Khamis, 13 Oktober 2016

Cinderellakah Aku?



                 Tak ada kerja yang nak aku lakukan. Sejak cuti semester ni, aku banyak menghabiskan masa di depan laptop. Aku layan drama-drama Korea yang aku muat turun dari internet. Aku muat turun juga Variety Show Korea seperti I Can See Your Voice, Running Man episod terbaru, King Of Mask Singer dan berbagai lagi showtime dan show-show artis K-Pop yang menjadi kegilaanku.

                 Aku memang dah terlalu obses dengan semua rancangan dari Korea. Aku pun tak pasti, apa yang best sangat dengan rancangan-rancangan Korea ni. Rupa merekakah? Sikap dan perawakan merekakah? Ataupun, cara mereka mengacara rancangan dan berlakon? Aku tak pasti. Yang aku tahu, masa aku terbuang begitu saja di depan laptop dan aku layan rancangan-rancangan Korea itu tak mengira masa. Siang atau malam, masaku hanya di depan laptop. Sekejap ketawa, sekejap menangis, sekejap tersenyum lebar dan  aku cukup terhibur.

                   Drama Korea terbaru bertajuk Cinderella And Four Knight begitu menarik minatku. Walaupun drama itu masih belum tamat, aku menontonnya berulangkali setiap episod. Malamnya pula, bila aku tak dapat melelapkan mata, aku terus berangan, akulah gadis yang bertuah di dalam drama tu. Hidup aku di kelilingi oleh empat orang lelaki kacak yang bergelar jutawan. Indahnya imaginasiku hinggalah aku terlelap dalam senyuman.

             Suatu hari pak cik aku datang ke rumah. Dia menawarkan aku pekerjaan, katanya aku dah semakin dewasa, daripada duduk di rumah tanpa kerja, lebih baik keluar bekerja, boleh juga membantu keluarga. Emak dan ayah aku pun sudah mengizinkannya. Kata mereka, aku banyak sangat membuang masa dengan perkara yang tak berfaedah. Aku keberatan untuk pergi. Berat hati sangat untuk meninggalkan laptop kesayanganku. Berat hati untuk meninggalkan mak dan ayah aku, juga satu-satunya adik aku dalam dunia ni.

           Namun, dalam berat hati tu, aku turutkan juga kemahuan mereka. Aku tinggalkan laptop kesayanganku pada adik aku. Aku terpaksa pergi meninggalkan mak dan ayah. Aku terpaksa meninggalkan dunia kebebasanku. Aku kini sedang berada di bawah kekuasaan orang lain. Di bawah kuasa mereka yang lebih berharta. Yang punya segalanya.

                  ‘’Q, bawa ni ke meja makan. Nanti semua Tuan Muda balik, terpulanglah, mereka nak makan ke tak. Kita buat kerja kita. Mereka tak makan nanti, biar kita saja yang habiskan.’’ Ketua pembantu rumah memberikan arahan. Antara ramai-ramai pekerja yang bekerja di dalam rumah ini, dia yang mengetuai setiap apa yang kami lakukan. Dia yang akan memberi arahan itu dan ini. Apa menu masakan dan kerja apa yang harus kami lakukan.

                ‘’Baiklah Mak Su, Err..bila mereka akan balik Mak Su? Pukul berapa? Sejuk pula makanan ni nanti.’’ Dalam mengiakan kata-kata Mak Su Syarifah, aku mengajukan juga persoalan yang bersarang dalam minda aku. Sejak beberapa hari aku bekerja di sini, payah benar nak berjumpa dengan empat orang penghuni rumah besar ini. Sebagai pekerja, aku tinggal di rumah belakang bersama pekerja-pekerja yang lain. Ada dua buah rumah pekerja di sediakan di belakang banglo mewah ini. Sebuah rumah untuk pekerja lelaki dan sebuah lagi untuk pekerja wanita. Untuk Chef yang ditempah khas pula disediakan rumah yang lebih besar dari rumah kami pekerja bawahan ini.

               ‘’Buat sajalah kerja. Jangan banyak tanya sangat, boleh tak? Dalam rumah ni, kita hanya diarahkan bekerja, bukan banyak cakap, terutamanya sebarkan gosip. Ada mata tutup rapat-rapat. Ada mulut gam kuat-kuat. Ada telinga buat-buat tak dengar, apa saja yang terjadi dalam rumah ini.’’ Mak Su Syarifah sudah memberi amaran. Aku tersipu-sipu bila dia mengerling aku dengan jelingan tajam.

            ‘’Tapikan Mak Su, kalau pejam mata, nanti habislah tumpah semua lauk ni kalau tersepak kerusi, meja atau apa saja perabut dalam rumah ni, kalau gam mulut, macam mana nak makan, kebulurlah Q nanti, kalau..’’

              ‘’Qistina! Diam!..bawa makanan ni ke meja depan sekarang!’’ Mak Su Syarifah bersuara garang. Kelam kabut aku berjalan bila melihat renungan tajam Mak Su Syarifah padaku.

             ‘’Menjawab, menyoal, tak habis-habiskan? Ada saja idea dia nak tanya soalan itu dan ini. Nak menjawab apa saja yang orang kata.’’ Aku dengar Mak Su Syarifah membebel walaupun kakiku sudah melangkah untuk berlalu ke ruang makan.

                     Aku hidangkan makanan di atas meja. Aku letakkan satu persatu dibantu oleh pekerja-pekerja yang lain. Mereka lebih pendiam berbanding aku. Memandangkan, aku ni anak saudara Mak Su Syarifah dan keluarga kami pun bukan dari golongan orang  miskin, pekerja-pekerja lain lebih menghormati kami. Aku tak kisah pun kalau mereka nak berkawan dengan aku. Tapi, entah kenapa, pekerja yang lain tak suka bergaul dengan aku. Hanya Mak Su Syarifah saja satu-satunya pekerja di dalam rumah ini yang mahu berbual dengan aku. Tak faham betul aku, takkanlah kerana harta dan rupa, mereka nak menyisihkan aku?

               ‘’Ira..bila Tuan Muda nak pulang?’’ aku mencuit salah seorang pekerja yang sedang menghidang makanan bersamaku. Dia pekerja paling muda di sini. Dengar kata, dia baru habis mengambil peperiksaan SPM. Dia bekerja di sini pun sebab nak mencari duit untuk melanjutkan pelajarannya.

             ‘’Entah.’’ Sepatah saja perkataan yang Shahira beri. Kecewa juga perasaan aku mendengarnya. Aku nekad dalam hati, hari ini aku akan tunggu ke empat-empat tuan rumah ini balik dan mengintai mereka dari jauh. Nak tengok juga penampilan dan rupa mereka. Kacak ataupun tidak.

            ‘’Selalunya Tuan Muda balik ikut pintu depan ataupun pintu belakang?’’ aku ajukan lagi soalan pada Shahira dan responnya sangat mengecewakan. Shahira langsung tak bersuara, dia hanya mengangkat bahu mendengar soalan aku tadi.

