Jumaat, 17 Jun 2016

Malangkah Nasibku?



  Reunion? Perlukah aku pergi, dan bertemu dengan mereka? Siapa aku ini? Hanya seorang wanita yang bernasib malang. Jatuh bangunku seorang diri, tiada yang sudi membantuku disaat ini. Wanita malang yang kini hanya sebatang kara. Ibu dan ayah sudah pergi mengadap Ilahi. Ada suami sudah diceraikan. Ada anak, dilarikan ibu mertua yang tak sudi menerima aku sebagai menantu. Cucunya yang aku lahirkan, dia nak pula? Waris dia kononnya. Habis, aku ni bukan waris sah anak aku ke? Aku yang lahirkan cucu dia.

              Reunion selepas lapan tahun terpisah dan mereka sudah membina kerjaya sebagai orang yang dikenali seluruh rakyat Malaysia. Masing-masing sudah menjadi selebriti terkenal. Lyana Nasuha, siapa yang tak kenal dia. Seorang penyanyi yang sedang meningkat naik ketika ini. Wajahnya ada di setiap majalah. Page Lyana Nasuha di dalam Facebook pun sudah ada berjuta pengelike.

             Aiman Azahari, seorang doktor yang sering muncul di skrin tv. Dia juga sudah menjadi seorang doktor selebriti yang berjaya. Namanya juga sudah menjadi sebutan ramai. Dia pula anak seorang Tan Sri. Keluarga ternama dan sudah lama dikenali ramai.

             Azrul pula seorang pelakon sejak kecil lagi. Kini kerjayanya sebagai seorang pelakon semakin kukuh. Dia mendapat anugerah pelakon terbaik beberapa kali. Filem terakhirnya meletup dan mendapat sambutan hangat.

          Mohammad Syaukie, dia menjadi model Antarabangsa. Wajahnya yang kacak dan berkulit putih kemerah-merahan itu memang sering menjadi perhatian pelajar-pelajar perempuan sejak zaman sekolah lagi. Dia cukup mengambil berat tentang penjagaan diri melebihi kaum wanita.

           Aku? Intan Nasuha Binti Ikbal, dulu hidup aku juga setaraf dengan mereka. Ayah aku seorang bisnesman yang berjaya, tapi ketika aku sedang belajar di sebuah Institut Pengajian Tinggi, syarikat ayah aku mengalami krisis dan ayah aku meninggal kerana tekanan darah tinggi sebab tak dapat menerima kenyataan syarikat yang dibinanya dengan hasil titik peluh sendiri, bankrup sekelip mata.

                  Setahun selepas ayah aku meninggal, ibu aku pula diserang strok dan aku terpaksa berhenti belajar dan bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang merupakan bos di tempat aku membuat kerja part time. Dia membuka sebuah restoran dan keluarganya agak berada. Kami bernikah senyap-senyap tanpa pengetahuan keluarganya dan hanya berwakil walikan hakim. Dia tua sepuluh tahun dari aku dan sudah beberapa kali putus tunang kerana ibunya seorang yang cerewet.

                Bila perhubungan kami terbongkar dan ketika aku sarat mengandung anak sulung kami, ibu mertuaku datang membuat onar. Aku diceraikan sebaik melahirkan dan sebulan selepas itu, bekas suamiku kahwin lagi dengan wanita pilihan ibunya. Yang paling perit, anak kecilku yang baru berusia sebulan ketika itu dirampas dariku. Ibu aku yang melihat setiap penderitaan aku pula menghembuskan nafas terakhirnya selepas seminggu anakku dibawa pergi.

              Ya Allah, hati aku seolah dilapah lumat dengan setiap dugaan yang bertali arus itu dan selepas tiga tahun bergelar janda, kini sahabat lamaku pula menghantar mesej untuk bertemu muka. Sudah lama aku mengelak untuk bertemu semula dengan mereka, memandangkan darjat aku yang semakin ketara jauhnya berbanding mereka.

                 Siapa aku kini? Kerja aku hanya menjadi pencuci di hospital. Itu pun hanya sebagai pekerja separuh masa. Kadang-kadang aku menjadi cashier di pasaraya yang berhampiran rumahku. Adakalanya, aku mengambil upah membasuh pinggan mangkuk dan menjadi pelayan di sebuah restoran makanan segera. Rumitnya hidupku ini, bekerja hanya untuk mencari sesuap nasi untuk diriku sendiri. Ada hikmahnya juga, anakku dirampas, sekurang-kurangnya, dia tak hidup menderita bersamaku.

      ~Dah banyak kali kau mengelak untuk berjumpa kami, pastikan kali ini kau ada Intan! Kalau kau tak muncul, kami akan cari kau sampai lubang cacing!~

          Aku baca sekali lagi mesej dari Lyana dalam group WhatsApp. Aiman, Syaukie dan Azrul juga turut memberikan balasan mereka.

           Aiman~aku ambil kau Intan payung.

           Syaukie~Intan, kau tak datang, itu tandanya kau sayang sangat-sangat kat aku. Jadi, kau malu nak datang.

        Azrul~kau takut aku melamar kau ke Intan? Oh, sebab tu la setiap kali kita berpakat untuk berjumpa, kau tak datang ya? Aku janji, aku takkan lamar kau lagi. Aku nak Yana ja. Boleh Yana? Kau buang sajalah crush kau tu jauh-jauh.

Lyana~ Woi..kayu rule! Bukan kau ke crush aku tu. Haa..red delete face(merah padam muka) New delete face(baru padam muka)

               Bibir aku sudah melebar dengan senyuman membaca perbualan mereka. Aku hanya membaca tanpa membalas. Sengaja aku mendiamkan diri dan terus menjadi beku. Bukan aku tak mahu membalasnya. Kalau diikutkan, gatal saja jari jemari aku ini untuk menaip, tapi hati aku melarang keras. Siapa aku ini untuk berbual mesra dengan mereka seperti dulu. Aku dengan mereka ibarat gagak dengan merak di kayangan.

          Lyana~ Intan ooiiiiiiiiiiiiii..nape tak reply ni?? Hidup lagi ke?

         Aiman~ Dia baca tu..intan malu dengan kita agaknya. Intan payung, kau tinggal di rumah lama lagikan?

           Bertalu-talu masuk mesej dalam group WhatsApp. Aku terus membisu, namun dalam aku diam, hati aku turut diburu cemas. Aku memang masih tinggal di rumah lama, tapi semua perabut rumah sudah aku lelong ketika aku kesempitan duit. Yang tinggal cuma perabut-perabut lama yang masih aku gunakan. Rumah ini pun semakin usang kerana aku tak pernah mengecatnya lagi sejak ayah aku meninggal. Tiada pembaik pulih yang aku lakukan.

          Pada asalnya, aku bercadang untuk menjual saja rumah ini, tapi aku tak tahu ke mana harus aku tuju. Nak menyewa rumah yang lebih kecil, aku takut aku tak mampu untuk membayar sewa bulanannya. Rumah ini sudah dinamakan dengan namaku, jadi aku cuba pertahankannya.
..........................

                ‘’Intan payung terjun? Ooo..di sini rupanya kau sembunyi ya?’’ aku yang sedang ralit mengira harga barang-barang milik pelanggan terkejut mendengar suara yang tiba-tiba menjengah ke telingaku. Aku mendogak pantas dan tumpuanku terhadap mesin kira di depanku hilang begitu saja. Wajah aku sudah berbahang menahan perasaan malu dan marah.

              ‘’Apa khabar teman lama? Kau kenapa Intan? Mesej tak reply, call tak angkat. Kau nak buang kami ke? Dah tak nak berkawan dengan kami lagi?’’ bertubi-tubi soalan dari lelaki di depanku ini menerjah gegendang telingaku. Aku menghabiskan kiraanku dan memasukkan barang-barang yang dibelinya ke dalam beg plastik.

             ‘’Kau balik kerja pukul berapa?’’ dia bertanya lagi sambil berdiri di sebelah kaunter dan memberi laluan untuk orang lain pula membayar harga barangan yang mereka beli. Aku menoleh ke arahnya sepintas lalu sebelum memandang wajah pelanggan yang sedang menghulurkan duit di depanku dan aku melebarkan senyumanku sambil mengucapkan terima kasih lantas menghulurkan baki duit kepada pelanggan itu.

