Khamis, 13 Oktober 2016

Si Hodoh & Si Miskin

              Anita membelek wajahnya di depan cermin. Dia melihat imbasan wajahnya yang kelihatan begitu mengerikan. Jerawat yang semakin tebal tumbuh di wajahnya semakin membuatkan dirinya tertekan.

            Anita sedih bila rakan-rakan sekerjanya pun seakan menyisihkan dirinya. Kalau ada yang sudi dekat dan berbual dengannya pun tak ramai, boleh dibilang dengan jari. Anita hairan, kenapa manusia terlalu memandang pada kecantikan wajah, sedangkan kecantikan hati itulah yang patut diutamakan.

              Semakin lama bekerja di tempat yang sama, Anita semakin tertekan. Hari-hari hatinya merusuh kerana kejian rakan-rakan sekerja yang jijik melihat wajahnya. Dia tak minta jadi begini, dia sendiri pun terpaksa menanggung rasa malu memiliki wajah begini.

               Akhirnya Anita membuat keputusan untuk bekerja di syarikat milik ayahnya, tapi hanya sebagai pekerja biasa yang paling rendah pangkatnya. Tiada siapa pun yang tahu, Anita adalah anak bos syarikat. Anita tak mahu mengaku dan memberi amaran juga pada ayah dan abangnya yang juga bekerja di syarikat yang sama.

               Hari ini hari pertama Anita di syarikat ini. Anita resah kerana takut dirinya dicemuh oleh rakan-rakan barunya kerana memiliki wajah hodoh, namun Anita sudah bersedia mental dan fizikal. Kalau pekerja di sini juga tak boleh menerima kehadiran Anita yang berwajah hodoh, Anita terpaksa menerima semua ketentuan takdir, bahawa dirinya sedang diuji dengan wajahnya.

                 ‘’Anita..’’ Anita memperkenalkan diri selepas bersalam dengan pekerja-pekerja perempuan di dalam tempat kerja barunya. Anita mengawal rasa debar dalam hatinya, dia berwajah selamba agar tidak ketara perasaan rendah diri yang sedang bersarang dalam jiwanya.

             ‘’Lina.’’ Pekerja pertama juga mengenalkan diri sambil menyambut salam Anita.

             ‘’Syaza.’’ Gadis kecil molek bersuara. Bibirnya terhias sedikit senyuman mesra.

              ‘’Shimah.’’ Pekerja yang sudah berusia 35 tahun pula menyambut salam yang dihulurkan oleh Anita. Seperti Syaza, dia juga mengukirkan senyuman mesra, salam perkenalan dengan rakan sekerja baru.

              ‘’Azhar.’’ Seorang pekerja lelaki tampil dan memperkenalkan diri seperti yang lain. Matanya merenung Anita dan menilik Anita atas dan bawah sambil bibir tersenyum senget. Anita hanya menganggukkan kepala sebagai tanda menyambut salam perkenalannya, namun wajahnya sudah berona merah bila ditenung oleh Azhar.

             ‘’Asmida.’’ Pekerja seterusnya menyambut salam Anita, tapi salam  yang disambut hanya di hujung jari. Terasa benar hati Anita dengan pandangan tajam Asmida dan reaksi yang Asmida beri, namun Anita nak berfikiran positif.

               Pekerja-pekerja seterusnya hanya menganggukkan kepala sambil menujukkan tag nama masing-masing. Anita turut berbuat perkara yang sama. Setakat ini, Anita masih berpuas hati dengan penerimaan rakan-rakan sekerja barunya.

                     ‘’Cik Jerawat! Masuk ke bilik saya, nak bincang pasal kerja awak. Interview hari tu, tak sempat nak tanya soalan-soalan penting, jadi sebelum awak mulakan kerja, kita berbincang dulu.’’ Suara seseorang kedengaran di penjuru pejabat. Anita menoleh kalut dan seorang lelaki sudah melambai kepadanya. Anita keliru, panggil aku ke? Hatinya berbicara sendiri.

                  ‘’’Dia panggil saya ke?’’ Anita bertanya pada Lina yang kebetulan paling dekat dengan dirinya. Lina mengangkat bahu, tanda dia pun tak pasti.

                 ‘’Saya ke?’’ Anita bertanya kembali lelaki yang melambai tadi mohon jawapan. Dia sendiri keliru kerana dia juga ada nama seperti orang lain.

                      ‘’Yalah. Siapa lagi yang ada jerawat selain awak?’’ soalan Anita berbalas soalan juga. Lelaki yang bersuara itu tersenyum mengejek sambil masuk ke bilik pejabatnya sendiri. Anita menghela nafas geram. Hatinya membebel di dalam.

                  Tanpa berlengah lagi, Anita melangkah laju menuju ke bilik pejabat lelaki itu. Anita menahan perasaan geramnya sambil cuba memaniskan wajah bila melalui meja rakan-rakan sekerja barunya yang sedang memerhatikan langkah Anita. Anita menerpa masuk tanpa mengetuk pintu.

                 Anita mengengam penumbuk sambil membuntangkan mata. Hatinya panas bila bos barunya mengelar dirinya Cik Jerawat di depan pekerja-pekerja lain. Dengan langkah yang laju Anita menuju ke meja bosnya, Anita mengigit bibirnya sendiri. Sampai saja di tepi meja, Anita mencapai sebuah fail dan melontar ke arah bos barunya.

                 ‘’Cik Jerawat?’’ sambil menyoal bos barunya, fail melayang di udara. Nasib baiklah bos baru Anita sempat mengelak. Kalau tak, mesti bercalar juga wajah bos baru Anita.

              ‘’Oii..apa ni? Cedera wajah Angah yang handsome ni, Angah saman sejuta.’’ Adli bersuara garang, namun dalam hati ketawa gembira melihat wajah tegang Anita di depannya. Hobi Adli setiap kali ada Anita bersamanya adalah membuli Anita secukupnya. Tak habis dengan itu, Adli juga kuat menyakat Anita sejak kecil lagi. Mereka memang rapat, tapi sikap membuli Adli, kadang-kadang membuatkan Anita bengang dengannya.

                       ‘’Jahat. Orang ada nama la.’’ Anita membentak keras seraya menarik kerusi dan duduk bertentangan dengan Adli dengan wajah masam. Adli ketawa ceria mendengar Anita berkata begitu, ditambah dengan wajah masam Anita dengan bibir yang terkumat kamit mengutuk dirinya.

                ‘’Ed suruh Angah bawa Nita pergi restoran dia, lunch nanti. Nak raikan isteri dia yang baru mula kerja. Nak pergi tak?’’ tanpa menjawab bebelan Anita, Adli memulakan kata, berkenaan hasratnya memanggil Anita masuk ke biliknya. Anita mengerut kening. Hairan.

         ‘’Ishh..buat apa? Suruh dia raikan GF dia sudahlah. Ada GF buatlah macam ada GF.’’ Anita menjawab sambil mencebik. Adli terus ketawa dengan respon Anita. Dia tahu keegoan Anita. Di luar kata tak nak, tapi dalam hati, siapa yang tahu.

           ‘’Aikk..ayat macam orang jealous saja.’’ Adli masih ingin menguji Anita, sambil berkata Adli merenung wajah Anita tanpa berkalih sedikit pun. Bibir Adli sudah melebar dengan senyuman bila melihat Anita mencebik lagi.

                 ‘’Tak ada maknanya, nak jealous bagai.’’ Anita bersuara tegas dan matanya dibulatkan. Adli pula sudah ketawa kuat melihat reaksi Anita yang seterusnya.

              ‘’Jomlah..Angah pun dah lama tak jumpa dia. Lunch nanti Nita tunggu Angah di bus stop depan simpang tu. Angah ambil Nita di situ, atau nak pergi sendiri or nak suruh Ed datang ambil?’’ soalan Adli bersambut dengan gelengan pantas oleh Anita. Pergi dengan Adli, ibarat menunggu hukum pancung dari semua rakan-rakan sekerja barunya. Tak habis dengan kes gelaran Cik Jerawat, nanti timbul pula gosip lain tentangnya.

               ‘’Nita pergi sendiri. Tak naklah Nita kena gosip dengan Encik Adli. Handsome tak apalah jugak.’’ Anita menjawab lagi sambil mula tersenyum kemenangan. Anita membelek pula wajah Adli. Angahnya tak hodoh, kacak pun tak juga. Kulitnya sawo matang. Ada kumis nipis, berbulu kening tebal, bulu mata lentik, lesung pipit di pipi kiri dan kanan. Kulit wajah pula, yang sedang-sedang saja, tak ada jerawat dan jeragat. Bolehlah, walaupun tak sekacak model antarabangsa.

***************

   Sembilan tahun yang lalu...

              ‘’Aku terima nikahnya, Nuranita Azlin binti Mohd Syukri dengan mas kahwinnya seratus ringgit tunai.’’ Akad dilafazkan, Edry terus menundukkan wajah dengan gegaran yang sangat hebat di dalam hatinya. Jantungnya berlari laju kerana risau akadnya terpaksa diangkat sekali lagi.
              ‘’Sah?’’ ayah Anita bertanya saksi di kiri dan kanannya.

              ‘’Sah.’’ Saksi pertama berkata tenang sambil kepala dianggukkan.

              ‘’Sah.’’ saksi kedua pula bersuara, diikuti dengan anggukan olehnya. Ahli-ahli keluarga yang turut hadir juga turut berpuas hati. Maka..sahlah Anita sebagai isteri kepada Muhammad Edry Adha ketika usianya baru saja mencecah tujuh belas tahun, sedangkan Edry pula masih belajar di IPT dalam tahun pertama. Kerana keadaan yang memaksa, mereka disatukan dalam sebuah ikatan. Namun, dalam diam-diam Anita dan Edry sudah membuat pakatan sendiri.

              Malam pertama mereka sebagai pasangan suami dan isteri, mereka membuat satu perjanjian mulut. Tanpa saksi dan tanpa surat sebagai bukti. Janji mereka sangat ringkas dan senang difahami.

             ‘’Aku nak tumpukan perhatian dalam pelajaran dulu. Lepas tu aku nak kerja dan tumpukan perhatian untuk mencapai impian aku. Dalam masa kita belajar ni, kita bawa haluan masing-masing. Kalau kau dah berkenan dengan orang lain, ataupun kau memang dah ada orang lain, teruskan, tapi aku ada syarat aku sendiri.’’ Edry berkata tenang. Anita mengangguk setuju. Bibirnya masih berkunci dan menanti untuk mendengar syarat Edry.

             ‘’Aku tak nak kau jadi lawa, cantik atau sebagainya. Jangan jaga penampilan, cuma jaga kesihatan saja, jangan sakit. Aku tak mau isteri yang sakit, tapi aku tak kesah kalau isteri aku hodoh.’’ Dengan suara yang tenang dan wajah yang serius, Edry menyambung kata. Anita sudah membuntangkan matanya. Pipinya dipegang perlahan. Pipi gebu yang mulus, putih dan licin tanpa sebarang jerawat, disuruh agar diabaikan saja? Apa semua ini?

              ‘’Mana boleh macam tu. Siapa yang nak aku lagi kalau wajah aku hodoh? Aku..’’

               ‘’Kau tak dengar ke aku kata tadi? Aku tak kesah, kalau ada isteri hodoh.’’ Anita belum habis mengungkapkan kata, Edry mencelah pantas.

             ‘’Kan kau cakap, bawa haluan masing-masing..aku...’’

            ‘’Aku tahu. Dengar dulu, apa aku nak cakap. Janganlah mencelah lagi. Hiesy..’’ Edry mencantas lagi kata-kata Anita dan menjeling geram ke arah Anita. Dia yang sedang berdiri menarik tangan Anita dan mengajak Anita duduk di atas sofa di sudut kiri bilik mereka.

             ‘’Duduk dulu, kita bincang secara serius.’’ Sambil menolak Anita duduk di sofa, Edry bersuara dan dia sendiri pun turut melabuhkan punggungnya di sebelah Anita.

             ‘’Mulai esok, kau jangan jaga penampilan dan aku pula akan berlagak macam orang miskin. Aku akan pakai selekeh dan hidup macam orang miskin. Makan dan pakai ala kadar. Aku akan mula buat kerja part time untuk membayar semua yuran aku. Kita akan jadi si miskin dan si hodoh mulai esok. Aku tak nak kau bersolek lagi macam selalu. Aku nak kau buang semua alat solek kau. Sepuluh tahun lagi, kalau kita masih tak ada pasangan, kita akan hidup sebagai pasangan suami isteri yang sebenar.’’ Edry memberikan penerangan seperti apa yang dibayangkannya. Dia memandang Anita yang sedang mengerutkan kening sambil memandang dia dengan wajah bengang.

                 ‘’Sepuluh tahun?’’ Anita menyoal sambil mula mengira dengan jari.

               ‘’Yupp..rasanya sepuluh tahun sudah cukup untuk mematangkan fikiran kita. Kau sendiri tahukan, kita masih muda. Aku ada impian dan kau pun ada impian kau sendiri. Kau fikirlah sendiri, kalau kau tak setuju pun, aku akan tetap dengan keputusana aku.’’ Sekali lagi Edry bersuara tegas. Impian dia mudah saja, membina kerjaya dengan hasil titik peluh sendiri, bukan dengan kekayaan yang sudah diturunkan untuknya sebagai anak tunggal dan cucu tunggal keluarganya.

             ‘’Jadi hodoh? Sepuluh tahun? Tak gila sangat ke? Aku tak setujulah. Kecantikan tu adalah aset paling berharga seorang wanita. Aku tak boleh nak bayangkan, macam mana wajah aku kalau dah jadi hodoh.’’ Anita menjawab sangsi. Dalam masa yang sama dia cuba membayangkan wajahnya yang bakal jadi hodoh tanpa penjagaan yang sempurna. Oh, tidak. Hatinya menjerit di dalam.

             ‘’Kau tak fikir ke, dengan wajah yang hodoh, orang yang ada di sisi kau nanti semuanya mempunyai hati yang ikhlas untuk berkawan dengan kau. Hodoh dan miskin bukan satu kekurangan. Hikmahnya, orang yang berada di sisi kita bukan kerana rupa dan harta. Cuba kau fikirkan pula. Wajah yang cantik kau ni mungkin ramai yang akan datang dan berkawan dengan kau, terutamanya lelaki, tapi mereka takkan ikhlas, kerana mereka nak kau sebab kau cantik.’’ Edry cuba menerangkan maksudnya lagi. Sejenak, Anita macam sudah termakan dengan kata-katanya, seketika kemudian Anita sudah mengeleng laju.

             ‘’Bagi aku masa sebulan untuk fikirkannya. Aku terima saranan kau untuk bawa haluan masing-masing, cuma..bab hodoh tu, aku tak nak setuju dulu. Aku nak fikir dulu.’’ Keputusan akhir Anita sudah dibuat. Edry juga bersetuju untuk memberi masa kepada Anita. Sebulan kemudian mereka merealisasikan perjanjian mereka, dengan membawa haluan masing-masing dengan cara tersendiri. Hubungan pernikahan hanya di atas kertas selama sembilan tahun ini.

*****************

                  Anita sampai ke restoran tempat Edry bekerja. Restoran milik Edry sendiri dengan hasil titik peluhnya seperti yang dia pernah impikan dulu, namun tiada seorang pekerja pun yang tahu Edry adalah bos sebenar di restoran ini, termasuk chef yang telah diupah khas.

             Edry sendiri pun ada kepakaran memasak dan minat memasaknya sejak kecil disembunyikan dari pengetahuan semua orang termasuk Anita. Hanya Adli sahabat baik Edry yang tahu segalanya. Di restoran ini, semua orang menyangka, Edry hanya sebagai pekerja separuh masa yang mencuci pinggan mangkuk dan kerja-kerja berat yang lain. Edry sudah mempunyai lima cawangan restoran perbagai masakan dengan hasil titik peluh sendiri.

            Sembilan tahun banyak mengubah penampilan Anita dan Edry. Bagi Anita, dia hilang wajah cantiknya, sementara Edry pula, semakin berusia semakin terserlah pula kekacakan wajahnya. Edry hanya miskin pada pandangan mata orang lain, tapi dalam diam dia menjaga diri dan mengamalkan makanan kesihatan agar tubuh badannya sentiasa sihat. Seolah-olah perjanjian mereka berat sebelah. Dalam sembilan tahun ini, tiada seorang lelaki pun yang berjaya merebut hati Anita sedangkan Edry sudah ada buah hati pengarang jantungnya.

           ‘’Nak makan apa? Aku belanja, order saja, apa yang korang nak makan.’’ Edry menyambut Anita dengan pertanyaan, sedangkan Adli yang sudah lama sampai masih membelek menu yang sedia ada di atas meja.

            ‘’Apa saja?’’ Adli menyoal ragu-ragu.

           ‘’Apa saja. Aku belanja, tapi kau yang bayar.’’ Edry menjawab dan mengenyitkan mata. Anita mencebik dalam diam. Dan, tak semena-mena kepalanya diluku oleh Edry bila Edry terperasan dengan responnya sebentar tadi. Anita berdecit geram, sedangkan Adli dan Edry sudah tersengih lebar.

           ‘’Sakitlah.’’ Anita membentak marah. Geram betul dengan dua orang pembuli tegar yang sedang berada di depannya ketika ini. Mereka masih menganggap Anita macam budak-budak kecil yang masih berhingus, sedangkan kini usia Anita sudah mencecah 25 tahun.

          ‘’Jangan buat muka macam tu lagi. Dahlah hodoh, lagi bertambah hodoh pulak nanti. Aku bukannya apa, takut aku kahwin lain nanti, kau masih tak ada pasangan pulak.’’ Edry mengeluarkan ayat-ayat paling kejam untuk pendengaran Anita. Adli juga turut terkejut dengan kenyataan Edry, walaupun dia tahu sedikit sebanyak tentang perjanjian Anita dan Edry. Dalam hati kecil Adli sentiasa mengharapkan jodoh Anita dan Edry akan berpanjangan. Tak sanggup Adli nak membayangkan adik ‘perempuan tunggal’ kesayangannya akan menjadi janda dalam usia yang masih muda.

           ‘’Kau serius ke Ed?’’ Adli bertanya juga soalan yang sedang menjengah mindanya.

            ‘’Apa?’’ Edry bertanya kembali.

              ‘’Statement kau tadi. Korang berdua ni, bukan baru bernikah sembilan hari. Dah sembilan tahun pun, takkan tak ada langsung perasaan sayang dalam hati?’’ Adli menyuarakan apa yang dirasa. Anita dan Edry berbalas pandang. Hati masing-masing sedang berbisik. Adakah perasaan sayang itu?

           ‘’Perjanjian kami masih ada setahun lagi. Kalau tahun depan, kami masih belum nikah dengan orang lain, baru kami akan jadi pasangan suami isteri yang sebenar dan baru kami akan fikirkan tentang perasaan masing-masing.’’ Mudah saja Edry menjawab pertanyaan Adli. Anita menarik nafas perlahan. Dia juga keliru dengan perasaannya sendiri. Sembilan tahun lamanya mereka membawa haluan sendiri. Edry hanya membayar nafkah dari segi wang ringgit. Dia sendiri pun bingung dengan status mereka sekarang. Masih layakkah digelar pasangan suami dan isteri?

           ‘’Kau pernah lamar Azza? Hubungan korang berdua serius ke?’’ Adli ajukan soalan lagi. Edry tersenyum senget. Dia pandang Anita dan Adli silih berganti sebelum menjawab.

         ‘’Keluarga Azza tak pernah setuju perhubungan kami. Mereka dah ada pilihan mereka yang lebih baik dari aku. Mereka kata aku tak layak untuk Azza yang ada jawatan tinggi dan berpelajaran tinggi. Aku nak kata apa lagi. Aku tunggu masa saja. Kalau Azza kahwin dengan pilihan keluarga dia, aku akan buat keputusan muktamad selepas tu.’’ Sekali lagi Edry membuat kenyataan yang sukar diduga. Bertambah keliru Anita mendengarnya. Apa perasaan sebenar Edry? Hati Anita berteka-teki.

