Jumaat, 5 Ogos 2016

Sebuah Kehidupan ( Pemergian Sebuah Kehilangan )



          17 Ramadhan 1437 bersamaan dengan 22 hb Jun 2016, perginya seorang rakan alam mayaku yang bernama Nor Aini Jamaluddin. Pemergiaannya satu kehilangan yang membuatkan dada aku turut sebak mendengar khabar itu. Tanggal 23 Jun 2016, ketika aku membuka akaun muka mukuku lewat dinihari aku terbaca satu post dari kakak beliau dan air mataku terus merembes tanpa henti.

             Aku sendiri tidak mengerti hatiku sendiri. Aku sukar untuk menangis meratapi kehilangan orang-orang tersayang, tapi berbeza dengan pemergian Nor, air mata terus merembes hingga aku masuk ke tempat tidur.

          ‘’Ahh..kenapa air mata ni, tak mahu berhenti?’’ aku merungut kepada suamiku yang tidur di sebelah sambil bercerita tentang Nor. Hatiku terus sebak tanpa dapat ditahan lagi. Keistimewaan Nor sebagai rakan alam mayaku, aku terus ceritakan pada suamiku. Post- post facebook Nor yang sentiasa memberikan aku inspirasi dan semangat padaku untuk terus kuat menghadapi gelombang hidup terus memburu mindaku bertali arus.

Nor Aini Jamaludin
10 Jun 2016 at 22.21
Ramadhan menjelma diiringi senyuman. Berbahagialah bagi seorang hamba yang berjaya meraih segala manfaatnya. Pemiliknya meredhai segala ibadahnya. Berbahagialah diri dengan ketaqwaan yang dicapainya.
~Syair Arab~
Salam Jumaat Al Mubarak
Salam 5 Ramdhan
Alhamdulillah

          Aku membaca kembali status facebook Nor yang aku like. Itulah status Nor yang terakhir berjaya meraih like dari aku kerana status itu telah membuatkan hati aku tersentuh. Bukan mudah aku nak like status fecebook orang lain. Status aku pun belum tentu aku like. Biarlah orang lain saja yang menekan like untuk status aku kerana aku tak mahu syok sendiri. Itu prinsip aku dan status yang Nor update sentiasa ada tempat di dalam hatiku.

Nor Aini Jamaludin
4 Jun 2016 at 13.09
Setiap yang bermula pasti ada akhirnya. Setiap yang hitam pasti ada putihnya. Setiap yang kabur pasti ada jelasnya. Dan setiap yang benci pasti ada sayangnya. Setiap yang sedih pasti ada gembiranya. Begitulah.. setiap yang hidup pasti ada matinya.

          Aku terus scroll wall facebook Nor dan membaca status seterusnya yang telah aku like. Hati aku tersentak seketika membaca status ini. Benar Nor, setiap yang hidup pasti ada matinya, kerana jawapan pada sebuah kematian itu sendiri adalah kehidupan.

Nor Aini Jamaludin
30 May at 21.52
Whatever you give to life, it gives you back. The hatred which comes out from you, will someday come back to you. Love other’s and love will come back to you. In Sha Allah.
Good night and have a sweet dreams.

             Status Nor yang seterusnya membuatkan aku menjatuhkan kepalaku lagi. Aku menyetujui setiap patah kata darinya. Dan, aku scroll lagi wall facebook Nor hingga ke penghujungnya. Sesungguhnya status-status yang Nor update, tiada satu pun yang tidak bermakna. Semuanya boleh dijadikan pengajaran dan ikutan. Nor terlalu istimewa di hatiku. Nor adalah insan kedua yang berjaya membuat aku sebak selepas pemergian Mohd Firdaus Mohd Zakri yang juga rakan facebook aku.

            Dua insan ini berjaya merampas hatiku. Fir dan Nor, berjaya singgah di dalam hatiku dan akan aku pastikan nama mereka berdua terus abadi hingga ke akhir hayatku, walaupun kami langsung tiada pertalian. Kami hanya kenalan muka buku. Aku sendiri tak pasti, bagaimana hati aku ini berjaya dirampas oleh mereka. Hati aku bukan mudah untuk dicuri, tapi sekali hati aku dicuri, sukar untuk aku melupakan segalanya. Ya Allah, berikan aku kekuatan..kerana sepanjang aku menulis berita ini, air mataku asyik merembes ke pipi tanpa henti.
......................................

