Khamis, 13 Oktober 2016

Aku Takkan Tergoda



             Aku menarik nafas dan melepaskan nafasku dengan rasa lelah. Perasaanku berbaur resah. Jiwaku memberontak ingin melepaskan segala tekanan yang sedang kuhadapi ini serta merta. Aku ingin lari dari penderitaan yang sedang menghuni hidupku kini, namun aku tiada pilihan selain terpaksa aku redah juga semua kepahitan.

             Aku perhatikan ke lima-lima orang anakku yang sedang menonton tv di ruang tamu. Walaupun drama yang ditonton memaparkan babak-babak dan dialog lucu, seorang pun tidak berminat untuk ketawa. Wajah masing-masing dirundung pilu. Aku juga rasa apa yang mereka rasa. Kalau mereka kehilangan seorang ayah yang sangat penyayang dan bertangungjawab, aku juga sudah kehilangan seorang suami tempat aku bermanja.

           Aku berkahwin ketika usiaku baru mencecah tujuh belas tahun. Semuanya gara-gara cinta pandang pertama. Azmeer baru berpindah ke sekolah kami ketika aku baru tingkatan tiga. Dia pula pelajar tingkatan enam. Wajahnya mirip wajah seorang pelakon kegilaanku ketika itu. Ahh..taklah mirip sangat. Hanya sedikit saja, tapi kerana minat, aku anggap saja Azmeer itu mirip dengan pelakon itu.

         Aku selalu merenung Azmeer dari jauh dan tanpa ku duga suatu hari Azmeer menegurku. Aku terkejut bercampur gembira. Cintaku bersambut akhirnya selepas seminggu kami berkenal mesra. Azmeer turut meluahkan isi hatinya. Bila aku sudah berada di tingkatan empat, Azmeer pula sedang bertungkus lumus belajar untuk persediaan peperiksaan STPM. Aku juga sibuk menyiapkan diri untuk SPM tahun hadapan.

            Tiga hari sebelum peperiksaan STPM bermula, Azmeer mengajak aku keluar. Dia nak lepaskan tekanan dari beban yang ditanggungnya. Ketika itu dia tertekan dengan pergaduhan kedua ibu bapanya yang sudah berpakat untuk bercerai. Ditambah dengan tekanan untuk menghadapi peperiksaan STPM lagi. Kami pergi menonton wayang dan bersiar-siar selepas itu. Tanpa disangka, kami terserempak dengan ayahku yang begitu tegas orangnya.

            Sebenarnya, di awal persekolahan lagi, aku sudah mendapat amaran dari ayah dan ibu. Jangan bercinta di alam persekolahan. Tapi, apa boleh buat, aku bukannya boleh mengawal perasaanku. Cinta itu datang tanpa diundang dan bila cintaku berbalas, aku dah tak mampu untuk mengundur diri lagi. Sekarang kami sudah terjebak dalam perangkap cinta. Ayah suruh aku tamatkan persekolahan dan bernikah dengan Azmeer. Dan, ayahku nekad dengan keputusannya. Tanpa menghabiskan persekolahanku, aku dipaksa bernikah dengan Azmeer selepas Azmeer selesai mengambil peperiksaannya. Kami memulakan hidup baru selepas Azmeer mendapat kerja. Aku membantu Azmeer mengukuhkan kewangan kami dengan bekerja di kilang.

             Tahun seterusnya, Azmeer berniat untuk melanjutkan pelajaran dan mendapat biasiswa. Aku terpaksa menyara diri sendiri dalam keadaan berbadan dua. Ibu bapa Azmeer membantu juga sesekali terutama dalam membayar nafkah untuk aku mewakili Azmeer. Nasib baik kedua ibu bapa mertuaku yang telah bercerai itu bertanggungjawab. Mereka banyak membantu kami dari segi kewangan. Memang sukar menjalani hidup dalam keadaan kami seperti ini.

            Aku mengeluh berat. Mengenang kembali kisah lalu membuatkan hati dan jiwaku semakin perit untuk menelan semua kepahitan. Walaupun kami berjaya mengharungi semua dugaan berumah tangga tapi umur Azmeer tak panjang. Dua puluh empat tahun hidup bersama  anak-anak yang semakin membesar, kini Azmeer pergi meninggalkan aku dan anak-anak. Anak sulungku Airina (23) kini sudah bekerja dan sudah boleh membantu aku dari segi kewangan. Anak keduaku pula Azrin (22) masih belajar tapi dia membuat kerja separuh masa di restoran makanan segera. Anak ketigaku Azman (20) juga masih belajar dan baru tahun ke dua di UITM Shah Alam. Dia mendapat biasiswa dan juga bekerja separuh masa untuk membiayai kehidupannya.

              Rezeki kami murah dan aku pula senang mengandung dan melahirkan. Anak ke empat kami kini sudah tujuh belas tahun dan mereka kembar seiras. Azmin dan Azim anak yang paling mendengar kata, cuma Azmin sedikit nakal dan Azim pula pemalu orangnya. Lima orang anakku, seorang perempuan dan empat orang lelaki sudah kehilangan ayah dan bergelar yatim.

            Aku perhatikan lagi anak-anakku dari belakang dengan perasaan sayu. Apa yang harus aku lakukan selepas ini? Macam mana aku nak biayai persekolahan mereka tanpa pekerjaan? Haruskah aku keluar mencari kerja? Takkan nak biarkan anak-anakku yang bekerja? Tak. Aku harus berusaha untuk mengukuhkan ekonomi keluarga kami. Aku harus keluar dari kepompong ini. Aku harus bekerja semula demi anak-anak. Aku harus! Aku boleh dan aku pernah melakukannya dulu. Walaupun sudah lama aku tak bekerja, tapi aku yakin, aku mampu bangun semula demi anak-anak. Merekalah kekuatan dan semangat aku kini. Mama sayang kalian. Dan air mataku bergenang di kelopak mata bila ungkapan itu aku ungkapkan di dalam hati.

*************

                    Manusia ini memang pelik dan hodoh perangai. Selepas habis eddah aku nekad untuk keluar bekerja, tapi baru mula keluar rumah dan keluar untuk melihat jawatan kosong, nama aku mula disebut dari bibir ke bibir. Kononnya, aku sedang mencari calon untuk digoda dan dijadikan suami terbaru. Mereka ingat aku kemaruk sangat nak berlaki ke? Teruk sangat ke perempuan yang kehilangan suami macam aku ni?

                 Kenapa manusia suka sangat menilai orang lain dengan perasaan, bukannya dengan akal fikiran? Balu seperti aku pun manusia biasa juga. Walaupun usia aku baru mencecah 40 tahun, bagi aku umur aku sudah cukup tua untuk mencari suami baru. Aku akan tetap setia dengan Azmeer biar apa pun yang akan terjadi. Nama Azmeer akan tetap di hatiku walaupun aku akan hidup berpuluh tahun lagi. Biarlah Azmeer menjadi cinta pertama dan cinta terakhirku. Aku sudah ada permata hati peninggalan Azmeer untukku. Cukuplah lima orang cahayamata perkongsian hidup aku bersama Azmeer menghiasi hari-hari tuaku.

                 ‘’Mama..kemarinkan, Rina ada dengar desas-desus, bos kat tempat kerja Rina, nak cari pembantu rumah. Kerja tak berat sangat mama, cuma mengemas dan memasak saja. Mama kata nak cari kerjakan? Mama nak cuba tak? Kalau mama tak kuat, mama boleh berhenti ataupun mama boleh buat kerja online. Berniaga online ke, sekarang ni ramai yang berjaya berniaga online ni mama..’’ Airina datang ke bilikku dengan pakaian kemas untuk ke pejabat. Airina pun baru setahun bekerja sebagai PA kepada majikan perempuannya.

