YESS, yes, yes..selesai juga gheja
aku hari ni. Aku dah tak sabaq nak keluar pi beli barang ni. Apa yang aku nak
beli ya? Ermm..Shikin berfikir seketika. Sambil tu Shikin pandang kakaknya yang baru habis mengemas. Petang ni petang
khamis, jadi kedai ditutup awal. Shikin bekerja sementara di kedai kakaknya
untuk mencari pengalaman kerja.
“Apa lagi tu? Jom cepat, balik..”
“Alaa kak, Shikin tak mau balik
lagi. Shikin ingat nak pi kedai sat. Dekat simpang tu saja. Boleh la kak?”
Shikin pura-pura merenggek pohon simpati. Memang tiada barang yang penting
ingin di beli. Kebetulan hari ini kakaknya memberi gajinya yang pertama. Seronok
sangat bila dapat pegang duit hasil titik peluh sendiri. Shikin pun sebenarnya
tidak tahu apa yang ingin dibeli, cuma yang ada difikirannya sekarang adalah
sesuatu yang boleh disimpan sebagai kenangan.
“Ya la, tapi pi sat saja tau. Haa,
bawa motor tu elok-elok sikit. Jangan dok cilok sana, cilok sini pulak. Bawa
motor ngalahkan orang jantan.” Dalam memberi izin sempat juga kak Tipah memberi
amaran padanya. Shikin hanya mampu memberi senyuman sumbing buat kakaknya itu, tapi
dalam hati Shikin berkata sendiri. 'Tak best la kak Tipah oii bawa pelan-pelan'.
****************
SHIKIN mula membelok ke simpang
menuju pasaraya. Entah dari mana tanpa disedarinya dua buah motosikal yang
dipandu laju oleh dua orang remaja berselisih dengannya. Terpempam Shikin
seketika. Dalam keadaan terkejut itu Shikin hilang kawalan dan motosikalnya
terbalik di tepi jalan. Betul-betul dengan dua buah gerai yang menjual burger.
“Hantu punya Mat Rempit. Nyaris-nyaris
aku mati terkejut. Nasib baik aku ni muda lagi. Buatnya aku ni ada sakit
jantung, tak sempat aku nak mengucap. Terus gol tang ni saja.” Sempat lagi
Shikin membebel. Walaupun dua remaja tadi sudah lesap entah ke mana. Penjual
burger yang sedang memerhatikan kejadian itu datang untuk membantu mengangkat motosikal Shikin.
“Adik, lain kali kalau nak
membelokkan motor ni, jangan la pulas minyak. Slow la dikk. Hang ni tak sayang
nyawa ka? Ingat, masa naik motor tu ingat orang yang tersayang.” Salah seorang
penjual burger yang lebih tua membebel pada Shikin. Shikin termalu sendiri. Merah
padam juga mukanya ditegur begitu. Sempat lagi Shikin memandang di sekeliling. Ya
Allah, ramainya orang yang sedang memerhatikan aku.
“Eee..depa ni dok tengok-tengok apa
tak tau? Depa ingat ni pesta ka apa?”
Shikin melepaskan geramnya pada orang sekeliling pula.nPenjual burger
yang lebih muda terdengar ungkapannya sebentar tadi tersenyum. Terpegun Shikin
seketika. Aduyaii, handsomenya mamat ni, kata hati Shikin.
****************
SHIKIN menongkat motosikalnya di tepi rumah. Bibirnya
masih tersenyum. Entah kenapa selepas insiden tadi dia rasa teramat lucu. Biarpun
dia malu gilerr macam budak-budak remaja selalu sebut tu tapi dia rasa kelakar
la pula. Tapi dalam masa yang sama dia juga rasa bahagia. Hatinya berbunga
riang. Alahai, sapa la agaknya nama mamat handsome tu noo? Teringin juga aku
nak tau nama dia. Kalau la tak dak pak cik penyibuk tu tadi, tentu aku dah
tanya nama dia tadi.
“Ooii, tu awat? Dah sewel ka pa? Dok sengeh
sorang-sorang?” Alamak, kantoi lagi aku.
“Tak dak pa la kak Tipah. Tadi
Shikin tengok orang accident kat pekan nu..”
“Hang ni manusia ka pa? Ada pulak
tengok accident pun dok sengeh sorang-sorang macam kerang busuk.”Aduhh..banyak songeh
pulak Kak Tipah ni. Apa aku nak jawab ni? Ligat Shikin berfikir alasan yang paling munasabah untuk diberikan pada
kakaknya itu.
“Apanya tak sengeh kak. Lawak
gilerr wa cakap lu. Terbabas tepi jalan, dah tu siap dapat ceramah free lagi.”
