‘’KITA nak teruskan ke?’’
‘’Lebih baik kita tanya pengantin lelaki. Macam mana Zaki? Masih nak
teruskan ke?’’
‘’Kita
teruskan!’’ jawapan terakhir diberi. Tangan Zaki digengam kejap.
‘’Mohammad Zakiuddin Bin Abdul Muiz, aku nikahkan akan dikau dengan Siti
Sarah Ameliana Binti Abdullah berwakil walikan hakim dengan mas kahwinnya
seribu ringgit, tunai.’’
‘’Aku terima nikahnya, Siti Sarah Ameliana Binti Abdullah berwakil
walikan hakim, dengan mas kahwinnya seribu ringgit, tunai.’’ Lancar. Tok kadi
memandang kiri dan kanan.
‘’Sah?’’
‘’Sah!’’ jawapan oleh saksi diberi dengan yakin. Tangan diangkat dan doa
dibaca. Sambil membaca doa, Zaki membayangkan wajah Siti Sarah yang sudah
bergelar isterinya yang sedang terlantar di atas katil hospital. Dia koma,
selepas terlibat dalam kemalangan seminggu yang lalu. Zaki tak nak lepaskannya.
Dia tetap nak teruskan hajat mereka. Menikahi Siti Sarah mengikut apa yang
telah mereka rancang sebelum ini.
***********
Siti Sarah membuka mata perlahan-lahan. Otaknya kosong sekosongnya. Dia
tak tahu di mana di sedang berada. Seluruh tubuhnya terasa sakit dan lenguh.
Kepalanya sakit berdenyut-denyut. Dia cuba bergerak untuk melihat
sekelilingnya, tapi dia tak mampu. Dia cuba mengangkat tangannya dan
mengerakkan kedua belah kakinya, namun kudratnya juga tiada. Dia lemah dan tak
berdaya.
Di mana aku? Kenapa aku terlantar dan hilang upaya seperti ini? Siti
Sarah bertanya dirinya sendiri di dalam hati. Dia cuba mengingati tapi mindanya
juga tidak berfungsi. Ya Allah, apa yang telah terjadi? Dia merintih lagi,
namun suaranya hanya berligar-ligar di dalam hati. Lidahnya kelu dan bibirnya
juga tak mampu bersuara.
‘’Sarah..’’
ada suara wanita yang menyapa. Siti Sarah paksakan diri untuk menoleh. Dia
gagal. Lehernya seakan kejang dan dia tak mampu berbuat apa-apa. Dia ingin
menangis, tapi air matanya juga tidak ingin menitis.
‘’Sarah..ini mama sayang.’’ Suara wanita yang bersuara itu sudah
tersedu. Sarah juga terasa sebak mendengarnya.
‘’Sarah, Sarah dengar mamakan sayang?’’ wanita itu masih bersuara
walaupun Siti Sarah tidak memberi respon. Jiwa Siti Sarah terdera. Dia ingin
bersuara dan meluahkan apa yang dia rasa. Dia ingin memberitahu wanita di
sisinya, bahawa dia sangat sakit dan menderita.
Mama? Sarah? Siapa Sarah? Mama siapa? Akukah Sarah? Mama akukah itu? Siti
Sarah menyoal dirinya sendiri. Dia cuba mengingat lagi, tapi semakin dicuba,
kepalanya semakin sakit. Air mata Sarah gugur juga.
‘’Sarah, kenapa sayang? Sarah sakit? Mama panggilkan doktor ya?’’ wanita
di sebelahnya bersuara cemas sebelum dia terburu-buru keluar. Siti Sarah
memejamkan matanya dan cuba mengingat lagi. Siapa aku? Dia buntu. Kenapa aku
tidak ingat apa-apa? Hati Sarah bertanya lagi.
**************
Sebulan berlalu selepas Sarah sedar dari koma. Walaupun kesihatannya
semakin pulih hari demi hari, namun Sarah kehilangan upaya dan hilang ingatan.
Dia tak kenal orang di sekelilingnya dan Sarah juga disahkan lumpuh. Kata
doktor, kemungkinan Sarah hanya lumpuh buat sementara waktu saja, kerana
otaknya tercedera dan tak dapat berfungsi dengan sempurna. Sarah juga nampak
agak keliru dengan orang yang kerap menziarahinya di hospital. Dia binggung dan
tertanya-tanya siapa mereka. Dia takut andai mereka merapatinya, terutamanya
kaum lelaki.
‘’Sarah okey?’’ Zaki menyoal Sarah yang nampak masih bingung dengan
kehadirannya.
‘’Siapa awak?’’
‘’Sarah tak kenal abang?’’
‘’Abang? Maksud awak?’’ Sarah bertanya lagi.
Zaki menarik nafas dan melepaskannya. Terasa berat benar beban yang
ditanggungnya. Isteri yang dinikahi, tidak mengenali dirinya. Dia juga tak
berani untuk terlalu menghampiri Sarah, apatah lagi untuk menyentuh dan
membelainya. Sarah seolah membenci dirinya. Hati Zaki benar-benar terguris. Dia
harus bersabar, mungkin Sarah bukan sengaja nak menyakiti hatinya. Zaki tidak
mahu syak wasangka.
‘’Suami Sarah.’’ Zaki menjawab dengan tenang. Dia merenung wajah Sarah,
wanita yang telah menjadi isterinya.
‘’Suami? Apa maksud awak? Sarah dah kahwin? Tak! Awak tipu Sarahkan?’’
ketenangan Sarah terganggu. Dia tak percaya, lelaki yang sedang berdiri di
depannya sekarang adalah suaminya. Sejak dia sedar, lelaki ini memang selalu
melawatnya di sini, tapi tiada siapa pun yang memberitahu Sarah bahawa dia
telah bersuami.
‘’Kita dah nikah Sarah, ketika Sarah masih koma lagi. Sarah kemalangan
ketika kita sedang merancang untuk bernikah. Abang tak nak tangguhkan tarikh
pernikahan kita, jadi abang minta keluarga kita teruskan.’’ Zaki cuba
memberikan penerangan. Hati dan jiwa Sarah terganggu. Dia buntu. Kenapa? Kenapa
harus begini? Benarkah, aku telah bernikah dengan lelaki ini? Sarah berperang
dengan dirinya sendiri.
‘’Tidak!’’ Sarah menjerit tiba-tiba. Mata Sarah merenung tajam ke arah
Zaki. Zaki terkejut melihat respon Sarah. Zaki tergaman di tempat dia berdiri.
Marahkah Sarah? Hati Zaki bertanya sangsi. Maafkan abang Sarah kerana membuat
keputusan tanpa kebenaran Sarah. Hati Zaki berbicara lagi. Air matanya hampir
bergenang.
‘’Tidak! Sarah tak ada suami. Sarah belum kahwin. Awak bukan suami
Sarah.’’ Sarah meracau dan cuba menafikannya. Zaki diterpa perasaan bersalah.
Maafkan abang Sarah.
‘’Sarah, jangan macam ni. Bertenang Sarah..okey, kalau Sarah tak mahu
terima abang sekarang, abang takkan paksa Sarah. Tapi, abang mohon, izinkan
abang untuk melawat Sarah dan menjaga Sarah.’’ Zaki cuba menenangkan Sarah dan
menawarkan bantuan. Hatinya resah melihat keadaan Sarah. Dia takut kerana
pengakuannya, jiwa Sarah akan terganggu.
‘’Keluar! Sarah tak nak tengok awak!’’ suara Sarah semakin kuat.
Nafasnya menjadi semput kerana menahan perasaan marah. Suami? Suami aku?
Ahh..kenapa? Kenapa dia? Hati Sarah berdongkol geram. Dia tak menduga, mereka
akan nikahkan dia ketika dia masih tidak sedar diri. Sahkah pernikahan mereka?
Sarah turut sangsi.
‘’Bertenang Sarah. Istighfar...’’ Zaki masih cuba memujuk Sarah yang
kelihatan sudah hilang pertimbangan.
‘’Keluar!’’ sekali lagi Sarah menghalau Zaki keluar. Tercabar harga diri
seorang suami, namun Zaki masih kelihatan tenang, walaupun hatinya sedang
menangis di dalam. Hatinya sakit dan perasaan bersalah menguasai diri sekali
lagi. Maafkan abang Sarah. Hati Zaki menjerit dan dia mula mengimbas lagi saat
pertemuannya dengan Sarah.
***********
Beberapa
bulan yang lalu...
Zaki sedang mengambil
gambar permandangan sekeliling sambil melayan lagu-lagu kegemarannya. Headphone
yang dipasang di telefon bimbit dipakainya. Gayanya bersahaja dan santai. Hidup
Zaki bebas tanpa konkongan kedua orang tuanya. Zaki bebas melakukan apa saja
yang digemarinya. Bebas tak bermakna, tidak dipedulikan. Dan Zaki bijak
mengawal diri. Setakat ini, dirinya masih terjaga dari melakukan kegiatan
diluar kawalan.
Sambil mengambil gambar, Zaki memerhatikan gelagat orang ramai. Dia merasa
begitu teruja dengan keadaan di sekelilingnya. Dunia, dengan perbagai isi dan
ragamnya. Hati Zaki berbisik sendiri.
Ehh..kenapa dengan perempuan tu? Zaki berbicara di dalam hati. Seorang
perempuan yang sedang duduk bersendirian di tepi tasik berkelakuan agak aneh.
Dia macam sedang menangis, tapi dalam masa yang sama, dia menjamah makanan. Air
matanya bercucuran, sedangkan mulutnya asyik menyuap tanpa henti.
‘’Assalamualaikum..’’
Zaki memberi salam. Dia memerhatikan perempuan yang berkelakuan aneh di
depannya. Dengan wajah yang kusut masai dan tudung yang senget. Lagaknya, macam
wanita yang baru kematian suami.
‘’Apa?’’ dengan mulut yang penuh, perempuan itu menyoal kembali. Zaki
ingin ketawa, tapi dia tak berani. Dia cuba mengawal riak wajahnya dan mengulum
senyum dalam diam. Ah..cutenya dia. Hati Zaki berbisik.
‘’Tak ada apa. Cuma nak bagi salam saja. Okey..saya tahu, awak tak nak
diganggukan?’’ Zaki cuba beramah mesra. Kalau boleh, dia ingin kenal perempuan
di depannya ini. Dia macam dah jatuh cinta pandang pertama. Lucunya..
‘’Tau takpa!’’ perempuan itu berkata lagi dan terus memasukkan makanan
ke mulutnya. Dalam masa yang sama, air matanya turut gugur ke pipi tanpa henti.
Zaki tak sampai hati nak biarkan perempuan itu dalam keadaan ini seorang diri.
Dia turut melabuhkan punggungnya di atas rumput.
‘’Awak..awak nak kahwin dengan saya tak? ‘’ tanpa terduga, perempuan itu
menyoalnya sebaik punggung Zaki berlabuh di atas tanah. Zaki tergamam. Lama
juga dia berjeda dan memandang ralit ke wajah perempuan itu.
‘’Kekasih awak lari ke?’’ soalan Zaki membuatkan wanita itu mengeleng
laju.
‘’Habis tu? Kenapa awak ajak saya kahwin?’’ Zaki berminat ingin tahu.
