Sabtu, 30 Mac 2024

Enchik Sempurna VS Cik Simple

Emak suruh aku balik ke kampung dengan kadar segera, katanya ada sesuatu yang telah berlaku di kampung dan ada kena mengena antara hidup dan mati. Allah, rasa macam nak terhenti saja jantung aku mendengarnya. Bila aku tanya kenapa dan mengapa, emak terus putuskan talian. Bila aku dail semula nombor telefon emak, panggilan aku tak berjawab. Mahu atau tak, terpaksa aku ambil cuti kecemasan. Aku selamat sampai di kampung dan jantung aku semakin laju berdenyut. Di halaman rumah kami ramai orang-orang kampung yang sudah berkumpul. Kenderaan memenuhi halaman rumah dan di kiri kanan jalan. Fikiran aku semakin buntu dan jantung aku terus bergetar hebat. Apa sebenarnya yang terjadi? ‘’Assalamualaikum..’’ aku memberi salam sebaik saja kakiku menjejak lantai. Semua mata memandang ke arahku. Wajah masing-masing serius tanpa riak. Ada mak ngah, mak su, mak lang, dan semua saudara maraku jauh dan dekat. ‘’Mak long! Nad dah sampai!’’ sepupu aku Azah melaung kuat dan aku melihat emakku terburu-buru keluar dan menghampiri aku. ‘’Masuk cepat! Kenapa tercegat lagi tu? Macam tak pernah tengok rumah.’’ Emak menyambut aku di muka pintu dan menarik tangan aku supaya masuk ke dalam rumah dengan segera. Aku masih bingung dan ingin bertanya namun lidahku kelu dan tak mampu untuk berfikir, soalan apa yang harusku tanya. ‘’Azah, kau bawa Nad masuk bilik dan siapkan dia cepat, rombongan sebelah sana dah on the way katanya tadi, mereka sampai karang, Nad ni masih serebeh lagi.’’ Mendengar saja kata-kata emak, langkah aku terus terhenti. Rombongan apa? Minda aku ligat bekerja. ‘’Rombongan apa mak?’’ akhirnya, keluar juga soalan tu. ‘’Rombongan bakal suami Nad la, tanya Nad asyik nanti-nanti, umur Nad tu bukan semakin muda..’’ aku rasa macam nak pitam mendengar kata-kata emak. Bakal suami? Aku belum bersedia nak bersuami. Aku trauma untuk hidup dengan seorang lelaki. ‘’Mak!’’ oktaf nada suaraku terkuat sedikit, kejutan yang aku dapat membuatkan aku hilang kawalan kendiri. ‘’Mak buat prank apa ni? Tak baik tau, mak buat Nad macam ni.’’ ‘’Prank kepala hotak kau!’’ laju saja emak menunjal kepalaku. ‘’Dah! Pergi masuk bilik, siap cepat sebelum mereka sampai.’’ Uwaa..aku kena nikah paksa ke ni? Hati aku sudah menangis di dalam. Terbayang pula kejadian sepuluh tahun lepas dalam mindaku.Ngeri bila aku imbas kembali kejadian lalu. ************ ‘’Sah?’’ aku mendengar suara abah yang menjadi jurunikah bertanya pada dua orang saksi di kiri dan kanannya, sedangkan tangannya masih mengengam erat tangan Mohamad Adam yang kini sudah berada di depanku. ‘’Sah.’’ Sebaik mendengar perkataan itu, hati aku dipalu dengan rasa sebak yang tak dapat ditahan lagi, lantas tanpa aku pinta dan tanpa izinku, air mataku pula terus meluncur laju. Sakit rasanya hatiku ini, telah diijab kabulkan dengan seorang lelaki yang tak pernah aku kenali sebelum ini. Inilah kali pertama aku melihat dia. ‘’Nad. Kau berangan ke? Angkat tangan la, orang tengah berdoa tu.’’ Tanpa sedar aku terus mengangkat tangan setingginya mengikut arahan Baiti yang berada di sebelahku. ‘’Kau ni kenapa Nad?’’ sambil tergelak Baiti menarik tangan aku ke bawah dan memberi isyarat supaya aku menadah tangan seperti orang lain. Sempat juga aku mendengar gelak ketawa beberapa orang yang turut ada dalam majlis ini. ‘’Kau berangan apa Nad? Cerita la, aku nak tahu jugak.’’ Baiti berbisik padaku, bibirnya sudah tersenyum nakal. Aku pula mengesat air mata yang sempat singgah di pipiku. ‘’Kau menangis ke Nad?’’ ‘’Kau apa tau. Aku kena nikah paksa kot.’’ Aku berkata perlahan dalam nada sebak yang masih bersisa. ‘’Kau gila Nad, handsome kot suami kau tu. Tak nak, bagi kat aku la.’’ Aku menjeling Baiti dengan jelingan yang paling tajam. Ikutkan hati memang aku ketuk saja kepala budak Baiti ni. Dia ingat, wajah lawa tu boleh menjamin kebahagiaan? ‘’Nadia!’’ perbuatan aku dan Baiti yang sedang berbisik sesama kami terhenti, aku mencari suara yang memanggil namaku tadi. ‘’Ya abah..’’ aku menjawab panggilan abah dan tak semena-mena ruangan itu menjadi riuh dengan gelak ketawa. ‘’Isshh..budak ni, tak nampak ke Adam nak batalkan air sembahyang tu. Nak sarung cincin, bagilah tangan.’’ Abah bersuara serius. Aku terkaku lagi dan mataku dan mata lelaki yang sedang duduk mengadap aku kini bersatu. Ada rasa getar dalam dada. Tak lama kami bertentang mata, hanya sesaat saja dan Mohamad Adam di depan aku ni terus menundukkan wajahnya. Aku pula yang pelik. Eh? Wajah dia bertukar merah. Aku perhatikan dia yang ada di depan aku ni dengan seribu tanda tanya. ‘’Nadia!’’ suara abah lagi. Aku panggung kepala dan mencari wajah abah. Aku nampak abah mengelengkan kepalanya berkali-kali. ‘’Tangan awak..’’ suara lelaki yang telah memegang tangan abah kini menghulurkan tangannya ke arahku sambil memegang sebentuk cincin. ‘’Tak apalah, biar saya pakai sendiri.’’ Sambil berkata, aku terus merampas cincin dari tangannya dan menyarung ke jariku. Baiti yang berada di sebelahku terus mencuit pinggangku dan mengekek ketawa. ‘’Kau memang sempoi gila Nad, tak pernah lagi dibuat orang dan ini kali pertama aku tengok pengantin perempuan sarung cincin sendiri.’’ Sambil terus ketawa Baiti berbisik. Aku buat-buat tak dengar dan buat-buat tak peduli dengan lelaki di depanku yang sudah pastinya aura wajahnya sudah berubah keruh. Marah ke atau tersinggung? Kesah pulak aku! ‘’Ya Allah Nadia, kenapa buat perangai hodoh sangat ni?’’ aku dengar suara mak ngah yang ada di belakangku bertempik. Lelaki di depanku jangan cakaplah, sejak aku rampas cincin tadi, wajah dia dah merah semacam saja. ‘’Nadia memang tak suka saya ke?’’ dia bertanya perlahan, separuh berbisik. ‘’Eh? Mana awak tau? Awak serkap jarang eh?’’ aku membalas sambil menyeringai. Dia mengeleng, kemudian menoleh ke arah lain. Aku perasan sangat sejak tadi, dia yang macam tak suka aku. Nak tengok aku pun macam tak sudi. ‘’Tapi saya rasa awak yang tak suka saya. Sejak tadi awak tak nak tengok saya pun. Sekejap-sekejap, awak pandang ke arah lain.’’ Sekali lagi wajahnya merona merah bagai udang dibakar. Spesis udang ke apa, dia ni? Dia mengeleng lagi, kali ni aku perhatikan dia lebih lama..terperasan juga telinganya yang turut berona merah. Marahkah dia? Dia sudah mula resah. Duduknya sudah salah tingkah. ‘’Nadia, jangan renung Adam macam tu, pitam dia nanti.’’ Suara seorang perempuan yang entah siapa. Mungkin yang hadir bersama rombongan tadi. Aku tak pasti. Tapi, selepas berkata begitu, mereka ramai-ramai ketawa. Semakin mengelabah lelaki di depan aku ni. Wajahnya semakin keruh macam air banjir lumpur layaknya. ‘’Kenapa kak? Suami saya ni sakit apa?’’ mulut tak berinsuran aku terus menyoal. Sempat aku menjeling emak yang berada di sebelah wanita tersebut. Emak membulatkan mata. Aku buat-buat tak nampak. ‘’Allahu Akhbar..anak bertuah ni, emak mertua dia dipanggilnya kak.’’ Sekali emak pula yang bersuara. Tergaman aku. Emak muda ke? Anggun lagi bergaya. Macam kakak dia saja. Takkan emak dia? Minda aku mula berteka-teki. ‘’Opppsss..’’ aku menutup mulut sambil tersengeh. ‘’Emak muda ke?’’ sekali lagi mulut tak berinsuran aku menyoal. ‘’Emak kandunglah!’’ emak aku yang menjawab disusuli dengan ketawa oleh orang lain. ‘’Oppss..sorry. Ingatkan kakak sulung dia.’’ Aku membalas sambil menuding jari ke arah lelaki yang sudah beranjak sikit dariku namun masih duduk di depanku. ‘’Maaflah Cik Yah, mulut Nad ni memang macam tu, harap Cik Yah tak kecil hatilah ya..’’emak meminta maaf bagi pihakku. Tiba-tiba perasaan bersalah menderu dalam diriku. Manalah aku kenal mereka siapa, tau-tau kena nikah. ‘’Tak apalah, Nad puji saya awet mudalah tu..’’ mereka ketawa lagi. Aku malas nak ambil kisah dan berganjak sikit menghampiri lelaki yang telah menjadi suami aku. ‘’Awak.’’ Aku cuit dia. Dia menoleh, sesaat saja, kemudian dia pandang emak dia kembali. Aku terasa hati. Muncung aku terjadi tanpa relaku. Nak menangis, macam tak patut sangat. Aku bangun dan menuju ke bilik. ‘’Nadia! Nak ke mana tu?’’ ‘’Err..Nad pening mak, tadi sampai tak sempat rehat lagi ni..mabuk kereta tak habis lagi.’’ Sempat aku beralasan, padahal dah kecil hati. ‘’Kak Nad..orang nak ajak bergambar ni, takkan nak masuk bilik rehat kot. Malam karanglah tidur..’’ jurugambar tak bertauliah merangkap adik sepupu aku bersuara. Aku tengok muka dia dengan wajah untuk raih simpati. Aku ni letih mental dan fizikal tau. ‘’Malam karang? Kau rasa, boleh ke Nad berehat malam karang?’’ entah suara nakal siapa pula kali ini. Aku bosan hadap situasi macam ni! Serius, bosan tahap kritikal! ****************** Pose maut demi pose maut aku berikan pada jurugambar-jurugambar tak bertauliah dalam majlis ini. Suami aku pula macam kekok melayan gelagat kami. Semua jurugambar pula sangat nakal memerintah itu dan ini. Kadang-kadang rasa macam nak hempuk kepala semua jurugambar tu. Aku yang letih ni mereka buat-buat tak perasan pula. Suami aku lagi menyakitkan hati, langsung tak beri kerjasama. ‘’Abang Adam, dekatlah sikit..alaa, kak Nad tu nampak jer macam garang tapi dalam hati ada taman rama-rama tu.’’ Shidi merangkap sepupu aku, anak mak ngah memberikan arahan pada Adam yang seakan takut nak mendekati aku. Memang aku perasan sangat sejak tadi, macam dia pun dipaksa untuk nikah dengan aku. ‘’Awak, awak pun kena paksa nikah macam saya jugak ke?’’ aku tanya soalan cepugangsa padanya dalam nada berbisik. ‘’Maksud Nad?’’ dia bertanya balas. ‘’Ya lah, awak macam tak rela saja bergambar. Macam terpaksa rela jer.’’ Aku suarakan apa yang aku rasa. Aku dengar dia berdengus, macam marah sangat. Selepas itu, dia terus diam. ‘’Abang Adam, pandang muka kak Nad, pandang macam dalam filem tu bila hero renung kekasih yang dia cinta. Pandang sambil senyum mengoda.’’ Sepupu aku buat hal lagi, yang bukan-bukan saja dia minta. Aku pula terus mengikut arahan dan memandang wajah Adam. Dia mula mengelisah macam cacing kepanasan. Sah, dia memang kena nikah paksa macam aku jugak. Aku serkap jarang dalam hati. ‘’Kalau ya pun awak kena nikah paksa, janganlah tunjuk sangat.’’ Aku mula terasa hati melihat wajah Adam saat ini. ‘’Saya tak, tak ada siapa-siapa pun yang paksa saya nikah dengan Nad.’’ Aku renung wajah Adam sebaik saja dia selesai berkata-kata. Adam terus menoleh ke arah lain. Dia buat lagi. Wajah dan telinga dia kembali berona merah. Aku tak faham sungguh dengan situasi sekarang ni. ‘’Boleh tak, awak cakap sekali lagi apa yang awak cakap tu dan pandang wajah saya.’’ Aku membuat permintaan dan Adam terus menjauhkan diri. Kegelisahan di wajahnya jelas terpamer. Aku pula yang mendengus tak puas hati. ‘’Penipu!’’ hanya satu perkataan aku padanya dan menolak dia sedikit kasar. Sentap sangat tengok lelaki yang baru saja menjadi suami aku ni. ‘’Cukuplah tu! Kak Nad letih, lapar..’’ aku berkata entah pada siapa-siapa dan berlalu pergi. Sebal rasa hati. Kalau dah tak sudi tu cakaplah tak sudi, buat apa nak menipu bagai. Hatiku berdongkol di dalam. Sangat tak puas hati. ************** Usai majlis dan semua tetamu sudah pulang, aku masuk ke bilik untuk berehat. Letak saja kepala di atas bantal, aku terus hanyut dibuai mimpi. Aku tersedar sebaik azan Maghrib berkumandang dari masjid berhampiran. ‘’Awak buat apa dalam bilik ni?’’ terkejut aku sebaik saja buka mata, ada lelaki yang sedang merenung aku tidur. Spontan dia melompat bangun dan menjauhkan diri. ‘’Awak ada buat benda tak elok masa saya tidur ke?’’ aku terus seranah dia tanpa usul periksa. Tetiba temperature badan aku naik mendadak, terus memanah jantung dan turun ke hati. Minda mula merangka cerita yang entah apa-apa. ‘’Kalau buat apa-apa pun, bukannya berdosa.’’ Eh? Aku renung dia tajam. Betullah tu, tak berdosa pun, tapi janganlah ambil kesempatan masa aku tidur. Minda aku mula membebel. ‘’Masa bergambar tadi macam tak sudi sangat nak tengok muka saya ni, eh? Masa saya tidur, sudi pulak awak pandang saya, kan?’’ aku berkata sambil senyum mengejek dan terus memandang lama ke arah Adam. Dia menoleh ke arah lain dan melangkah laju ke pintu bilik. ‘’Awak nak lari mana tu?’’ ‘’Ambil wuduk, nak solat.’’ Tanpa menoleh ke belakang dia menjawab dan memulas tombol pintu. ‘’Tunggu! Saya nak mandi, kita solat jemaah.’’ Aku melompat bangun dari katil dan mencapai tuala. Buka almari dan keluarkan sehelai t shirt dan sehelai kain batik. Keluar dari bilik, aku cari Adam. Hilang sekelip mata. ‘’Cari apa Nad?’’ emak muncul dari dapur dan menyoal aku yang masih mencari kelibat Adam. ‘’Cari lelaki yang pegang tangan abah, ijab kabul Nad tadi. Macam pelesit, sekejap saja dah hilang. Dia ada ilmu ghaib ke mak? Mak tak siasat dulu ke menantu emak sebelum terima pinangan keluarga dia?’’ Pap! Laju emak menampar punggung aku. Kuat juga penangan tangan montok emak. Terpaksa aku gosok untuk melegakan rasa pedihnya, sambil memandang wajah emak yang sudah menjeling geram padaku. ‘’Belajar cakap elok-elok sikit Nad, dengar dek Adam mesti dia terasa hati.’’ Emak memberi amaran padaku. Aku jungkit kening dan melangkah ke bilik air. Rumah kampung, bilik air selalunya ada di dapur. Dalam bilik aku atau bilik sesiapa pun dalam rumah ni memang tak ada bilik air. Kami hanya tiga beradik. Abang Nazri anak sulung, sudah berkahwin dan tinggal di kampung sebelah. Kakak aku Nazirah juga sudah berkahwin dan tinggal bersama mertuanya. Jarak rumah kak Nazirah dengan rumah abah tak jauh mana pun sebab kak Nazirah kahwin dengan orang sekampung. Bercinta sejak zaman sekolah lagi. Habis SPM terus kahwin. Aku pernah gagal bercinta sepuluh tahun yang lalu. Bukan sekali gagal tapi berkali-kali. Pernah dua kali bertunang dan dua kali putus tunang. Aku pernah nyaris bernikah dengan seorang lelaki yang baru aku kenal tapi dia hilang masa hari pernikahan kami. Sebulan kemudian, aku dapat berita dia kena tangkap khalwat dengan kekasihnya seorang warga Indonesia. Aku tak pernah berputus asa, hinggalah tragedi itu berlaku. Aku nyaris diperkosa oleh lelaki yang paling aku percaya. Dia berjanji nak hantar rombongan meminang dan bawa aku ke sebuah rumah dan katanya untuk perkenalkan aku dengan kedua ibu bapanya. Ternyata, itu hanyalah satu perangkap. Rumah tu kosong tanpa penghuni dan aku hanyalah umpan untuk memuaskan nafsunya. Aku bingung dan letih untuk hadapi semua ujian yang Allah berikan hingga aku pernah bertanya pada diri sendiri, dosa apakah yang telah aku lakukan hingga aku bertemu lelaki-lelaki yang tak berguna itu? Pakaian aku simple dan aku menutup aurat seperti yang sepatutnya. Aku tak pernah pakai pakaian seksi. Aku solat dan puasa penuh. Cuma, bab zikir dan bersedekah saja aku kurang. Bukannya tak zikir dan sedekah lngsung, hanya sekali sekala saja aku buat. Akhirnya, aku ambil keputusan untuk tak mahu bercinta lagi. Aku bersyukur sebab pernah terlepas daripala bala. Sepuluh tahun yang lalu, aku dapat selamatkan diri daripada lelaki durjana tu. Walaupun aku perempuan yang nampak lemah tapi aku belajar juga sikit-sikit seni mempertahankan diri. Belajar basic saja, bukan sampai dapat tali pinggang hitam pun. Zaman sekolah dulu, aku memang aktif dalam segala hal. Aku aktif bercinta dan tak pernah berputus asa. Pergi satu, cari lagi. Aku juga aktif bersukan, semua sukan termasuk silat dan taek kwondo aku join. Satu yang aku tak aktif adalah masuk ceruk dapur. Aku jarang tolong emak di dapur, sampaikan telinga aku sudah bingit mendengar leteran emak, setiap kali aku ada di rumah. Mengemas rumah? Bilik sendiri pun aku kemas seminggu sekali, kalau malas sangat pun sebulan sekali. Kalau tinggal di kampung, kadang-kadang emak yang tolong kemaskan. Akukan wanita paling simple dalam dunia. Buat apa nak bersih-bersih selalu,/ kihkihkih… ‘’Nad..Adam dan abah kamu dah balik dari masjid, pergi panggil mereka makan. Mak dah hidang dah tu, suruh Nad bancuh air pun, masih lagi nak berangan. Sejam buat air sirap pun, masih tak siap lagi.’’ Sambil memberi arahan padaku, sempat juga emak membebel. Aku mencebik bibir dan terus mengacau air sirap. Ais ketul dalam peti ais, aku keluarkan. Arahan emak aku turuti dan aku melangkah ke arah ruang tamu tapi tak nampak pula kelibat abah dan Adam. Aku menuju pula ke arah pintu bila melihat pintu depan terbuka luas. ‘’Buat apa tu abah?’’ aku melaung pada abah bila melihat abah dan Adam sedang berbual di luar rumah. ‘’Hal orang lelaki, Nad mana boleh tau.’’ Abah menjawab sambil ketawa. aku melihat Adam menuju ke arah keretanya dan mengeluarkan sesuatu lalu diberikan pada abah. ‘’Ya lah. Tu bini abah suruh masuk makan nasi.’’ Aku berkata kuat dan masuk kembali ke dalam rumah. ‘’Bini abah saja ke suruh abah makan nasi, habis tu menantu abah ni, bini tak ajak makan nasi sekali ke?’’ sayup-sayup aku dengar suara abah dan aku terus tersenyum. Lantak dia la abah, nak masuk makan ke tak. Anak abah ni malas nak ambil tau. Hati aku pula yang menjawab balas. ************** Malam pertama aku bakal tidur sekatil dengan Adam. Memandangkan aku dah tidur puas selepas Asar tadi, malam ini mata aku payah nak lelap. Pukul 12 malam pun Adam masih belum masuk ke dalam bilik. Tv masih berbunyi di ruang tamu. Entah filem atau drama apa yang dia tonton. Aku pulak, sejak lepas Isyak tadi, aku layan drama Cina dalam laptop. Drama yang aku download dari Telegram. Drama 24 episod yang bertajuk Mr Perfect And Miss Casual. Watak lelaki dalam drama ni menarik perhatian aku. Sejak episode pertama lagi, aku dah ketawa tak kering gusi. Pertemuan mereka antara pelajar Universiti dan professor. Dia seorang professor yang pintar tapi dia jadi dingin bila bersama perempuan. Sikapnya macam lurus bendul sikit dan tak pandai baca perasaan orang terutama perasaan seorang wanita. Watak heroin pula, macam advance sikit dan suka cakap lepas. Dia akan cakap apa yang dia rasa. Aku cuba bandingkan watak hero drama ni dengan Adam dan watak heroin dengan aku. Ada persamaan tak? Entahlah. Aku tak pasti, baru sehari aku kenal dengan lelaki bernama Adam ni. Sedang asyik melayan drama yang sudah separuh episode aku tonton yang ketika ini, hero dan heroin mula melafaskan cinta, tiba-tiba pintu bilik dibuka dari luar. Cepat-cepat aku tekan sleep pada laptop dan berpura-pura tidur. Jantung aku sudah mula mengepam darah dengan laju. Bila terasa ada pergerakan atas tilam, aku berpura-pura tidur pulas dan mengeluarkan dengkuran kecil. Terasa pipiku disentuh lembut. Panas. Tubuh aku terus keras dan kaku. Eh? Adam cium pipi aku ke? Aku meneka dalam hati. Kemudian aku palingkan tubuh aku dan mengadap ke arah Adam dengan mata yang masih terpejam. Sengaja aku silangkan kaki dan meletakkannya di atas tubuh Adam. Sekadar untuk menguji Adam. Perlahan-lahan aku buka mata sedikit untuk melihat riak wajahnya. Adam sedang merenung aku? Aku terus membuka mata seluas-luasnya. Adam terus kaku dan cepat-cepat berpusing membelakangkan aku. Eh? Aku bingung lagi. Aku pun berbuat perkara yang sama memberi belakang pada Adam dan cuba pejamkan mata. Sejam, dua jam aku masih belum lelap. Adam pun sama, aku boleh rasa, dia juga tak dapat tidur macam aku. Akhirnya, aku buat keputusan untuk on laptop kembali dan sambung tengok drama Mr Perfect And Miss Casual. Aku guna phone telinga agar tidak menganggu Adam. Ralit aku melayan drama, aku perasan Adam sudah mengiring ke arahku sambil matanya juga sedang tertumpu pada skrin laptop yang ada di depanku. ‘’Best ke?’’ bersuara juga Enchik Adam di sebelahku ini. Ingatkan dah hilang suara. ‘’Bolehlah.’’ Aku menjawab malas. ‘’Boleh join?’’ aku menoleh ke arahnya sesaat. Macam pelik saja mendengar soalannya, padahal, aku dah perasan pun, dia sudah lama mengintai skrin laptop. ‘’Hurm..’’ malas sangat nak jawab. Nak tengok,, tengok sajalah. Aku berkata dalam hati. Adam pula terus tarik laptop dan letak di tengah-tengah antara kami dan duduk meyandar di kepala katil macam aku. Tak puas hati betul aku, nak marah pun, tak kuasa pula. Kami tengok bersama-sama drama tu satu episode demi satu episode. Bila ada adegan lawak, aku gelak tanpa segan silu, bila ada adegan cium, aku terus skip dan tengok part seterusnya. Terdengar Adam berdengus bila aku skip tapi aku buat-buat tak perasan saja. Sedar-sedar, bila aku menoleh ke arah Adam, dia sudah tertidur. Dan..malam pertama kami berakhir macam tu saja. ****************** Dua hari di kampung, aku pulang semula ke bandar untuk sambung bekerja. Adam ikut aku balik ke rumah sewaku tapi tak mahu masuk ke dalam rumah. Katanya, sekadar nak tengok rumah saja, kemudian dia pun pergi entah ke mana. Hari minggu seterusnya, dia datang ambil aku sebab majlis menyambut menantu akan diadakan di rumahnya pula. Eh? Aku mula pelik. Rumahnya hanya di belakang taman perumahan yang aku tinggal. Dan, dia bekerja di pejabat sebelah tempat kerja aku. Macam mana aku boleh tak tahu? Aku bingug lagi memikirkan situasi ini. ‘’Selamat penganti baru Nadia, Encik Adam.’’ Ucapan daripada rakan sekerja Adam dan rakan sekerja aku yang datang ke majlis kami. Aku mula sedar, rupa-rupanya hanya aku yang tak kenal Adam,sedangkan Adam sudah lama kenal aku? Buktinya, ramai kawan-kawan Adam yang datang adalah rakan sepejabat aku. Salah seorangnya adalah kawan baik aku sendiri. ‘’Kau dah lama ke kenal dengan Adam?’’ Aku tanya Lina rakan sepejabat denganku, merangkap kawan baik aku di pejabat. ‘’Kau ni Nad, nak kata kau bengap, kau marah. Nak kata kau tak prihatin,memang pun kau tak prihatin. Adam tu hari-hari makan bersama dengan Mail di restoran depan pejabat kita tu. Dan, untuk pengetahuan kau, Adam yang suruh aku rekomen kau kat dia tapi, dia tak nak bercinta dulu, dia nak minang kau terus..jadi, aku bawalah dia dan mertua kau ke rumah mak ayah kau di kampung.’’ Terbuntang sesaat mata aku mendengar cerita Lina. Tak guna punya kawan. Pembelot! Hati aku yang berkata-kata, tak terlafas pula di bibir comelku ini. ‘’Setahu aku pejabat sebelah pejabat kita tu, pejabat persendiriankan? Eh, dia kerja sebagai apa ya?’’ aku menyoal Lina lagi, seolah-olah aku tak marah pun dengan apa yang dia buat. Macam redha saja dapat kahwin dengan Adam. Huhuhuhu.. ‘’Laa..kaukan dah jadi isteri dia, tanyalah dia, buat apa tanya aku.’’ Sambil berkata, Lina tersenyum senget. Aku belasah juga dia ni. Aku mengebam bibir menahan geram. Ya, aku mengaku, selama ni aku malas nak busy body hal orang lain. Aku hanya buat hal sendiri saja, sampai pejabat di sebelah aku pun, aku tak tahu pejabat apa. Siapa yang kerja di situ. Semuanya aku tak pernah ambil tahu. ************** Sebulan sudah berlalu. Aku dan Adam sudah sebulan tinggal serumah. Adam membeli rumah sewaku daripada tuan rumah yang merupakan kenalan ayahnya dengan harga yang berpatutan. Adam adalah seorang pereka lanskap dan selepas dia tinggal bersamaku, rumah kami dah macam taman bunga di belakang dan depan rumah. Rumah sewaku tak besar mana tapi ada laman yang luas untuk bercucuk tanam. Aku tak ada masa untuk bercucuk tanam sebelum ni. Setiap kali rumput di halaman panjang, aku hanya upah orang untuk menebas rumput. Sejak Adam tinggal serumah dengan aku, dia yang rajin uruskan semua hal. Dialah yang masak dan kemas rumah. Halaman depan dan belakang rumah pun, dia yang uruskan. Adam tak boleh tengok rumah bersepah. Tuala yang aku sangkut di sofa pun menjadi alergik baginya. Satu saja yang masih menjadi kemushkilan aku, walaupun dah sebulan kami tidur sebilik, aku masih lagi anak dara. Kata Adam, dia tak nak paksa aku. Dia nak bagi aku peluang untuk kenal dia dan mencintainya sepenuh hati. Aku hanya mampu tersenyum kelat mendengar kata-katanya. Hari ini, aku nak uji Adam. Aku sudah mula rancang sejak seminggu yang lalu. Aku pandang dia, dia pandang aku tapi bila aku renung dia tak berkelip, terus dia pandang ke arah lain. Aku tersenyum, dalam hati sudah terdetik idea nakal. ‘’Sayang..’’ aku panggil dia dengan nada manja. Dia menoleh perlahan. Aku tersenyum dan melirik manja. Aku melihat gerak gerinya, nampak macam sudah mengelabah. ‘’Sayang..’’ aku panggil lagi dan melangkah ke arahnya dengan senyuman yang tak pernah lekang di bibir. ‘’Stop!’’ dia berkata tegas sambil memberi isyarat tangan supaya aku berhenti. ‘’Kenapa?’ aku menyoal seolah-olah aku tak dapat membaca keresahan hatinya. ‘’Berhenti di situ!’’ nada suaranya semakin kalut bila aku buat-buat tak dengar dan terus menghampirinya. ‘’Nadia Aliyana!’’ senafas nama aku disebut dan dia terus mendepangkan tangan kanannya supaya aku berhenti. Aku tidak dapat menahan lagi gelodak rasa, lantas tawa aku terburai. ‘’Hurm..’’ dalam ketawa aku sempat kenyitkan mata dan mengundur ke belakang. ‘’Apalah nasib, dapat suami yang tak cintakan kita, nak dekat pun tak boleh.’’ Sengaja aku memancing reaksinya dan berkata begitu. ‘’Tak, bagi abang masa..’’ ‘’Orang tak sudi, nak buat macam mana. Okeylah, kalau macam tu, Nad nak masuk bilik dulu. K bai..’’ aku berpura-pura merajuk dan melangkah pergi. Berpusing saja tubuhku, bibir aku tersenyum lagi. ‘’Nad, bukan macam tu. Nadia!’’ sayup-sayup aku dengar dia memanggil namaku. Biarlah dia dengan caranya dan aku dengan caraku. Sebulan tinggal serumah dan tidur sebilik juga sekatil tapi kami kami masih membawa haluan sendiri. Kadang-kadang kami masih melayan drama dalam laptopku bersama setiap malam sebelum tidur. Aku dah habis tengok drama Mr Perfect And Miss Casual dan kini baru nak mula tengok drama Korea pula yang baru aku download. Belum mula tengok lagi, belum tahu plot ceritanya macam mana. Aku mula berangan nak jadi Miss Casual dan cuba goda suami sendiri dengan caraku. Biarlah dia terus jadi Enchik sempurna dan aku Cik simple yang paling simple dalam dunia, namun harapan aku..agar perkahwinan kami kekal hingga ke Jannah. ‘’Nad..’’ Adam ikut aku masuk ke bilik dan memanggil namaku dengan suara yang perlahan tapi penuh romantis. Aku masih dengan mod merajuk aku, buat-buat tak dengar. ‘’Nad, dengar tak ni?’’ aku terus capai phone telinga dan kuatkan suara video. Bingit pula rasanya gegendang telingaku ini. Aku perlahankan kembali suara video. ‘’Nad, tak mau la macam ni. Bagi abang masa, okey..’’ dia masih cuba memujuk aku dengan antonasi suara yang sangat perlahan. Tangannya cuba memegang tanganku tapi aku sorokkan tanganku ke belakang dan mataku terus menatap skrin laptop seolah-olah dia tak wujud di sebelahku. Proteslah katakan.. ‘’Minggu depan kita minta cuti, kita pergi honeymoon. Nak tak?’’ dia masih bersuara, aku nak tersenyum tapi aku tahan perasaan dan pura-pura fokus pada drama yang aku tonton, padahal satu adegan pun aku tak hadam. ‘’Tak baiklah, Nad buat abang macam ni..’’ dia pula bersuara rajuk. Eh? Dia bangun dan keluar dari bilik. Macam tu saja ke pujuk aku? Atau, dia nak suruh aku pujuk dia pulak? ************** Adam ajak aku pergi honeymoon. Yes! Aku gembira sangat, tapi aku tak tunjuk dan masih buat-buat jual mahal. Niat tu nak suruh dia pujuk aku. ‘’Nad sayang abang tak?’’ tak semena-mena dia tanya aku soalan tu. Apa aku nak jawab? Takkan tak sayang pulak, sedangkan selama ni dia layan aku macam permaisuri dan tunaikan semua permintaan aku. Dia yang buat semua kerja rumah dan masak semua yang aku nak makan. ‘’Entah..’’ aku ambil keputusan untuk main tarik tali saja. ‘’Macam mana nak pergi honeymoon ni? Nad pun masih tak tahu perasaan sendiri. Kita cancel la yer?’’ Pulak? Aku dah separuh excited nak pergi bercuti,, boleh pula dia cakap nak cancel. ‘’Eh..sayang, sayang..’’ laju saja aku menjawab balas. Nak pergi bercuti punya pasal. Aku nampak Adam mengulum senyum. Macam nak senyum tapi sengaja menahan untuk tersenyum. ‘’Betul?’’ dia tanya aku dengan wajah serius tapi ada sinar dalam matanya. ‘’Betullah?’’ aku jawab penuh yakin. ‘’Hurm..kalau macam tu, kita honeymoon sekaranglah. Boleh?’’ aku kerutkan kening. Maksudnya? Fikiran aku mula membayangkan sesuatu dan tiba-tiba terasa mukaku berbahang panas. Terus aku menolak Adam dan cuba melarikan diri. ‘’Nad! Tadi cakap dah sayang?’’ Adam melaung padaku yang sudah melarikan diri dan mengurung diri dalam bilik air. Kenangan lama kembali bertamu dalam fikiran. Wajah si pelaku yang cuba memperkosa aku kembali terlayar dalam fikiran dan aku terus menangis tanpa sebab. Kenapa memori lama ini harus hadir saat aku ingin mengecap bahagia dan membina hidup baru? Bukankah aku yang cuba mengoda Adam sebelum ini dengan mengujinya? Kenapa hari ini bila dia ingin bersamaku, aku pula yang melarikan diri? Aku menjadi binggung dengan diri sendiri.’’ ‘’Nad, tak apa kalau Nad belum bersedia. Abang takkan paksa Nad.’’ Sambil mengetuk pintu aku dengar suara Adam. Selama ini Adam yang ada masalah atau aku yang bermasalah? Aku tanya soalan itu pada diri sendiri. Aku kesat air mata dan cuba mengawal diri. Aku pejam mata rapat-rapat dan cuba melupakan sejarah hitam itu. Aku cuba bayangkan wajah Adam dan mula memikirkan yang indah-indah saja saat kami bersama melakukan kerja rumah atau ketika aku dan dia berkebun dan bercucuk tanam. Adakalanya kebosanan melanda dan aku akan menolong Adam berkebun. Kadang-kadang aku tolong Adam memasak atau kami sama-sama mengemas rumah. ‘’Nad…’’ suara Adam semakin perlahan tapi tapi ketukan di pintu di bilik air semakin kuat kedengaran. ‘’Nad!’’ semakin lantang bunyi suaranya dan ketukan bertalu-talu dipintu mengesa aku memulas tombol pintu. ‘’Maaf, abang bukan nak takutkan Nad, abang..’’ belum sempat ayatnya habis, aku sudah berada dalam rangkulannya. Tak sedar bila aku maju dan memeluknya. Tubuh Adam terus kaku namun perlahan-lahan dia membalas segala perbuatanku. Aku sambung menangis dan cuba membuang bayang-bayang hitam yang bertamu sebentar tadi, apa yang aku inginkan sekarang, hanyalah kebahagiaan. ************ Kami pergi honeymoon ke Langkawi saja, di Malaysia pun banyak tempat-tempat cantik dan menarik. Aku ingin hidup bahagia bersama Adam dunia hingga Akhirat. Aku belajar menerima Adam seadanya dan aku berharap Adam juga begitu kerana tiada manusia pun yang sempurna atas muka bumi ini. Ya, semua orang ada kelemahannya dan aku pasti untuk menjadi pasangan yang serasi dalam semua hal adalah sangat sukar. Perjalanan kami ke Langkawi sangat lancar dan selamat tiba ke destinasi. Kami menyewa sebuah bilik chalet yang terletak di tepi Pantai. Menarik kawasan sekitar chalet ni dengan pemandangan laut yang terbentang luas dan pasir Pantai yang memutih. ‘’Nak makan di mana? ‘’ soalan Adam padaku sebaik aku melabuhkan punggung di atas katil melepaskan lelah. ‘’Nak makan seafood. ‘’ jawabku selamba sambil mengukir semyuman paling manis buat Adam. ‘’Kejap, nak buat research restoran seafood viral dalam MEDSOS.’’ Sambil berkata Adam mengeluarkan I-phone dan mulakan pencarian dalam internet. ‘’Banyaklah restoran seafood, nak pergi restoran yang mana satu?’’ Adam bersuara lagi sambil menghulurkan I-phonenya padaku. Tanpa berlengah, aku menyambut I-phone Adam dan mula menonton video-video yang tersenarai dalam satu laman social dan memilih restoran tepi pantai yang paling cantik dan banyak pilihan makanan. Restoran ni, boleh?’’ aku menghulurkan Kembali I-phone Adam padanya. ‘’As you wish sayang.’’ Perlahan Adam menjawab namun aku masih dapat menangkap patah demi patah perkataannya. ‘’Apa? Sayang? You panggil siapa, sayang?’’ sengaja aku menyakat Adam dan bertanya semula padanya. Adam terus melangkah laju menuju pintu. ‘’Adam!!!’’ aku memanggil Adam dan mengejarnya. ********** 5 TAHUN KEMUDIAN…. ‘’Akram, Alan, Althaf, Aamina, Aira..dah siap ke belum? Cepat sikit bersiap tu, awal kita bertolak, awal kita sampai rumah nenek nanti..’’ aku memanggil nama kelima orang anak-anak kami, rezeki kami murah kerana dua kali melahirkan kami sudah ada lima orang anak dalam sekelip mata. Akram, Alan, Althaf anak sulung kami yang dilahirkan kembar tiga, tiga tahun kemudian aku lahirkan Aamina dan Aira juga kembar perempuan seiras. Dengan kehadiran lima orang penyeri rumah tangga, hidup kami adakalanya sangat bahagia, namun adakalanya sangat kucar kacir dengan gelagat mereka berlima. Letih dan lelah melayan kerenah mereka kadangkala terbayar dengan gelak ketawa mereka. ‘’Sayang, baju melayu abang masukkan sekali tak, nanti abang nak tarawih di masjid tak ada baju pula nak pakai.’’ Aku memandang Adam atas dan bawah. ‘’Abang ni, kan..Nad dah suruh abang masukkan sendiri tadi,kan? Nad ni dengan baju budak-budak lagi, mana nak fikir baju mana Nad nak bawa, itu ini semuanya Nad, abang settle la barang-barang abang sendiri.’’ Darah aku mula mendidih, beginilah Adam, kadang-kadang sejuk hati aku bila dia tolong aku buat kerja rumah, kadang-kadang manjanya mengalahkan anak-anak. ‘’Yalah, yalah..abang masukkan sendiri. Nad ni kenapa? Sengugut ke, or tak pun nak dapat baby lagi?’’ Adam menyeringai sehabis berkata-kata. Aku mencerlung tajam ke arahnya. ‘’Tak cukup lagi lima orang tu? Ada hati nak tambah lagi?’’ aku membalas garang dan menjeling sekilas ke arahnya sebelum meneruskan kerja-kerjaku mengemas apa yang patut. ‘’Mana cukup lima orang. Abang nak sedozen, baru meriah, boleh buat team bola sepak.’’ Sambil berkata Adam ketawa. Hati aku yang meledak di dalam. ‘’Orang lelaki memanglah, sedozen konon, tu bila Nad cakap tak nak, mesti nak minta izin nikah lagi, kan?’’ tetiba aku terover sensitive. Aku terus membebel sambil tangan mula menghempas barang satu persatu masuk dalam beg. ‘’Allahu Akhbar Nad. Abang gurau ja pun. Tak apalah, Nad dah letih tu, biar abang yang buat semua ni. Nak masukkan apa lagi dalam beg ni, semua dah ada ke, tak ada yang tertinggal?’’ Adam cuba mengambil alih tugasku dan menolak aku ke tepi dengan lembut. Aku merenung tajam ke arahnya. Nak ambil hati aku la tu? ‘’Tak payah! Sibuk jer la..tepi-tepi..biar Nad yang buat semua. Abang uruskan kerja abang. Baju-baju abang tu masukkan sendiri. Tak kuasa Nad nak pack baju-baju abang.’’ Hati aku mula menyingga. Begitulah Adam, suka bergurau tak kena tempat dan masa. Selalu buat aku benggang, lepas tu akan pujuk aku sesuka hatinya. Kadang-kadang memang aku terpujuk, kadang-kadang aku sengaja keraskan hati, nak tengok sejauh mana dia berusaha untu pujuk aku. ‘’Alolo..cayang bucuk abang ni..’’ Adam geletek aku dan membuatkan aku ketawa tanpa sedar.. ‘’Abang ni, kenapa?’’ aku tepis Adam bertalu-talu. Geram pula aku bila Adam main kasar macam ni. Aku baru niat nak mogok suara. Tak nak cakap dengan dia, biar padam muka terpaksa layan orang bisu bercakap. ‘’Bulan puasa ni Nad, takkan letih pun Nad nak mengamuk. Tak baikkan, tinggikan suara dengan abang.’’ Masih lembut suara Adam cuba menjernihkan keadaan. Aku menoleh ke arahnya dan menyeringai. ‘’Okey..abang nak buat sangat,kan. Buatlah, Nad nak tidur, nanti nak bertolak, kejutkan Nad.’’ Aku sengaja mengambil kesempatan dalam kesempitan. Aku cuba bangun dan ingin berlalu ke katil tapi dengan pantas Adam memaut lenganku. ‘’Kita dah nak bertolak ni sayang, nanti sayang tidur sajalah dalam kereta. Kalau sayang pergi tidur sekarang, pukul berapa kita nak sampai kampung? Abang tak nak berbuka dalam kereta.’’ Adam tayang wajah serius walaupun suaranya masih perlahan dan bernada sedikit romantis. ‘’Okey..Nad tunggu dalam kereta, nanti abang bawa semua barang-barang masuk dalam bonet kereta..’’ sekali lagi aku ingin berlalu pergi. ‘’Anak-anak macam mana? Takkan Nad nak suruh abang uruskan mereka semua? Boleh pengsan abang.’’ Adam tayang wajah resah. Aku mula menyimpul senyum.. ‘’Mama..Along dah siapkan adik-adik. Kita dah nak bertolak ke mama?’’ Akram datang ke bilik diikuti empat orang adik-adiknya. Walaupun baru berusia empat tahun, anak-anak kembar kami sudah pandai melayan kerenah Aamina dan Aira yang masih kecil. ‘’Jom..kita tunggu abah dalam kereta.’’ Sambil berkata aku tersenyum dan mengenyit mata pada Adam. Dia jatuh terduduk dan menepuk dahi memandang beg-beg besar yang sarat berisi baju anak-anak dan bajuku. ‘’Sayang..’’ sayup-sayup aku mendengar suara Adam memanggilku. Aku tak menoleh pun dan memimpin Aamina dan Aira kiri dan kananku. ‘’Sayaaaannnggg…’’ ‘’Cepatlah! Nanti lambat sampai, berbuka dalam kereta pulak!’’ aku melaung dari depan pintu. Bibir tersenyum kemenangan. Baru Adam tahu, ingat senang ke nak mengemas dan menjaga anak serentak? ********
Perjalanan jauh tak ku rasa Kerana hatiku melonjak sama Ingin berjumpa sanak saudara Yang selalu bermain di mata Nun menghijau gunung, ladang dan rimba Langit nan tinggi bertambah birunya Deru angin turut sama berlagu Semuanya bagaikan turut gembira Balik kampung..oh, oh, oh, balik kampung Oh, oh, oh, balik kampung Hati girang.. Oh, oh, oh balik kampung ‘’Oh, oh, oh, balik kampung..hati girang..’’ lagu Balik Kampung yang berkumandang dalam kereta kami nyanyikan bersama. Sambil itu tubuh kami digoyangkan mengikut rentak lagu. Adam yang memandu pun tak terkecuali menyanyi dan mengikut irama lagu yang didendangkan. Lagu raya paling legend yang tak pernah lekang dek zaman walaupun penyanyinya dah lama arwah. Perjalanan jauh tak ku rasa Kerana hatiku melonjak sama Ingin berjumpa sanak saudara Yang selalu bermain di mata Nun menghijau gunung, ladang dan rimba Langit nan tinggi bertambah birunya Deru angin turut sama berlagu Semuanya bagaikan turut gembira ‘’Balik kampung..oh, oh, oh.. balik kampung, hati girang. Terbayang wajah-wajah yang ku sayang. Satu-satu tersemat di kalbu. Pasti terubat rindu di hati, menyambut kepulangan ku nanti. ‘’ Kepala turut dilenggokkan dan bahu juga bergoyang kiri dan kanan. Anak-anak juga turut menyanyi bersama. Aamina dan Aira yang masih belum petah berkata-kata pun cuba juga untuk menyanyi. Di hari raya terkenang daku kepada si dia Kampungku indah nun jauh di sana Ayah serta bondaku Di tepian mandi danauku hijau yang damai selalu Di sanalah tempatku bertemu Aku dan dia ‘’Mamalah tu, jumpa pak we kat tepi danau.’’ Bila lagu Dendang Perantau pula yang berkumandang, Adam berkata sambil mengerling ke arahku di sebelahnya, Apakan daya, masa tak akan kembali ‘’Hancur musnahlah semuanya.’’ Adam menyanyikan lirik seterusnya dengan suara yang kuat. Aku mengebam bibir menahan geram. Aku tahu Adam sengaja nak sindir aku. ‘’Impian yang murni, tinggal menjadi kenang-kenanganku..hanyalah rangkaian kata dan lagu, dengdang perantau.’’ Aku pula menyannyi lirik seterusnya seolah-olah aku tak dengar kata-kata Adam sebentar tadi. ‘’Mama, danau tu apa?’’ Alan menyoalku santai. Biasalah budak-budak mesti ada keinginan untuk tahu segalanya. ‘’Entah. Tanya abah.’’ Aku juga menjawab santai sambil mengerling Adam. ‘’Abah kata mama jumpa pak we di tepi danau, takkan mama tak tahu danau tu apa?’’ Alan menyoal lagi. Aku dengar Adam ketawa. ‘’Abah karang novel tu, mama mana ada pak we.’’ Aku menyangkal kata-kata Adam sebentar tadi. Mesti Along yang cerita padanya kisah aku dating dengan cinta pertama aku di tepi perigi di belakang rumah opah.
Apakan daya, masa tak akan kembali Hancur musnahlah semuanya Impian yang murni Tinggal menjadi kenang kenanganku Hanyalah rangkaian kata dan lagu Dendang perantau… ‘’Percayalah sangat, mama tu tak ada pak we. Abah ni entah lelaki yang ke berapa..’’ nada suara Adam berubah rajuk. Aku tersenyum simpul dan terus mendapat idea untuk menyakat dia. ‘’Yang ke seratus kot..’’ aku menjawab selamba dan memegang dagu seolah-olah sedang berfikir dan mengimbas masa lalu. ‘’Darwish, Danial, Hanif, Hassan, Aqi, Arqam, Amran, Soleh, Nasrul, Nasri, Zamri..’’ ‘’Amboi-amboi, sedar sikit lelaki mana yang ada di sebelah awak ni Nad.’’ Aku ketawa selambak mendengar teguran Adam. Mulalah juga, aku follow ja. ‘’So..enchik Adam, sebelum Nad, berapa orang mak we awak ada?’’ aku mengajukan soalan untuk Adam pula. ‘’Sayang cinta pertama dan cinta terakhir abang.’’ Aku membulatkan mata. Tak percaya langsung. ‘’Seriously?’’ aku menyoal sambil tersenyum yang tak ikhlas. Senyum yang penuh kepura-puraan. ‘’Cinta hingga hujung nyawa ke abah?’’ tak semena-mena Althaf pula yang menyoal. Aku dan Adam menoleh ke arah Althaf serentak. ‘’Tuuu..abah tak pastilah. Kena tanya mamalah, nak ke dia sehidup semati dengan abah.’’ Adam mengerling ke arahku sekilas dan memandang ke hadapan semula. Lagu-lagu raya terus berkumandang bersilih ganti. ‘’Abang pernah dengar tak lagu raya Dato Seri Vida, Muah-muah Raya?’’ aku tukar topik kami. Lagu raya tahun 2024 ni entah apa-apa. Tak minat langsung nak dengar. ‘’Kenapa pula dengan lagu tu?’’nampaknya Adam juga tak berminat untuk menyambung topik kami. ‘’Lagu-lagu raya terbaru ni satu pun tak best. Entah apa-apa..’’ ‘’Betul..lagu legend juga yang paling best, tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas..’’ ‘’Kan..abang, kan..’’ Dari Jauh Ku Pohon Maaf Dalam dingin subuh Hatiku terusik Kenang nasib diri di rantauan Bergema takbir raya Menitis air mata Terbayang suasana permai desa Rindu hati ini Inginku Kembali Pada ayah bonda dan saudara Tetapi, aku harus mencari rezeki Membela nasib kita, bersama Hanya ku sampaikan doa dan kiriman tulus ikhlas Dari jauh ku pohonkan ampun maaf.. Jangan sedih pagi ini Tak dapat kita bersama Meraikan Aidilfitri yang mulia Restu ayah bonda Ku harap selalu Hingga aku pulang, kepadamu…
Lagu-lagu raya terus berkumandang disusuli perbualan santai kami sekeluarga. Aamina dan Aira pula tertidur di pertengahan jalan hingga sampai ke kampungku. Tahun ni Adam nak beraya di kampung dan kami ambil cuti seminggu sebelum raya. Adam, kan ada bisnes sendiri, jadi bukannya masalah besar pun kalau cuti lama sikit. Aku pula jadi suri rumah tangga lepas kembar tiga lahir. Tak sanggup untuk menghantar mereka ke rumah asuhan kanak-kanak, jadi aku korbankan kerjayaku demi anak-anakku. Inilah kehidupanku sekarang, sekejap bahagia, sekejap murung, sekejap sedih bila masalah tak pernah habis. Dengan kerenah anak-anak dan kerenah Adam yang kadang-kadang matang, kadang-kadang bersikap acuh tak acuh, kadang-kadang bila aku merajuk, dia pun nak merajuk. Hanya kesabaran dan kekuatan mental saja yang membolehkan aku untuk terus bertahan dalam kehidupan aku hari ini. Nasiblah masih ada sokongan moral mak dan abah. Ujian dan dugaan akan terus datang selagi aku bernafas. Bersyukurlah, aku masih hidup dan ada suami juga anak-anak yang sering memberi aku kekuatan walaupun separuh masalah aku datangnya daripada mereka. Jika direnung kembali, aku juga banyak kekurangannya. Nobody perfect, sama-samalah kami harunginya dan saling melengkapi antara satu sama lain. *******TAMAT******

