihak dia pula, terasa sangat aman dan damai. Malam yg sejuk dirasakan nyaman. Langsung tak rasa lapar dan dahaga. Menurutnya, sepanjang malam, dia memerhatikan kami berdua tidur dan mensyukuri apa saja nikmat yang sedang dinikmatinya.

15 Jan 2013 (Selasa)
Sebelah pagi Hajar masih tak bermaya. Semakin naik matahari, hidung semakin kurang tersumbat dan kesihatan mula beransur baik. Perjuangan untuk hidup diteruskan lagi. Bila demam berkurangan, Hajar akan kembali ceria, makannya akan berselera, makan pudding, bubur, sup ayam dan buah2an.. Rakan2 pun gembira melayan kerenah dia. Bila dia sebut teringin makan pisang…tetiba ada saja tetamu yang bawakan. Dia duduk tapi kepalanya agak senget - masih tak boleh kawal gerakan kepala. Spontan dia kata, “Kalau ade bantal kecil, boleh letak kat leher” lalu Allah perkenankan hajatnya. Bantal yang diidamkan dibawa oleh sahabat yang prihatin pada hari yang sama hajatnya diutarakan. (KUN FAYAKUN)

Tekak Hajar masih terasa sakit – perit. Mungkin sebab guna tiub penyedut kahak sebelumnya. Jadi ubat demamnya perlu dihancurkan dan dijadikan larutan. Saya bancuhkan paracetamol dengan sedikit air zam zam. “Akak, ingat ye, ubat ni alat je, Allah yang menyembuhkan” Dia angguk. Ubat di sudukan ke mulutnya. Pahit. Kecil matanya. Segera saya berikan air zam zam untuk diminum. Lepas itu dia tanya, “Air ape tadi?”. “Ehh..air zam zam lah, mana ade bagi air lain.” Dia senyum lagi. Saya tertanya2. Dia kata “Allah tolong akak, ubat tu memang pahit, tapi bila minum air zam zam tu, rasa macam air tu manis, ia basuh semua rasa pahit dilidah akak, Esok mak cubalah” Macam mana ni….nak percaya tak?

Malamnya, dia kena makan ubat lagi. Tanpa gentar, dia menelan ubat pahit tu dan tinggalkan sedikit untuk saya. Nekad untuk menyampaikan dakwah, saya telan baki ubat itu. Memang pahit. Dan bila air zam zam diminum, rasa pahit itu hilang tak berbekas. Seperti lumpur di lantai yang tertanggal semuanya bila air disiram kepadanya.
Kemudian dia mula bertanya bagaimana dia nak solat dalam keadaannya seperti itu. Saya terkedu. Telefon terus saya capai, meminta bantuan ilmu dari rakan2 yang lebih arif. Dan seperti dijangka, apa yang dimintanya, mudah benar utk Allah tunaikan. Ade saja sahabat yang prihatin dan sudi menolong.

Bila Doktor pelatih datang untuk mengambil sampel darah, Hajar menangis. “Akak dah lemah, makan pun tak seberapa, mana nak ada darah banyak. Doktor asyik ambil darah..tangan doktor tu besar,kematu, tak sensitive. Tangan akak kecil, Sakit tau ditampar2 tangan akak, dicubit2…dah tak jumpa urat darah tu, tak yah lah ambil darah. Akak tak nak doktor tu lagi”. Sayu hati mendengar rintihannya, tapi macamana? Mana boleh pilih2 doktor. Tapi Allah maha mendengar, esoknya doktor lain pula mengambil alih.

16 Jan 2013(Rabu)
Usai solat subuh, saya dapati Hajar mengadu sakit perut. Macam kembung. Perut mula membengkak dan bergerak2. Saya sapukan sedikit minyak angin dan bacakan rukyah. Dia terasa nak muntah. Ya memang.. dia betul betul muntah. Berlambak2 muntah air hijau keluar dari mulutnya. Kami beri air zam zam kerana muntah tersebut memahitkan tekak. Tapi muntah berterusan…lagi…. lagi… dan lagi…”Akak tak nak pelawat hari ni”. Dan tengahari itu, memang takada pelawat yang datang.