              Tahun 1982, aku kehilangan ibu tersayang yang mengidap barah bertahun lamanya. Walaupun aku masih kecil dan masih tidak mengerti erti sebuah kehilangan, aku tetap menangis tapi tidak lama. Aku menangisi pemergian ibuku hanya sementara dan tidak berlarutan. Ibu tetap di hati dan aku redha dengan pemergiannya. Hanya doa yang mampu aku beri setiap masa selepas pemergian ibu. Tiada penganti yang mampu mengantikan tempat ibu di hatiku.

           Tahun 2003, ayah pula pergi buat selamanya. Ketika kakakku datang memberi khabar bahawa ayahku telah tiada, setitik air mata pun tidak hadir ketika itu. Usah ditanya mengapa, kerana aku takkan sesekali bercerita. Ianya merupakan sejarah paling pahit dalam hidupku untuk aku publishkan! Ketika kami pergi untuk menziarahi ayah buat kali terakhir, kami sudah terlambat kerana ayah sudah dibawa pergi ke pusara untuk disemadikan. Air mataku hanya bergenang di kelopak mata, namun tetap tidak mengalir walaupun setitis. Ya Allah, aku maafkan setiap kesalahan ayah dan aku mohon, agar Kau ampunkanlah dosaku, kerana hati aku terlalu keras saat ini.

            Tahun yang sama, abang ipar yang memelihara aku sejak aku berusia tujuh tahun pula pergi buat selamanya. Kali ini aku terkesan juga. Aku sempat menangis, walau tak seteruk orang lain. Sekadar menangis simpati, bila mengenangkan kakakku yang sudah menjadi balu, dan anak-anak saudara yang sudah menjadi anak yatim.

             Pemergian sebuah kehilangan, dan kehilangan yang seterusnya adalah ayah mertuaku. Dia seorang ayah mertua yang baik. Dia dan ibu mertuaku suka bercerita. Kalau aku bersama mereka berdua banyak cerita yang mereka kongsikan untukku. Kisah silam dan zaman lampau mereka. Ayah mertua aku juga suka membuat lawak selamba. Banyak juga ceritanya yang pernah aku kongsikan dalam cerpen aku. Ada, tapi biarlah rahsia!

...........................................

               Hidup kita adalah permulaan dan kematian adalah kiamat kecil kita. Selepas kita disemadikan, kita takkan kembali lagi untuk bernafas di dunia ini. Hanya amalan kita di atas dunia yang akan menentukan, sama ada kita tenang ataupun tidak di alam barzah sana.

              Tiada siapa pun yang akan tahu, bagaimana pengakhiran hidup kita. Senang atau susahkah kita ketika menghembuskan nafas terakhir. Aku pernah berpengalaman sebanyak dua kali, kehilangan oksigen di dalam darah dan ketika itu simptom yang aku alami adalah, sukar bernafas. Jangan tanya, bagaimana aku hadapi situasi itu, sebetulnya kematian itu adalah terlalu sakit. Ibarat ikan yang kekurangan udara dan terdampar di atas darat tanpa oksigen. Sakitnya tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Hanya kalimah shahadah yang mampu aku lafazkan di dalam hati berkali-kali.

           Pernah juga terjadi, tekanan darah aku naik mendadak, bila seorang nurse menyuntik aku dengan ubat untuk mengecutkan rahim. Doktor nak memudahkan aku, agar aku tak perlu disorong ke wad bedah untuk mencuci rahim, tapi mereka tersalah perhitungan. Aku tak tahu di mana silapnya.

                        Bila tekanan darahku naik mendadak, kepala aku sakit bagaikan ingin meletup. Hanya rintihan sakit yang mampu aku ucapkan, dan lafaz shahadah dan air mata yang terus menderu ke pipi ketika itu. Aku benar-benar berfikir, bahawa hayatku akan tamat di situ. Tapi, ternyata..banyak lagi hutang aku dengan Allah yang perlu aku bayar.

