Jumaat, 17 Jun 2016

Nikah Tanpa Cinta



              Aish memerhatikan lelaki yang sedang berbual dengan rakan sekerja dengan pandangan kosong. Lelaki yang sudah hampir tiga tahun bergelar suaminya. Aish menghela nafas panjang. Sepanjang bergelar suami dan isteri mereka ibarat orang asing. Sejak kecil, mereka berjiran. Bersekolah di tadika yang sama. Sekolah rendah dan kelas yang sama, dari darjah satu hingga darjah enam. Tingkatan satu hingga tingkatan enam dan akhirnya menuntut di Universiti yang sama dengan kuliah dan kursus yang sama.

              Aish tak tahu, dari mana nak memulakan kisahnya. Seingat Aish, keluarga mereka cukup rapat, tapi abah dan ibu Aish meninggal ketika Aish masih bersekolah rendah. Umur baru dua belas tahun, tapi Aish sudah ditunangkan dengan Azril. Sejak itu, dia dan Azril bermusuh. Entah di mana silapnya. Aish rasa, Azril membenci dirinya kerana dia telah diambil untuk tinggal di rumah mereka selepas kedua ibu bapanya meninggal. Emak dan ayah Azril pula, tak mahu melepaskan Aish ke tangan orang lain, jadi ikatan pertunangan terus diikat dan Azril dan Aish diperintahkan agar menurut semua kehendak kedua orang tua.

               Mereka memang tak pernah bertegur sapa sejak kecil. Kalau bertegur pun, pasti terjadi bunga-bunga pertengkaran. Hanya di depan kedua orang ibu bapa mereka saja, masing-masing tunjuk perangai baik. Berlakon yang lebihnya, dalam hati masing-masing, hanya Allah saja yang tahu.

                 Aish menghela nafas lagi. Dadanya sesak dengan seribu persoalan. Azril banyak menguji kesabarannya, lebih-lebih lagi selepas mereka bergelar suami dan isteri. Azril tak pernah menegurnya dengan suara romantik. Yang keluar dari bibirnya hanyalah suara tengkingan dan suara ‘harimau jadian’. Geram juga kalau difikirkannya.

               ‘’Aish, jom..’’ Aish mendongak. Suraya sudah membuat isyarat menyuap, ke mulut. Aish membelek jam di pergelangan tangan. Sudah masuk waktu rehat rupanya. Bila minda kusut, hati pula menerawang entah ke mana.

              ‘’Jomlah, makan di mana pula hari ni?’’ Aish bangun dan mencapai beg tangannya, sambil itu bibir tetap mengungkapkan kata. Kalau ikutkan selera teman baiknya ini, hari-hari makan seafood pun boleh, tapi Aish pula alah dengan makanan laut.

            ‘’Nasi dagang, aku dah kempunan nak makan nasi dagang.’’ Pantas sekali Suraya menjawab. Aish mengangguk laju menyetujui kata-kata Suraya.

              ‘’Aku hairan betullah, Azril dengan Noreen tu, sejak sekolah lagi mereka berkawan. Takkan mereka tak teringin nak menamatkan hubungan mereka tu dengan hubungan yang sah. Apa pendapat kau Aish? Daripada mereka bercinta bagai nak rak, lebih baik bernikah saja. Taklah berdosa.’’ Suraya meluahkan pendapatnya dengan suara yang perlahan. Aish menghela nafas berat. Hatinya bagaikan ditikam dengan selumbar berbisa, terasa sangat perit dan begitu sakit sekali.

               ‘’Aku tak hairan pun dengan mereka berdua tu, yang aku hairan dengan nasib aku ni, kenapa takdir asyik permainkan aku? Sejak aku tadika, aku sekelas dengan Azril, hingga di mana saja aku ada, di situ dia pun ada tapi, kami ni macam musuh dalam selimut. Tak pernah nak berbaik. Aku teringin sangat nak tinggal jauh dari dia, tapi kau tengoklah, dulu kami tinggal berjiran, sekarang selepas bekerja pun, kita berjiran juga dengan dia. Aku ikut dia, atau dia yang ikut aku?’’ lain yang ditanya, lain pula yang Aish jawab. Suraya sudah memandang pelik ke arahnya, lebih-lebih lagi bila melihat wajah Aish yang semakin mendung.

            ‘’Kalau dia tak mahu beralah dan berbaik dengan kau, apa kata kau yang mulakan dulu, tegur dia dengan cara yang baik? Aku tengok, kau dengan Azril ni dah macam kucing dengan anjing, pantang bertegur sapa, mesti nak bertengkar. Tengoklah, hari tu, kes kecil sangat, tapi korang bergaduh, macam nak perang saudara. Risau aku tengok.’’ Suraya berkata dan menepuk perlahan bahu Aish yang sudah tengelam dengan perasaan keliru. Air matanya sudah bergenang, tunggu masa untuk gugur ke pipi.

           ‘’Ehh..kau nangis ke Aish? Kenapa ni?’’ Suraya terkejut melihat Aish yang mengelap air matanya. Dia tak menyangka, Aish akan terasa hati dengan kata-katanya.

          ‘’Aish..janganlah macam ni. Okey, okey..kau tak payah beralah. Nanti kita minta transfer jauh dari sini. Aku teman kau okey. Kita pergi jauh dari sini, tak payah tengok dah muka Azril tu, asalkan kau bahagia.’’ Suraya cuba memujuk, Aish sudah mula teresak-esak dan dia menuju ke arah tandas. Di dalam tandas Aish menguncikan diri hinggalah dia merasa tenang dan mengelap air matanya hingga kering.

           ‘’Kau janji ya, nanti kita minta tukar, jauh dari sini?’’ sebaik keluar dari bilik air, Aish terus menuntut janji dengan Suraya yang masih setia menantinya. Aish cuba tersenyum.

.................................

               ‘’Apa semua ni Aish? Siapa yang izinkan awak bertukar ni? Saya tak izinkan. Bila kita tak tinggal bersama, tak semestinya awak boleh buat keputusan sesuka hati awak. Apa hak saya sebagai suami? Kalau iya pun awak nak bebas, jangan sampai awak ketepikan saya sebagai seorang suami.’’ Azril melenting lagi. Aish semakin keterlaluan sejak akhir-akhir ini. Semakin diberi muka, semakin dia melampau. Itu yang Azril fikir.

               ‘’Suami? Sejak bila kau pandai buat lawak antarabangsa ni Azril? Aku tak tahu pun. Aku rasa, dah sampai masanya kita berpisah Azril. Cukuplah, sampai di sini saja. Kau tak jemu ke, sejak kecil lagi kita ni macam belangkas, tapi pantang bertegur sapa, kita pasti bergaduh. Aku dah jemu Azril. Paling aku jemu sejak kita jadi suami dan isteri, kita tak pernah jalankan tanggungjawab kita pun. Aku tak mahu terus tanggung dosa Azril. Cukuplah kita berlakon sepanjang tiga tahun ni. Aku rasa, dah sampai masanya kita bawa haluan masing-masing. Selepas tiga bulan nanti, aku balik dan kita buat keputusan, sama ada nak teruskan perhubungan kita ni, atau kita berpisah saja.’’ Aish berkata yakin, namun masih terselit sedikit rasa ragu-ragu diakhir ayatnya diikuti helaan nafas yang panjang.

                  ‘’Apa maksud kau ni? Jangan buat keputusan terburu-buru. Aku bagi peluang kau untuk terima aku sebagai suami selama tiga tahun ni, sebab itu aku tak jalankan tanggungjawab aku. Aku tak nak paksa kau Aish, tapi pernah tak kau hargai? Kau tak pernah anggap aku sebagai suami pun kan?’’ Azril meluahkan kata, hatinya kusut saat ini. Kalau ibu dan ayahnya tahu, mesti mereka susah hati. Aish adalah menantu kesayangan ibu dan ayahnya.

                     ‘’Aku tak tahu kau ni pandai buat lawak rupanya. Peluang? Kau bagi aku peluang? Tapi, kau..’’ Aish tak menghabiskan ayatnya. Dadanya sebak untuk menyambung kata. Bagi peluang? Peluang? Akukah yang bersalah? Sedangkan dia asyik sangat bercinta dengan perempuan lain sejak dulu. Bertepuk tampar di depan aku. Bersuap makanan dan sebagainya. Bila masa pula dia bagi aku peluang? Aish sudah berdongkol di dalam hati.

                 ‘’Kita kena berbincang Aish. Bukan ini caranya untuk selesaikan masalah. Jom..ikut aku!’’ sebaik habis berkata-kata, Azril menarik tangan Aish agar mengikutnya. Aish meronta, namun Azril tak pedulikannya.

                ‘’Sakitlah!’’ Aish menjerit dan cuba melepaskan diri. Semakin kejap pula Azril memegang tangan Aish.

              ‘’Kau tu kepala batu Aish. Kalau aku tak buat macam ni, jangan harap kau nak ikut aku.’’ Sambil berjalan, Azril tetap bersuara.

            ‘’Lepaslah Azril! Aku janji, aku akan ikut kau!’’ Aish cuba merayu, namun Azril bukannya seorang lelaki yang akan mengalah dengan mudah.

           ‘’Aku dah lama kenal kau Aish..sejak kecil lagi. Kau ingat aku nak percaya dengan kata-kata kau tu.’’ Azril membalas kata sambil ketawa mengejek. Dia tahu sangat dengan helah yang akan Aish gunakan. Nampak saja Aish lurus bendul, tapi banyak helah yang tersirat di sebalik sifat lurusnya itu.

            Mereka sampai ke kereta dan Azril terus menekan alarm. Pintu kereta dibuka dan Aish ditolak masuk ke tempat sebelah pemandu. Aish tiada pilihan dan meloloskan dirinya masuk ke dalam kereta.

            ‘’Kau cuba lari, aku kejar kau sampai ke lubang cacing Aish!’’ sempat pula Azril memberi amaran sambil melangkah laju ke arah pintu kereta di tempat pemandu. Azril masuk dan menjeling Aish sekilas lalu sebelum menghidupkan enjin kereta dan menekan minyak. Kereta meluncur laju meninggalkan bangunan pejabat.
.......................

                   Kereta Azril meredah jalan raya yang sibuk dan bertali arus. Sudah sejam mereka tersangkut dalam kesesakan jalan raya. Waktu pula kian berlalu dan merangkak ke senja. Aish di sebelah hanya memandang keluar dan sekali sekala, dia memejamkan matanya. Dia tak tahu macam mana Azril boleh tahu semua rancangannya. Kalau ikutkan hati Aish, dia ingin pergi dalam diam. Tak tahu pula, siapa yang menyebarkan cerita bahawa dia akan bertukar ke Terengganu. Inilah kata orang, kita hanya merancang, tapi Allah yang menentukan segalanya.

               ‘’Awak memang dah benci sangat ke dengan saya Aish? Tak pernah awak beraku dan berkau sebelum ni, tapi hari ini..’’ Azril tak meneruskan kata-katanya, dia menoleh ke arah Aish yang duduk di sebelahnya. Memang dia terkejut dengan bahasa Aish hari ini hingga dia terikut sama berbahasa kasar. Mereka tak pernah mesra sebelum ini, Cuma mereka masih berbicara sopan. Awak dan saya sudah mereka gunakan sejak kecil lagi, hanya beberapa kali ketika mereka bergaduh saja, mereka akan gunakan perkataan aku dan kau itu. Tapi, sejak mereka bernikah, ini kali pertama keluar dari bibir masing-masing.

