Selasa, 19 Februari 2013

SUAMI YANG COOL



        GENAP sebulan Nisa bertunang dengan pemuda pilihan keluarganya namun bagaimana wajah tunangannya pun dia masih tidak tahu. Nisa bukan tak punya calon tapi Nisa sendiri tak pasti adakah calon pilihannya itu punya perasaan yang sama dengannya. Nisa meminati Firdaus sejak ditingkatan dua lagi tapi cinta itu terpendam begitu saja. Nisa seorang gadis yang amat pemalu sejak zaman persekolahannya.

         "Nisa, ada orang sudah merisik ni. Nisa sudah ada kawan atau belum?" tanya emak Nisa suatu hari. Nisa hanya diam. Wajah emaknya dipandang. Apa jawapan yang harus diberi? Hati Nisa memang sudah lama ada pada Firdaus, tapi Nisa tidak berani menaruh harapan pada sesuatu yang tak pasti.

         "Azri tu baik budaknya. Mak cukup berkenan.Tak merokok, rajin, tak pandai nak lepak. Hormat orang tua. Kalau Nisa belum ada sape-sape mak dengan ayah ingat nak terima aja." mak sudah memberi kata hitam putih. Sebelum ni pun sudah ada yang masuk merisik. Nisa pun tak tahu kenapa sejak tamat SPM dan bekerja ada saja rombongan merisik yang datang. Semuanya ayah dan emak tak ambil peduli, tapi sejak keluarga Azri masuk merisik ayah seakan merelakan untuk melepaskan Nisa.

         "Tak tahulah mak..." Nisa memang tiada jawapan. Kalau sebelum ini Nisa ada juga berkenan pada salah seorang yang masuk merisik itu tapi dia diamkan saja. Nisa pun bukan suka sampai tahap jatuh cinta. Suka gitu-gitu aja. Pemuda itu pernah merenungnya dan menerbitkan rasa getar dalam hati Nisa tapi mungkin mak dengan ayah Nisa pula yang tak berkenan agaknya, jadi risikan itu dibiarkan begitu saja.

          "Kalau dah macam tu bulan depan Nisa balik ya?" emak Nisa sudah membuat keputusan. Nisa hanya memandang wajah emaknya tanpa kata. Kalau itu yang terbaik Nisa terima saja. Seperti yang dijanjikan majlis pertunangan yang serba ringkas diadakan dan genap sebulan Nisa jadi tunangan orang,wajah Azri pun masih kabur. Nisa dengan Azri ni sekampung tapi Nisa adalah gadis yang suka berkurung dan tak suka bergaul.

             "Wow, Cantiknya cincin. Diam-diam ubi kayu rupanya kawan aku ni. Kau balik bertunang erk hari tu? Patutlah baru aja balik kampung, tau-tau balik lagi. Berturut-turut, rupanya ada udang disebalik mee hailam." celoteh Haida bila terpandang cincin di jari manis Nisa.

            "Entahlah, aku ni nama aja dah bertunang tapi wajah tunang aku tu macam mana pun aku tak tahu." Nisa melepaskan keluhan. Wajahnya sugul. Alangkah bagusnya kalau tunangannya itu adalah Firdaus, tapi sampai ke hari ini dia sendiri tak tahu di mana Firdaus. Ada juga desas desus yang didengar Firdaus sudah ada steady girlfriend. Cantik pula tu, kerana itulah Nisa tekad untuk menyerahkan segalanya pada takdir. Biarlah Allah yang atur segalanya. Untuk apa memeningkan kepala berfikir.

            "Wey! Minah ni aku cakap dengan dia, sempat lagi dia nak melamun." Haida menampar bahu Nisa kuat. Hangin betul dengan minah sorang ni. Orang bertunang hepy tapi dia ni muka macam baru lepas mati laki.

           "Kau cakap apa tadi?" Nisa bertanya dengan wajah blurnya.

           "Kau ni memang kolotkan? Zaman sekarang mana ada lagi orang macam kau ni. Serah aja bulat-bulat kat mak ayah. Eh..adik aku yang tingkatan tiga tu pun dah ada pak we tau.." Haida menempelak teman serumahnya itu. Nisa mengeluh untuk sekian kalinya.

           "Aku terima aja Qada dan QadarNya." setulus hati Nisa menuturkannya. Haida di sebelah sudah mengeleng laju.

           "Ya la tu. Terima Qada dan Qadar konon tapi muka macam apa ntah." Haida meluahkan juga isi hatinya. Nisa memandang Haida sambil tersenyum hambar.

           "Ni bila pulak korang nak kawen?" soalan cepugansa Haida ajukan.

           "Hujung tahun ni." selamba jawapan diberikan Nisa.

            "Cepatnya. Err.. kau tak teringin ke tengok bakal SUAMI kau tu? Hiesy..ntah-ntah dah tua ke apa ke? Jangan-jangan datuk orang ke?" Haida sudah mula membuat serkap jarang. Nisa ketawa perlahan. Bahu Haida ditamparnya.

             "Aku bukan tak penah tengok dia langsung. Yang kau ni pandai-pandai aja kan. Masa tingkatan lima dulu aku pernah juga terserempak dengan dia. Hensem jugak la tapi dia tua lapan tahun dari aku. Okey kot, matang dan mudahan bakal jadi pemimpin terbaik dalam rumah tangga kami nanti." harapan Nisa setinggi gunung.

            "Dah berapa lama kau tak pernah jumpa dia?" Haida masih tak berpuas hati. Simpati juga pada kawan serumahnya ini yang ternyata begitu patuh dan taat pada kedua orang tuanya.

           "Dah lima tahun agaknya." kalau dihitung kali pertama dan terakhir dia terserempak dengan Azri ketika dia masih sekolah dan emak Azri memang selalu menegur dia kalau jumpa di mana-mana. Tak sangka betul keramahan emak Azri padanya bersebab. Nak di jadikan menantu rupanya.

            "Kau bahagia ke?" soalan Haida hanya dijawab dengan isyarat bahu. Nisa hanya angkat bahu sambil pandang wajah Haida. Nisa sendiri tidak pasti dengan perasaannya.


*********

         
               Usia pertunangan mereka sudah berganjak lima bulan. Nisa hilang sabar bila Azri langsung tak mencuba untuk menghubunginya. Nisa pulang ke kampung tak pernah pula terserempak dengan Azri. Dengar kata selepas mereka bertunang Azri pergi bekerja di Kuala Lumpur. Sebelum ni Azri hanya bekerja kampung saja. Mungkin sedar dengan tanggungjawab yang bakal dipikul. Azri berubah angin dan merantau ke Kuala Lumpur.

           Kali ini Nisa sudah buat keputusan untuk mengenali lebih dekat lagi dengan Azri sebelum mereka bergelar suamin dan isteri. Bila dia tahu Azri juga turut ada di kampung dan sedang bercuti, Nisa lantas mengarahkan adik bongsunya Khairul Azlan untuk menyampaikan pesanan pada Azri. Sekali sekala apa salahnya mengunakan posmen tak bergaji.

          Surat ringkas yang ditulis hanya untuk memberikan no telefon bimbitnya pada tunangannya itu. Kalau Azri hanya diam membisu biarlah Nisa yang memulakannya. Tak salah rasanya kalau sekadar untuk mengenali tunang sendiri? Kadang-kadang ada juga perasaan kecewa di sudut hatinya. Seolah-olah hanya dia seorang yang menerima pertunangan itu, sedangkan Azri, entahlah! Buntu fikirannya memikirkan sikap Azri.

           "Kak Nisa..ni abang E bagi surat, dia kirim salam rindu." Khairul Azlan menghulurkan sepucuk surat pada Nisa, sambil tu bibirnya mengukirkan senyuman nakal. Nisa mengambil surat tersebut sambil mencebirkan bibir ke arah adiknya. Elehh..rindulah konon!

             "Akak..takkan tak ada upah kot?" Khairul Azlan hulurkan tangan.

           "Dah..gi jauh-jauh. Ngada-ngada, tak baik tau makan rasuah." selamba saja Nisa menghalau adiknya itu sambil menampar perlahan belakang Khairul Azlan. Nisa terus berlalu masuk ke bilik. Khairul Azlan yang sudah muncungkan bibir tidak dipedulikan.

            Masuk saja di dalam bilik Nisa terus melabuhkan punggungnya di birai katil. Senyuman diukirkan, pantas saja tangannya mengoyak sampul surat dan mengeluarkan isinya.

_Salam rindu buat tunangku Khairunnisa. Maafkan abang kerana menyepikan diri selama ini. Bukan niat abang sebenarnya tapi abang tidak tahu bagaimana caranya untuk menghubungi Nisa.Tapi sekarang abang sudah tahu cara. In Sya Allah bila ada masa abang akan cuba telefon Nisa. Maklumlah abangkan baru mendapat kerja jadi masa abang cukup terhad.

Sampai di sini saja. Salam sayang
Tunangmu : Azri Iskandar.

          Nisa melipat semula surat itu. Bibirnya masih mengukir senyuman. Surat yang cukup ringkas. Lucu juga bila difikirkan, dalam zaman moden macam ni pun Azri masih mengutus surat. Nombor telefon sudah ada di tangan, hantar sajalah mesej. Nisa rasa terkilan kerana Azri tidak menyertakan sekali nombor telefonnya. Takkan Azri tak ada telefon bimbit kot? Tak lojik la pulak!

          "Nisa! Nisa!" terdengar emak Nisa melaung dari dapur. Nisa cepat-cepat menyimpan surat di dalam laci almari soleknya dan mengatur langkah menuju ke arah dapur.

            "Ada apa mak?" tanya Nisa sebaik terpandang wajah emaknya.

            "Buat air, ada tetamu. Nanti Nisa hantar ke depan ya. Mereka nak jumpa Nisa tu," jawapan Mak Nab mengelirukan Nisa.

           "Siapa mak?" Nisa kecilkan mata sambil pandang emaknya mohon jawapan.

           "Ishh..anak dara ni banyak soal pulak." mencerlung mata Mak Nab memandang Nisa.

            "Huh! Orang tanya pun tak boleh." Nisa muncungkan bibir. Dah macam sudu itik pula. Hehe...

            "E dengan mak dia ada di depan. Cepat buat air. E dah nak balik KL petang ni.." terlopong Nisa, saat itu lututnya dah mula berlaga. Nak kena mengadap bakal mak mentua dengan bakal suami. Maunya tak gabra. Boleh gugur jantung.

              Tugas diselesaikan. Sejag oren sunkist dibancuh. Dulang diambil dan diletakkan enam biji gelas. Azri dengan mak dia ajakan? Biarlah gelas lebih tak apa, jangan tak cukup saja. Nisa bermonolog di dalam hati. Langkah diayun perlahan ke ruang tamu. Tangan yang mula mengigil dikawal sehabis mungkin. Sampai di ruang tamu Nisa pandang wajah emaknya. Pandang juga wajah bakal emak mertua. Akhir sekali wajah Azri. Selamba saja Azri memandang balas. Tiada senyuman di bibir. Ermm..semakin hensem, kalau nak dibandingkan dengan Firdaus memang Azri lebih hensem. Berkulit kuning langsat, berkumis nipis, janggut sejemput dan berambut ikal hitam berkilat tapi Firdaus berkulit sawo matang. Pakej kehanseman memang milik Azri.

            "Nisa,..letak aja airnya di atas meja. Yang menatang dulang sambil berdiri saja di situ kenapa?" Nisa tersentak. Malunya, asyik benar menelek tunang sendiri sampai tak sedar kelakuan sendiri diperhatikan tiga pasang mata. Nisa tersipu-sipu. Azri cuba menyembunyikan senyum. Mak Nab dan Mak Leha hanya mengelengkan kepala.

             "Lama ke Nisa cuti?" Mak Leha bersuara sebaik Nisa melabuhkan punggung di sofa.