************

               Hari ini Anita sudah berjanji dengan adik bongsunya untuk keluar menonton wayang bersama. Adik bongsu Anita hanya muda dua tahun saja dari Anita dan masih menuntut tahun akhir di USM Pulau Pinang. Adam sedang cuti semestar dan dia sangat rapat dengan Anita seperti pasangan kekasih. Setiap kali Adam cuti, Anita dan Adam akan meluangkan masa bersama. Adam kesian dengan Anita kerana Anita tidak pernah keluar berdating seperti orang lain.

            Adam juga tahu segala rahsia Anita dan Edry, bahkan seluruh keluarga Anita juga sedia maklum dengan keadaan mereka. Yang menjadi rahsia Edry dan Anita hanya perjanjian ‘gila’ mereka berdua. Akan berpisah selepas mendapat pasangan lain dan berjanji untuk menjadi hodoh dan orang miskin. Memang sangat gila dan tak pernah dibuat orang. Kononnya, untuk menguji keikhlasan orang sekeliling yang rapat dengan mereka. Alasan itu memang logik dan boleh diterima pakai. Lebih-lebih lagi dalam dunia sekarang ni, kebanyakan manusia suka memandang pada kesempurnaan.

          Manusia tak pernah sedar, mereka sendiri pun tak sempurna dan banyak kekurangan, tapi tetap nak pilih yang terbaik dalam hidup mereka. Contoh paling mudah, ada yang memandang hina pada orang miskin dan orang hodoh. Walaupun bukan semua yang berperangai begitu, tapi sebahagian dari manusia yang perasan dia sempurna tetap ada perasaan macam tu. Kan?

        ‘’Nak tengok movie apa laling? Horror nak tak?’’ Adam mula menyoal setelah mereka berada di depan pawagam. Anita mengangguk setuju. Seram pun seramlah, hati Anita pula berkata lancar.

             ‘’The Conjuring 2..’’ sekali lagi Adam bersuara sambil membaca tajuk filem yang akan mereka tonton.

             ‘’Apa-apalah laling oii..terserah kat Adamlah.’’ Anita berkata selamba. Dia tak kisah pun apa tajuk filem yang akan mereka tonton. Mata Anita meliar sekeliling melihat perbagai kerenah remaja kini yang datang untuk menonton wayang dengan rakan-rakan atau pasangan masing-masing.

           ‘’Kak Nita, macam abang Ed saja tu.’’ Adam berbisik pada Anita sambil memuncungkan bibirnya ke arah sepasang kekasih yang sedang berjalan menuju ke arah pawagam. Anita mencebik memerhatikan pasangan itu yang sedang berbual mesra. Sepantas mungkin, Anita membelit tangannya dengan lengan Adam dan mengajak Adam untuk membeli tiket dan masuk ke pawagan secepat mungkin.

            ‘’Menci.’’ Anita membentak perlahan.

            ‘’Cemburu?’’ Adam menyoal sambil tergelak kecil.

              ‘’Ishhh..’’ Anita cuba menafikan perasaannya sambil berdecit geram.

              ‘’Kalau tak cemburu, janganlah marah.’’ Adam cuba menguji Anita dengan kata-katanya.

           ‘’Tak marah pun, geram saja, macam nak lapah hidup-hidup..’’ Anita berkata sambil mengigit bibir. Air matanya sudah bergenang kerana menahan perasaan, namun Anita tetap dengan pendiriannya. Air matanya takkan gugur kerana Edry selagi perjanjian mereka belum tamat.

           ‘’Nak lapah abang Ed ke, atau nak lapah perempuan di sebelah dia tu?’’ Adam masih lagi menguji Anita dengan soalannya.

             ‘’Dua-dua sekali akak nak lapah. Kalau ada bom, dah lama akak letupkan kedua-duanya.’’ Anita dan Adam masih berbual sambil berbaris untuk masuk ke dalam pawagam.

             ‘’Hahaha..cemburu, tak nak mengaku.’’ Adam ketawa dan terus menyakat Anita dengan statementnya. Tanpa banyak cakap, terus Anita hadiahkan sepit ketam di lengan Adam.

              ‘’Akak..Adam cakap kat abang Ed, kak Nita cemburu, baru tahu.’’ Adam terjerit kecil dan cuba mengawal suaranya kerana terkejut dengan hadiah yang Anita beri.

                ‘’Elehh..semua nak mengadu. Macamlah, abang ipar awak tu kesah sangat.’’ Anita berkata dengan sekali nafas. Hatinya sedang mendidih dengan gelagat Adam dan pasangan Edry yang sedang membakar kesabarannya ketika ini.

**************

                Filem bermula dan semua penonton sedang bersedia dengan mental yang berbelah bagi. Nak takut atau nak still steady. Dan tanpa terduga, bagaikan dirancang, Anita, Adam, Edry dan Azza duduk di barisan yang sama. Anita dan Adam duduk terlebih dahulu, kemudian menyusul pasangan Edry dan Azza. Azza masuk disusuli dengan Edry. Jadi Anita kini diapit oleh Edry dan Adam , sementara Azza di hujung sekali.

                Anita nak tukar tempat dengan Adam dan menyuruh Adam duduk di sebelah Edry, tapi Adam berdegil dan tak mahu menukar tempat. Edry pula selamba saja diapit oleh Azza dan Anita. Seolah sebiji burger yang diapit oleh daging halal dan daging haram. Hahaha..boleh ke macam tu?

             Masa terus berlalu, filem terus ditayangkan. Kejadian berlaku tahun 1977 di sebuah rumah yang diberi nama Resident Hodgson, Ingfield Englaterra. Dengar kata cerita ni adalah kisah benar yang diolah kembali menjadi sebuah filem.

           Setiap kali hantu muncul, Anita akan sembunyikan wajah di sebalik lengan Adam dan begitulah dengan Azza yang menutup wajah dan bersembunyi di sebalik Edry. Anita tak mahu menoleh langsung ke arah Edry hinggalah dirasakan tangannya digengam seseorang.

          Anita cuba merentap tangannya, namun tak berjaya. Edry pula sedang tersenyum kemenangan mendapat respon dari Anita yang sudah berdecit berkali-kali dan menjeling ke arahnya. Lelaki, dating dengan orang lain, pegang tangan orang lain. Hampeh betul. Anita membebel di dalam hati.

            ‘’Ed, It’s you?’’ Azza bersuara sambil tergelak kecil bila mendengar nama salah seorang watak lelaki di dalam filem dipanggil. Seorang lelaki yang membawa watak paranormal yang bernama Edward dan kekasihnya Lauren, datang untuk membantu keluarga yang diganggu roh jahat. Cerita bermula dengan watak gadis kecil yang bernama Janet. Dia bermain permainan memanggil roh dan malam itu Janet diganggu dan terus diganggu.

           ‘’Edwardlah, bukan Edry.’’ Edry bersuara tegas tapi bibirnya tetap tersenyum. Edry menjeling ke arah Anita yang juga sedang menoleh ke arahnya. Anita mencebik melihat Edry dan Azza sedang berbisik sesuatu.

             Hati Anita tak semena-mena membara melihat situasi itu. Nampak sangat romantik dan sekali lagi Anita cuba melepaskan tangannya dari gengaman Edry. Kali ini berhasil bila dengan mudahnya Edry melepaskan pegangan. Anita pula mengambil kesempatan itu dengan memeluk tubuh dan duduk tegak. Hanya bila hantu muncul saja, Anita kembali merapatkan tubuhnya dengan tubuh Adam.

               ‘’Akak ni, Adam dah bagi peluang duduk sebelah abang Ed, kenapa tak peluk abang Ed. Badan Adam ni untuk dipeluk isteri Adam saja tau.’’ Adam mengomel perlahan, dan dalam masa yang sama bibirnya tersenyum mengusik.

              ‘’Diamlah Adam!’’ Anita membentak perlahan, separuh berbisik.

                ‘’Adam nak akak kena serang dengan minah yang duduk di sebelah dia tu ke?’’ Anita menyambung kata sambil mata terus tertumpu di skrin depan mereka.

               ‘’Perempuan tu tak ada hak pun nak serang akak.’’ Tegas sekali suara Adam kedengaran. Anita menarik nafas dan melepaskannnya. Hak? Aku ada hak ke, atas Edry? Walaupun Edry suami aku, tapi aku sendiri tidak pasti sama ada Edry tu milik aku. Semua manusia adalah hamba Allah. Apa yang kita ada di atas dunia ini hanyalah pinjaman semata-mata. Keluarga, suami dan anak-anak akan diambil kembali dari kita bila tiba masanya.

                 ‘’Akak pun tak ada hak. Dahlah..malas nak fikir.’’ Anita kembali bersuara setelah fikirannya melayang seketika. Filem terus ditonton hinggalah babak yang terakhir, bila ada beberapa situasi antara sedih, seram dan romantik bila Edward berkata I love you kepada Lauren ketika dia berniat untuk menyelamatkan Janet yang telah dirasuk.



******************

                Anita dan Adam keluar beriringan  dari pawagam. Buat masa sekarang, Anita tak mahu membebankan perasaannya dengan berfikir tentang Edry. Anita tak mahu terus tertekan kerana perasaan marah dan geram yang sedang dirasakannya ketika ini. Dia nak menganggap Edry dan Azza adalah dua orang makhluk halimunan yang tak dapat dilihat. Jadi, Anita berlagak selamba seolah Edry langsung tak ada di depan mata.  

                ‘’Kita nak ke mana pula selepas ni?’’ Adam menyoal Anita yang sudah membelit tangannya seolah mereka benar-benar pasangan kekasih yang tak dapat dipisahkan lagi.

             ‘’Shoping.’’ Anita menjawab sepatah sambil bibir mengukir senyuman.

              ‘’Siapa yang belanja?’’ Adam menyoal lagi.

               ‘’Hmm..rasanya duit elaun akak sebagai isteri separuh masa dah masuk kot, hari ni. Biar akak yang belanja. Adam nak apa, cakap saja?’’ Anita berkata selamba dengan suara yang sedikit kuat, walaupun dia sedar Edry ada di sebelahnya.

            ‘’Kak Nita ni, sejak bila pula jadi isteri separuh masa ni? Mengarut betullah.’’ Adam membantah kata-kata Anita sambil menjeling sekilas ke arah Edry yang sedang memandang ke arah mereka dengan wajah merah padam. Isteri separuh masa? Boleh pula macam tu? Sejak bila aku upah dia jadi isteri separuh masa ni? Hati Edry berkata-kata. Geram dengan ungkapan Anita yang keluar tanpa berlapik.

              ‘’Ehh..Adam tak tahu ke? Dah sembilan tahun dah, tapi akak hanya berguna bila betul-betul diperlukan saja. Kalau suami separuh masa akak tu tak nak, dia buang akak macam sampah tau.’’ Anita mengeluarkan lagi kata-kata sentap itu. Adam serba salah bila melihat wajah Edry yang sudah berubah merah.

              ‘’Cukup kak Nita! Kita balik saja, kalau macam ni. Adam tak ada mod nak keluar shoping.’’ Adam bersuara tegas. Rasa menyesal kerana membawa Anita bersamanya hari ni. Niatnya baik pada asalnya, untuk membuatkan Anita rasa cemburu kerana perhubungan Edry dan Azza. Tapi, tak sangka pula, Anita akan mengeluarkan kata-kata begini yang mungkin akan mengeruhkan perhubungan mereka berdua.

                ‘’Adam balik dulu. Kak Nita ada date hari ni. Okey..bye.’’ tanpa berfikir panjang Anita melepaskan pegangannya dan melangkah laju meninggalkan Adam tanpa menoleh ke belakang lagi. Adam dan Edry sempat berpandangan di antara satu sama lain.

************

                     Anita merenung kebun bunga di depannya dengan perasaan sayu. Dia lari dari rumah lagi, membawa sekeping hati yang sedang lara. Di tempat inilah dia membuang perasaan sedihnya setiap kali dia dalam kerungsingan. Sebuah rumah kecil yang comel, dikelilingi kebun bunga mawar dan tempat penginapan penduduk kampung dan pekerja-pekerja kebun.

                Rumah dan kebun bunga ini milik Anita sepenuhnya, hadiah hari jadinya yang ke-20 dari atuknya sendiri sebelum atuknya menghembuskan nafas yang terakhir dua tahun yang lalu. Impian Anita untuk mengusahakan kebun bunga diceritakan kepada atuknya sejak kecil. Anita adalah cucu perempuan tunggal atuknya. Keluarga mereka tak ramai. Ayahnya hanya ada tiga beradik. Pak long dan pak usunya hanya ada anak lelaki. Adik beradik Anita pula hanya empat orang.

                 Tunang Amzar, abang sulung Anita meninggal seminggu sebelum mereka diijab kabulkan. Erizza Aryna, adalah kakak Edry, suami Anita. Kerana Erizza meninggal, ayahnya menyuruh Edry mengantikan tempat Erizza dan berkahwin dengan Anita. Manusia ini memang pelik, kerana sebuah janji yang dibuat antara ayah Edry dan ayah Anita untuk berbisan, mereka tetap mahu merealisasikan impian itu walaupun Erizza sudah meninggal. Yang menjadi ‘mangsa’ seterusnya adalah Edry dan Anita. Akhirnya, mereka yang terpaksa menanggung semua beban.

                    Anita mengesat air matanya yang mula mengalir di pipi. Dia kalah dalam melawan perasaan sendiri. Anita kalah dengan pertarungan antara kasih dan sayang. Dia sudah lama sedar ada rasa cinta dalam hatinya untuk Edry. Anita cuba menafikan perasaannya, tapi dia kalah juga akhirnya. Hari ini kali pertama air matanya gugur kerana Edry.

                 Kenapa? Kenapa, aku harus menyimpan perasaan untuknya sebelum habis perjanjian kami? Kenapa, aku harus kalah dengan perasaan sendiri? Kenapa? Anita menyoal dirinya sendiri bertalu-talu di dalam hati. Dadanya sakit dan sesak. Dia sakit hati dengan perasaannya sendiri. Dia sakit hati dengan apa yang sedang dilaluinya.

                Ya Allah, bantu aku Ya Allah. Aku tak kuat untuk menanggung beban ini. Aku sedar, kami telah melakukan dosa dengan menafikan perhubungan murni kami selama sembilan tahun ini. Tapi, kenapa hanya aku yang terpaksa menanggung perasaan sakit ini, sedangkan dia hidup bahagia disamping perempuan tu?

                 Air mata Anita terus gugur di pipi setiap kali hatinya berkata-kata, menyoal dirinya sendiri. Dadanya ditepuk berkali-kali. Sakitnya Ya Allah. Sakitnya hati aku melawan perasaan ini. Aku rindu dia. Aku inginkan dia, tapi aku tak mampu untuk meluahkan perasaan aku ni. Aku nak peluk dia, setiap kali kami berjumpa, tapi aku terpaksa memendamkan hasrat hati kerana perjanjian gila kami. Aku tak kuat Ya allah. Aku kalah. Aku lemah. Bantu aku Ya Allah.

                 Anita terus berbicara di dalam hati. Air matanya terus mencurah tanpa henti. Sakit hatinya tak dapat diungkapkan dengan kata-kata, lebih-lebih lagi setiap kali bayangan kemesraan Edry dan Azza menjelma dalam mindanya. Ya Allah, kenapa aku yang harus menanggung semua rasa sakit ini? Kenapa aku tak mampu untuk berkongsi rasa ini dengan orang lain. Tak, aku tak boleh berkongsi dengan sesiapa pun, walaupun dengan Angah, Adam, mama ataupun papa. Kawan baik? Aku juga tak boleh berkongsi dengan sesiapa pun. Tak ada seorang pun yang tahu rahsia kami. Kawan baik aku pun tak tahu aku sudah ada suami dan Edry itu suami aku.

                Anita mengesat air matanya dengan rakus. Dia menarik nafas dan melepaskannya dengan perasaan yang lelah. Berkali-kali Anita melakukan perkara yang sama dan cuba meredakan perasaannya sendiri. Anita memaksa dirinya mengukirkan senyuman dan kebun mawar di depannya dipandang dengan perasaan yang sangat sarat.

Kembalilah Padaku Sayang

Dialog
Sayang..kembalilah padaku
Mengisi hari-hari sepiku
Tanpamu..hidup ini tiada ertinya lagi
Maafkan diriku kerana mempersiakan hidupmu
Kembalilah padaku sayang
****

Kembalilah kasih
Kembalilah sayang
Aku masih memerlukan dirimu
Sepinya hidupku tanpa dirimu

Rinduku..bagaikan tiada akhirnya
Sebak dadaku saat kehilanganmu
Sesak dadaku bila kau tiada
Aku sepi
Aku rindu
Kepadamu..hanya padamu

Cintaku bukan mainan
Cintaku bukan paksaan
Hatiku hanya untukmu
Jiwaku hanya mahukan dirimu
Aku rindu
Aku sepi
Kerana..hanya kau milikku

Chorus

Kembalilah kasih
Kembalilah sayang
Aku masih memerlukan dirimu
Sepinya hidupku tanpa dirimu

Rinduku..bagaikan tiada akhirnya
Sebak dadaku saat kehilanganmu
Sesak dadaku bila kau tiada
Aku sepi
Aku rindu
Kepadamu..hanya padamu

Cintaku adalah satu kepastian
Cintaku bukannya dusta
Aku rela..aku setia
Hanya kau yang aku damba

Kembalilah kasih
Kembalilah sayang
Aku masih memerlukan dirimu
Sepinya hidupku tanpa dirimu
Hidup takkan bermakna tanpamu
Aku rindu.....
Kembalilah kepadaku..

                      Terdengar satu irama indah yang mampu mengegarkan perasaan, Anita memandang sekeliling. Anita tercari-cari dari mana datangnya lagu itu. Dan..tanpa terduga seseorang sudah terpacak di belakang Anita hanya semeter darinya. Orang itu sedang merenung Anita tanpa secebis senyuman. Wajahnya serius dan pandangannya, memang sukar untuk dimergertikan. Marahkah dia? Atau..apa yang sedang difikirkannya?

                   ‘’Dah habis menangis?’’ soalan pertama yang diajukan selepas orang itu duduk di sebelah Anita. Dia memandang Anita yang juga sedang merenung tajam ke arahnya, tapi sebentar cuma, Anita mengalihkan pandangannya ke arah lain. Air matanya gugur lagi. Dadanya sebak, sakit hatinya kembali menyerang dan kali ini, tangisan Anita bukan kerana sakit hati kerana perasaan sayangnya. Tangisan kali ini, kerana orang yang sudah duduk di sebelahnya kini.

                  ‘’Laa..tak habis lagi ke? Meh sini..nak pujuk.’’ Orang itu masih ingin bercanda dan menarik bahu Anita untuk dirangkul. Anita menolak pantas dan cuba untuk bangun. Anita ingin menjauhkan diri dari tetamu yang langsung tak diundang ini.

                 ‘’Jangan macam ni. Perjanjian kita, cuma tinggal beberapa bulan saja lagi, atau awak nak kita batalkan perjanjian tu? Saya tak ada apa perasaan pun dengan Azza tu. Awak cemburu ke? Awak sayangkan sayakan?’’ lelaki di sebelah Anita menarik lembut tangan Anita agar duduk kembali dan mengungkapkan kata-kata dalam nada memujuk. Hati Anita terasa luluh dan ingin berlembut, tapi keegoannya masih menafikan perasaannya. Air matanya yang masih bersisa dilap dengan tapak tangannya dan cuba untuk melarikan diri sekali lagi, namun lelaki di sebelahnya dengan pantas merangkul tubuh Anita. Masih cuba memujuk Anita yang keras hati.

                ‘’Okey..awak nak letupkan sayakan? Tak apa, nanti saya order bom banyak-banyak supaya awak boleh letupkan saya. Biar awak puas hati.’’ Edry masih bersuara dalam nada serius. Anita yang sedang meronta-ronta untuk melepaskan diri, berhenti berbuat demikian. Dia menolak tubuh Edry dan merenung Edry sekali lagi. Anita mengebam bibir. Adam? Erghhhhhhhhh..Anita menjerit di dalam hati. Tak guna punya adik. Dia dah cerita dengan Edry apa yang aku cakap. Anita mengomel di dalam hati. Bibirnya diketap kuat.