                        Allah nak aku terus hidup agar dapat bertaubat dengan setiap dosa-dosa yang pernah aku lakukan. Dosa yang mana? Allahu’álam..aku pun tak pasti. Jangan sangka kita tiada dosa. Hari-hari kita melakukan dosa, sama ada dalam keadaan sedar ataupun tidak. Hanya Allah yang Maha Mengetahui, dosa mana yang harus aku tebus.

.............................

              Pemergian terus terjadi berkali-kali. Bila sepupuku dikhabarkan telah pergi buat selamanya, aku diam tanpa kata. Kami tak rapat dan kami hanya kenal macam tu saja. Dia anak pak tam aku. Dia mati mengejut kerana serangan jantung. Dia masih sihat hari sebelumnya. Ternyata, kematian tetap menjemputnya dengan tiba-tiba. Allah tahu segalanya!

          Ketika aku menziarahnya buat kali terakhir, aku bertemu mak su, iaitu adik ipar kepada ayahku yang sudah lama tidak bertemu muka. Pengkhabaran darinya mengejutkan aku. Anak sulungnya yang pernah rapat dengan aku ketika zaman kecil kami, telah kembali mengadap Ilahi ketika remaja kerana mengidap barah tulang. Ya Allah, hati aku tersentak lagi.

          Sesungguhnya, kami memang ramai saudara mara, sama ada di pihak ibu ataupun ayah. Cuma, kami terpisah begitu lama, dan ramai yang aku tak kenal wajah. Kalau pernah kenal di zaman kanak-kanak pun, aku pasti sekarang ini semuanya sudah berubah dan aku tak tahu di mana mereka berada. Jarak tetap memisahkan kami. Bila terjumpa secara tidak sengaja begini dan khabar yang diterima adalah kematian, betapa peritnya jiwa untuk menerima segalanya, namun Allah yang menentukan segalanya. Siapalah kita untuk menolak suratan takdir? Kita juga bakal dijemput Allah, kerana kematian itu adalah sebab adanya kehidupan.

                Terjadi lagi kematian yang tidak disangka. Anak pak tam datang ke rumah kami untuk menjemput kami ke majlis kenduri di rumahnya. Aku tak pergi dengan perbagai alasan yang aku dan Allah saja yang tahu penyebabnya.

              Beberapa hari selepas itu, abang aku yang tinggal di Teluk Intan, Perak datang ke rumah bersama anak pak tam yang bongsu. Mereka membawa pengkhabaran sedih lagi. Sepupu aku yang datang untuk menjemput aku ke rumahnya itu sedang berada di dalam ICU selepas membuat pembedahan. Dia mengidap barah otak dan kenduri itu dibuat kerana dia bakal dibedah bila barah yang dihadapinya sudah berada ditahap kritikal. Matanya sudah mula kabur, dan aku sendiri pun tidak menyangka, dia ada barah otak ketika dia datang ke rumah kami. Dia nampak sihat seperti orang lain juga. Tiada tanda pun di wajahnya bahawa dia sedang menderita sakit barah otak. Tiada langsung!

               Kematian menjemputnya selepas sehari aku menziarahnya buat kali terakhir di ICU. Aku tahu pun selepas seminggu dia meninggal. Aku menghantar mesej kepadanya, bertanyakan tentang keadaannya, tapi mesej aku berbalas beberapa hari kemudian mengatakan, dia telah pergi buat selamanya meninggalkan kami semua. Allah lebih menyayanginya berbanding kami saudara maranya ini. Semoga dia tenang di alam sana. Aamiin Ya Rabbal Alamin.
......................

                Masa terus berlalu dan hati aku tersentak lagi. Beberapa orang rakan sekolah yang aku pernah kenal dulu juga telah pergi untuk selamanya. Salah seorangnya adalah rakan sekelasku dan pemergiaannya disebabkan oleh barah. Penyakit itu hanyalah satu penyebab, tapi kematian itu adalah pasti, walaupun berapa tahun pun kita diberi peluang untuk bernafas di atas muka bumi ini. Dunia ini hanyalah sementara, sedangkan di akhirat itulah yang kekal abadi. Mati hanya sekali, sedangkan hidup itu dua kali. Sekali di atas dunia ini yang sementara dan sekali lagi di akhirat yang kekal abadi.

