Khamis, 31 Oktober 2019

Cinta Terlarang



                 ALEDYA datang ke Johor Baharu kerana urusan kerja, namun kerana Tan Sri Megat Sofian tak sihat dan ingin sangat untuk berjumpa dengan bapa saudaranya, Aledya berusaha juga untuk mencari bapa saudaranya itu yang sudah lama terputus hubungan.

                 Alamat sudah ada dan Aledya masuk ke kampung ini bila hari sudah hampir senja. Berulang-alik dia melalui jalan yang sama, alamat dan kampungnya sudah betul namun rumah yang dicari tidak juga ditemuinya.

              Poonnn…kereta Aledya berpusing-pusing sebelum terbabas di tepi jalan. Nyaring hon kereta yang ditekan tanpa sengaja. Bunyinya cukup membingitkan telinga. Tubuh Aledya mengeletar, fikirannya buntu dan kosong. Air matanya sudah bercucuran laju.
         
           "Cik!" seorang lelaki mengetuk cermin keretanya yang sudah tersadai. Ada asap nipis yang keluar dari bahagian enjin.

            "Cik! Buka pintu ni.." lelaki tadi mengetuk lagi cermin tingkap kereta Aledya sambil terus bersuara. Aledya kebingungan, namun dia cuba berlagak tenang. Perlahan-lahan tangannya membuka pintu kereta. Dipandangnya lelaki yang sedang berdiri di tepi kereta.

             "Cik okey ke tak ni?" lelaki itu menyoal lagi. Aledya menjatuhkan kepalanya perlahan-lahan, sesaat kemudian dia mengeleng pula. Dia benar-benar sedang keliru. Fikirannya berserabut.

               "Cik!" lelaki itu bersuara lebih kuat daripada tadi. Melihat keadaan Aledya dia dapat mengagak ada sesuatu yang tidak kena.

               "Cik dengar tak ni?" lelaki tadi masih ingin mengajak Aledya berbual. Dia ingin membantu tapi melihat Aledya terus membisu dia menjadi serba salah.

                "Cik cedera tak? Saya hantarkan Cik ke hospital? Atau saya call ambulance?" lelaki itu masih mencuba, matanya terus memerhatikan wanita cantik yang anggun bergaya di depannya. Wanita yang berkulit cerah dan halus. Wajahnya hanya bersolek nipis namun cukup mempersonakan.

                "Cik..jangan macam ni. Saya ikhlas nak tolong Cik, kalau Cik terus diam macam ni, macam mana saya nak tolong." akhirnya dia bersuara tegas. Wajah Aledya ditenung lagi. Semakin lama ditenung hatinya semakin berdebar. Boleh goyah imannya kalau macam ni.

                 "Tak perlu.." Aledya bersuara juga dalam nada yang cukup lemah dan bergetar. Dia masih terkejut dengan kejadian tadi. Kerana kealpaannya, dia tidak sedar ada sesuatu yang melintas dan menyebabkan dia terpaksa menekan brek secara mengejut. Nasib baik kereta tiada dan dia sedang berada di jalan kampung. Aledya masuk ke kampung ini untuk mencari seseorang, namun percariannya hampa. Dia terlalai seketika hingga menyebabkan kejadian ini berlaku.

                 "Ada apa yang perlu saya bantu ke?" lelaki tadi masih ramah bertanya. Dia memeriksa kereta Aledya dan mengelengkan kepalanya tanpa sedar.

                  "Saya tak rasa Cik boleh meneruskan perjalanan dengan keadaan kereta Cik yang macam ni." lelaki tadi bersuara lagi.

                "Err.." minda Aledya kosong. Dia ingin bersuara tapi tidak tahu apa yang harus dikatakan. Dia ingin percaya dan minta bantuan lelaki ini tapi dia juga waswas kerana tidak mengenali. Dia takut lelaki ini mengambil kesempatan dan menyulitkan lagi keadaan.

                "Nama saya Fuad. Rumah saya depan simpang jalan tu. Kalau Cik tak keberatan, Cik boleh ikut saya ke rumah. Jangan risau, ummi dan walid orang baik-baik. Saya pun orang baik-baik juga. Jomlah..kalau tak mahu naik motor buruk saya ni, kita jalan kaki..depan tu saja. Kereta Cik ni nanti saya call bengkel minta mereka datang ambil."  Ahmad Fuad terus bersuara. Dia masih belum berputus asa untuk membantu. Melihat keadaan wanita anggun di depannya ini, dia jadi simpati. Mungkin bukan orang kampung ini. Fuad kenal semua orang kampungnya.

                     "I tak menyusahkan U ke? I rasa..I, err ada tak homestay di sini? Kalau..er..kalau boleh I tak nak susahkan sesiapa.." Aledya berkata dalam keadaan serba salah. Dalam masa yang sama dia juga masih sangsi dengan kebaikan yang ingin dihulurkan.

                      "Homestay ada di pekan sana. Tiga kilometer juga kalau nak keluar ke pekan. Tapi..saya cuma ada motor ni saja, kalau Cik nak, saya boleh tolong hantarkan."

                      "Tapi.." Aledya tak jadi menyambung kata, dia memerhatikan keadaan sekeliling. Rumah penduduk sangat jarang. Di kiri kanan jalan penuh dengan semak samun, seolah-olah kampung terbiar. Macam mana mereka boleh tinggal dalam kampung macam ni? Hati Aledya mengomel sendiri.

                       "Cik jangan risau..kami bukan orang jahat tapi di kampung ini memang tak ramai orang. Anak-anak muda semuanya keluar bekerja di bandar, tinggal warga emas saja yang masih setia, itu pun sebahagiannya sudah dipanggil Ilahi." Fuad tersenyum seolah-olah dia memahami apa yang sedang difikirkan Aledya.

                  "Oh.." sepatah kata yang keluar daripada bibir comel Aledya.

                  "Jomlah..ikut saya, depan tu saja. Lagi pun, hari dah nak gelap, sekejap lagi dah senja. Takkan Cik nak tinggal di sini sorang-sorang? Keras tempat ni Cik. Nampak tak rumah kosong dalam semak tu? Belakang tu ada kubur lama." Fuad berkata lagi sambil menudingkan jarinya ke kiri jalan. Bibirnya mengulum senyum melihat riak wajah Aledya yang bertukar cemas.

***********

                 USTAZAH Maryam memerhatikan wanita yang dibawa oleh anak lelakinya ke rumah mereka dengan wajah serius. Diperhatikan pakaian wanita itu atas dan bawah. Baju blaus berwarna biru muda dengan kain skirt labuh berwarna putih. Bajunya tidak ketat dan tidak longgar namun mengikut bentuk tubuh. Tudungnya fesyen terbaru dengan lilitan di leher dan disemat dengan pin cantik berbatu di atas kepala.

                   "Mak cik.." Aledya menghulurkan tangan untuk bersalam. Lama juga ustazah Maryam berjeda sebelum menyambut tangan Aledya yang selembut kapas.

                    "Maaf..kalau Ledya menganggu, kereta Ledya terbabas depan tu tadi, Ledya tak tahu nak ke mana. Ledya datang cari saudara di kampung ni, tapi dia dah pindah. Sebab dah terlambat, Ledya bawa laju..tapi.." Aledya serba salah untuk terus bercerita bila melihat wajah ustazah Maryam yang seolah-olah tidak berminat untuk mendengar ceritanya.

                     "Tak apalah..dah datang pun. Maghrib dah ni..nanti bolehlah kita solat jemaah sekali. Nak ikut kami ke surau tak? Depan tu saja tapi kena jalan kaki la..kereta walidnya dah bawa, dia pergi ceramah di kampung sebelah." Aledya terkelu lidah. Allah..ketika dia sedang bercuti inilah diajaknya solat. Nak tolak nanti dikatanya tak nak solat. Nak berterus terang, malu pula.

                     "Ledya tak bawa telekung mak cik, semua pergi solat di surau ke?" Aledya memberi jawapan mudah yang sengaja direkanya, padahal telekung sentiasa dibawa bersama, terutamanya bila dia berjalan jauh.

                    "Solat tu, kan wajib..tiang agama, habis tu zohor dan asar tadi tak solatlah?" buntu terus fikiran Adelya. Jawapan apa yang harus diberi?

                   "Tak apalah..kalau macam tu, tinggallah ye..anak perempuan mak cik ada, dia boleh temankan. Kebetulan dia cuti solat, kalau tak memang semuanya diwajibkan pergi solat berjemaah di surau. Nak kutip pahala, bila lagikan..selagi kita hidup ni la nak kutip pahala, dah mati nanti, terlambat dah." ustazah Maryam menyambung kata, sinis nada suaranya sambil berlalu dengan telekung yang sudah disarungkan ke tubuh.

                 "Cik tinggallah ya, buat macam rumah sendiri. Ila..layan kakak ni ya, buatkan air dan makan-makan. Tetamu tu sumber rezeki." Fuad yang baru keluar dari bilik berkata mesra sambil menyarungkan songkok di kepala. Dia sudah menukar baju dengan mengenakan baju melayu dan kain pelikat. Wajahnya nampak berseri-seri bila dia tersenyum. Sejuk hati Aledya yang kepanasan sebentar tadi.

                 "Akak..silalah duduk. Maafkan ummi ya kak. Ummi tu mulut saja pedas sikit tapi hati dia baik. Ummi sebenarnya anti sikit kalau tengok pakaian macam ni. Akak fahamlah, kan orang-orang tua ni bukannya faham sangat dengan fesyen orang muda sekarang. Ila pun teringin nak pakai macam akak, tapi di kampung ni payahlah sikit.." panjang berjela Delaila berkata. Sejak tadi lagi dia sudah memerhatikan penampilan Aledya. Dia kagum dan rasa terpesona apatah lagi melihat kulit Aledya yang putih mulus.

                  "Tak apa..akak okey. Berapa orang tinggal dalam rumah ni?" Aledya membalas sambil tersenyum manis.

                  "Empat orang, walid, ummi, abang Fuad dan Ila jer. Akak dari mana? Macam mana boleh datang sini?"

                  "Akak dari KL, ada hal datang sini.."

                  "Ehh..kejap ya kak..Ila ke dapur dulu. Kesian akak, mungkin dahaga ke?"

                   "Tak perlu susah-susahlah dik, akak okey ja ni. Bengkel dekat tak dik?"

                   "Bengkel?"

                   "A'ah.."

                   "Di pekan sana ada la."

                  "Kereta sewa atau teksi, ada tak perkhidmatan di sini..nombor telefon ke?"

                    "Ada rasanya..kalau Ila atau ummi nak ke bandar memang kami selalu call teksi, itu pun kalau walid tak ada di rumah."

                     "Boleh beri akak tak?"

                     "Akak tunggu di sini, Ila buatkan air dulu, nanti Ila beri akak ya." Delaila berlalu ke dapur dan melaksanakan tugasnya untuk melayan tetamu. Aledya pula mengikut Delaila dan meminta izin untuk ke bilik air. Mereka makan dan minum di ruangan dapur selepas itu. Sempat pula Delaila menghidang makan malam untuk mereka berdua.

                ‘’Kita makan malam dulu kak..masakan kampung saja..’’ Delaila mempelawa ramah. Aledya pula diterpa perasaan serba salah.

                 ‘’Tak apalah dik, tak payah susah-susah..nanti akak boleh makan di pekan.’’ Aledya menolak dengan baik. Malu pula dia untuk makan di rumah orang yang baru pertama kali dia datang.

                   ‘’Akak tak sudi yer, sebab lauknya tak sedap.’’ Delaila sengaja bergurau sambil memandang hidangan di atas meja. Nasi putih yang berlaukkan ikan bilis goreng bersama bawang dan cili padi yang digoreng garing, masak lemak cili padi pucuk ubi, ikan haruan goreng, sambal belacan dan ulam-ulaman.

               ‘’Siapa kata tak sedap? Sedap lauknya tu.’’ Aledya diterpa perasaan bersalah. Kalau dia tak makan, Delaila akan kata dia tak sudi. Nak makan, dia pula yang terasa malu.

               ‘’Jemputlah makan kak..’’ Aledya tiada pilihan lain, dia duduk juga dan menjamah sedikit nasi sekadar menerima pelawaan Delaila dan menjaga hati Delaila yang sudah bersusah payah menghidangkan makanan untuknya.

               ‘’Bismillahh..’’ Aledya membaca bismillah, membaca doa makan dan mula menyuap. Delaila juga turut makan bersama Aledya sambil mereka berbual dan berkenalan. Selesai makan Delaila menunaikan janjinya, memberikan nombor telefon pemandu teksi pada Aledya.

************

                        TEKSI sudah membunyikan hon di depan jalan. Aledya tergesa-gesa keluar ditemani Delaila. Mereka bersalaman sebelum Aledya keluar dari rumah.

                      "Ini kad akak..kalau ada apa-apa call akak ya. Cakap kat abang Ila dan mak Ila, akak ucap terima kasih sebab sudi tumpangkan akak." Aledya berkata dan tersenyum. Terserlah lesung pipitnya yang dalam menyerlahkan lagi kecantikan di wajahnya.

                  "Ehh..akak kerja sebagai arkitek landskap ke? Bestnya akak..Ila suka tengok lanskap yang cantik-cantik. Kalau nak upah akak buat landskap depan rumah kami boleh tak,  kak?"

                  "Err...teksi dah tunggu tu, nanti Ila call akak, kita berbual lagi. Akak gerak dulu. Bye, bye.." tanpa menjawab soalan Delaila, Aledya melangkah pergi. Dia memang tak suka menyusahkan orang lain, dia tahu tak baik kalau membiarkan orang lain menunggu. Bersyukurlah pak cik teksi sudi datang mengambil dia di sini.

                  "Assalamualaikum pak cik.." sebaik saja masuk ke dalam perut teksi Aledya memberi salam tanda hormat pada orang yang lebih tua. Pak cik teksi pun menjawab salam dan tersenyum.

                   "Boleh hantar saya ke homestay yang paling dekat tak pak cik? Kalau boleh yang berdekatan dengan mall." Aledya membuat permintaan dengan nada suara yang lembut dan penuh santun. Tersenyum lagi pak cik teksi sambil mengangguk.

                    "Saudara ustaz ke ni?" giliran pak cik teksi pula bersuara.

                    "Ehh..taklah pak cik. Kereta saya terbabas tadi pak cik, jadi mereka tumpangkan saya sekejap. Ustaz tu siapa pak cik?"

                   "Tadi tu kan, anak keluar dari rumah ustaz Luqman?"

                   "Ya ke pak cik? Ini kali pertama saya datang kampung ni pak cik."

                    "Oh..ingatkan kenal. Anak nak ke mana sebenarnya ni?"

                      "Saya datang cari orang pak cik."

                      "Cari siapa tu?"

                        "Pak cik kenal tak Lebai Darus bin Haji Seman, isterinya nama Zubaidah atau nama penuhnya Siti Zubaidah binti Che Setapa?"

                      "Tak perasan pulak pak cik. Siapa tu?"

                         "Bapa saudara saya. Dah lama kami cari dia, papa asal orang kampung sini tapi papa berhijrah ke bandar dan terputus hubungan."

                       "Sejak ke bandar tak pernah balik kampung ke?"

                       "Biasalah pak cik, krisis keluarga tapi sekarang papa tak sihat dan ingin pulihkan kembali silaturahim dengan pak long. Mereka cuma dua beradik saja."

                        Aledya bercerita tanpa rasa prejudis. Entah kenapa, dia ingin percaya dengan pak cik teksi ini. Manalah tahu kalau pak cik teksi ini boleh membantunya menjejak kasih pak longnya yang sudah lama tiada khabar berita.

***********

                        FUAD pulang ke rumah sebaik saja selesai solat Isyak. Malam ini solat Isyaknya tidak sekusyuk macam selalu. Ingatannya asyik terbayangkan wajah ayu Aledya. Dia berharap bila pulang nanti dia dapat menatap lagi wajah ayu Aledya.

                    "Assalamualaikum." Fuad memberi salam sebelum membuka pintu dan melangkah masuk ke dalam rumah. Matanya meninjau ruang tamu. Sunyi sepi, tiada pula kelibat sesiapa di ruang tamu. Fuad melangkah pula ke dapur namun hatinya dilanda kecewa. Sudah hilang ke mana wanita cantik tadi? Fuad menyoal diri sendiri.

                "Ila! Delaila!" nama adiknya dilaung. Takkan Delaila pun tiada juga? Fuad mengetuk pintu bilik adiknya. Hatinya mushkil sendiri. Ke mana mereka pergi?

                 "Ila..buka pintu ni, kalau tak..abang masuk ni.." dalam menyuruh Delaila membuka pintu Fuad turut mengertak.

                 "Abang ni kenapa?" terdengar suara Delaila di belakangnya Fuad menoleh pantas. Mata dia dan Delaila bertembung. Delaila menjungkit kening, kemudian dia tersenyum lucu melihat riah wajah Fuad yang berubah. Terkejut barangkali?

                 "Dari mana saja kau ni Ila? Perempuan tadi mana? Ila sorokkan dia di mana? Abang tak nampak dia pun."

                      "Ehh..ada pulak Ila yang sorokkan dia. Abang ni cakap, macam la orang tu boleh dilipat dan disimpan dalam almari?" sambil berkata Delaila ketawa. Lucu pula rasanya, soalan abangnya ini.

                        "Abang tak nampak dia pun.."

                       "Kann abang..Ila pun hairan, time maghrib tu la dia muncul..tiba-tiba ghaib macam tu saja. Abang bawa balik tadi, manusia atau..hiss meremang bulu roma Ila ni.." Delaila sengaja ingin menyakat Fuad. Tuduh dia sangat, ada ke patut dikatanya dia sembunyikan perempuan tu.

                     "Jangan main-main la, abang serius ni..mana dia?"

                     "Kenapa? Abang nak buat apa kat kak Aledya tu? Abang dah berkenan erkk? Abang jangan lupa, abang tu ummi nak jodohkan dengan anak kawannya yang masih belajar di Mesir tu. Dia pulang semula ke Malaysia nanti...ummi nak pergi lamar dia, ummi kata kalau boleh langsung terus.." Delaila sengaja menipu untuk menguji perasaan abangnya.

                   "Ila mengarut apa ni? Sekarang ni zaman millinium la, mana ada nikah paksa lagi. Sudahlah..jangan banyak cakap, baik Ila cakap, perempuan tu pergi mana?" boleh hilang sabar Fuad dengan kerenah adik perempuannya yang seorang ini. Lain yang disoal, lain pula yang dibebelnya.

                   "Dah balik."

                    "Ke mana?"

                    "Manalah Ila tahu."

                     "Dia ada pesan apa-apa tak?"

                      "Ada.."

                     "Apa?"

                     "Dia ucap terima kasih pada ummi dan abang sebab tumpangkan dia di rumah ni."

                     "Itu saja?"

                      "Itu sajalah." Fuad menarik nafas dan melepaskannya dengan perasaan kecewa.

                         "Habis..kereta dia macam mana? Takkan nak biarkan tersadai tepi jalan tu?" teringat akan kereta yang masih tersadai, Fuad menyoal lagi.

                       "Kereta? Abang tolonglah uruskan. Kak Aledya ada tinggalkan kad. Arkitek abang..bukan calang-calang orang tu, kalau dengan abang memang tak sepadan langsung." Dalam menjawab soalan Fuad, sempat juga Delaila menyakat dalam nada menyindir.

                      "Kad apa?"

                       "Kad bisnes dia la.."

                       "Minta sini!"

                       "Yalah..Ila nak masuk bilik ambil la ni..tepi sikit. Menyemak saja abang ni!"

                      Delaila memulas tombol pintu dan melangkah masuk ke dalam bilik. Dia menuju ke arah almari solek. Laci almari dibuka dan bibirnya tersenyum sebaik saja kad pemberian Aledya tadi terpampang depan mata. Dia mengambil kad itu dan ingin melangkah tapi baru saja berpusing Fuad sudah merampas kad tersebut.

                     "Aledya Irwani binti Megat Sofian. Indahnya nama seindah wajahnya." Fuad membaca nama yang tertera sambil memujinya. Delaila mencebik sambil tayang wajah tidak puas hati. Kerana Aledya, Fuad melanggar pantang tradisi rumah mereka, masuk ke biliknya tanpa izin. Nasib baik ummi dan walid tiada di rumah.

                    "Keluarlah! Ummi balik nanti, teruk abang kena leter."

                     "Sorry. Abang terlupa. Abang ambil ya, kad ni." Fuad pun melangkah keluar dengan bibir tersenyum. Kekecewaan tadi berlalu pergi sekelip mata. Dia ada alasan untuk bertemu lagi dengan 'bidadari' itu.

**********

                      "ASSALAMUALAIKUM..Mir, aku ni Fuad." Fuad menghubungi kawannya yang menjadi seorang mekanik dan dia membuka sebuah bengkel kecil di kampung sebelah.

                  "Waalaikumusalam. Apa mimpi kau call aku malam-malam ni. Dengar kata ayah kau datang ceramah di masjid Al-Iman, kau tak ikut sekali ke. Selalunya, di mana ayah kau pergi, di situ kau ada. Anak ayahlah katakan.." sambil ketawa orang dihujung talian berkata, Fuad tersenyum sumbing.

                   Tak boleh dipertikaikan lagi. Dia anak kesayangan ummi dan walid. Kerjanya hanya berkebun di kampung. Ummi dan walid tak izinkan dia pergi kerja di bandar, bukan sebab dia tak ada ijazah. Semuanya dia ada, degree, diploma, cuma bila dia nak ambil PHD umminya tak izinkan untuk dia menyambung pelajaran. Ummi tak mahu dia pergi belajar jauh-jauh, kata ummi kebun di kampung tak ada siapa nak uruskan. Ummi dan walid sibuk mengajar mereka yang memerlukan.

                  "Sindir aku nampak? Kau sibuk tak? Nak minta tolong kau sikit."

                 "Sikit tu banyak mana?" dalam ketawa orang di hujung talian menyoal lagi, perihal kata-kata Fuad tadi dibiarkan saja. Bukan niat dia nak menyindir, tapi itulah hakikatnya.

                     "Banyak mana kau nak?"

                    "Sejuta! Hahaha..kenapa kau ni nak bermain teka teki pulak. Kau nak minta tolong apa? Aku free sekarang, cuma mengantuk la sikit. Letih kerja, malam nak berehat la pulak."

                     "Kau nak duit tak? Ada kereta mewah terbabas dekat rumah aku, tuan kereta tu tinggalkan saja tepi jalan. Kalau kau nak duit, datang sekarang tarik kereta tu, lepas tu boleh kau tolong hantar aku sekali, jumpa tuan kereta tu di pekan."

                      "Double kerja la ni?"

                       "Alahh..nanti aku bagi la duit minyak. Rezeki datang bergolek, takkan kau nak tolak?"

                      "Ada aku cakap aku tak mau ke? Tunggu aku datang sekarang." talian terputus dan bibir Fuad mengukir senyum lagi. Wajah 'bidadari hatinya' bertandang lagi. Kenapa dengan aku ni? Sudah kena panahan cinta ke? Layakkah aku ni? Fuad memandang tubuhnya yang masih memakai baju melayu dan berkain pelikat. Allah..terlupa pula.

                    Fuad mengatur langkah selaju mungkin menuju ke biliknya untuk menyalin pakaian. Masuk saja ke dalam bilik dia menerpa ke arah almari baju. Dia termenung di depan almari. Semua baju di dalam almarinya direnung sayu. Bila kali terakhir aku beli baju baru? Dia bertanya diri sendiri. Duit hasil titik peluhnya tidak seberapa. Hasil kebunnya lebih banyak disedekahkan daripada dijual.

                  Pakai sajalah apa yang ada. Fuad mengambil keputusan muktamad. Baju kemeja lengan pendek berwarna merah gelap ditarik keluar dan disarungkan ke tubuhnya. Dia mencari pula seluar yang paling baru dalam simpanannya. Seluar ni dah tiga tahun aku beli. Di pekan sana bukannya ada banyak pilihan. Keluar ke bandar pula hanya beberapa tahun sekali baru boleh pergi, itu pun sebab ada hal penting. Bolehlah seluar ni pun. Fuad masih berdialog di dalam hati. Seluar slack berwarna hitam yang hampir pudar warnanya disarung laju. Lambat bersiap ni, tertunggu pula kawannya nanti.

                   Ponnnnnnnn..nyaring bunyi hon di luar rumah. Tergesa-gesa Fuad menuju ke arah cermin untuk menyikat rambutnya. Smart dah kot? Sambil melihat cermin dia tersenyum sambil memuji diri sendiri. Dipusingkan badannya kiri dan kanan untuk kali yang terakhir.

Ponnnnnnnnn..hon kereta berbunyi lagi.

                   "Ya! Ya! Aku keluarlah ni!" Fuad terus menyahut kuat walaupun dia pasti kawannya tidak mendengar.

                 "Kalau bab duit, laju saja Amir ni.." Fuad bermonolog sendiri. Dia melangkah keluar dari bilik. Buka saja pintu bilik dia bertembung dengan umminya.

                  "Nak ke mana malam-malam ni?" laju saja Ustazah Maryam menyoal.

                  "Fuad nak ke pekan kejap ummi..nak teman Amir tarik kereta." nama Amir juga yang digunakannya. Kalau guna nama Aledya, mahunya ustazah Maryam mengurung Fuad di dalam rumah malam ni.

                         "Kereta apa pulak? Tak pernah pun Amir tu ajak kau buat kerja dia. Dah kenapa nak berteman pulak?"

                         "Kejap saja ummi." Fuad menarik tangan ustazah Maryam untuk bersalam dan mencium tangannya. Mendengar hon kereta yang bertalu- talu di luar rumah, Fuad terpaksa berlalu pergi walaupun ustazah Maryam masih menyoal itu dan ini.

                         "Jangan balik lewat sangat!" sempat juga ustazah Maryam memberikan arahan. Hati seorang ibu sepertinya sentiasa bimbang walaupun anaknya sudah besar panjang.

                       "Ya! In sya Allah ummi. Sekejap saja!" sambil melangkah Fuad melaung lagi.

***********

                            KERETA sudah selamat dihantar ke bengkel. Sekarang ni Fuad sedang melihat kad di tangan pula. Sudah tidurkah dia? Di mana dia sekarang ni? Nak call ke tak? Bertubi-tubi persoalan menjengah mindanya.

                             "Kenapa dengan kau ni Fuad? Pandang kertas tu macam kau nak telan. Kertas apa tu?" Amir yang sedang memandu di sebelah menegur hairan melihat kelakuan Fuad. Resah gelisah saja macam cacing kepanasan.

                         "Ni? Kad bisnes tuan kereta tu la. Aku tengah confused ni, nak call dia ke tak?"

                          "Call sajalah! Kau ni takut sangat dengan dia, kenapa? Orang tu garang ke?"

                          "Bukannya masalah garang, aku takut dia dah tidur, menganggu pulak nanti."

                      "Itu pun kau takut? Call sajalah, kalau tak, macam mana dia nak tahu kereta dia ada di mana." Amir menjawab tenang walaupun ada juga rasa gelihatinya. Fuad pun menghubungi Aledya. Panggilan pertama tidak ada jawapan, dia mencuba lagi.

                   "Hello.." kali kedua ada suara yang menjawab, bibir Fuad pantas mengukir senyum.

                    "Assalamualaikum..Cik Aledya?"

                     "Ya saya. Siapa ni?"

                     "Saya Fuad."

                      "Fuad?"

                    "Ya saya, orang tadi yang bawa Cik ke rumah kami. Ingat tak?"

                   "Oh..maafkan saya. Ada apa encik Fuad?"

                   "Saya tak menganggu Cik Aledya, kan? Dah tidur ke?"

                   "Hah? Ehhh tak, belum lagi, saya masih ada di restoran ni. Sedang makan. Ada apa ya call saya ni?"

                  "Boleh kita jumpa, sekarang? Cik Aledya dah balik KL ke?"

                     "Balik KL? Dengan apa? Awak tahukan, kereta saya masih tersadai di tepi jalan dan saya ni masih tersadai di pekan kampung awak ni. Homestay semuanya penuh, saya pun tak tahu nak bermalam di mana malam ni."

                    "Sebab tu la saya nak jumpa Cik ni. Cik ada di mana? Saya dah sampai pekan."

                      "Awak seorang ke?"

                     "Taklah..saya dengan kawan."

                      "Lelaki?"

                        "Ha'ah..tentulah lelaki.Cik Aledya di mana ni?"

                        "Restoran Haji Elyas nasi ayam kampung, awak tahukan di mana?"

                        "Tahu..tahu..saya dah dekat dah ni. Kita jumpa nanti. Assalamualaikum." Panggilan diputuskan. Fuad menarik nafas lega, dalam masa yang sama ada rasa simpati yang hadir dalam hatinya.

                    "Aledya? Perempuan ke? Cantik tak?" Amir di sebelah menyoal sambil tersenyum nakal.

                      "Hurm..kau tengoklah sendiri nanti." Fuad menjawab perlahan. Darahnya gemuruh tiba-tiba.

                        "Kau jangan berkenan sudahlah Mir, menangis tak berlagu tunang kau nanti." Fuad menyambung kata.

                       "Hahahaha.." Amir terus ketawa. Cantik sangat ke perempuan tu? Amir menyoal di dalam hati.

*********

                      "CIK ALEDYA.." nama Aledya dipanggil sebaik saja Aledya ditemui. Bibir Fuad sudah mengukir senyuman manis. Amir pula seakan melopong namun sekejap saja matanya pula memainkan peranan. Wajah jelita Aleyda direnung bersahaja. Sungguh, Amir turut tergoda dengan wanita berwajah lembut penuh mempersona di depannya ini.

                   "Assalamualaikum." Amir memberi salam sambil menarik kerusi dan duduk. Fuad tidak sedap hati, antara dia dan Amir, mungkin Amir lebih ramah dan pandai memikat.

                   "Waalaikumusalam..kawan encik Fuad ke? Encik Fuad, kenapa berdiri saja? Duduklah..boleh join sekali. Dah dinner ke? Sorrylah, tadi I memang dah makan di rumah you tapi..itulah..’’ Aledya diterpa perasaan serba salah lagi. Malu pula pada Fuad yang sedang memerhatikan dia.

                 "Belum lagi..macam sedap pulak tengok Cik makan. Apa nama tadi? Ledya ya? Sedap nama tu, secantik orangnya." Amir mula ‘menjual minyak urat’, menjeling Fuad jadinya.

                    "Mir..tunang kau tu. Dia buat apa malam-malam ni, masih keluar rumah lagi." sengaja untuk menyakat Amir, Fuad berkata sambil mengulum senyum. Laju Amir menoleh dan mencari tunangnya itu. Terus Fuad ketawa tanpa dapat ditahan lagi.

                  "Cehh..kau kenakan aku. Tak guna betul, nyaris jantung aku ni terhenti kau tahu. Tak pasal-pasal hilang nyawa aku, malam ni."

                 "Tahu pun takut."

                   "Maunya tak takut. Kantoi kalu, teruk juga aku nak memujuk."

                   "Hahaha.." Fuad ketawa puas. Gatal-gatal Amir pun, tahu juga dia takut dengan tunang dia tu.

                   ‘’Tadi Cik cakap apa? Dah makan di rumah kami? Kenapa tak makan sampai kenyang? Lauk tak sedap yer?’’ teringat dengan kata-kata Aledya tadi Fuad menyoal sambil menguji Aledya. Ingin mendengar jawapan jujur daripada Aledya.

                  ‘’Ehh..tak, sedap sangat. Dah lama tak makan masakan kampung macam tu, tapi seganlah pulak, nak makan banyak-banyak..’’ wajah Aledya sudah bertukar merah. Malu untuk berkata benar, tapi bila Fuad sudah berkata begitu, dia tiada pilihan melainkan berterus terang saja.

                     ‘’Makan dengan siapa tadi?’’ Fuad mengajukan soalan lagi.

                     ‘’Dengan adik Encik Fuadlah. Dia tak cerita ke?’’ Fuad mengeleng pantas. Tak sempat untuk bersoal jawab pun dengan Delaila tadi. Hatinya pula yang berbisik.

                  ‘’Kenapa pula segan, kalau sedap makanlah banyak sikit, berdua dengan Ila saja, kan..’’ Fuad berpura-pura tidak memahami situasi Aledya. Sengaja dia terus mengajukan soalan demi soalan. Amir pula sudah bangun dan menuju ke tempat makanan dan memilih makanan kegemarannya.

                  ‘’Kau tak nak makan ke Fuad? Kari ayam kampung bro..aku tak makan, balik nanti tidur tak lena ni..’’ Amir datang semula bersama sepinggan nasi yang berlaukkan kari ayam kampung dan sayur campur. Fuad masih menunggu jawapan Aledya.

                 ‘’Pergilah, ambil nasi dulu. I belanja you dengan kawan you ni, sebab dah tolong I.’’ Aledya menukar topik perbualan mereka. Fuad tersenyum mesra dan bangun untuk mengambil makanan juga. Dalam diam Aledya menarik nafas lega.

*****

                     USAI makan mereka membawa Aledya mencari homestay pula. Ada homestay tepi sawah yang jauh sikit dari pekan. Walaupun jam sudah lewat malam namun Fuad nekad untuk membantu Aledya. Kalau boleh, apa saja keperluan Aledya akan diuruskan. Ini kali pertama hatinya benar-benar terpaut. Sama ada perasaannya akan diterima atau ditolak, dia tak kisah kerana dia juga sedar diri, dia banyak kekurangan. Dia ikhlas membantu insan yang memerlukan.

                "Jauh lagi ke?" Aledya bertanya ragu-ragu. Jam sudah menunjukkan angka sebelas malam tapi dia masih berada di dalam kereta bersama dua orang lelaki yang baru dikenali.

               "Depan tu saja. Lebih kurang satu kilometer lagi." Fuad menjawab yakin, dikerlingnya Amir yang sedang menguap.

                "Maaflah..I dah menyusahkan encik berdua." Aledya bersuara lagi.

                  "Demi Ledya, abang Amir sanggup disusahkan." ayat-ayat sang romeo sudah berbunyi. Sekali lagi Fuad menjeling.

                  "Abang? Aku call Isya ni, ada jugak yang makan tapak kasut."

                   "Kau ni Fuad. Tak bagi chance langsung. Bukannya selalu pun aku nak mengayat. Ledya tak kesah, kan?" sambil bertanya Amir memandang cermin pandang belakang. Aleyda sedang memandang keluar tingkap dan tidak menjawab soalannya pun.

                  "Kenapa tu Cik Ledya? Jangan takutlah, kami bukannya orang jahat." Amir menyoal kerana melalui wajah Aledya sudah boleh mengagak macam dia sedang runsing.

                   "Ya? Cakap dengan I ke?" Aledya bertanya dalam keadaan terpinga-pinga. Mindanya sudah menerawang entah ke mana, banyak perkara yang sedang difikirkannya.

                  "Cik Ledya fikir apa tu? Mendung saja muka. Cemas pun ada." Fuad pula yang bertanya.

                  "Oh..tak, selagi tak jumpa homestay untuk menginap memanglah I risau. Dah sampai nanti, takut pula tak ada bilik kosong." Aledya menjawab dengan wajah serius. Dia memang sedang memikirkan segala kemungkinan yang akan terjadi. Salah satunya homestay sudah penuh. Di mana dia nak bermalam, malam ini?

                   "Macam tu ke? Risau apa, Fuadkan ada?" Amir berkata sambil menjeling Fuad.

                  "Kenapa dengan aku pulak?" Fuad memandang Amir dan membulatkan matanya. Tak puas hati dengan kata-kata Amir.

                  "Bawalah Ledya bermalam di rumah kau." Amir menambah sambil menjongket kening dan tersenyum menyindir. Fuad masih memandang tajam ke arah Amir. Rasa macam nak cepuk saja Amir tu, sengaja mencari pasal.

                  "Hah? Kau ni macam tak kenal dengan ummi aku. Banyak pantang larang dia. Ni kalau dia tahu aku to.." Fuad tak jadi untuk meneruskan kata, dia menoleh ke belakang dan matanya bertembung dengan mata Aledya. Fuad tersenyum manis, Aledya membalasnya tapi macam terpaksa kerana dia macam dapat agak apa ayat seterusnya yang cuba diungkapkan oleh Fuad.

                   "Nak tanya sikit, boleh tak Encik Fuad?" Aledya pula yang bersuara. Dia ingin tahu sesuatu.

                     "Tanya apa tu? " Fuad menoleh ke belakang sekali lagi. Wajah Aleyda direnung dalam samar-samar cahaya lampu di jalan.

                     "Ummi you tu, macam tak sukakan I saja. Kenapa ya? Apa salah I? Adik you cakap, ummi you anti dengan orang yang berpakaian seperti I. Betul ke?"

                      "Hah? Delaila cakap macam tu? Jangan dengar sangat cakap Delaila tu. Mengarut saja, dia tu." Fuad terkejut mendengar cerita Aledya, dalam fikirannya sudah terbayangkan wajah Delaila. Memang nak kena budak tu. Hati Fuad pula yang mengomel, geram.

                       "Tapi..I rasa ummi Encik Fuad memang tak sukakan I." Aledya suarakan apa yang dia rasa.

                        "Tak adalah..cuma ummi tu, kadang-kadang.." Fuad kematian kata, sekali lagi dia menoleh ke belakang. Citarasa umminya memang bukan orang seperti Aledya. Ummi suka wanita yang bertudung labuh, berbaju kurung atau jubah yang longgar dan labuh, kalau boleh yang keluar rumah memakai purdah.

                      "Tak apa, I faham, maksud you. Tak perlu dijelaskan."

                     "Kita dah sampai pun. Nak kami tolong Ledya chek in, ke?" Amir mencelah, cuba menjernihkan sedikit ketegangan yang tercipta. Fuad pula menarik nafas dan melepaskannya dengan rasa kesal.

                      Andai Aledya menyambut cintanya sekali pun pasti mereka tetap tak dapat bersatu juga. Hitam kata ummi, takkan ada siapa yang dapat menangkisnya. Fuad bermonolog dalaman. Dia memandang Aledya yang sudah berada di luar kereta. Fuad turut keluar daripada kereta sambil berdoa. Semoga Allah permudahkan urusan Aledya.

***********

                       DUA hari Fuad melayan Aledya menguruskan semua hal. Dengan kereta Amir yang dipinjamnya dia membawa ke mana saja Aledya nak pergi. Tugas Aledya belum selesai selagi keretanya belum siap diperbaiki.

                       Fuad terus lupa dengan kebunnya dan Fuad juga lupa dengan pantang larang ustazah Maryam. Bila waktu malam, dia pulang ke rumah dan disoal ustazah Maryam, nama Aledya tidak pernah disebut. Sebaik-baik Fuad, kerana Aledya, dia sanggup menipu umminya. Nahas dia kalau ustazah Maryam tahu semua hal yang dilakukannya sejak dua hari ini.

                     "Nak ke mana lagi tu Fuad? Awal-awal pagi dah pakai baju tu. Tak ke kebun ke? Asyik menghilang saja akhir-akhir ni, malam baru nampak muka.?" Fuad baru saja melangkah turun, kelibatnya sudah disedari ustazah Maryam. Apa lagi alasannya hari ini?

                 "Fuad nak jumpa kawan, ummi. Mereka buat perjumpaan reunion di pekan." nasib baik minda Fuad cepat mencari jalan penyelesaian.

                  "Reunion? Kawan lelaki ke perempuan?"

                  "Tentulah lelaki, ummi. Fuad mana ada kawan perempuan." tenang saja Fuad menjawab. Harap-harap janganlah kantoi.

                "Betul? Ummi pergi mengajar dah dengar ura-ura Fuad bawa perempuan ke hulu ke hilir. Jangan buat hal Fuad. Jaga nama ummi dan walid sama." nyaris terduduk Fuad mendengar kata-kata umminya. Siapa pula yang bawa cerita?

                 "Mereka silap orang agaknya ummi. Fuad ada ja di bengkel Amir dua tiga hari ni, tengok dia buat kerja. Nanti kalau motor atau kereta kita rosak, boleh save duit. Tak payah dihantar ke bengkel lagi." ada saja alasan yang Fuad reka. Mungkin dia ada pergi ke bengkel Amir tapi untuk bertanya pasal kereta Aledya dan meminjam kereta Amir.