Menjelang maghrib, dia suruh ayahnya solat. Kemudian saya pula disuruh solat. Saya katakan, “nanti siapa nak tolong bersihkan muntah? Mak solat lewat sikitlah…Dia jawab “Allah ada, Allah boleh bantu akak.” Terkedu. Saya pun tinggalkn dia untuk solat. Ayahnya pula pergi menjemput adiknya di Malacca Central. Selesai solat, saya dapati nurse sedang membersihkan Hajar. Bajunya yg terkena muntah digantikan. Kemudian dia kata, “Haa..kan betul akak cakap, Allah ada bantu akak. Mak pergi je, akak muntah, tapi nurse yg sedang rawat makcik kat sebelah tu ternampak akak muntah dan dia datang bantu.

Sepanjang malam, adik Hajar, Nabilah, saya dan suami saya hanya menadahkan kain menahan muntah hajar. Muntah…minum lagi…dan kemudian muntah semula. Bila reda sedikit, kami mula berbicara. “Akak, Nampak gayanya macam perut akak dah tak terima lagi air yang kami beri. Mungkin rezeki minuman akak dah habis. Mak bagi air untuk basah tekak je, tapi untuk menghilangkan dahaga, akak mohonlah rezeki dari Allah.

Ayahnya pula kata “Akak, kalau akak dipanjangkan usia, ayah akan belikan computer yg lebih ringan untuk akak, sesuai dgn kemampuan akak menggunakannya. Tapi kalau usia akak tak panjang, akak jangan sedih sebab akak akan dapat syahid dunia. Pujuk ayah lagi, “Akak, bila dajjal keluar nanti, orang2 yang beriman takkan dapat bekalan makanan sebab tak mahu sembah dajjal. Mereka akan berzikir sahaja, dan Allah cukupkan rezeki mereka. Mereka tak rasa lapar dan dahaga, Akak zikirlah ye”. Angguk.

Walaupun perbualan itu amat menyentuh hati, tapi masih tak mampu menggugurkan air matanya. Dia kata” Kalau mak dan ayah dah redha, takde sebab untuk akak tak redha. Kalau Allah izinkan akak hidup lagi, walau mcmana pun rupa akak waktu tu, akak akan berdakwah untuk beritahu orang tentang adanya pertolongan Allah, besarnya kekuasaan Allah. Mak tulis ye, biar tak lupa . Nanti akak sendiri yang akan ceritakan. Tapi kalau umur akak tak panjang, emak ceritakanlah bagi pihak akak”

Untuk adik2nya, dipesankan agar ubah penampilan berpakaian. Untuk rakan2, dia minta maaf dan memberikan kemaafannya kepada mereka. Adik2 dipujuk agar pakai jubah2 dan tudung dia yang banyak. Dia turut beritahu minta digantikan puasanya dan uruskan solat yg tertinggal sepanjang dia berada dihospital tu. Ada beberapa hutang kecilnya minta dilunaskan.

Kami tanya lagi. “ susah ke rasanya nak muntah tu tadi?” Jawabnya, “Taklah, senang je, Allah tolong.” “Tolong macamana?” tambahnya “Dah badan akak tak boleh keluarkan air2 kotor tu dgn cara biasa, Allah tolong keluarkan melalui muntah. Tak susah pun, rasa macam meludah je” MASYA ALLAH. Hajar sentiasa kaitkan apa saja yang dialaminya dengan Allah. Sentiasa berbaik sangka Allah menolongnya. Benarlah seperti hadis qudsi, Allah bertindak mengikut sangkaan hamba terhadapNYA. Jika kita yakin Allah menolong kita, maka Allah akan tolong.
Keputusan Xray menunjukkan perut dan usus besar membengkak teruk.

