Jumaat, 5 Ogos 2016

Sesat Di Jalan Terang ( Edisi Raya )



          ‘’ABANG, mangkit bang. Dah sayup ni, satgi habih pulak masa nak soq.’’ Nurul menepuk perlahan-lahan belakang Amirul yang masih nyenyak tidur. Nurul sudah bangun seawal pukul 3.00 pagi untuk memasak. Hari ini mereka akan mula berpuasa. Sudah tiga tahun Nurul dan Amirul bernikah dan sekarang Nurul sedang mengandung lagi, anak kedua mereka. Seperti mana kandungan pertama, Amirul yang alah teruk, begitulah dengan kandungan kedua ini, Amirul juga yang terseksa menahan alahan.

             ‘’Kepala abang masih pening ni. Kalau abang tak soq pun takpa kot. Abang nak niat saja.’’ Amirul bersuara, sedangkan matanya masih dipejamkan. Dia menarik selimut dan menutup seluruh tubuhnya.

              ‘’Mangkitlah bang, kalau tak lalu nak makan, abang minum pun takpa dah. Makan kurma pun boleh. Mangkit makan soq pun dapat pahala tau. Allah sayang kita semua, sampaikan kita makan pun dapat pahala, tapi kita..nak mangkit makan pun segan.’’ Nurul cuba memujuk Amirul. Dia tak mahu terus mengalah. Dalam keadaan macam sekarang ni, Amirul perlu makan untuk bertenaga esok hari. Lebih-lebih lagi, Amirul yang tak berapa sihat sejak kebelakangan ini. Asyik muntah-muntah dan pening-pening.

             ‘’Abang bukan segan Nurul. Abang betul-betul pening ni. Nurul pergilah makan. Abang nak tidur lagi...’’ Amirul masih memberikan alasan. Mata terus dipejam. Kata-kata Nurul langsung tak berbekas di hatinya. Nurul serba salah sekarang ni. Dia tahu, Amirul tak sihat, tapi dia tak boleh berlembut dengan Amirul.

               ‘’Abang..cepat mangkit bang! Dunia dah nak kiamat. Langit dah bergulung nu..cepat bang!’’ Nurul mendapat ilham untuk mengejutkan Amirul. Dia tahu sangat, sejak akhir-akhir ini Amirul terlalu obses dengan setiap artikal pasal kiamat.

                ‘’Haaa..cepat Nurul, pergi ambil wuduk, kita buat solat sunat. Biar kita mati dalam iman..’’ Amirul terus melompat bangun dari katil dan menarik tangan Nurul dengan pantas. Bibir Nurul sudah tersenyum kemenangan. Amirul yang masih mamai, terus bergegas keluar dari bilik dan menarik Nurul turun ke bawah. Nurul menahan tawa.

              ‘’Mirul..dah mangkit pun. Mai kita makan soq..’’ ibu Nurul yang melihat Amirul dan Nurul menuju ke dapur terus memanggil. Adik-adik Nurul yang lain sudah mula menyuap, walaupun masih ada yang malas untuk membuka mata. Macam-macam gelagat yang mereka tunjukkan di meja makan.

              ‘’Makan soq apa mak? Dah nak kiamat ni..’’ Amirul bersuara tegas dan terus melangkah laju menuju ke bilik air. Nurul mengeraskan diri dan berhenti melangkah.

               ‘’Tadi pening sangat. Laju pulak abang jalan. Tak kiamat lagi, jom kita makan soq dulu. Satgi habih waktu..’’ Nurul pula menarik tangan Amirul menuju ke meja makan. Amirul masih tercengang dan cuba mencerna mindanya.

              ‘’Nurul...’’ Amirul bersuara geram. Dia baru tersedar, dia sudah diperdaya. Nurul sudah tergelak dan serentak dengan itu tangannya sudah menarik kerusi untuk dirinya dan untuk Amirul. Mereka duduk dan mula mengadap hidangan. Amirul menutup hidung sebaik dia duduk dan mula menghidu masakan di depannya.

              ‘’Abang tak bolehlah. Abang meloya..abang niat sajalah. Tak mau makan apa-apa.’’ Sambil berkata, Amirul mula bangun dan ingin melangkah. Nurul memandang Amirul dengan pandangan kosong. Ikutkan sangat perut meloya dia tu, esok mesti mengadu letih dan sebagainya. Nurul berceloteh di dalam hati.

              ‘’Abang tak payah masuk tidur balik. Abang pi depan, satgi Nurul bawa kurma dengan ayaq untuk abang. Makan sikit, dari tak makan langsung. Mana nak mai tenaga dengan niat saja.’’ Nurul bersuara tegas dan mula menuang milo panas di dalam gelas untuk Amirul. Sepiring kurma juga disediakan untuk Amirul.