Isnin, 29 Jun 2020

Hari Raya Aidil Adha Bakal Tiba, Jom beli tudung bawal.

QUEEN EXCLUSIVE

- Harga RM49/helai
-Material Body : Heavy Chiffon Premium
-Material awning : lycra scuba ( jahit tetulang)
-Jahitan Baby Seam
-Ada hiasan batu tampal swarovski di belakang( corak batu random)
-pelbagai pilihan warna menarik
-Bidang 50 (Panjang 1.3m x Lebar 1.3m)
-Bidang 60 (Panjang 1.4 m x lebar 1.4 m)
**warna mungkin sedikit berbeza dari asal disebabkan faktor pencahayaan dan editing

BAWAL KIRANA

-harga RM45/helai
-Material Heavy Chiffon Premium
-Jahitan Baby Seam
-Ada hiasan batu tampal swarovski di belakang
-corak batu random
-10 pilihan warna
-Bidang 50 (Panjang 1.3m x Lebar 1.3m)
-Bidang 60 ( Panjang 1.4 m x lebar 1.4 m)
**warna mungkin sedikit berbeza dari asal disebabkan faktor pencahayaan dan editing.

INSTANT AMEERA

-Harga RM45/Helai
-Material Body : Heavy Chiffon Premium
-Material awning : lycra scuba ( jahit tetulang)
-Jahitan Baby Seam
-pelbagai pilihan warna menarik
-Bidang 50 (Panjang 1.3m x Lebar 1.3m)
-Bidang 60 (Panjang 1.4 m x lebar 1.4 m)
**warna mungkin sedikit berbeza dari asal disebabkan faktor pencahayaan dan editing.

BAWAL CIK AYU

• Material heavy chiffon Premium
• Jahitan tepi babyseam 
• Material kain yang tidak jarang 
•  ada charm diamond di 1 penjuru dan label tulisan Ariana sofie yang sangat exclusive
• Labuh bidang 50 dan 60,kelabuhan boleh adjust mengikut keselesaan pemakai 
• Boleh pakai pelbagai gaya asalkan kreatif dan menutup aurat

preorder 10 hari,hari bekerja..

Hat dah berkenan tu boleh pm 011-39471662



































Ahad, 14 Jun 2020

Pahlawan Papan Kekunci


                     Zarul masih setia dengan laptop buruknya yang dibeli di kedai dengan harga rm440.00. Laptop terpakai dengan harga mampu milik. Pada asalnya, dia membeli laptop ini untuk membuat kerja secara sambilan iaitu bisnes online tapi kini laptop ini banyak berjasa padanya untuk mengedit video untuk dimuat naik ke dalam youtube atau halaman di muka bukunya.

                  Zarul mula obses untuk mengedit video. Siang atau malam, Zarul akan keluar meronda-meronda dan merakamkan segala aktiviti manusia atau pun haiwan. Balik ke rumah, Zarul akan mula mengedit mengikut kreativitinya, sama ada menambah suara yang dirakam sendiri atau suara yang telah dimuat turun dari akaun telegram.

              Di laman sosial, Zarul mempunyai banyak akaun palsu. Akaun sebenar Zarul banyak berkongsi info sahih dan ilmu namun akaun palsu, selalu Zarul guna untuk menghentam orang lain sesuka hatinya.

               Zarul anak lelaki tunggal Puan Mariah dan Encik Marzuki, tapi mereka bercerai ketika Zarul berusia lima tahun. Kedua-dua ibu bapa Zarul berkahwin lain dan Zarul mengambil keputusan untuk membawa haluan sendiri.

                Di zaman persekolahan, Zarul tinggal di asrama. Ibu bapa Zarul akan memberi wang pada Zarul setiap bulan dengan jumlah yang banyak. Zarul tak pernah ada masalah kewangan tapi pelajaran Zarul semakin merosot.

                  Ibu bapa Zarul sibuk menguruskan keluarga baru dan Zarul terus diabaikan. Tahun demi tahun berlalu, Zarul bagaikan orang yang tidak berkeluarga. Dia sibuk menguruskan urusan sendiri hingga dia juga terlupa dia masih ada keluarga.

                 "Bedah ni, aku tengok dia masak macam sedap tapi mulut macam celaka. Dok kata kat netizen ni celaka ka apa? Kadang-kadang dia sebut sayang-sayang Bedah, kadang-kadang hai celaka semua. Cis! Aku jumpa di luar memang aku cabai mulut dia cukup-cukup. Berkat ka resepi yang dia share tu, kalau mulut asyik memaki tak berenti?" Zarul mula membebel seorang diri. Sementara menunggu video yang dieditnya tu siap sepenuhnya, Zarul akan melayan laman sosial.

                   "Elehh..nak menunjuk la tu, dia ada gelang. Sempat lagi nak habaq tangan dia gatai. Padahai nak tunjuk gelang besaq dia, macam la orang tak tau taktik dia tu.." Zarul terus membebel sambil mulut terherot-herot mengutuk perempuan yang bernama Bedah dalam video tersebut.

                        "Hiesy..perangai tak senonoh, dah makan bunyi pulak. Nak habaq la kat orang dia masak sedap. Aku tengok pun tak lalu." sambil berkata Zarul memegang perutnya yang tiba-tiba berbunyi.

                      "Hampeh punya Bedah, tak pasai-pasai aku pulak yang lapaq." Orang dalam video teruk dikutuk dan dipersalahkan, dan Zarul terus meninggalkan komennya macam biasa.

Pahlawan Baja Hitam : Hang dok merapu apa Bedah oii..mulut macam celaka, sambil masak sambil maki orang. Ingat helok sangat la tu.

                  Zarul terus senyum sendiri selepas komennya masuk. Peduli apa dia, kalau dibandingkan komen dia dengan kata-kata Bedah tu, mulut Bedah tu lagi dasyat mengutuk orang.

                  Video yang diedit sudah siap untuk dimuat naik. Zarul tersenyum puas hati. Sebelum video dimuat naik, Zarul tonton dulu video itu berkali-kali. Zarul bangga dengan bakat yang dimilikinya. Bakat semulajadi tanpa perlu mengambil sebarang kursus, sekadar belajar melalui internet.

                 "Kali ini page aku mesti meletup. Mesti banyak view, like dan komen." Zarul berdialog sendiri sambil bibir terus tersenyum megah.

                    Halaman muka buku yang bernama Geng Pak Cik Bawang itu cukup ramai pengikut. Sudah hampir suku juta orang. Zarul sendiri tidak sangka halaman ciptaannya akan mendapat sambutan hangat sebegitu.

                   Zarul akan kongsi semua berita-berita panas mengenai selebriti tanah air dan luar negara. Gosip tentang politik dan isu semasa. Yang paling menarik dan memuaskan hati Zarul bila duit yang masuk ke dalam akaun laman sosialnya juga mencurah-curah bila ramai netizen yang suka, komen dan kongsi.

                 Bukan itu saja, akaun youtubenya juga mendapat sambutan hangat, hingga Zarul sudah tidak berniaga online lagi. Duit memuat naik video di laman sosial sudah cukup untuk menyara hidupnya seorang diri.

               "Mesti gempak kali ni. Netizen mesti suka dengan video ni. Berita panas yang baru keluar dari oven ni." Zarul terus berangan-angan sambil menghitung jumlah duit yang mungkin akan masuk ke dalam akaun banknya bulan ini.

Geng Pak Cik Bawang

Laki bini bergaduh dalam bas sebab orang ketiga. Bini serang perempuan simpanan dan terjadi adegan tarik-tarik rambut.

                 Tajuk utama videonya ditulis dengan perasaan bangga. Video pun terus diterbitkan. Sambil menunggu muat naik video selesai, Zarul tonton sekali lagi video tersebut di dalam laptop.

               Tiada kesalahan langsung dan video itu telah diubah suaranya menjadi suara kartun. Mungkin nasibnya baik kemarin kerana terserempak dengan pergaduhan itu tanpa sengaja. Kejadian itu berlaku di depan matanya, dan Zarul takkan melepaskan peluang keemasan itu.

Sempat juga Zarul menulis sari kata di dalam video itu kerana suara yang kedengaran kurang jelas.

               Video telah berjaya diterbitkan selepas lima belas minit menunggu. Panjang videonya tujuh minit dua puluh saat. Selepas beberapa minit sudah ada orang yang menyukai video tersebut dan ada yang memberikan emoji ketawa dan mulut melopong. Ada juga yang memberikan emoji orang marah dengan wajah merah menyala.

Sameer : Delete la woii..tak baik buka aib orang. Aib hang Allah jaga, aib orang hang pos bagi orang tengok. Tak takut ka Allah bayar cash.

                Komen pertama mula masuk di bawah video tersebut. Zarul hanya mencebikkan bibirnya.

                "Mai dah ustaz jadi jadian.." Zarul berkata tanpa rasa bersalah. Dalam masa yang sama, sudah ada netizen yang mula klik butang kongsi.