          ‘’Cik Intan Najiha Binti Iqbal!’’ perlahan Syaukie memanggilku namun dalam nada yang sangat tegas. Aku tahu erti panggilan itu. Maksudnya, darahnya sedang membuak kerana aku tidak memberi respon setiap pertanyaannya.

             ‘’Lagi lima belas minit aku habis. Kalau kau nak aku layan kau, tunggu aku habis kerja dulu. Aku bukan macam korang...’’ aku sudah mula berangin kerana ini kali pertama aku diganggu ketika aku melakukan tugasku di kaunter ini. Aku sendiri pun tak menduga, Syaukie akan datang ke sini hari ini. Aku sangkakan model antarabangsa macam dia, takkan masuk ke pasaraya kecil seperti ini.

            ‘’Dah lama kau kerja di sini?’’ Syaukie masih ingin mengajak aku berbual. Aku berdecit kecil, namun bibir tetap aku paksa untuk tersenyum di depan pelanggan yang sedang berbaris panjang ketika ini.

           ‘’Part time saja. Aku kerja tiga hari seminggu di sini. Ikutlah, kalau ada pekerja tetap yang cuti, baru aku dipanggil. Kalau tak..aku tak datanglah..’’ aku cuba juga menjawab seringkas mungkin. Harap-harap Syaukie memahami keadaan aku dan tak mengajak aku untuk berbual lagi. Dalam sibuk scan barang-barang dan mengambil duit dari pelanggan, sempat aku mengerling jam tangan di pergelangan tangan.

          ‘’Eh..macam kenallah. Ini Qie kan?’’ aku dengar seorang pelanggan remaja bertanya kepada Syaukie. Aku sempat menjeling sepintas lalu ke arah mereka. Syaukie yang masih berdiri di sebelah kaunter mengeleng pantas. Hampeh betul. Apa maksud gelengannya tu.

         ‘’Bukan! Klon dia kot? Err..Qie tu siapa?’’ Syaukie cuba memperdaya remaja tadi. Aku tak tahu kenapa dia tak nak mengaku. Takut kena serbu kot?

          ‘’Bukan erk? Tapi..muka awak sebijik macam Syaukie pelakon iklan tu. Haa..majalah hiburan bulan ni pun ada..’’ remaja tadi mengeluarkan majalan dari beg sandangnya dan menyelak helaian demi helaian.

            ‘’Ni...’’ sambil menunjukkan wajah di dalam majalah kepada Syaukie, remaja itu cuba mencari persamaan wajah Syaukie dan model di dalam majalah itu. Dilipat majalah dan dibandingkan dengan wajah Syaukie. Aku sudah mengulum senyum melihat gelagat Syaukie yang cuba menafikan model itu adalah dirinya.

          ‘’Salah orang ni. Awak tak pernah dengar ke, dalam dunia ni memang ada wajah yang serupa walaupun bukan dilahirkan sebagai adik beradik. Alah..Syaukie tu copy wajah saya tu.’’ Syaukie terus menafikannya. Aku berpura-pura tidak mendengar perbualan mereka dan pandangan aku terus tertumpu di skrin monitor di depan aku.

          ‘’Tak percaya, tanya dengan girlfriend saya ni..’’ Syaukie menyambung kata dan aku sempat menoleh ke arahnya sepintas lalu. Jari telunjuknya dituding ke arahku dan aku sempat menjungkitkan kening sambil mengeleng laju.

           ‘’Betul ke kak?’’ remaja tadi mengajukan soalan untuk aku pula. Cari pasal betul. Aku ni sedang bekerja, pelanggan pula ramai ketika ini, bos pula asyik menjeling saja sejak tadi. Nak layan ke tak? Aku berdialog di dalam hati.

            ‘’Dia ni? Dah kahwin dah pun. Anak dah lima orang. Bini dah tiga. Qie model awak tu dah kahwin ke belum?’’ aku bersuara juga akhirnya dengan nada selamba dan dengan wajah yang tenang setenangnya.

              ‘’Ooo..’’ remaja tadi terus berwajah muram dan berlalu pergi. Syaukie pula memandang tajam ke arah aku. Tak puas hati letew?

...........................

              Selepas shift kerja aku tamat, rakan sekerja yang lain mengambil alih di kaunter dan Syaukie telah membawa aku ke sebuah restoran. Pada asalnya, aku tak mahu masuk ke dalam restoran itu kerana, restoran itu adalah restoran bekas suamiku. Syaukie mana tahu apa-apa pasal masa laluku, terutama lapan tahun lalu ketika kami sama-sama terputus hubungan.

              ‘’Kau tak takut kena gosip ke, bawa aku keluar? Tadi pun, kau dah buat salah. Kalau remaja tu cam kau dan snap gambar kau, lepas tu dia upload masuk ke dalam laman sosial, nahaslah kau.’’ Aku bertanya kepada Syaukie ketika kami sedang menunggu pesanan kami. Aku tak mahu order pun sebenarnya tapi Syaukie yang tolong order bagi pihakku. Nak kata apa lagi. Bukan aku yang akan bayarkan.

                ‘’Gosip? Jadi public figure macam aku ni, buat baik pun kena gosip, buat jahat pun kena gosip, tak buat apa pun kena gosip. Ini pilihan aku, pahit macam mana pun, aku kena telan.’’ Selamba saja Syaukie menjawab pertanyaan aku. Yakin saja dia berkata. Aku pun setuju dengan kata-kata dia. Dia tu dikenali ramai, tak hairanlah kalau orang berminat untuk mengambil tahu tentang dia. Bagi aku, selagi kita bernama manusia, gosip tu tetap ada dan sesekali akan singgah juga dalam laluan kehidupan kita.

                 ‘’Kalau kau dah cakap macam tu, tak apalah. Aku cuma takut, kau malu besar saja kalau kena gosip dengan aku. Kau tengok sendirikan, apa pakaian yang aku pakai ni.’’ Aku cuba mengingatkan Syaukie tentang kebenarannya. Siapa aku di mata masyarakat. Pakaian apa yang aku pakai dan bagaimana penampilan aku ketika ini.

              ‘’Kau dah banyak berubah Intan. Kenapa kau mendiamkan diri selama ini? Kita dah berjanjikan dulu, nak bersahabat hingga ke hujung nyawa. Kenapa kau tak datang dulu? Kami tunggu kau sampai malam. Jari aku ni hampir patah sebab dail nombor kau. Tapi, kau tak angkat pun. Kenapa kau berubah sampai macam tu? Apa salah kami pada kau?’’ Syaukie mengubah topik dengan tiba-tiba. Aku menarik nafas dan melepaskannya dengan berat. Perasaan aku memang berbelah bahagi. Haruskah aku ceritakan situasi aku kepada dia?

              ‘’Korang tak bersalah apa-apa pun. Hidup aku yang menguji aku. Kalau aku cerita pun, kau takkan faham masalah aku.’’ Aku cuba menyembunyikan hakikat sebenar. Untuk apa aku ceritakan semuanya? Sudikah mereka berkongsi semua masalah aku ini?

                   ‘’Kalau kau tak cerita, macam mana kami nak faham! Aku dengar ayah dah ibu kau dah meninggal? Sampai hati kau tak bagitau kami. Tergamak kau ketepikan kami. Inikah namanya sahabat?’’ Syaukie menyalahkan aku lagi. Setahu aku ketika ayah dan ibu aku meninggal mereka sedang mencipta nama. Aku tak mahu menganggu urusan dan kerjaya mereka. Biarlah aku selesaikan semua masalah aku tanpa melibatkan mereka.

             ‘’Kau tahu?’’ aku bertanya Syaukie kembali. Dia mengangguk sambil merenung wajahku. Aku tersenyum pahit sambil memalingkan wajah ke arah lain, tapi, nasib tak memihak kepadaku. Saat aku menoleh, mata aku bertentang pula dengan mata bekas suamiku yang sedang memandang ke arah kami sambil mendukung seorang bayi perempuan. Anak dia dengan isteri barunya agaknya, sebab anak kami lelaki dan umurnya mungkin sudah tiga tahun sekarang ini.