17 Jan 2013(Khamis)
Situasi kritikal. Tak mahu pelawat lagi. Doktor sedang cuba menyelamatkan . Perut membengkak terus. Usus besar tidak menyalurkan najis dengan sempurna. Menurut doktor semuanya ada kaitan dengan saraf tunjang yang gagal menghantar arahan ke anggota badan. Ultrasound pula diambil. Hajar tenang. Berserah pada Allah menentukan yang terbaik untuknya.

Selepas waktu melawat tengahari, demam memburuk semula. Perut yang membengkak menyukarkan pernafasan. Doktor mula gelisah. Satu tiub dimasukkan ke perut melalui hidung bagi menyedut cairan di dalam perut. Lebih 1Liter cairan dikeluarkan. Hajar diarahkan berpuasa sehingga punca pembengkakan itu diketahui.

Demam lagi. Saya sudukan juga tiga sudu air zam zam ke mulutnya dari masa ke semasa.
“Akak, jgn bimbang, kita orang Islam dah dilatih berpuasa. Redha ya .. mak bagi air zam zam ni hanya utk basah tekak, memang tak sempat sampai ke perut pun ia akan kering sendiri. Mintalah Allah hilangkan dahaga akak” .
Dalam keletihan beliau jawab, “beratnya dugaan Allah ni , mak..” “memanglah…kan syurga Allah tu mahal harganya…sabar ya.. Nabi Ayub dulu pun diuji dengan berat” Dia angguk.. Doktor pasang drip…Dalam hati, saya tak putus2 membacakan ayat2 suci dan selawat untuk menolong beliau melalui kesukaran itu.

Menjelang asar, Hajar mula rasa bahang. Dia minta dimandikan. Panasnya kuat dibahagian dada. Dan terasa semua badan sakit2. Saya terdiam. Saya rasa, dia dah mula nak nazak. Waktu tu saya berdiri membelakangkan tingkap. Dia suruh saya beralih kedudukan. Dia nak pandang keluar tingkap. Saya tanya, nak tengok apa? Katanya : nak tengok Allah. Saya terkedu lagi. Katanya :
"Allah marah sebab tak dakwah sungguh2. Tak mahu cari jalan lain, bila dakwah terhalang.”
Saya jawab “Mintalah ampun dan banyakkan beristigfar pada Allah,”
Hajar Angguk. Tak lama lepas tu, dia kata, matanya dah mula kabur. Saya membisikkan agar dia terus mengingati Allah. Angguk. Dalam termengah2 dia berkata
"mak, izinkan akak pergi dulu, tapi akak tak nampak jalan”
"Ya, mak izinkan, mak doakan agar Rasulullah datang tunjukkan jalannya. Sekali lagi dia mengejutkan saya, bila dia kata dia dah tak boleh nampak, lalu bola matanya bergerak ke atas. Segera saya talkinkan berulang kali. Doktor dan nurse mula berkejar datang nak menyelamatkan. Saya disuruh keluar. Mereka mula memasang topeng oksigen,dan menaikkan tekanan darah.

Hati saya dah sebu. Saya tahu tadi tu Hajar dah nazak. Persiapan dibuat utk pindahkan Hajar ke ICU semula. Waktu maghrib tu, kami berkejar kejaran tolak katil Hajar ke ICU okid.

Hajar segera dibius dan getah saluran pernafasan dipasang ke mulutnya. Mesin pernafasan mengambilalih proses pernafasan. Itulah kali terakhir untuk dia berkata kata kerana selepas itu dia terus ditidurkan dan tak bangun2 lagi.