Minah Senget : Jiran saya ni dengan suami dia, perempuan tu pun saya kenal, dia tu janda anak satu. Lima tahun dah menjanda, memang selalu kacau suami orang dia tu.

                  Menyusul pula komen yang seterusnya. Zarul mula rasa bangga. Padan muka lelaki tu, sekarang ni semua orang dah tahu dia simpan perempuan. Janda anak satu pulak tu.

Semah Lawa : Harap delete video ni. Ni kakak saya, janganlah dia diaibkan macam ni sekali. Apa salah kakak saya? Kami tak buat apa-apa kesalahan pun hingga keluarga kami dimalukan sebegini.

                     Zarul terus baca komen dan mengomel sendiri. " Bodoh piang betina ni, kalau hang tak komen dan mengaku tu kak hang, takdak sapa yang tau aih. Bodoh tak boleh diajar!" Zarul berdialog sendiri membaca komen tersebut.

Bujang Senang : Aku kenal janda ni, dulu laki dia kawan baik aku tapi lepas laki dia kawen lain, dia minta cerai. Aku dah lama nak tackle dia tapi dia memilih sangat, nak cari orang kaya saja. Aku tak layak katanya.

Reply

Semah Lawa : Abang ipar aku bukannya kaya pun. Dia pun menumpang harta keluarga kami. Jadi janda jangan bodoh sangat, tak tau nak menilai laki kaya dengan laki miskin.

Bujang Senang : Semah Lawa, padan muka dia, memilih sangat last2 dapat laki kaki kikis jugak..kihkih

               Komen terus masuk bertalu-talu, jumlah tontonan semakin mencanak naik. Jumlah kongsi dan suka juga semakin banyak. Zarul terus senyum sampai telinga. Pipinya hampir krem kerana asyik tersenyum seorang diri.

*****

                  Zarul mula panik, kenapa ni? Semua orang menyerang pasaraya hari ini? Rumah Zarul di depan pasaraya Tesko dan beberapa pasaraya lain lagi. Jalan di depan rumahnya sudah sesak akibat kenderaan yang bertali arus.

                "Awat pulak depa ni? Ada jualan murah ka?" Zarul bermonolog sendirian.

               "Tak dengar apa pun, banner apa pun tak pasang. Takkan aku ketinggalan keretapi kot?" sambil bercakap Zarul terus melihat kenderaan di jalan raya yang bagaikan keretapi terpanjang di dunia.

                    "Perghh..banyaknya depa beli." Zarul terus bercakap seorang diri.

                   "Uncle! Ada jualan murah ka? Banyak uncle beli?" Zarul melaung pada seorang jirannya yang berbangsa Cina.

                 "Lu talak tau ka, ini malam kelajaan mau istihar dalulat maa..lu talak pi beli lagi ka? Itu balang sulah mai habis ma.." Apek yang ditanya menjawab dan menyoal Zarul kembali.

                  "Balang apa yang nak habis tu uncle? Raya lambat lagi uncle, beli balang nak buat apa?" Zarul menyoal lagi. Dia tak puas hati dengan jawapan Apek tu tadi.

                 "Itu balang la, itu bilas, mee segela, tisu tandas, dan banyak lagi la balang yang sulah mau habis. Lu tunggu lagi, talak pi beli?"

                "Oo..barang ka uncle, ingatkan balang apa tadi." Zarul terus ketawa, kadang-kadang dia pun lurus bendul juga.

                "Sahih ka uncle, Malaysia nak darurat tu?" Zarul macam tak yakin saja dengan apa yang Apek tu cakap. Tadi dia terbaca juga di muka buku pasal backdown tu tapi yang pos tu cakap, berita tu berita palsu.

                   "Lu tak payah banyak tanya la, pi beli cepat sebelum habis."

                  "Alaa..relax la uncle, kedai makankan banyak. Darurat pun, boleh order online." senang saja Zarul menjawab. Selama ni kalau dia malas nak keluar, memang dia pesan saja makanan melalui WhatsApp. Zaman serba mudah, buat apa nak susah payah.

                  "Olang sulah dalulat, mana boleh keluaq!" Apek tadi berkata dalam nada tegas.

                    "Depa nak duit uncle, mesti keluar punya." Zarul membalas sambil ketawa. Matanya asyik memerhatikan gelagat pengunjung yang masuk dan keluar dari pasaraya. Semuanya memborong sakan, tak kira bangsa dan agama.

                     "Lu punya pasat la, olang cakap tak mau pecaya." Apek terus berputus asa dan berlalu pergi.

                     Zarul masuk ke dalam rumah dan menyarung pakaian. Kalau betul Malaysia nak istihar darurat, sekurang-kurangnya dia perlu ada stok makanan segera, stok pencuci diri, sabun, pencuci muka, ubat gigi dan segala keperluan untuknya. Mahu atau tak, Zarul tetap kena keluar mencari keperluan untuk dirinya.

                 Zarul ambil kunci kereta dan berjalan keluar. Pintu kereta dibuka dan dia meloloskan diri masuk ke dalam perut kereta. Walaupun pasaraya hanya di depan rumahnya tapi Zarul hanya boleh memarkir keretanya di tempat parkir pasaraya dalam masa sejam setengah. Punyalah seksa, jalan langsung tak bergerak, macam kura-kura saja.
           
                 Apa yang ada dalam minda Zarul, hanyalah mee segera pelbagai perisa dan bahan-bahan untuk mencuci. Itu saja yang dia perlukan. Nak beli barang-barang dapur, dia memang tak pernah masak. Selalunya dia makan di kedai atau membuat pesanan melalui online. KFC dan Pizza hanya berdekatan saja dengan rumahnya. Tak perlu nak bersusah payah.

                 Rumahnya di tengah-tengah pekan, semua kemudahan ada, kedai makan, restoran makanan Antarabangsa, makanan seafood, makanan segera dan sebagainya ada di sekeliling rumahnya.

                  Masuk saja ke dalam pasaraya mata Zarul mula terbuntang. Kebanyakan rak sudah kosong. Dia menuju ke rak bahagian pencuci. Banyak yang sudah kehabisan stok, Zarul mula bengang. Dia menuju pula ke arah rak mee segera, nasibnya baik, masih ada baki yang ditinggalkan. Tanpa menunggu lama, Zarul pergi mendapatkan troli, semua mee segera yang masih berbaki diambil semuanya.

                     "Meggi saja?" seseorang menegur Zarul. Seorang perempuan yang tidak dikenali sudah tersenyum padanya.

                  "Meggi saja yang ada." Zarul menjawab acuh tak acuh.

                  "Mampu hidup ka kalau hari-hari makan meggi?" perempuan itu bertanya lagi.

                  "Awat pulak? Hang sibuk pasai pa? Hang pun beli meggi." Zarul menyoal kembali bila melihat troli perempuan itu pun ada juga beberapa pek meggi.

                   "Hiesy..tak adalah sebanyak yang hang beli. Aku beli juga beras, telur, sayur, buah dan barang-barang dapur yang lain." perempuan itu terus menjawab seramah mungkin. Zarul mencebik tanpa sedar. Eleh, nak habaq dia rajin masak la tu. Zarul mengomel di dalam hati.

                  "Hang punya pasai la..ada aku kesah." Zarul menjawab selamba dan terus berlalu ke kaunter untuk membayar tanpa menoleh ke belakang lagi.

***********
                  Zarul terus membaca setiap pos yang masuk di laman utama muka bukunya. Kalau ada pos viral yang menarik perhatiannya, dia akan kongsi. Ada sesetengah gambar dia akan muat turun dan kemudian akan dimuat naik semula di halaman muka buku miliknya.

                Coretan panjang pula akan disalin dan ditampal semula tanpa keraguan. Dia takkan menyiasat kebenaran cerita tersebut, asalkan ramai orang suka dan kongsi, itu sudah memadai. Baru-baru ini kisah virus corona merebak memenuhi setiap laman sosial. Bermacam-macam cerita yang Zarul jumpa. Kisah rak pasaraya yang dikosongkan oleh mereka yang panik dan kisah troli pasaraya yang ditinggalkan bersama barang-barang yang masih ada di dalamnya.

Geng Pak Cik Bawang

Mak cik dan pak cik bawang rangers semua, orang yang tak bertanggungjawab macam ni, apa kita nak buat? Kalau min, kasi hentak saja kepala mereka dengan batu. Ada otak tak mau guna. Menyusahkan orang saja. Sudahlah menghalang laluan, busuk pulak tu. Ayam dan makanan sejuk beku semuanya rosak. Manusia tak bertamadun, pentingkan diri sendiri. Panic tak kena cara ni.

                  Zarul memuat naik semula gambar troli yang berisi barang-barang yang ditinggalkan itu di dalam halaman muka buku miliknya. Status yang dikemaskini itu diterbitkan dengan perasaan teruja. Tak sabar untuk melihat reaksi netizen yang mengikuti halaman Geng Pak Cik Bawang.

Zamidi bin Zakaria : Hantar balik negara mereka la. Memang tak bertamadun pun, menyusahkan orang saja.

                 Komen pertama sudah masuk, Zarul sudah melebarkan senyumannya.

Kak Seri : Betul tu min, tak bertamadun sungguh. Otak letak di kepala lutut.

Karisma Kasim : Setuju min..

Pak lang Mie : Kasi bakor..

Dekna Suria : Orang macam ni kena brain wash cukup-cukup.

                Zarul terus membaca setiap komen yang masuk. Dua puluh minit selepas diterbitkan, sudah ada ramai orang yang kongsi. Jumlah tontonan sudah mencecah ratusan orang. Zarul cukup puas hati.

                 "Macam aku kisah sangat, manusia macam ni memang tak mendatangkan mudarat pada aku tapi menguntungkan aku. Kerana mereka page aku panas. Manusia bodoh..hahaha, kerana kebodohan mereka, aku yang kaut untung. Hahaha..viral lekaih! Viral jangan tak viral!" Zarul berkata kuat pada dirinya sendiri macam orang gila disusuli dengan ketawa yang nyaring.

                    "Orang ramai tak tahu, bila depa viral semua pos aku, yang masyuk duit, dalam akaun bank aku. Dosa sama-sama tanggung. Untung aku sorang. Hahaha.." Zarul masih seperti tadi. Dia sedang memperbodohkan orang ramai tanpa dia sedar, dia juga sedang memperbodohkan dirinya sendiri.

                 Zarul masih leka mangadap laptopnya. Selepas bershoping tadi, Zarul keluar meronda-ronda dan snap beberapa keping gambar dan merakam video untuk dimuat naik ke laman sosial macam biasa. Situasi jalan sesak dan pasaraya yang sesak dimuat naik secara langsung. Sudah pastinya ramai yang menonton, kongsi dan meninggalkan komen.

                     Zarul juga memuat naik gambar mee segera yang dibelinya memenuhi bonet keretanya. Ramai yang tolong viralkan dan tak kurang juga yang menyindirnya.

                   Zarul tak peduli pun dengan kata-kata netizen. Dia sudah lali dengan kutukan. Baginya, asalkan view halamannya banyak, ramai yang suka dan kongsi dan akaun banknya masuk lebat, itu sudah memuaskan hatinya.

                  "Wow! Cantik giler, orang gila pun tak cantik macam ni." Zarul berkata dengan suara yang kuat bila terjumpa gambar salah seorang rakan muka bukunya.

                  "Cantik dengan make up saja ni. Aku gerenti, kalau tak make up mesti pucat macam hantu Mak Limah balik rumah malam Jumaat." Zarul berkata lagi sambil mengilai namun jari jemarinya tetap menyentuh butang like di bawah gambar tersebut.

                      "Tak rugi pun kalau like, mana tahu..lepas ni dia akan like pos-pos aku pulak." Zarul berkata lagi dengan penuh harapan. Bukan bercakap dalam hati tapi berdialog dengan dirinya sendiri.

                    "Aku teringin nak tengok dia ni dengan muka ori, agak-agaknya kalau aku PM dia, minta gambar ori dia, ada dia nak bagi?" Zarul tanya dirinya sendiri sambil berfikir.

                    "Aku nak try PM dia la.." sambil berkata Zarul terus klik nama rakan muka bukunya itu. Zarul terus menghantar mesej.

Bujang Berkelana : Hai awak, asmekum.

                    Zarul mengunakan akaun muka buku palsunya yang kedua. Mana boleh guna akaun muka buku yang sebenar. Banyak pula songehnya nanti tegur dengan akaun muka buku yang sebenar.

Asmiranda Sherryna : Hye..payah sangat ke nak tulis assalamualaikum?

                    Mesej dibalas dengan soalan maut. Zarul hanya mampu tersengeh.

Bujang Berkelana : Assalamualaikum awak. Maaf yerr, nak cepat tadi, tak sabar nak tegur awak sampai tershort cut ayat tu. Awak sihat? Dah makan ka? Dah mandi belum?

Asmiranda Sherryna : Banyaknya soalan. Mana satu nak jawab?

Bujang Berkelana : Tak payah jawab semua tu. Nak tengok pic ori awak boleh tak? Mesti cantikkan?

Asmiranda Sherryna : Are you crazy? Who are you?

Bujang Berkelana : Laa..cakap omputih pulak. Awak memang keturunan mat saleh ka? Awat tak habaq awai-awai. Aku bukannya gheti nak speking.

Asmiranda Sherryna : Maaf, saya tak ada masa nak layan orang gila macam awak.

Bujang Berkelana : Laa..minta nak tengok pic ori ja pun. Kalau berkenan kot2 boleh ambik buat bini.

Asmiranda Sherryna : Go to hell!

Bujang Berkelana : Relax la, hang nak pi mana tu? Mai la balik oiii..

                     Mesej Zarul berakhir di situ bila nama Asmiranda Sherryna terus hilang dari pencarian di laman sosial.

                 "Aik, kena block dah ka? Ni sahih gambaq edit, sebab tu dia block aku sebab aku minta gambaq kat dia. Betina zaman la ni, bukannya boleh pecaya. Tengok dalam pesbuk putih melepak, bila jumpa di luar muka bersopak. Hahaha.." Zarul ketawa kuat sehabis dia berkata-kata. Seorang diri di rumahnya pun menjadi saja. Mengutuk orang tak ingat dosa.

**************

                     Zarul termenung panjang pagi ni. Pagi ni semua kedai makan ditutup. Pasaraya di depan rumahnya, kebanyakan rak sudah kosong. Pasar pagi juga tiada orang. Nak masak mee segera pun, dia hilang selera. Baru terbayang mee segera, dia dah mula mual. Rasa menyesal menyerbu dalam hati. Nak buat apa dengan mee segera yang banyak tu? Zarul bertanya pada diri sendiri sambil berfikir mencari ilham.

Group Jualan Online

Sapa nak mee segera? COD free area Alor Setar saja.

                   Mahu atau tak, terpaksa juga Zarul buat iklan dalam Group Jualan Online. Membazir pula kalau nak simpan mee segera sebanyak itu. Masa beli hari tu, tak terfikir pula masalah ini akan timbul. Panik punya pasal, takut mati tak makan. Akhirnya, dia yang menyesal tak sudah.

Zara Comei : Berapa rm satu pek?

Reply

Zarul hensem : Rm7.

Zara Comei : Mahainya.

Zarul : Cod free.

Zara comei : Tak ada diskaun ka?

Zarul : Hang nak berapa pek?

Zara comei : Satu pek jer.

Zarul : Hang beli 3 pek aku bagi diskaun.

Zara Comei : Berapa?

Zarul : 3 pek rm15.00

Zara Comei : Ok.

Zarul : PM alamat.

                  Selepas alamat diberi, Zarul terus menarik nafas lega. Dia membuat iklan pula dalam 10 halaman muka bukunya yang lain. Akhirnya ramai yang berminat untuk membeli. Ada yang memesan sepuluh pek sekaligus. Selepas menghantar semua pesanan, Zarul mengambil keputusan untuk membeli pizza dan roti pula. Tak lupa buah-buahan dan makanan sejuk beku.

                  "Manusia ni memang pantang dilarang. Kerajaan suruh kurangkan gerakan tapi aku tengok ramai jugak orang di jalan raya." Zarul membebel sendiri sambil melayan lagu dalam keretanya.

                    "Nampaknya, perintah kerajaan suruh duduk di rumah, tak berkesan pun." dia masih berkata lagi sambil kepalanya digelengkan.

                   "Harap-harap, orang kampung semua selamatlah. Seriau aku, tengok berderet kereta balik kampung. Satgi, wabak merebak pakat dok menyesal tak sudah, macam aku..beli meggi macam tak mau keluar rumah setahun, padahal..."

                   Zarul terus membebel dan dia sambung kata-katanya di dalam hati. Aku tak mau mati makan meggi. Ramai netizen dah sumpah aku, tak mati kerana virus, satgi mati sebab cancer. Hiesy, netizen memang tak sayang jari.


***************

                    Zarul terus membaca setiap update terkini di dalam muka buku. Dia juga menonton setiap video yang dimuat naik. Dalam group WhatsApp juga tak kurang meriahnya hingga memori I-phone miliknya terpaksa dikosongkan. Video yang berguna akan disimpan dan dimuat naik di dalam halaman muka bukunya.

                 "Pelik dunia sekarang ni, nak upload gambar makanan dalam facebook pun tak boleh ka?" Zarul mula berdialog sendiri bila membaca komen-komen dalam dinding alam maya rakan-rakan muka bukunya.

                  Aku nak upload jugalah. Hari ni aku cuma panaskan pizza frozen yang aku beli dua hari yang lalu. Zarul berdialog pula di dalam hati. Perangai Zarul, yang orang larang itulah dia akan buat. Dia mula snap gambar pizza yang sudah dimakan beberapa keping, tapi masih berbaki lagi.

Zarul Hensem

Aku makan pizza ja hari ni. Mudah dan senang. Cuma panaskan saja dalam microwave. Inilah duniaku! Jemput tengok.

                  Zarul mula memuat naik gambar yang baru disnap dan menunggu respon rakan-rakan muka bukunya. Beberapa minit kemudian, sudah ada yang menyukai gambarnya. Sudah ada yang memberikan emoji love. Zarul senyum dengan penuh rasa bangga.

Mia Sara : Sedapnya, minta sikit.

                    Sudah ada orang yang meninggalkan komen, Zarul tidak ada keinginan untuk memberi respon, dia sekadar membaca dan terus mengambil pizza di atas meja dan mula makan lagi. Perutnya masih lapar kerana asyik makan makanan ringan saja.

Mat Sofi : Sudahlah tu, dok upload makanan..tayang kat orang. Kesian sama dengan orang yang takdak duit ni. Nak makan pun susah. Orang kaya ni berlagak, apa yang depa ada semua depa nak upload.

                   Zarul mengerutkan dahinya. Pulak? Dia menyoal dirinya sendiri. Ingatkan, aku akan terlepas, kena juga ka? Zarul terus menyoal dirinya sendiri.

Reply

Minah senget : Betoi3, kami ni makan pun bercatu dah. Setiap hari makan makanan yang sama. Anak-anak pun dah mula bising.

Cik Intan Diana : Kami ni duit dah rm0, tengok orang dok upload makanan, hanya mampu telan ayaq liur.

                    Zarul terus mengaru kepala. Takkanlah? Salah ka aku upload gambar makanan ni? Kalau tak mau tengok, tak perlulah online. Kata tak ada duit nak beli makanan, topup internet boleh pulak? Zarul terus berdialog di dalam hati.

Zarul Hensem : Rezeki setiap hamba Allah tu tak sama. Kalau tak mau tengok, sila unfriend, unfollow atau pun sila block. Aku jamin selagi hampa hidup, hampa takkan nampak pos aku lagi.

Mat Sofi : Zarul Hensem jadi manusia tu, jangan sombong sangat.

                     Zarul garu kepala lagi, kemudian dia pegang pula dagu sendiri. Dia mula keliru. Sombongkah aku?

Zarul Hensem : Tang mana sombongnya? Dah tak boleh tengok, terliur bagai remove sajalah. Aku cakap yang betoi ni.

Mat Sofi : Hang penah rasa, hidup tak berduit?

Zarul Hensem : Memang taklah.

Mat Sofi : Hang penah rasa tak makan langsung sebab takdak duit?

Zarul Hensem : Tak penah.

Mat Sofi : Sebab tu hang tak faham apa yang orang miskin rasa.

Zarul Hensem : Apa kena mengena dengan pic pizza aku ni?

Mat Sofi : Ada orang pizza pun tak penah rasa.

Zarul Hensem : Apa kena mengena?

Mat Sofi : Hang takkan faham, kalau aku terangkan pun sebab hang tak penah lalui sendiri.

                   Zarul semakin blurr, apa maksud yang cuba disampaikan? Apa kena mengena dengan gambar pizza yang dia pos?
**************

                  Zarul cuba buat seperti apa yang telah dicadangkan padanya. Dia cuba kawal diri untuk makan apa saja makanan yang ada dalam simpanannya. Dia hanya makan biskut cream creaker dengan air masak saja. Dia menahan keinginannya untuk makan namun mindanya mula terbayang Nasi Ayam Hainan, Nasi Goreng makanan laut, mee goreng basah, char kuey teow dan sebagainya lagi makanan yang enak-enak belaka.

                   Perut Zarul berkeroncong walaupun dia sedang mengunyah dan menelan biskut. Terasa pahit ditekaknya, cuba ditelan bersama dengan air masak. Dia membuka muka buku miliknya dengan akaun palsu. Ramai yang telah memuat naik gambar menu tengahari mereka.

Zaity Abdullah

Ini saja yang mampu masak hari ni. Dok di rumah ni asyik kena masak saja. Anak-anak dengan suami asyik request nak makan macam-macam.

                 Zarul klik setiap gambar yang telah dimuat naik. Dia menelan liur tanpa sedar. Kalaulah makanan tu ada di depan matanya sekarang ni.

                  "Kurang asam betul, lima enam jenis kau upload lauk, kau cakap ini saja yang kau mampu?" Zarul mula berdialog seorang diri dengan memek muka tidak puas hati. Dia menekan perutnya yang semakin pedih. Biskut dan air masak ditolak ke tepi.

                Zarul bangun dan menuju ke dapur. Dibukanya peti ais. Ada spagetti mentah dan makanan laut dalam peti sejuk bekunya. Nak teruskan, atau lupakan saja? Dia menyoal dirinya sendiri. Lama dia membatu di depan pintu peti ais yang masih terbuka.

                Lain kalilah aku berpantang makan ni, dah ada makanan sedap di depan mata, membazir saja kalau tak makan. Zarul pun terus mengeluarkan bahan-bahan dan mula memasak spagetti bolognese mengikut citarasanya sendiri.

                Selesai masak dia masukkan dalam pinggan yang paling cantik dan hiaskan. Disediakan juga segelas jus epal di tepi pinggan spagettinya.

Bujang Terlajak

Tarra, spagetti bolognese my style. Jemput tengok semua, nak pelawa pun bukannya korang boleh masuk pun. Sedap tak? Ada yang tergoda?
#spagettibolognese
#mylunch

                 Siap memuat naik gambar berserta hastag nama makanannya, Zarul pun terus duduk, baca bismillah serta doa dan makan tanpa memanggung kepalanya lagi. Dia tersenyum puas seorang diri.

**************

                    Untunglah orang yang ada simpanan KWSP, aku ni seumur hidup bekerja sendiri. Belajar berdikari sejak umur belasan tahun lagi, semua kerja aku buat. Zarul membebel di dalam hati membaca segala status yang keluar di laman utama muka bukunya.

                   Entah apa-apalah, dapat KWSP pun nak bergaduh. Manusia zaman sekarang ni, mulut masing-masing di jari. Nak join ke tak ni? Zarul terus membebel sambil bibirnya melebarkan senyuman.

Zarul Hensem : Hampa untung ada KWSP simpanan masa depan, boleh guna time sesak, tapi tak gheti nak jaga jari untuk akhirat. Sudahlah tu, ada rezeki hampa dapatlah keluarkan duit tu. Kerajaan pun dah habaq, bukan boleh bawa keluar la ni. Boleh transfer online, slow-slow la wei. Bergaduh takkan mendatangkan keuntungan pun.

                      Dengan yakinnya Zarul memberikan komen. Dia rasa bangga dengan diri sendiri dapat memberikan sedikit teguran. Dia banyak terjumpa rungutan netizen yang tak berduit ketika ini, terutama orang-orang yang tidak mempunyai simpanan tetap.

                       Zarul tak pernah mempunyai masalah kewangan. Ayah dan ibunya akan masukkan duit ke akaun banknya setiap bulan walaupun Zarul sudah mempunyai pendapatan sendiri.

                        Kadang-kadang Zarul buat juga amal jariah dalam senyap. Dia akan bank in pada akaun bank sesiapa yang memerlukan. Dia akan siasat terlebih dahulu siapa pemilik akaun tersebut. Dia takut, duit yang didermakan menjadi sia-sia. Zaman sekarang ni banyak scammer yang sedang mencari makan. Kerja mereka hanya menipu orang. Kononnya untuk membantu keluarga susah, padahal sebaliknya.

Szaza Yan
Sejak akhir-akhir ni jumpa banyak status dan komen yang bergaduh pasal upload pic dalam facebook dan pasal duit KWSP. Aku relax saja sebab aku malas nak fikir sangat tentang hal dunia maya ni.

Hal dunia sementara ni pun aku malas nak fikir. Yang aku takut, aku pergi ke sana tanpa amalan. Sejak aku ada page Terjemahan Al-Quran dan Hadis aku juga turut membaca semua terjemahan sambil aku update.

Boleh dikatakan setiap surah bercerita tentang Syurga dan Neraka. Aku takut dan ngeri bila baca tentang neraka tapi bila baca tentang nikmatnya masuk syurga, aku mula berangan akulah salah seorang dari penghuni Syurga.

Aku mula bayangkan mahligai indah di dalam Syurga, sungai madu dan segala jenis makanan yang enak. Di dalam syurga kita hanya perlu membayangkan saja makanan yang kita nak makan dan Allah akan sediakan untuk kita. Di Syurga kita hanya boleh makan dan berseronok tapi tiada lagi bahan buangan.
Indahnya Syurga! Kenapa sanggup bergaduh hanya untuk dunia yang sementara? Kenapa selalu memaki hamun untuk dunia yang bakal kiamat ini? Di mana pemikiran semua orang? Aku letih membaca semua pergaduhan itu.

Namun, hakikatnya seperti yang dikatakan oleh alim ulamak, dunia akhir zaman, Allah akan ambil semua orang baik-baik, yang tinggal hanyalah orang yang tak baik.

Bila kiamat hampir tiba, semua orang yang beriman akan dimatikan. Bila kiamat tu? Hanya bila tiada lagi manusia yang menyebut nama Allah di atas muka bumi ini.

                  Zarul asyik membaca status salah seorang rakan muka bukunya. Dia ni memang selalu kemaskini status. Kadang-kadang seminit sekali. Ikut mod dia katanya, kalau dia sedang mengalami tekanan, lagi keraplah status yang dikemas kini.

                   Logikkah statusnya yang ini? Berangan masuk syurga. Eleh, perasan saja tu, jangan-jangan cakap saja lebih, amalan zero? Zarul berteka-teki di dalam hati.

                    Aku ni macam mana pula? Zarul tanya dirinya sendiri. Kadang-kadang dia leka melayan muka buku, sampai solat pun selalu diabaikan. Puasanya, paling kerap buat setengah hari. Setiap tahun memang tak pernah cukup sebulan puasa. Gastrik selalu menyerang setiap kali bulan Ramadhan tiba. Zarul terus mereka-reka alasan untuk menyedapkan hatinya sendiri.

Szaza Yan

Sejak akhir-akhir ini banyak betul baca rungutan tentang kekurangan duit. Berbaliklah pada Allah kerana rezeki kita, Allah yang beri. Allah bagi kita peluang berehat di rumah bukan untuk fikir hal dunia semata-mata. Luangkanlah masa yang banyak tu untuk berzikir, perbanyakan istighfar, solat di awal waktu, solat sunat taubat, solat dhuha, baca Quran dan sebagainya.

Buat ka tak selama duduk dalam rumah ni? Takkan tidur dan makan saja? Rezeki memanglah kena usaha, buat kerja tapi bila Allah dah bagi cuti untuk bekerja, ambillah kesempatan untuk beramal ibadah.

Ok, belum buat? Belum terlambat lagi, banyak masa lagi cuti yang ada. Mula malam ni, kunci jam bangun buat solat sunat tahajud, sunat hajat, sunat taubat. Sebelum tu mandi taubat dulu. Habis buat solat sunat taubat, jangan tidur lagi. Buka Quran, baca!

Amalkan sepanjang cuti ni. In sya Allah, rezeki akan masuk tanpa disangka-sangka. Ikhlaskan hati buat tu dan niat kena betul. Niat kerana Allah. Hati dan minda kena fokus dan betul-betul bertaubat. Jangan rasa diri kita ni baik sangat, tak ada dosa. Kita sendiri yang kenal siapa diri kita.

Cubalah, kalau tak percaya. Allah akan permudahkan setiap kesulitan kita, kalau kita selalu ingat dia.

Nota : Allah ada! Kenapa bergantung dengan manusia?

                   Zarul terus membaca status daripada pemilik akaun yang bernama Szaza Yan. Bibirnya sedikit mencebik tidak percaya langsung dengan apa yang dibacanya. Kalau tidak berusaha dari mana datangnya duit? Ini kata-kata orang pemalas! Zarul terus membebel di dalam hati. Nak komen ka tak? Dia tanya dirinya sendiri pula.

Bujang Terlajak : Cakap memanglah senang! Cuba hang dok di tempat orang yang tak berduit tu.

                  Akhirnya, dengan mengunakan akaun muka buku palsu, Zarul memberikan komennya. Szaza Yan ni adalah rakan muka buku akaun muka buku palsunya. Dia tak menjadi rakan untuk akaun muka bukunya yang sebenar.

Reply

Szaza Yan : Bujang Terlajak Alhamdulillah, setakat ini memang Allah melancarkan lidah saya untuk berkata-kata. Belum lagi menjadi bisu sejak lahir.

                Zarul mengerutkan keningnya membaca kata-kata yang telah dibalas oleh pemilik akaun.

Bujang Terlajak : Bengap! Maksud aku status hang tu la bongok. Bukan mulut hang.