                  "Ummi ni bukan apa Fuad, ummi dan walid pergi mengajar orang tentang Islam, ini haram, itu haram..tahu-tahu anak sendiri yang buat perkara terkutuk. Mana kami nak letak muka kami ni Fuad?"

                "Ummi janganlah dengar cakap orang. Fuad tak buatlah perkara tak elok. Fuad masih tahu hukum ummi. Fuad dah lambat ni, Fuad pergi dulu. Assalamualaikum."

                   Fuad terus melangkah dan mendapatkan motornya. Dalam hati dia bengang dengan orang yang bercerita pada umminya. Dia bukannya bercinta dengan Aledya tu. Sekadar menolong Aledya dan niatnya ikhlas untuk membantu. Orang secantik Aledya tu kalau tak kena gaya, orang yang menolongnya dengan niat jahat, bukan sekadar maruahnya yang tergadai..mungkin Aledya akan dirompak juga.

*********

                ALEDYA melihat jam di tangan, sudah pukul 8.30 pagi, tapi Fuad belum muncul lagi. Dia memerhatikan sekeliling homestay yang sangat cantik dengan pemandangan sawah padi. Ada beberapa orang kanak-kanak yang sedang bermain dalam tali air dan menangkap ikan. Ada juga orang dewasa yang sedang memancing ikan mengunakan pancing yang dibuat daripada buluh.

                   Dia sungguh terhibur melihat suasana kampung di depan mata dan Aledya ingin turut serta namun baju yang dibawanya semua baju mahal dan berjenama. Hari ini Fuad sudah berjanji dengannya untuk pergi membeli belah di pekan. Dia berniat untuk membeli baju yang bersesuaian untuk tinggal beberapa hari lagi di kampung ini. Aledya mula jatuh cinta dengan suasana kampung ini. Walaupun kampung ini nampak terpencil tapi banyak tempat-tempat menarik di sini.

                  Dua hari berada di sini Fuad sudah membawanya berjalan ke sana sini. Mereka sudah ke jeram dan air terjun. Mereka sudah pergi ke restoran dalam sungai dan sudah melawat muzium kraftangan. Dua hari juga dia menjadi rapat dengan Fuad, namun ada sesuatu tentang Fuad yang membuatkan jantungnya berdebar-debar setiap kali mereka bersama. Renungan Fuad terus menikam hingga ke lubuk hatinya. Senyuman Fuad yang manis dengan giginya yang putih bersih dan tersusun cantik. Wajah Fuad bersih daripada sebarang cela, tiada kumis ataupun janggut. Kulitnya cerah dan Fuad tidak pernah tinggal solat serta sentiasa solat di awal waktu.

               Sejak dia kenal Fuad, banyak topik agama yang selalu dibincangkan. Fuad lancar ketika bercerita tentang Hadis dan Al-Quran. Aledya tidak hairan kerana ibu dan ayah Fuad sendiri adalah ustaz dan ustazah. Tentulah Fuad telah diasuh dengan cukup sempurna.

                "Assalamualaikum.." asyik benar melayan perasaan dan mengenang memorinya bersama Fuad, tidak sedar orang yang dikenang sudah ada di depan mata.

              "Waalaikumusalam." perlahan suara Aledya menjawab salam dan tersenyum.

                "Jom kita..ke mana dulu hari ini?" Fuad turut tersenyum sambil menyoal.

                "Kedai baju, I nak beli baju..nak turun berkubang dalam sawah macam mereka tu." Aledya menjawab sambil menudingkan jarinya ke arah kanak-kanak yang sedang bermain air dan menangkap ikan di dalam sawah.

                  "Tak takut lintah ke?" Fuad bertanya kembali sekadar untuk mengusik Aledya yang nampak teruja.

                  "Ada lintah ke?"

                    "Manalah tahu, saya tak pernah turun sawah, berkebun selalulah."

                  "Betul? Tak pernah turun sawah? Ruginya.."

                    "Kecil-kecil dulu pernah la, zaman nakal dulu tapi bila balik rumah bingit telinga kena leter dengan ummi." Fuad bercerita sambil ketawa.

                  "Ada lintah tak?"

                     "Ada, tapi sebelum turun ke sawah, kami dah lumur badan dengan air tembakau. Kalau lintah naik kami selalu buang dengan air abu."

                      "Abu? Apa tu?"

                     "Abu..kayu yang dibakar kemudian menjadi abu.."

                      "Oh..masa you kata abu tu, I terbayangkan seorang lelaki yang bernama Abu." Aledya ketawa dan Fuad turut ketawa bersamanya.

                      "Jomlah kita, kalau lambat nanti, matahari sudah tinggi panas terik pula. Hitam Cik Ledya nanti kalau berkubang dalam panas terik."

                     "Biarlah hitam kulit, asalkan jangan hitam hati."

                     "Betul, betul, betul.." Fuad meniru gaya rancangan kartun Upin dan Ipin dan mereka berdua ketawa lagi.

                     Fuad membawa Aledya ke kedai dua ringgit, teruja betul Aledya melihat barang-barang di dalam kedai itu. Bila ditanya harga, bertambah teruja Aledya jadinya.

                   "Seriously? Dua ringgit saja?" melopong mulut Aledya sambil bertanya.

                   "Kedai ni orang kampung panggil kedai berpuaka. Orang perempuan kalau masuk, cari jalan keluar tak jumpa. Memanglah satu barang harga dua ringgit tapi kalau pergi kaunter nak bayar dah jadi dua ratus ringgit." selamba saja Fuad menjawab balas. Aledya yang kebingungan.

                      "Kenapa pulak? Tauke kedai ni penipu ke?" Aledya menyoal dalam nada suara berbisik. Sudah pasti takut didengar oleh pemilik kedai.

                  "Bukan, kan saya dah cakap tadi, kedai ni berpuaka. Cik Ledya try la beli dulu, kita tengok nanti bila dah sampai kaunter berapa jumlah yang kena bayar. Selalunya dua ringgit tu akan beranak pinak jadi puluhan atau ratusan."

                    "I tak fahamlah. Maksud you?"

                      "Belilah dulu." Fuad masih bermain teka teki dan tersenyum lucu. Sepintar-pintar Aledya pun dia tidak dapat menangkap maksud Fuad.

               Aledya terus memilih barang-barang yang berkenan di hati. Kalau boleh, semuanya dia nak beli sebab harganya yang murah. Sempat juga dia mengambil topi besar untuknya dan Fuad. Semuanya dia ambil sepasang, niat dia memang untuk belanja Fuad sekali. Alah, murah saja, satu cuma dua ringgit saja. Ini kali pertama Aledya masuk kedai dua ringgit ni. Kalau di bandar, Aledya hanya membeli barang di pasar raya besar dan butik-butik pereka fesyen terkenal.

                  "Banyak barang Cik Ledya beli? Dah bersedia nak bayar ke?" Fuad bertanya dalam nada mengusik. Bibirnya sentiasa tersenyum manis.

                    "Dah. Jom.." riang suara Aledya dan menuju ke kaunter untuk membuat pembayaran.

                  "Seratus lima puluh dua ringgit.." pekerja yang berada di kaunter memberitahu harganya. Aledya mengeluarkan wang dan ingin membayar tapi dia kehabisan wang tunai. Terpinga-pinga dia ditambah dengan perasaan malu dengan Fuad yang sentiasa berada di sebelahnya.

               "Terima kad kredit tak?" Aledya bertanya dengan wajah yang sudah berubah merah.

               "Maaf..kami tak terima." tenang saja pekerja itu menjawab, mengelabah Aledya jadinya.

                 "Takpa..saya ada cash." Fuad terus menghulurkan duitnya. Aledya tersipu-sipu malu. Ini kali pertama kejadian ini terjadi dalam hidupnya. Seumur hidupnya memang dia jarang membawa duit tunai yang banyak. Hidup di bandar besar hanya memerlukan kad kredit setiap kali membeli barang.

                "Sekarang Cik Ledya percaya tak, kedai ni berpuaka?"

                 "Ehh..tak tahu pulak."

                  "Ada cermin tak? Cuma tengok muka Cik Ledya tu, dah merah menyala macam udang kena bakar."

                  "Apa kena mengena?"

                   "Yalah..sebab kedai dua ringgit ni boleh beranak sampai Cik Ledya tak cukup duit nak bayar, kan? Saya dah cakap, kedai ni berpuaka..Cik Ledya tak nak percaya. Sekarang dah percaya?" Fuad cuba menyakat Aledya lagi sambil ketawa. Semakin merah wajah Aledya mendengarnya.

                 "Yalah..fahamlah I. Bawa I pergi bank, nak cucuk duit sikit..nak bayar duit you tadi."

                "Tak payah bayarlah..tak apa saya belanja."

                 "Ehh..janganlah macam tu, minyak kereta lagi..makan lagi, hari ini biar I bayar balik semua duit you tu. I tak nak terhutang budi tau."

                    "Kenapa, Cik Ledya takut tergadai body ke?"

                    "Bukan..I takut hati I yang tergadai nanti." perlahan saja Aledya menjawab.

                     "Apa?"

                    "Tak…I cakap nanti kita pergi kedai baju pulak. I nak beli T shirt dan seluar panjang." Aledya terus melencong kata, nasib baik Fuad tak dengar.

                    "Tapi..sebelum tu singgah bank dulu. I dah papa kedana ni, tinggal duit syiling saja."

                     "Baik bos!"

                    "Bos? You nak jadi driver I tak Fuad? I tengah cari driver ni, letih setiap kali melawat tapak projek, kadang-kadang teringin nak tidur dalam kereta sebab I selalu tak cukup tidur terutama kalau dapat tender projek mega. Projek puluhan juta, kerja pun macam nak mati, berkejar ke sana, berkejar ke sini."

                    "Boleh ke? Kena interview tak? Saya tak ada ijazah dan tak selalu ke bandar. Cik Ledya nak upah saya ke? Sesat pulak nanti."

                       "Belum cuba belum tahu, zaman siber ni semua alat dah canggih, kan?" Aledya menjawab dan menjungkit kening beberapa kali. Fuad terus ketawa. Fahamlah dia, apa yang canggih tu.

**************

                   "UMMI, Fuad nak pergi kursus pertanian di Kuala Lumpur. Boleh tak ummi?" Demi untuk bekerja dengan Aledya sebagai pemandu, Fuad terpaksa menipu umminya lagi. Nama Aledya memang tak berani disebut. Tak pasal-pasal kaki Fuad akan dirantai dan dijadikan tahanan nanti.

                   "Kursus pertanian apa pulak ni Fuad? Selama ni elok saja Fuad usahakan kebun tu." kerisauan mula terpancar di wajah tua ustazah Maryam. Elok-elok bekerja di kebun tu, nak ambil kursus apa lagi?

                 "Untuk menambah hasil kebunlah ummi. Nak belajar cara-cara nak membaja dan nak meracun." Fuad terus berkata dusta. Walaupun rasa bersalah tapi Fuad tiada pilihan, umminya terlalu banyak pantang larang. Haram baginya bekerja dengan seorang perempuan.

                 "Tak payahlah..membazir semua tu, di mana Fuad nak cari duit? Ambil kursus mesti kena bayar duitkan. Nak ke Kuala Lumpur tu mesti perlukan duit jugak. Duit tambang, duit makan dan keperluan lain."

                "Tak perlu ummi. Semua tu tak perlu, ada kawan Fuad yang sponsor. Ummi ingat tak kami buat perjumpaan reunion beberapa hari lepas? Ada kawan Fuad yang buat cadangan ni. Lagi pun sampai bila Fuad nak terperuk saja di kampung ni? Kalau Fuad boleh pergi, dapat juga pengalaman. Bolehlah ummi? Izinkanlah Fuad pergi. Fuad dah besar panjang pun ummi, pandailah Fuad jaga diri nanti." Fuad terus merayu ustazah Maryam. Kalau walidnya tak perlu dirayu, malahan mungkin akan disuruh pula. Ustazah Maryam saja yang selalu berkeras tidak mahu melepaskan anak-anak keluar dari rumah.

                    "Ummi.." Fuad turun melutut di depan ustazah Maryam. Serba salah jadinya ustazah Maryam.

                    "Macam ni la, Fuad janji dengan ummi, jangan menconteng arang di muka kami. Dua hari lepas, perempuan mana yang Fuad bawa? Orang kampung sudah kecoh pasal Fuad. Bawa perempuan cantik kata mereka, serata kedai diusungnya." ustazah Maryam menyoal lagi dengan topik yang ingin dielaknya. Siapa lagi yang bawa mulut ni?

                      "Usung perempuan? Bila pula Fuad usung perempuan ni ummi? Mengarut semua tu ummi. Takkanlah ummi tak percaya dengan Fuad?"

                      "Kalau tak ada angin, takkan pokok boleh bergoyang Fuad?"

                     "Tak perlu angin ummi, pokok tu boleh saja digoyangkan orang. Fuad ni seorang pekebun ummi, ada saja pokok-pokok kecil dalam kebun tu digoyangkan Fuad. Fitnah ummi, tak perlu disaksikan dengan mata sendiri, hanya dengan satu mulut yang bersuara, boleh tersebar satu dunia." lancar Fuad berkata-kata tanpa gentar sedikit pun. Suaranya pun penuh keyakinan. Ustazah Maryam mula percaya dengan kata-katanya. Fuad memang anak yang baik, belum lagi mengecewakan mereka.

                     "Abang, kak Ledya masih ada di kampung kita ke? Ila terserempak dengan dia di pekan beberapa hari lepas. Ingatkan dia dah balik KL." berderau darah Fuad naik ke muka. Delaila ni pula sebut nama Aledya depan ustazah Maryam.

                  "Siapa tu?" Fuad pura-pura bertanya.

                 "Alah abang ni, buat-buat tak kenal pulak. Akak yang..." belum habis Delaila berkata, Fuad menjegilkan mata sambil mengebam bibir. Budak ni...

                 "Oh..Ila lupa, abang memang tak kenal akak tu. Dia kakak angkat pada kakak kawan Ila. Baru Ila ingat.." Delaila melencong kata sambil membulatkan matanya juga. Dalam diam Fuad tayang penumbuk, Delaila terus menjeling tajam.

                ‘’Bolehlah ummi, beberapa bulan saja. Nanti Fuad baliklah, berkebun macam biasa.’’ Fuad masih terus memujuk ustazah Maryam. Delaila duduk di sebelah ustazah Maryam sambil merenung wajah Fuad. Dia dapat mengagak sesuatu tapi dia tak pasti apakah itu.

                  ‘’Abang ingat tak, kakak yang datang rumah kita malam tu? Cantikkan kakak tu?’’ Delaila sengaja menguji. Wajah Fuad dipandang dengan pandangan lucu.

                    ‘’Pergi masuk bilik!’’ Fuad menghalau Delaila yang seolah-olah datang untuk merosakkan rancangannya.

                    ‘’Kakak mana ni? Perempuan bandar tu ke? Yang pakai baju tak cukup kain tu? Pakai tudung pun tak ikut syariah. Lawa saja, tapi tak ada langsung adab-adab melayu dan..’’

                    ‘’Ummi..perempuan tu dah lama pergi, dia datang pun sekejap saja. Janganlah ummi nak ungkit lagi. Pakaian dia tu, Fuad tak rasa pun tak elok, cuma dia tak pakai jubah dan tudung labuh saja.’’ Fuad terus mencantas kata-kata ustazah Maryam. Tak semena-mena, dia pula yang terasa sakit hati.

                 ‘’Fuad nak salahkan ummi, kenapa pulak? Jangan-jangan, selama ni perempuan tu yang Fuad bawa ke hulu dan ke hilir? Jangan Fuad. Jangan..’’ ustazah Maryam terus memberi amaran. Delaila sudah dapat meneka, namun Fuad sedang mendengus kasar. Tekaan umminya tak pernah salah, tapi untuk mengaku takkan sesekali.

              ‘’Tak adalah ummi, percayalah dengan Fuad ni..’’ perlahan nada suara Fuad kali ini.

              ‘’Kakak tu orang mana erkk?’’ Delaila pasang perangkap lagi. Pantas Fuad merenung tajam ke arah Delaila.

                  ‘’Kau ingat abang ni Nujum Pak Belalang ke Ila?’’ kasar pula nada suaranya kali ini. Delaila menjungkit kening dan mengenyitkan mata dalam diam. Fuad terus bengang.

                 ‘’Kenapa dengan kamu dua beradik ni? Takkan kerana perempuan yang kita tak tahu asal usul tu, kamu berdua nak bergaduh pulak?’’ ustazah Maryam tinggikan suara bila dapat mengesan sesuatu. Fuad terus menunduk merenung lantai, mencari ilham untuk memujuk umminya. Delaila bermain dengan jari jemarinya sendiri, kerana diserang rasa bersalah. Dia hanya ingin tahu tentang Aledya melalui Fuad tapi dia tersalah waktu dan tersalah ayat.

                  ‘’Fuad memang tak tipu ummi, kan?’’ ustazah Maryam bersuara kembali setelah lama ruang tamu rumah mereka sunyi sepi. Fuad mengeleng pantas. Delaila dijeling dengan amaran, agar tidak mencelah lagi. Dengan pantas Delaila membuat isyarat untuk zip mulutnya dan bangun untuk masuk ke dalam bilik.

                 ‘’Percayalah ummi..Fuad pergi sekejap saja. Habis kursus tu nanti, Fuad terus pulang semula.’’ Sengaja Fuad menukar topik. Kalau boleh, hal Aledya tak mahu disebutnya langsung.

                  ‘’Baiklah..ummi percaya dengan anak ummi, sebab ummi yakin, anak-anak ummi takkan pernah menipu ummi.’’ Ustazah Maryam bersuara yakin. Fuad tersenyum manis, namun dalam hatinya rasa amat bersalah. Dia bukanlah seorang insan yang sempurna. Kalau umminya banyak sangat keraguan dan pantang larang, dia memang tiada pilihan untuk melepaskan diri. Sampai bila dia nak berada di bawah telunjuk umminya lagi? Dia juga ada keinginannya sendiri.

                     ‘’Terima kasih ummi. Ummi izinkan Fuad pergi, kan?’’ Fuad menyoal lagi dan ustazah Maryam mengangguk perlahan. Namun, dalam hatinya sedang dilanda resah dan bimbang. Bukan mudah untuk melepaskan Fuad pergi kerana dia hanya ada dua orang anak saja dan Fuad adalah satu-satunya harapan keluarga mereka.

**********

                     SEPANJANG perjalanan Fuad yang menjadi pemandu menuju ke Kuala Lumpur. Dia belajar mengunakan kemudahan yang ada. Dia tak perlu susah payah menghafal jalan, hanya masukkan alamat dan ada suara yang memberikan arahan.

                   Aledya duduk di belakang, Fuad suruh dia jadi bos, untuk berlatih katanya..padahal dia takut pemanduannya tidak selesa kalau Aledya duduk di sebelah. Hati Fuad semakin tidak keruan setiap kali mereka bersama. Semakin kerap dia memandang wajah Aledya, semakin mendalam rasa cintanya terhadap Aledya. Parah sudah hatinya, terlalu sukar untuk dikawal lagi.

                  Sampai saja di Kuala Kumpur, hati Fuad semakin berdebar-debar..apatah lagi bila kereta yang dipandunya sudah membelok masuk ke kawasan perumahan elit. Banglo-banglo mewah tersergam indah dan dihiasi landskap yang sangat cantik. Fuad mula merasa kerdil dan perasaan cintanya turut layu. Dia mula sedar diri, dia tidak layak untuk berdiri di sebelah Aledya.

                 "Belok kiri, rumah cat hijau pucuk pisang tu. " melihat Fuad yang bagaikan berada dalam kekeliruan Aledya memberikan arahan.

                    "Rumah cik Ledya ke?" Fuad menyoal ragu-ragu melihat sebuah banglo tiga tingkat yang tersergam indah di depan matanya.

                     "Bukan rumah I...tapi rumah papa dan mama I. Rumah I belum ada lagi, tunggulah I ada suami dulu." selamba saja Aleyda menjawab sambil mengerling manja ke arah Fuad.

                      "You sudi ke jadi suami I Fuad?" sengaja menguji Fuad, Aledya bertanya dalam nada yang cukup manja. Berderau darah naik ke muka. Libang libu hati Fuad bila ditanya dengan soalan yang tak diduga.

                    "Saya rasa tak layak kot, tengok rumah saya dengan rumah cik Ledya pun sepuluh kali ganda bezanya." Fuad berkata jujur daripada lubuk hatinya.

                     "You pun rasa harta dan kebendaan tu adalah penghalang dan membezakan kita sesama manusia ke? Bukankah yang membezakan kita adalah amalan? You dengan I, rasanya amalan you untuk akhirat lagi sempurna berbanding I. Harta dunia ni bukannya boleh bawa mati pun." mendengar kata-kata Aledya, Fuad jadi malu sendiri. Apa nak jawab? Otaknya menjadi buntu dan bila brek ditekan dia hanya memandang saja Aledya yang sedang merenungnya menunggu jawapan.

                      "Salah tu Cik Ledya, siapa kata harta dunia tak boleh bawa mati? Sedekahkan ada, dan dengan bersedekah harta yang banyak tu, boleh jadi harta di Akhirat nanti. Errr..sudi ke Cik Ledya jadi isteri saya?" sambil menjawab kata-kata Aledya, Fuad turut menyoal sambil tersenyum, namun hatinya Allah saja yang tahu.

                      "Kalau I jawab, I sudi." Aledya menjawab bersahaja. Dia masih ingin menguji hati Fuad.

                     "Allah..janganlah main-main Cik Ledya." Fuad menjawab balas dengan wajah tersipu-sipu dan bercampur gembira.

                    "Jomlah..kita masuk dulu. I pun masih nak kenal hati budi you. Kalau I rasa you lulus ujian I, I sendiri yang akan pinang you." Aleyda berkata dan ketawa. Dia membuka pintu kereta dan keluar. Fuad masih termanggu di tempat duduk pemandu. Gurauan apakah ini?

**************

                     FUAD terpegun di luar rumah. Melihat landskap di luar rumah saja sudah buat lidahnya kelu, tak mampu untuk bersuara. Ada taman di kiri dan kanan rumah. Sepanjang masuk ke taman, dibina pintu gerbang dengan lingkaran pohon mawar berbagai warna. Mawar yang berbunga lebat dan besar. Terpukau pandangan mata.

                    "Fuad! Marilah masuk! You jangan cakap you tu mat bunga? I gelak berguling-guling nanti." Aledya yang menyedari gelagat Fuad mula menyakat.

                    "Kerja Cik Ledya ke semua ni?" Fuad mula penasaran. Bakat yang terpamer depan matanya sangat mengujakan.

                   "Tak adalah, I buat lakaran ja. Yang menanam pokok dan membina taman ni orang lain. Masuklah dulu Fuad, jauh you memandu, masuk berehat dan rehatkan badan. Jangan nanti balik mengadu pada ummi you pulak, I ni dera you."

                    "Ramai ke penghuni rumah ni Cik Ledya?" Fuad bertanya kerana hatinya berdebar-debar untuk berhadapan dengan semua penghuni rumah.

                       "You janganlah risau, kami tak bela raksasa dalam rumah ni. Tak ada sesiapa pun yang nak makan you. Mai la masuk, cepat."

                        "Mai? Cik Ledya orang Kedah ke?"

                        "Tak, I dilahirkan di KL tapi papa I dibesarkan di Perlis, kemudian berpindah ke Kedah, mama I anak mami Penang."

                         "Oh..patutlah." perlahan saja Fuad bersuara. Patutlah, Aledya pun cantik. Hatinya pula yang bermonolog.

                          "Assalamualaikum..mama..kak Min, mana semua orang ni?" bila sudah menapak ke dalam rumah, barulah Aledya memberi salam. Fuad mengikut daripada belakang, sekali lagi matanya bersinar melihat perhiasan di dalam rumah. Macam mana keadaan di luar rumah, begitulah keadaan di dalam rumah, penuh dengan perabot mewah dan bunga. Ada bunga segar dan ada bunga tiruan. Fuad cuba mencari bingkai gambar keluarga tapi sekeping pun tak ada, yang ada cuma ayat-ayat suci Al-Quran dan lukisan pemandangan yang digantung di dinding.

                           "Kak Min! " sekali lagi Aledya melaung. Rumah mewah yang besar ini sunyi sepi seolah-olah tiada penghuni.

                        "Fuad! Hati-hati..setiap sudut rumah ada CCTV." Aledya menyakat lagi dan ketawa kecil. Seronok melihat gelagat Fuad yang ralit memerhatikan ruang rumahnya.

                       "Mana?" kalut Fuad bertanya. Wajahnya berubah riak. Malu.

                        "Hidden camera. Mana nampak." Aledya menjawab dan terus ketawa. Fuad mengelabah. Biar betul ni?

                      "Jom Fuad, kita naik atas..I tunjuk bilik you dulu, lepas tu kita cari papa dan mama kat atas bumbung." Aledya berkata sambil menudingkan jari telunjuknya ke atas.

                       "Hah? Atas bumbung?" mulut Fuad sudah melopong dan mata Fuad membulat sambil mendongak. Aledya hanya mampu ketawa melihat gelagat Fuad.

                        "Yupp..cepatlah. You ni matgot betoi." Sengaja Aledya bercakap dalam loghat utara. Sekadar menguji pengetahuan Fuad tentang loghat utara itu.

                        "Hah? Matgot?" bahasa planet mana tu? Fuad menyoal di dalam hatinya sendiri. Macam-macam bahasa Aledya ni boleh cakap.

                         "Lambatlah!" Aledya ketawa lagi. Seronok pula menyakat Fuad ni. Wajah dia sedari tadi nampak tegang saja. Senyuman manisnya pun sudah ghaib entah ke mana.

                       "Lift?" Fuad menyoal lagi bila mereka sampai di pintu kaca dan melihat Aledya menekan butang untuk naik.

                       "Ya..papa dan mama dah tua, tak kuat dah nak naik tangga." selamba saja Aledya menjawab dan dia senyum lagi. Semakin lucu melihat wajah Fuad yang sedang berkerut seribu.

                          "Tinggg..tingkat 3..selamat datang.." terkejut Fuad bila mendengar suara seorang perempuan yang bercakap. Ketika masuk tadi tak ada suara pun, nak keluar bunyi pula.

                          "Jom..I tunjukkan bilik you, bilik solat dan bilik bacaan. Bilik I tingkat 2, bilik papa dan mama tingkat 1..bilik penghuni lain pun tingkat 1. Bilik-bilik paling atas ni khas untuk tetamu-tetamu istimewa macam you."

                          "Seriuslah Cik Ledya, saya ni datang untuk bekerja sebagai driver saja. Apa pula tetamu istimewa?"

                          "Aik..tadi you dah lamar I, kan? Lupalah tu." sekali lagi perasaan Fuad diuji. Allah, cik Aledya ni. Terbang melayang perasaan Fuad ni menuju kayangan dah.

                            "Cik Ledya ni, nak test saya lagilah tu?" Fuad bertanya sangsi.

                              "Test tak test. Ni bilik you, sebelah tu bilik solat. Yang hujung sekali tu library. Yang tiga lagi tu, tak ada orang. Maknanya tingkat atas ni you sorang saja penghuni. Hati-hati, nanti kak ponti datang teman." menyakat saja kerja Aledya.

                           "Siapa tu?" Fuad menyoal macam orang bodoh disertai mimik mukanya yang melucukan. Aledya menahan ketawa. Suka betul dia melihat gelagat Fuad hari ini.

                         "Siapa?" Aledya pura-pura menyoal kembali.

                         "Kak ponti?" sambil menyoal Fuad memerhati sekeliling. Ketawa Aledya pecah juga akhirnya.

                   "Hahaha..kak pontianak. Tak kenal ke?" terlepas tawa kuat tanpa sedar. Gelihati Aledya mendengar pertanyaan Fuad.

                     "Amboi..sukanya cik Ledya, kan?" Fuad tersenyum juga. Seronok melihat Aledya yang terkekeh ketawa. Hatinya rasa terhibur dan jiwanya rasa tenang melihat Aledya yang sedang ketawa. Geram pun ada, tapi..ada sesuatu yang menghalangnya untuk marah. Satu perasaan yang sudah mula bersemi sejak dia kenal Aledya.

                      "I bayar cash. Di kampung you, you kenakan I cukup-cukup. Giliran I la pulak. Letak beg you dulu. Kita naik atas bumbung, cari papa dan mama." Aledya mengajak Fuad berlalu dari bilik selepas menyuruh Fuad meninggalkan beg pakaiannya. Fuad terpaksa mengikut saja ke mana Aledya pergi.

                     "Nak naik tangga atau lift?" Aledya menyoal Fuad sambil jarinya menuding ke arah tangga dan lift bergilir-gilir.

                     "Stamina masih kuat lagi ni. Kita excercise la." jawapan telah diberi dan mereka pun mendaki tangga yang cantik berhias marmar dan bunga tiruan yang menjalar.

                    "Wow!" sebaik saja pintu dibuka..mulut Fuad melopong lagi sesaat. Bahagian atas ni juga mempunyai taman yang cantik, berbumbung tapi tiada berdinding. Bunga-bunga renek dihias indah. Ada buaian kayu dan kerusi kayu yang diukir cantik. Terpegun lagi Fuad namun dia tidak mahu menunjukkan rasa hatinya. Dia sengaja berwajah tenang.

                       "Assalamualaikum..mama, papa. Dah agak dah, semua orang ada di sini. Buat apa ni?" Aledya mula menyapa dan memeluk wanita yang dipanggilnya mama dan kak Min. Dia juga menyalami lelaki yang dipanggil papa dan memeluk lelaki itu juga. Hati Fuad buat hal lagi. Debarannya semakin mengila.

                      "Makan bubur asyura. Mai la, sedap gilerr." kak Min pembantu rumah yang menjawab. Tan Sri dan Puan Sri sudah tersenyum ramah untuk menyambut tetamu yang datang.

                          ‘’Mama, papa, Ledya bawa calon suami ni." selamba badak saja Aledya bersuara dan ketawa galak. Semua orang terdiam kelu. Wajah Fuad sudah pucat tidak berdarah.

                           "Lu kena beb!" jerit Aledya pada Fuad. Sukanya dia dapat kenakan Fuad sekali lagi. Suasana kembali riuh dengan gelak ketawa. Fuad mengelengkan kepalanya kerana terus disakat Aledya. Nak marah Aledya, macam tak tergamak pula. Apa yang mampu Fuad buat hanya tersenyum saja.

                       ‘’Fuad..ni papa dan mama I, ni kak Min..’’ Aledya memperkenalkan orang-orang kesayangannya pada Fuad. Tanpa berlengah, Fuad terus menghulurkan tangan dan bersalam dengan Tan Sri Megat Sofian.

                        ‘’Papa, mama..Fuad ni akan jadi driver Ledya nanti. Okey tak, kalau Ledya nak suruh dia tinggal di tingkat 3 tu sementara abang long dan keluarganya belum pulang ni?’’ Aledya memulakan ceritanya dan meminta izin Tan Sri dan Puan Sri akan hajatnya itu. Fuad hanya menunggu untuk mendengar perbualan mereka anak beranak.

                         ‘’Duduklah dulu Fuad. Kita makan dulu sambil berbual dan berkenalan.’’ Tan sri Megat Sofian berkata sambil memberi isyarat pada Aledya untuk mengambil kerusi supaya Fuad boleh duduk bersama mereka.

                        ‘’Mama tak kesah pun, lagi ramai lagi seronok, kan papanya?’’ Puan Sri berkata sambil menyoal Tan Sri. Laju Tan Sri menganggukkan kepalanya.

                         ‘’Tinggallah dalam bilik tu Fuad, berapa lama pun kamu nak. Rumah ni besar, memang untuk didiami pun. Cuma, kamu kena bersabar sikitlah dengan kerenah orang-orang dalam rumah ni..’’ Tan Sri pula bersuara sambil ketawa ceria.

                       ‘’Terima kasih pak cik, mak cik..’’ Fuad mengucapkan terima kasih sambil bangun dan menundukkan kepalanya tanda hormat.

                    ‘’You ni Fuad, ingat negara Jepun ke? Main tunduk-tunduk pulak dah…’’ sekali lagi Aledya mengenakan Fuad. Tersipu-sipu Fuad kerana malu dengan kelakuannya sebentar tadi.

                     ‘’Minta maaf..pak cik, mak cik..’’ Fuad meminta maaf pula. Aledya sudah ketawa lagi. Tan Sri dan Puan Sri mengeleng kepala.

                    ‘’Kamu jangan layan sangat Ledya ni Fuad. Dia ni bukannya betul sangat, apa kata budak-budak berdua tu?’’

                       ‘’Kepala kak Ledya tu masuk air mama…’’ entah dari mana suara itu datang. Semua orang menoleh serentak ke arah suara itu. Dua lelaki remaja seiras sedang menuju ke arah mereka.

                      ‘’Hello brothers! Alamak..akak rindu sangatlah dengan korang. Whats app bro??’’ Aledya bangun dan bertempik sambil menyambut kedua-dua adik lelaki kembarnya. Mereka melaga-lagakan tangan dan jari macam dalam tv. Fuad turut bangun dan menghulurkan tangan untuk bersalam tapi Irham dan Irqam ajak buat high five. Fuad ikutkan saja rentak mereka.

                       ‘’Apa nak jadi dengan budak-budak zaman sekarang ni. Hilang semua budaya melayu yang kita bangga-banggakan dulu. Semuanya nak ikut budaya barat.’’ Puan Sri mula membebel sambil memandang wajah ketiga-tiga orang anak-anaknya.

                        ‘’Relax ar mama..bukan tiru seratus peratus pun..tapi zaman sekarangkan zaman copy and paste. Haruslah bab copy mengopy ni…’’ Aledya menjawab dengan gaya dan lenggoknya. Fuad rasa terhibur melihat keluarga mereka yang sangat ceria. Dia cuba bandingkan pula dengan keluarganya yang terlalu sunyi dengan gurau senda. Berbeza sangat.

                           ‘’Bertabah sajalah Fuad..anak-anak aunty semuanya kepala masuk air. Semuanya kepala tak betul..’’ Puan Sri bersuara pasrah. Tan Sri ketawa terbahak-bahak. Fuad hanya tersenyum senang hati dan matanya sudah melirik pada Aledya yang sedang rancak berbual dengan Irham dan Iqram.


*********

                       HARI pertama di banglo mewah Tan Sri Megat Sofian, memang kekok rasanya..lebih-lebih lagi tingkat teratas ni hanya dia seorang saja yang menjadi penghuni. Bangun pagi, Fuad masuk ke bilik solat untuk bersolat subuh. Pukul 3.00 pagi tadi dia dah bangun untuk menunaikan solat sunat tahajud dan membaca Al-Quran. Sejam saja dia peruntukan masa untuk melakukan ibadah sunat kemudian dia masuk bilik dan tidur semula.

                 Fuad melaungkan azan subuh tanpa dia mengetahui seisi rumah terjaga dengan laungan azannya. Selesai azan, Fuad menunaikan solat sunat subuh terlebih dahulu. Kusyuk Fuad melakukan solat sunat hingga dia tidak sedar sudah ada jemaah di belakangnya. Sebaik memberi salam kiri dan kanan, Fuad bangun untuk menunaikan solat fardu pula. Bahu kanan Fuad dicuit seseorang, pantas Fuad menoleh laju. Teringat cerita Aledya pasal kak ponti, Fuad merasa seram tiba-tiba. Sebaik saja dia menoleh ke belakang, dia terkejut. Sudah ada 7 orang jemaah di belakangnya, 3 orang lelaki dan 4 orang perempuan. Bila mereka masuk?

                 "Abang, bagi Irqam qamat ya?" Irqam salah seorang adik kembar Aledya bertanya. Fuad mengangguk dan memberi laluan untuk Irqam berdiri di hadapan. Usai Irqam qamat, Fuad memandang Irham pula.

                 "Irham nak jadi imam ke?" Fuad menyoal sambil tersenyum. Laju Irham mengeleng.

                  "Abang Fuadlah yang jadi imam. Irham tak berapa nak hafal sangat surah-surah ni. Al-Ikhlas dengan Al-Kafirun, bolehlah tu pun belum tentu betul tajwidnya." Fuad pun terus berdiri di hadapan dan mula melafazkan niat. Dia tiada pilihan sebab Tan Sri bersolat di atas kerusi. Takkan nak suruh Tan Sri yang jadi imam?

                      Dua rakaat solat fardu subuh selesai dan Fuad dapat melaksanakan tugasnya tanpa gentar. Mungkin dia sudah terbiasa menjadi imam solat di surau kampungnya dan sesekali di rumahnya kalau mereka sekeluarga tidak ke masjid atau surau. Sesekali mereka terbabas juga untuk bangun subuh, jadi terpaksalah solat berjemaah di rumah.

                    "Saya buat kuliah subuh sikit, boleh kot?" selesai memberi salam, berwirid dan berdoa, Fuad menoleh ke belakang dan bertanya. Dia duduk bersila di hadapan dan menghadap tujuh orang makmun tadi.

                     "Assalamualaikum semua. Alhamdulillah, bersyukur pada Allah kita semua dapat bernafas lagi pagi ni dan dapat menunaikan solat jemaah bersama-sama. Lepas ni agaknya, kita nak buat apa? Nak tidur lagi ke? Sangat best tidur. Tapi sesiapa yang duduk seketika selepas solat subuh dan berzikir, Allah akan mengampun dosa dosanya dan memelihara dirinya agar berada di dalam kesejahteraan sepanjang hari itu.

                      Sesiapa yang duduk di dalam majlis ilmu, rahmat Allah terus melimpahi dirinya sepanjang hari itu. Seseorang itu juga akan terhindar dari perbuatan fahsa' dan mungkar. Perbezaan makna fahsa' dan mungkar; Fahsa' ialah perbuatan jahat yang menular. Kejahatan itu berkait-kait dan berpanjangan.

                      Contoh perbuatan fahsa', seorang yang berzina. Akibat daripada zina, telah mengandung, sudah mengandung, berusaha mengugurkan janin. Dosanya berentetan. Contoh lain mengumpat, didengar oleh yang kena umpat, menimbulkan kemarahan, bergaduh hingga berbunuh-bunuhan. Dosa mengumpat, dosa bergaduh dan dosa membunuh.

                     Mungkar ialah perbuatan jahat. Contohnya, curi selipar. Dosanya setakat curi selipar saja. Banyak lagi contoh lain perbuatan fahsa' dan mungkar." Fuad memulakan kuliah subuhnya sambil tersenyum dan memandang seorang demi seorang makmum yang sedang duduk di hadapannya.

                       Tanpa perasaan gentar Fuad terus bercerita tentang tajuk yang sedang dibicarakan. Dia selalu mendengar walidnya ustaz Luqman berceramah. Sedikit sebanyak, dia menghafal juga ilmu yang dipelajarinya. Melihat makmum yang sedang mendengar apa yang diperkatakannya dengan khusyuk Fuad rasa sangat gembira. Tidak sia-sia dia mengikut walidnya berceramah selama ini.

                    "In Sya Allah..kita bercakap lagi tentang tajuk ini pada hari lain pula. Minta maaf kalau ada salah dan silap. Maklumlah, saya pun bukannya pandai sangat." Fuad mengakhiri kuliah subuhnya pagi ini dan bangun bersalaman dengan jemaah lelaki di depannya sambil berselawat memuji baginda Rasullulah SAW.

                      "Abang..lepas ni Irqam tak nak tidur lagi, jom ikut kami jogging, sambil tu boleh juga abang beri kami ceramah lagi." Irqam menawarkan diri untuk mendengar ceramah lagi. Mungkin dia sudah tertarik hati mendengar kuliah subuh yang ringkas tadi.

                     "Jogging ke mana Irqam? Gymkan ada..exersice di gym cukuplah." Puan Sri Noureen yang mendengar kata-kata Irqam mencelah.

                     "Biarlah mereka..pagi-pagi ni elok juga mengambil udara segar di luar. Abang ni kalau sihat, teringin juga nak ikut berjogging." Tan Sri yang sedari tadi hanya tersenyum, kini turut bersuara. Dia kagum dengan anak muda macam Fuad, memang sesuai untuk dijadikan calon menantu.

