Rabu, 16 Januari 2019

What A Stupid Words?


                 Kamsiah memerhatikan sekelilingnya termasuk pintu utama kedai makan. Penantian satu penyeksaan, kata-kata yang ada benarnya. Sejak sejam yang lalu dia menjadi penanti setia sahabat baiknya Azlina. Mereka berjanji untuk berjumpa di kedai makan ala-ala Thai ini pukul 12.00 tengahari, kini jarum jam di lengannya sudah menunjukkan angka 1.05 tengahari.

                Masuk tiga orang lelaki berpakaian kemas dan duduk di meja sebelah. Kamsiah menarik nafas dan melepaskannya dengan lemah. Sekali lagi jam di pengelangan tangannya dibelek. Cis! Janji melayu sungguh! Kau datang nanti, siaplah kau. Kalau tak kena bahas dengan aku 44 hari 44 malam, memang bukan Kamsiahlah!

                     ‘’Min..sambunglah pasal isteri kau tadi. Macam mana dia boleh merajuk dan lari dari rumah?’’ lelaki-lelaki di meja sebelah mula berbual. Dalam diam, Kamsiah memasang telinganya seluas mungkin. Bukan niat nak jaga tepi kain orang pun, sekadar nak cari info saja mengenai isu rumah tangga.

                       ‘’Dah pemalas sangat, aku halaulah balik rumah mak bapak dia. Ada ke patut, dibiarnya rumah bersepah. Rimas tau tak?’’ Kamsiah mendengar dengan teliti dan dia juga turut mengambil kesempatan memerhatikan wajah lelaki yang sedang bercerita itu. Biasa saja penampilannya, walaupun pakaiannya agak kemas juga.

                         ‘’Ehh..setahu aku, isteri kau tu kerja jugakan? Letihlah tu. Kau pun satu Min, ambillah pembantu rumah.’’ Lelaki ke-3 pula mencelah. Kamsiah meneliti pula wajah lelaki ke-3..kacak juga orangnya tanpa kumis dan janggut. Bersih saja wajahnya tanpa sebarang cela. Pandai betul jaga wajah. Macam model saja gaya dan wajahnya itu.

                         ‘’Huh! Nak buat apa ada isteri, sampai nak kena ambil pembantu rumah bagai? Dahlah tak ada anak. Nak biar dia jadi mem besar dalam rumah tu. Ehh..nak ambil pembantu rumah kena bayar tau! Sia-sia saja aku kahwin bagi hantaran dan mas kahwin mahal-mahal, lepas tu biar saja isteri sendiri jadi mem?’’ perghh...ayat lelaki tu buat kepala Kamsiah berpusing 90 darjah dan menoleh tepat ke arah lelaki itu. Mata Kamsiah merenung tajam ke arah lelaki yang berkata-kata tadi.

                          ‘’What a stupid words? Hei jantan! Kau ingat perempuan yang bergelar isteri tu hamba abdi kau ke hah? Dia tu isteri kaulah bodoh! Bukan hamba kau! Tugas mengemas rumah tu, sepatutnya tugas kau. Itulah orang lelaki. Kalau orang kata bodoh, marah! Tapi, memang betul bodoh pun. Tak tahu hukum, tapi tetap nak nikah. Tak cukup ilmu dalam dada,  tapi masih ada hati nak kahwin. Lain kali, sebelum pegang tangan tok kadi, belajar dulu ilmu bagi penuh dalam dada. Faham?’’ selepas melepaskan amarahnya, Kamsiah terus angkat kaki selaju mungkin. Tengok pada wajah tiga orang lelaki di depannya, kalau tak berambus dari situ, maunya Kamsiah dapat penampar percuma.

                            ‘’Kau siapa betina, nak masuk campur hal aku?’’ Kamsiah mendengar lelaki itu melaung. Cepat-cepat Kamsiah lajukan langkahnya dan meloloskan diri keluar dari kedai makan itu. Pasal Azlina, biarkan dia pula yang tercari-cari nanti. Tak kuasa pula nak call dan bagitau dia. Full stop!

****************


Lelaki Poyo!   

                Poyo! Poyo! Poyo!..berasap telinga aku mendengar ayat-ayat lelaki poyo tu! Geram tak terkata. Kalau boleh aku nak brain wash dia cukup-cukup bila dengar ayat-ayat tak boleh blah dia tu. Isteri dia tu, dia buat macam hamba saja. Kononnya, dia dah berhabis banyak kerana mengahwini isterinya itu. Ehh..dah tanggungjawab lelaki, nak kahwin kenalah bagi mas kahwin. Ingat nak kahwin free saja ke? Dan..kau ingat bila dah kahwin tu boleh buat isteri kau tu macam orang gaji? Kau silaplah bodoh!

                    Berhati perutlah sama, isteri kau tu pun kerja. Dia bukannya robot, balik kerja nak kena urus rumah tangga lagi, walaupun korang tak ada anak sekali pun, dia manusia juga. Kalau betul pun, kau tak suka rumah bersepah, uruslah rumah tangga tu bersama. Bukan nak mengharapkan isteri kau seorang yang menguruskan rumah tangga. Tugas tu semua bukan tugas seorang isteri tau. Tugas wajib seorang isteri hanya melayan suami, mengandung dan melahirkan saja. Yang lain tu tugas suami. Apa yang bebal sangat ni jantan? Bengap tak nak cakap. Semuanya nak salahkan isteri! Benci betul aku dengan jantan yang tak tahu tanggungjawab sendiri. Sikit-sikit nak salahkan isteri. Sikit-sikit isteri yang bengkok. Kau tu jalan macam ketam, kau tak nampak pulak!

                    Yang paling aku bengang sangat, bila lelaki poyo tu cakap dia dah halau isteri dia kerena isterinya malas nak mengemas rumah. What a Stupid words? Memang banggang betul jantan tu. Isteri tak kemas rumah pun kena halau ke? Orang jantan ni dah semakin sewel sekarang ni. Alasan mudah sungguh nak tinggalkan isteri dan menyalahkan isteri seratus peratus. Bayangkanlah, bila mereka curang, kononnya isteri mandul dan tak boleh melahirkan anak. Ada yang bagi alasan isteri dah gemuk dan lagi tak logik alasan mereka, isteri kurus, tak sedap untuk peluk dan sebagainya. Gila sungguh!

                    Kenapa poyo sangat alasan-alasan jantan ni semua? Habis, jadi poyo tu okey sangat ke? Berlagak! Macamlah dia tu sempurna?


                  Puas hati Kamsiah. Dia mengemas kini entry dalam blognya sendiri yang diberi nama Siah ayat-Ayat Ceroi VS lelaki-lelaki Poyo. Setiap kali dia menyaksikan babak-babak panas di sekelilingnya, Kamsiah akan mengemaskini entry terbaru dalam blognya. Biar pun, setiap kali entrynya di kemas kini, banyak  orang yang meninggalkan komen-komen negatif. Kamsiah tak hairan pun dengan komen-komen itu semua. Bagi Kamsiah, bila ada yang meninggalkan komen-komen negatif, bermakna statementnya adalah benar.

                    Semua lelaki-lelaki poyo itu suka menyalahkan orang lain berbanding mencermin diri sendiri. Kamsiah menulis berdasarkan apa yang disaksikan dan didengarinya, bukan sengaja mengada-adakan cerita yang tak ada. Kamsiah akui, ayat-ayat ceroinya itu memang ganas sikit. Orang mungkin tak faham apa makna ceroi, tapi Kamsiah pun tak kisah, kalau ramai yang tak faham. Bagi Kamsiah, ceroi tu bermakna laju, atau lebih tepat lagi, ayat tanpa kiasan. Atau..sesetengah orang kata, ayat tanpa pelapik. Straight to the point, omputih kata...

               Kamsiah bukan anti lelaki, tapi hidup dengan orang-orang lelaki yang pentingkan diri sendiri dan tinggi egonya membuatkan Kamsiah memberontak tanpa sedar. Seluruh ahli keluarga Kamsiah yang bernama lelaki tak pandai nak mengambil hati. Bermula daripada atuknya, ayah, bapak saudara dan tiga orang abangnya. Mereka terlalu angkuh dengan apa yang mereka ada. Mereka rasa merekalah raja yang tak boleh ditegur. Bagi mereka, orang perempuan hanya perlu mengikut arahan dan tak perlu membantah. Orang perempuan tak boleh beri pendapat, hanya perlu menurut setiap arahan.

              ‘’Siah!’’ laungan dari luar bilik membuatkan Siah menoleh laju. Pasti ibunya sudah pulang dari pasaraya. Tadi, Siah ingin,menemani ibunya ke pasaraya untuk membeli barang-barang dapur tapi ibunya menegah kerana ada hal lain yang perlu ibunya lakukan sebelum ke pasaraya. Itulah yang ibunya katakan.

             ‘’Siah..’’ ibunya sudah berada di muka pintu bilik sebaik saja Siah bangun dari kerusi.

               ‘’Kenapa ibu?’’ Siah bertanya cemas. Wajah ibunya pucat dan ada riak resah di wajah tua itu.

            ‘’Abah kau, Siah..’’

              ‘’Kenapa pula dengan orang tua tu? Ibu pergi jumpa dia ke, sebab itulah ibu tak kasi Siah ikut tadikan?’’

                  ‘’Ibu dengan abah masih suami isteri Siah, dan dia masih abah kau. Siah..kita pergi melawat abah ya? Abah kau sakit Siah..’’ ibu Siah menghampiri Siah yang masih tak berganjak. Siah mencebik sedikit. Hatinya masih sakit bila mengingatkan abahnya yang selalu melenting dan memukul ibunya. Kadang-kadang, abahnya juga akan naik baran tanpa sebab. Selalunya, Siah dan ibunya yang akan menjadi mangsa.


                  ‘’Jangan lembut hati sangat, boleh tak ibu? Ibu tak ingat ke, apa yang abah dah lakukan pada ibu dulu? Takkan ibu dah lupa?’’ Siah membentak lalu menarik kerusi dan menghenyakkan punggungnya dengan kasar. Ibu Siah menepuk lembut belakang Siah dan melepaskan nafasnya dengannya lemah.

                     ‘’Kita ni hamba Siah. Sedangkan Allah pun Maha Pengampun dan Nabi pun ampunkan umat. Kita ni bukannya siapa-siapa pun Siah. Kita lupakan semua tu ya? Siah ikut ibu ya, kita pergi tengok abah di hospital.’’ Mak Siti, ibu Siah masih cuba memujuk Siah yang hatinya sekeras batu. Siah selalu tegas dengan keputusannya. Lima tahun yang lalu, Siahlah yang membawa ibunya keluar dari rumah mereka yang umpama neraka itu.

                   ‘’Siah tak nak jumpa dia! Siah tak nak,ibu! Maafkan Siah..’’ sekali lagi Siah menolak ajakan ibunya. Bagi Siah, abahnya dan abang-abangnya sudah lama mati. Siah benci mereka!

******************

                     Kamsiah terpaksa akur juga dengan kehendak ibunya. Dalam terpaksa, Siah mengikut juga ibunya ke hospital untuk melawat abahnya, yang kononnya sudah tiada harapan untuk sembuh. Hati Siah masih meraguinya, jangan-jangan bakal ada muslihat yang sudah dirancang oleh abah dan abang-abangnya?

                     ‘’Datang akhirnya kau Siah. Ingatkan kebal sangat hati kau tu! Tergamak kau pisahkan ibu dan abahkan? Kau tahu tak, kau dah buat dosa paling besar sekali!’’ abang sulungnya Ismail terus menyindir Siah sebaik saja Siah dan ibunya masuk ke dalam wad kelas pertama yang menempatkan abahnya.

                      ‘’Alaa..sekeras-keras kerak nasi saja tu, abang long..’’ abang ketiganya pula bersuara. Siah masih membisu dan terus memendam perasaan. Bersabar buat sementara waktu ini demi ibunya.

                     ‘’Kau bawa ibu datang ni sebab nak rebut harta dengan kamikan Siah? Kau jangan berangan, aku nak sedekah harta tu untuk kau! Kami anak lelaki yang lebih berhak!’’ berapi telinga Siah mendengarkan kata-kata abang sulungnya. Siah masih terus membisu, namun hatinya sudah mula membara dengan api amarah.

                    ‘’Sudah-sudahlah tu, bukan dia yang nak datang pun, ibu yang pujuk dia datang sini. Jangan nak cari pasal pula. Abahkan sedang sakit tu. Jangan nak bergaduh di sini pula.’’ Mak Siti cuba menjernihkan suasana. Dia faham sangat dengan gelagat anak-anaknya. Siah yang keras kepala dan anak-anak lelakinya yang gilakan harta serta panas baran.

                 ‘’Ibu jangan nak memihak dia pula. Dia anak perempuan ibu, memang tak ada hak atas harta pusaka. Kalau ada hak sekali pun, kami takkan sesekali beri pada dia!’’ Kamsiah mencebik mendengar kata-kata seterusnya dari abang sulungnya. Dia ingat, Siah macam dia, yang tamak dengan harta dunia.
        
                ‘’Abah masih hidup lagi, dah sebut pasal harta. Jangan bimbanglah, ibu dan Siah takkan minta sesen pun harta abah kamu tu Mail..’’ kata-kata yang keluar dari mulut Puan Siti membuatkan Siah tersenyum akhirnya tapi hanya beberapa saat saja senyuman itu hadir.

                    ‘’Huh! Ibu dengan Siah sama saja, tak pandai nak hargai kesenangan yang abah beri. Selama ini abah tak pernah pun biar ibu dan Siah kebulur tapi, ibu tetap lari tinggalkan abah. Ibu memang tak tahu nak bersyukur langsung. Ibu….’’              
            
                  ‘’Cakap tu bebaik sikit. Kau bercakap dengan ibu, bukan dengan adik- adik atau kawan-kawan kau. Biar berlapik sikit cakap tu, kalau kau nak orang lain hormati kau!’’ Siah mula bersuara dan memintas kata-kata Ismail. Sakit hatinya mendengar abang sulungnya berkata begitu terhadap ibu mereka.

                      ‘’Kau? Kau panggil aku kau, Siah?’’ Ismail terkejut mendengar suara Siah yang agak kasar. Dia tak pernah tengok sisi Siah yang ini. Brutal sangat kata-katanya itu.

