Jumaat, 12 Jun 2020

Hanya Kerana Egois


                  
   SAHARA baru setahun berkahwin dengan lelaki pilihan keluarganya. Di waktu malam, mereka seperti pasangan suami isteri yang lain tapi bila pagi menjelang, suaminya akan hilang entah ke mana, walaupun hari cuti. Hendak berbual mesra, jauh sekali. Hati Sahara sangat terdera. Dalam hubungan perkahwinan seharusnya saling menerima dan memberi kasih sayang tapi dia dan suaminya berbeza.

                  Sahara tidak mengerti, apa yang kurang pada dirinya. Dia ada rupa dan berbadan langsing. Keluarganya pun orang berada dan dia juga ada kerjaya. Pakaiannya sentiasa up to date. Di rumah pun dia tetap berdandan. Rumah tangga mereka tetap berkemas, walaupun dia sibuk bekerja. Apatah lagi mereka belum ada anak.

                 Suaminya cukup pendiam dan selalu mengelak untuk bertentang mata dengannya bila diajak berbual. Itu pun sepatah ditanya, sepatah juga yang dijawab. Sepuluh patah ditanya, dia terus membisu. Sahara buntu.

                  "Abang tak sukakan Sarakan?" Sahara memberanikan diri untuk bertanya. Aril diam membisu dan terus bangun.

                "Abang! Ara tanya ni." semakin laju Aril berjalan. Sahara mendengus kasar. Kalau Aril sudah keluar dan menghilangkan diri, malam nanti pula dia akan pulang semula. Itu pun belum tentu. Pernah Sahara menyoalnya dulu dengan soalan yang sama, seminggu Aril tidak pulang ke rumah.

**********

                   ARIL terus keluar dari rumah dan menuju ke rumah umminya. Dia anak bongsu dan anak manja. Dia berkahwin kerana umminya sudah berkenan dengan Sahara. Aril pemalu dengan perempuan, namun bila umminya nak menjodohkan dirinya dengan Sahara, dia tak menolak kerana dia juga telah berkenan dengan Sahara.

                     Masalah Aril cuma satu, dia tidak berani untuk bertentang mata dengan Sahara, darahnya bergemuruh dan badannya akan mengigil. Wajah Sahara sangat cantik hingga Aril rasa Sahara tidak sepadan dengannya. Setiap kali dia cuba menatap wajah Sahara, dia akan kalah. Cara terpantas yang mampu Aril fikir adalah menghilangkan diri.

                   Di luar rumah, dia mula rindukan Sahara dan dia akan pulang semula bila malam hari. Itu pun, selepas dia yakin Sahara sudah nyenyak tidur. Dia akan perhatikan wajah Sahara yang sedang lena hingga dia sendiri terlelap.

                   Kadang-kadang Aril tidak dapat mengawal diri melihat wajah jelita Sahara, naluri lelakinya membuak-buak menyuruhnya membelai Sahara. Terjadi juga hubungan kelamin antara mereka bila Sahara juga memberikan respon yang memberansangkan. Hilang semua perasaan malunya untuk seketika bila keinginannya sedang bermaharajalela.

                  Namun, bila segalanya selesai dia kembali menjadi dingin walaupun Sahara mengajaknya untuk berbual. Aril sendiri tidak faham dengan dirinya sendiri. Sukar untuk diterjemahkan oleh bahasa tubuhnya bahawa dia juga sayang dan cintakan Sahara.

                 ‘’Sara kata aku tak suka dia?’’ Aril bermonolog sendiri. Dia sedih bila Sahara tidak dapat meneka perasaannya. ‘’Aku sayang kau Sara, sayang sangat-sangat melebihi nyawa aku sendiri.’’ Aril terus bermonolong dengan dirinya sendiri.

                 Air mata lelaki Aril bergenang juga. Seksa sungguh perasaan ini untuk menerima segala-galanya. Dia tahu Sahara tidak bersalah, yang bersalah adalah dirinya yang terlalu pemalu dengan insan bergelar wanita. Keegoannya menidakkan segalanya, dia rasa tindakan adalah betul. Dia tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami memberi nafkah zahir dan batin.

               ‘’Aku sayang kau Sara setulus hatiku dan aku juga mencintai kau sepenuh hatiku.’’ Perlahan suara Aril kedengaran dalam nada sayu dan rasa sebak yang sudah mula bertandang membuatkan air mata Aril mengalir laju ke pipi.

              Ya Allah, kurniakan aku kekuatan untuk meluahkan perasaanku pada Sahara dan bertentang mata dengannya. Aku tidak mahu Sahara terus salah faham. Aku sayang dia Ya Allah. Hanya Engkau yang lebih mengetahui isi hatiku ini.

               Aril terus berdoa di dalam hati dalam keadaan jiwa yang berantakan. Dalam masa yang sama pemanduan diteruskan dan malam ini dia tak tahu untuk menuju ke mana lagi?

***************

                     "Kalau macam inilah perangai abang, lebih baik kita berpisah saja." Sahara sengaja menduga untuk mendengar isi hati suaminya. Aril terkaku beberapa saat. Dia mula rasa tertekan. Tak pernah disangka Sahara akan berkata begitu.

                     "Maksud Sara?" setelah berjeda beberapa minit, akhirnya suara Aril keluar juga. Terbang melayang semua sikap mengelabahnya selama ini. Sungguh terkejut mendengar ungkapan Sahara sebentar tadi. Kenapa perpisahan yang kau pinta Sara? Benarkah, kau memang tak pernah suka aku? Adakah hanya aku yang bermain dengan perasaan sendiri? Hati Aril merusuh di dalam dan sedang meneka dalam kesamaran.

                     "Kita bercerai." Aril terus tergaman namun hati lelakinya yang sakit terus membuat keputusan drastik. Andai itu yang kau perlukan, aku akan berikan Sahara. Hati Aril berkata geram dan bibirnya terus berkerjasama.

                      "Kalau itu yang Sara nak, baiklah." Dengan yakinnya Aril bersuara. Keegoaannya semakin mengila. Sakit hati, itu yang dia rasakan ketika ini.

                     "Baiklah?" Sahara menyoal kembali, dia cemas. Apa yang Aril fikirkan, adakah dia akan benar-benar ceraikan aku? Betullah, dia tak pernah sukakan aku? Sahara pula yang sedang berteka-teki di dalam hati.

                    "Abang akan tunaikan permintaan Sara. Sahara Az-Zahra..aku.." tanpa teragak-agak Aril melafazkan kerana hatinya sedang berbahang ketika ini. Betullah dugaan aku, Sahara tidak pernah sukakan aku, hanya aku yang sedang mengejar bayang-bayang sendiri.

                    "Semudah itu?" Aril belum lagi menghabiskan ayat-ayatnya, Sahara memotong kata-kata Aril. Air mata Sahara sudah mula bergenang.

                      "Dengar Sara, abang akan tunaikan apa saja permintaan Sara. Kalau Sara nak bercerai, okey..abang akan ceraikan Sara."

                  Sahara terus terduduk, namun air mata yang bergenang tetap gugur ke pipi. Sahara kesat perlahan dan menarik nafas sedalamnya. Minda Sahara menjadi kosong. Niat dia hanya sekadar menguji Aril, sebaliknya yang terjadi.

                 "Sahara Az-Zahra binti Sulaiman, aku ceraikan kau dengan talak satu." Aril menyambung kata-katanya dan terus melangkah keluar dari rumah. Aril juga tidak mampu untuk terus berdiri di depan Sahara. Dia juga perlu tenangkan hatinya sendiri.

             Sahara terus menangis teresak-esak selepas Aril berlalu pergi. Semudah itukah aku diceraikan? Semudah itukah runtuhnya rumah tangga yang aku pertahankan selama ini? Setahun ini aku menahan sabar melayan kerenah Aril, inikah balasan yang aku terima? Aku tidak pernah menolak permintaannya walaupun aku sedang letih, walaupun hati aku sakit dengan sikapnya. Aku jalankan tanggungjawab aku sebagai seorang isteri.

             Ya Allah apa yang harus aku lakukan? Apa yang harus aku jawab pada keluarga kami nanti? Aku buntu Ya Allah, kenapa terlalu berat dugaanMu ini? Bertubi-tubi soalan yang menerjah mindanya saat ini. Aku sudah menjandakah kini? Jatuhkah talak yang Aril lafazkan itu? Apa status aku sekarang Ya Allah?

               Esakan Sahara terus berlagu sendu sambil mindanya terus bekerja menyoal diri sendiri. Apa yang harus aku lakukan? Pergi ke Pejabat Agama untuk adukan semua kejadian ini? Perlukah? Arghhhhhhhhhhhhhhhhhh..Sahara stress..

********

                        Aril menghentakkan kepalanya di stereng kereta berkali-kali. Air matanya sudah tidak dapat dikawal lagi. Dia menangis juga akhirnya. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata menyesal tak sudah.

                         Bila mendengar saja kata-kata Sahara untuk meminta cerai, dia menyangka Sahara memang tak pernah sayang dia. Hatinya terasa sakit yang teramat sangat hingga melafazkan cerai. Dia terus laju menuju ke kereta dan membawa sekeping hati yang sedang sakit. Pedih sungguh rasanya, bila isteri yang disayangi tiba-tiba meminta cerai. Apa salah dan dosanya?

                     Ponnnnn..tanpa sedar hon kereta dibunyikan. Aril memandang kiri dan kanan. Dia masih berada di atas jalan raya. Aril meneruskan pemanduannya dan menekan minyak selaju mungkin.

                    "Apa salah abang, Sara?" Aril bermonolog sendiri.

                    "Abang sayang Sara. Kenapa kita harus bercerai?" Aril terus menyoal.

                    "Apa salah abang Sara? Apa salah abang?" Aril menghentak tangannya di stereng. Mindanya terus menerus berkata-kata dan air mata juga turut berbicara.

                      "Abang tak nak kita berpisah Sara. Abang nak Sara sentiasa ada di sisi abang."



*******
Setahun kemudian..

                  SAHARA melangkah laju menuju ke arah pejabatnya, hari ini hari pertama dia akan bekerja sebagai PA abang sulungnya, selepas puas dipujuk abang sulungnya itu. Sahara tidak suka bekerja di syarikat abahnya sendiri. Dia tak suka dihormati kerana dia anak seorang bos. Sahara ada prinsipnya sendiri.

                  Sebelum ini Sahara hanya bekerja sendiri berniaga secara online, tapi sejak bercerai dia sudah malas untuk berurusan dengan gelagat pelanggan yang bermacam kerenah. Dia juga sudah bosan bekerja dari rumah.

                    Dia melangkah anggun masuk ke dalam bangunan pejabat. Penuh gaya dan sopan santun. Ditubuhnya tersarung blaus berwarna merah gelap dan seluar slack yang sama warna. Dia juga memakai kot dan tudung. Nampak anggun bergaya namun bersifat lemah lembut. Wajahnya dirias dengan solekan nipis.

                   "Assalamualaikum, selamat pagi." Sahara menyapa penyambut tetamu dengan ramah sambil tersenyum manis. Kepalanya ditundukkan sedikit.

                  "Cik, nak ke mana tu? Cik ada buat temujanji ke?" bila kaki Sahara terus melangkah menuju ke arah lift, dia dipanggil. Sahara menoleh dengan wajah keliru.

                "Ada apa ya?" Sahara bertanya ragu-ragu.

                "Cik nak ke mana?" penyambut tetamu menyoal dengan nada suara tidak puas hati.

                     "Naik atas." Sahara menjawab tegas.