             ‘’Dari mana kau tahu?’’ aku terus bertanya dan kembali bertatapan mata dengan Syaukie.

                ‘’Dari group WhatsApp rakan-rakan sekolah. Kenapa kau keluar dari group tu?’’ aku menghela nafas lagi. Aku tak berminat nak join mana-mana group whatsApp yang hanya berbual kosong dan berbincang masalah dunia. Hal akhirat langsung mereka tak layan. Aku bukan nak kata aku ni baik sangat, tapi sesekali ambil tahu juga hal akhirat. Lagi pun, group tu bercampur suami dan isteri orang. Berbual tanpa batas. Tak kira siang ataupun malam. Takut-takut, lain pula jadinya.

                 ‘’Kau semakin glamour sekarangkan? Tak ada perancangan nak kahwin ke? Kalau kau kahwin mesti gahkan? Majlis besar gitu.’’ Aku pula mengubah topik perbualan kami. Syaukie sempat menjeling tajam ke arahku, sebaliknya aku sudah melepaskan tawa.

             ‘’Aku nak kahwin dengan kau!’’ selamba saja Syaukie berkata. Aku tahu dia hanya bergurau, sebab dulu kami dah buat perjanjian, antara kami berlima dilarang bercinta. Hanya bersahabat hingga ke hujung nyawa.

               ‘’Kau takkan cakap macam tu kalau kau tahu siapa aku sekarang ni..’’ aku bersuara perlahan sambil memandang ke arah depan restoran. Bekas suami aku sudah tiada lagi di tempat tadi. Aku menoleh kembali ke arah Syaukie.

              ‘’Aku tahu, Aiman tahu, Yana dengan Azrul pun tahu. Kau dah kahwin dan dah bercerai. Anak kau tinggal dengan bekas suami kau kan?’’ aku tercengang lagi mendengar kenyataan Syaukie. Sejauh mana mereka tahu pasal diriku. Tahukah mereka, keluarga aku sudah bankrup?

               ‘’Takkan kau tahu? Siapa yang bagitau kau?’’ aku mengajukan lagi soalan untuknya.

                ‘’Dari group whatsApp.’’ Tenang saja dia menjawab.

                  ‘’Aku ingatkan orang glamour macam korang saja yang kena gosip. Aku yang tak ada apa-apa ni pun kena gosip juga ke? Apa lagi cerita pasal aku yang kau dengar?’’ nada suara aku sudah berubah tegang. Bahaya juga group whatsApp ini. Tak ada kerja yang nak dilakukan, semuanya mereka nak cerita. Cerita hal sendiri sudahlah! Hal peribadi orang lain pun nak cerita ke? Aku merungut di dalam hati.

              ‘’Aku tau kau kerja di pasaraya dari group whatsApp. Itu saja yang aku tahu. Ada lagi ke hal pasal kau yang kami tak tahu?’’ sambil menjawab soalanku, Syaukie menyoal aku lagi. Aku mengeleng lemah dan saat ini, mata aku terpandang seorang kanak-kanak lelaki sedang berlari-lari di dalam restoran dikejar seorang remaja perempuan. Hatiku menjadi sebak dengan tiba-tiba.

                     ‘’Intan...’’

                       ‘’Hmmm..’’ aku memandang kembali ke hadapan dan mata aku bertentang lagi dengan mata Syaukie. Dia menjungkit kening, mungkin sedang bertanya kenapa.

                        ‘’Lapan tahun banyak mengubah kau kan Intan?’’ Syaukie bersuara dan memandang tepat ke wajahku. Aku tak mahu mengalah dan terus memandang wajahnya juga. Kami bermain mata seketika sebelum sama-sama melepaskan tawa.

                     ‘’Apa yang berubah? Aku rasa aku yang dulu dan sekarang tak ada bezanya pun.’’ Aku cuba mencungkil apa yang ada dalam fikiran Syaukie. Yang aku perasan, tubuh aku saja yang sedikit berubah. Aku tak comel lagi macam dulu. Aku dah kurus, wajah aku sedikit cengkung dan aku tak pandai bergaya lagi macam dulu. Aku sekarang, seorang wanita yang sangat simple dalam berpakaian.

                 ‘’Dulu, kau periang, ceria dan peramah. Kau berkongsi apa saja dengan kami. Sekarang ni kau ego, sensitif, emosional dan lebih pendiam..’’ aku membeliakkan mataku. Mengutuk aku ke?

                ‘’Pendiam? Ego? Sensitif?...buktinya? Sejak tadi aku pot-pet, pot-pet dengan kau, pendiam ke namanya tu?’’ aku berangin seketika. Yang geramnya, Syaukie sudah tergelak mendengar kata-kataku.

........................................

                    Malam ini aku kerja shif malam untuk mencuci pula. Aku bekerja di hospital Kuala Lumpur. Tugas mencuci ni pun ada bahagian-bahagian tertentu juga. Bukan boleh masuk ikut suka hati saja. Tak tahu pula, malam ini bekas suami aku akan datang cari aku di sini. Bukan datang untuk bertanya khabar, tapi datang untuk menyerang aku.

                ‘’Awak memang sengajakan, datang ke restoran saya dan tayang kekasih baru awak tu?’’ soalan cepubelian yang dia lontarkan, buat hati aku digeletek lucu. Kalau ikutkan hati aku yang sakit, aku nak iakan saja, bahawa dakwaannya itu benar belaka. Syaukie tu kekasih aku? Cemburu ke? Eh..tapi, dia tak ada sebab pun nak cemburu. Aku bukan isteri dia pun. Aku hanya bekas isteri dia saja.

             ‘’Terpulang kat awaklah, nak fikir apa pun.’’ Aku berkata selamba. Tak mahu terus memanjangkan topik, aku terus melangkah untuk berlalu pergi. Dia merentap tangan aku dengan kasar. Nasib baik aku pakai baju berlengan panjang. Kalau tak, free saja dapat dosa, bersentuhan dengan bukan mahram aku. Huh!

              ‘’Ingatkan awak datang nak tengok anak awak. Awak ni ibu jenis apa hah? Pandai beranak saja, tapi tak ambil tahu langsung pasal anak awakkan? Hidup ke mati ke budak tu, ada awak ambil peduli?’’ bekas suami aku bersuara lagi. Menyirap darah aku mendengarnya. Berbahang rasa tubuh aku melawan perasan amarah yang sudah membakar hatiku.

               ‘’Ya! Dia anak saya, tapi awak tu yang lupa. Bukan saya yang buang dia, tapi..dia dirampas dari saya! Siapa yang rampas dia? Ibu awak! Manusia tak berhati perut tu yang rampas dia dari saya!’’ aku menekan suaraku dan air mataku hampir mengalir ketika mengungkapkan ayat-ayat itu.

                Pang...sebuah tamparan hingap di pipiku. Ya Allah, betapa pedihnya aku rasakan, namun hati aku lebih pedih lagi. Sepanjang kami bergelar suami dan isteri dia cukup baik melayan aku. Tak sangka pula, tangannya akan hingap di pipi aku hari ini. Aku memegang pipi aku yang perit bersama air mata yang sudah mula gugur ke pipi. Aku pandang sekeliling, beberapa pasang mata sudah memerhatikan kami. Malu. Itu saja perkataan yang hadir disaat ini.

                 ‘’Maaf..abang tak sengaja. Kalau Intan nak marah abang, marahlah. Tapi, jangan kutuk emak abang. Jahat-jahat dia pun, dia tetap emak kandung abang dunia dan akhirat,’’ bekas suami aku bersuara perlahan. Aku tahu hakikat itu, Ammar memang sayangkan ibunya. Tak hairanlah, kalau dia menurut semua kata-kata ibunya. Salah aku, kerana menyalahkan ibunya, padahal itulah kebenarannya.

            ‘’Intan payung?’’ dalam kekalutan antara aku dan Ammar ada lagi suara asing yang berbunyi. Seorang lelaki berkot labuh berwarna putih sudah berdiri di sebelahku.

