Jumaat, 17 Jun 2016

Pekerja Part Time Itu Isteriku!



               Aku memerhatikan seorang cleaner wanita yang sedang melakukan kerjanya dari jauh. Dia adalah seseorang yang aku kenali, namun hanya nama dan umurnya saja.

               Segalanya berlaku tiga bulan yang lalu. Bila terasa terlalu sunyi tinggal seorang diri di rumah, aku telah membuat iklan di dalam surat khabar untuk mencari penyewa. Aku ingin mencari seorang rakan untuk diajak berbual bila aku pulang dari kerja ataupun hari cuti.

               Namun ternyata, apa yang dirancang tak berlaku seperti yang sepatutnya. Suatu hari bila petang sudah merangkak senja seorang wanita datang ke rumahku untuk menyewa bilik. Salahku juga kerana tidak menyatakan secara detail.

              Wanita itu merayuku untuk menyewa juga malam itu kerana dia tiada tempat tuju. Aku serba salah, namun atas desakan naluri dan rasa kasihan, aku pelawa juga dia masuk dan aku pula keluar dari rumah dan bermalam di masjid.

                Dia wanita dan aku lelaki, lebih baik aku yang beralah. Lagi pun, wajah polosnya itu yang mengundang simpati dalam hatiku. Walaupun dalam zaman ini ramai penipu dan ada juga perasaan sangsi, aku serahkan segalanya kepada Allah.

                  Seminggu selepas itu kami bernikah koboi. Dia berwakil walikan hakim dan kami hanya bernikah di pejabat agama. Ini semua semata-mata supaya kami boleh tinggal serumah tanpa sebarang masalah.

                 Ya, seminggu sebelum bernikah kami sudah sepakat. Dia ada di rumah dan aku perlu keluar. Bila menjelang malam pula, tempat aku hanyalah masjid. Entah kenapa rasa simpati yang membuak-buak kepadanya membuatkan aku terpaksa berkorban begitu sekali. Kami bergelar suami isteri hanya di atas kertas tanpa mengenali hati budi masing-masing dan juga tanpa sebarang perasaan sayang ataupun cinta.

                    Namun, tiga bulan dia menjadi isteriku, makan pakaiku terjaga rapi dan yang penting kini aku sudah ada teman untuk diajak berbual ketika aku pulang ke rumah.

                 “Jauh kau menung G..” aku tersentap bila bahu aku ditepuk kuat. Aku mendongak dan Nasir sudah tersengih kepadaku.

               “Kau tengok cleaner baru tu ke? Aku perasan, kau selalu merenung dia setiap kali dia mencuci di dalam department kita ni.” Nasir sudah mula serkap jarang. Giliran aku pula melebarkan senyuman.

               “Pandailah kau. Apa cerita dengan projek baru tu? Aku dengar ada masalah. Dah settle?” aku cuba menukar topik kami. Tak mahu bercerita tentang pekerja part time yang sudah bergelar isteriku itu.

                 “Kau tahulah G, masalah kalau datang tanpa diundang, tapi bila nak selesai, macam-macam halangan. Aku bohsan betullah dengan Cik Anisah tu. Semua nak kena  dengar kata dia. Macam dia sorang saja yang ada degree dan pakar dalam merangka strategi. Mentang-mentanglah dia anak bos, besar kepala.”

                 Nasir mula menyuarakan rasa tidak puas hatinya. Bila mendapat ketua yang berlainan jantina dan selalu berselisih pendapat beginilah jadinya.

                   “Susah-susah sangat, kau kahwin saja dengan dia. Lepas tu, bila dah pegang title suami, kau control la dia pula.” aku memberikan pendapat yang paling bernas. Nasir pula sudah mencerlungkan matanya ke arahku dan sepantas kilat, bahu aku sudah ditumbuk kuat. Spontan aku mengaduh sambil mengosok bahuku yang terasa sengal.

                “Kalau kau nak, kau saja yang kahwin dengan dia. Aku dah ada buah hati. Lagi pun, dia bukan citarasa aku. Tak ingin aku dapat isteri queen control.” Nasir berkata sambil mencebik. Sekali lagi bibir aku mengoyak senyum.

                     Cik Anisah tu gila kerja. Umur dah hampir empat puluh tahun tapi masih solo lagi. Tak ada siapa yang berani nak dekat dengan sikap dia yang panas baran tu. Lagi pun, dia anak bos besar syarikat ini, tak ada siapa yang berani kacau.

                 “Aku ni mana layak.” aku berkata perlahan. Mata aku sudah fokus kepada cleaner baru yang sudah masuk ke bilikku.

                  “Hai Zura, hari ni balik pukul berapa? Minggu depan kerja tak?” ramah pula Nasir menegur dia. Aku diam tak berkutik. Hanya menanti Maizura menjawab dengan sabar.

                   “Assalamualaikum encik Nasir, encik Fauzi. Tak ada kerja ke? Relax saja.” soalan Nasir tak berjawab, malahan dia memberi salam dan menyoal kami kembali.

                “Zue..tolong saya kemas fail dalam almari tu. Dah berselerak, lepas tu baru awak vaccum carpet. Boleh tak? Susun ikut warna fail ya.” aku sengaja mengenakan dia dan salamnya aku jawab di dalam hati. Kalau di rumah, sejak dia ada, rumah memang sentiasa kemas. Ada saja permintaan aku.

                “Boleh aje, tapi..kena masuk akaun la ya sebab kerja mengemas fail tu tak termasuk dalam senarai kerja Zue.” dia menjawab sambil melangkah menuju ke arah almari di penjuru bilik pejabatku. Nasir pula sudah memandang cuak ke arahku.

                   “Okey. Whatever..balik kerja nanti saya belanja awak makan.” sengaja pula aku bersuara ramah untuk melihat reaksi Nasir pula.

                  “Membazir saja makan di kedai.” sambil mengemas fail yang aku suruh tadi, dia tetap menjawab.