                     ‘Abah dan abang-abang aku dah lama mati!’’ kasar nada suaranya dan Siah bertentang mata dengan Ismail.

                    ‘’Kau!’’

                        ‘’Apa?’’ bagaimana kasarnya nada suara Ismail, begitu juga nada suara Siah. Dia nekad, kali ini dia akan lawan habis-habisan dengan abang-abangnya. Siah tak mahu tunjuk kelemahannya lagi.

                   ‘’Siah..cukup.’’ Mak siti cuba memujuk Siah pula agar beralah. Semakin membara hati Siah mendengarnya. Abang-abangnya tak harus diberi muka lagi. Dengan ibu sendiri pun, biadap!

                 ‘’Orang perempuan ni sama saja perangainya. Tak pandai nak menghargai apa yang orang lelaki beri. Tak cukup dengan apa yang ada. Orang dah bagi kemewahan, masih nak lari dari rumah lagi. Perempuan memang tak tahu bersyukur!’’ tak semena-mena abang ketiga Siah mencelah. Nasib baik abang keduanya tiada ketika ini. Kalau ada, entah apa pula kata-katanya yang akan mencarikkan hati Siah dan ibunya.

             "Wei jantan! Statement kau tu langsung tak boleh pakai tau tak? Kau ingat orang perempuan ni plastik sangat ke? Asal kau labur dia duit, emas, intan berlian, kau suap dia makan sampai kenyang..kau ingat dia dah bahagia? Kau silaplah bodoh! Perempuan cuma nak kasih sayang kau! Dia nak perhatian kau! Dia nak kau ambil berat setiap kali dia sakit. Harta benda tu semua dia tak pandang la. Kalau kau nak labur harta benda bukan pada perempuanlah bodoh! Tu untuk betina saja! Kau tahu tak perbezaan antara betina dan perempuan? Kau tahu tak?" Siah melenting lagi. Mod dia kembali kacau sampai jiwa dia hampir sasau gara-gara lelaki-lelaki poyo yang kononnya percaya dia dah mampu bahagiakan perempuan di sisinya, namun..apa yang Siah tahu, lelaki ni hanya pandai cakap saja, tapi zero! Zero! Kosong di dalam!

                     ‘’Dah ibu, jom kita balik! Menyesal Siah datang sini!’’ Siah menyambung kata seraya menarik tangan ibunya untuk keluar dari wad kelas pertama itu. Abahnya yang sedang terlentang di atas katil, tak ingin langsung dijengahnya.

********************
               


                 Mak Siti jatuh sakit sejak balik dari hospital. Kamsiah runsing melihat keadaan ibunya yang hilang selera makan hari demi hari. Mungkin ibunya masih lagi terasa hati dengan kata-kata abangnya tempoh hari. Sedangkan dirinya sendiri pun terkesan dengan kata-kata abangnya, apatah lagi ibunya yang melahirkan mereka.

                     Hari ini Kamsiah keluar ke pasaraya untuk membeli barang-barang dapur untuk memasak buat ibunya. Kamsiah ingin memasak makanan kegemaran ibunya. Bila dia melewati tempat geng-geng lepak anak-anak muda taman perumahan mereka, terdengar siulan-siulan nakal. Kamsiah hairan dengan gelagat mereka, ada orang kata, orang lelaki ni hanya menganggu perempuan-perempuan yang tak menutup aurat saja, tapi Siah, cukup sempurna pakaiaannya mengikut syariat.

                    ‘’Hai Siah. Assalamualaikum. Tak jawab berdosa!’’ Kamsiah tak layan pun teguran mereka. Kamsiah terus berlalu seolah-olah mereka tak wujud di situ.

                ‘’Amboi..sombongnya dia. Tak baik tau, sombong tu amalan syaitan.’’ Ayat-ayat mereka buat Kamsiah mencebik dalam diam. Korang tu yang setan, tak tahu pula! Siah membebel dalam hati.

                    ‘’Apa kata kita bertaruh. Kalau kau dapat Kamsiah tu, aku bagi kau rm1,000..’’ Aswad sengaja mencabar rakannya Zek sebaik saja Kamsiah hilang dari pandangan.

                "Kau pehal, ehh..tengok kaki la kalau nak cabar pun..ni Zek la, kalau setakat perempuan macam Siah sengal tu, aku tak takutlah!." Zek atau namanya Zakaria berkata angkuh. Cabaran Aswad baginya umpama mengopek kacang saja.

                 Mereka menunggu Siah hingga Siah keluar dari pasaraya. Sebaik saja Kamsiah muncul, Zek sudah bersedia untuk mengayat. Baginya Siah mesti macam perempuan-perempuan lain yang senang dipikat.

                      "Kam..oo Kam..nak ke mana tu Kam? Boleh abang Zek temankan. Kam, Kam..Kam tahu tak, abang Zek kan teringin nak belanja Kam makan ais kacang. Wow! Mesti best kalau makan ais kacang duduk semeja dengan Kam, mesti kita macam loving couple sehidup semati, berpisah tiada." Penuh keyakinan Zek mengungkap kata, siap dengan gaya si pengoda. Kamsiah yang baru melewati mereka memandang Zek atas dan bawah sebelum memandang Aswad dan kawan-kawannya yang lain.

                      "Apa Kam Kam..kau ingat aku kambing? Kau ingat macho sangatlah kau buat gaya macam tu? Macam pondan nak terkencing cari toilet tak jumpa saja, kau tau tak? Aku tengok pun gelilah! Kalau kau dah tak tahan sangat nak terkencing, pergi cari toilet lah..yang gatal sangat nak ajak aku makan ais kacang tu apesal. Kau ingat aku sudi? Tujuh keturunan kau pun belum tentu aku sudi!" Kali ini Siah bersuara juga. Lelaki-lelaki seperti mereka,selagi tak diajar mereka takkan faham dengan mudah.

                    "Mulut kau jaga sikit Siah. Aku cili baru tahu! Aku lelaki sejatilah! Bila pula aku jadi pondan?" Zek terasa hati dengan kata-kata Siah. Ingatkan dia nak goda Siah dengan caranya yang tersendiri. Lain pula Siah ni anggap.

                    "Huh! Cakap tak serupa bikin. Kalau betul kau lelaki sejati, buktikan! Pergi jadi muazim di masjid dan laungkan azan. Nak jadi lagi sejati, jadi imam solat dan imamkan semua jemaah masjid, bukan duduk melepak tepi jalan sambil bersiul kacau perempuan." Amboi Siah..kalaulah Zek sahut cabarannya, mesti gempak satu taman.

                     ‘’Kau ingat aku tak berani?’’

                        ‘’Ehhh..aku tak cakap pun kau tak berani. Buktikan saja kau tu lelaki sejati. Zohor nanti aku nak dengar suara kau yang laungkan azan. Geng-geng kau yang ramai ni, jangan lupa ajak sekali mereka pergi solat berjemaah di masjid tu, dapat juga pahala.’’ Kamsiah langsung tak beri Zek peluang. Selepas dia selesai berkata-kata dia terus melangkah laju. Zek yang melongo sambil memandang rakan-rakannya seorang demi seorang.

                ‘’Cabaran aku tadi kau sambut, cabaran Siah tu kau tak nak sambut ke? Aku pun teringin juga nak dengar kau laungkan azan..’’ Aswad terus membakar api dalam sekam yang membakar hati Zek dalam diam. Rakan-rakannya yang lain terus ketawa sambil bertepuk tangan. Zek terus membisu sambil fikirannya menerawang jauh. Siah!!! Hatinya menjerit geram.

******************
                    

                     "Aku memang pantang betullah dengan perempuan lembab macam kau ni. Cepatlah sikit!" Suara seorang lelaki sedang marah-marah menarik minat Kamsiah untuk menoleh. Mana tahu ada kisah menarik untuk dikongsi dalam blognya lagi.

                       "Tunggulah bang, Eifakan sedang sarat ni, dengan nak kendong Iman lagi, penatlah bang..." perempuan yang sedang dimarahi bersuara lemah. Kamsiah yang sedang memerhati situasi di depan mata turut rasa simpati. Lelaki! Memang tak guna betul! Hati Kamsiah sudah mula menyumpah.

                        "Itulah...aku dah kata, jangan beranak ramai-ramai, aku suruh kau merancang kau tak nak. Kau suka anak ramaikan? Haa...sekarang ni kau tanggunglah!" Berapi telinga Kamsiah mendengar ayat-ayat lelaki itu.

                         "What a stupid words? Woi jantan dayus, bukan kau ke yang buat anak tu? Yang kau nak tuding jari kat bini kau tu, kenapa? Sama-sama buat anak, sama-sama tanggunglah. Kata orang lelaki ni kuat, sasa..takkan semuanya nak biarkan orang perempuan yang lemah yang kena tanggung? Hotak kau letak mana jantan? Letak di kepala lutut ke hapa?" Macam mana berapi telinga Kamsiah mendengar ayat-ayat lelaki itu, macam itu jugalah Kamsiah menyembur. Dibulatkan matanya melawan pandangan lelaki di depannya yang sudah mula melipat lengan baju.

                        "Kau siapa nak masuk campur hal rumah tangga aku?" Sekali lelaki itu memetirkan suaranya pula. Ingat Kamsiah nak takut, semakin berani lagilah Kamsiah nak menjawab.

                          "Yang pastinya aku manusia yang ada hati dan perasaan, bukan macam kau hati ketul batu. Dengan anak bini sendiri pun kau nak dera. Kau tak nampak ke bini kau dah memboyot, tergamak pula...." belum habis Kamsiah menyudahkan leterannya, lelaki itu sudah meluru laju ke arahnya.

                       "Abang! Abang nak buat apa tu? Jangan abang! Anak orang tu! Negara kita ni ada undang-undang!" Bila Kamsiah sudah membuka langkah, isteri lelaki itu sudah mula berteriak histeria. Mungkin dia lebih kenal siapa suaminya.

Lelaki! Semuanya Sama Saja!

Aku tak tahu pasal korang! Aku hanya tulis apa yang ada di sekitar aku. Apa yang aku nampak dan dengar di sekeliling aku, lelaki..semuanya sama saja! Tak payahlah aku cerita siapa lelaki-lelaki tu, ini antara siah ayat-ayat ceroi VS lelaki-lalaki poyo, dah tentulah lelaki yang sama tu semuanya poyo!

Korang nak tahu, kenapa aku kata lelaki tu semuanya sama saja? Huh! Aku bukan nak mengutuk, tapi hakikatnya itu yang aku nampak dan dengar. Aku dah jemu dengan kerenah lelaki dalam dunia ni. Kerja mereka hanya nak tuding jari. Semuanya salah orang, ingat dia tu perfect sangat? Tolonglah wahai lelaki-lelaki poyo! Nobody perfect, okey! Kalau orang lain ada kelemahan, kau tu pun tak terkecuali! Jangan nak perasan, kau tu bagus sangat!

Apa yang aku nampak, lelaki yang suka tuding jari tu, dia lagi teruk daripada orang yang dia tuduh tu. Aku bagi contohlah, kisah seorang lelaki yang bergelar suami memaki hamun isteri dan anak-anaknya tak boleh diharap. Kononnya, anak dan isterinya tak guna. Hanya nak menyusahkan dirinya saja. Bertungkus lumus dia cari duit, anak-anak dan isterinya hanya tahu nak menghabiskan duit saja. Korang tahu, apa pula pendapat aku dalam hal ni?

Sebenarnya, lelaki itulah yang tak guna sesen pun! Tugas mencari nafkah untuk anak dan isteri adalah tanggungjawab dia sepenuhnya. Kenapa anak isteri pula yang dimaki hamun? Itu tandanya dia lelaki yang tak cukup ilmu. Hanya pandai kahwin, pandai buat anak..tapi langsung tak tahu tanggungjawab sendiri!

Sudah! Siah malas nak tambah ayat-ayat ceroi siah untuk kali ini. Macam selalu mesti berbakul ayat-ayat maki hamun yang siah akan terima dari lelaki-lelaki poyo yang tak cukup ilmu di luar sana. Sekali lagi siah nak ingatkan untuk lelaki-lelaki poyo, sebelum menuding jari pada orang lain, cermin dulu diri sendiri. Dah cukup sempurna ke diri tu? Kalau tak, baik tangguhkan dulu hasrat nak tuding jari tu ya!

Agak korang, betul ke tajuk entry aku kali ni? Betul ke lelaki tu semuanya sama saja? Aku saja ja tulis tajuk macam tu sebab orang lelaki yang aku jumpa di dunia nyata memang semuanya sama saja perangai! Hipokrit..ehh, betul ke aku eja ni? Ahh..lantaklah betul ke tak..ada aku kesah! Ini Siahlah! Jenis manusia yang tak kesah dengan kata-kata orang. Korang nak kutuk ke, nak hentam aku sampai lumat pun, aku peduli apa! Dosa aku, aku tanggung! Dosa korang tanggunglah sendiri! Tapi..korang jangan lupa, kalau korang asyik nak kutuk aku sokmo, pahala ibadah korang tu akan masuk akaun akhirat aku. Apa? Pahala korang dah habis sebab dah sedekah kat aku? Baguslah..kalau macam tu, sebab aku pun banyak dosa untuk sedekah kat korang. Nak ke? Nak? Ambillah sorang sikit. Aku tak kedekut pun nak sedekah dosa aku kat korang!

Ehh..dah terbabas tajuk pula. Okeylah..sekarang ni aku nak tuju pada topik utama aku hari ni. Bab dosa dan pahala biar Allah yang tentukan! Apa? Korang kata, aku pun berdosa sebab selalu kutuk kaum Adam? Korang tu siapa, nak menilai aku bagai? Ni..aku nak bagitau kat korang, aku cakap berdasarkan pengalaman tau! Bukan saja-saja nak kutuk orang lelaki. Dah betul sangat, mereka tu kononnya kaum yang kuat, gagah dan perkasa, tapi semua kerja rumah, isteri yang lemah tu yang kena buat. Orang lelaki buat apa? Pergi kerja? Ehh..orang perempuan pun kerja juga. Ingat jadi suri rumah tak kerja? Bangun awal pagi sampai ke malam masih kerja lagi tau. Mana nak uruskan anak-anak lagi.