           ‘’Intan Najiha? Kenapa kau cengkung sangat ni? Kau sakit ke Intan payung?’’ Aiman terus menyoal aku sambil cuba mengalihkan tanganku dari pipi. Aku mengesat air mataku dan menoleh ke arah lain. Ammar sudah kaku di depan kami. Wajahnya sudah terbayang rasa bersalah. Mendung dan muram. Ah, untuk apa aku pedulikan Ammar lagi. Sakitnya pipiku masih lagi terasa pedihnya. Siapa dia untuk menyerang aku begitu. Dia kutuk aku, boleh pula?

          ‘’Kau okey ke Intan?’’ Aiman masih menyoal aku tanpa mengambil peduli tentang kehadiran Ammar. Dia masih cuba untuk mengalih tanganku. Aku pula hanya mampu mengeleng berkali-kali.

            ‘’Aku tolong kau report polis ya? Merah pipi kau ni. Jantan dayus mana yang suka-suka hati tampar kau. Kalau saman ni, kau mesti menang besar.’’ Aiman terus bersuara sambil memandang tajam ke arah Ammar.

           ‘’Kekasih kau yang ke berapa pula ni?’’ tak semena-mena itu pula soalan yang Ammar tanya. Dan tanpa ku duga melayang pula tumbukan padu Aiman ke pipinya. Terumbang-ambing juga Ammar dibuatnya. Tak cukup satu tumbukan, Aiman terus menerpa Ammar tanpa amaran. Terpaksa aku menenangkan Aiman yang sudah hilang sabarnya.

            ‘’Cukup Aiman! Jangan libatkan kau dalam masalah aku.’’ Aku cuba menarik Aiman agar menjauhi Ammar. Meronta-ronta Aiman, namun masih mampu aku kawal, walaupun aku sendiri pun tak sekuat mana.

........................

              Aku tak tahu, kawan-kawan lama aku begitu mengambil berat tentang diri aku. Contohnya Aiman, dia bertukar ke hospital Kuala Lumpur selepas dia tahu aku bekerja di sini. Hari aku terserempak dengannya ketika aku ditampar oleh Ammar, dia baru seminggu bertukar. Kebetulan ketika itu dia dalam perjalanan pulang. Dia sepatutnya off day hari itu, tapi mendapat on call bila salah seorang pesakit yang dirawatnya tenat dan dalam keadaan kritikal.

          Selepas Ammar pulang, aku dan Aiman menuju ke cafetaria hospital. Aku terpaksa meminta cuti malam itu kerana Aiman memberi aku M.C dan melarang aku kerja. Gelihati betul bila memikirkannya. Kena tampar pun boleh dapat M.C ke? Memang salah guna kuasa betul Aiman ni.

             ‘’Siapa lelaki tadi? Kau kenal dia ke?’’ soalan tak masuk akal yang Aiman ajukan untukku. Kalau tak kenal, takkan Ammar tiba-tiba nak menampar aku? Aku berbisik di dalam hati.

             ‘’Tukar topik boleh tak? Aku malas nak cakap pasal perkara yang dah berlalu.’’ Aku menjawab malas sambil menyedut perlahan jus lobak merah susu di depan aku.

             ‘’Betul kata Qie, kau dah banyak berubah Intan. Dulu, kau tak macam ni, semua perkara kau nak cerita. Sekarang, kau asyik mengelak saja bila disoal. Call tak pernah kau angkat, mesej tak pernah kau reply, whatsApp atau inbox laman sosial ataupun telefon. Satu pun kau tak pernah balas. Apa yang cuba kau sembunyikan?’’ kali ini Aiman pula yang menyoal soalan yang sama Syaukie soal aku. Kenapa dengan mereka ni? Aku tahu, kami berkawan sudah lama, tapi aku juga perlu ada rahsia sendiri. Aku tak nak susahkan mereka dengan memikirkan masalah aku. Takkan itu pun mereka tak faham? Aku merungut di dalam hati sambil menghela nafas panjang dan menyandar lemah di kerusi.

             ‘’Tak ada apa-apa pun yang istimewa pasal aku. Dan, tak ada apa yang perlu aku ceritakan.’’ Aku menjawab yakin. Aiman sudah mengeleng sambil menegakkan tubuhnya. Matanya tepat memandang wajahku. Aku membalas pandangannya tanpa rasa gentar. Tak terdetik pun dalam hatiku untuk rasa berdebar-debar. Dia sahabat aku dan aku takkan pernah sesekali mengizinkan hatiku untuk berdebar-debar tak tentu pasal ketika menatap ke dalam matanya.

                  ‘’Berterus terang dengan aku. Siapa lelaki tadi?’’ soalan lapuk itu ditanya lagi. Aku mengeluh deras. Memang tak puas hati, sebab tadi aku sudah meminta untuk tidak mengungkit lagi pasal hal itu.

                 ‘’Tak bolehkah, kalau aku tak cerita? Lagi pun, dia masa lalu aku. Aku tak nak ingat dia lagi.’’ Aku bersuara agak tegas. Kali ini aku tak ingin beralah lagi. Akan aku pertahankan apa yang aku pendamkan ini. Biar Aiman atau semua sahabat baikku tak tahu tentang kewujudan Ammar.

              ‘’Maksud kau, dia bekas suami kau? Kenapa dia tampar kau?’’ mata aku terbuntang mendengar ungkapan Aiman. Dia tahu? Dari group whatsApp lagi?

               ‘’Change topic please!’’ aku bernada tegas lagi. Aku dengar Aiman mendengus keras. Mesti dia tak puas hati dengan jawapan aku?

                 ‘’Kami tahu segala-galanya pasal kau Intan. Kenapa kau tak nak berterus terang dengan kami?’’ nada Aiman berubah tenang. Mungkin, dia sedang cuba untuk memujuk aku untuk ceritakan segalanya.

                ‘’Baguslah, kalau kau dah tahu. Tak payahlah aku cerita lagi. Kau ni peliklah Aiman, dah tahu pun, nak paksa aku cerita lagi. Cukup-cukuplah dengan apa yang kau tahu.’’ Aku mengenakan Aiman kembali. Aiman memandang aku dengan pandangan tajam. Wajahnya berubah, telinganya merah. Aku tahu, kalau Aiman berkeadaan macam tu, maknanya dia sedang marah dengan aku. Aku ukirkan senyuman manis, semanis madu. Dia mengerut dahi dan mengangkat kedua belah tangannya di udara.

                ‘’Intan payung..kau memang tahu sangat kelemahan akukan. Jadi bini aku nak?’’ spontan, ayat-ayat itu meniti di bibirnya. Aku sudah ketawa tanpa sedar. Pandai betul dia meredakan hati aku yang sedang gundah ini dengan gurauan selamba. Kelmarin Syaukie ajak aku kahwin. Hari ini Aiman pula minta aku jadi bini dia. Azrul, aku belum jumpa lagi. Lyana pun belum, agaknya kalau jumpa Azrul dan Lyana, mereka nak ambil aku buat adik ipar atau kakak ipar pula kot?

..................................

Sudah sekian lama,Ku pendam rasa ini,
Namun ku tak mampu luahkan kepadamu,
Sudah sekian lama, Aku mencintaimu,
Namun ku hanya mampu diam  dan membisu,

Sungguh ingin rasanya ku ungkapkan padamu,
Agar ku dapat jawaban dari dirimu,
Namun ku tak yakin kau pun mencintaiku,
Namun ku tak yakin kau akan menerimaku,

Ku ingin menjadi sang bulan,
Yang akan selalu terangi gelap malammu,
Ku ingin menjadi sang bintang,
Yang akan selalu menghiasi indah malammu,

Chorus:
Meski pun hanya bisa sebatas mengagumimu,
Dan akan kamu bisa memilikimu,
Namun yang harus kau tahu,
Ku akan selalu mencintaimu,
Dan cinta ku sungguh tulus dari dalam hatiku,
Namun ku tak yakin kau pun mencintaiku,
Namun ku tak yakin kau akan menerimaku,

Ku ingin menjadi sang bulan,
Yang akan selalu terangi gelap malammu,
Ku ingin menjadi sang bintang,
Yang akan selalu menghiasi indah malammu,..