                    "Tak apa Siti. Dia PA baru saya." tiba-tiba ada suara mencelah. Sahara dan penyambut tetamu menoleh serentak. Saiffudin tersenyum sambil melangkah ke arah Sahara, sempat dipautnya bahu Sahara dengan selamba. Sahara menepis laju dan dijelingnya Saiffudin dengan tajam. Mulutnya sudah berdecit kerana geram.

                 "Dah buang tebiat ke?" Sahara membebel perlahan dan menjarakkan dirinya dari Saiffudin.

                   "Hahaha.." terhambur ketawa Saiffudin. Terhibur melihat gelagat Sahara yang marah dan wajah Sahara yang sudah berubah riak. Hilang semua gaya anggunnya tadi.

                     "Alaa..bukannya berdosa pun sayang." Saiffudin terus mengiat Sahara. Semakin tajam jelingan Sahara.

                    "Are you crazy? Ini pejabatlah Along!" Sahara bersuara tegas. Dia tahu perangai abang-abangnya yang kuat menyakat termasuk adik bongsu mereka. Dia memang selalu menjadi mangsa usikan mereka sejak kecil. Kadang-kadang sampai Sahara merajuk dan tidak mahu bercakap berhari-hari dengan mereka. Namun, mereka juga pandai memujuk. Sahara bahagia sebenarnya mempunyai empat orang abang dan seorang adik lelaki yang sangat menyayanginya.

                    "Adik takut Aril jealous ke? Don't worry, Along dengan Aril tu macam isi dengan kuku. Dia takkan jealous dengan Along." wajah Sahara berubah riak. Perceraian dia dan Aril belum diketahui keluarga. Hanya mereka berdua yang membuat keputusan itu. Mahkamah syariah pun belum membuat keputusan muktamad, kes mereka masih tertangguh.

                     "Tak ada maknanya nak takut dengan Aril. Adik cuma seram dengan pekerja lain saja. Banyak CCTV bocor dalam dunia ni. Tak pasal-pasal ada yang merakam dan viralkan dalam laman sosial. Yang merakam tu, bukannya nak siasat terlebih dahulu. Main belasah upload saja." Sahara menjawab balas dalam nada serius.

                     "Jangan risau dengan telatah manusia adik. Kita ada Allah, semua yang berlaku dengan izin Allah. Kalau Allah izinkan sesuatu kejadian itu mesti bersebab dan ada hikmahnya." lembut saja Saiffudin membalas. Dia menoleh ke arah Sahara sekilas lalu sebelum melangkah masuk ke dalam lift. Beberapa orang pekerja lain turut melangkah masuk. Sahara sengaja menjarakkan dirinya dengan Saiffudin di dalam lift. Tersenyum lagi Saiffudin melihat gelagat Sahara.

                   "Pagi boss.." seorang lelaki menyapa Saiffudin.

                   "Assalamualaikum." Saiffudin membalas sambil memberi salam. Tersengih-sengih pekerja tersebut sambil menjawab salam.

                   "Waalaikumusalam. Maaf bos, tersasul."

                    "Hurm.." sepatah Saiffudin membalas sambil memandang pekerja itu dan mengelengkan kepalanya. Pintu lift terbuka dan masing-masing melangkah keluar. Sahara mengikut Saiffudin dan pekerja lain dari belakang.

                   "Attention please! Hari ini kita ada pekerja baru, saya kenalkan PA saya Sahara." masuk saja dalam pejabat, Saiffudin terus bersuara dan melambai Sahara supaya datang kepadanya.

                    "Sahara ni pembantu peribadi saya, jadi saya nak warning awal-awal, jangan ada sesiapa nak ambil kesempatan suruh dia buat sebarang kerja. Hanya saya saja yang boleh memberikan arahan padanya. Faham?" Sahara sudah menjeling Saiffudin. Kenapa pula dengan Along ni? Bengap sangat ke pekerja dalam pejabat ni, sampai nak kena beri amaran macam tu? Sahara berdialog di dalam hati. Keningnya terangkat sedikit.

                        "Nak tanya soalan, boleh tak Encik Saif?" seorang pekerja lelaki mengangkat tangan.

                        "Dah kahwin ke belum?" Saiffudin belum sempat menjawab, soalan lain pula menyusul.

                        "Dah kahwin! Jangan nak mengatal! Next! Ada lagi soalan?" Saiffudin bersuara tegas.

                        "Dah kahwin, tak ada peluanglah nak mengayat." lelaki lain pula bersuara dan melepaskan tawa.

                        "Kamu datang nak kerja ke nak mengayat anak dara orang? Niat tu kena betul, barulah rezeki tu berkat. Kalau niat datang nak mengayat, sia-sia saja kamu datang kerja."

                        Zussss..yang berkata tadi terus tersengeh malu. Sekali sekala Encik Saiffudin buka mulut, memang terkena batang hidung. Setepek kena, hingggakan masing-masing terus jadi bisu.

**********

                          Aril mendapat berita tentang Sahara yang sudah bekerja di Syarikat bekas bapa mertuanya, dia sengaja singgah untuk melepaskan rindu. Dia masih sayang pada Sahara. Dia tak pernah membenci Sahara, cuma dia terkilan bila Sahara meminta cerai tanpa dia menduga. Dia sangka, dia akan dapat melupakan Sahara tapi dia silap. Hatinya begitu tersiksa setiap kali teringatkan Sahara.

                         Setiap kali dia diarahkan untuk pergi ke mahkamah syariah, dia tak pergi. Akhirnya, perceraian mereka tertangguh. Dia berharap Sahara bagi dia peluang untuk rujuk semula tapi dia tak tahu bagaimana caranya untuk memujuk Sahara. Nak minta bantuan keluarga, Aril tak berani, kalau keluarga Sahara tahu, Aril tak dapat nak bayangkan apa yang bakal dia hadapi. Sahara anak perempuan tunggal kesayangan keluarganya. Anak yang dimanjakan dan ditatang bagai minyak yang penuh. Bagaimana dia tergamak menceraikan Sahara?

                       "Aril..." dia baru menapak masuk ke bangunan pejabat, namanya sudah dipanggil. Pantas Aril menoleh dan melebarkan senyuman.

                        "Assalamualaikum." Solihin memberi salam sambil menghulurkan tangan.

                        "Waalaikumusalam, abang dari mana ni?" Aril menjawab salam dan bertanya mesra.

                       "Abang dari KLIA, Sara ajak abang lunch. Aril datang nak lunch sekali ke?" terkelu lidah Aril untuk menjawab. Tujuan dia datang sekadar untuk melepaskan rindu dengan menatap Sahara dari jauh saja. Sekarang abang Sahara bertanya soalan yang tak terduga oleh akalnya.

                       "Oh, iya ke? Sara tak bagitau pun. Saja datang, ingat nak buat susprize." Aril autakan saja. Takkan nak cerita hal sebenar, teruk dia kena temuduga nanti.

                       "Abang tak fly ke hari ni?" Aril masih bersoal jawab sekadar untuk menghilangkan rasa kekok. Abang Sahara yang nombor tiga ini seorang juruterbang.
Hanya sesekali saja dapat berjumpa denganya. Ini mungkin kali ketiga mereka bertemu selepas dia dan Sahara berkahwin.

                       "Cuti..sebab tu la kena buli dengan Sara hari ni, minta belanja makan. Nak ikut sekali ke nanti?"

                        "Err..tak apalah kalau macam tu. Sara tak tahu Aril datang, nanti marah pula dia kalau Aril join sekali." serba salah Aril jadinya. Kalau dia join ibarat orang mengantuk disorongkan bantal tapi apa pula kata Sahara?

                         "Hai..garang sangat ke adik abang tu? Nak ajak makan sekali pun nak marah?"

                        "Errr...eh, taklah. Bukan garang pun, cuma..." Aril kematian kata, habislah..apa lagi ayat yang harus dia auta?

                        "Sara tak tahu Aril datang."

*************

                          Sahara rimas, Aril asyik merenung dia sejak tadi, nak menyuap makanan ke mulut pun rasa kekok. Dia akui masih ada rasa sayang pada Aril tapi dia juga tak nafikan masih marah dengan Aril.

                         Aril telah lafazkan cerai dengan talak satu tapi setiap kali dipanggil ke mahkamah syariah, Aril tidak hadir. Sahara letih melayan kerenah Aril. Dia tidak tahu apa status dia sekarang. Masih isteri Aril atau sudah bergelar janda?

                       "Kenapa ni, diam saja? Sara dengan Aril ni macam ada apa-apa jer. Bergaduh ke? Cuba cerita.." Solihin merasa hairan melihat telatah Sahara dan Aril sejak bertemu di pejabat tadi lagi. Mereka langsung tidak mesra macam baru kali pertama dikenalkan.

                      "Sara?" nama Sahara diseru Solihin. Sahara mengeleng laju lalu Aril dijeling.

                      "Aril?" nama Aril pula diseru, Aril tersengeh..mindanya turut buntu untuk menjawab.

                   "Dah hampir dua tahun kahwin, takkan masih malu-malu lagi? Sebab itulah, kami belum dapat anak saudara. Bila nak kasi kami anak saudara ni? Sara? Aril?" Sahara panggung kepala, matanya dibulatkan pada Solihin. Wajahnya berubah riak. Malu dan bengang bercampur geram. Aril tertunduk malu bercampur rasa serba salah. Soalan abang iparnya buat dia bagaikan cacing kepanasan.

                        "Belum ada rezeki lagi.." perlahan saja Aril bersuara. Tajam renungan Sahara pada Aril. Belum ada rezeki? Sahara tak dapat mengawal perasaannya, bibirnya merekah dengan senyuman tapi hanya senyuman menyindir Aril yang juga sedang meratah wajahnya disaat ini.

                       "Usahalah lebih sikit. Sara pun, jangan sibuk sangat bekerja sampai abaikan keperluan suami. Ingat Sara, tugas seorang isteri yang wajib adalah melayan suami." Solihin mula membebel tanpa mengetahui keadaan sebenar.

                      Sahara hanya mampu mengangguk, dalam hatinya sudah menangis sayu. Kalaulah abangnya tahu, Aril sudah melepaskan talak padanya, apa nasihat yang akan diberikan? Atau penumbuk sulung Solihin yang akan naik ke muka Aril?

                      Sahara terpaksa pulang semula ke pejabat dengan Aril. Itu pun sebab Aril menawarkan diri di depan Solihin. Dia tiada pilihan, melainkan hanya mengangguk dan bersetuju agar Solihin tidak meragui mereka berdua.

                   Sepanjang perjalanan Sahara hanya diam membisu. Aril sesekali akan menjeling Sahara di sebelahnya. Ada juga hikmahnya terserempak dengan Solihin walaupun dia cuak juga pada awalnya. Mana tahu kalau Sahara sudah menceritakan segalanya pada keluarganya.

                  "Sara..." perlahan Aril memanggil. Berhati-hati kerana dia tahu Sahara masih marah padanya.

                     "Errr..." Aril menjeling sekilas lalu, Sahara masih menoleh ke arah lain, masih ralit memandang keluar tingkap.

                       "Kita rujuk semula.." Aril memberanikan diri bersuara, namun nada suaranya bergetar, tengelam timbul bunyinya.

                        "Huh!" hanya dengusan keras Sahara yang kedengaran. Dia langsung tak menoleh ke arah Aril.