Sengihan Shikin semakin melebar. Mahu saja dilepaskan tawanya itu.
“Hahh, ni hang tengok orang accident ka hang
yang accident?” Shikin terpana. Masuk perangkap lagi aku. Pandai pula kak Tipah
ni serkap jarang. Tepat pada sasaran. Tapi..alah biarkanlah kak Tipah dengan
tanda tanyanya itu. Selamba saja Shikin berlalu dari situ. Kak Tipah buat muka
garang. Tekaannya mungkin mengena, kerana sebagai seorang kakak yang paling
rapat dengan Shikin dia sudah memahami sangat sikap adiknya yang tak pandai
menipu itu. Kalau dia tak menjawab maka benarlah telahannya.
***********************
“SHIKIN, tolong kak Tipah sat. Tu ada
pelanggan tu. Tolong tanya sat depa nak minum apa.” Kak Tipah mengarahkan
Shikin. Akur dengan permintaan kakaknya itu Shikin ke depan kedai.
“Nak order apa? Minum? Makan?” Selamba
Shikin menyoal dua pemuda di hadapannya.
“Apa yang ada?” pemuda-pemuda itu
menyoal balas.
“Macam-macam ada. Mee goreng, rebus, bandung,
bihun goreng, sup, hailam...” dengan penuh perasaan Shikin menerangkan.
“Okey, kalau macam tu bagi kami
Pizza, KFC, Mc Donald, Ayamas..” sambil senyum-senyum salah seorang dari pemuda
itu menjawab, manakala salah seorang lagi hanya memandang Shikin tanpa kata.
“Maafkan saya, Encik berdua ni dah salah
masuk kedai. Semua benda-benda yang encik nak tu tak dak di sini.” Shikin dah mula hangin satu
badan. Tapi dikawal suaranya itu. Mukanya dah memerah menahan marah.
“Tadi cakap macam-macam ada?” Pemuda tadi
berbalas kata dengan Shikin. Kedua orang pemuda itu saling berpandangan dan
melemparkan senyuman. Shikin dah mula bercekak pinggang dan menaikkan lengan
bajunya lagak orang yang mahu bergaduh. Kesabarannya hanyalah senipis kulit
bawang. Baginya dua pemuda itu sudah biadap padanya. Kalau nak bergurau pun
biarlah bertempat.
'Ohh…korang nak berloyar buruk dengan
aku ya? Tak pa..tak pa. Bisik Shikin di dalam hatinya.
“Memang, memang, macam-macam ada
di kedai ni. Tunggu sat noo. Aku nak ambik yang paling special untuk korang
berdua.” Sehabis Shikin berkata begitu, Shikin berlalu ke belakang kedai.
Dicapainya jug minuman dan dimasukkan dengan ais dan air. Dengan lajunya air
berais itu dibawa ke depan kedai. Dengan senyuman yang paling selamba dan ayu
Shikin terus menyiram kedua pemuda itu.
“Amacam? sedap dak? Ni la makanan
paling ‘special’ di sini.” Shikin tergelak dengan perbuatannya sendiri. Tadi
dua pemuda itu menguji kesabarannya. Sekarang giliran dia pula berbuat perkara
yang sama.
"Padam muka hampa. Nak buat lawak
bodo sangat dengan aku." Shikin berkata perlahan lebih untuk dirinya
sendiri.
“Astafirullah, Shikinnn! Apa hang
dah buat ni?” Kak Tipah muncul di hadapan kedai.Shikin buat selamba ayu sambil
tersenyum. Dua pemuda tadi sudah benggang. Habis basah dikerjakan Shikin.
*******************
HARI ini hati Shikin puas kerana
dapat mengenakan dua orang pemuda-pemuda itu. Biar pun dia tak mengenali mereka
tapi dia seakan merasa salah seorang darinya pernah ditemuinya. Tapi dia
terlupa pula di mana mereka pernah bertemu. Mungkin salah seorang dari
pelanggan tetap kakaknya barangkali.
Kak Tipah ada urusan jadi kedai
ditutup awal hari ini. Shikin yang sendirian di rumah merasa teramat bosan. Hendak
membaca novel, kebanyakan novel-novel kepunyaannya dah beberapa kali dikhatam
membacanya. Nak dengar lagu, asyik-asyik lagu yang sama saja.
“Apa aku nak buat hari ni? Takkan
nak melangut saja di rumah ni?” Shikin berdialog seorang diri.
“Ahaa...aku ada satu idea..” Shikin
terus berlari ke bilik air, membersihkan diri, solat asar dan bersiap. Shikin
mengenakan pakaian formalnya. Berseluar jean biru dan bertshirt panjang biru
muda serta bertudung putih. Nampak santai dan ringkas. Hajatnya nak jalan-jalan
di Alor Setar. Boleh juga mencari novel-novel terhangat di kedai buku
kegemarannya, Popular Book Store. Sambil tu bolehlah jalan-jalan sambil cuci
mata. Daripada melepak saja di rumah yang amat membosankan dirinya.