                   Aku hilang punca sebab rumah besar ini ada empat pintu utama. Rumah ini besar dan luas. Ada banyak bilik dan setiap bilik ada kelengkapan tersendiri. Ada gym, perpustakaan, bilik solat, studio rakaman, dan selebihnya adalah bilik tuan-tuan muda dalam rumah ini. Apa yang aku dengar daripada Mak Su Syarifah, tuan-tuan muda ini adalah cucu seorang jutawan yang sudah meninggal dunia. Jutawan ini ada banyak isteri tapi hanya mempunyai empat orang cucu. Anak-anak dan menantu jutawan ini sudah meninggal dunia. Ke empat-empat orang Tuan Muda sudah menjadi yatim piatu, namun mereka mewarisi harta yang banyak dari datuk mereka.

                Apa yang Mak Su Syarifah cerita, salah seorang dari cucu jutawan itu pernah tinggal dengan keluarga angkat. Selepas jejak kasih dibuat dan keputusan DNA keluar, dia dibawa ke rumah ini. Salah seorang Tuan Muda adalah model Antarabangsa. Seorang lagi pelakon yang baru mengasah bakatnya dalam dunia hiburan. Seorang lagi ‘sampah dunia’ kerjanya hanya membuang masa di kelab-kelab malam dan pulang mabuk ke rumah. Kadang-kadang langsung tak pulang. Dia anak kacukan daripada isteri ke empat jutawan. Ayah dan ibunya juga bukan berbangsa melayu. Dia mungkin antara Tuan Muda yang paling kacak dalam rumah ini, tapi dialah paling banyak membawa masalah dengan sikapnya.

                 Aku membuat satu keputusan untuk menunggu Tuan Muda pulang di pintu sebelah Timur. Sambil menunggu, aku meronda di sekeliling taman. Mulut aku ternganga sebentar menyaksikan panorama indah di depan mata. Rupanya, di sekitar rumah ini ada ‘rumah hijau’. Aku hampiri rumah hijau tersebut, lupa seketika dengan niatku untuk melihat Tuan Muda di rumah ini. Aku membuka pintu rumah hijau dan masuk ke dalamnya.

             ‘’Wow!’’ tanpa sedar bibir aku sudah menyuarakan rasa kagumku. Rumah hijau ini dipenuhi dengan pokok-pokok bunga yang hidup subur. Aneka bunga berwarna warni menarik minatku untuk terus melangkah menerajui kawasan dalam rumah hijau ini. Mata aku bersinar-sinar mempamerkan rasa kagumku. Hati aku bernyanyi riang dan jiwa aku seakan melayang di udara. Aku bahagia melihat permandangan indah di depan mata. Bibir aku tak lepas dari menguntum senyum. Wajah aku terasa bercahaya dengan perasaan yang sukar untukku gambarkan dengan kata-kata. Subhanallah, cantik sungguh tempat ini. Siapakah yang menjaga tempat secantik ini? Kalau aku diberi pilihan untuk membantu pemilik tempat ini, aku rela walaupun tak dibayar sesen pun.

             ‘’Awak suka bunga?’’ satu suara menyapaku yang masih dengan rasa kagumku. Aku mengangguk laju tanpa menoleh. Tangan aku terus menyentuh lembut kelopak bunga mawar merah di depan mata. Aku dekatkan wajahku. Hidung aku terus menghidu haruman mawar merah yang sedang mekar indah.

             ‘’Mana ada perempuan yang tak suka bunga? Bunga cantik dan wangi..tipulah kalau ada perempuan yang cakap dia tak suka bunga.’’ Aku menjawab sambil menoleh perlahan-lahan.

                Mataku tertangkap seraup wajah yang sedang berpeluh di depanku. Aku perhatikan matanya yang sedang merenung wajahku. Keningnya yang lebat dan hitam membuatkan wajah di depanku sangat sempurna dengan hidung tinggi dan bibir...

               ‘’Siapa awak? Kenapa awak datang ke sini? Awak tak tahu ke, tak ada orang lain yang dibenarkan masuk ke sini tanpa izin saya?’’ pemilik wajah yang aku telek tadi bersuara. Aku terkejut mendengar suaranya yang berubah nada. Terkaku seketika aku yang sedang memerhatikan wajah kacak di depanku tadi. Bibirnya yang merah itu tiba-tiba membuatkan aku menyampah bila mendengar nada suaranya yang agak angkuh.

             ‘’Err..sorry. Saya pekerja baru di sini. Tak tahu pula ada peraturan macam tu. Encik jaga tempat ni ke? Cantikkan tempat ni. Saya nak datang sini selalu boleh tak?’’ aku beranikan diri bersuara dan meminta izin untuk mengunjungi tempat ini lagi. Hati aku sudah terpaut dan jatuh hati dengan bunga-bunga yang ada di sini.

           ‘’Tak boleh! Jangan sesekali jejakkan kaki ke sini lagi. Tempat ini hanya saya saja yang boleh masuk. Saya takkan benarkan orang lain masuk ke sini.’’ Tegas sekali nada suara lelaki di depanku ini. Serta merta saja fikiran aku berubah. Wajahnya yang kacak terus aku anggap sebagai paling hodoh dalam dunia. Kedekut. Hati aku berbicara di dalam.

          ‘’Kedekut betullah encik ni. Bukannya saya nak rosakkan tempat ni pun. Saya nak tengok saja dan nak cari ketenangan dengan melihat semua bunga-bunga di sini. Eleh..berlagak betul encik ni kan? Macamlah tempat ni encik yang punya. Encik tu pekerja macam saya juga. Jangan nak berlagak sangat!’’ aku berkata geram sambil berlalu dan menghentak kakiku. Sungguh tak puas hati dengan kata-kata lelaki ini. Siapa dia?

              ‘’Tunggu!’’ lelaki itu bersuara lagi. Kakiku terhenti melangkah dan aku menoleh ke arahnya kembali.

               ‘’Awak ni siapa? Saya tak tahu pun ada pekerja baru di sini.’’ Dia menyoal aku sekali lagi. Aku mencebik dan kembali berpusing. Kirim salamlah aku nak jawab soalannya. Siapa aku, dia peduli apa. Aku melangkah laju dan keluar dari rumah hijau. Aku kembali teringat dengan niat asalku tadi. Apa nak jadi pun, aku nak tengok juga rupa paras salah seorang Tuan Muda di rumah ini.

               Aku menunggu di pintu masuk di sebelah Timur beberapa jam lamanya, hinggalah aku mula bosan. Dalam aku menunggu, aku melayan lagu-lagu yang ada dalam telefon bimbitku. Aku guna ear phone agar tak menganggu orang lain. Sambil mendengar, sesekali kepala dan kakiku turut bergoyang mengikut rentak lagu.

                 Tunggu punya tunggu, aku tetap hampa juga. Tak apa, esok aku tunggu pula di pintu utama sebelah Utara. Hatiku berbisik lagi, dan penantian hari ini berakhir dengan perasaan kecewa.

*************

                      Seminggu aku di sini wajah-wajah Tuan Muda masih lagi dalam kesamaran. Aku tak dapat nak bayangkan pun dalam imaginasi aku bagaimana wajah-wajah empat orang cucu jutawan yang menghuni dalam rumah ini.