Dia memandang perempuan di sebelahnya yang sedang mengelap bibirnya yang
sememeh dengan makanan. Macam-budak-budak tak cukup umur saja, gayanya makan
ketika ini.
‘’Tak. Kekasih saya tak lari ke mana-mana. Tapi..tapi..’’ perempuan itu
menangis lagi. Kali ini dia sudah teresak-esak sambil mencapai pula bekas ais
krim. Dia makan ais krim pula sambil menangis. Zaki ingin ketawa, tapi dia juga
keliru saat ini. Dadanya juga turut rasa sebak dalam masa yang sama. Apa
masalah perempuan ini? Zaki bertanya dirinya sendiri.
‘’Awak. Jangan macam ni..nanti orang ingat, saya yang buli awak.’’ Zaki
bersuara lagi, seakan ingin memujuk. Tapi, pujukannya tak menjadi, perempuan
itu semakin galak menangis. Zaki hilang punca.
‘’Awak..tengok awan tu, cantikkan? Kalau awak ada masalah, awak
pandanglah awan dan bercakaplah dengan Allah. Luahkan semua masalah awak kepada
Allah. Dia mengetahui segala isi hati awak. Menangis macam ni, takkan
menyelesaikan masalah awak pun. Lagi pun, ini tempat awam. Apa pula kata orang
nanti. Bersabarlah awak. Allah menguji mesti bersebab..’’
Zaki cuba berlagak pandai. Dia mengungkapkan kata-kata yang selalu
dibacanya di laman sosial. Ada juga kelebihannya laman sosial ni, lebih-lebih
lagi kalau ada rakan-rakan yang selalu mengemas kini status yang berunsur
nasihat dan motivasi.
‘’Nah..dengar lagu ni..mesti hati awak akan lega selepas ini..’’ Zaki
berkata lagi sambil menghulurkan headphone kepada wanita di sebelahnya. Dia
mencari lagu yang sesuai untuk wanita itu dengar. Dia simpati melihat wanita
itu menangis tanpa henti.
Jangan
Menangis Lagi (Kangen Band)
Aku jatuh cinta lagi
Untuk yang kesekian kali
Dan kurasa tapi kali ini
Ku temukan cinta sejati
Yang tinggal dalam palung hati
Mahligai cinta yang sejati
Ku rasa aku cinta mati
Wanita hanya sorang p******r
Ku temukan di sudut malam
Ku lihat dia sedang menangis
Sedang menangis2x
Sudahlah..
Jangan menangis lagi
Dengarlah kekasih
Aku di sini
Sudahlah..
Lupakan masa lalumu
Peluklah tubuhku
Ku bersamamu..oooooooo...
‘’Awak gila? Ambil balik!’’ perempuan itu melengking tiba-tiba. Headphone
dicampak ke arah Zaki. Tergaman Zaki dengan kelakuan perempuan itu. Dia
mencapai headphone dan mendengar lagu itu.
‘’Aku bukan p*****r la bodoh!’’ perempuan itu terus mengamuk dan
menbuntangkan matanya. Tangisannya tadi terus terhenti. Wajah perempuan itu
merah. Zaki yang rasa bersalah. Tersalah pilih lagu daa..
‘’Maaf awak. Saya ingat nak pujuk awak, sebab lagu tu tajuk, Jangan
Menangis Lagi. Saya tak nak awak menangis, dan saya rasa, saya dah jatuh cinta
dengan awak. Jatuh cinta pandang pertama..’’ dalam meminta maaf atas
kesalahannya, Zaki tersasar kata. Terluah juga perasaannya tanpa sedar.
‘’Saya anak haram. Anak luar nikah. Awak nak nikah dengan saya? Nak?’’
perempuan itu bertanya. Zaki terus tergaman buat kesekian kalinya. Kenapa
perempuan ini terlalu berterus terang? Hati Zaki menjadi ragu.
*********************
Sejak
pertemuan pertama itu, Zaki selalu berjumpa Sarah di tempat yang sama. Setiap
kali dia jumpa Sarah, mesti Sarah sedang menangis sambil makan dan makanan
pilihannya adalah makanan ringan yang tak berkhasiat. Kata Sarah, itulah
caranya untuk melepaskan stress.
Mereka sering berjumpa dan bercerita. Perkara yang membuatkan Sarah
lebih tertekan, bila dia mendapat tahu, dia tinggal dengan keluarga angkat dan
lelaki yang dicintainya sepenuh hati adalah abang kandung satu ibu dengannya.
Ibu kandungnya diperkosa dan dia dilahirkan. Bukan itu saja, dia dibuang
keluarga dan dijadikan anak angkat oleh keluarga yang dianggap keluarganya
sendiri selama ini.
Kisah Sarah terlalu menyayat hati dan Zaki semakin bersimpati dengannya.
Dia ingin melindungi Sarah dan menjadi suami Sarah. Janji pun dibuat dan
pertunangan diikat. Seminggu sebelum tarikh pernikahannya, Sarah mendapat tahu,
lelaki yang dicintainya, bukan abang kandungnya pula. Sarah ingin putuskan
pertunangan mereka tapi Zaki tak setuju dan nak meneruskan perhubungan mereka.
Dalam masa yang sama, keluarga Zaki pula mendapat tahu kisah Sarah dan
menghalang perhubungan itu diteruskan. Segalanya menjadi semakin rumit. Sarah
tertekan hingga terlibat dalam kemalangan. Dia cuba melupakan semua kejadian
yang berlaku dan nampaknya, hasratnya termakbul. Sarah hilang ingatan, atau dia
sengaja berpura-pura hilang ingatan? Zaki juga sangsi dan keliru.
Lelaki yang dicintai Sarah sebenarnya abang tiri Sarah. Ibu kandung
Sarah mengahwini ayah tirinya selepas melahirkan Sarah. Ayah tiri Sarah adalah
duda beranak tiga. Sarah tahu semua sejarah hidupnya, selepas keluarga angkat
Sarah dan keluarga kandungnya bertemu untuk mengikat tali pertunangan
kedua-duanya. Sarah dan Zaidi terpaksa beralah dan membawa haluan masing-masing
dengan hati yang terluka. Tapi..sekarang ni yang tersepit adalah Zaki.
Ya
Allah, berat benar dugaan ini. Aku sayangkan Sarah dan aku tak mahu
lepaskannya. Beri aku peluang untuk menjadi suami padanya hingga hujung nyawa.
Bantu aku Ya Allah, untuk mengekalkan perhubungan kami. Zaki berdoa di dalam
hati. Hatinya sedang walang.
************
‘’Pernikahan kita tak sah! Awak bukan suami saya...’’ Zaki terkejut
mendengar ungkapan Sarah bila dia datang melawat Sarah selepas dia dihalau
keluar. Apa pula alasan Sarah kali ini? Kenapa dia masih nak menafikannya?
‘’Kenapa Sarah cakap macam tu? Beri abang peluang Sarah. Jangan buat
kenyataan macam tu. Kita nikah cukup syarat Sarah. Bukannya kita nikah di siam
pun. Bukannya kita nikah tanpa restu. Semua keluarga kita dah setuju Sarah..’’
‘’Tapi Sarah tak setuju! Awak lupa, saat kita diijab kabulkan, Sarah
sedang terlantar koma. Sarah tak tahu apa-apa pun..’’
‘’Sarah dah setujukan sebelum tu? Sarah yang tandatangan. Kami cuma teruskan
apa yang yang telah kita rancang Sarah.’’ Zaki masih ingin memujuk Sarah. Dia
benar-benar tak rela kehilangan Sarah. Kalau boleh, dia nak meluru ke arah
Sarah dan merangkul Sarah ke dalam pelukannya. Dia nak pujuk Sarah agar
teruskan perhubungan mereka yang dah sah bergelar suami dan isteri.
‘’Kenapa tak tunggu Sarah sedar? Kenapa nak buat keputusan sendiri?
Sarah juga ada hak untuk menentukan masa depan Sarah! Kenapa? Kenapa?’’ Sarah
menyoal bertalu-talu dan air matanya berjuraian selepas itu. Fikiran Zaki
menjadi serabut. Perasaan bersalahnya terus menyerbu dalam hatinya. Aku sayang
kau Sarah. Itulah sebabnya. Aku tak nak kehilangan kau Sarah. Zaki berbisik
lagi di dalam hati. Sebak dadanya saat ini cuba dikawal lagi.
‘’Sahkah pernikahan kita? Sarah muskhil..’’ suara Sarah kedengaran lagi.
Yang Zaki tahu rukun nikah ada lima perkara. Lelaki, wanita, wali, saksi, ijab
dan kabul. Semuanya sudah sempurna dan Sarah juga sudah menurunkan
tandatangannya tanda persetujuannya.
‘’Sarah..kalau Sarah belum bersedia untuk terima abang, tak apa..abang
redho dan sanggup untuk tunggu Sarah, tapi tolong jangan ragu-ragu dengan
pernikahan kita. Dan..izinkan abang untuk jalankan tanggungjawab abang sebagai
suami Sarah yang sah..’’
‘’Sarah tak nak!’’
‘’Sarah..’’
‘’Sarah tak nak! Tak nakk!’’
‘’Jangan macam tu Sarah. Berdosa seorang isteri yang..’’
‘’Apa? Jangan nak ceramahkan Sarah pula! Siapa yang nak teruskan semua
ni? Awakkan? Kalau awak tak setuju untuk jabat tangan Tok Kadi dan angkat Ijab
dan Kabul..semua ini takkan terjadi. Tak boleh ke tunggu Sarah sedar dulu? ‘’
Sarah masih menyalahkan Zaki. Mengeluh lagi Zaki tanpa sedar. Sarah..terimalah
kenyataan sayang, kita dah jadi suami isteri yang sah. Zaki berbicara lagi
dengan dirinya sendiri. Dadanya sakit yang teramat. Sarah masih menafikan
haknya sebagai suami. Sarah masih tidak mahu menerima dirinya.
Ya Allah, berikan aku ketabahan dan kesabaran. Aku
bukan seorang lelaki yang kuat untuk menanggung semua beban perasaan ini. Aku
tak mahu Sarah terus sedih, tapi dalam masa yang sama, aku tak nak kehilangan
Sarah. Adakah aku lelaki yang pentingkan diri sendiri? Aku percaya, Sarah
memang jodohku. Kalau tak, tentu kami takkan dipertemukan dan pernikahan aku
dan Sarah tentu akan mendapat tentangan oleh semua pihak. Ya Allah, aku buntu.
Bantu aku untuk selesaikan masalah ini.
***************
Ya Allah, aku hambaMU yang lemah, seringkali
tersasar arah. Aku mohon petunjukMu agar aku dapat menerima dia seadanya. Aku
tahu aku bersalah. Aku sedar aku berdosa, tapi hati ini ingin menidakkan
kehadirannya.
Ya
allah, aku tahu dia menerima aku seadanya. Aku tahu jodoh aku memang untuknya,
namun aku belum bersedia untuk menerima ketentuan ini. Ampunkan aku Ya Allah.
Beri aku peluang untuk mencari diriku terlebih dahulu sebelum aku merelakan
diriku untuk menjadi isterinya.