18 Jan 2013 (Jumaat)
Kami dimaklumkan ada air yang banyak diluar perut dan sekitar usus. Dikhuatiri usus Hajar telah bocor. Menjelang waktu azan zohor, untuk solat jumaat, jantung Hajar berhenti berdenyut. Doktor segera melakukan CPR. (Satu. Dua, Tiga, Empat, ……)saya nampak prosedur tu dr luar cermin biliknya. Hati saya terguris teruk…cpr dilakukan di dada, betul2 di atas kawasan pembedahan tulang belakangnya. Kalau dia selamat sekalipun, apa nasib tulang belakang tu, kan baru je lepas dibedah.
Walaupun jantung dapat digerakkan kembali, namun jantung Hajar hanya bekerja 1% sementara mesin pernafasan yg bekerja lagi 99%. Hakikatnya carta pernafasan di paparan skrin tu terasa semacam gimik.

19 Jan 2013 (sabtu)
Doktor pakar usus mengesahkan usus Hajar bocor dan perlukan tembukan kecil diperut untuk mengesahkan teori beliau. Sekiranya benar, pembedahan yang lebih besar diperlukan utk memotong usus yang bocor itu dan mencantumkan semula. Serentak dengan itu, kami diberi borang kebenaran pembedahan untuk ditandatangani. Semuanya atas nama nak menyelamatkan nyawa Hajar. Kami buntu. Suami meminta tempuh untuk bertenang dan berfikir. Kami perlu solat. Kami perlu berfikir dengan tenang. Kami mohon pertolongan melalui pertolongan Allah. Pukul 2 pagi, kami dipanggil semula. Terdesak, kami benarkan tembukan dilakukan diperut. Hanya pada Allah kami bermohon pertolongan dan petunjuk.

Belumpun sempat selesai pembedahan kecil itu, seorang lagi doktor memanggil kami. Berita besar yang disampaikan, buah pinggang Hajar tidak berfungsi sepenuhnya atau lebih tepat lagi..dah rosak dan perlukan dialysis darah. Hajar takkan boleh bertahan kalau darahnya tak dicuci kerana toksin dalam tubuh akan meningkat dan meracuni organ2 yang lain. Terdiam. Bermimpikah kami? Lepas satu, satu, organ badannya merosak. Namun begitu, dialysis tidak boleh dilakukan dengan selamat kerana keadaaan Hajar yang tidak stabil. Jantungnya dah pernah berhenti, dan boleh berhenti lagi semasa dialysis. Darahnya dah terlalu cair..dah lama tak makan. Pendarahan juga boleh berlaku kerana tekanan darah yang rendah. Jadi apa yang boleh kami perbuat? Sesudah berbincang,  kami ambil keputusan tidak membenarkan cuci darah dijalankan kerana risikonya besar.

Tak lama lepas tu, pakar usus pula mengesahkan yang usus Hajar memang benar2 bocor dan pembedahan besar diperlukan. Kami tanya, adakah Hajar stabil untuk dibedah? Jawapannya TIDAK.Kami Tanya adakah masalah usus itu boleh selesai selepas pembedahan tersebut? Jawapannya. TIDAK PASTI MASALAH SAMA TAKKAN BERULANG LAGI. Lalu kami berikan jawapan yang paling selesa bagi kami iaitu tidak membenarkan sebarang pembedahan dilakukan lagi. Kami juga tidak membenarkan prosedur cpr dilakukan jika jantung terhenti lagi.

Doktor bercakap dengan berhati2. “Kalau itu keputusan Puan, Puan sedarkah apa akibatnya nanti?” Saya jawab, “ya, saya sedar, saya akan kehilangan anak saya, dan saya redha. Malah, kalau boleh , saya nak segala ubat dan mesin pernafasan dihentikan” Doktor menjawab, “Itu tak boleh, menyalahi etika, itu seperti membunuh pesakit. Kami tak boleh membunuh pesakit, tapi kalau Puan tak mahu lakukan semua yg kami dah cadangkan, mesin pernafasan tetap perlu terus dihidupkan. Cuma pesakit takkan mampu bertahan lama kerana toksin yang tinggi akan meracun dirinya sendiri.