             ‘’Orang lain yang mengandung, orang lain yang alah. Hat nu tak boleh makan, hat ni tak boleh makan..habih tu nak makan apa? Mengalahkan orang mengandung pulak. Mak dulu pun tak teruk macam tu. Alah-alah mak pun, boleh jugak makan itu dan ini..’’ ibu Nurul berceloteh sambil mengeleng kepala.

               Dia hairan dengan Amirul. Alahan Amirul lebih teruk dari wanita yang mengandung. Yang hairannya, makanan yang busuk seperti sambal belacan, jering, petai dan durian, boleh pula dia makan. Sejak akhir-akhir ini, Amirul sudah ketagih dengan budu pula. Cuma, Amirul alah dengan masakan tumis seperti gulai dan masak cabai. Selalunya, kalau makanan tu direbus atau dibakar, boleh pula Amirul jamah.

....................................

           ‘’Assalamualaikum pak cik..’’ Amirul memberi salam kepada seorang lelaki yang ditemuinya di depan kedai makan warga cina.

              ‘’Haa..awatnya?’’ tanpa menjawab salam Amirul, lelaki tadi menyoal Amirul dengan suara yang agak kasar.

             ‘’Pak cik buat apa dalam kedai makan cina ni?’’ macam orang yang suka menyibuk, Amirul bertanya tanpa rasa bersalah.

           ‘’Lahh..kedai makankan? Aku makan la, takkan menyanyi pulak.’’ Lelaki tadi menjawab dengan angkuhnya. Amirul tergeleng perlahan.

             ‘’Sekarangkan bulan puasa pakcik. Lagi pun, pak cik tak rasa apa-apa ke masuk dalam kedai non muslim ni? Kitakan orang Islam pakcik..’’

            ‘’Hei..hang ni sapa, nak ajaq aku? Jangan kurang hajaq dengan aku. Aku dah lama makan garam. Aku tau la mana yang boleh, mana yang tak boleh. Ingat aku ni bodoh sangat ka, tak tau la ni bulan posa? Kubur asing-asing la..’’ belum habis lagi Amirul meluahkan apa yang dirasa, lelaki tadi sudah bertempik kasar. Tersentak Amirul seketika.

           ‘’Bukan macam tu pak cik..’’

             ‘’Dah, dah..aku takdak masa, nak dengar ceramah free hari ni, aku balik tidoq lagi syoq..’’ lelaki tadi memotong percakapan Amirul sekali lagi.

             ‘’Pak cik! Kubur memang asing-asing pak cik, tapi saya takut nanti kita berjiran pulak bila dah mati. Tak tenang pulak saya nanti, bila masuk kubur pun asyik dengar pak cik bertempik. Betul sangat tu, pak cik makan garam dulu dari saya, tu yang saya takut pak cik kena tekanan darah tinggi, tak sempat pula nak bertaubat nanti..’’ dengan beraninya Amirul bersuara bila melihat lelaki itu sudah mula melangkah untuk berlalu pergi.

              ‘’Hang tu sapa? Ingat, hang dah posa, dah sembahyang, hang tu baik sangat ka?’’ lelaki tadi berhenti melangkah dan menuding jari tepat ke muka Amirul. Amirul hanya tersengeh dan menolak jari lelaki itu perlahan-lahan dan bersedia dengan hujah yang seterusnya.

             ‘’Saya tau pak cik, cara saya ni salah. Sepatutnya, saya tak tegur pak cik di depan umum. Jom pak cik, kita pergi masjid di depan tu..kita buat solat Asar berjemaah. Selepas tu kita bersembang secara aman. Boleh tak pak cik?’’ Amirul cuba berlembut. Dia tahu, dia masih muda dan tak layak menegur lelaki itu. Amirul juga tahu, cara dia salah. Cuma, dia nekad untuk menegur, demi kebaikan bersama. Tak salah pun berkongsi ilmu, yang salah, kalau kita kedekut ilmu.

              ‘’Hang tau dak, Imam masjid tu tegur aku pun, aku tak layan. Inikan pula budak berhingus macam hang ni. Dahlah..tak payah buang masa hang. Aku dah kata kubur asing-asing. Hang jangan bimbang la, kita takkan berjiran bila mati esok..’’   lelaki tadi masih bersuara angkuh. Beristighfar Amirul tanpa sedar. Kepalanya sudah tergeleng lagi.

             ‘’Pak cik tau ka, bila pak cik nak mati? Pak cik tau ka, bila dan di mana pak cik akan dimatikan? Pak cik tau ka, di mana pak cik akan ditanam? Semua tu hanya Allah yang tahu pak ci. Saya sedar, saya masih muda, tapi..sekurang-kurangnya saya takut mati pak cik. Saya takut dengan azab kubur, apatah lagi azab dibaham api neraka. Pak cik macam mana pula? Tak takut ka?’’ bertubi-tubi soalan yang Amirul ajukan untuk lelaki tua yang tak dikenalinya itu. Lelaki itu berjeda seketika, sebelum matanya dibuntangkan. Wajahnya berubah menjadi berang dan menyinga. Amirul masih berdiri di depan lelaki itu tanpa berganjak sedikit pun.