Aku
hilang arah tujuan. Aku hilang keyakinan diri ketika ini. Aku perlukan ruang
untuk menganalisis diri sendiri. Aku perlukan masa untuk memikirkan masa
depanku bersamanya. Aku perlu memenuhkan jiwaku dengan Iman dan Taqwa sebelum
aku menerima cintanya sebagai suamiku. Maafkan aku.
Sarah menutup buku hariannya. Sejak dia pulang ke rumah, buku harian itu
yang menjadi temannya untuk meluahkan perasaan. Dia tak berani untuk
membicarakan perihal hatinya kepada orang lain. Bagi Sarah, tiada sesiapa pun
yang memahami hatinya ketika ini. Sarah sedih, bila memikirkan semua orang
sudah menyingkirkan dirinya.
Ingatannya masih belum pulih sepenuhnya. Kalau ada bayangan pun, ianya
masih samar-samar. Sarah tak percaya, semua ini terjadi dalam hidupnya. Dia
rasa sunyi. Rasa disisihkan dan baginya, seluruh isi dunia ini sudah
membuangnya.
Ya
Allah, bantu aku untuk mengatasi semua ini dengan hati yang Redha. Aku
keliru..aku takut aku hilang arah dan tersasar dari Jalan benarMu. Aku tahu,
tanggungjawab seorang isteri adalah taat pada suami, tapi aku tak mampu untuk
laksanakan tanggungjawab itu ketika ini. Hati aku belum bersedia. Jiwa aku tak
dapat menerima kehadirannya. Aku tak tahu, kenapa?
Sarah berbisik di dalam hati. Hanya kepada Allah tempat dia mengadu, dan
Sarah pasti Allah sedang mendengar semua bisikan hatinya ketika ini. Sarah
ingin menjadi kuat berdepan dengan cobaan ini. Namun, Sarah akur dengan
kelemahan diri sendiri. Dia nampak tabah di luar, sedangkan hatinya menangis di
dalam.
‘’Sarah..’’ terdengar namanya diseru,
Sarah menoleh. Puan Zainab sedang merenung Sarah yang selalu termenung sejak
pulang ke rumah. Di tepi tingkap inilah Sarah menghabiskan masanya setiap hari.
Pagi atau petang, siang dan malam, kerja Sarah hanya termenung dan Sarah seolah
tidak berada di dunia nyata.
‘’Mama..’’ Sarah membalas sapaan Puan Zainab sambil cuba mengukirkan
senyuman. Wajahnya yang masih pucat tak bermaya, cuba dimaniskan sedaya
mungkin, walaupun senyumannya kelihatan hambar.
‘’Kenapa ni Sarah? Mama tengok, Sarah macam tak gembira saja, balik
rumah?’’
‘’Sarah happy mama, tapi Sarah keliru. Betul ke Zaki tu suami Sarah,
mama? Banyak perkara yang membuatkan fikiran Sarah bercelaru sekarang ni,
mama..’’ Sarah berterus terang dengan Puan Zainab. Dia tak pasti, apa yang
tersembunyi di sebalik semua kejadian. Hatinya belum dapat menerima Zakiuddin
sepenuh hati. Dia sangsi setiap kali dia melihat Zaki.
‘’Betul Sarah. Kenapa Sarah masih ragu-ragu? Zaki nak teruskan
pernikahan Sarah bersebab Sarah. Dia nak jaga Sarah. Dia nak halalkan
perhubungan dia dan Sarah. Sepanjang Sarah koma, Zaki yang menjaga Sarah. Mama
ni Sarah faham sendirilahkan. Mama tak sihat, papa pula sering sibuk
menguruskan bisnes dia, kalau tak ada Zaki, mama pun tak tahu, siapa yang akan
jaga Sarah di hospital. Zaki tak pernah culas untuk menjenguk Sarah setiap kali
waktu melawat.’’
Panjang
lebar Puan Zainab memberikan penjelasan kerana itulah hakikat sebenarnya. Dia
nampak dengan jelas betapa Zaki amat menyayangi Sarah. Dia pasti kasih sayang
Zaki terhadap Sarah, bukan lakonan semata-mata. Zaki ikhlas terhadap Sarah, itu
yang Puan Zainab rasa.
‘’Dia melawat Sarah?’’
‘’Ya, kenapa? Sarah tak percaya?’’
‘’Setiap kali waktu melawat?’’
‘’Iya!’’
‘’Dia tak kerja ke mama?’’
‘’Kenapa Sarah tak tanya dia..’’ Puan Zainab tersenyum, nampaknya Sarah
berminat juga untuk ambil tahu tentang Zaki.
‘’Ishh..malaslah Sarah nak tanya dia, nanti dia ingat Sarah berminat
dekat dia pulak.’’
‘’Tak berdosa pun Sarah. Suami Sarahkan..’’
‘’Tak nak ahh..mama...’’
‘’Sarah, Sarah..’’ Puan Zainab mengelengkan kepalanya berkali-kali mendengar
kata-kata Sarah. Ego Sarah memang tinggi. Kalau dia suka seseorang pun, dia
pendamkan saja. Tiba-tiba, minda Puan Zainab terimbas kejadian sebelum Sarah
kemalangan. Pertemuan kembali Sarah bersama ibu kandungnya. Puan Zainab menarik
nafas dan melepaskannya. Kesian Sarah. Hidupnya menjadi huru hara selepas itu
hingga dia terbabit dalam kemalangan. Bagi Puan Zainab, kehadiran Zaki
melenyapkan segala kerumitan dalam hidup Sarah, sebab itulah dia dan suaminya
Encik Shahid berpakat untuk menerima Zaki, walaupun dalam masa yang sangat
singkat.
‘’Mama..Sarah ingat, Sarah nak sambung belajarlah mama. Bosanlah tinggal
di rumah.’’
‘’Apa sarah?’’
‘’Sarah nak sambung belajar.’’
‘’Sarahkan masih tak sihat. Macam mana nak keluar dengan kerusi roda
ni?’’
‘’Sarah nak belajar secara online dulu mama. Lepas tu, Sarah nak ambil
exam. Dah sihat nanti barulah Sarah nak mohon untuk belajar di mana-mana kolej.
Lagi pun, daripada Sarah tak buat kerja apa, lebih baik Sarah habiskan masa
dengan belajar. Dapat juga ilmu. Kan mama?’’
‘’Sarah
dah minta izin Zaki?’’
‘’Alah, mama ni..Zaki, Zaki, Zaki..tak sebut nama dia tak boleh ke
mama?’’ tiba-tiba Sarah membentak. Tergaman juga Puan Zainab melihat respon
Sarah. Kenapa Sarah marah sangat dengan Zaki agaknya?
‘’Diakan suami Sarah. Nak buat apa pun, kenalah minta izin suami, Sarah.’’ Tegas nada suara Puan Zainab. Matanya
merenung tepat ke wajah Sarah yang kelihatan gelisah ketika ini.
‘’Kenapa mama dan papa izinkan dia nikah dengan Sarah? Kenapa tak tunggu
Sarah sedar dulu mama? Sarah belum bersedia mama. Sarah macam..’’ kata-kata
Sarah terhenti. Dia mencari ayat yang sesuai untuk diluahkan.
‘’Sarah..’’ Sarah buntu. Mindanya kosong untuk terus mengungkapkan kata.
Apakah alasan terbaik untuk menolak Zaki? Sarah berbicara di dalam hati.
‘’Sarah..abang izinkan Sarah belajar. Tak apa, abang redho kalau Sarah
belum bersedia untuk menerima abang sebagai suami. Kalau Sarah nak abang
tinggalkan Sarah buat seketika pun, abang akan lakukan. Tapi..abang minta,
Sarah jangan minta abang lepaskan Sarah. Perkara tu, abang takkan lakukan. Bagi
abang, ijab dan kabul hanya sekali. Beri abang masa, untuk fikirkannya, dan
abang pun akan beri masa untuk Sarah fikirkan tentang perhubungan kita.’’ Tak
tahu dari mana Zaki datang, tak semena-mena dia mencelah perbualan Sarah dan
Puan Zainab. Mungkin Zaki dah lama memasang telinga mendengar perbualan mereka.
‘’Zaki, Sarah..berbincanglah elok-elok. Sarah..mama tinggalkan Sarah
dengan Zaki. Tanyalah dia, apa yang Sarah nak tahu. Jangan nak mengamuk tak
tentu pasal. Berdosa derhaka dengan suami.’’
‘’Mama!..’’ Puan Zainab ingin berlalu, tapi namanya diseru Sarah. Dia
menoleh ke arah Sarah dengan wajah tenang. Hatinya digeletek lucu, melihat
wajah gelisah Sarah.
‘’Berbincang dengan Zaki, Sarah. Dia yang menentukan hala hidup Sarah
sekarang ni. Mama dan papa, tak boleh buat keputusan untuk Sarah.’’ Puan Zainab
bersuara tegas. Sarah menundukkan wajah. Dia ingin menangis, tapi air matanya
tidak sudi untuk menjengah.
‘’Terima kasih mama..’’ Zaki berterima kasih
dengan Puan Zainab kerana memberi peluang padanya untuk menjadi suami yang baik
untuk Sarah. Dia sangat terharu dengan sikap ibu mertuanya. Puan Zainab hanya
mengangguk dan tersenyum sebelum berlalu.
********************
Zaki menghampiri Sarah. Dia menarik kerusi dan meletakkan kerusi di
sebelah kerusi roda Sarah. Dia melabuhkan punggung di atas kerusi dan melihat
di kejauhan melalui tingkap yang terbuka luas. Kemudiannya, dia menoleh ke arah
Sarah dengan lama. Sarah pula sedang melihat kehijauan pohon-pohonan di depan
rumah mereka. Dia tak berani untuk menoleh di sebelahnya. Dia tahu, Zaki sedang
merenungnya ketika ini.
‘’Sarah..’’ Zaki memanggil sambil tangannya cuba mengapai tangan Sarah.
Mengeletar Sarah dengan tindakan Zaki yang tidak diduganya. Sarah cuba menarik
tangannya, namun Zaki lebih pantas.
‘’Beri abang peluang Sarah. Abang takkan paksa Sarah, untuk menerima
abang sekarang ni. Sarah berhak untuk menolak abang, tapi bukan untuk
memutuskan perhubungan kita. Buat masa sekarang, abang nak Sarah tenangkan diri
Sarah dulu. Jaga kesihatan Sarah dan pulih macam biasa.
Abang akan beri masa pada Sarah. Sebanyak mana masa yang Sarah nak,
Sarah yang tentukan. Setahun? Dua tahun? Abang akan tunggu Sarah, tapi jangan
lama-lama sangat. Nanti abang rindu.’’ Zaki terdiam beberapa saat selepas
mengungkapkan kata-kata terakhirnya. Tujuannya ingin berseloroh, dalam masa
yang sama, dia juga ikhlas mengungkapkan ayat-ayatnya itu.
‘’Sarah nak tanya apa dengan abang? Tanyalah, kaunter pertanyaan sedang
terbuka untuk Sarah. Anytime, anywhere..’’ Zaki masih ingin bergurau dengan Sarah,
walaupun setiap kata-katanya tidak mendapat balasan. Dia tersenyum sendiri sambil
terus menatap wajah Sarah. Kalau ikutkan hatinya yang sedang membuak-buak rasa
sayang terhadap Sarah, ingin dirangkulnya Sarah ketika ini.