                  Hari ini aku ditugaskan untuk mengemas bilik Tuan Muda yang berdekatan dengan pintu sebelah Barat. Kata Mak Su aku hanya perlu menyapu habuk-habuk kalau ada. Mengutip baju untuk dibasuh dan mengemas apa yang perlu. Tapi, kalau Tuan Muda ada di dalam bilik, jangan sesekali berani nak masuk. Berpatah balik sebelum bertembung muka dengan Tuan Muda. Ishh..apasal pula nak kena berpatah balik? Baguslah kalau Tuan Muda ada. Memang itu pun niat aku bila meminta izin dari Mak Su untuk mengemas bilik Tuan Muda.

                  Aku takkan sesekali mendengar arahan yang Mak Su beri. Biarlah aku dimarah Mak Su sekali pun. Aku akan lakukan, apa saja yang hati aku nak. Aku nak tengok juga wajah Tuan Muda yang kononnya kacak sangat tu.

                   Aku sampai di bilik Tuan Muda dan memulas tombol pintu perlahan-lahan. Aku terhendap-hendap di muka pintu sebelum memboloskan diri aku ke dalam bilik. Bilik bersepah dan nampak serabut. Kepala aku tergeleng berkali-kali. Seluar dan baju yang bertaburan atas lantai aku kutip dan memasukkan ke dalam bakul yang aku bawa. Aku kemaskan katil yang berselerak dan berantakan.

                Selesai mengemas katil, aku mengemas pula meja sofa yang penuh dengan pembungkus makanan ringan. Patutlah makanan yang chef sediakan jarang terusik. Rupanya, cucu jutawan ini suka makan bersendirian di dalam bilik. Membazir betullah. Upah chef dengan gaji yang mahal, tapi makan makanan ringan yang tak berkhasiat. Untung kami yang bekerja di rumah ini, selalunya makanan yang chef masak, kami yang tolong habiskan.

                  Bila semua sampah sarap aku masukkan ke dalam plastik hitam, aku bersedia pula untuk mengelap meja sofa. Aku lakukan tugas yang diberi dengan bersungguh-sungguh. Aku berusaha untuk melakukan kerja aku hingga nampak betul-betul kemas. Aku nak buktikan pada Mak Su, aku boleh buat kerja seperti pekerja lain juga, walaupun aku masih baru di sini.

                 ‘’Siapa awak?’’ terdengar satu sergahan di belakangku bila aku sedang ralit mengelap meja sofa. Aku berpusing laju. Seorang lelaki tinggi lampai sedang merenung tajam ke arahku. Badannya tegap dan dia sedang berpeluh. Sambil memerhatikan aku, dia mengelap peluhnya dengan tuala kecil. Dia sedang memakai baju sukan yang sendat. Mungkin dia baru habis melakukan aktiviti memanaskan badan di gym.

                 ‘’Aaa..saya, saya pekerja baru Tuan Muda.’’ Teragak-agak aku menjawab. Gerun juga kalau Tuan Muda tiba-tiba mengamuk.

                  ‘’Selama saya tinggal dalam rumah ni, tak ada lagi pekerja yang berani masuk ke bilik ini semasa saya ada di rumah. Kenapa awak berani sangat terjah masuk ke sini? Tak boleh tunggu saya keluar dulu ke? Hah?’’ lelaki tadi bersuara garang. Serta merta aku memanggung kepala dan menentang pandangan matanya. Seperti mana dia sedang memandang tajam ke arahku, begitu juga aku melawan pandangannya dengan hati yang geram.

                  Ehh..cantiknya mata dia. Hidung dia, mancungnya macam hidung mat saleh. Wajah dia..dan bibir aku tiba-tiba terukir dengan senyuman. Aku memetik jari kerana ingatan aku tiba-tiba berfungsi dengan pantas. Aku kenal wajah di depan aku ni. Dia rakan facebook aku. Ya, aku follower facebook dia dan aku selalu like setiap post yang selalu diupdate ke dalam facebooknya kerana dia seorang jurugambar bebas yang mengambil gambar-gambar alam semulajadi.

              ‘’Awak ni..Azraf Ariffinkan? Awak ni jurugambar bebas, kan? Saya suka tengok gambar-gambar yang awak selalu post dalam facebook. Cantik sangat permandangan-permandangan yang awak ambil.’’ Aku bersuara ceria, macam baru dapat ketul emas. Aku benar-benar gembira kerana terjumpa dengan salah seorang rakan alam mayaku di dunia nyata.

                   ‘’Awak keluar sekarang sebelum saya pecat awak.’’ Sekali lagi lelaki yang sedang berada di depan aku ni bersuara. Kata-kata yang aku ungkapkan langsung tak berbekas di hatinya. Aku berdecit kecil, terasa diriku sangat kerdil di depan lelaki kacak ini. Huh, buat apa, harapkan muka saja kacak, tapi budi bahasa langsung tak ada.

              ‘’Awak tak malu ke masuk ke dalam bilik lelaki berduaan macam ni? Harapkan pakai tudung saja labuh, tapi masuk bilik lelaki yang bukan mahram.’’ Lelaki itu berkata lagi. Berdesing telinga aku mendengarnya. Teruja sangat aku nak tengok wajah Tuan Muda sampai aku terlupa siapa aku. Wei, aku ni anak dara yang berumur dua puluh tahun tau.

            Perlahan-lahan aku melangkah keluar. Wajah aku sudah berbahang menahan malu. Sempat aku mengerling lelaki yang mungkin juga Tuan Muda kami ini tersenyum mengejek kepadaku.

             ‘’Sampah sarap semua tu awak nak tinggal ke? Takkan nak suruh saya pula buang semua tu?’’ suara Tuan Muda berbunyi lagi. Aku berpusing semula, tanpa mengangkat sedikit pun kepalaku, aku mengambil beg sampah dan bakul pakaian kotor yang aku bawa bersamaku tadi. Aku ingin terus ghaib dari bilik ini. Kata-kata yang keluar dari bibirnya begitu membuatkan air mukaku berubah mendadak.

               ‘’Awak follow facebook saya ke?’’ aku terdengar suara itu lagi. Aku panggung seketika. Dia tersenyum dan menjungkit kening. Aku mengangguk, kemudian mengeleng, mengangguk dan mengeleng lagi. Blurr tiba-tiba...

               ‘’Awak follow ke tak?’’ kali ini suaranya agak mesra. Nada suaranya berubah sembilan puluh sembilan peratus. Aku mengangguk dan bersedia untuk keluar dari biliknya.

              ‘’Suara awak dah hilang ke?’’ dia masih ingin mengajak aku berbual. Aku terpaku di depannya. Dia mula duduk di sofa dan merenung tepat ke wajahku.

                    ‘’Maaf Tuan Muda, saya kena keluar sekarang, kan tak manis lelaki dan perempuan berdua-duaan dalam bilik ini.’’ Aku bersuara perlahan dan menundukkan wajah. Giliran dia pula berdecit mendengar kata-kataku. Aku tersenyum tanpa sengaja dan berlalu keluar.

                  ‘’Kalau ya pun, bagitaulah nama awak dulu.’’ Aku sempat mendengar dia melaung sebelum aku menutup pintu bilik.