             "Err..tak, err..esok lusa balik kerja balik." tergagap-gagap juga Nisa menjawab sambil tu Nisa sempat melirikkan matanya pada Azri yang sudah tersenyum padanya. Nisa ketapkan bibirnya. Eleh..senyum-senyum sindir aku la tu? Nisa berkata dalam hati.

                    "E..minumlah, entah apalah rasanya. Jangan-jangan dah tak rasa oren. Jangan rasa masin sudahlah," Mak Nab bersuara mempelawa bakal menantu. Semakin melebar senyuman Azri. Nisa pula yang menahan geram. Hiesy..emak ni, saja ja tau..huh!!!

.................................................................

          Masa terus berlalu dengan begitu pantas sekali. Tinggal lagi sebulan majlis akad nikah Nisa dan Azri. Nisa sebagai pengantin perempuan paling sibuk untuk menyiapkan barang-barang hantaran dan sebagainya. Buat masa sekarang Nisa belum lagi berkesempatan untuk keluar berdua bersama Azri. Nisa pun seperti perempuan lain ingin keluar dating tapi setiap kali diminta untuk berjumpa Azri memberi alasan. Nak kecil hati pun rasanya Nisa dah tak kuasa. Biarlah, mungkin bila dah kawen esok Azri akan berubah dan menjadi lebih bertanggungjawab.

            "Banyak lagi ke barang yang kau nak beli ni?" Haida bertanya bila melihat Nisa masih tertinjau-tinjau melihat ke setiap kedai yang dilalui. Setiap kali nak keluar shopping Haidalah yang menjadi peneman setia.

              "Rasanya ada lagi. Aku nak cari tepak sirih, nanti nak isi sirih junjung. Agak-agak kaulah kalau nak buat sirih junjung mana lagi cantik? Bunga hidup or bunga plastik?" Nisa meminta pendapat Haida walaupun dia sendiri sudah bercadang mengunakan bunga hidup. Di laman rumah mereka ada saja taman orkid emaknya. Ada bunga mawar, daisy dan dahlia. Kekwa pun pelbagai warna.

               "Daripada kau beli tepak sirih, baik kau sewa aja. Lagi pun sekali aja nak gunakan?" cadangan bernas lagi mantap dari Haida. Nisa tersengeh. Good idea!

               "Bijak gak ea kepala otak kau." Nisa ketawa perlahan.

               "Eh..baru kau nak tau ke? Kepala hotak aku ni memang gred A pun, bukan kepala hotak kau, gred E sebab kau kan nak kawen dengan E. Hahaha..." Haida ketawa besar, mencerlung mata Nisa memandang Haida. Ok,..gelak la puas-puas. Ada lori ada bas, ada hari akan ku balas. Nisa mengomel di dalam hati.

              "Khairunnisa!!!" tiba-tiba nama Nisa diglamerkan oleh seseorang. Nisa berdebar bila terpandang seorang jejaka di hadapannya. Lama sudah wajah itu tidak ditatap. Berdegup jantungnya laju. Seakan ada air hangat yang menanti untuk mengalir, ditahannya sedaya mungkin. Untuk apa lagi menangis pada yang tak sudi?

               "Nisa!" Firdaus memanggil untuk kali kedua. Nisa mendoggakkan wajahnya. Haida memandang Nisa dan Firdaus dengan wajah hairan.

           "Sape ni Nisa? Azri ke?" Haida bertanya tanpa mengetahui debaran di dada Nisa.

           "Sapa Azri?" Firdaus menyoal.

             "Err..Haida ni Firdaus, kawan sekolah aku. Fir,.ni kawan Nisa." Nisa memperkenalkan pada keduanya tanpa menjawab soalan Firdaus.

            "Fir tanya Nisa siapa Azri?" Firdaus bersuara tegas. Ada nada paksaan disebalik suaranya. Nisa mengetap bibir. Penyibuk betul mamat ni.

            "Fir..Nisa dah bertunang. Azri tu tunang Nisa." perlahan Nisa berkata. Wajahnya dilarikan dari direnung Firdaus. Tak sanggup rasanya untuk bertentangan mata dengan Firdaus. Mata itu yang buat dia jatuh hati dan senyuman Firdaus yang membuat dia tergoda lalu hatinya diserahkan sepenuhnya pada Firdaus. Namun apakan daya. Firdaus tak setia. Lepas berpindah sekolah, Firdaus berkawan dengan ramai pelajar perempuan yang lain. Sekarang ini pun Nisa selalu mengikuti perkembangan Firdaus di dalam Facebook. Bukan main lagi dia berchatting dengan seorang guru dari Sabah. Cantik gadis tu. Kalau tak salah Nisa, Firdaus selalu berchatting dalam wall. Siap berabang dan bersayang lagi.

            "Nisa...Kenapa?" Haida melambaikan tangannya di depan wajah Nisa. Nisa tersentak. Firdaus tersenyum. Seketika Nisa terpegun memandangnya. Wake up Nisa!  Jangan dilayan perasaan. Lagi sebulan kau bakal jadi isteri Azri.

            "Tahniah Nisa! Semoga Nisa bahagia," perlahan Firdaus menuturkannya.

            "Tahniah untuk Fir juga,.Fir bila lagi?" Firdaus keliru. Tak mengerti.

             "Apa maksud Nisa?" Firdaus jongketkan kening tebalnya itu. Sungguh dia langsung tak faham maksud Nisa.

             "Korang ni kan,.kalau nak berbual panjang pun, jom la cari port mana-mana. Aku letihlah berdiri macam ni. Dengan barang-barang ni lagi.." Haida tarik muncung. Dia yang dari tadi hanya memasang telinga dan pemerhati dah jadi rimas.

             "Err..Maaflah kalau Fir menganggu. Banyak membeli , bila kendurinya?" soalan Firdaus meremukkan perasaan Nisa. Nisa pandang wajah selamba Firdaus. Dah sahlah Firdaus tak ada langsung perasaan padanya. Nisa mengeluh perlahan.

             "Bulan depan Fir...Err,.. Fir tu jangan lama-lama sangat dengan Yat tu. Disambar orang nanti, melepas. Melopong pula." Nisa tersenyum. Terimalah hakikat, dia dengan Firdaus memang tiada jodoh.

            "Yat? Wait? What do you mean? Yati Yatt? Mana Nisa tahu ni?" Firdaus mengaru kepala. Takkan Nisa tahu pasal Yat pula? Haih!

            "Tak macho la Fir tergaru-garu macam tu. Alah Fir, apa nak dihairankan dalam zaman siber ni? Segala-galanya di hujung jari. Klik aja." Nisa sengaja meredakan perasaan sendiri. Dia tertawa perlahan. Melihat wajah Firdaus saat ini membuat dia gelihati.

            "Tak adalah Nisa. Err.. Fir baru-baru nak coba-coba nyayat jer. Hehe..Yat tu macam burung merpati. Nampak aja jinak tapi bila nak tangkap tak dapat, terus lari." Firdaus tersengeh. Habislah saham. Rupanya Nisa tahu mengenai dirinya.

             "Nisa ada Facebook?" teringat dari mana sumber maklumat yang Nisa perolehi Firdaus lantas bertanya lagi.

            "Yupp!!  Nisa Comey. Hehe..yang ni Kembang Setaman," Nisa menoleh pada Haida sambil tersenyum. Haida beliakkan mata. Mereka ketawa selepas itu. Facebook oo Facebook!
................................................................

           Majlis akad nikah berjalan dengan lancar,lima belas hantaran dari pihak lelaki berbalas dua puluh hantaran dari pihak perempuan. Kebanyakan hantaran Nisa yang siapkan sendiri termasuklah sirih junjung. Nisa memang meminati seni gubahan. Kekreatifannya tak boleh dinafikan lagi. Baju pengantin pun Nisa yang siapkan sendiri. Dari mengunting, menjahit hinggalah menjahit manik dan labuci. Nisa puas dengan hasil kerja tangannya sendiri.

           Malam itu Nisa jadi resah. Ini kali pertama dia bakal bertentang mata secara berdepan dengan Azri suaminya. Sepanjang tempoh pertunangan, mereka tidak pernah keluar berdua. Kalau berhubung pun melalui telefon. Nisa sendiri pun tak tahu kenapa begitu sukar mereka nak memulakan perhubungan.

            Selepas selesai semua kerja mengemas Nisa masuk ke bilik untuk merehatkan badan. Azri pulang ke rumah ibu bapanya. Menjelang pukul 10 malam wajah Azri masih tidak kelihatan. Nisa yang kepenatan tidak mahu memikirkan sebarang kemungkinan. Sama ada Azri nak datang atau tidak dia tak peduli. Hatinya terlalu sebal dengan sikap Azri. Tiada langsung kemesraan yang terpamer di wajahnya. Sukar untuk membaca isi hatinya.

           Bila keletihan mula bertandang dan mata semakin layu Nisa sudah tiada kuasa lagi untuk menahan diri. Badannya direbahkan di atas katil dan lantas terus lupa diri. Azri sampai di rumah Mak Nab ibu mentuanya bila waktu sudah mencecah 12.30 malam. Ramai saudara mara yang bertandang di rumahnya. Terleka melayan saudara mara dia terlupa ada tanggungjawab baru yang perlu dipikul.

           "E,..masuklah. Nisa dah tidur agaknya. Pergilah masuk ke dalam bilik." Mak Nab yang membukakan pintu melayan ramah menantu barunya. Seisi rumah sudah dibuai mimpi. Kebetulan hanya Mak Nab yang masih berjaga. Nak harapkan Nisa menunggu kedatangan suami, dia orang pertama yang masuk tidur.

             Pintu bilik dibuka perlahan. Azri menapak ke arah katil. Wajah polos Nisa dipandang sayang. Nyenyak betul Nisa tidur. Lama Azri memerhatikan wajah itu. Isteri yang dipilih orang tuanya. Gadis yang diminati ramai di dalam kampung itu, namun jodoh memang milik mereka. Azri redha terima jodohnya bersama Nisa.

              Azri baringkan tubuhnya di sebelah Nisa. Wajah Nisa ditatap lagi. Lepas rasa rindu yang dipendam sekian lama. Bukan dia tidak suka untuk bertemu Nisa dan berdating seperti pasangan lain tapi bagi Azri biarlah masa menjarakkan mereka. Sampai saatnya mereka pasti akan bersatu juga.

              Azri melepaskan nafas perlahan.Berhadapan dengan Nisa menjadikan dadanya berombak kencang.Ingin di belai wajah itu tapi takut menggangu Nisa yang sedang tidur.Perlahan rambut Nisa dibelai sayang,bila tersedar Nisa mula bergerak Azri berkalih arah membelakangkan Nisa dan berpura-pura tidur.

             "Abang,..dah lama sampai?" Nisa yang terjaga terus menyoal. Terasa bersalah kerana tidak menyambut kedatangan Azri. Malahan dia sedap tidur hingga tidak sedar kehadiran Azri di sisi. Azri yang belum terlelap segera berpusing. Bibirnya mengukirkan senyuman. Matanya merenung Nisa penuh pengertian.

            "Baru aja sampai. Maaf abang lambat. Tadi abang melayan kawan-kawan dan saudara mara sampai tak sedar malam dah lewat. Nisa tidurlah, abang tak ganggu Nisa. Abang janji."Azri bersuara perlahan. Wajah Nisa dibelai mesra.

             Kata-kata Azri buat Nisa terasa sebak. Ini malam pertama mereka. Nisa tidak faham apa yang Azri fikirkan. Dalam perasaan terkilan yang amat sangat Nisa membelakangkan Azri. Tubir matanya yang terasa hangat disapu perlahan. Nisa cuba menahan perasaan sebak yang mulai bersarang di dadanya. Terasa betapa dirinya langsung tidak dihargai.