Szaza Yan : Bujang Terlajak tadi awak tulis, cakap memanglah senang, kalau cakap dengan mulutlah.

                    Zarul semakin bengang, lurus bendul ka pembaris dia ni. Takkan bahasa mudah aku pun dia tak faham?

Bujang Terlajak : Ngok sungguh hang ni.

Szaza Yan: Bujang Terlajak ngok saya ni menyakitkan hati awak ka?

                  Emosi Zarul semakin tercabar. Soalan dia tak dijawabnya juga tapi lain pula yang terjadi. Zarul pula yang jadi keliru.

Bujang Terlajak : Szaza Yan hang ni berlagak pandai tak kena tempat. Hang tulis macam hang tu terror sangat. Sekadar nak buat solat dan berzikir tanpa usaha, mana mungkin Allah nak bagi rezeki. Orang kata bodoh, marah!

                Zarul melepaskan amarahnya tanpa sedar. Laju jari jemarinya menaip kata-kata.

Szaza Yan : Bujang Terlajak cuba buat dulu seperti yang telah saya sarankan tu. Esok PM saya dan berikan jawapan anda. Saya yakin dengan Allah, saya percaya Allah 100%. Allah akan ingat hambaNya yang selalu ingat Dia. In Sya Allah.

                   Darah Zarul semakin mendidih. Jenis bangsa tak pandai nak mengalah ka dia ni? Aku tulis macam tu pun, dia jawab slumber rock saja? Alih-alih, aku juga yang sakit hati.

**************

                  Malam ini Zarul sudah bersiap siaga untuk berperang dengan dirinya sendiri. Dia tidur awal dan mengunci alarm tepat pukul tiga pagi. Dia ingin menyahut cabaran rakan muka bukunya.

                  "Aku nak buktikan pada Szaza Yan tu, tanpa usaha, duit takkan masuk." dia berdialog sendiri. Bibir sudah mencebik. Zarul berusaha untuk tidur awal. Tepat jam tiga pagi, alarm pun berbunyi. Kali pertama bunyi, Zarul tangguhkan untuk sepuluh minit lagi. Dia pejamkan mata lagi.

                      Pukul tiga sepuluh minit, alarm berbunyi lagi, dia tangguhkan lagi sepuluh minit dan sambung tidur dan menarik selimut untuk menutup tubuhnya yang kedinginan. Kali ketiga alarm terus berbunyi, dia ingin tangguhkan lagi tapi teringat dengan kata-kata rakan muka bukunya, dia pun bangun dan mengosok matanya yang seakan tertutup kembali.

                    Aku perlu buktikan tanpa usaha, duit takkan masuk. Zarul berkata dalam hati untuk membakar semangat buat dirinya sendiri.Dia bangun dan menuju ke bilik air. Bila tubuhnya mula menyentuh air, dia mengigil tapi tak lama pun. Air yang mengalir di bawah shower mula terasa hangat walaupun dia tidak membuka pemanas eletrik. Ajaibnya, ini kali pertama dia bangun di awal pagi untuk mandi. Solat subuh memang jarang dilaksanakan.

                  Macam mana niat mandi taubat? Zarul tanya dirinya sendiri. Niat dalam bahasa melayu boleh ka? Ahh..hentam sajalah. Sahaja aku mandi sunat taubat kerana Allah taala. Zarul mula berniat dan membasahkan seluruh tubuhnya dari kepala hingga kaki. Dia membersihkan dirinya seolah-olah dia sedang membasuh semua dosa-dosanya.

                 Selesai mandi, dia keluar menuju ke bilik. Dia mengenakan pakaian bersih dan menghamparkan sejadah. Sambil duduk di atas sejadah dia termanggu seketika. Macam mana nak niat solat tahajud ni? Mahu atau tak, Zarul bangun dan menuju ke rak buku yang ada di dalam biliknya. Dicarinya buku panduan solat-solat sunat yang pernah dibelinya beberapa tahun lalu. Buku itu dibeli dan hanya dijadikan perhiasan di atas rak buku itu.

                   Dia mencari cara-cara untuk melaksanakan solat sunat Tahajud, solat sunat Hajat dan solat sunat Taubat. Dia membaca dengan teliti surah apa yang perlu dibaca. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk membaca surah yang paling mudah, yang sudah dihafalnya. Tak perlu nak susahkan diri sendiri. Cukuplah dengan Al-Fatihah surah yang paling wajib dibaca dalam setiap rakaat. Surah Al-Kafirun pada rakaat pertama selepas surah Al-Fatihah dan surah Al- Ikhlas adalah surah lazim untuk rakaat kedua. Ringkas dan mudah. Asalkan niat solat sunat tu betul.

                   Selesai mengerjakan tiga solat sunat, Zarul terus berteleku di atas sejadah. Dia beristighfar sebanyak seratus kali. Berzikir sebanyak seratus kali, berselawat juga sebanyak seratus kali dan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak seratus kali. Zarul benar-benar ingin kusyuk pada setiap ibadah yang dilakukan. Dia benar-benar ingin menjadi seorang hamba Allah yang tahu bersyukur.

                    Selepas selesai semuanya, dia termenung lama di atas sejadah. Tiba-tiba hatinya menjadi sayu. Dia ingin menangis semahu-mahunya tapi mindanya menegah. Kenapa perasaan ini hadir dan emosinya seolah-olah sedang dijentik sesuatu.

                  Tanpa sedar, air mata Zarul gugur juga. Dia kalah untuk mengawal emosinya. Ya Allah, ampunkan aku Ya Allah. Aku lalai, aku leka dengan dunia ini hingga aku lupa dengan kewujudanMu. Ampunkan aku Ya Allah, yang sombong, yang bongkak dengan apa yang aku ada. Aku lupa diri, aku lupa bahawa apa yang aku ada ni hanya sekadar pinjaman. Ampunkanlah semua dosa-dosaku Ya Allah, yang selalu engkar dengan semua perintahMu. Aku buat apa yang Kau larang dan aku tinggalkan apa yang Kau suruh.

**************

                    Bangun pagi ni, semangat Zarul luar biasa. Dia bangun solat subuh dan buat juga solat sunat dua rakaat. Zarul mula sedar kekurangan dirinya selama ini. Dia banyak mengabaikan perintah Allah. Solatnya tak pernah cukup lima waktu. Nak bersolat berjemaah ke masjid, jauh sekali. Hari jumaat pun kadang-kadang saja dia pergi. Solat sunat Hari Raya pun tengok pada mod dia, kalau raya teringin nak pergi, maka pergilah dia. Kalau tak, dia akan terbongkang tidur dalam rumah hingga tengahari.

                 Hidupnya terlalu bebas sejak remaja. Ibu dan abahnya hanya menghulurkan duit tapi tidak pernah beri dia didikan yang sempurna. Dia sudah mampu berdikari sendiri. Hal agama ditolak ke tepi. Yang penting, duitnya tidak pernah kering.

                 Zarul memulakan hari barunya dengan membuka laptop dan mengedit video lagu-lagu nasyid pula. Sesekali berubah angin. Bisiknya di dalam hati. Selesai mengedit, dia pun mula membuka laman sosial. Masuk saja ke laman sosial muka buku, peti masuk muka bukunya dihujani mesej bertalu-talu.

Amira Hasan : Encik, meggi ada stok lagi tak? Kami nak order.

Zarul Hensem : Ada lagi. Nak berapa?

Amira Hasan : Sepuluh. Berapa?

Zarul Hensem : Tinggal di mana ni?

Amira Hasan : UUM

Zarul Hensem : Aik, takkan orang UUM makan meggi?

Amira Hasan : Bukan selalu, simpan untuk time kecemasan saja.

Zarul Hensem : Cari lagi orang yang nak order, lagi banyak order, abang kasi diskaun, satu pek rm3.00 jer.

Amira Hasan : Biar betoi?

Zarul Hensem : Yupp..abang pun nak buat pahala jugak. Dunia dah akhir zaman ni.

                 Zarul tersenyum sambil menaip. Dia memang rugi banyak kalau jual dengan harga murah macam tu. Tapi, kalau tak dijual, nanti rosak pula. Dia bukannya nak makan sangat. Selepas berbual itu dan ini dan menetapkan tempat mana yang harus dihantar, Zarul terus scrool laman utama muka buku. Terjumpa pula dengan satu komen yang telah di screenshot oleh netizen dan menjadi viral.

Surihana Jamaludin : Duit gaji cikgu-cikgu yang cuti dua minggu tu bagi kat parent la yang kena jaga anak-anak di rumah.

                    Zarul tersenyum senget. Ibu bapa sekarang ni semakin gila. Ingat cikgu-cikgu tu belajar tinggi-tinggi untuk mengasuh anak-anak mereka ka? Ibu aku punya nak jadi cikgu sampai abaikan keluarga hingga akhirnya diceraikan.

                   Zarul mula imbas kembali seperti apa yang dia tahu. Ibunya ketika masih anak dara hanya mengajar di sekolah tabika kemas. Dia terpaksa berkursus ke sana ke sini dan akhirnya bertemu jodoh dengan abahnya.

                  Ibunya masih tidak puas hati sebagai guru tabika Kemas dan melanjutkan pelajarannya hingga berjaya. Puas berusaha untuk tumpukan perhatian dalam pelajaran hingga suami dan anak diabaikan. Melihat kesungguhan ibunya, Zarul hanya mampu berdiam diri kerana faham ibunya juga mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang pendidik.

                 Tapi, dunia zaman ini, jasa guru tidak lagi dihargai. Bermacam tohmahan dilemparkan. Melampau betul.

Zarul Hensem : Ibu bapa yang berperangai begini seeloknya di sekolahkan semula. Agaknya, masa zaman kecil dulu tidak disekolahkan. Dah gatai nak menikah sebab tu bodoh tak boleh diajar. Bengap tahap kritikal hingga dah tinggal nyawa-nyawa ikan tahap bebal mereka tu.

                 Zarul terus meninggalkan komen. Sedetik kemudian...astaghfirullah hal azim, semalam baru aku buat solat sunat taubat. Hari ni aku buat lagi.

                  Allah, maafkan aku. Ini kali terakhir. Aku janji, geram sangat ni. Ibu aku pun seorang guru. Dia mencerca guru sama macam dia mencerca ibu aku.

Reply

Misah Seman : Zarul Hensem betoi2, aku setuju sangat dengan statement ni. Zaman aku sekolah dulu, kami baru habis exam, dah ada kawan sekelas yang berhenti sekolah untuk berkahwin. Umur baru 16 tahun dah kawen, mungkin dia ni pun kawen muda.

                 Zarul mendapat pemberitahuan, ada orang membalas komennya. Dia klik pemberitahuan tu dan membacanya.

Zarul Hensem : Aku rasa hang lagi bodoh daripada orang tu. Ibu aku dulu pun kawen muda. Aku dilahirkan ketika ibu aku umur 17 tahun tapi ibu aku tak sebodoh perempuan ni sebab ibu aku sambung belajar selepas aku lahir. Dan sekarang ibu aku seorang pengetua sekolah.

Misah Seman : Zarul Hensem, ayat hang boleh tahan noo..aku sokong hang, kutuk aku pulak.

Zarul Hensem : Bila masa aku suruh hang sokong aku? Tak ada pun, kan?

                 Zarul terus menaip apa yang ada dalam mindanya tanpa berfikir apa yang orang akan rasa. Lepas itu dinding muka buku Zarul terus diserang. Misah Seman angkat geng masuk ke dinding muka bukunya. Semua pos-pos Zarul diterjah. Zarul hanya membaca tanpa membalas, kemudian dia padam semua komen dan mula senarai hitamkan nama-nama penyerang tak diundangnya.

Ibu : Zarul, ibu dah bank in duit Zarul bulan ni. Kalau tak cukup, Zarul bagitau yer.

                   I-Phone Zarul berbunyi dan ada mesej yang masuk melalui WhatsApp. Zarul baca sambil tersenyum.

Zarul : Terima kasih ibu.

                     Zarul membalas dengan ucapan ringkas sambil memberi emoji love. Ibunya terus senyap selepas itu.

Hakim : Rul, duit kau aku dah bank in rm500. Sorry Rul, aku belum cukup duit untuk bayar semua. Nanti aku bank in lagi baki selebihnya.

Zarul : Ok, kau nak bayar balik pun ok dah. Aku no hal. Terima kasih Hakim.

                    Masuk pula mesej daripada kawan baiknya Hakim. Bulan lepas Hakim terdesak kerana isterinya masuk hospital dan memerlukan duit. Dia pinjam dengan Zarul seribu lima ratus. Zarul buka pula mesej yang seterusnya. Mesej daripada abahnya pula dibaca.

Abah : Abah dah bank in rm5,000 sebab atuk kau jual tanah kebun dia. Abah dapat bahagian abah jadi abah nak kongsi dengan anak-anak abah. Habis perintah kawalan pergerakan ni, datang rumah abah. Nak buat kenduri kesyukuran sikit. Lagi pun Zetty nak bertunang.

Zarul : Alhamdulillah. Terima kasih abah. Zetty nak bertunang dengan sapa abah?

Abah : Dengan kawan lelaki dia la.

Zarul : Iyalah abah, Rul kenal ka kawan lelaki dia tu?

Abah : Eh, manalah abah tahu kau kenal ka tak.

                 Zarul terkekek ketawa sambil kepalanya digelengkan berkali-kali.

Zarul : Takpalah abah, nanti Rul mesej Zetty, tanya dia sendiri.

                   Mereka tamatkan perbualan mereka tapi Zarul tak berhajat untuk menghantar mesej pada adiknya sekarang. Banyak lagi kerja yang harus diselesaikan.

*************


                   Zarul terus scroll laman utama muka buku akaun palsunya. Dia berhenti membaca status rakan muka buku yang pernah diserangnya sebelum ini.

Szaza Yan

Apa yang mereka fikir? Wang dan makanan paling pentingkah ketika ini sedangkan orang di barisan hadapan sedang berjuang mempertaruhkan nyawa mereka demi merawat pesakit covid 19.

Apa? Mereka tak perlu diberi bantuan dan makanan sebab mereka sudah ada gaji? Allahu Akhbar, ceteknya pemikiran hambaMu itu Ya Allah. Yang mereka nampak hanya kesusahan yang mereka alami. Yang mereka nampak hanya diri dan keluarga mereka.

Tidakkah mereka tahu Allah lebih berkuasa dari segalanya dan rezeki tu Allah yang bagi. Allah dah gerakkan hati orang-orang yang bermurah hati untuk membantu perwira-perwira yang sedang bertarung nyawa di barisan hadapan.

Mereka itu hanya rakyat yang disuruh duduk di rumah saja, itu pun ramai yang tak patuh. Entah-entah solat dan amal ibadah pun barai. Hanya Engkau yang mengetahui segalanya Ya Allah.

Allah Maha Adil, Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Allah lebih tahu siapa yang lebih memerlukan bantuan di saat ini.

Kata tak ada duit nak makan? Topup internet boleh pula. Kalau tak ada internet macam mana boleh online dan taip status dan menaip komen.

Betullah, zaman akhir ini..Allah dah ambil orang baik-baik dan orang alim. Yang bakal tinggal atas dunia nanti hanya orang yang alim-alim kucing dan non muslim saja.

Allahu Akhbar, dunia semakin nazak dan netizen semakin rancak menyalah gunakan jari jemari mereka. Sampai bila mereka nak butakan mata dan butakan hati. Sesekali celiklah minda dan mula muhasabah diri sendiri pula.

Kita sebagai hamba Allah takkan pernah sempurna. Berhentilah menjadi manusia perasan diri tu baik!

Nota : Kenyataan sememangnya pahit untuk ditelan!

                   Sebaik habis membaca, Zarul tersenyum sendiri. Zarul ingin menguji lagi rakan muka bukunya ini. Dia pun mula menaip.

Bujang Terlajak : Pahit tu sepahit mana? Hempedu ka?

                    Lama dia menunggu balasan, sambil tu dia terus scroll lagi laman utama muka bukunya. Masuk pemberitahuan dan Zarul melebarkan senyuman tanpa sedar.

Reply

Szaza Yan : Bujang Terlajak ikut kemampuan sendiri. Mungkin ada yang rasa pahit macam hempedu, mungkin juga macam akar sequntun.

Bujang Terlajak : Szaza Yan akar sequntun? Apa tu?

Szaza Yan : Aik, ingatkan pandai sangat, akar sequntun pun tak tahu. Inilah dia, salah seorang manusia yang perasan. Dok perasan diri tu pandai sangat, dok cop orang ni bodoh, orang tu bodoh, akhirnya Allah buka pekung dia pula. Akar sequntun pun tak kenai. Buatlah reseach!

                   Hati Zarul mula terbakar, terus hangit. Alih-alih aku juga yang kena! Hati Zarul mula mengomel.

Bujang Terlajak : Szaza Yan Boleh tahan ayat-ayat hang noo..

Szaza Yan : Bujang Terlajak terima kasih bro, baru tahu ka? Jangan ingat hang sorang saja bijak. Orang lain pun bijak juga, cuma malas saja nak cari gaduh.

 Bujang Terlajak: Ek eleh, hang pun perasan. Bijaklah sangat!

Szaza Yan : Bujang Terlajak bijak sikitlah daripada hang! Lalalala..

Bujang Terlajak : ???????

Szaza Yan : Haih! Awat tu? Dah tak ada idea nak bahas ka? Hahaha...

                Zarul mencebik, terasa panas saja jiwanya. Hatinya berdongkol geram. Nak terus menjawab atau bo layan saja? Dia terus menyoal di dalam hati.

Bujang Terlajak:Szaza Yan ada! Cuma malas ja nak layan. Buang karan!

Szaza Yan : Oh, ya? Nak tanya, hari tu suruh buat solat sunat semua tu, hang buat dak? Dan hasilnya? Hang tak PM aku pun. Tak buatlah tu?

                     Hati Zarul terus membara. Nak provokasi aku pula dia ni? Aku buatlah! Ngok sungguh. Hiesy...

Bujang Terlajak: Szaza Yan Jangan pandang aku sebelah mata. Aku buatlah.

Szaza Yan : Bujang Terlajak Macam mana hasilnya?

Bujang Terlajak : Szaza Yan Biasa ja.

Szaza Yan :  Bujang Terlajak buat tak ikhlas la tu. Sebab tu takdak hasil.

Bujang Terlajak : Woiii...

Szaza Yan : Bujang Terlajak hahahahaha..

                    Zarul tak suka kalah dan dipersendakan. Dia mencari akal untuk menjawab juga. Teringat dengan kejadian pagi dia bangun untuk buat semua yang dicadangkan itu. Dia mendapat banyak duit. Abahnya telah bank in melebihi biasa. Ibunya juga telah bank in lebih daripada biasa. Kawan baiknya pun telah membayar duit yang telah dipinjam. Petangnya pula, jiran sebelah rumahnya pula menghantar lauk yang tak habis dijualnya.

Bujang Terlajak : Szaza Yan Sebenarnya, ada rezeki yang masuk melebihi hari biasa. Maknanya, aku benar-benar ikhlas melakukannya.

                 Zarul terus berterus terang tanpa ragu-ragu. Dia menunggu balasan dalam debaran. Lama dia menunggu hingga setengah jam barulah rakan muka mukanya memberikan respon.

Szaza Yan : Bujang Terlajak Alhamdulillah, sekarang hang percayakan, rezeki tu daripada Allah. Memintalah hanya pada Allah tanpa sebarang perasaan syak wasangka. Allah tu Maha Pemurah. Kita sebagai hamba ini saja yang bongkak. Allah cuma suruh solat dan tunaikan perintahnya saja tapi kita hanya tahu buat hal sendiri. Ibadah yang disuruh kita abaikan. Lepas tu mula nak tuding jari, menyalahkan orang itu dan ini. Kita saja yang betul. Sesekali cermin diri sendiri dulu. Manusia ni selalu terlupa, satu jari dituding pada orang lain, lagi empat jari sedang menuding diri sendiri.

                    Zarul membaca sambil mengerut kening. Dalam masa yang sama dia luruskan jari telunjuk dan mengengam empat jari yang lain. Ehh? Mana ada empat jari pun. Tiga saja. Ibu jarinya tak boleh digengam pun.

Bujang Terlajak : Szaza Yan Hang ni takdak prinsip ka, ghitu bukan main bersopan lagi awak, saya bagai. Ghini aku, hang pulak.

Szaza Yan : Bujang Terlajak Aku dah malas nak berbahasa pada orang yang tak gheti nak berbudi bahasa. Zaman la ni, zaman give and take. Apa hang bagi, itulah yang hang dapat.

                    Adoi, kena lagi. Zarul garu kepalanya yang tidak gatal dan bibirnya terus tersengeh. Kali ini dia tidak marah pun.

Szaza Yan : Nak tanya sikit, boleh dak? Awat boh nama bujang terlajak?

                    Zarul bulatkan matanya seluas mungkin. Busy body juga dia ni? Ini facebook fake aku kot. Zarul berceloteh dalam hati. Zarul memilih nama Bujang Terlajak kerana umurnya sudah mencecah tiga puluh tujuh tahun tapi masih belum bertemu calon yang sesuai. Macam Allahyarham P. Ramlee kata dalam filem Musang Berjanggut, betina ramai tapi perempuan tu yang payah nak cari.

                    Bukan dia tak ada kawan perempuan tapi kebanyakannya muka saja cantik tapi otak letak di kepala lutut. Muka tebal dengan alat solek. Payah nak jumpa dengan perempuan yang berwajah asli. Kebanyakan yang tak suka bersolek ni lebih suka low profile. Kalau dalam muka buku payah nak jumpa mereka muat naik gambar sendiri.

                    Yang selalu muat naik, gambar yang sudah diedit menjadi putih melepak. Bukan tak pernah dia jumpa. Sudah banyak kali dia terkena. Tengok dalam alam maya, hati dia sudah tergoda tapi bila buat temu janji, sekali tengok yang datang tak sama pun dengan dalam alam maya.

Bujang Terlajak : Szaza Yan Belum ada jodoh. Nak tolong rekomen ka?

                   Zarul mendapat ilham untuk membalas sambil tersenyum lebar.

Szaza Yan : Bujang Terlajak maaf belum pernah terniat dalam hati untuk jadi ejen cari jodoh. Buatlah istikharah dan mohon petunjuk pada Allah supaya dianugerahkan seorang isteri penyejuk hati, pendamai jiwa. In sya Allah.

Bujang Terlajak : Oh, istikharah cinta ya.

                 Zarul terus membalas dan tersenyum. Dia mula membayangkan wajah perempuan yang diingininya. Orangnya mestilah wanita melayu terakhir yang taat dengan perintah seorang suami. Yang pandai menjaga rumah tangga, pandai masak, pandai menghias diri, bab cantik tu kena ada juga tapi biarlah cantik semulajadi. Tak bersolek pun sejuk mata memandang.

*************

                        Hari ini Zarul malas nak online, dia layan game sehari suntuk. Menjelang tengah malam mata dia masih segar bugar lagi. Untuk meluangkan sedikit masa sebelum masuk tidur, dia masuk seketika di laman sosial. Mata Zarul bercahaya membaca setiap pos yang telah dikongsi oleh rakan alam mayanya.

Bermula dengan kes viral di Simpang Renggam Johor hinggalah kes seorang ustaz terkenal dikutuk oleh ustaz lain yang belum pernah dikenalinya. Zarul insaf seketika.

                    Oleh kerana Zarul ingin benar mengenali ustaz tersebut, dia terus mencari muka buku ustaz itu. Terjumpa saja nama ustaz tersebut, terus dia terjah dan membaca setiap komen. Dinding muka buku ustaz itu telah diserang netizen. Zarul malas untuk turut serta. Dia insaf setelah ditarbiah oleh salah seorang rakan muka bukunya.

                     Biarlah netizen terus menambah dosa-dosa mereka dan biarlah ustaz itu dengan caranya. Aku hanya ingin menjadi pemerhati dalam diam. Zarul berdialog di dalam hati sambil membaca komen-komen yang masuk bertali arus.

                      Teruk ustaz itu dikecam oleh netizen. Itulah, jadi manusia jangan berlagak pandai. Sepatutnya, kita sebagai hamba saling mendoakan. Eh, sejak bila aku jadi baik ni? Zarul bertanya dirinya sendiri di dalam hati sambil tersenyum.

Zarul Hensem

Betullah, orang kata dunia dah akhir zaman. Yang mengaku dirinya sebagai ustaz pun dah pandai membawang. Aku nak berfikiran positif saja. Facebook dia kena heck tu atau pun akaun facebook palsu yang guna nama dia? Dah, tak perlu fikir banyak. Allah lebih tahu hati manusia berbanding aku. Siapalah aku untuk menilai orang lain. Aku pun banyak dosa. Allah tutup aib aku rapat-rapat, kenapa aku nak buka aib orang lain pula?

                   Zarul kemas kinikan status terbarunya. Disangkanya semua orang sudah tidur, namun dugaannya meleset sama sekali. Ada juga rakan-rakan muka bukunya yang respon.

Sabrina Sulaiman : Ustaz mana? Nama apa? Share la, nak baca jugak.

                    Zarul mengelengkan kepalanya berkali-kali. Mak cik bawang sungguh, nak ajak aku bergosip la tu?

Reply

Zarul Hensem : Ntah! Aku dah lupa nama dia.

Zana Zaini : Alaa..ustaz Shahrin tu..dia kutuk ustaz Edy Endrian. Dia dengki la tu, ustaz tu glamour, dia tak.

                  Bila Zarul malas nak beri nama, ada pula yang tolong respon dan siap sebut nama kedua-dua ustaz tu lagi. Zarul tak menunggu lama, terus dia padam status tersebut. Ahh..tidur lagi bagus. Bergosip ni sampai ke mati pun tak habis. Status aku pakat dok bergosip, sekali dengan aku tumpang sekali dapat dosa. Zarul terus keluar dari akaun muka buku tersebut dan masuk pula ke akaun muka buku Bujang Terlajak.

                    Dia scroll laman utama dan membaca kisah yang sama. Dia malas untuk terus membaca hinggalah dia terjumpa status terbaru rakan muka bukunya Szaza Yan. Kali ini dia tak mahu memberikan komen di dalam ruangan komen, sebaliknya dia telah menghantar mesej ke dalam peti masuk Szaza Yan.

Bujang Terlajak : Assalamualaikum akak, belum tidur ka?

                Zarul terus berbudi bahasa, siap berakak bagai lagi. Dia sabar menunggu balasannya, kerana nama tersebut memang sedang online.

Bujang Terlajak : Akak, reply la. Nak tanya something ni. Antara hidup dan mati. Tak boleh tanya dalam wall sebab ni rahsia.

Szaza Yan : Waalaikumusalam. Maaf, suami akak dah tidur. Tak berani chat sebab belum minta izin dia.

Bujang Terlajak : Alaa..bukan nak bercinta dengan akak pun. Nak tanya sikit ja.

Szaza Yan : Nak tanya apa?

Bujang Terlajak : Kalau ustaz kutuk ustaz, berdosa tak?

Szaza Yan : Ustaz tu manusia ka alien?

Bujang Terlajak : Seriuslah akak..

Szaza Yan : Tentulah..tak kiralah apa pangkat yang kita pegang pun, kalau kata-kata kita tu menyakitkan hati orang lain, selagi kita tak minta maaf dan orang itu tidak memaafkan, memanglah berdosa.

Bujang Terlajak : Pendapat akaklah, ustaz yang kutuk orang tu sebab apa?

Szaza Yan : Wallahu'alam.

Bujang Terlajak : Bagilah pencerahan sikit.

Szaza Yan : Maaf, akak bukan ustazah, lagi pun akak belum dapat ilmu untuk baca fikiran orang.

Bujang Terlajak : Akak teka la..

Szaza Yan : Jatuh fitnah nanti, kalau tekaan tu tak betul. Ok la, nak tidur dulu.

                Zarul merasa sedikit kecewa tapi dia tidak mahu memaksa. Dia ingin menutup peti masuknya bila I-Phonenya berbunyi lagi.

Szaza Yan : Lebih baik tanya pada yang lebih arif. Tanya dan berchatting dengan isteri orang pun berdosa juga!

                Dusss..asyik-asyik lontarannya berpatah pada dirinya juga. Macam bumerang, kembali kepadanya semula. Zarul hanya mampu tersenyum kelat.

***********

                     Lama sungguh Zarul tidak membuka laman sosial. Dia mencuba untuk tidak muncul di muka buku dan sebagainya.Seksa sungguh rasanya untuk meninggalkan laman sosial ini. Puas Zarul bertahan dan akhirnya hari ini Zarul masuk juga ke laman utama muka buku. Dia  mula membaca setiap pos rakan-rakan alam mayanya.

Amyra Amisha

Hampa nampak kami senang tapi semua tu hutang, hampa tau dak. Aku bukan saja-saja nak minta bantuan tapi kami nak cari duit di mana, bisnes dah tak jalan. Rumah nak kena bayar, hutang bank, hutang kereta, kedai pun nak kena bayar sewa, susu anak-anak lagi. Makan lagi, depa mana pandai makan ikan kering. Depa makan ketam, udang, daging dengan ayam saja. Hampa tau apa, kesusahan kami. Hampa pandai kutuk saja!

                  Zarul membaca status rakan muka bukunya yang penuh dengan emosi itu dengan mata terkelip-kelip. Zarul terus klik pada nama Amyra Amisha. Masuk saja dalam dinding muka buku rakannya itu, Zarul mengerutkan keningnya. Dia klik pula bahagian foto. Banyak pula dia muat naik barang-barang mewah. Ah, bersangka baik saja. Mungkin dia betul-betul terdesak tu.  Aku insaf, tak nak jadi pak cik bawang lagi. Zarul berbisik di dalam hati.

                      Betul ka aku dah insaf ni? Zarul tanya pula dirinya sendiri. Hatinya sedang meronta-ronta untuk menulis komen. Jangan Zarul! Berubahlah sebelum terlambat. Tak rugi pun kalau kau tak komen. Zarul terus berdialog dengan diri sendiri.

Zarul Hensem : Isi sajalah borang, kalau rasa hang layak. Takdak sapa pertikai pun. Orang yang kutuk tu, biaq pi kat depa. Susah keluarga hang bukannya depa tanggung. Tapi tu la PM kata bantuan ni untuk golongan B40, M40 saja, hang golongan mana? T20 ka yang depa kutuk tu? Dulu tak saving ka, dana untuk time kecemasan?