                 ‘’Aku dah 65 tahun hidup tau! Kawan-kawan aku semua dah mati, ada yang tengah nazak la ni. Aku sorang saja yang masih kuat. Hang apa tau! Aku takkan mati lagi la.’’ Semakin angkuh bunyinya. Amirul menghela nafas berat. Sukarnya untuk melentur buluh yang sudah tua. Tak makan saman pula tu. Hati Amirul berceloteh di dalam.

              ‘’Pak cik taukan, sehari di akhirat esok lamanya bersamaan dengan seribu tahun di dunia, jadi..ini bermakna pak cik hidup atas dunia ni sejam lebih sikit saja. Hidup atas dunia ni sat sangat pak cik. Tak lama mana pun, yang kita rasa lama tu sebab kita tak pernah takut dengan mati dan kita sentiasa ingat kita akan hidup untuk selamanya. Itulah masalah kita...’’ belum lagi habis Amirul mengungkapkan kata-katanya, lelaki tua itu sudah melangkah pergi. Terkebil-kebil Amirul memerhatikan langkah lelaki itu yang semakin jauh darinya.

           ‘’Sapa pak cik tu? Abang kenai ka? Abang sembang apa dengan dia?’’ Nurul yang memerhatikan Amirul dari jauh tadi sudah berada di sebelah Amirul. Kadang-kadang Nurul hairan dengan Amirul. Sesiapa saja yang dia jumpa, dia akan tegur dan berbual ramah. Macam dah kenal lama sangat.

               ‘’Abang tak kenal pun. Abang nampak pak cik tu baru keluar dari kedai makan tu..’’ sambil menudingkan jarinya ke arah kedai makan cina berhampiran mereka Amirul bercerita.

                ‘’Abang kesian kat pak cik tu, uban dah penuh atas kepala, tapi masih tak reti nak puasa lagi. Bila abang tegur dia, senang saja dia cakap, kubur asing-asing. Setiap kali abang tegur orang, itu jugak jawapan yang mereka beri. Kubur asing-asing..hurmm..’’ Amirul menghela nafas berat selepas habis ungkapan kata-kata hatinya diluahkan.

               ‘’Yang abang tu nak busy body tak tentu pasal, awatnya? Biaq pi kat depa la..abang rajin sangat dok tegur orang, abang tu betoi ka dak lagi? Perbetulkan diri abang tu dulu. Dok menyibuk hal orang buat apa? Nurul ni bukannya apa, salah tegur satgi, kot penumbuk naik ke muka kot. Lebam mata abang tu satgi, pandai-pandailah, abang caqi ubat boh sendiri naa..’’ giliran Nurul pula memberikan hujah sambil menjeling Amirul.

              ‘’Abang tau. Abang sedar diri, abang ni pun belum cukup ilmu lagi untuk menegur orang lain, tapi tak salahkan, kalau abang cuba nak buat yang terbaik. Bila kita dah ada sedikit ilmu, kita bahagikan ilmu yang kita ada tu dengan orang lain. Jangan nak bolot semua pahala dan plan nak masuk syurga sorang-sorang. Semua manusia atas muka bumi ni hamba Allah macam kita jugak. Lebih-lebih lagi yang beragama Islam. Mereka semuanya saudara kita. Sebagai saudara seagama, kita haruslah menegur mana yang salah. Kan?’’

                    Amirul cuba pula mematahkan hujah Nurul, sambil tersenyum manis. Nurul mencebik perlahan. Tak kena habuan, tak apalah. Nurul berdialog di dalam hati.

             ‘’Yalah tu..jomlah kita balik. Nurul nak masak pula selepas ni. Letih sangat dah, lagi pun..Aniq tu bukannya boleh, kena tinggal lama-lama. Cari kita tak jumpa satgi, mula la nak meraung sakan.’’ Nurul mengalah juga akhirnya, sambil mengajak Amirul pulang ke rumah. Anak sulung mereka Mohammad Aniq sengaja ditinggalkan kerana keadaan mereka yang tak mengizinkan mereka untuk membawa Aniq bersama. Dalam keadaan Nurul yang sedang sarat mengandung anak ke-2 mereka dan keadaan Amirul yang masih pening-pening lalat itu, mana mungkin mereka dapat mengawal Aniq yang semakin lasak sejak akhir-akhir ini.

..............................

             Lagi beberapa hari semua umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, Amirul pula sedang terlantar di katil hospital akibat dibelasah beberapa orang remaja yang sebaya dengannya. Semuanya, gara-gara Amirul yang terlalu ramah menegur orang tentang kesalahan mereka.