             ‘’Pergilah balik. Buat apa datang sini? Buat menyemak saja. Menganggu ketenangan orang saja.’’ Anita berkata sambil melonjak bangun dan melangkah laju. Tapi, langkahnya tak menjadi. Edry menarik tangan Anita sekali lagi dan memusing tubuh Anita supaya berhadapan dengannya.

              ‘’Saya dah putuskan hubungan saya dengan Azza. Saya nak awak. Kita batalkan perjanjian kita. Jom..kita masuk dalam rumah. Kita honeymoon mulai hari ini.’’ Selamba saja Edry berkata dan serentak dengan itu bibirnya mengukirkan senyuman nakal dan mengenyitkan mata. Anita mengebam bibir lagi. Senang sungguh Edry buat keputusan. Anita menepis tangan Edry yang masih memegang bahunya. Sekali lagi Anita ingin melangkah, tapi seperti tadi langkahnya terhalang lagi.

                 ‘’Cukuplah tu. Saya datang dari jauh tau, cari awak. Semua orang risaukan awak. Asal marah saja larikan diri. Seronok sangatlah tu, boleh buat orang risaukan? Awak tahu tak, semua orang sayangkan awak. Kalau awak selalu macam ni, semua orang akan kena serangan jantung dan darah tinggi sebab risaukan awak. Kalau cakap awak tak matang, awak marah. Tapi matangkah, kalau awak berperangai macam ni?’’ Edry masih cuba memujuk, dalam masa yang sama dia sedang menyalahkan Anita.

               ‘’Semua orang sayangkan saya. Tapi..awak tak. Kan?’’ Anita bertanya sambil merenung tajam ke arah Edry. Kali ini Edry tersenyum menang. Dia menentang pandangan Anita, dan cuba memegang kedua-dua belah bahu Anita. Tak semudah itu, Anita berganjak ke belakang dan tak mengizinkan Edry menyentuh tubuhnya pun.

               ‘’Kalau saya tak sayang awak, Rasanya saya akan datang cari awak di sini tak? Ada otak tu, sesekali gunalah sama. Takkan semuanya nak kena cakap. Sayang tu bukan dari mulut, tapi dari sini..’’ Edry menjawab pertanyaan Anita sambil menepuk dadanya berkali-kali. Anita mencebik, tidak percaya.

             ‘’Awak nak bukti? Saya akan buktikan.’’ Edry bersuara serius kembali. Anita mengeleng pantas. Dalam hati Anita, hanya ingin melarikan diri dari berhadapan dengan Edry. Dia ingin bersendiri dan mencari ketenangan hati. Dia tak nak membebankan perasaannya sekarang. Kalau boleh, dia nak cuba lupakan perasaannya terhadap Edry dan cuba merubah penampilannya semula.

              ‘’Perjanjian kita ada enam bulan lagi. Kita teruskan perjanjian kita. Awak dah ada buah hati. Saya pun teringin juga nak ada buah hati, selain awak. Awak boleh buat. Saya pun nak buat juga. Tu, baru adil. Mana aci, awak saja yang tayang awek. Saya pun nak tayang juga.’’ Anita buat keputusan yang sukar diduga. Giliran Edry pula mengebam bibir. Hatinya menjerit kuat di dalam. Tak! Anita tak boleh ada teman lelaki. Hanya dia saja yang harus ada dalam hati Anita.

            ‘’Sampai bila kita nak tanggung dosa? Cukuplah..kita hentikan saja lakonan kita ni. Kita bertaubat. Tak payah teruskan lagi, semua ini. Alang-alang kita dah ada di tempat ni, kita mulakan hidup baru. Kita honeymoon di sini.’’ Edry tak mahu terus mengalah. Dia terus memujuk Anita yang nampak sudah nekad dengan keputusannya. Anita mengelelng laju tanpa berfikir panjang. Dalam hati sudah tergelak besar melihat perubahan wajah Edry. Masa inilah, aku nak mainkan dia pula. Hati Anita berkata nakal.

*******************

Dia Cantik

Dia sangat cantik2x
Membuatkan  aku bersedih
Dia sangat cantik
Bagaikan bidadari syurga
Aku cinta dia
Dan kami bahagia

Akhirnya dia pergi
Tinggallah aku sendiri
Aku mencuba melupakan dirinya
Tapi aku tak berdaya

Chorus
Dia sangat cantik2x
Bagaikan bidadari syurga
Aku cinta dia
Dan kami bahagia

Bintang bersinar di angkasa
Aku di sini menangis sedih
Bila memikirkan dirimu
Mungkinkah sudah ada benci di hatimu
Kau tak tahu..
Betapa aku sengsara
Katakan padaku3x
Bencikah kau dengan diriku

Dia sangat cantik2x
Dan kami sangat bahagia
Katanya..dia mencintaiku
Katakanlah2x
Sekali lagi..

Dia sangat cantik2x
Dan kami sangat bahagia
Hidup bersama
Selamanya...


                  Hati Edry berdongkol geram. Mendengar lirik lagu yang sedang berkumandang di dalam restoran tempat dia bekerja sekarang, membuatkan hatinya bertambah sakit. Lagu itu adalah ciptaannya sendiri dan dinyanyikan oleh seorang penyanyi baru. Lagu itu dicipta khas untuk Anita. Edry hanya membayangkan keinginannya untuk bahagia bersama Anita suatu hari nanti ketika dia menulis lirik lagu itu. Dia sayang Anita, cuma ungkapan sayang itu belum mampu dilafazkan lagi buat masa ini. Hanya melalui lagu yang Edry cipta dia mampu mengungkapkan rasa hatinya.

                   Nun di hujung meja sana, Anita sedang makan bersama seorang lelaki yang merupakan rakan sekerjanya. Mereka sedang makan sambil berbual dan bergelak ketawa. Lagi tiga bulan perjanjian mereka akan berakhir dan Anita juga tak mematuhi syarat-syarat perjanjian mereka. Anita mula menjaga penampilannya kembali dan melakukan rawatan proses pemulihan wajah. Kini, wajah Anita semakin pulih dan jerawat tebal di wajahnya semakin berkurangan. Wajah Anita semakin cantik hari demi hari.

                 Anita pun sudah mula bergaya seperti dulu. Ramai pula lelaki yang semakin menghampirinya, cuma seorang saja yang berjaya meraih hati Anita. Setiap kali keluar makan, Anita akan bawa lelaki itu ke tempat kerja Edry. Anita memang sengaja nak membalas dendam. Hatinya puas, setiap kali melihat wajah amarah Edry terhadapnya. Anita akan ketawa di dalam hati, walaupun wajahnya hanya nampak biasa-biasa saja setiap kali dia dan Edry bertatapan mata.

                ‘’Oppss..sorry encik. Saya tak sengaja.’’ Edry berkata perlahan. Dalam meminta maaf, hatinya sedang ketawa. Hari ini, Edry meminta pelepasan untuk menjadi pelayan dan menghantar makanan di meja pelanggan. Memandangkan, seorang pelayan cuti, jadi Edry mendapatkan keizinan untuk keluar melayan pelanggan, tanpa disangka, Edry sebenarnya ada maksud tersembunyi.

               ‘’Apa awak buat ni?’’ Azhar berkata garang. Terlupa dengan Anita yang turut ada di depannya. Selama mereka rapat, Azhar selalu bersikap lemah lembut dan romantis. Hari ini kesabaran Azhar teruji dan tanpa dapat menahan sabar, Azhar mengeluarkan suara amarahnya dengan wajah garang. Anita sendiri terpaku menyaksikan kejadian di depan mata.

              ‘’Maaf encik. Saya tersadung kaki. Semalam saya tidur tak cukup encik. Tu pasal la..’’ Edry masih cuba mencari alasan. Matanya menatap wajah Anita dan dalam diam ibu jarinya dituding ke bawah, seolah mempermainkan pilihan Anita yang mula menunjukkan belangnya. Anita menghela nafas berat.

                ‘’Awak tahu tak, baju ni baju berjenama? Dengan gaji awak tu, awak takkan mampu nak ganti pun. Habis kotor baju ni. Macam mana saya nak masuk pejabat semula?’’ Azhar masih bersuara garang sambil cuba mengesat kekotoran yang terkena bajunya. Kuah spagetti pedas yang pekat sudah melekat dan mengotorkan baju kemeja Azhar yang berwarna putih. Tie yang berwarna merah juga sudah sebati dengan kuah spagetti.

               ‘’Ala..apa susah, kat depan tu ada kedai bundle. Encik tunggu di sini, nanti saya beli dan gantikan baju encik ni.’’ Tanpa rasa bersalah, Edry berkata, bibirnya mencebik dalam diam. Wajah Anita dipandang lagi dengan pandangan mengejek. Anita mengebam bibir menahan geram. Anita tahu, Edry memang sengaja menjatuhkan makanan di atas baju Azhar, untuk menyakitkan hatinya. Anita tak berani pun nak menolong Azhar. Dia hanya memandang babak yang berlaku di depan matanya tanpa perasaan simpati.

              ‘’Apa? Bundle? Hey, baju bundle tu bukan stail aku la. Baju tu untuk kau saja.’’ Azhar berkata angkuh dan berlalu ke belakang restoran. Anita ditinggalkan terkebil-kebil di meja makan. Anita pun tak kuasa nak mengikut langkah Azhar. Dia hanya memeluk tubuh dan merenung Edry dengan wajah menyinga. Direnungnya wajah Edry dengan perasaan marah. Sebaliknya pula, Edry mengangkat ibu jari dan kemudian diterbalikkan, sekali lagi Edry membuat thumb down akan pilihan Anita.

              ‘’Elehh..macamlah Azza tu bagus sangat?’’ Anita membebal perlahan, namun masih dapat didengar oleh Edry.

            ‘’Elehh..jealous dengan saya tak nak mengaku.’’ Edry turut berkata untuk membalas kembali kata-kata Anita. Dia melawan pandangan Anita dan mengenyit mata sambil berpusing dan berlalu meninggalkan Anita di meja makan. Anita pula mengambil keputusan untuk bangun dan meninggalkan restoran tanpa makan tengahari. Anita tak masuk pejabat pun. Dia naik teksi dan kembali ke pejabat untuk mengambil keretanya dan menuju ke destinasi kesukaannya setiap kali hatinya bengang dengan orang di sekelilingnya.

*************

              Edry menundukkan kepala apabila dia dimarah oleh salah seorang pekerja restoran yang lebih tinggi pangkatnya. Berkali-kali Edry diugut akan dipecat kerana kecuaiannya mengotorkan baju pelangan yang kononnya anak seorang VIP. Dalam masa yang sama Edry mencebik di dalam hati. Nak pecat aku? Hah..kirim salam.

            ‘’Saya akan mengadu dengan Encik Amzar pasal kecuaian awak ni. Biar dia yang membuat keputusan. Mulai hari ini, awak jangan keluar melayan orang lagi. Manusia tak tahu diuntung. Awak ingat, restoran ni bapak awak punya?’’ Encik Baharuddin masih bersuara kasar. Dia sangka restoran ini milik Amzar, tanpa dia tahu, Amzar hanya sebagai orang perantara saja.

             ‘’Saya tahu Encik Bahar, restoran ni bukan bapak saya punya...’’ Edry berkata perlahan seolah orang bersalah. Dalam hatinya menyambung kata. Restoran ni, aku buka dengan wang hasil titik peluh aku sendiri. Hasil lukisan dan jualannya yang ratusan dan ribuan ringgit tu. Hasil duit kerja separuh masa yang aku lakukan semasa belajar dan hasil duit royalti lagu-lagu yang aku cipta.

            ‘’Dan..saya pun tak sengaja nak buat macam tu. Dah nak terjatuh nak buat macam mana..’’ Edry menyambung kata dan hatinya turut berkata. Padam muka orang tu, tak guna, nak kacau bini aku sangat.

                ‘’Dah. Pergi buat kerja. Banyak pulak alasan kau.’’ Encik Baharuddin masih bersuara garang. Edry pula malas nak terus bertekak. Sengaja dia berpura-pura menjadi orang salah. Menunduk macam orang kalah, sedangkan hatinya bersorak gembira macam menang besar saja.

               Hailah Anita, kenapalah bodoh sangat? Pilih lelaki bodoh sombong macam tu. Dahlah bodoh, sombong pulak. Sambil berlalu, Edry berkata dalam hati. Dia ketawa besar di dalam hatinya, memikirkan babak-babak tadi. Macam tengok drama pula. Walaupun kena marah, tapi Edry terasa lucu. Sungguh, lucu sangat.

~awak di mana? Saya nak jumpa, kita berbincang. Sampai bila kita nak macam ni? Saya dah putuskan hubungan dengan Azza. Takkan awak masih nak teruskan hubungan dengan lelaki berlagak bagus sangat tu?~

              Edry menghantar mesej kepada Anita. Beberapa minit menunggu mesejnya tak berbalas. Dia cuba pula menelefon Anita, tapi panggilannya pun tak berangkat. Dia telefon pula Adli untuk bertanya pasal Anita.

             ‘’Nita? Tak ada. Dia tak masuk pun selepas rehat tadi. Korang bergaduh lagi ke? Masalah apa pula kali ni?’’ Adli menyoal di hujung talian. Edry mula risau. Anita tak masuk pejabat semula? Ke mana pula dia pergi? Suka sangat buat orang rungsinglah. Hati Edry membebel lagi.

              ‘’Tak bergaduh pun. Dia tak angkat bila aku call.’’ Edry bersuara perlahan, cuba melindungkan perasaan risaunya yang sudah mula bertamu.

                  ‘’Dia naik ke Genting lagi la tu. Aku tahu sangat dengan Anita tu. Asal panas saja, mesti cari tempat sejuk.’’ Adli membalas sambil tergelak. Edry juga turut tersenyum, walaupun hambar. Letihlah, kalau nak kena naik ke Genting dan pujuk Anita lagi. Dahlah tak makan saman.

              ‘’Dia marah apa?’’ Adli masih ingin tahu. Mesti ada sebab.

                   ‘’Aku tumpahkan makanan atas baju BF dia. Lepas tu aku..’’ Edry tak menyambung kata bila dia sudah terdengar Adli ketawa di hujung talian.

             ‘’Ada cinta dalam hati, tapi sama-sama tak nak mengakukan? Pergilah pujuk dia. Aku tahu, Nita tu hati dia tak sekeras mana, kalau kena caranya. Kau pandai-pandailah kawal dia.’’ Dalam ketawa yang masih bersisa, Adli menambah kata. Hati kecilnya berdoa agar hati kedua-dua suami dan isteri itu disatukan.

              ‘’Bagilah petua sikit.’’ Edry meminta pendapat Adli. Mungkin ada rahsianya nak melembutkan hati Anita.

              ‘’Nita tu suka bunga. Dia suka lelaki romantik. Takkan itu pun kau tak tahu. Takkan aku nak ajar semuanya. Aku pun tak kahwin lagi tau. Dah sembilan tahun korang kahwin, takkan nak pujuk bini pun tak reti-reti lagi?’’ Adli terus ketawa sambil menyoal. Lucu sangat dengan gelagat adik dan adik iparnya ini, merangkap teman baiknya sejak sekolah lagi.

               ‘’Bab romantik tu aku lemah sikit.’’ Perlahan saja kata-kata Edry. Dia cuba membayangkan babak-babak romantik dalam tv. Arghh..

             ‘’Penulis lagu cinta, tak reti nak romantik? Apa ni? Buat malu kaum Adam saja.’’ Adli berkata sambil ketawa lagi. Seronok pula dia mengiat Edry ketika ini.

                 ‘’Aku bukannya apa, takut Nita tak nak lepaskan aku keluar bilik saja, kalau terlebih romantik pula nanti.’’ Edry membalas sambil ketawa galak. Adli turut ketawa mendengar jenaka yang Edry buat.

                ‘’Buat dulu, baru tau dia lepas ke tak. Okey..aku ada meeting ni. Nanti report aku, kalau tak berhasil. Kalau berhasil, tak payah nak report kat aku. Buat menyemak otak aku saja.’’ Adli mencabar Edry dan memutuskan panggilan selepas itu. Edry pula meminta cuti kecemasan dan meminta izin kelepasan. Kononnya, Amzar dah dihubungi dan dia sudah mendapat cuti seminggu. Hampeh, nak hidup terpaksalah menipu berterusan.

***********

                 Edry naik ke Genting lagi dengan niat untuk mencari Anita. Walau apa pun yang terjadi, dia harus memujuk Anita agar kembali semula bersamanya. Dalam perjalanan ke Genting, jalan terhalang. Ada kemalangan di depan dan kereta yang terbabit kemalangan masuk gaung dan meletup. Pemandu kereta meninggal di tempat kejadian dan hangus terbakar.

               Edry meneruskan perjalanan bila jalan dibuka semula. Tiga jam juga dia terperangkap akibat jalan sesak kerana kerja-kerja menyelamat. Dia sampai di kebun bunga milik Anita bila Asar sudah di penghujung waktu. Tapi, baru saja Edry berniat untuk mengetuk pintu, dia terdengar kekecohan berlaku di kebun. Edry amati dengan teliti apa yang sedang dibualkan dengan begitu riuh rendah.

               ‘’Kereta cik Anita masuk gaung dan meletup. Dengar kata...’’ salah seorang pekerja kebun bunga bercerita dengan suara kuat. Edry tak mendengar ayat seterusnya. Dia terus pitam di depan pintu rumah Anita.

                 Edry yang tidak sedarkan diri dibantu oleh pekerja-pekerja kebun bunga dan dirawat oleh mereka. Kebetulan salah seorang dari mereka adalah penjaga rumah Anita bila Anita tidak datang ke sini. Jadi, Edry dibawa masuk ke dalam rumah dan penjaga rumah Anita menunggu hingga Edry sedar.

                 Bila sedar, Edry termenung lama di atas katil. Hatinya sebak dan dia menyesal kerana telah mengabaikan Anita sekian lama. Dia terasa berdosa sebagai seorang suami kerana tak menjalankan tanggungjawab sebaiknya terhadap Anita. Dia menyesal kerana membuat perjanjian gila kerana impiannya. Sepatutnya, semuanya harus seiring. Disamping mengejar impian, dia harus menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Kalau dia menjadi seorang suami yang baik, mungkin sekarang dia sudah bergelar ayah dan anak mereka mungkin sudah besar. Ah..menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya lagi. Edry terus menyalahkan dirinya dan dalam masa yang sama air matanya turut mengalir di pipi.

                  Maafkan abang sayang. Betapa berdosanya abang kerana telah menyakiti hati sayang, mendera perasaan sayang. Ya Allah, ampunkanlah dosaku kerana telah mengabaikan isteri sebaik Anita. Aku berdosa Ya Allah.

          Edry terus merintih di dalam hati. Hatinya hiba bila mengenangkan Anita. Mereka jarang luangkan masa bersama. Kalau ada pun hanyalah bertemu dan bergaduh. Walaupun pergaduhan kecil angkara Edry yang kuat membuli Anita sejak dulu. Edry dan Adli memang sudah sepakat untuk membuli Anita dan mereka semakin seronok bila melihat Anita marah dan merajuk. Kadang-kadang Adli yang akan memujuk kembali. Kadang-kadang Edry yang akan mencuba nasib. Kalau nasib dia baik, Anita akan terpujuk, tapi sebaliknya kalau Anita mengamuk, pasti badannya habis lebam dikerjakan Anita. Selalunya Adli lebih pandai memujuk berbanding Edry yang selalu kalah dengan Anita.

                 Edry teringat kembali waktu awal pernikahan mereka. Dia masih menuntut di Universiti dan Anita masuk di Universiti yang sama tahun pertama. Ketika itu wajah Anita masih bersih dan licin tanpa sebarang jerawat. Anita digilai oleh rakan-rakan sekuliahnya, termasuk junior dan senior. Ramai yang mencuba nasib, tapi Anita tidak melayan semuanya.

              Bila jerawat mula memenuhi wajah Anita, ramai yang menjauhkan diri hinggalah Anita habis belajar dan mula bekerja. Ketika itu Edry sendiri bertungkus lumus untuk membina impian sendiri. Dia berlagak miskin dan menjadi pelukis jalanan. Dia menyanyi di tepi jalan dan mula mencipta lagu kerana perasaannya yang tak terlafaz.