                    Akhirnya Zarul tinggalkan juga komennya. Gatal saja jari jemarinya untuk menaip.

Amyra Amisha : Hang ni sapa? Aku tak kenai hang pun! Blah la wei. Hang peduli apa aku golongan mana pun!

                  Aik! Dia balaslah. Ayat dia boleh tahan. Zarul mengomel di dalam hati.

Zarul Hensem : Bersyukurlah dengan apa yang hang ada. Tu la dulu megah sangat jadi bisneswoman. Syok sangat dok upload, kereta mewah dengan rumah mewah hang. La ni..baru nak buka pekung sendiri. Hutang ka semua tu?

                  Tanpa menunggu lama, Zarul terus membalas. Ayat insaf tadi terus ghaib entah ke mana. Insaflah sangatkan?

                 Zarul termenung panjang, dah kenapa dengan aku ni? Kata tak nak jadi bawang ranger lagi, masih lagi nak komen? Zarul menyoal dirinya sendiri. Biarlah mereka dengan masalah mereka, siapa aku untuk menyibuk urusan peribadi mereka.

                   Tanpa berfikir panjang, Zarul terus klik notis yang naik dan mula masuk ke ruangan komen rakan muka bukunya tadi. Zarul padam komennya. Zarul menarik nafas lega. Maafkan aku Ya Allah. Bantulah aku Ya Allah untuk menjadi hambaMu yang sentiasa bersangka baik dengan orang lain.

                      Zarul mula beristighfar di dalam hati. Dia urut dadanya berulang kali. Payah sungguh untuk jadi orang baik namun sungguh senang untuk jadi orang jahat. Mudahnya untuk masuk neraka tapi sukarnya untuk menempah syurga.

Szaza Yan

Berhentilah jadi bawang ranger, tak ada manfaat pun! Semuanya itu bakal membakar kita di akhirat nanti. Kita akan melalui banyak fasa sesudah mati. Fasa pertama adalah sakratul maut, fasa kedua di alam barkhzah, fasa seterusnya di Padang Mahsyar, rasanya berjayakan kita untuk melalui semua fasa ini kalau kita tak jaga hati dan fikiran kita atas dunia ini.

Amalan kita sudah terlalu banyakkah hingga kita tak berkira untuk sedekahkah semua pahala kita pada orang lain? Ketahuilah hai bawang ranger, setiap kali jari jemarimu menaipkan kata-kata yang menyakitkan hati si polan itu, outomatiknya pahalamu akan masuk ke akaun akhiratnya andai dia tidak membalas dan bila pahalamu sudah habis disedekahlan, dosanya pula akan kamu tapau masuk ke akaun akhiratmu pula.

Bersediakah kamu wahai bawang ranger, untuk mengalas dosa si polan yang kamu kutuk?

Nota : Renungan untuk diri sendiri, jangan jadi bawang ranger. Jangan berbangga untuk jadi bawang ranger. Allah akan murka. Allah tak suka! Jadilah diri sendiri yang hanya suka mengawal tingkah laku sendiri yang juga banyak salah dan dosanya.

                  Zarul membaca status rakan muka bukunya yang bernama Szaza Yan. Dia terasa dengan setiap kata-kata rakan alam mayanya ini. Dia tuju kat aku ka? Zarul menyoal dirinya sendiri.

                  Allah, sungguh aku terasa. Tapi, salah dia atau salah aku? Berdosakah dia kalau buat aku terasa? Tapi, dia sedang menegur atau sedang menyindir aku? Zarul mula keliru.

Bujang Terlajak : Perli I ka kak chik?

Szaza Yan : Bujang Terlajak, belajarlah membezakan teguran dengan sindiran. Awak masih jadi bawang rangers ka? Berubahlah sebelum terlambat.



Bujang Terlajak : Szaza Yan I terasa tau, jadi kak chik pun berdosa jugak la sebab buatkan I sakit hati.

Szaza Yan : Akak tak ada niat untuk menyakitkan hati sesiapa pun. Hanya Allah yang mengetahui. Awak jangan terlalu cepat mengambil kerja Allah untuk menjatuhkan hukuman pada orang lain. Biarlah Allah saja yang menjatuhkan hukuman pada setiap hamba-hambaNya kerana Allah saja yang tahu dan berhak untuk menghakimi. Dosa atau pahala hanya Allah yang berhak untuk menilainya.

                  Zarul sentap lagi, pedihnya terasa hingga ke lubuk hati yang paling dalam. Dia pegang dadanya dan air matanya turut bergenang tanpa sedar. Sakitnya tuh di sini. Dia tepuk dadanya dan menyebut Allahu Akhbar berkali-kali. Bila aku nak insaf ni? Aku masih berburuk sangka dengan orang lain? Berdosakah aku Ya Allah?

*************

                        Zarul kemurungan. Masuk di laman sosial dia terpaksa menahan diri untuk terus meninggalkan komen. Bila tak online dia hanya main game saja, lama kelamaan dia menjadi bosan. Bila dia buka youtube, tak ada satu video pun yang menarik minatnya. Nak buat apa ni? Nak keluar jalan-jalan pun tak boleh. Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan dua minggu lagi. Buntu sungguh ni.

                       Apa nak buat ni? Dia menyoal dirinya lagi. Kemas rumahlah. Zarul mengambil keputusan mudah.

                      Zarul memulakan operasi mengemas rumah. Sebelum memulakan kerja, dia membuka radio Kedahfm. Dj yang sedang berkerja di konti sedang memasang lagu-lagu rancak. Sesekali dj yang bertugas akan bersuara. Siapa dj tersebut, dia tak mahu ambil tahu, yang penting kerjanya selesai dengan jayanya. Perkara pertama yang dia buat adalah membuang sawang. Rumah orang bujang boleh dikongsi dengan labah-labah, barulah boleh berteman.

                    "Maafkan aku spider, hari ni rumah hampa aku terpaksa robohkan, kalau tak mission aku nak kemas rumah tak jadi la." Zarul bersuara kuat seolah-olah semua labah-labah memahami kata-katanya.

                   "Sepanjang perjalanan ini, lembah dan lurah ku lewati..ketenangan yang ku cari belum ku temui..." Zarul mula menyanyi mengikut rentak lagu di dalam radio. Lagu Zaiton Sameon sedang berkumandang di corong radio.

                  "Ku menghimpun doa bertahun..." Zarul menghentikan nyanyiannya di situ. Lagu Zaiton Sameon terus tengelam timbul.

                   "Sapa pulak yang call ni? Baru nak rajin sikit, ada pulak orang yang sudi nak kacau aku la." Zarul bersuara menyatakan rasa tidak senangnya. I-phone yang terletak di atas almari segera dihampiri. Melihat nombor di skrin I-phonenya, Zarul mengerutkan keningnya. Sapa pulak ni?

                    "Hello!" Zarul bersuara kuat untuk berlawan dengan suara radio yang telah dikuatkan suaranya.

                  "Ni Zarul Hensem ka?" suara di hujung talian mula menyoal.

                      "Yupp..aku Zarul. Tapi taklah hensem sangat pun. Sapa ni?" Zarul membalas sambil senyum meleret. Ini kali pertama orang memanggilnya dengan nama Zarul Hensem.

                     "Saya tengok iklan encik Zarul pasai meggi tu. Ada lagi dak, nak order, boleh?" Zarul mengerutkan keningnya lagi. Ingatkan orang dah lupa dengan iklan mee segera dia tu. Ada lagi ka yang berminat?

                   "Oo..meggi tu, dah habislah. Saya dah jual." Zarul bersuara sayu. Terasa sedih kerana terpaksa mengecewakan pelanggannya.

                   "Oh, ya ka? Saya dengar kawan-kawan saya cerita encik Zarul jual dengan harga murah, lepas tu sedekahkan lagi. Ingatkan ada lagi." suara itu kedengaran sikit kecewa.

                       "Awak nak ka? Saya pun sedang berniat nak menderma ni. Buat pahala sikit musim PKP ni. Kebetulan awak call ni..bolehlah saya cari pahala. Awak WhatsApp saya dan tinggalkan alamat dan nombor telefon, nanti bila free saya pi hantar." Zarul mendapat satu ilham. Kebetulan dia juga mendapat duit yang Perdana Menteri umumkan tu. Sudah rezeki dia. Ingat mak cik Kiah saja yang dapat ka? Aku pun dapatlah! Zarul berdialog di dalam hati sambil tersengeh.

                      "Ehh..tak payahlah encik Zarul. Buat malu saja. Akak ni ibu tunggal, nanti apa pulak kata orang." suara itu berbunyi lagi.

                      "Macam tu pulak? Saya ikhlas ni nak buat amal jariah. Kebetulan saya baru dapat durian runtuh ni. Rugilah kalau makan sorang-sorang. Ada kawan saya cakap, duit sedekah tu barulah duit kita. Duit dalam bank tu bukan milik kita. Bagilah chance saya nak buat amal jariah sikit."

                        "Allahu Akhbar, mulianya hati encik Zarul ni. Takpalah, nanti saya tinggalkan alamat, teringin juga nak bertemu muka dengan encik Zarul yang baik hati ni."

                   "Ehh..jangan macam tu. Saya ni taklah baik sangat. Takpalah, tinggalkan dulu apa yang patut dalam WhatsApp, nanti free saya hantarkan. La ni ada gheja sikit."

                      Zarul menjadi malu sendiri bila disangka dia baik hati, padahal dia tidaklah sebaik mana pun. Bila baca di laman sosial sebelum ni, ramai rakyat Malaysia yang tak ada makanan untuk dimakan, dia jadi simpati.

                     Zarul meneruskan kerjanya mengemas rumah. Selesai membuang sawang, dia mengambil vacum pula untuk membersihkan lantai. Baru separuh kerja rumah dilakukan, dia sudah kepenatan. Macam manalah orang perempuan buat kerja rumah selama ni, terutama yang ramai anak-anak kecil? Zarul berdialog lagi di dalam hati.

                  Dalam keadaan Zarul yang lelah, I-phone Zarul berbunyi lagi. Zarul menghampiri I-phonenya dan membaca mesej yang masuk ke dalam WhatsApp.

                 "Orang Kuala Kedah ka? Senang sikit kerja aku. Taklah jauh mana pun." Zarul berkata perlahan bila melihat alamat yang tertera.

Zarul : Boleh saya tahu nama puan.

                  Zarul membalas mesej tersebut. Orang yang menghantar mesej tersebut hanya memberi alamat dan nombor telefonnya saja.

Orang tu : Hamizah binti Hamdan.

Zarul : Terima kasih puan, boleh saya tahu, berapa ahli keluarga yang tinggal dalam rumah puan?

Orang tu : Untuk apa ya?

Zarul : Maafkan saya bertanya, sekadar nak tahu saja.

Orang tu : Saya tinggal bersama emak saya dan emak mertua yang sedang sakit sebab strok, suami dah meninggal tiga tahun yang lalu. Anak saya baru tiga orang, dua antaranya OKU.

Zarul : Mak mertua puan tinggal dengan puan? Dia tak ada anak lain ka untuk jaga dia? Kenapa puan yang jaga dia?

Orang tu : Ada, tapi semuanya sibuk. Saya jaga dia sebab suami saya anak sulung, lagi pun saya ingin berbakti pada dia. Salahkah?

Zarul : Eh, tak salah pun. Nampaknya puan lagi baik hati dari saya ni.

Orang tu : Dah tanggungjawab saya.

Zarul : Maaf bertanya, puan kata nak meggi sajakan? Untuk sapa tu? Takkan nak jamu keluarga puan makan meggi saja?

Orang tu : Saya tak mampu nak bagi makan sedap2, saya dengar encik Zarul jual murah, sebab tu saya mesej awak.

                    Allahu Akhbar, Zarul terduduk di atas sofa. Niat untuk terus mengemas dilupakan saja. Talian dimatikan selepas dia memberi salam. Zarul terus menuju ke bilik air untuk membersihkan diri.

                   Usai mandi, Zarul terus bersiap dan mengambil kunci kereta. Pasaraya ditujunya. Dalam hati, Zarul sudah merancang barang-barang dapur yang akan dibeli. Rasanya yang paling penting mungkin beras, gula, minyak, susu, bawang, cili, roti, biskut, kopi, teh..apa lagi? Zarul mula merancang dalam mindanya. Sardin, ikan bilis, telur, ayam, daging? Zarul terus berdialog di dalam hati. Kalau puan Hamizah tu cantik, mungkin boleh adjust buat bini? Eh? Zarul terus tersenyum sendiri.

***********

                "Assalamualaikum!" Zarul memberi salam sebaik saja dia berada di depan sebuah rumah yang sudah uzur. Rumah separuh papan dan simen.

                Beberapa minit menunggu tiada respon dari dalam rumah, Zarul mengeluarkan I-phonenya dan mendail nombor Hamizah. Panggilannya juga tidak dijawab. Zarul mendekati rumah itu, ada tingkap yang terbuka tapi Zarul tidak berani untuk mengintai. Kata orang tak baik mengintai rumah orang. Cukuplah dengan hanya memberi salam tiga kali saja.

                "Assalamualaikum!" salam kedua diberi, kali ini lebih kuat daripada tadi. Beberapa minit berlalu, ada seorang budak yang muncul di tepi tingkap.

                "Mak kata tunggu sat. Mak dok mandikan tok dalam bilik ayaq." petah budak lelaki itu berkata-kata. Zarul mengangguk dan tersenyum.

                   "Adik, mai sini..abang nak bagi barang. Buka pintu sat." Zarul menyuruh budak lelaki itu membuka pintu yang ditutup rapat.

                   "Mak kata, tak boleh buka pintu kalau orang tak kenai mai. Abang ni sapa, tak penah tengok pun?" Zarul mengaru kepalanya yang tidak gatal. Bijak pula budak ni.

                   "Abang ni..aaa, abang mai nak bagi bantuan. Adik bukalah pintu, abang bukannya orang jahat." Zarul terus memujuk budak lelaki itu. Dia tak mahu menunggu terlalu lama, takut nanti masyarakat sekeliling akan salah faham pula.

                  "Tak boleh! Emak kata, orang yang mengaku orang baik tu la orang jahat sebenarnya." Zarul angkat tangan menyerah kalah. Dia menuju ke arah keretanya dan mengeluarkan semua barang-barang yang telah dibelinya. Dia meletakkan semua barang-barang itu di depan pintu rumah. Dia ingin terus pulang. Takut ada pula polis datang dan menyoal siasat dia pula.

                  "Sapa tu Along?" Zarul mendengar suara seorang perempuan dari dalam rumah.

                  "Abang tu suquh Along buka pintu, dia kata dia nak bagi bantuan. Along tak berani buka, takut kena orang jahat ka."

                  "Ishhh..Along ni, kan mak dah habaq tadi, suquh tunggu orang mai hantaq barang." Zarul tak jadi melangkah. Dia menunggu pintu dibuka.

                 "Assalamualaikum puan, maaf datang awal tak bagitau dulu. Maaflah sebab.."

                  "Encik Zarul ka ni?" Zarul belum habis berkata-kata, wanita yang memakai tudung labuh di depannya ini sudah mencelah. Wajahnya bersih tanpa sebarang solekan. Senyumannya yang terpamer, buat hati Zarul rasa tenang. Ada tahi lalat manis di atas bibirnya.

                    "Ya, saya Zarul..puan Hamizahkan?"

                   "Panggil saja kak Mizah, tak perlu nak puan-puan sangatlah." Zarul tersenyum lagi.

                    "Banyaknya barang-barang ni, saya bukannya ada banyak.."

                      "Puan..semua ni tak perlu dibayar. Saya dah cakap tadikan. Saya nak bagi bantuan untuk keluarga puan." kali ini Zarul pula yang mencelah. Wajah puan Hamizah sudah berubah riak. Sebak terasa.

                       "Banyak sangat ni encik?" serba salah Puan Hamizah jadinya.

                      "Ambillah..saya bantu kerana Allah. Puan tolonglah bantu saya pula, terima barang-barang ni kerana Allah yang mengirim saya ke sini. Mungkin dah tersurat rezeki puan sekeluarga."

                    "Ya Allah..macam mana saya nak balas jasa encik Zarul ni?"

                     "Boleh ja kalau nak balas." Zarul bersuara nakal.

                     "Maksud encik Zarul?"

                     "Jadi bini saya, biar saya pulak yang galas tanggunjawab untuk keluarga awak." tanpa beralas, Zarul menyoal. Wajah Puan Hamizah berubah riak lagi. Zarul pula yang diterpa serba salah.

                     "Maafkan saya puan, kalau saya terlalu biadap?" cepat-cepat Zarul meminta maaf.

                     "Saya balik dulu, puan fikirkanlah tawaran saya tadi. Saya ikhlas puan. Saya serius, saya tak main-main." entah dari mana kekuatan yang Zarul perolehi, lancar saja lidahnya berkata-kata.

                      Wajah Puan Hamizah bagai udang dibakar, terasa wajahnya sedang berbahang. Entah sedang rasa malu atau pun rasa marah. Zarul terus melangkah meninggalkan perkarangan rumah Puan Hamizah sambil mengetuk kepalanya berulangkali dengan kunci kereta.

                         Kenapa dengan aku ni? Tiga puluh tujuh tahun hidup, tiba-tiba berkelakuan sebegini. Di mana adab aku sebagai orang melayu? Zarul menyalahkan diri sendiri atas keterlanjurannya.

                       Zarul pulang dengan hati yang resah. Sebaik saja masuk ke dalam rumah, dia terus merebahkan tubuhnya di atas sofa di ruang tamu. Berkali-kali dia meraup mukanya. Rasa menyesal turut bertandang. Mindanya terus berkerja keras berfikir. Kenapa dan mengapa dia bertindak seperti itu tadi? Hamizah memang ada ciri-ciri wanita idamannya. Tapi, mampukah dia mengalas beban keluarga itu.

                   Zarul terus menghitung baki simpanannya. Rasanya dia mampu, apatah lagi ibu dan abahnya selalu memberi dia wang belanja. Aku tanya ibulah, mungkin ibu dapat memberikan aku jawapannya. Zarul mencapai I-phone dan bangun duduk di atas sofa. Nombor ibunya belum lagi didail, ada mesej yang masuk dalam WhatsApp.

Puan Hamizah : Encik Zarul serius dengan apa yang encik Zarul kata tadi?

                Soalan Puan Hamizah buat Zarul berjeda seketika. Seriuskah aku? Dia tanya dirinya sendiri.

Puan Hamizah : Encik Zarul tahukan, saya ni ibu tunggal anak tiga? Tanggungjawab saya berat. Selain menyara tiga orang anak, saya juga menyara ibu dan ibu mertua saya.

Zarul : Boleh saya tahu, arwah suami Mizah kerja apa dulu?

Puan Hamizah : Nelayan. Pasai pa tanya.

Zarul : Oh..lepas suami Mizah meninggal, Mizah sara keluarga dengan apa? Maksud saya kerja Mizah.

Puan Hamizah : Saya berkebun dan menjual sayur di pasar malam atau pekan nat. Waktu pagi saya jual nasi lemak dan kuih, tapi sekarang ni semua tu dah tak mampu nak buat. PKP kan, pasar malam dah tak buka.

Zarul : Habis tu, sepanjang PKP ni, Mizah beli barang-barang dapur macam mana?

Puan Hamizah : Kami makan bercatu. Memang ada bantuan seperti beras, minyak, sardin dan sebagainya tu tapi saya perlu berjimat sebab takut semua barang-barang dapur habis langsung.

Zarul : Oh...

              Zarul kehilangan kata-kata. Simpatinya terus membuak-buak.

Puan Hamizah : Encik Zarul..

Zarul : Tak perlulah encik tu lagi. Panggil saja Zarul. Saya serius apa yang saya cakap tadi. Kalau Mizah tak keberatan...

Puan Hamizah : Baiklah..begini Zarul, saya dah tanya ibu dan ibu mertua saya, kedua-dua mereka tidak membantah, cuma saya takut, apa pula kata orang-orang kampung nanti. Keluarga Zarul, macam mana?

Zarul : Kalau Mizah sudi, jangan difikirkan lagi cakap-cakap orang. Yang nak nikah tu kita, bukannya orang-orang tu. Saya ni dah lama tinggal sorang-sorang di rumah ni. Sunyi sangat, hari-hari bercakap sorang-sorang. Kadang-kadang ajak labah-labah bersembang, kadang-kadang cakap dengan cicak.

Puan Hamizah : Awat tak nikah ja?

Zarul : Saya tengah ajak awak nikah la ni.

Puan Mizah : Tapi, pasai pa saya?

Zarul : Mungkin Allah yang buka pintu hati saya untuk Mizah.

Puan Hamizah : Umur Zarul berapa?

Zarul : 37, Mizah?

Puan Hamizah : 35

Zarul : Tengok, Mizah lagi muda daripada saya.

                Mereka terus berbual dalam WhatsApp, semakin lama semakin rancak. Zarul juga turut bercerita tentang keluarga ibu dan abahnya. Puan Hamizah turut bersimpati dengan nasib Zarul. Perbualan mereka diteruskan dan Zarul tidak sunyi lagi sejak adanya Puan Hamizah untuk berbual.

***********

                     Zarul yang sedang rancak bermain game berhenti dan menekan butang pause bila I-phonenya berbunyi nyaring.

                    "Assalamualaikum.." Sebaik butang jawab ditekan, Zarul terus memberi salam.

                 "Waalaikumusalam..Zarul, nak buat macam mana ni?" suara seorang perempuan di hujung talian. Zarul sudah cam suara itu.

                  "Awat? Pasai pa?" Zarul bertanya dalam nada suara cemas.

                  "Tadi, ada la orang mai rumah nak bagi bantuan, Mizah cakap dah ada orang bagi beras semua. Dia jenguk dalam rumah, kemudian dia snap gambar. Lepas tu Mizah buka facebook, tengok dia upload gambar tu."

                 "Haa..ingatkan apa. Dia upload gambar masuk facebook sajakan."

                 "Upload tu tak salah, tapi ayat yang dia tulih tu yang sakit hati."

                  "Dia tulih apa?" Zarul menyoal kalut.

                   "Dia kata, Apa salahnya kalau kita cakap "Saya dah cukup bagi la kat org lain pulak." daripada bertimbun buat stok kat rumah. Sama-samalah kita berkongsi barangan agihan." Zarul tayang wajah blurr. Apa masalahnya?

                   "Saya tak fahamlah..dia upload tu gambar apa?" Zarul menyoal lagi.
agar terungkai semua persoalannya.

                        "Dia mai tadi dia snap barang-barang yang Zarul bagi tu. Kemudian, gambar barang-barang tu la yang dia upload. Ramai pula orang yang dok kecam kata kami ni haloba la. Tamak la..tak tau la nak habaq, macam-macam depa dok kata."

                     "Apa masalah depa? Barang-barang tu semua, saya beli dengan duit sendiri, bukan pinjam duit sapa-sapa pun. Yang depa nak kecam pasai pa? Dah rezeki Mizah sekeluarga, kan?" Zarul turut rasa bengang. Kalau dulu, dia juga pernah buat kerja tu, mengutuk orang tanpa usul periksa, kini tidak lagi. Mendengar aduan Hamizah membuatkan hatinya menjadi panas.

                    "Pasai tu la, Mizah pun tak fahamlah dengan orang ramai ni, apa masalah depa? Kami bukannya kacau depa pun. Yang kecam tu pun bukannya kami kenai." Zarul menarik nafas dan melepaskannnya dengan kuat.

                     "Memang pun, lumrah dah tu, nama pun laman sosial. So sial sungguh la!" kali ini suara Zarul bernada geram.

                     "Tak apa ka, barang-barang tu kami simpan semua? Banyak sangat tu, kami tak mau la orang kata kami ni tamak."

                         "Ishh..yang nak kisah sangat pasai mulut orang tu buat apa? Allahkan ada! Allah lebih tahu apa yang berlaku. Semua barang-barang tu memang untuk keluarga Mizah. Takkan itu pun tak faham lagi?" Zarul terkuatkan sikit suaranya. Lama juga Hamizah terdiam.

                      "Maaflah, kasaq sikit. Awak ni lembut hati sangat Mizah. Lepas PKP ni saya suruh ibu bawa rombongan, awak setujukan? Jangan tukar fikiran pulak? Saya dah bosan tinggal sorang-sorang ni." Zarul mula tukar topik. Nanti tak pasal-pasal mereka pula yang bergaduh.

                      "Ikut awaklah.." dan Hamizah diam lagi. Zarul pun hilang ilham untuk terus bercakap lagi.

                   "Sapa nama orang yang upload gambar tu, bagitau nama dia..nak pi ambush sat, kurang asam punya orang." Zarul sengaja mengertak.

                    "Ehh..janganlah macam tu, tak baik bergaduh. Biarlah dia.." Hamizah merasa cemas. Zarul sudah tersengeh gembira. Tu baru gertak sikit. Hatinya yang berdialog.

                    "Alaa..saja nak test awak ja. Mizah masak apa hari ni? Laparlah, belum makan lagi." Zarul tukar topik lagi sambil mengusap perutnya. Asyik main game sampai lupa nak makan, maunya tak lapar.

                     "Kesiannya, nak ajak mai rumah pun PKP ni, tak pasai-pasai kena soal siasat pulak nanti."

                    "Mizah masak mesti sedapkan." Zarul mengayat lagi. Lama juga Hamizah diam sampaikan kutu di kepala Zarul hampir mati. Ehhh?

                    "Mizah! Ada lagi ka?" Zarul memanggil nama Hamizah sambil ketawa.

                   "Ada lagi, ermm..Zarul memang cari bini yang pandai masak ka? Mizah tak pandai masak, masih belajar lagi. Mizah jual nasi lemak dengan kuih pun, mak Mizah yang masak, Mizah cuma tolong saja."

                  "Tak apalah, saya pandai masak, nanti biar saya saja yang masak. Almaklumlah, sejak remaja lagi dah tinggal seorang diri. Tak gheti masak, tak makan la. Mana larat nak makan di kedai setiap hari." Zarul terus menawarkan diri. Belum apa-apa lagi, dah berangan.

                   "Oh, Zarul kerja apa?"

                     "Saya buat kerja dari rumah saja. Tak kerja pun, ibu dan abah selalu hulur duit setiap bulan." Zarul berterus terang saja. Memang kerja dia hanya dari rumah. Cukup bulan dapat duit. Yang penting mesti ramai pengikut.

                     "Berniaga online ka?" Hamizah menyoal lagi.

                      "Nak kata berniaga tu, dak jugak. Awak tahukan, youtuber pun dapat duit jugak. Page saya di facebook pun dapat juga payment tu, cuma sekarang ni saya dah malas nak aktiv sangat. Netizen ni pelik sikit. Bila saya pos pasai tempat perlancongan, tempat makan, buka aib orang, ramai sangat yang like dan komen tapi bila share bab agama, krik krik..hanya bunyi cengkerik saja. Habis semua lari pi mana tak tau." panjang berjela Zarul berleter.

                        "Ya la, dunia akhir zaman dah ni, ramai pengikut dajjal yang dah mula muncul. Kadang-kadang macam segan nak online. Penah Mizah tak online sebulan..bila muncul semula, ramai pulak rakan-rakan facebook yang unfriend Mizah sebab Mizah tak aktiv. Ntah la.." Hamizah turut mengeluh di hujung talian.

*************

                     Topik panas di laman utama muka buku buat hati Zarul berbahang bagaikan lahar gunung berapi, namun dia cuba mengawal jari jemarinya supaya tidak meninggalkan komen. Dia terus membaca pos yang dikongsi oleh rakan muka bukunya itu.

                    Sapa Jebon ni? Ehh..sapa Jepri ni? Zarul terus klik nama lelaki tersebut. Oh, seorang penulis? Sepatutnya penulis ini kena tulis yang elok-elok saja sebab seorang penulis mesti ada peminatnya yang tersendiri?

                   Zarul baca dan terus baca hinggalah habis. Ada hastag King di bawah sekali. Raja apa? Raja Kapoor? Ehhh..awat yang aku melalut sangat ni? Sepatutnya aku marah dengan tulisannya ni. Zarul berdialog di dalam hati.

Zarul Hensem

Aku dilahirkan oleh seorang guru. Abah aku juga seorang guru. Asalnya ibu aku hanya seorang guru tabika dan bertemu jodoh dengan abah aku seorang guru sekolah rendah. Selepas melahirkan aku, ibu aku sambung belajar, aku ditinggalkan bersama mak tok sebelah ibu. Opah disebelah abah pula tidak setuju ibu menyambung pelajarannya dan mengabaikan aku dan abah.

Ibu aku berkahwin dalam usia yang sangat muda. Dia mula terpikat dengan abah aku ketika dia di tingkatan lima. Korang tentu tak percayakan, aku dilahirkan oleh seorang ibu yang masih muda remaja.

Kisah ibu dan abah aku macam cerita dalam novel. Keluarga abah dan ibu paksa mereka kahwin selepas hubungan mereka dapat dikesan. Korang tahu, aku dilahirkan ketika ibu aku ambil exam SPM menurut kata ibu. Dia menjawab kertas periksa di atas katil hospital hingga dia dikutuk oleh nurse yang bertugas. Mereka sangka aku ini anak diluar nikah. Ibu aku pekakkan telinga hinggalah seluruh keluarga datang melawat termasuk abah yang mengaku sebagai suami ibuku. Nurse terbabit terus terdiam dan meminta maaf.

Selepas result SPM ibu keluar, ibu lulus cemerlang dan menyambung pelajarannya. Ibu masuk maktab perguruan. Ibu mempunyai impian untuk berjaya dan aku dijaga oleh mak tok selama ibu belajar.

Abah akhirnya bertemu jodoh dengan mak uda, isteri kedua abah. Ibu kecewa dengan abah dan minta cerai. Abah ceraikan ibu dengan cara baik. Abah bahagia dengan keluarga barunya dan ingin mengambil aku tinggal bersamanya. Ibu tak kasi, kata ibu nanti aku mungkin akan didera ibu tiri. Mak tok pun tak kasi sebab mak tok dah terlalu sayangkan aku.

Bila ibu berjaya, abah juga tidak mahu beralah. Abah juga memohon untuk belajar semula dan mengambil kursus. Tapi isteri kedua abah memberi keizinan walaupun dia sedang mengandung  anak sulung abah dengan mak uda.