             ‘’Hmm..kalau mama nak buat dua-dua kerja tu boleh? Sambil menjadi pembantu rumah, boleh juga mama berniaga online. Tapi, nak berniaga apa ya?’’ aku membalas pertanyaan Airina dengan nada bersahaja. Minda juga sedang berjalan mencari ilham. Aku memang tak mahir berniaga, tapi anak-anakku selalu juga order barang online setiap kali mereka memerlukan sesuatu. Airina pun selalu order novel online. Setiap bulan hampir sepuluh buah novel sampai ke rumah kami. Bagi aku, kalau Airina suka membaca, aku tak boleh nak kata apa. Lagi pun, Airina guna duit hasil titik peluhnya sendiri. Cuma Azman dan Azrin selalu merungut dengan aku bila ditipu dengan peniaga online yang suka mengambil kesempatan di atas kesempitan orang lain.

                     ‘’Macam-macam barang boleh dijual mama. Nantilah Rina tolong mama, Rina kena buat research dulu barang apa yang ramai orang minat untuk order secara online. Kalau mama ada bakat menulis, bolehlah Rina tolong mama jual novel mama tu nanti.’’ Airina menyudahkan kata-katanya sambil ketawa. Aku sudah tersenyum lucu. Menjadi penulis? Itu juga sebahagian dari impian aku di zaman persekolahan dulu. Tapi, bolehkah aku menjadi penulis dengan umur aku sekarang ni? Belajar pun tak habis.

                  ‘’Nak jadi penulis, Rina kenalah ajar mama guna komputer dulu. Mama ni nak menaip pun tak pandai, inikan pula nak menjadi penulis.’’ Aku berkata tenang. Hidup aku selepas kahwin hanya menguruskan suami dan anak-anak. Tiada masa langsung untuk belajar hal lain, apatah lagi nak mengadap skrin komputer. Dalam rumah ni hanya ada laptop milik Airina dan Azman. Azrin, Azmin dan Azim selalu ke CC bila nak mengunakan komputer atau mereka akan pinjam laptop Airina atau laptop Azman bila terdesak. Hidup memang harus berkongsi. Nak beli laptop seorang satu, memang kami tak mampu  ketika ini.

            ‘’Yalah, nanti Rina ajar mama guna komputer, sebab kalau mama nak kerja secara online memang kena mahir guna komputer. Nanti bila dah ada barang yang mama nak jual. Rina tolong mama buka blog dan laman sosial. Rina nak pergi kerja dulu. Mama jangan banyak fikir sangat, mama jaga kesihatan ya. Take care tau, nanti Rina balik kerja kita bincang lagi.’’ Airina berkata lagi sambil mencium pipiku dan menyalami aku. Sejuk hatiku ada anak seperti Airina. Dia seorang anak yang perihatin dan kakak yang penyayang macam arwah Azmeer. Airina memang banyak mengikut Azmeer terutama dari segi watak dan rupa.

             ‘’Rina pun jaga diri, jaga maruah dan jadi pekerja yang baik, amanah dan jujur. Ingat Allah selalu.’’ Sempat aku berpesan kepada Airina sebelum dia menghilang dari bilikku. Airina sempat mengangguk sebelum berlalu meninggalkan aku.

************

               Aku mula bekerja di rumah bos Airina. Hari pertama bekerja, memang tak banyak kerja yang perlu aku lakukan. Seperti kata Airina, hanya kerja-kerja ringan yang selalu aku lakukan di rumah kami. Tapi, masalah mula mendatangi bila majikanku membawa ayahnya tinggal di rumah ini. Aku mula menjadi rimas dengan gelagat ayah majikanku yang miang.

                Encik Shahidan baru kematian isteri tiga bulan yang lalu. Oleh kerana kesihatannya yang semakin merosot sejak akhir-akhir ini, Puan Ainon membawa dia tinggal di sini. Puan Ainon hanya mempunyai seorang anak dan anaknya sedang belajar di Universiti tempatan. Beberapa minggu sekali baru anak Puan Ainon akan pulang ke rumah ini. Puan Ainon dan Tuan Eric pula sibuk setiap masa. Bila mereka keluar bekerja, tinggallah aku dan Encik Shahidan bersendirian.

                   Aku ingin berhenti kerja. Aku suarakan apa yang aku rasa kepada Puan Ainon, tapi Puan Ainon terus merayuku supaya aku terus bekerja dengannya. Selain mengemas rumah dan memasak, dia juga menyuruh aku menjaga ayahnya yang kurang sihat. Gila. Aku ni bukan mahram kepada Encik Shahidan. Bagaimana boleh aku menjaga dia? Tak. Tak mungkin, aku mampu melakukannya, lebih-lebih lagi dengan renungan tajam Encik Shahidan terhadapku. Aku ngeri, walau hanya membayangkannya saja.

                 ‘’Saya akan tambah duit gaji. Berapa awak nak? Awak cakap saja, duit bukan masalah besar.’’ Kata-kata Puan Ainon kembali bergendang di telingaku. Dia ingat, duit dia boleh membeli harga diriku? Ahh..dia silap besar. Aku memang terdesak untuk bekerja dan menyara anak-anak, tapi aku juga ada harga diri dan pendirian. Takkan aku nak biarkan diriku bergelumang dengan dosa di rumah ini, bersendirian dengan lelaki yang bukan mahramku.

                 ‘’Kalau Puan Ainon nak beri sejuta pun, saya tetap dengan keputusan saya.’’ Tegas kata-kataku disambut dengan keluhan kasar Puan Ainon.

                  ‘’Tolonglah Kak Aishah, papa tak sihat. Tak ada siapa yang nak jaga dia. Saya hanya harapkan kak Aishah saja. Haa..apa kata kak Aishah kahwin saja dengan papa?’’ terbuntang mataku mendengar kata-kata Puan Ainon yang seterusnya. Mudahnya dia mengungkapkan kata. Hati aku mengeluh geram di dalam. Orang kaya yang rasa mereka berkuasa, mereka rasa boleh membeli harga diri orang lain dan maruah orang dengan duit.

                      ‘’Maaf Puan..bagi saya suami hanya seorang saja di dunia ini. Takkan ada penganti hingga ke hujung nyawa. Kasih sayang saya kepada suami takkan mudah ditukar ganti. Puan cari orang lain. Saya tak boleh terus bekerja di sini. Saya harus berhenti.’’ Sekali lagi aku suarakan keputusanku. Puan Ainon mendengus kasar. Wajahnya sudah kemerahan menahan rasa amarah, mungkin.

                    ‘’Kalau awak berhenti, saya akan pecat Airina dan saya akan bekukan segalanya. Biar Airina takkan dapat kerja lagi di syarikat lain.’’ Ugutan Puan Ainon buat aku tergamam seketika. Ya Allah, kenapa orang kaya seperti Puan Ainon ini terlalu gila kuasa, hingga sanggup membuli orang-orang yang tak berdaya seperti kami? Apa salah kami?

               ‘’Silakan Puan. Buatlah, apa saja yang Puan suka. Rezeki di bumi Allah ni luas. Kalau tak kerja di syarikat pun, kami masih mampu hidup dengan bahagia di atas bumi Allah ini. Allah lebih berkuasa dari manusia yang pentingkan diri. Duit dan harta kekayaan Puan, mungkin dapat membeli orang lain, tapi duit itu takkan dapat membeli iman seorang hamba Allah seperti kami.’’ Aku berkata yakin kerana aku percaya, Allah menyaksikan segalanya. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk aku dan anak-anak. Mungkin rezeki aku dan anak-anak bukan bersama Puan Ainon. Biarlah kami bersusah payah hari ini. Aku pasti, ada rezeki kami di tempat lain.