             Mereka semakin sibuk dengan hidup sendiri. Masing-masing membawa haluan yang berbeza. Edry hanya mendapat berita mengenai Anita setiap kali menghubungi Adli saja. Edry cukup berpuas hati bila mendapat tahu Anita masih sendirian, tak ada teman lelaki dan sebagainya. Edry semakin selesa dengan hidupnya dan tanpa disangka dalam diam Edry sendiri terjebak dengan cinta Azza.

             Segalanya bermula selepas Edry mendapat tawaran untuk melukis potret Azza dan kemudian Azza menawarkan kerja yang lebih terjamin pendapatannya untuk Edry. Azza membuka sebuah galeri untuk Edry merealisasikan impiannya sebagai pelukis dan dalam masa yang sama, Edry diperkenalkan dengan orang-orang seni dalam arena hiburan. Lagu Edry diketengahkan dan dinyanyikan oleh penyanyi baru. Sejak itulah Edry mula mengumpul duit dan membuka bisnes sendiri dalam diam.

            Pada awal perkenalan Edry dan Azza, memang Edry berpakaian paling selekeh. Dia hanya memakai pakaian yang dibeli di kedai bundle dan sesekali memakai t.shirt yang sudah lusuh. Memakai kasut selipar macam peminta sedekah dan pakaiannya tidak kemas. Rambut kusut masai tanpa minyak dan jarang dicuci. Bila Azza berminat dengan penampilan Edry yang begitu, hati Edry tersentuh dan menyangka Azza adalah yang terbaik untuknya. Tapi malangnya, hanya Azza yang suka Edry, bukan keluarganya.

              Azza sendiri pun malu untuk memperkenalkan Edry kepada kawan-kawannya. Setiap kali Azza terserempak dengan kawan-kawannya ketika mereka keluar bersama, Azza akan mula menyisihkan diri dan Edry ditinggalkan buat seketika hinggalah kawan-kawan Azza berlalu pergi. Edry masih bertahan kerana nak cuba memahami perasaan Azza. Kalau Edry sebagai Azza pun, tentu tak tergamak untuk memperkenalkan lelaki miskin yang selekeh ini sebagai teman lelaki. Edry terus berfikiran positif sepanjang perhubungan mereka, sehinggalah dia tahu, Anita cemburu dengan hubungannya itu.

              Edry mula menukar fikiran. Hubungannya dengan Azza takkan ke mana. Hatinya semakin melencong untuk terus memiliki Anita. Dia berpakat dengan Adli dan Adam untuk melihat reaksi Anita. Dia sendiri dapat menghidu perasaan Anita terhadapnya. Anita digoda dalam diam. Edry dapat meneka, Anita ada perasaan sayang terhadapnya dan dia semakin rancak menguji Anita dengan membawa Azza bertemu Anita dan memperkenalkan Anita kepada Azza sebagai adik angkatnya. Merah padam wajah Anita ketika itu, sedangkan Edry sudah bersorak gembira dalam hati melihat perubahan wajah Anita.

             Anita..Edry menarik nafas dan melepaskan nafasnya dengan begitu payah. Semuanya sudah terlambat untuk dikesali. Aku dah kehilangan dia. Air mata Edry merembes lagi dan dia mengesatnya dengan kasar. Kenapa harus begini? Disaat aku mula mencintainya, dia dirampas dari hidupku? Edry terus merintih dan menyoal dirinya sendiri.

          Sayang..abang sudah mula rindukan sayang. Macam mana abang nak hidup tanpa sayang selepas ini? Air mata Edry mengalir lagi. Dia sudah tidak dapat mengawal perasaannya lagi. Wajah Anita terus terbayang di ruang ingatannya. Dia kalah untuk terus berjuang dengan perasaan kecewanya setelah kehilangan Anita. Kenapa perasaannya begini sakit selepas kehilangan Anita?

            ‘’Anita..abang rindu.’’ Tanpa sedar terlafaz kata-kata itu di bibirnya dan Edry menangis dan terus menangis menjelang senja ini tanpa membuka lampu kamar tempat dia sedang meratapi kehilangan Anita.

                Edry menyandarkan tubuhnya di kepala katil. Dia memandang sekeliling bilik yang berwarna ungu putih itu dengan langsir bunga-bunga kecil menghiasinya. Banyak juga gubahan bunga segar di dalam bilik ini dan aromanya begitu selesa dihidu. Bilik ini hanya terang kerana lampu luar rumah saja. Cuaca di luar semakin gelap dan Edry terlalai seketika untuk menunaikan solat.

             Allahu Akhbar..Edry baru tersedar setelah matanya terpandang jam di penjuru katil. Maghrib sudah masuk ke penghujung waktu dan Edry masih bersedih di atas katil sejak tadi. Hatinya langsung tak terfikir untuk keluar dan menyusul Anita di hospital. Dia tak sanggup untuk melihat Anita yang sudah hangus terbakar.

              Edry bangun dengan lemah dan memetik suis lampu bilik tidur. Dia mencapai tuala yang tersedia di ampaian dan keluar dari bilik. Edry menuju ke bilik air dan mula membersihkan diri dan mengambil wudhuk. Selesai mandi Edry kembali ke bilik dan mengeledah almari Anita. Bibir Edry tersenyum senang hati. Terdapat sepasang baju tidur lelaki, sehelai kain pelikat dan sehelai t.shirt bersaiz besar seolah-olah Anita sedang menunggu kedatangannya di rumah ini.

            Sayang..macam mana abang nak lupakan sayang, kalau ini yang sayang persembahkan untuk abang? Berapa banyak rasa sayang yang telah Anita simpan untuk abang? Maafkan abang sayang kerana tak pernah menghargai sayang selama ini. Hati Edry terus merintih dan solatnya malam ini berakhir dengan deraian air mata lagi.

          Anita..ahh betapa sakitnya perasaan ini.

******************

                 Anita membuka pintu perlahan-lahan. Dia terus menuju ke arah dapur untuk menyediakan makan malam mereka. Dia tahu Edry ada di sini. Selepas keretanya dicuri, Anita membuat laporan polis. Dia kembali semula ke rumahnya, Anita melihat Edry sedang tidur di atas katil dan ketika itu Anita keluar semula untuk membeli barang-barang keperluan untuk dipakai Edry. Mak cik Imah penjaga rumah memberitahu, mereka jumpa Edry tak sedarkan diri di depan rumahnya. Anita pun tak pasti apa masalah Edry. Dia tak sihatkah hingga jatuh pengsan? Hati Anita diruntun sayu dan hiba. Dia nekad untuk melayan Edry sebaik mungkin selagi Edry ada bersamanya.

                  Anita mula membersihkan beras, mindanya terus berjalan merangka menu masakan untuk mereka berdua. Ini kali pertama dia akan masak untuk Edry. Dulu..Edry yang selalu memasak untuknya. Dia tak tahu dari mana Edry belajar memasak, tapi masakan Edry memang setanding masakan chef. Cara dia menyediakan bahan-bahan pun tak kekok dan berjalan lancar hingga selesai segalanya.

              Selepas nasi ditanak di dalam periuk elektrik, Anita bersedia pula untuk mencuci ayam dan sayur. Cukuplah dengan ayam masak kicap dan sup sayur campur. Anita bukannya pakar memasak, selama ini pun Anita hanya makan masakan yang mudah dimasak saja. Kalau nak makan yang sedap-sedap, Anita akan order atau mak cik Imah yang akan masakkan. Anita pernah belajar memasak, tapi dia masih belum pakar lagi. Masih bertatih, walau umur dah menjangkau ke usia 25 tahun.

             Di rumah agam mereka, ada dua orang pembantu rumah yang terlatih dalam hal masak memasak makanan Malaysia, walaupun salah seorang pembantu rumah mereka orang seberang. Hidup sebagai orang kaya ni semuanya mudah. Buka saja mata, semuanya sudah tersedia di atas meja. Sesekali saja Anita akan turun ke dapur bila mamanya mula berleter.

               Agaknya, Edry akan makan tak masakan aku ni? Anita menyoal dirinya sendiri. Sudah beberapa kali dirasanya sup sayur yang sedang mendidih di dalam periuk. Ada saja yang tak kena dengan rasanya. Bila rasa terlebih masin, Anita tambah air dan rasa lagi. Anita tambah lagi serbuk penyedap rasa, tambah lagi lada sulah dan akhirnya Anita mengalah. Sedap ke tak, biar Edry yang tentukan. Dia nak makan atau tak, terpulanglah. Anita buat keputusan mudah. Bila Anita mula membuat masak kicap ayam, Anita hanya tabur sedikit garam ketika ingin mengorengnya. Selesai mengoreng Anita mula menumis dan Anita sudah nekad hanya akan masukkan kicap saja tanpa garam. Takut masakannya akan termasin lagi.

               Selesai memasak, Anita hidangkan di atas meja. Bancuh minuman kegemarannya dan Anita menuju ke arah bilik. Perlahan-lahan dia membuka pintu. Anita terpegun menyaksikan suasana di dalam bilik. Edry sedang membaca surah Yasin sambil menangis. Ya Allah, tenangnya hatiku melihat situasi ini. Lama juga Anita memerhati hingga Edry yang sedang membaca surah Yasin berhenti dan mula menangis terisak-isak. Bahunya terhenjut menahan perasaan. Anita sendiri merasa hiba melihatnya. Dia mula melangkah perlahan-lahan menghampiri Edry yang langsung tak panggungkan kepala.

               ‘’Kenapa Ed? Awak sakit ke?’’ Anita menyentuh bahu Edry dengan lembut dan bertanya. Edry panggungkan kepala. Wajah Anita direnung lama. Anita duduk di sebelah Edry dan turut bertatapan mata dengan Edry.

              ‘’Awak sakit ke? Tadi mak cik Imah cakap, awak pengsan di depan rumah. Bagitaulah kalau awak sakit. Jangan macam ni.’’ Anita berkata lagi. Air matanya sudah bergenang di kelopak mata. Sedih hatinya bila melihat Edry dalam keadaan begitu. Tersayat pilu hatinya melihat mata Edry yang merah akibat menangis.

            ‘’Anita? Awak..awak ke ni?’’ gugup sekali kedengaran suara Edry. Dia keliru bila melihat Anita yang sedang berada di depannya.

             ‘’Kenapa dengan awak ni Ed? Cakaplah. Awak sakit ke? Kenapa awak menangis?’’ Anita masih bertanya dengan soalan yang sama. Dia turut keliru dengan pertanyaan Edry. Kalau bukan dia yang sedang berada di depan Edry, siapa lagi? Takkan Edry masih mengharapkan Azza ada di sini, sedangkan ini rumah aku. Anita berdongkol di dalam hati.

               Edry yang masih keliru meletakkan surah Yasin di sebelahnya. Pipi Anita disentuh perlahan, naik ke hidung dan mata. Anita pelik, dia memegang tangan Edry yang sedang menyentuh wajahnya. Macam tak pernah tengok orang pula gelagat Edry ketika ini.

             ‘’Awak ni kenapa Ed?’’ Anita bertanya lagi. Edry tak bersuara, kali ini tubuh Anita ditarik rapat, Edry merangkul tubuh Anita erat. Anita menolak keras kerana menyangka Edry sengaja menguji perasaannya.

             ‘’Apa yang terjadi sebenarnya? Tadi..saya dengar mereka cakap, kereta awak masuk gaung dan meletup.’’ Edry mula menyoal pula. Anita terdiam lama. Mindanya sedang berfikir bila mendengar soalan Edry. Dia juga mendapat maklumat yang sama. Bila polis mengejar pencuri keretanya, kereta itu terbabas dan masuk gaung. Kereta meletup selepas itu dan pencuri itu rentung bila ditemui. Agaknya, Edry menyangka aku yang mati? Anita berbicara sendiri di dalam hati.

              ‘’Betul. Saya bukan Anita. Saya kakak kembar Anita...’’ belum habis Anita mengungkapkan kata, spontan Edry menjauhkan diri. Edry berganjak sedikit ke belakang dan merenung tepat ke wajah Anita. Reaksi spontannya, membuatkan Anita meledakkan tawa tanpa sedar.

               ‘’Awak ni banyak sangat tengok dramalah Ed. Dahlah..jom makan. Saya lapar sangat ni, lepas naik ke sini tadi tak sempat makan nasi pun lagi. Dahlah kereta kena curi, habis buat report, jumpa awak pula tersadai dalam bilik. Awak sakit apa sebenarnya ni?’’ Anita berkata selepas ketawanya reda. Dia mula bangun sambil mengusap perut yang mula meradang kerana dibiarkan kosong sejak petang tadi. Dia hanya sempat menjamah buah-buahan dan makanan ringan saja sejak naik ke Genting kerana marahkan Edry.

                   ‘’Awak ni siapa? Jangan mainkan saya macam ni? Cakap yang benar?’’ Edry masih tak berpuas hati. Dia bangun dan bersuara garang. Anita ketawa lagi sambil kepalanya digelengkan berkali-kali. Tanpa menjawab soalan Edry, kepala Edry diluku. Anita nak balas dendam sebab, selalunya kepala dia yang selalu diluku oleh Edry.

               ‘’Otak awak terhantuk ke masa jatuh tadi? Masih pening lagi ke? Ataupun, awak nak masuk ke dunia lakonan pula. Sejak bila pula Nuranita Azlin ni ada kakak kembar? Hah?..’’ Anita berkata dan membuntangkan mata. Malas nak terus melayan Edry, Anita melangkah laju keluar dari bilik. Dia dah tak tahan untuk menyuap nasi masuk ke dalam mulutnya. Edry nak percaya ke tak, lantaklah kat dia. Huh!

*****************

                   Edry masih memandang Anita tanpa berkelip sedikit pun. Wajah Anita sudah merah kerana ditenung sebegitu. Nak menyuap nasi pun tak senang dibuatnya. Anita pura-pura berlagak biasa, walaupun debaran dalam dadanya bagaikan gelombang yang sedang menganas.

                   Akhirnya Edry tersenyum bila terperasan dengan wajah Anita yang sudah merah. Dia berpuas hati. Wanita di depan dia memang Anita, isteri yang telah dinikahinya sembilan tahun yang lalu. Syukur, Anita masih hidup dan dia masih dapat menatap wajah Anita lagi. Edry berjanji akan menjadi suami yang baik, walaupun perjanjian mereka masih bersisa hanya beberapa bulan saja lagi. Perjanjian akan dibubarkan serta merta.

              ‘’Kita bubarkan perjanjian kita mulai malam ni. Kita mulakan malam ni sebagai pasangan suami isteri yang sebenar. Saya tak mahu dengar perkataan tidak. Sebagai isteri awak kena taat. Boleh macam tu sayang? Kita honeymoon ya malam ni?’’ Edry mula bersuara dan bibirnya mengukirkan senyuman nakal. Matanya terus merenung Anita yang mengelabah sebentar tadi.

               ‘’Honeymoon, honeymoon, tak habis-habis dengan honeymoon dia. Makanlah, bukannya nak kenyang kalau tak makan. Tau nak honeymoon saja. Orang baru kerja. Esok orang nak balik KL semula.’’ Anita menjawab tegas. Hatinya mula gentar setiap kali Edry menyebut perkataan honeymoon. Yang ada dalam fikirannya hanya satu. Tanggungjawab yang wajib sebagai seorang isteri harus dilaksanakan.

              ‘’Alaa..tea lady saja pun. Bukannya pegang jawatan besar. Tea lady tak ada pun, pejabat tetap beroperasi macam biasa. Awak tu, kalau tak kerja setahun pun, bukannya nak kebulur. Kebun bunga ni pun dah cukup untuk menyara hidup awak. Restoran saya tu pun dah cukup nak bagi nafkah untuk awak.’’ Edry membidas pantas. Matanya merenung tajam ke arah Anita yang sedang mengebam bibir. Suapan dihentikan seketika. Mereka saling tenung menenung dan Edry mengambil kesempatan mengenyitkan mata. Anita pula terus mencebik. Tak puas hati dengan kata-kata Edry tadi.

             ‘’Nak balik KL dengan apa? Kata tadi kereta awak dah kena curi? Saya tak mau balik lagi. Saya ambil cuti seminggu. Kalau awak nak, saya boleh lanjutkan cuti saya sebulan.’’

             ‘’Laa..dengar rupanya. Ingatkan awak tak dengar, apa yang saya cakap tadi. Sebenarnya awak menangis sebab apa tadi? Awak baca Yasin untuk hadiahkan pada saya ke? Baiknya awak. Kalau saya mati nanti, awak nak hadiahkan tak? Macam tadi..harapnya awak baca Yasin tiap-tiap malam ya. Dan selalu doakan saya moga saya tenang di alam barkhzah sana.’’

             ‘’Awak cakap apa ni? Dah puas hidup ke?’’ mereka berbalas kata. Edry melengking tiba-tiba. Hatinya gentar mendengar ungkapan Anita. Dia tak rela kehilangan Anita disaat cintanya pada Anita sedang bercambah. Dia dah rasa sakitnya ketika memikirkan kehilangan Anita sebentar tadi. Betapa sakitnya bila rindunya terhadap Anita hadir. Tak. Dia tak sanggup kehilangan Anita lagi.

               ‘’Saya belum puas hidup. Cuma, kalau saya dah tak ada, tentu awak yang untung. Bolehlah awak kahwin dengan Azza. Kalau awak dedahkan diri awak yang sebenar, bukan keluarga Azza saja yang akan terima awak. Silap haribulan, ada Tan Sri atau Dato akan minta awak jadi menantu mereka?’’ Anita berkata selamba. Dia masih ingin menduga hati Edry.

              ‘’Saya tak nak Azza. Saya nak awak. Saya nak Nuranita Azlin sebagai isteri saya selamanya. Jangan pergi lagi. Kita bercuti di sini. Kita mulakan hidup baru. Cukuplah, kita menyusahkan keluarga kita dengan hubungan kita yang tak pasti.’’ Yakin sekali Edry bersuara. Anita terdiam. Nasi yang disuap untuk kali terakhir dikunyah perlahan dan ditelannya. Anita bangun lalu menuju ke singki. Tangan dibasuh, dan Anita kembali ke meja. Menuangkan air untuk dirinya dan Edry. Meneguknya dan memandang Edry lagi.

            ‘’Awak yakin ke dengan keputusan awak? Tak menyesal nanti? Saya ni hodoh dan doktor cakap, saya ada brain cancer tahap empat. Awak nak ke hidup dengan isteri yang hanya ada beberapa bulan saja untuk hidup atas dunia ni?’’ Anita menguji Edry lagi dengan ungkapan kata-katanya. Dia merenung Edry untuk melihat respon Edry yang nampak terkejut dengan pengakuannya sebentar tadi.

              ‘’Awak tak tipukan?’’

                 ‘’Tak!’’
           ‘’Keluarga awak tahu awak ada brain cancer?’’

            ‘’Tak. Sorang pun tak tahu.’’

              ‘’Kenapa tak bagitau?’’

              ‘’Sebab..’’

               ‘’Sebab?’’

              ‘’Sebab..saya sihat. Semua kenyataan tadi hanyalah rekaan semata-mata. Tak ada kena mengena dengan saya.’’ Anita terus ketawa dan membuat thumb down. Edry menarik nafas dan melepaskan nafasnya dengan kasar. Anita! Hati Edry menjerit geram.

                  ‘’Sekejap...’’ Anita yang ingin berlalu kembali menoleh ke arah Edry.

                  ‘’Tadi awak pengsan sebab awak ingat saya kemalangankan?’’ Anita menyambung kata, Edry diam tanpa bicara. Mengangguk tidak, mengeleng pun tidak.

                    ‘’Kan?’’

                    “Bila pula saya pengsan? Pitam saja sekejap. Awaklah punya pasal, sikit-sikit merajuk, saya tak makan tengahari, lapar..tentulah pitam.’’ Edry cuba mencipta alasan. Anita sudah tersenyum nakal sambil merapatkan wajahnya ke wajah Edry. Anita cuba menentang pandangan Edry dan merenung jauh ke dalam mata Edry. Namun, Edry masih beriak selamba.