*******************
PEKAN Rabu Alor Setar, sudah terkenal satu Malaysia
dengan berbagai jenis makanannya. Kebanyakan orang luar yang datang
ke Kedah menjadikan Pekan Rabu sebagai destinasi utama apabila datang ke Alor
Setar. Shikin berpusing-pusing di tempat letak kenderaan di Pekan Rabu untuk
mencari tempat yang sesuai untuk meletakkan motosikalnya.
Ramai pula orang hari ni. Ada
apa ya? Shikin berkata pada dirinya sendiri di dalam hati sambil meninjau
keadaan sekeliling. Akhirnya dapat juga Shikin tempat meletakkan motosikalnya.
“Assalammualaikum..” Sapa
seorang lelaki pada Shikin. Shikin tak segera menjawab tapi memandang lelaki
itu dengan penuh tanda tanya.
Macam nak kenai saja mamat ni.
Shikin bermonolog dalam hati. Wajahnya seperti sedang berfikir sesuatu.
“Awak tak kenal saya ke?” Lelaki itu
memandang Shikin dan melemparkan senyuman. Shikin terpegun. Macam pernah tengok
mamat ni tapi aku tak pasti pula. Tapi senyuman tu macam seseorang yang...
“Awak ingat tak hari tu awak
jatuh motosikal depan gerai burger sepupu saya? Lepas tu pagi tadi awak siram
saya dan adik sepupu saya di kedai makan. Ingat tak?” Wajah Shikin yang putih
gebu itu tiba-tiba bertukar menjadi merah. Baru dia tersedar dan pasti siapa
lelaki itu. Tapi dari cara lelaki itu bercakap dia mungkin bukan orang sini.
“Hai, saya Harris. Awak Shikin kan?”
Harris menghulurkan tangannya untuk bersalaman. Shikin hanya memandang saja
tanpa tergerak untuk menyambut huluran tangan Harris itu. Harris hanya
tersenyum dan menarik kembali huluran tangannya.
“Ok, saya faham. Bukan mahram tak
boleh bersalam.”
“Faham tak pa..” Shikin masih buat
muka selamba biar pun dalam hatinya berdegup kencang. Setiap kali Harris
tersenyum, Shikin rasa terpegun. Lesung pipitnya yang dalam itu begitu menarik
perhatian Shikin. Penampilan Harris juga telah mengetarkan hati perempuannya. Harris
yang berkulit kuning langsat, tinggi dan berkumis nipis itu begitu segak dengan
gayanya berbaju T –Shirt biru muda dan berseluar jeans. Nampak kemas dan rapi.
Shikin melangkahkan kakinya
dan ingin berlalu menuju destinasinya, tapi baru beberapa langkah Harris
menahannya. Melihat wajah Harris yang kelihatan serba salah Shikin tiba-tiba
dilanda perasaan lucu. Mimik muka Harris yang sedikit berkerut dan serius itu membuat Shikin tertanya-tanya.
Apa hal la pulak mamat ni? Fikir
Shikin.
“Err..boleh tanya sikit Shikin?
Tu pun kalau Shikin tak keberatan?”
“Tanyalah.”
“Jangan marah noo, birthday Shikin bila?”
“Lahhh..nak tanya birthday pun
nak marah. Awat tanya, nak bagi hadiah ka?”
“Boleh juga kalau Shikin sudi
menerimanya.”
“Ermm..30 febuari. Saya tunggu
hadiah awak. Tu pun sebab awak dah berjanji. Bukan saya yang nak pun.” Shikin
tersenyum sebaik habis berkata-kata. Dalam hatinya sekadar menguji sama ada
lelaki di depannya boleh memahami maksud sebenarnya.
“Ohh, jadi birthday awak esok la.
Kebetulan ni, jom la awak ikut saya. Awak pilih saja apa yang awak nak nanti
saya belikan.” Harris pura-pura bendul.
“Apa pulak..nak kena pilih
sendiri. Awak nak kasi, bagi saja la, apa-apa pun.” Syikin nak ketawa dengan
lawaknya sendiri. Fikirnya, Harris dah terkena dengan helahnya. Lantak hang la
mamat oii. Bengap juga noo. Mana la mai orang ni? Esokkan dah 1 mac. Fikir
Shikin.
“Mungkin awak ni orang yang paling
bertuah dalam duniakan?”
“Awat pulak?” Shikin bertanya
lurus.