              Dua minggu selepas puasa, Amirul terserempak dengan Aidil sedang keluar dari sebuah restoran dengan bekas makanan di tangannya. Amirul memerhatikan saja gelagat Aidil dari jauh, hinggalah pada penghujung Ramadhan, dia mengekori Aidil dalam diam.

           Amirul sampai di sebuah pondok di dalam kebun getah milik orang kampung. Dia masih mengintai Aidil dan beberapa orang rakannya yang sedang berpesta. Bukan sekadar makan siang di bulan puasa. Mereka juga sedang berjudi dan bertaruh. Amirul mengelengkan kepala sebelum keluar perlahan-lahan dari tempat persembunyiaannya.

             ‘’Assalamualaikum..’’ salam diberi sambil bibir Amirul mekar dengan senyuman. Kononnya nak ambil hati remaja-remaja ini dengan senyumannya, tapi.. sebaliknya yang terjadi. Remaja-remaja yang sedang rancak makan sudah terkejut dan memandang Amirul dengan renungan tajam.

               ‘’Hang ni sapa? Hang mai buat apa tang ni?’’ salah seorang dari enam orang remaja menyoal Amirul dengan suara kasar.

            ‘’Nama saya Muhammad Amirul Mukminin Bin Haji Alyas Taha, maafkan saya kerana menganggu acara hampa semua. Nak tanya ni, awat yang hampa semua ni tak posa? Hampa muda lagikan, bukannya uzur pun. Kuat lagi, budak-budak kecik pun, ramai yang boleh posa. Ramai yang boleh tahan lapaq, takkan hampa yang dah besar panjang ni, tak tahan lapaq kot?’’ dengan lurus bendulnya Amirul memperkenalkan diri sambil memulakan mukadimahnya. Itulah, tujuan asal Amirul mengikut Aidil hingga masuk ke kebun getah ini.

                    ‘’Oooo...Mohammad Amirul Mukminin Bin Haji Alyas Taha. Sedap nama hang. Sapa boh? Mak hang boh ka, ayah hang yang boh? Aku Mohammad Hambali Bin Lebai Man, ayah aku tok Iman masjid pekan nu. Tapi, orang kampung pangge aku Li..kawan-kawan aku pangge Am, tapi Hamba Li ni nak habaq kat hang, aku paling tak suka orang menyibuk hal aku, lebih-lebih lagi, orang yang suka berlagak baik macam hang ni.

                Kalau tak salah aku, hang ni menantu Mak teh Diahkan? Laki Nurul tu, yang aku heran tu, Nurul tu dok sekolah lagi, hampa dah kena nikah. Pasai pa? Hampa dah terlajur ka? Ish, ish..hang sendiri pun tak betoi lagi, nak perbetoi orang. Hang suluh diri hang dulu..’’ remaja yang memperkenalkan dirinya sebagai Hambali menyoal Amirul kembali. Berdesing telinga Amirul mendengarnya, kerana kata-kata Hambali itu adalah kenyataan yang sukar dinafikan lagi.

              ‘’Tak baik tau, saudara buat serkap jarang macam tu. Kalau didengar orang dan menjadi buah mulut orang ramai, kan jadi fitnah pulak nanti. Saya ni berniat baik, bukan nak mengajar saudara dan kawan-kawan saudara. Kita ni saudara seagama, saya menegur pun sebab kesiankan saudara dan kawan-kawan saudara. Kita tak tahu, umur kita ni sampai bila. Saudara mahu ke..kalau...’’

              Belum habis Amirul mengungkapkan kata, sebiji penumbuk sudah mendarat di tepi bibirnya. Berganjak juga tubuh Amirul selangkah ke belakang. Terkesima dia seketika dengan tumbukan padu yang tak disangka. Kenapa dan mengapa? Soalan itu yang sedang berligar di fikirannya ketika ini.

                ‘’Di antara kita semua, hang yang akan mampus dulu, kalau hang tak sayang mulut hang. Ehh..mak dengan ayah aku pun tak penah berletiaq macam hang kat aku tau. Mulut hang tu mengalahkan mak nenek. Serabut aku dengaq, hang tau dak?’’ Hambali bersuara lagi dan tangannya masih digengam kejap. Sepatah lagi kata yang keluar dari mulut Amirul, nahas Amirul dikerjakannya nanti. Hambali berbisik di dalam hati.

             ‘’Saya tau, saya pun kurang ilmu lagi. Saya sedar, diri saya pun tak sempurna, sebab itulah saya nak tegur saudara-saudara semua. Kita ni..’’ sekali lagi, Amirul tak dapat menghabiskan kata-katanya. Hambali mengamuk untuk kali kedua. Kali ini tumbukan Hambali mengenai perut Amirul pula. Terduduk Amirul menahan rasa sakit dan ketika inilah Amirul mula rasa perutnya mual dan kepalanya kembali pening. Amirul tidak sedar diri selepas itu. Apa yang Amirul tahu, dia sudah terlantar di atas katil hospital.

 .......................................

