Sabtu, 1 April 2017

Menantu Ummi



                Mezwan Wanduren, dia anak tunggal Puan Siti Hajar dan Encik Ibrahim. Mereka hanya tiga beranak tapi kehidupan mereka cukup bahagia. Sebagai anak tunggal Mezwan terlalu taat terhadap kedua ibu bapanya hingga dia digelar anak ummi oleh kawan-kawan dan saudara mara mereka.

          Mezwan tak kisah pun, apa orang nak kata. Yang pasti Mezwan sangat sayang dengan kedua orang tuanya. Tanpa mereka, Mezwan bukanlah siapa-siapa pun. Merekalah kebahagiaan dunia dan akhirat baginya.

                ‘’Wan, mari sini. Ummi nak kenalkan dengan kawan-kawan ummi ni.’’ Mezwan baru saja turun ke ruang tamu, bila Puan Siti Hajar melambainya. Mezwan mengukirkan senyuman sambil melangkah dengan tenang ke arah Puan siti Hajar dan tetamu-tetamu mereka.

                   ‘’Duduk sebelah ummi..’’ sebaik Mezwan sampai ke ruang tamu, Puan Siti Hajar menepuk sofa di sebelahnya. Mezwan tak membantah, segera dia melabuhkan punggung di sebelah umminya.

            ‘’Ummi nak kenalkan Wan dengan Mak Cik Shuhadah ni. Dia kawan ummi dan kawan ummi ni boleh cari calon isteri yang Wan nak tu.’’ Puan Siti Hajar mula menyampaikan hajatnya. Mezwan hanya tersenyum mendengarnya. Kepalanya dianggukkan tanda faham.

          ‘’Wan nak calon isteri yang macam mana? Cuba bagitau kami.’’ Puan Siti Hajar masih lagi menyoal. Setiap kali diminta mencari calon isteri, pasti Mezwan akan menjawab semula. Ummi saja yang cari. Wan malas nak cari sendiri, takut tersalah pilih pula. Ada saja jawapan yang Mezwan beri.

              ‘’Ermm..Wan tak nak yang cantik sangat ummi. Yang sedang-sedang saja. Kalau cantik nanti, ramai pula yang nak mengorat. Zaman sekarang ni, orang bukannya ambil peduli dah. Dah jadi isteri orang pun, masih lagi nak mengorat. Lagi satu, perempuan yang cantik ni, ramai yang tak setia ummi. Perasan diri tu cantik, pantang kena kacau sikit, mesti nak mengedik.’’ Soalan yang ditanya Puan Siti Hajar pendek saja, tapi jawapan yang Mezwan beri panjang berjela. Siap dengan komen maut lagi.

             ‘’Mak cik ni dah lama menolong kawan-kawan mak cik cari calon menantu untuk mereka, tapi ini kali pertama, mak cik dengar lelaki yang tak nak perempuan cantik.’’ Puan Shuhadah pula yang bersuara. Matanya memandang tepat ke arah Mezwan yang ada stail tersendiri. Orangnya agak kacak juga dengan tubuhnya yang tinggi lampai. Berbadan tegap dan sasa orangnya.

            ‘’Bagi Wan, biar rupa tak cantik, tapi akhlak nombor satu. Yang paling penting isteri Wan tu wajib sayang ummi dan walid, macam mana Wan sayang keduanya.’’ Tenang saja Mezwan mengungkapkan kata. Itulah yang ada dalam hatinya. Dia cuma nak cari seorang isteri yang akan menganggap ummi dan walidnya sebagai kedua ibu bapanya sendiri. Bukan sebagai ibu bapa mertua, yang baik di hadapan, tapi mengutuk di belakang.

          ‘’Ini baru betul-betul anak ummi!’’ Puan Shuhadah berkata lagi sambil ketawa, diikuti oleh dua orang lagi wanita yang turut ada bersama mereka dan Puan Siti Hajar sendiri.