Hingga hari ini, kedua-dua ibu dan abah sudah berjaya mengapai impian yang mereka inginkan. Ibu seorang pengetua sekolah dan abah seorang pensyarah di sebuah IPT. Mereka berusaha untuk berjaya tanpa mereka sedar, aku terabai. Tapi aku dah biasa dengan kesibukan mereka.

Umur aku lima belas tahun, mak tok yang membesarkan aku meninggal dunia kerana tekanan darah tinggi. Pada mulanya aku tinggal dengan abah. Ibu pula tak puas hati, dia ajak aku tinggal dengan dia. Aku seperti barang yang ditarik dan ditolak ke sana sini kerana direbut ibu dan abah. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk tinggal sendiri bila usiaku mencecah dua puluh satu tahun.

Hari ini di tahun 2020, bila orang sibuk dengan covid 19 dan sedang berperang dengan virus halimunan, ada pula orang yang mencerca insan yang bergelar guru. Sedih aku baca, sebagai anak yang telah diabaikan kerana kedua ibu bapaku berusaha untuk menjawat jawatan seorang guru, ada pula orang lain yang sedang mencerca guru yang banyak sangat berjasa pada semua orang.

Tanpa guru, mungkin aku masih tak mampu baca dan mengira. Aku mungkin takkan mampu untuk menulis. Ya! Abah dan ibu aku seorang guru tapi mereka berdua tidak pernah mengajar aku kerana aku tidak bersekolah di sekolah yang diajar mereka. Pelikkan? Aku bawa haluan sendiri. Aku tak mahu, kawan-kawan aku tahu, aku anak seorang guru. Itu dulu kerana aku rasa marah dengan ibu dan abah tapi sekarang tidak lagi. Bila orang mula mencerca, sedikit sebanyak aku turut rasa sakit hati membaca cercaan orang terhadap seorang guru.

Mereka seolah-olah sedang mencerca ibu dan abah aku. Hei! Orang yang kata kat cikgu tu, dulu tak sekolah kot? Hang keluar pequt mak hang terror dah kot?

#covid19
#StayAtHome
#kingcontrol

                 Zarul telah mengemas kini statusnya di dinding muka bukunya. Panjang berjela dia bercerita tentang dirinya dan kedua ibu bapanya. Dia puas sebab dapat meluahkan semuanya. Di akhiri coretannya dengan loghat Kedah. Geram sangat rasanya. Sesekali, dia juga teringin untuk bercerita. Ingat mereka saja boleh cerita semuanya?

                   Zarul membaca komen pertama yang masuk dengan seribu satu perasaan. Salah ka apa yang aku tulis? Aku bukannya belajar seperti ibu dan abah aku. Habis SPM aku belajar kolej swasta, tu pun aku belajar main-main saja. Tak pernah pun dapat keputusan cemerlang. Sejak sekolah, aku cuma minat dengan komputer saja. Aku ambil kelas yang ada kena mengena dengan komputer dan media massa. Manalah aku tahu apa dan ibu dan abah aku belajar.

Asraf Pomen : Hang nak mohong apa? Daripada cikgu tabika terus naik jadi pengetua? Daripada cikgu sekolah rendah terus naik jadi pensyarah? Hang nak mohong pun, agak-agak la. Umur 17 jadi cikgu tabika? Ambik periksa atas katil hospital? Sikit pun aku tak percaya!

                       Zarul mengaru kepalanya lagi. Salah ka cerita aku? Dia tanya dirinya lagi. Itu yang dia ingat. Ibu dan abahnya berlawan siapa yang lebih berjaya. Mereka bertaruh sesama mereka. Ketika emaknya menunggu keputusan SPM, katanya emaknya buat kerja sementara mengajar di sekolah tabika hingga keluar keputusan. Di mana salahnya cerita aku? Adatlah, kalau berusaha, tentulah boleh naik pangkat. Orang yang jadi pensyarah tu, memang mula kerja saja terus jadi pensyarah ka? Zarul menyoal dirinya lagi.

Zarul Hensem : Bohong tang mana? Aku tak nampak bohongnya pun. Ibu dan abah aku bukannya naik pangkat dalam masa sehari. Bayangkan sendiri, aku lahir umur ibu aku baru 17 tahun, dia mengajar tabika tu kerja part time saja sebelum result SPM dia keluar. Masa tu aku baby lagi. Mak aku mula mengajar masa umur dia dua puluh lebih. Dia mengajar pun dia tak puas hati. Dia buat master, lepas tu belajar dan terus belajar tanpa henti. Hang cakap, macamlah hang ada pengalaman lebih daripada ibu dan abah aku?

                      Zarul membalas komen tersebut sebab dia sendiri pun tak jumpa di mana salahnya cerita dia. Perdana Menteri pun bukannnya terus jadi Perdana Menteri. Ada peringkatnya juga. Menapak selangkah demi selangkah. Sekarang umurnya sudah 37 tahun. Ibunya sudah berusia 54 tahun. Uban sudah memutih di kepala. Anak-anak pun sudah besar semuanya. Adik-adik perempuannya sudah ada dua orang yang kahwin. Anak mak uda dengan abah. Adiknya yang nombor 4 bakal bertunang. Anak ibunya dengan suami kedua pun sudah remaja belia.

Asraf Pomen : Awat? Bangga sangat la jadi anak pengetua, anak pensyarah? Cerita hang pun tak betoi. Eksyen ja lebih! Puii..

                Hati Zarul mula terbakar. Dia sudah malas untuk membalas. Cara mudah dia gunakan saja kemudahan yang ada. Dia klik butang delete dan padam komen tersebut. Dia klik pula nama Asraf Pomen dan block nama tu. Nak padam cerita dia, memang taklah. Penat dia menaip panjang-panjang.

*************

                 Allahu Akhbar, kenapa harus ada manusia sebegitu di atas muka bumi ini. Manusia yang tak tahu untuk bersyukur dengan pemberian orang lain. Diberi makanan dan tempat tinggal pun masih nak merungut lagi. Bukannya kena bayar pun. Semuanya percuma. Musim conona virus menyerang, korang sedap pergi makan angin di luar negara, sepatutnya tak perlu balik ke Malaysia lagi dah, kalau begitulah perangai korang.

                  Aku yang baca ni pun rasa semak perut, inikan pula dengan mereka yang nak kena hadap dengan kerenah korang semua. Orang 'kayangan' la sangat. Lebih baik mereput saja di luar negara sana. Baru korang rasa, langit tu tinggi atau rendah. Berlagak tak ingat dunia. Orang yang menjalankan tugas pula dimaki hamun dan dipanggil anjing. Apa yang benak sangat otak tu? Mereka tu buat kerja untuk tapis virus tu agar tidak terus merebak. Semakin lama PKP, semakin merudumlah ekonomi Malaysia nanti.

                      Zarul terus membebel di dalam hati membaca setiap pos yang masuk di laman utama. Ada video, ada gambar yang bercerita dengan lengkap. Ada juga video lagu hari raya. Siap berangan untuk sambut hari raya. Apa nak jadi dengan manusia musim Perintah Kawalan Pergerakan ini? Masing-masing otak semakin sakit agaknya sebab terpaksa berkurung dalam rumah? Sepatutnya, buatlah sesuatu yang berfaedah sikit.

                    Aku buat apa yang berfaedah tu? Ada tak? Zarul tanya dirinya pula. Mindanya mula bekerja untuk mengingat. Aku main game, tonton video dalam youtube, mengemas rumah, memasak dan mencuba resepi baru. Selebihnya buat video call berbual dengan anak-anak Hamizah dan berbual dengan Hamizah dalam WhatsApp. Malam sebelum tidur, aku akan pasang Surah Al-Kahfi dan Surah Al-Mulk. Rasanya, berfaedah ka tak tu? Penuh persoalan minda Zarul.

                     Aku nak kacau kakak tu la, agaknya dia online tak sekarang ni? Zarul terus mencari nama rakan muka buku tersebut dan klik masuk ke dinding alam maya rakan muka bukunya itu. Dia klik messegger dan terus meninggalkan mesej.

Bujang Terlajak : As salam akak, apa habaq?

                   Zarul meninggalkan mesej dan menunggu beberapa minit. Melihat rakan muka bukunya itu sedang online, Zarul terus tersenyum lebar.

Szaza Yan : Waalaikumusalam. Alhamdulillah, masih hidup lagi. Kenapa?

Bujang Terlajak : Nasib baik hidup lagi..hihi. Nak tanya akak la, apa pendapat akak tentang isu orang kayangan yang banyak songeh tu?

Szaza Yan : Sapa tu? Orang kayangan mana?

Bujang Terlajak : Alah, depa yang baru balik luar negara yang dipaksa kurantin tu la.

Szaza Yan : Lantak depa la, cuma kesian la dengan orang yang terpaksa hadap kerenah depa tu.

Bujang Terlajak : Kalau akak jadi orang yang terpaksa hadap depa tu, apa akak buat?

Szaza Yan : Kita buat kerja kerana Allah dan Allah yang hantar mereka pada kita, mahu atau tak terpaksalah kita redha. Ya, cakap memang senang sebab tak kena batang hidung sendiri tapi Allah uji kita mesti bersebabkan? Takkan Allah saja-saja nak uji kita? Allah suruh kita perbanyakkan bersabar jadi kita kenalah kuatkan semangat dan banyakkan berdoa semoga Allah permudahkan urusan kita.

Bujang Terlajak : Wow! Kenapa dulu akak tak mohon saja kerja gomen?

Szaza Yan : Akak sejak kecil tak pernah berangan-angan nak kerja di barisan hadapan ni. Walaupun, pernah juga tulis cita-cita nak jadi guru dan polis, hihi. Tapi, rezeki akak..Alhamdulillah, bersyukur sangat dengan apa yang akak ada sekarang ni.

Bujang Terlajak : Akak penulis ka?

Szaza Yan : Tak jugak! Menulis ni hobi saja. Akak hanya suri rumah sepenuh masa.

Bujang Terlajak : Akak tulislah kisah covid 19 ni..buat la novel or cerpen.

Szaza Yan : Tak beranilah. Teruk nak kena buat reseach, salah info nanti kena kecam pula. Pahlawan Papan Kekunci terlalu aktiv la ni. Semuanya bijak-bijak belaka tapi sayangnya, otak yang bijak tu digunakan untuk mengecam orang lain.

Bujang Terlajak : Kan kak? Sepatutnya, digunakan untuk sesuatu yang bermanfaat.

Szaza Yan : Tahu tak apa!

                Ayat penamat rakan muka bukunya yang seorang ni memang tak pernah yang tak makan dalam, semuanya ayat-ayat paling berbisa dengan kata-kata kiasan dan sindiran pedas bagi orang yang ‘memakan cilinya’.

**************

                   Zarul sedang menyikat rambut di depan cermin. Rambutnya dibelai dan mimik wajahnya berubah.

"Jadi rockers la aku musim PKP ni." Zarul berkata perlahan sambil bibir mengukir senyuman. Rambutnya yang sudah mencecah bahu dibelai lagi.

                   Dia menuju ke meja makan. Getah yang digunakan untuk mengikat nasi berlauk diambil lalu dia kembali semula berada di depan cermin. Zarul menyikat rambutnya lagi dan cuba mengikatnya pula. Hai rambut, cepatnya panjang. Nak pi kedai gunting pun, takut terkena virus corona pulak. Nak gunting rambut ka, nak selamatkan nyawa? Mencegah itu lebih baik daripada merawat. Zarul berdialog pula di dalam hati.

                      Mahu atau tak, Zarul terus mengikat rambutnya dan meneruskan kerja-kerja hariannya. Tak ada video untuk disunting jadi Zarul mencari saja gambar-gambar virus corona yang telah dimuat naik ke laman sosial dan dengan gambar itu dia telah menyunting video dan memasukkan lagu virus corona yang telah dihantar dalam WhatsApp.

                       Bolehlah macam ni pun, daripada tak ada apa langsung. Zarul terus berkata-kata dalam hatinya. Kali ini kebanyakan video yang dihantar di dalam WhatsApp akan dimuat naik kembali ke dalam halaman muka buku miliknya. Musim PKP pun, duit kena jana juga. Kalau asyik guna duit tapi masuknya tidak, macam mana nak masuk meminang Hamizah nanti? Takkan nak pergi meminang dengan tangan kosong?

                "Antara gadis yang ku temui, kau saja kini..eh silap. Antara janda yang ku temui, kau saja kini dalam anganan...hahaha.." Zarul menyanyi lagu Antara Gadis sambil mengubah liriknya dan kemudian disusuli dengan ketawa kuat.

                 "Hamizah, Hamizah..macam manalah hang boleh masuk dalam hati aku ni?" Zarul menyebut nama Hamizah sambil menyoal dirinya sendiri. Sambil membayangkan wajah bersih Hamizah.

                      Beruntung dapat isteri macam Hamizah. Tak perlu bersolek pun, cantik sangat dah. Kenapalah orang cantik ni selalu sangat jadi janda? Ah..agaknya kalau aku kawen dengan Hamizah pun mesti aku mati muda? Tapi berbaloi kot, kalau mati muda dapat bini macam tu. Cantik, baik, lemah lembut, sopan santun. Zarul terus membebel di dalam hati.

                    Tapi betullah, kenapa orang cantik selalu jadi janda? Kalau tak bercerai mati mesti bercerai hidup. Tak faham betullah aku, kenapa orang suka tinggalkan perempuan cantik. Apa yang kurangnya mereka?

                   Zarul terus melalut tanpa henti. Dia menjadi saksi melihat sendiri orang sekelilingnya yang sudah menjadi ibu tunggal, sama ada diceraikan atau pun suami mereka telah meninggal dunia. Semuanya memiliki wajah yang cantik.

                   Sebab itulah orang kata, tak ada manusia yang sempurna dalam dunia ini. Allah Maha Adil. Manusia tak perlu menuding jari, Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.

************

                      Wow! Dunia maya sekarang semakin menjadi-jadi. Asal ada isu berbangkit saja, mesti netizen akan memainkan peranan mereka. Zarul mengulas sendiri pendapatnya di dalam hati. Zarul capai I-phonenya, nombor telefon ibunya didail. Sudah lama tidak berbual dengan ibunya.

                    "Hello ibu.." Zarul menyapa mesra sebaik ibunya menjawab panggilan.

                    "Assalamualaikum." ibunya memberi salam terlebih dahulu. Zarul tersenyum sendiri sambil menjawab salam.

               "Waalaikumussalam. Ibu pa habaq?" Zarul terus berbasa-basi. Bertanya khabarlah kononnya.

                  "Hurm..tanya ibu, pa habaq..Zarul tu macam mana pulak? Baru teringat nak call ibu. Mesti ada hal ni?" ibu Zarul menyoal Zarul kembali.

                  "Pandai ibu. Yupp..bu, Zarul nak kawen." Zarul meneruskan agenda utamanya tanpa berselindung lagi.

                  "Hai..musim-musim covid 19 ni la hang nak nikah Zarul? Dah ada calon ka?" Zarul terus tersengeh mendengar kata-kata ibunya.

                   "Bukan la ni ibu, tunggulah habis PKP nanti, Zarul nak ibu pi pinang dia."

                   "Amboi, cantik sangat ka sampai dah tak sabaq nak nikah ni? Habis PKP? Bila tu Zarul? Zarul tahu ka bila PKP ni nak habis? Ibu pun dah bosan tinggal di rumah dan dikata orang makan gaji buta."

                    "Alah ibu ni, relax la ibu. Orang yang kata ibu makan gaji buta tu sebenarnya depa yang buta hati. Depa cemburu tahap gaban dah tu." Zarul cuba tenangkan hati ibunya. Mungkin ibunya juga terluka kerana umpatan netizen yang tak berhati perut.

                    "Ibu tak kesah pun sebenarnya. Saja ja ibu cakap macam tu. Tak berkudis pun dalam hati ibu ni. Rezeki Allah dah tentukan untuk semua guru-guru. Kami bukannya mencuri atau merompak bank pun. Dah la, tak payah cakap pasal tu. Sapa bakal menantu ibu tu?" ibu Zarul cuba menukar topik perbualan mereka. Semakin diungkit hal yang satu itu, semakin terbakar pula hatinya nanti. Manusia hanya nampak kesenangan orang lain, pengorbanan mereka sebagai guru ni, sengaja buat-buat tak nampak.

                    "Err..Hamizah ibu tapi dia janda anak tiga. Takpa kan, ibu?" teragak-agak Zarul untuk bercerita. Tak tahu apa pendapat ibunya, sudikah ibunya bermenantukan seorang janda.

                     "Amboih, ikut trend terkini ka Zarul? Dah tak ada anak dara yang sudi dengan anak teruna ibu ni, ka?" Zarul lega mendengar nada suara ibunya yang agak santai disusuli dengan ketawa kecil.

                      "Ada juga ibu tapi Zarul yang tak berkenan dengan depa. Tengok dalam pesbuk muka gebu, comei lote..tapi bila jumpa di luar, indah khabar daripada rupa ibu. Hamizah ni lain, muka dia original tanpa make up. Sejuk dan buat hati tenang tengok muka dia. Snap pic tak perlu edit ibu, cantik semulajadi." Zarul memuji Hamizah tanpa sedar. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman. Dalam hati ada cintalah katakan.

                      "Ibu tak kesah sapa bakal bini Zarul. Kalau Zarul dah berkenan, budak tu pun dah berkenan, ikutlah.."

                     "Pembetulan ibu, bukan budak tapi mak budak. Mizah dah ada anak tiga ibu tapi dua anaknya OKU, sorang pekak, sorang lagi tak berapa cerdik sikit ibu, dia ada masalah komunikasi. Anak sulung dia, Alhamdulillah, sihat walafiat dan Mizah ni juga sara ibu dia dan ibu mertua dia yang kena strok. Ibu tak kesahkan?" Zarul menyoal ibunya lagi. Restu ibu paling penting baginya. Abahnya paling mudah untuk diuruskan.

                     "Ikut Zarullah. Nanti biar ibu yang sponsor semua hantaran dan majlis nikah Zarul tu. Dah tanya bakal bini Zarul tu ka? Jangan Zarul yang syok sendiri sudahlah."

                      "Alhamdulillah ibu, Mizah ikut saja apa yang Zarul kata. Kalau ibu setuju, Zarul tak risau lagi la. Bolehlah mula berangankan, ibu. Hahaha.." Zarul bertanya sambil ketawa. Lega rasanya hati.

                     "Suka la tu.."

                    "Suka sangat ibu, nanti Zarul dah ada kawan. Harap cepatlah virus corona ni habis. Letih dah tinggal sorang-sorang dalam rumah ni."

                 "Haaa..jangan nak keluar merayap pulak! Stay at home!" sekali ibu Zarul bertempik. Zarul terus ketawa lagi.

                 “Ya la ibu. Zarul pun sayang duit nak bayar saman. Lebih baik Zarul simpan untuk beli cincin tunang dan cincin nikah nanti, ada juga faedahnya."

                   "Bab tu Zarul tak perlu risau. Ibu sponsor semuanya. Zarul belajar saja macam mana nak akad nikah nanti. Belajar sama ilmu lain, rukun nikah, rukun sembahyang, dan semualah yang akan ditanya Tok Kadi nanti. Nak jadi laki orang ni bukannya mudah. Besar tanggungjawabnya tu." Zarul terus dileter ibunya. Terangguk-angguk Zarul yang sedang mendengar.

                    Mereka terus merancang dan berbual panjang. Zarul kemudian memutuskan talian dan bermenung panjang. Susah juga nak jadi suami orang ni. Bukannya semudah membaca ABC. Zarul membebel di dalam hati. Nasihat dan teguran ibunya terngiang-ngiang lagi.

                     "Nak online sat la, nak chatting sat dengan kakak tu pasai isu semasa." Zarul berdialog sendiri. Akaun muka buku Bujang Terlajak di log masuk.

Bujak Terlajak : As salam kak Szaza, pa habaq? Sihat ka ghini?

                      Tanpa rasa waswas, Zarul terus menegur, rasanya dia baru nampak status terkini rakan muka bukunya itu di laman utama.

Szaza Yan : Waalaikumusalam. Ok, masih boleh online lagi. Awat tanya? Ada nampak akak pos, akak tak sihat ka?

Bujang Terlajak : Haha..saja tanya. Manalah tahu, akak tak sihat ka. Akak..nak tanya pendapat akak ni...

Szaza Yan : Why? Tanya ja la.

Bujang Terlajak : Pasai isu terkini, dapat hp free tu. Akak layak ka tak?

Szaza Yan : Laa..pasai tu ka. Akak layak rasanya sebab gaji suami akak bawah rm2,000 tapi kami tak nak mohon.

Bujang Terlajak : Pulak? Awat pulak? Free kot.

Szaza Yan : Asal free saja nak mohon. Kita seharusnya memohon sesuatu tu untuk keperluan, bukannya kemahuan. Akak rasa anak akak tak perlukan hp tu. Buat apa nak mohon. Kalau dia nak guna hp, biar dia usaha sendiri. Dapat free pun, bukannya untuk belajar. Akak lebih kenal anak akak tu macam mana.

Bujang Terlajak. Ok, saya nak tanya, akak kerja apa ya?

Szaza Yan : Awat pulak? Ada kena mengena ka?

Bujang Terlajak : Taklah, tadi akak kata gaji suami akak 2,000 ke bawahkan? Cukup ka?

Szaza Yan : Alhamdulillah. Sentiasa cukup.

Bujang Terlajak : Akak tahu tak, tadi saya terbaca komen, orang yang gaji 4,000 ke atas pun, nak juga hp free ni tapi akak yang layak ni tak mahu pulak? Tak baik tau, tolak rezeki.

Szaza Yan : Bukan nak tolak rezeki tapi akak rasa tak perlu, buat apa nak mohon? Orang yang gaji 4,000 ke atas tu, mungkin mereka ada alasan tersendiri, contoh mereka banyak hutang yang perlu dilangsaikan. Kami ni walaupun gaji ciput tapi gaji tu hanya untuk beli makanan saja. Rumah free, ikan free, anak yang belajar UPSI buat pinjaman PTPTN, musim PKP ni dia dapat juga bantuan kewangan dan makanan. Duit yang kami dapat bantuan pun hubby akak cakap, tak perlu ambil, nak simpan untuk dia buat praktikal nanti.

Bujang Terlajak : Cukup ka duit akak tu? Memang akak tak ada hutang langsung ka?

Szaza Yan : Akak dah lama tak berani nak hutang. Kami ni setiap kali susah, Allah hantar bantuan. Tak perlu meminta, ada saja yang sudi nak menghulur.

Bujang Terlajak : Cer akak bagi petua sikit.

Szaza Yan : Petua apa?

Bujang Terlajak : Tak perlu minta, orang dah hulur.

Szaza Yan : Oh, sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Tak perlu nak dengki dan iri hati dengan kelebihan orang lain. Dalam pesbuk ni, kalau rasa tak ada benda nak komen, scrool saja, tak perlu nak singgah dan menyakitkan hati orang lain.

Bujang Terlajak : Deepp kak..sampai ke lubuk hati paling dalam.

Szaza Yan : Kihkih..nasiblah..

              Kena lagi. Alih-alih Zarul yang kena semula. Tapi Zarul tak pernah serik untuk berbual dengan rakan muka bukunya yang seorang ini. Walaupun kata-katanya pedih hingga menusuk hati dan memanaskan jiwa, namun ada kebenaran di sebalik kata-katanya.



*****************

                       Zarul mula bosan tahap kritikal hari ini. Main game sudah. Mengemas rumah pun, sudah. Main masak-masak dan makan pun, sudah. Menonton video pun, sudah. Apa lagi yang harus dilakukan? Nak log masuk ke laman sosial, tiada rakan-rakan untuk diajak berbual. Aku nak ajak kak Szaza berbuallah. Dia sibuk tak?

                Dalam menyoal diri sendiri, laju juga jari jemari Zarul menekan butang kata laluan laman sosialnya. Dia masuk ke akaun muka buku palsunya. Dia terus scrool laman utama. Terjumpa status Szaza Yan yang baru dikemas kini beberapa minit yang lalu.

Szaza Yan
Anda pernah membenci seseorang? Aku pernah dulu. Zaman kanak-kanak yang penuh dengan pembuli. Aku juga pernah difitnah dan aku pernah membenci ayah sendiri. Aku pendendam tegar suatu ketika dulu namun dendam itu terlalu menyakitkan hatiku sendiri, hingga suatu hari aku memutuskan untuk memaafkan semua orang.

Allahu Akhbar, terasa bahuku yang berat memikul beban telah hilang sekelip mata. Sungguh! Ini bukan sekadar gurauan. Aku hanya berkata " Aku ingin bahagia Ya Allah. Aku maafkan semua orang yang pernah menyakitiku. Hanya Engkau yang berhak untuk memberikan balasannya. Aku hanyalah seorang hambaMu yang juga banyak dosanya."

Tidak pernah aku duga, rasa sakit hati yang ku pendam sekian lama, hilang begitu saja. Saat aku hanya berbisik di dalam hati memberikan kemaafan pada mereka yang pernah melukakan. Andai aku tahu, betapa nikmatnya memberi kemaafan, sejak lama dulu lagi aku maafkan.
Nota : Aku juga seorang hamba yang banyak melakukan dosa.

                Zarul baca hingga habis dan tanpa sedar hatinya juga turut tersentuh. Dia juga pernah menyimpan dendam pada ibu dan abahnya kerana abaikan dia. Dia juga pernah berdendam pada Mak Uda yang sudah merampas abahnya. Pada suami baru ibunya juga, dia pernah berdendam dan pada beberapa orang teman yang pernah menyakitkan hatinya dulu.

Bujang Terlajak : Akak, share la petua, macam mana nak memaafkan dan melupakan semua rasa sakit tu.

                 Zarul mengambil keputusan untuk meninggalkan komen.

Reply
Szaza Yan : Bujang Terlajak Sebelum terus memarahi seseorang, renung diri terlebih dahulu. Aku hidup untuk apa? Untuk bahagia atau derita? Kalau untuk bahagia, cari puncanya apa yang membuatkan kita rasa derita?

                    Zarul terus melakukan apa yang disuruh. Mindanya terus bekerja keras, apa yang membuatkan dia tak bahagia?

Bujang Terlajak : Szaza Yan saya tak bahagia sebab sunyi, tinggal dalam rumah sorang-sorang sepanjang PKP ni.

                      Zarul menjawab sejujurnya. Dia memang sudah bosan tinggal seorang diri di rumah ini.

Szaza Yan : Bujang Terlajak salah tu, awak mungkin tak sedar atau tak ingat, Allah sentiasa ada di sisi kita dan ada dua orang malaikat yang sedang mencatit apa yang sedang kita lakukan. Dan, awak jangan lupa dengan makhluk ghaib lain yang sentiasa menemani awak setiap saat. Sentiasa mengoda awak untuk melakukan kemungkaran.
                     Bulu roma Zarul meremang tiba-tiba. Peluh jantannya mula merembes. Salah menjawab soalan ke ni?

Bujang Terlajak : Kak Szaza Yan, Jangan macam tu, dok sorang-sorang ni.

Szaza Yan : Bujang Terlajak  ini hakikat bukan cobaan naa..fikirkan kembali, awak bukan keseorangan, oleh itu isikan masa awak sepanjang PKP ni dengan hal yang berfaedah agar yang mencatit hanya malaikat di sebelah kanan saja.

Bujang Terlajak : Haih kak Szaza Yan ni, lari topik dah ni. Kak, bagilah petua untuk maafkan orang dengan cara paling mudah.

Szaza Yan : Bujang Terlajak nak cara mudah ka? Ikhlaskan hati maafkan semua orang. Selalulah tengok kekurangan diri sendiri dan jangan mudah menuding jari. Omputih kata nobody perfect! Kita pun tak sempurna, kenapa masih nak cari salah orang lain? Awak pun pernah sakitkan hati akak, kan? Ada akak marah? Kalau tak, dah lama akak block. Jujurnya, kalau mula ada fb dulu, memang akak dah block..kikih..

                 Zarul tepuk dahi sendiri. Pi mai, pi mai dia juga yang kena. Bilalah dia boleh menang?

Bujang Terlajak : Kak Szaza Yan sekali dua kala, bagi chance la saya menang pulak. Asyik akak ja menang mana aci.

                Zarul terus suarakan apa saja yang ada dalam mindanya dan menunggu balasan rakan muka bukunya.

Szaza Yan : Hahaha..ya la..ambik la Gunung Jerai tu kat hang, akak bagi free saja.

Bujang Terlajak : Oh, Gunung Jerai tu akak punya ka?
Szaza Yan : Hang jangan nak jadi pembaris sangat naa.. k la akak nak out dulu. K bai…

           Zarul garu kepalanya pula. Kadang-kadang sukar nak baca minda orang lain. Apa maksudnya?

Bujang Terlajak : Jangan out dulu akak, apa maksudnya tu?

Szaza Yan : Bujang Terlajak hang nak menangkan? Akak dah bagi hang menang la tu. Akak serenda..k bai last time.


***************

                      Zarul benar-benar jadi bersemangat pagi ni. Pipinya sudah krem kerana asyik tersengeh sejak semalam macam orang sasau. Sesekali, ketawanya akan pecah berderai. Dia baru terjumpa satu group MASAK APA TAK JADI HARI NI. Selama ini dia sangka hanya dia seorang yang selalu masak tak jadi tapi dugaannya meleset sama sekali. Ramai juga yang sama nasib dengannya.

                  Bangun pagi ni Zarul tak mahu keluar membeli sarapan di luar. Dia cuba memasak sendiri. Apa yang aku nak masak pagi ni? Zarul menyoal diri sendiri. Dia melangkah ke ruangan dapur. Sebelum mula memasak, dia log masuk ke laman sosial. Resepi roti canai di cari.

                  Bila melihat bahan-bahannya, Zarul mengganggukkan kepalanya. Alah, senang saja kot. Zarul membuka almari dapur dan mengeluarkan bekas tepung gandum. Sejak PKP ni, Zarul sediakan semua jenis tepung untuk mencuba semua masakan.

                  Keluarkan tepung dan bahan-bahan yang lain. Dia mula menguli dan memasukkan minyak. Tibalah masanya untuk menebar. Sebelum tu, dia sediakan bahan-bahan untuk membuat kuah terlebih dahulu. Sekadar nak masak kari dal, kacang saja kot. Zarul berdialog di dalam hati.