Orang lelaki ni langsung tak tau bersyukur. Mereka terlupa, tugas perempuan yang wajib cuma layan suami saja, selebih tu tugas mereka! Aku ulang ya! Semua kerja rumah, memasak, membasuh dan jaga anak tu semuanya tugas suami! Korang tau tak jantan-jantan semua? Elehh..geleng-geleng kepala pulak! Nikah tau, tugas dan tanggungjawab sendiri pun tak tau. Yang tau, nak mengarah saja! Itu, ini..begitu, begini. Woi! Korang ingat orang perempuan yang bergelar isteri ni hamba korang ke? Orang perempuan dah teruk mengandung 9 bulan 10 hari. Sakit melahirkan lagi, korang cuma nak tolong jaga anak pun banyak songeh ke? Penampar sedas baru berakal kot. Buat apa mengaku gagah perkasa, nak tolong jaga anak pun tak boleh? Lembik!

Siah Ayat-ayat Ceroi VS Lelaki-lelaki Poyo….


***************

              "Jantan! Kalau aku cakap kaum ni tak tahu nak bersyukur dengan apa yang ada, mesti mereka mengamuk dan kutuk aku. Tapi..betul pun, jenis tak tahu nak bersyukur ni bercambah dalam dunia ni! Huh! Yang aku paling tak faham dengan kaum sendiri. Dalam banyak-banyak jantan dalam dunia ni, kau pilih suami orang? Aku tak tahu nak salahkan siapa dalam hal ni? Betina tu atau jantan suami orang yang tak sedar diri tu yang bersalah? Huh! Manusia, bila dah dikuasai nafsu, tak nampak dah yang halal, yang haram tu juga yang dia teringin. Tak apa jantan, tak apa betina, hari ni hari korang, esok-esok bila takdir berpatah balik, korang tahulah langit tu tinggi ke rendah."

                    Siah membebel seorang diri gara-gara terlalu geram dengan cerita seorang kawannya. Dia hairan dengan kaum Adam ni, apa yang mereka nak sebenarnya? Dah ada isteri cantik yang dapat melahirkan zuriat masih lagi tergila-gilakan janda. Apa yang istimewa sangat janda tu berbanding isteri sendiri? Kalau ada masalah boleh bawa berbincang, bukan bercinta dengan janda tu. Yang janda tu pun satu, dah tahu suami orang, kenapa masih terhegeh-hegeh nak merobohkan rumah tangga orang. Kalau kau sudi jadi no dua, yang pertama belum tentu sudi bermadu.


               ‘’Siah, kau dah tengok video yang sedang viral sekarang ni?’’ Kamsiah memanggung kepala dan matanya merenung lama wajah Aina yang sedang berada di depannya. Dari mana Minah ni datang? Tahu-tahu sudah ada di depan aku ni? Hati Kamsiah berkata hairan.

                 ‘’Video viral berlambak, yang mana satu?’’ Kamsiah menyoal Aina kembali. Kehadiran Aina yang bagaikan tetamu tak diundang itu dikerling sekilas lalu. Kamsiah mengadap skrin laptopnya semula.

                 ‘’Laa..kau ni Siah, video mana lagi, yang sedang gah sekarang ni la. Video yang diviralkan oleh seorang perempuan yang telah diduakan. Aku ulang sekali lagi, perempuan yang telah diduakan. Takkan kau terlepas berita hot ni Siah?’’ Aina bercerita dengan riak wajah yang serius. Beria-ia dia bercerita seolah-olah cerita yang disampaikan tu, mampu mengegarkan dunia.

                  ‘’Kau ingat aku ni Paparazzi ke Aina? Kau ingat semua cerita viral dalam dunia ni, aku follow ke? Tak agak-agaklah kau ni…’’ Kamsiah mendengus kasar. Terasa hati sesaat dengan kenyataan Aina. Macamlah dia juara gossip dalam dunia ni.

                     ‘’Bukan kau selalu follow ke cerita-cerita sensasi macam tu?’’ Aina menyoal kembali dan dalam masa yang sama Aina memegang dagunya sambil merenung lama wajah Siah. Bibir Aina terpamer sedikit senyuman.

                      ‘’Tak ada maknanya aku nak follow semua tu. Kebetulan, kalau terjumpa saja, aku baca pun. Kalau saja-saja nak cari, bukan kerja akulah. Banyak lagi kerja yang aku nak buat selain nak bergossip ni.’’ Kamsiah berkata dengan suara yang tegas. Dilepaskan nafas dengan kasar sekali lagi. Dalam hatinya sudah berbahang dengan statement Aina sebentar tadi. Dia ingat, aku ni wartawan gossip ke? Hati Kamsiah berdongkol sendiri.

                 ‘’Oh, ya ke? Ingatkan kau follow semua cerita. Sesekali aku terjah juga blog kau Siah, bila baca blog kau tu, seolah-olah kau tahu semua cerita pasal lelaki dalam dunia ni.’’ Mendatar saja nada suara Aina kali ini. Kamsiah memanggung kepalanya dan memandang wajah Aina dengan perasaan tak puas hati. Kata-kata Aina tadi seolah sedang menyindir dirinya.

                     ‘’Kau sindir aku ke? Apa yang kau tak puas hati sangat pasal blog aku tu? Aku tak pernah pulak kutuk kau dalam blog aku tu? Dan, sejak bila pula kau jadi lelaki ni?’’ mendalam ayat-ayat Siah kali ini dan Aina tergaman seketika mendengar kata-kata Siah. Angin taufan mana yang melanda hari ini? Ataupun ribut monsoon sedang menyerang perasaan Siah Sengal ni?

                      ‘’Kau ni yang moody sangat, kenapa? Bila pula aku sindir kau? Ishh..moody tak memasallah kau ni Siah. Kalau kau marah dengan lelaki-lelaki poyo tu, lepaskanlah dalam blog kau, yang nak lepaskan baran kau tu pada aku, kenapa?’’

                       ‘’Padanlah dengan kau pun, aku sedang elok cari mod nak memaki lelaki-lelaki poyo dalam blog aku ni, yang kau datang menyergah tanpa warning tu, pesal?’’ dengan pantas Siah membalas kata-kata Aina dan jari jemarinya terus memainkan peranan masing-masing menaip patah demi patah kata dalam blog peribadinya.

                      ‘’Patutlah pun, sampai aku pun kau nak telan sekali. Tak elok kau memaki orang ni Siah, kalau orang memaki kau semula, apa perasaan kau? Suka ke?’’

                 ‘’Ehhh..aku tak mention nama sesapa pun, kalau mereka nak terasa, lantaklah. Bukan masalah aku pun!’’ sekali lagi Kamsiah berkata tegas. Bagi Siah, dia tak bersalah selagi dia tak memuat naik gambar-gambar orang lain dalam blognya ataupun memuat naik video yang bercerita tentang keburukan orang lain. Blognya hanya bercerita tentang perasaannya terhadap lelaki-lelaki poyo yang perasan mereka bagus sangat.

                  ‘’Kau ni Siah, payah betul cakap dengan kau ni. Aku tegur, bukannya kau nak dengar, nanti kalau ada orang yang terasa hati dengan statement kau dan mengamuk dengan kau, macam mana?’’

                      ‘’Allahkan ada, kalau aku salah dan Allah nak bayar cash, aku redho saja. Kenapa nak takut dengan manusia yang langsung tak takut dengan Allah. Aku bukannya kutuk alim ulamak. Aku kutuk lelaki-lelaki poyo yang yang tak makan saman saja. Lelaki-lelaki yang tak menjalankan tanggungjawab yang Allah amanahkan untuk mereka. Salah ke cara aku tu? Salah ke semua statement aku tu?’’ penuh perasaan Siah menyoal Aina kembali. Terdiam lama Aina mendengar soalan Siah itu, dia sendiri buntu untuk terus menyoal atau menjawab kembali. Siah memang pantang kalau orang membela lelaki-lelaki yang dia kutuk. Bagi Siah lelaki-lelaki poyo yang tak bertanggungjawab, tak setia dan sebagainya itu tak harus ada pembela.

                   ‘’Yea la, yea la..kaulah yang menang. Tu, aku dah forward video viral tu untuk kau dalam WhatsApp, mana tahu kot boleh beri kau inspirasi untuk menulis dalam blog kau tu nanti.’’ Sambil berkata, Aina meninggalkan Siah untuk meneruskan kerja-kerjanya. Dalam waktu yang sama jari-jemarinya rancak menjalankan tugas di atas skrin smartphone yang sedang dipegang.

                   Beberapa saat kemudian I-Phone Siah pula yang berbunyi menandakan ada mesej yang sudah masuk. Siah tak segera membukanya, malahan Siah terus rancak menaip dan melepaskan amarahnya terhadap lelaki-lelaki poyo dalam blognya.

JANTAN Dan Kesetiaan Adalah MUSTAHIL!

Selamat petang dan Salam Sejahtera.

Aku sedang bengang sekarang ni. Bengang tersangat dengan manusia bergelar jantan! Orang lelaki terutama lelaki sejati, korang boleh pergi main jauh-jauh, kalau bukan berkenaan dengan korang, lebih baik jangan gatal nak sentap!

Aku ada seorang kawan dan dia dah berkahwin selama 3 tahun. Dia sangat cantik, putih gebu dan kecil molek orangnya. Dia berkahwin dengan abang angkatnya. Aku sangka mereka sangat bahagia bila melihat kemesraan mereka. Aku nyaris percaya, suami dia adalah lelaki sejati yang setia dan bertanggungjawab. Tapi, baru-baru ini aku bertemu dengan kawan aku ni. Mukanya cengkung kerana kurang tidur akibat masalah rumah tangga yang sedang dihadapinya. Asalnya dia tak nak bercerita dengan aku tentang masalahnya tapi, hari yang sama juga aku terserempak dengan suaminya bersama perempuan lain di mall.

Aku call kawan aku dan ajak dia berjumpa. Bukan aku nak busy body hal rumah tangga mereka tapi aku geram sangat bila suaminya buat-buat tak kenal aku bila aku menegurnya bersama perempuan yang entah siapa tu. Kami buat pertemuan face to face di sebuah restoran. Aku tanya kawan aku tentang kehidupannya dan tiba-tiba dia menangis teresak-esak di depan aku. Katanya, dia tak sanggup bermadu dengan janda anak lima. Aku terkejut sangat mendengar pengakuannya. What A Stupid nonsense? Kawan aku tu baru berusia 20-an dan masih comel lagi. Suaminya pula berlaku curang dengan janda anak lima? Tak mengarut sangat ke? Apa yang istimewa sangat betina tu dan apa yang jantan, suami kawan aku tengok pada janda tu?

Bagi aku la, walaupun janda tu masih cantik, aku rasa kawan aku lagi cantik daripada janda tu. Maaflah, semua janda di luar sana, kalau anda semua bukan jenis suka merampas suami orang, jangan nak sentap tak memasal pula. Aku tak tuju pun statement ni kat korang. Yang mana makan cili tu, biar mereka saja yang rasa pedasnya. Aku tahu bukan semua janda tu miang. Cuma sebahagian saja, yang tak dapat mengawal nafsu, dan suka mencari pasal dengan jantan-jantan yang reti nak bersyukur saja.

Baru-baru ini kawan baikku A, hantar video viral padaku. Video yang dirakam sendiri oleh isteri dan anak-anak jantan yang berlaku curang. Aku tak nak memadamkan muka betina isteri orang dan jantan suami orang yang berskandal tu. Aku juga tak memihak isterinya yang meviralkan video tu. Semuanya aku tak setuju. Bagi aku isteri yang meviralkan video suaminya dan betina lain itu tetap salah. Suami tetap suami dan dia tak layak untuk mengaibkan suaminya sendiri. Betina itu pun walaupun dia salah kerana berskandal dengan suami orang, dia juga ada harga diri. Maksud aku, aib dia tak elok kalau disebarkan macam tu. Nobody perfect! Boleh saja kalau nak meluahkan perasaan tak puas hati tapi bukan dengan meviralkan aib orang sebegitu. Ok..ada orang kata, cara aku pun salah juga. Aku setuju dan aku tegaskan di sini sekurang-kurangnya aku tak mention nama si pelaku. Aku tak upload gambar atau video mereka. Aku cuma meluahkan rasa sakit hati aku saja. Salahkah caraku ini?

Aku pun sedar statement aku banyak menguris hati orang lain, macam kawan aku warning aku tadi, ‘’Kau tak takut ke kalau jantan-jantan poyo tu semua marah kau?’’ Takut? Kenapa aku perlu takut pada mereka? Mereka pun tak takut dengan Allah. Ada isteri yang halal tapi masih bermain cinta dengan isteri orang lain. Sepatutnya, mereka yang perlu takut, bukannya aku! Manusia, kalau cakap pasal dosa orang lain, mereka memang terror tapi dosa sendiri, buat-buat tak nampak saja. Mereka rasa, mereka tu baik sangat, sampai mereka terlupa, mereka juga hamba yang yang tak pernah sempurna!

Aku? Aku tak pernah pun kata aku ni tak ada dosa! Korang tu yang suka sangat menuding jari sampai korang terlupa satu jari korang tuding untuk orang lain, jari yang selebihnya sedang menuding ke arah diri sendiri. Selepas korang baca entry Siah ni, kalau nak tuding jari pada orang lain juga, pastikan 4 jari lagi korang kudungkan dulu. Ada berani ke?

Cukup sampai di sini entry Siah hari ini. Selebihnya Siah nak simpan untuk topik lain pula. Buat orang ramai yang suka sebarkan video viral terutama yang membabitkan aib orang lain, lebih baik hentikan tabiat tu dengan segera. Hari ini hari mereka terima azab dimalukan di dunia ini. Hari esok mungkin hari anda pula. Siah? Apa kena mengena dengan Siah pula? Siah tak pernah sebarkan aib orang pun. Siah hanya meluahkan perasaan tanpa video ataupun gambar. Siah tak salah pun!

