Aku menulis apa yang aku tahu. Niatku berkarya hanyalah untuk berkongsi rahsia mindaku. Mudahan ada pengajaran yang akan diambil ikhtibar. Aku harap mesej yang cuba aku sampaikan difahami pembaca. Terima Kasih sudi singgah di blog ini! Terima Kasih atas sokongan semua! Aku hargainya,.kalian penyokong setiaku.
Sabtu, 30 Mac 2024
Enchik Sempurna VS Cik Simple
Emak suruh aku balik ke kampung dengan kadar segera, katanya ada sesuatu yang telah berlaku di kampung dan ada kena mengena antara hidup dan mati. Allah, rasa macam nak terhenti saja jantung aku mendengarnya. Bila aku tanya kenapa dan mengapa, emak terus putuskan talian. Bila aku dail semula nombor telefon emak, panggilan aku tak berjawab. Mahu atau tak, terpaksa aku ambil cuti kecemasan.
Aku selamat sampai di kampung dan jantung aku semakin laju berdenyut. Di halaman rumah kami ramai orang-orang kampung yang sudah berkumpul. Kenderaan memenuhi halaman rumah dan di kiri kanan jalan. Fikiran aku semakin buntu dan jantung aku terus bergetar hebat. Apa sebenarnya yang terjadi?
‘’Assalamualaikum..’’ aku memberi salam sebaik saja kakiku menjejak lantai. Semua mata memandang ke arahku. Wajah masing-masing serius tanpa riak. Ada mak ngah, mak su, mak lang, dan semua saudara maraku jauh dan dekat.
‘’Mak long! Nad dah sampai!’’ sepupu aku Azah melaung kuat dan aku melihat emakku terburu-buru keluar dan menghampiri aku.
‘’Masuk cepat! Kenapa tercegat lagi tu? Macam tak pernah tengok rumah.’’ Emak menyambut aku di muka pintu dan menarik tangan aku supaya masuk ke dalam rumah dengan segera. Aku masih bingung dan ingin bertanya namun lidahku kelu dan tak mampu untuk berfikir, soalan apa yang harusku tanya.
‘’Azah, kau bawa Nad masuk bilik dan siapkan dia cepat, rombongan sebelah sana dah on the way katanya tadi, mereka sampai karang, Nad ni masih serebeh lagi.’’ Mendengar saja kata-kata emak, langkah aku terus terhenti. Rombongan apa? Minda aku ligat bekerja.
‘’Rombongan apa mak?’’ akhirnya, keluar juga soalan tu.
‘’Rombongan bakal suami Nad la, tanya Nad asyik nanti-nanti, umur Nad tu bukan semakin muda..’’ aku rasa macam nak pitam mendengar kata-kata emak. Bakal suami? Aku belum bersedia nak bersuami. Aku trauma untuk hidup dengan seorang lelaki.
‘’Mak!’’ oktaf nada suaraku terkuat sedikit, kejutan yang aku dapat membuatkan aku hilang kawalan kendiri.
‘’Mak buat prank apa ni? Tak baik tau, mak buat Nad macam ni.’’
‘’Prank kepala hotak kau!’’ laju saja emak menunjal kepalaku.
‘’Dah! Pergi masuk bilik, siap cepat sebelum mereka sampai.’’ Uwaa..aku kena nikah paksa ke ni? Hati aku sudah menangis di dalam. Terbayang pula kejadian sepuluh tahun lepas dalam mindaku.Ngeri bila aku imbas kembali kejadian lalu.
************
‘’Sah?’’ aku mendengar suara abah yang menjadi jurunikah bertanya pada dua orang saksi di kiri dan kanannya, sedangkan tangannya masih mengengam erat tangan Mohamad Adam yang kini sudah berada di depanku.
‘’Sah.’’ Sebaik mendengar perkataan itu, hati aku dipalu dengan rasa sebak yang tak dapat ditahan lagi, lantas tanpa aku pinta dan tanpa izinku, air mataku pula terus meluncur laju. Sakit rasanya hatiku ini, telah diijab kabulkan dengan seorang lelaki yang tak pernah aku kenali sebelum ini. Inilah kali pertama aku melihat dia.
‘’Nad. Kau berangan ke? Angkat tangan la, orang tengah berdoa tu.’’ Tanpa sedar aku terus mengangkat tangan setingginya mengikut arahan Baiti yang berada di sebelahku.
‘’Kau ni kenapa Nad?’’ sambil tergelak Baiti menarik tangan aku ke bawah dan memberi isyarat supaya aku menadah tangan seperti orang lain. Sempat juga aku mendengar gelak ketawa beberapa orang yang turut ada dalam majlis ini.
‘’Kau berangan apa Nad? Cerita la, aku nak tahu jugak.’’ Baiti berbisik padaku, bibirnya sudah tersenyum nakal. Aku pula mengesat air mata yang sempat singgah di pipiku.
‘’Kau menangis ke Nad?’’
‘’Kau apa tau. Aku kena nikah paksa kot.’’ Aku berkata perlahan dalam nada sebak yang masih bersisa.
‘’Kau gila Nad, handsome kot suami kau tu. Tak nak, bagi kat aku la.’’ Aku menjeling Baiti dengan jelingan yang paling tajam. Ikutkan hati memang aku ketuk saja kepala budak Baiti ni. Dia ingat, wajah lawa tu boleh menjamin kebahagiaan?
‘’Nadia!’’ perbuatan aku dan Baiti yang sedang berbisik sesama kami terhenti, aku mencari suara yang memanggil namaku tadi.
‘’Ya abah..’’ aku menjawab panggilan abah dan tak semena-mena ruangan itu menjadi riuh dengan gelak ketawa.
‘’Isshh..budak ni, tak nampak ke Adam nak batalkan air sembahyang tu. Nak sarung cincin, bagilah tangan.’’ Abah bersuara serius. Aku terkaku lagi dan mataku dan mata lelaki yang sedang duduk mengadap aku kini bersatu. Ada rasa getar dalam dada. Tak lama kami bertentang mata, hanya sesaat saja dan Mohamad Adam di depan aku ni terus menundukkan wajahnya. Aku pula yang pelik. Eh? Wajah dia bertukar merah. Aku perhatikan dia yang ada di depan aku ni dengan seribu tanda tanya.
‘’Nadia!’’ suara abah lagi. Aku panggung kepala dan mencari wajah abah. Aku nampak abah mengelengkan kepalanya berkali-kali.
‘’Tangan awak..’’ suara lelaki yang telah memegang tangan abah kini menghulurkan tangannya ke arahku sambil memegang sebentuk cincin.
‘’Tak apalah, biar saya pakai sendiri.’’ Sambil berkata, aku terus merampas cincin dari tangannya dan menyarung ke jariku. Baiti yang berada di sebelahku terus mencuit pinggangku dan mengekek ketawa.