                  ‘’Panggil saya Q!’’ aku berbalas laungan dan pintu bilik terus aku tutup rapat. Bibir aku terhias dengan senyuman. Hati mula bersuara gatal. Wow, smartnya Tuan Muda macam modellah. Tapi aku rasa dia bukan model sebab apa yang aku dengar Tuan Muda yang menjadi model Antarabangsa tu biliknya di sebelah Utara.

****************

               Tugas aku seterusnya menyiram pokok bunga di laman mengantikan tukang kebun yang sedang bercuti. Aku memulakan kerjaku dengan menyiram laman di sebelah Utara. Laman sebelah Utara penuh dengan pokok-pokok bunga renek dan pokok bonsai. Ada sebuah kolam ikan yang dipenuhi dengan pokok teratai yang sedang berbunga. Ada juga sungai buatan dan air terjun dihiasi dengan pokok-pokok bunga di sekelilingnya.

           Sambil menyiram pokok bunga, sempat aku berangan berjalan-jalan di tepi sungai buatan dengan seorang lelaki yang kacak. Umpamanya salah seorang Tuan Muda dalam rumah ini. Tak kacak sangat macam model, kacak macam watak Kang Hyun Min pelakon drama Cinderella And Four Knight tu pun cukuplah. Hati aku berbisik sendiri dan bibir pula menguntum senyum tanpa dapat ditahan lagi. Spontan saja semuanya berlaku. Aku terus berangan dan berangan hinggalah..

             ‘’Hoii..’’ seseorang sudah menyergah aku dengan suara yang lantang. Terpinga-pinga aku mencari arah datangnya suara itu.

             ‘’Buta ke?’’ lelaki yang memakai seluar paras lutut dan berbaju kemeja batik yang sedang berada di depan aku bertanya dengan wajah garang. Aku telek wajah dia. Aku perhatikan dia atas dan bawah. Tak semena-mena, aku cubit lengan aku sendiri. Sah, aku tak bermimpi. Aku masih sedar dan berada di dunia realiti.

               ‘’Maaf Encik, saya tak sengaja. Tak perasan tadi, Encik ada di situ. Encik buat apa, di celah-celah pokok bunga ni?’’ aku berkata dalam nada perlahan. Gementar rasa hatiku kerana takut dimarahi lelaki ini berterusan. Salah aku kerana menyiram pokok bunga sambil berangan hingga tak perasan ada orang lain di sini.

                 ‘’Awak siapa? Mana Pak Mat?’’ lelaki tinggi lampai dan berkulit cerah itu bertanya lagi. Wajahnya bersih dari sebarang cela. Tiada kumis ataupun janggut. Cukup bersih mengalahkan selebriti. Siapa dia?

                   ‘’Saya pekerja baru Encik. Baru bekerja, tak sampai sebulan pun lagi. Maaf Encik, Pak Mat bercuti hari ni, Puan Syarifah suruh saya gantikan Pak Mat dah menyiram semua pokok-pokok bunga di laman petang ni.’’ Teragak-agak aku menjawab soalannya. Dari riak wajahnya, macam dia berpuas hati dengan jawapan aku. Dia mengangguk dan mengamit aku supaya pergi kepadanya. Aku tergaman melihat reaksinya. Boleh ke aku pergi dekat dengannya? Mak Su Syarifah tengok nanti, tentu aku bakal dileter sebab Mak Su Syarifah dah bagi amaran awal-awal lagi, jangan rapat dengan lelaki di tempat ini.

              ‘’Buat apa Encik?’’ aku bersuara dalam nada suara yang teragak-agak.

                ‘’Tolong saya cari barang hilang.’’ Dia mengamit lagi sambil berkata, kemudian dia tunduk dan mula mencari sesuatu di sebalik pokok-pokok bunga. Aku menutup kepala paip dan menuju ke arahnya.

              ‘’Barang apa yang hilang?’’ sebaik aku menghampirinya, aku terus bertanya.

               ‘’Hati saya dah tercicir, entah jatuh di mana.’’ Dia menjawab dengan wajah selamba. Telinga aku merah tiba-tiba. Nak mainkan aku ke?

                ‘’Encik waras ke tak?’’ tanpa berlapik kata, aku menyoal dia kembali.

                   ‘’Kenapa? Awak ingat saya gila ke? Betullah, hati saya tercicir, hati tu untuk diberikan pada bakal isteri saya nanti tapi dah hilang.’’ Nada suaranya berubah serius. Aku berfikir sekejap mendengar jawapannya.

                 ‘’Betul ke hati encik tercicir di kawasan ni? Jangan-jangan tercicir di tempat lain tak?’’ aku turutkan saja rentaknya, walaupun aku langsung tak faham dengan kata-katanya.

                 ‘’Betullah, hati saya jatuh di tempat ni tadi. Awak dah curi hati saya tu agaknya? Patutlah saya tak jumpa.’’ Nada suaranya berubah pula kali ini. Sempat aku menangkap senyuman yang hadir seketika di bibirnya sebelum dia berwajah selamba sambil merenung wajahku.

               ‘’Encik beli di mana hati encik tu? Macam mana bentuknya? Warna apa? Macam mana saya nak cari kalau saya tak tahu bentuk dan warnanya.’’ Sambil cuba menolongnya mencari di sekitar kawasan yang kami sedang berdiri, aku menyoal lagi. Mata aku hanya fokus di atas rumput yang menghijau, sesekali aku tunduk dan menyelak rumput-rumput yang hidup subur.

               ‘’Awak jangan berpura-pura tak tahu ya. Awak dah curikan?’’ mendengar tuduhannya, aku memanggungkan kepala. Aku merenung tajam lelaki di depan aku ni. Geram. Itu yang aku rasa saat ini.

              ‘’Encik jangan nak menuduh kalau tak ada bukti!’’ tegas sekali aku berkata-kata. Sakit hati mula bertamu bila kata-kataku hanya disambut dengan senyuman lebar yang terhias di bibirnya.

               ‘’Kenapa pula saya nak tuduh awak tanpa bukti. Hati saya, takkan saya tak tahu siapa yang curi? Awak memang dah curi hati saya sekejap tadi. Sekarang ni hati saya dah ada pada awak. Pulangkan balik, saya nak serahkan hati saya tu untuk isteri saya saja, kecualilah kalau awak nak jadi isteri saya.’’ Dia masih berkata dengan wajah yang selamba, sedangkan hati aku sudah membara di dalam. Nak main-mainkan aku rupanya.

                  ‘’Jangan nak mengarutlah Encik.’’ Aku membantah kata-katanya. Wajah aku mula merah dan terasa berbahang. Fikiran aku mula melencong dan hati aku turut berdebar-debar. Apa maksudnya, aku curi hati dia? Aku menyoal diri sendiri.

                   ‘’Q!’’ aku terdengar suara Mak Su Syarifah melaung namaku. Aku menoleh ke belakang, Mak Su Syarifah sedang berlari-lari anak menuju ke arah kami.

                ‘’Maaflah Tuan Muda Rafiq, Q ni pekerja baru, Mak Su suruh dia siram pokok tadi. Dia ada buat salah apa-apa pada Tuan Muda Rafiq ke?’’ termengah-mengah Mak Su Syarifah menyoal. Mendengar saja nama Tuan Muda Rafiq barulah aku menoleh ke arah lelaki tadi dan menelek wajahnya. Oh..ini rupanya Tuan Muda Rafiq?