               ‘’Aku dah malas nak berbudi bahasa dengan kau. Tak ada maknanya semuanya tu. Kau tu hanya nampak kesalahan aku sejak dulu. Aku rampas ibu dan ayahlah. Aku rampas kasih sayang merekalah. Aku itu, aku ini..macamlah kau tu sempurna sangat. Kau tu yang tak dapat menerima ketentuan takdir, tapi kau asyik menuding jari ke arah aku. Kau ingat, kau tu baik sangat?’’ Aish melepaskan saja apa yang terbuku di dalam dadanya selama ini.

           ‘’Kenapa dengan awak ni Aish? Saya dah cuba berbaik dengan awak, tapi awak masih nak beraku, kau lagi? Cukup-cukuplah tu..’’ Azril cuba mengawal rasa marahnya yang kembali menyerang perasaannya. Dia menarik nafas dan melepaskannya. Waktu maghrib macam ni, memang banyak iblis dan syaitan sedang berkeliaran. Kalau hilang sabar, mungkin penampar bakal naik ke muka.

              ‘’Diamlah! Jangan banyak tanya!’’ Aish membalas pantas sambil mendengus geram. Aku juga yang salah ke? Aish menyoal di dalam hati.

              ‘’Kalau diam, bila masalah kita nak selesai? Okey, nanti kau balik rumah kita. Aku nak tunaikan tanggungjawab aku. Kita solat jemaah bersama, selepas tu kita berbincang.’’ Azril bersuara tegas. Aish terus membuka matanya seluas mungkin dan menoleh ke arah Azril, namun Azril hanya beriak selamba dan terus memandang ke hadapan.

             ‘’Are you crazy? Nanti apa pula kata kawan-kawan aku dan jiran-jiran kita? Mana ada orang yang tahu kita ni suami isteri.’’ Aish bersuara lantang. Terkejut betul dia mendengar saranan Azril sebentar tadi. Setakat hari ini mereka mengunci kejap perhubungan mereka. Walaupun ramai rakan-rakan sekerja dan rakan serumah Aish yang sudah lama mengenali mereka berdua, tapi pertalian mereka tiada siapa pun yang tahu. Mereka selalu balik kampung dan ibu dan ayah mereka memang tak pernah datang menjenguk mereka. Ada saja alasan yang mereka berikan, sekiranya orang tua mereka nak datang berziarah.

          ‘’Saya belum gila Aish. Sudah sampai masanya, kita hentikan lakonan kita ni. Tiga tahun kita bergelumang dosa, hanya menjadi suami isteri di atas kertas dan menipu orang-orang kampung dengan hubungan palsu kita yang sah selama ini. Ibu dan ayah tu percayakan kita sepenuh hati Aish, tapi kita dah banyak mengecewakan mereka.’’ Azril berkata dengan suara tenang dan menoleh sejenak ke arah Aish. Mata mereka bertemu seketika. Aish dalam dilema perasaan. Dia langsung tak menyangka, Azril akan berubah begini. Sebelum ini, Azril yang selalu memulakan sengketa. Ada saja yang tak kena di matanya. Aish hanya mendiamkan diri, walau apa pun yang Azril lakukan. Azril keluar berdating dan bermesra di depan matanya pun, Aish macam patung beku yang tak ada perasaan.

             ‘’Kau kena sampuk ke Azril?’’ Aish bertanya tanpa rasa bersalah. Azril pula sudah ketawa perlahan. Semakin tercengang Aish melihat gelagat Azril yang baru ini.

...........................

          ‘’Dah...masuk! Jangan nak keras kepala sangat. Degil tak habis-habis.’’ Azril menguatkan suaranya sambil merenung Aish dengan pandangan tajam. Aish pula sudah mengetap bibirnya menahan geram.

          ‘’Nak ke mana lagi tu?’’ Azril bersuara lagi bila melihat Aish menuju laju ke pintu pagar. Azril mengekori Aish dengan langkah yang laju juga.

          ‘’Awak ni kan...’’ Azril tak menghabiskan kata-katanya, bila melihat Aish sudah mengelap air matanya.

         ‘’Masuk dulu, solat maghrib. Selepas solat, kita berbincang.’’ Suara Azril mengendur dan semakin perlahan. Dia memaut jari jemari Aish dan ingin memimpin Aish masuk ke dalam rumah.

         ‘’Lepaslah! Tak payah nak tunjuk baik. Saya tahu, awak tak sukakan saya pun. Kalau awak rasa terpaksa, baik awak lepaskan saja saya dengan cara baik. Awak tak terseksa, saya pun tak terseksa. Settle masalah!’’ Aish bersuara geram dan merentap tangannya dari gengaman Azril.

                ‘’Awak terseksa? Apa maksud awak Aish? Selama ini awak terseksa kerana menjadi isteri saya. Itukah maksud awak?’’ Azril menyoal dalam suara yang bergetar. Dia baru ingin menyulam rasa sayang, namun..lain yang diharap, lain pula yang terjadi.

           ‘’Tak payah nak berpura-pura Azril. Awak sendiri tahu macam mana perhubungan kita selama ini. Asal bertegur saja, mesti kita bercakar, macam kucing dengan anjing. Awak tu tak pernah sedar, selama ini hati saya macam dah kena lapah.’’ Dalam sedu Aish meluahkan suara hatinya. Tangannya yang memegang pintu pagar mengigil dan kakinya longlai untuk terus melangkah. Nak masuk ke dalam rumah Azril, dia takut bermacam fitnah yang akan muncul. Lebih takut lagi, tindakan Azril yang seterusnya. Dia tak tahu, apa yang bakal dihadapinya ketika hati mereka sama-sama sedang terbakar disaat ini.

            ‘’Rohatul Aish..dah lama sangat kita macam ni. Kalau awak dah jemu, saya pun sama Aish. Saya pun manusia biasa Aish, saya pun ada perasaan. Maghrib dah nak habis Aish, kita masuk dan tunaikan solat maghrib dulu. Lepas solat baru kita berbincang lagi. Tak apalah, kalau awak belum bersedia untuk masuk ke rumah kita. Lepas maghrib nanti kita keluar..boleh, kalau macam tu?’’ Azril cuba mengawal suara dan cuba tersenyum dalam suasana tegang ini. Dia cuba berlembut dan beralah. Aish pula seakan terpujuk dengan kata-kata Azril dan terus mengangguk. Aish melangkah perlahan keluar dan menuju ke rumah sebelah. Azril hanya memerhatikan Aish sambil turut berjalan masuk ke dalam rumahnya.

...............................

          Azril memakai baju t shirt paling baru yang ada di dalam almarinya, seluar slack hitam dan menyembur minyak wangi ke seluruh tubuh. Sedikit minyak wangi disapu ke leher dan pergelangan tangan. Azril bersiul riang. Hatinya bahagia bukan kepalang bila Aish sudi untuk keluar makan malam bersamanya malam ini.

                 Manakala, Aish pula hanya menyarung t shirt lengan panjang yang dibelinya ketika dia sedang belajar di Universiti dulu. Baju t shirt yang sudah agak lusuh dengan seluar trek berwarna biru tua. Tiada sebarang minyak wangi yang disembur ke tubuh atau pakaiannya. Selepas mengenakan tudung arini bersaiz L, Aish terus keluar dan menanti Azril di depan pintu pagar rumahnya. Kepada rakan-rakan serumah dia memberitahu bahawa dia keluar untuk membuat perhitungan terakhir dengan Azril.

             Azril keluar dari rumah dan mengintai ke rumah sebelah. Dia mencari kelibat Aish tanpa menyedari Aish sedang memerhatikan gelagatnya di depan pintu pagar. Aish ketawa perlahan melihatnya. Aish sendiri tak menyangka dia akan ketawa begini. Selama ini, Azril hanya membuatnya sakit hati dan rasa amarah yang membuak-buak setiap kali mereka bertemu muka.

           ‘’Oii..cepatlah! Sebelum Isyak nanti kita balik.’’ Aish melaung dari pintu pagar selepas ketawanya reda. Azril terus tercengang selepas mendengar suara Aish dan berlagak selamba. Dia masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin, kemudian dia keluar semula untuk membuka pintu pagar.

               ‘’Tutup pintu pagar dulu!’’ Azril menurunkan cermin kereta dan memberi arahan kepada Aish. Sambil menurut perintah, bibir Aish terkumat-kamit membebel.

            ‘’Nak makan di mana ni? Malam-malam pun awak pakai minyak wangi ke Azril? Nak keluar makan ke nak keluar date? Awak jangan tinggalkan saya pulak malam-malam ni, saya balik kampung report kat ibu karang.’’ Sambil bertanya, Aish berceloteh panjang. Pening kepalanya dengan bauan yang masuk ke hidungnya, ditambah dengan bau penyegar udara dari dalam kereta.

             ‘’Hmm..memang nak keluar date pun.’’ Selamba saja Azril menjawab sambil tersengih. Aish mengerut dahi, pelik betul dengan sikap Azril malam ini. Meremang saja bulu tengkuknya, seriau..kalau-kalau Azril sedang buang tebiat.

           ‘’Awak tak buang tebiatkan?’’ Aish menyuarakan apa yang dia rasa. Azril berdecit geram. Tersentak hati dengan pertanyaan Aish.

             ‘’Awak memang dah tak sabar nak jadi janda berhiaskan? Senanglah awak nak cari penganti nanti, agaknya encik Zafri tu pun dah tak sabar nak pinang awak.’’ Azril membalas pedas. Bunga-bunga perbalahan kembali berputik. Aish pula tak semena-mena tersenyum manis. Dia tak menyangka, Azril akan cemburu dengan bos mereka yang masih bujang tu.

             ‘’Yalah..mungkin jugak, tapi kesian pula dengan buah hati pengarang jantung awak tu. Menangis tak berlagulah dia nanti, kalau awak dah tak ada. Tak ada lagi tempat dia nak bergurau senda, nak bertepuk tampar.’’ Giliran Aish pula berkata dengan nada sinis. Azril sudah menjeling tajam. Tak senang hati dia dengan sindiran Aish terhadapnya.

            ‘’Sampai bila kita nak macam ni Aish?’’ suara Azril kembali tenang. Dia menoleh ke arah Aish sebelum menekan minyak dan keretanya meluncur laju membelah jalan raya yang disinari lampu-lampu jalan yang berwarna –warni. Bagaikan pesta lampu layaknya.

           ‘’I just follow you! Awak buat baik, saya akan jadi baik. Awak kurang asam, saya follow!’’ giliran Aish menjawab sambil menjungkit kening kanannya. Azril memandang lama Aish sementara menunggu lampu isyarat hijau menyala untuk masuk ke simpang.

         ‘’Awak yang cakap saya buang tabiat tadikan? Takkan tak nak mengaku. Siapa yang mulakan dulu?’’ Azril tak mahu mengalah. Aish membeliakkan mata.

           ‘’Salahkah saya bertanya? Awak tu yang berubah drastik sangat. Manalah tahu, kalau awak buang tabiat, boleh jugak saya minta ampun, minta maaf. Kalau awak rasa umur awak panjang lagi, okeylah..tapi..’’ Aish menghentikan kata-katanya, tanpa menyambung ayat seterusnya. Bibir Aish sudah tersenyum lebar.

           ‘’Elok sangatlah tu, nak tunggu saya mati, baru nak minta ampun, minta maaf. Buatnya saya mati tanpa sempat awak minta ampun, macam mana?’’ Azril memulangkan paku buah keras. Aish berjeda lama sebelum membalas kata-kata Azril.