                ‘’Okey, tak nak mengaku, tak apa. Tapikan, kenapa awak tak ambil sebarang tindakan? Macam pergi tanya di Balai Polis ke, atau pergi mana-mana Hospital terdekat atau sebagainya..’’ Anita menyoal lagi. Hatinya ragu-ragu, kalau Edry anggap dia sudah mati kerana kereta meletup, kenapa Edry tak keluar dari rumah untuk tindakan lanjut?

                    ‘’Baru dengar kereta awak meletup pun saya dah pitam, awak ingat saya boleh pandu kereta dalam keadaan macam tu?’’

                  ‘’Kejap, maksud awak?’’ Anita keliru, mana satu yang betul ni?

                  ‘’Okey, saya mengaku, saya pitam tadi sebab saya ingat awak dah tak ada. Saya rasa bersalah sebab abaikan awak selama ni. Sebab tu saya tak keluar cari awak sebab saya tak dapat terima kenyataan awak dah tinggalkan saya. Puas hati?’’

               ‘’Ooo..bukan pengsan sebab lapar ke?’’ Anita masih mengusik Edry dengan pertanyaannya sambil tersenyum lebar, sesaat kemudian meletus pula ketawa dari bibirnya. Edry hanya mampu menahan rasa.

                   ‘’Tapikan..kalau betullah saya yang ada dalam kereta yang meletup tu dan mayat saya dah terbakar...’’

                   ‘’Sudah! Jangan nak sebut lagi perkara tu. Yang penting sekarang ni, awak masih hidup.’’

           ‘’Ya, saya masih hidup, tapi saya masih tak puas hati, sebab awak tak keluar cari saya....’’

             ‘’Anita! Dengar sini..’’ Edry memegang kedua-dua belah pipi Anita dan bertentangan mata dengan Anita. Dia tahu dia bersalah, tapi..

               ‘’Kita lupakan semua tu. Saya tahu saya silap dan banyak buat salah dengan awak. Saya tahu, saya seorang suami yang tak bertanggungjawab. Saya lemah dan tak kuat semangat. Saya banyak kekurangan. Lupakan semua itu. Kita mulakan hidup baru. Boleh? Yang lepas tu, kita jangan ungkit lagi. Hmm...?’’ Edry menyambung kata-katanya, dia merenung tepat ke dalam mata Anita. Dia berharap Anita akan memahami keadaannya. Bukan dia tak nak keluar mencari Anita. Ketika itu jiwanya bagaikan melayang entah ke mana. Dia tak kuat untuk terus bertahan.

               ‘’Pondan ke? Baru terkejut sikit dah pengsan.’’ Anita masih ingin menguji Edry. Dia berkata sambil cuba melarikan diri, tapi Edry lebih pantas.

                 ‘’Jangan cabar abang Nita. Tak nak test ke, pondan ke tak?’’ Edry mengertak Anita sambil cuba merangkul Anita yang sedang cuba melepaskan diri.

                 ‘’ Abang?? Ishh..tak nak!’’

***************

Jatuh Cinta Denganmu

Pertama kali bertentangan mata
Hati kecilku mula berkata
Akan adakah rasa cinta
Antara kita berdua

Jatuh cinta denganmu3x
Hanya padamu2x
Untuk selamanya

Usah dikenang lagi masa lalu
Yang berlalu biarkan berlalu
Kita bina hidup baru
Bahagia bersama selamanya
Jatuh cinta denganmu3x
Hanya padamu2x
Untuk selamanya

Chorus :
Usah dikenang lagi masa lalu
Yang berlalu biarkan berlalu
Kita bina hidup baru
Bahagia bersama selamanya
Jatuh cinta denganmu3x
Hanya padamu2x
Untuk selamanya

Cintaku hanya untukmu
Hatiku hanya padamu
Usah diragukan lagi
Tiada yang lain
Hanyalah untukmu

Jatuh cinta denganmu3x
Hanya padamu2x
Untuk selamanya
Hanyalah untukmu sayangku
Hmmm...
Ohh..

                   Lagu baru ciptaan Edry mendapat tempat lagi di hati pendengar-pendengar radio dan sering kedengaran di mana-mana saja. Lagu itu sering saja dimuat naik ke dalam you tube dalam perbagai rentak yang disukai penyanyinya, walaupun irama asalnya yang telah digubah oleh Edry sendiri dalam rentak balada. Yang paling menarik sekali ada yang menyanyikannya dalam irama muzik lagu hindi, dangdut, rap dan irama melayu asli. Bijak dan kreatif sungguh pendengar-pendengar zaman ini. Hanya sebuah lagu, mereka mampu mengubah dalam perbagai irama.

                   Edry tak pernah merungut. Lagu itu digubah khas buat Anita isteri kesayangannya. Kini, setelah setahun mereka berbaik semula sebagai pasangan suami isteri yang sebenar dan Anita sedang sarat mengandungkan anak sulung mereka. Hari ini pula, ayah Edry membuat pengumuman untuk berehat dari dunia kesibukan. Edry diminta mengantikan tempatnya sebagai Pengarah Urusan. Edry tak boleh menolak kerana dia sendiri telah diberi amanah itu sejak dulu lagi. Dia juga pernah mengambil kursus dan belajar dalam bidang yang harus diceburinya sekarang.

                  Lima buah restoran Edry masih diuruskan oleh Amzar dan sesekali saja dia mengambil alih. Amzar sendiri baru berkahwin, setelah Erizza tunangnya meninggal sepuluh tahun yang lalu. Adli pula kini sudah bertunang dengan pilihan hatinya. Adam pula masih melanjutkan pelajarannya. Edry hanya dua beradik dan mamanya baru sebulan pergi mengadap Ilahi.

               Hidup ini memang sukar diduga. Banyak dugaan dan rintangannya. Kaya atau miskin, hodoh ataupun cantik tetap ada ujian yang harus ditempuhi. Azza yang telah berkahwin dengan pilihan orang tuanya kini menyesal tak sudah kerana melepaskan Edry. Keluarga Azza juga turut menyesal kerana ditipu hidup-hidup oleh suami Azza.

               Mereka sangka suami Azza anak orang kaya, berketurunan raja kerana namanya yang bermula dengan Tengku. Suami Azza hanya anak seorang peniaga pasar malam. Kebetulan ibu Tengku Ariman bekerja di rumah seorang Dato. Rumah agam yang besar itu telah disalah gunakan oleh Tengku Ariman kerana dia mengaku rumah agam itu adalah rumah keluarganya. Nak marah pun dah tak guna lagi. Azza dah selamat menjadi isteri Tengku Ariman.

              Azza pula kebetulan bekerja di syarikat milik ayah Edry. Dia tahu Edry orang kaya selepas Edry diperkenalkan sebagai Pengarah Urusan yang baru. Walaupun dah bersuami, Azza masih cuba untuk memikat Edry semula. Bila Anita mendapat tahu Azza dan Edry bekerja sepejabat, dia juga memohon untuk menjadi PA Edry. Dia ingin berada di sisi Edry 24 jam sehari.

              ‘’Nita tengah saratkan. Berehat sajalah di rumah. Tahulah abang nak mengelak dari Azza nanti. Kenapa degil sangat ni? Tak percaya dengan abang ke? Kan abang dah cakap, dalam hati abang ni hanya ada Nita saja.’’ Edry menjadi rimas, niat dia untuk berlaku jujur bila bercerita tentang Azza, tapi lain pula jadinya. Cemburu Anita semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

           ‘’Sebab Nita tengah sarat la, Nita nak jadi PA abang. Senang Nita nak control abang nanti.’’ Anita berkata jujur sambil menyeringai menayang giginya yang tersusun rapi. Wajahnya yang semakin cantik dan licin dirapatkan ke dada Edry.

           ‘’Dah, tak payah nak manja-manja dalam pejabat abang ni/ Lebih baik Anita balik, sebelum abang tunjuk kuasa veto abang.’’ Edry cuba mengugut sambil menayang wajah serius. Anita hanya mencebik dan terus merapatkan dirinya ke tubuh Edry.

          ‘’Nita..jangan nak lebih-lebih..’’ Edry berkata lagi, tapi sebelum sempat dia menghabiskan kata-katanya Anita mencubit lengannya dengan kuat. Mengaduh juga Edry dengan cubitan itu.

         ‘’Yalah..Nita balik, tapi kalau Nita dengar desas-desus abang date dengan Azza lagi, siaplah abang..’’ Anita mengalah akhirnya dan sebelum berlalu sempat Anita memberikan amaran.

            ‘’Abang tahulah..hati-hati balik tu, bawa kereta jangan laju-laju. Ingat sama, awak tu bukan sorang lagi. Ada nyawa lain awak bawa.’’ Sempat pula Edry berpesan sebelum Anita memulas tombol pintu. Anita berhenti dan menoleh sejenak ke arah Edry. Bibirnya mengukir senyuman.

               ‘’Bukan Nita yang bawa kereta. Nita datang dengan pak we. Kami nak pergi tengok wayang selepas ni. Lepas tu nak jalan-jalan cari makan dan shoping. Abang izinkan ya?’’ sambil berkata Anita mengedipkan mata berkali-kali. Dia menguji hati Edry lagi. Edry yang ingin duduk terus berdiri tegak dan memandang lama ke arah Anita.

           ‘’Jangan nak cari pasal Nita. Abang ajak Azza keluar tengok wayang juga nanti..’’

            ‘’Abang tahu tak, kalau isteri buat dosa, suami yang tanggung, tapi kalau suami buat dosa, sendiri tanggunglah!’’ Anita berkata sebelum meloloskan diri keluar dari bilik pejabat Edry dan menghempas pintu dengan kuat. Edry hanya mampu mengeleng kepala sambil tergelak perlahan. Dia terus mendail nombor telefon Adam dan berbual dengan Adam. Lega..kerana Anita akan keluar dengan Adam bukan dengan lelaki lain.

*************

               ‘’Kau ni tak faham bahasa ke Azza? Aku dah kahwin, Anita tu sedang sarat sekarang. Aku bakal jadi ayah, kau tu pun dah jadi isteri orang. Sudah-sudahlah tu.’’ Kemarahan Edry meledak juga akhirnya. Azza tak pernah putus asa untuk kembali bersamanya.

               ‘’Aku tak sayang dia. Mama dan papa aku yang nak sangat dia jadi suami aku. Ed..kaukan lelaki, dan aku yakin kau mampu Ed untuk tambah isteri lagi.’’ Azza masih cuba sedaya upaya untuk memujuk Edry. Rimas Edry dibuatnya.

               ‘’Kau masih sayang aku? Tapi..jujurnya aku cakap, perasaan sayang dan cinta aku sekarang ni hanya untuk Anita saja. Kau nak ke nikah dengan aku yang tak ada langsung perasaan sayang pada kau. Lagi satu, aku rapat dengan kau dulu pun, bukan sebab cinta, aku rapat dengan kau sebab nak buat Anita cemburu dengan kau saja. Maafkan aku sebab dah gunakan kau dalam perhubungan kami.’’ Edry mengeluarkan kenyataan kejam itu. Azza yang mendengar sudah menghela nafas kasar. Tak guna punya jantan. Hati Azza menjerit geram.

                 ‘’Kau memang bangsat Ed. Kau lupa ke, aku yang bantu kau naik dulu? Aku yang buka galeri untuk kau. Aku yang kenalkan kau dengan Dato Azam supaya lagu kau ada orang nyanyi. Nak harapkan kau seorang..huh!’’ Azza mengungkit kembali jasanya yang pernah dilakukan untuk Edry. Giliran Edry pula menarik nafas dan melepaskan nafasnya dengan berat.

               ‘’Aku tak pernah lupa semua tu Azza. Kau yang lupa, atau kau yang langsung tak tahu apa-apa. Galeri tu mungkin kau yang buka tapi semuanya guna duit aku. Dato Azam tu rakan baik dan rakan kongsi papa aku. Kami dah lama kenal. Aku sengaja berpakat dengan dia agar pura-pura tak pernah kenal. Semua tu hanya lakonan saja Azza. Aku memang nak kau sangka aku tak ada apa-apa. Aku nak kau terima aku yang miskin, tapi keluarga kau hina aku Azza. Kau yang lupa Azza, bagaimana keluarga kau hina aku ketika mereka tahu aku miskin dan tak ada apa-apa.’’ Edry bercerita pula akan hakikat yang sebenarnya. Azza mengebam bibir menahan geram. Edry bukan seperti sangkaannya.

              ‘’Kau kata, papa kau tu ayah angkat sajakan? Jadi, kau memang tak ada apa-apa pun. Kau menumpang saja Ed. Janganlah nak berlagak sangat.’’ Azza masih mahu bertegang urat. Itu yang dia dengar dari mulut Edry selepas Edry menjadi pengarah Urusan yang baru. Edry tersenyum sinis. Azza masih percaya dengan setiap kata-katanya.

            ‘’Kau tahu pun aku anak angkat, aku ni menumpang harta keluarga angkat aku, tapi kau masih nak menempek dengan aku ni kenapa? Kau tak tahu ke, anak angkat ni tak layak nak mewarisi harta keluarga angkat? Tak tahu? Belajar ambil tahu sama.’’ Edry berkata sambil memandang tajam ke arah Azza. Lama juga Azza terdiam. Edry tersenyum mengejek.

              ‘’Sudahlah Azza. Lupakanlah semua yang dah lepas tu. Kita mulakan hidup baru bersama orang-orang yang ada di sisi kita. Belajarlah hargai apa yang kita ada. Jangan dah hilang nanti, baru nak cari mereka. Aku rasa, Tengku Ariman tu tak ada kekurangannya di mana-mana. Kau beruntung sebab dia sayang dan cintakan kau. Apa lagi yang kau nak dalam hidup ini? Hargailah dia Azza. Hiduplah dengan orang yang sayangkan kau, bukan dengan orang yang kau sayang tapi dia langsung tak pandang kau.’’ Pedih sekali kata-kata Edry yang kedengaran di telinga Azza. Kau kejam Ed. Kau kejam. Azza menjerit untuk kesekian kalinya, namun hanya hatinya yang menjerit, tak terlafaz di bibir.

**********

                  Tengku Ariman termenung panjang di tepi tasik. Dia mengimbas kembali pertemuan pertamanya dengan Anita. Mereka satu kuliah dulu, tapi Anita tidak pernah memandang dirinya. Puas sudah dia cuba mendekatkan dirinya dengan Anita tapi dia seolah halimunan yang langsung tak wujud di alam nyata.

               Suatu hari, Tengku Ariman mengekori Anita dan dia melihat Anita masuk ke sebuah rumah mewah. Tengku Ariman menjadi rendah diri dan menganggap Anita tidak melayannya kerana dia anak orang kaya, namun Tengku Ariman tak berputus asa. Dia menghantar ibunya untuk memohon kerja di rumah mewah itu dan rezeki memihak kepada mereka. Ibu Tengku Ariman diterima sebagai pembantu rumah. Sejak hari itu, ibu Tengku Ariman akan menjadi perisik di rumah Anita.

                Tengku Ariman kecewa bila dia tahu Anita sudah bersuami. Dia mengekori pula suami Anita hingga dia bertemu dengan Azza. Demi melihat Anita bahagia, Tengku Ariman mengoda Azza dan mula rapat dengan keluarga Azza. Kerana namanya yang bermula dengan Tengku, dia berjaya menyakinkan keluarga Azza bahawa dia anak orang kaya.

              Bagi Tengku Ariman, cinta perlukan pengorbanan. Kalau Anita bahagia dengan suaminya, Tengku Ariman juga turut bahagia dengan pilihan Anita. Itulah maksud cinta yang sebenarnya. Cinta, tak semestinya saling memiliki. Cinta, harus saling mendoakan, bukan memusnahkan. Dia berusaha pula untuk menyayangi Azza sebagai isterinya dan cuba melupakan Anita. Rupanya Azza bukan wanita yang mudah untuk ditangani. Azza masih ada hati dengan suami Anita. Hati Tengku Ariman memberontak. Azza tak tahu untuk menghargai dirinya sebagai suami.

                   ‘’Apa yang harus aku lakukan? Perlukah Azza diberikan pengajaran?’’ Tengku Ariman menyoal dirinya sendiri. Dia merenung jauh ke hadapan sementara mindanya juga sedang bekerja keras merancang strategi.

 Asal Usul Tengku Ariman

             Nama penuhnya Tengku Ariman Bin Tengku Asaari. Keluarganya berasal dari Aceh, Indonesia. Dulu, ayah dan ibunya pendatang tanpa izin tapi kini mereka sudah bergelar warganegara. Ibu dan ayah Tengku Ariman bertemu secara kebetulan ketika mereka berada di pejabat pendaftaran. Berkenalan, bercinta dan berkahwin. Adik beradik Ariman tak ramai, tapi membesar di negara asing bersama ibu dan ayahnya memerlukan usaha keras untuk terus hidup. Mereka melakukan apa saja kerja yang boleh mendatangkan hasil menyara keluarga.

            Ibunya bekerja sebagai pembantu rumah dan adakalanya bekerja di restoran. Tapi, sejak sepuluh tahun yang lalu, ibunya tidak bertukar kerja lagi, demi Ariman ibunya terus bekerja di rumah keluarga Anita. Dia membantu Ariman dalam segala hal. Kasih sayang seorang ibu adakalanya sukar untuk dimergertikan. Ibu Tengku Ariman juga turut jatuh sayang dengan Anita kerana Anita, satu-satunya anak majikannya yang selalu berbual dengannya bila dia ada di rumah.

              Segala perihal Anita diceritakan kepada Tengku Ariman dalam diam. Dia bangga dengan Tengku Ariman, namun ada sedikit perasaan kecewa di hatinya, bila tahu Anita sudah bersuami dan Tengku Ariman terus memendam perasaannya. Tengku Ariman memang lain dari yang lain. Dia akan berkelakuan pelik bila mula menyayangi seseorang. Dia takkan berusaha untuk mendapatkan orang yang dia sayang. Dia akan cuba melakukan semua perkara demi orang yang dia sayang. Kadang-kadang ibu Ariman sedih dan merasa kesian dengan nasib Tengku Ariman. Cinta sering membuatkan jiwa Tengku Ariman sengsara dan dia selalu terpaksa mengorbankan cinta demi kebahagiaan orang lain.

             Tengku Ariman tak mahu menjadi seperti orang lain. Memusnahkan kebahagiaan orang lain demi rasa cinta yang hadir di dalam jiwa. Bagi Tengku Ariman, cinta adalah pengorbanan dan cinta tak semestinya bersatu, kerana cinta Tengku Ariman adalah cinta sejati yang ikhlas dari hatinya.

****************

               Anita masuk ke pejabat seperti biasa. Setelah setahun bekerja, dia dinaikkan pangkat sebagai PA kepada Adli. Tak banyak kerja yang Adli beri memandangkan Anita sedang sarat sekarang ni. Adli bersyukur kerana jodoh Anita dan Edry masih ada, malahan Adli baru tahu beberapa buah lagu yang Edry cipta ditujukan untuk Anita. Dalam diamnya Anita dan Edry rupanya ada cinta di dalam hati. Mujurlah, mereka masih suami isteri yang sah walaupun sudah sepuluh tahun membawa haluan masing-masing. Perjanjian gila mereka pun terlerai sudah.

             ‘’Nita..masuk sekejap.’’ Adli mengamit Anita dari depan pintu bilik pejabatnya. Anita mendongak dan mengangguk laju. Tanpa banyak soal, Anita bangun dan menuju ke bilik Adli.

             ‘’Ada apa bos? Pagi-pagi lagi dah panggil, Nita baru saja masuk, belum panas lagi punggung ni. Komputer pun belum on lagi.’’ Anita mula bertanya sebaik dia berada di depan Adli.

              ‘’Ni haa..Encik Edry Adha, awal-awal lagi dah bagi warning, jangan bagi kerja berat-berat untuk isteri dia. Kenapa? Dah sampai DUE ke? Kalau tak larat buat kerja, tak payah datang kerjalah. Ambil cuti sampai bersalin.’’ Adli menjawab dengan wajah masam. Pagi-pagi lagi dah dapat warning dari Edry, siapa yang tak hangin. Anita pula terus ketawa sebaik mendengar jawapan Adli.