                ‘’Q?’’ aku dengar Tuan Muda Rafiq bersuara dan menyebut namaku dengan dahi berkerut seribu.

                   ‘’Qistina Aira, dia pekerja baru, Mak Su tengah mengajar dia buat semua kerja di sini, sebab tu Mak Su suruh dia gantikan Pak Mat siram pokok. Mak Su nampak tadi, Q dengan Tuan Muda macam sedang bertengkar saja. Q ada buat salah apa-apa ke?’’ tanpa pintaku Mak Su Syarifah menyebut nama penuhku. Aku mengebam bibir. Dalam hati, aku sudah bengang dengan Mak Su.

                 ‘’Qistina Aira? Hmm..boleh tahan nama tu..’’ Tuan Muda menyebut namaku lagi dan kali ini disusuli dengan senyuman yang lebih lebar dari tadi. Terserlah giginya yang putih dan tersusun rapi. Tiba-tiba aku teringatkan sesuatu. Laa..dia rupanya, model iklan ubat gigi tu ke..

                 ‘’Tuan Muda, kenapa? Q ada buat salah apa-apa ke?’’ Mak Su Syarifah masih tak berpuas hati. Berkali-kali ditanya soalan yang sama kepada Tuan Muda Rafiq.

                    ‘’Ya, dia ada buat salah. Dia berjanji nak datang tolong saya di rumah hijau, tapi dia tak pergi pun.’’ Entah dari mana datangnya suara itu. Kami bertiga menoleh serentak. Lelaki yang aku temui di rumah hijau sedang memandang kami, terutama aku yang direnungnya dengan pandangan yang tajam.

                    ‘’Betul ke Q? Kenapa dengan Q ni, hari tu masuk ke bilik Tuan Muda Azraf, hari ni buat hal pada Tuan Muda Rafiq, ni sejak bila pula Q masuk ke rumah hijau ni?’’ Mak Su Syarifah bertanya seraya memegang pergelangan lenganku. Wajahnya terbayang seribu kerisauan. Salah ke aku? Aku cuma buat kerja yang disuruh Mak Su saja.

                 ‘’Mak Su yang suruh Q kan?’’ aku menyoal Mak Su kembali.

                 ‘’Bila pula Mak Su suruh Q masuk ke dalam rumah hijau ni?’’

                  ‘’Bukan, bukan, yang tu memang salah Q. Kaki Q ni yang nak masuk ke situ, tapi pasal bilik Tuan Muda Azraf tu, Mak Su yang suruh Q masuk dan kemas, mana Q tahu Tuan Muda Azraf akan masuk ke bilik tu dalam masa yang sama. Haa..siram pokok bunga ni pun Mak Su juga yang suruh, Q tak buat apa-apa pun, Tuan Muda ni yang tuduh Q curi hati dia. Mana ada Q curi pun.’’ Aku cuba membela diri dan menjawab pertanyaan Mak Su dengan suara yang tenang.  Mak Su membulatkan matanya sambil mengigit bibir. Aku tayang muka orang tak bersalah.

              ‘’Awak pun satu, bila pula saya berjanji nak cabut rumput dalam rumah hijau?’’ aku bertanya dengan suara yang agak kasar. Mak Su Syarifah mengoyang kuat lenganku.

             ‘’Q! Itukan Tuan Muda Iman, kenapa berawak pula dengan Tuan Muda?’’ Mak Su memarahiku. Oppss..aku menutup mulut dengan telapak tangan. Tuan Muda Iman? Bukan pekerja di rumah ini macam kami ke? Aku bertanya diri sendiri sambil memandang ke arah Tuan Muda Iman. Langsung tak ada rupa Tuan Muda. Pakaiannnya pun macam tukang kebun saja.

         ‘’Manalah Q tahu, Tuan Muda banyak sangat, berbalik pada soalan Tuan Muda Aiman tadi, bila pula saya berjanji, bukan hari tu Tuan Muda Aiman bagi amaran jangan masuk ke situ lagi ke?’’

                ‘’Tuan Muda Iman, bukan Aiman.’’ Mak Su membetulkan kesalahanku.

                   ‘’Apa-apalah Mak Su, kan sama saja, Aiman dengan Iman tu, asalkan ada man di belakangnya.’’ Aku cuba cover line dengan kesalahan sebutan nama Tuan Muda Iman dengan alasan tu. Sempat aku melihat jelingan tajam Mak Su sebelum dia meminta maaf kepada dua orang Tuan Muda yang ada bersama kami.

                   ‘’Queen Qaira, pagi esok awak masuk ke rumah hijau, tolong cabut rumput yang dah tumbuh subur dalam setiap pasu bunga. Jangan lupa, kalau tak, siaplah awak!’’

                    ‘’Queen Qaira?’’ aku memandang Tuan Muda Iman dengan wajah blurr. Sejak bila aku tukar nama ni?

                  ‘’Kan sama saja, asalkan ada Q dan Aira, kan?’’ Tuan Muda Iman tersengeh dan berlalu pergi. Cis, menyindir aku rupanya. Kali ini pandangan aku terus aku tumpukan ke arah Tuan Muda Iman walaupun dia semakin jauh dari kami.

              ‘’Hati saya macam mana pula? Bila awak nak pulangkan, Qistina Aira?’’ Tuan Muda Rafiq masih lagi mempersoalkan tentang hatinya yang kononnya aku dah curi. Aku malas nak menjawab. Aku menuju ke arah paip dan menyelesaikan kerja aku yang terbengkalai sebentar tadi. Sesekali aku tersiram Tuan Rafiq dan Mak Su Syarifah yang mengambil tempatku meminta maaf pada Tuan Muda Rafiq. Aku? Ketawa dalam hati. Ada aku kisah!

*************

             Sebulan sudah berlalu. Sejak seminggu yang lalu aku semakin rapat dengan Tuan Muda Iman. Setiap pagi aku akan masuk ke dalam rumah hijau dan melakukan kerja-kerja yang Tuan Muda Iman suruh. Sambil bekerja, kami akan berbual tentang segalanya. Adakalanya tentang hobi dan cita-cita. Tentang masa depan dan masa lalu dan sesekali kami menyentuh tentang cinta dan perasaan.

             Tuan Muda Rafiq pula sentiasa sibuk dengan dunia modellingnya. Dia selalu keluar Negara dan aku jarang bertembung dengannya di rumah ini. Dia akan keluar Negara dalam dua tiga hari ataupun makan masa seminggu setiap bulan.

                 Tuan Muda Azraf pula, ada di rumah hari-hari sejak dia bertembung denganku. Setiap kali aku berkemas di dalam biliknya, dia akan mengemas bersama denganku ditemani Shahira. Aku tak pernah berdua-duaan dengannya. Aku tahu batas pengaulanku sebagai seorang wanita. Sebebas-bebas Tuan Muda Azraf pun dia tahu pantang larang dalam agama Islam.