******************      
            
               Dah lama aku perhatikan dia, kalau boleh semua lelaki dia nak seranah. Muka boleh tahan juga, tutup aurat, berpakaian muslimah, tapi mulut..sekali menyembur, perghh..berapi! Tak apa Siah, aku akan buktikan pada kau..bukan semua lelaki tu sama. Azim bertekad dalam hati. Dia mungkin belum menyukai Siah, tapi dia akan buat Siah yang akan tergila-gilakan dia. Siah perlu diajar tentang kasih sayang. Mungkin Siah kekurangan kasih sayang? Azim terus berteka-teki dalam hati.

            Kamsiah berjalan mundar-mandir di depan sebuah butik pakaian yang berjenama. Dia baru dapat info dari kawannya bahawa janda anak lima pesaing kawannya itu bekerja di butik ini. Kamsiah ingin bersoal jawab dengan wanita itu, kenapa dan mengapa, itu dan ini.

             Perlahan-lahan Kamsiah melangkah masuk ke dalam butik, matanya liar memerhati sekeliling. Sambil matanya mencari janda beranak lima itu Kamsiah juga mengambil kesempatan membelek beberapa helai pakaian berhampirannya. Selain kualiti kain, Kamsiah tengok juga harga yang dipamerkan.

                ‘’Puan, baju ni baru sampai pagi tadi, kalau puan nak, kami boleh beri diskaun. Kebetulan butik kami sedang mengadakan promosi sempena menyambut ulangtahun pembukaan butik ini yang ke-5 tahun.’’ Seorang jurujual menegur Kamsiah dengan ramah. Kamsiah dengan rasa terkejut menoleh ke arah  jurujual itu. Puan? Hati Kamsiah berkata ragu.

                  ‘’Tak apa, saya nak tengok-tengok saja. Nanti, kalau ada yang berkenan saya bagitau. Err..boleh tanya sikit tak?’’ Kamsiah menjawab balas sambil cuba beramah mesra, juga mencari maklumat yang diperlukannya.

                       ‘’Ya puan. Ada apa-apa yang boleh saya bantu.’’ Penuh santun dan tertib jurujual itu berbicara. Kamsiah pula yang naik rimas. Dia sudah terbiasa dengan sikap kasar dan selamba rocknya.

                     ‘’Berapa orang pekerja di butik ni?’’ Kamsiah bertanya selamba sambil tangan dan matanya ralit meratah baju kurung moden yang sedang dipegangnya seolah-olah dia amat berminat dengan pakaian tersebut.

                    ‘’Err..kenapa ya?’’ jurujual itu bertanya balas. Kamsiah mula terasa bengang. Ingatkan mudah mencari info, rupanya soalannya tetap berbalas soalan.

                     ‘’Tak ada apa pun, sekadar nak tahu saja, butik sebesar ini agaknya berapa orang pekerja diperlukan. Saya pernah ada cita-cita nak buka butik. Saja nak buat research.’’ Sesekali Kamsiah auta juga.

                 ‘’Oh, ingatkan apalah tadi. Bukannya apa puan, baru-baru ni bos kami kena serang dengan seorang perempuan, katanya bos kami tu perampas. Isshh..macam-macam hal dengan perempuan sekarang ni. Tak tahu malu langsung, bos kami tu ada segalanya, kalau sekadar nak berlaki, rasanya berderet lelaki bujang nak kat dia. Cuma dia saja yang jual mahal.’’ Tanpa banyak soal lagi, jurujual itu terus bercerita. Kamsiah hanya memasang telinga dengan sabar. Agaknya, bos mereka tu pasti janda anak lima tu? Kamsiah berteka-teki dalam hati.

                ‘’Macam tu ya. Bos awak tu belum kahwin ke?’’ Kamsiah terus menyoal. Alang-alang jurujual itu sudah bercerita, lebih baik dia ambil kesempatan ini untuk terus bertanya.

                  ‘’Ehh..puan ni, nak beli baju ke nak bergosip ni?’’ Kamsiah tersengeh malu. Alah, niat tak menghalalkan cara. Kantoi la pula. Ingatkan nak terus menyoal, jurujual ini pula bikin spoillah.

                     ‘’Eh, mana ada. Tak baik tau bergosip. Sekadar ingin tahu saja.’’ Kamsiah mencari modal untuk menafikannya. Dalam hati sudah mula timbul perasaan geram. Info yang dicari tak dapat juga.

                    ‘’Baju ni berapa ya? Boleh bagi diskaun tak?’’ sengaja Kamsiah menukar topik untuk menutup malu. Bukan dia nak beli pun.

                    ‘’Ermm..ada puan. Macam saya cakap tadi, butik kami sedang mengadakan promosi sempena ulangtahun yang ke-5 pembukaan butik ni. Puan nak ke? Kalau beli banyak pasang, boleh dapat potongan harga lagi. Macam baju ni, mungkin puan boleh dapat 10% potongan harga tapi kalau puan ambil dua pasang, kami akan bagi 20%..untuk dua pasang. ’’ Tenang saja pekerja butik itu berkata sambil terus tersenyum. Kamsiah terus mencari ilham untuk melepaskan diri. Mungkin hajat untuk dia melihat dengan mata sendiri janda beranak lima itu belum kesampaian lagi.

                        ‘’Tak apalah, saya nak ronda-ronda dulu. Lain kali saya datang lagi.’’ Akhirnya Kamsiah menemui ayat-ayat penutup dan berlalu keluar dengan selamba.

                         Sejam selepas keluar dari butik, Kamsiah masih meronda dalam mall tersebut, namun hatinya berasa curiga bila perasan dirinya di ekori seseorang. Banyak kali juga Kamsiah menoleh ke belakang, tapi tiada pula gerak geri pengunjung mall itu yang mencurigakan. Ehh..takkan aku perasan kot? Siapalah yang nak stalk aku kan? Kamsiah bertanya dirinya sendiri di dalam hati.

                  ‘’Assalamualaikum. Kamsiah kan?’’ seorang lelaki menegur Kamsiah. Tergaman sekejap Kamsiah dan dia terpaku beberapa saat sambil matanya merenung lelaki di depannya atas dan bawah. Lidahnya kelu tiba-tiba. Gementar pun ada, mana tahu lelaki itu datang kepadanya untuk membalas dendam atau sebagainya.

                    ‘’Bukan! Nama saya bukan Kamsiah!’’ takut punya pasal, Kamsiah menafikan juga. Lelaki itu tersenyum lebar, Kamsiah berwajah kelat. Tak tahu kenapa perasaannya kini berubah resah. Ayat-ayat Aina terngiang-ngiang di telinga.

                     ‘’Jangan tipu, saya tahu awak ni Kamsiah seorang blogger yang selalu mengutuk lelaki-lelaki poyokan?’’ semakin resah dan seram Kamsiah mendengar pertanyaan lelaki itu.

                ‘’Bukanlah! Awak salah orang ni!’’ Kamsiah berkata sambil mengundur beberapa tapak ke belakang. Lelaki di depannya tiba-tiba ketawa kuat. Kamsiah tercengang. Siapa dia? Hatinya bertanya sendiri.

                  ‘’Penakut juga awak ni, kan? Saya ingatkan awak ni berani sangat. Selalu sangat awak sumpah seranah orang dalam blog dan di dunia luar ni, tapi kenapa awak macam takut dengan saya. Muka saya ni macam muka nak makan orang ke?’’ lelaki itu terus menyoal Kamsiah dan kakinya turut mengikut rentak Kamsiah. Selangkah Kamsiah mengundur, selangkah juga dia menapak.

                    ‘’Siapa awak ni? Awak jangan nak apa-apakan saya. Saya ada tali pinggang hitam tau.’’ Kamsiah cuba mengertak lelaki di depannya dan dalam masa yang sama mindanya terus bekerja. Mampukah aku menewaskan lelaki berbadan tegap di hadapan aku ni?

                      ‘’Hahaha..kelakarlah awak ni. Saya bukan nak apa-apakan awak pun. Saya cuma nak berkenalan dengan awak saja. Saya ni follower blog awak tau. Saya baca semua entry awak. Macam entry yang terbaru awak update beberapa hari yang lepas tu, saya pun setuju dengan statement awak tu.’’ Selamba saja lelaki itu berkata. Perasaan gementar Kamsiah reda sedikit, namun dia masih berjaga-jaga. Mana tahu, lelaki itu hanya sekadar nak mengumpannya saja.

                    ‘’Tak perlu. Saya dah kahwin dan tak mahu berkenalan dengan mana-mana lelaki. Terima kasih kerana sudi jadi follower blog saya dan terima kasih kerana memahami saya tapi saya minta maaf sebab tak boleh nak..’’

                   ‘’Tak baik tau menipu. Saya dah lama kenal awak Siah. Saya tahu alamat rumah awak. Saya kenal mak awak dan ahli keluarga awak dan saya rapat dengan seorang kawan baik awak. Saya tahu, awak belum kahwin. Kenapa nak tipu? Kalau tak sudi berterus terang sajalah.’’ Belum sempat Kamsiah menghabiskan ayat-ayatnya lelaki itu sudah memangkasnya. Sekali lagi Kamsiah tergaman.

                   ‘’Siapa awak ni? ‘’ Kamsiah bersuara tegas. Siapa lelaki ini? Siapa kawan baik aku yang dia kenal tu?

                  ‘’Buat apa nak tahu siapa saya? Awak kan tak sudi nak kenal saya. Okeylah, saya pergi dulu. Panjang umur, kita jumpa lagi. Assalamualaikum.’’

                  ‘’Nanti dulu! Siapa kawan baik saya yang rapat dengan awak tu?’’ teringat sesuatu Kamsiah melaung kuat tanpa perasaan malu. Lelaki itu pula terus melangkah laju dan melambaikan tangannya tanpa menoleh ke arah Kamsiah.

                    ‘’Awak!’’ sambil memanggil Kamsiah berlari ke arah lelaki itu. Lagi laju Kamsiah berlari, semakin laju juga lelaki itu melangkah. Dengan baju jubah dan tudung labuh yang Kamsiah pakai, gelagat dia memang menarik perhatian orang ramai dalam mall tersebut, tapi Kamsiah sengaja butakan matanya.

                  ‘’Hey, awak!’’ Kamsiah terus melaung. Lariannya dilajukan lagi bila melihat lelaki itu sudah mula menuruni escalator. Cis, tak guna punya jantan. Memang sengaja nak kenakan aku ke? Hati Kamsiah menyumpah, bila melihat lelaki itu dengan selambanya berpaling dan tersenyum sambil menterbalikkan ibu jarinya.

                  ‘’Hey!’’ sambil memanggil Kamsiah terus berlari mengekori lelaki itu. Dia menuruni escalator dan akhirnya dia berdepan dengan lelaki itu sekali lagi dengan keadaannya yang termengah-mengah.

                ‘’Kenapa awak kejar saya? Nak sign autograph ke? Awak dah mula minat saya ye?’’ lelaki itu bertanya sambil tersenyum lebar. Suka benar hatinya melihat gelagat Kamsiah sekarang ni. Nampaknya rancangannya sudah berjaya.

                   ‘’Jangan nak perasanlah! Saya nak tahu, siapa kawan baik saya yang rapat dengan awak tu?’’

                 ‘’Maaflah. Saya bukan tak nak bagitau , tapi Dato Siti dah bagi warning. Kata Dato Siti, Biarlah Rahsia.’’ Lelaki yang bernama Azim itu berkata sambil ketawa. Kamsiah menahan geram di dalam hati. Kalau boleh nak di belasah lelaki di hadapannya itu, tapi bila melihat tubuh lelaki itu yang tegap dan sasa, Kamsiah jadi kecut perut pula. Tak pasal-pasal dia akan memalukan diri sendiri di khalayak ramai.

                  ‘’Huh!’’ Kamsiah mendengus kasar dan menuruni escalator tanpa menoleh ke belakang lagi. Azim pula melepaskan tawanya tanpa sedar. Lucu sangat. Itu yang Azim rasa. Ingatkan brutal sangat, rupanya ada juga sifat perempuannya tu.              

    ***************
                
                     "Kadang-kadang aku cemburu sangat setiap kali menonton filem love story. Heronya romantik, caring dan kalau heroin sakit, hero akan jaga sepenuh hati. Kalaulah di dunia reality ni ada lelaki macam tu, mesti best..kan?" Aju Aina pada Siah yang sedang tekun menaip entry untuk dikemas kini dalam blognya.

                    "Beranganlah kau, nak dapat lelaki macam tu! Entah-entah lelaki yang bawa watak hero dalam filem tu pun, di dunia nyata perangai macam penyangak!" macam biasa, respon yang Siah beri tak ada yang positif. Siah dengan lelaki ibarat musuh yang takkan berdamai untuk selamanya.

                     "Kau ni Siah, benci kau tu jangan bawa sampai ke mati. Sekali kau jatuh, tersungkur nanti."

                       "Aku cakap perkara betul. Sepanjang hidup aku ni, tak pernah lagi aku jumpa lelaki yang betul-betul baik. Semuanya hampeh!" Siah membidas kata-kata Aina sambil jari jemarinya terus rancak menaip.

                     "Semua manusia ada kekurangan dan keistimewaannya. Mungkin Allah belum temukan kau dengan lelaki yang akan buat kau falling in love." Aina masih bersuara lembut, cuba memujuk Siah yang anti lelaki.

                     "Aku berani potong jari, takkan ada lelaki seperti dalam filem, yang romantik, caring dan sewaktu dengannya. Kau tahu, aku pernah kenal sorang perempuan ni, suami dia tu memang nampak macam perfect sangat. Solat, puasa dan sebagainya tu tak pernah tinggal tapi isteri dia kesepian. Baiknya orang lelaki kebanyakannya tak pandai nak tunjuk kasih sayang dan aku berani jamin 90% lelaki dalam dunia ni tak romantik pun. Kebanyakan lelaki ni terutama yang bergelar suami..tak romantik dengan isteri! Dan suami-suami yang tak pernah romantik dengan isteri tu adalah orang melayu, sebab mengikut firasat aku, lelaki melayu ni hanya baik dan tunjuk macho, cool semua tu sebelum kahwin saja. Dah lama kahwin, ada anak, semua sikap baik, cool, macho semua tu akan ghaib sekelip mata saja."

                    " Amboi..kau ni, kahwin pun belum, mana kau tahu semua tu?"