             Nisa cuba menahan perasaan namun air matanya seolah empangan yang pecah. Mencurah-curah tanpa henti. Dalam rajuk yang semakin menebal dalam hati Nisa berganjak sedikit agar badan mereka tidak bersentuhan. Hatinya terguris di malam pertama. Malahan sepanjang pertunangan lagi dia cuba bersabar dengan Azri. Namun malam ini Nisa tewas dengan perasaan sendiri.

            Esak tangis Nisa membuatkan Azri jadi serba salah. Tadi tujuannya untuk tidak mahu menggangu Nisa tidur. Mungkin Nisa terlalu letih jadi dia cuba bertolak ansur, tapi entah di mana silapnya Nisa boleh terasa. Azri resah. Ini pengalamannya berhadapan dengan seorang wanita. Nak memujuk memang bukan kepakarannya. Nak dibiarkan dia sendiri tak sampai hati.

          "Nisa,..abang minta maaf." tubuh Nisa cuba diraih tapi Nisa mengeraskan badannya.
Huh! Ingat senang nak pujuk Nisa.

          "Adoii..macam mana boleh jadi macam ni?" Azri bersuara perlahan. Namun kata-katanya dapat didengari Nisa. Nisa terus kaku di sebelah Azri. Manakala Azri pula terus memandang belakang isterinya itu. Langsung tiada idea untuk memujuk. Alahai Khairunnisa, malam pertama lagi dah merajuk? Kena pula dapat suami yang malu-malu kucing dan tak ada pula pengalaman memujuk perempuan. Sama-samalah menjerut perasaan. Nasib badanlah...


 Keesokan paginya...

         "Nisa..tak mandi dulu ke?" Mak Nab mula bersuara bila melihat Nisa keluar dengan selamba dari bilik air. Tadi dia melihat Azri mandi sebelum mengambil wuduk, tapi bila tiba giliran Nisa dia hanya sekadar membasuh muka, memberus gigi dan terus mengambil wuduk. Cuak juga hati tuanya, takkan tak berlaku apa-apa semalam? Baik sangat ke menantunya itu?

          "Ala mak, sejuk la mak.." Nisa bersuara malas. Dia tahu kenapa emaknya menyuruhnya mandi. Faham benar akan maksud yang cuba disampaikan emaknya itu.

          "Nisa..kalau tak mandi macam mana nak solat? Dah,.jangan degil." Mak Nab tetap berkeras. Muncung itik Nisa hadiahkan untuk emaknya itu. Dengan perasaan malas dan sebal Nisa menuju semula ke bilik air.

           Usai mandi, Azri sudah sedia menunggunya di atas sejadah. Satu lagi sejadah dibentangkan di belakangnya. Melihat saja Nisa masuk bilik dengan wajah masam Azri sudah tertawa kecil. Bukan dia tak dengar suara Mak Nab yang menyuruh Nisa mandi tadi. Memang dah kebiasaan Azri mandi setiap kali sebelum solat subuh. Rasa bersalah pula pada Nisa. Dah la semalam Nisa sudah merajuk kerana salah faham dengan dirinya.

              "Apa gelak-gelak? Suka pula?" Nisa jeling Azri sekilas sambil mencapai telekung di ampaian yang dikhaskan untuk menyidai telekung dan sejadah.

              "Nisa..kita solat dulu. Lepas solat kalau Nisa nak tarik muncung balik, abang tak kisah.Kita nak mengadap yang Esa tau. Hati kena ikhlas." Tazkirah pagi daripada Azri buat Nisa insaf seketika. Lembut suara suaminya membuatkan kemarahan Nisa reda. Itulah kelebihan Azri. Tak pernah bersuara kasar. Sentiasa berlemah lembut dengan sesiapa saja.

              Kali pertama mereka solat berdua. Lancar Azri mengimankan solat mereka. Sejuk hati Nisa sebagai seorang isteri. Selesai mereka mengaminkan doa, Azri menghulurkan tangannya pada Nisa. Tangannya bersambut dan tangan itu dicium lembut hingga meresap jauh ke lubuk hati. Azri pula membalas dengan ciuman kasih di ubun-ubun isterinya itu. Tenangnya pagi itu, termeterai sebuah ikatan kasih sayang suami dan isteri.

              "Nisa,..abang..." Kata-kata Azri terhenti di situ. Tak tahu apa yang perlu dibualkan.

              "Ada apa bang? Nisa ada buat salah ke?" kening Nisa dikerutkan. Memang pantang dia kalau ada orang suka bercakap separuh jalan. Teragak-agak pula tu. Tapi di hadapan dia sekarang ialah suami dia. Kalau kawan baik memang dah sah kena 'basuh' dengan ayat super power dia.

              "Err..abang nak minta maaf pasal semalam. Kalau tak, tentu Nisa tak kena marah dengan mak pagi-pagi macam ni." segaris senyuman dihadiahkan buat si isteri. Wajah Nisa mula merona merah. Malu juga bila mengingati perihal semalam. Entahlah,.dia sendiri pun tak tahu kenapa dia terlalu emosional sangat. Sensitif tak bertempat.

            "Lupakanlah...dah lepas pun. Buat apa nak ingat lagi?" Nisa bangun dan mula menanggalkan telekungnya.

...............................................

               Jarum jam terus berputar tanpa henti dan masa terus berlalu. Sudah seminggu perkahwinan mereka berlangsung dan Azri pula sudah pulang ke Kuala Lumpur. Nisa mati akal, rindu pada suami yang baru dikahwininya dua minggu yang lepas begitu meresahkan jiwanya. Azri masih bekerja di Kuala Lumpur walau mereka sudah berkahwin. Terpaksalah mereka berjauhan untuk seketika. Apa nak buat kalau itu yang sudah ditakdirkan untuk mereka berdua. Azri sudah berjanji untuk mencari rumah sewa untuk mereka di sana. Buat masa sekarang Azri masih tinggal menyewa di rumah bujang bersama kawan-kawannya.

           Nisa terpaksa tinggal di rumah ibu mertuanya Mak Leha. Memandangkan Azri anak bongsu, Nisalah tempat mentuanya menumpang kasih. Tapi Nisa sedikit hairan dengan ibu mertuanya. Di depan Azri dan orang-orang kampung termasuk ibunya sendiri, Nisa dilayan begitu baik sekali. Cakapnya pun lemah lembut seolah-olah dialah mak mentua the best in the world tapi bila hanya tinggal mereka berdua watak Mak Leha akan berubah sama sekali. Segala apa yang Nisa lakukan semuanya serba tak kena. Itu salah. Ini salah. Kalau tak buat apa-apa langsung lagi teruk Nisa diherdik. Mengalahkan watak ibu tiri dalam filem Lela Manja saja gayanya.

           Baru saja Nisa nak rehatkan tubuhnya sambil nak melayari internet yang sudah lama tidak dijenguknya terdengar suara Mak Leha yang nyaring melaung namanya dari luar bilik..

          "Nisaaa!"

          "Nisaaaa!..menantu tak guna. Tau nak melantak aja. Kerja pun tak selesai lagi dah ditinggalkannya." Leteran Mak Leha dari luar bilik tak diendahkan. Letih betul. Baru seminggu mengadap kerenah ibu mentua yang banyak songeh, Nisa dah mula rasa muak. Kadang-kadang Nisa pulang juga ke rumah sendiri bila sudah tidak tahan. Tapi di rumahnya, ayah dan emaknya pula sibuk berleter mengingatkan dirinya tentang tanggungjawab seorang isteri dan menantu. Kata emaknya bila seorang perempuan berkahwin taatnya hanya pada suami dan ibu mertua. Tapi kalau ibu mertuanya dah sebijik perangai macam ibu mentua Kassim Selamat nak kena taat juga ke? Ala Kassim..Nisa tersenyum sendirian.Biarlah dia happy untuk diri sendiri. Untuk apa mengenang nasib diri? Mindanya perlu positif untuk menghadapi situasi ini.

Tok! Tok! Tok!

          Pintu biliknya diketuk. Nisa panggung kepala. Facebook yang baru berjaya diLogin ditinggalkan. Ni mesti ibu mentuanya? Ada lagi la tu yang tak puas hati kat mana-mana? Nisa berbisik di dalam hatinya. Pintu dikuak perlahan. Wajah Mak Leha yang menyinga di depan pintu ditatap selamba.

          "Ada apa mak?" tanpa riak takut atau mengelabah Nisa menyoal ibu mentuanya.

          "Eh..kau ni kan,aku suruh kau cuci bilik air tadikan.Yang kau sedap ja masuk melepak dalam bilik buat apa? Kau membuta ya?" Mulut tak berinsuran Mak Leha sudah menghamburkan seranah berapinya.

           "Ya Allah..kan baru kelmarin Nisa dah cuci, takkan hari-hari Nisa nak kena cuci bilik air kot mak?" Nisa tetap menjawab acuh tak acuh saja. Muka Mak Leha tak la segarang mana tapi mulut dia saja yang berbisa. Kadang-kadang macam cemburukan Nisa pun ada juga cara layanannya tu.

              "Dah pandai menjawab pulakan? Macam ni ke mak bapak kau ajar?" Mak Leha tak puas hati. Nisa memang pandai menjawab. Setiap patah katanya dijawab bertubi-tubi.

             "Mak,..kalau mak nak marah Nisa, mak marah aja. Nisa tak kisah, tapi mak janganlah babitkan mak dengan ayah Nisa pula." Nisa bersuara tegas. Bila ibu bapanya terbabit sama kesabaran Nisa tercabar.

            "Ada apa lagi mak? Rasanya kat luar tu dah settle dah. Pinggan mangkuk Nisa dah cuci. Rumah Nisa dah kemas. Takkan mak masih nak suruh Nisa cuci bilik air lagi kot?" Nisa menyambung kata sambil tayang wajah selamba. Ibu mertua di hadapannya dah mula berubah riak.

              "Pergi masak! Aku lapar..." Nisa bulatkan mata. Baru pukul 11 pagi. Nasi goreng pagi tadi dengan sambal bilis pun banyak lagi di bawah tudung saji.

              "Nasi gorengkan banyak lagi. Mak makan la apa yang ada dulu. Nisa nak berehat kejap aja mak. Nanti Nisa masak la." Nisa masih berlembut. Seburuk mana pun ibu mertuanya dia tetap emak suaminya. Nisa pujuk hatinya sendiri.

              "Aku tak mau. Aku nak makan kangkung goreng belacan dengan asam pedas ikan sembilang. Pergi pasar sekarang. Beli.." Sekali lagi Nisa terkejut. Ibu mertuanya kalau berlakon watak ibu mertua banyak songeh mesti menang award.

             "Mak..ikan tenggiri dengan sayur kobiskan ada lagi dalam peti ais tu. Masak apa yang ada dulu la mak. Nantikan membazir kalau rosak semua tu. Kita berdua ajakan yang nak makan." Mak Leha hilang kata. Laju langkahnya diatur menuju dapur. Nisa tersenyum di muka pintu biliknya. Nisa masuk semula ke bilik dan menutup pintu. Laptop kesayangan dituju. Kini Nisa berhadapan pula dengan Fb yang sudah lama tidak dijengah. Ramai juga yang add Nisa Comey. Dah kahwin pun saham Nisa masih tinggi lagi. Perkara pertama yang dilakukan adalah menukar status dirinya dari single ke married. Nisa tersenyum puas bila Nisa Comey dah bertukar menjadi Nisa Azri dan gambar kawennya dimuat naik. Yang terbaik dijadikan gambar profil. Mesti Firdaus cemburu melihatnya. Hahaha,..

..........................................................................

           Setahun berlalu dengan begitu cepat sekali. Pantas sungguh bumi beredar. Serasakan baru semalam majlis perkahwinannya. Azri sudah berhenti kerja di Kuala Lumpur. Selepas beberapa bulan perkahwinan mereka Nisa masih belum ada tanda-tanda untuk mengandung. Setiap kali pulang ke kampung Nisa akan mengadu dirinya disindir saudara mara yang mengatakan dirinya 'telur kemuruk'. Ada yang lagi laser terus melabelnya sebagai mandul. Kesian dengan isteri yang amat disayangi, Azri pulang ke kampung dan mencari kerja di kampung pula.