“Ya la, orang yang lahir 29
februari pun sambut birthday 4 tahun sekali saja. Awak pulak boleh sambut 30 febuari.”
Harris tertawa. Direnungnya wajah ayu di depannya. Ternyata wajah Shikin
berubah, tapi sebentar kemudian Shikin turut ketawa sama.
“Ooo..saya ingatkan awak tak
perasan tadi.”
“Nakal juga awak ni kan. Tu
sengaja nak kenakan saya la tu?” seloroh Harris.
“Awak lagi nakal. Macam-macam
helah awak cari, untuk menyembang dengan saya. Dah la saya kena gerak ni. Kalau
awak nak jumpa saya lagi, tentu awak tahukan mana nak cari saya lagi.”
“Boleh ke kita jumpa lagi? Kalau
saya pergi kedai lagi, awak janji jangan siram dengan ais lagi. Sejuk la...”
Harris menyeringai ketawa bila ingat kejadian pagi tadi. Memang salah mereka, mulanya
dia dan Amir sepupunya itu hanya berpakat untuk menyakat Shikin saja, tak
sangka pula mereka akan dapat mandian percuma di pagi hari.
Shikin juga ketawa bila ingat
kejadian pagi tadi. Teruk juga dia dileter oleh kak Tipah. Tapi biasalah Shikin
dengan kak Tipah tu memang akrab sejak kecil lagi. Shikin tak pernah ambil hati
pun. Akhirnya Shikin dan Harris berpisah juga. Mungkin hari-hari
seterusnya akan menjadikan hari-hari
mereka lebih bermakna?
*****************
SEMINGGU berlalu
selepas perkenalan Shikin dengan Harris. Sekiranya ada masa terluang Harris
akan datang ke kedai kak Tipah untuk
berbual dengan Shikin. Kadang-kadang datang seorang, dan kadang-kadang berdua
dengan adik sepupunya Amir, hinggakan kak Tipah sendiri sudah terbiasa dengan
kedatangan mereka. Harris sebenarnya bercuti
di Kedah, di rumah bapa saudaranya. Menurut Harris, hari Shikin terjatuh
motosikal hari tu kebetulan Harris sedang membantu abang sepupunya Amri di
gerai burger itu.
Harris berasal dari Sabak Bernam
dan masih menuntut di salah sebuah Institut Pengajian Tinggi KUIS (Kolej
Universiti Islam Selangor). Hari ini adalah hari terakhir Harris di Kedah. Jadi
dia mengambil peluang itu dan datang ke kedai Kak Tipah untuk mengucapkan
selamat tinggal pada Shikin.
“Shikin, Harris datang ni nak bagi
tau Shikin sesuatu..” Harris memulakan bicaranya selepas Shikin datang padanya
untuk mengambil pesanan.
“Bagi tau saja la. Macam tak
biasa pulak.” Shikin bersuara dalam nada gurauan. Selalunya apa yang nak
diucapkan Harris tak pernah pula dia nak minta izin dari Shikin. Ni lain macam
pula gayanya.
“Selepas ni tentu Harris
akan selalu rindukan Shikin.” Luah Harris bernada sedikit sedih.
“Ya la tu, bukannya jauh mana
pun. Rindu mai saja la. Sejak bila pula awak malu nak mai kedai ni?” Shikin
masih tersenyum dan masih tidak memahami maksud sebenar Harris.
“Esok Harris dah nak pulang ke Sabak. Nu
Sabak Bernam dok lambai-lambai Harris dah. Balik la. Balik la..” Sengaja Harris
bernada lucu untuk mententeramkan hatinya sendiri. Sukar juga untuknya
mengucapkan selamat tinggal pada gadis yang telah menawan hatinya ini.
“Ohh..ya ka? Kesian kak
Tipah, selepas ni hilanglah sorang pelanggan tetap dia.” Shikin melemparkan
senyuman pada Harris sebaik habis berkata-kata. Sedangkan hatinya dah jadi
kacau di dalam. Tak dapat lagi la aku nak tengok teruna pujaan hati, bisik
Shikin di dalam hatinya.
“Awak macam mana? Tentu suka kan
kalau saya dah tak ada nanti? Kalau saya nak minta sesuatu boleh tak, sebelum
pergi?” Harris merenung Shikin. Shikin tiba-tiba bangun dari tempat duduk. Perbualan
mereka terganggu kerana ada pelanggan yang datang. Selesai melayan pelanggan
Shikin datang kembali ke meja Harris.
“Awak cakap apa tadi? Nak minta
sesuatu? Apa tu?" Bertalu-talu
soalan Shikin pada Harris.
“Yupp..nak minta hati awak..”
Meledak ketawa Harris sebaik ayat terakhir diluahkan.
