Selasa, 11 Jun 2013

KASIHNYA IBU





                   SEJUK terasa mencengkam hingga ke tulang. Entah kenapa pagi ini hatiku tiba-tiba jadi begitu sayu. Aku pandang ibu yang sedang berbaring di sebelah. Lesu dan pucat wajah ibuku itu. Sudah 3 bulan ibu terlantar sakit. Ibu disahkan mengidap kanser hati. Sayang, penyakit ibu hanya dapat dikesan pada saat-saat terakhir. Penderitaan ibu tentu tidak tertanggung olehnya. Aku sendiri ingin berkongsi penderitaaan itu bersama ibu. Tapi mustahil sangat.

                 Dalam asyik aku mengamati wajah ibu, aku tersedar ibu seakan sukar bernafas. Aku terkesima. Abah, mana abah? Baru aku ingat, abah sudah keluar ke masjid. Hanya aku menemani ibu di rumah.

              "Ibu..kenapa dengan ibu ni? Ibu.." aku cemas. Ibu semakin nazak. Nafas ibu turun naik.

                "Ibuu...jangan tinggalkan Ila bu. Ila sayang ibu. Ibuu..kenapa ibu?"

              "Ibuuu..."

                     Aku menangis sayu. Ibu semakin lemah. Apa yang harus aku lakukan saat-saat getir seperti ini? Kenapa abah lambat pulang? Aku pandang lagi wajah ibu. Aku dekatkan bibirku ke telinga ibu dan mengajar ibu melafazkan kalimah shahadah.

                    Akhirnya aku lihat ibu terkulai. Aku pasrah pada ketentuan takdir. Tapi hatiku bagai terhiris sembilu melihat ibu yang sudah pucat lesi dan sudah tidak bernyawa lagi. Di keheningan subuh pagi, aku menangis sayu mengenangkan ibu yang sudah pergi meninggalkan kami untuk selama-lamanya.


               Ibuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuu….aku meraung di dalam hati. Tiada dayaku untuk melawan ketentuan takdir. Inilah suratan yang harus aku tanggung. Ibu yang amat ku sayangi telah pergi untuk selamanya. Tiada lagi tempat untukku bermanja dan mengadu domba. Selama ini ibulah tempat aku meluah rasa. Tempat aku membisikkan cinta dan cerita luka. Susah dan senang, ibulah yang akan aku cari dulu. Kenapa takdir berlaku tidak adil padaku. Aku masih memerlukan ibu.

              Ibuuu...titisan air mataku terus membasahi pipi. Sarat dengan seribu kesedihan.

               Abah, cepatlah pulang. Kak long, Angah, Alang..ibu dah pergi dari hidup kita. Macam mana kita nak hadapi hidup ini tanpa ibu? Aku mengongoi sayu. Jenazah ibu aku peluk erat. Pipi ibu aku cium bertalu-talu.

                Ibuuuu...

*********************

                RIUH rendah rumah hari ini. Dari dapur hingga ke ruang tamu. Sudah seminggu ibu meninggalkan kami semua. Biarpun kesedihan itu masih terasa, tapi aku terpaksa redha jua. Hari ini kenduri arwah dan tahlil untuk ibu. Semoga roh ibu di tempatkan bersama orang-orang yang beriman. Itulah harapan kami sekeluarga.

            “Adik, kenapa termenung lagi tu? Mari sini, tolong kak Long.”  Suara kak Long mengejutkan aku. Hari ini semua adik beradikku berkumpul. Abah, Along, Angah dan Alang, semuanya ada.

               “Sudahlah tu dik, relakan pemergian ibu. Ibu dah selamat. Dah seminggu pun ibu pergi. Along, Angah dan Alang pun sedih juga. Abah lagi la sedih.” Angah pula bersuara. Aku hanya memandang dan menghadiahkan mereka senyuman. Walau senyumanku dah hilang serinya.

               Along mengusap-usap belakangku. Pandangan kami bersatu. Ada air mata ditubir matanya. Cepat-cepat Along melarikan pandangannya. Aku pandang pula wajah Angah, sempat aku lihat Angah menyeka air matanya. Pemergian ibu benar-benar merobek hati kami. Abah, Along dan Angah, aku lihat begitu tabah menerima semua dugaan ini. Hanya aku yang merasakan begitu kehilangan.

              “Dah la tu, jangan bersedih lagi. Ibu dah tak ada. Kita doakan saja, moga ibu tenang di sana. Bangun, bangun..banyak lagi kerja yang nak di selesaikan. Kejap lagi orang masjid dah nak sampai. Kalau kita asyik nak bersedih, bila kerja nak selesai. Hidup mesti diteruskan..” Along cuba mematikan kesedihan kami dan bersuara ceria. Kami semua bangun dan menuju ke dapur. Nasib baik ada jiran tertangga yang datang membantu. Memasak dan sebagainya. Kalau tak, tak  tahulah apa yang harus kami lakukan.

