Selasa, 11 Jun 2013

KASIHNYA IBU





                   SEJUK terasa mencengkam hingga ke tulang. Entah kenapa pagi ini hatiku tiba-tiba jadi begitu sayu. Aku pandang ibu yang sedang berbaring di sebelah. Lesu dan pucat wajah ibuku itu. Sudah 3 bulan ibu terlantar sakit. Ibu disahkan mengidap kanser hati. Sayang, penyakit ibu hanya dapat dikesan pada saat-saat terakhir. Penderitaan ibu tentu tidak tertanggung olehnya. Aku sendiri ingin berkongsi penderitaaan itu bersama ibu. Tapi mustahil sangat.

                 Dalam asyik aku mengamati wajah ibu, aku tersedar ibu seakan sukar bernafas. Aku terkesima. Abah, mana abah? Baru aku ingat, abah sudah keluar ke masjid. Hanya aku menemani ibu di rumah.

              "Ibu..kenapa dengan ibu ni? Ibu.." aku cemas. Ibu semakin nazak. Nafas ibu turun naik.

                "Ibuu...jangan tinggalkan Ila bu. Ila sayang ibu. Ibuu..kenapa ibu?"

              "Ibuuu..."

                     Aku menangis sayu. Ibu semakin lemah. Apa yang harus aku lakukan saat-saat getir seperti ini? Kenapa abah lambat pulang? Aku pandang lagi wajah ibu. Aku dekatkan bibirku ke telinga ibu dan mengajar ibu melafazkan kalimah shahadah.

                    Akhirnya aku lihat ibu terkulai. Aku pasrah pada ketentuan takdir. Tapi hatiku bagai terhiris sembilu melihat ibu yang sudah pucat lesi dan sudah tidak bernyawa lagi. Di keheningan subuh pagi, aku menangis sayu mengenangkan ibu yang sudah pergi meninggalkan kami untuk selama-lamanya.


               Ibuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuu….aku meraung di dalam hati. Tiada dayaku untuk melawan ketentuan takdir. Inilah suratan yang harus aku tanggung. Ibu yang amat ku sayangi telah pergi untuk selamanya. Tiada lagi tempat untukku bermanja dan mengadu domba. Selama ini ibulah tempat aku meluah rasa. Tempat aku membisikkan cinta dan cerita luka. Susah dan senang, ibulah yang akan aku cari dulu. Kenapa takdir berlaku tidak adil padaku. Aku masih memerlukan ibu.

              Ibuuu...titisan air mataku terus membasahi pipi. Sarat dengan seribu kesedihan.

               Abah, cepatlah pulang. Kak long, Angah, Alang..ibu dah pergi dari hidup kita. Macam mana kita nak hadapi hidup ini tanpa ibu? Aku mengongoi sayu. Jenazah ibu aku peluk erat. Pipi ibu aku cium bertalu-talu.

                Ibuuuu...

*********************

                RIUH rendah rumah hari ini. Dari dapur hingga ke ruang tamu. Sudah seminggu ibu meninggalkan kami semua. Biarpun kesedihan itu masih terasa, tapi aku terpaksa redha jua. Hari ini kenduri arwah dan tahlil untuk ibu. Semoga roh ibu di tempatkan bersama orang-orang yang beriman. Itulah harapan kami sekeluarga.

            “Adik, kenapa termenung lagi tu? Mari sini, tolong kak Long.”  Suara kak Long mengejutkan aku. Hari ini semua adik beradikku berkumpul. Abah, Along, Angah dan Alang, semuanya ada.

               “Sudahlah tu dik, relakan pemergian ibu. Ibu dah selamat. Dah seminggu pun ibu pergi. Along, Angah dan Alang pun sedih juga. Abah lagi la sedih.” Angah pula bersuara. Aku hanya memandang dan menghadiahkan mereka senyuman. Walau senyumanku dah hilang serinya.

               Along mengusap-usap belakangku. Pandangan kami bersatu. Ada air mata ditubir matanya. Cepat-cepat Along melarikan pandangannya. Aku pandang pula wajah Angah, sempat aku lihat Angah menyeka air matanya. Pemergian ibu benar-benar merobek hati kami. Abah, Along dan Angah, aku lihat begitu tabah menerima semua dugaan ini. Hanya aku yang merasakan begitu kehilangan.