         ‘’Untung betul kau Hajar, dapat anak macam Wan ni, sayang sungguh dengan kaukan. Zaman sekarang ni, payah nak jumpa dengan anak lelaki yang taat macam ni. Nak kahwin, jangan haraplah, mak dengan ayah nak tolong carikan. Ketinggalan zaman katanya..’’ Puan Shamsiah pula mencelah perbualan mereka. Puan Salmah pula turut mengangguk bersetuju. Mezwan yang mendengar hanya mampu tersenyum. Dia memang sayangkan umminya, melebihi segalanya dalam dunia ini. Ummilah Syurga baginya.

             ‘’Tak sayang dengan ummi, nak sayang dengan siapa lagi mak cik?’’ selamba saja Mezwan menyoal semula. Tiga orang wanita yang sedang berada di depannya ini dipandang seorang demi seorang.

            ‘’Bagus, bagus, bagus...mak cik setuju sangat dengan Wan . Kalau tak sayang dengan mak sendiri, nak sayang dengan siapa lagikan? Syurga pun di bawah tapak kaki seorang ibu. Kalau mak cik ada anak dara, dah lama mak cik pinang Wan ni buat menantu.’’ Puan Shuhadah menjawab soalan Mezwan dan memberikan pendapatnya.

            ‘’Amboi, kau ni Idah, dah terbalik pulak. Kau pula nak pinang anak teruna orang?’’ Puan Salmah yang hanya menjadi pendengar pula bersuara. Dia menyoal Puan Shuhadah yang dirasakan seolah sedang mengampu Puan Siti Hajar dan Mezwan.

            ‘’Sungguh la..nasib baik aku tak ada anak dara saja. Nak hairan apa aih, Saidatina Khadijah dulu pun pinang Rasullullah. Bukan senang nak jumpa anak lelaki yang taat macam Wan dalam zaman millinium ni. Zaman apa? Alaf dua puluh satu?’’ Puan Shuhadah membela diri sambil tersenyum. Puan Salmah mencebik sedikit.

            ‘’Kau dah ada ke, calon-calonnya Idah?’’ Puan Shamsiah pula yang mencelah. Dia juga ingin tahu, wanita macam mana yang akan dipilih oleh rakannya itu, yang menepati syarat-syarat yang dinyatakan oleh Mezwan sebentar tadi.

              ‘’Calon tu, memang dah ada..kalau itu yang Wan nak. Nak cari perempuan yang tak cantik ni bercambah Wan, cuma..nak cari yang baik dan akhlak first class tu, payahlah sikit kot. Kita bukannya boleh tengok hati orang pun. Tapikan..aku rasa, budak yang sorang ni memang layak, cumaa..dia hitam sikit la. Wan mau ka perempuan yang berkulit hitam ni. Senyum dari jauh, nampak gigi saja..’’ Puan Shuhadah menjawab lancar. Dia tersenyum di akhir bicaranya. Mezwan diam saja. Hitam-hitam si tampuk manggis. Sungguh pun hitam, bila makan tetap manis. Hati Mezwan yang bersuara.

           ‘’Hitam kulit tak apa mak cik. Jangan hati yang hitam, sudahlah..’’ Mezwan menjawab perlahan. Puan Siti Hajar memandang Mezwan dan mencebik sedikit.

            ‘’Memilih sangat, macamlah dia tu baik sanagt.’’ Puan Siti Hajar yang bersuara. Mezwan sudah tersenyum mendengar kata-kata umminya.

           ‘’Anak ummikan. Mestilah baik, macam ummi juga.’’ Mezwan terpuji diri sendiri.

             ‘’Haa..masuk lift tekan sendiri pulak?’’

             ‘’Habis, dah Wan sorang saja dalam lift, kalau Wan tak tekan sendiri, siapa yang nak tekan?’’ lari tajuk sudah. Suasana ruang tamu rumah Puan Siti Hajar riuh seketika dengan gelak tawa Puan Siti hajar dan teman-temannya.