             ‘’Amirul..macam mana hari ni? Rasa okey sikit ka?’’ Mak Teh Diah menyapa Amirul yang sedang berangan-angan kosong di atas katil seorang diri. Hari ini hari ke- 3 dia dimasukkan ke Hospital Yan ini.

             ‘’Alhamdulillah, okey sikit, cuma perut Mirul ni saja masih rasa mual lagi.’’ Amirul menjawab jujur. Isterinya Nurul sudah sarat mengandung, sudah hampir ke tarikh untuk melahirkan anak ke-2 mereka, tapi alahan Amirul masih berterusan lagi.

           ‘’Sabarlah Amirul. Nurul tu tak lambat dah nak beranak. Keluar anak tu satgi, lega la mual Mirul tu.’’ Mak Teh Diah cuba memujuk menantu sulungnya. Kadang-kadang terasa lucu juga di hatinya bila melihat keadaan Amirul. Adakalanya timbul juga rasa simpati melihat nasibnya.

              ‘’Nurul tak datang ke ibu?’’ teringat akan isterinya, Amirul bertanya lagi. Jawapan dari ibu mertuanya ditunggu dengan sabar.

               ‘’Mai, satgi dia masuk la tu. Dia dok tunggu ummi dengan abah Mirul. Depa mai jugak..’’ Mak Teh Diah menjawab tenang sambil memandang wajah Amirul dan menarik kerusi di sebelah katil lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi.

              ‘’Ohh...’’ sepatah kata saja yang keluar dari bibir Amirul sambil menghela nafas. Sudah dapat dibayangkannya, dia bakal ditauliahkan oleh Haji Alyas Taha sebentar lagi.

           ‘’Assalamualaikum..’’ Amirul menoleh pantas apabila mendengar salam. Dia baru saja nak membayangkan wajah ummi dan abahnya, kini mereka berdua sudah ada di depan matanya. Amirul mencari pula wajah Nurul yang nampak agak keletihan. Lelah pula Amirul melihat wajah Nurul yang semakin sarat itu. Kesian isterinya, umur baru 21 bakal menjadi ibu pada dua orang anak mereka. Apa bezanya dia, Amirul sendiri pun masih muda lagi dan harus menyambung pelajarannya lagi selepas ini.

            ‘’Waalaikumusalam..’’ Mak Teh Diah menjawab salam bisannya sambil bangun dan bersalaman dengan Hajjah Mastura. Haji Alyas Taha berdiri di tepi katil Amirul dan turut bersalaman dengan Amirul. Sambil itu kepala Haji Alyas tergeleng berkali-kali.

              ‘’Macam mana sampai boleh masuk hospital pula ni? Teruk sangat ke alahan sambil berpuasa? Atau..masuk hospital sebab lain?’’ mukadimah Haji Alyas membuatkan hati Amirul bergetar sejuta rasa. Dia sudah bersedia untuk mendengar ungkapan seterusnya dari Haji Alyas, yang mungkin juga sudah bersedia untuk mentauliahkan dirinya.

              ‘’Tak adalah abah. Masuk hospital ni ada orang jaga.’’ Amirul cuba berseloroh sambil tersengeh. Hajjah Mastura pula yang membuntangkan matanya.

           ‘’Bijak sangatlah tu. Masuk hospital ada orang jaga? Tak fikir ke dengan Nurul yang tengah sarat ni? Nak bawa anak dalam perut lagi. Nak jaga anak kecil lagi. Nak siapkan persiapan untuk raya lagi.’’ Hajjah Mastura mula berleter sambil mengelengkan kepalanya.

            ‘’Alaa..Mirul pun tak mahu masuk hospital ni ummi. Kalau dah takdir, nak buat macam mana.’’ Amirul cuba membela diri dan memandang sayu wajah umminya, kemudian renungannya beralih ke arah Nurul untuk meraih simpati. Mana tahu, Nurul akan membela dirinya dari diasak oleh kedua orang tuanya sendiri.

            ‘’Abang Mirul memang sengaja caghi nahas ummi. Sapa yang dia jumpa tak posa, semuanya dia tegur, tak kiqha tua ka muda. Ni pun sebab nak tunjuk baik la ni. Abang Mirul ikut budak-budak kampung yang tak posa masuk hutan getah, lepas tu bagi ceramah free kat depa.’’ Nurul mencelah dan menjeling tajam ke arah Amirul yang juga sedang merenung tajam ke arahnya. Amirul menahan geram, lain yang dia harap, lain pula yang terjadi. Ingatkan Nurul nak bela nasibnya, tapi sebaliknya pula yang berlaku.