                 “Entahlah Kak Long, Kak Ngah..adik rasa macam hidup ni dah kosong. Tanpa ibu, adik rasa macam hidup adik ni dah tak da makna lagi dah. Seolah-olah..entahlah. Adik pun tak tahu macam mana nak cakap.” Sayu tiba-tiba merasuk perasaanku. Aku seka air mata perlahan-lahan. Kenapa terlalu pedihnya untuk terima hakikat?

            “Akak faham dikk, tapi adik kena kuat. Kesian abah, kalau adik terus macam ni, tentu abah lagi sedih. Sabarlah dikk, hmm..”

           “Bagi adik, ibulah segala-galanya. Tempat adik meluahkan perasaan. Nanti adik nak luah pada siapa lagi. Abah tentu sibuk. Kak Long, Kak Ngah dan Abang Lang pun bukannya selalu ada di rumah. Hanya ibu di sisi adik selalu.”

              “Adikk, kenapa cakap macam tu sayang? Tak baik tau. Adiklah, satu-satunya adik kesayangan keluarga ni. Dah la tu. Adik merintih dan bersedih macam ni pun, ibu takkan kembali dikk. Akak tahu, adik akak ni sorang yang kuat dan tabah.”

******************

~Kasihnya ibu membawa ke syurga~
~Kasihnya ayah semasa berada~
~Kasihnya saudara menumpang bermanja~

            “Kalau kasihkan diri sendiri macam mana ya?” Aku bermonolog sendirian. Memang tiada siapa di rumah. Abah dan Kak Long macam biasa meneruskan kerja mereka. Kak Ngah dan Abang Lang balik semula ke kampus menyambung pelajaran mereka yang terbengkalai. Aku? Sendirian lagi. Apa yang nak aku buat hari ini?

KASIHNYA IBU
Ibu, hilang sudah tempat bermanja,
Mencari ganti takkan serupa,
Hanya kasih sayangmu yang sering ku damba,
Kasihmu ibu tak mungkin ku lupa,
Ku bawa kasihmu hingga hujung nyawa,

Ibu, perginya dirimu aku derita,
Kerana kasihmu ibu sudah tiada,
Apa lagi yang akan ku pinta,
Selain berserah pada Yang Esa.

Anakmu Yang Merinduimu
Intan Suhaila Sofiyan
Aku karangkan bait-bait puisi yang ringkas untuk kenangan. Sesungguhnya kasih sayang seorang ibu memang sukar di ganti. Dialah ibuku dunia dan akhirat.

                                                        ~TAMMAT~         
Nota : Al-Fatihah buat arwah ibuku, Tom Binti Isa. Juga buat arwah ayahku, Salleh Bin Shafie. Tak lupa buat arwah abang ipar yang membesar dan menyekolahkan aku, Md Desa Bin Awang Kechil. Juga buat arwah ayah mertuaku, Yusop Bin Kasim. Al-Fatihah juga untuk emak mertuaku, Romlah Binti Kassim, semoga Allah panjangkan usianya dan diberi kesihatan yang baik. Tak lupa juga buat kakakku yang memberikan aku kasih sayang sejak aku tinggal bersamanya hingga aku bergelar seorang isteri, Ruhani binti Mustafa. Tanpa mereka semua, aku dan suami mungkin takkan wujud di atas dunia ini. Hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya. Sebagaimana mereka memberikan kami kasih sayang, begitu jugalah harapanku, mudah-mudahan Allah ampunkan dosa mereka dan merahmati mereka. Yang telah pergi, semoga mereka aman di alam barhzah sana. Yang masih hidup, semoga Allah beri kesempatan untuk terus beramal ibadah dengan sempurna. Aamiin Ya Rabbal Alamin..

ANUGERAHMU ILAHI



         Pedih yang teramat sangat. Sedang leka aku menaip sebuah cerita dan ketika idea sedang mencurah-curah, aku terpaksa berhenti dari terus menulis. Arghh...tensionnya!

Ya Allah! Ujian apakah ini? Kenapa aku terus-terusan diuji olehmu? Tak layakkah untukku menikmati apa itu nikmat kejayaan? Andai ini takdirMu Ya Allah, aku hanya mampu pasrah.

        Aku berdoa disubuh yang kudus. Memang, selama ini aku tak pernah lagi merasa apa erti kejayaan. Apa saja yang aku cita-citakan, tak pernah tercapai. Ada saja halangan yang mendatang.