          ‘’Haih..awak dah bersedia ke nak bertemu Allah? Awak ingat, awak tu sempurna sangat sampai tak buat dosa. Sejak kecil lagi kita bergaduh, hari raya saja kita saling minta maaf, tak sampai sejam pun, kita bergaduh lagi. Awak ingat boleh lupus macam tu saja ke?’’ Aish bertanya soalan cepugangsa pula. Hatinya sudah digeletek lucu. Begitulah sikap mereka sejak dulu. Sifat iri hati dan dengki mendengki sesama mereka, usah diceritakan lagi, memang kritikal punya dengki. Lebih-lebih lagi dengan Azril yang selalu tak puas hati dengan layanan kedua ibu bapanya terhadap Aish.

        ‘’Awak jangan lupa Aish, syurga seorang isteri di bawah tapak kaki suami.’’ Azril berkata yakin. Aish sudah ketawa terbahak-bahak. Ketawa yang sengaja dibuat-buat.

           ‘’Syurga di bawah tapak kaki suami yang sebaik Rasullullah saja kot. Kalau awak tu, layakkah?’’ semakin pedas pula kata-kata Aish. Azril menghela nafas panjang. Dia ingin beralah tapi keegoaannya semakin mengila mendengar kata-kata Aish. Seolah-olah Aish sedang mencabar dirinya.

                  Azril menghentikan keretanya secara mengejut di tepi jalan. Aish terdorong ke hadapan dan dia menoleh pantas ke arah Azril yang sudah merah telinganya. Hati Aish berdebar tiba-tiba. Keterlaluan sangat ke kata-katanya tadi.

                ‘’Awak tak pernah bagi saya peluang tu pun Aish. Macam mana saya nak buktikan, bahawa saya mampu menjadi suami yang terbaik untuk awak. Ada saja alasan awak, setiap kali saya ajak berbaik. Macam sekarang ni, saya nak ajak awak keluar untuk berbincang dan menjernihkan perhubungan kita, tapi..sejak tadi, awak asyik cari salah saya saja.’’ Sekali lagi Azril bersuara tegas. Suaranya bergetar dan giginya terasa berlaga atas dan bawah. Tubuhnya mengigil menahan amarah. Aish sudah kematian kata, dan dia sendiri bingung untuk memulakan kata-kata yang lemah lembut seperti kemahuan Azril. Aish juga punya rasa ego yang menebal dalam dirinya. Kalau Azril tak mahu beralah, kenapa dia pula yang harus beralah terlebih dahulu?

..............................

               Mereka sampai di medan selera sebaik azan Isyak berkumandang. Niat nak balik sebelum Isyak, akhirnya terbabas juga, gara-gara perbalahan mereka yang asyik berterusan di dalam kereta. Mereka turun dan memilih menu hidangan kegemaran masing-masing. Aish memilih makanan yang tinggi kolestrol akibat hatinya yang masih mengelegak. Nak lepaskan stress, kononnya. Azril pula memilih nasi berlauk kerana belum makan sejak petang tadi.

             Azril dan Aish mula makan sebaik air minuman dipesan. Mereka makan tanpa berbicara sepatah kata pun, manalah tahu, ada pula kata-kata yang bakal memutikkan kembali perbalahan mereka. Hati dan fikiran masing-masing hanya terhadap makanan, cuma sesekali saja mereka bertembung pandang, tanpa secubit pun senyuman.

              ‘’Ril! Ini baru betul dikatakan jodoh. Pi mai, pi mai kita berjumpa juga di sinikan.’’ Sedang ralit keduanya menjamu selera, ada suara perempuan yang menegur. Aish dan Azril memangung kepala dan memandang wanita di hadapan mereka serentak. Aish sudah mencebik bibir. Azril juga sudah mengeluh perlahan. Hatinya berdongkol di dalam. Pasti Aish akan mengamuk lagi? Hatinya berbisik sendiri.

              ‘’Noreen? Kau dari mana ni?’’ Azril berlagak ramah. Matanya memandang sekilas ke wajah Aish yang sudah mencuka.

              ‘’Alaa Ril, suka sangat tanya soalan bodohkan? Reen datang sinilah, nak makan..’’ terkeluar suara manja yang terlebih gediknya itu. Aish berpura-pura macam orang nak muntah. Makanan yang masih banyak di dalam pinggan ditolaknya ke tengah meja. Hilang seleranya untuk terus menelan.

         ‘’Sayang..habiskan makanan tu. Tak baik tau, membazirkan makanan.’’ Azril memandang Aish dan bersuara romantik. Terbuntang mata Aish mendengarnya. Rasa seram sejuk tubuhnya, macam nak kena virus demam saja.

           ‘’Ril...siapa sayang? Takkan you panggil Aish sayang? Diakan musuh ketat you?’’ Noreen juga turut keliru dengan perubahan Azril malam ini. Dia pasti sangat, Azril takkan panggil dia dengan panggilan sayang tu. Azril bukan semudah yang diduga. Bertahun Noreen cuba menagih kasihnya, namun Azril terus menolak berkali-kali.

             ‘’Salahkah aku panggil isteri aku sayang?’’ Azril menyoal balas. Beku terus Aish di tempat duduknya. Semakin bingung Noreen dengan pengakuan Azril.

             ‘’Azril...awak tak demamkan?’’ giliran Aish pula bertanya.

             ‘’Sayang tu yang demam. Sini...biar abang lap peluh tu. Agaknya, esok mesti demam sayang tu kebahkan. Malam ni malam apa sayang? Malam jumaatkan? Hmm..siaplah sayang malam ni..’’ Azril terus merangka ayat-ayat yang seterusnya sambil tersenyum nakal. Aish menelan liur berkali-kali. Noreen memandang Azril dan Aish silih berganti.

             ‘’Sekejap! Korang berdua ni tak berguraukan?’’ Noreen bertanya dengan mimik muka kebingungan. Azril mengeluarkan sesuatu dari dompet duitnya dan menghulurkan kepada Noreen.

             ‘’Kad nikah kami. Dah tiga tahun pun kami nikah. Alah..yang gaduh-gaduh tu, bukannya betul-betul pun. Saja nak test bakat lakonan.’’ Selamba saja Azril bersuara. Aish pula semakin berpeluh dahinya. Dibeliakkan matanya kepada Azril, namun Azril buat-buat tak nampak saja.

..................................

                ‘’Awak, kenapa dengan awak malam ni?’’ setelah sekian lama mendiamkan diri di dalam kereta, Aish akhirnya bersuara. Perubahan mendadak yang Azril tunjukkan membuatkan hatinya turut tidak keruan.

             ‘’Kenapa pula dengan saya?’’ Azril pura-pura bertanya kembali, sedangkan dia sendiri turut keliru dengan apa yang terjadi. Mungkinkah, kerana risau memikirkan Aish akan berjauhan dengannya, membuatkan dia bertindak dengan spontan begini? Dia sendiri pun tak pasti.

               ‘’Saya minta maaf, kalau saya dah menyakitkan hati awak selama ini. Saya memang sengaja buat semua tu, sebab..saya nak ikut rentak awak yang selalu buli saya sejak kecil. Awak tu, kalau tegur saya bukannya reti nak tegur secara lembut..’’ Aish meluahkan lagi suara hatinya. Risau juga dia dengan perubahan mendadak Azril. Manalah tahukan...

                ‘’Awak ni kenapa Aish? Tiba-tiba saja minta maaf. Awak ingat, saya betul-betul buang tebiat ke?’’ agak kasar sikit suara Azril kedengaran di telinga Aish. Memuncung lagi bibir Aish, kerana pastinya Aish terasa hati lagi.

               ‘’Selama ini, semua orang yang minta maaf tu, sebab ada orang nak mati ke?’’ Aish membalas dengan soalan juga. Berjeda seketika Azril dibuatnya.

           ‘’Ehh..buang tebiat, tak semestinya nak mati tau!’’ Azril membalas juga dan mengulum senyum. Suka hatinya kerana dapat mengenakan Aish kembali.

            ‘’Letihlah, layan awak ni bercakap. Kalau tak sakitkan hati saya, memang awak takkan pernah puas hati.’’ Aish berkata dan terus melentokkan kepalanya di kusyen kereta dan memejamkan mata. Malas sudah untuk melayan Azril yang sudah tersenyum lebar melihat muka Aish yang sudah menunjukkan wajah masamnya.

               ‘’Kita balik rumah kita ya? Awak tak kesian ke dengan suami awak ni. Tiga tahun kahwin, tapi macam orang bujang saja. Kena tinggal sorang-sorang, kena mengemas rumah, kena masak dan makan sorang-sorang.’’ Azril terus membebel sambil memulas stereng dan membelok masuk ke simpang rumah mereka. Aish terus mendiamkan diri. Rasa bersalah menghuni hati.

               ‘’Aish..tidur rumah kita malam ni ya? Kita mulakan hidup baru. Sampai bila kita nak macam ni. Umur kita pun dah semakin tua. Takkan awak tak teringin nak hidup macam orang lain. Ada suami yang baik macam saya, ada anak-anak yang comel, ada rumah tangga yang bahagia.’’ Azril mula pasang angan-angan. Aish sudah mencebik dalam diam. Perasan! Aish berkata di dalam hati.

                ‘’Sayang! Sayang dengar tak apa abang cakap ni? Sayang tak teringin ke tidur peluk abang tiap-tiap malam. Larat ke asyik peluk bantal saja. Kita rugi sangat tau, tiga tahun ni kita sia-siakan macam tu saja. Dah sah jadi suami dan isteri tapi tinggal di rumah lain-lain.’’ Azril terus berceloteh dan nada suaranya..Ya Allah, gerenti sangat teramat manjanya.

                ‘’Awak ni kan..kalau nak berubah pun, janganlah drastik sangat. Meremang bulu roma saya ni laa...’’ sambil membuka pintu kereta, sempat Aish bersuara dan melangkahkan kakinya keluar. Dia terus membuka pintu pagar rumah sewa bersama rakan-rakannya dan melangkah laju masuk ke dalam rumah. Azril tak mampu berkata apa lagi, dia hanya memandang Aish dengan pandangan kosong dan menghela nafas panjang. Kerasnya hatimu Aish. Hati Azril yang berkata-kata..

........................

              Masuk ke dalam rumah, Aish menuju ke biliknya tanpa menegur rakan-rakan serumah yang sedang melepak di ruang tamu dan menonton tv. Mata masing-masing memerhatikan Aish yang masuk ke rumah dengan penuh tanda tanya. Tiada salam, tiada lagi ramah mesra macam selalu. Menonong saja Aish melangkah dan masuk ke biliknya.

              Di dalam bilik, Aish melepaskan punggungnya dengan kasar di atas katil. Hatinya berbelah bahagi. Tersentak hatinya dengan ayat-ayat Azril tadi. Terasa berdosa dirinya yang takkan dapat dimaafkan lagi. Redhakah Azril dengan apa yang sedang dilakukannya selama tiga tahun ini? Merahsiakan perhubungan mereka dan tidak tinggal bersama. Murkakah Allah akan dirinya yang sering membelakangkan suami. Dia buat semua ini kerana marahkan Azril yang selalu bersuara kasar dengannya. Azril sebelum ini, bukan Azril macam malam ini. Jauh bezanya Azril sebelum ini dan Azril yang di depannya malam ini. Kalau Azril nak berubah, takkan aku masih nak mempertahankan egoku ini? Aish bertanya hatinya sendiri.

             Ah, aku solat Isyak dulu. Mohon petunjuk Allah. Mudah-mudahan aku mampu membuat keputusan dengan tenang selepas solat nanti. Aish terus berdialog di dalam hati. Dia kemudiannya melangkah masuk ke bilik air untuk menyegarkan diri serta mengambil wudhuk.

          Usai solat, Aish memasukkan beberapa helai pakaiannya ke dalam beg galas, termasuk pakaian untuk dipakai esok pagi untuk pergi bekerja. Dia nekad untuk menjadi isteri yang taat dengan suaminya selepas ini. Dia akan mengambil keputusan untuk berbincang dari hati ke hati dengan Azril malam ini.