Selepas itu, doktor terus mengawasi Hajar, dan pelawat telah dibenarkan menziarah tanpa had masa kerana Hajar hanya menunggu masa untuk pergi meninggalkan kita semua. Semua keluarga telah dimaklumkan, Hajar tak putus2 diziarahi oleh sahabat2 yang mengenali dan bersimpati. Masing2 ingin menatap wajahnya untuk kali terakhir

20 Jan2013 (Ahad)
Pagi itu kami berdua khusyuk dlm doa masing masing, hanyut dalam munajat kami kepada Allah memohon bantuan dan keringanan untuk sakaratul maut anak kami.Tepat jam 9.20 pagi, Hajar melepasi sakaratulmaut dan meninggal dunia dengan tenang dalam dakapan ibu dan restu ayah. Pergilah sayang, TUHANMU yang lebih menyayangimu telah menunggu. Terima kasih YA ALLAH kerana telah meminjamkan kami anak yang sebaik ini. 20 tahun kami berbahagia dengan kehadirannya.Terima kasih kerana menganugerahkan akhlak yang mulia terhadap anak kami ini. Kini kami kembalikan ia kepadaMU YA ALLAH.Dakapilah ia dengan limpahan rahmat kasih sayangMU yang maha Agung. Amin.. amin..amin..ya rabbal alamin.

Siti Hajar selamat dikebumikan di kampung keluarganya dengan lancar.Begitu ramai sahabat, pensyarah, pegawai university dan saudara mara hadir memberikan lawatan terakhir, memandikan, menyembahyangkan dan mengkebumikan beliau. Seluruh alam seakan turut bersedih dan merintih kerana kehilangan seorang mujahidah sejati. Cuaca mendung berterusan dari pagi hingga ke petang,( tetapi tidak pula hujan), turut menyentap tangkai hati insan2 yang jujur menyayanginya.


P/S : Hamba menitiskan airmata tatkala membaca kisah ini. Kisah yang tidak diambil pusing. Hati hamba menjadi sayu kerana wujud manusia yang begini luar biasa hebatnya. Hati hamba pilu kerana hamba tidak dapat menjadi sepertinya. Al-marhumah benar-benar gadis yang hebat, Semoga Allah menempatkan almarhumah bersama mereka yang beriman dan semoga Syurga ganjaran buatnya.


# Jika anda tidak boleh menjadi penulis yang memberi manfaat, jadi pembaca yang memberi manfaat kepada orang lain. SHARE / KONGSILAH kepada SAHABAT2 KISAH INI ....


Isnin, 22 April 2013

Cintaku Abadi


          Fasehah namaku. Aku baru berusia 17 tahun. Sweet seventeen gitu. Nak kata cute, taklah sangat, tapi manis tu ada, kerana ketika senyum lesung pipitku akan mula terserlah. Kawan-kawan cakap aku ni manis-manis ayu. Aku iakan saja. Tak baik menafikannya. Segala yang aku miliki, Allah yang beri.

         "Seha..cantik kau hari ni. Nak ke mana tu?" teman sebilikku Aishah menegur.

         "Cantik ker? Terima kasih la yer. Tapi maaf la aku tak ada duit kecik nak bagi kau." sengaja ingin bergurau dengan Aishah aku saja menjebak dia dalam pujiannya tadi.

          "Aikk, puji sikit dah kembang setaman ker? Aku okey jer kalau tak ada duit kecik. Not 50 pun aku sapu." Aishah sengeh padaku. Wah, melawan tokey nampak? Tak mau mengaku kalah yer? Takpe ngko.

          "Aku nak keluar ni. Nak gi Mall jap. Jom la, temankan aku." Malas nak terus berlawan kata, aku tukar topik.

             "Nak buat apa? Kan baru jer kemarin kita dah pegi?" Aishah pandang aku tak berkelip.

            "Hiesy..kau ni banyak soal pulak. Nak ikut ker tak ni?" malas betul aku nak melayan soalan yang dijawab dengan soalan juga. Bikin kepala otak aku ni berasap saja.