                        "Tan Sri nak ikut? Jomlah..pergi sekali." Fuad mempelawa walaupun Tan Sri hanya mampu berkerusi roda. Dia mula menukar panggilannya selepas dia mendengar kak Min dan Sutinah memanggil Puan Sri dan Tan Sri. Fuad merasa malu kerana dia hanya memanggil pak cik dan mak cik sedangkan mereka bukanlah seperti apa yang dia sangka.

                       "Dah berapa kali uncle cakap, tak payah nak Tan Sri sangatlah. Pangkat tu cuma gelaran saja. Panggil uncle, okey. Betul ka nak bawa uncle sekali? Tak menyusahkan ka?"

                       "Susah apanya? Sesekali sedut udara luar boleh juga melapangkan fikiran dan memberi ketenangan jiwa. Alam ciptaan Allah ni luas, dengan melihat alam, langit dan lautan pun dapat pahala." Fuad memberikan pendapatnya. Tan Sri Megat Sofian tersenyum dan mengangguk.

                      "Tunggu! Ledya nak ikut jugak. Nak salin pakaian dulu." Aledya turut mencelah. Macam tertarik saja mendengar perbualan mereka. Dia pun sudah lama tak keluar berjogging.

                       ‘’Kalau macam tu, mama pun nak ikut jugak. Min dengan Sutinah tak nak ikut sekali? Boleh kita breakfast di luar hari ini.’’ Puan Sri Nouren turut berminat. Diajaknya dua orang pembantu rumah mereka, Jasmin dan Sutinah.

                       ‘’Nak!!’’ serentak Jasmin dan Sutinah menjawab. Mendengar saja makan di luar, kedua-dua orang pembantu rumah itu sudah teruja.

                       Pagi ini keluarga Tan Sri keluar meronda di Tasik Putrajaya. Mereka bersenam dan berjalan kaki mengelilingi tasik. Semua orang gembira kerana dapat keluar beriadah di awal pagi. Fuad juga turut rasa gembira melihat keluarga Tan Sri Megat Sofian yang sangat sporting. Sekali lagi dia cuba membuat perbandingan dengan keluarganya.

                      Mereka cuma dua beradik tapi tak boleh langsung untuk bergurau dan bertepuk tampar. Umminya sangat tegas dalam mendidik mereka berdua. Di rumah mereka cukup banyak pantang larang yang harus mereka patuhi. Walidnya pula jarang ada di rumah. Kerap juga walidnya keluar berceramah di luar daerah. Dalam sebulan boleh dikira dengan jari, berapa hari saja dapat bertemu muka dan berbual dengan walidnya. Kadang-kadang dia ikut juga walidnya pergi berceramah kerana bosan asyik memerap di dalam rumah.

************

                          "KITA nak ke mana ni bos?" Fuad menyoal Aledya, hari ini hari pertama dia sebagai pemandu.

                          "Cheras." sepatah jawapan yang Aledya beri. Fuad melihat cermin pandang belakang, Aledya sedang sibuk membelek fail yang dibawanya.

                        "Cheras tu luas bos, kawasan mana?" Fuad menyoal lagi.

                         "Kejap la, I tengah cari alamat tapak projek tu." sambil membelek beberapa keping kertas dalam fail, Aledya menjawab. Wajahnya yang sentiasa ceria itu turut beriak serius.

                        "Selalunya kerja cik Ledya kawasan KL ni saja ke?" Fuad menyoal lagi, dia teringin sangat nak tahu skop kerja bos barunya ini.

                         "Untunglah I kalau kawasan KL ni saja." Aledya menjawab selamba. Dia masih sibuk membelek beberapa keping kertas.

                        "Nak belok ikut mana ni bos? Masuk kiri atau kanan?" Soalan diajukan lagi. Aledya panggung kepala dan melihat ke hadapan.

                       "Masuk kanan.." kemudian dia tersenyum dan mengambil sekeping kertas dan menghulurkan pada Fuad.

                        "Nah..set alamat ni dalam waze, I nak tidur kejap, you bagi ceramah panjang sangat semalam..sampai I masuk bilik pun masih tak boleh lelap lagi. Pukul 3.00 am baru I terlelap. Teruk betul you ni." sambil menghulurkan kertas yang mengandungi alamat tapak projek yang akan mereka pergi, Aledya berceloteh panjang.

                    "Kenapa pulak jadi macam tu? Saya cuma cakap topik aurat jer.." Fuad menyoal kembali. Aledya sudah terlentok di tempat duduk belakang dan memejamkan matanya.

                    "You sindir I, kan dalam ceramah you semalam?" dengan mata yang masih terpejam Aledya bersuara sambil menguap panjang.

                      "Ehh..mana ada bos, kenapa pulak bos terasa ni?" sambil berkata Fuad memandang cermin pandang belakang lagi. Hari ini Aledya memakai blaus berwarna merah hati berkain jarang tapi memakai baju lining bertangan panjang yang sama warna, berseluar hitam berkaki kembang dan tudung bercorak dililit kemas di atas kepala namun tidak menutup dada sepenuhnya.

                         "Sempat lagi you nak renung I dalam cermin tu? Tengok depanlah Fuad! Excident karang, I saman you!" Fuad terus ketawa, ingatkan Aledya tak perasan.

                       "Pejam mata pun nampak ke cik Ledya?"

                        "I tidur-tidur ayam jer, you jangan nak ambil kesempatan pulak. I cungkil biji mata you nanti."

                             "Cik Ledya tak jawab pun lagi soalan saya tadi. Selalunya kawasan KL ni saja ke cik Ledya kena lawat tapak projek?" Fuad menukar topik perbualan mereka. Matanya kembali melihat ke hadapan, semakin goyah imannya kalau asyik memandang ke belakang. Aura Aledya terlalu memukau dan mengoda perasaannya. Semakin dipandang semakin bergetar hatinya.

                               "Ikutlah..kalau dapat tender kawasan KL rezekilah tapi kadang-kadang rezeki dapat projek luar dari KL pun I rembat jer. Dahlah Fuad! I nak tidur kejap." Aledya berkata sambil melentokkan kepalanya. Matanya dipejam rapat dan dia mula mengosongkan minda. Fuad terus memandu hingga ke destinasi mereka.

                           Fuad memandang ke belakang sebaik saja dia memarkir kereta bersebelahan taman sebuah perumahan yang masih dalam pembinaan. Aledya masih tidur pulas sambil mengenakan penutup mata.

                         "Cik Ledya..kita dah sampai." perlahan Fuad memanggil. Sepanjang perjalanan ke sini Aledya betul-betul tidur hingga Fuad merasa kasihan. Betul ke Aledya tidak dapat tidur semalaman kerana ceramahnya selepas solat Isyak. Tan Sri yang membuat permintaan tu, kebetulan hanya tajuk aurat yang terlintas dalam fikirannya ketika itu.

                      "Cik Ledya!" kuat sikit daripada tadi.

                     "Cik Ledya sayang.." ada nada gatal sikit sambil bibirnya tersengeh panjang.

                        "Adinda.. Bangunlah sayang.." Fuad mencuba lagi kali ini disusuli ketawa galak. Tubuh Aledya bergerak sedikit.

                    "Cik Ledya! Bangunlah, kita dah sampai ni." Fuad kembali serius. Aledya mengeliat dan menanggalkan penutup muka. Dia memandang keluar tingkap dan menoleh ke hadapan. Fuad sedang tersengeh memandangnya dan mata mereka bertembung. Aledya menoleh keluar tingkap dengan pantas. Dia sudah tersedar ketika kereta berhenti tadi tapi dia sengaja berpura-pura masih tidur.

                  "Dah lama ke kita sampai?" Aledya sengaja bertanya sambil menguap dan mengeledah beg tangannya. Fuad memandang jam di tangan.

                    "Baru lima minit 30 saat." detail sungguh jawapan yang diberi. Aledya mengeluarkan sesuatu dan membukanya. Dia mula berbedak dan membelek muka di cermin.

                      "You nak ikut atau nak tunggu dalam kereta?" Aledya bertanya lagi dengan harapan Fuad akan ikut dia.

                       "Boleh ikut ke?" Fuad menyoal ragu-ragu, takut kehadirannya akan menganggu kerja-kerja Aledya.

                     "Kalau you ikut, I bayar double sebagai bodyguard I." tawaran yang sangat menarik tapi bukan pasal bayaran yang Fuad fikirkan. Dia lebih daripada sudi untuk menjadi pengawal peribadi Aledya.

                      "Why not?" tanpa menunggu lama, Fuad terus bersetuju. Memang tujuannya untuk ikut ke mana saja Aledya pergi walaupun tanpa bayaran double.

                       "So..I nak minta tolong you sikit ni..kalau I perkenalkan you sebagai tunang atau suami I nanti, you jangan bantah yer?" Aledya membuat satu permintaan yang Fuad tak pernah menduga, namun dia sangat suka mendengar permintaan macam tu.

                     "Kenapa pulak?" Fuad bertanya sekadar untuk menyembunyikan perasaan gembiranya. Wajah Fuad sengaja diseriuskan.

                      "I bosan dengan perangai lelaki ni, suka sangat nak mengayat, kalau ada you..mungkin I boleh lepaskan diri." Aledya menjawab bersama mimik muka tidak puas hatinya dan rasa marah bercampur geram.

                    "Oh..saya ok saja, kecil tapak tangan Stadium Bukit Jalil saya tadahkan. Nak panggil apa nanti? Ayang? Darling? Honey?" Fuad menyoal sambil ketawa. Membuntang mata Aledya.

                    "Perlu ke?" Aledya menyoal kembali. Laju Fuad mengangguk sambil tersenyum meleret.

                  "Call me sayang tapi jangan nak over acting erkk.." sempat pula Aledya memberikan Fuad amaran bila melihat senyuman miang Fuad.

                   "Baik bos!" Fuad kembali beriak biasa dan membuka pintu kereta. Dia bersedia untuk menjalankan tugasnya yang lain pula. Bodyguard, suami atau tunang? Semuanya dia suka. Ibarat pucuk dicipta, ulam yang mendatang.

************

                "HAI Ledya..cantik hari ni." sebaik saja Aledya dan Fuad sampai kepada sekumpulan pekerja yang menguruskan tapak projek, encik Kushairi menyapa mesra sambil tersenyum.

                  "Selama ni tak cantik ke?" Aledya membalas selamba sambil mengeluarkan beberapa fail dan menghulurkan pada encik Kushairi.

                 "Cantik..tapi hari ni lagi cantik, nampak berseri-seri. Apa rahsia ni?" encik Kushairi menyoal lagi sambil merenung Aledya di depannya. Fuad tidak senang hati melihat gelagat encik Kushairi dan beberapa orang pekerja lain.

                   "I nak keluar date lepas ni, sebab tu la kena hiaskan diri I supaya nampak berseri-seri. I kenalkan, my husband to be..." sekali lagi Aledya menjawab dengan wajah yang tenang. Langsung tidak teragak-agak ketika dia mengungkapkan kata. Hati Fuad yang berbunga-bunga. Rasa kembang setaman hatinya dan bibir Fuad terus mengukir senyum lantas menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan encik Kushairi. Teragak-agak encik Kushairi menyambut tangannya, hanya hujung jari saja yang bersentuhan.

                "Dah berpunya ke? Bukan you cakap dulu masih solo ke? Jangan-jangan you upah mamat ni supaya menyamar jadi tunang you?" encik Kushairi serkap jarang. Kecewa sungguh bila Fuad diperkenalkan sebagai bakal suami Aledya. Ingatkan boleh mencuba lagi untuk dijadikan isteri ke-3.

                    "Kita lupakan bab tu, sekarang ni macam mana dengan projek kita? Berjalan lancar tak? Anak pokok dah ada? Kalau belum I ada stok anak pokok tu. Order daripada I pun boleh." Aledya menukar topik perbualan mereka. Dia datang untuk bekerja bukan untuk bercerita hal peribadi.

                   "You buka bisnes jual anak pokok pula ke?" encik Khusairi menyoal laju, seakan terkejut mendengar kata-kata Aledya sebentar tadi.

                      "Pembetulan, sudah 10 tahun I ada tapak semaian tu, sebelum I dapat kerja ni. Cuma I ambil peluang dan kesempatan promote anak-anak pokok I time terdesak saja. Berbalik pada soalan I tadi, dah ada ke anak pokok? I tengok taman ni masih kosong lagi. Projek gazebo pun belum bermula lagi."

                       "In sya Allah..kami dah order gazebo tu, cuma masih dalam proses pertukangan. Anak pokok pula, kami belum jumpa lagi pokok yang you cadangkan tu. Banyak ke stok you?"

                       "Kalau untuk taman ni cukup rasanya." sambil melihat sekeliling taman Aledya menjawab yakin."

                     "Berapa batang pokok yang you ada?"

                      "Yang tu I tak pasti sebab I pun dah lama tak lawat tapak semaian tu. Nantilah..balik ni I singgah dan I call you. Dalam fail yang I bagi you tu ada lakaran untuk projek Taman Sentosa, projek tu minggu depan baru nak bermulakan?"

                       "You belum dapat info ke? Projek tu terpaksa ditangguhkan dulu sebab pihak yang terbabit tak cukup budjet."

                    "Kenapa pula macam tu? Semalam baru I terbaca status Dato Imran, dia dan family pergi bershoping ke Paris. Takkan tak cukup budjet pula?"

                   "Apa kena mengena pula? Shoping guna duit peribadi, projek ni guna duit syarikat?"

                  "I tak tahulah bab tu. Saja I tanya, manalah tahu encik Kushairi tahu pasal budjet tu." Aledya bersuara dengan nada menyindir. Sebab itulah banyak projek mereka yang terbengkalai. Masalahnya tak cukup budjet, padahal masa tender dibuka sudah dibentangkan semua perbelanjaan.

                    "Kerusi batu dah order ke? Kenapa I nampak projek di sini pun macam slow saja?"

                     "You cuma datang sesekali saja, yang buat kerja ni kami. Kami pun manusia Ledya." berbahang wajah encik Kusyairi bila mereka dituduh buat kerja dengan perlahan. Banyak tender yang syarikat mereka pegang. Pekerja pula banyak yang bermasalah. Ramai pekerja yang selalu minta cuti dan MC.

                     "I tahulah..tapi kalau slow sangat, you sendiri tahukan..banyak pula budjet nanti."

                    ‘’Yang tu you tak perlu risau, gaji you tak ada kena mengena dan takkan dipotong, kalau kerja kami lambat siap. You buat saja kerja you.''

                       Perasaan Aledya rasa tercabar bila berlawan kata dengan encik Kushairi. Gaji aku memang takkan pernah dipotong tapi kalau kerja lambat siap, gaji korang yang akan dipotong. Mungkin mereka belum tahu, syarikat mereka kerja tu bapak aku yang punya. Aledya berdialog di dalam hati. Malas untuk terus bertikam lidah, Aledya mengangkat kaki dan melangkah ke arah pekerja yang sedang mengali lubang untuk membuat parit.

                     "Selalu ke cik Ledya kena marah macam tu?" Fuad berjalan di sebelah Aledya dan menyoal perlahan.

                         "Marah? Siapa yang marah?" Aledya menyoal kembali, dia perasan dengan wajah Fuad yang tegang tadi bila encik Kushairi mengeraskan suaranya.

                          "Tadi tu..saya macam nak tumbuk saja orang tu, biadap betul. Mula-mula tadi macam orang miang saja tapi bila sembang bab projek, macam orang nak terkam pula." Beria-ia Fuad menjawab, penuh perasaan.

                         "Adatlah tu, mana ada manusia yang suka dipersalahkan." Aledya membalas dengan nada suara yang tenang. Alah bisa tegal biasa, dia sudah lali dengan gelagat manusia di tapak projek yang selalu diuruskannya. Kebanyakannya lelaki yang bermata keranjang dan banyak kerenah. Ada yang langsung tak boleh ditegur. Pendapat mereka saja yang betul dan lebih parah yang tidak yakin dengan keupayaan dirinya sebagai arkitek kerana dia seorang perempuan.

************

                     SELESAI kerja mereka di tapak projek Taman Muhibbah, mereka kembali ke kereta.

                     "Ke mana pula kita?" Fuad menyoal, Aledya dikerling sepintas lalu sebelum membuka pintu kereta dan meloloskan dirinya masuk ke perut kereta.

                      "Tapak semaian..tapi sebelum tu kita singgah dulu ke..tak perlu, kita terus saja ke tapak semaian." Aledya merasa tidak senang hati dengan penerangan encik Kushairi, sepatutnya projek Taman Muhibbah tu sudah separuh siap, tapi apa yang dilihat pembinaan parit pun baru suku dilakukan, pokok sakura Malaysia atau pokok Tecoma belum lagi ditempah, gazebo satu hal lagi. Boleh percaya ke dengan encik Kushairi ni? Jangan curi budjet sudahlah.

                    "Tempat ?" bila Aleyda sudah masuk ke dalam kereta, Fuad menyoal lagi. Aledya tercengang kerana fikirannya sudah jauh melayang memikirkan pasal projek Taman Muhibbah yang sedang diuruskannya.

                    "You tanya apa?"

                      "Tempat tapak semaian tu di mana?"

                      "Kita balik dulu, I ada perkara nak tanya papa..lepas tu I bawa you ke tapak semaian." Aledya menukar arah perjalanan mereka, Fuad hanya menjalankan perintah, kereta dihidupkan dan minyak ditekan. Mereka mula keluar dari tapak projek.

                       "Fuad! Berhenti di depan tu kejap." tiba-tiba Aledya bersuara. Fuad menghentikan kereta di tepi jalan dan menoleh ke belakang.

                         "Kenapa cik Ledya?" Aledya tidak menjawab, dia membuka pintu kereta dan keluar.

                           "I terlupa you tu bakal suami I, bukan driver I, mana boleh I duduk di belakang." Aledya menjawab sebaik masuk semula ke dalam kereta dan duduk di sebelah pemandu.

                          "Kenapa pandang I macam tu? I cuma tak nak kita terbabas saja, you tu selalu sangat pandang belakang tu, kenapa?" soalan Aledya membuatkan ketawa Fuad meletus.

                          "Sebab tu ke? Bukan sebab mereka tu ke?" Fuad bertanya pula sambil memuncungkan mulutnya ke arah encik Kushairi dan pekerja-pekerjanya.

                          "Sebab mereka pun ya juga. Dah..jalan!" Aledya memberikan arahan sambil memasang tali pinggang keledar. Fuad meneruskan pemanduan sambil tersenyum puas. Bakal suami? Aku sudah semakin hampir, mudah-mudahan itu satu doa dan akan termakbul. Aamiin. Dalam diam, Fuad bermonolog dalam hati.

**************


                          ALEDYA terus meluru masuk ke dalam rumah sebaik saja kereta berhenti. Fuad memandang dengan perasaan hairan, namun dia mengikut juga Aledya dari belakang. Fuad melangkah laju mengikut rentak Aledya.

                      ‘’Fuad, you tunggu I di taman, I nak ke toilet kejap, lepas tu I ada hal sikit nak bincang dengan papa.’’ Menyedari dirinya diekori Fuad, Aledya berhenti dan menoleh, lantas memberi arahan pada Fuad.

                          ‘’Baik bos.’’ Patuh betul Fuad dan terus memusingkan arah tujuannya, berjalan keluar semula dari banglo mewah itu. Dia menuju ke taman yang dimaksudkan dan masuk ke dalam gazebo yang dibuat daripada bahan-bahan alam semulajadi.

                        Banglo mewah ini ada dua taman yang sangat indah. Satu taman gazebonya dibuat daripada buluh dan beratapkan rumbia namun taman satu lagi gazebonya lebih moden dan mempunyai tempat tidur yang selesa. Fuad memilih gazebo yang diperbuat daripada buluh kerana taman ini mengingatkan dirinya akan asal usulnya. Semua pokok-pokok dalam taman ini juga sering dia jumpa dikampungnya.

                         Di taman ini juga terdapat pokok senduduk putih dan senduduk ungu, pokok melur, pokok melati, pokok cempaka, pokok kenanga, pokok bunga bulan dan banyak lagi. Manakala taman satu lagi, pokok-pokok bunganya juga lebih moden dan banyak di tanam di pekan dan bandar, dan namanya juga lebih sukar disebut. Fuad tak  tahu semua nama pokok, namun dia pernah membaca majalah tentang pokok. Setiap pokok ada nama sainsnya dan boleh terbelit lidah jika menyebut namanya satu persatu.

                       ‘’Dah puas berangan Fuad? Jomlah..kita ke belakang rumah pula, I nak kenalkan you dengan berjenis-jenis lagi pokok yang ada dan tempat-tempat yang sesuai untuk diletakkan setiap pokok tu.’’ Aledya datang dengan pakaian santai dan bertopi besar yang dibeli di kedai rm2 di kampung Fuad. Dia menghulurkan satu topi untuk Fuad.

                      ‘’Tadi, Cik Ledya cakap nak ke tapak semaian?’’ Fuad menyoal dengan wajah hairan.

                        ‘’Yalah..memang I ajak you ke tapak semaianlah ni, di belakang rumah ni aje..you ingat di mana? You ingat, kebun you saja ada di belakang rumah? I pun ada kebun di belakang rumah tau.’’ Aledya berkata dan ketawa. Suka betul dia tengok wajah Fuad macam tu. Tercenggang semacam saja.

                       ‘’Kenapa tak cakap siang-siang..’’ Fuad turut ketawa. Dia baru nak keluarkan kunci kereta dan menekan alarm. Buat malu saja, kalau alarm dah ditekan tadi. Nasib baik belum tekan lagi.

                      ‘’You jangan buat lawak bodoh, boleh tak. Memang masih siang lagi ni, belum malam lagi.’’ Aledya menjawab pantas dan Fuad menyambut kata-kata Aledya dengan ketawa.

                      Mereka berjalan laju menuju ke belakang rumah, sampai saja di tapak semaian, mulut Fuad semakin luas jadinya. Beribu-ribu pokok semaian berbagai jenis dengan keluasan tanah yang diluar jangkaannya. Lebih luas daripada kebun miliknya di kampung. Ada pokok tecoma yang sudah besar sedang berbunga lebat. Sangat cantik dan memukau pandangannya.

               ‘’Inilah kebun I, macam mana? Apa pendapat you?’’ Aledya menyoal Fuad yang masih berdiri kaku di sebelahnya.

                 ‘’No komen.’’ Ringkas saja jawapan Fuad.

                   ‘’No komen?’’ Aledya menyoal sambil memandang wajah Fuad.

                      ‘’Amazing..’’ hanya satu perkataan.

                     ‘’Lagi?’’ Aledya masih tak puas hati.

                     ‘’Lagi? Menarik dan tertarik, terpegun, tergaman..ter..’’

                      ‘’Cukup!’’ Aledya terus memotong kata-kata Fuad dan melangkah masuk ke dalam tapak semaian untuk meninjau usaha pekerja-pekerjanya. Fuad pula ketawa tanpa sedar. Dia memang tak tahu macam mana untuk meluahkan perasaannya, yang pasti dia sangat terpegun dengan apa yang dilihatnya sekarang.

                      Aledya mula memperkenalkan nama setiap pokok-pokok yang ada tapi Fuad hanya mendengar sekali lalu tanpa berusaha untuk mengingatnya. Baru mendengar nama pokok saja fikiran Fuad sudah serabut kerana nama yang disebut Aledya semuanya nama yang tak pernah didengarnya.

                   ‘’ Fiddle leaf Fig, Jawa Palm, Yellow Palm, Ficus Elastica, Raphis.. pokok-pokok ni membantu membekalkan oksigen, berfungsi membersihkan udara yang bertoksid secara semulajadi melalui proses fotosintesis. Kami juga tanam pokok buah-buahan seperti  strawberry, anggur brazil, pokok tin, pokok dokong, cermai, nangka, durian, asam gelugor, jambu madu dan pelbagai lagi.’’ Aledya terus bercakap dan Fuad hanya mengangguk sambil membelek setiap pokok yang belum pernah dilihatnya.

                    ‘’Ehh..ni pokok kelapakan?’’ Fuad menyoal sambil tayang riak wajah pelik. Dia membelek pokok bonzai kelapa tersebut macam baru pertama kali dia melihatnya.

                    ‘’Yang tu bonzai kelapa..kami juga tanam banyak pokok bonzai, selain bonzai kelapa, ada juga bonzai pokok kertas yang telah ditut dengan berbagai warna. Ada juga bonzai kesinai dan pokok kesinai ni dikatakan orang boleh membekalkan oksigen dikawasan rumah, pokok kesinai ini jugak mempunyai pelbagai manfaat kesihatan yang lain. Kesinai dikatakan mempunyai kaitan rapat dengan dua masyarakat berkenaan sejak berkurun lamanya selepas terbukti berkesan menjadi penawar bagi penyakit seperti cirit birit, sakit gigi dan juga barah. Melalui kajian I, bermula daripada akar, batang, daun hinggalah pucuk, kesinai dikatakan mempunyai penawar tersendiri sehingga ada segelintir pihak yang bertungkus-lumus merungkai keajaibannya melalui kajian saintifik. Tidak hairanlah masyarakat terdahulu sengaja membiarkan kesinai tumbuh meliar di sekitar kawasan kediaman serta semak berhampiran kampung. Alasannya, bukan untuk hiasan, tetapi sebagai persiapan ramuan mujarab sekiranya ada penduduk kampung yang sakit.’’ Aledya terus memberikan penjelasan walaupun Fuad tidak menyoalnya. Seronok pula Aledya bercerita tentang apa yang dibaca dan dipelajarinya.

                      ‘’Pokok ni nama apa pulak?’’ kali ini Fuad sengaja menyoal untuk menguji pengetahuan Aledya.

                        ‘’Yang tu namanya blue diamond.’’ Aledya menjawab sambil memandang wajah Fuad yang sedang mengerutkan keningnya.

                       ‘’Tak nampak macam diamond pun.’’ Fuad berkata dan membelek bunga tersebut.

                         ‘’Jangan pegang Fuad! Bunga tu beracun!’’ Aledya sengaja bertempik untuk mengenakan Fuad. Cepat-cepat Fuad melepaskan bunga biru itu dan berganjak sedikit. Ketawa Aledya sudah meledak.

                        ‘’Hahahahaha..’’ Aledya terus ketawa dan ketawa.

                           ‘’Cik Ledya sengajakan, nak kenakan saya.’’ Fuad termalu dengan reaksinya sebentar tadi. Melihat Aledya ketawa tanpa henti, Fuad jadi terhibur pula.

                            ‘’Yang ni pokok keladikan Cik Ledya.’’ Fuad terus mencari helah lain, kerana masih malu dengan reaksi yang ditunjukkannya tadi, sengaja dia menunjukkan minat pada pokok di sebelahnya.

                    ‘’Anthurium atau flamingo lily..dan yang ni pula kemunting cina.. ini bunga vinca atau dipanggil juga periwinkle (yang sejenis dengan Catharanthus) berasal dari Afrika dan Asia Barat. Ada 6 spesis utama iaitu vinca herbacea, vinca pubescens, Vinca erecta, Vinca difformis, Vinca major dan Vinca minor. Spesis yang popular ialah Vinca major dan minor.’’ Aledya bersemangat untuk menjawab walaupun yang ditanya Fuad hanya satu soalan saja. Ketawanya tadi juga terhenti dengan sendirinya. Fuad merasa sangat lega melihat Aledya sudah tenang kembali.

                     ‘’Sekarang ni I nak kenalkan you dengan pekerja-pekerja yang mengusahakan tapak semaian ini pula. Orang yang banyak berbakti untuk I dan family I, tanpa mereka tapak semaian ni takkan jadi seperti hari ini. You kena tahu, I ni sibuk uruskan projek, dulu I sibuk belajar dan papa sibuk uruskan syarikat. Mama sibuk dengan urusannya berpersatuan dan urusan rumah tangga..abang long dan adik-adik I tak minat langsung untuk menjengah ke sini.’’

                      ‘’Abang long?’’ Fuad menyoal.

                       ‘’Ya..kenapa? I anak nombor dua you know, and I anak perempuan tunggal dan menjadi kesayangan keluarga..so be careful kalau you ada niat nak goda I..’’ sengaja Aledya mengertak Fuad. Seronok betul dia mengenakan Fuad yang kadang kala agak lurus bendul sikapnya.

                   ‘’Ohh..’’ sepatah kata saja yang keluar daripada mulut Fuad dan mereka terus melangkah menjelajah tapak semaian yang cukup luas ini.

                    
*********

                  ALEDYA meneliti lakaran tapak projek yang sedang dilukisnya. Dia akan membuat pembentangan untuk projek tersebut minggu hadapan kalau tiada aral yang melintang. Projek ini hasil uasahasama dia dan adik-adik kembarnya. Projek Taman Cinta Terlarang yang akan dibuat di belakang rumah banglo lama mereka. Kenapa namanya Taman Cinta Terlarang?

                     Rumah banglo lama mereka itu adalah hasil rekaan abang sulung mereka iaitu Arman Irwan yang telah berkahwin tanpa restu orang tua mereka. Arman Irwan berkahwin dengan mualaf yang berbangsa India. Mereka kahwin lari ke negara sempadan dan pulang setelah bercuti untuk bulan madu mereka.

                 Cinta mereka terhalang kerana perbezaan bangsa, dihalang oleh keluarga kedua-dua belah pihak namun kini Puan Sri Nouren dan Tan Sri Megat Sofian sudah berfikiran terbuka dan mula menerima kehadiran menantu mereka Sarita. Cuma, Arman saja yang masih terasa hati dan masih tidak setuju untuk pulang ke rumah mereka.

                      ‘’Cik Ledya..hari ni tak keluar ke?’’ Fuad datang menjengah dan menyoal. Aledya yang asyik menyiapkan lakarannya mengangkat kepala.

                      "You nak ikut I tak Fuad?" Aledya mendapat satu akal. Dia tahu macam mana caranya nak jadikan Fuad tu suaminya.

                         "Pergi mana?" Fuad menyoal pelik. Tiba-tiba saja bos dia menyoal begitu.

                         "Luar negara." Fuad semakin pelik.

                         "Buat apa?" soalannya disertai dengan memek muka terperanjat.

                         "You suka I tak?" Aledya menyoal lagi, soalan Fuad dibiarkan tergantung.

                         "Cik Ledya rasa, saya sanggup jadi driver cik Ledya ni sebab apa?" Fuad pula menyoal. Masing-masing tak mau kalah dengan soalan.

                          "I rasa, sebab you suka I."

                          "Habis tu, kenapa tanya lagi? Dah tentulah jawapannya saya suka cik Ledya."

                          "So..you nak ikut I ke tak?"

                          "Ke mana?"

                         "Luar negara."

                         "Yalah..negara mana?"

                           "Singapore.." Aledya menjawab dan tersenyum lebar.

                            "Cik Ledya..saya ni orang Johor..Singapore tu sempadan saja dengan kampung saya. Kejap, kita nak ke Singapore untuk apa?"

                            "Nikah la.." Aledya menjawab tanpa keraguan. Fuad yang nampak terkejut.

                            "Kenapa perlu ke Singapore?"

                           "Sebab..I yakin keluarga you takkan suka I tapi I perlukan you untuk jadi suami I."

                          "Cik Ledya yakin saya boleh jadi suami yang baik untuk cik Ledya?"

                          "Kenapa? You tak yakin ke Fuad?"

                           "Saya boleh jadi suami cik Ledya sebab saya pun memang dah jatuh sayang sangat kat cik Ledya tapi kalau nikah di Singapore tu macam sengaja cari nahas saja. Baru beberapa hari, dah kantoi. Jauh sikit dari Malaysia, tak boleh ke?"

                           "Haha..itu yang I nak dengar tapi masalahnya you sanggup ke abaikan ummi you?"

                          "Memanglah saya tak sanggup cik Ledya, tapi kalau cik Ledya sudi jadi isteri saya, ok jer..gunung berapi pun sanggup saya redah."

                         "Amboi..betul sanggup redah gunung berapi ni? Kalau ummi you panggil you balik dan suruh you kahwin dengan calon menantu pilihannya, macam mana?"

                         "Calon menantu pilihan? Siapa?"

                         "Ehh..tanya I pulak. Tanyalah ummi you!"

                           "Cik Leyda, saya pun tak tahu pasal calon menantu pilihan ummi tu, takkanlah saya nak kahwin dengan orang yang saya tak kenal?"

                           "So?"

                          "What?" Mereka saling menyoal lagi, sama-sama memandang antara satu sama lain dan akhirnya ketawa meletus dari bibir mereka.

                         ‘’I dah lamar you kali ke tiga Fuad, takkan ada kali ke empat. Lepas ni you tak bagi jawapan jugak, you boleh balik kampung tanam jagunglah." Aledya mengertak, dia dah banyak kali bagi hint tapi Fuad ni buat-buat tak faham pula.

                            "Saya setuju tapi biarlah saya yang melamar cik Ledya dulu. Jatuhlah saham saya sebagai seorang lelaki. Saya ada simpanan untuk masa depan tapi tak banyak sangatlah, cukuplah kalau nak buat hantaran dan mas kahwin. Nikah ni perlu restu keluarga, kalau tak dapat restu mereka, susah nak bahagia Cik Ledya."

                             "I tahu, tapi masalahnya papa dan mama I takkan setuju kalau keluarga you tak setuju tapi kalau keluarga you boleh terima I, keluarga I seribu kali setuju untuk ambil you sebagai menantu."

                            "Beratlah kalau macam tu!"

                         "I tahu, sebab tu I ajak you nikah di luar negara."

                         "Negara mana? Singapore?"

                          "You gila!"

                          "Cik Ledya juga yang cakap tadi."

                           "I sengaja nak test you."

                           "Habis tu kita nak nikah di mana?"

                          "Eropah..I nak ke Turki. You setuju tak?"

                         "Saya cuma ada dua puluh ribu ja, itu pun duit simpanan emergency." Fuad berkata sambil tersengeh. Malu kerana dia tidak setanding dengan Aledya yang mungkin mempunyai lebih banyak simpanan berbanding dia.

                     ‘’Cukup tu..you bayar mas kahwin saja. I cuma nak senaskah Al-Quran saja sebagai mas kahwin, selebihnya biar I yang belanja."

                       "Malulah I macam ni cik..."

                       "Yang tu kita bahas kemudian..you ada pasport tak?"

                          "Pasport?"

                           "Yupp!"

                           "Cik Ledya ingat, ummi saya bagi ke saya buat pasport dan pergi ke luar negara?"

                           "Ok..I faham, you anak kesayangan ummi. Sekarang ni, you biasakan diri you untuk panggil I sayang sementara pasport you siap." Aledya berkata dan berlalu pergi. Wajah dia sudah berbahang dan bertukar merah.

                           "Yess!" Fuad melompat suka. Rasa tak sabar nak ikut Aledya ke luar negara. Eropah? Turki? Jauh tu…

**********

                       KELUARGA Aledya dan keluarga Fuad resah kerana kedua-duanya tidak dapat dihubungi. Fuad memberitahu keluarganya kursusnya sedang dijalankan di Kuala Lumpur dan akan balik seminggu lagi tapi sudah berminggu Fuad tidak dapat dihubungi.

                       Pada keluarga Aledya pula diberitahu bahawa mereka sedang menguruskan projek di Johor dan akan pulang setelah urusan mereka selesai. Selepas seminggu mereka terputus hubungan dan Tan Sri menghantar orang untuk menyiasat, ternyata Aledya dan Fuad tidak dapat dikesan. Akhirnya Tan Sri Sofian menghantar orang ke kampung Fuad untuk bertanya khabar.

                      "Assalamualaikum!" Sulaiman memberi salam di luar rumah setelah beberapa kali menyoal orang kampung tentang rumah Fuad. Puas dia menyiasat tentang alamat kampung Fuad dan hari ini dia sampai di sini.

                           "Assalamualaikum!" dia memberi salam lagi. Dia tak boleh pulang dengan tangan kosong. Tan Sri sudah membayar supaya dia membuat kerja hingga selesai. Kehilangan Aledya dan Fuad cukup misteri.

                          "Siapa tu?" salam belum dijawab, soalan pula yang kedengaran. Ustazah Maryam yang berbadan gempal dan bertudung labuh sudah berada di muka pintu rumah mereka.

                           "Kau cari siapa?" ustazah Maryam bertanya dengan nada suara tidak puas hati.

                         "Tumpang tanya mak cik, ini rumah Ahmad Fuad bin Haji Luqman ke?" Sulaiman bertanya sambil tersenyum. Ustazah Maryam tayang riak wajah terkejut.

                        "Astaghfirullah..kenapa dengan Fuad? Kenapa dengan anak aku? Ya Allah..Kau selamatkanlah anak aku! Aku nak anak aku balik! Mana Fuad? Fuad mana? Fuad!" mendengar saja nama Fuad, ustazah Maryam sudah menjadi histeria. Berbulan Fuad pergi berkursus di Kuala Lumpur dan sudah dua minggu Fuad tidak dapat dihubungi.

                           "Sabar mak cik, sabar. Saya datang ni nak cari Fuad!" Sulaiman mengelabah melihat gelagat ustazah Maryam. Niat dia untuk mencari Fuad tapi sebaliknya pula yang berlaku.

                          "Fuad? Kenapa kau cari Fuad? Fuad tak ada!" ustazah Maryam mengesat air matanya dan bersuara garang. Tadi, dia sangka lelaki itu datang membawa khabar berita tentang Fuad tapi bila lelaki itu bagitau sebaliknya, ustazah Maryam ragu-ragu. Mungkin Fuad sudah melakukan kesalahan di Kuala Lumpur sana. Menipu orang? Ah..tak mungkinlah!

                       "Fuad tak balik kampung ke mak cik? Fuad menghilangkan diri dengan cik Aledya. Tan Sri yang suruh saya datang ke sini untuk cari mereka." Sulaiman berkata jujur saja. Dia betul-betul mahu tahu, di mana Fuad sekarang. Dia sendiri buntu untuk terus mencari.

                          "Aledya? Aledya mana? Kau jangan fitnah anak aku? Anak aku tu baik! Dia warak! Aku ni ustazah tau! Suami aku tu ustaz! Kami didik anak-anak kami dengan ajaran agama yang kuat!" garang nada suara ustazah Maryam kali ini. Sulaiman yang berada di depan pintu rumahnya, tidak pula dipelawa masuk.

                           "Jadi..cik Aledyalah yang larikan anak mak cik?" Sulaiman menyoal kembali bertujuan untuk menyindir ustazah Maryam. Dahaga betul tekaknya, tapi bila tuan rumah pun tak sudi nak pelawa masuk, apa nak kata. Bertahan sajalah!

                           "Siapa Aledya tu? Aku tak kenal pun Aledya tu siapa?"

                           "Tak kenal cik Aledya? Fuad kerja dengan cik Aledya, takkan mak cik tak kenal?"

                           "Kerja? Kerja apa?"

                           "Driver cik Aledya.."

                            "Driver? Pantang keturunan aku jadi driver orang. Aku lebih rela anak aku jadi tukang kebun daripada jadi driver orang! Kau jangan nak fitnah anak aku!"

                           "Tapi...itu yang Tan Sri cakap."

                            "Siapa Tan Sri tu?"

                            "Ayah cik Aledya."

                    "Aku tak kenal! Pergi balik, kerja kau hanya nak fitnah anak aku saja! Kami ni keturunan baik-baik! Keturunan alim ulamak! Dah! Pergi balik!" tak pasal-pasal Sulaiman dihalau.

                   Huh! Keturunan alim ulamak? Alim ulamak, halau tetamu ke? Bukankah tetamu itu harus diraikan? Aku ni air putih kosong pun tak dapat rasa. Mahu atau tak, terpaksalah Sulaiman mengangkat kaki dan pergi mencari maklumat di tempat lain pula.

***********

                    KELUARGA Aledya dan keluarga Fuad sibuk mencari mereka serata ceruk kampung tapi Aledya dan Fuad tengah seronok berbulan madu serata negara. Mereka beritahu keluarga Aledya nak ke Johor Baharu, tapi hakikatnya mereka terbang ke Thailand dan nikah di sana. Kemudian mereka terbang semula balik ke Kuala Lumpur dan buat pengesahan pernikahan mereka di Pejabat Agama Islam Wilayah Persekutuan. Mereka perlu sahkan pernikahan mereka terlebih dahulu barulah mereka bertolak ke seluruh negara yang mereka ingin pergi.