‘’Kau memang sempoi gila Nad, tak pernah lagi dibuat orang dan ini kali pertama aku tengok pengantin perempuan sarung cincin sendiri.’’ Sambil terus ketawa Baiti berbisik. Aku buat-buat tak dengar dan buat-buat tak peduli dengan lelaki di depanku yang sudah pastinya aura wajahnya sudah berubah keruh. Marah ke atau tersinggung? Kesah pulak aku!
‘’Ya Allah Nadia, kenapa buat perangai hodoh sangat ni?’’ aku dengar suara mak ngah yang ada di belakangku bertempik. Lelaki di depanku jangan cakaplah, sejak aku rampas cincin tadi, wajah dia dah merah semacam saja.
‘’Nadia memang tak suka saya ke?’’ dia bertanya perlahan, separuh berbisik.
‘’Eh? Mana awak tau? Awak serkap jarang eh?’’ aku membalas sambil menyeringai. Dia mengeleng, kemudian menoleh ke arah lain. Aku perasan sangat sejak tadi, dia yang macam tak suka aku. Nak tengok aku pun macam tak sudi.
‘’Tapi saya rasa awak yang tak suka saya. Sejak tadi awak tak nak tengok saya pun. Sekejap-sekejap, awak pandang ke arah lain.’’ Sekali lagi wajahnya merona merah bagai udang dibakar. Spesis udang ke apa, dia ni?
Dia mengeleng lagi, kali ni aku perhatikan dia lebih lama..terperasan juga telinganya yang turut berona merah. Marahkah dia? Dia sudah mula resah. Duduknya sudah salah tingkah.
‘’Nadia, jangan renung Adam macam tu, pitam dia nanti.’’ Suara seorang perempuan yang entah siapa. Mungkin yang hadir bersama rombongan tadi. Aku tak pasti. Tapi, selepas berkata begitu, mereka ramai-ramai ketawa. Semakin mengelabah lelaki di depan aku ni. Wajahnya semakin keruh macam air banjir lumpur layaknya.
‘’Kenapa kak? Suami saya ni sakit apa?’’ mulut tak berinsuran aku terus menyoal. Sempat aku menjeling emak yang berada di sebelah wanita tersebut. Emak membulatkan mata. Aku buat-buat tak nampak.
‘’Allahu Akhbar..anak bertuah ni, emak mertua dia dipanggilnya kak.’’ Sekali emak pula yang bersuara. Tergaman aku. Emak muda ke? Anggun lagi bergaya. Macam kakak dia saja. Takkan emak dia? Minda aku mula berteka-teki.
‘’Opppsss..’’ aku menutup mulut sambil tersengeh.
‘’Emak muda ke?’’ sekali lagi mulut tak berinsuran aku menyoal.
‘’Emak kandunglah!’’ emak aku yang menjawab disusuli dengan ketawa oleh orang lain.
‘’Oppss..sorry. Ingatkan kakak sulung dia.’’ Aku membalas sambil menuding jari ke arah lelaki yang sudah beranjak sikit dariku namun masih duduk di depanku.
‘’Maaflah Cik Yah, mulut Nad ni memang macam tu, harap Cik Yah tak kecil hatilah ya..’’emak meminta maaf bagi pihakku. Tiba-tiba perasaan bersalah menderu dalam diriku. Manalah aku kenal mereka siapa, tau-tau kena nikah.
‘’Tak apalah, Nad puji saya awet mudalah tu..’’ mereka ketawa lagi. Aku malas nak ambil kisah dan berganjak sikit menghampiri lelaki yang telah menjadi suami aku.
‘’Awak.’’ Aku cuit dia. Dia menoleh, sesaat saja, kemudian dia pandang emak dia kembali. Aku terasa hati. Muncung aku terjadi tanpa relaku. Nak menangis, macam tak patut sangat. Aku bangun dan menuju ke bilik.
‘’Nadia! Nak ke mana tu?’’
‘’Err..Nad pening mak, tadi sampai tak sempat rehat lagi ni..mabuk kereta tak habis lagi.’’ Sempat aku beralasan, padahal dah kecil hati.
‘’Kak Nad..orang nak ajak bergambar ni, takkan nak masuk bilik rehat kot. Malam karanglah tidur..’’ jurugambar tak bertauliah merangkap adik sepupu aku bersuara. Aku tengok muka dia dengan wajah untuk raih simpati. Aku ni letih mental dan fizikal tau.
‘’Malam karang? Kau rasa, boleh ke Nad berehat malam karang?’’ entah suara nakal siapa pula kali ini. Aku bosan hadap situasi macam ni! Serius, bosan tahap kritikal!
******************
Pose maut demi pose maut aku berikan pada jurugambar-jurugambar tak bertauliah dalam majlis ini. Suami aku pula macam kekok melayan gelagat kami. Semua jurugambar pula sangat nakal memerintah itu dan ini. Kadang-kadang rasa macam nak hempuk kepala semua jurugambar tu. Aku yang letih ni mereka buat-buat tak perasan pula. Suami aku lagi menyakitkan hati, langsung tak beri kerjasama.
‘’Abang Adam, dekatlah sikit..alaa, kak Nad tu nampak jer macam garang tapi dalam hati ada taman rama-rama tu.’’ Shidi merangkap sepupu aku, anak mak ngah memberikan arahan pada Adam yang seakan takut nak mendekati aku. Memang aku perasan sangat sejak tadi, macam dia pun dipaksa untuk nikah dengan aku.
‘’Awak, awak pun kena paksa nikah macam saya jugak ke?’’ aku tanya soalan cepugangsa padanya dalam nada berbisik.
‘’Maksud Nad?’’ dia bertanya balas.
‘’Ya lah, awak macam tak rela saja bergambar. Macam terpaksa rela jer.’’ Aku suarakan apa yang aku rasa. Aku dengar dia berdengus, macam marah sangat. Selepas itu, dia terus diam.
‘’Abang Adam, pandang muka kak Nad, pandang macam dalam filem tu bila hero renung kekasih yang dia cinta. Pandang sambil senyum mengoda.’’ Sepupu aku buat hal lagi, yang bukan-bukan saja dia minta. Aku pula terus mengikut arahan dan memandang wajah Adam. Dia mula mengelisah macam cacing kepanasan. Sah, dia memang kena nikah paksa macam aku jugak. Aku serkap jarang dalam hati.
‘’Kalau ya pun awak kena nikah paksa, janganlah tunjuk sangat.’’ Aku mula terasa hati melihat wajah Adam saat ini.