             Tuan Muda Azraf sudah tidak pergi ke kelab malam lagi selepas ‘’dibasuh mindanya’ oleh aku. Kami banyak menghabiskan masa di dalam perpustakaan. Sesekali Tuan Muda Iman akan join kami membaca di dalam perpustakaan. Kami menelaah buku-buku agama. Adakalanya, mereka mengupah seorang ustaz untuk memberi ceramah di rumah ini dan semua penghuni termasuk pekerja-pekerja diwajibkan untuk mendengar ceramah oleh ustaz yang dijemput.

               Tuan Muda Arif pula hanya sesekali aku terserempak di meja makan. Dia yang paling tua di antara semua Tuan Muda. Dia yang mengambil alih Syarikat yang ditinggalkan oleh datuk mereka. Tuan Muda Arif jarang ada di rumah, cuma hari minggu saja dia akan berehat di rumah atau pergi bercuti di mana-mana yang dia suka.

                  ‘’Q, jom..teman saya keluar shoping. Kalau awak segan, ajak Ira sekali.’’ Tuan Muda Azraf datang kepadaku bila aku baru nak mula menghidang makanan tengahari bersama Shahira dan kak Aina.

                  ‘’Nak beli apa? Makan dululah Tuan Muda, nanti Mak Su bising.’’ Aku berbisik perlahan. Tuan Muda Azraf tergelak melihat gelagatku yang memerhatikan sekeliling selepas aku berkata-kata.

                 ‘’Kita makan luarlah. Jemulah, asyik makan masakan Chef Nazri hari-hari.’’ Tuan Muda Azraf memberikan cadangan. Keningnya dijungkitkan sedikit. Aku tergelak bersamanya.

              ‘’Hmm..Tuan Muda ajak Ira dengan kak Ainalah teman. Q ada date dengan Tuan Muda Iman petang ni. Dah janji dengan dia nak tanam pokok baru dalam rumah hijau.’’ Aku menolak ajakannya dengan baik. Dia mengerut kening seketika sebelum memasamkan wajah. Aku pandang Ira dan Kak Aina yang sedang menyusun makanan di atas meja. Mereka pula sedang memandang Tuan Muda Azraf yang sedang berdiri di depan kami.

             ‘’Tak nak ah..mereka takut dengan saya. Tengoklah, sejak tadi langsung tak bersuara. Kalau saya tanya apa-apa, mereka hanya geleng dan angguk saja. Boleh mati kebosanan saya dalam perjalanan nanti.’’ Tuan Muda Azraf berkata dengan wajah serius. Aku sempat mengerling Shahira dan kak Aina untuk melihat respon mereka. Seperti yang aku duga, wajah mereka langsung tak beriak, dan mereka juga tak membantah kata-kata Tuan Muda Azraf.

              ‘’Tuan Muda Azraf tu garang sangat, siapa yang tak takut.’’ Selamba saja aku menjawab.

              ‘’Bila masa pula awak takut dengan saya? Sepatah saya kata, sepuluh patah awak jawab. Selalunya awak yang menang setiap kali kita berbahaskan?’’ aku tergelak mendengar pertanyaan Tuan Muda Azraf. Ya, sebab itulah dia pun berubah. Kami pernah bertaruh sebelum ini. Kalau dia kalah pertaruhan, dia wajib berubah dan menjadi lelaki yang benar-benar soleh dan beriman. Ternyata Tuan Muda Azraf yang kalah pertaruhan tu.

              Nak tahu apa pertaruhan tu? Aku ajak dia tengok I Can See You Voice, rancangan reality tv Korea yang aku minat tu. Aku ajak dia lawan teka siapa tone deaf dan siapa yang ada skill menyanyi. Aku dah lama tengok rancangan tu, sedangkan dia baru pertama kali tengok. Dah tentulah aku yang menang pertaruhan tu.

                 ‘’Cakaplah dengan Iman, awak nak keluar shoping dengan saya. Payah sangat ke nak cakap? Awak ni, kalau Iman ajak awak pergi mana pun, semua awak ikutkan. Dengan saya ni, payah sangat, kenapa?’’

                  ‘’Lorh..Tuan Muda Iman selalu ajak Q masuk ke rumah hijau saja pun. Bukan pergi jauh-jauh pun. Belakang rumah ni saja. Mana pernah kami keluar jauh-jauh.’’ Aku membalas pantas. Tuan Muda Azraf sudah berdecit geram.

                ‘’Lagi pun, keluar dengan orang famous macam Tuan Muda Azraf ni bahaya sikit. Bukan sekadar buaya dua alam, buaya tembaga, buaya darat semuanya Tuan Muda Azraf dah sandang. Hee..ngeri Q nak bayangkan. Takut kena ngap dengan buaya, pula nanti..’’ aku mengakhiri kata-kataku sambil tergelak perlahan. Shahira dan kak Aina turut tersenyum, sedangkan Tuan Muda Azraf berwajah masam.

                ‘’Q ingat, orang macam Iman tu tak pandai ngap orang ke? Ulat bulu naik daun nanti, gatal satu badan Q..’’ Tuan Muda Azraf membidas kata-kataku. Spontan aku tergelak tanpa sedar. Tuan Muda Iman juga yang kena.

                ‘’Ulat bulu naik daun tak apa, bila ulat bulu jadi kepompong, dia tak makan daun dah. Bila kepompong jadi rama-rama dia akan berubah jadi cantik. Betul tak Q?’’ satu suara mencelah perbualan kami. Ternyata suara Tuan Muda Iman yang nampak kemas dengan kopiah berwarna hijau, berbaju melayu dan berkain pelikat. Bersedia untuk solat Zohor agaknya tu.

             ‘’Masalahnya rama-rama tu ada sayap. Dia boleh terbang, maknanya rama-rama tu tak setia. Lepas satu bunga rama-rama tu hisap madu, dia akan pergi ke bunga yang lain pula.’’ Tuan Muda Azraf membalas pula kata-kata Tuan Muda Iman sebentar tadi. Ada benarnya juga kata-kata Tuan Muda Azraf tu. Lama juga Tuan Muda Iman terdiam sebelum dia menarik kerusi dan pinggan dan memasukkan nasi ke dalam pinggan di depannya.

                ‘’Biarlah rama-rama tu nak hisap berpuluh madu atau beratus madu bunga pun. Aku ni makan nasi dan aku akan setia sampai mati kalau aku bercinta dan mula sayangkan seseorang tu. Betul tak Q?’’ Tuan Muda Iman menyebut namaku lagi dalam ayat terakhirnya. Aku angkat bahu dan berlalu meninggalkan meja makan. Ah..malas pula nak layan hujah-hujan kedua orang Tuan Muda ni. Bohsan sungguh bila hati dan perasaan mula dipersoalkan.

                ‘’Nak ke mana tu Q?’’ suara Tuan Muda Iman kedengaran. Aku tak berpaling lagi. Aku biarkan Mak Su Syarifah pula yang melayan kedua orang Tuan Muda di meja makan.

                ‘’Queen Qaira!’’ nama itu Tuan Muda Iman akan seru setiap kali aku tak melayan perbualannya. Aku melambai tangan dari belakang tanpa menoleh ke arah mereka. Seketika kemudian aku sudah menghilang di dapur dan mencari makanan bersama pekerja-pekerja lain.