‘’Tadi..abang dengar Sarah tanya mama. Sarah nak tahu, abang kerja
apakan?’’ Zaki masih berceloteh. Matanya masih ralit meratah wajah Sarah.
Seketika Sarah menoleh ke arahnya. Zaki mengukirkan senyuman. Tangan Sarah
masih digengamnya.
‘’Awak curi dengar ke?’’ Sarah bertanya dalam nada perlahan. Dia cuba
mengawal perasaannya agar tidak bersuara kasar dengan Zaki macam selalu. Zaki
tersenyum lagi. Ditarik tangan Sarah dan dikucupnya. Tergaman Sarah dengan
perbuatan Zaki. Sepatutnya, sebagai isteri Sarah yang perlu kucup tangan Zaki.
Ini sudah terbalik pula. Sarah menarik tangannya, tapi Zaki mengeleng laju.
‘’Izinkan abang pegang tangan Sarah untuk hari ini. Abang tak dapat
pegang hati Sarah lagi. Tak apa, cuma izinkan abang pegang tangan Sarah untuk
hari ini saja. Abang nak kena pergi ke Sabah selama dua tahun, atas urusan kerja.
Abang akan bertolak malam ni. Sarah tinggal dengan mama ya?’’ Zaki bersuara
sebak tiba-tiba. Sarah menunggu untuk mendengar kata-kata Zaki selanjutnya.
Sarah keliru lagi. Tadi, Zaki cakap akan menunggunya bersedia untuk menerima
Zaki. Sekarang ni lain pula. Zaki akan tinggalkan dia? Mana satu yang betul ni?
Mana satu yang harus Sarah percaya?
‘’Kenapa pula? Kenapa awak nak pergi ke Sabah? Tadi..awak cakap..’’
Sarah tak dapat menghabiskan kata-katanya. Tak semena-mena hatinya menjadi
sebak. Sepatutnya dia gembira. Dia lagi keliru dengan hatinya sendiri.
‘’Sarah tak nak abang pergi? Kalau Sarah tak kasi abang pergi, abang
takkan pergi. Lagi pun, abang pergi ni selain urusan kerja, sebab abang nak
bagi peluang pada Sarah untuk berfikir. Sepanjang abang tak ada ini, kalau
Sarah rindukan abang, Sarah..’’ Zaki tak jadi meneruskan kata-katanya bila
melihat air mata Sarah sudah mengalir. Ahh..dia tak faham dengan sikap orang
perempuan ni. Sayangkah Sarah padanya?
‘’Sarah...kenapa menangis pula ni?’’ Zaki serba salah. Bukan niat dia
untuk menyakitkan hati Sarah. Dia hanya nak memberi Sarah peluang untuk
berfikir. Kerja dia memanglah tak sepenting mana. Bagi Zaki, Sarah lebih
penting dari kerja. Zaki menarik Sarah rapat padanya dan merangkul tubuh Sarah.
Tidak pula Sarah menolak. Hati Zaki berbunga riang. Dapat juga dia memeluk
tubuh isterinya ini, namun kebahagiaannya tak lama. Sarah menolak tubuh Zaki
dan mengesat air matanya.
‘’Jangan nak ambil kesempatan..’’ Sarah berkata perlahan. Zaki
tersenyum, sekali lagi dia menarik tangan Sarah dan mengucupnya. Sarah rimas,
akhirnya Sarah juga berbuat perkara yang sama. Kali pertama Sarah mengucup
tangan Zaki. Terdiam Zaki melihatnya.
‘’Sarah minta maaf. Terima kasih bagi Sarah peluang. Pergilah..Sarah
tunggu awak pulang. Kalau Sarah rindu nanti, Sarah mesej awak. Masa tu awak
kena balik ke sisi Sarah.’’ Malu-malu Sarah mengungkapkan kata, walaupun
sebenarnya dia sendiri tidak pasti apa yang sedang berlaku. Sarah masih keliru.
Itulah kebenarannya. Dia takut untuk terus berkasar. Dia takut untuk jadi isteri
derhaka. Dia takut untuk menanggung dosa berterusan. Dia takut sesuatu terjadi
terhadap Zaki dan dia tak dapat kemaafan dari Zaki. Sabah itu terlalu jauh
untuk mereka berdua.
‘’Terima kasih Sarah..’’ dalam mengungkapkan kata, tanpa sedar Zaki
menarik Sarah dan mengucup dahi Sarah. Tergaman lagi Sarah dibuatnya.
Perlahan-lahan dahinya itu disentuh. Masih terasa kehangatannya. Wajah Sarah
turut berbahang.
‘’Ambil kesempatan lagi?’’
‘’Sorry. Spontan, tak dapat dikawal. Lagi pun, tu bekal untuk abang nak
berpisah dengan Sarah. Kalau boleh, dua saat pun abang tak nak berpisah dengan
Sarah. Inikan pula dua tahun. Tapi, apakan daya, Sarah tak sudi terima abang,
terpaksalah abang pergi bawa diri, tapi hati abang, Sarah pegang ya? Jangan
buang hati abang.’’ Zaki masih ingin berseloroh, sedangkan hatinya sebak saat
mengungkapkan kata-kata itu. Sarah mengangguk perlahan. Hatinya juga menjadi
libang-libu. Dia keliru!
***************
Zaki mengeliat puas sambil mendepangkan
kedua-dua belah tangannya. Gunung Kinabalu yang berada di depan matanya
kelihatan sangat indah dan memukau pandangan. Hajat di hatinya untuk menakluk
puncak Gunung Kinabalu. Kerja Zaki bukanlah penting sangat. Hobi Zaki
mengembara ke seluruh pelosok dunia. Dia ingin menjelajah ke tempat-tempat
indah.
Zaki mempunyai bisnes sendiri. Kedai gambar yang menjual hasil-hasil
lukisan penulis terkenal dan menjual cakera padat dan sebagainya. Zaki juga
mempunyai hobi mengambil gambar-gambar permandangan dan mencucinya lalu
difremkan dan dijual.
Zaki memang sengaja memilih Negeri Di Bawah Bayu ini sebagai
destinasinya. Dia ingin mencari kedamaiaan hati dan ingin meluangkan masa
mencipta pengalaman baru di sini. Melihat saja Gunung Kinabalu dari Internet
tak mendatangkan kepuasan untuknya. Dia ingin merasai sendiri suasana di sini.
Dia ingin mengambil sebanyak mungkin gambar permandangan di sini. Kemudian, dia
akan cuci dan fremkan, dan kemudian akan dijual dengan harga yang berpatutan.
Zaki ingin hidup bebas tanpa konkongan keluarga dan tugas hariannya.
Kerjaya yang dipilihnya juga, takkan membuatkan hidupnya terkonkong. Kedai
gambar miliknya, ada pembantu yang menguruskannya. Mereka dibayar gaji dan
mereka diberi kepercayaan. Zaki tak pernah menaruh curiga terhadap
pekerja-pekerjanya. Dia ingin bebas dari perasaan curiga dan was-was. Zaki
ingin bebas dari semua perasaan yang akan menyakitkan hatinya.
*****************
Sarah
tersentak dari tidurnya. Dahinya berpeluh. Jiwanya resah dan gelisah. Mimpinya
kembali menjengah minda. Ya Allah, mimpi apakah ini? Tidak! Walaupun hati aku
belum menerima dia sepenuhnya, tapi ketika ini aku tak sanggup kehilangan dia.
Beri aku peluang kedua, Ya Allah. Untuk menjadi seorang isteri pada
Zaki. Jangan rampas dia dariku. Jangan biarkan jiwa aku terdera begini. Maafkan
atas segala dosaku. Ampunkan aku Ya Allah, kerana menidakkan hak Zaki
terhadapku. Tolong, jangan rampas dia dari hidupku. Kembalikan dia di sisiku Ya
Allah.
Baru kini aku terasa kehilangannya, walaupun baru sebulan dia
meninggalkan aku di sini. Tanpa sebarang khabar berita. Tanpa mesej ataupun
panggilan. Aku rindu! Sungguh, aku terlalu rindukan dia. Harap mimpi ini tidak
benar. Mudahan. Mimpi ini hanya mainan tidur.
Sarah
kembali mengimbas mimpinya sebentar tadi. Dia nampak Zaki sedang berjalan di
tepi jurang dan Zaki tergelincir lalu jatuh ke dalam gaung/ Usaha menyelamat
dilakukan tapi Sarah terkejut dan sedar dari tidurnya. Hatinya keliru dan
jiwanya memberontak. Dalam hatinya memanjat doa, agar mimpi itu tidak benar.
Itu semua kerana perasaan risaunya yang hadir terhadap Zaki. Marah sangatkah
Zaki terhadapnya hingga terus menyepikan diri begini?
‘’Sarah..’’ sedang Sarah memikirkan segala kemungkinan, namanya diseru
dari luar dikuti dengan ketukan kuat di pintu bilik. Seketika kemudian pintu
biliknya terkuak. Puan Zainab dan Encik Shahid sudah terjengol di muka pintu
dengan wajah cemas.
‘’Kenapa mama? Papa?’’ Sarah menyoal dengan perasaan curiga bercampur
cemas juga. Mimpinya kembali mengetuk minda. Ya Allah, jangan buat aku macam
ni. Beri aku peluang kedua Ya Allah. Hati Sarah terus merintih di dalam. Dia
diserbu dengan perasaan bersalah yang teramat sangat.
‘’Mertua Sarah call..Zaki, dia..’’ sambil menghampiri katil Sarah, Puan
Zainab mengungkapkan kata. Teragak-agak untuk bercerita. Semakin cemas Sarah
dibuatnya.
‘’Kenapa dengan Zaki, mama?’’ cemas Sarah bertanya. Dia sudah mula
mengerakkan kakinya perlahan-lahan untuk turun dari katil, walaupun terasa
sangat sukar.
‘’Sarah bersabar ya. Mama tolong Sarah
bersiap. Kita pergi ke rumah mertua Sarah sekarang juga. Bersiap ya Sarah.’’
Puan Zainab cuba bersuara tenang. Dia menghampiri almari dan mengeluarkan baju
Sarah. Encik Shahid hanya terpaku di muka pintu bilik.
‘’Kenapa dengan Zaki, mama?’’ Sarah
bertanya dalam sendu. Fikirannya tidak mampu mengikut kehendak mamanya agar
bertenang. Mimpinya tadi kembali bertandang. Ya Allah, jangan permainkan hidup
aku macam ni. Aku mohon Ya Allah. Aku tahu, aku berdosa kerana menjadi isteri
derhaka. Ampunkan aku Ya Allah. Sarah terus merintih tanpa henti. Air matanya
sudah menderu turun ke pipi.
‘’Bertenang Sarah. Jangan ikutkan kata hati sangat. Jangan diikutkan
sangat perasaan tu. Kita belum tahu lagi, apa sebenarnya yang terjadi.
Berdoalah Sarah, agar Zaki selamat.’’
‘’Apa sebenarnya yang terjadi, mama?’’ Sarah terus menyoal. Puan Zainab
memandang sayu ke arah Sarah.