“Taklah, nak minta nombor
handphone awak. Boleh?” sepantas kilat Harris membetulkan ayatnya bila dilihat
muka Shikin sudah memerah. Walau pun sebenarnya itu juga ayat yang ingin
diungkapkannya.
***********************
HARI berlalu, minggu berakhir dan
bulan pun berganti. Sejak Harris pulang ke Sabak Bernam, Shikin
ternanti-nantikan perkhabaran dari Harris. Tapi, ternyata penantian Shikin
sia-sia belaka. Harris seolah-olah telah lenyap ditelan bumi. Nombor telefon
yang diberi Shikin pada Harris pun ternyata tak dimanfaatkan pun. Sekali pun
Harris tak pernah menghubungi Shikin.
Penantian satu penyeksaan. Itulah
yang selalu dibisikkan Shikin pada dirinya sendiri. Saat rindunya bertandang
pada Harris terasa kerinduan itu begitu menyesakkan dadanya. Begitu memedihkan
jiwanya dan begitu menyakitkan hatinya. Senyuman Harris masih lagi terbayang. Gurau
tawa Harris tak pernah hilang. Sentiasa terbayang siang dan malam.
Harris, mengapa mesti adanya
cinta di hati andai aku dilukai? Mengapa mesti adanya sayang andai aku
ditinggalkan? Mengapa harus ada rindu andai kau tak pernah peduli hati dan
perasaan ini? Harris, mengapa kau mesti hadir untuk mengisi kekosongan hati ini
dan kemudian kau terus pergi tanpa khabar berita? Aku yang menyintaimu dalam
diam rasa amat terseksa bila kerinduan. Rinduku begitu amat menyeksakan. Kenapa
rasa cinta ini begitu memilukan? Kenapa? Kenapa? Dulu bila aku lihat orang lain
bercinta aku rasa mereka pasti bahagia. Rupa-rupanya cinta adalah air mata.
Shikin menutup dairinya. Air
matanya yang merembes keluar tiba-tiba disapu perlahan. Ke mana menghilangnya
Shikin yang brutal dan selamba. Hilang sudah segala keceriaannya bila
bersendirian. Hanya kenangan bersama Harris yang Shikin punyai.
Harris, kenapa hang buat aku macam
ni? Kalau aku tahu akan jadi macam ni sungguh takkan aku serahkan hatiku. Tapi
apa yang boleh aku buat. Hati ini memang milik aku tapi kau dah curinya dalam
diam. Shikin bermonolog dalaman.
Rindunya
aku saat ini.
Rindu
padamu kasih.
Puas ku
cuba menghubungimu.
Namun kau
diam membisu.
Apa
salahnya diri ini,
Kau
seksakan hidupku.
Pergimu
tikaku memerlukan kasih dan sayang.
Berkumandangnya lagu dari kumpulan
Arrow Haruskah Kita Berpisah, membuatkan air mata Shikin bercucuran. Sedih
benar hatinya. Lebih-lebih lagi bila mendengar chorus lagu tersebut. Begitu
hebatnya derita bila mencintai dan merindui.
*****************
1 tahun kemudian..
HATI Shikin telah terubat. Dia kembali
ceria. Sekarang dia sedang menunggu lamaran kerja yang dipohonnya beberapa hari
lalu. Shikin ingin pergi jauh dari daerah ini. Daerah yang memberi seribu
kenangan bersama Harris. Shikin ingin
mengubati hatinya yang terluka kerana cinta yang tak pernah dipinta. Biar pun
hadirnya Harris pernah memberikan bahagia buat dirinya, tapi luka yang
ditinggalkan juga begitu dalam.
Hatiku
hatimu..menjadi satu cinta
Kurasa
hadirmu menyempurnakan aku
Tapi cinta
bukan milik kita
Semua
harus berakhir..
Bergemanya irama dan lagu
itu Shikin tahu ada panggilan yang sedang menunggu untuk disambut. Shikin
segera mendapatkan telefonnya, Di telitinya nombor si pemanggil.
Ahh, sapa pulak ni? Tak dak
nama pulak. Shikin berbelah bahagi untuk menyambut panggilan tersebut. Irama
dan lagu terus terhenti, tapi sesaat kemudian berbunyi lagi. Shikin terus
menekan butang hijau dan memberi salam.
“Assalammualaikum...”
“Waalaikummussalam, Shikin ke ni?” Suara seorang lelaki di hujung talian. Shikin
cuba mengecam suara tersebut tapi dia tak dapat meneka siapa si pemanggil.
“Ya Shikin ni. Sapa tu?”
“Shikin tak kenal saya lagi?” Si
pemanggil masih berteka - teki. Shikin dah mula meradang.