               ‘’Angkuhnya awak berkata-kata..awak belum kenal lagi siapa saya. Awak takkan hidup bahagia, kalau awak tak dengar cakap saya. Jangan nak menyusahkan anak-anak awak kerana kedegilan awak. Awak tentu tak mahu melihat anak-anak awak susahkan? Bagaimana kalau biasiswa anak-anak awak ditarik semula? Semua anak-anak awak takkan dapat belajar dengan sempurna, kalau saya mula bertindak. Awak ingat Aishah, saya kenal ramai orang dalam kementerian, termasuk kementerian pelajaran. Awak memang sengaja nak tempah nahaskan?’’ ugutan Puan Ainon berterusan. Dia tuduh aku angkuh berkata-kata, sedangkan aku rasa dia yang sedang bersikap angkuh dengan kuasa yang dia ada. Manusia, memang tak pernah nampak kesalahan diri sendiri. Semuanya nak dituding kepada orang lain.

               ‘’Apa gunanya Puan kenal orang dalam kementerian yang hanya berkuasa atas dunia yang sementara ini, sedangkan Puan langsung tak kenal Allah. Kalau Puan kenal Allah, puan takkan buli orang-orang yang tak berdaya seperti kami. Saya balu Puan, balu kepada lima orang anak. Kalau Puan tergamak nak buat aniaya kami seperti itu, silakan. Tapi, jangan menyesal di kemudian hari bila Allah bayar cash pada Puan nanti. Jangan terlalu angkuh dengan kuasa yang Puan ada, kerana ada lagi yang lebih berkuasa di atas dunia ini.’’ Aku menyudahkan kata-kataku dengan perasaan sebak yang sarat di dada. Kenapa anak-anakku pula yang harus dijadikan mangsa? Kalau dia berkuasa sangat, cari sajalah pembantu rumah yang lain. Rasanya ramai lagi orang yang sedang mencari kerja. Bukan aku seorang saja yang mampu menguruskan rumah banglo mewah mereka ini. Ramai lagi yang sedang mencari pekerjaan di luar sana.

                Panggg...aku memegang pipiku. Kesudahannya, hari terakhirku di rumah banglo mewah Puan Ainon, aku mendapat hadiah tamparan darinya dengan kata-kataku. Kemudian, dia menghantar pula polis ke rumah kami atas tuduhan mencuri. Kerana, tiada bukti aku dilepaskan. Airina dipecat sebagai PA di syarikatnya. Biasiswa Azman ditarik semula, tapi kerana Allah Maha Mengetahui segalanya, anak-anakku tetap dapat meneruskan pelajaran mereka.

           Ada seorang ustaz yang menawarkan diri untuk membantu persekolahan anak-anakku atas persetujuan isterinya. Kami diberi zakat dan namaku dimasukkan sebagai rakyat yang layak untuk mendapat bantuan kerajaan. Nasib anak-anakku tetap terbela. Wang zakat pertama yang aku perolehi, aku gunakan sebagai modal untuk berniaga.

          ‘’Kita buat kuih mama, nanti Rina tolong buka akaun laman sosial untuk mama. Kita post bisnes kuih kita dalam laman sosial. Kita berniaga secara online. Lepas tu kita buka page atau group dalam Facebook. Kita buka blog bisnes kita sendiri. Kalau mama pakar, kita boleh buat jenama kita sendiri. Macam mana mama, okey tak idea Rina ni?’’ Airina bersuara memberi pendapatnya tentang bisnes yang harus kami mulakan. Aku hanya tersenyum mendengar angan-angannya itu. Tak semudah yang dikata sayang. Banyak halangannya nanti. Aku berkata di dalam hati.

               ‘’Kuih apa yang kita nak dijual Rina? Kena buat kuih yang tahan lama, mudahan bila pelanggan kita dapat nanti, kuih tu tak rosak. Berniaga ni Rina, kita harus jujur, barulah rezeki kita berkat. Allah Redha, Malaikat pun akan mendoakan kita.’’ Aku bertanya Rina kembali sambil menyuarakan pendapatku pula. Bukan senang nak berniaga ni, banyak persaingannya, namun aku percaya rezeki itu di tangan Allah. Hanya Allah yang tahu apa yang kita lakukan. Jujur atau tak kita, Dia tahu segalanya. Dia yang membantu dalam setiap urusan hambaNYA.

***************

                    Perancangan kami tak menjadi seperti yang diharapkan. Permulaan yang agak mengecewakan juga. Kuih bahulu perbagai rasa dan berinti yang kami berniaga secara online tak mendapat sambutan yang mengalakkan. Kami mula tukar strategi, kami menghantar kuih bahulu kami di kedai-kedai runcit dan pasaraya kecil berhampiran rumah. Dengan cara ini, kami tak mendapat untung segera. Tuan punya pasaraya dan kedai runcit hanya akan memberi duit selepas habis kuih kami dijual. Itu pun kata mereka, komisen akan ditolak sedikit dari hasil jualan.

                  Modal kami mula berkurangan. Aku dan Airina keluar mencari kerja. Sebagai orang muda, mudahnya Airina mendapat kerja di pasaraya, sedangkan aku masih terkial-kial mencari jawatan kosong. Apa kerja yang layak dengan umur aku? Bila bercerita pasal umur, itulah sebabnya aku ditolak mentah-mentah bila memohon kerja. Mereka hanya nak mengupah pekerja yang masih muda belia, yang masih kuat tenaganya.

              Aku tak mahu terus berputus asa. Demi anak-anak, aku harus kuatkan semangat. Bila sendirian di rumah, aku gunakan masa yang ada dengan mempromosikan bahulu perbagai rasa kami. Aku layan semua laman sosial. Aku belajar mengembangkan page. Buka group dalam Facebook dan meneruskan promosi tanpa henti. Sementara kuih bahulu kami ditempah orang, aku mula belajar menaip. Bertatih dahulu buat sementara waktu. Bila dah mahir nanti, baru aku berjalan laju dan terus berlari.

                Aku melayari You Tube dan belajar membuka blog perniagaan dan dalam masa yang sama aku bahagikan blog aku untuk dua bahagian. Satu untuk perniagaan dan satu lagi untuk penulisan. Aku banyak menghabiskan masaku di depan laptop milik Airina. Aku belajar segalanya sendirian. Aku nak menjadi seorang ibu yang tahu segalanya. Aku tak mahu terus bergantung harap dengan anak-anak. Aku nak anak-anak rasa bangga dengan kemampuanku.

              Aku mula melayari blog-blog penulisan penulis-penulis online. Bukan semua penulis berpelajaran. Aku juga tak berpelajaran tinggi. Aku yakin, aku boleh, kalau aku mahu. Rajin berusaha, pasti membuahkan hasil. Umur bukan halangan untuk mengapai impian. Aku nekad takkan berputus asa selagi aku mampu melakukannya. Selagi aku bernafas di atas bumi Allah ini, pasti ada jalannya untuk aku mengengam segunung impian.

              ‘’Mama, sekolah kami nak adakan lawatan sambil belajar ke Terengganu. Tambang pergi balik termasuk makan, seorang seratus. Boleh tak mama? Kalau mama tak ada duit, tak apalah, Min dengan Azim tak nak menyusahkan mama.’’ Azmin datang kepadaku ketika aku sedang rancak membaca cerpen online dalam sebuah blog seorang  penulis online. Aku menoleh kepada Azmin sambil tersenyum. Dalam kepala sedang menconggak duit yang masih berbaki dalam akaun bank yang aku miliki termasuk akaun bank peninggalan Azmeer.

                  ‘’In Sha Allah Min, ada lagi duit tu. Untuk anak mama, apa saja pun boleh. Dua ratus sajakan? Rasanya ada lagi kalau setakat dua ratus tu. Bila Min nak? Nanti mama beri.’’ Dalam bertanya, aku memberi jaminan kepada Azmin. Riak wajahnya tak ceria mendengar kata-kataku.