            Sebelum pergi ke rumah sebelah, Aish perlu memberi penjelasan kepada rakan-rakan serumahnya terlebih dahulu. Hati Aish gentar kerana takut akan ditempik oleh rakan-rakan serumahnya kerana merahsiakan perhubungan dia dan Azril. Agaknya, apa yang akan rakan-rakannya fikir dan apakah respon mereka?

             ‘’Hai semua...’’ Aish memulakan kata selepas melabuhkan punggung di atas sofa. Hatinya jangan ditanya, macam nak terlompat keluar saja.

           ‘’Kenapa dengan kau ni Aish? Lain macam saja kami tengok.’’ Suraya yang bertanya. Anis dan Sehah hanya mengangguk mengiakan kata-kata Suraya.

           ‘’Aku, aku..ada rahsia nak bagitau korang semua..’’ Aish terlalu gugup untuk bercerita, namun dia langsung tiada pilihan.

            ‘’Wow..rahsia? Apakah rahsianya itu wahai saudari Rohatul Aish?’’ Anis bermadah pujangga untuk meriuhkan suasana yang agak tegang, ditambah dengan mimik muka Aish yang nampak agak mengelabah ketika ini.

              ‘’Sebenarnya..aku dah kahwin..aku..’’

              ‘’Oh..dah kahwin. Dengan Azril sebelah rumah tu kan?’’ Suraya meneka dalam kesamaran. Aish mengangguk laju.

              ‘’What? Are you serious Aish? Kau tak buat lawakkan Aish? Kau dengan Azril tu dah macam kucing dengan anjing. Asal jumpa saja mesti nak mencakar, sorang asyik nak menyalak, sorang asyik nak mengiau tanpa henti..’’ respon Suraya membuatkan Aish mengecilkan dirinya. Kecut perutnya mendengar Suraya bertempik menyoal dirinya.

            ‘’Nak buat macam mana, kami sejak kecil lagi memang macam tu, asal kami bersuara saja mesti bergaduh. Sebab itulah ibu dan ayah nikahkan kami, kononnya nak bagi kami berbaik. Dah tiga tahun kami kahwin, malam ni baru Azril buat keputusan untuk hidup macam suami isteri yang lain. Aku, aku nak pergi tidur rumah kami malam ni...lain kali aku cerita kat korang yer... Bye..aku pergi dulu.’’ Aish menghabiskan kata-katanya tanpa memberi peluang rakan-rakannya mencelah dan Aish terus bangun dan berlari keluar. Melopong rakan-rakannya dan mereka hanya mampu memandang di antara satu sama lain setelah Aish menghilang di sebalik pintu.

            ‘’Aku tak mimpikan?’’ Suraya menyoal setelah lama terdiam. Anis dan Sehah, hanya mengangguk sebelum topik Aish dan Azril menjadi perbualan hangat mereka malam ini. Lebih hangat dari filem yang sedang mereka tonton. Wah..gempak gitu!

........................

                Perlahan-lahan Aish masuk ke dalam rumah Azril. Malam masih muda dan pintu rumah belum dikunci lagi, kalau kunci pun Aish memang ada kuncinya. Ini rumah mereka yang dibeli bersama, cuma mereka mengambil keputusan untuk tidak bersama sepanjang tiga tahun ini. Seperti kata Azril sebelum ini, dia sedang memberi peluang kepada Aish untuk menerima dirinya sebagai suami. Dia pun tak menyangka, masa yang mereka ambil akan berlarutan hingga tiga tahun lamanya. Masing-masing keras kepala. Masing-masing tak mahu beralah dan suka sangat nak menegakkan benang yang basah. Sampai bila nak tegak? Nasib baiklah, malam ini Azril sanggup beralah dan Aish turut terpujuk melihat tingkah lakunya yang selamba itu. Aish pun, bukan nak jadi kepala batu, dia cuma takut Azril terus membuli dia macam selalu.

                  Aish masuk senyap-senyap dan melepak di ruang tamu. Jantungnya berlari laju. Ini kali pertama dia akan tinggal serumah bersama Azril. Memang pelikkan? Tapi, inilah hakikat kehidupan mereka. Kalau balik kampung, mereka tak pernah ditinggalkan berdua. Ada saja rakan-rakan atau saudara mara yang bertandang ke rumah. Walaupun mereka pernah tidur sebilik, namun tak pernah tidur sebantal. Setakat peluk dan cium tu, pernah juga Azril lakukan secara curi-curi. Sama ada secara bergurau, atau ketika Aish sedang nyenyak tidur. Azril juga ada perasaan dan keinginan.

                Dia pun macam lelaki lain juga, asalkan berkesempatan, dia tak pernah melepaskan peluang tu. Walau pun begitu, mereka masih belum bersama sebagai suami isteri yang sebenar. Azril tak pernah meminta secara nyata dan Aish juga tak pernah terfikir untuk memberi secara rela. Masing-masing ada fikiran sendiri. Yang pastinya, masing-masing mempunyai ego yang sangat tinggi.

                 Sedang Aish bermenung di atas sofa dan memikirkan tindakan selanjutnya, telefon bimbitnya berbunyi. Aish melihat skrin telefon, nama Azril terpampang di skrin telefon. Aish tersenyum sebelum menjawab dan merebahkan tubuhnya di atas sofa.

            ‘’Hello..’’ Aish cuba mengawal nada suaranya. Cuba bertenang sedaya mungkin.

            ‘’Awak dah tidur?’’ Azril menyoal dengan nada romantik. Aduh, boleh gugur jantung Aish mendengarnya.

           ‘’Belum.’’ Sepatah saja jawapan yang Aish beri.

           ‘’Awak tengah buat apa tu?’’ soalan Azril yang seterusnya. Soalan yang ditanya kebiasaannya oleh orang yang sedang bercinta. Ececeh..ewah, bercinta gitu.

           ‘’Tengah bercakap dalam telefon. Kenapa tanya? Tak nak tahu ke, saya tengah bercakap dengan siapa?’’ jawapan Aish membuatkan Azril ketawa. Aish turut tersenyum mendengarnya.

          ‘’Awak tak nak balik ke? Saya rindukan awak tahu. Saya nak hug awak, saya nak kiss awak..’’ manja sekali suaranya. Aish yang mendengar terus berbahang wajah. Macam nak keluar dan balik ke rumah sebelah semula.

           ‘’Iyelah tu..saya dah sejam ada kat ruang tamu ni. Awak tu dah macam anak dara, tak keluar-keluar bilik, kenapa? Malu agaknya?’’ dengan beraninya Aish berkata sambil memutuskan talian. Aish bangun dan membuka tv dan mengambil remote control. Dia kembali merebahkan tubuh ke sofa dan mencari rancangan yang menarik perhatiannya.

             Azril keluar ke ruang tamu, bibirnya tersenyum lebar melihat tv yang terpasang dan semakin lebar senyumnya, apabila melihat kelibat Aish yang sedang ralit menonton tv. Azril menuju ke dapur dan membancuh dua mug minuman segera suam dan membawa ke ruang tamu. Hatinya bagaikan berbunga-bunga melihat Aish di depan mata, seolah kali pertama bertentang mata dengan kekasih hati yang sudah lama dirinduinya.

              ‘’Minum..’’ Azril bersuara sambil meletakkan mug di atas meja sofa. Dia mengangkat kepala Aish dan duduk di atas sofa yang sama. Aish bangun dan duduk di sebelah Azril tanpa berganjak sedikit pun. Mug di atas meja sofa dicapai selamba dan mula menghirup air buatan Azril. Hmm..enak dan terasa segar tekak ketika meneguknya.

            ‘’Dah buat keputusan?’’ soalan yang tiba-tiba Azril ajukan, membuat Aish memandang lama ke arahnya.

          ‘’Keputusan apa?’’ Aish mengajukan soalan kepada Azril kembali. Azril tak segera membalas, sebaliknya dia mengambil mug di dalam tangan Aish dan meletakkan di atas meja sofa semula, kemudian dia menarik kepala Aish dan mengucup lama dahi Aish. Jantung Aish terus berirama balada.

            ‘’Tinggal bersama untuk selamanya?’’ Azril bersuara lagi selepas bibirnya yang mendarat di dahi Aish tadi dilepaskan. Aish terus mengangguk tanpa berfikir panjang.

             ‘’Terima kasih..’’ Azril bersuara lagi dan memaut bahu Aish agar kepala Aish rebah di bahunya. Aish hanya menurut tanpa bantahan sedikit pun. Sekali lagi, bibir Azril mendarat sipi di dahi Aish. Sipi-sipi saja tau, selebihnya terkena rambut Aish..

             ‘’Wangi rambut. Aish guna syampu apa?’’ tak ada topik untuk dibualkan, topik syampu pun kira okeylah. Aish tak menjawab pun, nanti macam buat iklan free pulakkan. Hanya bibir Aish yang sudah merekah dengan senyuman sambil menghayati suasana romantik di ketika ini. Seketika cuma, Aish kembali menyandar di sofa sambil mencapai mug dan menghabiskan minumanya di dalam mug. Begitu juga dengan Azril, dan suasana romantik sebentar tadi bertukar menjadi suasana ceria dengan hanya diriuhkan dengan suara peti tv di depan mereka.

             Dan, malam ini merupakan malam pertama mereka menunaikan tangungjawab sebagai suami isteri yang sebenar. Seminggu dari sekarang, Aish tetap dengan keputusannya untuk berpindah ke Terengganu. Azril tak boleh nak membantah lagi, kerana pertukaran Aish sudah diluluskan. Suraya juga akan turut serta bersamanya. Seminggu masa yang tinggal, Aish dan Azril habiskan dengan memori indah tanpa persengketaan. Itu yang mereka lakukan. Suasana bulan madu yang baru bermula dan akan ditinggalkan bersama rindu dan bunga-bunga cinta yang baru mula berputik. Yeahaaa....

.......................

                    Aish merenung di kejauhan. Seminggu berada di Kuala Terengganu, Azril macam orang angau. Setiap detik dan setiap ketika dia menerima mesej melalui WhatsApp dari Azril. Pesanan dari Azril, agar Aish jaga diri, katanya lagi, sebab dia tak ada berdekatan dan dia tak mahu sesuatu yang bakal menimpa Aish. Kadang-kadang, Aish terasa sangat lucu dengan sikap Azril. Tak pernah dia temui sikap prihatin Azril terhadapnya. Mungkin sebab, sebelum ini mereka hanya pandai bertegang urat saja, jadi sikap prihatin itu mereka sembunyikan di dalam hati. Bagi Aish sendiri, walaupun mereka selalu bertegang urat, tapi dalam hati Aish, tidak pernah ada perasaan benci. Mereka tinggal serumah sejak kecil, bohonglah kalau Aish menafikan rasa sayangnya terhadap Azril, cuma rasa cinta itu saja yang masih belum disemai lagi. Sayang tak bermakna cintakan? Sayang ni banyak kategori. Kita sayang sahabat, sayang Negara, sayang cikgu, sayang ibu dan bapa, sayang abang, adik, kakak dan sebagainya. Cinta, hanya untuk orang tertentu dan sudah pastinya cinta juga banyak kategori kan?  

                ‘’Kau rindu Azril ke Aish? Itulah, masa buat keputusan nak transfer dulu, tak fikir masak-masak dulu. Bila dah berjauhan macam ni, barulah nak merindu bagai nak rak.’’ Suraya yang memerhatikan saja gelagat Aish dari jauh tadi, kini sudah ada di sebelah Aish. Dia yang masih terkejut dengan berita yang diterimanya, kini rasa menyesal kerana menurut kehendak Aish. Dia langsung tak menyangka perhubungan Azril dan Aish. Mulanya, dia hanya serkap jarang saja sebab Aish tak pernah rapat dengan mana-mana lelaki. Hanya nama Azril saja yang selalu Aish sebut, tak kira di mana dan setiap masa.