            Pemergiaan sebuah kehilangan yang memisahkan kita dengan insan-insan tersayang yang pernah hadir di dalam hidup kita. Baik ataupun jahat kita di atas muka bumi ini, kita tetap akan dijemput pergi oleh Allah dengan perbagai cara. Allah mampu menghidupkan kita, dan dia juga akan mengambil kembali nafas yang diberikannnya.

          Beruntunglah bagi orang-orang yang pemergiaannya ditangisi dan didoakan. Beruntung juga bagi insan-insan yang pergi selepas bertaubat atas segala dosa-dosa yang pernah dilakukan. Ustaz kata, andai kita sudah hidup di atas dunia ini 60 tahun lamanya, ia bersamaan kita hidup hanya selama 90 minit, kerana di akhirat itu panjangnya masa satu hari di sana bersamaan dengan seribu tahun di atas dunia. Kita dah rasa, kita hidup terlalu lama, hingga ada yang sudah bosan dan mencabut nyawanya sendiri. Tapi, kita terlupa, sebenarnya hayat kita atas dunia ini tak sampai satu jam pun, terpulang berapa lama kita hidup.

            Ramai yang menyangka mereka sudah pintar dan tahu segalanya. Tapi...yang tahu segalanya itu hanyalah Allah! Anak muda yang suka merempit sangka mereka mampu mengubah takdir. Keseronokan berlumba motor adalah hobi mereka tanpa memikirkan risikonya. Mereka bukan saja akan meragut nyawa sendiri, malahan mereka sedang mempertaruhkan nyawa penguna jalan raya yang lain juga.

           Ramai juga yang ingin menjadi pembunuh kerana mereka sangka, mereka mampu merampas nyawa orang lain tanpa memikirkan akibatnya. Kalau boleh terlepas di dunia kerana kesalahan membunuh, jangan ingat boleh terlepas di akhirat sana. Kematian itu adalah kesakitan yang tidak terperi. Mungkin, pembunuh akan rasa seronok melihat mangsanya mengelupur selepas dibunuh, tapi bila tiba ajalnya, kesakitan yang dirasa mungkin lebih teruk dari mangsa yang dibunuhnya. Allahu’alam kerana, hanya Allah yang tahu bagaimana setiap kematian dan situasi bagaimana yang akan kita alami.

          Setiap yang hidup pasti akan mati, kerana itu adalah janji Allah. Dan penyebab sebuah kematian adalah kehidupan. Sedangkan Rasullullah, kekasih Allah itu pun kembali ke sisiNYA. Inikan pula kita, manusia biasa. Entah bagaimana pula nasib kita. Aku hanya sering bertanya, akan adakah insan lain yang akan menangisi pemergianku nanti? Yang paling penting, akan adakah insan yang akan merasa kehilanganku dan akan mendoakan ketenangan aku di alam barzah sana? Kalau ada, berungtunglah aku, itu tandanya Allah masih menyayangiku.

          Sebenarnya, pilihan terletak di tangan kita. Bagaimana pengakhiran hayat kita, bergantung kepada apa yang kita telah lakukan di atas dunia. Buat baikkah? Atau buat jahat? Tepuk dada dan tanyalah iman. Jahat atau baikkah kita?

          Pemergian sebuah kehilangan akan berakhir di sini. Aku pasti aku bakal kehilangan lagi, kalau bukan orang tersayang, aku mungkin akan kehilangan nafas aku sendiri. Entah bila dan bagaimana, aku berserah kepada Yang Maha Esa. Mudahan..aku takkan mati sebelum sempat dosa-dosa aku ditebus. Aku juga nak tenang di alam barzah dan hidup bahagia di akhirat. Moga Allah terus beri aku petunjuk dan aku akan pergi dalam keadaan yang mudah. Tak perlu menyusahkan orang lain dan pemergiaanku biarlah diiringi doa oleh orang-orang yang sentiasa menyayangi. Aamiin Ya Rabbal Alamin.

Nota Cinta Buat pembaca setia : Semoga anda juga tergolong dari hamba-hambaNYA yang beriman dan bertaqwa. Semoga anda juga tergolong dari insan-insan yang dilindungiNYA dan sentiasa diberi Hidayah olehNYA agar kita akan dapat bertemu di JannahNYA. Aamiin...

         

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.