               Sukar untuk hidup di zaman yang semakin maju ini. Azri pula jenis yang lurus bendul. Apa sangat kerja yang boleh dilakukannya di kampung melainkan memohon kerja di kilang-kilang di pekan.

              "Abang...nanti Nisa nak ikut?" tanpa ragu-ragu Nisa bersuara. Sudah jemu menjadi suri rumah sepenuh masa. Kalau ada anak untuk dilayan lainlah.

            "Nak ikut ke mana?" Azri bertanya Nisa. Tak pasti apa sebenarnya maksud Nisa untuk ikut bersama.

           "Alaa..ikut abang pegi minta kerja la. Nisa bosanlah duduk di rumah. Boleh la?" Nisa bersuara manja. Tangan suaminya dicapai dan dielus perlahan. Sengaja menjadi romantik untuk meraih simpati suaminya. Untung sabut pasti timbul.

           "Oklah..Nisa boleh ikut tapi dengan syarat..." Azri sengaja menduga reaksi isterinya dengan mengenakan syarat. Nisa sudah tarik muncung. Azri tersenyum melihat gelagat Nisa yang memang kuat merajuknya.

           "Apa syaratnya?" Nisa tanya tidak sabar. Macam tak ikhlas saja siap nak bagi syarat bagai.

             "Nanti kalau kita ada rezeki dan Nisa disahkan mengandung, abang nak Nisa berhenti kerja." Nisa terdiam mendengar syarat yang dinyatakan Azri. Hatinya sayu tiba-tiba. Sepupunya yang baru kahwin pun sudah mengandung. Ada kawan-kawannya yang bunting pelamin. Nisa mengeluh perlahan. Entahlah dengan nasib dirinya. Teringat dengan ugutan ibu mertuanya sebulan yang lalu. Kalau Nisa masih belum mengandung juga ibu mertuanya akan mencarikan madu untuknya. Oh tidakkk! Mak Leha memang zalim. Air matanya mengalir tanpa disedari.

              Azri kelu. Sensitif betul isterinya. Baru sebut perkataan mengandung dah menangis. Belum lagi cerita pasal anak. Azri membiarkan saja isterinya melayan perasaan. Tidak mahu menggangu emosi isterinya yang mungkin sudah tersentuh dengan kata-katanya. Azri bangun dan berlalu meninggalkan Nisa.

              Air mata Nisa semakin meluncur laju. Sebaik-baik Azri dia bukan seorang suami yang romantik. Walau Azri seorang suami yang penyayang dan bertanggungjawab tapi dia bukan pendengar yang baik dan bukan seorang teman berbual yang baik. Kalau mereka bersama, Nisa yang lebih banyak berceloteh. Kalau Nisa merajuk Azri tak pernah memujuk. Pandai merajuk pandailah memujuk diri sendiri.

             Nisa mencari buku catatannya. Setiap kali hatinya gundah gulana. Setiap kali hatinya rasa bagai disiat buku itulah menjadi teman setia. Dibuka helaian demi helaian. Sampai dihelaian yang masih kosong tangannya terhenti. Pen yang disisipkan dihelaian muka buku diambil. Nisa naik ke katil. Dia mengambil sebiji bantal dan tidur dalam posisi meniarap dan mula menulis.

~Hatiku terluka lagi. Kenapa aku dilayan seperti ini? Kenapa abang buat Nisa begini? Nisa perlukan semangat dari abang. Nisa perlukan sokongan untuk hadapi semua ini. Nisa tak kuat bang. Nisa perlukan kata-kata perangsang dari abang saat Nisa sedih. Kenapa abang hanya berkongsi kebahagiaan dengan Nisa? Tapi abang selalu melarikan diri saat Nisa benar-benar perlukan abang. Siapa Nisa dihati abang? Abang...Nisa takut kalau mak kotakan apa yang dikata. Jangan-jangan abang akan setuju kalau mak suruh abang kawen lagi? Nisa tak rela bang nak kongsi abang dgn perempuan lain~

               Airmata Nisa bagai hujan yang turun mencurah. Hatinya teramat pedih dan begitu terluka dengan perlakuan Azri tadi. Kenapa harus dia hadapi semuanya seorang diri? Nisa sudah teresak. Dalam sedu yang masih bersisa Nisa menyambung menulis.

~Abang,tolonglah Nisa. Nisa tak kuat bang. Nisa tak kuat..Nisa nak abang sentiasa di sisi Nisa samada waktu susah atau senang. Waktu sedih dan gembira. Bukan tinggalkn Nisa macam ni. Nisa sayang abang. Sayang sangat-sangat.. tapi kenapa abang selalu buat Nisa macam ni? Kenapa bang?~

             Tulisannya semakin lama semakin teruk. Dah macam cakar ayam pun ada, tapi Nisa tak kisah. Yang penting, dia sudah meluahkan isi hatinya pada teman setianya itu. Semakin lama esakan Nisa semakin menjadi-jadi. Kepalanya pula terasa berdenyut. Dalam sendu yang masih bersisa Nisa tertidur. Moga esok masih ada sinar bahagia untuknya. Itulah harapan Nisa setiap hari.

.........................

             Hari pertama mula bekerja bersama suami tercinta. Kelakar betul bila mereka ditempatkan dalam satu line tapi dalam line tu hanya ada 3 orang lelaki termasuk Azri. Seorang supervisor cina En Chan, seorang tecnician Azam namanya. Muda lagi tapi badannya kecik sikit. Azri jadi operator bahagian mesin manakala Nisa pula jadi operator bahagian line. Tapi yang tak bestnya ada seorang QC gedik yang selalu nak berhimpit dengan Azri. Naik meluat Nisa memerhati kelakuan QC tersebut. Bukannya lawa mana pun cuma hidungnya aja mancung sikit dan orang mengelarnya Shima Begum. Entahlah kenapa? Mungkin ada mix blood kot.

               "Adik baru masuk kerja ke?" Nisa disapa rakan di sebelahnya. Kecil molek orangnya. Nisa hanya mengangguk dan melemparkan senyuman.

               "Psttt..kak Ema, tengok Shima tu. Daripada tadi lagi dok mengayat pekerja baru tu. Dah berkenan kot?" Orang di sebelah kiri pula bersuara. Nisa yang berada di tengah hanya tersenyum, tapi dalam hati sedang membara. Oii,.. yang budak Shima dok mengayat tu laki aku!

               "Hmm..mula dah la tu, pantang tengok lelaki hensem sikit, mula dah la penyakit gedik dia tu." Orang yang bernama kak Ema pula bersuara. Nisa sekali sekala mengerling ke arah Azri dan Shima. Selamba saja Azri buat kerja langsung tak beriak wajahnya. Nisa pun tak tahu apa yang suaminya rasa apabila ada seorang perempuan sedang mengajaknya berbual. Nisa kenal benar suaminya. Seorang pendiam. Takkan dengan Shima gedikz tu dia nak beramah mesra pulakan? Memang tak lojik la.

             "Adik masuk sekali kerja dengan lelaki tu kan? Kenal ke or memang interview sekali?" Orang di sebelah kiri bertanya. Nisa berfikir sejenak. Apa nak cakap? Yang betul ke atau nak bohong sunat?Hehehe..otak geliga Nisa mula berjalan. Idea cepatlah datang! Diseru idea daripada mindanya.

             "Err..tak kenal pun. Kebetulan aja tadi masuk interview sama." Keputusan tekad Nisa. Kelentong saja la. Nisa tersenyum dalam hati. Best juga kalau pura-pura tak kenal.

              "Ikien,..nampaknya umpan tak makan tu. Menonong aja Shima tu." Kak Ema menjuihkan bibirnya. Nisa memandang ke arah Shima yang berjalan keluar. Dalam hatinya terasa lega. Nasib baik ikan tak makan umpan. Kalau makan..siap la!

             Time rehat, kelakuan Shima Begum menjadi-jadi. Nisa pura-pura tak kenal Azri tapi Shima Begum pula ambil kesempatan.

             "Ikien..tengoklah QC kita tu. Azri tu bo layan pun dia masih tergedik lagi. Ishhh..kalau kak Ema la, malu giler. Hidung tak mancung pipi yang tersorong-sorong." Kak Ema dan Shikin mula bergosip lagi. Ketika itu mereka sudah sampai di meja makan. Nisa hanya memasang telinga. Sekali sekala Nisa mengerling Azri di meja hujung yang sedang makan bersama Azam dan Shima. Memang Shima tu kulit muka tebal berpuluh inci la.

           "Tapi kak Ema, masalahnya Shima tu hidung dia tinggi." Shikin bersuara sambil ketawa perlahan.

             "Huh! Itukan peribahasa Iekin." Kak Ema tersenyum.T ak ada riak marah. Nisa sekadar jadi pendengar dan jadi pemerhati. Tak berbunyi apa-apa, tapi dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Bergelodak sakan.

            "Apa pendapat kak Ema pasal Azri tu?" Nisa pandang Shikin. Dalam hati tertanya-tanya. Kenapa Azri pula yang menjadi topik mereka?

                 "Ok..nampak macam baik aja." Nisa pandang pula Kak Ema. Korang ni kenapa?

                 "Maksud Iekin wajah dia tu, handsomekan? Agak-agaknya la dah kawen ke belum?" perbualan diteruskan. Nisa mula rasa tak sedap hati. Azri dikerling lagi. Dalam masa yang sama Azri turut memandang dirinya. Mereka bermain mata seketika. Nisa sengaja mempamerkan wajah tidak puas hatinya. Azri tersenyum bila melihat wajah masam Nisa.

             "Hee..berbulu la mata Iekin tengok Shima tu kak Ema." Shikin berkata sambil menjuihkan bibirnya. Kak Ema ketawa perlahan.

          "Jeles ke?" Kak Ema bertanya galak. Nisa jadi sebak. Agak-agak la nak jeles.

          "Tak kuasa nak jeles. Entah-entah dah ada isteri? Jangan-jangan anak dah berderet?" Shikin membuat serkap jarang. Tanpa sedar Nisa mengeleng. Tak suka betul bila suami sendiri jadi topik perbincangan kawan-kawan barunya. Padam muka kau Nisa! Tu la, siapa suruh tak mahu mengaku Azri tu? Kononnya tak kenal. Kan dah terasa!

            Masa rehat berlalu begitu saja. Bila mereka semua beredar dari kantin, mereka jalan beriringan. Azri cuba mendekati Nisa tapi Nisa mengelak. Nisa menjeling kepada Azri memberi amaran. Azri buat selamba, tak faham maksud jelingan Nisa itu. Shima pula ambik kesempatan berjalan di sebelah Azri.

          "Abang Azri kita jalan sama la." suaranya sengaja bernada manja.

           "Abang Azri suka sangat ke makan nasi ayam? Shima tak suka la. Tak tau la kenapa? Eee..." Shima buat muka menahan geli. Nisa yang turut mendengar terus beristighfar di dalam hati. Kenapalah ada makhluk macam ni dalam bumi malaysia ni? Memalukan kaum sejenis saja. Dah sah-sah Azri tu tak melayan tapi masih nak terkinja-kinja lagi nak bercerita itu dan ini. Tak faham betul!

............................................

              Selepas tiga bulan bekerja di bawah satu bumbung dan dalam line yang sama, rahsia masih tersimpan utuh. Shima masih begitu. Kadang-kadang kalau Azri tak melayan, Azam si kecik tu yang jadi mangsa. Nisa pernah meluahkan perasaan tak puas hatinya pada Azri tapi Azri buat selamba saja. Seolah-olah tiada apa yang mengugat hatinya. Bila Nisa memberontak barulah Azri membuat pengakuan pada Nisa bahawa kasihnya hanya pada Nisa dan meminta agar Nisa jangan meragui dirinya. Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Itulah yang selalu Azri katakan padanya.