                   “Kau dengan Zura ada apa-apa yang aku tak tahu ke?” akhirnya keluar juga soalan itu dari bibir Nasir. Maizura tak menoleh pun ke arah kami. Dia masih fokus dengan kerjanya sedangkan aku sudah tergelak mendengar soalan Nasir.

                     “Kenapa pula? Kena perlu ada apa-apa dulu ke, baru boleh belanja makan?” aku ajukan soalan bonus untuk Nasir dan mula melakukan kerja aku yang tertangguh tadi.

                  “Tak adalah, cuma aku hairan sikit aje. Sejak akhir-akhir ni kau suka sangat termenung dan merenung. Kadang-kadang, aku perasan dalam bilik meeting pun kau tak fokus. Orang lain buat pembentangan, kau pula macam orang angau….” aku terus menekup mulut Nasir sebelum sempat dia menghabiskan ayat-ayatnya. Aku perhatikan Maizura yang turut berminat dengan perbualan kami. Wajah aku pula sudah berbahang bila mata aku dan mata Maizura bertemu.

           “Pandailah kau…” aku menjadi berang tiba-tiba. Nasir sudah ketawa galak.

           “Zura! G cakap dia sayang awak.” tak semena-mena Nasir mengenakan aku. Mengelabah aku dibuatnya bila Maizura menoleh sekali lagi dan memandang wajahku.

            “Hoi..kau cakap apa ni?” aku menengking Nasir yang sudah tergelak terbahak-bahak. Geram betul aku. Macam mana kalau Maizura percaya? Tentu layanan dia terhadapku akan menjadi hambar atau kekok.

           “Zue..jangan percaya. Nasir ni serkap jarang saja.” aku yang sudah mengelabah sudah menafikannya. Maizura terus diam tanpa mencelah perbualan kami.

          “Nak nafi apa lagi?” Nasir membalas kata-kataku sambil menyambung tawa.

****

                  “Sorry abang G, ini saja yang ada hari ni. Zue balik lewat sikit tadi, ada kuliah sampai petang hari ni.” aku mengangguk sambil menuju ke arah rak pinggan mangkuk. Selalunya, kalau dia ada kuliah masakan dia cukup ringkas. Hari cuti saja kami dapat makan mewah pun. Kalau aku ajak makan di kedai, ada saja alasan dia.


                 “Alhamdulillah, ini pun dah cukup.” aku berkata selamba sambil memandang hidangan makan malam kami. Sayur air sawi bersama telur goreng mata kerbau dan nasi. Jadilah daripada langsung tak ada.


                  “Duduk makan sekali.” aku mempelawa dia duduk sambil mula menceduk nasi. Dia menuang air ke dalam gelasku dan selepas itu dia menarik kerusi yang berada bertentangan denganku.

                “Esok ada kuliah tak?” aku cuba beramah mesra dengan dia. Sejak kejadian di pejabat hari tu, dia sudah tak mesra lagi dengan aku. Memang nampak agak kekok daripada sebelum ini.


             “Esok, ada kot.” dia berkata ragu-ragu. Aku memangung kepala. Dia langsung tak memandang aku.

              “Zue marah dengan abang ke? Kalau sebab apa yang Nasir cakap tu, abang minta maaf.” aku bertanya. Barulah dia mengangkat kepala dan memandang aku. Serentak dengan itu kepalanya digelengkan.


                   “Kalau abang betul-betul sayang Zue, macam mana? Zue marah tak?” aku cuba mengambil risiko untuk menguji perasaannya. Wajahnya berubah warna dan dia terus menyuap nasi tanpa memandang ke arahku.


                      Bila soalanku tidak mendapat respon, aku pun terus diam. Sayur sawi di dalam mangkuk memanggil-manggil aku untuk menceduknya. Aku depakan tangan dan secara spontan tangan kami sudah berlaga bila bertemu di sudu yang sama.


                 Semakin merah wajah Maizura jadinya. Aku hanya tersenyum memerhatikan tingkahnya yang nampak agak mengelabah hari ini.

               “Okey, lady first.” aku cuba mengurangkan suasana kekok itu dengan bercakap seperti biasa.


                “Zura…” aku panggil dia.


                “Setuju tak kalau kita jadi suami isteri yang sebenar? Zura boleh terus sambung belajar. Abang akan tanggung semuanya. Zura tak payah jadi cleaner lagi.” aku membuat cadangan. Dia sudah mengerutkan dahinya sambil mengeleng.

               “Zue tak nak kecewakan mak. Zue dah janji dengan mak Zue, pegang diploma dulu baru nikah tapi sekarang, Zue dah membelakangkan mak. Zue takut mak kecewa.” aku menarik nafas dan melepaskannya perlahan-lahan. Sedikit kecewa sebenarnya kerana aku sudah mula rasa selesa dengan kehadirannya di rumah ini.


                  “Okey..tapi boleh tak kita teruskan hubungan kita ni untuk selamanya?” aku mencuba lagi. Dia berjeda lama, mengangguk tidak, mengeleng pun tidak. Aku yang keresahan melihatnya. Nasi di dalam pinggan aku suap lagi untuk kali yang terakhir.


                “Zue…”

               “Tak berani nak komen. Zue serahkan pada takdir. Kalau jodoh kita masih ada, Zue akan redha.” aku menarik nafas kelegaan mendengar kata-katanya.


                “Zue sayang abang tak?” aku uji perasaannya lagi. Dia panggung kepala sesaat dan terus bangun membawa pinggannya ke singki. Aku berbuat perkara yang sama.


               “Abang rasa, abang dah mula sayang Zue.” aku berdiri di sebelahnya dan tanganku sudah merangkul pinggangnya sambil membisikkan kata-kata itu. Aku terdengar Maizura menghela nafas dengan payah.


           “Zue…” aku memanggil namanya lagi tanpa melepaskan tanganku yang masih melingkar di pinggangnya manakala tangan kananku sudah ku arah ke paip air. Selepas tanganku dibasuh dan dilap, aku terus memeluk Maizura dari belakang bila tiada tolakan darinya.