                ‘’Tak apalah mama, Min tak nak menyusahkan mama.’’ Azmin bersuara perlahan. Aku tersenyum demi untuk menghiburkan hatinya dan hati aku sendiri.

                  ‘’Mama..Min dengan Azim nak minta izin dengan mama. Kami nak kerja separuh masa, boleh tak mama? Abang kawan Min buka gerai burger di pasar malam dekat Pekan. Kami ingat nak tolong dia berniaga.’’ Azmin menyambung kata. Aku berjeda agak lama. Dalam hati terasa bersalah bila anak-anakku ingin bekerja. Aku rasa bagaikan aku tak berdaya untuk menyara anak-anakku dengan keadaan aku sekarang. Air mata aku bergenang tanpa aku sedar. Maafkan mama sayang. Kenapa anak-anak mama yang harus menanggung semua beban ini?

             ‘’Min dengan Azimkan nak SPM hujung tahun ni. Tumpukan perhatian dalam pelajaran Min. Itu saja harapan Min untuk masa depan. Tanpa pelajaran Min nak kerja apa nanti? Biar mama dan kakak Rina saja yang berikhtiar untuk menyara keluarga kita. Min  dan Azim tumpukan saja perhatian untuk pelajaran, ya?’’ lemah sekali kata-kataku. Perlahan air mataku mengalir ke pipi. Aku menoleh ke arah lain dan mengesat air mata dengan cepat agar Azmin tak dapat mengesannya.

               ‘’Alaa mama..sambil menyelam minum airlah mama. Belajar-belajar juga, kami bukannya nak pergi tolong abang kawan Min tu setiap hari. Cuma seminggu sekali saja.’’ Azmin memegang tanganku dan memandang lama wajahku. Perasaan sebakku bertamu lagi. Aku sedih kerana tak dapat memberi kesempurnaan buat anak-anakku hingga mereka terpaksa bekerja untuk membantu mengukuhkan pendapatan keluarga kami.

                 ‘’Min..mama bukan tak nak izinkan Min dan Azim berkerja. Nanti, apa pula kata masyarakat sekeliling. Anak-anak mama masih ada mama, tapi semuanya kena berkerja untuk menyara keluarga. Mama tak nak orang mengutuk kita, kerana mama tak mampu nak menyara anak-anak mama. Min suka ke orang sekeliling mengata mama? Min suka?’’ aku cuba mencari alasan agar Azmin membatalkan hasratnya untuk keluar bekerja. Tak kiralah, walau hanya seminggu sekali, tapi aku tak nak membebankan anak-anakku dengan keadaan kami sekarang. Kalau bab orang nak mengata tu, aku dah malas nak fikir. Masing-masing ada mulut untuk berkata-kata, lantaklah, mereka nak kata apa pun!

                  ‘’Mulut manusia bukannya kita boleh tutup mama. Kalau mereka suka mengata, biarlah mereka. Dah hobi mereka suka jaga tepi kain orang lain. Lantaklah!’’ Azmin kuatkan suara tiba-tiba. Tersentak juga aku dibuatnya. Marah benar Azmin nampaknya. Mungkin, dia pun pernah mendengar umpatan orang sekeliling terhadap kami?

                ‘’Min..kita ni hidup bermasyarakat Min. Bagi mama, memanglah mama tak kisah, apa saja umpatan orang. Tapi, Min dan Azim masih belajar lagi. Tunggulah Min dan Azim besar sikit. Bila dah habis belajar nanti, carilah kerja. Yang penting, kerja tu halal.’’ Aku masih ingin memujuk Azmin. Terdengar Azmin mendengus perlahan. Kemudian, dia memegang tanganku dan berlutut di depanku.

               ‘’Please la mama. Kami cuma nak cari pengalaman saja. Kawan-kawan Min pun ramai dah mula buat kerja part time. Sekurang-kurangnya, bila kami bekerja, boleh juga bayar duit kelas tambahan. Kamikan anak lelaki. Siapa lagi yang nak bantu mama, kalau bukan anak-anak lelaki mama? Kami dah besar panjang ma, kami dah mampu nak bantu mama, tak banyak membantu, sikit pun bolehlah. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Itulah fungsinya ahli keluarga ma..’’

              ‘’Hai..bersungguh-sungguh benar dia nak bekerja ya? Agaknya, ada sebab lain tak Min nak kerja ni? Jangan bagitau mama, Min dah ada awek? Jangan Min. Tak baik bawa anak orang keluar. Kena penangan dengan keluarga dia karang.’’ Aku cuba berseloroh melihat kesungguhan Azmin. Dia mengeleng pantas.

              ‘’Mama ni, ke situ pula. Min tak ada hatilah nak cari awek. Menyusahkan diri saja, cari awek time belajar ni. Buang karan saja. Kawan Min yang ada awek, semua mengadu mama, awek mereka tu, macam-macam peel. Rimas Min dengar mereka bercerita.’’ Aku ketawa kecil mendengar kata-kata Azmin. Kepalanya aku usap perlahan macam anak-anak kecil. Azmin pegang tanganku dan mengucupnya. Terasa sejuk hati aku dengan perlakuannya. Bergenang lagi air mataku tanpaku sedari.

                ‘’Bolehkan mama?’’ Azmin bertanya lagi. Aku mengangguk perlahan.

                  ‘’Yeahoo..Zim, cepat siap. Mama dah bagi..’’ Azmin bersorak riang. Sekejap kemudian Azim turut muncul dengan senyuman lebar. Azim menghampiriku dan mengucup pipiku. Ya Allah, anak-anak bongsu mama ni, memang manja sangat walaupun dah berumur tujuh belas tahun. Terasa bagaikan anak-anakku masih lagi kanak-kanak kecil yang manja.

                 ‘’Nak pergi mana?’’ teringat dengan kata-kata Azmin, aku kembali bertanya. Baru saja aku izinkan, mereka dah nak keluar.

                 ‘’Kerjalah mama, kan malam ni malam minggu. Ada pasar malam di Pekan. Mama nak pesan apa-apa tak? Nanti kami belikan, abang Ipin dah berjanji nak bayar gaji hari. Satu malam seorang Rm20, kalau jualan laris, mungkin dia akan bagi sorang Rm30.00 atau lebih.’’ Ceria saja Azmin bercerita. Azim hanya mengangguk sambil memandang tepat ke wajahku. Aku menghela nafas perlahan dan mengangguk tanda memahaminya.

           ‘’Pukul berapa pula boleh balik?’’

           ‘’Err..mungkin lewat sikitlah mama, tapi tak apa, mama jangan bimbang, nanti abang Ipin yang akan hantar kami balik.’’ Azmin cuba menyakinkan aku. Macam tadi, Azim hanya mengangguk. Aku yang resah. Balik lewat? Anak-anak aku mana pernah pulang lewat ke rumah di waktu malam. Selalunya, mereka tak pernah keluar malam, kalau ada di rumah, kecuali kalau keluar bekerja atau pergi belajar kelas tambahan atau perjumpaan rakan-rakan belajar berkumpulan.

              ‘’Pukul berapa tu?’’ aku bertanya lagi. Nak juga tahu waktunya. Selewat mana mereka akan pulang. Tak betah aku tanpa mereka di depan mataku di waktu malam.

             ‘’Dua belas ke ataslah mama, mungkin sampai pukul 3.00 pagi. Tengok pada permintaan pelangganlah mama.’’

               ‘’Pukul 3.00 pagi? Mama tak izinkan, kalau lewat macam tu.’’ Aku berkata tegas. Jantung aku sudah berdetak laju. Runsing memikirkan keselamatan anak-anakku berada di luar rumah hingga lewat dinihari. Naluri keibuanku membantah keras di dalam.