*********

              Aku berdiri di depan cermin sambil menelek wajah sendiri. Rambut panjang yang beralun cantik aku sikat rapi sebelum aku sanggul dan mengenakan tudung. Wajah aku Pan Asian kerana ayah dan emakku berketurunan kacukan. Di sebelah emakku ada darah kacukan Arab sedangkan ayahku pula ada darah kacukan Pakistan, cuma keturunan yang entah ke berapa. Kami menetap di Malaysia dan aku di lahirkan di Kuala Lumpur ini.

             Memiliki wajah cantik memang selalu menjadi dambaan setiap wanita. Aku pula tak pernah terfikir wajah cantik yang aku miliki akan memberi masalah buat aku akhirnya. Beberapa bulan bekerja di sini aku mula rapat dengan semua orang. Aku seorang yang peramah. Aku tak pernah takut dengan sesiapa pun. Aku akan melawan kalau tak berpuas hati. Kata-kata aku walaupun pedas tapi ada kebenaran di sebaliknya. Aku tak suka menegakkan benang yang basah tapi aku akan tegakkan kebenaran kalau aku dituduh melakukan kesalahan sedangkan aku tak buat perkara tu.

           Selepas aku rapat dengan Tuan Muda Iman, dia meluahkan perasaan padaku. Sedangkan, aku sudah mendapat amaran daripada Mak Su agar jangan jatuh hati dengan mana-mana Tuan Muda. Aku akan diberhentikan kerja serta merta dan Mak Su Syarifah akan menghantar aku pulang.

             Aku tak berani nak memberi jawapan kepada Tuan Muda Iman, bukan kerana larangan Mak Su, aku sendiri takut terjebak dalam jerat cinta. Selepas Tuan Muda Iman, kini masalah muncul lagi. Tahu-tahu Tuan Muda Azraf pula melamar aku. Dia siap belikan cincin berbentuk hati lagi.

           Tak habis dengan itu, Tuan Muda Rafiq pula mencari pasal. Katanya, hati yang aku curi sebelum ini, jangan dipulangkan kembali. Dia nak aku terus memiliki hatinya itu untuk selamanya. Buntu aku melayan kerenah tiga orang Tuan Muda. Nasib baiklah Tuan Muda Arif tak join sekali. Kalau tak, bertambah serabutlah fikiran aku ni.

             ‘’Qistina, keluar sekejap.’’ Sedang aku ralit berangan dan memikirkan setiap kerenah Tuan Muda dalam rumah ini, nama aku diseru seseorang. Aku menoleh kalut, tersembul wajah Tuan Muda Arif di sebalik pintu bilik yang aku gunakan. Cepat-cepat aku berhias apa yang perlu dan melangkah untuk keluar dari bilik.Tuan Muda Arif sudah menunggu aku di depan pintu bilik dengan sebuah bungkusan. Aku menghampirinya dengan seribu persoalan.

              ‘’Ada apa Tuan Muda?’’ aku bertanya sopan. Antara empat orang Tuan Muda, aku lebih menghormati Tuan Muda Arif kerana dia tidak pernah kasar dengan aku. Percakapannya pun sentiasa sopan dan tertib dengan setiap pekerja.

             ‘’Untuk awak. Saya nak minta awak temankan saya malam ni, boleh tak? Saya kena pergi majlis perkahwinan kawan saya. Dia nak saya bawa seseorang sebagai teman, tapi masalahnya saya terlalu sibuk untuk mencari seseorang tu. Saya cuma terfikirkan awak saja.’’ Dia menghulurkan bungkusan di tangannya kepadaku lalu bersuara penuh mengharap. Wajah yang dipamerkan sekarang membuatkan aku turut dilanda perasaan serba salah. Nak tolak atau nak terima ajakannnya ini?

                ‘’Tuan Muda, Maaf..boleh ajak orang lain tak, sebab Q nak kena balik rumah petang ni. Jadi, malam ni Q tak ada di sini. Q nak cuti seminggu mulai dari sekarang.’’ Aku cuba mencipta alasan aku sendiri. Padahal, aku tak pernah rancang pun untuk ambil cuti. Fikiran aku kusut sangat sekarang ni.

                ‘’Jangan balik lagi. Q balik esok saja. Saya hantar Q, boleh juga saya berkenalan dengan keluarga Q sekali. Bolehkan Qistina Aira?’’

               ‘’Hah?’’ mulut aku sudah melopong mendengar kata-kata Tuan Muda Arif. Tak pernah lagi seumur hidup aku bawa balik lelaki dan perkenalkan pada ayah dan emak. Itu tandanya, aku dah gatal nak berlaki. Tak! Tak boleh jadi ni. Daripada aku bawa Tuan Muda Arif, lebih baik aku bawa Tuan Muda Iman, sekurang-kurangnya dia ada ciri-ciri lelaki impianku.

              ‘’Eh..jangan, jangan..pengsan pula mak dengan ayah saya nanti. Tau-tau bawa lelaki balik rumah. Jangan cari pasal Tuan Muda.’’ Aku baru tersedar selepas kaku beberapa saat mendengar kata-kata Tuan Muda Arif sebentar tadi. Cepat-cepat aku mencari alasan untuk mengelak.

             ‘’Kenapa? Awak tak suka saya erk? Awak suka Imankan? Saya tahu, awak selalu bersama Iman dalam rumah hijau. Walaupun saya sibuk, tapi saya tahu semua perkembangan dalam rumah ni Qistina.’’ Tuan Muda Arif bersura rajuk. Aku mengaru dahi yang tak gatal. Macam mana aku nak jelaskan pada Tuan Muda Arif ni?

            ‘’Taklah Tuan Muda. Q sedar, Q ni tak layak untuk sesiapa pun dalam rumah ni. Q takkan terima mana-mana Tuan Muda pun. Q rasa itu lebih adilkan. Biar Q saja yang undur diri. Q akan berhenti kerja.’’ Aku buat keputusan mendadak. Tuan Muda Arif tayang wajah terkejut. Aku tayang wajah selamba.

           ‘’Bertenang dulu Qistina. Saya takkan paksa awak, kalau awak tak suka saya. Tak apa, saya akan beralah. Awak jangan berhenti kerja lagi. Jangan buat keputusan terburu-buru.’’ Mengelabah saja Tuan Muda Arif di depanku sekarang ni. Aku menahan tawa melihat wajah mengelabahnya itu.

                 ‘’Tak. Keputusan Q muktamad. Q akan berhenti kerja.’’ Aku masih ingin menguji Tuan Muda Arif. Masih lagi membuat ayat-ayat mengejutkan itu. Dalam hati sudah ketawa besar melihat perubahan wajah Tuan Muda Arif. Entah apa yang ada dalam fikirannya?

             ‘’Jangan macam ni Qistina. Sejak awak ada di sini, rumah ini semakin berseri. Azraf dah berubah kerana awak. Iman pun dah mula nak berbual dan bergurau dengan orang-orang dalam rumah ini. Rafiq juga, sudah jarang keluar negara sejak awak ada. Dia lebih pentingkan keluarga dari kerjayanya. Awak banyak mengubah kami Qis, tolonglah jangan berhenti. Saya merayu awak, demi mereka semua. Tentu mereka akan sedih kalau awak tak ada nanti.’’