‘’Saya tak, tak ada siapa-siapa pun yang paksa saya nikah dengan Nad.’’ Aku renung wajah Adam sebaik saja dia selesai berkata-kata. Adam terus menoleh ke arah lain. Dia buat lagi. Wajah dan telinga dia kembali berona merah. Aku tak faham sungguh dengan situasi sekarang ni.
‘’Boleh tak, awak cakap sekali lagi apa yang awak cakap tu dan pandang wajah saya.’’ Aku membuat permintaan dan Adam terus menjauhkan diri. Kegelisahan di wajahnya jelas terpamer. Aku pula yang mendengus tak puas hati.
‘’Penipu!’’ hanya satu perkataan aku padanya dan menolak dia sedikit kasar. Sentap sangat tengok lelaki yang baru saja menjadi suami aku ni.
‘’Cukuplah tu! Kak Nad letih, lapar..’’ aku berkata entah pada siapa-siapa dan berlalu pergi. Sebal rasa hati. Kalau dah tak sudi tu cakaplah tak sudi, buat apa nak menipu bagai. Hatiku berdongkol di dalam. Sangat tak puas hati.
**************
Usai majlis dan semua tetamu sudah pulang, aku masuk ke bilik untuk berehat. Letak saja kepala di atas bantal, aku terus hanyut dibuai mimpi. Aku tersedar sebaik azan Maghrib berkumandang dari masjid berhampiran.
‘’Awak buat apa dalam bilik ni?’’ terkejut aku sebaik saja buka mata, ada lelaki yang sedang merenung aku tidur. Spontan dia melompat bangun dan menjauhkan diri.
‘’Awak ada buat benda tak elok masa saya tidur ke?’’ aku terus seranah dia tanpa usul periksa. Tetiba temperature badan aku naik mendadak, terus memanah jantung dan turun ke hati. Minda mula merangka cerita yang entah apa-apa.
‘’Kalau buat apa-apa pun, bukannya berdosa.’’ Eh? Aku renung dia tajam. Betullah tu, tak berdosa pun, tapi janganlah ambil kesempatan masa aku tidur. Minda aku mula membebel.
‘’Masa bergambar tadi macam tak sudi sangat nak tengok muka saya ni, eh? Masa saya tidur, sudi pulak awak pandang saya, kan?’’ aku berkata sambil senyum mengejek dan terus memandang lama ke arah Adam. Dia menoleh ke arah lain dan melangkah laju ke pintu bilik.
‘’Awak nak lari mana tu?’’
‘’Ambil wuduk, nak solat.’’ Tanpa menoleh ke belakang dia menjawab dan memulas tombol pintu.
‘’Tunggu! Saya nak mandi, kita solat jemaah.’’ Aku melompat bangun dari katil dan mencapai tuala. Buka almari dan keluarkan sehelai t shirt dan sehelai kain batik. Keluar dari bilik, aku cari Adam. Hilang sekelip mata.
‘’Cari apa Nad?’’ emak muncul dari dapur dan menyoal aku yang masih mencari kelibat Adam.
‘’Cari lelaki yang pegang tangan abah, ijab kabul Nad tadi. Macam pelesit, sekejap saja dah hilang. Dia ada ilmu ghaib ke mak? Mak tak siasat dulu ke menantu emak sebelum terima pinangan keluarga dia?’’
Pap! Laju emak menampar punggung aku. Kuat juga penangan tangan montok emak. Terpaksa aku gosok untuk melegakan rasa pedihnya, sambil memandang wajah emak yang sudah menjeling geram padaku.
‘’Belajar cakap elok-elok sikit Nad, dengar dek Adam mesti dia terasa hati.’’ Emak memberi amaran padaku. Aku jungkit kening dan melangkah ke bilik air. Rumah kampung, bilik air selalunya ada di dapur. Dalam bilik aku atau bilik sesiapa pun dalam rumah ni memang tak ada bilik air.
Kami hanya tiga beradik. Abang Nazri anak sulung, sudah berkahwin dan tinggal di kampung sebelah. Kakak aku Nazirah juga sudah berkahwin dan tinggal bersama mertuanya. Jarak rumah kak Nazirah dengan rumah abah tak jauh mana pun sebab kak Nazirah kahwin dengan orang sekampung. Bercinta sejak zaman sekolah lagi. Habis SPM terus kahwin.
Aku pernah gagal bercinta sepuluh tahun yang lalu. Bukan sekali gagal tapi berkali-kali. Pernah dua kali bertunang dan dua kali putus tunang. Aku pernah nyaris bernikah dengan seorang lelaki yang baru aku kenal tapi dia hilang masa hari pernikahan kami. Sebulan kemudian, aku dapat berita dia kena tangkap khalwat dengan kekasihnya seorang warga Indonesia.
Aku tak pernah berputus asa, hinggalah tragedi itu berlaku. Aku nyaris diperkosa oleh lelaki yang paling aku percaya. Dia berjanji nak hantar rombongan meminang dan bawa aku ke sebuah rumah dan katanya untuk perkenalkan aku dengan kedua ibu bapanya. Ternyata, itu hanyalah satu perangkap. Rumah tu kosong tanpa penghuni dan aku hanyalah umpan untuk memuaskan nafsunya.
Aku bingung dan letih untuk hadapi semua ujian yang Allah berikan hingga aku pernah bertanya pada diri sendiri, dosa apakah yang telah aku lakukan hingga aku bertemu lelaki-lelaki yang tak berguna itu? Pakaian aku simple dan aku menutup aurat seperti yang sepatutnya. Aku tak pernah pakai pakaian seksi. Aku solat dan puasa penuh. Cuma, bab zikir dan bersedekah saja aku kurang. Bukannya tak zikir dan sedekah lngsung, hanya sekali sekala saja aku buat.
Akhirnya, aku ambil keputusan untuk tak mahu bercinta lagi. Aku bersyukur sebab pernah terlepas daripala bala. Sepuluh tahun yang lalu, aku dapat selamatkan diri daripada lelaki durjana tu. Walaupun aku perempuan yang nampak lemah tapi aku belajar juga sikit-sikit seni mempertahankan diri. Belajar basic saja, bukan sampai dapat tali pinggang hitam pun.
Zaman sekolah dulu, aku memang aktif dalam segala hal. Aku aktif bercinta dan tak pernah berputus asa. Pergi satu, cari lagi. Aku juga aktif bersukan, semua sukan termasuk silat dan taek kwondo aku join. Satu yang aku tak aktif adalah masuk ceruk dapur. Aku jarang tolong emak di dapur, sampaikan telinga aku sudah bingit mendengar leteran emak, setiap kali aku ada di rumah. Mengemas rumah? Bilik sendiri pun aku kemas seminggu sekali, kalau malas sangat pun sebulan sekali. Kalau tinggal di kampung, kadang-kadang emak yang tolong kemaskan. Akukan wanita paling simple dalam dunia. Buat apa nak bersih-bersih selalu,/ kihkihkih…
‘’Nad..Adam dan abah kamu dah balik dari masjid, pergi panggil mereka makan. Mak dah hidang dah tu, suruh Nad bancuh air pun, masih lagi nak berangan. Sejam buat air sirap pun, masih tak siap lagi.’’ Sambil memberi arahan padaku, sempat juga emak membebel. Aku mencebik bibir dan terus mengacau air sirap. Ais ketul dalam peti ais, aku keluarkan.