                       Bagi mereka jaminan tu kena ada kerana mereka takut pernikahan mereka tidak sah dan mereka bakal melakukan zina. Rumit juga untuk mendaftarkan pernikahan mereka kerana di Thailand mereka mengunakan wali hakim sedangkan ayah kandung Aledya masih hidup. Terpaksa juga Aledya menghubungi abang sulungnya untuk meminta tolong. Krisis terjadi dan Aledya diceramah teruk oleh abangnya yang bekerja di Pejabat Agama Islam tersebut.

                          Bila disiasat, kadi yang menjadi jurunikah mereka bukan kadi sindiket pernikahan haram jadi pernikahan mereka diistiharkan sah oleh Pejabat Agama Islam, barulah mereka bertolak ke luar negara. Dari KLIA mereka bertolak ke Beijing. Dua hari di Beijing mereka terbang lagi menuju ke Korea. Tiga hari tiga malam di Korea, mereka terbang lagi ke Tokyo. Puas mengelilingi Asia, mereka berlepas pula ke London.

                         Fuad yang pertama kali berjalan jauh rasa teruja pada awalnya, tapi bila duit lima belas ribu yang dikeluarkannya semakin menyusut, kegembiraannya bertukar menjadi resah, namun demi Aledya dia memaksa diri untuk terus tersenyum.

                       Ringgit Malaysia lima belas ribu bila ditukarkan dengan mata wang negara lain nilainya tidaklah banyak mana, lebih-lebih lagi mereka perlu berbelanja banyak. Bukan saja belanja tambang, tapi juga pakaian Fuad, makan dan penginapan. Aledya tak perlu rungsing, dia banyak duit simpanan..kalau keliling dunia sekali pun, duit dia takkan habis. Fuad hanya fikirkan air mukanya sebagai seorang lelaki. Egonya tercalar, maruahnya tercabar bila terpaksa bergantung dengan Aledya sepenuhnya.

                       "Best tak bie..kita dah keliling seluruh Asia, kita sudah ke London..sekarang kita ada di Istanbul, Kota cinta yang romantik. Sesuai sangat untuk orang macam kita ni, kan?" Aledya bertanya dengan suara yang ceria. Dia memang suka mengembara melihat negara orang. Alang-alang sudah ada peneman, dia lakukan hasratnya itu.

                         "Hurmm..best sangat, lagi pun ada isteri yang cantik ni di sebelah tapi..abang.." Fuad teragak-agak untuk berkata, takut Aledya kecil hati.

                         "Kenapa pula ni?"

                          "Duit abang, dah habislah sayang..lima belas ribu tu, pergi sana, pergi sini bila tukar dengan matawang asing, macam lima belas ringgit saja." Fuad bersuara sedih. Malu juga pada Aledya kerana dia tak mampu untuk tanggung semua perbelanjaan.

                          "Alaa..janganlah fikirkan pasal duit. Kita enjoy dulu puas-puas. Tunggu abang I call, kalau dia cakap keadaan di Malaysia dah tenang dan semua orang dapat terima pernikahan kita ni, kita balik semula ke Malaysia.''

                         "Sayang oklah..abang....tengoklah perbelanjaan semua sayang yang tanggung. Urusan penginapan semua, sayang jugak yang settle. Abang ni, langsung tak buat apa…"

                         "Janganlah macam tu bie..hilang mod nak honeymoon la macam ni. Ok, macam ni, sekarang ni kita jangan fikir semua masalah kita. Kosongkan minda, dan bayangkan semua tempat-tempat cantik yang kita akan pergi di Istanbul hari ni."

                       "Tapi.."

                       "Bieee..pleaseee..demi Ledya.." Aledya cuba memujuk Fuad dengan caranya yang tersendiri. Dia tahu kelemahan Fuad.

                       "Sayang ni..memang nak kena ni!" Fuad terus mengejar Aledya yang bertindak nakal sekejap tadi.

                      "Okey...cukup! Bie, pergi siap! Kita keluar tengok tulip hari ni..Ledya tempah dah restoran untuk kita makan tengahari ni."

                      "Aik..bila sayang keluar?"

                       "Guna kemudahan yang ada, tak perlu keluar pun..guna jari pun boleh."

                         "Kalau...tak pergi tak boleh ke? Abang..macam.."

                        "Jangan nak macam-macam erkk..Ledya dah siap cantik dah ni.."

                          "Sebab tu la..siapa suruh siap cantik-cantik..abang..."

                           "Jangan nak mengada eaa.." Aledya tolak Fuad masuk ke bilik air dan mencapai tuala, lalu diberi pada Fuad. Dalam bilik air Fuad sudah ketawa kuat. Sukanya dia tengok wajah Aledya yang merah setiap kali disakat.

***********

                       ARMAN Irwan terpaksa datang ke banglo keluarganya kerana Aledya. Sudah lama dia tidak pulang ke rumah kerana dia berkahwin tanpa restu keluarga. Bukan sebab keluarganya marah, cuma dia yang rasa rendah diri. Semuanya cerita lama dan kini, dia sudah pun ada dua orang anak dan bahagia bersama isterinya seorang mualaf berketurunan india.

                       "Assalamualaikum." Arman Irwan memberi salam sambil menekan loceng. Beberapa minit kemudian, pintu rumah terbuka dan Arman pun masuk.

                          "Assalamualaikum mama." Arman Irwan memberi salam sekali lagi dan menghulurkan tangan pada Puan Sri Nouren.

                          "Waalaikumusalam. Apa mimpi mama semalam, kau balik Iwan? Ingatkan sudah lupa jalan balik ke rumah." sempat pula Puan Sri Nouren menyindir sambil menjawab salam.

                         "Mama sihat? Papa ada ma?" sambil memeluk Puan Sri Nouren, Arman menyoal.

                          "Kenapa balik tak bagi tahu?" Puan Sri Nouren sudah menangis. Siapa yang tak sedih, bila anak lelaki sulung harapan keluarga mereka tinggalkan rumah tanpa khabar berita.

                           "Maaf ma, Iwan balik ni ada hal penting nak bagi tahu mama dan papa."

                           "Hal penting?"

                            "Ya ma. Papa mana?"

                           "Papa ada di atas, berehat. Papa tak sihat, Iwan. Baliklah ke rumah ni semula, bawa anak dan isteri Iwan sekali. Rumah ni besar, muat lagi untuk Iwan sekeluarga. Mama dengan papa, tak pernah pun buang Iwan." Puan Sri Nouren sudah mula terisak. Sedih sungguh dia, terlepas juga rindu yang dipendam sekian lama.

                           "Nanti Iwan balik bincang dengan isteri Iwan ya ma. Kita naik jumpa papa dulu ma. Iwan dengar, papa upah orang untuk cari adik, Iwan ada berita pasal dia."

                          "Iwan jumpa Ledya?"

                           "Ya ma, dia ada di Turki sekarang. Iwan jumpa dia sebelum dia bertolak ke sana."

                           "Ledya pergi jumpa Iwan ke?"

                            "Ya ma, adik pergi minta tolong Iwan."

                             "Allah..apa pula masalah dia?"

                              "Kita naik atas dulu ma. Kita berbual di atas." Puan Sri Nouren akur dengan kehendak Arman. Mereka berdua masuk ke dalam lift naik ke tingkat paling atas.

                               "Buat apalah Ledya tu ke Eropah? Bukannya.."

                              "Adik pergi honeymoon ma.." Puan Sri belum habis cakap, Arman sudah mencelah.

                              "Honeymoon? Allah..kenapalah.." sekali lagi kata-kata Puan Sri tergantung. Dia tak dapat untuk menghabiskan ayat-ayatnya.

                             "Jom ma.." keluar dari lift, Arman memegang tangan Puan Sri Nouren.

                          Tan Sri Sofian memandang pelik ke arah Puan Sri Nouren dan Arman Irwan. Sudah lama tidak melihat kelibat Arman di sini. Ketika sihat dulu, selalu juga Arman datang berjumpa dengannya di pejabat.

                          "Assalamualaikum pa.." sambil memberi salam, Arman menyambut tangan Tan Sri dan mencium tangan itu. Sebak dia melihat Tan Sri yang berada di atas kerusi roda.

                           "Papa sihat?"

                        "Macam yang kau tengoklah Iwan."

                         "Maaf pa, Iwan dah lama tak balik tengok papa dan mama."

                          "Hal apa kau balik hari ini? Mesti ada sebabkan?"

                           "Ya pa..sebab adik. Dia dah nikah di Thailand tapi dia pergi Pejabat Agama tempat Iwan bekerja untuk sahkan pernikahan dia.."

                          "Allah..kenapa dengan kamu dua beradik ni? Buat mama dengan papa macam tak wujud!"

                          "Maaf papa..mama, Iwan minta maaf sangat-sangat."

                          "Dengan mualaf mana pulak, adik kau nikah?"

                          "Bukan mualaf pa, orang melayu jugak. Ahmad Fuad.."

                          "Fuad?" belum habis Arman berkata, serentak nama Fuad disebut oleh Tan Sri Sofian dan Puan Sri Nouren.

                        "Fuad yang larikan Ledya?"

                       "Iwan rasa, bukan Fuad yang ajak adik kahwin tapi adik yang ajak Fuad kahwin lari."

                       "Apa? Allahu Akhbar! Apa nak jadi dengan anak-anak kita bang? Kita salah didik ke?"

************

                       KETIKA Arman Irwan datang membawa khabar berita tentang Aledya, Fuad pula menerima video call dari Delaila.

                      "Abang..ummi sakit…" cemas Delaila berkata sambil memberi telefon kepada umminya yang sedang terbaring.

                      "Fuad..ummi ni, baliklah Fuad. Ummi dah tak kuat, takut nanti Fuad menyesal sebab tak dapat jumpa ummi buat kali terakhir." ustazah Maryam bersuara sambil terbatuk-batuk, kemudian talian terus terputus.

                        "Ummi.." Fuad resah, dia harus balik ke Malaysia dengan segera. Dia hanya ada seorang ummi dalam dunia ni.

                        "Sayang! Ledya!" Fuad memanggil Aledya yang sedang mandi, diketuk pintu bilik air berkali-kali. Senyap. Tiada jawapan.

                          "Sayang! Buka pintu ni kejap! Abang ada hal penting, nak cakap." Fuad terus mengetuk pintu sambil memanggil Aledya.

                          "Kejaplah. Sabarlah sikit!" kedengaran suara Aledya sayup-sayup dari dalam bilik air.

                     "Abang nak kena balik Malaysia, sekarang. Ummi sakit." Fuad sudah tidak sabar untuk memberitahu Aledya, khabar yang baru diterimanya.

                       "Apa? Ummi you sakit?" Aledya menjenguk di muka pintu bilik air dan berkata dengan mulut penuh dengan ubat gigi. Dia sedang mengosok gigi bila Fuad menjerit dan memberitahunya tentang khabar ibu mertuanya itu.

                     "Abang kena balik sekarang jugak. Tak boleh tangguh lagi. Maafkan abang." Fuad berkata dalam rasa serba salah.

                    "I macam mana bie?"

                   "Sayang nak balik jugak ke?"

                   "Boleh ke? Nanti ummi bie.." Aledya tidak menghabiskan kata-katanya. Fuad faham maksud Aledya, dia mengeluh lemah.

                      "Bie balik dulu, lepas tu kalau ummi bie terima I, bie call. Boleh?"

                      "Sayang tak nak balik? Takkan nak tinggal di sini sorang-sorang?"

                       "Alah bie..I dah janji dengan Uswatun, nak jumpa di sini. Bie balik Malaysia dulu, tengok ummi bie..nanti jangan lupa call pulak."

                        "Abang nak tempah tiket dulu. Betul ni, sayang tak nak balik? Nanti ummi suruh abang nikah satu lagi, jangan menyesal pulak?" Fuad sengaja menyakat. Wajah Aledya berubah riak.

                        "Buatlah apa yang patut!" Bummm..Aledya menghempas pintu bilik air. Fuad tersenyum lebar di luar bilik.

                         "Betul ni sayang izinkan abang nikah lagi?" Fuad menyoal lagi, suka betul dia menyakat Aledya.

                         "Nikahlah! Ledya redhoo..." Aledya melaung dari dalam bilik air.

                         "Tapi jauhhhh..beribu-ribu kilometer!" Aledya melaung lagi. Fuad sudah ketawa terkekeh, sambil tu tangannya sudah memegang telefon dan mencari sesuatu. Tiket kapal terbang mesti ditempah segera.

***********


                          HATI Fuad berdebar-debar sebaik saja turun dari teksi, perkarangan rumah mereka penuh dengan orang ramai. Ummi? Hati Fuad tertanya-tanya. Adakah ummi...ahhh, tak mungkin. Minda Fuad mula merusuh. Dia percepatkan langkahnya. Dia sudah tidak sabar untuk masuk ke dalam rumah.

                      "Pengantin lelaki dah sampai pun.." Ustazah Maryam terus bersuara sebaik saja melihat kelibat Fuad. Dia datang mendapatkan Fuad yang sedang berdiri tegak di ruang tamu dengan wajah yang penuh kebimbangan dan bingung melihat situasi di depan mata.

                       "Ummi?" Fuad ingin bertanya tapi lidahnya kelu bila melihat ustazah Maryam yang sihat walafiat.

                     "Mari sini Fuad. Duduk depan tok kadi ni, bolehlah kita mulakan akad nikah sekarang." Fuad yang masih bingung semakin bingung. Dia ingin menjerit untuk bertanya apa yang terjadi tapi fikirannya menegah.

                   "Apa semua ni ummi?" keluar juga suara Fuad akhirnya.

                   "Dengar cakap ummi Fuad. Semua yang ummi buat ni demi masa depan Fuad. Nak cari isteri, macam Aishah ni haa..bertudung labuh, berniqab..wajah cantik dia tu hanya untuk tatapan suami dia saja. Untung Fuad kalau kahwin dengan dia." ustazah Maryam mula memainkan peranannya. Fuad didudukkan betul-betul di depan tok kadi.

                     "Sign Fuad! Tengok, Aishah dah sign pun." Fuad terus dipaksa mengikut rentak ustazah Maryam. Bagaikan lembu dicucuk hidung, Fuad ikut saja kemahuan ustazah Maryam.

                       "Bagus anak ummi. Fuad memang anak yang baik. Ustaz, boleh kita mulakan sekarang?" ustazah Maryam memberi isyarat pada suaminya ustaz Luqman.

                        "Aku terima nikahnya Siti Aishah Umirah binti Haji Ishak dengan mas kahwinnya tiga ribu ringgit tunai dan senaskah Al-Quran." sambil melafazkan akad, air mata Fuad bergenang. Hatinya sakit bila mengenangkan Aledya. Semalam dia masih di sisi Aledya, hari ini tangannya menerima akad perempuan lain yang tak pernah dia cinta.

                       Allah, tolong..jangan benarkan Aledya tahu dalam masa terdekat ni. Izinkan aku untuk ceritakan sendiri. Fuad berdoa di dalam hati dan berharap perkahwinannya ini tidak diketahui oleh Aledya.

                   "Sah!" Fuad tersedar bila perkataan sah disebut. Fikirannya menerawang jauh ke Turki. Maafkan abang, sayang. Hati Fuad menjerit sayu.

                 "Alhamdulillah.." ustaz Luqman menadah tangan mengucap syukur. Fuad memendam rasa dalam hati. Hendak dimarah, dia tak mampu. Hendak lari, dia tahu ummi dan walidnya yang bakal malu. Hendak ditunggu, yang sakit hatinya sendiri.

                   "Fuad! Mari, sarungkan cincin." ustazah Maryam mengamit Fuad. Hati Fuad pedih, dia rasa sangat tertipu. Kenapa ummi buat aku macam ni? Hati Fuad berdialog sendiri. Ledya..abang benar-benar minta maaf. Dia berterusan menangis di dalam hati.

                    "Fuad! Mari sini, ummi cakap!" tegas bunyi nada suara ustazah Maryam kali ini. Fuad bangun dan melangkah longlai ke arah pengantin perempuan. Cincin disarungkan dengan berat hati. Dahi dicium tanpa perasaan. Hanya beberapa saat saja dia melakukannya. Dia disuruh sekali lagi, namun dia bersikap degil. Ustazah Maryam membulatkan mata. Fuad lakukan juga dengan rasa terpaksa.

                   ‘’Bagus anak ummi. Ummi tahu, anak-anak ummi akan dengar cakap ummi. Sekarang, Fuad dah bagi ummi menantu, tahun depan bagi ummi cucu pulak ya, kan Aishah?’’ Ustazah Maryam bersuara ceria. Dia merenung wajah Fuad dengan hati yang puas. Aishah Umirah juga sedang tersenyum lebar kerana lelaki yang diminatinya dalam diam, kini sudah menjadi suaminya yang sah.


*************

                      FUAD rimas berada dalam rumah. Bila semua orang sudah pulang ke rumah masing-masing, hanya tinggal ahli keluarganya dan pengantin perempuan, perlahan-lahan Fuad menyusup keluar. Fuad terserempak ustaz Luqman di muka pintu, dia berlagak macam biasa, dia mencari umminya pula, kalau umminya nampak dia..mesti bakal dileter panjang berjela.

                   "Kau nak ke mana Fuad?" ustaz Luqman menyoal.

                      "Nak ke bengkel Amir kejap. Tadi dah janji, nak jumpa dia. Tak baik mungkir janji ni, jadi munafik pulak." Fuad auta saja, padahal bayang Amir pun tak nampak siang tadi.

                   "Jangan tak balik pulak. Fuad tu dah ada tanggungjawab, ada isteri." ustaz Luqman mengingatkan.

                   ''Baiklah walid, Fuad pergi sekejap saja. Fuad pinjam kereta walid yer?" sambil berkata, Fuad mencapai kunci kereta Myvi kepunyaan ustaz Luqman. Fuad terus melangkah keluar. Nasibnya baik sebab ustaz Luqman tidak banyak soal. Dan nasibnya baik kerana ustazah Maryam tidak sempat melihat kelibatnya keluar rumah. Kalau tak, mesti langkahnya akan terhalang.

                  Sampai di bengkel Amir, Fuad terus membuat video call pada Aledya. Dia melihat jam di tangan, jarak waktu di Malaysia dan di Turki mesti tak sama.

                 "Assalamualaikum.." sebaik saja wajah Aledya berada di depan skrin, Fuad terus memberi salam. Terubat hatinya yang sakit dapat melihat wajah Aledya, kekasih hati.

                     "Waalaikumusalam..bie, ummi you okey tak? Dia tak apa-apakan? I berdoa moga ummi cepat sembuh." Aledya terus menyoal mengenai ustazah Maryam selepas menjawab salam.

                        "Sayang jangan bimbang, ummi okey ja. Abang yang tak okey, rindu giler dengan sayang ni. Malam ni tidur, abang nak peluk siapa?" Fuad sengaja bersuara manja. Jangan diberitahu Aledya dulu. Bila sampai masanya nanti, dia bersemuka dengan Aledya, dia akan jelaskan.

                          "Iya ke? Bie di mana tu? Gelap saja, lektrik tak ada ke?"

                           "Abang ada di bengkel kereta Amir ni. Takkan abang nak call sayang di rumah ummi. Sayang ingat, abang seberani tu?"

                           "Betul ke ummi tak apa-apa bie? I ingat nak balik Malaysia. Boleh I ziarah ummi. Kesian ummi, mesti dia sakit sebab rindukan anak lelaki kesayangannya."

                          "Ehh..tak perlu! Ummi sihat walafiat. Tak sakit langsung. Jujurnya abang kena tipu sebab ummi nak abang balik." Fuad terpaksa berterus terang, dia tak nak Aledya tahu situasi yang sedang dialaminya sekarang.

                           Encik Fuad?" tak semena-mena ada beberapa orang lelaki berbadan tegap menghampirinya dan bertanya. Fuad menoleh kalut. Aledya di hujung talian juga turut menunjukkan minat.

                       "Boleh ikut kami, sekarang?" Fuad tercengang.

                       "Ikut saja bie, tu orang papa..kalau you tak ikut cara baik, nanti you kena ikat dalam guni." Aledya mengertak Fuad sambil ketawa. Fuad memutuskan talian. Dia menurut seperti yang Aledya cadangkan.

                         "Korang nak bawa aku ke mana?" Fuad menyoal cemas. Melihat badan mereka yang bertubuh tegap, Fuad menjadi risau, kalau-kalau cakap Aledya bukan sekadar gurauan.

                        "Tan Sri nak jumpa encik Fuad sekarang." salah seorang daripada mereka bersuara tegas.

                       "Tan Sri Megat Sofian ke?" Fuad menyoal lagi, orang yang bercakap tadi mengangguk. Fuad rasa lega, lebih baik dia ikut mereka daripada balik ke rumah dan berdepan dengan keluarga dan isteri barunya.

                      "Kejap..saya nak minta kawan saya tolong hantarkan kereta walid saya ni ke rumah.'' teringat dengan kereta walidnya yang dipinjam, Fuad bersuara lagi.

                         "Tunggu kejap. Saya takkan lari. Kejap jer.." Fuad minta diri dan masuk ke dalam bengkel. Dia diekori oleh salah seorang daripada lelaki berbadan tegap tadi.

                         "Assalamualaikum Mir.." Fuad memberi salam sebaik saja kelibat Amir ditemui.

                          "Hai..pengantin..." sebelum habis Amir berkata, Fuad meletakkan jari telunjuknya di bibir agar Amir tidak meneruskan kata-katanya.

                         "Aku nak minta tolong kau sikit. Aku ingat malam ni, nak datang borak dengan kau, lama tak jumpakan. Tapi, aku kena pergi KL sekarang. Ada hal sikit, so boleh tolong tak? Esok, kau tolong hantar kereta walid aku ke rumah? Aku tak berani nak baliklah. Kalau aku balik, mesti sangkut. Kau tahulah, kan..ummi aku tu macam mana. Sebelum aku jadi tahanan ummi aku, lebih baik, aku cabut dulu." Fuad berkata dalam nada bergurau.

                         ‘’Kau nak lari dari rumah lagi? Sakan penangan cik Ledya, kan?" Fuad hanya tersengeh. Sakan tak sakan, dia saja yang tahu. Sekarang ni dia bakal berdepan dengan bapak mertua tanpa Aledya. Harap-harap, dia mampu terus tabah.

***********

                         FUAD memandang banglo mewah di depannya dengan perasaan gementar, tidak seperti kali pertama dia dibawa oleh Aledya ke sini. Kali pertama datang ke sini, dia rasa teruja. Kali ini perasaannya berbeza, ditambah dengan tubuh yang masih letih.

                        Berbelas jam perjalanan balik dari Turki ke Johor, dia mendapat kejutan yang paling menyakitkan hati. Semalam dia bertolak pula dari Johor ke Kuala Lumpur dengan fikiran yang berserabut. Tersangat memenatkan fikirannya. Apa pula yang bakal dihadapnya kali ini? Langkah Fuad longlai sebaik saja turun dari kereta. Dirinya disambut oleh kak Min pembantu rumah di muka pintu.

                     "Tan Sri suruh encik Fuad masuk mandi, makan dan berehat dulu. Lepas bangun tidur, barulah encik Fuad naik berjumpa dia di tingkat atas. Encik Fuad tentu masih penatkan?" kak Min bersuara ramah. Fuad terasa lega mendengarnya. Sangkaannya meleset sama sekali. Ingatkan dia bakal disoal dan disalahkan sebaik saja dia sampai.

                       "Encik Fuad boleh masuk bilik cik Ledya, atau pun di bilik encik di tingkat tiga. Baju salin, kak Min dah sediakan. Makanan nanti kak Min hantar, nak masuk bilik mana? Bilik encik Ledya atau bilik encik Fuad?"

                   "Tak apalah kak Min. Terima kasih, nanti saya turun makan di bawah." Fuad menolak untuk dilayan bagaikan tuan putera. Dia masih rasa serba salah kerana membawa Aledya kahwin lari.

                     "Tak boleh encik Fuad, Tan Sri yang bagi arahan, kak Min kena ikut. Nanti, kalau kak Min tak ikut arahan Tan Sri, susah kak Min." Fuad semakin rasa serba salah.

                      "Kalau macam tu, kak Min hantar makanan ke tingkat tiga. Saya masuk tidur dalam bilik saya saja." Fuad membuat keputusan untuk mengikut saja rentak Tan Sri Megat Sofian.

                    "Kan senang kerja kak Min. Err..encik Fuad nak makan, makanan melayu atau.."

                    "Tak payah berenciklah kak Min, panggil Fuad saja."

                    "Ehh..tak boleh encik Fuad..nanti Tan Sri.."

                  "Ok, ok..saya faham. Saya nak makanan melayu. Mee goreng mamak pun tak apa." Fuad memotong percakapan kak Min dan berkata sambil tersenyum.

                    "Aik? Makanan melayu, mee mamak? Itu bukan makanan.." kak Min belum habis cakap, Fuad sudah ketawa berlambak.

                    "Apa-apa pun boleh kak Min. Saya tak kesah pun." Fuad memotong percakapan kak Min sekali lagi.

                   "Baiklah encik…" kak Min berlalu ke ruang dapur. Fuad mengelengkan kepalanya berkali-kali, kemudian dia menuju ke lift dan naik ke tingkat tiga.

                   Sampai di bilik dia membuat video call pada Aledya. Beberapa kali didail, panggilannya tidak dijawab. Fuad berputus asa, dia merebahkan tubuhnya di atas katil. Matanya semakin layu dan akhirnya dia tertidur pulas.

***************

                          FUAD mengeliat malas. Dia memandang sekeliling, baru dia sedar di mana dia berada lantas dia segera bangun dan matanya mencari jam di dinding. Allah, Sudah pukul 12.00 tengahari. Dia sampai di Kuala Lumpur waktu subuh dan mereka singgah solat subuh di masjid Putrajaya. Mereka meneruskan perjalanan selepas mengisi perut di gerai tepi jalan.

                      Dia sampai di rumah Tan Sri Megat Sofian hampir pukul lapan pagi. Dia terlena kerana badannya terlalu letih ditambah dengan fikiran yang kusut. Fuad mencapai telefonnya, dia menekan butang di tepi telefon dan skrin telefonnya menyala. Ada beberapa panggilan tidak berjawab, salah satunya daripada Aledya. Dia terus membuat video call. Rindu betul dia dengan wajah isterinya. Lama menunggu baru panggilannya berjawab.

                    "Assalamualaikum. Bie baru bangun ke?"

                     "Waalaikumusalam. Ya sayang, Ledya call abang ke?"

                       "I tengok ada miss call, sebab tu I call. Kenapa bie call?"

                      "Rindu.." Fuad berkata sambil bibirnya tersenyum lebar. Hatinya yang walang terubat juga selepas mendengar suara Aledya.

                        "Gedik!" Aledya membalas sambil ketawa. Fuad pun turut ketawa bersama.

                       "Dah makan ke belum?" Aledya menyambung kata.

                        "Belum, abang tertidur tadi." Fuad menjawab sambil merenung wajahnya sendiri di depan cermin. Dia bangun dan berdiri…berjalan berulang-alik di dalam bilik.

                         "Mandi pun belum?" Aledya terus menyoal dan ketawa.

                         "Belum sayang.." Fuad menjawab dan ketawa juga.

                        "Patutlah bau sampai ke sini. Pergi mandi dulu!" dalam ketawa Aledya memerintah. Terlepas ketawa Fuad. Dia sendiri pun tidak menyangka, sejak bertolak dari Turki dia belum mandi lagi. Sampai ke Johor, dia sibuk dengan majlis. Waktu Maghrib pun dia sibuk juga melayan tetamu. Waktu Isyak, dia bersolat di surau, nak masuk ke dalam bilik, ada isteri baru..dia tak kuasa untuk masuk dan bertembung dengan isteri barunya itu. Dalam kesibukan itu, dia dilarikan pula ke Kuala Lumpur. Sampai ke sini, dia terus terlena dan tidak sedarkan diri. Tidurnya macam orang pengsan sebab terlalu letih.

                     "Yalah sayang. Take care yer.." Talian terus dimatikan. Fuad bangun dan mencapai tuala. Dia masuk ke bilik air dengan langkah yang lemah. Masalah dia belum selesai. Dia kena menghadap mertuanya pula selepas ini.

                       Di kampung juga masalah sedang menunggu. Allah, letihnya fikiran ini. Banyak betul perkara yang perlu dihadapi. Dalam bahagia mengecap cinta, rintangan juga tercipta di depan mata. Berat sungguh dugaan untuk mengecap secebis bahagia di atas dunia yang sementara ini.

**************

                    USAI mandi dan mengenakan pakaian bersih, Fuad ke ruang makan. Di setiap tingkat rumah banglo ini disediakan kemudahan memasak dan ruang makan. Tan Sri dan Puan Sri cukup menjaga keperluan tetamu dan seluruh isi rumah. Kadang-kadang Fuad rasa lebih bebas di rumah ini berbanding di rumahnya sendiri.

                     Di rumah mereka, ustazah Maryam terlalu banyak mengongkong. Nak basuh pinggan sendiri pun, umminya tak bagi, katanya itu kerja orang perempuan. Pernah Fuad berbahas dengan umminya tentang tugas seorang suami. Umminya tetap dengan pendiriannya.

Kata umminya, buat apa ada isteri, kalau kerja rumah, suami yang kena lakukan? Fuad tidak setuju kerana, dia juga belajar dan dia tahu tugas seorang isteri hanya melayan suami, mengandung dan melahirkan anak. Ummi lebih banyak mengikut adat melayu daripada mengikut hukum agama Islam. Kalau berhujah dengan umminya, Fuad memang tak pernah menang. Semua hal, umminya yang atur, Fuad hanya perlu menjadi pak turut. Kadang-kadang Fuad rimas tapi dia tak mahu menjadi anak derhaka.

                   "Baru nak makan ke encik Fuad? Kak Min bawa nasi ni untuk makan tengahari." Fuad baru saja buka tudung saji, kak Min sudah menegurnya.

                    "Allah, kenapa susah-susah kak Min. Saya boleh turun makan di bawah." Sekali lagi Fuad rasa serba salah.

                    "Tak susah pun aih. Memang kerja kak Min pun. Tan Sri dan Puan Sri sedang makan di bawah. Encik Fuad nak turun makan dengan mereka ke?" kak Min letak dulang yang berisi nasi dan lauk di atas meja. Fuad diserang perasaan serba salah sekali lagi. Fikirannya buntu, tak tahu untuk membuat keputusan.

                  "Tak apalah, makan sajalah di sini. Tapi..Tan Sri pesan, Zohor nanti dia nak solat jemaah sekali dan hari ni, dia yang akan bagi ceramah pula." kak Min berkata lagi dan menjeling Fuad. Dia menahan ketawa melihat wajah Fuad yang keresahan.

                   "Esok, cik Ledya nak balik Malaysia. Encik Fuad..."

                  "Apa kak Min? Ledya nak balik? Esok?" macam terkena renjatan elektrik, bila Fuad mendengar berita itu. Kak Min mengangguk. Fuad terus berlari ke dalam bilik. Kak Min tercengang.  Masuk ke dalam bilik, Fuad mencari telefonnya, nombor Aledya terus didail.

                    "Sayang nak balik esok?" sebaik saja panggilan dijawab, Fuad terus menyoal.

                         "Yalah..bie jugak yang cakap bie rindu. Kenapa, bie dah tak sabar nak jumpa ke?"

                       "Sayang..macam ni, abang rasakan..lebih baik sayang cuti lama sikit di sana..."

                      "Bieee..kenapa ni? Bie tak nak I balik, sebab nak sorokkan daripada I, bie nikah lagi ke? I dah tak sabar nak balik sebab I dah tak sabar nak tengok madu I tu." Fuad terduduk di atas lantai. Kepalanya disembam ke katil.

                       "Sayang tau mana ni?"

                      "For your information..orang yang bawa bie balik semalam tu, I yang suruh, bukan papa. I suruh mereka ikut bie balik dari KLIA lagi dan I dah tahu semuanya. So, bie jangan nak sorok apa-apa pun daripada I yer."

                    "Sayang pasang spy?"

                   "Bukan spy my lovely hubby, kalau tunggu bie buat laporan, memang taklah, kan? Jadi..I kenalah bertindak sendiri.''

                   "Sayang tak marah abangkan?"

                   "Kenapa pula I nak marah you?"

                     "Betul? Tak marah ni?"

                     "Betul!"

                      "Serius?"

                         "Tak marah, cuma terkilan saja. I harap, ummi terima I tapi sebaliknya ummi bagi I madu. Cemburu? Sangat-sangat cemburu, sebab tu I suruh mereka yang semalam tu larikan you ke KL."

                    "Sayang balik dulu ke Malaysia, kita settlekan masalah ni?" Fuad cuba memujuk Aledya. Dia tak pernah menduga Aledya akan bertindak sampai macam tu sekali. Siap upah orang untuk ekori dia lagi.

                    ‘’I memang nak balik pun, bie tu yang tak izinkan tadi, kan?’’ Aledya bersuara rajuk, jelas dia sangat kecil hati dengan Fuad.

                      ‘’Maaf sayang, abang bukan sengaja, sayang tahukan..bukan abang yang nak nikah satu lagi. Ummi yang paksa, abang sampai saja, terus kena nikah..’’

                      ‘’I tahu, I dapat report detail, bie tak perlu nak jelaskan apa-apa..Cuma I kecil hati sebab bie rahsiakan daripada I. Macam nak merajuk dan tak nak balik ke Malaysia dah..’’

                     ‘’Jangan macam tu sayang..balik ya..’’ Fuad mula takut, buatnya Aledya kotakan apa yang dia kata..tak pasal-pasal dia pula yang kena pergi ke luar negara untuk mencari Aledya.

                   ‘’Kenapa? Bie takut I tak mahu balik ke? Seronoklah bie, kan kalau I tak balik?’’ Aledya bersuara rajuk sekali lagi. Fuad mula keresahan.

                    ‘’Sayang..tolong percayakan abang..cinta abang hanya untuk sayang sampai mati. Abang serius, abang tak tipu..sayang tahukan, abang sanggup tipu ummi dan walid kerana nak ikut sayang ke Kuala Lumpur?’’ Fuad terlepas kata, namun untuk mendapatkan kepercayaan Aledya dia sanggup untuk dedahkan semua isi hatinya.

                         ‘’Are you serious bie? Bie memang dah sukakan I sejak kita di kampung bie lagi ke?’’ kedengaran ketawa Aledya di hujung talian. Fuad duduk di birai katil dan mengangguk perlahan walaupun dia tahu Aledya takkan nampak.

                      ‘’Baliklah cepat..kalau sayang nak tahu jawapannya..’’


**********

                      ALEDYA sudah sampai di Malaysia. Fuad gembira bukan kepalang, terlerailah sebuah rindu namun kegembiraannya tidak lama.

                    "Papa dengan mama nak ke kampung kau Fuad, nak jumpa besan kami. Abang long pun ikut dan bawa isteri dan anak-anaknya sekali." tegas kata-kata Tan Sri Megat Sofian yang membuatkan wajah Fuad yang ceria kembali berkerut. Kegembiraan yang dia rasa bertukar menjadi tsunami yang memusnahkan segalanya.

                     "Baiklah papa.." Fuad terpaksa akur, namun dia sudah nampak bencana yang bakal menimpa.

                       Mereka bertolak ke Johor melalui jalan udara. Sampai di Lapangan Terbang Senai, Johor..sudah ada pemandu yang menjemput mereka sekeluarga. Tan Sri Megat Sofian memang ramai kenalan, bahkan di seluruh Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Singapura. Ke mana saja dia pergi, mesti ada yang sudi menghulurkan bantuan. Dia terkenal dengan sikap murah hati, jadi semua orang pun suka membantu dia.

                           Mereka sampai dalam keadaan Fuad dan Aledya yang tidak bersedia. Tan Sri dan Puan Sri nampak tenang dan yakin. Mereka tidak tahu sikap besan mereka tu macam mana. Fuad yang serabut fikiran. Aledya dilanda gundah. Sepanjang perjalanan dia alami tekanan perasaan, takut kunjungan keluarganya bakal dihalau.

                          Semakin dekat dengan rumah, Fuad semakin mengelabah. Peluh jantannya sudah membasahi baju. Penghawa dingin kereta seolah-olah tidak berfungsi. Fuad melihat keluar tingkap, bumbung rumah mereka sudah nampak, kereta sudah membelok masuk simpang rumah mereka.

                     Ya Allah, berikan aku ketenangan jiwa, kekuatan mental dan fizikal. Berikan juga kesabaran untuk ummi dan walid, agar mereka berdua tidak mengamuk nanti. Sempat Fuad berdoa di dalam hati.

                    "Bie..kita dah sampai." Aledya mencuit dan memuncungkan bibirnya ke luar tingkap. Bila kereta berhenti, tangan Fuad mengigil, dia seolah-olah tiada tenaga langsung untuk menolak pintu kereta.

                     "Are you okey, bie?" Aledya menyoal bila melihat Fuad yang masih terkial-kial untuk membuka pintu kereta.

                   "I'm not okey. Kalau ummi mengamuk, macam mana?" Fuad berbisik. Aledya mengangguk.

                      "Bie, baca doa dulu sebelum turun. Ingat, langkah kaki kanan. Moga yang tunggu kita hidangan nasi untuk tengahari ni, I dah lapar ni..kalau boleh makan nasi, best jugak."

                     "Bertuahlah you, kalau boleh makan nasi. Ummi tu kalau angin kus-kus dia datang, bukan kata nasi, air putih kosong pun belum tentu, dapat." Fuad berbisik lagi. Perlahan-lahan dia melangkah turun.

                         "Bie..kenapa you pijak tanah, kaki kiri dulu? I, kan dah cakap..langkah kaki kanan dulu." Aledya turut berbisik, gelagat mereka berdua cukup mencurigakan.

                        "Maaf sayang, abang dah tak ingat mana satu kaki kiri, yang mana satu kaki kanan." tercetus juga ketawa Aledya. Dalam debaran, dia merasa lucu.

                         "Ada ke orang di rumah awak, Fuad? Sunyi sepi saja. Tak nampak orang pun?" Tan Sri Megat Sofian yang sudah mendahului dan sedang ditolak di atas kerusi roda berkata dengan nada suara yang tenang. Tidak sabar dia untuk menyerahkan Aledya pada besannya.

                         "Tak pastilah papa, kita masuk tengok dululah." Fuad berkata dengan suara bergetar. Dia berada agak jauh dari Tan Sri, rumahnya diperhatikan. Hatinya terus berdoa tanpa henti, agar tiada tsunami yang bakal melanda.

                          "Kenapa dengan kamu Fuad? Sepatutnya, kamu yang pergi dulu. Haa..Ledya, kamu pun sama, takut sangat ke nak jumpa dengan mak dan bapak mertua kamu?"

                        "Ehhh..bukan takut pa, cuma gemuruh sikit ja." Aledya menjawab sambil tersenyum dalam terpaksa.

                     "Kamu Fuad, gemuruh jugak ke?"

                     "Errr..bukan gemuruh pa..cuma Fuad takut guruh jer yang bunyi nanti." Fuad menjawab dengan bahasa berkias. Tan Sri mula pelik melihat tingkah anak dan menantunya.

                       "Masa korang niat nak kahwin lari hari tu, ada kamu terfikir hari ini akan muncul?" Puan Sri yang memahami situasi bertanya dalam nada yang serius. Fuad dan Aledya mengeleng serentak.

                        "Korang takut atau pun tidak..korang kena juga hadapi. Bagilah salam..kita dah sampai pun." Puan Sri berkata lagi. Fuad tiada pilihan, dia melangkah ke depan dan menolak pintu yang hanya terbuka sedikit.

                         "Assalamualaikum..ummi! Ila!" Fuad memberi salam sambil melaung umminya dan Delaila, sambil itu dia membuka kasut dan melangkah masuk.

                       "Waalaikumusalam..eh, abang dah balik?" orang lain yang dipanggil, orang lain yang muncul. Melihat Aishah Umirah, muka Fuad terus pucat. Dia benar-benar terlupa dengan kewujudan isteri keduanya. Aishah Umirah pula terus meluru ke arahnya. Fuad melangkah beberapa tapak ke belakang. Aledya pula mengambil langkah pantas bila melihat wanita yang tidak dikenalinya berjalan laju ke arah Fuad.