           ‘’Mirul, Mirul..diri sendiri pun tak betul lagi, nak betulkan orang lain pulak? Nak nasihatkan orang ni ada caranya Amirul, bukan boleh main terjah saja. Manusia ni, kena ambil hati dia dulu, baru boleh ajak dia buat kebaikan. Hidayah itu milik Allah Mirul. Kalau betul pun Mirul nak tengok semua orang jadi baik, tak payahlah nak tunjuk baik sangat depan orang. Doa Mirul. Berdoa kepada Allah untuk orang-orang yang Amirul rasa mereka dah tersasar haluan. Berdoa selalu kepada Allah, agar Allah bukakan pintu HidayahNYA untuk mereka. Kita yang dok buat amalan siang dan malam ni pun belum tentu lagi amalan kita diterima.’’

                Mukadimah seterusnya Haji Alyas buat Amirul mengunci bibirnya. Dia mengangguk dalam diam. Benar juga kata Haji Alyas tu, Amirul memang tak pernah terfikir pun sebelum ini. Dia cuma nak menegur dengan niat nak perbetulkan keadaan. Tak pernah pula terduga, keadaan akan menjadi semakin parah hingga dia sendiri akan terlantar di hospital seperti ini.

                ‘’Nurul pun dah sarat benar ni, bila DUE?’’ Hajjah Mastura menukar topik perbualan mereka. Dia tahu Amirul bersalah, tapi tak perlulah terus dipersalahkan. Tak ada manusia yang sempurna di atas muka bumi ini. Semua orang akan buat silap. Itu yang difikirkannya.

                ‘’Minggu depan ummi, tapi lagi tiga hari dah kena masuk wad.’’ Jawab Nurul sambil mengusap perutnya yang sudah bulat dan mula mengeras. Macam nangka tua yang hampir masak saja.

                ‘’Tak lambat dah ni..’’

                 ‘’Tak lambat dah ummi, harap-harapnya..abang Mirul juga yang akan tanggung sakit macam Nurul lahirkan Aniq dulu.’’ Nurul membalas kata Hajjah Mastura sambil mengulum senyum dan mengerling Amirul yang sudah merenung tajam ke arahnya sekali lagi. Tak lama selepas itu wad terus bergema dengan ketawa Haji Alyas, Hajjah Mastura, Mak Teh Diah dan Nurul sendiri. Teringat mereka dengan kejadian Nurul melahirkan anak sulungnya membuatkan mereka ketawa serentak. Hanya Amirul yang berwajah masam. Kena lagi. Hatinya berdongkol geram.

.................................

                        Takbir raya bergema di merata pelusuk alam. Bergema di dalam tv dan radio. Hari ini seleuruh umat Islam menyambut hari kemenangan setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadhan dan kini bulan Syawal berganti mengambil alih. Siapa yang penuh puasanya dan melakukan banyak amalan sunat di bulan Ramdhan pasti sangat berpuas hati. Rugilah bagi pihak yang tidak melakukan apa-apa amalan, malahan yang wajib pun banyak ditinggalkan. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui segalanya. Walaupun bukan amalan itu penentu Syurga dan Nerakanya kita, tapi Allah tahu apa yang tersurat di dalam hati kita semua.

             Rumah Nurul riuh rendah dengan kehadiran saudara mara dan rakan-rakannya. Tahun lepas Nurul dan Amirul sudah beraya di rumah keluarga mertuanya. Tahun ini giliran Nurul pula untuk beraya di rumah keluarganya sendiri. Sebagai anak sulung, Nurul ingin membahagiakan ibu dan adik-adiknya.

                  ‘’Hang tak payah dok kalut sangat Nurul oii. Hang duduk la diam-diam. Perut dah memboyot macam tu pun dok kalut lagi nak buat gheja. Takpa, kami bukan nak mai makan sangat pun. Kami nak mai melawat hang saja.’’

                    Samirah bersuara ramah menghalang Nurul yang sibuk menyediakan mereka makanan. Kesian pula dia melihat keadaan Nurul yang sedang sarat itu. Tak sangka, tukang kebun mereka itu rupanya suami Nurul dan sekarang bila Nurul sudah melanjutkan pelajaran di USM, suaminya Amirul pula akan melanjutkan pelajarannya kembali. Itulah yang Nurul ceritakan kepada Sumirah sahabat baiknya.

                   ‘’Adatkan..tetamu harus dilayan. Hang jangan bimbanglah Samirah, aku tak beranak tang ni aih.’’ Nurul membalas kata sambil duduk dan menuangkan air untuk bekas rakan-rakan sekolahnya yang datang bertandang.

                     ‘’Lepas ni hang kena bercuti lama noh, tu la gatai sangat nak nikah awai. Tengok kami ni, enjoy lagi.’’ Maya pula mencelah sambil tergelak. Sengaja dia berkata begitu untuk mengiat Nurul yang nampak agak letih dan kepenatan.