‘’Zaki hilang di Sabah ketika mendaki Gunung Kinabalu. Dia tak dapat dijejaki,
sudah seminggu pasukan penyelamat mencari Zaki, tapi..’’
‘’Dah seminggu hilang mama? Kenapa? Kenapa Sarah tak tahu apa-apa pun?’’
Sarah melengking tiba-tiba. Disangka mama dan papanya cuba menyembunyikan dari
pengetahuannya.
‘’Tak
ada siapa yang tahu Sarah. Keluarga mertua Sarah pun baru dapat berita dari
pekerja-pekerja Zaki. Tak ada seorang pun yang tahu, Zaki hilang Sarah.’’
Tenang saja Puan Zainab memberikan penjelasan. Dia tahu, Sarah juga bimbangkan
Zaki. Dalam keadaan sekarang, tentu Sarah juga keliru dengan perasaannya.
Dengan keadaannya yang masih berkerusi roda dan ingatannya yang belum pulih
sepenuhnya.
Ya
Allah, selamatkan Zaki, suamiku. Sarah terus berdoa di dalam hati. Wajahnya
menjadi pucat bila mindanya sudah bergetar dengan sejuta perasaan. Takut
sesuatu yang buruk menimpa Zaki. Bimbang, Zaki takkan pulang ke sisinya lagi.
Dan, ketika inilah segala layanan Zaki terhadapnya kembali terimbas dalam
ingatan. Tak semena-mena Sarah menyembamkan mukanya ke bantal.
Dia menangis lagi dan terus menangis. Puan Zainab dan Encik Shahid
tergaman menyaksikannya. Mereka sangka, Sarah tak sayangkan Zaki, tapi
ternyata, dengan apa yang mereka saksikan sekarang, dugaan mereka tidak benar
sama sekali. Ada sayang di dalam hati, mungkin hanya ego Sarah yang
menidakkannya.
‘’Bersabar Sarah. Bawa bertenang..’’ Puan Zainab duduk di birai katil.
Diusap perlahan bahu Sarah.
‘’Sarah isteri yang berdosa mama. Macam mana, kalau Zaki tak maafkan
semua kesalahan Sarah?’’ dalam sendu Sarah bersuara. Dia bangun dan merangkul
tubuh mamanya. Di bahu Puan Zainab, tangisan Sarah terus berlagu sendu.
‘’Zaki sayang Sarah. Mama tahu, Zaki tak pernah marahkan Sarah. Dia
tentu faham perasaan Sarah. Mama yakin, Sarah..Zaki tak pernah simpan dendam
terhadap Sarah. Dia tentu dah maafkan semua kesalahan Sarah. Dah, bersiap
sekarang. Mari..mama tolong Sarah.’’
*********************
Lima bulan kemudian...
Sarah sudah pulih sepenuhnya. Dia sudah boleh berjalan, cuma ingatannya
saja yang belum pulih sepenuhnya. Dia hanya ingat mama dan papanya. Dia ingat
Zaki dan pertemuan pertamanya dengan Zaki. Dia ingat kawan-kawan baiknya dan
rakan-rakan sekolahnya. Tapi Sarah tak ingat peristiwa sebelum dia kemalangan.
Zaki
juga sudah ditemui selepas sebulan pasukan penyelamat mencarinya. Pada awalnya,
mereka menemui jalan buntu dan ingin berputus asa. Hinggalah dikhabarkan Zaki
terselamat kerana dia ditemui oleh orang-orang asli yang tinggal berdekatan
dengan tempat Zaki kemalangan, kononnya!
Takdir terus menguji hidup Sarah dan Zaki. Kalau sebelum ini, Sarah menolak
Zaki, tapi kini Zaki pula yang menolak Sarah. Dia tak kenal siapa Sarah. Kata
doktor, kepala Zaki terhantuk kuat ketika jatuh gaung. Zaki juga mengalami
masalah hilang ingatan. Zaki pulih sepenuhnya selepas menerima rawatan pakar,
namun dia hanya kenal ahli keluarga terdekatnya saja. Dia tak kenal siapa
Sarah.
Hari ini Sarah datang lagi ke kedai gambar Zaki. Dia sengaja datang
untuk melihat Zaki. Dia tahu, Zaki tak menerima dirinya lagi, tapi dia dah
terlalu rindukan Zaki dan layanan baik Zaki terhadapnya sebelum ini. Sarah
berlagak macam pelanggan tetap kedai Zaki. Selalu juga Sarah mengambil
kesempatan menjeling Zaki ketika Zaki ralit membuat kerjanya, sedangkan Sarah
berpura-pura membelek gambar-gambar yang dijual di kedai itu.
Kadang-kadang, Sarah ingin menangis
setiap kali dia datang ke kedai ini. Sarah umpama seorang pengintip yang sedang
mengintip suami sendiri dari jauh dan dalam diam. Sarah terseksa menanggung
perasaan. Mungkin ini balasan yang harus Sarah terima kerana berkasar dengan
Zaki sebelum ini. Sarah ingin terus bersabar, hingga Zaki pulih sepenuhnya.
‘’Cik, dari tadi lagi cik belek gambar ni. Cik nak beli ke? Kalau nak,
saya boleh bagi diskaun. Ataupun, beli satu percuma satu.’’ Sarah tersentak,
dia menoleh ke sebelah. Mata Sarah dan mata Zaki bertemu. Lidah Sarah terus
kelu. Jantungnya berdetak laju.
‘’Cik..’’ Zaki bersuara lagi. Kali ini disertakan dengan senyuman dan
matanya terus menatap ke dalam mata sarah. Terpaku Sarah di tempat dia berdiri
dan matanya juga tak mampu untuk memandang ke arah lain lagi.
‘’Cik..’’ Zaki memanggil lagi. Dia memetik ibu jari dan jari telunjuk di
depan mata Sarah. Cepat-cepat Sarah berpusing ke arah bertentangan. Wajah Sarah
sudah berbahang. Malu...
‘’Cik nak beli ke tak?’’ Zaki masih terus menyoal. Sarah mengeleng laju
dan bergerak pantas menuju ke pintu. Zaki yang ditinggalkan mengulum senyum
dalam diam. Bila Sarah sudah hilang dari pandangan, bibir Zaki yang merekah
dengan senyuman tadi bertukar menjadi tawa yang panjang.
Sarah, oh Sarah..cute juga isteri aku ni, bila malu-malu macam tu. Zaki
berdialaog di dalam hati. Bibirnya masih tersisa dengan senyuman.
‘’Sampai bila kau nak uji isteri kau tu Zek? Kesian pula aku tengok dia,
macam tu..’’ rakan perkongsian Zaki merangkap kawan baik Zaki bertanya.
Muhammad Faiz yang memerhatikan gelagat Zaki sejak tadi mula bersimpati dengan
Sarah, walaupun dia tak tahu apa masalah sebenar suami isteri ini.
‘’Sampai dia luahkan perasaan dia kat
aku. Sampai dia kata I Miss You dan I Love You kat aku.’’ Selamba saja Zaki
menjawab, walaupun dia pasti Sarah takkan mengungkapkan perkataan itu.
‘’Kejam sangat tu Zek. Aku takut, beruban rambut kau pun, dia takkan
cakap macam tu. Meloponglah kau seumur hidup. Ada isteri hanya mampu merindu
tapi tak berani nak sentuh.’’ Ayat-ayat penuh bermakna dihadiahkan Faiz untuk
Zaki. Lama juga Zaki berjeda mendengarnya.
‘’Aku dah berjanji, aku akan pulang selepas dua tahun. Belum cukup
waktunya, aku nak mengaku aku rindukan dia. Tunggulah genap dua tahun nanti,
aku pun bukannya cukup kuat untuk lepaskan dia macam tu saja. Kau jangan
bimbang, aku takkan beruban sebelum waktunya.’’ Tenang saja Zaki membalas
kata-kata Faiz. Dia tahu apa yang dilakukannya sekarang. Dia akan beri Sarah
peluang. Itu janjinya pada Sarah. Dia takkan mungkir janji.
‘’Lantak kaulah Zek. Kalau isteri kau tu dah malas nak tunggu, jangan
kau menyesal tak sudah pulak.’’ Faiz memberikan amaran untuk Zaki. Tersenyum
saja Zaki mendengarnya. Dia takkan benarkan itu berlaku. Dia akan ikuti semua
perkembangan Sarah dalam diam. Sarah milik dia seorang. Sarah takkan terlepas
ke tangan lelaki lain. Zaki nekad dalam hati. Dia sayang Sarah. Dia cintakan
Sarah sepenuh hati.
****************
Zaki merenung Sarah dari jauh. Sarah menangis lagi di tepi tasik seorang
diri. Cuma sekarang, Sarah tak menangis sambil makan lagi. Kesian Zaki melihat
Sarah dalam keadaan macam tu. Dia ingin hentikan lakonannya. Dia ingin hentikan
semua rancangannya. Dia macam sudah yakin, Sarah juga mempunyai perasaan yang
sama terhadapnya.
Malam dia berpakat dengan kedua bapa mertuanya, Sarah menangis sakan
selepas mendapat tahu dia mengalami kecelakaan. Padahal, malam yang sama juga,
dia baru pulang dari Sabah kerana terlalu rindukan Sarah. Kerana takut Sarah
masih belum menerimanya, Zaki berpakat dengan keluarga mertuanya untuk membawa
Sarah pulang ke kampung ibunya.
Kebetulan
keluarga Zaki memang nak membuat kenduri arwah untuk neneknya. Dia ingin membawa
Sarah pulang ke kampung, tapi dia masih ragu-ragu. Dia takut Sarah tak sudi
mengikutnya pulang.
Pakatan Zaki bersama kedua ibu bapa mertuanya menjadi. Sarah tak banyak
soal selepas itu tapi Sarah asyik menangis setiap hari. Terpaksa Zaki munculkan
diri tapi berlagak tak kenal Sarah pula. Keadaan Sarah pula menjadi bertambah
baik selepas itu. Bila Zaki berpura-pura tak kenal Sarah, Sarah pula nekad
untuk berusaha berjalan dan dalam masa yang sama Sarah belajar dan mengambil
peperiksaan. Masa terus berlalu dan Sarah baru diterima di sebuah kolej
kulinari. Sarah ingin belajar memasak dan menjadi chef. Zaki tak banyak soal.
Dia izinkan, apa saja yang Sarah nak, asalkan Sarah masih tetap menjadi
isterinya.
Zaki berjalan perlahan-lahan menuju ke arah Sarah. Hatinya berbelah
bahagi, sama ada nak meneruskan lakonannya ataupun berterus terang saja dengan
Sarah?
‘’Assalamualaikum..’’ Zaki memberi salam sebelum melabuhkan punggungnya
di atas rumput di sebelah Sarah. Matanya meratah wajah Sarah yang nampak agak
serabut. Air mata yang masih mengalir Sarah kesat dengan tapak tangan.
‘’Boleh saya duduk di sini? Saya harap saya tak menganggu..’’ Zaki masih
cuba mengajak Sarah berbual. Dia masih ingin berpura-pura tidak mengenali
Sarah.
‘’Kenapa awak menangis? Awak..tengok awan tu. Cantik sangat!’’ sambil
berkata Zaki merebahkan tubuhnya di atas rumput dan berbantalkan tangannya
sendiri. Dia memandang langit yang membiru dan awan yang menutupi langit dengan
rasa syukur.