                       "Sara..kita buang yang keruh, ambil yang jernih. Tak boleh ke? Lagi pun, malam tu saya tak sengaja. Saya terkejut, tiba-tiba Sara minta cerai. Saya macam..." Aril ingin meneruskan kata tapi, dia terhenti bila Sahara menoleh ke arahnya dengan renungan yang tajam menikam. Ada aura macam ingin membunuh orang pun ada.

                       "Senang awak cakapkan, tak sengaja? Terkejut? Awak ingat, perkahwinan tu macam main pondok-pondok ke? Awak dah lafazkan cerai dengan talak satu, saya dah buat report di pejabat agama, tunggu awak macam tunggul, bayang awak pun tak muncul. Nak ajak rujuk pulak? Awak ni anak jantan ke? Pandai lafazkan talak tapi penakut nak hadapi kenyataan! Awak ingat saya ni apa? Sampah, yang awak boleh kutip dan buang sesuka hati?" lahar gunung berapi terus meletus tanpa dapat ditepis lagi. Wajah Sahara bertukar merah. Bergetar seluruh tubuhnya dan dia sedang merenung tajam ke arah Aril. Kalau ada parang panjang, memang dilapahnya Aril di depannya ini.

                     "Sabar Sara, saya..."

                      "Sabar? Awak nak suruh saya sabar setelah apa yang awak buat? Awak ingat, saya ni tak cukup sabar ke dengan sikap awak selama ni? Setahun lebih saya bersabar dengan awak, tahu tak? Awak buat saya macam tunggul. Keluar awal pagi, balik dinihari. Awak ingat saya ni patung bernyawa ke, tak ada hati tak ada perasaan? Hah?"

                      "Sara..saya.."

                         "Awak apa? Apa lagi alasan awak? Cukup-cukuplah awak mendera perasaan saya selama ini. Saya dah letih layan sikap awak. Awak ambil saya cara baik, sila lepaskan dengan baik. Minggu depan kita selesaikan kes ni. Kalau awak tak hadir juga, saya akan selesaikan kes ni dengan keluarga kita. Saya takkan jaga nama baik awak lagi. Saya dah muak, asyik jaga hati awak, tapi awak..."

                       "Sara..kita rujuk semula, okey..saya masih sayangkan Sara, bagi saya peluang kedua.."

                         "Sayang? Macam tu ke cara awak sayang saya? Awak biarkan saya tunggu awak setiap malam macam tunggul.."

                       "Saya sayang awak Sara, cuma saya tak tahu macam mana nak buat, tak tahu macam mana nak tunjukkan.."

                      "Awak dah terlambat untuk terus sayang saya. Kalau tak tahu nak tunjuk sayang awak tu pada saya, belajar untuk tunjuk sayang awak tu pada orang lain. Awak tak malu ke, dah ludah nak jilat semula? Awak lupa, awak dah lafazkan talak?"

                       "Yea..saya tahu Sara tak pernah sayangkan saya. Sara kahwin dengan saya sebab terpaksakan. Sebab itulah, Sara minta cerai. Orang dah tak sudi nak buat macam mana." akhirnya Aril bersuara rajuk. Dia sudah tiada idea untuk memujuk Sahara. Dia meneruskan pemanduannya dengan hati yang sebal.

                           Sahara turut membisu di sebelah, air mata yang mula bergenang dibiarkan saja. Lelaki, dia yang tak pernah nak tunjukkan kasih sayang, aku pula yang dipersalahkan. Kalau aku tak ada perasaan pada dia, takkan sesekali aku sudi untuk berkahwin dengan dia. Zaman sekarang ni bukannya zaman kahwin paksa. Keluarga aku tak sekejam itu untuk memaksa aku kahwin dengan lelaki yang aku tak suka.

                          Sahara terus berdialog di dalam hati. Setitis air mata gugur juga ke pipi. Dikesatnya rakus sebelum dapat dikesan Aril. Selebihnya biar dia terus menangis di dalam hati.

**************

                     Sahara bingung bila setiap kali dia teringat pengakuan Aril. Benarkah Aril sayangkan aku? Tapi, kenapa terlalu mudah dia melafazkan cerai? Haruskah aku rujuk semula? Perlukah aku beri dia peluang kedua? Macam mana ni? Aku perlukan seseorang untuk mengadu tapi siapa yang boleh aku percayai?

                      Iman? Perlukah aku luahkan segalanya pada Iman. Bagaimana kalau Iman ceritakan pada ibu dan abah? Mesti Along, Angah, Alang dan Anjang akan tahu juga. Apa pula tindakan mereka nanti? Kalau boleh, aku tak nak susahkan sesiapa pun, tapi aku buntu.

Sara : Adik..kita keluar date, jom?

                    Mesej dalam WhatsApp dihantar pada adik bongsunya Shakirin Aiman yang dipanggilnya Iman atau adik dalam bahasa manjanya.

Iman : Adik? Mimpi apa ni? Iman tak suka la kakak panggil Iman macam tu. Merajuklah!

Sara : Hahaha..manja, sikit-sikit nak merajuk. Jomlah, kakak belanja Iman. Nak makan apa? Di mana? Bagitau aje.

Iman : Seafood dekat restoran nelayan. Iman nak makan semua jenis seafood, biar kopak duit gaji kakak bulan ni.

Sara : Alaa..kakak belum dapat gaji la. Janganlah macam tu, please!

Iman : Oklah tapi biar Iman yang belanja.

Sara : Pulak? Biar betul ni?

Iman : Serius tak tipu. Iman baru lepas show ni, loaded masuk..akak nak apa, bagitau saja Iman.

Sara : Sayang Iman ketat-ketat tau! Datang ambil akak ya, akak pergi siap kejap.

Iman : Dah minta izin abang Aril ke?

Sahara terus menepuk dahi sendiri. Dia terlupa dengan kewujudan Aril.

Sara : Nanti akak cerita.


**********

                    "Abang Aril kerja ke?" ayat pertama yang Iman tanya selepas Sahara meloloskan diri masuk ke dalam perut kereta.

                   "Kami dah bercerai." selamba saja Sahara menjawab. Kereta yang baru saja bergerak dibrek mengejut.

                    "Apa kak? Bila?" Iman bertanya dengan mulut terlopong.

                      "Jalanlah dulu, nanti akak cerita." Sahara masih rasa serba salah, dalam masa yang sama dia juga tertekan kerana sudah tidak sanggup lagi untuk menghadapinya seorang diri.

                     "Akak bagitau Iman sekarang, di mana abang Aril, biar Iman kerjakan dia cukup-cukup. Apa kurangnya akak, sampai dia ceraikan akak?" Iman mula menyinga, dikepalnya penumbuk. Sahara mula rasa gentar, kalau Iman pun tunjukkan reaksi sebegitu, bagaimana pula dengan abang-abangnya yang lain?

                      "Akak tak tahulah Iman, kami bergaduh malam tu, sebab akak hilang sabar, akak minta cerai..akak ingat nak test dia saja tapi tak sangka dia betul-betul jatuhkan talak. Dah tiga kali akak tunggu dia di pejabat agama untuk settlekan kes kami tapi dia tak pernah hadir. Akak sendiri tak tahu apa status akak sekarang ni." Sahara bercerita dengan satu nafas. Seolah-olah dia sedang melepaskan semua beban yang sedang ditanggungnya.

                     "Kita balik rumah abah, biar ibu dan abah yang buat keputusan."

                     "Jangan dulu Iman. Biar kami settlekan sendiri perkara ni. Abang Aril ajak rujuk, katanya dia tak sengaja malam tu, cuma akak masih bingung untuk buat keputusan, sebab tu akak cerita dengan Iman. Tolong akak yer dik, jangan bagitau sesiapa pun. Akak cuma perlukan seorang pendengar saja sekarang ni. Kepala akak ni macam nak pecah dah, sebab banyak sangat berfikir." Sahara menahan sebak yang mula bertandang. Kalau boleh dia tak mahu nampak lemah di depan Iman.

                     "Bila semua ni berlaku akak?" Iman bertanya dengan suara lemah. Dalam mindanya hanya terbayang wajah Aril. Kalau ikutkan hatinya, sekarang juga dia akan pergi cari Aril.

                    "Dah hampir setahun Iman." suara Sahara semakin perlahan. Sekali lagi Iman menghentikan keretanya, kali ini dia sempat berhenti di tepi jalan. Ditumbuk stereng kereta berkali-kali seolah-olah dia sedang menumbuk wajah Aril.

                         "Sejak bila akak jadi sebatang kara ni? Apa gunanya kami sebagai keluarga? Hah?" kemarahan Iman dilepaskan pada Sahara. Sebak yang ditahan tidak dapat dikawal lagi, akhirnya tangisan Sahara bersatu dengan tangisan Iman.

*********

                    Sahara dan Iman mula memesan makanan. Banyak makanan yang Iman pesan, nak lepaskan stress katanya.

                  "Akak serius, tak nak bagitau ibu dan abah?" cerita dalam kereta tadi diungkit kembali sementara menunggu makanan tiba.

                      "Tak perlu rasanya, akak bagitau Iman ni sebab nak minta pendapat Iman, haruskah akak rujuk semula? Akan buntu, rasa serba salah, blurr, blank, semuanya ada..." Sahara berkata sambil menarik nafas dan mengeluh. Mindanya terasa sakit kerana asyik berfikir tentang masalahnya dan Aril.

                       "Cuba akak cerita, apa sebenarnya masalah akak dan abang Aril?" sekali lagi Sahara menarik nafas dan melepaskannya. Nampak sangat, mindanya sedang kusut.

                        "Bukan semua hal boleh dikongsi Iman, lebih-lebih lagi hal dalam rumah tangga."

                         "Kalau akak tak cerita, macam mana Iman nak bagi pendapat? Akak ni, Iman tak fahamlah..." Iman mula nak marah. Minta tolong tapi tak nak cerita.

                         "Terlalu peribadi Iman..akak.."

                         "Abang Aril ada perempuan lain ke?"

                        "Bukan, bukan sebab orang ketiga."

                          "Habis tu, dia dera akak? Dia pukul akak?" Iman mula serkap jarang.

                         "Tak! Jentik pun tak pernah. Akak pun tak faham, dia cakap dia sayang akak tapi dia...payahlah nak cakap."

                       "Kalau akak tak cakap, macam mana Iman nak tolong selesaikan masalah akak." Iman merenung wajah Sahara, melihat wajah Sahara yang kian cengkung. Ada air mata sudah bergenang di tubir matanya. Iman turut sebak, seolah-olah semua tekanan yang Sahara hadapi kini sudah beralih ke bahunya.

                      "Akak cuma tak dapat buat keputusan, haruskah akak rujuk kembali dan beri dia peluang kedua?"



                    "Akak sayangkan abang Aril tak?" Iman terus mengajukan soalan.

                    "Tak tahu! Hati akak dah kosong lepas apa yang dia dah buat tapi kadang-kadang akak rindu juga nak tengok dia. Kadang-kadang akak benci dia..entahlah akak keliru dik. Akak tak tahu.." air mata Sahara sudah jatuh ke pipi. Dia mengesat pantas dan menoleh ke arah lain dan berusaha untuk senyum dan maniskan wajah. Hidup ini adalah pentas dunia. Sebagai salah seorang penghuni dunia, dia kena bijak berlakon.

                   "Makan dulu, lepas ni kita sambung.." Iman mengubah topik selepas makanan yang dipesan sampai di meja mereka. Semuanya dibakar bersama sambal cicah dan sos.

                   "Terima kasih Iman, sudi dengar luahan hati akak." Sahara berkata sambil tersenyum, sempat pula dia mengenyit mata pada Iman.