              ‘’Tak adalah rindu bagai nak rak. In sha Allah, aku masih boleh bernafas lagi. Macam ni baru best sikit. Sekurang-kurangnya, dengan berjauhan macam ni, boleh menguji perasaan kami. Aku pun nak tahu juga, sejauh mana perasaan aku terhadap dia. Selama ini, aku keliru, sama ada aku sayang dia sebagai suami atau pun tak.’’ Perlahan Aish berkata, dia menoleh sekejap ke arah Suraya dan tersenyum. Pandangan kembali di lontar ke hadapan, memerhati permandangan saujana mata memandang dengan gelagat manusia di sekelilingnya.

                ‘’Dah dapat jawapan ke?’’

                  ‘’Jawapan apa?’’

                   ‘’Jawapan yang kau cari tu. Perasaan kau terhadap Azril.’’ Aish tersenyum lagi. Dia berjeda lama sebelum memberi jawapan. Hatinya, masih mencari jawapannya. 

                 ‘’Entahlah..mungkin sayang tu, dah lama ada. Tapi..cinta tu aku tak pasti. Aku dan Azril membesar bersama. Selepas ibu dan abah aku meninggal, aku tinggal dengan keluarga Azril. Aku ni dah macam anak kandung ibu dan ayah mertua aku. Azril tu, sejak kecil lagi selalu cemburukan aku. Dia iri hati dengan aku. Dia kata, ibu dan ayah dia lebih sayang aku, dari sayang dia.’’ Aish mula bercerita disusuli ketawa perlahan. Terimbas lagi kenangan lama antara dia dan Azril. Aish mengeleng sambil ketawa dan bibirnya terus merekah dengan senyuman.

              ‘’Oh, maknanya..kau dan Azril ni adik beradik angkatlah?’’ Suraya terpegun dan terus mengajukan soalan. Aish tak mengeleng dan tak juga mengangguk.

           ‘’Entahlah..ibu dan abah aku kemalangan masa umur aku sebelas tahun. Ibu aku meninggal di tempat kejadian. Abah aku pula meninggal selepas sebulan terlantar di katil hospital dalam keadaan koma. Ibu dan ayah mertua aku pula tunangkan aku dan Azril ketika kami baru masuk darjah enam dan mereka bagi arahan untuk kami. Kata mereka, jangan sesekali cuba untuk mencari jodoh sendiri. Lawakkan? Tentu payah nak terima cerita macam kami ni.’’ Aish terus bercerita. Semakin terkejut Suraya mendengarnya.

              ‘’Lah..mudanya korang bertunang, tapi..kenapa korang selalu bergaduh? Kau tak pernah cuba untuk berbaik ke dengan Azril tu? Aku langsung tak sangka korang ni ada hubungan istimewa bila melihat korang berdua yang pantang bertegur sapa. Azril tu..aku tak faham betul dengan dia. Kau ingat tak, di tempat kerja, dia selalu berbual dengan Noreen di depan kau. Dia buat macam kau tak wujud saja dalam pejabat tu. Lagi pun, dia bukan berkawan dengan Noreen tu sehari dua. Sejak tingkatan lima lagikan?’’ Suraya terus-terusan meluahkan rasa peliknya. Jangan kata Suraya, Aish sendiri pun tak faham, apa yang Azril tu cuba buktikan.

             ‘’Huh! Dia tu..memang manusia paling pelik dalam dunia...’’

              ‘’Woii..kau kutuk suami sendiri ke?’’ Suraya bertempik tiba-tiba. Aish memandangnya dan akhirnya mereka ketawa bersama.

                ‘’Aku tak tahu apa yang dia fikir, tapi.. aku rasa, dia nak test aku kot. Manalah tahukan, sebenarnya kot-kot dia cuma nak uji aku, untuk tengok gelagat aku atau untuk buat aku cemburu.’’ Aish cuba meneka dan meluahkan firasatnya. Suraya turut mengangguk seolah menyetujui kata-kata Aish.

              ‘’Sebenarnya..kau cemburu ke tak?’’

                ‘’Bohonglah kalau aku cakap, aku tak cemburu. Rasa macam nak pelangkong saja makhluk dua orang tu. Biar koma seumur hidup. Biar padam muka!’’ Aish berkata dengan penuh perasaan. Suraya mengeleng perlahan. Pandai sungguh kawal perasaan rupanya. Nampak macam beku. Macam langsung tak kisah, rupanya lagi teruk cemburunya, sampai nak membunuh?

             ‘’Itu tandanya, kau memang cintakan Azril tu sejak dulu lagi, cuma kau tu saja tak sedar atau cuba menafikan perasaan kau tu.’’ Suraya memangkah pantas. Aish sudah mengeleng demi mendengar kata-kata Suraya.

              ‘’Dia dah jadi suami aku selama tiga tahun. Kami dah bertunang sejak umur dua belas tahun. Kenapa pula aku tak boleh cemburu. Sayang tu memang dah lama ada, macam aku cakap tadi, cinta, aku masih tak pasti, sama ada aku cintakan dia. Alaa..suami aku bermesra dengan perempuan lain, tak ada perasaan cinta pun boleh cemburu, apa!’’ Aish masih menafikan kata-kata Suraya. Apa itu cinta? Aish sudah mula keliru agaknya.

              ‘’Aku rasa, kau ni menghadapi masalah kekeliruan tahap kritikal dah ni...’’ Suraya bersuara serius. Memang pelik betul dengan sikap Aish, sampai tak tahu perasaan sendiri?

....................................

                 Sebulan tak bertemu muka dengan Azril, Aish rasa macam nak balik ke Selangor secepat mungkin. Dia tak tahu, kenapa perasaannya menjadi kucar kacir sebegini. Setiap malam, sebelum melelapkan mata, pasti dia akan menangis setiap kali teringatkan Azril. Ketika itu, dia terasa ingin berada dalam pelukan Azril dan ingin bermanja dengan Azril. Perasaannya benar-benar terdera. Sungguh, dia tak faham dengan perasaannya sendiri. Rasa sakit sangat dadanya, setiap kali kenangan bersama Azril terimbas dalam ingatannya. Hanya Allah saja yang tahu!

                ‘’Aish..kau dah dengar berita terkini. Dengar kata, hari ini ada pengurus baru dari Selangor dah transfer ke sini. Dari cawangan lama kita dulu.’’ Suraya mencuit Aish yang sedang tekun bekerja. Skrin komputer di depannya ditatap bagaikan ada wajah orang tersayang di dalamnya. Tangannya lincah menaip perkataan demi perkataan.

                 ‘’Aku tak ambil tahu pasal orang lain. Kau macamlah tak kenal aku ni, macam manakan. Pengurus baru ke, bos baru ke, bukannya ada kena mengena dengan aku pun.’’ Selamba saja Aish bersuara sedangkan matanya masih terus menatap skrin komputer.

              ‘’Betul ni, kau tak nak ambil tahu? Nama pengurus baru tu pun kau tak nak tahu ke?’’ Suraya terus menerus mengasak soalan kepada Aish.

              ‘’Buat apa nak tahu, siapa pengurus baru tu, bukannya akan merugikan atau menguntungkan aku pun.’’ Tegas sekali nada suara Aish. Suraya sudah tersenyum mengejek. Tak untung, tak rugilah konon. Aku nak tengok, terbeliak ke tak mata kau sekejap lagi. Suraya bermonolog di dalam hati.

             ‘’Aku dengar ceritakan, pengurus baru ni kuat menyalak tau. Kalau dia marah..huh, boleh terbang semangat. Dulukan..ada sorang kawan aku ni selalu sangat bertelagah dengan dia, sampaikan aku ni dah tak menang tangan untuk menegah mereka. Selalunya, aku yang jadi orang tengah untuk mendamaikan mereka. Entah apalah kawan aku tu...’’ Suraya masih berceloteh dan terus memerhatikan riak wajah Aish yang masih tekun merenung skrin komputer sementara jari jemarinya masih rancak menari-nari di atas keyboard.

            ‘’Aku kenal ke kawan kau tu?’’ Aish terkesan dengan cerita Suraya selepas beberapa detik. Dia menoleh juga ke arah Suraya tapi, Suraya pula malas untuk melayan Aish dan berlalu ke mejanya. Aish mencebik bibir melihat gelagat Suraya.

               ‘’Merajuk letew!..’’ Aish bermonolog dengan diri sendiri dan terus menumpukan perhatian dengan kerjanya.

...............................

              ‘’Perhatian semua! Berhenti sekejap buat kerja!’’ encik Iwan bersuara lantang. Ruang pejabat yang hanya mempunyai lima belas orang pekerja itu terus sunyi sepi dari sebarang suara atau ketukan keyboard.

              ‘’Saya nak memperkenalkan pengurus baru kita yang telah bertukar ke sini suka sama suka dengan encik Hamdi yang telah berpindah ke Selangor minggu lepas. Saya perkenalkan encik Muhammad Azril Bin Muhammad.’’ Semua mata kini tertumpu ke arah encik Iwan dan pengurus baru. Beberapa orang pekerja lelaki bangun dan pergi bersalaman dengan pengurus baru mereka. Aish menoleh ke arah Suraya sambil membuat mimik muka masam. Serius, dia terasa sangat sebak melihat wajah Azril yang sedang berdiri di dalam pejabatnya ketika ini.

            ‘’Ada sesiapa nak tanya soalan kepada pengurus baru?’’ encik Iwan bersuara lagi. Azril hanya tersenyum tanpa suara. Matanya meliar mencari seseorang, tapi Aish awal-awal lagi sudah menyembunyikan wajahnya di sebalik penghadang yang ada di depannya. Suraya sudah bergegar badan menahan gelak melihat gelagat Aish yang nampak agak mengelabah.

            ‘’Ada! Encik Azril dah kahwin?’’ soalan yang agak nakal ditanya oleh satu-satunya gadis sunti di dalam pejabat ini. Siti Humaira yang sedang menunggu tawaran kerja dan hanya menjadi pekerja sementara sebagai kerani di dalam pejabat ini.

              ‘’Dah kahwin dah. Dah ada anak sepuluh orang pun.’’ Selamba badak saja Azril menjawab dan bibirnya terus tersenyum. Siti Humaira mengeluh hampa, bukan kecewa tapi sengaja untuk berlawak, kononnya.

           ‘’Kenapa tu Humaira? Awak terlupa ke, awak tu dah berjanji untuk jadi isteri saya yang nombor tiga?’’ encik Iwan bertanya dalam loghat Terengganunya yang pekat. Seisi pejabat riuh seketika dengan gelak dan ketawa.

            ‘’Encik Azril! Anak-anak encik Azril tu lelaki ke perempuan?’’ Suraya tumpang sekaki untuk meriuhkan suasana dengan soalannya. Aish sudah mengebam bibir menahan geram.

             ‘’Oh..pasal tu, awak kena tanya sendirilah dengan isteri saya, sebab buat masa sekarang, kami baru saja merancang nak anak.’’ Masih dengan suara selambanya, diikuti dengan ketawa perlahan yang keluar dari bibir Azril. Suraya turut ketawa sambil menjeling Aish dan membuat thum down.

            ‘’Hah..sudah! Tak ada soalan lain ke? Semuanya berunsur peribadi. Dipangkah soalan peribadi. Next question please!’’ encik Iwan membuat keputusan tegas.