                   Bahan-bahan semua dah ada tapi kacang dal pula tak ada. Masukkan kentang pun boleh kot. Zarul terus berdialog di dalam hati.

                 Setengah jam kemudian, kuah roti canai pun siap ala kadar saja. Rezeki sempoi orang bujang. Tibalah masanya untuk menebar roti canai. Teruja sungguh dia untuk memulakan kerja barunya ini. Terbayang kepakaran pembuat roti canai menebar roti canai terbang. Zarul pun ingin mengasah bakatnya juga.

               Tebar punya tebar, tepung yang ditebar hilang dan terus ghaib. Aik, hilang ke mana pula? Zarul menyoal diri sendiri. Kejadian berlaku terlalu pantas, tak sempat untuk melihat ke mana terbangnya tepung tersebut. Zarul mencari di atas syiling dan tepung yang ditebar tadi terus jatuh di atas mukanya.

                 "Hang terbang atas syiling noo tepung?" sambil menyoal, Zarul membuang tepung itu ke dalam tong sampah. Dah naik atas syiling, dia pun dah tak selera untuk makan.

                 Zarul terus menebar untuk kali kedua. Sambil menebar dia berangan lagi. Kali ini tepung yang sedang ditebar, terlepas lagi. Zarul sempat menepuk dahinya. Terpaksa lagi untuk dibuang untuk kali kedua kerana kali ini terbang jatuh di atas lantai. Membazir sudah dua biji roti canai.

                 Zarul insaf. Dia tak ingin membuat roti canai terbang lagi. Dia ingin membuat roti canai telur pula seperti yang dia makan di kedai. Sebelum menebar tepung, Zarul mengeluarkan dua biji telur, sepuluh biji cili padi dan lima ulas bawang merah. Dibasuh dan dihiris bawang dan cili padi.

                  Kali ini tepung yang ditebar menjadi koyak. Zarul mengeluh lagi. Akhirnya Zarul mula merakam aksinya menebar roti canai dari mula hingga habis. Dia mengoreng roti canai telurnya dengan minyak yang sedikit.

                 Apa kejadiannya roti canai Zarul telah dimuat naik ke dalam group baru itu. Sudah pastinya roti canai telur yang sudah terpisah roti, telur, bawang dan cili itu mendapat sambutan hangat. Rotinya pula agak besar berbanding roti canai telur di kedai. Bukan itu saja, roti canai telur itu juga agak tebal kejadiannya.

Zarul Hensem
Inilah kejadian roti canai telur pertama aku. Tak tahu di mana silapnya? Jujur, aku tak derhaka resepi langsung tapi tak tahulah kenapa telur nak berpisah juga dengan roti. Cili padi dengan bawang pun tak nak duduk sekali. Musim PKP ni mereka dengar arahan berjarak semeter. Takut kena saman kot.

                 Zarul menulis status di bawah video yang telah dimuat naik. Syarat group ini tak boleh jadi pembaris, tak boleh sentap. Ok, muat turun selesai.

******************

Szaza Yan
Menangis tak terasa aku, melihat video-video seorang ustaz yang telah dikutuk oleh beberapa pihak. Apa salah dia pada mereka? Sedangkan dia meminta maaf kerana terlambat untuk membantu orang yang susah.

Dia meminta maaf kerana kesusahan orang lain. Apa masalah mereka yang telah membuat report kerana kebaikan yang telah dia lakukan? Aku benar-benar tidak faham dengan kerenah manusia. Kalau dulu, ketika melihat rancangan Bersamamu, aku menangis melihat kemiskinan orang lain tapi hari ini, aku menangis melihat seorang ustaz mualaf yang berkali-kali meminta maaf kerana melihat kesusahan orang lain.

Allahu Akhbar, apa yang hendak Engkau sampaikan pada kami? Kenapa hati aku terlalu tersentuh kali ini kerana kebaikan hati seorang insan yang dikeji orang lain? Aku stalk juga wall fb hamba-hambaMu yang mengutuk ustaz ini. Mereka pun tak ada bezanya dengan manusia lain. Mereka juga hamba seperti orang lain. Mereka juga banyak kekurangannya. Mungkin, mereka hanya mahu terkenal kerana mengutuk orang yang sudah terkenal. Kalau mereka mengutuk hanya untuk nama mereka dikenali umum, mereka silap besar. Allahu'alam.

Aku tidak mahu meneka dalam kesamaran. Takut terjadi fitnah tanpa disedari. Hati manusia bukannya boleh dibaca. Fikiran manusia mungkin boleh dibaca melalui tulisan mereka tapi masih tidak lengkap untuk diteka. Biarkan Allah saja yang menjatuhkan hukuman untuk mereka.

Hari ini aku sedar, Allah sedang menguji hambaNya dengan pandangan orang lain. Ustaz buat amal sedang diuji. Orang susah, pemalas dan pengotor juga sedang diuji. Namun, aku tetap puji netizen yang berfikiran positif.

Betul, bukan semua orang miskin itu pemalas dan pengotor. Aku memohon pada Allah agar keluarga miskin yang dibantu oleh ustaz tu akan sedar dan berubah untuk menjalani kehidupan yang lebih baik. Mereka sudah diberi rumah yang lebih selesa dan besar. Ustaz juga yang membayar sewa rumah dan segalanya. Semoga mereka sekeluarga menghargai bantuan ustaz yang baik hati. Jangan dijadikan lagi tempat pelupusan sampah rumah mereka itu. Sedih aku melihat ustaz yang meminta maaf kerana kesusahan orang yang dibantunya.

Subhanallah..kalau tak divideokan kisah seperti ini, tentu aku tak tahu kewujudan keluarga ini. Tak dapat aku bayangkan, bagaimana mereka boleh tidur, makan dan sebagainya dalam rumah begitu. Aku juga miskin sejak dilahirkan, namun aku bersyukur kerana kemiskinan kami tidaklah seteruk ini. Kami masih tinggal di rumah yang selesa dan bersih. Walaupun banyak musuh yang bertandang tanpa undangan, kami masih mampu bertahan. Allah beri kami ketabahan yang kuat untuk terus menempuh liku-liku hidup ini.

Mengimbas kembali pengalaman lalu, perit tu usah disebut-sebut tapi kami berjaya lalui semua ranjau yang berduri. Kemiskinan kami tidak pernah lagi dipulaukan oleh saudara mara. Masih ada yang sudi menghulurkan bantuan. Allah sentiasa menghantar hamba-hambaNya yang berhati murni.

Kami tidak pernah meminta-minta pada manusia kerana kami tahu Allah ada untuk kami memohon pertolongan. Allah akan hantarkan manusia untuk menghulurkan bantuan. Pemalas? Selalu sangat membaca kutukan sebegitu. Orang miskin 
malas untuk berusaha.

Jujurnya, aku lebih suka hidup begini daripada hidup dalam kemewahan kerana aku khuatir, kekayaan akan membuatkan hati aku buta untuk melihat kebaikan orang lain. Aku takut, hati aku jadi mati, sombong dan bongkak.

Allahu Akhbar, bukannya semua orang mendambakan kemewahan. Apa yang aku selalu pohonkan, agar Allah beri kami rezeki Iman dan Taqwa agar kami bahagia di akhirat nanti. Biarlah nampak susah di dunia yang sementara, yang aku harapkan hanya syurga di dunia sana yang kekal abadi.

Jangan mudah untuk menghukum setiap orang hanya dengan melihat kehidupannya yang susah. Biarlah kami terus miskin tapi tak pernah menyusahkan sesiapa pun. Miskin tak bermakna tak pernah bahagia. Biarlah kami terus menangis di atas dunia ini kerana banyak ketawa juga boleh mengelapkan hati. Menangislah kerana keinsafan atas dosa-dosa lalu bukan kerana kemiskinan harta.

Nota : Cukuplah dengan apa yang ada.

                Zarul membaca status panjang berjela yang baru saja dikemas kini oleh rakan muka bukunya. Lama dia terdiam kerana dia baru terniat untuk mengutuk orang miskin yang sama. Orang miskin yang berasal dari Kedah yang tinggal di dalam rumah yang macam tempat pelupusan sampah. Daif sungguh hidup mereka. Zarul tak sependapat dengan rakan muka bukunya ini.

              Aku nak berbual dengan kakak ni dan nak berhujah dengannya. Aku tak setuju sama sekali. Dua puluh lapan orang tinggal dalam rumah tu, mustahil tiada yang mampu untuk memberikan sedikit pun keselesaan. Hanya orang pemalas saja yang sanggup tinggal dalam rumah macam tu. Pemalas plus pengotor. Zarul berbisik di dalam hati. Dia tak percaya ada orang sanggup tinggal dalam rumah macam tu.

Bujang Terlajak : Assalamualaikum kakak Szaza, pasai status yang akak baru update tu.. Bagi saya la, ibu tua dan suaminya termasuk cucu-cucunya saja yang layak dibantu. Anak-anak depa yang berusia 33-17 tahun tu tak layaklah kak. Depa bukannya cacat pun. Boleh buat kerjakan. Sakit betul hati baca kisah depa ni.

                    Zarul menghantar mesej dalam peti masuk rakan muka bukunya itu. Sambil tu dia scrool lagi dinding muka buku Szaza Yan sampai ke bawah untuk melihat status terkini.

Szaza Yan : Waalaikumusalam. Kalau ustaz yang menolong tu ikhlas, siapa kita untuk meragui keikhlasannya. Biarlah dia nak buat amal dengan duit dia. Bukannya dia curi duit orang atau pun dia rompak bank. Kenapa pula kita yang harus buat keputusan, layak atau tak? Berdoa saja pada Allah, agar Allah permudahkan urusan ustaz, semoga anak-anak mak cik tu berubah dan mahu mengubah kehidupan mereka.

Bujang Terlajak : Itu orang pemalas kak! Pengotor pula tu. Depa tu ramai, kalau rajin buat kerja, rajin bersihkan rumah, tak adalah tinggal dalam sampah macam tu!

Szaza Yan : Kita tak duduk di tempat mereka, tak perlulah kutuk apa yang mereka buat. Akak pun malas nak komen lebih-lebih takut timbul fitnah pula.

Bujang Terlajak : Satu lagi saya tak puas hati. Kak, seronok ka jadi orang miskin? Akak tak suka ka jadi kaya? Ada duit banyak, boleh beli apa yang kita nak, boleh makan apa yang kita nak.

Szaza Yan : Hang lupa ka Rasullullah pun miskin tapi dia kekasih Allah tau. Lagi pun menjadi miskin bukan alasan untuk kita tak bersolat dan bersedekah. Miskin pun boleh solat, bayar zakat fitrah, berpuasa dan bersedekah. Pernah dengar orang miskin pergi haji? Miskin pun boleh pergi haji dengan izin Allah. Orang miskin pun boleh cukupkan rukun Islam. Apa masalahnya jadi miskin? Berdosa ka jadi miskin?

                   Zarul terus garu kepala yang tidak gatal. Apa lagi ayat-ayat yang dia boleh guna untuk mematahkan hujah rakan muka bukunya ini?

Bujang Terlajak : Tapi, duit itu segalanya kak. Akak tak suka ka pergi keliling dunia, tengok negara orang?

Szaza Yan : Tak perlu ada pengalaman sendiri untuk keliling dunia. Zaman serba canggih sekarang ni. Duduk dalam bilik pun boleh keliling dunia. Guna jari pun boleh.

Bujang Terlajak : Ishh..tak sama kak dengan pengalaman sendiri. Akak tak teringin ka nak naik kapal terbang?

Szaza Yan : Hang ni dah pasai pa? Satu dunia dah kena covid 19, orang semua dok tengah berkabung dan berperang dengan virus, hang dok tanya pasai keliling dunia. Hakak la ni dik non, dok pikiaq satu ja, bila Allah nak bawa aku masuk kubuq. Layakkah aku masuk syurga? Hal dunia ni tak mau pikiaq dah. Duit ada ka dak, malaih dah nak pikiaq semua tu. Bab makan, lagilah malaih nak pikiaq.

Bujang Terlajak : Awat akak cakap lagu tu? Jangan cepat sangat putus asa kak. Allah bagi nyawa panjang, buat apa nak pikiaq pasai mati? Mati tu semua orang akan mati tapi selagi boleh, berdoalah moga umur panjang dan dapat buat amal ibadah.

                Kali ni Zarul tak mahu mengaku kalah dengan mudah. Dapat Gunung Jerai mana cukup. Gunung Kinabalu lagi tinggi daripada Gunung Jerai.

Szaza Yan : Ya la tu..

                Zarul terus bersorak sakan, kali ni dia benar-benar rasa kemenangan sudah berpihak padanya. Bibirnya terus menerus mengukirkan senyuman selebarnya. Yess! Akhirnya! Zarul bersorak pula di dalam hati.

               Zarul masih tidak puas hati membaca respon daripada rakan alam mayanya yang bernama Szaza Yan. Dia masih mengerah mindanya untuk berfikir.
Bujang Terlajak : Kak, hidup ni jangan cepat putus asa kak. Allah pun suruh kita berusaha untuk hidup. Akak cakap macamlah akak dah give up sangat. Bangkitlah kak, jangan cepat menyerah kalah. Kak ada bakat, ketengahkan bakat menulis akak tu dah cuba hantar pada penerbit. Mana tau rezeki akak, novel dan cerpen akak diterbitkan. Tak teringin ka pegang duit sendiri? Takkan selamanya nak makan duit suami?

                     Zarul terus provokasi rakan muka bukunya itu. Bila dah menang sekali, dia nak menang lagi. Bukan selalu dapat peluang untuk berdebat ni. Seronok juga sesekali berlawan kata, boleh juga uji minda.

Szaza Yan : Hahaha..ke situ pulak hang ni. Akak menulis bukan untuk duit. Memang dah niat akak sejak dulu lagi, menulis ni hanya sekadar hobi. Penulis sebenar dah ramai. Biarkan mereka mencari rezeki dengan menulis, lagi pun bakat mereka lebih menyerlah. Akak ni tatabahasa pun hancur lebur lagi. Tanda bacaan terjun gaung. Akak menulis bukan untuk duit ataupun nama, menulis ni sekadar untuk mencari bahagia untuk diri sendiri. Mencari kepuasan, terutama kalau ada orang yang sudi baca.

Bujang Terlajak : Payah betullah cakap dengan akak ni.

Szaza Yan : Tak perlulah cakap kalau payah. Haih!

Bujang Terlajak : Suami akak izin ka, akak chatting dengan saya ni?

Szaza Yan : Errr..ntah la. Sat nak tanya.

Bujang Terlajak : Pulak? Belum minta izin ka?

                   Zarul menyoal dan menunggu balasannya. Tunggu punya tunggu sampailah sejam seterusnya masih tiada juga balasan. Hilang pi mana dah? Zarul menyoal dalam hati.


***********

Szaza Yan
Aku mogok masak mulai hari ni dalam bulan posa ni. Serius, aku tak tipu! Letih! Aku masak, aku sorang ja yang kena makan!

                  Zarul membaca status terbaru rakan alam mayanya yang baru dikemas kini beberapa minit yang lalu. Kenapa pula dengan dia ni? Kalau berchit chat dengan aku, ayat-ayat dia bukan main lagi. Ni ayat orang merajuk?

Bujang Terlajak : Bunyi macam merajuk saja kak? Bulan posa mana boleh merajuk kak. Tak baik tau.

                      Zarul mengambil keputusan untuk meninggalkan komen. Mesejnya dalam peti masuk yang tak dibalas semalam diabaikan begitu saja. Seminit, dua minit hinggalah dua puluh minit kemudiannya belum lagi ada respon. Zarul mengambil keputusan untuk menegur melalui peti masuk pula.

Bujang Terlajak : Awat kak? Marah pa? Mesej tak reply, komen tak reply?

                  Zarul menunggu lagi, seminit, dua minit hingga lima belas minit seterusnya hingga Zarul menjadi jemu. Lama dia berfikir, apa salah dirinya?

Szaza Yan
Hidup ini ada pasang dan surutnya. Hari ini kita bahagia, esok belum tentu. Pagi ni mod ok, petang nanti belum tentu. Kemaqin kita melayan, esok belum tentu maka hargailah setiap orang yang masih hidup kerana NYAWA ini milik Allah.

Hari ini kita mampu masakkan untuk yang tersayang. Bila dah mati esok, jangan pula mengidam nak makan air tangan orang yang telah tiada!

Nota : Mod terjun gaung! Mohon jangan kacau! Faham!!!

                  Zarul membaca sambil memegang dagu. Oh, mod terjun gaung? Tuju kat aku ka nota tu? Zarul menyoal diri sendiri. Dia pun terus scrool selaju mungkin. Tak berani lagi menganggu 'harimau' yang sedang berang. Tak pasal-pasal muka bukunya kena block nanti.

                Zarul tak tahu apa salah dia, tiba-tiba dia dipulaukan oleh seorang rakan alam mayanya. Dia terus log keluar akaun muka buku palsunya dan log masuk ke akaun sebenar. Dia terjumpa satu gambar yang menarik minatnya dan terus memuat turun. Selepas gambar tersebut sudah selamat masuk dalam galeri I-phonenya, dia muat naik pula masuk ke dalam muka buku.

Zarul Hensem
Apa pendapat hampa? Setuju dak?
Gambar yang menceritakan tentang seorang lelaki bersama isteri-isteri mereka. Di dalam gambar itu hanya ada beberapa perkataan saja.
Isteri 4 = Sempurna
Isteri 3 = Terbaik
Isteri 2 = Lebih baik
Isteri 1 = Alhamdulillah ( biasa2 saja )
Tanpa isteri = Bermasalah

               Selepas memuat naik Zarul terus tersenyum, tak sabar menunggu respon rakan alam mayanya, tanpa dia sedar Hamizah juga sedang online ketika itu.

Siti Hamizah bt Hamdan : Tengah memikir ni, nak cancel ka tak?

                       Zarul membaca komen pertama dengan hati yang berdebar-debar. Dalam masa yang sama, dia menepuk dahinya sendiri. Silap besar aku upload gambar ni. Dia bermonolog pula di dalam hati.

Zarul Hensem : Nak buat server saja ni. Janganlah mengelabah. Hihi..

Siti Hamizah : Server tak server, cancel tetap cancel.

Zarul Hensem : Alaa sayang, intan payung abang, janganlah macam tu..hahaha

Siti Hamizah : Agaknya, hat last tu memang sesuai untuk awak. Bermasalah! Belum nikah lagi dah berangan nak nikah 4 noo?

Zarul Hensem : Dak aih, mana ada lagu tu. Tak penah berangan pun. Saja ja pos..

                  Zarul mula berpeluh dingin. Silap ayat ni bakal membujanglah dia sampai ke mati.

Siti Hamizah : Ya la tu. Lelaki ni semuanya sama saja. Banyak taktik, suka membelit. Sat cakap macam ni, sat cakap macam nu, boleh percaya ka?

Zarul Hensem : In sya Allah, boleh percaya 100%.

                  Zarul terus membalas komen dan membuka peti masuk tapi kemudian dia batalkan untuk berbual di dalam peti masuk dan membuka WhatsApp pula.

Zarul : Assalamualaikum..jangan la macam tu Mizah sayang oii..abang gurau-gurau saja. Pos suka-suka saja tu.
Mizah : Tau pun takut.

Zarul : Takut la sayang oii..awak cancel, abang nak naik pelamin dengan sapa?

Mizah : Pembetulan! Tak ada pelamin ok. Cukup dengan akad nikah saja.

Zarul : Ok, ok asalkan awak masih sudi nikah dengan saya.

Mizah : Bukan isteri empat naa?

Zarul : Sorang pun belum lepas sayang oii..mana nak cari lagi 3 orang tu? Awak nak tolong carikan ka? Hihi..

Mizah : Boleh! Asalkan sy bukan isteri awak! No hal kalau nak tolong carikan!

Zarul : Oppss, tak payah. Cukup dah awak sorang untuk seumur hidup saya. Boleh macam tu?

Mizah : Tak tau lagi. Sy usya ja fb awak. Terpulang pada pos fb awak la. Kalau ada pos yang menimbulkan kemushkilan mungkin saya akan ubah fikiran lagi.

Zarul : Eh? Mana aci macam tu. Fb tu untuk suka-suka ja, hilangkan bosan.

Mizah : Tak kira!

Zarul : Ala Mizah, intan payung..jangan la macam tu...


Mizah : Hurm..

Zarul : Alaaa..mana ayat lain, takkan hurm ja?

Mizah : .......

                  Hamizah terus diam dan mesejnya hanya ada bluetick saja. Zarul penasaran. Payah juga nak jaga hati perempuan ni? Terpaksalah Zarul padam gambar yang baru saja dimuat naik.

****************

                    "Bosaaaaannn!" Zarul menjerit kuat selepas jemu bermain game. Hari-harinya terlalu membosankan. Sebelum ni dia tak pernah ada di rumah. Ada saja agendanya untuk keluar berjalan. Perkara paling menarik dan seronok bila dapat berkumpul dengan kawan-kawan namun perkara paling tak seronok bila ada yang menyoal " Hang bila nak nikah Zarul? Takkan nak membujang sampai mati?"

                     Bila umur sudah mencecah tiga puluh ke atas, soalan tu memang cukup takut untuk didengar. Ramai manusia yang selalu mempertikaikan soal jodoh tapi bab mati, tak pernah pula ada orang bertanya "Bila hang nak mati?" boleh tersentap separuh nyawa kalau ayat tu yang orang tanya.

                   "Nak masak, awai lagi..tak pasai-pasai barai posa aku hari ni." Zarul berdialog sendiri.

                    Dia mula on laptop dan log masuk ke muka buku. Malas nak log masuk ke akaun sebenar, dia log masuk akaun Bujang Terlajak. Banyak hari dia merajuk sebab komen dan mesejnya tak dibalas.
Szaza Yan
Menyentuh isu pelarian Rohingya, aku tak setuju kalau mereka dilayan sama rata macam rakyat Malaysia dan diberi kerakyatan dan segala kemudahan kerana sikapnya manusia takkan pernah puas dengan setiap pemberian.

Dulu aku selalu juga baca pos-pos rakan alam maya mengenai orang Islam Rohingya yang ditindas oleh pemerintah tapi aku tak pernah kongsi pun. Bagi aku Allah sudah takdirkan hidup seorang manusia. Ujian yang Allah turunkan mesti ada hikmahnya. Tak kiralah ujian itu untuk siapa. Bagi aku umat Islam yang paling kerap diuji sepatutnya mereka harus bersyukur. Itu tandanya Allah sayang mereka.

Dulu, ramai rakan alam maya yang simpati pada orang Islam Rohingya yang ditindas tapi hari ini sebaliknya selepas pelarian Rohingya itu datang ke Malaysia. Apatah lagi selepas viral beberapa video mengenai pelarian Rohingya ini.

Aku malas nak mengulas lanjut sebab aku tidak tahu cerita sebenar. Namun aku tidak setuju kalau semua pendatang asing diberi kerakyatan dan diberi tempat tinggal di Malaysia dan segala jenis bantuan. Pihak yang membantu pendatang asing tapi tidak peduli dengan rakyat Malaysia sendiri yang hidup melarat samalah dengan peribahasa melayu ' Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan'.

Aku melayan kebanyakan video seorang ustaz yang sering disebut sekarang ini. Ternyata di Malaysia masih ramai rakyatnya yang hidup miskin dan melarat. Yang sukar nak dipercayai adalah sebilangannya terdiri daripada orang melayu.

Allahu Akhbar, ini Tanah Melayu tapi orang melayu sendiri hidup melarat di tanah sendiri sedangkan bangsa lain hidup mewah dan berjaya.

Dulu rakyat Malaysia berbilang kaum yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan lain-lain. Tapi kini, yang menjadi rakyat Malaysia semakin bertambah, Bangladesh, Burma, Indonesia dan banyak lagi yang aku tak tahu. Belum habis buat reseach.
Entahlah..kalau tengok di Daerah sendiri pun, orang Burma diberi bantuan sama rata macam rakyat Malaysia dan aku juga percaya mereka juga mesti mempunyai kad pengenalan?

Di Daerah Yan ini sudah ada banyak kampung yang namanya sudah membuktikan bukan hanya ada rakyat melayu saja. Okey, aku sebutkan nama kampung yang aku tahu. Kampung Burma aku pernah baca dulu tapi aku tak ingat di mana. Mungkin ada di area Sungai Daun atau Sungai Kering, aku tak pasti. Info dah lama, saja teringin nak mengungkit kembali.

Kampung Jawa dan Kampung Aceh di Yan Besar. Aku pernah masuk hospital Daerah Yan dan di sebelah katilku ada pesakit orang jawa. Aku tahu melalui percakapan mereka. Orang Aceh, aku kenal juga satu keluarga Aceh yang tinggal di Kampung Keda Sungai Udang. Perbetulkan aku, kalau aku salah. Tapi orang jawa dan aceh memang dah lama jadi rakyat Malaysia. Haruskah kita tambah lagi rakyat Malaysia dengan pelarian Rohingya pula? Baiknya hati rakyat Malaysiakan? Semua kaum kita alu-alukan dan beri mereka kerakyatan.

Lepas tu apa akan terjadi dengan orang melayu di Tanah Melayu sendiri? Renung-renungkan dan fikirkan sendiri. Aku sekadar menurut seruan daripada seorang penulis untuk bersuara melalui tinta. Ini saja yang mampu aku luahkan.

Jujurnya dari lubuk hati aku yang paling dalam, aku tak setuju pendatang asing terus diberi kerakyatan. Tengoklah orang melayu pun semakin gila duit. Maaf aku cakap. Ramai orang melayu yang sudah menjual tanah pada pendatang asing. Bila tanah orang melayu sudah dijual dan ramai orang melayu yang tinggal menyewa di atas tanah orang lain, apa akan jadi?

Sama-samalah kita fikirkan!

Nota : Aku anak Malaysia!

                     Zarul bermenung panjang membaca coretan panjang daripada rakan alam mayanya ini tapi untuk meninggalkan komen takkan sesekali. Dia masih terasa hati kerana komen dan mesejnya tidak dibalas. Selepas membaca, dia terus scrool selaju mungkin.

*************

                         Kerajaan nak longgarkan pergerakan, bermakna Zarul sudah boleh keluar meronda? Sekejap, boleh ke keluar meronda? Negeri Kedah pun dah diistihar sebagai zon hijau. Kalau nak ke rumah Hamizah, boleh tak?

                      Bibir Zarul mengukirkan senyuman tanpa sedar. Rindunya dia untuk menatap wajah Hamizah, hanya Allah saja yang tahu. Kuatnya cinta Hamizah dalam hatinya ini, namun dalam rindunya, makan tetap selera, mandi tetap basah. Zaman sekarang ni, rindu saja, boleh buat video call. Selesai masalah.

RM0 PKP masih dilanjutkan sehingga 12 Mei 2020. Kelonggaran PKPB hanya diberikan kepada sektor perkhidmatan yang dibenarkan dengan perlu mematuhi SOP.

                 Allah..punah harapan Zarul selepas mendapat mesej tersebut. Wajahnya yang ceria tadi bertukar murung kembali. Zarul pasrah saja pada ketentuan takdir. Bagus juga kerajaan umumkan begitu, kalau ikutkan hatinya memang dia sudah teramat bosan tinggal di rumah tapi bila baca satu entry dalam blog yang mengatakan negara luar semakin teruk dan ada yang sudah istiharkan darurat, Zarul insaf seketika.

                   Zarul tak rela kalau negara istiharkan darurat sebab kesannya lebih teruk berbanding PKP. Apa nak buat ni? Sambil menyoal diri sendiri, Zarul menghampiri meja laptop. Zarul bermenung lama tapi tiba-tiba bibirnya tersenyum. Zarul log masuk ke salah satu akaun muka buku palsunya. Dia menukar nama dan jantina. Dia ingin menguji salah seorang rakan muka bukunya. Dia mula add rakan muka buku itu dengan akaun palsu yang sudah ditukar jantina dari male ke female. Lama menunggu, tiada respon pun dan Zarul mengambil keputusan untuk menghantar mesej dalam peti masuk.

Zarita bt Azhari : Assalamualaikum kak Szaza, nak tumpang tanya sikit, boleh tak?

                  Sambil bibir mengukir senyuman, Zarul menaip dan mengirim mesej. Tak nak layan aku sangatkan? Padam muka! Zarul berdialog di dalam hati. Dalam masa yang sama dia masuk ke dinding muka buku Szaza Yan. Macam biasa, statusnya banyak yang perlu dibaca. Zarul pula malas nak membaca semua status yang panjang berjela. Sesekali saja dia rajinkan dirinya membaca.

Szaza Yan : Waalaikumusalam. Nak tanya apa ya?

                   Senyuman Zarul terus melebar, taktiknya mengena hari ini. Nak jawab apa pulak ni? Zarul mengaru kepala yang tidak gatal. Tak berani menanggung risiko menyoal yang bukan-bukan.

Zarita bt Azhari : Akak penulis tu kan, sy baca banyak cerpen akak dalam blog.

              Zarul autakan saja, padahal satu cerpen pun dia tak baca lagi. Entah apa niat dia ni?

Szaza Yan : Penulis ramai. Maksud awak penulis yang mana satu? Soalan tu biar terang.

Zarita bt Azhari : Macam ni kak, sy tak pasti pulak akak orang yang sy cari, cuma sy rasa akak ni penulis tu, kan?

Szaza Yan : Maaf ya, awak salah orang ni. Saya bukan penulis, sy cuma suri rumah sepenuh masa saja. Awak salah masuk inbox ni.

                       Zarul ketandusan idea, apa lagi helahnya dan apa pula ayat yang harus digunakan? Dia buntu melayan rakan fb yang seorang ni, kalau boleh, dia nak tanya direct kenapa mesej dan komennya tidak dibalas. Diam terus seribu bahasa.

Zarita bt Azhari : Akak memang tak suka layan lelaki ya? Terbaca status akak pasal tu. Dan satu lagi kak, sy ni hodoh, kalau sy cuba berkawan dengan lelaki dalam fb ni tanpa perlu upload pic saya, ok tak kak?