                         "Bie..ini adik you yang bongsu tu, kan?" Aledya memaut lengan Fuad dan bertanya dengan nada geram. Jari jemarinya sudah mencubit lengan Fuad dalam diam. Mengaduh juga Fuad dibuatnya.

                          "Abang.." tanpa mempedulikan Aledya, Aishah Umirah mengapai tangan Fuad, disalam dan diciumnya penuh tertib.

                          "Abang pergi mana? Semua orang risau, tiba-tiba saja abang hilang. Kalau iya pun, abang terpaksa nikah dengan Aishah, janganlah lari daripada rumah. Perkara boleh dibawa berbincangkan?" dengan selamba dan tenang Aishah Umirah berkata. Fuad terasa bagai berada di Gurun Sahara. Peluhnya terus membahasahi baju. Tangannya yang masih dipegang Aishah Umirah direntap kuat, dia betul-betul sedang menghadapi tekanan perasaan yang sangat kritikal.

                            "Sampai hati abang. Perempuan ni yang entah siapa, boleh pula pegang abang macam tu. Aishah ni isteri abang yang sah..tergamak abang buat Aishah macam ni?" Aishah Umirah sudah merengek manja. Dia ingin memaut lengan Fuad juga tapi cepat-cepat Fuad mengelak.

                          "Fuad, apa semua ni? Isteri yang sah? Berapa orang isteri yang kamu ada?" adegan yang berlaku di depan mata, menarik perhatian semua orang. Fuad rasa macam ingin pengsan. Dia buntu dan tidak kuat untuk berhadapan dengan kenyataan.

                          "Baru dua orang mama. Ledya isteri pertama, dia isteri kedua..itu pun sebab ummi yang paksa. Bukan Fuad yang nak nikah dengan dia.." teragak-agak Fuad menjawab.

                         "Siapa yang datang tu Aishah?" mendengar saja suara ustazah Maryam, Fuad terus mengigil. Allah, tolong beri aku kekuatan. Fuad berdoa lagi.

                        "Ummi.." lembut suara Fuad dan terus menerpa ke arah umminya.

                         "Kita ada tetamu ummi, dari Kuala Lumpur. Please! Jangan marah Fuad lagi, kita layan tetamu dulu, meraikan tetamu itu pahala, kan ummi?" sebaik tangan umminya disalam dan dicium, Fuad berbisik ke telinga umminya. Ustazah Maryam memberi jelingan tajam pada Fuad.

                          "Assalamualaikum puan." Puan Sri menghampiri ustazah Maryam dan menghulurkan tangan untuk bersalam. Aledya dan Sarita, isteri Arman Irwan juga turut serta. Tangan dihulur penuh tertib, dengan terpaksa..ustazah Maryam menyambut juga tanpa senyuman.

                             "Maaflah...datang tak bagitahu." Puan Sri terus berbahasa, kata-katanya disusun dan suaranya bernada ceria.

                             Aledya sudah menikus, lepas bersalaman dia bersembunyi di belakang Fuad. Aishah yang memerhati sedang menahan perasaan geram. Aishah Umirah rasa tertipu, disangka sudah berkahwin dengan anak teruna..tidak terduga olehnya dia hanya isteri kedua yang langsung tidak dipandang suami. Dia menjerut rasa dalam diam. Rasa dirinya teraniaya dan ingin merebut suaminya semula.

                          "Papa, mama..jemput duduk. Ummi, mereka semua ni keluarga mertua Fuad. Papa, mama, abang long, kak long dan ini isteri Fuad, Ledya." Fuad memperkenalkan juga tetamu mereka. Dalam hati dia terus berdoa agar ustazah Maryam tidak menyindir atau sebagainya.

                           Wajah ustazah Maryam ternyata berubah serta merta. Dia seolah-olah terkejut mendengar kata-kata Fuad. Dia meluru ke arah Fuad. Ustazah Maryam memeluk Fuad dengan erat, dia sudah menangis tersedu-sedu. Lututnya mengigil dan akhirnya dia rebah.

                        "Ummi!" Fuad turut terkejut menerima reaksi umminya. Dia memapah ustazah Maryam yang sudah lembik namun masih sedar lagi.

                         "Kenapa buat ummi macam ni Fuad? Kenapa buat ummi macam ni? Tak cukupkah kasih sayang ummi dan walid? Kenapa buat kami macam ni Fuad? Fuad satu-satunya harapan ummi dan walid tapi Fuad tergamak membelakangkan keluarga. Apa yang kurang dengan isteri yang ummi pilih hingga Fuad berkahwin satu lagi? Kenapa Fuad? Kenapa?" ustazah Maryam terus menangis sambil meratap hiba.

                         Aishah Umirah terus mengambil kesempatan untuk berada dekat dengan Fuad. Dia turut berlutut dan menangis di sebelah Fuad. Sengaja disembamkan wajahnya di lengan Fuad. Kali ini hati Aledya pula yang terbakar.

                        "Ummi salah faham ni. Fuad dah lama nikah dengan Ledya. Hari tu Fuad nak bagitau ummi tapi ummi yang tak bagi Fuad peluang untuk berterus terang. Ummi yang tipu Fuad dulu. Ummi kata ummi sakit, tapi ummi merancang pernikahan kedua Fuad tanpa persetujuan Fuad pun." Fuad cuba membela diri. Ustazah Maryam cuba bangun dan menolak Fuad. Dia mencapai lengan Aishah dan berpaut padanya.

                        "Fuad memang tak sayang ummi. Selama ni ummi banyak berkorban untuk Fuad, takkan Fuad tak boleh berkorban sikit pun dengan ummi." ustazah Maryam terus menyalahkan Fuad. Dia tidak peduli pun dengan tetamu lain yang sedang menonton drama sebabak mereka.

                      "Ummi..Fuad minta maaf tapi, boleh tak hal ni kita bincang lain kali? Mama dan papa datang dari jauh semata-mata nak jumpa dengan ummi."

                        "Huh! Menantu aku hanya seorang! Menantu aku hanya Siti Aishah Umirah!" tegas sekali nada suaranya. Aishah Umirah mengulum senyum dalam esak tangis yang dibuat-buat. Aledya terus menjeruk rasa.

                         "Assalamualaikum. Kita ada tetamu ke hari ini? Eloklah..bolehlah makan tengahari di sini? Yam..nasi dah hidang? Tadi bukan main lagi suruh saya beli barang-barang dapur. Kalau sudah masak, bolehlah kita makan ramai-ramai hari ni.."

                          Ustaz Luqman yang baru balik dan tidak tahu apa-apa terus bersuara tanpa sebarang syak. Semua orang menoleh ke arah pintu. Melihat ustaz Lokman tersenyum, tiada seorang pun yang membalas senyumannya.

                       "Allahu Akhbar..Man ke ni? Luqman?" tiba-tiba Tan Sri Megat Sofian bersuara. Semua mata memandang Tan Sri, ustaz Luqman nampak terkejut dan mara ke arah Tan Sri Megat Sofian.

                        "Pian?" ustaz Luqman pula bertanya dan Tan Sri lantas mengangguk dan ustaz Luqman terus memeluk Tan Sri Megat Sofian.

                       "Aku memang dah lama cari kau Pian. Lepas abang kau Lebai Darus meninggal, dia berwasiat pada aku, kalau jumpa kau, dia suruh aku serahkan geran tanah pada kau semula. Lebai Darus minta aku sampaikan pada kau, dia minta maaf dengan apa yang telah dia buat pada kau." ustaz Luqman memulakan cerita selepas semua tetamunya dipelawa duduk.

                     "Geran tanah ada pada aku tapi tanah kau Fuad yang usahakan selama ni. Minta maaflah, selepas aku cari kau tapi tak berhasil, aku buat tanah tu macam tanah sendiri. Tapak rumah ni pun tanah kau Pian. Nanti aku pulangkan balik semua tanah kau." ustaz Luqman menyambung kata sambil meraup muka. Dia rasa malu sebagai seorang ustaz untuk bercerita tentang hakikat yang sebenarnya.

                           "Aku dah lama maafkan abang Darus. Pasal tanah tu, aku serahkan pada kau semuanya, lagi pun..kau dengan aku bukannya orang lain. Kita dah jadi besan pun." Tan Sri Megat Sofian bersuara tenang. Terkilan juga dia bila mendengar abang tirinya itu sudah meninggal dunia. Tanah pusaka yang disebut itu asalnya milik dia tapi dirampas oleh abang tirinya dan dia dihalau keluar dari kampung sehelai sepinggang.

                         "Mana boleh macam tu. Selama ni kami dah makan hasil dari tanah tu. Aku kena ganti semua yang kami dah makan tu."

                       "Tak apa Man, aku halalkan semuanya. Rezeki tu pemberian Allah. Atas dunia ni, aku dah dapat lebih daripada cukup. Tanah ni aku hadiahkan pada kau. Nanti kita pergi pejabat tanah dan tukar nama." Tan Sri Megat Sofian terus bertegas. Bagi dia, harta dunia ni hanyalah 'daki' sahaja. Tidak boleh menolong di dalam kubur pun, apatah lagi di akhirat nanti. Harta yang dia ada pun sudah tidak habis untuk dimakan.

**********

                       MEREKA makan tengahari beramai-ramai walaupun dalam suasana yang serba kekok. Ada yang sedang mogok. Ada yang berhati panas. Ada yang sedang diserbu rasa serba salah.

                     Usai makan Tan Sri Megat Sofian dan keluarganya minta diri untuk pulang. Aledya ditinggalkan buat sementara waktu. Kecut juga perut Aledya menatap jelingan ustazah Maryam dan renungan tajam Aishah Umirah. Waktu malam, Fuad pula yang diserang resah. Bilik di rumah mereka hanya ada tiga. Bilik ummi dan walidnya, bilik dia dan bilik Delaila.

                    Aledya tidur di bilik Delaila dan mereka boleh pula berkawan baik. Fuad bingung untuk membuat keputusan. Balik dari solat Isyak di surau, Fuad membuat keputusan nekad.

                           "Ila..buka pintu ni, abang nak cakap sikit dengan kak Ledya." Fuad mengunakan helah untuk mengumpan Aledya keluar.

                           "Ila!" pintu diketuk lagi. Aishah Umirah di bilik sebelah sudah keluar untuk menjenguk.

                           "Abang nak tukar pakaian ke? Masuklah bilik…" Aishah Umairah mempelawa. Fuad mengeleng pantas.

                          "Buat apa bie?" Aledya membuka pintu sebaik saja mendengar suara Aishah Umirah.

                         "Ada hal sikit. Ila mana?"

                        "Bie nak jumpa siapa ni?" Fuad tak menjawab, dia terus menerobos masuk sambil menolak Aledya masuk ke dalam bilik juga.

                       "Ila keluar kejap." Fuad menarik tangan Delaila supaya bangun dari katil.

                       "Abang Fuad ni, kenapa?"

                       "Kejap jer.." Fuad bertegas. Delaila malas untuk bergaduh, dia keluar dengan muka yang masam. Aishah Umirah di luar bilik ingin menerpa masuk, tapi Fuad cepat-cepat mengunci pintu. Dia meletakkan jari telunjuk di bibir. Perlahan-lahan Fuad membuka tingkap.

                       "Beg…" dia berkata separuh berbisik.

                        "Nak buat apa?" Aledya juga turut berbisik.

                            "Kita lari dari rumah. Kita tidur homestay malam ni. Abang rimas, hati abang rasa macam nak terbakar."

                            "Ummi macam mana?"

                           "Lain kali kita fikir pasal ummi. Sekarang ni kita fikir macam mana nak lepaskan diri dulu."

                          "Sampai bila kita nak macam ni? Lari takkan selesaikan masalah bie."

                         "Kita bincang perkara tu lepas kita berjaya lari malam ni." Fuad tidak mahu tunggu lagi. Selepas beg Aledya di keluarkan, dia menolong Aledya keluar, lepas itu..dia pula yang menyusup keluar ikut tingkap yang sama.

                        "Bie..kasut mana? Takkan nak berkaki ayam?"

                       "Ada. Abang dah sorokkan tepi jalan." sambil berkata dia memegang tangan Aledya dan berjalan terjengket-jengket agar tiada bunyi. Sampai di simpang rumah mereka, Fuad menelefon Amir supaya mengambilnya dengan kereta.

                      "Aku ada dekat rumah kau ni. Kau di mana?"

                      "Dekat simpang tiga nak ke rumah aku."

                     "Aku nampak dah.."

                       Ponnn..Amir bunyikan hon. Fuad letakkan jari telunjuk di bibir.

                       "Lari dari rumah ke enchik?" terburai ketawa Amir.

                       "Tolong hantar kami ke homestay tepi sawah Mir, aku bayarlah duit minyak nanti."

                        "Wajiblah kau kena bayar, kau dah tangkap ikan besar." Amir ketawa lagi. Fuad berdecit geram bila disindir Amir.

                       "Ikan? Ikan apa?" Aledya turut mencelah.

                        "Paus kot? Or ikan duyung?" dan Amir terus ketawa.

***********

                        PERBINCANGAN telah selesai dan keputusan telah diambil. Fuad tak perlu ceraikan Aishah Umirah buat sementara waktu dan Aledya sudah berjanji takkan cemburu lagi. Aledya masih ada kerja di Kuala Lumpur dan dia harus kerja semula. Dia tidak boleh tinggal di kampung. Fuad pula tidak sanggup untuk berpisah dengan Aledya.

                          Keputusan yang diambil terbaik untuk semua pihak. Aishah Umirah akan dibawa ke Kuala Lumpur bersama mereka, dan Aledya terpaksa redha menerima ketentuan takdir ini untuk berkongsi suami.

                          "Boleh tak, kita suruh Aishah kerja di tapak semaian kami tu? Lagi pun, tapak semaian tu masih kekurangan pekerja?" Aledya membuat cadangan. Takkan Aishah Umirah nak makan tidur saja? Alang-alang nak bawa dia bersama, berilah dia kerja juga.

                        "Mahu ke dia ikut kita?" Fuad menyoal kembali.

                         "Bie kan ada. Bie kerjalah sekali di tapak semaian tu untuk sementara, mesti dia mahu kalau bie ada sekali." Aledya memberikan cadangan seterusnya.

                          "Driver macam mana? Siapa pula nak drive sayang ke tapak projek nanti?" Aledya tersenyum lebar sambil mengenyit mata.

                       "I cadang macam ni, bie ajak dia ke tapak semaian awal pagi, lepas tu masa tengah kerja tu tanpa dia sedar, bie menyusuplah keluar dan bolehlah drive I macam biasa."

                       "Ehh..itu macam nak dera abang saja?" Fuad berkata sangsi, Aledya ketawa tanpa henti.

                       "Bie ada dua orang isteri, memanglah kena adil. Kenalah berusaha..pagi bie temankan dia kerja, lepas tu bie temankan I pulak..sampailah bie mampus." Aledya tiru watak Sarimah dalam filem Madu Tiga.

                       "Kalau macam tu, abang kena nikah satu lagi." Fuad berkata sekadar untuk bergurau.

                       "Yooo..dua orang isteri yang bie ada ni belum tentu lagi terjaga, ada hati nak tambah lagi satu? Dah cukup power ke? Nanti, tak pasal-pasal mati muda?" Aledya berkata dalam nada yang agak serius.

                      "Amboi..berdoa supaya abang mati cepat, nampak?"

                         "Bie..you tahukan, bermadu ni hanya seronok untuk lelaki saja tapi bie cuba bayangkan..andai kata I ni menduakan bie, apa yang bie rasa? Seronokkah berkongsi isteri dengan lelaki lain?"

                        "Sayang cakap apa ni? Ikutkan hati abang, sekarang jugak abang nak ceraikan Aishah tu."

                        "Sekarang ni, bie jawab dulu..apa perasaan bie kalau I ni ada skandal?"

                        "Tentulah abang marah. Dayuslah abang, kalau abang tak rasa apa-apa."

                        "Apa pendapat bie tentang apa yang kami rasa, sukakah kami berkongsi suami ni?"

                         "Abang faham..macam abang kata tadi..kalau abang ada pilihan, sekarang jugak abang nak ceraikan Aishah tu."

                        "Tapi..abang tak bolehkan?"

                          "Abang buat semua ni kerana ummi. Abang takut ummi kecil hati."

                          "Hurmm..ummi kecil hati tak boleh, I kecil hati..boleh pulak."

                          "Sayang, ummi tu syurga abang tapi abang ni syurga sayang. Kenalah berkorban sikit, kan?" Fuad sengaja menyakat, dia berkata sambil melihat ke dalam mata Aledya. Allah, air mata sudah bergenang. Cepat-cepat Fuad ketawa dan angkat kedua-dua belah tangannya.

                         "Okey..abang tahu, sayang kecil hati..tapi bagi abang peluang untuk betulkan keadaan. Kita test Aishah, kalau dia lulus, abang akan pertimbangkan sama ada nak teruskan atau ceraikan dia tapi kalau dia gagal pikul tanggungjawab dia sebagai isteri kedua dan dia tak hormat sayang dan semua orang, abang akan lepaskan dia."

                         "Maknanya..kalau Aishah tu berkelakuan baik, bie akan simpan dia teruslah?"

                         "Sayang, kalau dia baik, lagi senang abang nak lepaskan dia, faham tak? Kita test dia dulu, adakah dia sebaik yang ummi katakan…"

                        "Bie nak test apa?"

                        "Abang sedang fikirlah ni."

                         "Jadi...memang serius bie nak bawa dia ke KL la ni?"

                          "Kita tanya papa dan mama dulu la bab tu?''

                           "I rasa, mama dan papa tak ada masalah sebab, bie boleh tidur di bilik I..Aishah boleh tidur di bilik bie..masih ada lagi bilik kosong di tingkat 2 kalau dia nak tukar bilik."

                           "Ini bukan masalah bilik, sayang. Kita nak bawa madu sayang balik bersama kita ke sana, bukan orang biasa-biasa yang kita nak bawa balik ni.."

                         "Betul jugakkan..kita nak bawa makhluk asing balik."

                         "Nur Aledya Irwani, Abang serius ni. Boleh lagi nak bergurau..abang cancel nak ceraikan Aishah, baru tau."

***********

                        "UMMI tak setuju! Nanti korang buli Aishah, terutama ni ha..perempuan ni, ummi cukup tak percaya dengan dia.." ustazah Maryam bersuara lantang sambil menuding jarinya pada Aledya.

                       "Ummi..tak baik ummi tuduh Ledya tanpa bukti. Ummi selalu ajar kami, jangan berburuk sangka. Sekarang ni..apa ummi?"

                      "Fuad dah pandai melawan cakap ummi, sekarang ni. Perempuan ni yang ajar Fuad, kan?" ustazah Maryam menuding jari pada Aledya lagi.

                      "Astaghfirullah hal azim..ummi!"

                       "Macam ni..kalau ummi tak yakin dengan Ledya, tak apa..Ledya tak kisah. Apa kata ummi ikut sekali?" Aledya mencelah tanpa diduga, dan lagi tak sangka dengan soalan Aledya tu. Fuad berpaling dan bertanya Aledya dengan isyarat mata.

                       "Ila nak ikut, Ila teringin nak tengok rumah kak Ledya. Mesti landskap rumah kak Ledya cantikkan.." Delaila mencelah tiba-tiba. Matanya sudah bersinar kerana rasa teruja.

                        "Hai..kalau semua orang pergi KL, walid nak tinggal dengan siapa?" ustaz Luqman juga turut mencelah. Dalam diam Fuad mengeluh.

                       "Walid ikutlah sekali." Aledya berkata tanpa berfikir panjang.

                          "Sayang, apa ni?" Fuad pula menyoal. Dia mula rasa sangsi dengan pelawaan Aledya. Takkan Aledya nak uji semua ahli keluarga dia?

                          "Bie..mama dan papa, abang long dan kak long dah datang sini, sekarang ni giliran walid dan ummi pula berziarah..lagi pun tak salahkan."

                        "Huh! Ingat ummi teringin sangat nak pergi KL tu!"

                      "Why not ummi? Bukankah dalam Islam saling ziarah menziarahi ini amalan mulia?"

                      "Ehh..kau jangan nak cuba ajar aku pulak. Speaking la sangat. Mat saleh celup!"

                       "Bukan mat saleh la ummi, mek saleh sebab..."

                       "Nur Aledya..." Aledya belum habis berkata, Fuad sudah memanggil nama Aledya dan kepalanya digelengkan. Dia kenal sangat umminya, bila dia serius jangan sesiapa cuba bergurau dengannya.

************

                        MEREKA bertolak dengan dua buah kereta ke Kuala Lumpur. Fuad memandu kereta Camry Aledya. Ustaz Luqman, ustazah Maryam juga Aishah Umirah naik bersamanya. Sepatutnya mereka bertolak ke Kuala Lumpur dengan kapal terbang tapi ustazah Maryam dan Aishah Umirah tidak setuju. Terpaksalah Aledya memberikan arahan pada orang-orangnya untuk membawa kereta dia dari Kuala Lumpur kerana ketika mereka datang ke Johor sebelum ni melalui jalan udara.

                      Aledya pula memandu kereta Myvi ustaz Luqman, dia sanggup berkorban dengan syarat, Aishah Umirah duduk di belakang dengan ustazah Maryam. Manakala, ustaz Luqman pula duduk di sebelah Fuad di tempat duduk depan.

                   "Aik, kata tak nak cemburu?" Fuad menyakat bila mendengar Aledya memberikan syarat tersebut.

                   "Okey..I suruh saja Amir hantar I dan Ila boleh naik kereta dengan bie. Muat lagikan?" Aledya juga sedang menguji Fuad.

                     "Sayang..Aishah tu mahram abang, tapi Amir tu bukan mahram sayang. Ada bezanya tu." Fuad membalas dengan tegas. Sudah tentunya, wajah Fuad berubah seratus peratus. Amir tu bukan boleh harap sangat. Hati Fuad pula yang berdialog.

                     "Tak sama ke?"

                     "Tentulah tak sama!"

                     "Kalau macam tu..."

                      "Cukup! Tak payah nak mengarut sangat. Abang okey saja, semua syarat sayang tu. Sayang kena percaya dengan abang, sebesar kuman..."

                       "I percaya dengan bie..masalahnya I tak percaya dengan ummi, dan I paling tak percaya dengan Aishah tu. Depan I pun dia tergedik-gedik dengan you, di belakang I, lagi teruk gediknya tu. Bie pun..melayan saja gedik dia, kan?"

                      "Sayang ni, cakap saja tak nak cemburu..tapi.."

                        "Elehh..bie tu pun cemburu, baru sebut nama Amir, bie dah melenting."

                        "Amir tu ulat bulu."

                       "Padanlah, Aishah tu ulat beluncas." mereka ketawa serentak.

*************

                        KEDATANGAN keluarga ustaz Luqman disambut dengan meriah dan ramah oleh keluarga Tan Sri Megat Sofian. Mereka dijamu dengan makanan yang ditempah di restoran mewah, malahan Tan Sri Megat Sofian juga menyuruh mereka tinggal di rumah banglo mewah miliknya untuk berehat. Rumah pertama mereka yang masih cantik, juga turut dihiasi landskap, siap dengan kolam renang di hadapan rumah.

                          Hanya Aishah saja yang asyik nak berkepit dengan Fuad. Aledya cuba berfikiran positif dan cuba menerima kenyataan bahawa Fuad harus menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami.

                        "Aishah..saya minta maaf sangat sebab saya memang tak dapat melayan awak sebagai seorang isteri. Cinta, kasih dan sayang saya hanya untuk Nur Aledya Irwani seorang saja." Fuad berterus terang dengan Aishah Umirah. Dia rasa bersalah dengan Aledya kerana tidak dapat menepati janjinya.

                       Sepanjang perjalanan mereka ke Kuala Lumpur, umminya memaksa Aishah Umirah duduk di depan sebelah pemandu. Aishah pula terlalu manja sepanjang perjalanan. Dia melentokkan kepalanya di bahu Fuad, menyuapkan makanan dan minuman pada Fuad hingga Fuad menjadi rimas tapi Fuad tak berani menegah. Umminya pula memuji Aishah Umirah berterusan, di mata umminya, Aishah Umirahlah yang terbaik.

                        "Abang ni tak adil. Aishah pun isteri abang jugak. Dengan perempuan tu, boleh pulak bersayang abang, dengan Aishah ni, saya jer.."

                     "Awak tak faham bahasa melayu ke Aishah? Saya nikah dengan awak sebab ummi yang paksa. Sebesar kuman pun saya tak ada perasaan pada awak."

                        "Perasaan tu boleh dipupuk. Abang saja yang cuba cipta alasan. Aishah ni pun ada hak sebagai seorang isteri."

                         "Awak nak ke, saya ceraikan awak dengan talak tiga, sekarang ni? Saya rimas betullah dengan awak ni!" Fuad mula hilang sabar bila Aishah Umirah terus memaksa dia. Lelaki lain, mungkin akan tergoda dengan pujuk rayu Aishah Umirah tapi Fuad terlalu setia pada Aledya. Selagi dia bernafas, cintanya pada Aledya takkan berubah.

                          "Aishah tahu, Aishah sedar..Aishah ni orang miskin, orang kampung..tak macam perempuan tu, beri abang kemewahan dan segalanya."

                        "Diam Aishah!" Fuad mengangkat tinggi tangannya. Nyaris lagi tangannya itu naik ke muka Aishah.

                      "Tamparlah, kalau berani!" Aishah mencabar kesabaran Fuad.

                      "Siti Aishah Umirah, aku ce..."

                      "Fuad!" ustazah Maryam yang terdengar perbualan anak dan menantunya cepat-cepat bertindak sebelum terlambat. Aishah Umirah menerpa ustazah Maryam dan terus menangis.

                        "Kalau nak jatuhkan talak..bukan macam tu Fuad. Lain kali sebut nama penuh." ustaz Luqman yang mengikut di belakang ustazah Maryam pula yang bersuara.

                       "Abang!!" melenting lagi ustazah Maryam.

                       "Ummi dengan walid jadi saksi, Siti..."

                       "Jangan Fuad! Ummi takkan halalkan susu ummi yang Fuad minum, kalau Fuad ceraikan Aishah."

                     "Allah..." Fuad bersuara lemah. Air matanya sudah bergenang. Dia kalah lagi hari ini.

*********

                    AISHAH Umirah sakit hati, semua rancangannya untuk memiliki Fuad gagal. Fuad tetap setia dengan Aledya. Dia paling sakit hati, bila keluarga mertuanya pulang, dia dipaksa bekerja di tapak semaian.

                     Hari pertama dia bekerja, beratus-ratus anak pokok dimusnahkannya. Selepas anak-anak pokok dicabut dan dikerat-kerat, Aishah memasukkannya ke dalam beg plastik hitam dan dibuang ke dalam tong sampah. Aishah ingat, pekerja lain tak tahu apa yang dia buat. Dia cuma ingin keluarga Aledya jatuh miskin. Dia ingin mereka menanggung kerugian.

                    Aishah tak tahu hal yang sebenar. Dia tak tahu, Tan Sri ada syarikat besar dan selalu menang tender projek jutaan ringgit. Aishah juga tak tahu dia sedang buat dosa besar kerana hasil keuntungan tapak semaian selalu didermakan di rumah kebajikan dan rumah anak-anak yatim. Aishah bukan memusnahkan rezeki keluarga Aledya tapi dia telah membuang rezeki mereka yang memerlukan. Aishah juga tak tahu, kelakuannya bukan saja Allah yang sedang melihat tapi CCTV yang sedang merakam gelagatnya sedang diperhatikan oleh orang juga.

                        "Bie..you turun bilik kawalan kejap..you tengok perangai isteri you tu, apa yang dia dah buat." sebaik saja Aledya menerima panggilan daripada pekerja yang mengawasi CCTV yang ada di setiap ceruk rumah dan tapak semaian, dia segera datang.

                        "Aishah buat apa pulak?" Fuad di hujung talian menyoal, darahnya mula menyirap naik ke muka.

                         "Bie datanglah bilik kawalan, tengok sendiri dengan mata bie..kalau I cerita nanti you kata I fitnah dia pulak."

                       "Yalah..abang datang sekarang." Fuad memutuskan talian. Laju langkahnya menuju bilik kawalan yang terletak di tingkat paling bawah sekali, iaitu bilik rahsia di bawah tanah yang dilengkapi dengan segala alat pengintipan juga berpuluh tv yang menayangkan semua aktiviti di tempat yang telah dipasang CCTV.

                          "Aishah buat apa?" Fuad tidak sabar untuk tahu. Baru saja pintu dibuka, dia terus menyoal.

                            "Bie tengoklah sendiri..."

                            "Allahu Akhbar, berapa sepokok tu?"

                           "Anak pokok tu, kami jual sepokok ikut umur, paling tua umurnya paling mahal. Tapi, masalahnya bukan kerugian tu..semua hasil keuntungan tu milik rumah anak-anak yatim dan rumah orang-orang tua sekitar Kuala Lumpur ni. Kalau untungnya sikit..siapa yang nak tanggung? Bie nak tanggung ke?" Aledya menguji Fuad lagi. Kusut fikiran Fuad.

                         "Aishah ni memang melampau! Report polis!"

                       "Sabar dulu bie, kita bagi dia peluang. Allah pun tak menghukum serta merta.''

                       "Sayang...banyak tu. Sayang nak biar lagi ke? Hari ni hari pertama dia kerja, esok.."

                           "Kita tunggu dan lihat dan bie jangan lupa, I akan tuntut janji I dulu?"

                          "Janji?" Fuad bertanya sambil mindanya berfikir.

                        "Yupp!" Aledya mengangguk dan merenung mata Fuad. Dia tak sanggup lagi untuk berkongsi suami dengan Aishah Umirah.

                         "Janji apa ni sayang?" minda Fuad blurr, banyak sangat masalah yang sedang dihadapinya.

                         "Bie ingatlah sendiri!" Aledya berkata dengan nada tegas. Fuad memerah otak untuk mengingat kembali dan dia sudah mendapat jawapannya. Fikiran Fuad kusut, nak ceraikan Aishah bukan semudah yang disangka, dia perlu berdepan dengan umminya terlebih dahulu. Kalaulah dia mampu untuk pujuk walidnya kahwin lagi? Fikiran Fuad mula melencong dan berdoa sebaliknya. Walaupun hakikatnya dia hanya sekadar berharap agar umminya tahu erti sakit berkongsi suami seperti apa yang dirasakan Aledya ketika ini.

***********

                        USTAZ Luqman tergesa-gesa masuk ke dalam kereta bila dia menerima panggilan kecemasan dari hospital. Isteri keduanya Siti Aminah sudah sakit untuk bersalin. Sudah sepuluh tahun dia berkahwin dengan Siti Aminah tanpa pengetahuan ustazah Maryam.

Setiap kali dia nak pergi ke rumah Siti Aminah, dia akan menipu ustazah Maryam. Dia akan beritahu, dia ada ceramah di tempat yang jauh dan akan pulang seminggu kemudian.

                    Ustaz Luqman memang bijak menutup rahsia. Dia ada dua telefon dan telefon untuk menghubungi Siti Aminah disembunyikan di tempat rahsia. Setakat ini rahsianya berkahwin dua, belum lagi terbongkar. Sepuluh tahun perkahwinannya dengan Siti Aminah mereka sudah dikurniakan dengan lima orang anak dan hari ini, Siti Aminah akan melahirkan anak mereka yang ke enam. Ustaz Luqman suka anak ramai tapi ustazah Maryam tidak mampu untuk beranak ramai. Dua orang sudah cukup, kata ustazah Maryam, akhirnya ustaz Luqman membuka cawangan baru.

                  Allah, selamatkanlah isteri aku. Ustaz Luqman berdoa di dalam hati. Dalam kerisauannya itu, telefon bimbitnya berdering. Melihat nama yang tertera di skrin, ustaz Luqman sudah tahu, siapa yang menelefon.

                 "Ada apa Yam? Abang sibuk ni!" ustaz Luqman bersuara kasar, nada suaranya agak tinggi daripada biasa. Ketika dia sedang tertekan memikirkan isteri keduanya, isteri pertama pula yang menefon, mestilah perasaannya tertekan.

                     "Sibuk apa? Ada orang bagitau Yam, abang tergesa-gesa keluar dari masjid, ceramah pun tak sempat habis." ustaz Luqman mengeluh kasar. Siapa pula wartawan tak berbayar tu?

                      "Saya ada hal sikit." Perlahan sikit suaranya kali ini.

                      "Hal apa?" ustazah Marayam menyoal lagi.

                       "Allah! Ada la hal sikit! Takkan semuanya saya nak report dengan awak?" suara ustaz Luqman kembali meninggi, dia rimas bila terus disoal oleh ustazah Maryam, seolah-olah tembelangnya beristeri dua sudah pecah.

                      "Kalau awak tak report kat saya, awak nak report pada siapa?" suara ustazah Maryam juga bernada tinggi, sama naik dengan ustaz Luqman. Kedua-duanya tak mahu kalah.

                    "Report polis! Saya sedang memandu ni Yam!" ustaz Luqman hilang sabar. Hatinya sedang merusuh kerana risaukan Siti Aminah, Siti Maryam ni pula nak cari pasal.

                   "Ada orang tanya saya di surau tadi tapi saya tak tahu nak jawab, jadi saya nak tanyalah awak."

                  "Hah? Soalan apa? Cepat sikit, sebelum saya kena saman."

                 "Dia tanya, boleh ke tak, solat tak guna sejadah?"

                 "Soalan mudah macam tu pun, awak tak tau nak jawab? Cakap saja, solat tak guna sejadah tak apa, yang tak bolehnya, ada sejadah tapi tak solat! Sudah! Saya nak memandu ni..." terus talian diputuskan. Ustazah pun tak boleh jawab soalan mudah tu? Ustaz Luqman bermonolog sendirian.

*************

                       KEHIDUPAN Fuad di Kuala Lumpur semakin kucar-kacir selepas Aishah Umirah tinggal bersama mereka. Semua pekerja di rumah Tan Sri Megat Sofian dan pekerja tapak semaian sudah mula bergosip kerana perangai Aishah yang kuat mengarah. Dia buat semua pekerja macam orang suruhannya.

                      Kak Min yang berhati baik tu pun sudah pandai bergosip, Fuad terdengar tanpa sengaja ketika dia sedang menuju ke ruangan dapur di tingkat bawah.

                       "Kesian cik Ledya, sudahlah terpaksa bermadu, tinggal pula serumah. Madu dia pula perangai tak semenggah. Menyampah betul, kak Min tengok dia. Dua puluh tahun kak Min kerja di sini, Puan Sri atau Tan Sri tak pernah pun tengking kak Min, tapi perempuan tu..huh! Tak beradab langsung. Mula-mula datang hari tu, muka bertutup, nampak mata saja..sekali tu kak Min jenguk dalam bilik dia..." penuh semangat, siap dengan gaya kak Min bercerita.

                      "Apa yang kak Min nampak?" Sutinah pembantu kak Min bertanya dengan nada tidak sabar.

                      "Biarlah dia..kak Min cerita nanti, jadi dosa pulak."

                       "Ishhh..kak Min ni, suka sangat buat cerita tergantung."

                       "Ko cuma nampak cerita kak Min yang tergantung, dosa kak Min yang bakal dihukum gantung, ko tak nampak?"

                      "Dosa mana nampak kak Min, kalau nampak tentu orang tak berani nak buat dosa."

                      "Hah..ko tahu tak apa!"

                      "Sambunglah cerita tadi, kak Min?"

                     "Ko nampak tak, kerja ko bertambun tu? Pergi basuh pinggan tu!" kak Min memberikan arahan sambil terus berlalu.

                     "Alaa..tak sporting la kak Min ni.." Sutinah bersuara macam orang merajuk. Kak Min berlenggang keluar dari ruang dapur. Apa yang dia lihat memang sangat mengejutkan. Aishah Umirah bukanlah perempuan biasa-biasa. Wataknya sangat luar biasa. Di luar bilik, dia macam seorang perempuan yang sangat warak tapi bila dia di dalam bilik seorang diri, wataknya akan berubah sekelip mata.

                            Kak Min mengelengkan kepalanya. Apa yang dia nampak dua hari lepas, biarlah menjadi rahsia. Nak diceritakan pada orang lain, takut pula menjadi buah mulut orang. Aishah Umirah mengajak lelaki masuk ke dalam  biliknya dan berbisik sesama mereka. Pernah kak Min terserempak Aishah berbual dengan seseorang dengan nada suara yang manja.

                     Aishah tak suka makan apa yang kak Min masak dan dia akan memesan makanan daripada luar. Aishah akan berbual lama dengan lelaki yang menghantar makanannya. Mereka berbisik-bisik sesama mereka dan bergelak ketawa dan bertepuk tampar. Kak Min sudah mula curiga tapi dia tak berani untuk ceritakan pada orang lain.

                  Di dalam biliknya pula Aishah akan melayan filem barat yang ghairah. Mungkin Aishah tak perasan gelagatnya selalu diperhatikan tanpa sengaja oleh kak Min. Memang tugas kak Min untuk mengemas seluruh rumah termasuk bilik Aishah. Kak Min memegang kunci setiap bilik dan dia akan masuk mengemas mengikut masa yang telah diaturnya.

                 Di dalam bilik juga Aishah selalu berpakaian seksi mengalahkan artis barat. Seluarnya selalu seluar pendek yang menampakkan paha dan berbaju T shirt tanpa lengan. Kadang-kadang hanya berbaju blaus bertali kecil yang jarang tanpa pakaian dalam. Kak Min sendiri malu untuk melihatnya.
       
                     Aishah Umirah tidak seperti apa yang orang lain fikirkan. Hanya kak Min yang sudah berpeluang melihat sikap sebenar Aishah Umirah. Namun, kak Min tak suka membuka aib Aishah pada orang lain. Kak Min ada prinsipnya sendiri. Kerana dia sedar, dia juga ada aib yang Allah tolong sembunyikan.

*************

                        USTAZ Luqman resah, anaknya yang baru dilahirkan mengalami masalah jantung. Dia tidak ada wang yang cukup untuk membayar duit pembedahan. Kalau dibiarkan tanpa pembedahan, nyawa anaknya mungkin tak dapat diselamatkan.

                     "Fuad..walid nak jumpa kamu sekejap. Walid ada hal penting ni.." ustaz Luqman hanya terfikirkan Fuad yang berkahwin dengan anak orang kaya. Apa guna ada mertua kaya, kalau tak dapat membantu. Duit puluhan ribu ringgit yang dia perlukan, mungkin tiada masalah bagi mereka.

                   "Hal apa walid?" Fuad bertanya sangsi, walid yang dikenalinya tidak pernah begini.

                   "Kita jumpa dulu, nanti walid ceritakan. Walid ada di KL ni, Fuad datang sini sekarang."

                  "Walid buat apa di KL? Sini tu, di mana walid?"

                  "Masjid Putrajaya, nanti walid terangkan. Datang sekarang ya?"

                 "Baiklah walid, In sya Allah." Fuad terus bergegas mandi dan bersiap. Dia menghubungi Aledya yang sedang berada di tapak semaian.

                 "Sayang..abang nak keluar kejap. Nak pinjam kereta sayang, boleh tak?"

                  "Bie nak ke mana? Kami ada masalah besar kat tapak semaian ni."

                 "Masalah apa pulak ni?"

                "Perempuan ni la, bergaduh pula dengan pekerja di sini."

                     "Perempuan mana?"

                     "Bie! Buat-buat tak tahu pulak? Isteri nombor dua, bie lah…"

                      "Aishah buat apa lagi? Allahu Akhbar, walid nak jumpa abang sekarang ni. Sayang boleh settlekan perkara tu tak? Atau, sayang report saja polis. Abang dah bosanlah dengan masalah Aishah ni."

                       "Jumpa walid? Di mana? I nak ikut?"

                       "Cepat sikit! Abang tunggu dalam kereta." Dua puluh minit menunggu barulah Aledya sampai dalam keadaan termengah-mengah. Fuad memandang saja wajah isteri kesayangannya.

                         "Sorry bie..I terbergaduh dengan sengaja dengan your second wife tu." dalam keadaan nafas yang turun naik, Aledya mengungkapkan kata.

                        "Sayang tak cedera, kan?" Fuad bertanya dalam nada risau.

                        "Okey..belum cedera lagi secara fizikal, tapi jiwa I ni dah parah sangat dah. Hari-hari kena hadap kerenah dia yang tak berapa betul tu."