            ‘’Tak habis lagi ke sesi suai kenal? Kerja berlambak lagi nak buat ni!’’ pekerja paling tua dalam pejabat, Puan Halimah pula menyoal. Seluruh pejabat menjadi sunyi sepi dan meneruskan kerja semula. Encik Iwan sendiri pun tak berani nak bersuara, kerana Puan Halimah adalah pekerja yang pantang dijawab kata-katanya.

              Suasana pejabat terus berjalan seperti biasa. Azril dibawa ke bilik pejabatnya sendiri. Aish sudah tersenyum di dalam hati. Beberapa minit kemudian Aish menerima mesej dari Azril.

Azril : Awak kat mana ni? Saya tak nampak awak pun.

Aish : Ada..

Azril : Kat mana?

Aish : Sebelah meja Sue. Buatlah kerja! Jangan nak curi tulang. Suruh encik Iwan potong gaji baru tau. Baru kerja dah berani curi tulang.

                 Aish mengakhiri mesejnya dengan icon lidah terjelir. Azril sudah tersenyum bahagia dan keluar meronda di luar dan mencari meja Aish. Ketika ini Aish masih rancak menaip kerjanya dan sedang mengemas kini kembali kerjanya. Memerhatikan kesalahan ejaan dan sebagainya sebelum disalin keluar hasil kerjanya itu.

                   ‘’Amboi..tekunnya buat kerja. Nak cepat naik pangkat ke?’’ soalan Azril ketika dia berjaya bertemu meja Aish dan sedang berdiri di sebelah tempat duduk Aish. Tergaman Aish melihat Azril. Ada beberapa pasang mata sudah memandang ke arah mereka.

                 ‘’Azril! Yang tu jangan kacau tau. Saya dah cop untuk buat isteri nombor empat.’’ Encik Iwan terus berseloroh dengan lawak jenakanya yang langsung tak kelakar. Ada hati nak pasang bini empat kononnya. Isteri baru sorang pun dah kena queen control.

              ‘’Hai encik Iwan. Takkan tak nampak, dah ada cop kat dahi Aish tu, dia tu isteri orang.’’ Suraya mencelah, almaklumlah..takut sangat dia Azril dan Aish tu bergaduh lagi kerana gurauan encik Iwan yang tak mengira masa dan siapa orangnya tu.

           ‘’Aihh..Aish dah kahwin? Baru ingat nak suruh mek pergi minang.’’ Suara seorang pekerja yang bersebelahan meja Aish pula berbunyi. Jejaka anak jati Kuala Terengganu, Mohd Asrol menghela nafas berat. Frust lah kot...

           ‘’Ramai peminat nampak?’’ tiga perkataan dari Azril membuatkan Aish mengebam bibir tanpa sedar. Azril terus berlalu dan berkenalan dengan pekerja-pekerja dalam pejabat seorang demi seorang. Ramah betul Azril tak kira jantina, semua ditegurnya. Aish malas nak ambil tahu, kerana yang pasti hati dan jantungnya sedang berdetak dengan laju. Tak tahu kenapa, dia rasa mengelabah sekarang bila Azril sudah berada dekat dengannya. Adakah sudah ada cinta yang bersemi di dalam hatinya? Ah..apakah semuanya ini? Bukan baru sehari dia kenal Azril. Sudah berpuluh tahun pun, seiring dengan umur mereka yang sudah menjangkau ke usia 26 tahun.

.............................

                 Azril dan Aish saling merenung sejak tadi. Suraya yang berada di sebelah Aish pula sudah mengeleng kepala tanpa henti. Tak pernah dilihat kelakuan dua orang sahabatnya seperti ini. Sahabat yang dikenalinya ketika tingkatan satu di sekolah berasrama penuh. 

                Dia kenal Aish dan Azril kerana mereka sekelas dan satu kuliah. Sejak dia berkawan baik dengan Aish, dia juga berkawan baik dengan Azril kerana Suraya bercinta dengan kawan baik Azril yang kini masih menyambung pelajarannya di luar Negara. Suraya yang sedang bercinta dengan Affandi akan mengikat tali pertunangan selepas Affandi pulang ke Malaysia hujung tahun ini.

             Mereka berempat sebaya, termasuk Noreen yang merupakan kawan sekelas mereka ketika tingkatan empat. Ketika di Universiti mereka masih bersama, kecuali Affandi yang terpaksa mengikut arahan keluarganya untuk melanjutkan pelajaran ke luar Negara.

             ‘’Korang berdua ni, ingat aku halimunan ke?’’ Suraya yang mula rimas bersuara akhirnya. Azril dan Aish serentak ketawa.

            ‘’Relax ar Sue..bukan selalu pun kau nak rasa suasana macam ni. Nanti, bila Fandi balik Malaysia, kau dengan dia pun macam ni juga rasanya, atau mungkin lagi teruk daripada kami.’’ Selamba saja Azril mengusik Suraya di depan Aish. Mencerlung mata Suraya memandang Azril yang sudah mengenyit matanya kepada Aish.

           ‘’Kau ni Sue..kami bergaduh pun kau marah. Kami baik pun kau tak suka. Macam mana lagi kami nak buat?’’ Aish turut menyokong Azril dan mata mereka bertembung lagi sambil bibir turut tersenyum.

              ‘’Janganlah overdos sangat. Depan aku kot. Kat tempat awam kot. Tunggulah korang balik rumah dulu, lepas tu berkurunglah dalam bilik dua puluh empat jam pun.’’ Suraya membalas pedas. Geram dia dengan gelagat suami isteri di depan matanya kini. Macam tak jumpa sepuluh tahun saja lagak mereka. Padahal, baru sebulan berlalu.

              ‘’Bukannya kami buat apa pun. Cuma..pandang-pandang, jeling-jeling, senyum-senyum saja..’’ Azril menjawab dan tersenyum lagi. Aish di hadapannya terus direnung. Aish tergelak melihat gelagat Azril dan dia turut terasa lucu dengan perasaannya sekarang.

              ‘’Kenyit-kenyit mata, tak sebut pun..’’ Aish menambah kata untuk memarakkan kemarahan Suraya. Tapi, Suraya pula sudah ketawa. Perasaannya digeletek lucu tiba-tiba. Dan, dia turut bahagia melihat dua orang sahabatnya yang mungkin sudah dipanah asmara dengan perasaan cinta yang sedang membuak-buak.

              ‘’Dah, dah..jangan nak lebih-lebih. Makan dulu..aku dah kebulur ni. Kalau korang dah kenyang dengan merenung dan ditenung tu, tak apa, biar aku tolong makan semua ni...’’ sebaik makanan yang mereka pesan tiba di meja, Suraya terus mematahkan kata-kata suami dan isteri yang ada bersamanya. Kalau nak lawan bertelagah dengan mereka, dia pasti, sampai bila-bila pun dia takkan menang. Mereka berdua ni, ada pengalaman bertelagah dan bertegang urat, mungkin juga dah dapat award pentelagah terbaik pun.

..............................

Beberapa bulan kemudian..

              Hari ini kali pertama Suraya mengikut Aish pulang ke kampung. Azril akan pulang dua hari kemudian kerana dia ada urusan penting yang harus diselesaikan terlebih dahulu. Suraya dan Aish berkawan sudah lama, namun masing-masing tak mahu mengambil tahu hal peribadi masing-masing, asal keturunan dan sebagainya. Itu janji mereka ketika di awal perkenalan. Jadi, banyak perkara mengenai Aish, Suraya tak tahu dan begitulah sebaliknya.

          ‘’Sue, tu mak long Azril, kau tahu tak, dia sedang mencari calon menantu untuk anak bongsu dia. Aku bercadang nak kenenkan kau untuk anak bongsu dia tu, kau nak tak?’’ Aish memuncungkan bibir ke arah seorang wanita separuh umur dan bertanya soalan ‘mencari nahas’kepada Suraya.

            ‘’Kau jangan cari pasal dengan aku Aish! Habis tu Fandi, aku nak buang kat mana?’’ Suraya menyoal Aish kembali.

           ‘’Kebetulan sangat tu Sue, sepupu Azril tu pun nama Fandi jugak. Kau nak tak? Aku cadangkan nama kau erk? Mak long tu macam dah berkenan saja dengan kau.’’ Aish masih cuba mengenakan Suraya. Mencerlung mata Suraya memandang wajah Aish yang nampak tenang dan sedang tersenyum lebar itu.

             ‘’Aku ni setia sampai mati tau! Tak payah kau nak susah payah habiskan air liur kau tu untuk cadangkan nama aku, kalau tak...’’ Suraya tak menghabiskan kata-katanya, dia memberi isyarat untuk membocorkan rahsia Aish dengan Azril sambil menjeling ibu mertua Aish yang ada di sebelah mak long Azril iaitu kakak kepada ibu mertua Aish.

             ‘’Alaa..ibu dah lama tahu. Aku dengan Azril tu memang juara gaduh sejak kecil. Kalau kau bagitau ibu pun, dia ketawa saja. Aku berani jamin seratus percent.’’ Aish berkata yakin, walau sebenarnya, dia pun tak pasti apa respon ibu mertuanya, kalau dia tahu mereka tak tinggal serumah selama tiga tahun. Hanya beberapa bulan ni saja mereka tinggal bersama.

           ‘’Kau dengan Azril memang anak tunggal ke Aish?’’ soalan Suraya kali ini membuatkan Aish terdiam lama. Dia belum bercerita lagi tentang kisah sebenar keluarga mereka kepada Suraya. Macam mana harus memulakan cerita, kalau cerita itu bakal membangkitkan kembali kenangan paling pahit dalam hidupnya.

           ‘’Aish...’’ Suraya memanggil Aish dan mencuit pinggangnya. Aish yang sedang mengelamun tersentak lalu memandang sayu ke arah Suraya.

            ‘’Hari tu hari kemerdekaan Malaysia, yang ke berapa, aku tak ingat. Aku dan Azril mengikut rombongan sekolah. Abah dan ibu bawa dua orang adik aku dan adik Azril ke perarakan hari Kebangsaan.

               Ketika itu ibu aku sarat mengandung adik aku yang ke-4. Dalam perjalanan balik mereka kemalangan dan semuanya meninggal. Ibu, abah, adik-adik kembar aku dan adik Azril. Ibu mertua aku terkejut dengan berita itu dan mengalami kemurungan. Dia keguguran anak ke- 3 dan selepas aku tinggal dengan mereka, ibu mertua aku mengambil keputusan untuk tidak mengandung lagi. Aku dilayan melebihi anak kandung mereka, hingga Azril cemburukan aku.

          Sebab itu aku selalu bergaduh dengan Azril. Sejak aku tinggal di rumah mereka, setiap kali kami bertegur sapa, kami akan bergaduh. Sebelum tu, dia tak pernah tegur aku. Kami memang berjiran tapi kami tak pernah bercakap sesama kami. Kalau pandang pun, hanya pandang gitu-gitu saja.’’ Aish bercerita sambil mengesat air matanya yang sempat menjengah pipinya. Dia menghela nafas dan melepaskannya perlahan.

               ‘’Sorry Aish..sorry, serius aku langsung tak tahu pasal tu. Sebab itulah, kau tak mahu bercerita dulukan? Maafkan aku Aish..’’ Suraya merasa serba salah. Dia tak tahu, ada luka yang Aish sembunyikan.

              ‘’Kau tak bersalah pun Sue, sudahlah..semuanya dah terjadi pun. Ada hikmahnya kot..’’ Aish berkata perlahan, dia mengelus tangan Suraya yang nampak agak resah.