                      "Ini Siahlah! Kau macam tak kenal aku, sesekali aku pasang telinga macam-macam kisah rumah tangga masuk dalam telinga aku. Lagi pun, sekarang ni zaman siber cik Aina oii..kau jangan buat-buat tak tahu pulak, segala mak nenek kisah rumah tangga ada dalam media massa." Sekali Kamsiah mendabik dada, terus Aina mencebik tak percaya. Cakap besarlah kononnya, macamlah dia tau semua perkara. Aina mengutuk juga Siah dalam hati.

                       ‘’Kau ni, kalau cakap memang tak pernah nak kalahkan Siah. Asyik-asyik kau saja yang menang. Bosan betul aku bercakap dengan kaulah.’’

                        ‘’Hahaha..kenapa? Kau dah kalah ke?’’

                         ‘’Buatlah kerja kau tu? Kutuklah lelaki-lelaki poyo tu, sekali kau jatuh cinta nanti, semua lelaki poyo tu mesti lenyap dalam dunia kau nanti.’’ Aina mendengus sambil melangkah pergi. Bosan melihat Kamsiah yang asyik mengadap skrin laptop walaupun sedang berbual dengannya. Seolah-olah kedatangannya tak pernah dialu-alaukan pun.

                   ‘’Aik, marah nampak? Bye Aina. Hati-hati jalan tu. Kalau jatuh, bangun sendiri.’’ Selamba badak saja Kamsiah membuat ayat. Aina menoleh sekilas dan menjelirkan lidah pada Siah yang sedang tersengeh ke arahnya.

                   ‘’Hahaha..’’ hanya ketawa yang Kamsiah respon sambil kepalanya digeleng berkali-kali.

************

                   "Relax la bro, tak solat pun tak apa kot! Bila mati nanti, ada orang tolong solatkan. Kan selalu orang kata, solatlah kamu sebelum kamu disolatkan. Cukuplah tu, disolatkan sekali seumur hidup." Siah masih mendengar perbualan dua orang lelaki di meja sebelah. Hati Siah menjadi keliru dengan ayat-ayat lelaki berambut tegak itu. Direnungnya lelaki itu atas dan bawah. Huh! Ingatkan rupa saja selekeh, otak pun mereng juga? Apa? Tak solat pun tak apa? Bengap betul jantan ni. Siah mula mengutuk di dalam hati.

                   "Kau cakap apa ni Muz? Kau sedar tak apa yang kau cakap ni?" Lelaki yang bersama jantan bengap itu menyoal. Siah terus memasang telinga.

                      "Aku sedarlah Azim! Aku bukannya pengsan pun." Selamba badak saja lelaki tersebut menjawab balas sambil tersengeh.

                       "Berani kau main-main dengan hukum Allah? Solat itu wajib Muz. Kau tahu ke bila kau mati? Di mana kau akan mati? Kau ingat semua orang mati tu akan disolatkan? Kau bayangkan, kalau kau mati dibaham harimau dalam hutan, tak ada siapa pun yang jumpa mayat kau. Kau ingat harimau tu akan solatkan kau ke? Kalau kau mati dibunuh pula, contohnya..kemudian pembunuh tu tanam kau, tak ada sesiapa pun yang tahu. Kau ingat, pembunuh tu akan mandikan, kapankan dan solatkan kau sebelum dia tanam?" Lelaki yang bernama Azim tu menyoal panjang, Siah yang sedang memasang telinga di sebelah mengangguk laju. Dalam hatinya memuji lelaki yang bernama Azim itu.

                      "Kau tu yang mengarut. Kau ingat kau tu nujum pak belalang, boleh tengok masa depan aku?" Lelaki itu menyoal lagi dan masih tersengeh seperti tadi.

                       "Aku bagi contoh saja Muz, misalnya kematian kau ditakdirkan macam tu. Kau tahu tak, apa maksud solatlah kamu sebelum kamu disolatkan? Itu ayat-ayat kiasan Muz atau ayat-ayat sindiran untuk orang-orang yang lalai mengerjakan solat. Maksudnya solatlah, sebelum mati. Dah mati, tak boleh nak buat apa dah. Menyesal pun tak guna dah kerana mati hanya sekali. Dan..kau perlu tahu, hidup tu dua kali dan kau takkan dimatikan lagi di akhirat nanti, yang kau akan rasa adalah seksaan api neraka kalau tak solat." Tenang saja lelaki yang bernama Azim itu berkata-kata. Siah mengangguk lagi dalam diam.

                        "Kau nak kecoh sangat ni, kenapa? Relax la bro, muda lagikan. Kita enjoy dulu. Dah tua nanti, aku solatlah!" Macam tadi, lelaki itu menjawab lagi sambil terus menyengeh. Siah tersenyum herot. Kalau dah bengap tu bengap juga. Kecil-kecil tak mau mampus, dah besar tak mau guna otak. Dia ingat, mati tu dia yang tentukan? Siah terus mengutuk dalam hati. Niatnya memang nak mencelah dan menyeranah macam selalu namun dia batalkan niat tu sebab teringin untuk mendengar ayat-ayat seterusnya daripada lelaki bernama Azim tu.

                        "Masalahnya, kau tahu ke kau tu mati bila? Buatnya..kau mati seminit lagi, sejam lagi atau esok kau mati, macam mana?"

                         "Haa..okeylah tu. Apa masalahnya pula?"

                         "Masalahnya..kau tu yang bengap! Otak beku!" Tak semena-mena Siah yang menjawab sambil terus berlalu dari situ. Tak kuasa nak terus memasang telinga lagi. Dia pula yang bengang mendengar ayat-ayat selamba jantan bengap tu.

                           "Kau siapa perempuan, nak kutuk aku macam tu? Kau ingat, otak kau tu genius sangat? Tak kenal pun, sesedap mulut kau saja nak kutuk aku bengap?" Lelaki itu melaung kuat pada Siah yang berlalu pantas. Azim di sebelah sedang tersengeh lucu. Dia dah agak, mesti Siah akan mencelah, cuma dia tak sangka Siah akan berani cakap macam tu.

                    ‘’Hahaha..’’ respon Azim membuatkan kawan di depannya menjeling tajam ke arahnya.

                     ‘’Kau kenal ke perempuan biadap tu?’’ dia bertanya geram.

                      ‘’Tak. Tapi aku salute kat dia sebab berani cakap macam tu. Kalau boleh aku nak berkenalan dengan dia dan tuntut ilmu dengan dia. Hahaha..’’ kata-kata Azim membuatkan kawannya yang bernama Muzie itu semakin menyingga.

                     ‘’Aku jumpa sekali lagi dengan perempuan biadap tu, memang teruklah dia..’’

                        ‘’Kau jangan Muz. Anak orang tu, lagi pun Negara kita ni ada undang-undang, jangan nak cipta undang-undang sendiri pulak.’’ Seram pula Azim mendengar ugutan Muzie. Dia pun kadang-kadang risau memikirkan keselamatan Siah. Dengan kata-katanya yang lancang tu, suatu hari nanti mungkin Siah bakal dibelasah orang. Siapa tahu, ada di antara lelaki-lelaki yang Siah serang dengan kata-katanya tu akan balas dendam?

                  ‘’Ahh..pergi jahanamlah dengan undang-undang. Betina tu yang sengaja cari nahas.’’

                    ‘’Relax la bro. Kau ni tak solat pun, Allah masih bagi kau rezeki. Bagi kau rumah dan segalanya. Allah tak pula timpakan kau bala ke apa ke tapi, bila perempuan tu baru cakap kau bengap, kau nak mengamuk. Kau sedar ke tak, apa yang Allah bagi semuanya free tapi kau tak hargai pun pemberian Allah tu.’’

                   ‘’Apa kena mengena pulak, aku tak solat dengan betina tu? Betina tu, pakai saja tudung labuh tapi mulut macam puaka. Bau longkang!’’ marah sungguh Muzie nampaknya. Masa dia mempermainkan perintah Allah tadi selamba rock saja sikapnya tapi bila sekali dibengapkan oleh Siah, tau pula dia nak mengamuk. Hailah manusia yang tak tau dek untung.

                    ‘’Payah betul nak fahamkan kau ni Muz. Patutlah pun, perempuan tu cakap kau bengap. Aku balik dululah. Semoga Allah beri kau hidayah sebelum ajal menjemput kau. Aamiin…’’ tenang Azim berkata dan menepuk bahu Muzie. Dalam hatinya sangat kesal dengan sikap Muzie yang tak makan diajar.

                         ‘’Menghina nampak?’’

                   ‘’Fikirlah apa yang kau nak!’’ dan Azim melangkah pergi sambil dalam hati terus mendoakan rakannya itu. Semoga Allah membukakan pintu hati Muzie untuk kembali ke pangkal jalan.

**********************

                   "Sejak akhir-akhir ini, aku rasa lain macamlah Siah." Aina bersuara tiba-tiba. Wajahnya yang murung tadi menjadi semakin mendung.

                    "Apa yang lain?" Siah bertanya dan menoleh ke arah Aina.

                      "Aku rasa, macam ada orang stalk aku. Kadang-kadang, bila aku seorang diri dalam rumah pun..aku rasa macam ada orang bersama aku. Peliklah Siah, pelik sangat. Bila aku cari, tak ada pula orang lain dalam rumah, selain aku." Aina bercerita tentang perasaan hairannya. Sementara itu mata Aina bulat memandang ke arah Siah. Seram pula Siah melihat keadaan Aina. Tak semena-mena bulu roma Siah meremang.

                      "Alahh...perasaan kau saja kot? Tu la, suka sangat tengok filem seram, siapa suruh!" Siah cuba menafikan kata-kata Aina. Tak mahu Aina berfikir yang bukan-bukan atau lebih tepat lagi, Siah cuba membuatkan Aina bertenang.

                      "Betul Siah! Bukan setakat tu saja, kadang-kadang macam ada bau pelik. Kadang-kadang aku macam terdengar suara orang panggil aku." Aina terus bercerita sambil memandang sekeliling. Matanya meliar dan wajahnya berubah lagi. Kali ini dahi Aina berpeluh dan dia seolah sedang takut sesuatu. Siah turut rasa seram, tapi dia cuba mengawal diri.

                        "Ishh..kau ni, agak-agaklah sikit..nak takutkan aku pun." Macam tadi, Siah cuba membuat lawak, kononnya Aina hanya nak takutkan dia, padahal dia sendiri pun turut meremang mendengar cerita Aina.

                          "Siah...kau tak rasa ke apa yang aku rasa? Sekarang ni pun, aku rasa bukan kita berdua dalam bilik ni. Kau tengok ni Siah..." sambil berkata Aina mengangkat lengannya dan mengarahkan Siah untuk melihat bulu romanya yang sedang berdiri. Aina berpeluk tubuh seolah dia kesejukan. Siah hanya mampu berdoa di dalam hati.

                        "Kau ada radio tak?" Siah mendapat akal. Teringat pen drive yang ada dalam beg sandangnya. Dalam pen drive tu Siah dah isi dengan bacaan surah-surah rukyah. Sebelum ni ada seorang kawan Siah yang pernah disihir, kawannya itu membeli vcd rukyah dan menyalin masuk surah-surah rukyah itu ke dalam komputer dan kemudian kawannya membeli pula pen drive 1gb dan menyalin ayat-ayat rukyah itu ke dalam pen drive pula. Zaman sekarang dah terlalu maju. Radio pun dah boleh masukkan USB dan sebagainya, jadi pen drive surah-surah rukyah itu dicucuk ke radio dan dipasang 24 jam di rumahnya. Akhirnya gangguan itu pun beransur hilang.

                    ‘’Radio? Sekarang ni zaman millinium la. Nak dengar radio, dalam handphone pun boleh. Nak lagi canggih buka radio online dalam laptop.’’ Aina menjawab lancar sambil tersengeh. Hairan dia, kenapa tiba-tiba saja Kamsiah bertanya begitu.

                   ‘’Isshh..kau ni Aina. Dalam saat-saat macam ni pun boleh lagi kau nak main-main? Aku seriuslah! Kalau ada radio, boleh pasang ayat-ayat rukyah yang aku dah download ni 24 jam dalam rumah kau.’’ Sambil berkata Siah menunjukkan pen drivenya pada Aina. Lama Aina merenung pen drive yang ada di tangan Siah.

                ‘’Hoi..kau dah kenapa?’’ terkejut dengan jerkahan Siah, Aina kembali tersengeh.

                ‘’Setahu aku, radio tak boleh pasang pen drive.’’ Yakin benar dengan apa yang dia tau. Senafas saja Aina menjawab.

                  ‘’Kau dengan ketinggalan zaman kau tu memang takkan dapat dipisahkan. Di pasar malam pun berlambak jual radio yang boleh Bluetooth, boleh tengok video, boleh pasang memori kad dan pen drive.’’ Yakin juga Siah membalas. Aina terdiam lama. Biar betul? Takkan aku jauh ketinggalan begitu sekali. Selama ini, aku hanya layan internet dan tv saja. Radio sesekali saja on dalam handphone. Aina berkata dalam hati dan memandang Siah dengan wajah tenang.

                      ‘’Oh, ya ke? Tapi, kalau aku beli radio dan pasang ayat-ayat rukyah tu, tak apa ke? Nanti, jiran-jiran aku cakap apa pulak. Mak aku pun, tentu rasa pelik. Tak pasal-pasal, pasang rukyah 24 jam dalam rumah.’’

                    ‘’Banyak songeh pulak kau ni Aina. Aku rasakan, yang buat kau rasa seram sejuk dan meremang tu bukan berpunca dari gangguan luaran tapi dari dalaman kau sendiri. Banyak sangat cekadaknya. Ayat-ayat rukyah ni, surah-surah dalam Al-Quran kan? Niat kau nak halau makhluk yang kau tak nampak, Jin-jin yang bertempek sebelah kau, yang kau nak risau pasal mak kau dan jiran kau tu, kenapa?’’ membara pula hati Siah mendengar pertanyaan Aina yang adakalanya terlalu lurus bendul tu. Semuanya perlu diterangkan satu persatu.

                    ‘’Dijamin berkesan ke ni?’’