             “Jangan macam ni abang. Bagi Zue masa.” beberapa minit dia mematungkan diri, barulah terdengar dia bersuara.

********************

            Maizura menghilangkan diri selepas aku membuat pengakuan tentang perasaan aku terhadapnya. Aku menjadi resah dan gelisah. Rumah ini kembali sunyi tanpa kehadirannya. Hendak keluar mencari, aku tak tahu nak mencari di mana. Salah aku kerana langsung tak menyoal. Sepanjang masa kami tinggal bersama di rumah ini, hanya dia yang banyak menyoal aku tentang syarikat dan keluargaku.

          Yang paling mengharukan, aku juga tak tahu di mana dia belajar, di mana kampungnya dan segalanya tentang Maizura. Ketika ini, baru aku rasakan betapa bengapnya aku ini kerana langsung tidak mengambil tahu tentang hal rakan serumah. Aku juga pernah mencari maklumat peribadinya di tempat kerja. Yang aku temui hanyalah alamat palsu. Aku cuba pula mencari maklumatnya di pejabat pendaftaran melalui seorang rakan lama. Ternyata nama dan nombor kad pengenalannya tak wujud pun.

          Ya Allah, siapa  sebenarnya isteriku itu? Aku buntu sebuntunya. Bila aku geledah di dalam biliknya pula, tiada langsung barang-barangnya yang tertinggal dan tiada juga barang di dalam rumahku yang hilang. Kenapa aku yang harus melalui semua dugaan ini? Kenapa aku ditipu oleh satu-satunya wanita yang paling aku percayai. Dan saat aku tersedar, aku sudah menyemai benih-benih cinta terhadapnya di dalam hati.

           ‘’G..kau ni semakin teruk sejak akhir-akhir ini. Itulah, kalau dah berkenan tu, jangan simpan di dalam hati. Kan senang kalau kau berterus terang saja. Bila pungguk dah terbang dan hilang dari pandangan, barulah bulan termenung panjang.’’ Nasir sudah melalut entah apa-apa sambil menampar perlahan bahuku. Aku sudah mencebik mendengar kata-katanya yang bagaikan bermadah pujangga itu.

           ‘’Apa yang kau mengarut ni haa labi?’’ aku cuba bergurau sambil tergelak, walau ternyata begitu pahit untukku telan.

            ‘’Kau nak tahu tak di mana Zura buat kerja part time sekarang ni? Aku jumpa dia semalam.’’ Soalan Nasir membuatkan aku spontan menegakkan badan. Menunggu dengan sabar ayat-ayat yang akan diungkapkan seterusnya tapi apa yang aku dengar hanya ketawa kuat yang keluar dari mulut Nasir.

          ‘’Aku cakap kau angau, kau tak mengaku. Aku baru sebut nama Zura, semacam saja kau punya teruja.’’ Dia bersuara lagi dan terus galak ketawa. Tak guna punya kawan. Sanggup dia kenakan aku. Eh..kalau bukan sebab dia dah jadi isteri aku, tak ada maknanya aku nak teruja. Aku berdialog di dalam hati.

         ‘’Betul ke kau tak mahu tahu ni? Jangan nak menyesal pulak kalau pungguk yang kau angaukan tu sudah disambar oleh helang nanti.’’ Aku mencebik mendengar ayat-ayat Nasir yang seterusnya. Tak mahu terus tertipu dengan kata-katanya, aku meneruskan kerjaku, merangka tapak projek yang telah diberikan kepadaku. Banyak sangat permintaan pelanggan ini, nak taman ala-ala Luar Negara kononnya, terpaksa aku Google dan membuat kajian tentang taman-taman terindah di Luar Negara namun aku sesuaikan pokok-pokok hiasan yang sesuai dengan cuaca di Malaysia.

             ‘’Aku jumpa Zura semalam, secara tak sengaja. Dia bekerja di sebuah restoran seafood. Aku tegur dia tapi dia macam tak kenal aku saja.’’ Nasir terus bercerita. Aku pula, walaupun masih mendengar kata-katanya sengaja aku buat tak tahu.

             ‘’Kau dengar tak ni?’’ Nasir mencuit aku. Sekilas lalu aku menoleh, kemudian aku tumpukan perhatianku pada skrin komputer semula.

            ‘’Kau tahu tak…sebenarnya Zura tu…’’ Nasir berjeda lama dan tak menyambung kata-katanya. Aku hentikan kerjaku dan menoleh ke arahnya. Dia sudah tersenyum lebar dan akhirnya senyuman itu sudah berubah menjadi ketawa kuat. Aku mendengus geram. Sengaja betul nak mendera perasaan aku.

             ‘’Kenapa dengan kau ni Nasir? Kalau betul pun aku sukakan Zura tu, aku rasa tak salahkan? Yang kau seronok sangat nak mainkan aku ni, kenapa?’’ aku bersuara juga, meluahkan rasa sakit hatiku.

              ‘’Kan senang kalau kau berterus terang macam tu.’’ Nasir mengenakan aku kembali. Aku malas nak melayan dia dan skrin komputer aku tenung lagi. Memikirkan konsep mana yang paling sesuai untuk aku gunakan buat pelanggan yang banyak songeh ini. Taman ala-ala Luar Negara? Tak kena gaya aku gunakan bunga taik ayam dengan bunga balung ayam yang perbagai warna tu pun cantik juga.

             ‘’Kau cari apa tu G? Lanskap untuk  Datin Sri Habibah ke tu? Aku dengar dia baru balik bercuti di Eropah.’’ Aku menoleh dan memandang wajah Nasir. Dia menganggukkan kepala.

          ‘’Patutlah dia nak taman ala-ala Luar Negara. Agaknya pokok-pokok bunga apa yang sesuai? Esok kau teman aku ya? Aku nak pergi memantau laman rumah dia.’’ Aku cuba mengubah topik lagi dan nampaknya Nasir pun macam sudah melupakan perihal Maizura.