                   "Kitakan sedarah sedaging, kalau akak tak percaya pada kami, nak percaya pada siapa lagi? Ketam dan udang ni special untuk akak. Ikan ni Iman yang punya. Makan sampai puas akak, kita enjoy sakan malam ni. Masalah, masalah jugak, makan biar kenyang.."

                   "Salah tu Iman, berhenti sebelum kenyang.."

                   "Lain kalilah kita guna ayat tu, kalau kita berhenti sebelum kenyang, siapa nak habiskan semua ni?"

                  "Tu la, siapa suruh order banyak sangat, kita berdua saja yang nak makankan?"

                  "Orang kata, makan banyak boleh hilangkan stress..."

                  "Ehhh? Dia pulak yang stress?"

                   "Mestilah, akak tu sorang saja kakak yang Iman ada."

                   "Sayangnya adik akak kat akakkan?"

                   "Ehh..mestilah sayang.."

*********

                       Syarikat Sulaiman & Co Sdn Bhd adalah syarikat yang mengeluarkan produk makanan seperti pes kari, pes sambal, makanan frozen, rempah giling, pes cili padi, nasi frozen, kari frozen, sambal frozen dan banyak lagi makanan lain. Bukan saja dijual di Malaysia malahan sudah tembus ke Luar Negara sejak lima tahun yang lalu.

                   Sulaiman & Co Sdn Bhd juga mempunyai pasaraya yang menjual produknya sendiri dan mempunyai cawangan di setiap negeri dalam Malaysia. Turut disediakan beberapa microwave dalam setiap pasaraya untuk kemudahan pelanggan merasa setiap produk yang boleh dimakan segera.

                       Nasi impit frozen, ketupat frozen, nasi frozen, rendang, serunding dan lain-lain boleh dimasak dan dimakan segera hanya dengan dipanaskan beberapa minit saja. Sesetengah makanan juga boleh dicuba secara percuma oleh pelanggan.

                    "Puan, boleh cuba nasi dan ketupat frozen ni, baru saja dipanaskan. Tak perlu bayar, boleh cuba semua makanan segera di sini, puan pilih saja apa yang puan nak rasa." Laila yang merupakan cashier pasaraya cuba memikat hati salah seorang pelanggan.

                   Sahara memerhatikan saja pekerja-pekerja pasaraya bekerja. Hari ini dia dibawa melawat beberapa pasaraya yang memasarkan semua produk keluaran kilang mereka. Ada produk mentah dan makanan segera. Salah satu di antaranya adalah produk ciptaannya seperti acar buah-buahan kering. Sebelum ini Sahara menjual online produk syarikat mereka secara sukarela. Keuntungan masuk poketnya sendiri.

                   "Tak ada kesan sampingan ke makan makanan segera ni?" salah seorang pelanggan menyoal Sahara yang sedang membelek beberapa produk mereka.

                    "Kami mengunakan bahan-bahan semulajadi tanpa pengawet, In sya Allah..semuanya selamat untuk dimakan." Sahara menjawab sambil tersenyum.

                   "Di rumah saya tak ada microwave, macam mana nak panaskan kalau saya beli." pelanggan tadi masih menyoal.

                   "Boleh saja dipanaskan macam biasa. Kukus pun boleh, rebus pun boleh, goreng pun boleh atau masukkan saja dalam periuk atau kuali. Ikut citarasa puanlah tapi pastikan api jangan terlalu kuat. Panaskan dengan api yang perlahan." Sahara memberi sedikit penerangan tentang produk mereka.

                  "Macam rendang ayam atau daging ni, kalau puan nak makan, boleh kukus sekali dengan bungkusannya, kukus beberapa minit saja, bila panas dah boleh makan. Tapi, serunding ni tak perlulah dipanaskan, sudah boleh makan segera tapi kalau nak panaskan pun boleh juga cuma sekejap saja dengan api yang perlahan."

                 "Kalau kuatkan api jadi apa?" pelanggan itu bertanya dengan wajah blurr.

                "Hanguslah, sebab makanan segera ni semua dah masak..hanya perlu panaskan saja."

               "Oh, tadi saya tengok ada pes tomyam, pes kari, pes sambal tu..macam mana cara nak masaknya?" pelanggan itu masih menyoal itu dan ini.

             "Terpulang pada produk apa yang puan pilih. Kami ada pes mentah dan pes segera. Kalau pes mentah puan kena masak dulu macam biasa dengan masa yang lama hingga rempah pes tu masak. Kalau pes segera cuma perlu tambah air atau santan. Contohnya puan pilih pes sambal, hanya perlu tambah secawan air saja dan bahan-bahan pilihan puan. Contoh, puan beli pes segera sambal udang, masukkan air dengan udang saja. Kalau puan beli pes kari ayam, hanya masukkan santan dan ayam." panjang lebar Sahara memberi penerangan. Ada sesetengah pelanggan memang malas membaca arahan yang diberikan pada setiap pek.

************

                      Rahsia Sahara dalam gengaman Iman. Dia cukup mendengar kata dan tak ceritakan pada sesiapa pun namun dalam hatinya sudah tersemat satu ayat, Aril perlu diajar!

                    Hari ini Aril ajak Sahara bertemu untuk membincangkan kes mereka sebelum tarikh perbicaraan mereka. Sahara masih buntu untuk membuat keputusan.

                   "Iman, teman akak..." Sahara menghubungi Iman. Langkah pertama yang terlintas dalam fikirannya.

                   "Pergi bercuti ke?" Iman bertanya dengan suara ceria.

                  "Jumpa abang Aril." lemah nada suara Sahara. Dia tahu, tak sepatutnya dia babitkan Iman dalam hal ini, tapi dia perlukan seseorang untuk menguatkan hatinya.

                 "Buat apa nak jumpa abang Aril lagi? Lupakan dia akak, banyak lagi lelaki single dalam dunia ni." suara Iman sedikit lantang, hilang semua keceriaannya sebentar tadi.

                 "Iman, kes kami belum settle. Akak cuma tak nak terus menerus tanggung dosa. Akak masih keliru dengan status akak. Perceraian kami belum disahkan lagi. Tiga hari lagi, kami kena hadir semula di mahkamah syariah." Sahara mengingatkan Iman akan status dirinya dan mengeluh lagi. Kusut betul, selagi kes mereka masih tertangguh.

                  "Ok, Iman on..bila nak pergi? Pukul berapa?" Iman menukar fikiran. Inilah masanya dia mengajar Aril tentang erti sakit dipermainkan. Dia akan beritahu Aril bahawa Sahara tidak keseorangan.

                     "Tapi, Iman janji dengan akak..jangan apa-apakan dia ya." Iman baru berniat, Sahara sudah menegur seolah-olah suara hatinya didengar Sahara.

                    "Iman tak nak janji!" tegas nada suara Iman.

                   "Iman..please.."

                  "Tengoklah dulu, macam mana situasinya. Bila akak nak pergi jumpa dia?"

                  "Malam ni, dia ajak akak dinner dengan dia..di..."

                        "Apa akak? Malam ni? Dia dah gila ke, ajak akak keluar malam-malam ni?" suara Iman kembali bengkeng..amarahnya kembali bertamu.

                       "Siangkan kerja, sama-sama busy..esok akak nak kena ikut abang long pergi promote barang. Nak jumpa client.."

                      "Yalah..malam pun malamlah, pukul berapa? Iman pergi ambil akak.."

                   "Lepas maghrib, Iman datanglah pukul 8.30 macam tu.."


***********

                     Iman terus meluru laju sebaik melihat Aril sedang berdiri di sebelah keretanya. Sahara menjadi resah melihat telatah Iman.

                   "Iman, istighfar Iman..jangan ikutkan perasaan. Kita datang nak berbincang bukannya nak bergaduh." Sahara cuba menenangkan Iman sambil mengejarnya dari belakang. Iman tidak berpaling dan meneruskan langkahnya. Sahara hanya mampu berdoa di dalam hati.

                    "Hai brother in law, how are you?" Iman menyapa dengan nada sindiran sambil matanya merenung tepat ke wajah Aril. Sahara tiba dengan nafas termengah-mengah.

                    "Kenapa ni?" soalan Iman tak dilayan, Sahara pula yang disoal, Aril cuba menyentuh bahu Sahara, namun ditepis Iman sepantas kilat. Kejung Aril melihat gelagat Iman di depannya dengan renungan tajam menikam.

                   "Abang Aril kena ingat, Iman ada martial art, kalau setakat nak patah riukkan tulang orang, sesaat pun boleh." Iman memberi amaran sambil terus merenung tajam wajah Aril.

                     "Iman.." Sahara bersuara. Aril keliru, apa salahnya?

                    "Kenapa ni, tiba-tiba nak serang abang? Apa salah abang?" Aril bertanya juga. Dia tidak mahu terus bersoal jawab dengan diri sendiri.

                       Bukkk..Iman hilang sabar. Masih lagi berpura-pura menyoal, apa salahnya? Iman berdialog di dalam hati. Penumbuk sulung sudah mendarat di pipi Aril menyebabkan Aril terkejut besar. Mulut Aril mula mengeluarkan cecair merah. Penumbuk yang masih dikepal cuba untuk dilayangkan kali kedua.

                     "Cukup Iman..please.." Sahara sempat menegah dan berada di depan Iman.

                      "Kau jangan pura-pura bangsat. Kau buat kakak aku macam kain buruk, kau pura-pura bertanya apa salah kau? Kau ceraikan dia, lepas tu kau gantung dia tak bertali, kau ingat kau tu siapa? Hah?" amarah Iman terus membara. Kelu lidah Aril untuk menghadapi kenyataan.

                      "Apa maksud Iman?" entah dari mana suara itu datang, masing-masing menoleh serentak.

                       Mulut Sahara sudah ternganga luas. Iman terus membisu. Wajah Aril ditoreh pun tak mungkin berdarah saat ini. Rahsia yang ingin disembunyikan terbongkar sekelip mata.

                        Haji Karim dan Hajjah Halijah beristighfar tanpa henti, Dato Sulaiman dan Datin Saleha hanya mampu mengeluh mengenangkan nasib anak perempuan seorang.

                       Pertemuan yang tak dirancang, dengan izin Allah segalanya terbongkar. Aril yang masih direnung tajam oleh semua orang hanya mampu menunduk ke bumi. Sesekali dia akan menjeling Sahara yang kelihatan gelisah namun bila matanya bertembung dengan mata Iman yang masih mengengam penumbuknya, Aril terus kalah. Dia menyentuh bibirnya yang masih terasa pedih.

                     "Apa sebenarnya ni Aril? Kenapa sampai bercerai berai? " Haji Karim memulakan mukadimahnya. Aril tengelam punca. Bagaimana harus dimulakan? Segalanya berlaku terlalu pantas.

                   "Aril, walid tanya tu.." Hajjah Halijah pula yang bersuara. Malu betul dia pada kedua-dua besannya tapi apakan daya, nasi sudah menjadi bubur.

                  "Aril tak sengaja, ummi.." perlahan saja suara Aril. Iman sudah membebel seorang diri. Datin Saleha menjeling Iman dan memberi isyarat supaya Iman diam dan jangan masuk campur.

                    "Macam mana boleh tak sengaja? Berapa kali walid dah cakap..hal nikah kahwin jangan dibuat main. Hal talak, bukannya boleh dijatuhkan sesuka hati. Aril dah lupa pesan walid?" bagaikan budak kecil yang sedang dileter guru, begitulah yang Aril rasakan. Berbahang wajahnya, malu tak terkata.