           Lagu itu berkumandang lagi membisikkan luahan hati di telingaku. Ketika aku bekerja di restoran Ammar sebagai pekerja separuh masa, lagu itu sering kedengaran di dalam restoran, tanpa aku duga lagu itu Ammar tujukan untuk aku. Ketika itu, hidup aku terlalu sukar. Ibu aku sakit dan aku perlukan duit untuk merawat ibu. Ammar datang tepat pada masanya. Selepas kami bernikah, dia yang membiayai rawatan ibu.

            Namun, jodoh kami tak panjang. Ibu mertuaku tidak merestui pernikahan kami. Aku dihina dan dicaci. Ibu aku turut terasa tempiasnya. Ibu mertuaku datang ke rumah dan menghendik ibu. Sakitnya hatiku melihat air mata ibu yang menitis ke pipinya saat itu. Aku berdendam dengan ibu mertuaku. Aku berharap dia menerima pembalasan yang sama suatu hari nanti. Tapi, sebelum ibu aku pergi mengadap Ilahi, dia ada meninggalkan pesan untukku.

          ‘’Maafkan semua orang..’’ walaupun terlalu sukar ibu melafazkan ayat-ayat itu dalam keadaannya seperti itu, aku masih memahami kata-katanya. Adakalanya, hati aku tak dapat menerima suratan takdir ini, namun..kata-kata terakhir ibu sering terngiang-ngiang di dalam mindaku. Aku perlu redha menerima ketentuan takdir untuk terus hidup bahagia.

             ‘’Intan..kita rujuk semula?’’ selepas Ammar ditumbuk Aiman di hospital. Dia menghubungiku dan mengajak untuk aku rujuk semula. Selepas tiga tahun aku diceraikan, baru kini muncul topik ini. Apa makna semuanya ini? Adakah kerana kehadiran Syaukie dan Aiman  di sisiku membuatkan Ammar diterpa perasaan cemburu? Kenapa baru sekarang, dia nak rujuk semula dengan aku?

            ‘’Encik Ammar, wanita yang bernama Intan Najiha ini tak pernah suka berkongsi apa saja barang-barang miliknya. Apatah lagi untuk berkongsi seorang suami dengan perempuan lain.’’ Jawapan aku untuk soalan Ammar aku ungkapkan berhati-hati, agar tiada hati yang terluka. Aku susun kata-kataku agar sedap di dengar.

             ‘’Abang tak pernah cintakan Suhaila. Intan tahukan, abang kahwin dengan dia kerana emak abang.’’ Ammar masih cuba membuat tawaran. Hati aku terus dipujuk. Untuk apa lagi, semua itu? Cinta atau pun tidak, siapa aku untuk terus menaruh harapan bahagia bersamanya. Cinta yang tak direstui, takkan ke mana perginya.

                ‘’Encik Ammar..belajarlah terima kenyataan, bahawa perhubungan kita takkan pernah direstui. Sekuat mana pun cinta awak untuk Intan Najiha, kebahagiaan takkan kita kecapi tanpa restu seorang ibu yang melahirkan awak. Sudah-sudahlah tu. Sudah tiga tahun saya diceraikan awak, bukannya tiga hari. Awak pun dah dapat anak bersama isteri baru. Belajarlah hargai apa yang awak ada.’’ Aku terus mengungkapkan kata-kata yang mungkin akan melumatkan hati Ammar, tapi itulah hakikat yang perlu ditelannya.

               ‘’Intan, jangan buat abang macam ni. Tolonglah..abang tak boleh hidup tanpa Intan.’’ Ammar masih merayu. Hati aku sudah digeletek lucu. Tiga tahun kami bercerai, ayat itu yang disuarakannya? Siapa dia untuk menipu aku hidup-hidup?

             ‘’Awak tak boleh hidup tanpa saya? Apa maksud awak? Maknanya, sekarang ni saya sedang bercakap dengan mayat? Atau saya sedang berilusi, bercakap dengan roh awak yang dah mati tiga tahun lalu?’’ aku mengeluarkan pula kata-kata kejam itu. Bukan salah aku! Aku dah cuba berlembut dan bercakap dengan kata-kata yang manis. Dia yang tak mahu memahami dan masih berdolak dalik.

             ‘’Intan! Sampai hati Intan. Abang tahu, Intan dah jumpa lelaki yang lebih muda dan kacak daripada abangkan? Sebab itulah, Intan menolak untuk rujuk dengan abang. Siapa lelaki-lelaki tu? Sejak bila, Intan pandai jadi jalang. Pasang lelaki kiri dan kanan. Seorang tak cukup, dua orang sekali Intan nak rembat?’’ Wah, pedihnya ayat yang Ammar ungkapkan. Aku mengebam bibir menahan geram. Talian segera aku putuskan dan aku block nombor telefon Ammar.

                Aku memang sayang dengan nombor telefon ini kerana kawan-kawan baik aku. Kami memang sudah lama terputus hubungan, dan aku masih kekalkan nombor telefon ini kerana berharap mereka akan menghubungi aku. Malangnya, orang yang tak ingin aku dengar suaranya, orang itulah yang sering menganggu ketenangan hidupku. Aku percayakan Ammar. Aku tahu dia tertekan kerana ibunya. Namun, aku tak mampu untuk memuaskan hati semua orang. Hati aku sendiri pun turut terluka dengan semua kejadian ini. Siapa yang peduli tentang hati dan perasaan aku?

.........................................

                Hari pertemuan aku dan teman-temanku pun muncul juga akhirnya. Mereka yang pulang ke kampung dan datang ke rumahku dengan bermacam buah tangan. Susprize!..dan aku memang terkejut besar dengan kedatangan mereka yang tak disangka-sangka.

             ‘’Kenapalah kau orang ni suka sangat buat aniaya aku? Kalau iya pun, calling-calling la dulu. Nasib baik aku ni tak ada darah tinggi tau. Tiba-tiba saja orang glamour lagi terkenal terpacak di depan rumah aku. Bukan sorang, empat orang pula tu.’’ Aku mula membebel sebaik mereka masuk ke dalam rumah.

            ‘’Kami bukan tak nak inform kau dulu, takut kau lari bersembunyi pulak, kalau kami bagitau awal-awal. Zaman sekarang ni, budak-budak kecil pun dah tak main sembunyi-sembunyi ni, tapi kau tu...’’ Lyana membidas kata-kataku sambil menayang wajah tak puas hati kepadaku. Aku hanya mencebik seketika sebelum tersenyum akhirnya.

            ‘’Aku tak ada pun niat nak jauhkan diri dari korang. Aku dengan korang sekarang ni, ibarat langit dengan bumi. Kau tengok sendiri keadaan aku sekarang. Intan Najiha sekarang, bukan macam Intan Najiha yang dulu. Aku dah tak ada apa-apa lagi..’’ lemah suara aku. Memang itu yang aku rasa sekarang ini. Mereka berjaya dalam kerjaya, sedangkan aku semakin jatuh merudum. Kerja tetap pun tiada. Hanya mampu kerja separuh masa yang langsung tak ada kelas.

              ‘’Yalah tu..kau tu masih di bumi lagi. Kami ni dah jadi alien, tinggal di planet.’’ Azrul membalas kata-kataku sambil buku limanya mendarat perlahan di atas kepalaku. Hampeh betul, aku taulah, dia pelakon komedi pun. Nak buat lawak dengan aku pun, tak kira tempat ke? Benaklah minda aku selepas ni.

              ‘’Lelaki yang tampar kau hari tu, bekas suami kau kan? Hari ini, aku nak kau cerita semua kisah kau pada kami. Kalau tak...’’ Aiman menyoal aku lagi dengan soalan yang tak mahu aku dengar tu. Tanpa sedar aku mengeluh perlahan. Takkan aku nak kena cerita semuanya kepada mereka? Apa yang mereka fikir nanti? Banyak pula soalan yang menjengah mindaku saat ini. Memang aku belum bersedia untuk bercerita segalanya, tapi kalau mereka terus memaksa begini, aku tiada pilihan.