                Malam itu ketika waktu sudah berganjak ke pukul 10.30 malam, suasana kerja yang tenang tiba-tiba menjadi riuh dengan jerit pekik. Kebetulan mereka bekerja shift petang hari itu. Lagi setengah jam mereka akan tamat shift. Haru-biru juga waktu itu. Masing-masing tertanya-tanya apa yang sudah terjadi. Nisa pandang Azri di hadapannya dengan wajah yang sarat dengan perasaan takut. Azri pula bagi isyarat mata, 'relax la. Tak ada apa-apalah'. Mungkin itulah maksudnya. Tapi bagi Nisa, perasaan cuak dan cemas itu masih tetap ada. Semua kerja dihentikan atas arahan orang atasan.

                "Ada budak line depan dah kena histeria, habis dah berjangkit." Entah dari mana Shima ni datang. Kuat semangat betul minah gedik ni? Selamba saja dia bagitau kat semua orang tanpa perasaan cemas ataupun takut.

                "Macam mana boleh jadi macam tu?" Zarita leader line bertanya kepada Shima.

                 "Aku dengar tadi pakat cerita,..barang tak ada, jadi budak yang mula kena tu tertidur, kemudian ada orang tampar belakang dia. Bila dia sedar dia mula menjerit-jerit dan meracau. Bila orang pujuk dia lari. Tu la pasal,.. time kerja tidur. Sapa suruh?" selamba badak ja Shima ni mengutuk orang.

               "Sume olang sulah bole kemas. Bole balik ma. Itu olang jerit-jerit, nanti jangkit sama sume. Manyak susah ma.." Supervisor Chan bagi arahan. Tak ada seorang pun yang gembira walaupun dapat pulang setengah jam lebih awal. Suasana kecoh di luar sana lebih merisaukan.

            Semua berkemas untuk pulang. Pandangan Nisa tak lepas dari memandang Azri untuk meminta simpati, Azri faham ketakutan Nisa. Sekuat Nisa pun dia trauma dengan orang yang kena histeria. Apa yang paling menakutkan kalau dia pun tersampuk sama. Nisa langsung tak mahu berenggang dengan Azri. Dia sudah tidak kisah kalau semua orang tahu mereka suami isteri.

            "Abang..." Nisa bersuara perlahan. Berjalan keluar sambil berada disamping Azri buat semangat dia kuat walau masih ada perasaan cemas.

            "Ok..tak ada apa-apalah. Jangan takut sangat. Syaitan ni kalau dia tau kita takut kat dia, dia akan jadi berani. Nisa baca ja Ayat Qursi, Tiga Qul dan Al-Fatihan. In Sya Allah mudahan Allah lindungi Nisa." kata-kata penguat semangat dari seorang suami. Nisa hanya mengganguk. Di depan pintu pagar Nisa bertemu Salma dan Aini. Mereka berdua ni adalah rakan sekerja yang naik van kilang bersama Nisa dan Azri. Bila bertemu mereka Azri meninggalkan Nisa untuk membantu menangani mangsa-mangsa histeria. Ada seorang ustaz yang dipanggil untuk memulihkan keadaan. Pekerja-pekerja lelaki membantu apa yang patut. Wanita-wanita yang lemah ini bila dah terkena sampuk tenaga mereka mengalahkan tenaga sepuluh orang lelaki.

           "Kak Nisa,..Ima takut." Salma mula bersuara. Sambil itu mereka tetap berjalan menuju ke arah van yang diparkir berdekatan sebatang pokok besar.

           "Jangan ikut sangat perasaan tu. Baca apa-apa surah yang patut." Nisa cuba menenangkan Salma walau dirinya sendiri merasa gerun. Aini pun sudah pucat semacam saja wajahnya.

            "Ya Allah kak Nisa. Meremang semacam aja ni." Salma sudah bernada cemas. Mereka masuk ke dalam van. Ketika Nisa memandang keluar tingkap dan terpandang di bawah pokok, perasaan seram menguasai perasaannya. Seolah-olah ada makhluk yang sedang memerhatikan dirinya. Meremang bulu tengkuk. Segala surah yang dibaca sudah jadi bercelaru,berterabur semuanya. Di luar masih lagi riuh dengan suara tangisan dan jerit pekik yang semakin menyeramkan dan dalam kekalutan semua itu Salma di sebelah dengan tidak semena-mena sudah menangis. Kalut. Apa yang harus aku lakukan? Nisa berfikir sejenak. Habislah kalau Salma tersampuk sama.

               "Sabar Ima, bawa mengucap. Baca Fatihah dengan Al- Ikhlas. Lawan, lawan..." Nisa memujuk Salma dan ketika inilah Nisa ternampak pemandu van. Tanpa menunggu lama Nisa terus memanggil.

             "Abang Din,..cepat la. Jom balik. Ima dah menangis ni." cemas suara Nisa. Abang Din terus mengumpul semua orang termasuk Azri. Bila semua sudah masuk van Abang Din terus beredar dari situ. Nisa menarik nafas lega bila Salma sudah semakin reda dari tangisnya. Namun wajah masing-masing masih pucat. Jelas aura ketakutan itu masih bersisa.

            Van terus bergerak. Semua orang diam cuma sekali sekala mereka membuka cerita mengenai kejadian itu. Nisa terus trauma. Serik untuk bekerja lagi. Nisa lebih rela untuk dibuli Mak Leha dari terus berdepan dengan situasi yang amat menyeramkan itu. Biarlah Azri seorang yang bekerja. Dia menaruh kepercayaan Azri pasti mampu menangkis godaan Shima.

...................................................................

                 Akhirnya keputusan nekad terus dibuat. Tiga minggu selepas kejadian histeria di kilang Nisa berhenti kerja. Memang ramai rakan-rakan satu line yang memarahi Nisa kerana menyembunyikan hubungannya dengan Azri. Lebih-lebih lagi kak Ema dengan Shikin. Sambil marah sempat juga mereka meminta maaf kerana selalu bergosip perihal Azri dan Shima.

               Shima pula selepas tahu Nisa isteri Azri semakin galak dia mengoda Azri. Memang, jenis minah gedik yang tak makan saman. Nisa pun tak tahu apa yang ada dalam kepala otak dia. Nak marah tak kuasa. Nak cemburu tak guna. Buang karan aja cemburu kat minah gedik tu. Akhirnya Nisa buat tak peduli saja.

                Selepas berhenti kerja Nisa kembali aktiv di laman sosial Facebook. Banyak masa Nisa yang terluang. Mak Leha dah jarang marah-marah sejak Azri pulang ke kampung. Mungkin nak ambil hati anak kesayangan barangkali. Buka saja facebook Haida dah PM nisa.

-Salam..kau sihat? Mana pegi? Lama tak dengar brita? Bila aku nak dapat anak sedara ni? Kau tak penah upload apa2 pic pun?-

             Nisa terkesima pada soalan terakhir. Kalau dah belum dapat anak. Macam mana nak upload gambar? Upload gambar anak patung boleh la, tak pun buka ja google lepas tu kidnap saja anak sesiapa dalam google tu upload aja masuk facebook. Nak sangat tengok anak akukan? Minda Nisa dah mula menceceh. Ni semua Haida punya pasal.

 -Waalaikumusalam...Berapa banyak soalan daa? –

           Nisa terus enter. Malas nak jawab panjang-panjang nanti lagi panjang soalannya.

-Wajib tanya banyk2. I miss u la. U miss me?-

         Nisa tersenyum. Ada juga orang nak rindu kat aku?

-Miss u too kembang setaman. Taman kau sekarang tanam bunga taik ayam ke? Hahaha..-

         Nisa tersengeh dengan ayatnya sendiri. Dah lama tak bergurau dengan Haida. Rindu pula suasana itu.

-Tak la. Aku tanam bunga kaktus. Nanti duri2 kaktus boleh aku bagi kepada kau:-P..-

         Nisa ketawa lepas selepas membaca mesej dari Haida. Sambil tu tangannya berfungsi juga. Sambil Chat dengan Haida Nisa chek notification. Tak ada yang menarik minat untuk dibuka. Mesej Haida dibalas lagi.

-Kau buat apa sekarang ni? Bila nak makan nasi minyak ni?-

           Nisa terus enter. Nisa masuk dalam ruangan pencarian. Teringin pula nak mengetahui perkembangan semasa Firdaus. Agak-agaknya Firdaus dengan Yat ni dah kahwin ke belum?

-Kau dah nyanyuk ya? Kan aku dah lama kawen. Nanti hujung tahun ni kami bakal dapat baby. Aku dah peknan 5bln-

             Mesej Haida dibaca dengan perasaan terkejut. Haida dah kahwin dan bakal dapat anak? Aku juga yang melopong. Sepatutnya aku dulu yang bergelar ibu. Air mata bergenang tanpa sedar. Nisa pujuk perasaan sendiri. Untuk apa menangisi nasib diri. Aku harus redha dengan apa yang telah ditakdirkan. Air mata diseka perlahan. Senyuman cuba diukirkan untuk diri sendiri.

-Tahniah my prenz, power betul korang erk? :-D-

           Nisa membalas mesej Haida. Sambil tu tangannya ligat mencari nama Firdaus. Hah! Firdaus Mohd Zakri. Mamat ni memang...Entah bila la nak guna gambar sendiri? Entah model mana yang digunakan untuk dijadikan gambar profilnya? Wajah sendiri bukannya tak handsome. Smart juga la walau tak sekacak Shah Rukh Khan. Hihihi...

           Nisa mula membaca status dan komen-komen di dalam wall Firdaus. Wall Firdaus penuh dengan gambar-gambar yang telah ditag oleh rakan-rakan facebooknya. Glamour juga mamat sorang ni. Antara yang selalu tag gambar adalah Saisah Mazeati, Pak Busu, Eagle Fly, Amin Dia, Syahrul Nizar, Atie Solehah Isteri Hubby. Amboi panjangnya nama...Nisa tersenyum sendiri. Eh.. Kembang Mawar Berduri pun ada? Dan yang paling banyak tentulah Yati Yatt. Alhamdulillah nampaknya hubungan mereka semakin maju. Kalau dulu abang/sayang tapi sekarang ibu/ayah. Wah! Romantik gilerr. Hahaha..

              Nisa semak pula mesej dari Haida. Dah pengsan ke apa? Diam saja. Tak ada. Oh! dah tak hijau dah pun. Dah offline la tu. Nisa buka pula bahagian rakan yang telah memohon untuk menjadi rakan facebooknya. Antaranya Habsah Ayub. Terima sajalah. Muka comey ni mesti baik. Nisa chek info profil dia. Tokey kedai kek rupanya. Ada lagi Princessz Diana. Amboi Princess tu, tanpa membuka profilnya Nisa terus approve. Yang namanya perempuan mesti baik. Lelaki saja yang harus hati-hati sikit. Lagipun Azri pun dah pesan. Dalam Facebook pandai-pandai bawa diri. Dah nama pun Laman Sosial pasti ada gejala sosialnya. Kalau tak pandai uruskan dengan baik dan setakat ini Nisa masih mampu kawal diri.

               Nisa terus logout bila dah mula merasa boring. Masuk facebook kalau tak ada rakan untuk berbual memang tersangat boring. Nisa terus of lappynya. Nisa capai pula novel terbaru yang baru dibelinya. 'Projek memikat suami', menarik tajuknya. Walau dah khatam tapi Nisa masih mahu membacanya untuk kali kedua. Best sangat ceritanya. Kelakar pun ada. Mamat ais beku, tapi endingnya mamat ais beku menjadi romantik juga. Aku? Bila pula Azri nak jadi romantik? Nisa mengeluh perlahan. Suami aku tak romantik tapi dia cool. Biarlah...