       Usai solat, aku lakukan tugas-tugas harian. Kadang-kadang membosankan, bila hari-hari terpaksa melakukan kerja yang sama berulangkali. Aku bukan dilahirkan sebagai insan yang kuat dan sabar. Aku selalu kalah dalam pencaturan hidup yang diatur oleh Yang Maha Esa. Air mata seringkali menemani hidupku ini. Kadang-kadang aku ingin beralah saja dengan kehìdupan, tapi aku masìh mampu memotivasikan diri sendiri.

         _Berbahagialah hati kerana Allah mengujimu bukan untuk menyakiti tapi Allah mengujimu untuk memberimu kehidupan yang lebih baik_

         _Tenanglah wahai jiwa. Doamu mungkin tak termakbul hari ini, tapi pasti akan termakbul suatu hari nanti. Siapa tahu, ketika itu kejayaan akan datang bergolek. Tunggulah saat itu tiba_

           Bila bosan dan tertekan aku akan cari altenatif lain untuk menghiburkan hati. Aku punya seorang anak saudara yang cukup sporting dan memahami. Setiap kali tertekan, aku akan cari dia. Kami akan bermesej hingga lewat malam. Dialah buah hati pengarang jantungku.

aku~hai syg,dah tido blum,boringlah jom borak2~

        Aku hantar mesej padanya kala aku tiada berteman. Dan aku perlukan perkongsian jiwa yang tertekan.

dira~blum tido la syg,boleh aja,jom borak sampai pg;)~

aku~ko tak kerja ker esok?~

dira~kerja la syg tp syg punya pasal tak kisahlah,lautan api pun sanggup direnangi~

aku~cehh..ayat power wa ckp lu~

dira~power apa? Power rangers ker syg?~

aku~taklah power root;)~

dira~tu dah jd iklan dah tu,brapa dpt sejam~

aku~beribu2 juta~

dira~wah! Kaya tu~

aku~apasal pulak kaya,beribu2 juta perkataan ja;p~

dira~adehh..terkena lg~

           Begitulah, kami akan bermesej hingga hati aku jadi lega. Kadang-kadang aku khatamkan novel-novel aku yang tersimpan di rak buku. Biar beribu kali aku baca aku tak pernah rasa jemu kerana membaca juga adalah hobiku. Bagus membaca ni, banyak ilmu yang akan kita kongsikan. Aku tak banyak berjalan dan pengalamanku amat terhad. Tersangat-sangat, jadi melalui apa yang aku baca itulah aku kongsikan bersama.

        Bila ada masalah yang aku rasa tak dapat dikongsi kerana aku rasa terlalu peribadi, aku akan tuliskan di atas kertas. Berjela-jela. Berkajang-kajang. Aku akan luahkan semuanya, hingga minda aku jadi kosong. Hingga jiwa aku jadi tenang. Selepas aku rasa lega, aku akan koyak-koyakkan. Aku akan bakar. Masukkan dalam sebaldi air dan curahkan saja. Seolah-olah segala masalah atau tekanan yang membelenggu diri akan hilang begitu saja. Memang terasa lega selepas itu.

            Untuk membuat diri rasa tenang, segala masalah harus diköngsi. Selagi kita terus memendam perasaan, otak akan bertambah rungsing. Sesak, bagaikan ada sampah sarap dalam kepala. Usah disimpan. Ayuh, buangkan segala masalah yang menjerut diri, agar hati yang terluka terubat kembali. Kuatkan motivasi diri, dan sama-samalah berkongsi isi hati. Agar hati dan diri menjadi ceria kembali.

         "Abang…petang ni nak berbuka makan apa ya?" Suamiku pandang semacam.

         "Sayanggg,..baru pukul 8.00 pagikan?" Aku tersenyum. Awal lagi ke? Aku lupa pula, lepas sahur tapi aku tak tidur balik. Tu pasal rasa macam lambat saja masa berjalan.

         "Abang dah nak pergi kerja ke?"

        "Kerjalah sayang,.nak pergi mana lagi." Aku bangun dan menyalami suamiku.Aku cium tanganya setulus hati. Aku hadiahkan juga ciuman azimat di pipi kiri dan kanannya dan suamiku membalas dengan ciuman kasih di dahiku. Suamiku Syurgaku. Bisikku di dalam hati.
            Ya Allah, dalam beratnya ujian yang kau turunkan untukku, rupa-rupanya, nikmatnya lagi banyak yang aku nikmati. Cuma, aku seringkali pejamkan mata hati untuk tidak melihat nikmat yang kau berikan itu. Betapa baik suami yang Kau berikan padaku. Kasìh sayangnya bukan sedikit untuk aku dan anak-anak. Aku bersyukur padaMu kerana menganugerahkan aku suami sebaik dia.

**************TAMMAT*************
p/s;Kita selalu nampak derita tapi nikmat bahagia itu kita buat-buat lupa.