                 ‘’Punggung korang belum pun panas. Korang baru saja sampai, takkan aku nak buka cerita yang tak menarik tu. Kalau ya pun, tunggulah korang lama sikit di sini. Alang-alang dah sampai tu, makan dan minum dulu apa yang ada. Tapikan, korang macam tahu-tahu saja, peti ais aku tengah kosongkan? Banyak pula makanan yang korang bawa. Terima kasihlah sebab memudahkan aku menyambut korang hari ni. Kalau tak aku jamu air paip saja untuk korang.’’ Aku berkata dan tergelak perlahan. Aku hempaskan punggung aku di atas sofa pudar yang sudah bertahun tidak ku ganti. Ini pun sofa terpakai yang aku beli selepas sofa lama rumah kami aku lelong.

            ‘’Kami datang bukan nak makan. Kalau nak makan, lebih baik kami ajak kau keluar makan di restoran. Takut pula aku nak makan masakan kau. Jangan-jangan kau masih tak pandai masak macam dulu?’’ Aiman menambah rencah perbualan kami. Lantas minda aku pun terus mengimbas kenangan lalu. Aku memang tak pandai masak dulu. Kalau ibu sedang masak di dapur, aku langsung tak ada minat untuk belajar. Masak nasi goreng pun boleh hangit. Adakalanya terlalu masin dan pernah sekali aku masukkan gula dalam nasi goreng yang aku masak. Memang lucukan? Ada ke orang masukkan gula dalam nasi goreng? Kicap manis mungkin ada kot?

             ‘’Tengok tanganlah bro. Intan dulu dan sekarang, jauh bezanya tau! Aku takut, kau makan masakan aku sampai menjilat jari pulak nanti.’’ Aku berkata yakin, padahal bakat masakan aku biasa-biasa saja. Taklah setaraf masakan hotel. Sekadar untuk mengenyangkan perut aku sendiri bolehlah.

             ‘’Iya? Macam teringin pulak aku nak dera kau, masak untuk aku hari ni. Jangan hangit, sudah.’’ Azrul mencelah sambil ketawa. Lyana yang ingin bersuara, macam kematian kata-kata mendengar perbualan kami. Selalunya, dia yang terlebih sudu dari kuah.

           ‘’Cukup, cukup sudah! Tujuan kita datang ni bukan nak makan. Jangan lupa pulak apa tujuan kita. Makan saja apa yang ada. Belum hari lagi kau nak test bakat memasak dia. Kita datang lain kali kalau kau nak rasa masakan dia. Kita tuju ke topik asal. Intan! Matlamat kami hari ni, nak korek semua rahsia kau. Kau kena cerita dari A hingga Z. Tak boleh tidak!’’ amboi..bila Lyana Nasuha bersuara, dia memang tak reti nak kona. Terus straight to the point. Aku tersenyum cuma. Nak buat macam mana lagi. Aku angkat kaki dan mula bersila di atas sofa. Aku pandang wajah-wajah sahabat baik aku ni seorang demi seorang.

            ‘’Aku ringkaskan saja cerita, kalau korang betul-betul nak tahu. Bisnes ayah aku bankrup ketika aku masih belajar. Dan, ayah aku meninggal kerana tekanan darah tinggi. Aku berhenti belajar kerana nak jaga mak aku. Lagi pun, masalah kewangan kami memang gawat masa tu. Aku mula bekerja dan melakukan apa saja kerja yang boleh mendatangkan duit poket untuk kami dua beranak.

            Masa aku buat kerja part time di restoran yang Syaukie bawa aku hari tu, bos kedai tu terpikat dengan aku. Masa tu pulak, mak aku kena strok dan aku terpaksa berulang-alik ke hospital. Aku tak ada duit untuk merawat mak aku, jadi aku selalu pinjam dari bos aku. Lama-lama, bos aku luahkan perasaan dia kepada aku dan lamar aku.

             Kami nikah di siam dan balik buat pendaftaran selepas tiga bulan. Aku mengandung dan melahirkan anak sulung kami. Sebulan selepas tu, mak mertua aku datang serang aku di rumah. Mak aku pun teruk kena hina...’’ aku tertunduk dan cuba mengawal suaraku. Saat ini aku dah tak mampu nak meneruskan ceritaku. Terbayang wajah ibu aku ketika itu. Sakit hati aku bila terkenangkan semua itu. Tak semena-mena air mata aku menuruni pipiku. Setitik demi setitik.

              ‘’Kenapa kau harungi semuanya seorang diri. Kau kan masih ada kami? Apa gunanya kami sebagai sahabat, kalau masalah sebesar itu pun, kau nak rahsiakan?’’ Lyana mengelus lembut belakangku dan dalam masa yang sama dia menyalahkan aku.

               ‘’Aku malu nak susahkan korang. Masa tu fikiran aku hanya terfikir macam mana nak hidup. Aku hanya ingin cuba mengharungi semua kepayahan tanpa menyusahkan orang lain. Sahabat tak bermakna, aku boleh menyusahkan korang dengan masalah aku.’’ Aku luahkan apa yang aku rasa. Itulah apa yang aku fikir dulu. Hidup mesti diteruskan, biar apa pun halangan yang terbentang di hadapanku. Kalau aku tak cuba harungi, aku takkan tahu, aku mampu menghadapinya ataupun tidak.

            ‘’Maknanya, kau tak pernah anggap kami sebagai sahabat kau kan?’’ pedih ayat-ayat yang dilontarkan Azrul untukku. Aku pandang tepat ke wajah Azrul dan cuba menafikan kata-katanya itu.

              ‘’Cubalah fahami aku. Kalau kau berada di tempat aku pun, korang akan berbuat perkara yang sama aku lakukan. Aku ni manusia biasa. Adakalanya, perasaan rendah diri tu tetap menghuni dalam diri aku ni. Korang siapa? Aku siapa? Layakkah aku menyusahkan korang?’’ air mata aku mengalir lagi selepas mengungkapkan kata-kata itu. Ya, siapa aku? Dan siapa mereka? Gagak dan merak kayangan memang tak layak pun terbang bersama.

           ‘’Kayu Rule..kau jangan nak lebih-lebih erk! Teruskan cerita kau Intan. Macam mana mertua kau layan kau selepas itu? Mak kau pula, macam mana dia meninggal?’’ Lyana cuba meredakan keadaan, Azrul terus terdiam. Aku mengesat kering air mata dan menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan payah.

             ‘’Mertua aku rampas anak aku yang baru berusia sebulan. Siang malam aku menangis kerana rindukan anak aku. Selepas itu sampai pula surat dari mahkamah syariah. Aku diceraikan dengan talak satu. Tak habis dengan itu, suami aku kahwin lain. Aku tak kisahlah, dia memang anak emas emak dia. Apa yang emak dia cakap, semua dia ikut.’’ Air mata aku mengalir lagi. Sambil bercerita, air mata aku pun turut sibuk untuk bercerita sama. Aku tak sekuat dan setabah mana sebenarnya. Aku cuba menjadi kuat, untuk melupakan semua peristiwa pahit itu.

            ‘’Ya Allah, zalimnya. Manusia ke apa tu? Dia pisahkan kau dan anak kau macam tu saja? Kau tak saman dia ke? Anak kau belum lepas pantang lagikan? ‘’ Lyana bersuara lagi. Dia menghulurkan tisu untuk aku. Inilah kawan, tak bagi bahu, bagi tisu pun okey, juga.

           ‘’Mereka orang berduit. Aku tak ada apa-apa masa tu. Mak aku pula semakin tenat. Aku tak nak sia-siakan masa aku dengan naik turun tangga mahkamah. Lebih baik aku tumpukan perhatian aku dengan merawat mak aku. Tapi, sebanyak mana pun aku sayang mak aku, Allah lebih sayangkan dia daripada aku. Aku ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Aku hilang segalanya dalam sekelip mata. Masa tu lektrik dan air di rumah ini pun nyaris kena potong. Sebab itulah rumah aku jadi macam ni. Aku lelong semua perabut-perabut rumah untuk menampung perbelanjaan harian aku. Aku dah tak ada apa-apa lagi Yana. Hanya Allah tempat aku bergantung harap sekarang ni.’’ Aku tersedu lagi untuk kesekian kalinya. Lyana menarik aku rapat ke tubuhnya dan merangkul aku seraya mengelus lembut belakangku.