‘’Subhanallah. Cantiknya awan tu. Rasa tenang saja jiwa bila tengok
ciptaan Allah.’’ Zaki terus berceloteh. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah
Sarah di sebelah. Tiada lagi sedu sedan macam tadi. Sarah turut mendongakkan
kepalanya ke langit.
‘’Awak ada masalah, mengadulah dengan Allah. Kenapa menangis di tempat
awam macam ni. Apa pula kata pengunjung tasik ni. Nanti, mereka ingat awak baru
mati laki pulak.’’ Zaki masih mengungkapkan kata-kata untuk memujuk Sarah. Dia
terus memandang belakang Sarah yang sudah meluruskan kakinya dan terus mendongakkan
kepalanya ke langit.
‘’Laki saya belum mati lagi la. Laki saya
cuma ada masalah mental saja.’’ Sarah berkata dengan perasaan geram. Zaki pula
tersenyum mendengar kata-kata Sarah. Dia bersyukur, sebab Sarah nak berbual
dengannya.
‘’Laa..susah apa, suami awak sakit mental, cari saja suami lain.’’ Zaki
menguji Sarah dengan ayat-ayatnya, sedangkan dalam masa yang sama, hatinya
berdebar-debar untuk mendengar respon Sarah.
‘’Awak ingat, nak cari suami tu macam nak beli baju di pasaraya?’’ kasar
suara Sarah di pendengaran Zaki. Ini petanda baik. Sarah sudi layan dia
berbual.
Zaki bangun dan memandang wajah Sarah, kebetulan dalam masa yang sama
Sarah juga menoleh ke arahnya. Zaki ukirkan senyuman. Sarah merenung tajam
padanya, terus Zaki ledakkan tawa. Sarah bengang dengan Zaki, tanpa sedar dada
Zaki, Sarah tampar kuat.
‘’Kenapa dengan awak ni? Awak nak kenakan sayakan? Awak kenal sayakan?
Tapi sengaja buat-buat tak kenal?’’ Sarah ledakkan pula kemarahannya. Dada Zaki
ditampar lagi. Tidak pula Zaki mengelak. Dibiarkan saja dadanya ditampar oleh
Sarah bertalu-talu.
‘’Kenapa Sarah menangis? Sarah rindukan abangkan? Sarah dah sayang
abangkan?’’ Zaki menyoal Sarah yang masih melepaskan kemarahannya. Perbuatan
Sarah terhenti. Tangannya yang sedang memukul dada Zaki dipandang. Sarah baru
tersedar dengan perbuatannya tadi. Dan Sarah juga mendengar kata-kata Zaki
dengan jelas. Sarah pandang Zaki dengan pandangan tidak mengerti.
‘’Sarah sayang abang tak? Sarah rindu
abangkan?’’ Zaki menyoal lagi dengan perasaan ragu-ragu. Paling dia takut,
Sarah akan melarikan diri darinya lagi, tapi..
‘’Sarah..sarah, jangan macam ni. Sarah, abang minta maaf. Janganlah menangis
lagi, abang tahu, abang bersalah. Abang tipu Sarah, tapi abang dah berjanji nak
bagi Sarah peluang, sebab tu la abang pura-pura tak kenal Sarah.’’ Zaki hilang
punca bila melihat Sarah menyambung tangisnya. Bercucuran air mata Sarah gugur
ke pipi.
Sarah yang mendengar kata-kata Zaki, melonjak bangun dan ingin berlalu
pergi. Namun, Zaki lebih pantas menarik Sarah agar Sarah duduk kembali. Sarah
meronta, tapi Zaki juga tak mahu berputus asa. Perang dingin antara mereka tak
harus berterusan. Dia mesti menghentikan semua ini. Dia tak sanggup lagi,
berperang dengan perasaan sendiri kerana rindukan Sarah.
‘’Please Sarah..kita hentikan semua ini. Abang tak sanggup lagi
berjauhan dengan Sarah. Abang paling tak sanggup tengok Sarah menangis setiap
hari, macam ni..’’
‘’Sarah menangis sebab awak! Kenapa buat Sarah macam ni?’’ dalam
tangisan, Sarah tetap bersuara. Seketika kemudian, sedu sedan Sarah kedengaran
lagi. Zaki betul-betul rasa terpukul dan simpati melihat Sarah dalam keadaan
sekarang. Macam mana nak jelaskan semuanya pada Sarah?
‘’Abang tak tahu, nak buat macam mana. Itu saja cara yang sempat abang
fikir. Abang ingat, kalau abang tak wujud lagi dalam hidup Sarah, tentu Sarah
akan bahagia. Tapi, mama bagitau abang, Sarah menangis hari-hari. Abang jadi
keliru. Sebenarnya..apa perasaan Sarah terhadap abang? Kenapa Sarah nak
pendamkan semuanya seorang diri. Kan senang kalau Sarah luahkan.’’ Zaki ingin
membela diri sendiri. Kalau dia salah, Sarah juga bersalah.
‘’Sarah perempuan, takkan Sarah yang kena mulakan dulu?’’ perlahan saja
jawapan yang Sarah beri. Malu, itu yang dia rasa saat mengungkapkan
kata-katanya.
‘’Sarah tahukan, abang sayang Sarah. Sarah tahukan, abang masih nak
nikah dengan Sarah, walaupun Sarah sedang koma. Macam mana lagi abang nak
buktikan perasaan abang pada Sarah?’’ Zaki juga meluahkan apa yang dia rasa.
Seingat Zaki, dah banyak kali dia bagi hint pada Sarah, dia terlalu sayangkan
Sarah dan dia juga cintakan Sarah. Tak cukup lagikah hint yang diberinya, atau
Sarah pura-pura buat tak tahu?
‘’Sarah tahu. Tapi..Sarah sedar tentang perasaan Sarah selepas awak
bertolak ke Sabah. Pada siapa Sarah nak luahkan perasaan Sarah tu? ‘’ sekali
lagi Sarah meluahkan perasaannya. Kali ini, Sarah rasa wajahnya lebih
berbahang, melebihi perasaan malunya tadi. Dia ingin lari, namun Sarah tak tahu
bagaimana untuk melepaskan diri dari Zaki ketika ini.
‘’Sarah sayang abang?’’ Zaki tanya lagi sambil mengapai jari jemari
Sarah. Digengam kejap jari jemari Sarah lalu dikucupnya. Sarah rasa bagaikan
perasaannya didera bila setiap kali Zaki mengucup jari jemarinya seperti itu,
seolah Zaki sedang menyindirnya. Sepatutnya Sarah yang perlu mengucup tangan
Zaki, bukan Zaki yang mengucup tangan Sarah.
‘’Jangan buat macam tu. Sarah tak suka!’’ Sarah segera membantah
perbuatan Zaki dan menarik tangannya kembali. Zaki tak nak lepaskan, semakin
kerap pula dia mengucup tangan Sarah, bertalu-talu hingga Sarah menjadi rimas
dan memerhatikan sekeliling mereka. Wajahnya berbahang lagi, takut pengunjung
lain yang berhampiran mereka, memerhatikan gelagat Zaki sekarang ini.
‘’Zaki! Awak sindir Sarahkan? Tahulah, Sarah tak pernah buat macam tu
pun..’’
‘’Bila Sarah nak mula? Takkan nak tunggu kucing bertanduk baru nak kucup
tangan abang? Ataupun, Sarah nak tunggu abang jatuh gaung sekali lagi, baru
Sarah nak kucup tangan abang?’’ perlahan saja kata-kata yang Zaki ucapkan,
namun peritnya terasa hingga ke lubuk hati Sarah.
Sarah mengebam bibir. Dalam geram mendengar kata-kata Zaki, air mata
Sarah mengalir lagi. Zaki terdiam lama. Menyesal bertamu di dalam hati. Dia
sedar, dia terlajak kata lagi.
‘’Maaf. Abang tak sengaja..’’ perlahan Zaki berkata dan cuba mengesat
air mata Sarah. Pantas Sarah berpaling dan melarikan wajahnya sambil menarik
tangannya kembali. Sebal bertamu di dalam hati. Manusia! Senang sungguh
melakukan kesalahan dan meminta maaf. Memberi kemaafan memang mudah, tapi untuk
melupakan kata-kata yang setajam hujung pedang itu bukan semudah melafazkan
kata-kata maaf.
‘’Sarah..’’
‘’Sarah
nak balik!’’
‘’Abang hantar Sarah.’’
‘’Tak payah. Sarah boleh balik sendiri.’’
‘’Jangan degil Sarah!’’
*********************
Hubungan Sarah dan Zaki terus dingin.
Masing-masing nak tunjuk ego. Bila Sarah tak melayan, Zaki juga malas nak
memujuk lagi. Bagi Zaki, biar masa yang menentukan segalanya. Biar hati Sarah
lembut dengan sendirinya.
Sekarang ni, kedai gambar Zaki semakin luas. Zaki buat pula Cyber Cafe
untuk pelajar-pelajar melayari Internet. Zaki sediakan perpustakaan mini untuk
memudahkan orang ramai mencari info sambil bersantai di hujung minggu. Kedai
Zaki di buka setiap hari, bermula pukul 9.00 pagi hingga pukul 12.00 tengah
malam.
Selain Faiz sebagai rakan kongsi, kedai Zaki mempunyai empat orang
pekerja separuh masa yang silih berganti. Sarah juga merupakan salah seorang
pekerja separuh masa di kedai Zaki. Sarah hanya bekerja bila dia tiada kuliah
saja. Dia dan Zaki masih berlagak sebagai orang asing walaupun di depan Faiz
yang tahu segalanya tentang hubungan mereka berdua.
‘’Kak Sarah, minggu depan Prof Ain cakap, nak buat rombongan ke Cameron.
Kak Sarah ikut tak?’’ rakan satu kolej Sarah yang datang untuk melayari
Internet menyoal. Sarah yang turut mengambil kesempatan melayari Internet di
sebelahnya menoleh sepintas lalu sebelum mengeleng.
‘’Kenapa tak ikut?’’ Aneesa menyoal lagi.
‘’Takut big bos kak Sarah tak kasi.’’ Selamba saja Sarah menjawab.
Padahal, dia malas nak minta izin dari Zaki.
‘’Big bos? Siapa? Tokey CC ni ke?’’ Aneesa terus menyoal. Sarah angguk
saja. Dalam masa yang sama tangannya laju memandu tetikus kiri dan kanan. Klik
sana dan sini di laman sosial yang sedang dilayannya ketika ini.
‘’Garang sangat ke bos kak Sarah tu. Ni, kak Sarah main komputer ni, dia
tak marah ke?’’ Aneesa masih tak puas hati. Sambil bertanya, Aneesa mengerling
Zaki dan Faiz yang sedang berbual di hujung kedai. Entah apa yang sedang mereka
bincangkan.
‘’Masa kerja kak Sarah dah habis sejam yang lalu. Saja kak Sarah malas nak
balik lagi. Layanlah komputer dulu. Boring karang, kak Sarah baliklah.’’ Masih
bersuara tenang. Mata Sarah terus fokus pada skrin monitor di depannya.
‘’Tak apa ke?’’ Aneesa bertanya lagi. Sarah menoleh juga ke arahnya.