              “Dah la tu, jangan bersedih lagi. Ibu dah tak ada. Kita doakan saja, moga ibu tenang di sana. Bangun, bangun..banyak lagi kerja yang nak di selesaikan. Kejap lagi orang masjid dah nak sampai. Kalau kita asyik nak bersedih, bila kerja nak selesai. Hidup mesti diteruskan..” Along cuba mematikan kesedihan kami dan bersuara ceria. Kami semua bangun dan menuju ke dapur. Nasib baik ada jiran tertangga yang datang membantu. Memasak dan sebagainya. Kalau tak, tak  tahulah apa yang harus kami lakukan.

                 “Entahlah Kak Long, Kak Ngah..adik rasa macam hidup ni dah kosong. Tanpa ibu, adik rasa macam hidup adik ni dah tak da makna lagi dah. Seolah-olah..entahlah. Adik pun tak tahu macam mana nak cakap.” Sayu tiba-tiba merasuk perasaanku. Aku seka air mata perlahan-lahan. Kenapa terlalu pedihnya untuk terima hakikat?

            “Akak faham dikk, tapi adik kena kuat. Kesian abah, kalau adik terus macam ni, tentu abah lagi sedih. Sabarlah dikk, hmm..”

           “Bagi adik, ibulah segala-galanya. Tempat adik meluahkan perasaan. Nanti adik nak luah pada siapa lagi. Abah tentu sibuk. Kak Long, Kak Ngah dan Abang Lang pun bukannya selalu ada di rumah. Hanya ibu di sisi adik selalu.”

              “Adikk, kenapa cakap macam tu sayang? Tak baik tau. Adiklah, satu-satunya adik kesayangan keluarga ni. Dah la tu. Adik merintih dan bersedih macam ni pun, ibu takkan kembali dikk. Akak tahu, adik akak ni sorang yang kuat dan tabah.”

******************

~Kasihnya ibu membawa ke syurga~
~Kasihnya ayah semasa berada~
~Kasihnya saudara menumpang bermanja~

            “Kalau kasihkan diri sendiri macam mana ya?” Aku bermonolog sendirian. Memang tiada siapa di rumah. Abah dan Kak Long macam biasa meneruskan kerja mereka. Kak Ngah dan Abang Lang balik semula ke kampus menyambung pelajaran mereka yang terbengkalai. Aku? Sendirian lagi. Apa yang nak aku buat hari ini?

KASIHNYA IBU
Ibu, hilang sudah tempat bermanja,
Mencari ganti takkan serupa,
Hanya kasih sayangmu yang sering ku damba,
Kasihmu ibu tak mungkin ku lupa,
Ku bawa kasihmu hingga hujung nyawa,

Ibu, perginya dirimu aku derita,
Kerana kasihmu ibu sudah tiada,
Apa lagi yang akan ku pinta,
Selain berserah pada Yang Esa.

Anakmu Yang Merinduimu
Intan Suhaila Sofiyan
Aku karangkan bait-bait puisi yang ringkas untuk kenangan. Sesungguhnya kasih sayang seorang ibu memang sukar di ganti. Dialah ibuku dunia dan akhirat.

                                                        ~TAMMAT~         
Nota : Al-Fatihah buat arwah ibuku, Tom Binti Isa. Juga buat arwah ayahku, Salleh Bin Shafie. Tak lupa buat arwah abang ipar yang membesar dan menyekolahkan aku, Md Desa Bin Awang Kechil. Juga buat arwah ayah mertuaku, Yusop Bin Kasim. Al-Fatihah juga untuk emak mertuaku, Romlah Binti Kassim, semoga Allah panjangkan usianya dan diberi kesihatan yang baik. Tak lupa juga buat kakakku yang memberikan aku kasih sayang sejak aku tinggal bersamanya hingga aku bergelar seorang isteri, Ruhani binti Mustafa. Tanpa mereka semua, aku dan suami mungkin takkan wujud di atas dunia ini. Hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya. Sebagaimana mereka memberikan kami kasih sayang, begitu jugalah harapanku, mudah-mudahan Allah ampunkan dosa mereka dan merahmati mereka. Yang telah pergi, semoga mereka aman di alam barhzah sana. Yang masih hidup, semoga Allah beri kesempatan untuk terus beramal ibadah dengan sempurna. Aamiin Ya Rabbal Alamin..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.