***************

             Aku memerhatikan laman rumah yang luas terbentang di depan mata. Laman rumah sebuah banglo yang baru dibina bagaikan sebuah istana. Banglo lima tingkat yang gah berdiri. Fuhh..mesti berbillion harganya? Aku berbisik di dalam hati.

           ‘’G..tuu..’’ Nasir mencuit aku dan memuncungkan bibirnya. Aku turut menoleh ke arah apa yang sedang dilihatnya. Maizura? Aku menjerit di dalam hati. Di sini rupanya dia bersembunyi. Aku terus meneka dalam kesamaran dan dalam masa yang sama kaki aku sudah melangkah laju ke arahnya.

            ‘’Zue..’’ aku memanggil namanya sebaik aku berdiri di belakangnya. Dengan perlahan dia menoleh dan wajahnya berubah pucat.

                ‘’Abang G, aa..bang, aa..bang bu..at apa di sini?’’ tergagap-gagap dia bertanya. Aku sudah tersenyum sinis. Sakit hati tak terkira mendengar soalannya.

              ‘’Abang sedang buat jejak kasih. Mencari isteri yang lari dari rumah. Dan..abang sedang berfikir pernikahan kita hari tu sah atau tidak sebab, setahu abang nama Siti Maizura Binti Ahmad Nuraimi itu tak wujud pun dalam fail pejabat pendaftaran.’’ Aku berkata selamba dan Maizura mengerutkan keningnya. Matanya dikecilkan dan dia memandang sekeliling beberapa saat sebelum menoleh ke arahku semula.

           ‘’Maaf abang, Zue sedang bekerja sekarang ni. Kita bincang kemudian, Zue berjanji akan cerita semuanya. Zue masuk dulu.’’ Maizura cuba melarikan diri dan aku dengan pantas menarik lengannya.

               ‘’Abang please! Zue berjanji, Zue akan balik dan ceritakan semuanya, tapi bukan sekarang..’’ wajah Maizura sudah berubah kelat dan air matanya sudah bergenang.

             ‘’Siapa awak sebenarnya?’’ aku masih berkeras. Lengan Maizura aku genggam kejap. Nasir yang sudah berada di antara kami mencuit aku dan memberi isyarat melalui matanya. Mungkin dia pun ingin tahu apa yang sudah terjadi dan apa hubungan aku dengan Maizura.

            ‘’Nanti Zue akan cerita. Zue janji. Mengenai pernikahan kita tu, Zue berani jamin, ianya sah dan Zue yakin, Zue masih isteri abang selagi abang tak lafazkan cerai, Cuma buat masa ini tolong redha dengan apa yang Zue buat dan izinkan Zue..’’ dia tak meneruskan kata-katanya bila air matanya sudah mengalir ke pipi. Aku turut simpati dalam rasa keliru.

           ‘’Jangan yakin sangat Zue. Kalau betul kita nikah hari tu sah, kenapa Zue tinggalkan abang macam tu saja? Sedangkan sebagai seorang isteri haram hukumnya keluar rumah tanpa izin suami.’’ Aku masih bertegas dan Maizura sudah mula menangis.

           ‘’Maafkan Zue. Tolong lepaskan Zue untuk hari ini. Zue janji akan pulang dan jelaskan semuanya.’’ Maizura cuba menarik tangannya dan cuba merungkaikan jari-jariku yang masih mengenggam kejap lengannya. Dalam masa yang sama juga dia sedang mengelap air matanya yang masih mengalir di pipi.

              ‘’Drama apa ni G? Aku tak faham, sejak bila kau dengan Zura ni jadi suami dan isteri? Aku tak tahu apa-apa pun.’’ Nasir mencelah perbualan kami dan ketegangan semakin aku rasakan.

             ‘’Haa..dah sampai pun. Jom..kita masuk dalam rumah dan berbincang, ataupun nak tengok-tengok dulu halaman. Awak dah buat plan ke konsep apa yang ingin awak ketengahkan? Atau, awak dah bawa contoh untuk saya pilih?’’ terdengar suara seorang perempuan, kami serentak menoleh. Maizura cepat-cepat melepaskan diri dan melangkahkan kakinya. Dia menghilang sebaik saja Datin Sri Habibah ada di depan aku dan Nasir.

            ‘’Datin Sri..saya rasa kita berbincang di luar saja. Saya dah bawa beberapa contoh, kalau Datin Sri nak tengok.’’ Aku cuba bersuara setenang mungkin. Perihal Maizura aku lupakan buat seketika. Aku dah tahu di mana dia berada, rasanya itu lebih baik dari langsung tak tahu apa-apa. Mudahan dia takkan melarikan diri lagi selepas ini.

            ‘’Okey..’’ dan Datin Sri Habibah membawa kami duduk di halaman rumahnya yang sudah didirikan kanopi berwarna-warni. Terdapat kerusi dan meja taman dari kayu jati yang berukiran cantik. Kami  duduk dan aku mula mengeluarkan kertas kerjaku dari beg sandang. Contoh-contoh taman-taman dan lanskap yang telah aku print dari internet aku keluarkan.

            ‘’Di sini ada beberapa contoh, Cuma, berkenaan pokok-pokok bunga yang harus ditanam tu rasanya saya perlu membuat kajian lagi. Saya perlu memilih pokok-pokok yang sesuai dengan cuaca di Malaysia.’’ Aku memulakan mukadimahku sebaik Puan Sri Habibah meneliti kertas kerjaku. Dalam hati berdebar-debar juga kalau kertas kerja aku bakal ditolak.

           ‘’Saya suka bunga mawar, kalau boleh saya nak halaman saya ni hanya dihiasi bunga mawar pelbagai warna. Macam gambar ni, pintu gerbangnya yang dihiasi bunga mawar kiri dan kanan.’’ Kata-kata Datin Sri Habibah membuatkan aku dan Nasir saling berpandangan. Gambar yang Datin Sri Habibah hulurkan aku ambil dan mula menilai citarasanya. Aku perhatikan pula halaman rumahnya yang luas. Mula berfikir di mana harus kami mulakan dan aku cuba membayangkan halaman rumahnya yang dipenuhi pelbagai jenis bunga mawar.