                       "Report saja polis. Settle masalah."

                       "Nama bie jugak yang buruk nanti."

                    "Nama abang dah lama buruk, sejak dia pijak rumah tu."

                     "I malas nak komen. Bie cakap tadi, nak jumpa walid, di mana?"

                      "Dah nak sampai pun.." Fuad menjawab sambil memuncungkan bibirnya. Kerana terlalu risau, keluar saja ke jalan besar, dia terus memecut laju. Masjid Putrajaya dengan rumah Tan Sri Megat Sofian jaraknya hanya beberapa kilometer saja.

                       "Kenapa eaa walid datang?" sambil membuka pintu kereta, Aledya bertanya lagi. Fuad mengangkat bahu sebagai jawapan, dia sendiri pun tak tahu. Mereka berjalan masuk ke dalam masjid dan Fuad sudah mengeluarkan telefon bimbitnya. Nombor ustaz Luqman didail.

                       "Walid ada di mana? Fuad dah sampai." Soalan terus diajukan sebaik saja mereka  berbalas salam.

                        "Walid tunggu depan masjid." jawapan ringkas ustaz Luqman yang semakin resah kerana perlu menyusun ayat nanti. Kalau boleh, dia tak mahu sesiapa tahu masalahnya..tapi dia tiada pilihan lain.

                       "Assalamualaikum.." Fuad memberi salam sebaik saja menemui walidnya.

                        "Waalaikumusalam." salam dijawab sambil tangan bersalaman.

                         "Oh..Ledya datang sekali." Ustaz Luqman resah dan rasa malu dengan masalah yang sedang dihadapinya, namun dia sedikit lega kalau Aledya dapat membantu.

                          "Ya walid." Aledya berkata sambil menghulurkan tangan untuk bersalam dan tersenyum manis. Penuh sopan dan santun.

                      "Baguslah..mungkin Ledya pun boleh tolong walid. Jom..ikut walid."

                        "Kita nak ke mana walid?" Fuad bertanya ragu-ragu.

                        "IJN..." ringkas jawapan ustaz Luqman

                        "Buat apa?" Fuad menyoal dan merenung tepat ke wajah ustaz Luqman.

                        "Anak walid yang baru lahir, ada masalah jantung Fuad, walid memerlukan duit untuk pembedahan dia. Fuad boleh tolong walid? Pinjamkan walid duit, nanti walid bayar balik."

                     "Apa walid? Anak walid? Maksud walid?" Fuad bertanya kembali. Dia dan Aledya saling berbalas pandang buat seketika.

                      "Anak isteri kedua walid." lemah nada suara ustaz Luqman. Tercengang Fuad mendengarnya. Sekali lagi, dia dan Aledya berbalas pandang.

                   "Ummi tahu?" Fuad menyoal lagi, ustaz Luqman mengeleng lemah.

                     "Allahu Akhbar, boleh perang saudara, kalau ummi dapat tahu ni." Fuad berkata dengan niat untuk bergurau dengan walidnya.

                      "Jangan bagitau dia, Fuad..tak pasal-pasal dia pancung kepala walid nanti." Ustaz Luqman juga menjawab sambil bergurau. Mereka ketawa juga namun Aledya sebaliknya. Dicubitnya lengan Fuad dengan kuat. Mengaduh juga Fuad jadinya. Ustaz Luqman menoleh ke arah mereka dan dia ketawa lagi.

                      ‘’Seronok tak walid, ada isteri dua?’’ tak semena-mena Aledya menyoal, bertujuan untuk menyindir Fuad. Sambil bertanya ustaz Luqman, Aledya menjeling Fuad yang sedang berjalan di sebelahnya.

                         ‘’Sejujurnya..kadang-kadang seronok, tapi dalam masa yang sama bagaikan berada dalam lahar gunung berapi bila walid bayangkan, ummi kamu dapat tahu.’’ Ustaz Luqman menjawab sambil ketawa kecil. Dia menoleh ke arah Fuad dan Aledya silih berganti.

                     ‘’Maafkan walid Fuad, sebab terpaksa ikut apa saja kata ummi kamu. Walid memang tak ada kuasa untuk membantah walaupun walid tahu kuasa mutlak seorang suami tu macam mana. Kamu kenalkan, ummi kamu tu macam mana?’’ sambil meminta maaf, Fuad disoal juga. Fuad hanya mengangguk dan setuju. Kadang-kadang, dia juga rasa bersalah kerana selalu menipu umminya untuk melepaskan diri.

                     ‘’Walid dah lama nak tanya kamu Fuad. Sejak bila kamu kenal Aledya dan macam mana kamu berdua boleh kahwin?’’ Ustaz Luqman menyoal lagi. Dia pun hairan, Fuad yang sangat patuh ini boleh pula membelakangkan ustazah Maryam dan berkahwin dengan Aledya.

                    ‘’Tak lama sangat walid, tapi kalau dah jodoh tu tak ke mana.’’ Fuad menjawab sambil ketawa. Sempat dikerlingnya Aledya.

                       ‘’Pandai kamu Fuad, nampaknya kamu memang anak kandung walid.’’ Ustaz Luqman bergurau lagi.

                           ‘’Kenapa walid cakap macam tu?’’ Aledya yang bertanya mewakili Fuad yang turut keliru mendengar kenyataan ustaz Luqman sebentar tadi.

                         ‘’Anak kandung walid mestilah bijak macam walid, sebab tu kamu boleh kahwin dengan Ledya senyap-senyap. Macam walid yang boleh nikah satu lagi.’’ Ustaz Luqman menjawab sambil ketawa. Hilang seketika segala rasa bimbangnya tadi.


***********


                   MEREKA sampai di Institut Jantung Negara dan Siti Aminah dengan adiknya Mohd Iqbal serta anak-anaknya bersama Ustaz Luqman sudah menunggu di sana. Ustaz Luqman mengambil kesempatan ini untuk mengenalkan isteri keduanya dan anak-anak mereka pada Fuad dan Aledya.

                "Fuad..walid kenalkan, mak uda kamu, Siti Aminah. Ini adik-adik kamu Fuad, Farid sembilan tahun, Farihah lapan tahun, Fasihah enam tahun, Faridah lima tahun, Fatihah dua tahun dan baby yang baru berumur lima hari ada dalam bilik tunggu untuk dibedah. Doktor cuma tunggu borang keizinan daripada walid saja lagi." Fuad tercengang lagi, lama juga dia berjeda sebelum Aledya mencuitnya bila adik-adik Fuad menghulurkan tangan untuk bersalam.

                 "Aaaa..ramainya anak walid." ayat pertama Fuad selepas puas memikir. Ustaz Luqman tersenyum hambar.

                "Ummi kamu tak nak beranak ramai, walid carilah yang boleh beranak." selamba dan tenang saja ustaz Luqman berkata.

                "Berapa walid nak duit untuk pembedahan? Kami memang ada dana untuk yang memerlukan." giliran Aledya pula bersuara.

                  "Sayang, kerugian sayang dah banyak sebab Aishah, takkan sayang nak melabur lagi?" Fuad bertanya sangsi, dia memang tiada duit untuk membantu walidnya tapi, dia juga ada harga diri, takkan Aledya pula yang perlu mengeluarkan duit untuk membiayai pembedahan jantung anak walidnya pula. Fuad diterpa rasa bersalah.

                  "Tak apa, itu bukan duit I. Itu dana yang disediakan hasil keuntungan syarikat papa. Kami memang sediakan dana sejak syarikat ditubuhkan lagi. Papa kata, kalau nak dapatkan rezeki yang berkat kena rajin menderma, sebab tu kami buka tabung dana tu." Aledya memberikan penjelasan dan cuba menenangkan Fuad. Dia faham apa yang Fuad cuba sampaikan.

                 "Allahu Akhbar. Abang malu sangat dengan keluarga sayang." Fuad merasa malu, namun untuk menolak pelawaan Aledya, dia tak berdaya kerana dia juga tak dapat membantu.

                "Kenapa pulak? You tahukan bie, duit dalam bank dengan nama kita tu bukan milik kita sebenarnya tapi duit yang kita buat amal jariah tu la harta kita. Bie tahukan semua tu? Sebab tu la, I berusaha mengumpul harta yang banyak supaya I dapat melabur untuk akhirat. Faham tak?" Aledya pula cuba menyakinkan Fuad agar jangan terasa hati.

                   "Alhamdulillah..payah nak jumpa, orang kaya yang tak kedekut macam keluarga Tan Sri Megat Sofian ni." sempat Fuad memuji keluarga isteri kesayangannya.

                  "Siapa tu bie, I kenal ke?" pertanyaan Aledya membuatkan Fuad dan ustaz Luqman ketawa serentak.

                     ‘’Tak, sayang tak kenal. Abang dengan walid saja yang kenal.’’ Fuad berkata sekadar untuk bergurau dan dia dengan ustaz Luqman ketawa lagi. Aledya mengelengkan kepalanya. Siti Aminah hanya tersenyum sambil meraup muka dengan kedua-dua belah tangannya mengucap syukur yang tak terhingga.

                    ‘’Makan tengahari di rumah mak uda ye, tengahari ni?’’ Siti Aminah bersuara juga, mempelawa Fuad dan Aledya. Mereka saling berpandangan dan mengangguk serentak. Boleh juga berkenalan dengan adik-adiknya lebih rapat lagi.

                  ‘’Di mana rumah mak uda?’’ Aledya yang menyoal dan Fuad hanya menunggu untuk mendengar.

                  ‘’Rumah adik mak uda sebenarnya, tinggal untuk sementara waktu saja sementara menunggu pembedahan selesai.’’ Siti Aminah menjawab sambil menuding jari pada Mohd Iqbal. Dia ada ramai saudara mara di Kuala Lumpur dan salah seorangnya adalah Mohd Iqmal. Memandangkan rumah Mohd Iqbal yang paling dekat, dia menumpang saja di rumah Mohd Iqbal.

                    ‘’Maafkan mak uda kalau menyusahkan..pasal duit pembedahan tu mak uda ucap terima kasih banyak-banyak..tapi mak uda akan bayar balik bila mak uda ada duit nanti.’’ Dengan rasa serba salah Siti Aminah berkata. Dia juga malu kerana baru kenal dengan Aledya dan Fuad mereka sudah mahu menolongnya.

                    ‘’Tak perlu mak uda. Bagilah kami peluang untuk merebut pahala jugak. Sia-sia saja kami kumpul harta tapi tak dapat nak guna.’’ Aledya berkata sejujurnya. Duit itu memang bukan kepunyaannya walaupun dikumpul daripada duit keuntungan syarikat mereka.

                    ‘’Alhamdulillah..bersyukur pada Allah..terima kasih sekali lagi.’’ Siti Aminah berkata lagi dan dia sudah sebak mendengar ayat-ayat Aledya. Allah temukan mereka dengan orang yang betul disaat mereka benar-benar memerlukan bantuan. Ada hikmahnya juga Fuad berkahwin dengan Aledya.

***********

                      AISHAH mengamuk lagi, sebelum ini dia sudah bergaduh dengan pekerja tapak semaian dan ada yang sudah dikejarkan ke hospital kerana cedera, hari ini dia mengamuk bila pekerja tapak semaian mengikat tangan dan kakinya kerana dia bertindak ganas menyerang semua orang.

                  "Setan betullah korang ni! Lepaskan akulah, bodoh!" Aishah menjerit histeria bila pekerja-pekerja tapak semaian mengikatnya, itu pun sebab arahan Aledya.

                     "Kalau dia buat hal lagi, ikat dia! Kalau tak berjaya ikat dia, report saja pada polis. Ledya ada bukti, semua yang dia buat. Jangan bimbang." itu arahan Aledya sebelum dia meninggalkan tapak semaian.

                    "Kau tau tak perempuan, sejak kau datang bekerja di sini, kami rugi beribu-ribu ringgit dan...pokok-pokok yang kau buang tu, kami tanan, baja, meracun dan membelai dengan sepenuh kasih sayang. Senang saja kau musnahkan. Bertahun kami jaga, sehari saja kau jahanamkan usaha kami." Azizah yang merupakan ketua di tapak semaian itu berkata mewakili pekerja-pekerja lain.

                  "Aku tak ingin taulah, semua tu! Aku peduli apa, yang penting sekarang ni..aku nak tengok semua pokok-pokok yang ada di sini, musnah!" Aishah bersuara angkuh. Pekerja-pekerja tapak semaian sudah ada yang mengengam penumbuk.

                   "Kak Zah..cili padi banyak tu, boleh tak, kita cilikan mulut perempuan berlagak ni?"

                   "Ikut suka koranglah. Buatlah apa yang patut." Azizah menjawab selamba. Pekerja-pekerja yang lain sudah tersenyum jahat.

                 "Tapikan kak Zah, rasanya cili burung ni lagi pedas. Kita campur ya?" Asmiza pula menyoal sambil menunjuk ke arah beberapa pasu pokok cili yang berbagai warna, dia antara pekerja yang paling muda dan paling kerap bergaduh dengan Aishah.

                "Binatang! Lepaskan akulah bodoh!" Aishah bertempik lagi.

                 "Kak Zah..dia kata kita binatanglah. Binatang tu tak ada sifat kemanusiaankan?" kali ini Ismail pula yang bersuara. Hatinya sudah panas berbahang. Sudah lama dia menahan sabar dengan sikap Aishah.

                     "Hang tunggu lagi Mail, tu pokok cili tengah berbuah lebat tu." Kirah yang berasal dari Kedah pula berkata dalam loghat Kedahnya yang tak berapa nak pekat. Lidahnya sudah terbelit sejak bekerja di Kuala Kumpur.

                    "Aku pulak? Kaulah! Aku tak nak tanggung dosa. Dia bukan mahram aku!"

                   "Lepaslah! Babi!" Aishah terus memaki hamun pekerja-pekerja tapak semaian yang sedang mengelilinginya.

                    "Babi?" serentak pekerja-pekerja tapak semaian menyoal.

                   "Aku dah rakam semua, aku upload dalam facebook noh, biar kasi viral sikit." Kamarul yang hanya merakam sejak tadi baru bersuara. Mata Aishah terbuntang. Ternyata semua video yang Kamarul upload di dalam facebook sudah viral ke seluruh dunia. Nama Aishah Umirah terkenal sekelip mata. Itulah kuasa media sosial.

                  Aledya dan Fuad yang baru pulang dari Institut Jantung Negara terus menuju ke tapak semaian. Melihat Aishah Umirah yang terikat dan semua pekerja tapak semaian mengelilinginya, Fuad menjadi malu. Fuad melangkah laju mendekati mereka. Dia segera melepaskan ikatan Aishah dan mengangkat Aishah supaya bangun. Semua pekerja yang memerhati merasa tidak senang hati.

                  "Abang..mereka ni memang sudah melampau..mereka.."

                 "Diamlah Aishah!" Fuad memarahi Aishah semula. Aishah yang ingin terus mengadu mengebam bibir menahan geram.

                   "Cik Ledya..maaf.."  Azizah mewakili pekerja-pekerja lain segera meminta maaf.

                  "Okey..tak apa. Bersurai semua dan balik bersiap cantik-cantik. Hari ni kita keluar makan di luar. Saya belanja." Aledya cuba menenangkan pekerjanya. Dia tahu, perasaan mereka telah terluka dengan kelakuan Aishah.

                 "Yess! " mereka bersorak girang. Aishah menarik muka masam. Hatinya sakit dan merasa sangat marah. Niatnya untuk membalas dendam semakin kuat.

               "Sayang..abang balik dulu. Abang tak ikut, tak apakan?" Fuad bersedia untuk membawa Aishah pergi. Dia sudah letih menahan malu dan bosan melihat gelagat Aishah yang keterlaluan.

                  "Okey bie. Beres." Aledya berkata seolah-olah tiada apa yang berlaku. Fuad menarik lengan Aishah dan membawa dia keluar dari tapak semaian. Aledya memandang tanpa riak. Dia terpaksa berlakon tabah di depan pekerja-pekerjanya.

                   "Kesiannya Cik Ledya. Sampai hati Encik Fuad tu." Kamarul berkata perlahan. Aledya berpura-pura tidak mendengar.

                   "Cik Ledya, nak tengok tak..semua video yang saya upload sudah jadi viral dalam semua media sosial." Kamarul menunjukkan video yang telah dimuat naik dan dikongsi oleh beribu orang netizen.

                 "Astaghfirullah hal azim..awak tahu tak Kamarul, menyebarkan aib orang tu satu dosa. Sejak bila kamu upload ni?"

                 "Sejak Aishah tu buat perangai tak senonoh dia la. Dia ingat orang tak nampak agaknya? Tapi..ini yang terbaru, saya dah hantar kesemua group WhatsApp yang saya ada. Kejap ja mereka dah tolong viralkan. Ada yang upload masuk Youtube, Instagram, Facebook dan banyak lagi." tanpa rasa bersalah, Kamarul bercerita dengan rasa bangga.

                     "Bagus sangatlah tu Kamarul. Mereka tolong awak sebarkan, tapi saham dosa tu awak yang tanggung. Semakin banyak disebarkan..semakin banyak saham dosa yang masuk ke akaun akhirat awak." Aledya berkata dalam nada tegas. Dia kesal dengan sikap Kamarul, masih tidak dapat membezakan perbuatan yang baik dan yang buruk.

                     "Cik Ledya baik sangat, sebab tu la encik Fuad pijak kepala. Baru saja kahwin, dah dapat madu. Tak cukup dengan satu. Apa kurangnya cik Ledya ni? Semuanya perfect!" Asmiza menambah rencah rasa. Kata-kata Aledya, mereka buat-buat tak dengar. Lumrahnya manusia, mereka suka menilai dengan apa yang mereka lihat dengan mata kasar. Mereka takkan menyiasat lebih terperinci. Apa yang mereka lihat, itulah yang mereka percaya dan kemudian menilai sendiri.

                "Cukup! Balik bersiap. Kita pergi makan dulu. Saya dah lapar." Aledya cuba menghentikan perbualan mereka dan sekali lagi menyuruh mereka bersurai. Perkara sudah tersebar dan Aledya sudah tidak mampu untuk menolong. Sekarang Aledya hanya berserah pada Allah untuk menentukan nasib Aishah Umirah. Allah lebih tahu, apa yang terbaik!

****************

                   AISHAH memberontak, semua yang dia buat tak kena di mata orang. Apa yang dia buat semua Fuad tak suka. Dia cuba berbaik dengan Fuad, tetap tak dilayan. Fuad hanya layan Aledya, dengan dia nak sentuh pun tak boleh. Fuad hanya suka marah dia. Sebagai isteri, dia juga perlukan kasih sayang seorang suami.

                  "Sayang..ishh..menyampah betul aku. Dengan perempuan tu semuanya sayang, dengan aku ni..Aishah, diam! Aishah, Jangan melampau sangat! Aishah, Awak ni memang tak makan diajar! Semuanya aku yang salah. Kalau dia layan aku elok-elok, aku takkan buatlah semua kerja tak elok tu." Aishah Umirah mengomel sendiri. Hatinya panas, jiwanya rasa terdera.

                   Dia tak pernah rasa sakit seperti ini sejak dia hidup. Dia anak perempuan tunggal dan anak kesayangan keluarga yang selalu dimanja. Ibu dan abahnya tidak pernah memukulnya sejak kecil. Apa yang dia nak semuanya dapat. Enam orang abangnya juga menatang dia bagai minyak yang penuh. Mereka selalu memihak padanya hingga tiada orang yang berani membuli dia.

                   Tapi, hidup dia di rumah mewah ini, dibuli hari-hari. Fuad selalu marahkan dia, hingga pembantu rumah pun selalu mengutuk dia di belakang. Aledya, madu dia..nak pandang muka dia pun tak sudi. Tan Sri dan Puan Sri tak pernah menegur dia. Arman dan Sarita tak pernah ada di rumah, kalau pulang pun waktu malam..jarang terserempak. Rumah ini besar macam istana. Masing-masing buat hal sendiri. Si kembar yang entah nama apa, melihat dia bagaikan melihat hantu, dari jauh lagi mereka sudah melarikan diri. Aishah Umirah tertekan.

                   "Aishah..aku nak bagi warning pada kau, sekali lagi kau cari pasal..aku report polis. Aku sudah hilang sabar dengan kau Aishah. Aku ni menumpang saja di rumah ni tapi kau buat tempat ni macam kau yang punya. Semua orang sudah berani kutuk aku depan-depan." asyik berangan dan mengimbas setiap kejadian, Fuad bersuara garang. Tiada lagi perkataan saya, yang ada cuma aku.

                     "Abang ni berat sebelah. Aishah ni macam kuli di sini. Suruh buat kerja macam hamba abdi. Duit tak bagi pun. Semua Aishah buat salah. Abang tu, dengan Aishah ni pandang pun tak..dengan perempuan tu.."

                      "Ehhh..kau dah buat salah, kau nak salahkan orang lain pulak? Sejak kau datang, rumah yang aman ni pun dah huru-hara tau tak. Aliza pekerja tapak semaian yang masuk hospital tu, sebab apa? Kau yang tolak dia sampai jatuh, tangan dia terseliuh tahu tak. Ni..aku nak tunjuk pada kau, semua video yang mereka dah rakam. Semua bukti dah ada, apa lagi yang kau tak puas hati?" Sambil berleter, Fuad menghidupkan telefonnya. Video yang telah viral di facebook dan WhatsApp ditunjukkan pada Aishah.

                      "Kau nak nafi apa lagi? Kau tahu tak anak pokok yang kau buang tu, harganya ribuan ringgit. Kau ada duit ke nak bayar semua tu?" Fuad terus berleter, ditenungnya Aishah dengan perasaan marah yang membuak-buak.

                     "Semuanya salah abang! Kalau abang layan Aishah dengan elok, semua ni takkan terjadi!" Aishah meninggikan suaranya. Kesabarannya yang hanya senipis kulit bawang itu sudah mula koyak rabak.

                     "Aku jugak yang salah? Apa yang kau harapkan dari aku Aishah, hah? Aku dah bagitau kau dari mula lagi, aku tak cintakan kau. Kalau bukan sebab ummi, aku tak nikah dengan kau, tau tak?" kesabaran Fuad juga turut terkoyak rabak. Ikutkan hatinya nak ditunjal kepala Aishah tu.

                         "Tapi..Aishah cintakan abang. Aishah sayangkan abang. Abang tahu tak, kenapa Aishah sanggup pakai tudung litup, niqab semua ni? Semuanya kerana abang! Aishah nak ambil hati ummi supaya sukakan Aishah. Aishah tak pernah miss ceramah ummi. Aishah paksa diri Aishah untuk pergi tapi abang tak pernah hargai apa yang Aishah buat." Aishah bercerita panjang lebar. Fuad yang sedang mendengar bercekak pinggang. Dia meraup muka berkali-kali.

                        "Apa yang kau buat tu tak ikhlas Aishah! Sebab tu la Allah tak redha. Kau buat kerana aku, bukan kerana Allah!" akhirnya Fuad tunjal juga dahi Aishah hingga terdorong Aishah beberapa langkah ke belakang. Aishah sudah menangis teresak-esak. Dendamnya semakin membara. Dia perlu buat sesuatu untuk melegakan hatinya. Biar padam muka mereka semua.

*******

                       PUKUL satu pagi, semua penghuni banglo mewah ini sudah tidur tapi Aishah Umirah masih berjaga. Dia ada rancangan untuk musnahkan hidup Aledya. Dia sakit hati dan cemburunya sudah tidak dapat ditahan lagi. Perlahan-lahan Aishah menyelinap keluar, dia menuju ke arah kereta Aledya. Dia ingin melakukan sesuatu pada kereta tersebut tapi...

                       Neno neno..pin pin..baru saja disentuh, kereta sudah berbunyi nyaring. Macam-macam bunyi yang keluar. Cepat-cepat Aishah bersembunyi sambil menahan perasaan marah. Dia gagal percubaan pertamanya. Dalam tempat persembunyiannya, Aishah nampak seseorang keluar ke halaman rumah kemudian orang itu menelefon seseorang. Aishah terus memerhati dalam diam.

                       "Ada apa Am?" Aledya keluar bersama Fuad dan menyoal orang tadi.

                          "Tak tau la cik Ledya, kereta ni tiba-tiba bunyi sendiri." lelaki itu menjawab, suara seorang lelaki yang Aishah tak kenal.

                          "Tak pernah lagi kereta ni buat hal." Aledya berkata lagi. Aledya menekan alarm kereta dan berbisik sesuatu pada Fuad, kemudian Fuad pula berbisik pada lelaki tadi. Mereka masuk ke dalam rumah semula dan mengunci pintu. Aishah keluar dari tempat persembunyian. Dia gagal dengan misinya dan terpaksa batalkan niatnya untuk sementara waktu. Aishah menuju ke pintu dan memulas tombol pintu.

                         "Ehh?" Aishah kaget, pintu sudah dikunci daripada dalam. Aishah berdecit geram. Dia menuju ke taman dan masuk ke dalam gazebo mewah yang disediakan. Terpaksalah Aishah tidur di dalam gazebo berbantalkan lengannya malam ini.

                         "Ibu, abah..adik kena buli di sini. Adik nak balik kampung." Aishah mula menangis sambil cuba memejamkan mata. Dalam keadaan dingin, Aishah memeluk tubuhnya sendiri sambil terus menangis.

                        "Tak apa, malam ni misi aku gagal..malam esok aku cuba lagi." Aishah bertekad di dalam hati.

************

                          ALEDYA, Fuad dan Ammar yang menjaga bilik kawalan CCTV masuk ke dalam rumah dan mereka turun di bilik kawalan untuk memeriksa CCTV. Selepas diperiksa, mereka saling berpandangan sesama mereka. Fuad mendengus kasar. Dia meraup mukanya dan melepaskan nafas dengan perasaan marah.

                      "Agaknya, apa yang Aishah rancang, bie?" Aledya menyoal Fuad dan merenung wajah Fuad yang nampak agak tertekan.

                          "Kalaulah abang boleh baca fikiran Aishah tu." Fuad menjawab juga dengan fikiran yang buntu.

                         "I ingat, I nak pasang perangkaplah bie. Boleh tak bie?" sambil memegang dagu, Aledya menyoal. Ammar sudah mengangguk setuju. Fuad yang disoal masih berfikir.

                          "Maksud sayang?"

                          "I teringin sangat nak tahu, apa yang Aishah nak buat."

                          "Sayang perasan tak, kereta siapa yang bunyi tadi? Kereta sayangkan? Itu tandanya, dia nak aniaya sayang."

                         "Sebab tu la, I teringin sangat nak tahu apa yang dia nak buat."

                         "Risiko semua tu sayang." Fuad ragu-ragu.

                         "Apa rancangan sayang?" Fuad tanya juga Aledya. Dia juga ingin tahu, apa yang ada dalam fikiran Aishah.

                         "I rasa, malam esok sebelum masuk tidur I nak tinggalkan kunci kereta atas almari di ruang tamu di depan Aishah, lepas tu kita pura-pura masuk tidur."

                         "Itu saja?" Fuad masih tidak puas hati.

                         "Tak! Kita tunggu Ammar buat laporan, kalau dia call Aishah sudah mula bertindak, kita masuk ke sini dan tengok sendiri apa yang Aishah nak buat. Boleh?"

                            "Bernas juga idea tu? Tapi..tak bahaya ke? Jangan-jangan Aishah nak letak bom ke?" Fuad bertanya lagi dengan niat untuk bergurau dan gurauan dia menjadi. Mereka ketawa serentak selepas itu.

                               "Bie pergilah, jemput Aishah masuk. Mati pulak anak orang tidur dalam kesejukan di luar tu."

                              "Boleh ke?" Fuad bertanya soalan bodoh sambil merenung wajah Aledya dan mengerutkan keningnya. Dia juga melihat wajah Ammar untuk melihat reaksi Ammar.

                             "Kenapa pulak tak boleh?" Aledya bertanya kembali sekadar untuk melindungi perasaan sebenarnya.

                               "Sayang tak marah?" soal Fuad lagi penuh curiga dan hairan.

                             "Perlu ke I marah?" sambil menjungkit kening dan merenung Fuad, Aledya bertanya balas. Fuad mengeleng laju.

                           "Ehh, tak perlu!" Fuad menarik nafas lega dan minta diri untuk berlalu. Ammar mengeleng berkali-kali. Aledya menjeruk rasa lagi. Dalam senyuman di bibir, dia menutup luka hatinya yang semakin parah. Tak ada perempuan yang rela, suami yang dicinta menjemput perempuan lain masuk ke dalam rumah, ditambah lagi perempuan itu sudah mula menunjukkan belangnya.

                          "Tabah betul cik Ledya. Kalau saya di tempat cik Ledya, dah lama saya ganyang perempuan tu."

                          "Marah takkan menyelesaikan masalah Am. Saya keluar dulu, nanti ada orang salah faham pula, lama-lama saya dalam bilik ni."

                         "Tak ada orang yang tengok pun cik Ledya. Semua orang dah tidur."

                          "Allah tak pernah tidur Am. Oklah..Assalamualaikum."

                           "Waalaikumusalam. Ayat cik Ledya, tak pernah tak sentap. Sampai meremang bulu roma saya ni.." Ammar berkata dan ketawa. Memang sentap sangat.

***********

                    DALAM keadaan serba salah, Faud keluar juga untuk menjemput Aishah di luar rumah supaya masuk ke dalam rumah. Tadi Aledya  berbisik kepadanya supaya mereka mengunci pintu untuk melihat siapa yang membuatkan keretanya berbunyi dan mereka masuk menuju ke bilik kawalan untuk melihat melalui CCTV. Ternyata kelibat Aishah yang kelihatan.

                    Fuad memang terasa malu untuk bersemukka dengan semua penghuni rumah ini termasuk Ammar, namun dia tiada pilihan, memandangkan rancangan membawa Aishah ke sini bukan niatnya. Aledya yang merancang semuanya untuk menguji Aishah, adakah dia sebaik yang dikatakan oleh umminya.

                    Fuad berjalan perlahan-lahan menghampiri gazebo mewah di dalam taman sebelah kiri halaman banglo mewah ini. Gazebo ini memang ada tempat untuk tidur di siang hari namun tidak sesuai untuk tidur di malam hari dalam keadaan cuaca seperti hujung tahun ini.

                   "Kau buat apa di sini, Aishah? Dah pukul 1 pagi ni." Fuad pura-pura bertanya sebaik saja dia masuk dalam gazebo. Aishah yang sedang tidur sambil memeluk tubuh, dia hanya pandang sekilas lalu.

                   "Aku tanya ni, jawablah!" bila Aishah diam, hati Fuad yang mengelegak.

                    "Awak peduli apa? Bukannya awak kesah pun kalau saya bagitau awak." Aishah menjawab juga dalam sendu yang masih berirama. Dia mengesat air matanya yang masih mengalir.

                      "Aku bukannya tak nak pedulikan kau..tapi kau tahukan, aku cintakan Ledya? Walaupun begitu, kau tetap tanggungjawab aku. Jom masuk, jangan nak tunjuk sangat perangai kau yang entah apa-apa tu." Fuad terus mengajak Aishah masuk. Tak berani lama-lama, nanti Aledya pula yang kecil hati. Kadang-kadang, Fuad tertekan kerana dia perlu menjaga hati semua orang, sedangkan hatinya seolah-olah diabaikan.

                      "Biarlah Aishah mati kesejukan di sini." Aishah bersuara rajuk, dalam masa yang sama..dia berniat untuk mengambil kesempatan agar Fuad simpati padanya dan menemaninya malam ini.

                    "Kau ingat, kalau kau mati di sini malam ni..aku akan meraung? Kau lupa ke dengan keluarga kau di kampung? Apa perasaan mereka, kalau kau mati? Jangan cari simpati pada orang yang tak sudi Aishah. Tapi..ingatlah orang lain yang terlalu menyayangi kau. Aku ada Ledya, kau mati..aku dan Ledya boleh keluar honeymoon ke luar negara. Kami masih boleh enjoy tapi keluarga kau? Meratap, menangis dan merindukan kau setiap masa." Fuad memberi tazkirah tanpa sedar. Fikirannya hanya nampak Aledya tapi Aishah pula yang masih berdegil.

                        "Abang temankan Aishah tidur, malam ni.." Aishah bangun juga dan berdiri di sisi Fuad. Tangannya sudah memaut lengan Fuad. Perlahan Fuad cuba melepaskan diri.

                      "Maaf Aishah, aku takkan khianati cinta Ledya. Aku sedar tanggungjawab aku terhadap kau tapi aku tak mampu untuk bahagi kasih. Walaupun seribu kali Ledya kata dia redha tapi aku tau hati dia sedang terluka."

                        "Ledya! Ledya! Ledya! Aishah nak hak Aishah sebagai seorang isteri!" Aishah mula bertempik. Fuad mendengus kasar. Bercakap dengan Aishah bagaikan kucing bercakap dengan anjing. Sorang mengiau, sorang lagi menyalak. Kedua-duanya tak faham bahasa. Aishah nak Fuad fahami dia, Fuad juga nak Aishah fahami dia..akhirnya tak selesai juga masalah. Aledya juga yang keresahan, menanti Fuad dengan penuh sabar.

                       ‘’Sebab..hanya nama Nur Aledya Irwani saja yang ada dalam hati aku!’’ Fuad menjawab kasar dalam nada yang sangat tegas. Aishah menutup kedua-dua belah telinganya dan berjalan untuk masuk ke dalam rumah.

                       Aishah melangkah laju dan menaiki lift untuk ke biliknya di tingkat tiga. Fuad yang masih berada dalam gazebo duduk berehat sekejap sambil merenung nasib dirinya sendiri. Air matanya bergenang juga bila memikirkan segala kejadian yang berlaku. Dia rimas, dia letih dan dia ingin mengalah tapi dia tak ada pilihan langsung.

                   Semua pilihan di tangan umminya. Nak ceraikan Aishah, umminya tak izinkan. Nak teruskan perkahwinannya bersama Aishah, dia dan Aledya yang semakin terseksa. Nak dibocorkan rahsia walidnya, nanti walid dan umminya pula yang berperang. Allah..beratnya dugaan.

***********

                          ALEDYA dan Fuad sudah berpakat dengan seisi rumah untuk menahan perangkap. Mereka akan berjaga hingga pagi, untuk melihat apa yang Aishah ingin lakukan. Tan Sri Megat Sofian dan Puan Sri Nouren tidak mahu masuk campur. Sejak Aishah tiba mereka terus mengelak untuk bertembung muka dengan Aishah kerana mereka ingin menjaga hati Aledya.

                       Mereka berdua serba salah kerana Aledya satu-satunya anak perempuan mereka. Tak dilayan, Aishah tu tetamu mereka. Nak dilayan sebaik mungkin, Aishah tu madu Aledya. Mereka faham perasaan Aledya, walaupun dia nampak masih ceria macam dulu tapi hatinya sedang terluka.

                     Aledya memang anak yang nakal. Sebarang masalah tidak pernah mengugat keceriaannya. Dia selalu dikata oleh Arman "Aledya tu otaknya sudah masuk air. Tarak betul sikit." Setiap kali juga Aledya akan membalas semula "Baguslah masuk air, boleh cuci otak selalu kasi bersih. Bila sudah bersih, bolehlah sentiasa berfikiran positif." Aledya, kalau bercakap, dia tak pernah mahu kalah tapi kata-katanya selalunya benar. Tak ada siapa yang boleh pertikaikan.

                   "Kak Min, jaga ruang dapur. Mula-mula ajar Aishah guna dapur sebab selepas dia masuk ke dalam rumah semalam, Aishah terhendap-hendap di ruang dapur. Irqam dengan Irham jaga tingkat dua..kalau ada apa-apa nanti kami call..korang ready saja." kedua-dua kembar mengangguk setuju.

                   "Tinah, Cik Ledya?" Sutinah yang ada bersama mengangkat tangan.

                 "Tinah, ready di tingkat paling atas." Aleady memberikan arahan.

                 "Tinah nak jadi hantu, boleh tak Cik Ledya?" soalan Sutinah buat semua orang ketawa.

                         "Boleh, asalkan jangan jadi jembalang sudah." Aledya sengaja bergurau. Suara ketawa kedengaran lagi.

                         "Habis tu, abang long dengan kak long, nak buat apa?" Arman pula yang menyoal. Aledya tidak menyangka, Arman juga ingin turut serta. Selalunya, Arman lebih serius dalam segala hal. Dia tak suka mencampuri urusan orang lain.

                       "Abang long dengan kak long jaga anak-anak dan bersedia dengan handphone di tangan. Apa-apa hal kami call. Lagi pun kak Min kata, Aishah selalu layan drama thriller dalam bilik, mana tau dia nak bom rumah ni." Aledya cuba bergurau lagi.

                       "Macam tu la isteri kau Fuad. Kepala masuk air, time orang serius..boleh lagi dia bergurau."

                       "Baguslah..kepala masuk air..."

                      "Nanti boleh cuci otak selalu!" Aledya belum habis cakap, Arman, Irqam dan Irham sudah menyambung ayatnya. Ruang bilik kawalan kembali riuh rendah dengan ketawa mereka.

                        "Tau tak apa..tapi versi terbaru ni ada tambahan sikit..lebih baik masuk air daripada masuk setan sebab kalau masuk setan mesti asyik fikir nak menikam orang saja." Aledya meyambung ayat-ayatnya. Semua orang yang mendengar sudah mengangguk. Setuju sangat!
**************

                       AISHAH sudah mengemas beg pakaiannya. Dia yakin rancangannya malam ini akan berjaya. Dia sudah lama berlatih untuk melakukannya. Sejak dia datang ke sini, tekadnya hanya satu iaitu untuk musnahkan Aledya. Sejak kecil, dia dapat apa yang dia mahu tapi Fuad yang sudah lama menjadi tunangnya sudah dirampas oleh Aledya tanpa pengetahuannya. Aishah memang tak puas hati. Kalau dia tak dapat Fuad, biar Aledya juga tak dapat.

                     Malam ni, dia akan praktikkan apa yang dia sudah lihat melalui filem-filem yang dia selalu tonton. Dia yakin sangat, filem itu tak pernah menipu. Perkara pertama yang Aishah buat adalah mengeluarkan beg pakaiannya dan meletakkannya di luar rumah. Kemudian, Aishah naik ke atas bumbung, niatnya cuma satu..untuk musnahkan semua perhiasan kerana dia tak suka melihat tempat itu, yang paling cantik dan selesa dalam rumah ini. Apatah lagi bila dia tahu, keluarga Aledya selalu berkumpul di atas ni dan tak pernah mengajak dia bersama. Aishah naik dengan langkah yang berani, tiada langsung rasa gentar kerana yang membara dalam hatinya hanyalah perasaan marah.

                       Bila dia sampai, dia ternampak bayang-bayang. Aishah hairan, sepatutnya semua orang sudah tidur waktu ini? Kenapa masih ada orang selewat ini? Dalam fikirannya mungkin hanya khayalannya saja namun Aishah tetap bersedia dengan segala kemungkinan. Di tangan Aishah sudah ada pasu bunga yang sempat diambilnya ketika menaiki tangga tadi. Pasu bunga kristal itu akan dijadikan senjata andainya dia diserang. Langkah yang diambil ini juga ditiru dari filem yang ditontonnya. Kebanyakan senjata yang selalu digunakan untuk menumpaskan pihak lawan adalah pasu bunga atau botol.

                    Zupp..ada lembaga putih melintas di depan Aishah dan lembaga itu juga berwajah putih, kerana terkejut Aishah menghentak kepala lembaga itu dengan pasu bunga kristal di tangannya sekuat hati. Lembaga itu terus tumbang dan Aishah semakin marah bila mendengar lembaga itu sedang mengerang.

                   "Padam muka kau! Gatal sangat nak halang rancangan aku. Rasakan!" Aishah bersuara angkuh. Dia tak peduli pun siapa lembaga itu, yang pastinya rancangannya harus diteruskan.

                    Aishah menjahanamkan semua perhiasan di atas bumbung. Semua pasu bunga dicabut pokok bunganya. Gunting yang dibawa bersama, digunakan dengan sebaik mungkin. Aishah puas hati selepas melihat semuanya berantakan. Aishah turun ke tingkat bawah dan membuka semua api dapur dan ditinggalkan begitu saja. Dalam microwave, Aishah masukkan penyembur serangga dan menghidupkannya.