‘’Apa yang tak apa?’’ Sarah menyoal kembali.
‘’Kak Sarah main komputer?’’
‘’Hah? Kenapa pulak?’’
‘’Big bos kak Sarah tak marah?’’
‘’Kenapa pulak dia nak marah?’’ soal jawab antara Aneesa dan Sarah terus
berlangsung.
‘’Yalah..kak Sarahkan hanya pekerja part time di sini.’’
‘’Habis tu, kenapa pulak?’’
‘’Ishh..kak Sarah ni, buat-buat tak faham pulak.’’
‘’Memanglah kak Sarah tak Faham. Kak Sarah bukannya buat salah pun.
Kenapa pulak dia nak marah. Kak Sarah pun bayar macam orang lain jugak. Cuma,
kak Sarah bayar melalui potongan gaji saja. Salah ke, sampai dia nak marah kak
Sarah?’’ Sarah bertanya pula Aneesa. Dia hairan mendengar soalan Aneesa yang
tak logik itu. Apa masalahnya, kalau pekerja separuh masa macam dia guna
komputer?
‘’Tadikan
kak Sarah cakap, takut bos kak Sarah tak kasi kak Sarah pergi rombongan ke
Cameron? Sebab tu la Nisa tanya macam tu. Kak Sarah ni..’’
‘’Apa kena mengena pulak, pergi Cameron dengan guna komputer ni?’’ Sarah
masih tidak faham dengan maksud soalan Aneesa. Soalan diajukan lagi.
‘’Yalah..cara kak Sarah cakap tu, macam bos kak Sarah tu garang
sangat.’’ Aneesa bersuara tegas. Hatinya semakin mendidih bila mendengar
soalannya dibalas dengan soalan juga oleh Sarah.
‘’Siapa yang cakap bos kak Sarah tu garang? Dia caring and loving apa!’’
Sarah berkata dengan nada yang tegas. Bibirnya terukir sedikit senyuman, namun
matanya masih tertumpu sepenuhnya di skrin monitor. Sarah terus scroll laman
utama facebook yang sedang dilayannya.
‘’Siapa caring? Siapa yang loving? Bos mana? Saya atau Faiz?’’ tak
semena-mena Zaki mencelah perbualan mereka. Tangannya memegang kerusi Sarah dan
merenung tepat ke arah Sarah. Kaku seketika jari jemari Sarah yang rancak
memandu tetikus sebentar tadi. Terus terhenti semua perbuatannya. Perlahan-lahan
Sarah mendongakkan kepala. Zaki menjungkit sedikit keningnya.
‘’Tentulah Encik Faiz, takkan Encik Zaki pulak?’’ perlahan saja Sarah
menjawab. Spontan dan pantas Zaki memusing kerusi Sarah mengadap ke arahnya.
Wajahnya merona seketika. Geram sangat mendengar jawapan Sarah. Tiba-tiba
hatinya bergelodak di dalam.
‘’Siapa?’’ soal Zaki dalam nada sedikit garang. Tajam renungannya
memandang wajah Sarah yang menentang pandangannya ketika ini.
‘’Encik Faiz!’’ lancar Sarah menjawab.
‘’Sarah!!’’ Zaki menguatkan sedikit suaranya. Sarah angkat bahu dan
memusing kembali kerusinya untuk mengadap skrin komputer. Zaki masih tidak mahu
mengalah. Kerusi Sarah dipusing mengadapnya kembali. Aneesa di sebelah, nampak
agak bingung dengan situasi di depan matanya.
‘’Kau ni Zaki..yang kau buli Sarah tu, kenapa? Kalau dia berhenti kerja
nanti, kau jugak..’’
‘’Kau diam! Ini antara aku dan Sarah.’’ Faiz belum habis mengungkapkan
ayat-ayatnya Zaki sudah memberi arahan agar Faiz diam. Faiz angkat kedua belah
tangannya dan berlalu sambil bibirnya tersenyum. Masalah rumah tangga, tak
perlu masuk campur. Kata Faiz di dalam hati.
‘’Bos, hujung minggu ni Sarah nak ambil cuti. Nak ikut rombongan kolej
ke Cameron. Boleh?’’ selamba saja Sarah bertanya di saat hati Zaki masih mengelegak
mendengar jawapannya tadi.
‘’Boleh. Dengan syarat abang ikut sekali.’’ Zaki sengaja membahasakan
dirinya abang. Sarah mengebam bibir. Kecewa mendengar jawapan Zaki.
‘’Baik tak payah. Dah macam belangkas pulak. Asyik nak melekat saja, Apa
hal?’’ Sarah membalas geram. Sekali lagi dia memusingkan kerusinya dan mengadap
skrin monitor kembali. Aneesa menguit Sarah dan memberi isyarat mata. Sarah
mengangkat bahu. Buat-buat tak tahu apa-apa.
‘’Hei cik puan..Sarah sedar tak, Sarah tu isteri abang. Kalau tak
melekat dengan abang. Nak melekat dengan siapa lagi?’’ Zaki mendekatkan
bibirnya ke telinga Sarah dan berbisik sebelum meninggalkan Sarah dan Aneesa
yang masih kelihatan bingung.
‘’Kak Sarah..kak Sarah dengan bos kak Sarah tu, ada apa-apa ke?’’ Aneesa
bertanya sebaik Zaki pergi. Sarah tak segera menjawab. Dia terus membawa
tetikus kiri dan kanan. Sesekali bibirnya tersenyum membaca setiap pos
rakan-rakan facebooknya. Ada yang kelakar. Ada juga pos mengena. Ada sketsa
lawak dan sebagainya.
‘’Kak Sarah!’’
‘’Apa?’’
‘’Jawablah!’’
‘’Nak jawab apa?’’
‘’Kak Sarah dengan bos kak Sarah tu, dia macam cemburu saja tadi. Muka
dia pun berubah, bila kak Sarah cakap macam tu tadi.’’
‘’Biarlah dia. Yang Nisa tu, kenapa pulak? Banyak pula menyoal. Tu, masa
Nisa dah nak tamat. Pergilah balik!’’
‘’Menghalau nampak?’’
‘’Tahu tak apa!’’ ayat glamour itu juga yang Sarah guna.
‘’Yalah, Nisa nak baliklah ni. Nanti kak Sarah kirim salam dengan big
bos kak Sarah tu ya. Yang caring and loving tu. Yang garang, Nisa tak nak. Tak
best!’’ Sarah mendongak. Aku lepuk juga dia ni kang! Sarah berdialog di dalam
hati. Padahal, Aneesa maksudkan Faiz kerana jawapan Sarah pada Zaki tadi adalah
Faiz.
‘’Kalau ada bran, pergilah bagi salam sendiri. Malas pula kak Sarah nak
jadi orang tengah.’’ Sengaja Sarah menguji. Di dalam hati bergetar juga, takut
Aneesa buat seperti apa yang disuruhnya.
‘’Betul ni? Jangan menyesal sudah!’’ Aneesa berkata sambil bangun.
Langkahnya di atur laju ke arah Zaki dan Faiz. Hati Sarah mula tak tentu arah.
Tidak! Jangan! Hatinya sudah menjerit. Zaki tu aku yang punya! Hati Sarah
menjerit lagi, namun apakan daya, ianya tak mampu terlafaz di bibir dan Aneesa
sudah tiba di meja Zaki dan mula berbual dengan kedua-dua bos empunya kedai
ini. Sarah hanya mampu menahan rasa. Tersalah mencabar, inilah akibatnya.
**************
Dua
tahun kemudian...
‘’Sarah,
Masya Allah..berehatlah Sarah, jangan degil sangat, boleh tak? Sarah tu sedang
sarat, sakit nanti..siapa yang susah? Abang jugak!’’ Zaki menasihati Sarah yang
masih berdegil untuk mengemas rumah sejak pagi. Sejak mengandung ni, Sarah tak
boleh langsung tengok rumah bersepah, tak macam ketika dia mengandungkan anak
sulung dulu. Berbeza sangat dengan Sarah yang sebelum ni. Ketika mengandung
anak sulung dulu, Sarah banyak tidur dan malas bergerak. Kandungannya yang
kedua ni pula, Sarah sangat aktiv. Cerdas bukan main lagi.
‘’Alah..abang ni, jangan kecoh sangat..boleh tak? Kalau susah untuk
isteri abang sendiri, takkan tak boleh. Lainlah, kalau untuk isteri orang lain.
Kalau untuk isteri orang lain, Sarah yang takkan izinkan. Jangan harap, bang!’’
mendengar kata-kata Sarah, Zaki sudah bercekak pinggang sambil mengebam
bibirnya sendiri. Nak dicempung Sarah, dia pun tak berdaya. Dua kali ganda
berat Sarah sekarang ni. Dia tak pernah alah langsung sejak mengandung ni.
Semuanya dia makan semacam saja.
‘’Melawan! Nanti, anak dalam perut tu pun kuat melawan macam ibu dia
jugak!’’ Zaki berkata lagi sambil cuba merampas vaccum di tangan Sarah. Dia
cuba mengambil alih tugas Sarah mengemas rumah. Tersenyum Sarah melihat gelagat
Zaki, namun...jawab tetap menjawab.
‘’Kuat melawan pun isteri siapa? Isteri abang jugak. Anak dalam perut
Sarah ni pun, anak abang jugakkan. Tabahlah abang, dapat isteri dan anak yang
kuat melawan macam kami ni.’’ Selamba saja Sarah membalas dan merampas kembali
vaccum di tangan Zaki.
‘’Dah, dahh..pergi tidur! Sarah ni..kesiankan sama dengan anak yang kat
dalam tu. Tak letih ke, Sarah buat semua kerja rumah ni, abangkan ada. Abang
dah ambil cuti pun, untuk tolong Sarah buat semua kerja rumah. Cuba belajar
bersyukur, sebab Sarah dapat suami yang bertanggungjawab macam abang ni. Bukan
senang tau, Sarah nak dapat suami macam abang ni!’’ dalam memarahi Sarah, Zaki
tetap nak ‘masuk lift, dan tekan sendiri’.
‘’Yalah..Sarah tahu, Sarah bertuah sebab dapat suami yang penyabar dan
bertanggungjawab macam abang ni. Lagi pun, abang..’’ Sarah tak dapat
menghabiskan kata-katanya. Tergendala di situ. Mindanya bergerak pantas untuk
melupakan semua sejarah hitam itu. Dia bersyukur, sebab bertemu dengan
Zakiuddin suaminya ini.
‘’Hmm..kenapa pula tu? Cakap tergantung lagi..Sarah nak cakap apa
sebenarnya ni?’’ dari wajah marah, riak wajah Zaki terus berubah mendengar
kata-kata Sarah. Dia seakan mengerti perasaan Sarah ketika ini. Kadang-kadang
Sarah suka bermenung bila ingatannya yang sudah pulih beberapa bulan lepas itu
mengimbas kembali kejadian sebelum dia mengalami kemalangan.
‘’Tak ada apalah. Nahlah..abang vaccum pula. Tadi, nak buat sangat kan.
Sarah letihlah, nak berehat sekejap.’’ Sarah melepaskan vaccum dan ingin
berlalu. Sepantas kilat, Zaki menyambar tangan Sarah dan menarik Sarah ke dalam
dakapannya.