...............................................

            "Nisa,.subuh dah nak habis ni. Cepat bangun!" sejak tadi Azri mengejutkan Nisa untuk bangun solat subuh tapi liat benar nak bangun. Sebelum ni sekali dipanggil dah bangun dan macam biasa mereka akan solat berjemaah. Tapi sejak dua tiga hari ini Nisa selalu begini. Siang hari pula kerjanya tidur saja memanjang. Dah tu terlalu sensitif sangat. Ditegur sikit, merajuknya lebih-lebih.

            "Nisa..kenapa ni? Dah nak subuh gajah. Tak bangun-bangun lagi. Tak baik Nisa tangguh-tangguhkan solat." Azri bersuara lagi. Tubuh Nisa digoyangkan perlahan.

           "Nisa ngantuk la bang. Letih sangat ni." Nisa bersuara juga walau mata masih terpejam. Kepalanya direbahkan di atas riba Azri yang duduk di birai katil. Hari minggu macam ni la nak bermanja pun.

           "Dahh..jangan mengada-ngada. Apa-apa pun solat dulu." Azri bersuara tegas. Dengan perasaan malas Nisa buka juga mata. Dia bangun dan duduk di sisi Azri. Tangannya didepangkan keduanya.

           "Nak dukung..." Nisa bersuara manja sambil membuat gaya kanak-kanak kecil yang ingin didukung ibunya. Azri tertawa perlahan melihat gelagat isterinya itu sambil kepalanya digelengkan berkali-kali.

           "Manja betul isteri abang sejak akhir-akhir ini. Jom abang bawa ke bilik air. Dah lewat sangat ni. Nanti terlepas pula solat subuh." tangan Nisa terus dipimpin hingga ke bilik air. Mak Leha yang memerhati memandang hairan. Menantunya sejak akhir-akhir ini semakin pemalas. Berkurung saja di dalam bilik setiap hari. Kalau ditegur sikit dah buat muka. Dah tu dia akan lari balik ke rumah ibu bapanya. Azri juga yang akan pergi membawanya pulang.

           "Kenapa tu?" Mak Leha bertanya anak kesayangannya.

           "Tak ada apalah mak. Nisa tak sihat. Pening kepala." Sebaik-baik Azri, demi isteri tersayang dikelentong juga ibunya itu. Bukannya sengaja. Kesiankan Nisa kerana ibunya selalu merungut padanya Nisa semakin pemalas.

           "Ikutkan sangat la bini tu." Mak Leha mengomel perlahan. Anak dan menantu dijeling geram. Ingatkan kalau dapat menantu boleh la timang cucu. Tak la sunyi sepi rumah ni. Ini..dah dekat dua tahun macam tu juga. Mak Leha mengeluh kasar. Nisa dan Azri yang baru keluar dari bilik air dipandang lagi. Tapi kali ni tak pula berpimpin macam tadi. Boleh pula berjalan sendiri? Fikir Mak Leha dalam hati.

           "Kau tak mau minum E? Mak dah buat mee goreng ni." Mak Leha bertanya pada Azri. Anak saja yang ditanya. Menantu pandai-pandailah cari sendiri. Dah nama pun perempuankan.

          "Kejap lagi la mak. E makan dengan Nisa." lembut Azri bersuara. Mak Leha mencebirkan bibirnya. Menyampah...

         "Abang pergilah makan dengan mak. Nisa nak solat. Lagi pun Nisa tak ada selera la nak makan. Tadi masa masuk dapur terhidu mee goreng pun tekak dah rasa loya." Nisa menyuruh Azri menemani emak mertuanya bersarapan pagi. Dalam rumah ni selepas subuh lagi sarapan sudah disiapkan.

          "Nisa tak sihat ke?" Azri bertanya Nisa. Memang isterinya nampak tak bermaya. Dah tu suka sangat makan benda-benda tak berkhasiat. Hari-hari minta coklat, ais krim dan makanan ringan lainnya. Macam budak-budak pula.

        "Pergilah temankan mak tu. Nanti mak kecik hati pula. Nisa pula kena tuduh." Nisa tarik muncung. Bukan tak pernah dia mendengar macam-macam mertuanya itu mengadu pada suaminya.

         "Yalah, nanti lepas solat jangan tidur balik. Tak masuk rezeki tidur lepas subuh. Lagi pun abang tengok isteri abang dah semakin tembam sekarang ni." Azri ketawa selepas ayat terakhirnya.

          "Abanggg.." Nisa ketap bibir. Sengaja nak mengutuk orang. Tahulah dia tak kerja pun. Duduk di rumah makan dan tidur saja. Entahlah kenapa badan dia jadi macam ni? Apa yang tak kena pun dia tak tahu?

...................................................

Positif!!!
        Alhamdulillah, hanya itu yang mampu diungkapkan tatkala doktor yang merawat Nisa memberitahu bahawa ujian yang dijalankan ke atasnya melalui urine test adalah positif. Bimbang dengan keadaan kesihatan Nisa yang semakin merosot Azri telah membawa Nisa ke klinik terdekat.

          "Assalammualaikum mak.." Sebaik pulang dari klinik Nisa terus mengajak Azri pulang ke rumah ibu bapanya. Biarlah ibu bapanya yang menjadi orang pertama yang mengetahui berita gembira itu. Nisa gembira sangat bila dirinya disahkan sudah mengandung. Penantian yang tak sia-sia.

            "Mak..oo mak. Mana pula mak ni?" Nisa mencari maknya di seluruh rumah. Sunyi sepi pula rumah mereka. Mana pula semua orang ni?

           "Sunyi aja Nisa, tak ada orang kot? Jomlah balik rumah mak abang dulu. Nanti petang kita datang lagi ke sini. Bukan jauh mana pun." Azri bersuara memujuk. Tadi Nisa berkeras nak pulang ke sini. Alasan yang diberi nak makan nasi masakan ibunya hari ini. Azri mengikut saja memandangkan sudah banyak hari Nisa tidak menjamah nasi kerana hilang selera makan.

              "Ala abang ni. Rumah mak abang tu tak lari ke mana la. Kalau abang dah rindu sangat nak jumpa mak abang tu. Pergilah balik. Nisa tak nak." Nisa bersuara rajuk. Terasa benar hatinya. Nak balik pergi sajalah. Tadi dah setuju nak datang sini. Emak pun belum jumpa dah nak ajak balik rumah mak dia tu. Nisa memprotes di dalam hati.

            "Aikk..menghalau nampak?" Azri terasa hati tapi demi isteri yang disayangi Azri mengalah juga. Orang mengandung memang macam ni ke? Erm..ikut sajalah Azri oii!!!
..............................................................

            "Sayang ibu sihat tak hari ini? Sayang ibu jadi anak yang baik tau. Ibu sayang sangat-sangat kat anak ibu ini.." Nisa mengusap perlahan perutnya yang sudah menginjak ke usia enam bulan. Sejak disahkan mengandung, gembira benar hatinya. Dia benar-benar teruja bila perutnya yang semakin membesar itu sudah mula dirasakan pergerakannya.

            "Ibu laparlah sayang. Anak ibu tentu lapar jugakkan? Jom kita tengok apa nenek tinggalkan untuk kita di dapur." Nisa melangkah menuju ke dapur. Hari ini dia bersendirian. Azri dan Mak Leha tiada kerana menghadiri majlis kenduri di rumah saudara mara terdekat.

     Bila tiba di dapur Nisa menuju meja makan dan tudung saji diangkat perlahan. Yang ada di bawah tudung saji hanyalah lempeng sarapan pagi tadi. Lempeng kelapa dicampur dengan pisang dicicah bersama kari ikan kembung lebihan semalam. Nisa menutup kembali tudung saji. Walau perutnya tengah berkeroncong minta diisi tapi dia tiada selera untuk menjamah. Nisa menuju ke arah peti ais dan membukanya. Juga tiada apa yang membuka seleranya untuk dimakan.

             "Ibu laparlah sayang, tapi ibu malas nak masak." Nisa mengusap lagi perutnya. Mengikut artikel yang dibaca, janin di dalam kandungan yang berusia empat bulan ke atas sudah boleh diransang mindanya.

             "Kita ke rumah nenek satu lagi ya sayang. Nanti boleh bermanja dengan nenek. Boleh minta tolong nenek masakkan sedap-sedap untuk kita." Nisa sudah berkira-kira untuk pulang ke rumah ibu bapanya. Teringin benar dia untuk makan masakan ibunya. Mak Nab tentu takkan menghampakan permintaannya. Nisa tersenyum sendirian. Dia sudah terbayang keenakan masakan ibunya yang pasti akan membuatkan dia berselera untuk menjamahnya. Nisa mengayun langkahnya menuju ke bilik.

           Laju ayunan langkahnya hingga Nisa terlupa ada nyawa lain yang dibawa bersamanya. Langkah Nisa tersadung, dan dalam keadaan dirinya yang tergesa-gesa itu Nisa tidak dapat menyeimbangkan tubuhnya bila nasib tidak menyebelahi dirinya. Nisa jatuh terduduk. Sakit pinggangnya tak terkata. Saat ini Nisa hanya mampu menahan kesakitan dan berdoa agar anak dalam kandungannya selamat.

Ya Allah...sakitnya Ya Allah. Aku rela Ya Allah menghadapi kesakitan ini tapi tolonglah jangan kau rampas anak dalam kandunganku ini. Kau selamatkanlah anak dalam kandunganku ini. Aku sayang anakku. Janganlah Kau rampas dia dariku Ya Allah.

            Nisa terus merintih dalam hati. Hanya Allah yang mampu menyelamatkan dirinya dan anaknya. Nisa mengagahkan dirinya untuk bangun. Perlahan-lahan Nisa cuba berdiri. Kesakitan yang dirasakan begitu merisaukan perasaannya.

          "Abang..tolong Nisa bang.." Nisa mula teringatkan suaminya. Nisa mula bergerak perlahan ke bilik. Saat Nisa mula melangkah Nisa terasa sesuatu yang mula mengalir di kakinya. Perlahan Nisa menyingkap kain yang dipakai.

           "Ya Allah..darah!" Nisa panik. Apatah lagi bila merasakan kesakitan yang ditanggung semakin berbisa.

         Dengan kudrat yang masih bersisa Nisa melangkah juga ke bilik. Perlahan langkah diatur sedangkan sakit yang ditanggung semakin mengcengkam. Darah semakin banyak yang keluar.vNisa mula merasakan keadaan keliling mula berpusing. Dengan sisa kudratnya telefonnya dicari dan dalam masa yang sama telefon yang dicari sudah berbunyi minta diangkat. Nisa segera menjawab panggilan bila skrin telefon memaparkan nama My Hubby.

         "Abang tolong Nisa bang. Nisa jatuh.." tanpa memberi salam Nisa terus mengadu.

         "Abang balik sekarang. Nisa dah tak kuat bang..." Nisa menyambung kata dan pandangan Nisa semakin kabur.

.......................................................

            Azri mundar mandir di hadapan bilik kecemasan. Hatinya resah bila memikirkan keadaan Nisa. Tadi hatinya tidak tenang di tempat kenduri kerana Nisa sendirian di rumah lantas Nisa dihubungi. Apa yang dibimbangkan terjadi juga. Mendengar suara Nisa yang meminta tolong dan akhirnya terus diam menjadikan dirinya amat panik. Mak Nab dihubungi segera. Bila mereka tiba di rumah ambulance sudah bersedia di depan rumah. Nisa sudah tidak sedarkan diri ketika Nisa ditemui. Nisa kehilangan banyak darah. Pucat benar wajah Nisa ketika dibawa ke Hospital tadi dan sebaik tiba di hospital Nisa disahkan kritikal oleh doktor yang merawat.

Ya Allah..kau selamatkanlah isteriku.