                    Perkara terakhir Aishah buat sebelum keluar daripada rumah, membuat sesuatu pada elektrik di dalam biliknya supaya bilik itu akan mengalami masalah lintar pintas. Sebelum Aishah keluar, Aishah ambil kunci kereta milik Aledya dan kunci kereta milik Arman. Dalam kereta Aledya, Aishah lakukan sesuatu yang ditiru daripada filem dan dia melarikan diri dari rumah agam itu dengan kereta Arman.

                       Sempurna tugasnya, dia keluar sambil bibirnya tersenyum lebar. Dia akan membeli surat khabar pagi esok untuk berita selanjutnya. Selamat tinggal Fuad. Selamat tinggal Aledya dan keluarganya. Aishah Umairah yakin, rancangannya pasti berjaya seratus peratus.

                       Aishah sungguh licik. Dalam mereka berjaga-jaga mereka terlalai juga. Sutinah cedera parah di kepala dan dikejarkan ke hospital selepas ditemui pengsan di tingkat atas. Kak Min juga mengalami lecur dibadan selepas pergi ke dapur untuk menutup api tapi sebelum sempat menutup api, microwave yang meletup terlebih dahulu dan menyebabkan tong gas juga meletup.

                     Keadaan semakin menjadi kacau bila elektik terputus seluruh rumah bila suiz utama terpetik dengan sendirinya bila litar pintas yang berlaku dalam bilik Fuad yang dihuni Aishah sebelum ini mengeluarkan api. Aledya, Fuad dan Ammar terkurung di dalam bilik kawalan selepas elektrik terputus.

                      Mujur Arman berjaya memadamkan api dengan alat pemadam dengan bantuan Irqam dan Irham. Namun begitu, masalah mereka muncul lagi bila Tan Sri Megat Sofian pula diserang sakit jantung kerana terkejut dengan kejadian yang menimpa mereka. Polis, bomba dan anbulance dikejarkan ke rumah mereka. Tiga buah anbulance, lima buah kereta bomba, dua buah kereta polis dan TNB juga dipanggil untuk menyiasat dan perbaiki kerosakan.

                     Selepas TNB tiba dan elektrik pulih semula, Fuad, Aledya dan Ammar yang terperangkap dalam bilik bawah tanah juga diselamatkan namun mereka ditemui dalam keadaan lemah kerana kekurangan oksigen.

                       "Tuan..kereta di luar tu, boleh tolong chek tak..apa yang tak kena?" Fuad bersuara setelah pulih semula dan mampu bernafas dengan selesa.

                       "Kami dah dapat laporan, sebuah kereta telah dilarikan, dua buah kereta lagi telah dipancitkan dan kereta camry telah dipotong brek. Setelah diperiksa seluruhnya..gas helium juga dimasukkan dalam penghawa dingin." seorang pegawai polis yang bertugas menjawab soalan Fuad dengan lancar.

                      "Gas helium?" Fuad bertanya dengan perasaan hairan.

                      "Ya, Gas itu digunakan untuk belon tapi kalau dimasukkan ke dalam penghawa dingin kereta, ketika starter ditekan, pemandu kereta dan semua penumpang akan mengalami sesak nafas dan mungkin akan pengsan."

                       "Boleh menyebabkan kematian tak?" Fuad bertanya seperti orang bodoh.

                        "Mungkin, kalau kereta itu mengalami kemalangan dan semua penumpang cedera parah." polis yang disoal menjawab dengan tenang. Fuad hanya mengangguk. Fikirannya semakin buntu. Dia sendiri tidak menyangka Aishah berjaya menyusun rancangannya dengan licik dan berjaya melepaskan diri.

                          "Tuan! Kami dah berjaya menahan pelaku tuan.'' seorang polis yang berpakaian biasa masuk membuat laporan.

                        "Bagus koperal. Bawa dia ke balai untuk disoal siasat."

************

                      KEESOKAN harinya, muka Aishah Umirah berada di muka depan setiap surat khabar semua bahasa dan beritanya menjadi viral di seluruh media massa dan laman sosial. Aishah Umirah ditahan atas dakwaan cubaan membunuh.

                      Semua orang hairan, bagaimana Aishah dapat melakukan semua kerja itu dalam masa yang singkat? Mereka bertanya sesama mereka. Fuad paling buntu kerana dia tidak menyangka, Aishah yang disangkanya sangat naif mampu melakukan semua ini.

                     "Tuan..boleh saya jumpa dengan isteri saya?" Fuad pergi ke balai polis setelah semuanya selesai. Dia benar-benar ingin tahu bagaimana Aishah melakukannya.

                    "Isteri awak?" polis yang bertugas menyoal kembali.

                      "Ya, wanita yang ditahan kerana kes meletupkan rumah.." Fuad mengeluarkan telefon dan menujukkan berita yang disiarkan dan telah menjadi viral.

                      "Oh..ini isteri encik?" pegawai polis itu menyoal lagi. Fuad mengangguk laju.

                       "Kami dapat arahan, perempuan ni tak dibenarkan berjumpa dengan siapa-siapa pun kecuali peguam dia.."

                       "Arahan daripada siapa?"

                       "Keluarga dia."

                       "Tapi..saya suami diakan?"

                         "Maaf encik, keluarga dia kata..encik yang menyebabkan dia melakukan semua tu." Fuad buntu lagi kerana dia dituduh sebagai penyebabnya.

                         "Okey, saya nak tanya soalan terakhir, dia bersama siapa ketika ditahan?"

                         "Itu rahsia encik." pegawai polis itu menjawab ragu-ragu.

                          "Saya cuma nak tahu saja, lagi pun saya tak yakin..dia buat semua tu seorang diri." Fuad masih berusaha untuk mendapatkan maklumat. Kalau boleh, dia nak tanya Aishah sendiri kerana dia masih tidak percaya Aishah melakukannya seorang diri. Mustahil sangat, wanita selembut Aishah boleh melakukan perkara sekejam itu dan berjaya melepaskan diri. Mesti ada dalangnya?

                          Fuad kecewa, puas dipujuk dia tetap tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan Aishah. Dia perlu bersemuka dengan Aishah kerana hidupnya berantakan disebabkan Aishah. Kalaulah, dia tak bawa Aishah tinggal di situ, tentu semua ini takkan terjadi? Fuad menyalahkan dirinya sendiri.

                        Fuad keluar dari balai polis dan berjalan ke arah jalan besar. Dia tidak datang dengan kereta kerana semua kereta yang ada di rumah Tan Sri Megat Sofian tidak dibenarkan dibawa keluar. Polis masih menjalankan siasatan dan sedang mengesan cap jari. Polis percaya, Aishah tidak bertindak seorang diri.

                       Bummm..Fuad terus melayang di udara dan kereta yang melanggar Fuad sudah memecut laju. Beberapa minit kemudian, Fuad terlantar di tepi jalan dengan keadaannya yang berlumuran darah. Dalam keadaan separuh sedar, air mata Fuad bergenang. Dia nampak umminya, walid, Delaila, Aledya dan seluruh ahli keluarga mertuanya sebelum matanya terpejam rapat.

************

                          ALEDYA rebah sebaik mendapat panggilan dari bilik kecemasan. Tan Sri Megat Sofian masih di ICU, kak Min dan Sutinah juga sedang berada dalam wad khas, berita terbaru..Fuad pula dilanggar lari. Aledya tak kuat untuk terus menerima semua ujian ini.

                       "Sabar Ledya, sabar.." Puan Sri yang sedang memapah Aledya memujuknya. Dia juga terkejut dengan berita yang baru diterima.

                         "Kenapa hubby Ledya mama? Kenapa kita yang diuji?" sambil menangis Aledya menyoal.

                          "Allah bukan nak mendera kita Ledya. Semua ni tanda Allah sayang kita. Kita ketawa selama bertahun-tahun, takkan Allah menguji baru sehari kita dah nak merungut." Puan Sri Nouren terus memujuk. Selama ini Aledya tidak pernah seperti ini, dia sentiasa tabah hadapi semua dugaan.

                       "Tapi..semua kejadian ni berturut-turut mama. Ledya dah tak kuat ma..Ledya rasa.."

                      "Istighfar Ledya, Istighfar banyak-banyak."

                      "Macam mana ni mama? Papa macam mana?" Aledya bertanya dalam keadaan jiwa yang serabut. Nak tinggalkan Tan Sri, itu papanya yang sekian lama hidup bersamanya.

                        "Jomlah, kak long temankan Ledya. Tak apakan mama?" Sarita menawarkan diri. Puan Sri mengangguk setuju. Mereka berdua melangkah meninggalkan bilik ICU. Puan Sri dan Arman berhajat untuk terus menunggu di depan wad ICU. Irqam dan Irham disuruh menunggu di rumah kerana masih ramai polis, bomba dan orang-orang TNB yang sedang menjalankan siasatan. Banglo mewah mereka sudah menjadi tempat larangan dan dipasang tali kuning. Tiada siapa yang dibenarkan untuk masuk sesuka hati.

***********

                       USTAZAH Maryam sudah datang ke Kuala Lumpur bersama Delaila dan Ustaz Luqman. Sepanjang perjalanan dia asyik menyalahkan Aledya. Delaila dan ustaz Luqman terus diam membisu walaupun mereka tahu punca yang sebenarnya. Delaila sudah melihat semua video viral pasal Aishah, dia tak pernah beritahu ustazah Maryam kerana takut tekanan darah umminya naik.

                       Ustaz Luqman pula memang sudah lama menyokong tindakan Fuad berkahwin dengan Aledya. Lebih-lebih lagi kini, dia sudah tahu siapa Aledya yang sebenarnya. Tapi, memihak pada Aledya di depan ustazah Maryam bukan satu tindakan yang betul. Biar masa menentukannya dan biar masa yang membetulkan keadaan.

                    "Ummi dah cakap, daripada dulu lagi, kalau nak nikah tu tengok sama..orang macam mana. Tu sebab dapat isteri yang banyak dosa la tu, sampai jadi macam ni." ustazah Maryam mengutuk Aledya berterusan.

                    "Aishah tu bagus, isteri solehah, isteri yang taat..apa kata suami, semuanya dia ikut. Ingat senang nak jumpa isteri macam Aishah tu, sanggup ikut suami walaupun terpaksa tinggal serumah dengan madu dia. Kalau ummi la dapat madu macam betina KL tu, pakai pun tutup tak habis, harapkan baju saja mahal dan cantik tapi tak ikut syariat, huh..dah lama ummi ganjang." Ustazah Maryam terus membebel tanpa henti. Ustaz Luqman buat-buat tak dengar. Delaila sudah memasukkan phone telinga dan melayan video dalam facebook.

                   "Sekarang ni kita nak buat apa? Apalah nasib Fuad tu, ada dua orang bini tapi terlantar atas katil hospital. Seeloknya, ceraikan saja Aledya tu, biar Aishah yang jaga Fuad. Aku lebih percaya Aishah daripada budak KL tu. Aishah tu warak, orang warak ni doa cepat makbul. Kalau yang sorang lagi tu, tak tahulah..jangan-jangan solat pun tak."

                    "Awak ni Yam, dah banyak sangat ke pahala awak nak sedekah percuma pada Ledya tu. Sejak kita bertolak tadi, sampai sekarang, awak asyik membebel saja. Cukup-cukuplah tu." akhirnya ustaz Luqman hilang sabar juga.

                         "Awak tahu apa? Awak bukannya pandai nak menilai orang. Asalkan muka lawa, semuanya baik di mata awak." Ustazah Maryam bersuara angkuh, sambil menyindir Ustaz Luqman.

                       "Awak tu pandai menilai sangatlah? Kalau bukan kerana Ledya dan Pian, kita dah lama merempat. Awak ingat sama asal usul kita Yam. Kita ni menumpang saja di tanah mereka tu."

                    "Itu jugak yang awak ungkitkan. Harta semua tu bukannya boleh bawa mati. Ada harta banyak pun, belum tentu lagi boleh masuk syurga."

                  "Awak yakin ke, awak tu penghuni syurga Yam?" ustaz Luqman bertanya dalam nada geram. Nak diberitahu perkara sebenar, dia tak mampu, hanya mampu berkias saja.

                  "In sya Allah. Sekurang-kurangnya saya ni walidnya pakai baju dan tudung mengikut syariat. Solat di masjid setiap waktu. Berzikir, bertahmid, buat solat-solat sunat, puasa sunat..."

                     "Itu semua tidak menjamin syurga Yam! Kalau awak asyik pandang serong pada orang lain, kalau ada pun pahala dalam akaun akhirat awak, sikit hari nanti akan habis juga disedekahkan pada orang lain.."

                     "Awak ni kenapa? Itu salah, ini salah..sebelum ni awak tak pernah pun tegur saya?" ustazah Maryam terus melenting. Dia hairan kerana ustaz Luqman sudah tidak memihak padanya lagi. Selama ini, apa kata dia..suaminya hanya mengiyakan saja.

                   "Pasir di tepi pantai pun berubah Yam.." tenang saja ustaz Luqman menjawab balas.

                   "Kenapa dengan walid kau Ila?" soalan ditujukan pula pada Delaila.

                       "Ila sokong walid, ummi. Apa yang walid kata tu semua betul. Kita tak boleh menilai orang melalui pakaian. Kita.."

                       "Kau tahu apa! Kalau tak menilai melalui pakaian, nak menilai melalui apa?" ustazah Maryam memotong kata-kata Delaila.

                      "Ummi..kak Ledya tu baik orangnya. Percayalah Ila, ummi akan menyesal kalau selalu sangat puji kak Aishah tu." Delaila cuba membela Aledya dan ingin bercerita tentang hal yang sebenarnya tapi..

                      "Kenapa dengan Aishah? Apa yang kurangnya Aishah tu?" Ustazah Maryam lebih pantas memotong kata-kata Delaila.

                     ‘’Nanti ummi akan tahu sendiri. Allah akan tunjukkan pada ummi segala apa yang kak Aishah tu dah buat..’’ perlahan Delaila menjawab.

***********

                         "YA Allah..Allahu Akhbar..anak ummi. Kenapalah kau diuji macam ni?" ustazah Maryam terus menangis sebaik saja melihat keadaan Fuad yang berselirat dengan wayar. Kepala Fuad dibalut dan Fuad disahkan koma oleh doktor yang merawatnya.

                        "Ummi.." Aledya datang menghulurkan tangan untuk bersalam. Mata Aledya sudah bengkak kerana asyik menangis.

                        "Semuanya salah kau! Kalau Fuad tak kahwin dengan kau dan tinggal di Kuala Lumpur ni, nasib dia takkan jadi macam ni! Kau goda dia, ajak dia kahwin lari..sekarang kau tengok, apa dah jadi dengan dia!" Ustazah Maryam terus menengking. Dia terlupa di mana dia berada. Ustaz Luqman dan Delaila yang malu dengan gelagatnya.

                     "Cukup Siti Maryam!" ustaz Luqman bersuara tegas.

                       "Lebih baik kau berambus! Aku tak mau tengok muka kau! Mana Aishah? Aishah mana? Aku nak jumpa menantu aku, Aishah! Tentu kau yang halang dia tengok Fuad, kan?" ustazah Maryam terus menuduh Aledya membuta tuli. Ustaz Luqman beristighfar. Delaila menarik umminya dan menyuruh ustazah Maryam duduk.

                       "Ummi, janganlah macam ni. Malulah, orang tengok. Kita di hospital ni ummi. Janganlah bising..." Delaila cuba menenangkan ustazah Maryam.

                    "Mak cik, tak baik menuduh tanpa bukti." Sarita yang simpati melihat Aledya, cuba membela Aledya.

                   "Kau tu hindu, apa yang kau tau! Ini hal aku dengan menantu aku, jangan masuk campur!" garang suara ustazah Maryam.

                    "Eh mak cik, kalau mak cik tak dapat nak bezakan agama dengan bangsa, jangan nak tunjuk pandailah. Hindu tu agama mak cik..saya ni agama Islam. Orang muslim macam mak cik jugak. Saya solat, saya puasa jugak. " Sarita mula hilang sabar. Orang tua ini memang sudah melampau. Macam dia sorang saja yang betul.

                     "Aku peduli apa, kau tu orang luar..jangan masuk campur hal keluarga aku." ustazah Maryam tidak mahu kalah. Bagi dia, Sarita tidak berhak untuk campur tangan.

                     "Mak cik, Allah tak pernah membezakan hamba-hambaNya, yang membezakan kita hanya amalan mak cik." Sarita masih berkata dengan tenang. Dia tak mahu terlalu emosi dalam keadaan ini.

                    "Kau tu baru setahun jagung masuk Islam, ada hati nak ajar aku." Ustazah Maryam menjawab balas dalam nada yang sangat angkuh. Ustaz Luqman malu dengan gelagat ustazah Maryam dan Delaila sedang cuba meredakan kemarahan umminya.

                    "Sekurang-kurangnya, saya tak menghina orang, macam mak cik." Sarita mula menyindir secara halus.

                  "Kurang ajar!" hati ustazah Maryam sudah mengelegak. Pandai pula melawan perempuan ni?

                   "Sudahlah kak Long.." Aledya cuba meredakan keadaan. Delaila dengan ustaz Luqman pun tak dapat nak menghentikan ustazah Maryam. Mereka juga tewas.

                   "Orang macam mertua adik ni memang kena brain wash kasi bersih sikit otak dia tu. Bila otak dah ada setan, semua orang buruk di mata dia. Dia ingat bila dia pakai tudung litup..dia sudah cukup alim. Alim tahi minyak macam tu, mulut macam longkang!" Akhirnya, bertemu juga buku dengan ruas. Sarita hanya berkata melalui apa yang dia lihat. Kemarahan ustazah Maryam semakin meledak. Belum sempat dia membalas semula, Delaila menunjukkan video Aishah yang digari. Tujuannya supaya umminya berhenti menghina Aledya.

                   "Ummi..kak Aishah tak sebaik yang ummi sangka." Delaila berkata perlahan, cuba memujuk ustazah Maryam.

                "Semuanya ni fitnah! Ummi tak percaya!" ustazah Maryam terus menolak telefon yang Delaila tunjukkan dan menafikan semua kata-kata Delaila.

                  "Kalau ummi tak percaya, ummi tengok video ni pula..semua video ni dah tersebar ummi. Kak Aishah tu bukannya orang baik." Delaila buka video yang lain pula, yang sudah tersebar di dalam group whatsApp.

                  "Video edit ni Ila! Jangan percaya semua ni!" ustazah Maryam masih ingin menegakkan benang yang basah.

                     "Assalamualaikum.." Siti Aminah muncul tiba-tiba dan dia datang disorong di atas kerusi roda kerana dia melahirkan melalui pembedahan. Mendengar saja Fuad kemalangan, dia bergegas datang bersama adik dan lima orang anaknya.

                  "Mak Uda, Mak Uda sihat?" Aledya bangun menyalami Siti Aminah. Sarita juga menghulurkan tangan untuk bersalaman walaupun dia tak kenal siapa Siti Aminah.

                 "Yam..kalau tadi, Yam kata fitnah dan edit..abang nak kenalkan Yam dengan seseorang dan reality hidup. Kenalkan, madu awak Siti Aminah dan anak-anak abang." ustaz Luqman mengambil kesempatan ini memperkenalkan isteri keduanya. Ustazah Maryam terus kelu.

                 "Kami dah sepuluh tahun nikah dan kami dah ada enam orang anak. Minah masih dalam pantang anak ke enam kami." ustaz Luqman berkata lagi. Walaupun dia tahu tsunami mungkin bertandang tapi dia tetap bersuara dengan tenang.

                      Badai tsunami melanda seperti yang dijangka, ustazah Maryam mengamuk sebaik menghadam semua kata-kata ustaz Luqman dengan gegaran gempa bumi berskala 9.3 skala ritcher.

                          "Apa? Isteri? Anak-anak?" bergegar kaki lima bilik ICU dengan suara ustazah Maryam.

                       "Dengan izin siapa, awak nikah lagi?" ustazah Maryam berkata lagi sambil menerpa ustaz Luqman. Disepaknya ustaz Luqman dengan sekuat kudratnya tapi ustaz Luqman sempat mengelak.

                      "Sabar kak, jodoh, ajal dan maut Allah yang tentukan." Siti Aminah bersuara cemas. Orang lain yang tak ada kena mengena tercenggang.

                    "Sabar kau kata? Kau rampas suami aku, kau suruh aku sabar?" ustazah Maryam menyerbu ke arah Siti Aminah pula. Ustaz Luqman cepat-cepat menghalang.

                   "Cukup Yam! Awak jangan jadi gila! Ingat sama, sifat amarah tu sifat setan. Istighfar Yam, istighfar!" nada suara ustaz Luqman juga meninggi dan sama naik dengan nada suara ustazah Maryam.

                   "Oh..senang awak cakapkan? Istighfar? Awak dah duakan saya, awak suruh saya istighfar? Selama ini saya percayakan awak. Saya yakin, awak suami yang baik." ustazah Maryam terus mengamuk. Dia ingin menangis tapi dia tak mahu dilihat terlalu lemah. Hati dia sakit, bagaikan sedang ditikam dengan belati paling tajam.

                    "Awak yang paksa saya duakan awak Yam! Awak tahu, saya suka anak ramai tapi awak kata cukuplah dah ada sepasang. Awak tahu, saya suka memasak dan menolong emak saya mengemas rumah tapi awak control saya, awak kata semua tu kerja perempuan, awak buat saya macam orang bodoh, itu tak boleh..ini tak boleh. Saya bukannya budak-budak Yam. Awak ingat, bila awak layan saya bagaikan raja, saya akan suka? Awak silap Yam! Saya rimas Yam! Semua keputusan awak yang tentukan. Saya sebagai suami dan walid, langsung tak ada kuasa." ustaz Luqman meluahkan semuanya.

                    "Ummi..walid, tolonglah. Kita di tempat awam ni. Kita di hospital sekarang ni." Delaila mengingatkan, dia yang malu melihat pertengkaran kedua-dua orang tuanya.

                     "Apa ni? Ini hospital bukannya medan perang!" dua orang pengawal keselamatan datang dan cuba memberi amaran.

                     "Kau diam! Berambus! Ini hal aku dengan suami aku!" ustazah Maryam bersuara garang. Pengawal keselamatan pun dihalaunya.

                   "Mak cik yang perlu berambus." dua orang pengawal keselamatan sudah bertindak. Mereka mengheret ustazah Maryam keluar.

                  "Beratnya, mak cik makan batu ke?" salah seorang pengawal keselamatan bertanya. Ustazah Maryam meronta-ronta.

                          "Aku agak, mak cik ni 93kg ada kot!" mereka sengaja menaikan kemarahan ustazah Maryam.

                         "Oh..patutlah bergegar sakan tadi, rupa-rupanya ada gegaran gempa bumi dahsyat." mereka berdua terus bergurau sesama mereka.

                          "Lepaslah! Bodoh!" ustazah Maryam menjerit geram. Orang sekeliling mula memerhati.

                          "Sabarlah mak cik, sampai di luar nanti kami lepaskan mak cik." pengawal itu berkata sambil ketawa.

                        "Tak guna betul! Aku saman korang semua!" ustazah Maryam bertempik lagi.

                         "Mak cik ingat, mak cik seorang saja ke boleh saman. Ini hospital mak cik, tempat orang sakit. Nak lepaskan tension bukan di sini. Wad sakit mental di bangunan satu lagi. Bangunan ni untuk orang yang sakit tenat saja mak cik. Bukan untuk orang gila."

                        "Apa? Aku bukan gila la bodoh..$%&4$#@-+"'*;!?" ustazah Maryam terus menyumpah seranah.

                        "Mail..kau tengok mak cik ni, harapkan tudung saja labuh, tapi mulut bukan main lagi. Bahasa makhluk asing dari planet mana yang dia cakap tu? Kau tahu tak?"

                        "Macam pernah ku dengar, tapi di mana ya?" pengawal yang mengheret ustazah Maryam keluar masih terus bergurau sesama mereka.

                           "Sampai dah ke destinasi mak cik. Selamat beristirehat yer mak cik." ustazah Maryam terus dicampak keluar tanpa belas kasihan.

                         Orang ramai yang menonton drama spektra tersebut mula bersoksek sesama mereka. Ustazah Maryam ingin menjerit untuk melepaskan segala amarah dalam hati tapi dia tak tahu pada siapa harus dilepaskan marahnya. Mana Delaila? Mana ustaz Luqman? Tak ada seorang pun yang ikut dia keluar. Hati ustazah Maryam semakin terdera. Sampai hati mereka.

**********

                       DELAILA duduk di sebelah Aledya selepas ustazah Maryam diheret keluar. Dia rasa bersalah dengan apa yang terjadi.

                       "Kak Ledya, maafkan ummi ya." Delaila memulakan kata, tangan Aledya digapai dan diusap lembut.

                      "Akak faham Ila, tak apa ke dengan ummi tu? Ila pergilah keluar tengok ummi, nanti dia merajuk pulak." Aledya membalas sambil tersenyum. Dia memang kecil hati tapi ustazah Maryam tu ummi Fuad, ibu mertua dia.

                     "Biarlah ummi tu sejuk dulu kak. Kalau Ila keluar, nanti ummi terus membebel tanpa henti. Kalau tak ada orang untuk dia bebel, sejuklah tu." Delaila berkata sambil tersenyum. Sungguh pun umminya begitu, tapi kadang kala umminya boleh juga dibawa berbincang. Mungkin hari ini, umminya benar-benar tertekan dengan semua masalah yang datang? Delaila bersoal jawab di dalam hati. Dalam sedih dia tetap ingin berfikiran positif.

                           "Abang Fuad macam mana? Kak Ledya ok tak? Ila tengok berita tu, Ila pun tak sangka kak Aishah tu macam tu. Ila rasa, kak Aishah tak buat kerja tu seorang diri." Delaila berkata lagi dan memberikan pendapatnya.

                            "Maksud Ila?" Aledya bertanya sambil merenung wajah adik iparnya itu. Delaila terus mengeluarkan telefonnya dan membuka sesuatu.

                               "Kak Ledya cuba baca komen-komen ni, Ila rasa kak Aishah berpakat dengan abang-abang dia.." Delaila menghulurkan telefonnya pada Aledya.

                             "Baca komen yang bawah tu, orang tu kata, dia kenal kak Aishah sebab kak Aishah tu memang pernah join abang-abang dia untuk pecah rumah orang. Kata orang tu lagi, ayah kak Aishah bekas ketua kongsi gelap. Abang-abang dia pun, semuanya ada fail kes jenayah." Delaila berkata dengan penuh perasaan. Semua orang yang ada bersamanya mula tunjuk minat termasuk Sarita, ustaz Luqman dan Siti Aminah.

                           "Boleh percaya ke semua ni, Ila? Takut fitnah saja ni?" Aledya menyoal ragu-ragu. Dia mula mengimbas kembali apa yang mereka lihat malam itu sebelum elektrik terputus.

                            "Semua objek manusia yang kami nampak dalam CCTV malam tu pakai jubah hitam, tudung labuh hitam dan niqab. Bentuk tubuh pun sama besar. Tak ada yang meragukan..cuma.." Aledya pegang dagu.

                            "Mereka semua berada di tempat berbeza dalam masa yang sama.." Aledya menyambung kata.

                             "Kan? Mencurigakan? Cuba akak bayangkan mereka semua tu sengaja menyamar sebagai kak Aishah dan membantu kak Aishah laksanakan mission dia malam tu. Kalau dia lakukan seorang diri, macam imposible berjaya dalam sekelip mata. Kereta tu, Ila dengar pembaca berita tu kata, wayar brek dipotong dan dimasukkan gas dalam penghawa dingin kereta. Semua tu meragukan kalau kak Aishah buat sendiri. Rumah kak Ledya tu besar, kecualilah kalau dia ada ilmu boleh..apa tu? Berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain dalam masa sesaat."

                             "Telepot ya?"

                             "Entahlah? Telepot ya kak?" Delaila menyoal Aledya kembali. Aledya mengangkat bahu sebagai isyarat, dia pun tak pasti.

                           "Ila..daripada kamu berbual pasal Aishah, ada eloknya kamu bersalam dengan Mak Uda kamu ni dulu." ustaz Luqman mencelah. Dia tak berminat nak tahu pasal Aishah tapi dia perlu kenalkan Delaila dengan Siti Aminah.

                        "Mak Uda?" Delaila menyoal. Daripada tadi lagi dia ingin menyoal tapi dia terlupa.

                      "Isteri kedua walid." ustaz Luqman bersuara perlahan.

                     "Walid ni boleh tahan, kan? Diam-diam ubi, dekat rumah tu, pijak semut pun tak mati. Apa kata ummi, semua walid jawab..baiklah Yam. Dalam diam-diam walid, dah ramai anak walid?" sambil melihat wajah seorang demi seorang adik-adiknya.

                      "Jangan- jangan walid pun ada ilmu telepot tak? Boleh berpindah ke rumah Mak Uda sekelip mata.." Delaila berkata dengan niat untuk bergurau.

                         "Walid berguru dengan P.Ramlee dalam filem Madu Tiga." ustaz Luqman pun bergurau juga sambil memberi isyarat pada Delaila supaya bersalam dengan Siti Aminah. Kemudian Siti Aminah pula menyuruh anak-anaknya bersalam dengan Delaila.

                       "Mak Uda, Ila nak tanya..di rumah Mak Uda, walid masak ke? Pandai ke walid masak?"

                       "Ehh..walid ni pernah jadi chef tau, dulu." ustaz Luqman yang menjawab sambil ketawa.

                       "Pandai! Walid masak, cenggini." Farid pula bersuara sambil mengangkat ibu jari.

                      "Tengok tu, Farid pun puji walid."

                      "Walid masak apa?" Delaila menyoal lagi.

                      "Macam-macamlah. Walid pernah masak nasi goreng, mee goreng, meggi goreng, bihun goreng.." Fasihah juga ingin berbual sama.

                      "Yang goreng saja ke?" Delaila bertanya lagi dan memandang wajah ustaz Luqman dengan penuh persoalan. Dia baru tahu watak walidnya yang ini.

                       "Ada lagi..walid pernah masak nasi daging, nasi tomato, masak merah ayam, masak kicap ayam.." Farid pula yang menjawab.

                       "Tak aci la macam ni..kak Ila pun nak rasa jugak, masakan yang walid masak." Delaila pura-pura merajuk, sengaja dimuncungkan bibirnya.

                         "Nanti ikut Mak Uda balik rumah Mak Uda." Siti Aminah berkata mesra. Delaila berfikir sejenak, kemudian dia mengeleng.

                         "Tak boleh. Kalau Ila ikut, kena bawa ummi sekali."

                          "Baik tak payah." ustaz Luqman yang membalas kata-kata Delaila. Suasana kembali sepi.

***************

                    USTAZAH Maryam meradang bila dia nak masuk semula untuk melihat Fuad tapi dia dihalang. Mendidih darahnya melihat dua orang pengawal keselamatan yang mengheretnya tadi. Dia hendak menghubungi Delaila tapi telefonnya pula kehabisan bateri. Terpaksalah dia menunggu di tempat rehat yang disediakan.

                      "Mak cik ni Ustazah Maryamkan, emak Ahmad Fuad yang dilanggar di depan balai polis?" dua orang lelaki datang menegur ustazah Maryam.

                       "Kenapa?" ustazah Maryam menjawab acuh tak acuh.

                       "Ahmad Fuad dah sedar, mak cik? Kami berdua ni kawan dia." salah seorang daripada lelaki itu bertanya penuh tertib.

                         "Eh..tak nampak ke, aku pun tak boleh masuk tengok!" suara ustazah Maryam meninggi sedikit. Hatinya masih sakit lagi.

                         "Kenapa pulak?"

                           "Korang ni yang banyak soal sangat, kenapa?" ustazah Maryam menyoal balas. Sebal betul hatinya, datang menyoal dia dengan soalan yang dia sendiri tak ada jawapannya.

                           "Sajalah, nak tahu jugak keadaan dia.."

                            "Masuklah tengok sendiri!" ustazah Maryam semakin meradang. Dia pandang belakang mencari Delaila atau pun ustaz Luqman. Kedua-duanya tidak juga nampak bayang. Panas hati dibuatnya.

                            "Macam ni la mak cik, apa kata mak cik ikut kami." salah seorang lelaki itu berkata, lelaki seorang lagi mengangguk.

                            "Nak pergi mana pulak? Aku bukannya kenal korang pun." ustazah Maryam berkata dengan perasaan curiga.

                             "Yalah..mak cik nak masuk tengok Fuad tak boleh. Anak perempuan mak cik dengan suami mak cik pun tak keluar cari mak cik. Mereka tengah seronok berborak, bergelak ketawa di dalam tu. Mak cik sorang-sorang saja, kena tunggu di sini. Kalau mak cik ikut kami, boleh juga pergi makan-makan." mereka cuba mengumpan ustazah Maryam dengan kata-kata mereka.

                              "Biarlah. Aku lebih rela duduk di sini daripada ikut orang yang aku tak kenal."

                             "Mak cik kenal Aishahkan? Mak cik nak pergi jumpa dia tak?" dua orang lelaki tadi terus berusaha untuk mengumpan ustazah Maryam.

                              "Korang ni siapa?" ustazah Maryam mula menengking. Rimas betul, nama Aishah pula yang mereka sebut.

                            "Mak cik tak kenal kami?"

                           "Siapa?"

                           "Abang Aishah, menantu mak cik."

                           "Aku tak ada menantu nama Aishah. Menantu aku orang baik-baik. Menantu aku takkan buat perkara tak elok."

                              "Mak cik..Aishah buat perkara tak elok, sebab Fuad dengan madu dia tu buli dia. Mereka jadikan dia sebagai hamba abdi. Dera dia di rumah besar tu. Semua kerja rumah, Aishah yang kena buat. Kalau mak cik jadi Aishah, mak cik nak terima saja ke semua tu?"

                              "Korang jangan nak fitnah anak aku! Fuad takkan buat perkara macam tu!"

                             "Ok..katalah Fuad tak buat, isteri dia..anak orang kaya tu, macam mana? Di depan mak cik ja dia berlakon baik, pijak semut pun tak mati. Di belakang mak cik, disepak terajangnya Aishah tu. Mak cik pernah ke tengok orang kaya yang baik hati? Sanggup tumpangkan madu sendiri di rumah besar mereka? Dia ada motif mak cik, bila dia suruh Aishah tinggal dengan dia.."

                            "Mana korang tahu, semua ni?" ustazah Maryam terus menyoal. Hatinya ingin percaya tapi mindanya masih menegah supaya jangan percaya dengan mereka.

                             "Kamikan abang Aishah, kami ada bukti mak cik. Untuk pengetahuan mak cik, kami sentiasa ada di sisi Aishah. Hari-hari Aishah call kami dan mengadu semua masalahnya."

                               "Laa..kalau macam tu, kenapa korang tak ambil Aishah bawa balik awal-awal lagi. Dah jadi macam ni, bukannya boleh undur dah." sedikit demi sedikit, ustazah Maryam termakan hasutan dua orang lelaki itu.

                              "Korang nak bawa aku jumpa Aishah, di mana?" ustazah Maryam menyambung ayatnya. Dia sudah bangun untuk ikut mereka berdua. Sebelum tu dia pandang lagi ke arah bangunan bilik ICU. Tak ada juga bayang Delaila ataupun ustaz Luqman.

                            "Kami sewa rumah di Kuala Lumpur ni. Ibu dan abah pun ada sekali. Kami dah ikat jamin Aishah, sebab polis tak ada bukti kukuh." mereka terus berkata dengan yakin. Ustazah Maryam mengangguk dan perlahan-lahan kakinya melangkah pergi.

                              "Korang berdua, tak nak masuk tengok Fuad dulu ke?" sempat lagi ustazah Maryam menyoal sebelum mereka melangkah jauh. Dua orang lelaki itu saling berpandangan dan kemudian kedua-duanya terus mengeleng kepala.

***********

                    DELAILA keluar setelah puas beramah mesra dengan adik-adiknya. Sekian lama dia hidup, ini kali pertama dia rasa perasaan ini. Rasa bahagia lain macam sebab selama ini dia terlalu sunyi tanpa kawan.

                       Ustazah Maryam tidak membenarkan dia keluar berkawan. Banyak sungguh pantang larangnya. Kalau ada kawan-kawannya yang datang ke rumah, ustazah Maryam akan menyindir secara berdepan kalau pakaian mereka tidak menepati syaratnya.

                        Delaila hanya berkawan dengan novel saja. Dia akan membeli novel online dan akan menyuruh Fuad bank in. Fuad yang banyak membantu dia. Kadang-kadang, bila dia terlalu bosan, dia tipu juga ustazah Maryam. Dari rumah, dia ajak Fuad keluar..kononnya ada barang peribadi yang dia nak beli tapi bila sampai di pekan, dia dan Fuad akan berpecah haluan.

Delaila akan berjumpa dengan kawan-kawannya dan mereka akan keluar ke bandar, untuk tengok wayang dan sebagainya. Bab duit, walid dan Fuad yang selalu menghulur.

                       Bila waktu pulang, Delaila akan berjanji dengan Fuad untuk pulang bersama. Kadang-kadang, mereka akan pulang bertiga bersama walidnya juga. Ustazah Maryam takkan menyoal apa-apa, asalkan jangan pulang dengan orang luar.

                      "Di manalah ummi ni?" Delaila bermonolog sendiri. Dia meninjau sekitar tempat rehat di depan bangunan. Bayang ustazah Maryam pun tidak ditemui.

                      "Pak cik, tumpang tanya..boleh tak?" Delaila bertanya pengawal keselamatan yang sedang berada di pondok pengawal.

                      "Adik dah tanya pun, nak tanya apa lagi?" pengawal keselamatan yang sedang bertugas berloyar buruk. Delaila tersenyum hambar.

                       "Pak cik tahu tak, arah mana wanita yang diseret keluar tadi pergi?" Delaila tanya dengan perasaan waswas, harap-harap pengawal keselamatan tu tak berloyar buruk lagi.

                      "Mak cik yang gemuk tu ka? Hat pakai tudung labuh dengan jubah hitam tu?" Delaila terus mengangguk.

                      "Kalau mak cik tu, tadi aku dok perati jugak dia. Lepas tu dia ghaib. Tapi bukan ghaib meresap la. Dia jalan kaki ikut dua orang lelaki. Depan tu depa naik gheta, lepas tu gheta jalan..gheyuppp..teruih hilang." Delaila mengaru dahinya sendiri. Dia bingung dengan apa yang cuba disampaikan oleh pengawal keselamatan ini.

                      "Awat cik? Perempuan tu sapa?"

                    "Hah? Err..pak cik boleh tak, jangan cakap dalam loghat Kedah, sebab saya tak berapa nak faham sangat."

                    "Laa..aku bukan cakap dalam loghat Kedah. Aku ni mai daghi Penang, takkan aku cakap loghat Kedah pulak."

                      "Tolong ulang sekali lagi, boleh tak? Pasal mak saya tu."

                      "Mak hang? Oh, hat mak cik gemuk tu ka? Aku kata tadi, mula-mula dia keluar tadi, dia dok tunggu bawah pondok tu. Hang nampak dak, pondok depan tu?" sambil jari telunjuknya menunjukkan tempat rehat di depan bangunan bilik ICU.

                     "Nampak pak cik.."

                     "Haa..dia tunggu tang tu la. Hang tau dak, tang tu apa?"

                    "Yer pak cik, mak saya tunggu dekat situ yer?"

                    "Haa..betoi, betoi, betoi..."

                   "Lepas tu pak cik?"

                    "Lepas two..three laa.." Delaila sudah meradang dalam hati, main-main pula pak cik ni.

                  "Serius la pak cik, mak saya ke mana?"

                        "Mana aku tau, dia pi mana. Aku nampak dia naik gheta dengan dua orang lelaki. Aku tak tanya pun depa pi mana. Awat hang tak habaq awai-awai. Kalau dak, mesti aku tanya dah, depa nak pi mana." pengawal keselamatan itu terus melalut. Delaila menarik nafas panjang. Dia rasa seolah-olah yang sedang bercakap sekarang ni ayam dengan itik saja.

                    "Pak cik cam tak, muka dua orang lelaki tu?" Delaila tanya juga soalan seterusnya.