                  ‘’Alaa mama..mama dah cakap boleh tadi. Mana aci, bolehlah mama. Kamikan anak lelaki. Min bukannya sorang, ada Azim dan abang Ipin. Ramai lagi yang bekerja mama. Gerai burger dia memang selalu ramai pelanggan mama.’’ Azmin memujukku lagi. Dalam hati, aku mula mushkil. Siapa mereka, pelanggan yang makan lewat dinihari begitu?

                 ‘’Lewat sangat Min. Mama..mama..’’ aku kehilangan kata-kata. Tahukah mereka akan kerungsingan hatiku ini?

                ‘’Mama..please..’’ giliran Azim pula memujukku. Dia memegang tanganku dan mengerdipkan matanya. Aku terus lemah melihat wajahnya begitu. Dia melebarkan senyuman dan terus menatap ke dalam mataku. Alahai anak, kenapa buat mama begini?

              ‘’Yalah. Jaga diri, jangan buat kerja terlarang. Jangan ikut kawan-kawan pergi berlumba haram. Jangan kacau anak dara orang. Biar di mana pun Min dan Azim berada, ingat Allah selalu. Ingat pesan mama. Faham tu?’’ aku buat keputusan terakhir. Melompat girang kedua-duanya. Kepalaku tergeleng tanpa sedar memerhatikan gelagat mereka. Dalam hati berdoa agar Allah pelihara mereka. Lindungi mereka dari segala bahaya.

**********

                    Hari minggu, semua anak-anakku ada di rumah. Masing-masing membantuku menyiapkan tempahan pelanggan. Sudah berbulan aku berniaga bahulu perbagai perisa berinti ini. Sudah ada yang menempah secara online atau datang menempah di rumah. Di pasaraya atau di kedai runcit berdekatan juga sudah ada permintaan. Aku semakin sibuk berbisnes. Mujur ada anak-anak yang sudi membantu.


                 ‘’Mama, kenapa ramai yang tempah perisa coklat mama? Perisa vanila ni cuma seorang dua saja yang tempah. Ni ha..di pasaraya Murni pun, nak perisa coklat dilebihkan.’’ Azman menyoal ketika dia membelek buku yang telah aku tulis semua tempahan yang dibuat. Bahulu berperisa dan berintikan coklat memang lebih mendapat tempat di hati pelanggan. Jangan kata pelanggan, aku dan anak-anak pun suka makan bahulu berperisa coklat tu. 

                 ‘’Hmm..Man tanya diri Man sendiri, kenapa Man minat sangat berkonvoi.’’ Lain yang disoal, lain pula jawapan yang aku beri. Anak ke-3 aku ni, memang suka menyoal soalan yang bukan-bukan. Bukan nak berfikir dulu sebelum bertanya.

                 ‘’Sebab minatlah mama. Kalau tak minat, buat apa Man nak buang masa nak ikut mereka berkonvoi. Best tau mama, boleh mengembara dengan motor ni. Merata ceruk boleh pergi. Banyak pengalaman yang boleh dikutip. Boleh tengok tempat orang. Boleh tengok alam sekitar. Boleh merasa berbagai jenis makanan tradisional negeri lain. Best sangat mama.’’ Azman mula rancak bercerita. Dia tak tahu, aku sedang menyindir dia dengan soalan aku tadi.

                 ‘’Habis tu, Man rasa kenapa ramai orang yang tempah perisa coklat dari perisa lain?’’ aku ajukan lagi soalan untuknya. Anak-anakku yang lain sudah mula ketawa. Azman memerhatikan wajah kami seorang demi seorang. Dia tayang wajah blur plus bengang dengan soalan yang aku ajukan tadi ditambah dengan keriuhan gelak tawa oleh anak-anakku yang lain.

              ‘’Apa kena mengena berkonvoi dengan bahulu?’’ dengan wajah blur Azman ajukan soalan kepadaku lagi. Aku mengeleng perlahan. Belajar sampai U, tapi perkara mudah macam tu pun tak boleh jawab.

               ‘’Tentulah ada kena mengena.’’ Aku menjawab selamba sambil mengarah Azim untuk memasukkan coklat ke dalam adunan berperisa coklat yang telah aku masukkan separuh sebelum memasukkan adunan perisa yang sama sekali lagi untuk menutupi coklat tadi sebagai inti.

               ‘’Man tak faham.’’ Azman menjawab perlahan. Dia memandang tepat ke wajahku. Aku tersenyum sebelum mendengar Azman mengaduh kemudiannya. Senyuman aku bertukar renungan tajam untuk Azrin bila dia sudah mengetuk kepala Azman yang masih menyoal aku dengan kata-katanya tadi.

               ‘’Ngok sungguh. Kalau dah minat perisa coklat, buat apa nak order perisa vanila. Kau tu, dah minat berkonvoi motor, takkan kau nak pergi memancing pula. Macam tu pun tak faham?’’ Azrin menjawab bagi pihakku. Anak-anakku yang lain ketawa lagi. Azman tayang muka selamba sambil mencebik. Aku tergelak tanpa sedar melihat wajahnya.

                 ‘’Eleh..tanya pun tak boleh.’’ Azman berkata lagi untuk menutup malu. Orang lain buat tak dengar saja. Masing-masing sibuk dengan urusan menolongku. Ada yang sedang mengadun adunan, membakar dan ada yang memasukkan kuih yang sudah sejuk ke dalam bekas. Ada yang menolong memasukkan ke dalam pek untuk mereka yang menempah secara online.

             ‘’Rina..dah masukkan tepung jagung tak? Jangan lupa masukkan tepung jagung sikit, nanti keras pula bahulu kita.’’ Aku berkata kepada Rina yang sedang mengaul adunan baru. Selalunya aku masukkan sedikit tepung jagung untuk melembutkannya. Perisa coklat, vanila, keladi, jagung dan strawberry aku gunakan. Untuk yang berinti hanya ada untuk inti coklat dan strawberry. Perisa lain tu, aku tak tahu nak masukkan inti apa. Nampaknya, kalau nak masukkan juga, terpaksalah aku buat sendiri inti tu. Tapi, aku takut tak mampu tahan lama saja. Kesian pada pelanggan yang mungkin akan mendapat kuih yang telah rosak.

                   ‘’Lupalah mama. Nasib baik mama cepat ingatkan. Min, hulur kejap tepung tu. Ishh..siapa yang alihkan tepung tu pula?’’ sambil mengarah Azmin, Airina membebel. Azmin mengikut arahan dan menghulurkan bekas tepung jagung kepada Airina. Dalam masa yang sama sebiji bahulu berperisa coklat yang sedikit hangit dimasukkan ke dalam mulutnya. Sesuap saja bahulu berbentuk cermai itu dimasukkan ke mulutnya. Kecil dan comel, lembut dan berperisa, itulah bahulu ciptaan aku dan Airina. Mulanya memang tak ada permintaan, tapi setelah berbulan, tak menang tangan pula kami nak melayannya.

******************

                    Hidup ini memang banyak cobaan dan godaan. Cobaan dunia yang paling perit untuk dihadapi adalah bila kita ditipu dan godaan dunia yang paling sukar ditepis adalah untuk menjadi sabar dan tabah dalam setiap cobaan yang datang. Iblis sentiasa mengoda kita agar menjadi manusia yang selalu engkar dengan perintah Allah.

               Bila bahulu jualan kami dah laris, mulalah penipu-penipu di luar sana mengambil kesempatan. Kami mendapat tempahan dari seorang lelaki yang kononnya membuka gerai menjual kuih. Banyak tempahan yang dibuatnya, sebanyak dua ribu bungkus dan setiap bungkus mengandungi dua puluh biji bahulu. Itu permintaannya sendiri dan dia berjanji untuk membeli setiap bungkus dengan harga rm5.00.