                    "Aril ingat walid, tapi masa tu Aril..."

                      "Alasan..." Iman mencelah kuat. Datin Saleha merenung Iman dengan pandangan tajam. Dibeliakkan matanya. Iman terus diam.

                    "Aril apa, abah pun nak tahu jugak..apa salah Sara hingga Aril jatuhkan talak? Mungkin kami yang bersalah, terlalu manjakan Sara hingga dia tak mampu menjadi isteri yang baik untuk Aril." Dato Sulaiman pula menyoal. Dia tidak mahu berat sebelah, mungkin Sahara juga ada salahnya.

                        "Sara yang minta cerai, sebab tu Aril.."

                       "Kau jangan nak tuding jari pada kakak aku pulak..kau tu.."

                      "Cukup Iman..dengar dulu apa kata Aril. Sara, cuba cerita dengan kami..apa yang berlaku, betul ke Sara yang minta cerai?" Datin Saleha turut bersuara. Geram dengan gelagat Iman dan malu dengan kedua-dua besannya.

                        Keadaan menjadi semakin kecoh gara-gara Iman yang kurang sabar. Dia asyik mencelah dan tidak memberi peluang Aril untuk terus bercerita. Datin Saleha dan Dato Sulaiman pula tidak mahu memihak pada Sahara tanpa bukti.

                     "Maafkan Sara ibu.." Sahara semakin hilang kawalan. Tangisannya sudah mula berlagu sendu. Tidak sangka akan berada dalam keadaan seperti ini. Disoal dan dipersalahkan oleh Aril.

                    "Cuba Sara cerita.." Hajjah Halijah pula cuba memujuk Sahara, dijelingnya Aril sekilas lalu. Tak tahu nak memihak pada siapa.

                     Sahara terus tersedu, nak suruh dia bercerita bukan semudah itu. Dari mana nak dimulakan? Semuanya menyakitkan hatinya.

                     "Sara sangka, abang Aril tak pernah sukakan Sara. Dia keluar awal pagi, dia balik hampir dinihari. Tegur Sara pun tak pernah. Sara tanya sepatah, dia jawab sepatah. Sara bersabar setiap hari dengan sikap dia. Bila dah setahun kahwin, abang Aril masih macam tu. Sara ada suami tapi macam tak ada.

Satu hari tu Sara dah hilang sabar. Sara nak uji dia, Sara saja minta cerai, tak sangka dia betul-betul jatuhkan talak. Tiga kali Sara tunggu dia di pejabat agama untuk kaunseling dan nasihat, tapi dia tak pergi. Sara tunggu dia di mahkamah syariah untuk perbicaraan pun dia tak pergi..

Lama dia membisu, tak bertanya khabar, lepas setahun kami jumpa semula, tiba-tiba dia ajak rujuk sedangkan kes kami belum selesai lagi. Sara pun tak tahu apa status Sara sekarang ni." masing-masing diam membisu mendengar Sahara bercerita. Aril sudah meraup muka berkali-kali. Terasa bagaikan ada batu besar yang sedang jatuh dari atas langit. Nak mengelak, dia tak mampu melainkan merelakan saja dirinya terus dihentam.

                     "Habis..ehem-ehem macam mana?" mulut lancar Iman bagaikan peluru berpandu. Wajah Sahara terus memerah bagaikan udang dibakar. Datin Saleha membeliakkan matanya. Iman tayang wajah selamba.

                     "Jangan kata, kak Sara masih dara?" Iman masih belum puas hati, dia terus menyoal tanpa pedulikan amaran Datin Saleha.

                      "Diam Iman, dah..pergi sana! Jangan masuk campur urusan orang tua-tua." Dato Sulaiman terpaksa bersuara juga. Orang muda zaman sekarang, langsung tak hormat orang. Fikirnya.

                     "Cuba ibu dan abah fikir, kita sangka kak Sara sedang bahagia lepas kahwin tapi..apa bangsat ni buat. Dia dera kak Sara zahir dan batin. Kalau ikutkan hati Iman ni, lunyai Iman kerjakan.."

                    "Cukup Iman!" Dato Sulaiman bersuara tegas. Takkan selesai masalah, kalau asyik saling menyalahkan.

                   "Pergi sana!" terus Iman dihalau. Iman mengangkat tangan dan menyerah kalah dan memandang Aril dengan pandangan tajam. Dendam kesumat terus beraja di hati. Darah mudanya sedang mengelegak.

                     "Abah nak tanya ni, soalan yang sama dengan Iman. Sara masih dara ke?" selepas Iman pergi, soalan itu diajukan lagi. Perlahan Sahara mengeleng. Semakin keliru kedua-dua ibu dan bapa mereka. Akhirnya Sahara dan Aril dipandang silih berganti.

                   "Bab tu, abang Aril tak abaikan. Cuma lepas dapat apa yang dia nak..dia tinggalkan Sara, malam esok baru dia balik semula. Dapat, tinggalkan lagi.." Sahara terus menangis dan kali ini tangisannya semakin menjadi-jadi. Aril rasa tubuhnya bagaikan dipangang dengan api melihat lahar kemarahan kedua ibu bapanya dan kedua ibu mertuanya.

                  "Lebih baik kau cari pelacur saja." Datin Saleha bersuara tanpa sedar dan memeluk Sahara yang sudah teresak.

**********

                  Aril meramas rambutnya berkali-kali. Macam mana kusut rambutnya, begitulah kusut fikirannya ketika ini. Cerita Sahara seolah-olah sudah membuka segala aibnya. Dia tak menduga Sahara akan ceritakan segalanya.

                   Sepatutnya, hal di antara mereka berdua terutama hal di bilik tidur, biarlah mereka selesaikan bersama. Rasa sakit hati dan sakit jiwanya bila mendengar ayat-ayat daripada ibu mertuanya. Seteruk itukah aku? Sehina itukah aku?

                      Aril bingung bila ibu bapanya juga memihak pada Sahara. Mereka suruh dia berlutut dan memohon maaf pada Sahara hingga Sahara terima dia kembali. Di mana nak ku letak mukaku ini? Takkan seorang lelaki perlu melutut pada seorang perempuan? Besar sangatkah dosaku pada Sahara? Aril terus berdialog di dalam hati.

                  Arghhhhh..akhirnya dia menjerit sendiri. Hanya jeritan batin yang tak didengari sesiapa pun.

Aril : Maafkan abang Sara..tolonglah jangan seksa abang macam ni. Takkan Sara nak abang melutut pada Sara macam yang ummi suruh?

                    Aril menghantar mesej melalui WhatsApp pada Sahara. Dia benar-benar buntu, nak buat seperti disuruh Hajjah Halijah, sangat mustahil baginya.

Sahara : ......... (bluetick)

Aril : Jangan macam ni Sara. Reply la mesej abang ni.

Sahara : ....... ( hanya bluetick)

Aril : Sara!!!! Jangan buat abang macam ni, please!!!!

Sahara : ........ ( bluetick lagi )

Aril : Sampai bila Sara nak bluetick jer ni. Reply la mesej abang ni!

                  Aril terus hilang sabar, dia ingin menaip lagi tapi nama Sahara tiba-tiba hilang dari 'radar'. Sahara sudah senarai hitamkan namanya.

                    Arghhhhh...Aril menjerit lagi di dalam hati. Diramas lagi rambutnya berkali-kali, hanya bantal dan katil menjadi saksi kusutnya fikiran lelaki ini.

********
                          "Sampai bila Aril nak macam tu?" Solihin yang baru pulang setelah beberapa hari berada di luar negara, menyoal Datin Saleha.

                          "Entahlah..sama-sama tak mahu beralah. Sara tak mahu kalah, Aril pun tak mahu berputus asa. Ibu dah suruh dia pulang, abah pun dah pujuk dia tapi katanya selagi Sara tak maafkan dia..dia takkan pulang." Datin Saleha menjawab selamba. Kalau difikirkan, dia juga turut rasa apa yang Sara rasa tapi taklah sekejam itu.

                          "Adik di mana?" Solihin bertanya lagi, mana tahu kalau dia boleh memujuk Sahara.

                          "Kerja. Sara tu buat macam tak ada apa yang berlaku. Dia pergi kerja macam biasa." sambil memasak, Datin Saleha melayan Solihin. Pembantu rumah mereka hanya membantu apa yang perlu saja.

                        "Adik tu memang macam tu, ibu..nampak saja macam tak ada apa, tapi dalam hati adik tu Ayin tahu, dia terluka. Adik tu pemaaf orangnya, kalau sakit sikit takkan dia tak nak maafkan? Tu mesti luka yang terdalam tu. Apa sebenarnya yang berlaku ibu?" Solihin masih tidak puas hati. Cuba dicungkil segala rahsia.

                        "Entahlah..malas ibu nak masuk campur. Nasihat sudah, tegur pun sudah, marah pun dah berbuih mulut ibu ni ha..tapi kedua-duanya sama saja." Datin Saleha malas nak bercerita. Kalau anak-anak lelakinya tahu hal sebenar, parah Aril tu dikerjakan. Iman sorang yang tahu pun cukuplah.

                         "Aril main kayu tiga ke, ibu?"

                          "Ke situ pula dia, tak adanya kayu tiga. Kalau Aril tu berani pasang dua, ibu dulu yang kerjakan dia. Berani madukan anak perempuan tunggal ibu, memang kenalah."

                        "Amboi, garangnya ibu." sempat pula Solihin mengusik Datin Saleha.

                      "Mestilah..sejak kecil lagi ibu tatang bagai minyak yang penuh Sara tu, bila dah kahwin suami dia duakan dia, memanglah kena."

                      "Jadi betullah, Aril tu main kayu tiga?"

                      "Ishh..mana ada, ibu bagi contoh saja."

                     "Ibu bagitaulah Ayin, kenapa mereka tu jadi begitu. Mana tahu, Ayin boleh bantu apa yang patut."

                      "Bantu saja Sara tu maafkan Aril dan lupakan hal yang dah lepas. Belajar memaafkan dan beri Aril peluang kedua. Tak ada manusia yang tak buat silap. Pujuk Sara tu, biar lembut sikit hati dia."

                       "Nak pujuk adik boleh saja ibu, tapi Ayin nak tahu juga apa salah Aril tu?"

                      "Entahlah..ibu malas nak campur." Datin Saleha masih dengan prinsipnya. Dia memang marah dengan Aril tapi sampai bila dia nak terus jadi pemarah? Masalah takkan selesai dengan kemarahan. Sebagai ibu dia hanya mampu berserah pada Yang Maha Esa.

***********

                      "Long, aku perhati saja si Aril tu, kecil besar, kecil besar aku tengok dia. Apa kata kita berlima pergi interview dia?" Shuhaimi membuat cadangan bernas. Bila sesekali berkumpul dan melihat keadaan Aril yang masih berlutut mohon kemaafan di depan rumah mereka dia penasaran. Keinginannya untuk tahu punca Aril jadi begitu menderu dalam fikiran.

                     "Ibu kata, biarkan saja Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan mereka settle sendiri urusan rumah tangga mereka." Solihin mencelah sebaik saja dia tiba di ruang tamu.

                   "Tapi Lang, kita ni sebagai abang takkan nak lepas tangan saja?" Shuhaimi masih menyoal. Dia sebagai abang nombor dua pada Sara rasa tanggunjawabnya perlu dilaksanakan. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

                    "Pujuk Sara tu jangan keras hati. Long, adik tu kan PA kau Long. Mesti dia dengar cakap kau." Solihin masih berlembut dan memujuk abang mereka yang sulung.