                 Zarul terus memerah otak mencari ilham untuk berbual dengan rakan muka bukunya ini. Dia sengaja menukar topik. Lama juga dia menunggu hingga dia mengambil keputusan untuk masuk ke laman utama dan membaca setiap pos rakan muka bukunya yang rata-ratanya adalah pahlawan papan kekunci. Pos mereka semuanya jenis mengancam dan terancam. Salah kena boleh dapat surat saman.

Szaza Yan : Bukan tak suka cuma saya pilih juga soalan untuk dilayan. Bagi saya rakan fb ni sama saja layanannya yang saya berikan tak kira jantina tapi tengok mod juga la. Kdg2 memang tak ada mod atau tak ada ilham nak layan. Hodoh? Awak OKU ka? Kalau bukan maknanya awak dah cukup sifat. Soal jodoh, biar Allah yang tentukan. Saya pun hodoh juga tapi bukan semuanya lelaki pandang rupa. Ramai juga lelaki yang tengok pada akhlak, iman dan taqwa. Perempuan sekarang muka saja cantik, tapi yang bertudung pun tetap telanjang. Sekarang ni jubah pun ikut bentuk tubuh, ketat dan melekat. Itu bukan tutup aurat namanya. Itu sarung untuk balut buah nangka.

                  Terkekeh Zarul ketawa membaca ayat-ayat akhir rakan muka bukunya yang belum lagi diterima permintaannya untuk menjadi rakan dalam akaun muka bukunya yang ini.

Zarita bt Azhari : Betul kak, setuju sangat. Tapi kak, kenapa kak tak approve lagi request saya nak jadi rakan?

Szaza Yan : Zaman la ni banyak benor penipu! Takut kena akaun fake! Lagi pun akak dah stalk wall awak, sangat mencurigakan!!!

                Zarul tepuk dahinya berkali-kali sambil dia ketawa lagi. Kantoi baq hang!

Zarita bt Azhari : Allahu Akhbar kak. Sy ni orang baik tau.
Szaza Yan : Nantilah, buat saringan dulu. K bai..

********************

RM0 PKPB - Tindakan undang undang akan diambil terhadap mereka yang ingkar PKP walaupun bermula 4 Mei hampir semua aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi.

                          Masuk lagi mesej ke dalam I-phone Zarul. Mengeluh Zarul tanpa sedar. Niat untuk keluar meronda dibatalkan. Zarul melihat jam di skrin I-phonenya, sudah hampir pukul 5.00 petang. Elok sangat untuk pergi mandi dan menunaikan solat asar.

                         Usai solat asar, Zarul bersiap siaga pula untuk berperang di dapur. Malas pula nak keluar membeli sendiri ataupun memesan makanan online.

                        "Nak makan apa hari ini? Malas la nak masak roti canai tak jadi. Group Masak Apa Tak Jadi Hari Ini pun aku dah leave." Zarul berdialog perlahan.

                      Group tu terkenal sekelip mata dan menjadi sebutan di alam maya dan di media massa. Dalam masa beberapa hari sudah mencecah jutaan orang ahli, namun sayang seribu kali sayang..keharmornian group itu tergugat selepas masuknya geng bawang ranger dan geng orang si pembazir makanan.

                    Banyak pos yang seakan sengaja merosakkan makanan mereka sehingga timbul isu saman menyaman. Pos tak logik yang dikutuk netizen disaman oleh pemilik gambar tersebut khabarnya. Allahu'alam, Zarul malas nak siasat kes tersebut. Bukan bidang kuasanya pun. Nampak benor nipunya bila kuih pau yang dikukus pun boleh hangus? Zarul rasa kuih pau tu diwarnakan saja dengan warna hitam sebab periuk kukus tu masih elok lagi.

                    Entahlah, dunia sekarang orang lebih kejar like di laman sosial berbanding pahala. Begitu juga dengan drama dan filem di Malaysia ni, mereka lebih kejar rating daripada mengaut pahala.

                      Aku macam mana pula? Zarul menyoal dirinya sendiri. Rasanya, aku pun dua kali lima dengan mereka tu semua? Tak ada bezanya pun. Halalkah duit yang aku dapat selama ni? Zarul mula meragui pula pendapatannya melalui youtube, blog dan pagenya dalam muka buku.

                  "Hailah tukang masak, hailah nasi goreng." Zarul terus menyanyi bila membuka periuk nasi, masih ada nasi sahur pagi tadi yang berbaki lagi.

                    Masak nasi goreng pun sodap ni. Zarul berbisik pula di dalam hati. Kakinya terus melangkah ke arah peti ais. Melihat barang basah yang masih berbaki di dalam peti ais, Zarul berhajat untuk membuat nasi goreng hailam saja.

                     Kuih apa nak makan petang ni? Zarul soal lagi dirinya di dalam hati. "Cucuq ikan bilis pun sedap ni. Boleh laa.." keputusan terus dibuat maka bermulalah sesi peperangan dengan sudip dan kuali.

****************


                      Group WhatsApp semakin aktiv musim PKP ni. Group WhatsApp sekolah rendah, sekolah menengah, kolej, group family sebelah ibu, sebelah abah, group geng kamcing, group geng membawang semuanya mereka add Zarul masuk hingga group WhatsApp masakan pun ada. Nak keluar tak boleh sebab yang add semuanya kawan baik dia. Takut pula ada yang kecil hati.

                    Setiap hari masuk mesej bertalu-talu, tak terlayan jadinya. Memandangkan Zarul tidak mahu diganggu, semua group WhatsApp telah dibisukan. Masuklah sejuta mesej pun memang takkan bunyi. Bila Zarul ada masa, dia akan masuk dan kosongkan sembang selepas membaca ala kadar. Kalau ada video dan gambar yang berguna, dia akan simpan dan muat naik semula di laman sosial.

                     "Untung sungguh la ada 4 orang bini, cantik pulak tu semuanya, sporting pulak. Kalaulah aku jadi laki depa, rasa macam dok dalam syurga dikelilingi bidadari." Zarul berdialog sendiri sambil bibir tersenyum lebar. Ralit matanya memerhatikan 4 orang isteri lelaki di dalam video yang sedang menyanyikan lagu yang sedang meletup sekarang ni.

                     "Aku nak upload video ni la dalam page.." Zarul berdialog lagi kemudian dia sambung di dalam hati. Upload dalam page, lepas tu baru share dalam wall aku. Lantas Zarul pun log masuk muka buku Zarul Hensem dan muat turun video tersebut dengan ayat yang paling berkuasa sekali.

Geng Bawang Rangers
Hai bawang rangers semua, kalau korang ada isteri 4 yang sporting macam ni, apa perasaan korang? Mesti bestkan? Untuk kaum Adam saja, kaum Hawa dok diam-diam di ceruk dapur.

                      Selepas menaip kata-kata, terus video tersebut diterbitkan dalam halaman muka buku miliknya dengan iringan senyum yang mekar di bibirnya. Selepas muat turun selesai selepas beberapa minit, Zarul kongsi pula video tersebut di dalam muka buku peribadinya.

Zarul Hensem
Huntunglah dapat bini2 macam ni. Aku ni nak dapat sorang pun seksa. Umur dah nak mencecah 40 tapi sorang bini pun takdak lagi. Dia kaut kat dia semua, hat lawa-lawa pulak tu.

                       Tanpa berfikir panjang, pos tersebut terus disiarkan pula di dalam wall muka bukunya. Zarul memang pelupa orangnya. Dia terlupa bahawa Siti Hamizah sentiasa memantau akaun muka bukunya.

Siti Hamizah bt Hamdan : Hurmmmm...

                  Hanya satu perkataan saja yang ditaip dan ditinggalkan namun Zarul sudah mengelabah separuh mati. Menepuk lagi dahinya berkali-kali.

Reply
Zarul Hensem : Ala, gurau ja ni..bukan serius pun.

Siti Hamizah bt Hamdan : Zarul Hensem Tak kata apa-apa pun.

Zarul Hensem : Siti Hamizah bt Hamdan tak marahkan?

Siti Hamizah bt Hamdan : Zarul Hensem buang karan nak marah, daripada saya marah awak, baik saya cari lelaki lain. Kumbang bukan seekor sebab bunga pun bukan sekuntum. Saya nak cari kumbang yang betul-betul setia HANYA pada sekuntum bunga!

                  Tegas sungguh nada tulisan Hamizah kali ini. Dia bagi huruf besar dengan tanda seruan lagi tapi fahamkah Zarul maksud Hamizah tu?

Zarul Hensem : Siti Hamizah bt Abd Hamdan sayang datang tepat pada orangnya, abang la kumbang tu.

Siti Hamizah bt Hamdan : Zarul Hensem macam bukan awak ja, ini kali kedua tau awak share pasal beristeri 4. Saya ni tak suka bermadu! Ngerti!

Zarul Hensem : Ngerti sayang, tersangat mengerti. Abang ni dah hampir 40, tak ada perempuan pun berkenan sampai nak nikah 4, sorang pun belum dapat lagi ni, asyik merajuk ja. Mesej abang pun tak balas.

Siti Hamizah bt Hamdan : Sibuk! K bai...
                  Aik? Merajuk lagi ka? Zarul menyoal diri sendiri. Terus dia mendail nombor telefon Hamizah. Ternyata tidak dijawab walaupun berkali-kali didail.

                   "Payah betul nak hadap perempuan sorang ni. Nak marah pun tak boleh. Hati dah sayang sangat." Zarul mengomel sendiri disusuli keluh resah hatinya.

                Kali ni aku tak nak padam dah video ni. Biarlah dia nak tunjuk perasaan, sekurang-kurangnya aku tahu dia kuat merajuk. Lepas ni aku janji tak buat lagi tapi kalau aku terlupa, tak dapat nak nolongnya, hihi..

                 Bibir Zarul melebarkan senyuman lagi. Dia hanya mampu berdoa, andai dia dan Hamizah ada jodoh, mereka tetap akan disatukan. Andainya tiada, membujang terlajak lagilah dia sampai ke tua. Nasiblah...kalau itu takdirnya.

***********

                   Alam maya gempar lagi. Topik paling hangat hari ni adalah makian oleh adik beradik yang mengusahakan satu jenama. Jabatan Netizen Negara terus bertindak segera. Ramai orang yang tolong viralkan makian mereka itu.

                  Apa nak jadi dengan netizen semua sampaikan sudah tidak ingat lagi dengan bulan Ramadhan. Zarul mengelengkan kepalanya berkali-kali dan cuba untuk mengawal jari jemarinya untuk bertindak.

                   Zarul tak mahu terbabit. Dia tak mahu meninggalkan sebarang komen dan dia juga tidak mahu berkongsi topik yang sama. Zarul takut Allah. Dan Zarul juga kena berhati-hati sekarang ni, mungkin laman sosialnya sedang diperhatikan dalam diam.

Asmarahani Sulaiman
Aku anak Malaysia berbangsa melayu. Memang aku terasa sangat dengan makian mereka tapi untuk apa aku marah mereka? Untuk apa? Mereka maki, aku balas balik jadi aku dengan mereka tak ada bezanya. Kenapa? Kerana, memaki orang itu berdosa. Bila kita balas balik, kita juga turut berdosa. Lagi satu, aku paling hairan dengan netizen ni, mereka tak suka orang tu tapi mereka tolong viralkan.

Jujurnya keluarga kami bukan orang berada. Aku tak pernah kenal apa itu jakel. Aku tak tahu sebarang produk duck atau itik, angsa dan sewaktu dengannya. Aku tak kenal siapa ustaz Abu dan siapa PU. Aku tak ada masa untuk kenal mereka semua. Aku terlalu sibuk untuk bekerja menyara keluarga, tapi kerana netizen yang terlalu prihatin untuk tolong menglamorkan orang ini, aku boleh kenal siapa mereka.

Musim PKP ni aku diberi cuti tanpa gaji. Penat berikhtiar untuk mencari rezeki secara online tapi bila aku online yang aku jumpa pos-pos viral yang tak berfaedah.Aku jadi jemu untuk terus mencari tapi aku tak ada pilihan untuk mencari rezeki sesuap nasi. Anak-anak aku juga perlu makan. Aku ni ibu tunggal yang menyara enam orang anak.

Sudahlah netizen semua. Jangan penuhkan facebook ni dengan pos yang tak berfaedah. Aku letih untuk terus scrool, apa yang aku cari, tak juga jumpa. Jangan terus biarkan orang-orang jahat mulut dan jahat hati dan jari tu terus terkenal. Hentikanlah perbuatan viral segala-galanya tentang mereka. Jom mulakan sesuatu yang lebih berfaedah dan mendatangkan pahala.

                    Zarul angguk setuju tanpa sedar. Rakan muka bukunya ini jarang online dan jarang kemas kini status. Ini kali pertama Zarul terjumpa statusnya. Ada kebenaran di sebalik kata-katanya.

                   Apa itu Jakel? Apa itu jenama Duck? Aku tak tahu pun semua tu wujud. Zarul terus senyum sendiri. Dia hanya tahu pasaraya yang ada di sekeliling kejiranannya saja. Ada ka Jakel di Alor Setar ni? Lantaklah! Kesah pulak aku! Zarul terus scrool lagi dan terjumpa beberapa keping gambar screenshot yang telah dikongsi oleh rakan-rakan alam mayanya.

                   Orang melayu bodoh? Bodoh-bodoh pun di Tanah orang melayu ni jugalah hampa menumpang senang buat bisnes di serata ceruk negara. Hailah manusia.
Zarul malas nak singgah, dia scrool dan terus scrool. Akhirnya dia log keluar dan mula main game. Main game lagi syok!

*************

                   Kebosanan kembali melanda. Ke sana salah, ke sini pun salah, yang ada cuma dinding, bumbung, lantai dan perabot rumah. Nak berbual tiada siapa yang boleh diajak berbual.

Ahh..Hamizah, mesej pun tak dibalas. Nak mesej kawan-kawan asyik kena main saja. Sikit-sikit mereka suruh dia kahwin. Kalaulah kahwin tu mudah, memang aku dah kahwin dah, tak kiralah musim PKP atau PKPB. PKPK la sendiri. Hiesy...

Nur Fatin bt Mohd Fazeli
Selepas berperang dengan diri sendiri & dilemma buat keputusan, akhirnya aku memilih dengan cara nikah online. Jujur, ianya bukan keputusan yang mudah. Thank you so much kepada kawan-kawan rapat (you know who you are) yang sudi memberi idea & nasihat bernas, sokongan 100% lalu menghasut aku buat cara ini.
Alhamdulilah, pada 4 May 2020 dengan sekali lafaz Amir & Fatin selamat diijabkabulkan.  Jujurnya, mudah gila nikah online. 😜 Tak rumit langsung. Tahu-tahu dah kahwin, kan.
P/s : Hadiah boleh pos, kalau sudi..hihi
#nikahonline
#nikahdigital
#pengantinPKP

                     Zarul membaca status rakan muka bukunya dengan wajah yang ceria. Nak PM ke tak? Dia dah jadi bini orang, boleh ke PM? Tapi, nak tanya pendapat saja kot, takkan salah pulak. Aku bukannya nak mengorat dia pun. Aku bosan tahap kritikal dah ni, kalau boleh nikah online pun syok juga ni.

Zarul Hensem : As salam cik, tumpang tanya boleh tak? Apa pedoman untuk nikah online?

                   Zarul terus hantar tanpa membaca semula mesejnya. Selepas mesej dihantar bibirnya tersenyum penuh semangat. Tapi...

Zarul Hensem : Eh..sorry typo, bukan pedoman, panduan dan syarat untuk nikah online.

Zarul ketawa seorang diri. Macam mana boleh typing error pulak ni? Tak sabar sangat nak tahu agaknya?

Nur Fatin bt Mohd Fazeli : Waalaikumusalam, Hai..panduan tu kalau nak lebih tepat boleh check website. Macam saya under JAIS.. Saya check kat IG jais.
Nikah online ni boleh dibuat kalau semua surat dokumen nikah dah settle. Kalau belum complete tak boleh buat.
Macam saya patut nikah 4 april, bulan Mac saya dah settel semua surat, dokumen, HIV. Dah proceed pun ke jais. Then tetibe kena PKP, so wedding terpaksa postpone.. So dengan ada nikah online ni, pengantin diberi pilihan kalau nak teruskan.
Setiap borang kawen ada tarikh expired untuk nikah, dan HIV pun valid hanya 6 bulan. Kalau dah expired kena renew balik semua borang tu. Macam saya, saya rasa leceh nak renew2 balik. Dah jadi double job, sekarang pulak kita new normal so lagi payah nak bergerak. Jadi saya pun ambil keputusan nikah online.
Syarat nikah online pulak, kena ada Skype & 4G. Waktu nikah hanya ada view dari jurunikah, wali, pengantin laki & perempuan. Saksi belah perempuan tak perlu, sebab jurunikah akan buat di pejabat, so sana dah ada pegawai2 yang jadi saksi.
Process saya mula2 tu, saya WhatsApp jurunikah saya, tanya tentang nikah online, kalau nak, boleh terus isi form kat online, then inform balik kat jurunikah tu, lepas tu terus buat payment jurunikah. Tarikh nikah, pejabat agama yang tentukan.

                 Zarul terus patah semangat membaca mesej tersebut. Ingatkan senang bila baca status rakan muka bukunya tadi. Banyak juga proses nak kena selesaikan. Membujang lagilah aku sampai habis PKP.
Zarul Hensem : Oh, ingatkan buat semua proses tu dalam musim PKP.

                  Zarul membalas mesej rakan muka bukunya dalam keadaan tak bermaya. Kecewa rasanya tak dapat jadi suami Hamizah lagi.

Nur Fatin bt Mohd Fazeli : Ya, ramai juga yang PM saya tanya pasal nikah online ni.

Zarul Hensem : Terima kasih ya, atas panduan yang diberikan. Moga saya mendapat pedomannya. Huhu..

Nur Fatin bt Mohd Fazeli : Hihi..sama2..


*********

Kak Kamariah binti Harun

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan PKPP 10/06/20 - 31/08/2020
1. Rentas negeri dibenarkan.
2. Gunting rambut dibenarkan.
3. Pasar pagi/petang/siang/malam dan gerai-gerai yang bukan restoran dibenarkan.
4. Dobi layan diri, kolam mancing dibenarkan.
5. Aktiviti sukan yang tak melibatkan sentuhan badan dibenarkan.
6. Berbasikal dan konvoi motorsikal dibenarkan.
7. Sukan yang ada sentuhan tidak dibenarkan lagi.
8. Pelancongan domestik dibenarkan.
9. Sempadan negara masih ditutup.
10. Sambutan Hari Raya Aidiladha dibenarkan.
11. Solat berjemaah dilonggarkan dengan membenarkan lebih ramai. Akan diumumkan nanti.
12. Sekolah akan dibuka secara berperingkat. Pengumuman akan dibuat nanti.
13. Waktu operasi perniagaan seperti biasa dengan norma baru.
14. Pub, kelab malam, pusat hiburan, pusat karaoke, taman tema, kenduri, rumah terbuka masih belum dibenarkan.
#Alhamdulillah.
#Jangan lupa norma baru kita.
#Sentiasa basuh tangan atau cuci dengan hand sanitizer dan penjarakan sosial.

                 Zarul melompat gembira bila membaca status terbaru rakan muka bukunya. Dia memang tak pernah mendengar sebarang pengumuman dalam tv atau radio. Hanya laman sosial saja yang digunakan Zarul untuk tahu sebarang info. Laman sosial paling cepat tersebar, bukan seorang yang kongsi tapi beratus orang rakan muka bukunya akan kongsi topik yang sama.

                 Zarul segera log out dari muka buku. Nombor ibunya terus didail. Niat di hati harus segera disampaikan pada ibunya, biar cepat sikit prosesnya selesai. Ramai orang bandar sudah berpusu-pusu balik ke kampung. Zarul pun tak mahu terus menanti, Hamizah harus disunting secepat mungkin agar hidupnya di rumah ini tidak sunyi lagi.

                ‘’Assalamualaikum ibu..’’ sebaik panggilannnya dijawab, Zarul segera memberi salam dengan perasaan yang sangat teruja.

               ‘’Waalaikumussalam. Mimpi baik ka semalam, awal call ibu hari ni?’’ ibunya menjawab salam sambil tertawa kecil.

                ‘’Nak minta tolong ibu ni, la ni dah boleh merentas negeri, ibu boleh mai sini, kan?’’ Zarul masih dengan perasaan terujanya. Sambil bercakap, bibirnya tersenyum dengan lebar. Dia sudah mula membayangkan wajah Hamizah yang bakal jadi suri hidupnya.

               ‘’Ya ka? Ibu tak tahu pun.’’ Ibu Zarul masih bermain teka-teki di hujung talian.

                ‘’Dah la ibu, semua orang dah share dalam facebook. Ibu tak on facebook ka?’’ Zarul menyoal ibunya kembali.

                ‘’Ibu tahu, semua group WhatsApp ibu share hal yang sama. Pasai pa ni, nak suquh ibu pi masuk minang marka Zarul tu ka?’’ ibu Zarul mula serkap jarang. Senyuman Zarul semakin lebar.

             ‘’Ya ibu, secepat mungkin, kalau boleh. Nak nikah dalam bulan ni jugak.’’ Zarul berkata dengan lancar dan yakin. Ibu Zarul di hujung talian sudah ketawa kuat.

                ‘’Amboih! Ingat nikah kawen tu macam kupas kacang ka Zarul? Banyak nak kena settle tu. Dah pergi chek darah ka? Chek kesihatan, chek HIV dan macam-macam lagi. Kursus kahwin, dah pergi ke belum?’’

              ‘’Mak oii..biar betul ibu? Takkan nak kena buat semua tu?’’

                ‘’Itu baru sikit, nak kena buat banyak lagi tu. Nak kena pergi Pejabat Agama, nak kena jawab soalan itu dan ini. Dah hafal ka semua benda, rukun nikah, rukun solat, rukun iman dan banyak lagi kena hafal tu.’’ Ibu Zarul terus membebel di hujung talian. Semangat Zarul merudum terus. Dia bukannya tak tahu langsung, cuma dia sudah lupa semua tu. Nak kena belajar semula la ni.

               ‘’Teruklah kalau macam tu.’’ Mengeluh juga Zarul.

                ‘’Awatnya, Zarul ingat nak nikah ni hanya perlu jabat tangan Tok Kadi saja ka? Jangan buat mudah hal nikah kahwin ni Zarul. Besar tanggungjawab seorang suami dalam rumah tangga ni. Jangan ingat nak seronok saja.’’berdas-das ‘peluru berpandu’ ditembak ke telinga Zarul, terpaksa Zarul tadahkan telinganya mendengar semua bebelan ibunya.

***************

Sebulan kemudian

            Segalanya berjalan dengan lancar. Tiada halangan daripada mana-mana pihak. Zarul dan Hamizah sudah sah menjadi suami dan isteri. Majlis dibuat kecilan saja sekadar meraikan kedua-dua mempelai. Zarul bahagia melihat Hamizah di depan mata dan kini rumahnya tidak sunyi lagi.

            ‘’Pak cik, Along nak main game, boleh dak?’’ anak sulung Hamizah menyoal Zarul sambil menunjukkan laptop di atas meja yang sedang menyala skrinnya. Memang banyak game yang Zarul muat naik dalam laptopnya itu. Zarul serba salah, bolehkah anak sulung Hamizah bermain dengan laptopnya. Banyak video-video yang disimpan dalam laptopnya itu.             

               ‘’Tak boleh laptop tu, nanti pak cik beli yang baru, yang lagi banyak game.’’ Zarul cuba memberi alasan.

                ‘’Pasai pa tak boleh? Along cuma nak main main game saja.’’ Anak sulung Hamizah menyoal kembali.

                ‘’Laptop tu pak cik guna untuk buat kerja, lagi pun kerja-kerja pak cik banyak dalam tu, kalau Along terdelete, macam mana?’’

                ‘’Alaa.. pak cik simpan la semua kerja-kerja pak cik tu dalam hard disk pak cik tu. Lima tera kot hard disk pak cik tu..pak cik pun celuih kalau nak masuk dalam tu.’’ Zarul terus ternganga. Pandai pulak budak ni? Fikirnya.

                ‘’Mana Along tau, hard disk pak cik tu lima tera?’’ Zarul tanya ragu-ragu. Orang dewasa pun belum tentu tahu.

               ‘’Hihihi..sorry pak cik, tadi pak cik tinggal masuk bilik ayaq, Along dah tengok laptop pak cik tu, banyak game pak cik..Along tertengok dekat ruangan memori tu..nampak hard disk pak cik tu kosong banyak lagi..awat pak cik beli hard disk lima tera tapi tak guna untuk simpan semua kerja-kerja pak cik tu?’’ gaya cakap anak sulung Hamizah macam dia tahu semua perkara. Zarul pun terkejut mendengar ayat-ayatnya.

              ‘’Along pandai guna komputer ka?’’ Zarul terus menyoal.

                ‘’Along tu pantang ada duit mesti dia pi café yang depan rumah tu, main game online. Bukannya gheti simpan duit. Orang larang macam orang suquh.’’ Entah dari mana Hamizah datang dan mencelah percakapan mereka.

                ‘’Oh, ya ka..tengok macam slow, rupa-rupanya laju jugak Along ni. Apa lagi yang Along tengok dalam komputer ni?’’

                 ‘’Tengok youtube la, Along salah seorang pelanggan channel pak cik.’’ Anak sulong Hamizah menjawab lancar. Membulat mata Zarul mendengarnya. Dia imbas kembali apa yang dia selalu kongsi dalam Youtube. Tak ada satu pun video yang elok. Semuanya video hal semasa dan gosip terkini.

              ‘’Errr..’’ Zarul mengaru kepala yang tidak gatal dan tersenyum kelat.

                  ‘’Jangan ingat, awak saja tahu pasai Youtube ya encik Zarul. Lain kali sharelah video yang berfaedah sikit, yang dapat memberi manfaat pada semua orang.’’ Hamizah mencelah lagi sambil menepuk lembut bahu Zarul.

                ‘’Boleh dak pak cik, Along nak main game, bosanlah dok rumah pak cik, tak boleh keluar main dengan kawan-kawan macam selalu. Pak cik jomlah pindah duduk di rumah kami. Tang tu best, dekat dengan laut. Rumah pak cik dok tengah pekan, tak best langsung, bunyi kereta hinggaq tak sangga. Nak tidoq malam pun payah, gheja terkejut jaga ja.’’

               ‘’Amboi Along, dah pandai demand nampak. Sebelum ni tak sabaq nak mai dok sini. Syok ada macam-macam. La ni tak best pulak.’’

                 ‘’Kalau pak cik bagi pinjam laptop, mesti best..hihi..’’

                 ‘’Gunalah..tapi lepas ni, bagi pak cik pindahkan semua fail pak cik masuk hard disk dulu.’’

                ‘’Bukannya Along nak tengok pun fail pak cik tu.’’

                ‘’Langkah berjaga-jaga, Along tu terlajak pandai sangat. Pak cik pun kena tabik.’’ Zarul membalas sambil tergelak. Hamizah sudah berlalu pergi meninggalkan Zarul dan anak sulungnya berbual.

**************

                    Zarul berubah seratus peratus selepas menjadi suami pada Hamizah. Dia masih bekerja secara online tapi kini dia hanya memuat naik video-video yang berbentuk ilmu sahaja. Dia bekerja keras mengedit video terjemahan Al-Quran berserta suara orang mengaji. Semua video yang tak bermanfaat telah dipadam. Zarul ingin memulakan hidup baru memberi rezeki yang halal pada keluarganya.

                Hamizah dan Along juga mempunyai channel Youtube sendiri. Hamizah berkongsi resepi masakan nasi lemak ibunya dan semua resepi kuih muih ibunya. Along pula berkongsi video dia bermain game, makan-makan online secara langsung dan sebagainya. Masing-masing ada kerja tersendiri.

               ‘’Along, dah buat kerja sekolah? Jangan nak main game saja, nanti mak suruh pak cik rampas tablet tu.’’

               ‘’Pak cik nak tukar job jadi kastam pulak ka, mak? Nak rampas-rampas pulak.’’

                 ‘’Menjawab!’’ tegas Hamizah memarahi Along.

                 ‘’Opppsss..sorry mak.’’

                  ‘’Sorry naik lori la. Pergi mandi Along, lepas tu ambil ayaq sembahyang, kita solat berjemaah.’’ Zarul datang dan memberikan arahan. Along terus meletakkan tablet miliknya yang telah dibeli oleh Zarul.

                  ‘’Tunggu Mizah sama, nak berjemaah sekali.’’ Hamizah berkata dan berlalu ke bilik mereka untuk mengambil wuduk. Zarul mengekorinya dari belakang.

                ‘’Dah habis cuti ka?’’ Zarul menyoal perlahan sambil memandang sekeliling. Hamizah tidah menjawab dan terus berjalan tanpa menoleh ke belakang. Zarul terus menanti jawapan dengan sabar.

              ‘’Sayang..abang tanya ni..’’ Zarul cuba memancing perhatian Hamizah.

           ‘’Suka sangat tanya soalan bocor. Kalau Mizah nak berjemaah sekali, maknanya dah habislah tu. Hiesy..hat tu pun nak tanya.’’

              ‘’Yess!’’ Zarul terus bersorak gembira.

                 ‘’Apanya yang yes?’’

                 ‘’Kan kita nak berjemaah sekali, mestilah yes.’’ Sambil tersenyum Zarul menjawab. Hamizah mencebik namun bibirnya mengulum senyum.

               Akhirnya Pahlawan Papan Kekunci diberi Hidayah oleh Allah. Semoga semua pahlawan papan kekunci di luar sana pun mendapat Hidayah sebelum ajal menjemput. Betul, kita semua tidak sempurna sebagai hamba Allah, tapi ingatlah, mati itu pasti untuk semua orang dan mati itu adalah kiamat kecil untuk kita. Dunia ini hanyalah pinjaman. Akhirat jua yang kekal abadi selamanya.

********TAMMAT********

Nota : Aku tidak bertujuan untuk menyindir sesiapa pun, cuma idea ini terlintas di fikiran bila membaca macam-macam cerita panas yang viral di laman sosial. Jadi, aku ingin jadikan musim PKP yang sukar ini sebagai kenangan untuk diabadikan dalam blog ini. Semoga bermanfaat untuk semua pembaca blog ini. Terima kasih kerana sudi singgah dan baca.