            "Kau pegi jer la. Aku malas la. Kerja rumah yang cikgu Husna bagi kelmarin belum siap lagi ni.." Aishah dah mula tunjuk muka monyok dia tu. Ha..tu la suka sangat tangguhkan kerja.

         "Okeylah, kalau macam tu aku gerak dulu la." aku mula berpaling untuk melangkah keluar dari bilik.

         "Eh..kejap Seha. Aku nak kirim. Tolong belikan aku burger erk.." Aishah bersuara macam orang merengek. Manja semacam pula aku dengar. Nak bodek la tu..

           "Hulur jer la. Takkan kirim guna air liur saja kot?" aku hulurkan tangan pada Aishah. Dia sengeh saja.

           "Kau belanja la. Kau kan kawan aku dunia akhirat." aku dah agak dah. Ayat bodek.

           "Okeylah..no hal. Aku chow dulu."

********************

            Aku terus bergerak menuju destinasi. Kebetulan Mall dengan Asrama pelajar perempuan taklah jauh mana pun. Aku berjalan kaki saja, cuma di seberang jalan. Kakiku pantas melangkah. Apa yang aku mahu, segera sampai ke Mall dan cari barang-barang yang aku nak tu.

            Tiba-tiba..entah dari mana datangnya, sebuah kereta menekan brek secara mengejut di sebelahku. Aku urut dadaku. Fuhh, melayang seketika semangatku. Terkaku aku beberapa saat.

              "Awak tak ada apa-apa ker?" keluar seorang pemuda kacak dari kereta tersebut. Dia nampak mengelabah semacam saja.

             "Awak okey ker?" dia soal aku lagi. Entah kenapa kelu saja lidah aku ni. Mak aii, sikit punya handsome ker mamat ni. Macam mana tak kelu lidah. Aku sekadar anggukkan kepala saja.

             "Syukurlah kalau awak tak ada apa-apa. Maafkan saya, tadi mungkin saya tercuai sikit.." dia berkata lagi. Aku terus membisu. Hanya mataku yang memandangnya tanpa jemu. Hoii! Fasehah, ingatlah sama, awak tu orang perempuan. Aku dengar hatiku berkata.

             "Nama saya Danial Haziq. Awak?" Aku tersedar dari lamunan yang seketika cuma.

            "Aaa...Seha. Err..Fasehah sebenarnya, tapi kawan-kawan panggil Seha jer.." Danial Haziq senyum padaku. Sekali lagi aku tergaman. Senyumannya betul-betul buatkan aku terpukau. Alamak..jiwaku dah semakin kacau ni.

            "Seha nak ke mana ni? Boleh saya tolong hantarkan?" dia bertanya lagi.

             "Err, tak apalah. Terima kasih jer la. Saya cuma nak ke seberang jer. Ehh..saya gerak dulu la yer." aku mula nak berlalu tapi aku terasa seseorang sedang memegang lenganku. Aku menoleh sambil mengebam bibir. Mataku sedang memandang ke arah tangan lelaki itu.

           "Err..maaf. Tak sengaja.." Danial Haziq spontan melepaskan lenganku.

            "Boleh kita jumpa lagi tak? Kalau tak keberatan nak minta nombor telefon Seha?" Wah, pucuk dicita ulam yang mendatang. Aku senyum dalam hati.

             "Macam ni aje la. Awak bagi saja nombor telefon awak, nanti biar saya saja yang contact awak." aku buat cadangan. Rasanya tak salahkan kalau perempuan yang mulakan dulu? Mamat handsome nih. Hihihi..aku tersenyum gatal di dalam hati.

             "Saya okey jer. Tapi awak janji tau,  jangan mungkir." maka nombor telefon pun bertukar tangan. Aku pasti takkan mungkir janji, mungkin aku cuma akan mengukir bahagia. Bisikku di dalam hati.

***************

          Sejak dari kejadian hari tu kami sering berhubungan. Tapi selalunya melalui telefon saja. Status aku sebagai seorang pelajar tak membolehkan aku keluar bersama. Err..bukan tak boleh sebenarnya, cuma aku tak mahu menghampakan kedua ibu bapa yang telah memberikan kepercayaan padaku.