                     ‘’In sha Allah. Yakinlah dengan Allah. Kalau kau masih rasa tak sedap hati juga, aku rasa, kau kena rukyah diri kau sendiri. Selain buat solat wajib, rajin-rajinlah buat solat sunat.’’

                     ‘’Ok. Tapi..kau bila pula Siah? Takkan kau tak teringin nak rukyahkan diri kau sendiri? Rasanya dah banyak iblis dan setan yang ada dalam badan kau dari badan aku.’’

                        ‘’Oii..sedapnya mulut, mengata aku.’’

                          ‘’Hahahaha…’’


******************

Kau Yang Tak Mengerti!
Ratapan Hati Seorang Isteri!

Huh! Lelaki, kononnya mereka tahu segalanya. Jangan percayalah, semuanya auta belaka! Lelaki ni sebenarnya langsung tak prihatin. Aku pernah terbaca coretan seorang isteri dalam sebuah blog dan aku ingin kongsikan dalam entryku kali ini.

Namaku Sal, (nama samaran). Umur aku? Biarlah rahsia dan aku sudah berkahwin dan mempunyai anak. Suami aku seorang lelaki yang sangat baik dan seorang yang penyabar. Mungkin, antara kami berdua, aku lebih banyak kekurangannya berbanding dia. Aku akui, aku seorang yang panas baran dan cepat melenting namun macam mana aku cepat baran, begitu jugalah aku cepat sejuk. Aku marah selalunya bersebab. Kalau dah stress dan tertekan mestilah aku mengamuk. Akukan manusia biasa, ada hati dan perasaan.

Aku sedar, tak ada manusia yg sempurna atas dunia ini, begitu juga dengan suami aku. Dia juga ada kekurangannya. Dia bukan seorang suami yang prihatin. Dia tak pandai memujuk, bahkan tak pernah memujuk saat aku merajuk. Romantik? Jauh panggang dari api!

Aku bukan nak kutuk suami aku. Tak! Dia baik, cuma aku tak puas hati sebab dia pernah berjanji aku akan bahagia hidup dengannya, tapi sepanjang 20 tahun lebih perkahwinan kami, aku lebih banyak memendam rasa luka dalam hati. Aku hanya boleh berkongsi bahagia dengannya, namun semua rasa duka terpaksa aku pendam seorang diri. Di depannya aku berwajah tenang, di belakangnya aku menangis seorang diri. Ah..suamiku itu, andai aku menangis teresak-esak di depannya pun, dia takkan pernah tanya kenapa dan mengapa. Sudah banyak kali terjadi, namun esakan aku langsung tak ada kesan diwajahnya. Bertanya pun tidak. Tak pernah dia ambil tahu. Ya, dia baik sangat tapi dia bukan seorang suami yang prihatin! Aku hanya bahagia di depannya saja. Di belakangnya air mata yg sering menemaniku..
Suamiku, andai kau tahu ini, apakah tindakanmu? Aku ingin tahu, adakah kau akan berubah sikap dan akan lebih prihatin selepas ini? Oh ya, hari ini adalah hari kelahiranku, dan aku tak pernah mengharapkan apa-apa hadiah pun, terutamanya dari suamiku. Lebih baik dia tak kasi aku hadiah daripada aku dapat hadiah yang tak pernah menepati citarasaku! Itu juga buat air mataku mengalir tanpa sedar. Aku sayangkan suamiku, tapi kenapa dia tak pernah prihatin dengan kehendakku?

Aku bukan tak nak bersyukur dengan pemberian Allah ini. Alhamdulillah, aku dikurniakan dengan seorang suami yang baik dan sangat penyayang tapi kerana dia terlalu baiklah memberi aku banyak tekanan. Sejak kami kahwin lagi, semua orang memuji dia baik, bak kata terlalu baik hingga tak ada orang akan nampak keburukannya. Kalau ada kepincanagan dalam rumah tangga kami, maka akulah yang salah. Semua orang akan salahkan aku! Semua orang akan tuding jari padaku! Adilkah itu? Aku pernah baca kata-kata ini dalam laman social. ‘’Orang hanya nampak kita berubah, tapi orang tak pernah cari sebabnya kenapa kita berubah’’.

Betul, aku memang banyak berubah sejak 20 tahun yang lalu. Di awal perkahwinan kami aku seorang yang manja dan kuat merajuk. Pertengahan perkahwinan aku lebih romantik dan cukup prihatin. Ketika ini aku terlalu menyayanginya. Cintaku padanya seolah tak akan dapat ditukar ganti. Terlalu sayang hingga tak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Namun, segala apa yang aku lakukan seolah tak dihargai. Kadang-kadang aku jadi marah dengan diri sendiri. Ikhlaskah aku dalam memberi kasih sayangku padanya? Aku jadi keliru dengan diri sendiri. Orang kata, dalam perkahwinan harus memberi dan menerima tapi hanya aku yang memberi, dia seolah-olah mengabaikan keperluan batinku. Jangan salah faham, keperluan batin tu bermaksud suara hatiku yang ketandusan kasih sayang dan perhatian darinya.

Aku benar-benar rasa tercabar dengan sikapnya. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk bersikap dingin. Aku sudah malas untuk menjadi romantis, apatah lagi nak bermanja dan merajuk. Aku berubah terus dari isteri yang prihatin kini menjadi isteri yang berhati kering. Aku lebih banyak menghabiskan masaku di depan skrin laptop. Ada saja kerja yang nak aku lakukan. Aku hanya menjaga makan dan minumnya, mengemas rumah dan melayan anak-anak. Layanan aku terhadapnya berjalan seperti biasa, cuma kami sudah jarang berkomunikasi.

Aku rasa bahagia dengan kerjaku sebagai penulis blog. Aku lebih banyak menghabiskan masaku berkomunikasi dengan orang luar berbanding keluarga sendiri. Dengan suamiku hanya sesekali saja aku melayannya berbual. Aku sudah malas untuk berhujah dengannya. Dia tak pernah menyebelahiku. Tak tahulah di mana silapnya. Di depan orang dan di depan dia, mungkin aku terlihat sangat bahagia, namun hanya Allah saja yang tahu, aku lebih banyak memendam rasa. Aku menangis di dalam hati setiap masa. Hanya pada Allah tempat aku mengadu. Hanya Allah tempat aku bergantung.

Huhu..apalah nasib jadi isteri yang nampak bahagia di depan orang, tapi menderita batin seorang diri? Aku yang baca ni pun turut jadi keliru dengan statementnya. Suaminya baik tapi tetap tak sempurna. Aku tahu dan aku akui takkan ada manusia yang sempurna. Dia masih memuji suaminya baik sedangkan dia menderita? Aku tak tahu, apa masalah yang membelenggu dirinya. Aku tak dapat menilai dengan hanya membaca sebahagiaan luahan hatinya. Alangkah bagusnya kalau aku dapat kenal dia di alam nyata dan bertanya apa masalahnya. Berat hati yang membaca, mungkin lagi berat sang pemilik blog yang menanggung bebannya. Oh dunia yang dipenuhi dengan jantan sebegini, di manakah perasaan dan budi bicara korang? Di mana hati nurani korang? Belajarlah ilmu mengambil hati seorang isteri sebelum berkahwin. Jangan hanya nak bahagia seorang diri saja!!!
Siah ayat-ayat ceroi berhenti di sini. Panjang umur jumpa lagi..k bai.

                Kamsiah mengemaskini entry dalam blognya lagi. Siah semakin keliru dengan masalah seorang isteri. Mendapat seorang suami yang baik pun tak bahagia, apatah lagi kalau suami tu perangai tak semenggah. Hidup ini memang perlukan pengorbanan yang banyak.

                Ibu  Siah juga senasib dengan perempuan lain yang bergelar isteri. Abahnya tak pandai  nak tunjukkan kasih dan sayang. Kata-kata abahnya, tak boleh langsung dibantah. Pendapat dia saja yang betul, pendapat isteri dan anak-anak langsung tak diendah.   

                “Siah!’’ terdengar laungan ibunya, Siah segera bangun dan meninggalkan kerja-kerjanya. Mesti ada sesuatu yang membuatkan ibunya melaung begitu.

                  ‘’Ada apa ibu?’’ Siah terus bertanya bila dia sudah berada di sebelah ibunya. Mimik wajahnya berubah bila melihat ibunya sedang menangis.

                   ‘’Ibu..kenapa ni?’’

                     ‘’Abah kau Siah..’’

                    ‘’Kenapa pulak dengan orang tua tu?’’

                       ‘’Abah kau dah tak ada Siah..’’

                        ‘’Innalillahiwainnahilaji’un..bila? Siapa yang bagitahu?’’ selamba saja  Kamsiah menyoal ibunya kembali. Tiada riak sedih  terpamer di wajahnya.

                      ‘’Baru tadi, Markonah  call ibu, katanya jenazah masih di hospital. Kita pergi tengok dia Siah, untuk kali yang terakhir.’’

                       ‘’Ok. Ibu pergilah siap. Siah nak tukar baju dulu.’’ Wajah Kamsiah masih tenang tanpa riak sedih ataupun ingin membantah kehendak ibunya.

                  ‘’Siah..Siah tak sedih ke, abah dah tak ada?’’ Kamsiah tak jadi melangkah.  Dipandang wajah ibunya lama dan kemudian dia mengeleng perlahan.

                ‘’Maafkan Siah, ibu. Bukan Siah tak sedih, cuma  Siah..’’ Kamsiah kehilangan kata, lama Siah berjeda.

                 ‘’Tak apa, ibu faham. Jomlah, kita bersiap..nanti apa pula kata orang kalau tak nampak kita di sana.’’ Mak Siti tak mahu terus bersoal jawab. Dia juga rasa apa yang Siah rasa, tapi sebagai seorang isteri kasih sayang pada suaminya itu masih bersisa. Suami tetap suami walaupun mereka  hidup terpisah. Suaminya memang sengaja mengantungnya tidak bertali. Dia ingin minta fasakh namun bila fikirkan Siah, dia jadi simpati, takut Siah akan kehilangan kasih sayang seorang ayah. Hakikatnya, Siah sendiri yang membawa dia keluar dari rumah suaminya. Dosa? Dia faham dosa  seorang isteri yang lari dari rumah.

                    Sekian lama dia memendam rasa, dipukul oleh suami dan diherdik. Anak-anak tiri yang dipelihara sejak kecil juga  tidak pernah mengaku dia sebagai ibu. Hanya Siah yang dia ada,  satu-satunya anak kandung Mak Siti. Siah tidak  pernah tahu kebenaran ini. Mak Siti simpan semua rahsia ini daripada pengetahuan Siah.

******************

  Seminggu kemudian…
                      
                     ''Kau buat apa tu Siah?'' Siah berpusing ke belakang. Melihat Aina yang datang berlenggang ke arahnya, dia kembali mengadap skrin telefon bimbitnya.

                       ''Oii..'' Aina bertempik kuat bila berada di tepi Siah. Pertanyaannya tadi langsung tak bersahut.

                          ''Kenapa kau ni Aina? Boleh tak, kau bersopan santun sikit. Dahlah tanya soalan terlebih cerdik, lagi nak oii, oii dengan aku.'' Siah membalas geram namun Aina hanya ketawa kelucuan.

                             ''Aku tanya kau, boleh pula kau buat pekak badakkan? Kau buat apa tu,kusyuk sangat?''

                            ''Sejak bila pula kau buta? Tak nampak, aku tengah berfb ni? Tak nampak? Meh sini, aku nak buka mata kau luas-luas.'' macam biasa Siah dan ayat-ayat brutalnya takkan dapat dipisahkan.

                              ''Yola, aku tau la kau tengah berfb, tapi apa yang kau baca, kusyuk sangat sampai tak panggung kepala?'' sambil berkata Aina menampar belakang Siah. Terjegil mata Siah dibuatnya. Aku sepuk juga budak Aina ni karang. Siah membebel dalam hati.

                    ''Busy body pula, nak tau sangat apa yang aku baca ni, dah kenapa? Aku tengah bengang dengan jantan-jantan dalam page KRT ni, tak habis-habis kes curang. Tak habis-habis dengan sikap biadap bin bengap mereka tu. Nikah pandai, ilmu haram tarak. Apa punya jantan ntah. Aku yang baca ni pun hangin, entah macam mana pula dengan isteri mereka, tentu lagi tensionkan?'' Siah membebel panjang. Aina merenung wajah Siah dengan senyuman lucu. Memang lucu sangat bila melihat Siah yang membebel macam tu. Sungguh-sungguh dia membebel seolah-olah dialah mangsa lelaki-lelaki yang curang tu.

                ''Siah, kau kenal tak Azim?''

              ''Azim? Azim mana? Siapa dia? Kenapa kau tanya aku pulak?'

               ‘’Alah..Azim yang mata longgar-longgar, ada dua lubang hidung, ada dua telinga..’’

                ‘’Dah lama ke kau hidup? Teringin nak makan penumbuk sulung aku, agaknya?’’

                  ‘’Hahaha..bergurau sikit pun tak boleh. Garang tak bertempatlah kau ni Siah, tapi garang-garang kau pun aku tetap sayang kau. Alaaa..aku ingatkan kau kenal dia. Tadi aku jumpa dia masa on the way ke sini. Dia suruh aku kirim salam. Itu pasal aku tanya.’’ Aina berkata sambil ketawa. Walaupun tak dipelawa, Aina duduk  di tepi Siah sambil menjengok skrin I-phone Siah.

                 ‘’Best sangat ke gossip terkini yang kau baca tu? Aku nak join jugak. Boringlah duduk sebelah kau tapi kau asyik tengok skrin handphone kau jer.’’ Selamba saja Aina buat ayat sambil tersengeh. Siah menoleh sekilas lalu ke arahnya, kemudian dia kembali membaca sebuah entry dalam blog tentang kesedihan seorang lelaki bila isteri yang disangka akan terus setia dan menanti dirinya akan berkahwin dengan lelaki lain.