Arahan emak aku turuti dan aku melangkah ke arah ruang tamu tapi tak nampak pula kelibat abah dan Adam. Aku menuju pula ke arah pintu bila melihat pintu depan terbuka luas.
‘’Buat apa tu abah?’’ aku melaung pada abah bila melihat abah dan Adam sedang berbual di luar rumah.
‘’Hal orang lelaki, Nad mana boleh tau.’’ Abah menjawab sambil ketawa. aku melihat Adam menuju ke arah keretanya dan mengeluarkan sesuatu lalu diberikan pada abah.
‘’Ya lah. Tu bini abah suruh masuk makan nasi.’’ Aku berkata kuat dan masuk kembali ke dalam rumah.
‘’Bini abah saja ke suruh abah makan nasi, habis tu menantu abah ni, bini tak ajak makan nasi sekali ke?’’ sayup-sayup aku dengar suara abah dan aku terus tersenyum. Lantak dia la abah, nak masuk makan ke tak. Anak abah ni malas nak ambil tau. Hati aku pula yang menjawab balas.
**************
Malam pertama aku bakal tidur sekatil dengan Adam. Memandangkan aku dah tidur puas selepas Asar tadi, malam ini mata aku payah nak lelap. Pukul 12 malam pun Adam masih belum masuk ke dalam bilik. Tv masih berbunyi di ruang tamu. Entah filem atau drama apa yang dia tonton. Aku pulak, sejak lepas Isyak tadi, aku layan drama Cina dalam laptop. Drama yang aku download dari Telegram. Drama 24 episod yang bertajuk Mr Perfect And Miss Casual.
Watak lelaki dalam drama ni menarik perhatian aku. Sejak episode pertama lagi, aku dah ketawa tak kering gusi. Pertemuan mereka antara pelajar Universiti dan professor. Dia seorang professor yang pintar tapi dia jadi dingin bila bersama perempuan. Sikapnya macam lurus bendul sikit dan tak pandai baca perasaan orang terutama perasaan seorang wanita. Watak heroin pula, macam advance sikit dan suka cakap lepas. Dia akan cakap apa yang dia rasa.
Aku cuba bandingkan watak hero drama ni dengan Adam dan watak heroin dengan aku. Ada persamaan tak? Entahlah. Aku tak pasti, baru sehari aku kenal dengan lelaki bernama Adam ni.
Sedang asyik melayan drama yang sudah separuh episode aku tonton yang ketika ini, hero dan heroin mula melafaskan cinta, tiba-tiba pintu bilik dibuka dari luar. Cepat-cepat aku tekan sleep pada laptop dan berpura-pura tidur.
Jantung aku sudah mula mengepam darah dengan laju. Bila terasa ada pergerakan atas tilam, aku berpura-pura tidur pulas dan mengeluarkan dengkuran kecil. Terasa pipiku disentuh lembut. Panas. Tubuh aku terus keras dan kaku. Eh? Adam cium pipi aku ke? Aku meneka dalam hati. Kemudian aku palingkan tubuh aku dan mengadap ke arah Adam dengan mata yang masih terpejam. Sengaja aku silangkan kaki dan meletakkannya di atas tubuh Adam. Sekadar untuk menguji Adam. Perlahan-lahan aku buka mata sedikit untuk melihat riak wajahnya.
Adam sedang merenung aku? Aku terus membuka mata seluas-luasnya. Adam terus kaku dan cepat-cepat berpusing membelakangkan aku. Eh? Aku bingung lagi. Aku pun berbuat perkara yang sama memberi belakang pada Adam dan cuba pejamkan mata.
Sejam, dua jam aku masih belum lelap. Adam pun sama, aku boleh rasa, dia juga tak dapat tidur macam aku. Akhirnya, aku buat keputusan untuk on laptop kembali dan sambung tengok drama Mr Perfect And Miss Casual. Aku guna phone telinga agar tidak menganggu Adam. Ralit aku melayan drama, aku perasan Adam sudah mengiring ke arahku sambil matanya juga sedang tertumpu pada skrin laptop yang ada di depanku.
‘’Best ke?’’ bersuara juga Enchik Adam di sebelahku ini. Ingatkan dah hilang suara.
‘’Bolehlah.’’ Aku menjawab malas.
‘’Boleh join?’’ aku menoleh ke arahnya sesaat. Macam pelik saja mendengar soalannya, padahal, aku dah perasan pun, dia sudah lama mengintai skrin laptop.
‘’Hurm..’’ malas sangat nak jawab. Nak tengok,, tengok sajalah. Aku berkata dalam hati. Adam pula terus tarik laptop dan letak di tengah-tengah antara kami dan duduk meyandar di kepala katil macam aku. Tak puas hati betul aku, nak marah pun, tak kuasa pula.
Kami tengok bersama-sama drama tu satu episode demi satu episode. Bila ada adegan lawak, aku gelak tanpa segan silu, bila ada adegan cium, aku terus skip dan tengok part seterusnya. Terdengar Adam berdengus bila aku skip tapi aku buat-buat tak perasan saja.
Sedar-sedar, bila aku menoleh ke arah Adam, dia sudah tertidur. Dan..malam pertama kami berakhir macam tu saja.
******************
Dua hari di kampung, aku pulang semula ke bandar untuk sambung bekerja. Adam ikut aku balik ke rumah sewaku tapi tak mahu masuk ke dalam rumah. Katanya, sekadar nak tengok rumah saja, kemudian dia pun pergi entah ke mana.
Hari minggu seterusnya, dia datang ambil aku sebab majlis menyambut menantu akan diadakan di rumahnya pula. Eh? Aku mula pelik. Rumahnya hanya di belakang taman perumahan yang aku tinggal. Dan, dia bekerja di pejabat sebelah tempat kerja aku. Macam mana aku boleh tak tahu? Aku bingug lagi memikirkan situasi ini.
‘’Selamat penganti baru Nadia, Encik Adam.’’ Ucapan daripada rakan sekerja Adam dan rakan sekerja aku yang datang ke majlis kami. Aku mula sedar, rupa-rupanya hanya aku yang tak kenal Adam,sedangkan Adam sudah lama kenal aku? Buktinya, ramai kawan-kawan Adam yang datang adalah rakan sepejabat aku. Salah seorangnya adalah kawan baik aku sendiri.