   ~salam seha, buat apa tu?~

          Aku terima mesej dari Danial Haziq.

~tengah study la, hujung tahun ni kan dah nak exam, biol sekejap kepala ni ha~

                 Aku membalas mesejnya. Entah kenapa sejak akhir-akhir ni semua masalah aku nak kongsi dengan dia.

             ~oh ya ker? relax la kejap. Jangan stress sangat nanti tak masuk pulak~

            Wah, prihatin betul mamat ni. Aku senyum sendiri.

               "Hoii!..kau ni Seha. Belajar ker berangan? Senyum sorang-sorang macam kerang busuk pulak aku tengok." Entah dari mana Aishah ni tau-tau mencelah saja. Potong mod betul la.

           "Eh, kau sibuk pehal?" aku menjawab soalan Aisah dengan nada sedikit bengang,  kemudian aku fokus pula pada mesej Danial.

              ~nak buat macam mana,dah memang lumrah sorang pelajar~

                  Aku tekan send.

              ~sabarlah sayang, bukannya lama mana lagi pun, pejam celik2 ja lagi tu~

                  Mak aii..dia panggil aku sayang la. Terbang sebentar aku di alam fantasia. Sengeh lagi.

~erm..~

           Aku dah hilang modal untuk berkata-kata. Andai Danial Haziq adalah jodohku, biarlah namanya terus bertahta di hati ini dan akan aku abadikan cintaku ini khusus untuknya. Kaulah yang pertama dan yang terakhir Danial Haziq sayangku.

***************


5 tahun berlalu...

           Aku dan Danial Haziq selamat disatukan dalam majlis yang sangat meriah. Maklumlah aku anak bongsu dari tiga beradik, manakala Danial Haziq pula anak tunggal.

         "Sayang, selamat pengantin baru. Sayang bahagia?" Ungkapan pertama Danial Haziq untukku ketika kami berdua-duaan di bilik pengantin kami.

              "Hmm..Alhamdulillah. Seha bahagia sangat." aku senyum pada suamiku. Indahnya malam ini bila hati mula bersatu.

              "Selama 5 tahun ni, siang malam abang berdoa mudahan antara kita ada jodoh.." bahagia aku mendengar ungkapannya kerana itulah juga yang aku harapkan selama ini. Jodoh kami berdua, dan aku bersyukur kerana ternyata kami memang berjodoh.

             "Itu juga yang Seha harapkan bang." Suamiku pegang kedua-dua tanganku. Aku memyambutnya dan membawanya ke bibir lalu mencium tangannya penuh shahdu. Dialah suamiku kini dan hanya dialah cinta hatiku.

            "Abang nak tanya sikit, boleh?" Suamiku merenung mataku dan kami saling merenung di antara satu sama lain.

            "Banyak pun boleh bang. Tanya jer la.." aku menanti kalimah seterusnya. Tanganku semakin digengamnya erat.

            "Sejak bila Seha mula sukakan abang?" soalan cepugangsa yang membuatkan wajahku merah tetiba. Aku tertunduk seketika. Perlahan aku menjawab.

             "Ermm..mungkin first kita jumpa kot. Mungkin sayang belum ada, tapi bibit-bibit cinta tu dah di semai rasanya." sehabis aku menuturkannya, suamiku terus merangkulku. Aku dihadiahkan dengan ciuman kasihnya didahi.

              "Terima kasih sayang, kerana menerima cinta abang. Abang sayang sangat-sangat isteri abang ni." bahagianya perasaanku.

             "Seha pun sayang abang. Sayang sangat-sangat." ku bisikkan kata-kata itu di telinganya. Sesungguhnya itulah kebenarannya. Moga kasih yang terjalin ini akan kekal abadi.

*****************TAMMAT*************
p/s; Cinta Abadi, biarlah bermula hanya selepas adanya ikatan pernikahan.