           Kami akur dengan permintaannya. Airina berhenti kerja untuk membantu aku membuat bahulu. Azmin dan Azim juga membantu bila mereka balik dari sekolah dan hari cuti. Azrin dan Azman akan pulang membantu bila tak ada kuliah. Kami bertungkus lumus untuk menyiapkan tempahan lelaki itu dan tempahan-tempahan yang lain.

              Dalam masa yang sama, duit jualan di kedai-kedai runcit dan pasaraya dibekukan walau dah habis kuih dijual. Adakalanya sebulan kuih habis barulah tuan punya pasaraya dan kedai runcit memberi duit jualan kepada kami. Bila kuih habis, mereka nak yang baru dengan segera, tapi bila nak memberi duit, kata mereka nak buat pusingan modal dulu. Sudahlah komisen yang diambil terlalu tinggi. Kami cuma mendapat sedikit untung saja ditolak duit komisen yang mereka ambil.

              ‘’Mama, Encik Asri kata, nak pusing modal dulu, baru nak bagi duit bahulu untuk kita. Rina mushkillah mama, dia keluar modal apa sampai nak kena pusing modal? Sedangkan yang banyak keluar modal ni kita. Bukannya dia.’’ Airina mula menyoal aku bila tuan punya pasaraya tempat kami meletakkan bahulu berperisa mula mencari helah setiap kali nak memberi kami duit jualan bahulu yang semakin laris.

             ‘’Entahlah Rina, agaknya tempat yang dia letakkan bahulu kita di pasaraya dia dibuat dari emas kot.’’ Aku menjawab selamba sambil cuba berseloroh agar anak-anakku tak menyalahkan orang lain dengan apa yang sedang kami hadapi kini.

            ‘’Kenapa manusia suka mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain mama?’’ Airina menyoal lagi dengan riak muka berkerut-kerut. Aku tersenyum sebelum menjawab soalannya.

             ‘’Tak ada manusia yang sempurna atas muka bumi ni Rina. Kalau tak ambil kesempatan dengan orang yang tak berdaya macam kita ni, nak ambil kesempatan dengan siapa lagi? Dengan orang yang ada kuasa? Silap haribulan tempias kena muka sendiri.’’ Aku menjawab tenang. Bibir Airina masih terkumat-kamit. Agaknya, adalah tu yang tak puas dalam hatinya?

             ‘’Mama..satu lagikan, Rina runsing dengan kuih bahulu yang berlambak ni, kita nak buang kat mana ni mama? Bukannya sebungkus dua, dua ribu bungkus tu mama. Orang tu tak reply lagi ke mesej mama?’’ Airina menukar tajuk perbualan kami sambil memandang kuih bahulu yang sudah dipek di sudut kanan ruang tamu rumah kami.

           ‘’Buang? Jangan nak merepek Rina, penat kita buat tu, ada pula nak buang? Nanti kita cari ikhtiar.’’ Aku masih menjawab dalam nada tenang, padahal dalam kepala sudah menconggak berapa kerugian yang akan kami alami kalau bahulu itu rosak nanti.

               ‘’Mamaaa...’’ terdengar laungan kuat dari luar rumah, aku dan Airina sama-sama menjenguk ke arah pintu.

             ‘’Orang yang pesan kuih bahulu tu tak datang ambil lagikan?’’ Azmin sudah terpacul di depan pintu dengan soalannya sambil menuding jari ke arah kuih bahulu yang banyak diletakkan di tepi dinding.

               ‘’Belum. Kenapa Min tanya?’’ aku menyoal Azmin kembali.

              ‘’Min bagitau abang Ipin pasal kuih bahulu tu. Abang Ipin kata dia boleh tolong jual.’’ Azmin menjawab sambil tersenyum lebar. Aku dan Airina saling berpandangan. Bagaikan bulan jatuh ke riba. Kami baru saja bercakap pasal kuih bahulu tu, dah ada orang yang menawarkan diri untuk menjualnya.

               ‘’Iya ke Min? Berapa bungkus dia nak? Banyak ni, kalau nak ambil semua.’’ Sekali lagi aku menyoal Azmin. Kali ini aku hadiahkan Azmin dengan senyuman lebar. Rasa lega dalam hatiku ini. Aku bukannya kemaruk sangat dengan keuntungan, tapi dari hasil jualan bahulu inilah aku akan menyara anak-anak. Kalau kerugian yang kami dapat selepas bertungkus lumus, apa lagi yang kami ada?

           ‘’Err..lima ratus bungkus dulu. Buat percubaan dulu, kalau habis, barulah dia ambil lagi. Abang Ipin cakap dia nak tolong jual saja. Dia jamin takkan ambil komisen.’’ Yakin sekali Azmin berkata. Aku pun bukan harapkan sangat keuntungan, kalau ada orang sudi nak jual pun, itu dah bagus dari langsung tak terjual.

          ‘’Mama tak kisah pun kalau dia nak ambil komisen. Yang sayangnya kalau rosak semua kuih ni. Rina tolong mama, masukkan semua kuih ni dalam bekas. Bila dia nak datang ambil ni Min?’’ sambil mengarah Airina membantu, aku menyoal Azmin lagi.

          ‘’Dia suruh Min balik tanya mama dulu, kalau mama izinkan, dia akan datang ambil bila-bila masa saja. Nanti dia letakkan di gerai dia. Mama tahu tak, di gerai burger abang Ipin tu ramai pelancong yang datang. Geng-geng konvoi motor pun selalu singgah di situ. Selalunya, kalau jual apa pun memang laris mama.’’ Teruja betul Azmin bercerita. Aku menarik nafas lega. Hati aku melonjak suka. Allah sentiasa ada di saat kita dalam kesusahan. Jangan bimbang kerana Allah takkan aniaya kita hambaNYA yang sentiasa taat dengan perintahNYA.

             Akhirnya, masalah kami selesai juga. Azman menyuruh kami menghantar kuih bahulu selebihnya kepada dia dan dia akan menjualnya kepada rakan-rakan sekuliah dengan harga yang lebih rendah. Azrin juga membantu kami membawa bahulu ke kuliahnya. Azmin dan Azim menolong menjual bahulu tu di gerai Ipin. Jualan memang laris hari pertama dan seterusnya hingga Ipin menempah lagi kuih bahulu dari kami selepas dia sendiri merasanya. Aku sarankan, agar dia mengambil sedikit komisen kerana membantu kami. Dia pun tak menolak. Dalam hal ini, kami untung, dia pun untung. Yang bermasalahnya dengan manusia yang hanya nak untung sendiri. Mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain. Memang tak patut!

**************

                         Bisnes bahulu berperisa terhenti seketika. Aku kini mempunyai banyak masa terluang untuk kembali mengadap laptop. Airina kembali bekerja sebagai pekerja separuh masa di pasaraya. Aku memulakan pula hobi baruku yang menjadi impianku sejak dulu. Anak-anakku yang lain, masing-masing sibuk belajar untuk menumpukan perhatian dalam pelajaran. Aku percaya, rezeki kami tetap ada walaupun bisnes kami terhenti buat sementara waktu. Ini keputusan aku sendiri, supaya anak-anakku yang masih belajar dapat menumpukan perhatian mereka dalam pelajaran. Bila ada permintaan, aku akan siapkan semua permintaan seorang diri. Anak-anakku sudah banyak membantu setakat ini, biarlah mereka berehat seketika dari membantuku untuk menambahkan pendapatan keluarga kami.