          ‘’Mak long asyik pandang kau saja tu. Agaknya mak long memang dah berkenan sangat dengan kau.’’ Aish cuba menjernihkan suasana kembali. Topik tadi dibuka kembali. Suraya turut memandang ke arah yang sama Aish sedang tengok. Bibirnya mengukir senyuman, walaupun hatinya tak setuju dengan kata-kata Aish. Sengaja betul Aish membuat hati Suraya dalam kekeliruan.

           ‘’Kau jangan nak mula Aish!’’ Suraya memberi amaran. Aish sudah ketawa sambil membalas pantas.

               ‘’Kalau kau tengok sepupu Azril tu, mesti kau takkan tolak. Aku berani jamin Sue!’’ yakin betul Aish berkata-kata. Suraya sudah mencebik.

............................

Dua hari kemudian....

          ‘’Ehh Fandi, kau buat apa di sini? Bila kau sampai?’’ Suraya bertanya cemas. Hari ini ada kenduri kesyukuran di rumah mertua Aish. Kesyukuran sebab mereka bakal menimang cucu sulung. Aish disahkan telah mengandung tiga bulan. Gembira tak terkata Puan Habibah dan suaminya encik Muhammad.

            ‘’Itulah kau, selalu sangat ketinggalan kapal terbang. Aku dengan Azrilkan kawan baik, sejak kecil lagi, pantang ada kenduri di rumah dia, aku orang pertama yang sampai dulu.’’ Affandi bersuara tenang. Dia pasti sangat kekasih hatinya ini memang tak tahu apa-apa pasal dia dan Azril. Suraya memang slow sikit sejak dulu. Lurus bendul orangnya. Apa yang orang bagitau dia, semuanya dia percaya bulat-bulat. Bukannya nak siasat kebenarannya.

            ‘’Oh, kau tak pernah cerita. Manalah aku tahu. Bila kau balik Malaysia?’’ Suraya bertanya lagi, kerana setahu dia Affandi akan pulang ke Malaysia dalam seminggu lagi. Kenapa, hari ini dia sudah ada di sini.

           ‘’Apa maksud kau? Aku tak pernah keluar dari Malaysia pun.’’ Affandi sengaja mengenakan Suraya, sedangkan Azril baru mengambilnya di KLIA dan dia pulang bersama Azril pagi ini ke kampung.

            ‘’Hah?’’ Suraya blurr mendengar soalan Affandi. Dia sedikit keliru dengan kenyataan Affandi.

           ‘’Kau ni Sue..memang senang kena tipukan? Aku dengar kata mak long Azril tu dah berkenan sangat dengan kau. Apa pendapat kau, kalau dia masuk meminang? Kau nak terima tak?’’ Affandi masih cuba menguji Suraya, yang pastinya tak tahu apa-apa tentang hubungan Azril dengan Affandi.

            ‘’Azril..Azril bagitau ke Fandi? Kau jangan percaya sangat dengan cakap Azril tu. Dia tu suka kenakan orang. Kau tahu tak Fandi, Azril dengan Aish tu, dah tiga tahun berkahwin. Geram betul aku, hidup-hidup aku dikenakan mereka selama ini.’’ Demi mengelak dari soalan cepuemas Affandi, Suraya sengaja membuka cerita pasal Azril dan Aish. Affandi pula pura-pura tercengang, macam tak tahu apa-apa pun.

            ‘’Iye? Ishh..ish..Azril dengan Aish ni memang nak kena ni..’’ Affandi berkata sambil mengulum senyum.

              ‘’Kann? Aku macam tak percaya saja. Bergaduh macam nak rak, rupa-rupanya mereka memang dah ada hubungan istimewa sejak dulu lagi. Pelik betul aku, macam mana pula mereka boleh kahwin, dan aku ni langsung tak tahu apa-apa pasal mereka.’’ Suraya terus membebel sambil menghela nafas. Affandi sudah terkekeh ketawa. Tiba-tiba dia terasa lucu melihat wajah Suraya ketika ini.

             ‘’Kau ni Sue, kalau aku cakap kau lembab..kau mesti marah. Tapi, kau memang lembab pun, sebab tu aku sayang kau yang lembab ni, senanglah aku nak buli kau nanti..’’ Affandi terus ketawa dengan kata-katanya. Suraya sudah menjeling geram mendengarnya.

           ‘’Kau tak perasan ke Sue, masa aku nak bertolak ke England dulu, Azril tu selamba saja peluk Aish depan kita. Masa tu mereka dah seminggu bergelar suami dan isteri. Kau ingat, kalau mereka tu bukan mahram, Aish nak bagi ke Azril peluk dia macam tu?’’ Affandi cuba mengingatkan Suraya tentang perkara yang berlaku tiga tahun lepas. Azril tu, dalam bergaduh pun, takkan pernah malu-malu untuk menyentuh Aish, walaupun di tempat awam. Cuma suraya saja yang lambat nak mengesan. Dia selalu anggap semua itu hanyalah gurauan saja.

            ‘’Bila? Aku tak perasan pun.’’ Suraya bertanya sambil cuba mengingat kembali. Apa yang dia ingat, mereka berdua tu hanya tahu bergaduh saja, cuma sejak beberapa bulan kebelakangan ini saja mereka bagaikan merpati dua sejoli. Kadang-kadang naik menyampah pula tengok gelagat mereka berdua tu.

          ‘’Hmm..dahlah, tak payah cakap pasal mereka lagi. Berbalik pasal soalan aku tadi, kau nak terima ke tak, kalau mak long Azril masuk meminang kau untuk anak bongsu dia?’’ Affandi kembali membuka topik asal mereka tadi. Suraya terdiam lagi. Dalam hatinya sudah menyumpah seranah Azril yang mungkin sudah menyampaikan berita itu kepada Affandi.

             ‘’Tak nak!’’ Suraya berkata yakin.

             ‘’Kenapa pula?’’ Affandi bertanya dengan suara sayu.

             ‘’Aku setia dengan yang satu saja!’’ sekali lagi Suraya menyatakan suara hatinya.

           ‘’Laa..anak mak long Azril pun nama Fandi jugak. Kau kan nak kahwin dengan aku, tak betul ke?’’ Affandi cuba untuk mengelirukan Suraya. Dia sangat pasti Suraya belum tahu, dialah sepupu Azril itu. Anak bongsu kepada mak long Azril.

          ‘’Aku nak kahwin dengan kau, bukan dengan Fandi anak mak long Azril tu..’’ Suraya bersuara tegas sambil mengebam bibirnya dan menjeling Affandi dengan pandangan tajam. Hatinya sudah bercampur geram. Suka sangat menguji perasaan oranglah. Suraya membentak di dalam hati.

            ‘’Fandi!’’ tiba-tiba suara seorang perempuan kedengaran melaung nama Affandi dengan agak kuat. Affandi dan Suraya menoleh serentak.

            ‘’Ya Mak!’’ Affandi menyahut.

             ‘’Tak payah nak ngayat anak dara orang tu. Belum jadi hak kamu lagi. Suruh Sue tu masuk ke dalam ni. Fandi tu asyik berbual saja, tak reti-reti nak tolong apa yang patut? Jangan ingat Fandi tu baru balik, sampai tak boleh tolong buat kerja. Kenduri kamu nanti, jangan harap orang lain nak tolong pulak.’’ Mak long Azril merangkap emak Affandi bersuara, mengingatkan anak bongsunya akan hakikat kebenarannya. Mereka di rumah kenduri dan harus bekerjasama membantu apa yang patut. Selebihnya, jangan nak mengatal dengan anak dara orang, selagi belum diijab kabulkan.

            ‘’Baiklah mak! Tapi..Sue kata, kalau mak yang masuk meminang dia, dia tak nak terima. Fandi dah kena reject mak!’’ Affandi berkata lagi dalam nada tegas, tapi dia sekadar berkata untuk mengenakan Suraya yang sudah tercengang. Sudah pastinya, dia sedang keliru tahap kritikal disaat ini.

..........................

            ‘’Aku tak fahamlah Aish, sebenarnya siapa Affandi tu?’’ Soalan Suraya kepada Aish bila mereka berbual sebelum masuk tidur malam itu. Siang tadi, Suraya perhatikan saja gelagat Affandi di rumah ini yang ramah dengan setiap orang. Seolah-olah dia juga tuan rumah. Fikirannya masih buntu dan masih tidak memahami hubungan Affandi dan keluarga Azril.

            ‘’Siapa Fandi? Manusia macam kita la. Sejak bila pula Fandi tu turun dari planet?’’ Aish sengaja menguji Suraya dengan soalannya kembali. Dia tahu, apa yang ada dalam fikiran Suraya. Dia pun tahu Suraya sedang dalam keadaan keliru.

            ‘’Aku serius ni Aish!’’ Suraya membentak keras, sedangkan Aish sudah mengekek ketawa. Suraya menjeling tajam dan menarik muncung panjang sambil berdecit geram.

          ‘’Betul ke kau reject Fandi? Bukan kau cakap kau setia pada yang satu ke?’’ tanpa mengetahui jalan cerita, Aish menyoal Suraya.

             ‘’Bila pula aku reject dia? Fandi tanya aku, kalau mak long Azril tu masuk meminang aku untuk anak bongsu mak long dia, aku nak tak. Aku jawablah, aku tak nak! Tapi, dia kata aku reject dia, itu yang aku tak faham.’’ Suraya menjawab dengan nada suara yang serius. Tangannya sudah mengaru-garu kepala, sekejap kemudian tangannya memegang dagu dan memandang Aish yang semakin galak ketawanya.

            ‘’Ngok betul kau ni Sue. Takkanlah kau tak tahu lagi, Fandi tu la anak mak long Azril, merangkap anak bongsu mak long. Mak long nak pinang kau untuk Fandi kekasih hati kau tu la. Kau ingat Fandi mana?’’ Aish bercerita sambil terus ketawa. Suraya tayang wajah blurr lagi. Mindanya masih blank. Dah macam wajah Mr bean pula.

             ‘’Maksud kau, Fandi aku tu sepupu Azril suami kau?’’ Suraya masih menyoal dengan soalan yang sama. Aish mendapat ilham untuk mengenakan Suraya lagi, mendengar soalan Suraya yang berbelit-belit itu.

                 ‘’Bila masa pula Fandi tu jadi Fandi kau dan Azril tu jadi jadi suami kau?’’ Aish terus bangun dan menyoal Suraya dengan wajah serius. Kecut perut Suraya dibuatnya.

              ‘’Tak! Bukan macam tu, maksud aku..Fandi yang aku kenal tu sepupu Azril ke?’’ Suraya cuba menerangkan maksudnya. Aish sudah menahan tawa melihat wajah cuak Suraya.

              ‘’Siapa pula Fandi yang kau kenal tu?’’ Aish mengacah lagi. Suraya hilang kata-kata, tak tahu lagi macam mana nak membuat penerangan, agar Aish boleh memahami kata-katanya.

            ‘’Aish..’’ Azril masuk ke bilik dan memanggil Aish. Kedua orang wanita yang rancak berbual menoleh serentak.

            ‘’Hah? Kenapa?’’ Aish bertanya kembali, namun Azril hanya mengamit Aish agar datang kepadanya. Aish tak berganjak dan masih setia berada di sebelah Suraya.

            ‘’Cakaplah, nak apa? Dengan Sue saja pun, nak malu apa?’’ Aish masih berdegil. Azril sudah berdecit dan masih mengamit Aish agar datang kepadanya. Aish mengeleng laju.

             ‘’Pergilah Aish..dia malu kot tu..’’ Suraya yang termalu dengan Azril menolak Aish agar pergi kepada Azril. Tetiba saja Azril muncul ketika mereka sedang berbual pasal Affandi. Maunya Suraya tak termalu, kalaulah Azril terdengar perbualan mereka tadi..

            ‘’Ibu panggil!’’ Azril beralasan. Barulah Aish mengambil perhatian dan melangkah ke arah pintu bilik.