‘’Kau dah lama ke kenal dengan Adam?’’ Aku tanya Lina rakan sepejabat denganku, merangkap kawan baik aku di pejabat.
‘’Kau ni Nad, nak kata kau bengap, kau marah. Nak kata kau tak prihatin,memang pun kau tak prihatin. Adam tu hari-hari makan bersama dengan Mail di restoran depan pejabat kita tu. Dan, untuk pengetahuan kau, Adam yang suruh aku rekomen kau kat dia tapi, dia tak nak bercinta dulu, dia nak minang kau terus..jadi, aku bawalah dia dan mertua kau ke rumah mak ayah kau di kampung.’’ Terbuntang sesaat mata aku mendengar cerita Lina. Tak guna punya kawan. Pembelot! Hati aku yang berkata-kata, tak terlafas pula di bibir comelku ini.
‘’Setahu aku pejabat sebelah pejabat kita tu, pejabat persendiriankan? Eh, dia kerja sebagai apa ya?’’ aku menyoal Lina lagi, seolah-olah aku tak marah pun dengan apa yang dia buat. Macam redha saja dapat kahwin dengan Adam. Huhuhuhu..
‘’Laa..kaukan dah jadi isteri dia, tanyalah dia, buat apa tanya aku.’’ Sambil berkata, Lina tersenyum senget. Aku belasah juga dia ni.
Aku mengebam bibir menahan geram. Ya, aku mengaku, selama ni aku malas nak busy body hal orang lain. Aku hanya buat hal sendiri saja, sampai pejabat di sebelah aku pun, aku tak tahu pejabat apa. Siapa yang kerja di situ. Semuanya aku tak pernah ambil tahu.
**************
Sebulan sudah berlalu. Aku dan Adam sudah sebulan tinggal serumah. Adam membeli rumah sewaku daripada tuan rumah yang merupakan kenalan ayahnya dengan harga yang berpatutan. Adam adalah seorang pereka lanskap dan selepas dia tinggal bersamaku, rumah kami dah macam taman bunga di belakang dan depan rumah.
Rumah sewaku tak besar mana tapi ada laman yang luas untuk bercucuk tanam. Aku tak ada masa untuk bercucuk tanam sebelum ni. Setiap kali rumput di halaman panjang, aku hanya upah orang untuk menebas rumput.
Sejak Adam tinggal serumah dengan aku, dia yang rajin uruskan semua hal. Dialah yang masak dan kemas rumah. Halaman depan dan belakang rumah pun, dia yang uruskan. Adam tak boleh tengok rumah bersepah. Tuala yang aku sangkut di sofa pun menjadi alergik baginya.
Satu saja yang masih menjadi kemushkilan aku, walaupun dah sebulan kami tidur sebilik, aku masih lagi anak dara. Kata Adam, dia tak nak paksa aku. Dia nak bagi aku peluang untuk kenal dia dan mencintainya sepenuh hati. Aku hanya mampu tersenyum kelat mendengar kata-katanya.
Hari ini, aku nak uji Adam. Aku sudah mula rancang sejak seminggu yang lalu.
Aku pandang dia, dia pandang aku tapi bila aku renung dia tak berkelip, terus dia pandang ke arah lain. Aku tersenyum, dalam hati sudah terdetik idea nakal.
‘’Sayang..’’ aku panggil dia dengan nada manja. Dia menoleh perlahan. Aku tersenyum dan melirik manja. Aku melihat gerak gerinya, nampak macam sudah mengelabah.
‘’Sayang..’’ aku panggil lagi dan melangkah ke arahnya dengan senyuman yang tak pernah lekang di bibir.
‘’Stop!’’ dia berkata tegas sambil memberi isyarat tangan supaya aku berhenti.
‘’Kenapa?’ aku menyoal seolah-olah aku tak dapat membaca keresahan hatinya.
‘’Berhenti di situ!’’ nada suaranya semakin kalut bila aku buat-buat tak dengar dan terus menghampirinya.
‘’Nadia Aliyana!’’ senafas nama aku disebut dan dia terus mendepangkan tangan kanannya supaya aku berhenti. Aku tidak dapat menahan lagi gelodak rasa, lantas tawa aku terburai.
‘’Hurm..’’ dalam ketawa aku sempat kenyitkan mata dan mengundur ke belakang.
‘’Apalah nasib, dapat suami yang tak cintakan kita, nak dekat pun tak boleh.’’ Sengaja aku memancing reaksinya dan berkata begitu.
‘’Tak, bagi abang masa..’’
‘’Orang tak sudi, nak buat macam mana. Okeylah, kalau macam tu, Nad nak masuk bilik dulu. K bai..’’ aku berpura-pura merajuk dan melangkah pergi. Berpusing saja tubuhku, bibir aku tersenyum lagi.
‘’Nad, bukan macam tu. Nadia!’’ sayup-sayup aku dengar dia memanggil namaku. Biarlah dia dengan caranya dan aku dengan caraku. Sebulan tinggal serumah dan tidur sebilik juga sekatil tapi kami kami masih membawa haluan sendiri. Kadang-kadang kami masih melayan drama dalam laptopku bersama setiap malam sebelum tidur.
Aku dah habis tengok drama Mr Perfect And Miss Casual dan kini baru nak mula tengok drama Korea pula yang baru aku download. Belum mula tengok lagi, belum tahu plot ceritanya macam mana.
Aku mula berangan nak jadi Miss Casual dan cuba goda suami sendiri dengan caraku. Biarlah dia terus jadi Enchik sempurna dan aku Cik simple yang paling simple dalam dunia, namun harapan aku..agar perkahwinan kami kekal hingga ke Jannah.
‘’Nad..’’ Adam ikut aku masuk ke bilik dan memanggil namaku dengan suara yang perlahan tapi penuh romantis. Aku masih dengan mod merajuk aku, buat-buat tak dengar.
‘’Nad, dengar tak ni?’’ aku terus capai phone telinga dan kuatkan suara video. Bingit pula rasanya gegendang telingaku ini. Aku perlahankan kembali suara video.
‘’Nad, tak mau la macam ni. Bagi abang masa, okey..’’ dia masih cuba memujuk aku dengan antonasi suara yang sangat perlahan. Tangannya cuba memegang tanganku tapi aku sorokkan tanganku ke belakang dan mataku terus menatap skrin laptop seolah-olah dia tak wujud di sebelahku. Proteslah katakan..
‘’Minggu depan kita minta cuti, kita pergi honeymoon. Nak tak?’’ dia masih bersuara, aku nak tersenyum tapi aku tahan perasaan dan pura-pura fokus pada drama yang aku tonton, padahal satu adegan pun aku tak hadam.