                  ‘’Bestlah jugak. Padan muka jantan ni,dia curang sangat sekali kantoi dengan isteri dia, terus isteri dia lari balik kampung. Dia ingat isteri dia tak tahu dia ada GF..haa, sekali isteri dia merajuk, dia suruh isteri dia buat pilihan. Nak balik ke rumah atau diceraikan.  Kau tau, bila isteri dia pilih untuk bercerai, terus dia ceraikan isteri dia. Lelaki tu ingat isteri dia akan merayu tapi dugaan dia tersangat meleset, ‘’

                  ‘’Kenapa? Isteri dia pun ada balak jugak ke?’’ Aina yang tidak sabar mendengar cerita Siah terus bertanya sebaik Siah berhenti seketika.

                  ‘’Tunggu lagi, kalau suami dia boleh pasang spare tyre, kenapa dia tak boleh? Tapi, isteri dia kenal lelaki tu selepas mereka sah bercerai. Lelaki tu pergi melawat anak-anaknya, dengan harapan isterinya akan merayu dia untuk rujuk. Kebetulan selepas mereka bercerai, baru dia sedar, isteri dia lebih baik dari GF dia.’’ Siah bercerita rancak. Aina mendengar dengan teliti.

                   ‘’Aku puas hati betul baca kisah ni. Walaupun kisah ni cukup tragis bagi seorang lelaki. Mesti tercalar ego diakan? Dia sangka isterinya akan minta rujuk, alih-alih isterinya kenalkan bakal suami baru. Melopong kau.’’ Siah akhirinya ceritanya sambil tersenyum puas.

                  ‘’Sebut pasal lelaki bergelar suami, kalau ada lelaki nak lamar kau..apa pendapat kau?’’ tak semena-mena Aina menyoal Siah. Dan tanpa terduga, tercetus tawa dari bibir Siah. Kau biar betul? Ada ke lelaki yang nak dengan aku? Siah tanya diri sendiri dalam hati.

                  ‘’Betul ke lelaki, bukan jantan? Kalau lelaki yang benar-benar lelaki yang tahu tanggungjawab dan boleh beri kasih sayang untuk aku dan anak-anak kami nanti, aku okey saja. Kalau sudah jodoh, untuk apa aku nak tolak. Yang penting, dia kena anggap ibu aku macam ibu dia. Walaupun aku ni suka cemuh dan kutuk orang jantan tapi aku tak pernah menolak ketentuan takdir. Siapa lelaki tu? Beriman ke dia? Solat dan puasa tak?’’ melopong Aina mendengar jawapan Siah. Ingatkan Siah akan menolak tanpa menyoal tapi sebaliknya yang keluar.

                    ‘’Kau serius ke ni?’’

                     ‘’Persoalannya sekarang, ada ke lelaki yang nak dengan aku?’’ Siah menyoal Aina kembali. Aina pula tanpa menunggu lama terus mengangguk laju.

                  ‘’Ehh, mestilah ada. Kau kenalkan sepupu aku Azim. Dia peminat tegar kau Siah. Dia follower blog kau. Dia baca semua entry kau. Kau untung tau kalau dapat kahwin dengan dia. Sepupu aku ni solat tak tinggal, puasa tak pernah ponteng. Boleh dikatakan terlalu sempurna sifatnya..tapi, aku tak nafikan ada kekurangannya, yang mungkin aku tak nampak..’’ Aina bercerita laju dan tersengeh di akhir ceritanya bila melihat Siah mencebik tidak percaya.

                ‘’Puji sepupu sendiri, macamlah sepupu dia tu malaikat. Tadi lagi kau sebut nama Azim ni, setahu aku, tak pernah pula aku kenal lelaki yang bernama Azim. Cerita dongeng apa ni?’’

                 ‘’Dongeng? Ehh..betullah Siah oii..ingat aku main-main ke? Abang Azim aku cakap, kau dah banyak kali jumpa dia, cuma dia tak ceritalah secara detail. Apa kata kau keluar date dan berkenalan dengan dia. Buat blind date ke?’’

                   ‘’Gila ke apa, blind date bagai? Kau ingat drama Korea ke Aina? Kita ni orang melayu, beragama Islam. Kita ada adat dan budaya kita. Keluar dating tu haram. Haram tu jawabnya berdosa. Kalau betul dia lelaki macam kau kata tu, suruh dia datang rumah aku, bawa mak dan ayah dia sekali, jumpa ibu aku.’’

                  ‘’Itu dah macam merisik Siah?’’

                  ‘’Betullah tu. Kata berkenankan? Kenalah merisik, lepas tu bertunang dan bernikah.’’

                   ‘’Mudah pulak? Kau tak menyesal ke nanti?’’ Aina pulak yang keliru. Biar betul Siah ni? Takkan semudah itu Siah menerima lelaki yang dia tak kenal?

                ‘’Kau percaya Allah tak?’’

                 ‘’Tentulah aku percaya.’’

                 ‘’Kau tahukan, jodoh, ajal tu Allah yang tentukan?’’

               ‘’Tentulah aku tahu.’’

                ‘’Okey, settle. Kau suruh saja dia dan keluarga dia datang. Aku tak kisah, tapi aku tetap Kamsiah ayat-ayat ceroi. Cakap aku jenis tak berlapik. Kalau ada yang berkenan nak buat aku sebagai isteri dan nak ambil aku sebagai menantu, bukan salah aku, kan?’’ Siah menjelaskan      sambil tersenyum. Harap-harap Aina fahamlah maksud yang ingin Siah sampaikan.

                  ‘’Kau jangan buat macam tu Siah. Yang berkenan dengan kau sepupu aku saja, mak long aku belum kenal lagi kau macam mana. Kau jangan buat cakap tak berlapik depan mak long dan pak long aku. Pak long aku tu iman di masjid taman kita ni. Mak long aku tu ustazah yang mengajar ibu-ibu taman ni mengaji. Malu mereka Siah, kalau kau buat sikap lepas laku kau.’’ Kerisauan yang bersarang dalam hati Aina dilepaskan tanpa ragu-ragu. Bengang pula Siah mendengar kata-kata Aina.

                ‘’Kau ingat aku ni kurang ajar sangat ke? Ibu aku ajar aku la. Walupun aku hidup tanpa ayah di sisi, ibu aku ajar aku secukupnya supaya tak berlaku kurang ajar dengan orang tua. Hiesy..kau ni kan Aina, sesekali datang bendul kau, teruk tau aku nak explain.’’

               ‘’Aku pulak yang bendul? Aku kasi warning saja, mana tau kau buat lawak di depan pak long dan mak long aku. Kalau abang Azim tu, aku tau dia dah lama tengok perangai kau yang tak semenggah tu. Yang aku risau, kawan-kawan dia yang pernah kau serang, mesti bengang gila kalau abang Azim nikah dengan kau..’’

             ‘’Kejap! Kawan dia yang pernah aku serang? Siapa?’’

              ‘’Manalah aku tahu. Dia yang cakap macam tu, tak pulak dia cerita secara detail.’’   

               ‘’Kalau macam tu, aku cancel. Tak berani aku nak kahwin dengan lelaki yang ada kawan yang pernah aku serang. Tak pasal-pasal kawan dia serang aku pula atas pelamin nanti.’’

             ‘’Tahu pun kau takut erkk? Masa kau serang tu, tak pula kau takut?’’

              ‘’Takut apa, aku serang dan blah. Mereka mana berani kejar aku.’’ Selamba saja Siah menjawab balas.

             ‘’Salah tu Siah, mereka bukan tak berani nak kejar. Abang Azim aku cakap, setiap kali kawan-kawan dia yang kau serang tu nak kejar dan lepuk kau, dia yang tolong sabarkan kawan-kawan dia, kalau tak..rasanya dah lama kau benjol dan lebam-lebam..’’

                 ‘’Iya ke?’’

                 ‘’Yalah kot, Itu yang dia cerita kat aku, hihihi…’’

*************
                
                Azlina memerhatikan seluruh rumah yang masih bersepah. Dia menarik nafas dan melepaskan nafasnya dengan lelah. Hari ini dia cuti separuh hari kerana anak sulungnya tak sihat. Pusat asuhan yang diupah untuk menjaga anak sulungnya itu telefon dan beritahu anaknya demam dan muntah-muntah.
  
              Macam malas nak mengemas, tapi kalau aku tak kemas, siapa lagi yang nak kemas? Azlina menyoal diri sendiri. Buat sajalah, sikit-sikit nanti selesai juga. Kalau tengok dan asyik mengeluh, bila nak selesai? Azlina berdialog lagi dengan dirinya sendiri. Tanpa banyak alasan dan persoalan, tangan Azlina pun memulakan tugas-tugasnya. Letih memang letih, sebagai wanita yang berkerjaya, Azlina terpaksa melakukan banyak tugasan. Di pejabat dia ada amanah sebagai seorang pekerja, dia harus melakukan kerja tanpa sebarang rungutan. Balik ke rumah, tugas sebagai seorang ibu dan seorang isteri pula harus digalas. Masalahnya, sebagai wanita dia sudah lama sedar, kerja-kerja rumah yang dia lakukan setiap hari, sebenarnya bukan tugas dia. Kata orang bijak pandai atau alim ulamak, semua tugas-tugas tu sepatusnya tugas seorang suami. Isteri hanya melakukan ehsan membantu suami meringankan bebannya. Beban seorang wanita tak banyak yang Allah beri tapi yang membuatkan wanita terbeban tu, siapa? Haruskah lelaki yang bergelar suami itu disalahkan? Persoalan lain pula menerjah ke dalam mindanya. Ya Allah, bantu aku untuk ikhlas dan Redha menerima ketentuan takdirMu ini. Aku pasti ada banyak ganjaran dariMu yang menantiku di Akhirat sana. Azlina memujuk diri sendiri pula. Sambil tangannya bekerja, otaknya juga sedang bekerja keras.

Beberapa jam kemudian

                ‘’Ehh..bila abang balik?’’ Azlina yang kepenatan menguruskan rumah dan anak-anaknya menyoal sebaik saja dia sampai di ruang tamu. Suaminya yang sedang menyandar di sofa sambil membelek telefon bimbit itu  memanggung kepala beberapa saat dan kembali membelek telefonnya.

                  ‘’Dah sejam pun abang balik, Ina tu yang tak perasan, suami balik bukan nak sambut, hidang air ke..’’ suaminya Syam bersuara, sedangkan matanya masih ralit meratah skrin telefon di tangannya.        
       
                    ‘’Amboi, amboi..nak bersambut bagai, abang tahu tak..sejak balik dari pejabat tadi Ina belum sempat berehat pun lagi. Mengemas, membasuh, memasak..dengan anak-anak yang tak habis meragam. Along pula asyik merenggek, nak itu dan ini..’’ Azlina mula membebel. Sakit betul hatinya bila suaminya berkata begitu. Bukan nak hargai ehsan yang dia dah buat sehari suntuk ni, mengada-ngada pula nak minta disambut. Kenapa tak suruh hampar karpet merah sekali? Azlina berdialog pula di dalam hati sambil menarik dan melepaskan nafasnya berkali-kali.

              "Okey, nanti abang buat semua tu. Ina relax saja." Azlina tersenyum megah mendengar kata-kata suaminya itu. Rasa penat dan lelah mengemas rumah sehari suntuk hilang begitu saja.

                  "Balik nantilah abang tolong yea. Kawan abang baru ja WhatsApp abang, ajak keluar." senyum di bibir Azlina belum lagi hilang, Syam suaminya menyambung kata selepas membelek telefonnya. Azlina menarik nafas dan mengeluh.

                   "Abang ni, selalu macam tu kan. Kawan-kawan abang tu lebih penting dari Ina. Setiap kali abang janji, tak penah ditepati. Lupalah, tak ingatlah, penatlah, last-last Ina jugak yang kena settle semua kerja." kasar nada suara Azlina. Wajahnya menegang dengan rasa tak puas hati.

                    "Laa..nanti abang balik abang tolonglah." Syam berkata lagi sambil terus melangkah pergi. Tinggallah Azlina membebel seorang diri di dalam hati.

                     "Aci potong jari. Alih-alih aku juga yang kena buat semua kerja ni. Gebang kuat sebelum masa. Dah sampai masa, ada saja hal dia. Macamlah aku tak kenal dia. Selalu sangat macam tu. Gamaknya, kalau aku tak ada dalam rumah ni, entah jadi kapal karam." Azlina terus membebel. Sesekali dia merenung barang-barang yang masih bersepah di depannya. Dia mengeluh lagi tapi kemudian dia tersedar bahawa semua ini adalah ujian dari Allah untuk keikhlasannya sebagai seorang isteri. Dia terus beristighfar perlahan. Pergilah iblis dan setan semua. Pergi main jauh-jauh. Aku nak sambung kerja.


****************

                     Kamsiah memandang pegun ke arah peguam itu. Hatinya masih sangsi dengan kenyataan yang baru didengarnya sebentar tadi. Sekian lama dia tak mendengar khabar berita dari abah dan abang-abangnya, tiba-tiba dia diistihar sebagai pewaris harta. Benarkah? Adakah ini hanya kebetulan?

                 "Encik jangan main-main. Saya kenal sangat dengan abang-abang saya tu. Lagi pun, mustahil abah nak saya jadi pewaris." Kamsiah suarakan rasa hatinya.

                  "Cik Kamsiah, untuk apa saya nak tipu cik? Tugas saya hanya menerima amanah dari arwah. Ini wasiat terakhit arwah. Katanya, hanya cik yang layak untuk mewarisi hartanya."

                     "Sepatutnya abang-abang saya yang lebih layak. Encik tahukan, sebagai anak perempuan..saya.." Kamsiah kematian kata, dia tahu harta warisan sepatutnya dibahagi sama rata.

                        "Cik Kamsiah, saya tahu apa maksud Cik tu. Macam ni la, semua harta ni dah jadi milik Cik. Buatlah keputusan, saya hanya perlu mengikut arahan saja."

                        Allahu Akhbar, nampaknya abah macam sengaja nak menjadikan aku sebagai musuh abang-abangku. Kalau mereka tahu harta abah sudah menjadi milik aku, apakah tindakan mereka?

                     "Saya tak nak semua harta-harta ni. Saya cuma nak bahagia bersama ibu saya. Encik ambillah semua harta ni dan beri pada abang-abang saya ataupun sedekahkan pada baitulmal atas nama abah saya. Saya tak nak bermusuh dengan abang-abang saya. Cukuplah kami dihendik dan dimaki oleh mereka." tanpa berfikir panjang Kamsiah terus membuat keputusan. Aku hanya nak bahagia di dunia dan akhirat.