           ‘’Betul ke ibu panggil?’’ sambil melangkah Aish terus menyoal. Azril mengangguk sambil tersenyum nakal.

           ‘’Ibu di mana?’’ Aish bertanya Azril sambil matanya tertinjau-tinjau sekeliling dan memanjangkan lehernya ke ruang tamu.

              ‘’Ibu dah tidur. Abang yang tak boleh tidur. Aish tak ada, mata tak mahu lelap. Temankan abang sampai abang tidur dulu, baru Aish pergi tidur dengan Sue, please..’’ Azril berkata selamba sambil mengenyit mata, bila Aish memandang tepat ke wajahnya sambil mencerlungkan mata.

             ‘’Sejak bila Muhammad Azril Bin Muhammad ni dah pandai mengada-ngada ni? Aish nak teman Sue la, dia kan tetamu kita. Awak tu macam tak biasa tidur seorang.’’ Aish bertegas dan ingin masuk ke biliknya semula, tapi pantas saja Azril menarik tangan Aish dan mengheret Aish masuk ke biliknya.

            ‘’Sejak abang dah pandai peluk Aish ketika tidur, sejak itu dah tak biasa tidur seorang lagi..’’ suara nakal Azril kedengaran sangat jelas di telinga Aish. Bulu roma Aish sudah mula meremang mendengar bisikan romantik Azril malam ini, namun hatinya resah bila memikirkan tentang Suraya yang ada di bilik sebelah.

            ‘’Err..macam ni, biar Aish temankan Sue  sampai Sue lena dulu, nanti Aish datang balik ke bilik awak. Okey?’’ Aish cuba membuat janji yang dia sendiri tak pasti. Takut-takut, dia yang terlelap dulu dari Suraya pula nanti.

             ‘’Tak boleh! Temankan abang tidur dulu, lepas abang lelap, barulah Aish pergi tidur dengan Sue..’’ Azril juga turut berkeras. Dah memang sama-sama keras kepala dan takkan mengalah terlebih dahulu.

               ‘’Alaa...’’ Aish sudah mula merengek. Geram betul dia dengan Azril yang banyak kerenah. Tentu Suraya akan menyakat dia esok, kalau dia tahu Azril memanggil dia untuk tidur bersama.

            ‘’Apa? Jangan nak jadi isteri derhaka..’’ Azril terus dengan sikap keras kepalanya. Kalau dia kata yang itu, takkan ada yang ini. Haih! Taulah, dia tu suami pun.

           Dan..malam itu Suraya tidur seorang diri hingga ke pagi. Aish yang kononnya terpaksa menemankan Azril tidur, rupa-rupanya, dia yang terlelap sebelum Azril melelapkan mata. Hanya ketawa yang Azril hadiahkan buat Aish bila melihat dengkuran kecil Aish yang kedengaran dalam pelukannya malam itu. Alahai Rohatul Aish!..

..........................

Beberapa tahun yang lalu...

                  ‘’Hei, budak menumpang! Aku nak pengasah pensil tu.’’ Azril bertempik kepada Aish yang sedang menyiapkan kerja sekolahnya di ruang tamu rumah mereka. Aish memanggung kepala sambil membeliakkan mata. Hatinya sakit sangat setiap kali Azril memanggil dia sebagai budak menumpang. Dia sedar, sudah tiga tahun dia menumpang di rumah ini, tapi Azril tak ada hak untuk mengutuk dan menghina dia macam tu. Dia juga ada perasaan dan perasaannya juga akan mudah terguris.

              ‘’Aku ada nama! Nama aku Rohatul Aish, bukan budak menumpang.’’ Aish bersuara dalam nada tegas. Pengasah pensil yang diminta Azril dibaling laju dan..

             ‘’Woii...kau...’’ Azril terus menjerkah Aish sebaik pengasah pensil yang dibaling Aish nyaris terkena matanya. Aish tersenyum penuh sinis. Padam muka! Bisik hati kecil Aish.

            ‘’Kalau kena mata aku tadi, buta macam mana?’’ Azril masih bersuara lantang dan yang pastinya, Aish sudah direnung tajam. Azril memang selalu mencari pasal dengan Aish sejak Aish tinggal di rumah mereka. Ibu dan ayah Azril terlalu manjakan Aish. Azril tahu, Aish tak pernah meminta tapi setiap keperluan Aish ditunaikan tanpa berbelah bahagi. Kalau ibunya keluar berbelanja, beratus ringgit dihabiskan untuk Aish tapi Azril hanya mendapat barang yang berharga beberapa puluh ringgit sahaja.

            Azril pernah melihat ibunya membeli barang kemas untuk Aish hingga mencecah ribuan ringgit tapi Azril tak mendapat apa yang dimintanya dengan jumlah yang sama. Azril iri hati dengan Aish, umpamanya dia yang menjadi anak angkat di rumah ini, bukan Aish.

           Paling Azril sakit hati, bila ibunya membuat keputusan untuk menjodohkan dia dan Aish ketika mereka baru berusia dua belas tahun. Kalau ikutkan ibu dan ayahnya, ketika mereka tamat tingkatan lima lagi, mereka akan dinikahkan. Tapi, Azril selalu mencari helah dan Aish juga tidak setuju untuk nikah seawal itu.

           Selepas tamat belajar dan mula bekerja, mereka sudah tiada alasan lagi untuk diberikan. Dalam terpaksa, keduanya disatukan sebagai suami dan isteri. Tiga tahun juga Azril mengantung Aish..gantung tak bertali, tanpa tunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami.

........................

        May, 2016...

                Suasana sibuk di rumah mak long Munirah, cukup meriah dengan gelagat tetamunya yang berkunjung tiba. Beberapa bekas hantaran sudah siap di atas dulang dengan hiasan bunga-bungaan yang bertemakan warna biru laut dan putih. Beberapa minit lagi, mereka akan bertolak ke rumah Suraya untuk mengikat tali pertunangan antara Suraya dan Affandi.

               Akhirnya, Suraya memahami perhubungan antara Affandi dan Azril. Mereka bukan sekadar berkawan baik, malahan ada hubungan darah juga. Sukarnya untuk memahamkan Suraya pada awalnya kerana dia tak mahu percaya bahawa sepupu Azril dan Affandi itu adalah orang yang sama. Puas juga Aish menjelaskannya.

                ‘’Aish..’’ Azril memanggil Aish yang sudah semakin sarat perutnya itu.

                 ‘’Ya..’’ Aish menjawab sambil mendongak, hantaran yang cuba diambil dilupakan buat seketika. Dia menatap wajah Azril yang sudah merenung wajahnya.

                  ‘’Biar orang lain saja yang buat. Aish tu bawa diri Aish sudah. Teruk sangat abang tengok. Termengah-mengah..jaga baby dalam tu saja. Ramai lagi orang yang boleh tolong.’’ Tegas saja suara Azril kedengaran. Geram juga dia melihat tingkah Aish yang turut sibuk menolong itu dan ini.

             ‘’Alaa..bukan selalu pun, lepas bersalin nanti, nak kena rehat lagi. Bila lagi nak tolong, sementara masih kuat ini la, nak tolong pun.’’ Aish berkata dan terus membongkok untuk mencapai bekas hantaran yang masih berbaki. Azril mengeleng kepala tanpa sedar dan mencapai bekas hantaran yang ingin diambil oleh Aish dan membawanya keluar. Terpana sekejap Aish memerhatikan Azril yang sudah berlalu pergi.

           ‘’Aduhh..’’ Aish berpura-pura sakit dan memegang perutnya. Azril berhenti melangkah dan menoleh kalut.

            ‘’Kenapa? Sakit ke?’’ Azril bertanya sambil berlari menghampiri Aish.

            ‘’Tak! Geram saja. Semuanya tak boleh. Awak dah sayang sangat-sangat ke kat saya?’’ Aish menjawab dan tersenyum lebar. Direnungnya mata Azril minta jawapan. Azril mencerlungkan matanya.

          ‘’Saya sayang anak saya yang dalam perut awak tu. Kalau jadi apa-apa kat awak, anak saya pun terbabit sama. Faham!’’ Azril masih berdalih. Cuba mempertahankan egonya. Senyuman Aish semakin lebar mendengar alasan Azril.

           ‘’Awak sorang saja ke yang sayang anak dalam perut ni? Habis tu, saya tak reti nak sayang dia?’’ Aish tetap membalas kata-kata Azril.

          ‘’Kalau dah sayang, dengarlah cakap suami awak ni sama! Degil tak habis-habis.’’ Azril masih bertegas dengan Aish. Tetap tak mahu mengalah.

          ‘’Sama saja dua-dua tu. Degil!’’ terdengar suara Puan Habibah mencelah perbalahan kedua orang suami isteri ini. Aish dan Azril menoleh serentak dan Puan Habibah sudah tersenyum kepada keduanya.

            ‘’Sokong ibu sejuta percent. Tapi, Aish rasa abang lagi degil daripada Aishkan ibu?’’ Aish masih dengan pendapatnya sendiri sambil menjeling Azril sekilas lalu sebelum menoleh ke arah Puan Habibah semula.

            ‘’Aish dengan Ril, sama-sama degil. Kalau tak dari awal lagi ibu dan ayah dah timang cucu. Agaknya, dah lama kami dapat main dengan cucu.’’ Puan Habibah berkata lagi. Azril sudah tersengih dan menjungkitkan keningnya kepada Aish. Mencebik Aish melihatnya.

           ‘’Haa..dengar tu.’’ Azril menyokong kata-kata ibunya dan mencuit Aish.

           ‘’Elehhh..bila pula Aish pekak?’’

            ‘’Saya pun tak nak dengan awak, kalau awak pekak.’’

            ‘’Awak tak nak sudah! Ada lagi orang yang nak!’’

            ‘’Ingat awak sorang saja yang laku. Saya pun ada orang nak la!’’

           ‘’Mula lagi? Aish..Azril..jangan sampai anak dalam perut tu degil macam mak dengan ayah dia sudahlah ya. Ibu tak nak cucu degil. Cukuplah dapat anak dan menantu degil berdua ni. Asyik bergaduh tak berhenti. Tapi, dalam bergaduh pun, boroi jugak perut tu.’’ Puan Habibah mencelah lagi sambil tersenyum dan terus melangkah untuk keluar.

            ‘’Ibu!’’ serentak Aish dan Azril bersuara.

              Biarlah Nikah Tanpa Cinta! Yang penting Ijab & kabulnya itu sah. Semailah cinta selepas nikah dan bajalah dengan kasih sayang yang secukupnya. Siramlah dengan sifat tanggungjawab dan timbang rasa. Belailah selalu dengan saling memahami di antara satu sama lain. In Sha Allah..pasti sentiasa dalam RedhaNYA. Aamiin.

*******Tammat*******

8 ulasan:

  1. Bestnye.. Dri mula mmbce smpai hbs.. X hbs2 senyum je..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih lena likna kerana sudi meninggalkan komen di sini. Cerita ni hanya rekaan semata-mata. Yg baik jdkan pengajaran, yg tak elok usah dijdkn ikutan..

      Padam
  2. Terima kasih Sya Fah dan Ismaniza..sudi singgah, baca dan tinggalkan komen. Nikah tanpa cinta itu tak mustahil kerana perasaan itu juga boleh dilembutkan hari demi hari. Cinta selepas nikah itu yg paling afdal..😃💖

    BalasPadam
  3. Terima kasih ShaHaRin sudi bertandang dalam blog ni..lain kali datang lg ya😉..

    BalasPadam
  4. Terima kasih ShaHaRin sudi bertandang dalam blog ni..lain kali datang lg ya😉..

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.