             ‘’Belum lagilah. Sebulan lebih lagi..ada-ada sajalah Angah ni. Kalau dapat warning dari Ed tu biasalah. Diakan terlebih sayang dengan isteri dia yang cute miut ni.’’ Anita berkata lagi sambil tergelak.

             ‘’Kalau dah sayang sangat, suruhlah kerja dengan dia, tak payahlah suruh datang kerja di pejabat Angah ni, buat menyemak saja, tengok muka mak boyot.’’ Adli bersuara lagi sambil mengulum senyum.

           ‘’Jangan nak mengarut. Tak adalah boyot sangat pun perut Nita ni. Cute apa. Comel apa.’’ Anita membantah kata-kata Adli sambil mengelus lembut perutnya. Adli mencebik dalam diam. Dia memandang tepat ke arah perut Anita yang sedang membulat itu. Kalaulah, dia ada isteri tentu isterinya pun sudah mengandungkan anaknya sekarang. Ahh..ruginya kahwin lewat. Adli berbisik di dalam hati.

            ‘’Angah tu nak kata kat Nita, tunggulah bila Angah kahwin nanti, isteri Angah mengandung, perut bulat macam ni la juga. Nak lari ke mana...’’ Anita menyambung kata tanpa mempedulikan wajah mengejek yang Adli sedang tayangkan.

             ‘’Dah, dah..pergi buat kerja. Membebel saja. Jangan lupa, tengah hari ni teman Angah jumpa client.’’ Adli mencantas kata-kata Anita, tangannya dikibarkan seolah-olah sedang menghalau Anita segera keluar dari biliknya. Anita tersenyum senang hati dan berlalu pergi. Dia tahu sangat dengan kelemahan abang keduanya, tak suka dibebel.

*********

                    ‘’Kau dengan Encik Adli tu, ada apa-apa ke? Aku tengok, kau dengan dia macam mesra sangat. Setiap kali keluar, mesti dia ajak kau sekali. Hari tu aku ternampak kau dan dia dengan entah siapa lagi, makan semeja. Lebih baik kau mengaku, anak dalam perut kau tu anak siapa? Bila kau kahwin? Aku tak tahu pun.’’ Syaza, teman rapat Anita sejak dia bekerja di sini datang menyoal tiba-tiba. Dah lama Syaza perhatikan gelagat Anita dan encik Adli, bos mereka.

                ‘’Kau lupa ke, hari mula aku kerja di sini, dia panggil aku Cik Jerawat? Aku masuk dalam bilik dia dan bagi warning, sekali lagi Encik Adli panggil nama saya Cik Jerawat, saya akan saman Encik Adli dan selepas tu, dia terus takut dengan aku. Kau percaya tak?’’ Anita menjawab tenang soalan Syaza sambil mereka-reka cerita yang tak ada. Berkerut dahi Syaza mendengarnya.

                ‘’Kau ni kenapa Nita? Lain yang aku tanya, lain pula yang kau jawab. Apa kena mengena Cik Jerawat dalam soalan aku tadi?’’ Syaza menyoal lagi. Dia memandang tepat ke wajah Anita yang masih tekun menaip dokumen kerja yang perlu disiapkannya sebelum tengahari nanti.

               ‘’Taklah..kau tu yang lupa. Aku ni kan PA dia, tentulah aku kena ikut ke mana saja dia pergi. Anak dalam perut aku ni, tentulah anak suami aku. Dah sepuluh tahun pun aku kahwin, sejak belajar lagi aku dah jadi isteri orang. Tentulah tak ada siapa yang tahu. Haih..’’ Anita berkata lagi sambil mengeluh keras. Rimas, setiap kali disoal dengan soalan peribadi.

             ‘’Lama dah tu..kenapa kau tak cakap? ‘’ Syaza bertanya lagi dengan wajah tidak percaya.

             ‘’Kau tak pernah tanya pun.’’

             ‘’Aku pernah tanya la, kau ingat tak, bila kau selalu keluar makan dengan Encik Azhar, aku tanya kau, tak ada orang marah ke? Kau jawab, tak ada. Ehh..kejap, suami kau Encik Azhar ke?’’ soalan Syaza seterusnya membuatkan jari jemari Anita yang sedang menari-nari di keyboard komputer berhenti bekerja. Anita mendongak dan membulatkan matanya kepada Syaza.

               ‘’Kau gila. Tak hingin aku dengan Encik Azhar tu. Panas baran, sombong pula tu..’’ Anita membalas pantas dan mendengus kecil. Menyesal dia keluar dengan Azhar semata-mata untuk membuatkan Edry cemburu, akhirnya dia terjebak dan digosipkan dengan Azhar. Lama juga, dia cuba lari dari Azhar hingga dia disahkan mengandung, barulah Azhar menyerah kalah dan tak menganggu Anita lagi.

              ‘’Habis tu, suami kau Encik Adli?’’ Syaza masih cuba meneka. Sekali lagi Anita mendongak.

             ‘’Encik Adli? Ishhh..lagi aku tak hingin, kuat membuli!’’ Anita berkata tegas dengan suara yang sedikit kuat.

               ‘’Tak kacak pula tu, kacak tak apalah juga.’’ Anita menyambung kata-katanya sambil menayangkan giginya yang tersusun rapi.

                   ‘’Macamlah laki dia tu kacak sangat.’’ Tanpa mereka duga Adli mendengar perbualan mereka. Dia datang untuk meminta dokumen penting kerana ada mesyuarat yang perlu dihadirinya sejam lagi. Syaza sudah kecut perut mendengar suara Adli, sedangkan Anita berlagak selamba sambil mengulum senyum. Kalau tak ada orang lain, pasti sudah dijawabnya kata-kata Adli itu, tapi memandangkan rahsia Anita belum lagi terbongkar, terpaksalah Anita rendamkan saja jawapannya di dalam hati.

                  ‘’Saya ada meeting sekejap lagi. Dah siap dokumen untuk pembentangan nanti, jangan cakap tak siap pula, saya saman awak nanti sebab kutuk saya tak handsome.’’ Adli menghulurkan tangan kepada Anita dan meminta dokumen yang harus dibawa. Anita membelek satu persatu fail di atas mejanya dan mencari dokumen yang telah disiapkan sejak kelmarin lagi.

                 ‘’Terimalah suratan takdir Encik Adli, tak kacak, buatlah cara tak kacak.’’ Sambil mencari fail, sempat pula Anita berkata perlahan dan mengulum senyum dalam diam.

                 ‘’Elehh..perasan. Macamlah Ed tu kacak sangat!’’ Adli berbisik sambil mencebik. Anita ketawa perlahan dan gelagat mereka sedang diperhati oleh semua pekerja-pekerja dalam bahagian mereka.

                 ‘’Well..tengoklah suami siapa, tentulah kacak, macam isteri dia juga, cantik, cute, miut lagi..’’ Anita memanaskan perbualan mereka, dan dalam masa yang sama fail yang telah dijumpainya dihulurkan kepada Adli sambil menjungkitkan keningnya beberapa kali.

                ‘’Ouchh..’’ tindakan pantas Adli mengetuk kepala Anita dengan fail membuatkan Anita menjerit tanpa sedar.

               ‘’Sakitlah..’’ Anita membentak keras dan terus memberi tindakbalas dengan memijak kaki Adli. Mereka terlupa seketika dengan berpasang mata yang sedang memerhatikan gelagat mereka.

              ‘’Oii..anak dalam perut tu ganas macam mama dia juga nanti, baru tau.’’

            ‘’Biarlah..anak orang. Bukan anak Encik Adli pun.’’

             ‘’Buat kerja. Menjawab tak habis-habis.’’ Dalam berbalas kata, Adli beralah juga akhirnya. Dia pandang sekeliling dan tersenyum. Anita pula berlagak selamba dan berpura-pura tiada apa-apa yang berlaku sebentar tadi. Syaza dan beberapa orang pekerja wanita sudah memandang Anita dengan pandangan yang penuh tanda tanya. Tunggulah Anita, pasti bakal diserbu sebentar nanti.

***********

                 Waktu rehat, Anita mengajak rakan-rakan sepejabatnya makan di restoran Edry. Selepas habis mereka bertemu client, Anita menghantar mesej ke dalam group WhatsApp rakan-rakan sepejabat dengannya dan memberi alamat restoran Edry yang paling dekat dengan pejabat mereka. Kemudian dia menelefon Adam dan menyuruh Adam pergi ke restoran yang sama. Niat Anita nak memperkenalkan Adam sebagai suaminya kepada rakan-rakan sekerjanya. Masih terlalu awal untuk memberitahu kebenaran siapa dirinya yang sebenar. Anita masih ingin bermain teka-teki dengan rakan-rakan sekerjanya.

                  ‘’Za, Kak Shimah, Lina..aku kenalkan, inilah buah hati pengarang jantung aku.’’ Adam diperkenalkan setelah semuanya berkumpul. Ketiga-tiga orang teman rapat Anita memerhatikan Adam dengan penuh tanda tanya.

                  ‘’Maksud kau?’’ Syaza yang bertanya sambil memandang Adam dan Anita silih berganti.

                  ‘’Laa..kan kau yang tanya tadi, siapa suami aku. Inilah dia..’’ Anita menjawab tenang sambil mengerdipkan matanya kepada Adam.

                   ‘’Hmm..kenapa ni? Nak carikan abang calon isteri kedua ke, tak semena-mena ajak abang datang ni dan kenalkan dengan mereka?’’ Adam turut mengikut rentak Anita dan berlakon sama. Anita tergelak mendengar pertanyaan Adam yang tak disangkanya. Ada hati nak kahwin dua. Sorang isteri pun tak ada lagi. Anita mengutuk Adam di dalam hati.

                     ‘’Jangan nak perasan erk. Mereka bertiga ni dah berpunya pun.’’ Anita menjawab malas. Dia mencebik dan menjeling Adam sekilas lalu sebelum memandang wajah ketiga-tiga orang rakan sekerjanya.

                 ‘’Muda lagi rupanya. Kejap, kau cakap tadi kau dah kahwin sepuluh tahunkan? Maknanya..’’ Syaza tak menghabiskan pertanyaannya. Dia macam tak percaya saja melihat Adam di depannya sekarang. Wajah Adam macam budak lepasan sekolah. Wajah Adam mirip mama mereka yang berkulit putih dan cantik. Antara mereka empat beradik, hanya Adli saja yang mirip ayah mereka Dato Syukri.

                     ‘’Hah? Sepuluh tahun?’’ serentak Lina dan Shimah menyoal. Melopong kedua-duanya. Adam sudah tersengih. Kantoi. Dia menjungkitkan keningnya kepada Anita tanda sedang mengejek Anita yang hampir terkantoi menipu di depan rakan-rakannya.

                   ‘’Aku kahwin umur 17 tahun kot.’’ Anita bercakap jujur, tapi dari wajah yang sedang ditayangkan oleh ketiga-tiga rakannya seolah mereka langsung tak percaya.

                 ‘’Heiiii..’’ respon ketiga-tiganya serentak dan memandang tepat ke wajah Anita.

                ‘’Betul..’’ Anita cuba menyakinkan rakan-rakannya lagi. Adam langsung tak membantu, malahan dia sedang ketawa rancak melihat betapa bersusah payahnya Anita berusaha untuk menyakinkan Shimah, Syaza dan Lina. Dengan mimik wajah Anita yang nampak serius bercampur gelabah, membuatkan hati Adam digeletek lucu yang tak sudah.

               ‘’Ishh..kenapa gelak? Bukannya nak tolong.’’ Anita beralih ke arah Adam dan mula memarahi Adam yang masih rancak ketawa. Semakin kuat pula Adam ketawa apabila Anita memarahinya.

                 ‘’Dahlah tu kak Nita, tak payahlah nak berlakon lagi. Anak dalam perut tu, jangan nak diajar menipu, tersampuk pula nanti. Abang Ed dah sampai tu. Angah pun ada sekali. Adam tak nak subahat lagi dengan kak Nita. Adam dah insaf. Nak tutup buku lama dan buka buku baru.’’ Adam berkata tenang tapi bibir masih tersenyum menang. Anita mengebam bibir menahan geram. Shimah, Lina dan Syaza sudah memandang ke arah pintu melihat Adli dan Edry yang sedang melangkah ke arah mereka.        

                     ‘’Kenapa ni? Apahal Adam suruh kami datang sini. Ada drama apa?’’ Edry yang bertanya setelah mereka berada di tepi meja Anita dan rakan-rakannya. Adam mengangkat kedua belah tangannya dan pantas bangun bila Anita mula bertindak untuk menyerangnya.

                      ‘’Adam!’’ Anita melepaskan amarahnya dan memandang tajam ke arah Adam. Wajah Anita masam menahan marah dan seakan ingin merajuk dengan Adam yang dah tak sporting lagi. Sempat pula berpakat dengan Adli dan Edry untuk mengantoikan dirinya.

                       ‘’Anita...’’ Syaza, Shima dan Lina pula memanggil nama Anita yang sedang ‘terbakar’ dek kerana rasa tertipu dengan Anita.      

                     ‘’Éncik Adli..’’ kini Shimah menyebut nama Adli pula. Adli hanya mengangkat bahu tanda dia sendiri pun tak tahu apa yang terjadi. Ketika Adam menelefon dia tadi, Adam cuma bagitahu Anita sedang membuat drama spektra dan menyuruh dia datang ke sini bersama dengan Edry.   

                    ‘’Kau jangan main-mainkan kami Nita. Lebih baik kau cakap, siapa suami kau yang sebenar? Encik Adli ke?’’ Shimah bersuara dan memandang Adli yang sudah tersengeh mendengar tekaan Shimah.

                      ‘’Dia? Tolong sikit.’’ Anita menuding jari ke arah Adli dan mencebik. Pantas saja jari jemari Adli meluku kepala Anita. Mengaduh juga Anita sambil mengosok kepalanya yang sedikit perit. Kuat juga tu penangan buku lima Adli.

             ‘’Hei..ada hati kau buli bini aku? Aku saman baru tahu.’’ Edry turut mengosok kepala Anita yang diluku Adli dan bersuara. Adam pula terus ketawa menyambung sisa tawanya yang belum habis menyaksikan babak-babak melucukan di depan matanya.

            ‘’Sebelum dia jadi bini kau, dia jadi adik aku dulu. Kau jangan buat-buat lupa pula. Aku ni waris sah dia. Kalau papa dengan Along tak ada, aku boleh jadi wali dia tau. Kau jangan mengada-ngada nak back-up dia. Sekali dengan kau aku luku juga nanti.’’ Adli menjawab dan menjungkitkan keningnya berkali-kali kepada Edry. Anita mengebam bibir menahan geram melihat perbalahan Adli dan Edry. Tanpa mereka sedar, perbualan mereka sudah membongkar rahsia Anita yang sebenar. Shima, Syaza dan Lina sudah melopong mendengarnya.           

               ‘’Diamlah! Banyak cakap pula. Adamlah ni..pandai-pandai saja suruh mahkluk dua orang ni datang, buat apa? Buat menyemak saja.’’ Anita bersuara geram sambil menjeling tajam ke arah Adam sekali lagi.

              ‘’Apa sayang? Mahkluk? Cakap tu bebaik sikit, abang majuk kang..’’

                 ‘’Kau nak merajuk? Buat malu kaum saja.’’ Edry belum menghabiskan ayat-ayatnya, Adli sudah mencelah.                   

                  ‘’Ehh..aku bukan nak merajuk dengan kau. Aku nak juga dipujuk. Asyik dia saja yang merajuk, aku yang selalu kena pujuk. Mana aci...kalau aku merajuk, aku nak lari ke Luar Negara. Apa class, merajuk naik Genting. Dekat sangat, senang nak cari.’’ Dalam membalas kata-kata Adli, Edry menyindir Anita. Edry dan Adli membuat high five dan tersenyum. Adam masih seperti tadi, tak habis-habis dengan ketawa. Rakan-rakan Anita pula, hanya mampu mengeleng kepala. Mereka blurr dan langsung tak tahu hujung pangkal cerita untuk mencelah.       

                 ‘’Hiesyyy...sakit otak, sakit otak...dah, korang makan cepat. Lepas makan aku nak balik terus. Tak nak masuk pejabat. Aku nak ambil cuti separuh hari. Tak ada mod nak masuk pejabat lagi.’’ Anita bersuara dalam nada serius dengan mimik wajah yang menyinga. Geram. Itu saja yang terlintas di dalam hatinya. Macam nak ambil cuti terus dan tak mahu masuk kerja lagi. Terkantoi dengan rakan-rakan paling rapat di tempat kerja. Entah bagaimana pula penerimaan mereka selepas ini?           

                  ‘’Dahlah Ed, orang tak nak layan kita. Jomlah..kita cari meja lain. Aku nak menu special, kau belanja.’’ Adli menarik tangan Edry menuju ke arah meja di depan kaunter. Adam turut mengikut mereka. Anita mencebik lagi, dia memerhatikan saja Adam, Adli dan Edry berlalu dengan bibir yang sedikit mencebik. Anita kemudiannya ditemuduga oleh ketiga-tiga orang rakannya. Terpaksalah Anita menjawab, walaupun masih belum bersedia sepenuhnya.    

********

               ‘’Big bos, panjang pun umur. Along baru terfikir nak call Ed, Along ingat Along nak bawa orang rumah pergi bercuti ke Eropah. Along nak serahkan kembali restoran ni kepada pemiliknya yang sebenar. Dahlah tu, perjanjian Ed dengan Nita pun dah habiskan? Ambillah balik, hak milik Ed ni.’’ Sedang rancak Edry, Adli dan Adam menjamu selera, Amzar datang ke meja mereka dan bersuara.

                    Mereka mendongak dan memandang wajah Amzar yang semakin berseri sejak bergelar seorang suami. Lama juga Amzar mengambil masa untuk mencari ganti Erizza. Walaupun Amzar dan Erizza ditunangkan tanpa perasaan cinta, tapi Amzar tetap setia. Puas dipujuk supaya Amzar mencari penganti, akhirnya berhasil juga setelah Amzar bertemu kembali cinta pertamanya yang terpisah selepas masing-masing melanjutkan pelajaran ke Negara orang.        

                ‘’Alah, Along ni,  Ed sibuklah sekarang ni. Ed kan dah bekerja di pejabat papa. Macam mana Ed nak uruskan restoran ni? Along pergilah bercuti, balik nanti Along uruskanlah semula.’’ Edry cuba memujuk Amzar yang sedang tersenyum. Amzar menarik kerusi dan duduk.

             ‘’Bukannya Ed kena jaga restoran ni 24 jam. Ed kerjalah di pejabat seperti biasa. Restoran ni pantau sesekali saja. Semua urusan serahkan saja pada Chef Azli dan Encik Baharuddin.’’ Tenang saja Amzar berkata. Dia menepuk perlahan bahu Edry yang berhenti menyuap kerana permintaan Amzar memang meresahkan hatinya. Kalau Azza dapat tahu, mesti Azza akan merayu untuk kembali bersamanya lagi. Apa pula kata pekerja-pekerja restoran yang lain? Hati Edry sedang berbicara sendiri.

                  ‘’Along, please la..buat macam biasa. Ed belum bersedia untuk ambil alih.’’ Edry masih cuba merayu. Pinggan nasi yang sedang berada di depannya, ditolak ke tengah meja. Edry menarik gelas minuman miliknya dan menyedut minumannya perlahan. Dia mendongak dan memandang Amzar. Mereka bertatapan seketika. Amzar mengeleng pantas. Sudah tiba masanya Edry menghentikan lakonannya. Edry harus bertanggungjawab dan menguruskan harta miliknya mulai hari ini.  

                  ‘’Bahar!’’ Amzar melaung nama Encik Baharuddin dan mengamit dia datang ke meja mereka. Edry mengeluh keras. Dia benar-benar tertekan dengan keputusan mendadak Amzar.

                  Encik Baharuddin yang dipanggil segera mendapatkan Amzar. Matanya sedang merenung tajam ke arah Edry yang juga sedang memandang ke arahnya dengan wajah bersahaja.

                 ‘’Saya nak pergi bercuti Bahar, sebelum tu saya nak perkenalkan kepada awak dengan pemilik sebenar restoran ni.’’ Amzar mula bersuara dan memandang Encik Baharuddin dan Edry sambil tersenyum.