             ‘’Lebih elok kalau dipelbagaikan Datin Sri, kita bina taman dengan pohon-pohon rendang supaya halaman redup dan terlindung daripada pancaran panas terik, terutama bila menempuh musim panas yang terik macam sekarang ni.’’ Aku cuba memberi cadangan. Terbayang pohon-pohon yang berbunga lebat di sepanjang jalan.

          ‘’Pokok rendang tu boleh ditanam di keliling banglo ni. Saya nak pokok-pokok besar hanya di tanam di tepi pagar. Awak perasan tak, pohon yang berbunga lebat di sepanjang jalan setiap kali tiba musim pokok tu berbunga. Saya nak bunga tu ditanam di depan dan belakang banglo ni. ‘’ aku menghela nafas perlahan. Seperti apa yang aku bayangkan sebentar tadi, Datin Sri Habibah juga membuat permintaan yang sama. Terpaksa pula aku ubah plan asal aku. Banyak yang harus aku tukar.

                ‘’Macam mana dengan pokok-pokok renek. Saya rasa pokok-pokok bunga yang selalu ditanam di perkampungan lebih sesuai dengan cuaca di Malaysia dan lebih tahan lama.’’ Aku berkata dalam rasa debaran yang memuncak. Manalah tahu citarasa Datin Sri Habibah lebih tinggi daripada yang aku bayangkan.

              ‘’Hmm..macam menarik saja. Saya suka dengan bunga-bunga yang berbau wangi seperti melur, kenanga, cempaka dan bunga kerak nasi. Saya pernah buat lawatan di sebuah kampung dulu, bunga-bunga tu ada potensi untuk menjadikan halaman lebih segar dan harum. Saya dengar kata bunga-bunga ni akan berkembang di waktu malam, selalunya selepas Isyak. Betul ke?’’ aku terkelu seketika mendengar soalan Datin Sri Habibah. Pandai sangat buat cadangan, padahal aku tak pernah buat kajian pun pasal pokok-pokok bunga tu. Selalunya kajian aku lebih pada bunga-bunga yang berbunga sepanjang masa. Contohnya seperti daisy, kekwa, dahlia, orkid dan berbagai lagi bunga-bunga yang menjadi kegemaran orang-orang bandar.

              Aku pandang Nasir, dia jungkit kening dan tersenyum. Aku cari idea untuk menjawab dengan tepat. Agaknya betul kot? Aku berteka-teki di dalam hati.

             ‘’Datin, minumannya..’’ aku baru nak membuka mulut untuk memberikan jawapan, Maizura datang bersama minuman dan sedikit makanan ringan. Aku menghela nafas lagi melihat dia yang berlagak selamba di depan kami.

               ‘’Hurm…’’ hanya itu yang keluar daripada mulut Datin Sri Habibah. Aku perasan matanya yang menjeling tajam ke arah Maizura yang sedang menghidangkan minuman.

            ‘’Jemput minum..’’ kami dipelawa minum selepas Maizura beredar.

            ‘’Datin..boleh tumpang tandas tak?’’ Aku mendapat ilham untuk berjumpa dengan Maizura. Datin Sri Habibah mengangguk dan menyuruh aku mengikut Maizura masuk. Bagaikan pucuk dicita, ulam yang mendatang, aku terus bangun dan melangkah laju agar Maizura tak terlepas dari pandanganku.

            ‘’Zura…’’ aku panggil dia sebelum dia menghilang.

               ‘’Ehh..abang nak pergi mana ni? Mengamuk Datin nanti.’’ Muka dia pucat dan nampak cemas. Aku pegang tangan dia tapi dia tarik sepantas kilat. Aku tiada pilihan lain selain menghormati privasinya. Mungkin dia ada alasan kukuh supaya aku tak menganggu dia di sini.

           ‘’Minta nombor telefon Zura. Abang takkan lepaskan Zura kali ni. Abang takkan percaya Zura buat kali kedua. Abang nak semua maklumat peribadi pasal Zura. Abang rasa abang ada hak tu. Kalau Zura tak nak kasi, abang akan buat iklan dalam surat khabar ataupun alam maya. Abang akan cari Zura dengan apa cara sekali pun, kalau Zura menghilang lagi selepas ini.’’ Aku bertegas dengan keputusan aku kali ini. Aku takkan biarkan Maizura permainkan aku lagi. Itu yang aku fikir.

              ‘’Please abang, tolong fahami Zue. Beri Zue masa untuk berfikir. Zue janji, apa saja keputusan Zue, Zue tetap akan balik dan jumpa abang juga. Zue takkan mungkir janji.’’ Maizura sudah merayu sambil matanya melilau memandang sekeliling. Macam orang buat salah saja.

         ‘’Zue nak masuk, nahas Zue kalau Datin tahu Zue berbual dengan abang.’’ Dia berkata lagi dan terus berlalu. Aku menghela nafas keras. Terasa tercabar kesabaranku sebagai seorang suami. Di mana hak aku?

*****************

                   "Di depan laman ni, saya nak semuanya ditanam dengan pokok bunga mawar pelbagai warna. Pandai-pandailah awak atur. Pokok bunga melur, kenanga, cempaka dan pokok kerak nasi, saya nak awak tanam berhampiran rumah rehat di belakang rumah." aku mengangguk saja mendengar arahan Datin Sri Habibah. Aku ni hanya pereka landskap, bukannya pekerja kontrak yang akan buat kerja-kerja berat ni.


                     "Untuk laluan pintu gerbang, apa konsep yang perlu kami gunakan? Apa yang Datin Sri suka? Di sini kami ada sediakan pelbagai konsep yang bersesuaian." aku memerhatikan wajah Datin Sri Habibah sambil menyoal dia. Bukan senang nak memuaskan hati pelanggan, lebih-lebih lagi dengan pelanggan seperti Datin Sri Habibah. Nampak macam mudah nak bekerjasama, tapi tersalah buat kerja mesti bakal dihentam kembali.