             ‘’Arghh..mata aku masuk pasir!’’ aku dengar Azrul bersuara.

            ‘’Mata aku masuk habuk!’’ aku pasti itu suara Aiman. Aku panggung kepala dan memandang mereka bertiga tapi aku tak nampak Syaukie. Ke mana dia pergi? Aku lepaskan rangkulanku.

           ‘’Mana Syaukie?’’ aku menyoal Aiman dan Azrul sambil mengelap air mataku dengan tisu. Lyana juga turut tershahdu sama. Dia turut mengelap air matanya. Bibir aku tersenyum memerhatikan tiga orang sahabatku yang turut menangis mendengar cerita aku.

          ‘’Qie keluar. Aku rasa mata dia masuk sampah kot.’’ Azrul menjawab sambil tergelak perlahan. Aku tersenyum juga dan mula bersedia untuk menyambung cerita.

           ‘’Suruh Qie masuk. Aku tak nak cerita dua kali.’’ Aku berkata dengan niat untuk bergurau. Syaukie sudah masuk semula selepas habis aku berkata-kata. Mata dia merah dan dia sedang memaksa bibirnya untuk tersenyum. Syaukie, kalau menangis memang payah nak sembunyi. Wajah dia, termasuk telinga semua berubah warna jadi merah.

         ‘’Suami aku call aku ajak rujuk semula. Selepas dia nampak aku dengan Syaukie di restoran dan terserempak dengan aku di hospital hari tu dengan Aiman, dia tuduh aku ada spare tayar atau ada kekasih. Aku tak tahu nak cerita macam mana dengan korang. Masalah aku datang bertalu-talu. Tiga tahun kami bercerai, dia nak aku lagi, sedangkan dia tahu, mak dia takkan pernah suka aku. Apa pendapat korang?’’ aku lencongkan cerita aku dengan hal yang berlaku beberapa hari yang lalu. Sejarah silam tu, aku lupakan buat seketika. Sekarang ni, aku buka pula topik serius untuk kami bincangkan.

         ‘’Kau tanya hati kau, masih ada lagi ke rasa sayang kau pada dia? Bahagiakah kau, kalau kau kembali hidup dengan dia? Kau dah bebas sekarang Intan, takkan kau nak ulangi lagi sejarah hitam kau? Kau masih tak serik kena maki hamun dengan mak dia ke?’’ macam biasa, Lyana mengeluarkan ayat-ayat pedasnya untuk aku fikirkan. Aku memang tak sanggup, nak mengulangi semua itu lagi.

              ‘’Aku rindu anak aku! Aku hanya boleh tengok dia dari jauh. Aku tak boleh pegang dia pun, apatah lagi nak peluk dan cium dia.’’ Sekali lagi, air mataku mengkhianati diriku. Air mata aku menitis lagi membasahi pipiku.

           ‘’Kau pergi bersiap sekarang! Lap air mata kau. Jangan menangis lagi. Kita pergi jumpa anak kau sekarang juga. Kau bagi alamat suami kau. Kalau dia tak bagi kita jumpa anak kau. Kita report polis. Kita upah peguam. Kau masih ada kami Intan. Kami akan buat apa saja, untuk kebahagiaan kau!’’ sambil bersuara, Lyana menyuruh aku bangun. Dia paksa aku untuk bergerak kerana aku sedang memakukan langkahku. Biar betul. Takkan semudah itu?

           ‘’Kita nak pergi mana?’’ aku tanya macam orang dungu.

            ‘’Tuntut balik anak kau!’’ tegas sekali kata-kata Lyana.

             ‘’Aku takut. Mak mertua aku..’’ aku gantung ayat-ayat aku. Tak tahu macam mana nak mengambarkan sikap ibu mertua aku, kalau dia tahu aku pergi ke restoran bekas suami aku dan berjumpa dengan cucunya itu, iaitu anak kandung aku sendiri.

             ‘’Kalau kau tak yakin dengan kami, kau yakinlah dengan Allah. Allah pasti tolong kau, dan In Sha Allah, niat kita baik, pasti Allah akan restui. Kita bukan nak pergi berperang. Kita nak pergi jumpa anak kau saja. Siapa mereka untuk menghalang kau? Kalau mereka ada hak, kau sebagai ibu lagi mempunyai hak yang lebih berbanding mereka.’’ Lantang dan yakin sekali Lyana melontarkan kata.

.....................................


                  Langkah aku goyah ketika melangkah masuk ke dalam restoran Ammar. Hati aku berdebar kuat bila minda aku sudah berfikir yang bukan-bukan. Macam mana kalau mertua aku muncul dan sumpah seranah aku di depan kawan-kawan aku? Tapi...

               ‘’Kau jangan nak mengelabah lebih-lebih Intan. Aku gerenti, kalau mertua kau ada di sini pun dia takkan cam kau.’’ Lyana menepuk perlahan bahu aku dan membuat isyarat agar aku tersenyum. Sebelum datang tadi, Lyana dah pilihkan baju untuk aku pakai. Dia dah solekkan aku, hingga aku sendiri tak kenal diri aku. Mereka memang ada pakej alat solek untuk mengubah wajah orang. Almaklumlah, artislah katakan.

                  ‘’Jomlah, kita masuk.’’ Lyana mengapai tanganku dan menarik aku masuk ke dalam restoran. Meja yang telah ditempah oleh Syaukie berada di depan kaunter. Dari meja ini kami dapat melihat dengan jelas semua yang berlaku di dalam restoran dan sudah pastinya bekas suami aku yang sedang berada di kaunter sedang memandang ke arah kami.

                ‘’Siapa yang tempah meja? Tak ada tempat yang strategik sikit ke?’’ aku bertanya perlahan sambil memandang wajah seorang demi seorang kawan-kawanku yang sudah mula duduk di tempat masing-masing.

                ‘’Strategik dah la ni sayang. Nak strategik macam mana lagi?’’ Syaukie yang menjawab pertanyaanku sambil mengenyitkan mata. Aku sekeh jugak dia ni. Aku mengebam bibir menahan geram. Sengaja nak mengayat aku, bersayang bagai.

            ‘’Sejak bila pulak, mamat model ni jadi romantik?’’ Aiman mencelah tiba-tiba. Aku memandang Aiman dan Syaukie silih berganti, akhir sekali pandanganku teralih pula di depan kaunter. Mata aku bertembung dengan mata Ammar. Aku terus memalingkan wajah.

           ‘’Anak kau?’’ Syaukie bersuara lagi, bila seorang kanak-kanak lelaki berlari keluar dari dapur restoran. Aku memerhati kanak-kanak itu dengan mata yang berkaca. Lyana pula sudah bangun dan menuju ke arah kanak-kanak itu. Tanpa ku duga, Lyana mendukung kanak-kanak itu dan membawa ke meja kami.

                  ‘’Mama..’’ Lyana berkata, dan meletakkan anakku di atas ribaanku. Aku mengambil kesempatan itu dan memeluk dia, sebelum dia mengelupur dan turun dari ribaanku. Pedihnya hati, bila dia berlari laju masuk ke dalam dapur restoran semula sambil menangis. Ammar merenung tajam ke arah meja kami.

                ‘’Sabarlah Intan, Allah Maha Adil. Kau akan dapat anak kau balik.’’ Lyana cuba memujuk, tapi aku mengeleng laju. Aku takut aku tak mampu nak membesarkan dia. Cukuplah, kalau aku dapat melihat dia dari jauh. Aku hilang keyakinan diri. Aku takut dia tak mahu dengan aku. Berbagai kemungkinan yang aku sedang fikirkan sekarang.

             ‘’Kenapa? Bukankah kau rindu dengan anak kau?’’ Lyana bersuara lagi. Empat orang teman baik aku sedang merenung aku. Aku tersenyum hambar.

             ‘’Aku tak ada pekerjaan tetap Yana. Aku nak bela dia dengan apa. Sekarang ni nilai matawang kita jatuh, barang-barang semua mahal. Dia pun semakin membesar. Aku juga perlu bekerja untuk membiayai kehidupan kami. Kau fahamkan masalah aku?’’ aku bersuara gusar sambil menghela nafas berat. Hidup bukan semudah yang kita duga. Banyak liku dan simpangnya.