                  ‘’Hah? Pemilik sebenar? Maksud bos?’’ Encik Baharuddin bertanya kembali. Amzar terus tersenyum. Sudah pasti semua pekerja termasuk Encik Baharuddin akan terkejut mendengar berita ini. Amzar tahu apa yang berlaku. Dia tahu sangat Edry sering diperlekehkan sejak dia menjadi tukang cuci pinggan mangkuk dalam restoran ini. Semuanya kerana Edry yang sering minta cuti dan culas dalam melakukan kerja yang disuruh.

                 ‘’Restoran ini bukan hak saya Bahar. Saya cuma orang tengah yang menjalankan tugas yang telah diamanahkan. Pemilik sebenar restoran ini adalah adik ipar saya. Sekarang ni, semua urusan dan tandatangan, awak kena jumpa dia. Dia yang akan mengambil alih semula restoran ini mulai hari ini.’’ Tenang saja Amzar bercerita. Encik Baharuddin sudah terangguk-angguk tanda faham. Adli menjungkitkan keningnya kepada Edry. Inilah masanya kau tunjukkan kuasa kau pula. Adli berkata di dalam hati dan memberikan isyarat mata kepada Edry. Mereka berbalas senyuman.

                   ‘’Pemilik sebenar restoran ni ada di depan kita sekarang.’’ Amzar berkata lagi. Encik Baharuddin memandang tiga orang lelaki yang ada bersama mereka. Dia meneka pemilik restoran adalah Adli. Dia terus menghulurkan tangan kepada Adli untuk bersalam.

                ‘’Selamat datang bos.’’ Serentak tangan dihulur Encik Baharuddin bersuara. Adli memandang Edry dan tanpa berlengah, tangan Encik Baharuddin tetap disambut. Amzar dan Adam pula sudah meledakkan tawa sementara Edry tersenyum lucu.

                ‘’Hari ini kita ada masakan special, kalau bos nak, saya boleh suruh chef kita sediakan.’’ Encik Baharuddin bersuara lagi dan mengengam kemas jari jemari Adli.

                ‘’Tak apa, saya dah kenyang. Encik Bahar yakin ke, saya bos baru awak?’’ Adli sengaja menguji Encik Bahruddin. Laju pula Encik Baharuddin mengangguk.

                ‘’Ya, saya yakin 100%, sebab setiap kali bos datang ke sini bersama Edry, bos yang belanja. Nak harapkan Edry ni, hurmm..’’ Encik Baharuddin menjawab pertanyaan Adli dan mengakhirinya dengan keluhan keras. Serentak dengan itu pandangan tajam dihadiahkan lagi untuk Edry.

              ‘’Kenapa awak suka memandang rendah pada orang lain? Awak tahu tak, kulit buku  yang nampak hodoh, tak semestinya cerita dalam buku tu tak best. Boleh tak, awak baca dulu buku tu, baru menilai hasil penulisnya. Janganlah nak kutuk sebarangan sebelum awak tahu isi buku tu.’’ Edry tiba-tiba berawak bagai dengan Encik Baharuddin. Terbuntang seketika mata Encik Baharuddin bila mendengarnya. Amzar pula langsung tak mencelah. Biarkan saja Edry selesaikan masalah ini.

                 ‘’Aku tahu, kau dah dapat kerja bagus sekarang ni. Dah pakai cantik, siap bertali leher segala. Kau berlagak ya. Kau nampak tak pintu tu..’’ sambil menudingkan jarinya ke arah pintu, Encik Baharuddin bersuara serius.

                ‘’Kalau tak kerana Encik Amzar dan bos aku ni, dah lama aku halau kau keluar dari restoran ni.’’ Encik Baharuddin menyambung kata-katanya. Matanya merenung tepat ke arah Edry. Mengeluh lagi Edry dibuatnya, kepalanya digeleng berkali-kali.

               ‘’Apa perasaan awak, kalau bos awak yang halau awak keluar dari pintu tu? Awak bekerja di restoran ni sejak restoran ni dibuka lagi. Gaji awak pun lebih tinggi dari pekerja lain. Tak bolehkah awak bersyukur dengan apa yang awak dapat? Rezeki yang awak dapat selama ini adalah pemberian Allah. Pernahkah awak bersyukur dengan rezeki tu?’’

              ‘’Kau siapa nak tanya aku dengan soalan macam tu. Kau tak layak nak menyoal aku tau. Biadap, umur kau dengan umur aku jauh beza tau. Tak reti nak hormat orang ke? Jangan nak berlagak sangat dengan jawatan kau sekarang. Aku boleh buat kau kena pecat serta merta kalau aku ambil tindakan. Kalau setakat makan gaji di syarikat sebagai kerani tu, aku tak heranlah.’’

                 Sungguh angkuh kata-kata Encik Baharuddin, sedangkan Edry bersuara dengan nada yang selamba. Dia kenal sangat dengan Encik Baharuddin yang suka menghina orang bawahannya, terutama Edry yang pernah menjadi tukang cuci. Katanya, tukang cuci langsung tak ada masa depan. Selalu juga Edry menjawab kata-katanya. Masa depan bukan terletak pada pekerjaan yang dipegang. Yang penting kerja itu halal dan mendapat keredhaan Allah.

                       ‘’Sekejap Bahar. Saya kenalkan..sebenarnya ini adik kandung saya. Dia bukan bos awak. Edry Adha ni baru adik ipar saya, suami kepada adik perempuan tunggal saya dan ini pula adik bongsu saya.’’

                    Sebelum Encik Baharuddin menyambung ayat-ayatnya, Amzar mengambil keputusan untuk mencelah. Kalau nak diharapkan Edry mengenalkan dirinya sendiri, sampai ke sudah Edry takkan lakukan. Itu yang Amzar fikir bila mendengar perbualan mereka. Edry Adha memang suka mengenakan orang dengan watak selambanya.

                  ‘’Edry ni pemilik sebenar restoran ni dan empat buah lagi restoran yang berada di bawah seliaan saya selama ini. Edry ni bukan seperti yang awak sangka. Dia bukan kerani cabuk seperti yang awak fikir. Dia anak ke-2 kepada Tan Sri Ramli, dan kini menjadi Pengarah Urusan yang baru di syarikat Ramli & Family’s Holding Sdn Bhd. Awak tersalah menilai orang Bahar. Edry ni bukan saja bijak menguruskan bisnes, tapi dia juga pencipta lagu yang sedang meningkat naik sekarang. Dia mungkin tak pernah muncul di tv..’’

                  ‘’Alonggggggggg..sudah-sudahlah tu..’’ Amzar belum habis bercerita, Edry mencelah dan berwajah masam. Serentak, Amzar, Adli dan Adam meledakkan tawa. Encik Baharuddin saja yang sedang menundukkan kepala dengan mimik wajah tidak percaya bercampur takut andai dia akan dipecat kerana kelancarannya berkata-kata sebentar tadi dan penghinaan yang pernah dilakukannya kepada Edry.

                  ‘’Bahar...tentu awak dah sedar sekarang ni, kan? Orang yang awak hina tak ada apa-apa selama ini, sebenarnya dialah yang membayar gaji awak selama bertahun ini. Ya, rezeki tu memang Allah yang beri, tapi awak kena tahu, selepas ditemuduga, Ed yang memilih setiap pekerja. Saya dah banyak kali nak pecat awak kerana berkelakuan kasar dengan Edry, tapi Ed bukan macam awak.

                 Dia ada hati budi. Dia tak nak anak-anak dan isteri awak merana kerana kelakuan awak yang suka menilai orang kerana miskin. Awak tahu tak Bahar, miskin bukan satu kekurangan yang patut dipertikaikan. Allah tak pernah memandang hambaNYA kerana rupa ataupun harta. Yang akan dinilai di Akhirat nanti, adalah amalan yang kita lakukan di atas dunia ini.’’ Panjang lebar pula Amzar berleter. Encik Baharuddin sedang menunduk malu kerana sikapnya sendiri.

                 ‘’Ed..Along serahkan kembali semua harta milik Ed. Along nak cuci tangan buat masa ni. Along tak nak fikir pasal bisnes lagi. Along nak cari bahagia Along sendiri. Tapi, kalau Ed masih memerlukan bantuan Along, call saja Along bila perlu. Along akan bantu sedaya mungkin, cuma Along nak Ed akan mula menjadi seorang bos yang bertanggungjawab dengan apa yang Ed dah mulakan. Semua ini adalah impian Ed sendiri sejak dulu. Takkan Ed masih nak lepas tangan? Hargailah pergorbanan Nita selama sepuluh tahun ni demi impian gila Ed ini. Along tahu, Nita sebenarnya terseksa sejak hidup terpisah dengan Ed.’’

              Dalam membicarakan soal bisnes dan tanggungjawab, Amzar tersasar tajuk, nama Anita turut terbabit sama. Edry tercenggang seketika, tak sangka pula, Amzar akan mengungkit sejauh itu. Tak mahu membantah, Edry hanya mengangguk mengiakan.

             ‘’Pasal Bahar ni, Ed buat keputusan sendiri sama ada nak pecat dia atau sebaliknya.’’ Amzar berkata lagi dan dia memandang ke arah Encik Baharuddin yang masih menundukkan wajah. Ternyata Encik Baharuddin sedang berada dalam keadaan yang sangat getir. Seolah berada di hujung keris dan menanti andai keris itu akan dibenamkan ke tubuhnya.

                 ‘’Encik Bahar ni dah lama bekerja di sini, cuma yang Ed paling tak suka sikap dia yang suka mengipas bos sendiri dan suka menghina orang bawahannya. Tapi, Ed akan bagi peluang kedua untuk dia, kalau sikap dia yang berlagak tu masih ada lagi, Ed takkan teragak-agak untuk cari penganti.’’ Edry bersuara serius. Kata-katanya ditujukan untuk Encik Baharuddin, namun dia langsung tak memandang wajah Encik Baharuddin. Edry seolah sedang bercakap dengan Amzar, bukan dengan Encik Baharuddin.

                  ‘’Awak dengar tu Bahar. Saya dah cakap tadi, Ed ni ada hati budi, kalau saya jadi dia..tak ingin saya nak biarkan awak terus bekerja di sini. Sikap awak terhadap Ed memang tak boleh dimaafkan. Jangan ingat, awak ada segalanya, awak boleh menghina orang sesuka hati. Dunia ini hanya sementara saja Bahar. Apa yang awak harapkan di atas dunia ini? Kalau awak bahagia dengan kehidupan awak dengan menghina orang, jangan ingat awak akan terlepas di Akhirat nanti.’’

                Amzar masih terus memberikan teguran untuk Encik Baharuddin. Umur Amzar dan Encik Baharuddin tak jauh bezanya. Amzar cuma tua dua tahun saja dari Encik Baharuddin, bezanya Encik Baharuddin yang nampak lebih berusia kerana tubuhnya yang sedikit gempal dan berperut buncit. Kepalanya pula, botak di depan, licin berkilat dan kulitnya sedikit gelap.

                  ‘’Tak apalah Encik Amzar, saya yang akan letak jawatan, carilah orang lain mengantikan saya. Macam yang Encik Amzar cakap tadi, rezeki tu datang dari Allah. Pasti ada rezeki saya di mana-mana..’’ Encik Baharuddin yang menunduk sejak tadi kembali bersuara. Dia sengaja berkata begitu, sedangkan dalam hatinya berharap agar Edry akan merayunya untuk terus bekerja di restoran ini.

                ‘’Baiklah..kalau itu keputusan awak. Ed..hari tu Ed cakap ada kawan Ed sedang cari kerjakan?’’ Amzar berkata lagi sambil memandang Edry dan memberi isyarat mata. Edry yang sedang blur, mengangguk tanpa sedar. Mindanya sedang bekerja, siapakah kawannya yang sedang mencari kerja itu?

                 ‘’Bila awak nak letak jawatan? Saya akan minta Katrina sediakan surat perjanjian perletakan jawatan awak dan saya nak awak tandatangan sekali.’’ Sekali lagi Amzar mencari helah untuk mengenakan Encik Baharuddin yang nampak sudah mengelabah. Dalam melawan keegoaannya agar tidak tunduk di bawah Edry sebagai majikannya, Encik Baharuddin masih berharap agar masih ada harapan untuknya bekerja di restoran ini. Tapi, lain yang dia harap, lain pula yang terjadi.

                   ‘’Restoran ni nak guna pekerja ke? Nita nak..boring ar jadi PA Encik Adli ni. Semakin lama, semakin menyampah pula kerja dengan dia.’’ Anita yang sedang berada di belakang mereka mencelah tiba-tiba. Niat dia datang nak suruh Edry hantar dia balik ke rumah kerana dia tak mahu masuk ke pejabat semula. Tapi, bila terdengar ada kerja kosong yang diperlukan untuk mengantikan Encik Baharuddin sebagai pengurus restoran, terus dia mencelah tanpa teragak-agak lagi. Terdiam lama Edry dibuatnya.

                  ‘’Habis tu, siapa pula yang nak gantikan Nita jadi PA Angah?’’ Adli bertanya balas. Anita mengangkat bahu tanda tak nak ambil tahu.

                   ‘’Sayang..tu perut dah semakin membesar. Tak payah nak kerja. Duduk rumah saja, berehat. Kalau dah bosan jadi PA, jadi suri rumah sepenuh masa.’’ Edry mencuba nasib. Kalau Anita nak jadi pengurus restorannya, dia tak kisah kerana dia yakin Anita mampu melakukannya.

                 Tapi, dengan keadaan Anita sekarang, dia pula yang bakal runsing sepanjang masa memikirkan kesihatan Anita yang mungkin akan terjejas nanti. Dia bukannya boleh datang selalu ke restoran ini untuk menjenguk keadaan Anita. Lagi pun, ramai pekerja di restoran ini yang tak menyukai Edry sebelum ini termasuk ketua chef mereka yang menganggap Edry sebagai anak emas Amzar. Semuanya akibat salah faham antara Edry dan rakan-rakan sekerjanya.

                 ‘’Huh! Semuanya tak boleh. Jadi PA awak pun tak boleh. Nak jadi pengurus restoran pun tak boleh. Apanya yang boleh?’’ Anita cukup tak puas hati dengan jawapan yang Edry beri. Suri rumah sepenuh masa? Nampak sangat nak kurung aku 24 jam dalam rumah. Anita berbicara sendiri di dalam hati.

                  ‘’Hmm..nak tahu apa yang boleh, tunggu malam nanti, abang bagitau apa yang boleh.’’ Edry menjawab sambil tersengeh. Dia memandang tepat ke wajah Anita dan bibirnya tak lekang dengan senyuman. Mindanya sudah terbayangkan sesuatu yang nakal. Anita terus mencebik, sementara Adli dan Amzar sudah ketawa tanpa sedar. Adam pula sudah menjungkitkan keningnya berkali-kali. Encik Baharuddin pula, perlahan-lahan berundur pergi bila terasa dirinya tak diperlukan lagi. Terlajak perahu, boleh diundur. Terlajak kata, cari kerja lainlah jawabnya.

               ‘’Hantar Nita balik. Letih, nak balik tidur.’’ Dengan mimik wajah yang masam, Anita berkata geram kerana rasa dipermainkan oleh empat orang lelaki kesayangannya.

                ‘’Nak balik rumah mama ke? Jomlah, balik dengan Adam.’’ Orang lain yang Anita ajak, Adam pula yang menawarkan diri. Anita memuncungkan bibir lagi.

                 ‘’Abang..hantar Nita. Tak nak balik dengan Adam. Tak best.’’ Anita bertegas. Ke empat-empat pasang mata sedang memandang ke arahnya. Seketika kemudian, masing-masing sudah melebarkan senyuman. Edry yang tersipu-sipu dengan permintaan Anita.

                    ‘’Abang nak kena balik pejabat. Nita balik dengan Adam dulu, nanti abang pergi ambil  Nita di rumah mama. Kita tidur di Genting malam ni. Bolehkan? Abang ada meeting sejam lagi. Jomlah Ad..’’ sambil berkata Edry bangun dan mengelus perlahan belakang Anita. Cuba memujuk Anita yang sudah menarik muncung sekali lagi. Adli dan Adam juga turut bangun.

                 ‘’Dah..mak buyung..jom balik dengan Adam jer. Selalunya, boleh saja dating dengan Adam. Hari ni nak bermanja pula dengan abang Ed ni, kenapa? Saja nak tayang la tu.’’ Adam mengambil alih dan berada di sebelah Anita. Edry sempat memegang tangan Anita sebelum berlalu keluar bersama Adli yang sudah tersenyum lebar melihat perubahan wajah Anita.

             ‘’Ishh..meeting, meeting, meeting. Tak habis-habis dengan meeting. Ni yang lecehnya kalau kahwin dengan orang kerja pejabat ni. Kononnya buka restoran untuk capai impian. Kerja pejabat juga yang dia pilih.’’ Anita mengomel sendiri bila Edry dan Adli sudah hilang dari pandangan. Amzar dan Adam saling berpandangan.

                  ‘’Pergi balik, tidur. Tak payah membebel lagi. Adam, bawa mak buyung ni balik. Along nak selesaikan hal restoran, sebelum pergi bercuti. Cakap kat mama, malam ni Along dengan Kak Long balik makan malam.’’ Amzar menghalau Anita dan Adam keluar. Menghalau cara halus, sambil menolak perlahan tubuh Anita berniat untuk bergurau. Terdengar Anita berdecit dan menjeling Amzar yang sudah ketawa melihat mimik wajah Anita, adik manja kesayangannya.

**************

            ‘’Singapura, seorang rakyat Malaysia disahkan kritikal selepas dijangkiti Virus Zika ketika datang melancong ke sini minggu lalu. Norazza Rima Binti Mohd Shah Iskandar kini sedang terlantar di wad I.C.U..’’

               Anita membaca berita di muka depan surat khabar Kosmo dengan suara yang kuat sambil membelek gambar yang turut disiarkan. Gambar wajah yang telah dikaburkan dibelek dengan tekun. Nama Norazza Rima tu yang lebih menarik minatnya untuk terus membaca berita tersebut.

              ‘’Abang, bekas GF abang ke ni? Takkan kena virus Zika? Cuba abang tengok gambar ni. Abang cam tak?’’ Anita berkata sambil mengamit Edry yang sedang melakukan senaman ringan di halaman rumah mereka. Hujung minggu macam ni, mereka mengambil peluang bercuti ke Genting sambil menyedut udara segar haruman bunga-bungaan. Rumah kecil yang comel dan di kelilingi oleh kebun bunga mawar ini cukup segar udaranya walaupun kesejukan yang dirasakan sehingga ke tulang.

                    ‘’Biarlah..kena virus Zika ke, Tika ke, Mika ke..tak payah ambil pedulilah. Yang penting sekarang ni, abang dan dia dah tak ada apa-apa.’’ Tegas sekali nada suara Edry. Langsung tak berminat untuk ambil tahu perkembangan terkini Azza.

                ‘’Takkanlah tak ada langsung perasaan simpati kot? Abang dengan dia dulukan...’’

              ‘’Abang tak pernah ada perasaan pun pada Azza tu. Abang sedar, abang dah ada isteri. Abang dah ada tanggungjawab. Abang rapat dengan dia pun, sebab nak buat Nita cemburu. Tapi, Nita tu macam orang tak ada perasaan.’’ Anita belum habis mengungkapkan ayat-ayatnya, Edry sudah memangkas kata-kata Anita dan berjalan menghampiri Anita. Dia duduk di depan Anita dan memegang kedua-dua belah tangan Anita.

                ‘’Nita tak ada perasaan ke, atau abang yang tak ada perasaan?’’ Anita bertanya Edry kembali dengan nada tak puas hati. Sakit hatinya bila Edry tuduh dia tak ada perasaan, sedangkan hati dia bagai dilapah melihat kemesraan Edry dengan Azza.

              ‘’Nita ingat tak, bila abang kenalkan Nita kepada Azza sebagai adik angkat. Selamba saja Nita bercakap dan bersalam dengan Azza tu. Kalau perempuan lain jadi Nita, mungkin abang atau Azza dah kena balun pun.’’ Edry cuba mengingatkan Anita ketika pertama kali dia membawa Azza untuk diperkenalkan pada Anita.