               "Kami ada banyak contoh di sini. Datin Sri boleh pilih sendiri. Ini ala-ala rel keretapi." aku berkata lagi sambil menghulurkan sekeping gambar kepada Datin Sri Habibah. Nampak memang macam rel keretapi, cuma cara membuatnya saja yang berbeza. Batu dan simen yang akan digunakan dan dicorak agar nampak real.

               "Kalau Datin Sri suka bunga, kami ada corak bunga matahari juga." aku menghulurkan lagi corak-corak lain yang ada di atas meja kerjaku.


               "Corak bunga mawar tak ada ke? Saya suka bunga mawar?" mendengar kata-kata Datin Sri Habibah, aku seakan buntu untuk menjawab. Hari tu dia nak pintu gerbang bunga mawar. Hari ini dah minta laluan pintu gerbang pun bercorak bunga mawar juga. Kalau aku tempah, agaknya ada tak orang yang nak buat. Sambil berfikir, aku cuba bayangkan corak bunga mawar tu.


                 "Buat masa sekarang, ini saja yang kami ada." aku menjawab sambil menghulurkan album gambar kepada Datin Sri Habibah.

              Aku menghela nafas panjang. Permintaan Datin Sri Habibah memang di luar dugaanku. Seleranya tentang lanskap halaman amat tinggi dan berkelas luar negeri. Terpaksa aku memilih pokok-pokok bunga yang sesuai dengan cuaca di Malaysia. Bila terfikir tentang Datin Sri Habibah, minda aku terus melayang kepada Maizura, isteri yang aku nikahi dengan rela, walaupun dengan cara segera, yang mungkin tak pernah dibuat orang.

              Maizura, dia berjanji untuk pulang dan memberikan penjelasan, tapi hingga ke hari ini masih belum muncul lagi. Aku pernah mencarinya ke rumah Datin Sri Habibah selepas seminggu pertemuan aku dengan Maizura di rumah itu, namun berita yang aku terima, dia sudah berhenti kerja. Apa semuanya ini? Adakah, aku ditipunya lagi. Ke mana lagi harus aku cari dia? Sampai bila dia nak mempermainkan perasaan aku macam ni?

             ‘’Hello bro..kau mengelamun lagi? Kenapa, bini kau masih belum balik lagi?’’ aku menoleh ke arah Nasir yang sudah tersengeh macam kerang busuk. Suka pula dia tengok aku dalam keadaan ini. Tak kena batang hidung sendiri, bolehlah dia nak bergelak ketawa.

         ‘’Sebenarnya, apa masalah kau dengan bini kau ni? Kau nikah senyap-senyap, dah tu menung panjang setiap hari. Sampai bila nak selesai?’’ Nasir terus berceloteh. Aku malas nak melayan. Terus aku berpura-pura menatap skrin, kononnya nak menyambung menyelesaikan kerja aku yang terbengkalai, padahal..minda aku sudah jauh melayang.

           ‘’G..aku rasa, kau kena buat report polis. Mana tahu, bini kau tu ada masalah dalaman. Maksud aku, dia nikah dengan kau atas sebab-sebab tertentu. Macam buat undercover ka, contohnya..’’ Nasir mula membuat spekulasi sendiri. Aku ingin tersenyum, namun bibir aku seakan tidak mahu bekerjasama. Aku terfikir juga kewajaran kata-katanya. Tapi, untuk apa, Maizura nak melakukan semua itu?

               ‘’Encik Fauzi, ada orang nak jumpa.’’ Suara interkom di depanku berbunyi. Suara setiausahaku, Farisha kedengaran jelas di pendengaran kami. Aku dan Fauzi saling berpandangan.

             ‘’Siapa?’’ aku bertanya kembali kerana, setahu aku tiada temujanji dengan client hari ini.

              ‘’Lelaki, dia kata penting untuk bercakap dengan encik Fauzi.’’ Farisha membalas.

              ‘’Okey, benarkan dia masuk.’’ Aku menjawab tenang. Dalam hati aku sudah meneka bermacam kemungkinan dan meneka siapa gerangannya orang yang ingin bertemu denganku.

             Pintu diketuk dari luar. Setelah aku bersuara dan menyuruh masuk, pintu dikuak dari luar. Farisha mengiringi seorang lelaki yang berpakaian kemas masuk ke bilikku. Hati aku mula berdebar-debar. Aku ingat wajah lelaki ini, dia ada ketika aku dan Maizura diakad nikahkan di pejabat agama hari itu. Adakah kedatangannya, ada kena mengena dengan Maizura? Hati aku bertanya ragu.

                ‘’Assalamualaikum..saya DSP Mazlan, abang kandung Siti Maizura.’’ Lelaki yang masuk ke dalam pejabatku memperkenalkan diri dan menghulurkan tangan untuk bersalaman. Aku menyambut salamnya dan begitu juga dengan Nasir. Aku mempelawa dia duduk dan kami mula berbual.

                ‘’Maizura ada dalam I.C.U sekarang ni. Dia ditembak selepas penyamarannya terbongkar. Dia menolong polis selama ini sebagai pemberi maklumat dengan menyamar sebagai pekerja part time. Adik saya tu pelik sikit orangnya. Suka dengan kerja lasak. Maafkan kami, kerana telah gunakan encik Fauzi dalam hal ini.’’ Tanpa pintaku, lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai abang kandung Maizura terus bercerita. Sekali lagi, aku dan Nasir saling berpandangan dan kemudian, tumpuan kami ditujukan pula ke arah tetamu yang berada di depan kami ketika ini.

             ‘’Mengenai hal pernikahan encik Fauzi dengan adik saya tu, saya jamin ianya sah, saya yang menjadi saksi dan wakil walinya hari itu. Bila saya tahu encik Fauzi sedang mencari maklumat pasal Maizura, jadi saya segera menyuruh orang di pejabat pendaftaran untuk memalsukan maklumatnya, atau dengan kata lain menipu encik Fauzi dengan memberi maklumat palsu. Maafkan saya, semua ini untuk keselamatan Maizura, tapi kami tetap tersalah langkah, bila Maizura tetap berada dalam bahaya dan akhirnya dia telah ditembak.’’ Panjang berjela cerita abang Maizura disusuli helaan nafas berat selepas habis dia berkata-kata. Lidah aku terus kelu untuk bertanya atau bersuara.