              Azri berdoa di dalam hati. Pintu bilik kecemasan dipandang lagi. Sudah hampir sejam Nisa disorong masuk ke sana tapi masih belum ada apa-apa berita.

             " E...sudahlah tu. Cuba bawa bertenang. Berdoa banyak-banyak..In Sya ALLAH Nisa selamat." Mak Leha cuba mententeramkan anak kesayangannya. Mak Nab dan Pak Mat di sebelah pula nampak tenang sahaja.

            "Doktor cakap Nisa kritikal mak." Azri bersuara perlahan sambil melabuhkan punggungnya di sisi Mak Leha.

            "Doktor bukan Tuhan E. Berdoa banyak-banyak. Mudahan anak dan isteri E selamat." Mak Leha bersuara lagi sekadar menyedapkan hati anak kesayangan. Pintu bilik kecemasan terkuak. Seorang nurse keluar diikuti seorang doktor di belakangnya.

             "Waris Nur Khairunnisa Bt Samad." nama Nisa disebut. Azri dan yang lain bingkas bangun dan mendapatkan keduanya.

             "Saya suaminya." doktor tersebut memandang Azri. Wajahnya tenang dan doktor mula bersuara.

             "Maafkan kami, anak dalam kandungan isteri Encik tak dapat nak diselamatkan. Isteri Encik banyak kehilangan darah dan kami perlu melakukan pembedahan dengan kadar yang segera untuk menyelamatkan nyawanya. Encik tolong tandatangan borang keizinan ni." Doktor terus menghulurkan fail di tangan pada Azri. Mak Leha dan Mak Nab sudah mula mengesat airmata. Harapan menimang cucu punah akhirnya. Fail yang dihulurkan disambut segera. Tandantangan diturunkan seperti yang diarahkan.

           "Isteri saya macam mana doktor?" Azri bertanya keadaan Nisa. Biarlah kalau ditakdirkan anak mereka diambil kembali tapi isterinya harus selamat.

           "Isteri Encik masih dalam pantauan kami. Buat masa sekarang saya tak dapat nak menjelaskan keadaannya." doktor bersuara tenang. Selepas borang ditandatangani doktor dan nurse terbabit masuk semula ke bilik kecemasan. Azri dan yang lain kembali ke tempat menunggu yang disediakan. Masing-masing mendiamkan diri, cuma sekali sekala Azri meraup wajahnya dan mengeluh perlahan.

          Nisa..maafkan abang. Kalau abang tahu akan jadi macam ni, abang takkan tinggalkan Nisa. Abang harap Nisa akan kuat selepas ini. Anak kita Allah dah ambil balik Nisa. Allah pinjamkan dia untuk buat kita bahagia sementara tapi Allah lebih sayangkan dia Nisa.

Ya Allah kau kuatkanlah hati isteriku untuk menerima cobaan ini.

          Azri berdialog di dalam hati. Dia redha terima ketentuan Ilahi tapi dia bimbang Nisa tak dapat menerima ujian ini. Dia tahu Nisa begitu teruja selepas disahkan mengandung. Berseri wajah isterinya saat berbual dengan anak dalam kandungannya. Kadang-kadang Azri terasa lucu dengan gelagat Nisa. Bersungguh benar Nisa berbual bagai anak di dalam kandungannya itu memahami setiap butir bicaranya. Azri meraup wajahnya untuk ke sekian kalinya.

Ya Allah..kau kuatkanlah hati isteriku untuk menerima pengkhabaran ini.

           Azri berdoa lagi di dalam hati. Hanya itu yang mampu dilakukannya. Kegembiraan Nisa akan lenyap selepas ini. Mampukah aku berhadapan dengan situasi itu? Aku perlu kuat demi Nisa. Aku tak perlu tunjukkan rasa kehilangan. Nisa perlukan aku untuk terus membina semangat. Azri berazam di dalam hati. Kehilangan zuriat yang dinanti-nantikan memang mengecewakan tapi dia harus redha dan terima segalanya. Dia hanya bimbang penerimaan Nisa terhadap kehilangan ini.

........................


              Nisa membuka mata perlahan-lahan. Mindanya mula berfungsi mengingati kembali apa yang telah menimpa dirinya. Pemandangan sekeliling dipandang. Wayar dan jarum memenuhi tubuhnya. Nisa mula mengingati sedikit demi sedikit. Perlahan tangannya diangkat tapi kudratnya langsung tiada. Badannya terlalu lemah. Kepalanya pening. Nisa terbaring kaku di atas katil.

             Di mana dia berada sekarang? Nisa pasti dia bukan berada di wad biasa. Seketika kemudian ada nurse yang masuk dan menuju ke katilnya. Nisa memandang lemah pada nurse tersebut. Banyak soalan yang ingin ditanya tapi semuanya hanya mampu disoal di dalam hati.

                "Puan Khairunnisa,.." nama Nisa dipanggil. Nisa hanya memandang tanpa suara. Nurse tersebut mengukirkan senyuman.

                "Puan ada di I.C.U sekarang. Memandangkan puan dah sedar nanti puan akan dipindahkan ke wad biasa." tanpa perlu disoal nurse tersebut memberitahu. Nisa hanya mampu mengganguk lemah.

Ya Allah..aku di I.C.U? Apa yang terjadi dengan anakku? Selamatkah anakku?

                Nisa hanya mampu berdialog di dalam hati. Perlahan tangannya menyentuh perutnya. Sudah tiada gerakan-gerakan halus seperti selalu. Yang ada cuma rasa nyilu yang menyiat-nyiat kulit perutnya.

                 "Nurse.." Nisa bersuara lemah. Ingin bertanya perkhabaran tentang anaknya tapi nurse langsung tidak menoleh, malahan selepas menulis sesuatu di atas laporan kesihatannya nurse tersebut terus membuka pintu dan berlalu pergi.

                  Apa yang telah terjadi dengan anakku? Soalan itu masih berlegar-legar di mindanya. Nisa menghitung sendiri. Kandungannya baru berusia enam bulan. Tipis harapannya untuk melihat anaknya hidup. Nisa mengandaikan dia sudah kehilangan anaknya. Tanpa dipinta air matanya meluncur laju. Perutnya dipegang lagi. Kalau sebelum ini ada nyawa yang dibawa bersama tapi sekarang perut itu telah kosong. Sebak rasanya bila memikirkan semua itu.

Ya Allah..kenapa kau rampas dia dariku Ya Allah? Aku nak anakku. Aku tak mahu kehilangan dia. Dialah kekuatan aku. Dialah kebahagiaan aku..

                    Nisa terus merintih. Dadanya rasa sebu. Sesak terasa di dalam dadanya melawan perasaan. Sayu dan sebak yang menguasai mindanya membuatkan air matanya meluncur laju.

              Sayang,.kenapa sayang tinggalkan ibu? Ibu nak sayang temani ibu tapi sayang pergi dulu. Nisa terus - terusan berdialog di dalam hati. Kepalanya terasa berdenyut. Perutnya pedih minta diisi. Bilik I.C.U yang hanya dihuni dirinya dipandang sepi.

               Abang..maafkan Nisa. Abang tentu kecewa kerana Nisa telah menyebabkan kita kehilangan anak kita? Nisa cuai bang. Andai masa dapat diputar kembali Nisa pasti akan berhati-hati. Tapi masa takkan dapat diputarkan kembali dan kita dah kehilangan anak kita.

               Nisa tak dapat mengawal diri. Perasaan sayu terus merasuk jiwanya. Bersendirian di bilik itu membuatkan perasaannya semakin sukar dikawal. Dengan keadaan dirinya yang lemah. Dengan keadaannya yang langsung tak mampu bergerak, Nisa terasa semakin lelah.

               Andai ini ujianmu Ya Allah, aku bermohon agar kau kuatkan hatiku. Kau jadikanlah aku seorang yang tabah. Sesungguhnya ujian ini terlalu perit.

Tiada lagi mimpi-mimpi indah yang bakal menemani.
Tiada lagi senyum tawa yang mengiringi.
Tiada lagi gurau senda dan kata bicara.
Tiada lagi rasa bahagia yang jadi realiti..
Yang ada hanyalah airmata yang akan terus menemani diri.

             Dalam sendu yang masih bersisa Nisa cuba pejamkan mata. Tak mahu lagi menyesakkan dada. Nisa begitu pasti anaknya sudah tiada dan Nisa perlu berdepan dengan kenyataan yang menyakitkan itu.

Ya Allah aku pasrah dan aku redha dengan ujianmu. Sedaya upaya Nisa melelapkan matanya. Biarlah semuanya terus berlalu dibawa arus masa.

............................................................

                Menjelang malam Nisa disorong ke wad biasa. Tiada saudara mara yang menemani. Nisa terasa hati. Kenapa Azri pun tidak menampakkan wajah? Mereka semua ke mana? Mereka sudah lupakah pada aku? Mereka marahkan akukah? Minda Nisa mula berfikir yang bukan-bukan. Selepas Nisa ditempatkan di katil wad. Seorang nurse datang untuk mengambil tekanan darah.

               "Puan kita ambil tekanan darah ya? Puan ada rasa pening,penat atau sesak nafas?" Nurse mula menyoal. Nisa yang rasa tidak selesa dengan pembaringannya berganjak sedikit walau terasa sakit yang teramat di perutnya.

                "Puan..buka mulut, kita ambil suhu. Ada rasa macam nak deman tak?" Banyak betul soalan. Nisa tak tahu mana satu yang harus dijawab. Yang dia tersangat pasti badan dia terlalu letih dan tersangat lapar.

               "Nurse..waris saya tak datang ke?" keluar juga ayat itu. Nurse yang ditanya terus tercengang.

                "Puan dari bilik I.C.U kan?" Nisa hanya mengangguk.

                 "Tak ada waris yang pergi melawat?" Nisa menggeleng. Nurse pun jadi buntu. Kerjanya diteruskan. Selepas tekanan darah dan suhu diambil fail laporan ditulis.

                "Nurse..perut sakit sangat. Boleh minta ubat tahan sakit tak?" Nisa mencuba nasib. Dia sudah tak mampu melawan rasa pedih.

                "Dah makan belum?" Nisa mengeleng. Nak makan apa kalau ahli keluarga pun tak nampak batang hidung. Nisa menyeka perlahan air mata yang mula mengalir.

                "Puan tunggu kejap. Saya tanya doktor dulu. Ubat ni bukan boleh beri macam tu aja." Nisa mengganguk. Nurse tersebut meninggalkan Nisa. Sepuluh minit kemudian nurse tersebut datang lagi bersama dua orang yang berpakaian jubah putih. Pakaian seragam seorang doktor.

                "Puan..kita chek luka sikit ya." kain bidai segera ditarik. Baju Nisa disingkap. Perlahan perut Nisa diperiksa.

               "Sakit sangat ke?" doktor yang memeriksa menyoal Nisa.

               "Sakit sangat doktor. Tak tahan. Pedih." perlahan Nisa bersuara. Doktor memerhati pek darah yang disambungkan ke tubuh Nisa.

                "Ada rasa pening atau sesak nafas?" Nisa mengganguk. Tak kuasa nak berkata-kata.

                Doktor tak menyoal lagi. Lepas Nisa diperiksa bidai ditarik semula seperti asal. Doktor bercakap sesama mereka. Sekali sekala pandangan mereka dialih pada Nisa. Selesai menulis sesuatu di atas fail laporan, mereka pun berlalu.

             Nisa berjeda seketika. Otaknya terus berfungsi memikirkan kemungkinan tiada ahli keluarga yang hadir. Sudah lebih 24 jam dia sedar, takkan seorang pun tak tahu dan menjenguk dia di sini?

 Lima belas minit berlalu nurse tadi datang lagi bersama beberapa peralatan. Jarum suntikan dikeluarkan.