              ‘’Aku ajak kau nikah, kau tak nak. Jual mahal.’’ Aiman mencelah lagi sambil mengenyit mata. Aku membuntangkan mata kepadanya. Suka sangat nak mainkan aku la.

            ‘’Hish..korang ni, saat-saat genting macam ni pun, nak main-main lagi?’’ Lyana mencelah pula dan menjeling Aiman yang masih tersengeh.

            ‘’Aku ada idea baik, punya!’’ Azrul yang hanya menjadi pemerhati sejak tadi mula bersuara sambil memetik jari. Dia tersenyum dan menjungkitkan keningnya berkali-kali.

              ‘’Idea apa?’’ Syaukie bertanya.

              ‘’Ahaaa...’’

.............................................

Sahabat Hingga Hujung Nyawa

             Lima sahabat pulang dari sekolah bersama. Syaukie, Azrul, Aiman, Lyana dan Intan. Masing-masing sudah berjanji untuk bersahabat hingga hujung nyawa. Takkan ada perasaan cinta antara mereka berlima. Biar apa pun yang akan terjadi, mereka akan bersahabat untuk selamanya.

             Masa akhirnya memisahkan mereka. Masing-masing membawa haluan sendiri dan melanjutkan pelajaran. Bila masing-masing membina kerjaya, hanya Intan yang tiada apa-apa. Hidupnya dirundung duka. Nasibnya tak sebaik sahabatnya yang lain. Intan rasa rendah diri dengan keadaannya. Dia menyepikan diri dan terus bersembunyi dari sahabat-sahabatnya yang lain.

          Intan bertemu jodoh. Nasibnya terbela seketika. Namun, kebahagiaannya tak lama, kerana dia tidak disukai ibu mertua. Malangkah Nasibnya? Bila peristiwa malang terus menghantui hidupnya. Intan menjadi yatim piatu. Intan diceraikan dan anaknya dirampas.

         Saat Intan bertemu kembali dengan sahabat-sahabatnya, dia rasakan bagai bernyawa semula. Nasibnya terbela kerana sahabat-sahabatnya tak pernah melupakan dirinya. Mereka membantu Intan untuk merampas kembali anaknya. Ammar suami Intan terpaksa beralah. Ibu mertuanya juga, tidak boleh bertindak sesuka hati lagi. Kini, Intan bahagia bersama anaknya.

          Namun, saat bahagia menguliti diri, malang mendatangi sekali lagi. Intan disahkan mengidap barah otak tahap empat. Sudah tak mampu diubati lagi. Sahabat-sahabatnya bersedih hati. Hari-hari Intan dilawati untuk memberikan Intan kekuatan, agar Intan terus tabah. Intan Nasuha Binti Ikbal, jiwamu harus kuat untuk merentasi rintangan ini.

            ‘’Intan, kau okey hari ini?’’ Lyana yang baru saja sampai menyoal Intan yang terlantar di katil hospital. Intan hanya tersenyum hambar. Hari ini kesihatannya semakin merudum. Sudah dua kali dia tidak sedarkan diri kerana mengalami kesakitan yang teramat sangat. Dia seakan dapat merasa umurnya sudah tidak lama, di atas dunia ini.

         ‘’Aku okey, terima kasihlah, sebab korang semua sentiasa di sisi aku saat-saat yang macam ni. Anak aku tak datang hari ni?’’ sempat lagi Intan bertanyakan anak kesayangannya. Saat-saat seperti ini, dia ingin sentiasa berada di sisi anaknya itu. Anak yang sudah lama hilang dari pelukannya.

           ‘’Kitakan dah berjanji, bersahabat hingga hujung nyawa. Kau dalam keadaan macam ni, takkan kami tak datang ziarah. Aku sayang kau Intan. Kau sahabat aku di dunia dan akhirat.’’ Lyana berkata perlahan sambil membelai wajah Intan yang pucat lesi. Tersentuh hatinya melihat kedaan Intan ketika ini. Air mata yang sedang bertakung ditahannya agar tidak gugur.

           ‘’Aku sayang kau juga Yana. Aku sayang korang semua. Korang semua sahabat terbaik yang aku ada. Aku, aku...’’ nafas Intan menjadi semput tiba-tiba. Dadanya sesak dan Intan sukar bernafas.

          ‘’Intan..’’ Azrul memanggil. Hatinya diburu cemas melihat Intan yang nazak.

           ‘’Intan, mengucap Intan.  Ash-Hadu An La Ilaha  Illallah   Waas-Hadu Anna  Muhammada Rosulullah...’’ Aiman mengajar Intan mengucap dua kalimah syahadah sambil membisikkannya di tepi telinga Intan.

                 ‘’Intan Nasuha..ingat Allah Intan.’’ Azrul memanggil Intan lagi dan mengingatkan Intan tentang Allah. Nafas Intan semakin lelah dan akhirnya Intan sudah terkulai lemah di atas katil hospital.

              Syaukie sudah tidak dapat menahan sebak. Dia menangis tanpa sedar. Lyana juga sudah mula teresak. Azrul dan Aiman cuba berlagak tabah dan menahan air mata dari gugur. Suasana dalam wad menjadi hening. Lagu sedih dimainkan dan..

            ‘’Cut...’’ kedengaran suara pengarah memberikan arahan.

                Intan kembali membuka mata dan wad yang menjadi lokasi pengambaran mereka kembali menjadi riuh dengan gelak ketawa lima orang sahabat. Akhirnya kisah mereka berjaya difilemkan. Dengan Tajuk Sahabat Hingga Hujung Nyawa. Penulis skripnya adalah Intan Nasuha. Penerbitnya adalah Aiman Azahari dan watak utamanya adalah Azrul, Lyana dan Syaukie.

              Sekarang Intan sudah menjadi terkenal setelah menceburkan diri dalam bidang lakonan. Ibu mertuanya tidak mencemuh dia lagi. Dan anak Intan sudah boleh dilawatinya bila-bila masa saja. Ammar pula dalam proses bercerai dengan isterinya dan akan berkahwin semula dengan Intan selepas dia bercerai dengan isterinya nanti. Jodoh Ammar bersama Intan masih ada. Intan sendiri masih menyayangi Ammar dan tak sanggup untuk mengkhianati cinta mereka.

*********Tammat Sudah***************                           
Nota cinta buat pembaca blog Szaza Zaiman. Malangkah Nasibku? Sebenarnya, nasib semua orang sama saja, biar bagaimana halangan dan ujian yang dialaminya. Tiada yang bernasib malang di dunia ini. Allah menguji bukan kerana kita bernasib malang. Allah menguji kerana ingin memberikan yang lebih baik untuk kita. Allah ingin menjadikan kita hambaNYA yang sentiasa Redha. Allah ingin melihat kita bahagia di akhirat sana. Dunia ini adalah pentas ujian. Andai kita berjaya mengharungi setiap ujian dengan tabah dan sabar. Sentiasa Redha dan masih menjadi hambaNYA yang beriman dan bertaqwa hingga ke hujung nyawa. In Sha Allah, pasti ada ganjarannya di Akhirat nanti.
P/s : Menjadi pelakon itu tidak salah, asalkan menjadi contoh yang terbaik untuk penontonnya. Pelakon itu adalah idola. Andai berlakon dengan keadaan yang menutup aurat dan menjauhi maksiat, juga menjadi ikutan dan memberikan tauladan yang baik, tidak mengapa. Yang salahnya bila menjadi pelakon tangkap muat. Mendedahkan aurat dan terlalu sosial.
Buat penulis skrip di luar sana, dan para pelakonnya...andainya setiap lakonan dan jalan cerita mengajak penonton untuk melakukan kebaikan dan mengajak penonton untuk menuju ke jalan benar, itu adalah yang terbaik. Perbanyakan cerita yang berunsur keagamaan dan mengajak penonton untuk menuju ke jalan benar. Buangkan semua cerita imaginasi yang sia-sia yang sentiasa mengajak penonton melakukan maksiat. Semuanya akan masuk ke dalam saham akhirat kita. Allahu’alam.

             
          

2 ulasan:

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.