                    "Hang nampak dak, tu..ada CCTV, kalau aku tak cam..CCTV tu mungkin cam." pengawal keselamatan itu menuding pula jari telunjuknya ke arah CCTV di atas yang dipasang di bangunan depan mereka. Delaila menghela nafas lemah.

                    "Ila..kenapa adik? Ummi mana?" Aledya yang baru keluar dari bangunan yang sama, menyoal.

                  "Entahlah kak, Pak cik ni cakap..ummi ikut dua orang lelaki."

                   "Siapa?"

                  "Tak tahulah kak, Ila tak faham sangat, pak cik ni cakap apa."

                   "Kenapa pulak? Pak cik guard tu cakap bahasa apa?"

                   "Dia cakap loghat Kedah."

                  "Oh..awat tak habaq. Loghat Kedah, akak terror ar.."

                   "Ehh..akak orang Kedah ke?"

                      "Papa dengan mama akak orang utara."

                       "Oh.."

                       "Tengok akak..biar akak pula jadi penyiasat persendirian." Aledya berkata sambil ketawa.

                        "Assalamualaikum pak cik, nak tumpang tanya sikit, boleh dak?"

                        "Ni lagi sorang, dia dok tanya dah..dia boleh tanya..boleh dak nak tanya lagi?" Aledya terus ketawa mendengar ayat-ayat pengawal keselamatan yang berbelit-belit.

                         "Dak aih..saya nak tanya, tadi adik saya ni tengah cari mak kami, pak cik nampak dak..dia pi arah mana?"

                         "Oh..mak hang ka? Awat nampak lain muka hampa. Tak dak iras pun?" pengawal keselamatan itu tak terus menjawab, malahan dia menyoal Aledya kembali. Sabar sajalah.

                         "Ya pak cik, tak iras tu sebab mak cik tu emak mertua saya, adik ni adik ipar saya. Pak cik nampak dak, mak mertua saya tu pi arah mana?"

                         "Maap noo..bukan tak mau habaq, depa pi arah mana..sebab lepas depa keluar naik gheta, pak cik tak dan nak tengok depa pi kona kot mana. Hang tak mau habaq awai-awai. Kalau dak, pak cik boleh tolong jadi James Bond.." Aledya ketawa lagi dan dia memandang Delaila. Tak tahu nak kata apa, dia terus ketawa.

                       "Kenapa kak Ledya? Pak cik tu cakap apa?"

                       "Ummi dah keluar, naik kereta dengan lelaki. Tak tahu dia pergi arah mana."

                         "Akak tanya la, wajah lelaki tu macam mana?"

                       "Kejap." Aledya mengangkat tangan dan menoleh semula ke arah pengawal keselamatan tadi.

                       "Pak cik..saya nak tanya lagi ni. Lelaki tu muka depa macam mana. Pak cik boleh tolong bagi gambaran dak?"

                       "Gambaran pak cik..tak ingat sebab pak cik tak tengok betoi-betoi."

                      "Laa..awat pak cik tak tengok betoi-betoi. Macam mana nak jadi James Bond. Orang yang nak jadi James Bond, mata kena jadi mata helang." Aledya cuba bergurau, mengikut cara pak cik tu.

                     "Hamboi..hang perli pak cik nampak?"

                    "Lawak ja pak cik. Jangan maghah naa. Terima kasih naa..pak cik."


***********

                      DELAILA dibawa ke banglo pertama keluarga Tan Sri Megat Sofian selepas mereka gagal mencari ustazah Maryam. Kehilangan ustazah Maryam dilaporkan kepada polis selepas 24 jam dia gagal ditemui. Dalam masa yang sama Aledya menyuruh juga orang-orang kepercayaannya keluar mencari.

                   Aledya dan Arman mempunyai sebuah agensi penyiasatan untuk suka-suka. Sejak kecil mereka sukakan cabaran. Bilik kawalan di bawah tanah tu mereka yang cipta dengan kerjasama orang-orang mereka. Tapi, kesilapan mereka bilik itu hanya boleh dibuka dan ditutup bila ada elektrik saja dan bilik itu hanya dibuka mengunakan kod rahsia atau cap jari Aledya dan Arman.

                   "Akakk..Ila nak tanya sikit, boleh tak?" bila mereka berdua-duaan, Delaila suka bertanya itu dan ini yang menjadi persoalannya.

                  "Nak tanya apa?" Aledya menyoal semula.

                   "Akak cakap, mama dan papa akak orang utara tapi hari tu masa di rumah kami walid kata, tapak rumah kami tu tanah papa walid. Ila tak fahamlah. Boleh akak terangkan tak?"

                       "Long story, kalau akak nak cerita. Sebulan pun tak habis."

                       "Akak ringkaskanlah."

                        "Kisahnya macam ni, tapak rumah Ila tu dulu tanah pusaka sebelah atok belah papa akak. Lepas emak papa akak..I mean nenek akak meninggal, atok akak kahwin lain dengan janda anak satu dan bawa mereka tinggal bersama di tanah pusaka atok akak tu. Lepas tu, atok akak dengan nenek tiri akak meninggal kerana excident. Papa akak cuma ada abang tiri dia saja, masa tu papa kata dia masih kecil lagi tapi abang tiri dia tak nak jaga dia dan halau dia dari rumah, sehelai sepinggang."

                        "Kejamnya abang tiri papa akak, tak kenang budi langsung." Delaila berkata bila Aledya berhenti sejenak.

                      "Lumrahlah tu Ila..okey akak sambung semula. Bila papa akak dihalau dari rumah, ada orang jumpa papa dan bawa papa ke Perlis tapi bila papa ada di Perlis, dia jumpa dengan saudara mara nenek akak yang tinggal di Kedah. Saudara mara nenek akak yang jaga dia sampai dewasa."

                       "Habis tu, mama akak orang mana pulak?"

                       "Mama akak anak mami Penang."

                        "Macam mana mereka boleh kahwin?" Delaila masih ingin tahu.

                       "Dah jodoh mereka. Asam di darat, ikan di laut dalam kuali, bertemu juga." Aledya menyanyi-nyanyi dengan suara perlahan sambil menjungkit keningnya.

                      "Ila teringin juga nak tahu, macam mana keluarga akak boleh jadi kaya raya."

                   "Oh..Ila nak jadi kaya jugak ke? Petuanya senang ja Ila. Rajin sedekah tapi bila tangan kanan menghulur, tangan kiri tak boleh tahu. Menderma dalam diam."

                    "Mesti papa akak rajin mendermakan?"

                   "Mana boleh cakap, rahsia." Aledya berkata sambil meletak jari telunjuk di bibir.

                     "Tak jugak, Ila oii..bukan sebab menderma saja. Nak kaya, kenalah rajin usaha. Papa akak dulu cuma kerja sebagai tukang kebun saja. Sebab minat mendalam dengan pokok, papa buka tapak semaian..dengan tapak semaian tu papa akak dapat duit. Dengan duit tu la papa akak buat modal untuk bina syarikat landskap. Lama-lama syarikat tu berkembang, hinggalah papa dan mama ambil keputusan untuk pindah ke KL ni." Aledya sambung bercerita.

                          "Soalan terakhir. Macam mana abang akak bertemu jodoh dengan kak ipar akak tu?" Delaila bertanya lagi sambil tersenyum lebar. Memang sudah lari daripada topik asal mereka.

                        "Abang long, kan bekerja di Pejabat Agama, sesekali dia terbabit untuk mengajar mualaf baru untuk mengucap dua kalimah syahadah, so secara tak langsung..mereka bertemu, bermain mata, falling in love dan kahwin."

                        "Macam tu jer?"

                       "Tak jugak..ada lagi la rintangannya. Tentangan keluarga dan sebagainya. Dahlah, Ila ni..akak nak melawat abang Fuad di hospital. Ila nak ikut tak?"

                       "Nak!"

                      "Pergi bersiap cepat!"

                      "Ok kak..tunggu kejap ja."

****************

                        SUDAH dua hari ustazah Maryam ditinggalkan di rumah usang ini. Kerana terlalu mempercayai, dia ditipu lagi. Dia benar-benar percaya dengan apa yang dua orang lelaki itu kata.

Dua hari lepas, selepas dia sampai ke kereta, dalam kereta itu sudah menunggu dua orang lelaki. Dia diapit di tengah-tengah oleh dua orang lelaki yang membawanya. Ustazah Maryam memberontak dan marah-marah kerana mereka bukan mahram. Haram hukumnya duduk berdekatan seperti itu.

                    "Korang buat apa ni? Aku nak keluarlah, kalau kena apit macam ni. Korang tu bukannya mahram aku. Berdosa tau tak?"

                    "Mahram tu apa mak cik? Kami ni kureng sikit ilmu agama ni tapi kalau ilmu pecah rumah orang, kami pakarlah. Dulu pernah juga kami pecah rumah mak cik, tapi di rumah mak cik habuk pun tarak." lelaki yang berada di sebelah kiri ustazah Maryam berkata sambil ketawa.

                      "Kurang ajar! Lepaskan akulah! Aku nak turun!" ustazah Maryam bertempik dan meronta-ronta.

                        "Ikat dia!" lelaki di depan menghulur beberapa barang dan lelaki di sebelah kiri menyambutnya.

                         "Kita nak ke mana, bang long? Perempuan ni nak diapakan?" lelaki di sebelah kanan bertanya sambil mengikat tangan ustazah Maryam selepas mengilas tangan ustazah Maryam ke belakang.

                       "Korang nak buat apa ni?"

                        "Diamlah orang tua! Kerana kau, adik kesayangan kami masuk lokap, tau tak? Kalau kau tak nikahkan Aishah dengan anak jantan kau yang tak guna tu, Aishah takkan kena tangkap!''

                         "Apa pulak aku yang salah? Aku........" ustazah Maryam baru saja nak membela diri, mulutnya sudah ditampal gam plastik berwarna hijau.

                      "Mulut kau ni lebih baik digam. Sekarang ni bukan masanya kau nak berceramah lagi. Masa kau untuk ceramah dah habis. Kerana ceramah kaulah, adik aku ikut ke mana saja kau pergi." lelaki di sebelah kanan bersuara lagi. Mereka berempat ketawa serentak.

                      "Kau tau tak mak cik, Aishah tu ikut kau pergi ceramah sebab dia dah lama gilakan Fuad hingga dia sanggup menyamar jadi jantan dan potong rambut dia sampai pendek untuk bekerja di bengkel kereta Amir, sebab di bengkel tu dia boleh jumpa Fuad setiap hari. Tapi, Fuad tu pandang dia pun tak." lelaki yang sedang memandu kereta bercerita.

                     "Aishah tu seumur hidup tak pernah lagi tak dapat apa yang dia nak. Sebab dia pernah dengar Fuad kata, mak dia hanya nak cari menantu yang warak jadi Aishah sanggup pura-pura warak dan ikut pergi ke mana saja surau atau masjid yang mak cik ceramah." lelaki di sebelah pemandu pula menyambung cerita. Terkebil-kebil mata ustazah Maryam mendengarnya.

                          "Tapi..mak cik yang perasan baik dan warak ni dah hancurkan hidup adik kesayangan kami tu. Selama ni, kami belai dan manjakan Aishah tu. Bagi apa saja yang dia mahu, tapi lepas dia nikah dengan Fuad, anak jantan tak guna mak cik tu dah persiakan dia. Aishah dilayan bagaikan anjing kurap. Fuad tu tak pandang dia langsung. Cinta Aishah ditolak mentah-mentah."

                          "Sekarang ni padan muka Fuad tu, aku dah langgar dia tergolek tepi jalan. Hahahaha.." bila lelaki sebelah kiri habis bercerita, lelaki yang memandu kereta pula menyambung. Hati ustazah Maryam semakin mengelegak tapi dia tak mampu nak buat apa-apa pun. Dia juga tak mampu untuk bersuara dan membalas semula.

                          "Kita nak bawa orang tua ni ke mana, abang long?" lelaki di sebelah kiri bertanya lagi. Dia melihat keluar tingkap, hanya hutan yang ada di sebelah kiri dan kanan jalan.

                         "Tempat persembunyian aku dulu. Port tu orang takkan jumpa. Biar orang tua ni mampus dalam rumah buruk tu!" Kereta terus bergerak hingga ke destinasi. Empat orang lelaki terus bercerita sesama mereka tentang kejayaan mereka memecah rumah, mengedar dadah, menculik kanak-kanak dan menjual mereka ke sempadan. Ustazah Maryam hanya mampu beristighfar dan berdoa.

************

                   USTAZAH Maryam terus berzikir dan beristighfar. Setiap kali perutnya berkeroncong, dia akan membaca surah Al-Ikhlas hinggalah perutnya yang pedih terus hilang. Dia dahaga, dia lapar..hanya pada Allah dia bergantung. Nasibnya, ajal dan mautnya di tangan Allah. Selain berzikir, ustazah Maryam juga beristighfar tanpa henti. Allah menguji mesti bersebab, salah satunya untuk menghapuskan dosa. Mungkin aku banyak dosa yang aku tak sedar.

                   Dalam keadaan lemah, lapar dan dahaga..ustazah Maryam cuba mengimbas semula masa lalunya. Suaminya ustaz Luqman menyalahkan dia kerana dia layan ustaz Luqman bagaikan raja. Di mana salahnya dia? Semua yang dia buat, diajar oleh arwah ibunya dulu. Jadi isteri orang kena taat, layan makan dan pakai suami. Rumah mesti teratur bersih. Samseng dan penyangak berempat tu cakap, rumah aku habuk pun tarak. Maknanya rumah aku sudah cukup bersih hingga habuk pun tak ada?

                    Makanan, aku yang sediakan atau Delaila yang masak. Fuad dan ustaz Luqman pinggan makan mereka pun aku tak izinkan mereka basuh sendiri. Aku layan mereka bagai menatang minyak yang penuh. Ikutkan hati aku, makan mereka pun aku nak suapkan.

                    Ya Allah, apa yang tak kena dengan layanan aku? Apa yang kurang? Aku buntu sangat. Aku layan ustaz Luqman suami aku bagaikan raja tapi dia tetap hadiahkan aku madu dan enam orang anak tiri.

                     Aku layan Fuad sebagai tuan putera dalam hati aku tapi dia tetap kahwin lari dengan perempuan bandar yang aku tak suka. Aishah, aku sayang dia sejak dulu dan percaya sangat pada dia tapi apa yang keluarga dia buat pada aku?

                         Aku ditinggalkan di tengah hutan di rumah tinggal ini. Ya Allah, Kau lindungilah aku, rahmatilah aku dan bagilah aku peluang untuk membetulkan kesilapan. Hantarlah orang untuk selamatkan aku. Ustazah Maryam terus berdoa. Dia juga terus mencari kesalahan dalam dirinya. Dia tak nampak pun, apa yang salah cuma kesilapan dia yang paling besar adalah terlalu percaya hingga dia ditipu dan dibuang di sini.

                        Sedang dia menitipkan doa, dia terdengar suara orang bercakap di luar. Dia ingin menjerit minta tolong, tapi mulutnya masih ditampal dengan gam plastik. Hendak bangun, tangan dan kakinya sedang diikat, ditambah pula kudratnya yang semakin kurang. Dia sudah lemah tidak bertenaga. Ya Allah, tolong aku. Aku merayu Ya Allah. Berilah aku peluang untuk bertaubat. Ustazah Maryam terus berdoa.

                       "Ada oranglah! Kawan-kawan aku jumpa oranglah!" terdengar seseorang berkata. Ustazah Maryam terasa lega. Pasti dia akan diselamatkan.

                       "Perempuanlah kawan-kawan. Apa kita nak buat dengan dia?" suara itu berkata lagi.

                        "Kesiannya dia, dia kena ikatlah kawan-kawan. Kita selamatkan dia yok!" suara lelaki dan kali ini suara itu berbeza daripada tadi. Ustazah Maryam buka mata luas-luas, untuk melihat dengan matanya wajah suara-suara itu.

                        "Awak ada ok ka?" seorang lelaki bertanya sambil mendekatkan wajahnya ke wajah ustazah Maryam. Pukkk..kepalanya ditampar oleh salah seorang lelaki yang lain.

                       "Kau mau tanya dia, buka dulu la penutup mulutnya. Apa la.." sambil berkata, lelaki itu membuang gam plastik di mulut ustazah Maryam. Sekali rentap saja sudah terkeluar. Ustazah Maryam terus mengaduh. Bibirnya sudah merekah kerana kekurangan air.

                    "Haek (awak), okey tak? Mahu kandek(kami) tolong?" ustazah Maryam tidak tahu untuk menjawab apa. Dia sudah tiada kudrat langsung, walaupun untuk bersuara."

                        "Dia orang melayulah. Cakap melayulah." lelaki lain pula berkata.

                        "Air..air.." perlahan dan lemah suara ustazah Maryam.

                        "Bagi dia air..." lelaki ketiga mencuit kawannya yang memegang bekas air yang dibuat dari buluh.

                        "Kandek orang sini..kampung kandek dalam hutan ini. Kandek orang asli..kalau mahu kandek boleh tolong haek..bawak haek balik rumah." Pukk..sekali lagi kepala lelaki yang bercakap itu dipukul. Dia menoleh kepada kawannya. Mereka bercakap dalam bahasa asing yang ustazah Maryam tak faham.

                        "Bukalah tali di kaki dan tangan dia. Lagi satu, cakap bahasa dia la supaya dia faham. Cakap bahasa kita mana dia faham."

                         "Aku sudah cakap bahasa dialah ni.."

                        "Haek, kandek tu kau ingat dia faham, maksud apa?"

                       "Oo..dia tak boleh faham ka?"

                       "Dia tak jawab pun kau tanya, dia tak fahamlah tu.."

                       "Itu macam ka?'' Dalam mereka berbual, ikatan di tangan dan kaki ustazah Maryam dibuka. Mereka memapah ustazah Maryam meredah hutan. Sejam kemudian, mereka sampai di sebuah perkampungan orang asli. Ustazah Maryam dirawat dan diberi makan dan minum.

                      Kebanyakan makanan yang diberi pada ustazah Maryam adalah buah-buahan seperti betik dan pisang, ubi kayu dan ubi keledek rebus. Air pula dihidang dalam labu yang dibuat daripada tanah liat. Ustazah Maryam tiada pilihan, melainkan makan saja apa yang dihidangkan. Walaupun orang asli yang selamatkan dia bukan beragama Islam, seperti dirinya. Apa yang penting, dia harus makan untuk meneruskan hidup.

************

                  SEMINGGU berada di perkampungan orang asli, ustazah Maryam mula rasa sesuatu yang belum pernah dia rasa sebelum ini. Ketenangan jiwa yang luar biasa, walaupun dia berada dalam kelompok orang bukan Islam. Mereka yang tidak menutup aurat dan mengamalkan pergaulan bebas. Hatinya seakan terubat melihat kehidupan orang asli di sini. Dia cuba bertanya pada diri, apa yang Allah ingin sampaikan padanya?

                     Lama dia berfikir dan merenung dan akhirnya dia menbuat satu kesimpulan. Jangan menilai manusia, melalui pakaian, rupa, agama dan bangsa mereka. Sepanjang dia berada di sini, mereka tidak pernah menyoal dia. Agama, bangsa ataupun dia kaya atau miskin. Mereka tetap beri dia makan dan minum setiap hari. Mereka layan dia tanpa memilih siapa dia. Allahu Akhbar, tiba-tiba ustazah Maryam merasa malu pada diri sendiri. Melihat diri dia sekarang, barulah dia sedar, dia dengan orang lain tak ada bezanya malahan dia mungkin lebih teruk daripada orang lain.

                   "Haek..mari makan. Ini aja yang ada." Ipung anak perempuan Epit memanggil ustazah Maryam. Ustazah Maryam tersenyum dan mengangguk. Di sini dia tak banyak bercakap, dia lebih banyak termenung dan berfikir.

                   "Kenapa haek(awak), tidak sedapkah makanan yang yeak(saya) jamu?" Ipung menyoal kerana bimbang makanan mereka tidak menepati citarasa tetamu mereka.

                   "Sedap Ipung, sedap sangat Ipung masak. Terima kasih." ustazah Maryam menjawab sambil tersenyum. Satu lagi perubahannya sejak dia berada di sini, dia sudah pandai tersenyum walaupun hanya dengan sedikit hal kecil. Dia ingin mengambil hati mereka yang sudah menyelamatkan nyawanya.

                      "Ipung..kandek mau keluar ke pekan, tanya itu..dia mau ikut ngak? Kalau-kalau dia mau pulang." Didi anak lelaki Aris melaung dari bawah rumah. Ustazah Maryam dan Ipung yang berada di beranda menoleh ke arah Didi.

                    "Haek..mau ikut ngak, mereka nak ke pekan? " Ipung bertanya Ustazah Maryam pula.

                   "Boleh tak, kalau saya nak tinggal di sini, lama sikit? Ipung benarkan tak?"

                     "Boleh, boleh..Ipung suka. Ipung suka, sebab Ipung ada kawan mau cakap-cakap sama Ipung." Ipung bersorak riang. Ustazah Maryam tersenyum lagi.

                    "Didi..tak mahu, dia tak mahu ikut. Dia suka kawan dengan Ipung. Dia nak tinggal dengan Ipung."

                     Ustazah Maryam tersenyum lagi mendengar kata-kata Ipung. Walaupun perkampungan orang asli ini di tengah hutan belantara tapi hidup mereka aman harmoni. Ustazah Maryam bukannya tidak mahu pulang tapi dia masih ingin mencari diri sendiri di tengah kelompok orang bukan Islam. Dia ingin melihat kehidupan mereka yang kebanyakannya bersikap lurus bendul.

                       Mereka hidup dalam keadaan yang sangat sederhana. Dapat makan ubi kayu rebus pun, mereka sudah rasa gembira. Sepanjang seminggu dia berada di sini, belum pernah dia melihat mereka makan makanan haram. Makanan yang dihidang padanya juga hanya sayur dan buah. Kalau ada makanan berdarah juga tidak diragui seperti ikan sungai, rusa, kijang dan ayam hutan. Mereka juga tak minum, minuman yang memabukkan. Mereka tanam sendiri teh dan pokok kopi. Mereka proses sendiri makanan mereka.

                         Padi juga mereka tanam di atas bukit berdekatan kampung mereka dan mereka tuai dan proses sendiri menjadi beras. Tidak ada makanan mewah di sini tapi ustazah Maryam sendiri hairan kenapa dia rasa selesa tinggal di sini. Kalau boleh, selagi tiada orang yang datang mencarinya dan mengajak dia pulang, dia takkan pulang.

                      "Boleh Ipung tanya?"

                      "Tanyalah Ipung."

                       "Haek selalu buat apa tu, berdiri, bangun, duduk..kemudian angkat tangan sambil nangis. Orang sini tak pernah buat macam tu. Haek saja yang buat. Haek tutup semua badan haek." Ipung berkata dengan mimik muka sekali. Serius benar wajahnya.

                     "Solat Ipung, kami orang Islam wajib bersolat sehari lima waktu."

                      "Tapi..Ipung tengok tengah malam pun haek buat juga, sampai nangis sungguh-sungguh."

                    "Itu solat sunat tahajud. Dalam Islam, ada ibadah wajib dan sunat. Yang wajib tu kalau tak buat berdosa, kalau buat dapat pahala. Tapi kalau ibadah sunat, buat dapat pahala berganda tapi kalau tak buat, tak dapat apa."

                    "Pahala? Apa tu?" sekali lagi Ipung bertanya, semakin bersemangat ustazah Maryam untuk bercerita.

                      "Pahala tu ganjaran untuk akhirat nanti. Ipung tahu tak, kita ada dua dunia. Satu dunia, di sini yang kita tinggal sekarang ni dan kita panggil bumi. Bumi ni hanya tempat persinggahan kita yang sementara saja. Dunia satu lagi akhirat tapi yang tu dunia sesudah kita mati. Selepas semua orang atas bumi ni mati, Allah iaitu Tuhan semua makhluk atas bumi ni akan gulungkan langit dan hancurkan bumi. Kita yang mati tadi akan dihidupkan semula dan akan dikumpulkan di Padang Mahsyar."

                      "Lepas kita mati, akan hidup semula..termasuk Ipunglah?" ustazah Maryam mengangguk dan dia juga sudah persiapkan diri andai Ipung terus menyoal.

                    "Ipung tahu tak, Padang Mahsyar tu sangat luas sehingga tidak dapat untuk digambarkan dengan kata-kata.."

                    "Seluas laut?"

                    "Ipong pernah tengok laut?" Ipong mengeleng.

                     "Tapi..semua orang yang Ipung tanya, kata laut tu luas."

                     "Tapi..Padang Mahsyar lagi luas daripada laut sebab seluruh isi dunia yang hidup di atas bumi akan berkumpul di sana nanti." Ustazah Maryam terus bercerita tentang kiamat, syurga dan neraka. Ipung pula nampak sangat berminat dan terus menyoal. Tanpa sedar ustazah Maryam mengajar Ipung mengucap dua kalimah syahadah, membaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas serta terjemahannya.

                       "Kenapa Ipung rasa tenang? Rasa lain macam dalam dada Ipung lepas dengar haek nyanyi tadi. Merdu suara haek nyanyi. Ipung tak pernah dengar lagi lagu semerdu itu." Ipung berkata sambil memandang ustazah Maryam. Air mata Ipung sudah bergenang.

                      "Itu bukan lagu Ipung. Itu kalimah Allah." ustazah Maryam terus memeluk Ipung dan menangis bersama Ipung. Kemudian dia ketawa dan menangis serentak.

                       Alhamdulillah..ada hikmahnya aku dihantar ke sini. Hikmah bukan saja untuk Ipung tapi untuk dirinya sendiri yang sudah lama terlupa untuk menangis, ketawa dan tersenyum. Sebelum ini dia berbeza daripada hari ini. Ya Allah, besarnya ujianMu dan manisnya hikmahMu ini. Ustazah Maryam memanjatkan rasa syukur di dalam hati.

**************

                      AISHAH berjalan ulang alik di dalam bilik tirai besi yang dihuninya. Gara-gara tersalah langkah melarikan kereta Arman yang sudah dipasang pengesan, akhirnya dia tersadai dalam bilik kecil ini, bersama dengan banduan wanita yang lain. Dia bukan buat kerja seorang diri. Sejak dia tiba di banglo mewah itu, dia sudah mula berpakat dengan empat orang abangnya yang sangat sporting. Empat orang abangnya itu sudah kerap kali masuk keluar ke rumah itu dengan penyamaran mereka.

                    Abang sulungnya Amran, pernah menyamar sebagai posmen dan memberi surat olok-olok padanya. Abang keduanya Armin pernah menyamar sebagai penghantar pizza. Abang ketiganya Azwan pernah menjadi tukang kebun separuh masa. Abang ke empatnya Azizi, pernah bekerja di tapak semaian tapi hanya sehari saja untuk menjadi pengintip.

                     Mereka sudah lama merancang untuk memusnahkan keluarga Aledya, akhirnya mereka yang terperangkap dengan kepintaran Arman. Malam itu, bila kereta mereka ditahan polis, abang-abangnya sempat melarikan diri tapi nasib Aishah tak berapa baik. Tali pinggang di tempat duduknya tersangkut dan abang-abangnya sudah berjanji untuk selamatkan dia dengan apa cara sekali pun.

                        Abang ke limanya Azhan dan abang ke enamnya Azhar pernah datang melawatnya di balai polis tempat dia ditahan. Kata mereka, Fuad sudah koma dan berada dalam ICU. Ayah Aledya juga sedang berada dalam ICU. Kedua-dua orang pembantu rumah kesayangan Aledya juga sudah cedera parah dan masih tidak sedarkan diri. Aishah Umirah bersorak gembira hingga terlupa akan nasib dirinya.

                     "Aledya? Kenapa tak langgar dia jugak? Biar dia mampus. Baru puas hati adik." Aishah Umirah berkata separuh berbisik.

                        "Payah, dia tak pernah berseorangan. Dia upah bodyguard. Tapi mak mertua adik, kami dah tinggalkan dia di tengah hutan di Pahang." abangnya Azhan memberitahu dalam nada teruja. Wajah Aishah berubah.

                        "Kenapa ummi? Dia tak bersalah pun. Dia layan Aishah baik sangat." Aishah Umirah sedih.

                       "Adik..kerana dia, adik masuk dalam lokap sekarang ni. Kalau dia tak lamar adik untuk Fuad, semua ni takkan terjadi." Azhar pula cuba menghasut Aishah.

                      "Semua tu salah adik, sebab tergila-gilakan Fuad tu. Ummi tak bersalah dalam hal ni."

                      "Jangan jadi bodoh Aishah, lagi pun..abang rasa mak mertua Aishah tu tentu dah mampus dalam hutan tu." Azhar terus menghasut Aishah agar jangan rasa bersalah.

                      "Innalillahi wa inna lillahi raji'un.." Aishah berkata perlahan dengan wajah sedih. Azhar dan Azhan saling berpandangan.

                     "Kenapa adik? Takkan adik simpati dengan orang tua tu?" Azhar menyoal. Aishah mengeleng laju.

                     "Abang At kata, dia dah mampus, kan? Nak cakap apa lagi? Itu saja ayatnya." Aishah berkata serius. Kedua-dua orang abangnya kembali tersenyum.

                     "Oh.." serentak suara mereka berbunyi dan mereka berdua saling berpandangan lagi.

                         "Adik lagi suka, kalau Aledya tu yang mampus dulu!"

                         "Adik jangan bimbang, kami sedang usaha untuk itu." Azhan yang menjawab. Aishah sudah tersenyum bangga. Abang-abangnya memang tak pernah menghampakan.

                        "Bila adik boleh keluar dari sini? Adik dah mula bosanlah." Aishah merungut. Wajahnya berubah lagi.

                        "Itu pun kami sedang usahakan." Aishah mengangguk dan percaya saja apa kata abangnya itu.


**********************
                      SUDAH banyak kali abang-abang Aishah gagal untuk menculik Aledya, walaupun Aledya seorang diri. Rupa-rupanya Aledya pemegang tali pinggang hitam taekwondo. Dia sangat tangkas berlawan dan kerap kali abang-abang Aishah yang tewas di tangan Aledya.

                     Mereka cuba pula untuk mencederakan pekerja-pekerja di tapak semaian tapi semua pekerja tapak semaian juga sedang dipantau setiap pergerakan mereka oleh polis dan dikawal ketat. Bukan calang-calangnya untuk menjatuhkan Aledya dan orang-orangnya.

                   Abang-abang Aishah membuat rancangan baru untuk menyerang hendap tapi, nasib mereka juga tidak baik. Sebaliknya, tempat persembunyian mereka yang diserang hendap terlebih dahulu. Mereka melawan dan berlaku aksi tembak menembak. Tiga orang abangnya ditembak mati di tempat kejadian dan tiga orang lagi diberkas.

                    ‘’Tuan, semua suspek sudah tewas. Kami menjumpai semua bukti dan juga methamphetamine dalam jumlah yang banyak.’’ Seorang pegawai polis membuat laporan. ASP Baharom mengangguk dan berpuas hati dengan kerja-kerja detektif  di bawah seliaannya.

                  ‘’Bagus..bawa mereka semua ke balai dan uruskan kes ini dengan sempurna. Mereka semua akan disoal siasat.’’ ASP Baharom memberikan arahan seterusnya.

                   ‘’Macam mana dengan kes culik ustazah Maryam tuan. Menurut maklumat yang kami terima mereka berenam yang menculik ustazah Maryam.’’ Salah seorang wartawan berita tv bertanya pada ASP Baharom.

                    Sejak rumah Tan Sri Megat Sofian terbakar dan kejadian itu menjadi viral, ramai wartawan yang membuat liputan tentang kes itu setiap masa. Bila ustazah Maryam diculik, Aledya dan orang-orangnya juga turut bekerja keras untuk menjejak ustazah Maryam. Mereka bekerjasama dengan polis untuk mencari ustazah Maryam.

                ‘’Kami masih menjalankan siasatan.’’ Ringkas dan padat jawapan yang diberikan oleh ASP Baharom.

                  ‘’Adakah mereka berenam ini juga mempunyai fail kes jenayah seperti yang dikatakan oleh netizen dalam media sosial tuan?’’ wartawan tv yang bertugas masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Dia terus menyoal ASP Baharom yang sedang  sibuk memberi arahan pada detektif bawahannya.

                  ‘’Kami akan mengadakan sidang media pasal kes ini. Sila bersabar, kerana sekarang kami masih menjalankan siasatan dan maklumat yang kami ada setakat ini belum cukup lagi untuk membuat sebarang spekulasi.’’ ASP Baharom membalas ringkas dan terus berlalu.

                   Semua wartawan kehampaan kerana maklumat yang mereka inginkan belum lengkap sepenuhnya, namun mereka tidak pernah berputus asa. Mereka terus mengekori kereta polis yang sudah bergerak laju membelah kepekatan malam. Masing-masing sibuk mengumpul berita untuk disiarkan dalam surat khabar atau rancangan berita tv.

                  Ramai wartawan yang menuju ke hospital untuk membuat liputan tentang tiga orang penjenayah yang ditembak mati dalam kes tembak menembak. Ada juga wartawan yang menuju ke balai polis untuk membuat liputan tentang tiga orang penjenayah yang sudah diberkas dan kes dadah yang ditemui secara tidak sengaja.

                   Keesokan harinya sejarah keluarga Aishah Umirah pula dibongkar. Asal usul ayahnya  sebagai ketua kongsi gelap dan ibunya yang pernah bekerja sebagai GRO di sebuah pub. Ayahnya seorang penipu dan menipu juga nama mereka sebagai seorang Haji dan Hajjah. Semuanya rekaan dan penyamaran untuk menutup mata masyarakat sekeliling.

                    Abang-abang Aishah juga pernah menyamar dan melakukan pelbagai kes jenayah, seperti menculik anak-anak kecil dan membunuh mereka. Semua organ mereka dikeluarkan dan akan dijual ke luar negara. Mereka juga pakar dalam melakukan jenayah rompakan dan pengedar dadah yang paling dikehendaki.

                         Aishah juga pernah menyamar untuk menolong abang-abangnya menipu sebagai seorang scammer. Mereka mengunakan kecantikan Aishah untuk menipu rakyat Malaysia yang bermurah hati. Aishah pernah menyamar menjadi gadis yang telah disamun dan tiada duit untuk pulang ke rumah. Mereka sudah untung beratus ribu ringgit hasil lakonan Aishah Umirah yang berjaya meraih simpati masyarakat.

                        Mengenai kes ustazah Maryam pula, polis masih buntu kerana rumah yang diceritakan itu kosong dan ustazah Maryam tidak ditemui. Aledya meminta semua pekerja-pekerjanya bekerja keras untuk terus menyiasat. Seburuk-buruk perangai ustazah Maryam, dia tetap ibu mertua Aledya dan kerana Fuad masih tidak sedarkan diri, Aledya mengambil alih semua tugas Fuad.

***********

Setahun kemudian…

 Istanbul..Turki.

                         FUAD dan Aledya berbulan madu untuk kali ke-2 selepas dia pulih sepenuhnya. Kisah tragis mereka akhirnya selesai juga bila Aishah dan keluarganya dijatuhkan hukuman atas semua kesalahan yang mereka telah lakukan. Ustazah Maryam masih tinggal di kampung orang asli dan kini dia dibantu oleh Arman dan Sarita untuk mengislamkan semua orang asli di kampung itu.

                   Ustaz Luqman sudah bahagia dengan isteri keduanya setelah ustazah Maryam mengambil keputusan untuk menerima Siti Aminah sebagai madunya. Delaila pula kini tinggal di rumah Siti Aminah dan sudah bertunang. Rumah mereka dijaga oleh tunang Delaila yang merupakan anak yatim piatu yang membesar di rumah anak-anak yatim. Kebun mereka juga diuruskan oleh tunang Delaila.

                Ustazah Maryam juga sudah bahagia dengan caranya yang tersendiri. Bahagia bila hatinya kini sudah boleh menerima semua kekurangan setiap orang di sisinya. Sebeleum ni dia terlupa bahawa, tak ada manusia yang sempurna di atas muka bumi ini. Yang sempurna hanyalah Allah yang satu.

                 Fuad dan Aledya, mereka juga sedang berbahagia dengan cara mereka..

               ‘’Bie!!’’ Aledya bertempik dari dalam bilik air. Fuad segera berlari dan mengetuk pintu bilik air.

                 ‘’Kenapa sayang?’’ Fuad juga bertanya dengan nada suara yang tinggi.

                  ‘’Bie..’’ Aledya buka pintu bilik air dan tersenyum lebar, di tangannya ada sesuatu dan sesuatu itu ditunjukkan pada Fuad.

                   ‘’You bakal jadi papa..’’ Aledya bersuara ceria dan dengan pantas dia sudah berada dalam dakapan Fuad.

                  ‘’Betul ke sayang?’’ Fuad melepaskan rangkulan Aledya dan menyoal kembali.

                   ‘’Bie tengoklah sendiri, dua garis ni..’’ sambil menunjukkan alat uji kehamilan itu sekali lagi pada Fuad.

                   ‘’Power jugak abangkan..dah berapa bulan sayang?’’ Fuad terasa bangga tiba-tiba. Aledya mencebik, tidak puas hati.

                   ‘’Jangan perasan ehh..kami ada empat beradik, maknanya I yang lagi power dari bie..’’ Aledya terus berlawan kata..Fuad tersenyum lebar sambil berbisik.

                  ‘’Sayang lupa ke, abang ni anak kandung walid. Mak uda tu sedang mengandung anak yang ke tujuh tau.’’ Fuad menjongket kening sebelum ketawanya kedengaran. Aledya angkat kedua-dua belah tangannya.

                   ‘’Okey..bie menang..tapi kalau baby ni kembar, maknanya gen daripada family I..’’ Aledya masih tidak berputus asa.

                  ‘’Berapa orang kembar sayang nak? Kalau abang nak request empat terus, boleh tak? Dua orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan.’’ Fuad terus menyakat.

                ‘’Bie beranak sendirilah!’’ Aledya mula meradang. Dia ingat beranak ni boleh nak request bagai?

                ‘’Hahahah..sayang juga yang cakap nak anak kembar. Abang cuma bagi cadangan saja.’’ Fuad seronok melihat Aledya marah, lagi suka dia menyakat.

                ‘’Bie ingat, anak tu boleh buat sendiri ke?’’

                 ‘’Abang bergurau sajalah. Hailah bakal mama orang ni, baru bergurau sikit dah nak marah.’’ Fuad terus mengaku kalah. Kesian pula tengok Aledya yang mula nak merajuk.

                 ‘’Berguraulah sangat? Bie..rasanya kak Min sekarang dah sembuh tak? Lama jugakan, kita tak jumpa dia..’’ tiba-tiba Aledya menukar topik perbualan mereka. Selepas kejadian itu Tan Sri meninggal kerana serangan jantung sebelum Fuad sedar daripada koma. Kak Min dihantar ke luar negara untuk melakukan pembedahan kerana mengalami lecur yang teruk. Sutinah meninggal selepas sebulan dirawat kerena kecederaan parah di kepala.

                 ‘’Sayang tak contact dia ke?’’

                   ‘’I tak tergamak nak contact dia, dua puluh tahun dia kerja dengan kami tapi nasib dia jadi macam tu. Kami dah anggap dia macam ahli keluarga sendiri. Mama dah suruh dia datang ke rumah semula selepas dia sembuh tapi, dia sendiri yang menghilangkan diri.’’ Suasana bertukar menjadi sedih bila topik kejadian itu dibuka semula. Fuad pun tidak menyangka keluarga Aishah yang dipuji umminya berperangai sebegitu. Lebih teruk daripada apa yang mereka sangka.

                 ‘’Kita doakan dia, lepas habis honeymoon ni kita pergi buat umrah pula. Macam mana? Setuju tak?’’

                   ‘’Lebih baik, kita buat Haji terus, boleh ajak ummi dan mama sekali.’’ Aledya memberikan cadangan bernas. Fuad terus mengangguk

                 ‘’In sha Allah..’’ Fuad berkata perlahan.





**********TAMMAT**********

                   
Nota : Plot cerpen ini adalah request daripada seseorang..saya cuma menyampaikan dengan cara saya yang tersendiri. salah dan silap..typo dan sebagainya..mohon dihalakan..dah malas nak mengedit. Minda sudah letih...hahaha

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.