              "Puan tahan sikit ya." Nurse berkata sebelum jarum ditekan ke dalam tiub botol air yang disalurkan ke badan Nisa. Bila ubat yang ditekan mula berjalan ke dalam uratnya Nisa mula mengerang.

              Sakitnya Ya Allah. Bukan sikit ni. Terasa tak tertahan. Tapi hati Nisa lagi sakit bila mengingatkan ketiadaan Azri dan ahli keluarga yang lain. Terasa bagaikan sebatang kara. Seketika kemudian bila ubat sudah menampakkan kesan mata Nisa pun semakin layu. Tiada apa lagi yang harus difikirkan. Nisa perlukan rehat yang secukupnya. Nisa mula hilang dari dunia realiti. Matanya terpejam rapat. Nisa nampak ibunya datang mendukung seorang bayi. Wajah ibunya berseri.

           "Nisa,..bangun sayang. Mak bawa anak Nisa ni. Anak Nisa comel macam Nisa kecil-kecil dulu. Nisa,..lepas ni mak nak ikut cucu mak. Nanti Nisa tolong jaga abah dan adik ya. Nisa jangan bimbang, mak ada cucu mak ni. Nanti cucu mak ni akan teman mak. Nisa, mak pergi dulu ya.." Emak Nisa bersuara tenang. Wajahnya putih bersih. Air mata Nisa mengalir tanpa sedar.


"Makkk..mak nak pergi mana bawa anak Nisa tu?" Tidur Nisa tak tenang. Nisa meracau.

"Mak..Nisa nak mak. Nisa nak anak Nisa."

.............................................

             Nisa termanggu di tepi jendela rumahnya. Bertahun sudah berlalu peristiwa sedih itu. Masih lagi terbayang detik itu. Hari yang sama Nisa sedar, emak Nisa kemalangan. Emak Nisa meninggal di tempat kejadian. Nisa hanya tahu emaknya pergi untuk selamanya selepas dia keluar dari wad. Semua orang merahsiakannya daripada Nisa akan pemergian emaknya itu. Memang sedih bila kehilangan orang tersayang dalam satu masa. Anak dan juga emak. Tempat Nisa mencurah kasih.

               Mak Leha pun sudah berubah. Ibu mentua Nisa tidak lagi segarang dulu. Dia semakin lemah. Sudah uzur benar. Azri pula sudah berhenti kerja kilang selepas Nisa keguguran anak pertama mereka. Azri buat bisnes kecil-kecilan. Alhamdulillah, bisnes Azri semakin maju. Nisa sendiri sudah mempunyai butik pakaian pengantin. Mereka sama-sama sudah berjaya. Mungkin berkat rezeki anak kedua mereka. Tiga tahun selepas Nisa keguguran, mereka mendapat sepasang anak kembar, Mohd Azrin Syah dan Nur Azrina. Diambil sempena nama Azri Iskandar. Keluarga mereka semakin bahagia dengan kehadiran kembar tersebut.

               "Nisa,..buat apa tu? Termenung lagi?" terdengar suara seseorang Nisa menoleh. Azri sudah melemparkan senyuman.

             "Tak ada apalah bang. Saja ambil angin petang. Abang nak minum?" Nisa bertanya Azri, dalam masa yang sama tangan suaminya itu dicapai dan didekatkan pada bibirnya lalu dicium penuh hormat.

           "Boleh juga. Memang dahaga pun. Anak-anak mana?" keadaan sunyi sepi menjadikan Azri hairan. Selalunya anak-anaklah yang riuh rendah menyambut kepulangannya.

          "Mana ada,.tadi dah ikut Pak Ucunya naik motor. Katanya tadi nak ronda-ronda sekeliling kampung. Apa lagi..melompat sakanlah. Suka." Nisa ketawa perlahan. Adik bongsunya sudah tujuh belas tahun sekarang. Tak sangka cepat sungguh masa berlalu. Lepas setahun emaknya meninggal, ayahnya pula pergi menghadap Ilahi. Satu-satu adiknya itu tinggal bersama mereka.

            "Nisa tak ke butik ke hari ni? Tak lama lagi dah cuti semester terakhir tentu banyak tempahan?" Azri bertanya sambil memandang wajah Nisa. Butik yang selalu ditutup membuat Azri hairan. Nisa tak pernah mengabaikan butik pengantinnya sebelum ini.

           "Abang, Nisa ada berita nak beritahu abang ni." Nisa berwajah ceria. Segelas juice oren dihulurkan pada Azri sementara Nisa sendiri duduk di atas sofa di sebelah Azri.

           "Tadi selepas balik dari butik Nisa singgah Farmasi.." Nisa berjeda seketika. Wajah Azri dipandang sambil bibir mengukirkan senyum.

          "Nisa buat apa di Farmasi?" Azri tanya tidak sabar. Sakitkah Nisa? Soalan itu yang bersarang di dalam mindanya.

           "Nisa beli test pragnant." Nisa bersuara ceria. Azri terkesima memandang wajah Nisa yang nampak sudah teruja.

            "Nisa mengandung?" Azri pula bertanya sambil bibirnya sudah merekah dengan senyuman. Nisa turut tersenyum sambil tangannya mengamit tangan Azri.

            "Dah tiga bulan bang. Nisa pun tak perasan Nisa dah banyak bulan tak datang period. Mungkin terlalu sibuk dengan butik jadi Nisa tak sempat nak kira hari." Nisa memberitahu Azri dengan nada suara yang kedengaran cukup bahagia. Azri masih tersenyum riang. Dia bakal dapat anak lagi? Siapa yang tidak suka dengan pengkhabaran gembira itu.

              "Alhamdulillah, Terima Kasih Nisa. Sini..." Azri mengucap syukur. Tangan Nisa ditarik supaya Nisa lebih rapat kepadanya. Wajah Nisa juga dirapatkan dengan wajahnya dan bibirnya mendarat di dahi Nisa.

             "Sayang isteri abang ni." giliran Nisa pula terkejut. Kali pertama Azri mengungkapkan ayat keramat itu. Selama ini memang Nisa tertunggu-tunggu luahan perasaan Azri terhadapnya.

            "Abangg, Nisa gembira sangat hari ni. Abang dah banyak berubah." Nisa berkata jujur. Azri ketawa perlahan.

             "Demi Khairunnisa abang sanggup buat apa saja." pengakuan ikhlas seorang suami. Kadang-kadang kasih sayang tak perlu diungkapkan dengan kata-kata. Cukuplah dengan bahasa tubuh yang dipamerkan.

               "Nisa pun sayang abang juga. Sayang sangat,sangat.." Nisa lentokkan kepalanya di bahu Azri. Bahagianya perasaan ini.

                 "Abang tahu.." Azri bersuara perlahan. Tangannya memaut bahu Nisa. Sekali lagi dahi Nisa menjadi sasaran bibirnya.

               "Mana abang tahu?" Nisa bertanya perlahan sekadar menguji suaminya itu dan dalam masa yang sama didongakkan kepalanya.Wajah Azri dipandang tak berkedip.

              "Tuu..dalam perut tu buktinya.." Azri memuncungkan bibir mengunjuk ke perut Nisa.

            "Abang ni...semakin tua semakin gatalkan? Biang-biang keladi." Nisa pura-pura merajuk. Wajahnya dimasamkan.

               "Nisa tak pernah dengar ke omputih kata 'life begin at 40'..." Azri berkata sambil mengenyitkan matanya. Nisa pula menjegilkan matanya. Azri terus ketawa.

             "Kenapa dengan abang hari ni? Tersampuk kot or tak pun pembawa budak?" Nisa ketawa dengan ayatnya sendiri. Azri merangkul Nisa erat. Moga kebahagiaan ini terus berkekalan. Demi Khairunnisa, Azri sanggup berubah apa saja. Azri mahu jadi suami yang cool tapi dipenuhi dengan kasih sayang. Bukan suami cold yang dingin dan membeku.

               "Nisa..I Love You Forever.." kali pertama Azri mengucapkan kata-kata seperti itu. Nisa yang terpegun terus menghadiahkan sebuah ciuman kasih di pipi Azri. Cinta Nisa pada Azri takkan pernah berkurang walau telah lama bergelar isteri. Ungkapan cinta yang amat berharga dari seorang suami harus diberi ganjaran setimpal. Biarlah cinta ini terus bersemi selamanya. Biarlah cinta ini terus kekal abadi hingga ke Jannah!

            Suami Yang Cool itu adalah milikku. Suami cool bermakna suami yang sentiasa tenang dalam menghadapi apa saja situasi dan suami yang cool juga tak pernah panas baran tanpa sebab. Suami yang cool sentiasa penuh dengan kasih sayang dan seorang yang bertanggungjawab, beriman dan bertaqwa kepada Allah. Suami yang cool juga seorang anak yang soleh dan tahu menghormati orang-orang tua. Dia juga pandai mengambil hati dan menjaga hati orang sekelilingnya. Anda di luar sana. Andai anda seorang suami?Adakah anda seorang suami yang cool? Tepuk dada tanyalah hati anda sendiri!

                       **************TAMMAT****************

p/s;Suami Yang Cool,.idea ni datang bila melihat situasi rumah tangga hari ini, kebanyakan suami memang payah nak jadi romantik bila dah berumah tangga. So jangan terlalu mengharap pada kesempurnaan. Terimalah kekurangan dan kelemahan pasangan kita. TOLONG KOMEN YA, SAYA LEBIH SUKA KRITIKAN UNTUK TERUS MEMAJUKAN HASIL KERJA SAYA, yang puji pun saya akan hargai. TERIMA KASIH pada yang sudi singgah dan membaca cerpen ini ;)


13 ulasan:

  1. Balasan
    1. Terima Kasih,.sebahagiannya adalah pengalaman + imaginasi :)

      Padam
  2. kehidupan mmg macam tu kan.ada suka duka,lebih istimewa bila melibatkn orang tersayang..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sebenarnya hidup adalah pengorbanan,kalau kita nak bahagia kita HARUS korbankan HATI,PERASAAN dan paling penting EGO kita..kenalah kita yg bhagiakan org lain dulu n Allah akan beri bhagia tu untuk kita :D

      Padam
  3. Saya dah dapat suami cool ni,.semakin tua semakin sayang,..hahaha

    BalasPadam
  4. Bila melihat view cerpen ni paling tinggi dalam senarai aku terpanggil untuk bercerita,.sesungguhnya cerpen ini terhasil dari lakonan aku dan rakan2 fb dalam satu group dalam fb. Firdaus adalah nama seorang rakan fbku. Mohd Firdaus Mohd Zakri sudah menghembuskan nafasnya yang terakhir tahun lepas akibat kanser paru-paru. Al-Fatihah untuk arwah Fir,.moga dirimu tenang di alam barzah sana, Aamin Ya Rabbal Alamin.

    BalasPadam
  5. Siapa kata orang pelajaran tinggi aje menulis? Saya mengikuti hampir semua cerita akak, it's perfect. bagi saya untuk menulis cukuplah ada idea dan mampu mengarang untuk menarik minat pembaca. tanda baca tu jangan risau kerana akak menulis untuk own happiness boleh diperbetulkan.
    Teruskan berkarya akak. My support always there for u.....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Thank's Nieta!,.sori lmbt reply,..line tak mengizinkan,..

      Padam
  6. suami saya seorang yang cool,kadang2.. geram sangat ngan perangai dia. tapi saya tahu,dia adalah suami yang terbaik buat saya..dunia akhirat,Amin..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah..namun tak ada manusia yg sempurna. Kebanyakan suami cool ni pemalu dan tak romantik..hihi

      Padam
  7. Terslh ejaan ke tu "niza" atau mmg ejaan dia niza.tq

    BalasPadam
    Balasan
    1. Typing error itulah jawapannya. Dah bnyk kali edit cerpen ni tp masih terlepas pandang...namanya Khairunnisa. Bukan niza tp nisa..hihi

      Padam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.