                         "Along ni bukannya tak nak masuk campur tapi kalau tuan punya badan sendiri pun dah kasi warning, takkan along nak berkeras juga. Biarkanlah Aril tu, letih nanti dia give up la tu." selamba saja Saiffudin membuat ayat. Dia dah lama tahu kisah rumah tangga Sahara, sebab itu dia pujuk Sahara supaya bekerja dengannya. Dia tidak mahu melatah. Rumah tangga dia sendiri pun belum sempurna lagi. Dia sebagai suami dan ayah pada tiga orang anak, masih juga banyak kurangnya.

                      "Korang ni macam tak kesian pula dengan Sara tu. Adik tu sejak dulu, susah nak tengok dia marah. Aril tu dah separuh hari melutut tapi adik tetap berdegil tak nak maafkan dia. Mesti dia ada buat salah besar." Shuhaimi masih berdegil untuk mengajak Saiffudin dan yang lain untuk menyoal Aril. Hendak menyoal Sahara, hanya gelengan dan anggukan saja yang dia terima. Kalau tak pun, Sahara akan menjeling atau menangis.

                      "Abang Aril ceraikan kak Sara, lepas tu suruh maafkan dia sebab nak rujuk balik." Iman yang pada mulanya berniat untuk tidak mahu masuk campur, akhirnya hilang sabar juga.

                       "Apa?" serentak Solihin dan Shuhaimi berkata. Tak terkecuali Safuan yang baru saja masuk ke ruang tamu.

                  "Sara dah bercerai? Kenapa? Baru kahwin, belum lagi dapat anak dah bercerai? Ingat kahwin tu macam main pondok-pondok ke?" Shuhaimi terus memetir dan meluru ke luar rumah.

                       Aril masih begitu dengan keadaan dirinya yang bagaikan pesalah menunggu hukuman. Walaupun sudah letih dan kakinya sudah sakit dan kebas, dia masih tetap utuh seperti mulanya. Selagi Sahara tidak membuka mulut, dia akan tetap kekal seperti ini. Nekadnya dalam hati.

                        "Apa salah Sara, sampai kau ceraikan dia? Kau ingat adik kami tu apa, kau buang sesuka hati, lepas tu kau nak rayu dia kembali?" Shuhaimi mula menunjukkan sikap garangnya. Aril masih tidak berkutik.

                      "Bangun! Kau jangan nak tunjuk muka bersalah kau di sini. Ramai lagi lelaki di luar sana yang sudi ambil Sara sebagai isteri. Kau jangan nak tunjuk muka kau lagi. Jangan nak berlakon baik di sini." memetir lagi kata-kata Shuhaimi.

                     "Allahu Akhbar! Sudah! Sudah! Apa semua ni? Jangan ikutkan perasaan sangat!" Datin Saleha terkejut besar bila pulang saja ke rumah melihat anak-anaknya sedang memukul Aril.

                      "Dia ni memang perlu diajar cukup-cukup ibu." Iman bersuara mewakili abang-abangnya. Saiffudin dan Solihin cuba mendamaikan Shuhaimi, Safuan dan Iman yang sudah sepakat untuk menghukum Aril.

                      "Long..kenapa biarkan adik-adik buat Aril macam ni. Salah macam mana pun Aril ni, dia tetap manusia biasa. Long tu abang, jangan nak sebelahkan adik-adik." nama Saifuddin pula yang disebut Datin Saleha. Sejak kecil, kalau anak-anak yang lain nakal, Saiffudin juga yang kena.

                       "Along dah cuba ibu, tapi mana mampu nak padamkan api yang sedang marak kalau along seorang saja yang cuba nak padamkan. Sesekali orang bersalah ni kena beri pengajaran juga ibu, kalau tak bila dia nak sedar diri." dalam membela diri, dia membela adik-adiknya juga. Ikutkan hatinya memang dah lama Aril tu dia belasah. Tapi, kerana Sahara yang menegahnya, dia buat tak tahu saja.

                   "Cukup, cukup..dia dah dapat pengajaran. Lagi pun, siapa kita nak menjatuhkan hukum? Dah rasa sempurna sangat, sampai nak menjatuhkan hukum tak tentu pasal? Allahu Akhbar, kalau tahu dek Haji dengan Hajjah ni, apa ibu dan abah nak jawab?" rungsing Datin Saleha melihat wajah Aril yang sudah berdarah dan bengkak.

                        Aril diam membisu. Dia rela dipukul, asalkan Sahara sudi memaafkannya. Tapi, sejak dia berlutut wajah Sahara pun dia tak nampak. Hanya abang-abang dan adik Sahara saja yang datang silih berganti. Ibu dan ayah mertuanya datang menegur dan suruh pulang. Abang -abang datang menyoal itu dan ini. Adik iparnya pula asyik menyindir tanpa henti. Hanya pembantu rumah yang datang membawa makanan dan minuman serta memujuk dia supaya makan.

                        "Pak Man, tolong bawa Aril ke hospital. Habis dah bengkak muka ni." Datin Saleha memanggil pemandunya yang turut sama menyaksikan kejadian di depan banglo Dato Sulaiman.

                        "Tak apa ibu, selagi Sara tak maafkan Aril..biarlah Aril macam ni."

                        "Ibu? Siapa ibu kau? Kau dah ceraikan Sara, maknanya dia bukan ibu mertua kau lagi?" Safuan mencelah dalam nada mengejek. Terus Aril menundukkan wajah. Pedih hatinya mendengar ungkapan itu.

                         "Cukup Wan! Kenapa semua orang degil sangat ni? Letihlah ibu, Aril dengan degilnya, Sara pun degil..anak-anak ibu semua pun degil. Ikut kepala korang sajakan? Cakap orang-orang tua ni, langsung tak didengar." melenting Datin Saleha. Boleh kena serangan jantung dengan darah tinggi kalau macam ni. Nasib baik tiga orang menantu dan cucu-cucunya tak datang sekali. Ingatkan, bila ajak anak-anak berkumpul, nak selesaikan masalah.

                     "Iman, pergi panggil kak Sara ke sini sebelum ibu masuk cari dia. Kalau ibu mengamuk nanti, jangan nak salahkan ibu pula." Datin Saleha memberi amaran dengan suara tegas. Tanpa berlengah Iman masuk ke dalam rumah.

                     "Aril, sebenarnya ibu tak nak masuk campur hal rumah tangga Aril dan Sara tapi memandangkan Sara bukan isteri Aril lagi, ibu harap Aril janganlah berdegil sangat. Esok Sara kata ada perbicaraan di mahkamah syariah, kali ni Aril kena pergi dan selesaikan kes yang masih tertangguh. Sampai bila Aril nak gantung Sara tu? " terlepas juga semua kemarahan yang terpendam dalam hati tanpa sedar banyak saksi yang sedang mendengar. Sekali lagi penumbuk Shuhaimi melayang ke muka Aril.

                     "Cukup!!" terkejut Datin Saleha. Suaranya bagai halilintar membelah bumi. Dadanya diurut berkali-kali. Entah panas baran siapa yang diwarisi anak-anaknya.

**************

                      Aril terpaksa angkat bendera putih. Awal pagi lagi abang kedua Sahara menunggunya di depan pagar rumah dan mengiringinya hingga sampai ke mahkamah syariah. Aril tidak dapat berkomunikasi dengan Sahara walaupun sepatah ayat.

                     Kedatangan Sahara di kawal oleh Iman, Solihin, dan Shuhaimi. Datin Saleha juga turut ada bersama. Ujian sangat getir buat Aril. Niat untuk berbaik semula dengan Sahara musnah semuanya.

                    "Selepas korang bercerai ni, kau jangan tunjuk muka kau pada kami lagi." Shuhaimi memberi amaran ala-ala samseng Kampung Dusun.

                      "Takkan nak berkawan pun tak boleh?" Aril memberanikan diri menyoal.

                        "Kau nak tambah lebam di muka kau ke?" Shuhaimi berkata sambil menunjuk buku limanya. Laju Aril mengeleng sambil meraba wajahnya yang masih terasa pedih.

                       "Tak habis lagi Mie? Macam kuat sangat, asyik nak tunjuk penumbuk saja. Kalau ibu tahu dulu, tak adanya ibu izinkan belajar seni mempertahankan diri tu. Tak puas lagi berlakon jadi stuntman, sampai tak kira siapa kau nak tumbuk?" sesekali Datin Saleha bersuara, anak-anaknya bagaikan cacing kepanasan.

                      "Ala ibu ni..sportinglah sikit. Kalau bukan Mie yang bela nasib si Sara tu siapa lagi. Nak harapkan Solihin, diri dia sendiri pun tak terbela. Dengan isteri sendiri pun takut." Shuhaimi membalas sambil tergelak. Dijelingnya Solihin sekilas lalu.

                     "Aku bukan takut isteri, aku sayang isteri. Macamlah kau tu berani sangat dengan isteri kau." mereka saling bergurau sesama mereka.

                     "Tak ada maknanya aku nak takut isteri, masalahnya isteri aku tu yang tak takut dengan aku. Dia stuntwomen kot, aku marah dia, dia jeling aku balik." Shuhaimi membalas juga kata-kata Solihin sambil ketawa, bila dia menoleh ke arah Aril terus ketawanya terhenti.

                     "Kau sebab apa pula, kau ceraikan Sara? Aku tak puas hatilah selagi aku tak dengar jawapan kau." kali ni Aril pula yang diserangnya.

                      "Cukup Mie!" tegas nada suara Datin Saleha.

                      "Mie cuma nak tahu saja ibu, takkan itu pun tak boleh?"

                      "Pergi masuk Sara, Aril..harap-harap kali ini kes korang settle la. Sampai bila nak tanggung dosa." sempat pula Datin Saleha membebel. Aril dan Sahara sedang berperang dengan perasaan masing-masing.

************

                       Sahara kembali bekerja di rumah selepas mereka bercerai. Rumah mereka dijual dan Sahara tinggal dengan keluarganya semula. Aril pula kembali tinggal di rumah bujang bersama kawan-kawannya.

                     Sementara menunggu eddahnya habis, Sahara kembali aktiv mempromosikan produk syarikat mereka melalui online. Dia hanya promosikan saja tapi yang menghantar barang adalah pekerja-pekerja mereka di seluruh negeri. Ramai juga yang memohon untuk menjadi dropship dan mereka juga mempunyai ejen dan stokis di seluruh Malaysia. Luar negara juga tidak terkecuali terutama negara-negara Asia.

                     "Kak Sara, lepas eddah ni akak jadi manager Iman pulak. Iman perlukan seseorang untuk jaga Iman, uruskan semua barang-barang Iman, uruskan tentang tugas Iman, show Iman.."

                   "Maaf, akak tak berminat nak join orang glamour ni, jiwa akak lebih pada bisnes saja. Tak perlu berdepan dengan orang ramai. Santai saja bekerja, guna jari saja. Cukup bulan..masyukk." sempoi saja ayat-ayat Sahara sambil jari jemarinya membalas beberapa mesej dalam WhatsApp.

                    "Akak ni tak sporting ar, sesekali bagi la muka kat adik bongsu akak ni. Iman nak ambil orang luar pun, leceh sikit. Nanti semua rahsia Iman pecah lobang."

                   "Hah? Rahsia apa? Cer ceta dengan akak." cepat saja respon Sahara. Jari jemari yang rancak menari di skrin I-phonenya terus berhenti. Sembilan puluh sembilan peratus tumpuannya diberikan pada Iman.

                    "Adalah..mana boleh bagitau. Kalau akak nak tahu, kenalah jadi manager Iman dulu."