            ‘’Saya tak pernah mengubah sesiapa pun Tuan Muda. Mereka yang mengubah diri mereka sendiri. Yang mengerakkan hati mereka untuk berubah bukannya saya, tapi Allah. Hidayah itu milik Allah Tuan Muda. Saya hanya dihantar sebagai perantara saja di rumah ini.’’ Aku menafikan kata-kata Tuan Muda Arif. Terlalu tinggi sangat pujiannya itu. Tak mampu aku menerimanya. Kalau jatuh terhempas nanti pasti berderai jiwa aku ni mendengar pujiannya yang melambung tinggi.

*****************

                  ‘’Kak Bedah..bangun kak..’’ aku menepis kasar tangan yang sedang mengoyangkan bahuku.

                  ‘’Akak! Bangunlah..mak suruh bangun, kalau tak..’’ suara itu berbunyi lagi. Hiesy..menyibuk sajalah.

                 ‘’Pergilah..orang nak berbual dengan Tuan Muda Arif pun tak senanglah.’’ Aku menepis tangan itu lagi. Bayangan Tuan Muda Arif semakin lama semakin hilang. Ehh..ke mana pula Tuan Muda Arif ni pergi?

                  ‘’Akak! Mengigau tak habis-habis..’’suara itu semakin kuat. Tak semena-mena terasa tubuhku ditampar kuat. Terlompat aku bangun. Terkapa-kapa aku membuka mata dan di sebelahku Zuraidah adikku sudah tersenyum lebar selebarnya.

                  ‘’Mana Tuan Muda Arif?’’ aku bertanya sambil memandang sekeliling. Ehh..aku di mana ni? Bilik siapa ni? Bersepahnya...

               ‘’Tuan Muda Arif mana pula ni? Akak ni, semalam akak cakap minat sangat dengan rakan facebook akak yang nama Nuriman tu. Ini..Tuan Muda Arif pula. Siapa yang akak suka ni? Arif  ke? Azraf ke atau Nuriman tu?’’ Zubaidah menyoal lagi. Aku tersenyum pahit. Ahh..baru aku sedar, rupa-rupanya aku bermimpi tadi. Ini semua gara-gara drama Korea yang bertajuk Cinderella And Four Knight tu. Selalu sangat tengok cerita tu berulangkali sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi. Aku tersenyum lagi bila imbasan mimpi indah tadi mengetuk minda sedarku.

              Dalam ramai-ramai rakan facebook aku, aku selalu stalk empat orang lelaki kacak yang selalu memuat naik gambar-gambar mereka di dalam facebook. Azraf Ariffin adalah seorang jurutera di sebuah syarikat swasta dan dia mempunyai hobi setiap kali bercuti. Hobinya mengembara dan merakamkan gambar-gambar permandangan indah. Aku tak pernah terlepas dari menanda setiap gambarnya. Selalu aku hadiahkan like dan love untuk setiap gambar yang dia muat naik.

            Muhammad Nuriman Aiman, dia pula seorang pelakon baru. Rupanya memang kacak dan watak terbaru yang dibawanya adalah sebagai penjaga taman di raja. Dia mahir berkebun dan seorang yang berbudi bahasa dalam drama lakonannnya. Haha..tak sangka, dia pun turut masuk dalam mimpi indah aku tu. Tak pernah aku berangan nak bercinta dengan seorang pelakon, tapi boleh pula bermimpi ada perasaan dengannya.

             Rafiq Azhan, dia memang seorang model yang selalu muncul di tv. Iklan yang selalu ada wajahnya adalah iklan Mee segera, iklan ubat gigi dan iklan snek. Aku memang suka tengok wajahnya yang kacak tu. Aku tak tahu apa keistimewaan yang ada padanya selain wajah kacaknya dan dia juga salah seorang rakan facebook aku. Dah lama aku friend dengan dia. Dah lama aku follow facebook dia. Baru-baru ni dia menunjukkan bakat barunya pula. Menjadi penyanyi untuk Anugerah Juara lagu.

          Muhammad Arif pula, dia adalah sepupu aku, anak Mak Su Syarifah. Aku minat dia sejak dulu dan aku selalu stalk facebook dia dalam diam. Aku tak guna nama sebenar aku pun. Aku guna nama Qistina Aira. Amacam? Gempak tak nama tu? Nama sebenar aku adalah...

            ‘’Siti Zabedah! Tak bangun lagi ke? Matahari dah terpacak atas kepala, anak dara ni masih berlingkar lagi di tempat tidur. Malulah sikit dengan burung yang dah lama keluar sarang. Malam-malam berjaga sangat. Layanlah juga gambar-gambar Korea tu. Tak ada faedah langsung!’’ Alamakkk..mak tiri sudah panggillah. Terkocoh-kocoh aku bangun dari katil. Zuraidah adikku sudah menekan perut kerana ketawakan aku. Mentang-mentanglah dia bangun awal hari ni. Ini semua salah Kang Ji Woon la ni. Aku layan sangat Cinderella And Four Knight sampai jatuh hati dengan semua watak-watak hero kacak dalam drama tu. Nasib baiklah hero-hero Korea tu tak masuk dalam mimpi aku sekali. Nasib baik hero Malaysia yang muncul.

              ‘’Ya mak! Bedah bangunlah ni..’’ aku membalas panggilan emakku sambil berlari masuk ke dalam bilik air. Di dalam bilik air aku membasuh mukaku dan mengosok gigi. Sempat aku menelek wajahku di depan cermin. Ceh..darah kacukan kononnya. Apa? Arab dan Pakistan?

              Ternyata semua itu hanyalah mimpi. Aku ni berketurunan melayu tulen. No mix blood. Tak ada darah kacukan langsung. Apa? Rambut cantik beralun? Semuanya itu auta semata-mata. Hakikatnya rambut aku harus bersyampu dua hari sekali. Kalau tak, rambut aku pasti berminyak dan nampak serabut. Hidung penyek, kulit gelap dan bibir..ah tak payahlah diceritakan semua itu. Yang pasti, aku memang suka berangan. Kalau tak, semua mimpi indah tadi takkan aku alami. Cinderellalah konon!

***************Tamat***********

         
  Nota : Berangan tu memang syiok, mimpi itu indah..lebih-lebih lagi kalau mimpi menjadi kenyataan, namun cerita ini hanyalah sekadar rekaan semata-mata. Sesungguhnya berangan itu tak salah...yang salahnya kalau berangan-angan macam Mat Jenin..satu kerja pun tak jadi... 

4 ulasan:

  1. memang sikap dan kemandirian dapat menghalau segala kesulitan hidup, tercermin dari kisah cerpen ini

    BalasPadam
    Balasan
    1. Yupp..kdg2 mimpi dan angan2 itu cukup indah untuk menghalau segala kekurangan diri kerana imaginasi akan melengkapkan segala kehendak dan keinginan hati.

      Padam
  2. ya Allah ingtkan dia bbtul tadi hahaha, kelakar. ye kdang2 mimpi lebih indah dari khidupan sebenar hehehe. torbaikk

    BalasPadam
  3. Haha..cerpen ni paling cepat siap. Sebab..berangan tu paling indah. Mimpi pun indah, yang tak indahnya mimpi jumpa hantu.
    apa-apa pun..cerita ini hanya rekaan semata-mata..😙😙

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.