             "Tapi Cik...."

             ‘’Tak ada tapi-tapi..keputusan saya..’’

               ‘’Cik Kamsiah, dengar dulu..abang-abang Cik tu semuanya anak tak sah taraf dan mereka tak berhak untuk mewarisi harta warisan, lagi pun..Tan Sri hanya tulis nama Cik Kamsiah saja sebagai penerima wasiatnya.’’

                 ‘’Anak tak sah taraf? Maksudnya?’’ Kamsiah buntu, adakah mereka..

                   ‘’Ya Cik Kamsiah, mereka anak di luar nikah Tan Sri dengan berlainan ibu. Arwah Tan Sri ada ramai perempuan simpanan. Mereka bertiga adalah sebahagian darinya. Itu pun Tan Sri beli mereka dari perempuan-perempuan simpanannya.’’

               Allahu Akhbar..abah, kenapa abah? Apa yang abah dah buat sepanjang hayat abah? Kenapa ibu tak pernah cerita denganku? Kenapa ibu rahsiakan semua ni? Adakah ibu tahu? Kamsiah meraup mukanya dan sendu mula berirama. Kamsiah tak dapat mengawal gejolak rasa hatinya. Dia menangis tanpa sedar. Sedih benar hatinya mengenangkan arwah abahnya. Ya Allah, ampunkan semua dosa-dosa abah.

*****************
             
                Masa terus beredar dengan pantas, hidup Siah berubah selepas mewarisi harta abahnya. Apatah lagi, kini dia sudah bergelar seorang isteri. Banyak suka dan dukanya berlalu pergi bersama beredarnya masa. Kalau diimbas kembali semua kenangan itu ada yang akan membuatnya bibirnya mengukirkan senyuman, tak kurang juga yang memedihkan hati.

              Kisah Siah dimajlis merisik, majlis kahwin, semuanya tu nostalgia yang mengharukan. Siah dengan sikap brutal dan cakap lepasnya takkan boleh diubah sekelip mata. Tapi..dalam banyak-bakyak nostalgia tu, Siah paling sedih bila dia dan ibunya diserang oleh tiga orang abangnya. Mereka pula bukan datang bertiga, ada isteri-isteri dan ibu-ibu mereka yang datang tanpa undangan membuat kecoh di majlis perkahwinan Siah. Perdebatan mulut berlaku dan Siah tak akan melepaskan peluang dengan hanya mendengar saja.

                 "Siah! Kau tu anak perempuan! Mana layak untuk bolot semua harta tu. Kami ni anak lelaki, kami lagi berhak!" lantang sekali abang sulung Siah bersuara.

                 "Oh, anak lelaki berhak? Ok, tapi antara semua anak abah, aku seorang saja anak sah abah. Korang? Cuba tengok surat beranak dan IC korang, ada berbinkan abah?" mendengar ayat-ayat Siah, ketiga-tiga abangnya terus berjeda. Masing-masing diam tak berkutik. Mereka hanya anak perempuan simpanan yang berlainan emak. Abah mereka seorang lelaki yang suka berpoya-poya. Harta berkepuk, di mana dia pergi, di situ juga ada perempuan yang mengekori. Siah pula lahir selepas sepuluh tahun ibu dan abahnya berkahwin.

               ‘’Kalau pasal harta, korang sanggup datang walaupun tak diundang. Masa abah meninggal hari tu, ada korang pergi? Harta punya pasal, boleh mengaku anak abah, tapi masa jenazah abah nak dibawa masuk ke liang lahat, mana anak-anak lelaki abah? Sorang pun tak nampak bayang. Cakap gah, anak lelaki konon. Lelaki apa? Hak apa? Dalam wasiat abah, hanya ada nama Kamsiah..nama korang bertiga? Huh! Abah pun tahu bezakan permata dan kaca. Nama saja ada anak-anak lelaki..tapi abah sakit, yang korang tahu joli harta abah. Pecah amanah, mabuk dan kaki perempuan. Dah ada isteri pun, masih simpan perempuan lagi. Berubahlah! Sedarlah! Kita semua ni bukan nak tongkat langit. Kalau aku nak, korang semua tentu dah masuk lokap sekarang ni.’’ Siah terus berhujah, dia memandang wajah abang-abangnya seorang demi seorang. Wajah masing-masing membahang, tangan masing-masing mengepal penumbuk, namun Siah sudah bersiap siaga. Dia tahu apa yang perlu dia lakukan kalau abang-abangnya bertindak.

                   ‘’Siah, kau..’’ abang ketiga Siah bersuara dengan nada tegang..

                    ‘’Haa..kenapa?’’ Siah bertanya dengan berani.

                      ‘’Siah..cukup. tak perlu buka aib mereka. Tak baik Siah, berdosa.’’ Azim yang baru bergelar suami, berbisik ke telinga Siah. Barulah Siah tersedar, apa yang baru diungkapkannya.

**************


                     Siah membaca status-status rakan muka bukunya dengan fikiran yang bercelaru. Ada kisah suka dan duka yang mewarnai dinding muka bukunya hari ini. Ada kisah lucu dan cerita basi yang berlegar-legar di laman utama. Siah baca satu persatu dan cuba menghadam segalanya dalam minda dan hati.
                    Hidup kita memang berbeza. Kau dengan cara kau, dan aku dengan caraku. Orang kaya ada bermacam cerita, orang miskin pun tak kurang juga. Siah bermonolog dalam hati.
                 "Assalamualaikum, bidadari hatiku." terdengar suara seorang lelaki memberi salam dan berdialog semanis madu, Siah mencebikkan bibir tanpa menoleh.
                   "Amboi, abang bagi salam jawab pun tak, toleh pun tak..mamum ke mamai ni? Ke dah benci orang di sini? Orang di sinun jangan sombong-sombong tau, abang cari yang lain..melopong pulak bidadari hati abang ni..." sambil berkata tercetus ketawa kecil dan ceria.

                "Uwekk..perasan tak hengat. Tak payah nak tanam tebu di bibir sangat erkk, ayat manis bermadu, bidadari hatilah konon tapi ada niat nak cari lain. Piiidahhhh..." sekali siah bersuara, padu saja bunyi nada dan ayatnya. Azim ketawa berdekah. Tahu dah, Siah dan ayat brutalnya takkan berhijrah sekelip mata.
                                         
                "Abang bagi salam pun tak jawab. Okeylah abang panggil bidadari hati, sebut Siah sengal karang..."

                    "Sengal-sengal Siah ni ada juga orang nak, kan?" Azim belum habis meluah kata, Siah sudah mencantas laju.

                     "Alaa..abang tahu, Siah cuma sengal bertempat, kan? Bukan sengal 24jam..dan yang penting dalam sengalnya isteri abang ni, masih taat dengan suami. Ya kan sayang?"

                "Ishhh..apa hal dengan awak ni enchek suami, berbidadari, bersayang bagai?"

                "Takkan tak suka? Selalunya, abang baca blog Siah, marah-marah pada lelaki yang tak romantis, yang panas baran, suka melenting..."

                 "Ehhh..pembetulan ya, Siah tak pernah marah lelaki, Siah cuma kutuk jantan saja. Beza kot, jantan dengan lelaki."

                   "Sayang, dalam blog sayang tu selalu sayang kutuk jantan kawkaw, yang abang tak faham sekarang ni, apa bezanya jantan dengan lelaki? Bukan mereka tu tetap seorang manusia? Tak baik tau sayang bandingkan lelaki dengan jantan. Setahu abang, jantan tu hanya layak untuk binatang saja. Sayang nak kata semua lelaki tak guna tu binatang ke?" Siah merenung tajam ke arah suaminya. Azim pula hanya tayang wajah selamba. Suka benar dia melihat wajah bengang Siah setiap kali soalan maut diajukannya.

              "Terpulanglah pada Siah nak tulis apa pun. Yang abang tu kerek sangat suka soal yang bukan-bukan tu, kenapa?" Siah tetap menjawab malas dan menoleh ke arah lain. Sakit betul hati dia melihat wajah tenang Azim yang sedang menguji dirinya ketika ini.

                  "Haa..kerek tu apa ya? Abang selalu baca, kereklah, poyolah. Try cari perkataan tu dalam kamus, tak ada pulak. Dari mana sayang dapat perkataan tu?" sengaja lagi menguji Siah, Azim terus menyoal walaupun soalan-soalan sebelumnya masih belum terjawab.

                "Banyak songeh pulak. Siah bukan kaunter pertanyaanlah!" Siah membentak marah. Sengaja dibulatkan matanya. Semakin suka Azim dibuatnya.

                "Okey, okey..abang nak tau satu ni saja. Kawan abang tanya, orang jantan kannn bila nafsu di kepala, akal di lutut. Org lelaki akal di mana?" lama Siah berjeda. Nak jawab ke tak? Jawab karang, ada pula yang sentap. Tak jawab, ada pula yang kempunan nak dengar jawapan.
           
              "Abang  jawab soalan Siah dulu. Abang lelaki ka jantan?"

                "Ehh..kalau jantan takkan Siah nak terima abang sebagai suami, kan?"
      
                "Ohh..jadi abang ni lelakilah?"

               "Memey ar."

               "Habis, akal abang di kepala atau di lutut?"

                    "Tentulah di kepala.."

                     "Okey..settle."

                   "Apa yang settle?"

                   "Persoalan abang tu, abang sendiri yang jawab. Settle la.."

                   "Ohh..diam-diam sayang kenakan abang ya?" tersedar diri dipermainkan, Azim menghampiri Siah yang sedang tersengeh sambil menaikkan keningnya.

                    "Abang  nak pendapat sayang, mungkin jawapan sayang berbeza dengan abang." sambil cuba memeluk Siah dari belakang Azim bersuara lembut memujuk, namun Siah sempat mengelak.

                  "Okey..Siah jawab tapi jangan nak ambil kesempatan dalam kesempitan. Kita sedang bercuti sekarang ni dan sekarang kita bukan dalam bilik. Ada yang teropong karang, viral pulak dalam facebook." Siah memberi amaran pada Azim yang selalu nak romantik tak bertempat. Mereka berdua kini sedang berada di luar bilik atas balkoni sebuah hotel di Pulau Pinang.

              "Jawapan Siah sempoi saja. Allah kurniakan akal untuk semua orang. Lelaki, perempuan, betina dan jantan semuanya ada otak. Cuma, ramai yang tak mau guna. Kebanyakan manusia suka ikut perasaan, ikut emosi, ikut hati dan bersifat egois. Sebab itulah terjadinya pepatah ' akal di lutut'..boleh jawapan tu?"

‘’Hurmm..Allah kurniakan akal untuk semua mahkluk. Manusia, lelaki dan perempuannya. Haiwan, jantan dan betinanya. Semuanya ada otak, tapi akal manusia dan haiwan tak sama, Allah beri kelebihan akal/anugerah yang hebat kepada manusia, tidak pada haiwan. Mengapa? Fahami maksud akal yang merupakan alat yang dapat menyampaikan kebenaran dan sekaligus sebagai pembukti dan pembeda antara yang haq dan yang bathil, serta apa yang ditemukannya dapat dipastikan kebenarannya, asal saja persyaratan-persyaratan fungsi kerjanya dijaga dan tidak diabaikan. Jangan tanya dalilnya. Cari sendiri! Jadi kita sebagai manusia perlu menggunakan akal sebaik-baiknya tidak mengikut nafsu, emosi dan sebagainya. Maka jika manusia itu tidak menggunakan akal sebaik-baiknya, terkeluarlah ayat-ayat, isteri seperti tv, girlfriend seperti handphone. Itu ayat dari orang jantan le tu, bukan orang lelaki.’’

                 ‘’Suka sangat nak uji Siahkan? Dah tahu jawapannya, buat apa tanya lagi?’’ terlepas tawa Azim mendengar kata-kata Siah. Semua orang ada pendapat berbeza. Sebenarnya, ayat tu dia terbaca dalam ruangan komen dalam facebook. Dalam status seorang rakan facebooknya yang membezakan antara isteri dan teman wanita. Kononnya, lelaki menganggap isteri sebagai tv dan teman  wanita sebagai handphone yang dibelek setiap masa.

PERBEZAAN ANTARA ISTERI DAN
GIRLFRIEND PADA PANDANGAN
SEORANG SUAMI

Isteri macam tv, girlfriend macam
handphone.

Dirumah tengok tv,
pergi keluar bawak handphone.

Kadang-kadang seronok tengok
tv, tapi selalunya masa banyak
habis main handphone.

Tv percuma sepanjang hayat, tapi
handphone kalau tak bayar servis
line, talian akan ditamatkan serta
merta.

Tv saiznya besar, berat dan
buruk, tapi Hp cute, comel,
ramping dan banyak butang
boleh picit dan boleh dibawa ke
mana-mana pada bila-bila masa
saja.

Kos penyelengaraan tv murah aje, lagipun jarang rosak, tapi Hp..
mak oii.. mahalnya selalu
meragam pulak tu.

HP bila kita bercakap dgn dia... dia jawab semula.... TV asyik nak kita dengar je dia cakap...

Yang sadisnya Tv ada remote
control, tapi Hp takde.

Cuma satu je kelebihan Tv, takde
virus. Tapi Hp sekali kena virus
habislah!

JADI.. JANGAN PENING KEPALA, SAYANGILAH
TV ANDA WALAU BERAPA INCI PUN SAIZNYA.


********************TAMMAT**********************

Dialog yang tertinggal..


Muzie : Eh..aku rasa aku kenallah isteri kau ni Azim.

Azim : Yang lepas-lepas tu biarlah lepas. Sedangkan Allah Maha Pengampun. Nabi pun ampunkan umat. Lagi pun, apa yang dia pernah kata pada kau dulu, ada benarnya, kan?

Muzie : Oh, inilah perempuan mulut laser yang orang panggil Siah Sengal tu. Kau nikah dengan Siah Sengal ni ke? Kau ni, biar betul?


Azim : Sengal pada kau, tapi bukan di hati aku. Apa yang dia kata tu betul, cuma  salah cara saja.

Muzie : Bela nampak!

Azim : Isteri aku kot.