“Ni, kalau hang tak mau bagi tau sapa hang. Maap noo. Aku tak
dak masa nak layan.”
“Garangnya Shikin. Orang rindukan
dia. Sampai hati cakap macam tu...”
“Ehh, hang ni sapa? Nak
rindu-rindu kat aku. Blahh la wei!” Sifat brutal Shikin datang lagi. Memang
Shikin pantang kalau ada lelaki yang mempermainkan perasaannya. Rindu konon. Kata
Shikin dalam hati. Shikin ingin mematikan talian. Malas melayan lagi.
“Shikin, ni Harris. Shikin apa
khabar?” Tiba-tiba Shikin menangkap suara si pemanggil. Duppp..jantung Shikin
berdebar kencang. Mengapa kau mesti hadir disaat aku mahu melupakanmu? Shikin
berbisik sendiri.
“Harris? Harris mana? Ramai
Harris dalam dunia ni?” Shikin pura-pura dungu. Mendengar nama Harris saja
Shikin sudah terbayang wajah dan senyumannya. Tapi hadirnya Harris untuk kali
kedua pasti akan lebih meremukkan hatinya yang pernah terluka.
“Shikin, takkan Shikin sudah
lupa? Harris Hj Dasuki.S hikin dah lupa pada Harris? Sampainya hati...” Suara
Harris bergetar di hujung talian. Ada nada sedih di hujung suaranya.
“Laa...weii, hang ka? Hidup
lagi hang? Aku ingat dah arwah dahh..” Shikin sengaja bersuara ceria untuk
menyedapkan hatinya sendiri. Dalam masa yang sama air matanya sudah mula
bergenang. Disapunya perlahan. Dalam ceria ada sendu yang cuba ditahan. Ya
Allah, perasaan apakah ini? Mengapa dia harus hadir disaat aku sudah
melupakannya. Rintih Shikin di dalam hati.
“Kenapa Shikin cakap macam tu?
Sampainya hati Shikin...” Rajuk bunyinya suara Harris.
“Mana la tau. Lepas balik Sabak
ritu, hang teruih ghaib. Lesap tanpa berita. Hang ambik nombor handset aku ritu
hang buat koleksi ka?” Shikin terus bagi ayat power. Memang ayat itulah yang
terpendam di hatinya selama ini.
“Maaflah Shikin, bukan Harris
sengaja tak hubungi Shikin, tapi Harris sibuk sangat dengan study. Kebetulan
tahun tu tahun akhir Harris. Jadi Harris kena tumpukan betul-betul. Lepas habis
belajar senang sikit nak dapatkan kerja. Lepas tu kumpul duit untuk lamar
Shikin.” Panjang lebar Harris memberikan penjelasannya. Dihujung ayat suara
Harris bertukar ceria.
“Macam tak logik langsung
alasan hang ni. Tapi apa-apa pun, hang tak payah la susah payah sebab aku pun
sedang tunggu lamaran sekarang ni. Tapi bukan lamaran hang la.” Shikin
tersenyum sendiri.
“Apa Shikin? Awak dah nak kahwin
ke? Dengan siapa Shikin?” Ada getar di akhir ayat. Shikin garu kepalanya yang
tak gatal. Suara Harris tadi membuat dia terasa lucu. Ingin ketawa rasanya tak
patut sangat. Sengaja menduga Harris. Shikin terus memasang perangkap untuk
mengenakan Harris lagi. Barulah berbaloi penantiannya selama ini.
“Ada la, buat apa nak bagi tau kat
hang? Hang bukannya sapa-sapa pun.” Shikin cuba menduga Harris. Untuk mendengar
respon yang seterusnya.
“Ya la..betul la tu. Siapalah saya
ini pada awakkan? Hidung tak mancung pipi yang tersorong-sorong. Bagai gagak di
rimba, tapi nakkan merak di kayangan..” Rajuk Harris bersuara sayu, tapi
sebaliknya dengan Shikin. Dia ketawa berdekah-dekah mendengarkan perkataan
Harris itu.
“Tentu hang lulus cemerlangkan?
Habis semua peribahasa hang kaut.” Ketawa Shikin masih belum reda. Harris,
Harris..lawak juga hang ni noo? Shikin bermonolog dalaman lagi.
********************
SEMENJAK Shikin menerima panggilan dari Harris
hidupnya kembali berseri. Bunga-bunga cinta pun mekar kembali di laman hati. Setiap
hari ada saja pesanan ringkas yang dihantar Harris. Kadang-kadang naik rimas
juga Shikin. Lamaran kerja yang Shikin pohon pun sudah diterima. Minggu depan
Shikin diarahkan untuk melaporkan diri, tapi Shikin belum membuat sebarang
keputusan, sama ada mahu pergi atau tidak. Keizinan dari ayah dan emaknya di
kampung juga perlu. Sedang Shikin mengemaskan beg pakaiannya untuk pulang ke
kampung nada telefonnya berbunyi.