              ‘’Memanglah, takkan Nita nak tunjuk perasaan pula. Kalau abang sendiri pun tak sudi beristerikan perempuan macam Nita ni, takkan Nita pula nak tergedik-gedik dengan abang.’’ Anita menjawab selamba. Matanya merenung ke dalam mata Edry. Dan, sesaat selepas itu Anita sudah mengaduh kesakitan.

                  ‘’Sakitlah..abang ni, suka sangat jentik dahi Nita ni kenapa?’’ Anita bersuara garang. Geram melihat Edry yang sedang tersengeh selepas dahinya dijentik sedikit kuat.

                     ‘’Bila pula abang cakap abang tak sudi beristerikan Nita? Suka sangat serkap jarang. Kalau abang tak sudi, tak hingin abang nak nikah dengan Nita yang terlebih manja ni. Abang nak tanya sikit, boleh tak?’’ dalam menjawab soalan Anita, Edry juga turut menyoal. Ada satu persoalan yang sudah lama bersarang dalam mindanya.

                 ‘’Nak tanya apa?’’

                ‘’Kenapa Nita sudi nikah dengan abang? Setahu abang, kita tak pernah dipaksa pun. Papa kata, semuanya terpulang pada kita berdua. Kenapa Nita setuju?’’

                     ‘’Abang pun, kenapa abang setuju?’’ Anita bertanya balas. Dia juga teringin untuk mendengar jawapan Edry.

                    ‘’Sebab, abang memang sukakan Nita sejak dulu, tapi bila papa tunangkan Kak Erizza dengan Along, terpaksa abang pendamkan perasaan abang. Bila papa cakap nak jodohkan abang dengan Nita, abang rasa bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal saja.’’

                 ‘’Tipulah. Abang jangan nak tipu Nita. Kalau betullah, abang sukakan Nita sejak dulu, kenapa abang buat perjanjian gila tu? Bukan sepuluh hari abang. Sepuluh tahun tau, Nita tunggu untuk mendapatkan suami Nita ni. Abang ni memang kejam betul tau. Cakap tak serupa bikin. Suka Nita, tapi mendera Nita sampai macam tu sekali. Mengarut sungguh.’’ Anita melepaskan rasa amarahnya yang telah dipendam sekian lama. Sungguh, dia langsung tak percaya Edry sukakan dia sejak dulu lagi.

              ‘’Abang suka Nita. Abang sayang Nita, tapi abang juga ada impian. Orang selalu kata abang ni bergantung dengan harta keluarga. Abang tak suka dikaitkan dengan keluarga. Abang nak raih kejayaan sendiri. Abang nak bina kerjaya dengan hasil titik peluh sendiri. Abang bercita-cita nak jadi chef, tapi papa tak restu. Papa nak abang ambil alih syarikat juga. Sebab tu abang lantik Along untuk jaga semua restoran abang. Papa tak tahu pun pasal semua restoran tu. Abang minta Along rahsiakan dari semua orang kecuali Ad.’’  Edry berterus terang dengan Anita. Serius benar dia bercerita. Anita mengangguk mempercayainya, tapi masih tersimpan sedikit kemuskilan dalam hatinya.

              ‘’Kenapa abang masih panggil Angah Ad? Abang macam tak bersedia nak jadi adik ipar dia saja.’’ Anita melencongkan topik perbualan mereka. Tergaru kepala Edry dibuatnya. Dia tiada jawapan untuk soalan itu. Sekian lama berkawan dengan Adli, nak panggil Adli dengan panggilan Angah, memang terasa berat sangat bibirnya itu.

               ‘’Nita tak jawab lagi soalan abang. Kenapa Nita sudi nikah dengan abang? Sengaja nak mengelat ya?’’ Edry cuba mengelak untuk menjawab soalan yang tiada jawapannya. Anita disoal pula dengan soalan yang belum ada jawapannya.

               ‘’Abang jawab dulu soalan Nita. Kenapa abang masih panggil Angah Ad?’’ Anita mencari helah lagi. Dia tak mahu rahsia hatinya yang telah disimpan sekian lama terbongkar dengan mudah.

              ‘’Kamikan sebaya. Abang rasa pelik pula nak panggil dia Angah. Nak panggil abang Ngah pun rasa macam nak terkeluar belian. Lagi pun, kalau abang panggil dia Angah, nanti nak kena respect dia 24 jam pula. Tak bestlah kalau macam tu.’’ Edry mencipta juga alasan demi mendengar jawapan Anita.

             ‘’Sekarang giliran Nita pula jawab soalan abang tadi. Kenapa Nita setuju? Setahu abang, Nita pun ramai peminat sejak sekolah lagi. Masa Nita belajar di U pun, ramai senior dan junior yang nak kawan dengan Nita. Kenapa Nita masih setia dengan abang? Abang dah bagi peluang, kenapa Nita tak ambil peluang tu?’’ bertubi-tubi Edry ajukan soalan. Nita sudah tersenyum dan ingin terus mengelak. Dia mengusap perutnya perlahan-lahan. Sesekali dia mengerutkan dahi seolah sedang menahan sakit.

              ‘’Perut Nita memulaslah bang. Baby dah lapar agaknya ni. Abang tolong masakkan untuk Nita ya. Nita macam teringin sangat nak makan nasi goreng yang abang masak. Nasi goreng berlauk campur budu dan ulam. Sedap gila masa first Nita makan dulu. Teringat-ingat sampai sekarang ni.’’

                ‘’Lapar lagi? Tadikan dah makan? Tembamlah isteri abang nanti.’’ Helah Anita menjadi. Edry terus melupakan  jawapan yang ingin didengarnya. Dia terus menuju ke dalam rumah dan berjalan ke arah dapur.

                   ‘’Abang masak sedap-sedap tau. Baby yang nak makan. Jangan masin sangat, nanti tekanan darah Nita naik. Biar pedas sikit, tak apa. Baby kata dia suka pedas. Lauk tu kalau lebih sikit, lagi bagus. Ulam tu kalau ada lagi banyak , lagi sedap. Kalau abang masukkan ikan tenggiri goreng, lagi kaw. Nita suka. Baby cakap, baby pun suka.’’ Anita mengambil kesempatan mengarah Edry. Dia tersenyum lebar bila Edry hanya mengangguk mengiyakan saja semua kata-katanya. Ada ke semua bahan-bahan tu? Anita menyoal pula diri sendiri di dalam hati.

Nasi Goreng Berlauk campur budu dan ulaman

Bahan-bahannya:
2 mangkuk nasi
2/3 sudu budu
2 ketul ikan tengiri goreng atau
5 ekor ikan kembung (ikut selera masing-masing)
10 biji cili padi dikisar bersama 2 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih, sedikit ikan bilis dan udang kering kalau suka.
Garam dan serbuk perisa secukup rasa.
Ulam-ulaman mengikut citarasa masing-masing.

Cara-cara membuatnya..
Tumis bahan yang telah dikisar hingga garing. Masukkan garam dan serbuk perasa. Isi ikan yang telah ditumbuk serta budu. Goreng sebentar hingga naik bau, masukkan nasi dan gaul hingga rata. Perlahankan api dan goreng selama beberapa minit sebelum diangkat dan digaul bersama ulam-ulaman yang telah dipotong halus. Hidangkan bersama sup atau apa saja yang diinginkan. Hiaslah bersama hirisan timun dan hirisan tomato. Yummy..nyam, nyam..siapa yang suka budu, pasti suka nasi goreng ini. Tapi awas bagi sesiapa yang ada resdung, pasti terasa tempiasnya terutama bila budu dimasukkan.

Nota : Tak ada manusia yang sempurna dalam dunia nyata, tapi dalam dunia imaginasi, segalanya adalah mungkin.
****************Tammat Sudah****************

Dialog yang tertinggal bersama hasil seni lukis Edry Adha..Kononnya.



Anita : Mak oii..abang ke yang lukis ni? Macam mana abang tahu, Nita minat sangat dengan Yong Hwa oppa ni? Sayang abang tau. Nita nak lukisan ni, mana tahu nanti baby yang seterusnya akan mirip dengan wajah Yong Hwa oppa, kalau Nita tengok gambar ni hari-hari.

Edry Adha : Jangan nak perasan erkk. Abang tak tahu pun Nita suka jantan ni. Ehh..abang rasa, abang dengan dia ni, abang lagi handsome tau.

Anita : Mengarutlah. Abang tu orang melayu. Yong Hwa ni orang korea. Yong Hwa lagi handsome apa. Abang jangan nak berdalih pula. Sarang Hae Yong Hwa oppa.

Edry Adha : Abang nak jual lukisan ni. Ada orang nak beli, abang nak lelong saja. Siapa yang nak, abang nak jual RM1 saja.

Anita : Nita nak. Jual kat Nita la.

Edry Adha : Tak ada maknanya.

Anita : Huh!...




Anita : Lukisan ke ni? Kenapa hitam putih. Abang tak pandai mewarna ke?

Edry Adha : Abang yang lukis, biarlah abang nak warnakan ke tak. Menyibuk saja.

Anita : Kalau ada warnakan cantik.

Edry Adha : Nak puji lukisan abang cantik, tak nak cakap. Saja, egokan?

Anita : Cantik ke? Biasa jer Nita tengok.

Edry Adha : Elehh..mengaku sajalah. Cantikkan lukisan-lukisan yang abang lukis?

Anita : Perasan betullah abang ni. Masuk bakul angkat sendiri. Terror betul abangkan?

Edry Adha : Terimalah kenyataan Nita. Suami awak ni memang sentiasa terror.

Anita : Ishhhh...uwekkk.

Edry Adha : Kenapa? Mengandung lagi ke? Jangan Nita, Abby baru saja lepas pantang tau.

Anita : Ehh..siapa ni bang? Nor? Siapa Nor?

Edry Adha : Al- Fatihah..

Anita : Kawan abang ke?

Edry Adha : Jangan banyak tanya. Sedekahkan saja Al-Fatihah dan doa untuknya!


.....................................................
 
Anita : Siapa pula ni? Nita macam pernah tengoklah lukisan ni dalam blog cerpen.

Edry Adha : Blog cerpen? Blog siapa?

Anita : Dalam blog penulis bebas. Blog Szaza Zaiman. Betul. Dia buat cover cerpen baru dia. Tajuk cerpen tu Aku Takkan Tergoda.

Edry Adha : Nak kena samanlah Tu. Ambil lukisan orang tak minta izin.

Anita : Yang abang tu kedekut sangat kenapa?

Edry Adha : Abang bukan kedekut. Itu hak abang, kalau senang-senang ambil tak minta izin, nanti mereka pijak kepala pula.

Anita : Bukannya dia jual pun. Kalau dia ambil untung bolehlah nak saman dia.

Edry Adha : Nita tau mana dia tak jual?

Anita : Tahulah, masuk blog dia mana kena bayar pun. Baca cerpen FREE apa.

Edry Adha : Hmm..kalau macam tu abang maafkan. Cerpen dia ada orang copy tak?

Anita : Biar pembaca saja yang jawab. Kalau ada yang nak ambil kesempatan pun, fikir sekali lagi dan renung-renungkan.


...............................



Anita : Suami isteri ke ni?

Edry Adha : Bukanlah.

Anita : Siapa ni?

Edry Adha : Adalah.

Anita : Alaa..abang ni tak sporting betullah.

Edry Adha : Nita tu lagi tak sporting.

Anita : Kenapa pula?

Edry Adha : Dah banyak kali abang tanya Nita, kenapa Nita sudi nikah dengan abang. Selalu saja Nita mengelak.

Anita : Ohh..soalan tu. Biarlah rahsia, yang penting abang tu yang wajib setia dengan Nita sorang saja.

Edry Adha : Tengok tu. Itu saja jawapan dia. Abang merajuk baru tau!

Anita : Hahahaha..merajuklah. Nanti Nita rajin, Nita pujuklah. Kalau tak, merajuklah abang sampai ke tua. Wekkk...


.................................



Anita : Azza ke ni? Kenapa lain sangat? Kenapa tak pakai tudung?

Edry Adha : Abang lukis ni masa pertama kali kami jumpa. Kerana lukisan ni la kami rapat.

Anita : Kenapa pula? Apa kena mengena lukisan ni dengan hubungan abang dan Azza. Ehh..dengar kata, Azza mengalami tekanan mental ya?

Edry Adha : Abang tahu. Bibik yang kerja di rumah mama tu, ibu Tengku Ariman. Nita takkan tak tahu, Tengku Ariman tu dah lama sukakan Anita. Dia pikat Azza sebab Azza kacau abang. Macam tak munasabah pula. Sepatutnya, Tengku Ariman tu pikat Nita. Kenapa dia pikat Azza dan nikah dengan Azza pula? Tak faham betul abang.

Anita : Abang cakap apa ni? Tengku Ariman tu siapa?

Edry Adha : Nita tak kenal Tengku Ariman? Diakan suami Azza. Tengku Ariman tu satu kuliah dengan Nita dulu.

Anita: Hah? Azza dah ada suami? Kenapa dia masih kacau abang lagi?

Edry Adha : Manalah abang tahu. Nita tu, takkan Tengku Ariman pun tak kenal? Diakan selalu pergi rumah mama, hantar dan ambil ibu dia.

Anita : Kejap. Macam mana abang tahu, suami Azza tu suka Nita?

Edry Adha : Dia datang kepada abang dan buat pengakuan dia sukakan Nita selepas kita nikah. Rasanya, masa tu Nita masih belajar di U tahun pertama. Dia siap pesan dengan abang lagi, jangan sia-siakan Nita. Kalau abang sia-siakan Nita, dia akan buat abang sengsara. Sebab tu abang bagi peluang untuk dia pikat Nita, tapi dia cakap Nita tak pernah pandang dia pun. Dia kata lagi, Nita memang sayangkan abang, setiap kali dia intip Nita, Nita akan stalk abang. Betul ke?

Anita : Errr..biar betul.

Edry Adha : Betul ke Nita stalk abang? Lebih baik Nita mengaku.
Anita : Errr....


...................................


 Anita : Rumah di tepi sawah. Ada lagi ke rumah macam ni dalam zaman sekarang ni?

Edry Adha : Ada la tu, kalau tak, macam mana abang nak lukis.

Anita : Guna imaginasi

Edry Adha: Tak semudah tu.

Anita : Ooo..jadi abang mengaku la ni, abang ciplak sajakan?

Edry Adha : Ciplak apa pula, abang cuma ambil inspirasi saja dari gambar-gambar dan alam sekitar.

Anita : Hmm..yolah tu.


................................




 

Anita : Rumah kampung, kalau Nita la..tentu halaman rumah ni dah penuh dengan pokok bunga.

Edry Adha : Sebab bukan rumah Nita la, halaman rumah ni tak ada pokok bunga.

Anita : Rumah siapa ni abang?

Edry Adha : Rumah nenek Azza.

Anita : Apa bang? Abang pergi rumah nenek Azza? Konon..tak ada perasaan kat Azza tu, ikut Azza balik sampai ke rumah nenek dia tu, kenapa?

Edry Adha : Cemburu nampak?

Anita : Tak kira, abang tidur luar malam ni.

Edry Adha : Ini cerita lama la sayang.

Anita : Tak kira, tidur luar.

Edry Adha : Menyesal abang berterus terang tadi.

Anita : Siapa yang suruh?

Edry Adha : Kan Nita juga yang kata, dalam rumah tangga, harus iklas dan jujur. Kena saling berterus terang.

Anita : Hmmm...


......................................



Anita : Banyak-banyak lukisan abang, ini saja yang Anita paling suka. Colourful gitu.

Edry Adha : Suka dengan pelukisnya, tak nak mengaku.

Anita : Sampai dah ada anak dah, mestilah suka. Apalah abang ni..

Edry Adha : Haa...mengaku pun.

Anita : Apa yang lembab sangat abang ni? Kalau Nita tak suka abang, tak ada maknanya Nita nak nikah dengan abang.

Edry Adha: Sejak bila Nita suka abang?

Anita: Sejak abang rapat dengan Angah.

Edry Adha : Nita! Abang dengan Adkan berkawan sejak sekolah rendah lagi? Gatal juga Nita ni kan?

Anita : Ehh..sedap saja mengata Nita gatal. Habis, abang tu sejak bila mula sukakan Nita?

Edry Adha : Samalah. Abang rapat dengan Ad pun sebab abang dah sukakan adik perempuan tunggal dia ni. Hehehe..

Anita : Kita ni tengok lukisan ke, saling meluahkan perasaan?

Edry Adha : Dua dalam satu sayang. Sambil menyelam, minum air.


....................................




Edry Adha : Lukisan ni abang lukis khas untuk Nita.

Anita : Hitam putih lagi.

Edry Adha : Tak reti-reti nak ucap terima kasih ke?

Anita : Hehehe..terima kasih abang sayang. Sayang abang tau. Sarang hae oppa. Love you..muah, muah, muah..

Edry Adha : Hmm..sama-sama kasih dan sayang.

Anita : Tapikan..kenapa lukisan ni macam lukisan budak sekolah rendah saja?

Edry Adha : Budak sekolah rendah mana, yang boleh lukis macam ni? Kenalkan budak tu dengan abang.

Anita : Nama dia Edry Adha bin Tan Sri Ramli..hihi...


.....................................



Anita : Wah..abang kalau senyum macam ni selalu, boleh cair hati Nita ni.

Edry Adha : Belum cair lagi ke hati Nita tu? Bukan dah cair ke?

Anita : Belum cair sepenuhnya lagi. Abang kena senyum macam ni selalu, barulah cair sampai melimpah ruah.

Edry Adha : Tak payahlah. Bahaya pula kalau melimpah ruah nanti.

Anita : Kenapa pula?

Edry Adha : Yalah..kalau dah melimpah ruah, Nita dah tak ada hati lagi.

Anita : Macam tu pulak?

Edry Adha : Hurmm...


.....................................




Anita : Gambar Nita pun ada? Siap dengan luahan perasaan lagi. Bila abang lukis ni?
Edry Adha : Takkan Nita tak perasan? Bila Nita pakai baju ni?

Anita : Pertama kali kita keluar selepas kita nikah.

Edry Adha : Tau pun. Abang sempat snap gambar Nita masa Nita tengah jalan tu. Sempat lagi nak buat cat walk tu?

Anita : Abang tahulahkan, dulu Nita berangan nak jadi model pakaian muslimah.

Edry Adha : Kenapa tak gapai impian tu?

Anita : Ehh..tanya pula, abangkan suruh Nita jadi hodoh. Siapa yang nak ambil model hodoh?

Edry Adha : Sekarang dah cantikkan?

Anita : Persoalannya, abang kasi ke Nita jadi model?

Edry Adha : Tak payah nak ngada-ngada erk. Jadi model untuk abang sorang sudah.

Anita : Itulah pasal!..


               Di kejauhan ketika Anita dan Edry sedang melihat lukisan-lukisan itu sambil berbual-bual, sepasang mata sedang memerhatikan mereka dengan perasaan yang sayu.

                ‘’Semoga kau bahagia Anita. Doaku sentiasa mengiringi perjalanan hidupmu.’’ Tengku Ariman berbisik perlahan. Tinggallah kasih, tinggallah sayang, biarpun dirimu bukan milikku, namun cintaku terhadapmu akan tetap bersemadi di dalam hatiku.

                         Buatmu Azza maafkan aku, kerana kau juga tak setia, kasih sayangku juga bukan untukmu. Kini, aku terpaksa membuat pilihan kerana aku tak rela beristerikan wanita yang mengidap penyakit mental. Tinggallah kau bersama kenangan dan masa lalumu. Tinggallah kau bersama keluargamu yang tamakkan harta. Akhirnya muflis juga di dunia yang sementara ini. Aku lepaskan kau demi mencari kebahagiaan sendiri.

Pesanan penaja buat pembaca setia blogku : Biarlah hodoh rupa, asalkan jangan hodoh akhlakmu. Biar miskin di dunia yang sementara, asalkan jangan muflis di akhirat yang kekal abadi. Hodoh, cantik, kaya dan miskin adalah satu ujian. Bertabahlah dan hadapilah setiap ujian dengan kesabaran untuk kekal bahagia di akhirat sana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.