‘’Tak baiklah, Nad buat abang macam ni..’’ dia pula bersuara rajuk. Eh?
Dia bangun dan keluar dari bilik. Macam tu saja ke pujuk aku? Atau, dia nak suruh aku pujuk dia pulak?
**************
Adam ajak aku pergi honeymoon. Yes! Aku gembira sangat, tapi aku tak tunjuk dan masih buat-buat jual mahal. Niat tu nak suruh dia pujuk aku.
‘’Nad sayang abang tak?’’ tak semena-mena dia tanya aku soalan tu. Apa aku nak jawab? Takkan tak sayang pulak, sedangkan selama ni dia layan aku macam permaisuri dan tunaikan semua permintaan aku. Dia yang buat semua kerja rumah dan masak semua yang aku nak makan.
‘’Entah..’’ aku ambil keputusan untuk main tarik tali saja.
‘’Macam mana nak pergi honeymoon ni? Nad pun masih tak tahu perasaan sendiri. Kita cancel la yer?’’ Pulak? Aku dah separuh excited nak pergi bercuti,, boleh pula dia cakap nak cancel.
‘’Eh..sayang, sayang..’’ laju saja aku menjawab balas. Nak pergi bercuti punya pasal. Aku nampak Adam mengulum senyum. Macam nak senyum tapi sengaja menahan untuk tersenyum.
‘’Betul?’’ dia tanya aku dengan wajah serius tapi ada sinar dalam matanya.
‘’Betullah?’’ aku jawab penuh yakin.
‘’Hurm..kalau macam tu, kita honeymoon sekaranglah. Boleh?’’ aku kerutkan kening. Maksudnya? Fikiran aku mula membayangkan sesuatu dan tiba-tiba terasa mukaku berbahang panas. Terus aku menolak Adam dan cuba melarikan diri.
‘’Nad! Tadi cakap dah sayang?’’ Adam melaung padaku yang sudah melarikan diri dan mengurung diri dalam bilik air. Kenangan lama kembali bertamu dalam fikiran. Wajah si pelaku yang cuba memperkosa aku kembali terlayar dalam fikiran dan aku terus menangis tanpa sebab.
Kenapa memori lama ini harus hadir saat aku ingin mengecap bahagia dan membina hidup baru? Bukankah aku yang cuba mengoda Adam sebelum ini dengan mengujinya? Kenapa hari ini bila dia ingin bersamaku, aku pula yang melarikan diri? Aku menjadi binggung dengan diri sendiri.’’
‘’Nad, tak apa kalau Nad belum bersedia. Abang takkan paksa Nad.’’ Sambil mengetuk pintu aku dengar suara Adam. Selama ini Adam yang ada masalah atau aku yang bermasalah? Aku tanya soalan itu pada diri sendiri.
Aku kesat air mata dan cuba mengawal diri. Aku pejam mata rapat-rapat dan cuba melupakan sejarah hitam itu. Aku cuba bayangkan wajah Adam dan mula memikirkan yang indah-indah saja saat kami bersama melakukan kerja rumah atau ketika aku dan dia berkebun dan bercucuk tanam. Adakalanya kebosanan melanda dan aku akan menolong Adam berkebun. Kadang-kadang aku tolong Adam memasak atau kami sama-sama mengemas rumah.
‘’Nad…’’ suara Adam semakin perlahan tapi tapi ketukan di pintu di bilik air semakin kuat kedengaran.
‘’Nad!’’ semakin lantang bunyi suaranya dan ketukan bertalu-talu dipintu mengesa aku memulas tombol pintu.
‘’Maaf, abang bukan nak takutkan Nad, abang..’’ belum sempat ayatnya habis, aku sudah berada dalam rangkulannya. Tak sedar bila aku maju dan memeluknya. Tubuh Adam terus kaku namun perlahan-lahan dia membalas segala perbuatanku. Aku sambung menangis dan cuba membuang bayang-bayang hitam yang bertamu sebentar tadi, apa yang aku inginkan sekarang, hanyalah kebahagiaan.
************
Kami pergi honeymoon ke Langkawi saja, di Malaysia pun banyak tempat-tempat cantik dan menarik. Aku ingin hidup bahagia bersama Adam dunia hingga Akhirat. Aku belajar menerima Adam seadanya dan aku berharap Adam juga begitu kerana tiada manusia pun yang sempurna atas muka bumi ini. Ya, semua orang ada kelemahannya dan aku pasti untuk menjadi pasangan yang serasi dalam semua hal adalah sangat sukar.
Perjalanan kami ke Langkawi sangat lancar dan selamat tiba ke destinasi. Kami menyewa sebuah bilik chalet yang terletak di tepi Pantai. Menarik kawasan sekitar chalet ni dengan pemandangan laut yang terbentang luas dan pasir Pantai yang memutih.
‘’Nak makan di mana? ‘’ soalan Adam padaku sebaik aku melabuhkan punggung di atas katil melepaskan lelah.
‘’Nak makan seafood. ‘’ jawabku selamba sambil mengukir semyuman paling manis buat Adam.
‘’Kejap, nak buat research restoran seafood viral dalam MEDSOS.’’ Sambil berkata Adam mengeluarkan I-phone dan mulakan pencarian dalam internet.
‘’Banyaklah restoran seafood, nak pergi restoran yang mana satu?’’ Adam bersuara lagi sambil menghulurkan I-phonenya padaku. Tanpa berlengah, aku menyambut I-phone Adam dan mula menonton video-video yang tersenarai dalam satu laman social dan memilih restoran tepi pantai yang paling cantik dan banyak pilihan makanan.
Restoran ni, boleh?’’ aku menghulurkan Kembali I-phone Adam padanya.
‘’As you wish sayang.’’ Perlahan Adam menjawab namun aku masih dapat menangkap patah demi patah perkataannya.
‘’Apa? Sayang? You panggil siapa, sayang?’’ sengaja aku menyakat Adam dan bertanya semula padanya. Adam terus melangkah laju menuju pintu.
‘’Adam!!!’’ aku memanggil Adam dan mengejarnya.
**********
5 TAHUN KEMUDIAN….
‘’Akram, Alan, Althaf, Aamina, Aira..dah siap ke belum? Cepat sikit bersiap tu, awal kita bertolak, awal kita sampai rumah nenek nanti..’’ aku memanggil nama kelima orang anak-anak kami, rezeki kami murah kerana dua kali melahirkan kami sudah ada lima orang anak dalam sekelip mata. Akram, Alan, Althaf anak sulung kami yang dilahirkan kembar tiga, tiga tahun kemudian aku lahirkan Aamina dan Aira juga kembar perempuan seiras.
Dengan kehadiran lima orang penyeri rumah tangga, hidup kami adakalanya sangat bahagia, namun adakalanya sangat kucar kacir dengan gelagat mereka berlima. Letih dan lelah melayan kerenah mereka kadangkala terbayar dengan gelak ketawa mereka.