Sejakku
bertemu dengan dirimu
Hatiku
menjadi semakin rindu
Tak dapat
nak disembunyikan lagi perasaan ini
Kekasih..aku
telah jatuh cinta
Padamu..hanyalah
yang aku puja
Bergemanya lagu dari kumpulan
Arrow Tuju-tuju Rindu, Shikin sudah tahu siapa pemanggilnya. Cewahhh..Shikin ni
sudah tukar ring tune nampaknya, mengikut emosi semasa. Segera Shikin mencapai
telefonnya dan menjawab panggilan.
“Assalammualaikum...”
“Waalaikummussalam Shikin, Harris tak
menganggukan?” Terdengar suara Harris yang ceria.
“Menganggu jugak. Shikin
tengah pack baju ni. Nak balik kampung. Dah rindu la dengan mak dan ayah. Lagi
pun Shikin nak balik bincang pasal lamaran tu..” Panjang lebar Shikin
berceloteh tanpa dipinta.
“Shikin dah buat keputusan muktamad ke?” Sayu
saja suara Harris.
“Keputusan apa pulak?” Shikin masih tidak
mengerti.
“Pasal lamaran tu la,
Shikin nak terima ke?” Harris menyoal balas.
“Tak tau lagi. Tu yang nak balik kampung. Bincang
dengan mak dan ayah dulu..”
“Boleh Harris tau, siapa
pemuda bertuah tu?” Harris masih tak puas hati. Hatinya ditikam duka.
“Apa yang awak dok melalut
ni? Pemuda mana pulak?”
“Lahh..yang lamar Shikin tu
la. Siapa lagi..” Sehabis kata-kata Harris, Shikin dah ketawa. Gelihati.
“Bila masa pula saya cakap
saya ni dilamar orang? Saya dilamar kerja la. Ni dah sampai suratnya. Permohonan
saya dah diterima. Minggu depan dah kena lapor diri.” Shikin memberi
penjelasan. Ketawanya juga masih bersisa. Lucu benar bila mengingati bahawa
dirinya sudah dilamar orang. Minah brutal macam Shikin ni, ada ka orang nak
berkenan dibuat menantu?
“Shikinnn! Kenapa awak buat
saya macam ni?” Terdengar jeritan Harris di hujung talian.
“Ehh, buat apa pulak?”
Shikin pura-pura tak faham, namun tawanya masih bersisa.
“Awak ni memang suka
sangat kenakan sayakan? Suka la tu, dah
boleh buat saya gabra?” Harris meluahkan isi hatinya.
“Apa kes pulak awak nak
gabra-gabra ni? Cer ceta sikit..” Shikin dah mula berlembut hati. Hilang segala
bahasa kasarnya selama ini.
“Awak tahukan saya sukakan awak? Sayangkan
awak...”
“Ehh, ya ka? Tak tau pun. Betul
ka?" Shikin pura-pura dungu.
“Ya la Shikin sayang. Saya sukakan
awak. Sayangkan awak. Cintakan awak. Puas hati?” Harris hilang sabar melayan
kerenah Shikin. Tanpa sedar Harris meluahkan isi hatinya. Shikin hanya
tersenyum di hujung talian. Hatinya berbunga riang. Akhirnya cinta yang disulam
selama ini bersambut jua.
********************
Renjis-renjis
dipilis ditepungilah tawar
Hai beras
pulut direnjis disirami si air mawar
Cewahhhh..Shikin bernyanyi riang.
Seronok dan teruja. Apa taknya, Harris baru menghubunginya. Rombongan merisik
akan tiba. engkhabaran itu telah diberitahu pada kedua ibu bapanya, dan mereka
tidak pula membantah. Seluruh keluarga merestuinya, biar pun yang bakal datang
tu nun jauh di Selangor sana.
“Amboi-amboi..anak dara ni. Syok menyanyi
sampai tak tengok kiri kanan dah. Belum nak kawin lagi. Depa tu baru nak masuk
minang. Ntah jadi mai ntah dak tu..” Kak Tipah yang asyik memerhatikan Shikin
sejak tadi mencelah bila melihat kegembiraan Shikin.
“Ishh, kak Tipah ni. Mulut
capoi betoi, kena depa tak jadi mai satgi. Jenuh cek...” Shikin memasamkan mukanya.
Konon nak protes la tu.