                ‘’Hang jeles tak habaq. Okey apa, nikah awai. Dok belajar lagi anak dah dua, esok bila aku dah habih belajar, anak dah besar, lagi pun bila penat dan lelah belajar, tengok muka anak-anak boleh hilang semua penat aku. Hang tak percaya, hang try nikah awai dan beranak tengok. Best hang tau bila dah ada anak dan laki ni..’’ Nurul tak mahu mengaku kalah. Dia sengaja pula memprovokasikan teman-temannya pula. Mereka sudah mencebikkan bibir melihat keceriaan wajahnya yang sedang bercerita.

                   ‘’Apa yang best sangat tu? Cer ceta sikit.’’ Samirah menyoal nakal dan menjungkitkan keningnnya berkali-kali. Nurul sudah tergelak kerana dia tahu apa maksud soalan Samirah itu.

              ‘’Tentulah best ada laki. Aku mengandung, dia yang mabuk teruk. Aku nak beranak, dia yang sakit. Aku cool saja.’’ Nurul menjawab pertanyaan Samirah dengan suara bersahaja, sambil itu matanya mengeling sekilas ke arah Amirul yang berada di ruang depan bersama adik dan saudara maranya yang datang bertandang.

                 ‘’Hang ni biaq betoi Nurul. Pasai pa pulak jadi macam tu? Takkanlah..’’ Maya menyoal sambil matanya meratah wajah Nurul mencari kepastian. Tak pernah lagi dia dengar cerita sebegitu.

                  ‘’Nak buat macam mana, laki aku tu dah sayang overdos kat aku. Kenalah dia tanggung semua tu, lagi pun aku boyot macam ni pun sebab dia jugak. Mana aci, aku sorang ja yang dok tanggung semua.’’

                    Nurul terus berkata angkuh. Sengaja membakar hati rakan-rakannya. Samirah dan Maya sudah memandang Nurul tanpa berkelip, begitu juga dengan Anis yang baru tahu tentang keadaan Nurul yang bakal menimang anak ke-2. Anis memang tak pernah tahu bahawa Nurul sudah berkahwin.

                  Samirah pun tahu bila Nurul hampir melahirkan anak pertamanya dulu. Itu pun sebab Nurul sakit nak bersalin di depannya. Perut Nurul ketika mengandungkan anak sulungnya taklah sebesar ini. Maya pula hanya tahu selepas Nurul melahirkan anak kerana terserempak dengan Nurul di hospital bila dia melawat ibu saudaranya yang bersalin di dalam wad yang sama Nurul dirawat.

                      ‘’Amboih..buat ayat tak boleh blah nampak. Bertuahlah hang, laki sayang. Lepas ni hang kena tunda belajar noo? Tunda satu semesta, tu ruginya nikah awai, ketinggalan di belakang.’’ Maya masih cuba mencari kesalahan dalam topik mereka. Nurul hanya tersengeh saja mendengar kata-kata Maya itu.

                ‘’Tak pa aih, tunda satu semesta ja. Aku ada sorang sepupu yang dah berumur, dok belajar lagi. Lepas keluar U, dia buat Master, habis Master buat PHD pulak. Nak belajar ni boleh saja, kalau nak. Tak kira dah nikah ka belum, masih tua ka muda, janji ada kemahuan. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.’’ Pandai pula Nurul membidas kata-kata Maya. Hatinya tersenyum puas kerana dapat menjawab kembali dan membuatkan rakan-rakannya terdiam lama.

                        ‘’Nurul...’’ tak semena-mena Amirul datang kepada mereka dan memanggil Nurul dengan wajah berkerut seribu. Wajahnya agak pucat dan berpeluh. Suaranya pun agak perlahan dan sedang memegang perutnya seakan sedang menahan sakit.

                    ‘’Awat?’’ Nurul bertanya sambil bangun.

                    ‘’Abang sakit perut. Nurul nak bersalin dah ka?’’ soalan Amirul membuatkan mulut Nurul ternganga luas. Dia tak rasa sakit pun, cuma sekadar rasa sengal-sengal di pinggang saja.

                ‘’Tak rasa apa pun, pinggang Nurul ja yang dok rasa senggal-senggal sejak subuh tadi. Sakit sangat ka bang?’’ Nurul bertanya bingung. Hatinya mula berdebar-debar dan dia mula terbayangkan bilik bersalin yang pernah dia masuk dua tahun lepas.

               ‘’Haa..sakit sangat. Semakin kerap ni, tadi lama-lama sekali, ni abang dah rasa lima minit sekali. Lebih baik Nurul bersiap sedia, kot tak sempat nak pi hospital pulak.’’ Dalam rasa sakit yang menyerang, Amirul berkata sambil terus menekan perutnya. Rakan-rakan Nurul sudah tercengang menyaksikan kejadian di depan mata. Sungguh, sukar nak percaya, tapi sudah terlihat di depan mata. Kalau macam ni punya cerita, beranak setahun seorang pun tak mengapa. Hati masing-masing berbisik nakal.