‘’Sayang, baju melayu abang masukkan sekali tak, nanti abang nak tarawih di masjid tak ada baju pula nak pakai.’’ Aku memandang Adam atas dan bawah.
‘’Abang ni, kan..Nad dah suruh abang masukkan sendiri tadi,kan? Nad ni dengan baju budak-budak lagi, mana nak fikir baju mana Nad nak bawa, itu ini semuanya Nad, abang settle la barang-barang abang sendiri.’’ Darah aku mula mendidih, beginilah Adam, kadang-kadang sejuk hati aku bila dia tolong aku buat kerja rumah, kadang-kadang manjanya mengalahkan anak-anak.
‘’Yalah, yalah..abang masukkan sendiri. Nad ni kenapa? Sengugut ke, or tak pun nak dapat baby lagi?’’ Adam menyeringai sehabis berkata-kata. Aku mencerlung tajam ke arahnya.
‘’Tak cukup lagi lima orang tu? Ada hati nak tambah lagi?’’ aku membalas garang dan menjeling sekilas ke arahnya sebelum meneruskan kerja-kerjaku mengemas apa yang patut.
‘’Mana cukup lima orang. Abang nak sedozen, baru meriah, boleh buat team bola sepak.’’ Sambil berkata Adam ketawa. Hati aku yang meledak di dalam.
‘’Orang lelaki memanglah, sedozen konon, tu bila Nad cakap tak nak, mesti nak minta izin nikah lagi, kan?’’ tetiba aku terover sensitive. Aku terus membebel sambil tangan mula menghempas barang satu persatu masuk dalam beg.
‘’Allahu Akhbar Nad. Abang gurau ja pun. Tak apalah, Nad dah letih tu, biar abang yang buat semua ni. Nak masukkan apa lagi dalam beg ni, semua dah ada ke, tak ada yang tertinggal?’’ Adam cuba mengambil alih tugasku dan menolak aku ke tepi dengan lembut. Aku merenung tajam ke arahnya. Nak ambil hati aku la tu?
‘’Tak payah! Sibuk jer la..tepi-tepi..biar Nad yang buat semua. Abang uruskan kerja abang. Baju-baju abang tu masukkan sendiri. Tak kuasa Nad nak pack baju-baju abang.’’ Hati aku mula menyingga. Begitulah Adam, suka bergurau tak kena tempat dan masa. Selalu buat aku benggang, lepas tu akan pujuk aku sesuka hatinya. Kadang-kadang memang aku terpujuk, kadang-kadang aku sengaja keraskan hati, nak tengok sejauh mana dia berusaha untu pujuk aku.
‘’Alolo..cayang bucuk abang ni..’’ Adam geletek aku dan membuatkan aku ketawa tanpa sedar..
‘’Abang ni, kenapa?’’ aku tepis Adam bertalu-talu. Geram pula aku bila Adam main kasar macam ni. Aku baru niat nak mogok suara. Tak nak cakap dengan dia, biar padam muka terpaksa layan orang bisu bercakap.
‘’Bulan puasa ni Nad, takkan letih pun Nad nak mengamuk. Tak baikkan, tinggikan suara dengan abang.’’ Masih lembut suara Adam cuba menjernihkan keadaan. Aku menoleh ke arahnya dan menyeringai.
‘’Okey..abang nak buat sangat,kan. Buatlah, Nad nak tidur, nanti nak bertolak, kejutkan Nad.’’ Aku sengaja mengambil kesempatan dalam kesempitan. Aku cuba bangun dan ingin berlalu ke katil tapi dengan pantas Adam memaut lenganku.
‘’Kita dah nak bertolak ni sayang, nanti sayang tidur sajalah dalam kereta. Kalau sayang pergi tidur sekarang, pukul berapa kita nak sampai kampung? Abang tak nak berbuka dalam kereta.’’ Adam tayang wajah serius walaupun suaranya masih perlahan dan bernada sedikit romantis.
‘’Okey..Nad tunggu dalam kereta, nanti abang bawa semua barang-barang masuk dalam bonet kereta..’’ sekali lagi aku ingin berlalu pergi.
‘’Anak-anak macam mana? Takkan Nad nak suruh abang uruskan mereka semua? Boleh pengsan abang.’’ Adam tayang wajah resah. Aku mula menyimpul senyum..
‘’Mama..Along dah siapkan adik-adik. Kita dah nak bertolak ke mama?’’ Akram datang ke bilik diikuti empat orang adik-adiknya. Walaupun baru berusia empat tahun, anak-anak kembar kami sudah pandai melayan kerenah Aamina dan Aira yang masih kecil.
‘’Jom..kita tunggu abah dalam kereta.’’ Sambil berkata aku tersenyum dan mengenyit mata pada Adam. Dia jatuh terduduk dan menepuk dahi memandang beg-beg besar yang sarat berisi baju anak-anak dan bajuku.
‘’Sayang..’’ sayup-sayup aku mendengar suara Adam memanggilku. Aku tak menoleh pun dan memimpin Aamina dan Aira kiri dan kananku.
‘’Sayaaaannnggg…’’
‘’Cepatlah! Nanti lambat sampai, berbuka dalam kereta pulak!’’ aku melaung dari depan pintu. Bibir tersenyum kemenangan. Baru Adam tahu, ingat senang ke nak mengemas dan menjaga anak serentak?
********
Perjalanan jauh tak ku rasa
Kerana hatiku melonjak sama
Ingin berjumpa sanak saudara
Yang selalu bermain di mata
Nun menghijau gunung, ladang dan rimba
Langit nan tinggi bertambah birunya
Deru angin turut sama berlagu
Semuanya bagaikan turut gembira
Balik kampung..oh, oh, oh, balik kampung
Oh, oh, oh, balik kampung
Hati girang..
Oh, oh, oh balik kampung
‘’Oh, oh, oh, balik kampung..hati girang..’’ lagu Balik Kampung yang berkumandang dalam kereta kami nyanyikan bersama. Sambil itu tubuh kami digoyangkan mengikut rentak lagu. Adam yang memandu pun tak terkecuali menyanyi dan mengikut irama lagu yang didendangkan. Lagu raya paling legend yang tak pernah lekang dek zaman walaupun penyanyinya dah lama arwah.