                   Aku ingin merangka manuskrip untuk novel pula. Aku tahu, penulis zaman ini tumbuh bagaikan cendawan. Terlalu banyak persaingan. Aku pun bukannya mempunyai keyakinan yang tinggi untuk menjadi seorang penulis. Aku ingin menulis hanya untuk menguji diri dan kemampuan mindaku berfikir. Bolehkah aku menaip sebuah cerita? Bolehkah aku membahagiakan orang lain dengan cerita imaginasiku? Mampukah aku berilusi sambil melakarkan ilusi itu menjadi sebuah cerita? Banyaknya persoalan dalam benakku ini. Orang kata, belum cuba belum tahu. Aku ingin mencuba kemampuan diri, walaupun aku sedar, aku masih belum layak. Setiap orang ada keinginan dan impian. Aku boleh, kalau aku mahu. Bertekadlah demi mencapai sebuah keberhasilan.

                Sebelum memulakan sebuah manuskrip, aku cuba mengasah minda terlebih dahulu dengan kata-kata penguat semangat. Aku buka microsoft word dan merenung lama skrin laptop di depan mata. Sukar juga nak memulakan langkah pertama, tapi aku percaya, segalanya akan berjalan lancar setelah satu perkataan bermula.

Kejayaan Takkan Datang Bergolek

             Demi anak-anak aku akan buktikan aku mampu bangun menerajui hidup ini dengan jayanya. Aku sedar, aku tak berpelajaran tinggi. Aku banyak kekurangan untuk mengapai sebuah impian. Aku tiada pengetahuan dan pengalaman. Tapi, itu tak bermakna aku tak boleh berjaya seperti orang lain. Mereka boleh, kenapa aku tidak? Apa bezanya mereka dengan aku? Setiap manusia dikurniakan akal dan fikirankan?

             Di sini aku bermula bersama langkah pertama untuk menerajui kehidupan ini. Di atas kanvas putih ini ingin aku lakarkan cerita buat bacaan semua. Ingin aku tinggalkan hasil penulisanku buat tatapan anak-anakku nanti. Hanya ini saja wasiat dan harta yang mampu aku tinggalkan untuk mereka. Hanya catatan dan cerita yang mampu aku lakarkan untuk menjadi pengajaran dan tauladan buat semua. Allah Maha Tahu isi hatiku dan setiap patah kata yang aku lahirkan datangnya dari DIA yang Maha Berkuasa. Dia yang mengizinkan aku untuk melakarkan cerita. Meluahkan isi minda untuk bacaan semua. Semuanya dengan izinNYA. Tanpa izinNYA sepatah kata pun mustahil untuk aku lakarkan di sini.

               Kejayaan takkan datang bergolek kalau aku tak bangun untuk terus berusaha. Walaupun banyak dugaan dalam hidup ini, aku tak harus kalah. Godaan dalam dunia ini memang bertali arus hingga adakalanya aku rasa seakan ingin tewas. Namun, aku tak mahu terus kalah dengan apa yang mendatangi hidupku. Aku harus kuat dan terus tabah. Aku harus lebihkan kesabaran untuk menempuhi semua rintangan. Aku takkan tergoda dengan godaan dunia. Biarpun aku terpaksa mendongak ke langit, namun itu tak bermakna aku tak mahu memandang bumi lagi. Aku harus seiring dalam mengejar kejayaan.

            Aku nak berjaya di dunia dan di akhirat. Aku nak kedua-duanya. Aku harus mendongak ke langit untuk melihat kebesaran Allah sang Pencipta langit dan bumi. Aku harus terus berharap untuk memohon restuNYA kerana aku tak mampu hidup tanpaNYA. Allah segalanya bagiku.

            Dunia ini penuh dengan tipu muslihat. Demi anak-anak aku harus pertahankan apa yang kami ada. Apa saja peluang yang datang harus aku rebut, walaupun adakalanya hatiku turut diburu resah kerana takut tersesat haluan. Padah jadinya kalau aku hilang arah tujuan. Sebagaimana aku perlukan Allah untuk membimbing aku, begitu juga anak-anak yang memerlukan aku untuk kenal dengan Allah dan seterusnya berserah diri kepadaNYA.

             Sesekali bila aku terlalai dan leka, aku memandang ke bumi yang penuh dengan dosa, nafsu dan sengketa. Bumi tempat manusia bersuka ria adakalanya buat aku rasa gerun. Lama memandang bumi buat aku terlalai dengan keindahan dan keseronokannya. Semuanya ciptaan manusia yang berpaksikan nafsu. Untuk menikmati kebahagiaan yang sementara, mereka sanggup lakukan apa saja hingga mereka terlupa Yang Lebih Berkuasa di atas sana sedang memerhatikan mereka setiap saat dan setiap masa tanpa terlupa walau sedikit pun. Tanpa terlepas pandang walau hanya sedetik.

                  Kejayaan di atas dunia yang hanya sementara ini takkan ada maknanya tanpa ilmu untuk dibawa ke akhirat nanti. Sebanyak mana pun kejayaan yang kita kecapi, takkan ada gunanya kalau kita lupakan asal usul dari mana kita datang. Dari mana kita datang? Sesekali cuba tanya pada diri sendiri. Ingatlah, kita bukan datang ke dunia dengan harta. Kita datang ke dunia bukan kerana kita yang pinta. Semuanya Allah yang tentukan. Dia yang hidupkan kita dan dia akan ambil kita semula suatu hari nanti.

               Jangan bangga kalau kita masih muda kerana muda bukan untuk selamanya. Jangan rasa hebat kalau kita kuat kerana kekuatan akan hilang juga bila ditelan usia. Jangan rasa megah bila kita kaya kerana semua harta bukan milik kita sepenuhnya. Harta yang kita sedekah dengan seikhlas hati itu barulah milik kita.

              Kalau kita sihat, jangan dihina mereka yang sakit kerana kesakitan juga akan mengejar kita. Kalau kita sakit jangan cemburu dengan orang yang sihat kerana sakit itu penebus dosa. Jangan mengeluh bila diuji kerana setiap ujian itu ada penamatnya. Jangan terlalu suka bila diri langsung tak pernah terima ujian dariNYA tapi haruslah waspada kerana mungkin kita sudah jauh dari perhatianNYA. Hidup ini bukan semudah yang kita duga. Kalau kita hanya mengejar bahagia tanpa mahu hidup dalam duka walau sedikit saja cobaannya, kita adalah manusia yang sebenar-benarnya telah kalah! Wallahu’alam.

                    Aku mengakhiri sebuah catatan kata-kata semangat untuk diriku sendiri sambil menarik nafas dan melepaskannya. Aku scroll semula catatan itu dan membacanya dari mula. Mampukah aku mengapai impianku ini? Aku tak berani untuk memberi jawapannnya. Aku baru nak bermula dan aku harap Allah merestui apa yang sedang aku lakukan ini. Aku perlukan Allah untuk terus membimbing aku. Aku hanya insan yang lemah untuk terus bertahan, tanpa bimbingan dariNYA aku takut aku akan karam dalam lautan dunia yang penuh dengan pancaroba.

***************

               Beberapa tahun kemudian...

                     Aku memerhatikan anak-anakku yang ralit membelek novel-novel yang baru sampai ke rumah kami. Berpuluh buah novel yang dihantar oleh syarikat penerbitan untuk aku kirim kepada pembelinya. Aku tak sangka dalam usia 40-an aku masih mampu mengapai impianku untuk bergelar seorang penulis. Tiga buah novelku sudah berada di pasaran dan aku sudah ada pembaca setia terutamanya anak-anakku sendiri yang menjadikan aku sebagai idola. Alhamdulillah, semuanya dengan izin Allah. Aku sendiri tak pernah menduga, aku mampu berjaya hingga ke tahap ini. Semuanya demi anak-anak. Demi membesarkan mereka, aku bangun dan belajar untuk menjadi seorang ibu yang kuat menempuh gelombang hidup.