              ‘’Ooo..okey.’’ Nurul tak tunggu lama kerana dia pun tak mahu anaknya disambut oleh bidan terjun. Nahaslah nanti menanggung malu. Walaupun bukan dia yang teruk menanggung sakit tapi ketika anaknya mahu keluar tetap terasa seksanya. Kalau tak terasa apa-apa pun bahaya juga. Macam mana nak meneran untuk melahirkannya nanti? Cuma, bezanya sakit Nurul tak lama macam wanita lain.

                   Ada yang menangung sakit dua hari lamanya sebelum melahirkan. Ada yang meraung kerana tak sanggup menanggung rasa sakit. Nurul pernah saksikan sendiri di bilik bersalin. Ada wanita yang begitu sangat menderita kerana anak yang dilahirkan terlebih berat. Ada yang melahirkan anak seberat 5kg. Allahu Akhbar, sebab itulah Syurga di bawah tapak kaki ibu.

...................................

                    Bila suara bayi bergema, Nurul menarik nafas lega. Dia selamat melahirkan bayi perempuan yang hanya seberat 2.9kg. Hari bahagia buat Nurul sekeluarga. Keluarga mertuanya pun turut datang ke Kedah untuk menyambut bayi ke-2 Nurul dan Amirul. Wajah Amirul pun sudah mula nampak bersinar selepas puas menanggung seksa. Sakitnya, bagai nak tercabut nyawa. Tahun depan Amirul akan mula melanjutkan pelajaran lagi dan Amirul nekad untuk membenarkan Nurul berehat dan menumpukan tumpuan untuk pelajaran pula. Cukuplah sepasang anak yang mereka ada buat masa ini.

                   ‘’Nurul Aidila..’’ adik Nurul yang ke-2 memanggil bayi Nurul sambil tersenyum. Semua mata memandangnya dengan mata tak berkelip.

                  ‘’Nurul Aidila? Pandai-pandai saja nak boh nama anak orang? Kami dah ada nama la..’’ Nurul menyoal tak puas hati. Dia sudah berpakat dengan Amirul. Kalau dapat anak lelaki mereka akan namakan dengan nama Mohammad Anaqi sebab anak sulung mereka bernama Mohammad Aniq, kalau perempuan pula nak dinamakan dengan nama Nurul Aqilah.

              ‘’Alah..tu kalau kak Nurul beranak sebelum atau selepas raya, ni beranak hari raya kenalah boh nama Nurul Aidila, kalau lelaki Mohammad Aidil, kan abang Mirul. Sedap dak nama Nurul Aidila ataupun nak yang panjang sikit Nurul Aidila Fitriah..’’ Nurul Ain Nadia terus berkata yakin sambil memegang tangan kecil di depannya. Geram betul hatinya melihat bayi sekecil itu, rasa macam nak picit-picit saja pipi yang masih merah itu.

               ‘’Amboih..tunggulah hang beranak sendiri esok, boh la nama apa pun..’’ Nurul masih membantah sedangkan Amirul sudah mengangguk laju. Macam sesuai saja nama tu. Hati Amirul berbisik.

                 ‘’Nurul Aidila pun boleh.’’ Amirul mencelah sambil mengerling sekilas ke arah Nurul dan beralih arah ke arah bayi mereka yang sedang tidur lena. Nurul sudah mengetap bibir.

                ‘’Comeikan? Sebijik macam abah dia..’’ Amirul memuji bayinya sendiri sambil melebarkan senyuman.

              ‘’Eleh...perasan.’’ serentak Nurul dan Hajjah Mastura berkata seolah sudah berjanji. Seluruh wad sudah tergelak bila melihat wajah tak puas hati Amirul.

                ‘’Yolah..comei macam ibu dia.’’ Amirul terpaksa mengalah.

               ‘’Tau takpa!’’ Nurul membalas dan tersenyum manja. Semua mata memandang Nurul yang sedang berbaring di atas katil sebelum melebarkan senyuman melihat Amirul yang sudah mengibarkan bendera putih.

Walaupun Syawal dah berlalu, terimalah edisi raya ini sebagai bonus buat pembaca semua. Sebenarnya cerpen ini juga adalah permintaan dari seorang pembaca untuk menyambungnya, tapi..saya sengaja sambung sebagai edisi raya. Jangan Sesat Di Jalan Terang ya. Terima kasih kerana sudi singgah di sini.


                            ****************Tammat***********
Nota Cinta Buat Pembaca setia blogku: Sesat Di Jalan terang Edisi raya tammat di sini. Sesungguhnya hidup ini tak semudah yang kita duga. Jangan sangka kita dah baik bila melakukan semua suruhan Allah. Adakalanya kita akan tersasar arah juga, walau sedang berjalan di jalan terang iaitu jalan kebenaran dalam agama Islam. Satu-satunya agama yang benar di atas muka bumi ini. Beruntunglah kalau Allah sentiasa memimpin kita di jalan benar tapi berhati-hatilah kerana iblis sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan kita semua, keturunan Nabi Adam & Hawa.