Perjalanan jauh tak ku rasa
Kerana hatiku melonjak sama
Ingin berjumpa sanak saudara
Yang selalu bermain di mata
Nun menghijau gunung, ladang dan rimba
Langit nan tinggi bertambah birunya
Deru angin turut sama berlagu
Semuanya bagaikan turut gembira
‘’Balik kampung..oh, oh, oh.. balik kampung, hati girang. Terbayang wajah-wajah yang ku sayang. Satu-satu tersemat di kalbu. Pasti terubat rindu di hati, menyambut kepulangan ku nanti. ‘’
Kepala turut dilenggokkan dan bahu juga bergoyang kiri dan kanan. Anak-anak juga turut menyanyi bersama. Aamina dan Aira yang masih belum petah berkata-kata pun cuba juga untuk menyanyi.
Di hari raya terkenang daku kepada si dia
Kampungku indah nun jauh di sana
Ayah serta bondaku
Di tepian mandi danauku hijau yang damai selalu
Di sanalah tempatku bertemu
Aku dan dia
‘’Mamalah tu, jumpa pak we kat tepi danau.’’ Bila lagu Dendang Perantau pula yang berkumandang, Adam berkata sambil mengerling ke arahku di sebelahnya,
Apakan daya, masa tak akan kembali
‘’Hancur musnahlah semuanya.’’ Adam menyanyikan lirik seterusnya dengan suara yang kuat. Aku mengebam bibir menahan geram. Aku tahu Adam sengaja nak sindir aku.
‘’Impian yang murni, tinggal menjadi kenang-kenanganku..hanyalah rangkaian kata dan lagu, dengdang perantau.’’ Aku pula menyannyi lirik seterusnya seolah-olah aku tak dengar kata-kata Adam sebentar tadi.
‘’Mama, danau tu apa?’’ Alan menyoalku santai. Biasalah budak-budak mesti ada keinginan untuk tahu segalanya.
‘’Entah. Tanya abah.’’ Aku juga menjawab santai sambil mengerling Adam.
‘’Abah kata mama jumpa pak we di tepi danau, takkan mama tak tahu danau tu apa?’’ Alan menyoal lagi. Aku dengar Adam ketawa.
‘’Abah karang novel tu, mama mana ada pak we.’’ Aku menyangkal kata-kata Adam sebentar tadi. Mesti Along yang cerita padanya kisah aku dating dengan cinta pertama aku di tepi perigi di belakang rumah opah.
Apakan daya, masa tak akan kembali
Hancur musnahlah semuanya
Impian yang murni
Tinggal menjadi kenang kenanganku
Hanyalah rangkaian kata dan lagu
Dendang perantau…
‘’Percayalah sangat, mama tu tak ada pak we. Abah ni entah lelaki yang ke berapa..’’ nada suara Adam berubah rajuk. Aku tersenyum simpul dan terus mendapat idea untuk menyakat dia.
‘’Yang ke seratus kot..’’ aku menjawab selamba dan memegang dagu seolah-olah sedang berfikir dan mengimbas masa lalu.
‘’Darwish, Danial, Hanif, Hassan, Aqi, Arqam, Amran, Soleh, Nasrul, Nasri, Zamri..’’
‘’Amboi-amboi, sedar sikit lelaki mana yang ada di sebelah awak ni Nad.’’ Aku ketawa selambak mendengar teguran Adam. Mulalah juga, aku follow ja.
‘’So..enchik Adam, sebelum Nad, berapa orang mak we awak ada?’’ aku mengajukan soalan untuk Adam pula.
‘’Sayang cinta pertama dan cinta terakhir abang.’’ Aku membulatkan mata. Tak percaya langsung.
‘’Seriously?’’ aku menyoal sambil tersenyum yang tak ikhlas. Senyum yang penuh kepura-puraan.
‘’Cinta hingga hujung nyawa ke abah?’’ tak semena-mena Althaf pula yang menyoal. Aku dan Adam menoleh ke arah Althaf serentak.
‘’Tuuu..abah tak pastilah. Kena tanya mamalah, nak ke dia sehidup semati dengan abah.’’ Adam mengerling ke arahku sekilas dan memandang ke hadapan semula. Lagu-lagu raya terus berkumandang bersilih ganti.
‘’Abang pernah dengar tak lagu raya Dato Seri Vida, Muah-muah Raya?’’ aku tukar topik kami. Lagu raya tahun 2024 ni entah apa-apa. Tak minat langsung nak dengar.
‘’Kenapa pula dengan lagu tu?’’nampaknya Adam juga tak berminat untuk menyambung topik kami.
‘’Lagu-lagu raya terbaru ni satu pun tak best. Entah apa-apa..’’
‘’Betul..lagu legend juga yang paling best, tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas..’’
‘’Kan..abang, kan..’’
Dari Jauh Ku Pohon Maaf
Dalam dingin subuh
Hatiku terusik
Kenang nasib diri di rantauan
Bergema takbir raya
Menitis air mata
Terbayang suasana permai desa
Rindu hati ini
Inginku Kembali
Pada ayah bonda dan saudara
Tetapi, aku harus mencari rezeki
Membela nasib kita, bersama
Hanya ku sampaikan doa dan kiriman tulus ikhlas
Dari jauh ku pohonkan ampun maaf..
Jangan sedih pagi ini
Tak dapat kita bersama
Meraikan Aidilfitri yang mulia
Restu ayah bonda
Ku harap selalu
Hingga aku pulang, kepadamu…
Lagu-lagu raya terus berkumandang disusuli perbualan santai kami sekeluarga. Aamina dan Aira pula tertidur di pertengahan jalan hingga sampai ke kampungku. Tahun ni Adam nak beraya di kampung dan kami ambil cuti seminggu sebelum raya. Adam, kan ada bisnes sendiri, jadi bukannya masalah besar pun kalau cuti lama sikit. Aku pula jadi suri rumah tangga lepas kembar tiga lahir. Tak sanggup untuk menghantar mereka ke rumah asuhan kanak-kanak, jadi aku korbankan kerjayaku demi anak-anakku.
Inilah kehidupanku sekarang, sekejap bahagia, sekejap murung, sekejap sedih bila masalah tak pernah habis. Dengan kerenah anak-anak dan kerenah Adam yang kadang-kadang matang, kadang-kadang bersikap acuh tak acuh, kadang-kadang bila aku merajuk, dia pun nak merajuk. Hanya kesabaran dan kekuatan mental saja yang membolehkan aku untuk terus bertahan dalam kehidupan aku hari ini. Nasiblah masih ada sokongan moral mak dan abah. Ujian dan dugaan akan terus datang selagi aku bernafas. Bersyukurlah, aku masih hidup dan ada suami juga anak-anak yang sering memberi aku kekuatan walaupun separuh masalah aku datangnya daripada mereka. Jika direnung kembali, aku juga banyak kekurangannya. Nobody perfect, sama-samalah kami harunginya dan saling melengkapi antara satu sama lain.
*******TAMAT******
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Cacamarba pulak yang masuk..entah apa2 blog ni, mentang2 la dah lama tak update, buat hal pulak?
BalasPadam