                ‘’Zura ada di hospital mana? Boleh kami melawat dia?’’ bila aku terus terdiam, Nasir yang mewakilkan aku untuk bertanya. Serius, minda aku buntu sangat sekarang ini. Tak tahu yang mana satu harus aku hadam terlebih dahulu.

              ‘’Boleh. Saya datang ni pun sebab nak mengajak encik Fauzi pergi sekali dengan saya. Tak boleh tidak, sebab ini permintaan Maizura sebelum dia dioperation dan berada dalam keadaan koma sekarang.’’ Abang kandung Maizura berkata lagi. Kali ini aku menghela nafas berat pula. Hati aku meruntun hiba mendengar perkhabaran ini. Isteri yang aku kahwini dan sekarang aku baru belajar untuk menyayanginya, dikhabarkan sedang koma di I.C.U, siapa yang tak sedih.

               Ya Allah, jangan kau rampas dia lagi dari sisiku. Aku akan maafkan semua kesalahannya terhadapku. Kembalikan dia kepadaku Ya Allah. Aku turut merintih di dalam hati. Tersayat pilu rasanya hatiku saat ini. Belum lagi melihat tubuh Maizura di depanku, aku sudah mula membayangkan keadaannya.

...........................
Beberapa tahun kemudian...

               Alhamdulillah, bersyukur kehadrat  Ilahi, kehidupanku kembali stabil setelah Maizura pulih dari koma dan kini dia sudah sihat sepenuhnya. Maizura kini hanya menjadi suri rumah sepenuh masa untuk menguruskan rumah tangga kami. Hanya untuk melayan aku dan bakal anak-anak kami nanti. Aku sudah berkenalan dengan seluruh keluarga besarnya. Keluarga Maizura kebanyakannya bekerja sebagai pasukan beruniform.

               Ayah Maizura sendiri seorang Leftenan pencen. Abang-abangnya kebanyakannya bekerja sebagai polis dan tentera dan yang paling menarik sekali, kakak-kakak ipar Maizura juga terlibat dalam pasukan beruniform.

              Maizura sekarang, aku tak izinkan lagi untuk bekerja. Kerjanya hanya dirumah untuk menguruskan rumah kami. Kalau dia nak bekerja juga, aku akan minta dia bekerja dengan aku sebagai pembantu aku. Aku dan Nasir sudah berkongsi membuka syarikat sendiri selepas syarikat lama kami bankrup bila bos syarikat kami ditangkap kerana kes rasuah. Datin Habibah juga terlibat dalam kes rasuah yang membabitkan jutaan ringgit Malaysia.

            Kini, plan lanskap yang aku reka untuk Datin Habibah aku jadikan lanskap di rumah kami. Walaupun rumah kami sederhana besar tapi halamannya cukup luas untuk aku jadikan taman. Di sekeliling rumah kami aku tanam dengan pokok-pokok bunga bermusim, yang bila tiba musimnya, pokok itu akan galak berbunga dengan lebat. Di tepi pondok rehat pula, aku tanam dengan bunga-bunga yang berbau wangi seperti bunga melur, kenanga, kerak nasi dan pokok bunga cempaka.

             Di halaman rumah kami, aku tanam pula dengan perbagai jenis bunga mawar yang berbagai warna. Rumah kami benar-benar seperti taman bunga. Segala jenis bunga boleh di dapati di halaman belakang dan depan rumah kami. Tak lupa juga aku tanam dengan pokok-pokok herba untuk dijadikan bahan masakan. Terdapat juga sayur-sayuran dan ulam-ulaman berbagai jenis.

            ‘’Abang, berhenti dulu. Mari kita minum....’’ Aku menoleh ke arah Maizura yang datang ke pondok rehat dengan dulang minuman dan makanan petang kami. Aroma kek coklat sudah menjengah di dalam pancaindera bauku. Pasu-pasu bunga yang sedang aku isi dengan tanah hitam untuk aku tanam pokok-pokok bunga kekwa dan daisy aku tinggalkan.

               ‘’Wah, kek coklat lembab, bila Zue buat. Kukus ke bakar?’’ aku bertanya sebaik duduk di hadapan Maizura yang sedang menuang minuman kegemaranku di dalam cawan. Milo susu panas yang masih berasap mengamit seleraku.

              ‘’Kek coklat lembab kukus. Kan, abang yang nak makan kek coklat lembab kukus semalam.’’ Maizura menjawab pertanyaanku sambil memasukkan sepotong kek ke dalam piring dan menghulurkan kepadaku.

            ‘’Sebab inilah abang sayang Zue, apa saja yang abang nak makan, pasti Zue tunaikan tanpa sebarang alasan. Nanti Zue buatkan kek keju leleh pula ya.’’ Aku cuba menguji Maizura dengan membuat permintaan lagi. Dia sudah tersenyum manis sambil mengangguk.

              ‘’Boleh?’’ aku bertanya dia untuk mendapatkan kepastian. Dia tak pernah menolak apa saja permintaan aku. Adakalanya, aku jadi simpati, namun aku ingin selalu menguji keikhlasannya.

               ‘’Boleh. Kan ada pak cik google. Kalau Zue tak tahu nak buat kek keju leleh tu, nanti Zue tanyalah pak cik google.’’ Maizura menjawab yakin sambil menyuap kek coklat lembab ke dalam mulutnya. Aku pun sudah tidak sabar untuk merasa kek buatannya.

             ‘’Hmm..sedap sangat, tak terlalu manis.’’ Aku memuji Maizura tanpa sedar. Aku kunyah kek perlahan-lahan dan menelannya. Habis sepotong kek yang aku makan, aku hulurkan semula piring kepada Maizura dan meminta lagi kek yang masih berbaki.