                      "Eleh..manager ke jadi kuli Iman?" Sahara bersuara menyindir. Dia tahu sangat dengan perangai Iman, kalau dia sudah mula mengarah itu dan ini..memang menyakitkan hati. Sesekali sikap degil dia datang, berleterlah setiap hari selama sebulan pun, memang tak adanya dia nak dengar.

                       "Kuli apanya, Iman bayarlah nanti."

                       "Berapa sebulan?" Sahara mula teruja. Bila difikirkan semula, tawaran Iman tu menarik juga.

                        "Berpatutanlah dengan apa yang bakal kak Sara lakukan nanti."

                        "Yelah..berapa?"

                         "Berapa kak Sara nak?" Sahara terus jungkit kening. Peluang keemasan ni.

                         "Sepuluh ribu?"

                        "Baik tak payah!" kuat Iman menengking. Sahara sudah terbahak-bahak.

                         "Manager kot? Berapa Iman mampu?"

                        "Tiga ribu."

                          "Baik tak payah, duduk rumah ni pun kalau ramai yang order dekat sepuluh ribu masyuk tau." Sahara pula yang menempelak. Iman hanya mampu mencebik, tidak percaya.

****************

                      Aril dan Sahara masing-masing buat hal sendiri. Bila Sahara sedang menunggu habisnya eddah, Aril pula nekad untuk berubah menjadi seorang lelaki yang peramah. Dia serik dengan pengalaman lalu, kerana sikapnya yang mudah gemuruh, akhirnya dia kehilangan orang yang dia sangat sayang kerana salah faham.

                     Di tempat kerjanya lebih ramai orang lelaki berbanding perempuan. Kalau ada perempuan pun, kebanyakannya isteri orang yang sudah berumur. Ada seorang ibu tunggal beranak enam tapi wajahnya masih cantik dan menawan. Ibu tunggal ini juga pandai bergaya. Aril cuba beramah mesra dengan ibu tunggal ini.

                   "Alin, hari tu saya nampak awak kat mall. Awak bawa anak siapa, ramainya?" walaupun Aril tahu Fazlin ni ibu tunggal beranak enam, tapi dia bertanya juga sekadar untuk memulakan mukadimahnya.

                   "Anak I la, takkan I nak bawa anak jiran sebelah. You ni dah kenapa Aril, tak pernah busy body..sejak akhir ni ramah sangat pula I tengok. You tegur semua orang, sebelum ni bukan main sombong lagi." Aril hanya mampu tersengeh, bila soalannya dibalas dengan bebelan yang berjela.

                  "Sedangkan pantai pun berubah, inikan pula manusia. Sombong ke? Siapa yang cakap? Saya tak sombonglah." Aril menafikan tuduhan Fazlin. Tersentap sikit hatinya.

                   "Hmm..cuba you tanya orang lain, terutama orang perempuan, senyum pada you..boleh pula you balas dengan muka masam." Fazlin mengambil kesempatan meluahkan semua isi hatinya.

                  "Ehh? Mana ada! Jangan tipulah, saya tak pernah sombong pun." tersentap lagi Aril. Selama ini dia ingat semua orang memahami prinsip dia untuk menjarakkan diri dengan wanita yang bukan mahram, rupa-rupanya mereka sudah salah faham.

                    "Tak mengaku pula. Haa..nak apa, datang sini? Nak belanja lunch ke? I okey saja, boleh save budjet I bulan ni." Fazlin tak melepaskan peluang, terus mengambil kesempatan atas keramahan Aril yang tak disangka.

                      "Boleh ke? Tak ada yang marah ke kalau awak keluar makan dengan saya?" Aril menyoal seperti orang bodoh.

                       "Oii Aril..kau nak kerja ke nak jual minyak urat. Kalau nak, aku boleh tolong rekomen." Salah seorang rakan sekerja mereka sudah mengusik. Aril terus tersipu-sipu namun dia cuba mengawal diri.

                     "Sejak bila kau buka agensi cari jodoh ni?" Aril menyoal kembali.

                     "Aih..aku tak cakap pun nak cari jodoh kat kau." sekali lagi Aril tersipu-sipu. Terkena lagi dia.

                      "Alin tu pun okey dah tu, beli satu dapat tujuh. Bonus kot..hahaha.." Alyas terus mengusik sambil berdekah dia ketawa.

                      "Amboi..sedapnya kau cakap. Ingat aku ni barang dagangan yang boleh buat promosi ke?" Fazlin berkata pada Alyas sambil menjeling geram.

**************

                       Sebulan selepas bercerai, Aril kahwin lain dan pasangannya adalah Fazlin, ibu tunggal anak enam. Mereka buat majlis sederhana saja sebab Aril nak bawa Fazlin pergi bulan madu tapi masalahnya bulan madu mereka bukannya berdua saja sebaliknya berlapan.


                    Sebut saja bulan madu, semua anak-anak Fazlin nak ikut sekali, kata mereka dah lama tak pergi bercuti sejak ayah mereka meninggal. Fazlin sibuk bekerja untuk mencari nafkah buat anak-anaknya.

                   "Mama, baju ni bawa sekali ya?" anak bongsu Fazlin yang berumur enam tahun paling sibuk untuk berkemas. Tidak sabar untuk pergi bercuti.

                    "Ehh..tak payah bawa sayang, nanti kita beli di sana. Kalau semuanya nak bawa, nanti siapa yang nak bimbit beg yang banyak tu. Ingat semua, baju bawa sorang tiga pasang saja. Masukkan dalam beg sekolah masing-masing, lepas tu nanti galas sendiri. Mama dengan papa takkan bawa beg korang. Faham tak?" Fazlin memberi arahan pada anak-anaknya. Aril hanya menjadi pemerhati. Dia dan Fazlin akan berkongsi beg. Tak banyak baju yang dia perlukan, lagi pun mereka hanya akan pergi bercuti seminggu saja. Mereka sudah tempah homestay yang lengkap dengan perkakas rumah. Kedai dobi pun ada berdekatan dengan homestay tersebut.

                       "Baik.." hanya kedengaran suara anak-anaknya yang kecil saja. Yang sudah besar panjang hanya mengganguk tanpa suara.

                      "Firas! Dah siap kemas ke?" melihat anak keduanya Firas yang asyik bermain game, Fazlin terus menegur.

                      "Dah la mama.." selamba saja Firas menjawab.

                      "Bawa sini beg Firas, mama nak buat sport chek. Jangan bawa benda yang bukan-bukan pula." Fazlin bersuara tegas, sebab Firas ni ada hobi yang pelik sikit. Dia suka bermain dengan anak patung dan alat-alat untuk bersolek.

                    "Alaaa.." suara Firas seperti orang merajuk.

                      "Tak payahlah mama.."

                     "Bawa sini mama cakap!" Fazlin mula menengking. Aril mengosok perlahan bahu Fazlin. Dia sendiri terkejut mendengar suara Fazlin.

                     "You jangan kacau I, boleh tak. Anak-anak I ni kalau tak dikuatkan suara, tak adanya diaorang nak dengar. Masing-masing bebal." Fazlin rasa terganggu dengan Aril. Dia terlupa Aril ada bersama mereka, tanpa sedar dia bertempik.

                   "Dengan anak-anak ni kena guna psikologi, bukan boleh dimarah macam tu, nanti mereka tersentak hati." Aril bersuara separuh berbisik.

                    "You belum ada anak, mana you tahu susahnya nak besarkan anak. I ni yang bersusah payah suap mereka makan, I tahulah nak didik anak-anak I." Fazlin terasa hati dengan teguran Aril seolah-olah dia tak pandai mendidik anak.

                     Aril insaf melihat kerenah isteri dan anak-anak tirinya. Dia tak pernah mengambil pengajaran dengan pengalaman lalu. Sebelum ini, dia dengan Sahara..dia yang bermasalah dalam pergaulan. Disangkanya bila dapat isteri yang lebih berpengalaman, dia akan bahagia namun apa yang terjadi di depan mata adalah sebaliknya.

                     Bulan madu mereka menjadi kucar kacir dengan kehadiran enam orang anak Fazlin bersama. Bermacam-macam kerenah yang mereka tunjukkan. Fazlin pula asyik bertempik memarahi anak-anaknya walaupun di tempat awam. Sudah puas ditegur tapi Fazlin tetap tak peduli. Salah kena, Aril juga akan dimarahi Fazlin.

                     Ingatkan, bila dapat isteri yang lebih tua daripadanya, fikirannya lebih matang dan senang untuk berkomunikasi namun dengan Fazlin, fikiran Aril semakin buntu.

                       "Farhan!" Fazlin memanggil Farhan anak ke limanya dengan nada suara yang kuat. Semua orang yang berada di Jeti Kuala Perlis ini menoleh ke arahnya. Aril pula berpaling ke arah lain. Nak mengaku isteri dia atau tak? Wajah Aril sudah berubah kelat. Nak ditegur takut dia juga dijeritkan nanti.

                      "Jangan degil sangat, mari sini!" tanpa mempedulikan pandangan orang ramai, Fazlin masih tetap menjerit seperti tadi.

                     "Alah, mama ni sibuklah. Farhan nak tengok-tengok saja, asyik berkepit dengan mama jer, langsung tak bebas..lecehlah." Farhan bertempik kembali seolah-olah di atas jeti itu hanya ada mereka berdua saja.

                      "Menjawab! Menjawab! Mama kata tu ikutlah! Mama tinggal Farhan di sini karang!" Fazlin memberi amaran pada Farhan yang suka sangat meronda ikut suka hati. Dia buat tempat awam macam rumah dia. Semua tempat dia nak lawat.

                   "Farhan..jom ikut papa." Aril mengambil jalan mudah dengan mengajak Farhan untuk mengikutinya, namun..

                      "Papa kami dah lama mati, ehh..perasan nak jadi papa kami." tersentap Aril mendengarnya. Ingatkan nak ambil hati anak-anak tiri, hatinya pula yang remuk redam. Inilah natijahnya buat kerja tanpa fikir panjang, akhirnya dia terjerat lagi dengan sikap sendiri.

                      Kalaulah dia selidik dulu tentang sikap Fazlin dan anak-anaknya, mungkin dia takkan alami situasi seperti ini? Nak menyesal pun sudah terlambat. Mungkin Allah jodohkan dia dengan Fazlin supaya dia ambil pengajaran atau ini kifarah untuknya?

                   "Suami mama, mestilah korang kena panggil papa. Jangan nak biadap sangat Farhan! Cepat! Minta maaf dengan papa?" nada suara Fazlin masih tinggi seperti tadi.

                     "Alin, suara tu perlahankan sikit. Semua orang pandang kita ni." Aril berbisik pada Fazlin dan melihat sekeliling. Macam-macam reaksi yang diberikan oleh orang awam melihat tingkah mereka sekeluarga.

                     "Biarlah mereka tengok! Masing-masing Allah bagi mata seorang sepasang, kita bukannya boleh buat apa!" Fazlin masih tetap begitu. Degilnya sama naik dengan anak-anaknya.

                   "Control sikit suara tu, jangan kuat sangat. Macam sengaja nak tarik perhatian orang pulak. Anak-anak awak warisi sikap awak ke ni? Degil-degil semuanya." Aril cakap tanpa berlapik. Sabarnya dah hampir hilang. Fazlin membeliakkan mata, belum sempat Fazlin buka mulut, Aril tutup mulutnya dengan kedua-dua belah tangannya. Aksi spontan Aril terus mendapat perhatian orang awam.