‘’Perkara tu dah berlalu Sarah. Just forget it! Abang ikhlas terima
Sarah, biar siapa pun diri Sarah. Kita semua hamba Allah Sarah, biar bagaimana
pun kelahiran kita. Allah tak pernah memandang hina kita sebagai hambaNYA,
kenapa Sarah harus rasa rendah diri?’’ kata-kata semangat terus dituturkan.
Sarah sudah tersedu di bahu Zaki. Dipeluknya tubuh Zaki erat dan melepaskan
tangis sepuas hati. Semua imbasan kejadian menjelma lagi. Dada Sarah rasa sebak
tak terhingga. Setiap kali dia ingat perkara tu, dia melakukan perbagai kerja
untuk melupakan semuanya. Dia lebih rela, kalau ingatannya tak pulih, kalau dia
tahu, dia akan terluka begini teruk.
‘’Sarah
nak tidur..’’ Sarah melepaskan pelukan dan mengesat air matanya. Niatnya nak
tidur dan melupakan semuanya, tapi..hasratnya tergendala lagi. Zaki memegang
tangannya dan merenungnya dengan rasa simpati.
‘’Pergi bersiap! Kita balik rumah mama, ambil Shafi..’’ keputusan sudah
dibuat. Mungkin, bila ada Shafi, Sarah takkan berfikir banyak lagi. Mungkin
kemurungan Sarah akan berakhir. Ya! Sejak ingatan Sarah pulih sepenuhnya, Sarah
banyak termenung dan adakalanya dia khayal sendiri, hingga Zaki membuat
keputusan untuk menghantar anak sulung mereka, Shafiuddin ke rumah ibu
mertuanya. Kesiankan Sarah yang sedang mengandung anak ke dua mereka, ditambah
pula dengan beban perasaan yang sedang ditanggungnya.
‘’Shafi?’’ bibir Sarah kembali tersenyum.
‘’Kita ambil Shafi tinggal dengan kita
semula ya? Abangkan, dah mula cuti.’’ Sarah yang bersedih tadi, mula
menunjukkan minat.
‘’Tak! Kita tinggal di rumah mama, hingga Sarah bersalin. Abang tak nak
tengok Sarah macam ni lagi. Sekejap okey, sekejap menangis. Jangan macam ni
Sarah, lupakan semua tu! Please..demi abang, dan anak-anak kita.’’ Zaki masih cuba memujuk Sarah dan membelai
pipi Sarah. Diusapnya pipi Sarah sambil mengesat air mata Sarah yang masih
mengalir di pipi. Sarah berjeda lama, dan akhirnya sekali lagi Sarah melepaskan
tangisnya. Zaki mengeluh perlahan. Jiwanya turut walang, setiap kali melihat
Sarah begini.
‘’Abang sayang isteri dan anak-anak abang. Derita Sarah, derita abang.
Kalau Sarah asyik sedih macam ni, abang dah tak tahu macam mana nak buat lagi.
Please..don’t pretend you are strong in front of me. But..when you behind me,
you cry and cry again. Hari ini abang bagi keizinan Sarah untuk melepaskan
semuanya. Sebenarnya..apa yang ada dalam fikiran Sarah? Adakah Sarah..masih tak
dapat lupakan cinta pertama Sarah..ataupun..’’ Zaki tak jadi menghabiskan
ayat-ayatnya. Dia melepaskan pelukan Sarah dan merenung wajah Sarah.
‘’Sarah..please be honest to me dear..’’
‘’Sarah tak tahu! Hati Sarah sakit, setiap kali semua ayat-ayat itu
terngiang-ngiang di telinga Sarah. Sakit sangat bang. Tolong, jangan marah
Sarah..dan jangan buang Sarah. Bukan kehendak Sarah semua ni. Sarah..Sarah..’’
Sarah menangis lagi. Kali ini dia sudah jatuh terjelepuk di atas permaidani
rumah mereka.
‘’Kenapa Sarah? Ayat-ayat apa? Kata-kata siapa?’’ Zaki ingin mencungkil
rahsia Sarah. Dia masih belum tahu kejadian sebenar, kenapa Sarah terus
bersedih selepas ingatannya kembali pulih. Dia ingin tahu segalanya.
‘’Tolong jangan paksa Sarah bang. Sarah belum bersedia untuk
bercerita..’’ Sarah menangis lagi dan Zaki sekali lagi merangkul Sarah. Dia
membiarkan Sarah terus menangis di bahunya. Kali ini, tiada lagi kedengaran suara
Zaki memujuk Sarah. Biarkan Sarah, melepaskan semua perasaannya. Yang penting,
Sarah lega selepas ini. Itu harapan Zaki.
**************
‘’Sarah tu anak luar nikah! Siapa yang sanggup nak ambil Sarah sebagai
isteri? Abang tak sanggup!’’ Zaidi mengungkapkan kata-kata itu tanpa belas
kasihan bila Sarah merayunya untuk meneruskan perhubungan mereka.
‘’Semua tu bukan salah Sarah! Semua tu salah, salah lelaki tu..yang
merogol ibu kandung Sarah. Sarah tak salah abang Ed..tak! Sarah tak salah..’’
kepala Sarah tergeleng beberapa kali. Semua kejadian menjadikan jiwanya sangat
terdera. Dia disahkan anak angkat dan anak luar nikah. Kekasih yang paling dia
sayang pula menolak dirinya dan dia terpaksa berkahwin dengan lelaki yang dia
langsung tak cinta. Semuanya datang bertimpa-timpa. Sarah tak kuat!
‘’Sarah..mama dan papa sayangkan Sarah. Kami dah tahu siapa Sarah sejak
awal lagi. Ibu Sarah tu kawan baik mama sejak sekolah rendah lagi. Ibu Sarah
tak salah sayang. Dia pun mangsa keadaan. Selepas dia mengandungkan Sarah, dia
dihalau keluar rumah sehelai sepinggang. Dia tak ada tempat nak mengadu. Mama
ambil Sarah sebab kami tak ada anak, dan mama dan papa memang sayangkan Sarah,
macam anak kandung kami sendiri.’’ Puan Zainab memujuk Sarah, selepas Sarah
menangis berhari-hari dan berkurung di dalam bilik. Simpatinya terhadap Sarah,
tak dapat mengikis sedikit pun bebanan yang Sarah tanggung ketika itu. Semuanya
menjadi bersimpang siur. Kusut dan sukar dirungkai. Hanya Sarah yang
merasainya.
‘’Sarah..Sarah, bangun Sarah. Kenapa menangis ni? Sarah mimpi apa,
sampai menangis dalam tidur ni?’’ Zaki mengoncang bahu Sarah lembut. Dia
terkejut jaga bila mendengar Sarah meracau dalam tidur. Bila dia terjaga, Sarah
sudah tersedu sedan sedangkan matanya masih terpejam.
‘’Sarah..’’ Zaki masih mengejutkan Sarah. Diusapnya wajah Sarah dengan
penuh kasih dan sayang. Dahi Sarah dikucup seketika.
‘’Sarah..’’ nama Sarah dipanggil
lembut, Zaki terus merenung wajah Sarah di sebelahnya. Rambut Sarah pula
dibelai. Perlahan-lahan Sarah membuka mata. Perkara pertama yang Sarah buat,
mengapai tangan Zaki dan mengucupnya. Tergaman Zaki beberapa saat.
‘’Sarah mimpi apa?’’ perlahan Zaki bertanya dalam nada yang penuh
romantik. Pipi Sarah diusap lagi dan sekali lagi dahi Sarah menerima hadiah
kucupan darinya.
‘’Abang..Sarah minta maaf.’’ Sarah baru bersuara. Hatinya dilanda sebu
melihat tingkah Zaki. Jiwanya dilanda perasaan bersalah yang teramat sangat.
‘’Maaf? Kenapa? Apa yang Sarah dah buat dalam mimpi tu, sampai kena
minta maaf ni?’’ Zaki bertanya dalam nada mengusik. Ketawanya tercetus
perlahan.
‘’Sebenarnya...sebenarnya..’’
teragak-agak Sarah untuk mengungkap kata.
‘’Kenapa Sarah?’’ Zaki bertanya lagi.
‘’Sarah banyak dosa bang..’’ sambil berkata, Sarah mengesat air matanya
yang menuruni pipi.
‘’Hari
Sarah kemalangan tu, Sarah memang sengaja. Sarah niat nak bunuh diri, sebab
Sarah tak nak nikah dengan abang. Sarah tak nak dengan abang, Sarah nak dengan
abang Ady juga. Tapi..abang Ady hina Sarah. Dia kata, dia tak nak kahwin dengan
Sarah sebab Sarah anak luar nikah. Sarah tak layak untuk dia. Dia tak sanggup
nak memperisterikan Sarah.’’ Tangisan Sarah bergema lagi. Kali ini esakannya
semakin menjadi-jadi. Zaki mengeluh lemah. Ya Allah, betapa banyaknya ujian
yang Kau turunkan untuk Sarah isteriku? Zaki merintih penuh simpati di dalam
hati. Hatinya hiba, melihat Sarah menangis begitu, namun dia tak berdaya untuk
mengubati luka Sarah, kerana dia juga turut terluka mendengar pengakuan Sarah.
‘’Sarah banyak dosa dengan abang, tapi...kenapa abang layan Sarah baik
sangat?’’ Sarah terus menerus bersuara dalam esak tangisnya. Suaranya tengelam
timbul dipendengaran Zaki. Lantas Zaki mengangkat kepala Sarah dan menghulurkan
lengannya dan meletakkan kepala Sarah di dalam pelukannya. Belakang Sarah
diusap perlahan. Air mata Zaki juga turut bergenang.
‘’Abang sayang Sarah kerana Allah. Sarah anugerah Allah yang terindah
untuk abang. Tugas abang sebagai suami harus melayan isteri sebaik mungkin.
Sarah adalah tanggungjawab abang dan abang akan sayang Sarah hingga hembusan
nafas abang yang terakhir. Sarah dan anak-anaklah segalanya untuk abang.’’ Penuh
tulus Zaki mengungkapkan kata-katanya. Semakin hiba Sarah mendengarnya dan
selepas itu sedu sedan Sarah berterusan. Ya Allah..terima kasih kerana
pemberianMu yang terindah ini. Aku berjanji, akan menjadi isteri solehah
untuknya kelak, selagi nyawaku dikandung badan. Bimbinglah aku, Ya Allah untuk
bersama denganya, menuju ke JannahMU.
*********Tamat Sudah*********
13 April 2017.. 6.36pm..
Nota : Alhamdulillah..tamat juga akhirnya cerpen
ini. Sekian lama terbengkalai akibat masalah jiwa yang membelenggu diri, Allah
izinkan juga aku menyiapkan cerpen ini. Terima kasih Ya Allah..tanpa izinMu,
aku tak mampu menaip sepatah kata pun. Harapanku, cerita ini dapat memberi
sedikit teladan untuk pembaca di luar sana. Maafkan aku, andai ada kesalahan
yang tak menepati citarasa pembaca. Tersalah grammor atau tatabahasa, tegurlah
kalau sudi. Aku bukan penulis profesional pun. Pelajaran pun tak setinggi
mana..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.