             ‘’Nak lagi..’’ aku berkata sambil melebarkan senyuman. Tanpa kata, Maizura memotong lagi kek dan memasukkan ke dalam piring yang aku suakan kepadanya.

             ‘’Abang tanam pokok kekwa dan daisy pula ke? Nak letak di mana tu?’’ Maizura mengubah topik perbualan kami. Dari topik kek, kini beralih ke topik bunga pula.

              ‘’Apa pendapat Zue?’’ aku tanya dia kembali. Teringin juga aku mendengar pendapatnya, walaupum dia sering memberi alasan, dia tak minat dengan bunga-bungaan. Dia hanya minat dengan kerja-kerja lasak. Katanya, minatnya lebih tertumpu kepada kes-kes jenayah. Memang pelik sikit citarasa Maizura. Aku pun tak pernah menyangka, dalam dunia ini, ada wanita yang tak minat bunga. Namun dia tak pula alergik bunga.

              ‘’Letaklah di mana pun. Cantik di mata abang, cantiklah di mata Zue. Abang, esok kita pergi Popular Book Store ye. Zue nak beli novel Izza Aripin yang terbaru. Dengar kata, novel Bunuhan telah dicetak untuk kali kedua. Tentu cerita tu best.’’ Aku tersenyum mendengar permintaan Maizura. Inilah sikap isteri aku. Kalau dia tak minat dengan topik yang aku buka, pasti dia akan lencongkan topik kami. Minatnya dalam kegiatan lasak begitu mendalam, hinggakan novel yang dibaca pun, mesti novel yang mengisahkan siri penyiasatan atau cerita-cerita lasak.

                 ‘’Yalah..Zue tak nak jadi pembantu abang ke? Banyak pokok bunga nak kena tanam ni. Esok abang nak kena pergi jumpa pelanggan pula. Lagi pun, hari dah lewat petang. Takut tak sempat pula nak tanam semuanya.’’ Aku cuba menguji dia. Aku tahu dia tak suka buat semua kerja ni. Pernah aku memintanya menolong aku sebelum ini, cepat saja dia mencari alasan.

               ‘’Ehh..Zue terlupa la. Kain di ampaian belum ambil lagi. Cuaca macam mendung saja tu. Zue pergi angkat kain dulu. Nanti, abang tolong angkat dulang ni masuk ke dalam rumah ya.’’ Aku dah agak dah. Ada saja alasan yang akan diberikannya. Aku hanya mampu mengeleng kepala. Kalau Maizura tak minat, aku tak boleh nak paksa dia. Walaupun begitu, aku tetap sayang dia.

                ‘’Zue! Minggu depan birthday Zue kan? Nanti abang hadiahkan seratus kuntum bunga ros ya?’’ aku melaung Maizura sambil cuba menguji dia lagi. Dia berhenti sekejap dan mengerutkan keningnya. Aku sudah tergelak melihat reaksinya.

             ‘’Mengarutlah abang ni. Membazir saja semua tu. Daripada abang beli bunga dan hadiahkan untuk Zue, lebih baik abang beli novel-novel yang Zue suka. Taklah bosan sangat Zue dalam rumah ni, bila abang sibuk buat kerja.’’ Respon Maizura membuatkan aku ketawa tanpa sedar. Isteriku memang lain dari orang lain. Walaupun, dia bukan orang miskin, tapi dia menjadi pekerja part time sebelum ini. Semua kerja yang dibuatnya, hanya untuk menjalankan misi penyamaran untuk memberikan maklumat kepada angota polis.

             Pekerja part time itu isteriku..aku tergelak lagi, bila kata-kata itu yang hadir dalam mindaku. Tak sangka, rupanya isteriku ini sukakan aksi-aksi lasak. Dia tak kisah melakukan kerja-kerja berat, hatta menyamar sebagai isteri aku sekali pun. Akhirnya, dia tetap jatuh ke pangkuanku. Maizura pernah bercerita denganku selepas dia sihat sepenuhnya. Katanya, dalam dia melakukan penyamaran menjadi isteriku, dia turut jatuh hati kepadaku tanpa dia sedar. Dia mula merindui aku, selepas dia keluar dari rumah ini.

               Malam dia ditembak, dia terlalai kerana cuba menghubungiku. Malam itu, kebenaran terbongkar bila salah seorang rakan sekerjanya membuat aduan pada ketua mereka. Rakannya itu sedang mengintai Maizura yang sedang menaip mesej kepadaku. Mesej pengakuannya kepadaku tentang siapa dia yang sebenarnya. Telefon bimbit Maizura dirampas dan tragedi malam itu pun berlaku. Maizura bernasib baik kerana abangnya Inspektor Mazlan sudah menghantar pengintip untuk mengintip setiap gerak geri Maizura.

               Memandangkan Maizura adalah anak perempuan tunggal. Keluarga Maizura melarang Maizura untuk membuat kerja-kerja intipan dan melakukan penyamaran, namun Maizura yang sudah nekad dan terlalu berminat dengan aksi-aksi lasak, terlalu degil untuk mendengar cakap keluarganya. Nasib baiklah, selepas dia sembuh dan tinggal dengan aku, dia sudah berlembut hati dan tak mahu mengulanginya lagi. Dengan syarat, aku harus membelikan dia novel-novel aksi dan menemani dia menonton cerita-cerita aksi, sama ada menonton video ataupun menonton di pawagam.

                 Isteriku memang lain daripada perempuan lain. Namun, aku tetap menyayanginya sepenuh hatiku. Walaupun hadirnya tanpa cinta dan penikahan kami kerana terpaksa, cinta tetap berputik juga selepas disemai benihnya di lubuk hati. Cinta terus mekar dan bersemi di dalam jiwaku ini. Dialah isteri, pekerja part time yang aku sayangi.

***************Tammat****************
Nota cinta: Bukan semua perempuan tu minat bunga. Dan bukan semua lelaki, suka mengarah isterinya. Andai sudah ada cinta di dalam hati, apa saja pasti akan cuba dihadapi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.