                  "Tenang, tenang..jangan marah dulu. Kita settlekan hal anak-anak dulu. Nanti honeymoon ke mana, bercuti pun ke mana. Niat nak pergi ke bulan nanti tersasar pulak ke planet Pluto." Aril berbisik lembut sambil cuba bergurau sebelum dia mengalihkan tangannya. Bibirnya mengukirkan senyuman supaya, api kemarahan Fazlin akan padam.

                     Fazlin terus menjeling tajam namun dia tidak bersuara lagi. Dia berjalan menjauhi Aril sambil menghentakkan kakinya. Tangan Farhan ditarik supaya mengikutnya. Aril memandang dengan hati yang bimbang. Mampukah perkahwinannya yang kedua ini terus bertahan? Aril bertanya di dalam hati sambil memerhatikan Fazlin dan anak-anak tirinya.

********************

                     Sahara asyik tersenyum sejak tadi, khabar angin yang dia dengar buat hatinya rasa sebal. Dia cakap, dia sayang aku. Apa? Sayang? Bercerai belum lepas eddah, dia dah kahwin dengan janda anak enam? Sayanglah kononnya?

                  Dalam senyumnya Sahara, hatinya mengomel sendiri, sedar-sedar air matanya sudah bergenang di kelopak mata menunggu masa untuk gugur. Sayang? Huh! Semua lelaki sama saja, penipu? Ehh..kejap. Abah, abang-abang dan adik aku pun lelaki juga, tapi mereka bukan penipu. Apa kau merepek ni Sara? Takkan kerana Aril seorang, semua lelaki kau nak salahkan? Sahara mengetuk kepalanya berkali-kali. Dia keliru dengan sikap Aril dan keliru dengan diri sendiri.

                        Aku pun sama, aku sayangkan dia tapi aku tak pernah mengaku, sekarang dia dah ada isteri baru kenapa aku nak menangis pula? Sudahlah Sara, lupakan dia. Aril tu masa lalu aku, sekarang ni aku kena hadapi hari ini dalam keadaan hati yang gembira dan jiwa yang tenang. Allah sentiasa ada untuk aku. Keluarga aku juga masih ada untuk aku. Biarkan Aril pergi membawa haluannya sendiri.

                     Sahara terus memujuk diri sendiri, dia menarik nafas dan melepaskannya perlahan-lahan. Pergilah semua rasa derita dan sakit hati. Aril dah ada keluarga baru, kenapa aku masih nak fikirkan tentang dia? Aku juga perlu berusaha untuk hidup lebih bahagia.

Sara : Iman, akak terima offer Iman, tak kisahlah gaji rm3,000 pun. Akak bersedia untuk berkhidmat untuk adik bongsu akak ni.

                      Sahara membuat keputusan mengejut. Dia terus menghantar mesej pada Iman.

Iman : Why, takkan tiba-tiba saja ubah fikiran?

                        Iman membalas mesej dengan tanda soal.

Sara : Akak nak ikut Iman keliling dunia. Akak dah jemu tengok Malaysia.

Iman : Akak, KLIA dah tutup sekarang. Virus sedang merebak. Akak dah puas hidup ke?

Sara : Laaa..pulak? Habis tu Iman sekarang ada di mana?

Iman : Masih dalam Malaysia lagi, kalau ada roket ingat nak meroket ke bulan, bintang, planet Marikh ke, pluto ke?

Sara : Apa kau merepek ni haa, labu?

Iman : Hahaha..job hilang akak. Semua orang dah kena kurantin. Camno nak cari makan ni? Semua show cancel.

Sara : Alolo, ciannya adik akak sorang ni, baliklah, join akak promote pes online..kihkih

****************

Tiga tahun kemudian..

                        Kehidupan Aril masih berantakan. Hari demi hari Fazlin dan anak-anaknya semakin melampau. Setiap kali ditegur, mereka akan melawan. Bila Aril tanya Fazlin, bila nak beri dia anak, Fazlin marah-marah dia.

                        "Cukuplah enam orang anak I ni, yang enam orang ni pun belum tentu jadi manusia." selamba saja Fazlin membalas.

                       "Itu anak awak dengan suami dulu, saya nak zuriat saya sendiri." Aril bertegas dengan pendiriannya.

                      "You beranaklah sendiri!" Fazlin menjawab dengan suara garang sambil mendengus kuat.

                       "Kalau saya boleh beranak sendiri, senanglah.." Aril masih berlembut, entah ubat apa yang Fazlin guna, tiga tahun mereka berkahwin, Fazlin masih belum mengandung. Tahun ni umur Fazlin sudah empat puluh tahun, Aril harap dapat seorang anak darah dagingnya pun cukuplah.

                     "Habis tu, you teringin nak nikah lagi ke? Kalau berani, cubalah buat!" Fazlin mengertak dengan mimik mukanya bagaikan singa yang ingin menerkam.

                    "Apa yang awak mengarut sangat ni. Calon pun saya tak ada. Tapi, kalau awak nak tolong cari, boleh juga. Hahaha.." sempat pula Aril berseloka. Fazlin merenung tajam, bagaikan Aril ingin ditelannya hidup-hidup.

                   "Gurau sajalah. Awak sorang pun saya dah tak mampu nak kawal. Degilnya, hanya Allah saja yang tahu." dalam berguraunya Aril, sempat pula dia menyindir Fazlin.

                     "Tahu tak apa! Tapi, part degil tu, bukannya selalukan? Degil bertempat juga. Kalau nak suruh tambah anak, memang taklah." Fazlin masih mengungkit isu yang sama. Aril mengeluh perlahan.

                     Beberapa hari lepas, dia membaca berita viral dalam facebook, Sahara sudah menimang anak sulung selepas berkahwin dengan seorang selebriti terkenal yang masih anak teruna. Usianya lebih muda daripada Sahara. Orangnya pun kacak dan ramai peminat. Aril diterpa perasaan cemburu namun apa yang boleh dilakukan lagi, Sahara sudah menjadi milik orang lain.

****************


                     Sahara tersenyum bahagia melihat anak sulungnya yang sedang menyusu. Dibelainya rambut anaknya dengan penuh kasih sayang. Sambil menyusu, mata anaknya juga sedang merenung wajah Sahara. Penuh kelembutan dan terlahir seribu makna.

                  ‘’Anak mama, besar nanti jadi orang baik tau. Jadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa. Jadi anak yang soleh untuk mama dan papa. Jadi rakyat yang berjasa untuk Negara.’’ Sambil membelai anaknya, Sahara berkata-kata sambil bibirnya tersenyum gembira. Sukar untuk diungkapkan perasaannya ini. Dapat membelai bayi yang dikandungnya sembilan bulan di dalam rahimnya.

                  ‘’Taat perintah Allah, dengar cakap, hormati orang yang lebih tua. Anak mama mesti jadi anak yang terbaik antara yang terbaik, tau.’’ Sahara terus berinteraksi dengan anaknya. Sambil menyusu anaknya tersenyum juga seolah-olah dia memahami kata-kata Sahara.

                Renungan mata si kecil membuatkan kasih sayang Sahara semakin membuak-buak. Melihat sinar mata anak sekecil ini, ada perasaan halus yang hadir. Tangan spontan akan membelai dan bibir cepat saja memberi respon untuk mencium pipinya. Haruman seorang bayi begitu menenangkan perasaannya. Perasaan seorang ibu yang sukar dilafazkan dengan kata-kata.

                  ‘’Anak papa dah bangun ke? Buat apa tu sayang.’’ Aris menghampiri Sahara dan memeluk bahunya. Wajah anaknya yang sedang menyusu direnungnya namun secara spontan dahi Sahara turut menjadi mangsa kucupannya.

                   ‘’Baby dah bangunlah papa, nanti nak ajak papa pergi jalan-jalan, pergi shoping..’’ Sahara bersuara mewakili anaknya. Suaranya dilunakkan seperti suara seorang bayi.

                    ‘’Baby yang nak keluar jalan-jalan ke, mama baby yang nak keluar jalan-jalan?’’ separuh berbisik Aris berkata dan kucupannya singgah di pipi Sahara pula dan baby Arfan turut mendapat ganjarannya. Kucupan Aris berikan bertalu-talu pada pipi Arfan hingga Arfan merenggek tidak senang.

                    ‘’Dua-dualah sayangkan. Mama nak keluar, baby pun nak keluar. Mana best memerap saja dalam rumah. Kan sayang mama.’’

                ‘’Sayang papa juga, mana aci sayang mama sorang, tanpa papa tak ada tau yang seketul ni.’’ Aris terus mengiat Sahara, pipi Arfan menjadi mangsa kucupannya lagi. Tak puas cium sekali, mesti nak cium berkali-kali hingga Arfan melepaskan susunya dan terus merenggek marah.

                ‘’Papa ni, kan baby dah marah tu..’’ Sahara bersuara manja dan ketawa ceria selepas itu.

                ‘’Oh, sayang papa marah ya. Tak pa mama ada, papa kiss mama pula la..’’ spontan saja pipi Sahara pula yang menjadi mangsa bibir nakal Aris.

                  ‘’Ishh..malu la baby tengok tu.’’ Sahara ketawa dan melihat Arfan yang sedang merenung mereka berdua.

                  ‘’Biarlah baby tengok. Papa kiss dia, marah papa..biar dia jealous kat mama pula.’’ Aris berkata sambil ketawa. Pipi Arfan menjadi mangsa kucupannya lagi. Terus Arfan meraung. Marah benar dia dengan papanya. Sahara sudah ketawa melihat gelagat dua orang lelaki kesayangannya.

            ‘’Alolo..sayang mama ni. Papa nakalkan suka kacau sayangkan. Nak kena papa ni, babab karang, baru tahu. Cepat papa, pujuk baby Arfan. Nanti mama pula yang merajuk, baru padan muka papa..’’

             ‘’Tak apa, mama merajuk, papa ada ubatnya. Papa ajak buat adik baru. Hahahaha..’’ Aria ketawa galak. Suka betul dia melihat wajah Sahara yang sudah memerah mendengar ayat-ayatnya.

              ‘’Menci la papa ni, tak suka tau, usik-usik macam tu.’’ Sahara bersuara manja. Sebenarnya dia bahagia mendapat seorang suami yang suka mengusik macam Aris. Sifatnya seorang perempuan memang tak suka mengaku apa yang mereka suka. Kadang-kadang yang dikatakan benci itulah yang mereka paling suka.
                   Hanya kerana egois manusia suka menidakkan. Mereka menafikan segalanya. Mereka tidak mahu menunjukkan kasih sayang. Mereka pendamkan segalanya. Mereka ingat orang lain akan faham perasaan mereka sebaliknya yang terjadi. Salah faham yang semakin meninggi.

                     Ada orang kata kasih sayang tak perlu ditunjukkan, cukuplah hanya dengan bahasa tubuh. Ingat manusia ni ada kuasa ajaib ke, boleh faham bahasa tanpa melafazkan? Lafazkan kalimah cintamu. Tak perlu disorokkan daripada orang tersayang. Tak rugi pun kalau melafazkannya setiap hari asalkan perkataan itu jujur dan ikhlas dari hati. Janganlah, sebab nak nikah satu lagi baru nak lafazkan aku cinta padamu sebab nak bodek minta izin.

               Orang perempuan paling benci dengan lelaki yang suka berpura-pura. Di depan kata 
sayang tapi di belakang simpan perempuan. Diam-diam menikah satu lagi. Itu bukan maknanya sayang tapi bakal menempah nyawa melayang! Atau bakal hilang orang yang disayang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.