“Awatnya? Kalau depa tak jadi mai
hang nak reyau tak berlagu ka? Tak pa, tak pa..satgi hang boleh la pasang
lagu-lagu yang hang dok dengar selalu tu. Lagu apa? Jiwang karat orang la dok
pangge?” Kak Tipah menambahkan asam garam dalam bebelannya. Kadang-kadang dia
pun heran dengan Shikin. Kononnya brutal, tapi lagu jiwa-jiwa juga yang
dilayannya hari-hari.
********************
HARI yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba juga. Hari
ini sahlah Shikin sebagai tunangan Harris. Biarpun baru bertunang, tapi Shikin
berpuas hati. Penantiannya bakal berakhir jua. Menurut ibunya, pihak laki-laki
tak mahu tunggu lama-lama. Tak manis bertunang lama-lama, kata mereka. Biarlah
majlis perkahwinan dipercepatkan. Perkara baik tak elok ditangguh-tangguh. Shikin
dan keluarga pun tiada bantahan. Shikin gembira sangat, dan Shikin berjanji
pada dirinya sendiri akan membuang semua sikap brutalnya selama ini, dan akan
menjadi isteri yang solehah untuk Harris. Sayangnya pada Harris semakin
mengunung tinggi.
~As salam, sayang apa khabar? Sihat?
Abang rindu la?~
Ada mesej dari Harris, Shikin
segera membalasnya.
~Sihat..awak sihat?~
Mesej berbalas. Rasa janggal
pula untuk menulis abang. Shikin masih ber’awak dan ber’saya dengan Harris.
~Sihat juga..Sayang tak rindukan
abang ke?~
Mesej Harris dibaca laju. Shikin
jadi binggung untuk meluahkan perasaannya. Nak mengaku, malu pula.
~Ermm..ada kot..sikit-sikit~
Akhirnya Shikin terpaksa
berdalih. Lain di hatinya, lain yang dibalas. Hakikatnya, hati Shikin begitu amat merindui Harris. Lebih-lebih
lagi senyuman Harris yang menjadi igauannya selama ini.
~Sikit jer rindunya? Abang rindukan Shikin banyak
sangat, tak terbilang rasanya~
Shikin tersenyum riang.
~I love you sayang~
Menyusul lagi mesej dari
Harris.
~I love you too abang~
Akhirnya Shikin meluahkan juga ayat
keramat itu. Dia menunggu dengan debaran respon Harris yang seterusnya.
~Keluar jugakan isi hati
sayang tu, kenapa payah sangat nak mengaku?~
Laju ja Shikin membacanya.
~Hihihi..malu la. Shikin ni kan
brutal..~
~Sekarang tak brutal lagi
kan?~
~Tak lagi, untuk abang, Shikin janji
akan jadi baik dan solehah. Yang penting abang kena la bimbing Shikin selalu,
kalau Shikin buat sebarang kesalahan~
Shikin buat pengakuan yang jujur
dari hatinya. Kebahagiaan kini menanti mereka di gerbang perkahwinan. Shikin
berazam untuk membahagiakan Harris. Dengan kasih sayang mereka, Shikin pasti
kebahagiaan akan jadi milik mereka. Biarpun Shikin tahu asam garam berumah tangga.
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Itulah pepatah orang
tua-tua. Dengan sifat bertolak ansur dan saling memahami, rumah tangga pasti
aman dan damai. Sifat ego terhadap pasangan harus ditolak ke tepi.
*************TAMMAT*************
Nota :
Cerpen ini tercipta kerana sebuah kenangan. Habis saja mengambil peperiksaan
SPM tahun 1992, aku bekerja sementara di Simpang Empang Alor Setar di sebuah
kedai makan berhampiran trafik light. Kejadian kain baju kurung yang aku pakai
masuk ke dalam spot basikal yang aku tunggang bersama kak Rokiah dan terbalik
di depan dua buah gerai burger aku kongsikan di sini. Cuma aku olah sikit
ceritanya untuk menjadikan sebuah cerita yang lebih santai untuk dibaca.
Untuk
abang burger yang menolong kami ketika itu, Terima kasih kerana senyumanmu itu,
maka terhasillah cerpen ini dengan tajuk Senyummu Igauanku. Aku perasan juga,
selepas kejadian tu, abang burger pernah pergi ke kedai makan tempat aku
bekerja tapi..apa yang aku tahu..abang burger yang senyumnya menjadi igauanku
itu terlalu pemalu orangnya. Dan, abang burger tu memang handsome orangnya.
Korang percaya tak? Percayalah, kerana aku tak pernah menipu. Beberapa hari selepas
kejadian tu, aku bersama kak Rokiah pergi lagi ke gerai burger tu dan aku
membeli burger dengan abang yang tersenyum tu, tapi hanya aku yang memandang
dia, sedangkan dia membuat burger tanpa memandang wajah aku pun. Hailah abang
burger..kikihh..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.