            Ya, kejayaan takkan datang bergolek. Kerana anak-anak, aku berjaya juga menyiapkan beberapa buah novel walaupun sukar untuk menyiapkannya. Walaupun aku tak yakin pada awalnya, tapi aku tak mahu berputus asa. Aku kuatkan semangat, lebih-lebih lagi Airina anak sulungku selalu memberikan aku galakkan untuk terus menulis.

             Persaingan terlalu banyak hari ini. Terlalu banyak novel-novel di pasaran dalam perbagai genre. Genre seram semakin digilai dan mendapat sambutan hangat. Kisah cinta pula masih diminati walau ada yang berkata sudah bosan membaca cerita cinta yang menjijikkan. Lain orang, lain pendapatnya. Lain penulis, lain genre kegemarannya. Aku pula teringin nak mencuba semua genre. Aku tahu, aku tak mahir, tapi kalau tak mencuba, aku takkan  tahu aku mampu ataupun tidak.

             Novel pertama aku bertajuk Aku Takkan Tergoda, memang kurang mendapat sambutan, lebih-lebih lagi nama aku belum dikenali ramai. Sebuah novel yang mengisahkan hidup berkeluarga dan pahit jerih ibu tunggal seperti aku diselitkan dalam novel pertama ini. Novel kedua pula bertajuk Airina. Aku pinjam nama anak sulungku sebagai watak utama dalam novel ini. Aku menulis kisah benar bercampur imaginasi. Semua kisah benar Airina dan kawan-kawannnya aku selitkan di dalam novel ini. Anak-anak lelaki aku juga menjadi mangsa ditemuduga olehku. Watak-watak lelaki pula aku pinjam watak teman-teman anak-anak lelakiku.

             Novel ketiga adalah novel seram dan bermisteri. Tajuk novel ketiga Siapa Yang Rasuk Anakku? Kisahnya menyayat hati walaupun menyeramkan. Kisah seorang gadis sunti yang dirasuk oleh sesuatu dari zaman lampau. Dia akan menyanyi di tengah malam dengan lagu-lagu 50-an. Wajah gadis itu semakin lama semakin berubah menjadi wajah yang menyeramkan. Akhirnya gadis itu ditemui mati di dalam ladang kelapa sawit dengan keadaan mengerikan. Kalau nak tahu kisah selanjutnya, dapatkannya di pasaran ya. Oppss...

                 ‘’Mama..novel ni Azim tak berani nak bacalah mama. Apa jadi selepas perempuan tu mati mama?’’ soalan Azim mengejutkan lamunanku. Berjeda aku seketika cuba mengimbas kembali apa yang ditanya.

               ‘’Jawapan ada dalam novel tu. Kalau nak tahu jawapannya, bacalah sampai habis. Jangan langkau walau sehelai pun, kalau tak, Azim akan blurr sebab tak faham.’’ Aku memberi jawapan yang paling mudah untuk Azim. Aku sempat melihat gelengannnya dan dia meletak semula novel itu di atas meja sofa.

                 ‘’Malaslah nak baca. Mama ni, tulislah cerita aksi ke, siri penyiasatan ke. Ini cerita hantu..’’ aku ketawa saja mendengar omelan Azim. Bukan senang sayang nak menulis sebuah novel. Kena banyak buat reseach dan membaca juga cerita-cerita orang lain. Zaman sekarang ni orang suka buat kerja mudah. Ciplak novel orang dan jual. Bila dah tertangkap menciplak dan nak dikenakan saman, baru tau langit tu tinggi ke rendah. Barulah nak angkat sumpah bagai.

              ‘’Mama..tadikan Min terbaca tanpa sengaja manuskrip mama dalam folder mama. Tajuk novel mama tu kisah anak-anak kembar ke? Mama tulis kisah Min dengan Azim ke mama? Macam nak sama jer..’’ kali ini aku mencebik pula mendengar pertanyaan Azmin. Semua anak-anakku sudah memandang ke arahku. Masing-masing menunggu jawapanku. Aku tersenyum melihat gelagat mereka.

              ‘’Tak ada maknanya mama nak tulis cerita Min dengan Azim. Bukannya best pun. Siapa yang nak beli novel mama nanti?’’ mendengar jawapan yang aku beri, semua anak-anakku sudah ketawa terutama Azman dan Azrin. Manakala Azmin dan Azim tersenyum dengan wajah selamba mereka.

               ‘’Rina ada kawan kembar seiras, kalau mama nak, Rina boleh ceritakan kisah mereka.’’ Airina mula menawarkan bantuan yang tak ku pinta. Aku tersenyum lagi. Dua puluh tahun membesarkan Azmin dan Azim, aku sudah banyak pengalaman untuk menceritakan kisah anak-anak kembar ini.

               ‘’Tak apa, kali ini mama nak cuba menulis cerita gila-gila sikit. Rina dengan Azrul macam mana? Dah siap ke beli semua kelengkapan. Majlis akad nikah minggu depan sajakan? Sibuk pula dia dengan novel mama, kenapa?’’ aku mengubah topik perbualan kami. Teringat pula dengan majlis pernikahan Airina yang akan berlangsung minggu hadapan, terus aku ajukan soalan.

                 ‘’Don’t worry, be happy. Mama jangan bimbang, semuanya bisa diatur. In Sha Allah mama, doakan semuanya berjalan dengan lancar. Dengan doa dan restu mama, segalanya akan berjalan dengan mudah. Aamiin.’’ Mudah saja jawapan yang Airina beri. Aku turut mengaminkan apa yang Airina kata. Mudah-mudahan segalanya berjalan lancar. Aku turut berkata di dalam hati kerana itulah harapan aku buat Airina dan bakal suaminya.

                     Hidup ini godaannya kiri dan kanan, depan dan belakang. Bisikan jahat sentiasa ada dan tak pernah pergi meninggalkan kita, kerana selagi kita bernama manusia, iblis takkan pernah berputus asa untuk terus mengoda. Hari ini aku berjaya juga mengatasi semua dugaan kerana aku mempunyai anak-anak untuk menguatkan semangatku. Bahagia mereka, bahagialah aku. Derita mereka, deritalah aku. Sebagai ibu, aku hanya berharap mereka menjadi hamba yang sentiasa akur dengan perintah Allah dan meninggalkan laranganNYA.

                       Aku tak berharap mempunyai anak-anak yang cantik dan kacak, yang bijak pandai dan kaya raya. Aku cuma nak anak-anak yang soleh dan solehah, yang beriman dan bertaqwa. Tapi, kalau aku dapat semuanya, itu adalah bonus terbesar. Namun, aku tahu takkan ada manusia yang sempurna di atas muka bumi ini. Yang sempurna hanyalah Allah dan Rasul-rasul utusan Allah.

************Tamat*************

Nota : Aku Takkan Tergoda berakhir di sini. Bukan senang nak menulis cerita yang aku langsung tak pernah mengalaminya, namun aku tahu betapa sukarnya menjadi seorang ibu tunggal dari pengamatanku terhadap adik ipar, kakak-kakakku dan orang sekeliling. Dalam dunia ini lebih ramai wanita yang sanggup memikul beban membesarkan anak-anak selepas kematian suami berbanding lelaki. Aku menulis berdasarkan apa yang aku perhatikan di sekeliling aku. Itulah hakikatnya. Adakah lelaki di luar sana yang nak menafikannya. Kalau berani cuba nafikannya di ruangan komen.   

2 ulasan:

  1. Tahniah saya membaca cerpen dalam blog ini dari pagi tadi hingga kini tanpa henti nampak perubahan dan cara penulisan semakin matang sekali lagi tahniah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Jutaan terima kasih diucapkan buat Arbaz kerana sudi meluangkn masa dalam blog cerpen sy ni.

      Kerana minat sy belajar majukan diri namun hanya pembaca yg berhak membuat keputusan, kritikan dan teguran.

      Terima kasih sekali lg kerana sudi singgah, baca dan meninggakn komen.

      Padam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.