*************

               Seri Chempaka resah, menurut ibunya rombongan pihak lelaki yang ingin merisiknya dalam perjalanan ke rumah mereka. Seri berjalan mengelilingi bilik. Satu bilik ditawafnya. Dalam berulang alik di tempat yang sama, sesekali Seri akan berhenti di depan almari solek. Seri belek wajahnya yang bersolek nipis. Seri sedar, walaupun telah disolek, wajah Seri tetap sama. Seri berkulit gelap, tubuh sedikit berisi namun bukanlah gemuk sangat. Tubuh Seri sedang-sedang saja, namun bukanlah langsing pun.

            Seri rasa rendah diri setiap kali memandang wajah dan tubuhnya di depan cermin. Sudah banyak kali dia dirisik orang, namun selepas melihat Seri semuanya senyap dan sunyi. Hilang begitu saja, bagaikan dibawa angin pergi. Agaknya, kali ini pun begitu? Siapa yang nakkan Seri yang tak cantik ni? Seri juga tak pandai bergaya dan berdandan.

            ‘’Kak Seri..ibu suruh kak Seri keluar. Buatkan air untuk tetamu.’’ Seri menoleh ke arah pintu bilik. Adik lelakinya Amy sedang tersengeh nakal di depan pintu bilik. Seri mengigit bibir. Hatinya mula berlagu rock. Bergendang rancak di dalam.

               ‘’Hati- hati bawa air tu nanti, jangan sampai jatuh tersungkur di depan bakal suami dan bakal emak mertua macam yang lepas-lepas. Yang paling penting, air yang kak Seri bancuh tu nanti jangan tersalah bekas pula. Ibu dah letak jauh-jauh bekas gula dan garam, takut kak Seri masukkan garam lagi dalam air kopi.’’ Sambil tersenyum nakal, Amy bersuara, seronok menyakat Seri yang selalu mengelabah setiap kali berdepan dengan tetamu yang ingin merisiknya. Macamlah tetamu yang datang merisiknya itu datang dari planet.

                 ‘’Diamlah!’’ Seri berkata dalam nada geram. Sudahlah darah gemuruhnya mula menyerang. Adiknya Amy pula sedang membuatkan  darah gemuruhnya semakin bersemarak pula.
          
              ‘’Kak Seri, kalau yang ini tak jadi jugak, melepaslah kak Seri nak bersuamikan lelaki terhansome seantero dunia. Memang hansome kak Seri. Kalah hero-hero malaya.’’ Amy masih ingin mengusik kakaknya. Seri mengebam bibir. Bila pula dia cakap nak cari suami hansome ni? Mengarut saja Amy ni. Seri membebel di dalam hati.

             Dalam melayan kerenah adiknya, Seri terus melangkah dan turun ke bawah. Biliknya di tingkat atas. Rumah mereka rumah kampung dan bilik Seri terletak di atas. Ada tangga menuju ke dapur. Seri turun perlahan-lahan kerana mengawal rentak jantungnya yang sedang mengepam darah dengan laju.

            Tetamu-tetamu mereka sedang berbual di ruang tamu bersebelahan dengan tangga. Sebelum berlalu ke dapur, sempat Seri mengintai di celah-celah lubang di tepi tangga. Mencari wajah lelaki yang mungkin datang untuk melihat dirinya. Baru saja nak mengintai, Amy berpatah balik dan menyergah.

              ‘’Hah!’’ terkejut Seri, semangatnya melayang seketika dan dia tak dapat seimbangkan tubuhnya. Seri tergelincir dan jatuh dua anak tangga terakhir. Nasib baik Amy sempat menangkap tubuhnya dan cuba menahan tubuh Seri dari terus jatuh tergolek. Seri juga tanpa sengaja sudah terjerit kecil, kerana disangkanya dia sudah jatuh tangga.

           ‘’Hahahaha..’’ Amy tergelak besar. Apatah lagi melihat wajah Seri yang sudah pucat. Seri menolak tubuh Amy yang masih memegangnya. Dia ingin melepaskan rasa amarahnya terhadap Amy, tapi terpaksa dipendamkan saja perasaan itu.

             ‘’Kenapa tu Seri, Amy?’’ ibu Seri bertanya lantang. Ibu, abah dan semua tetamu sudah datang ke dapur. Seri dan Amy menoleh serentak. Melihat wajah hairan ibu, abah dan semua tetamu yang hadir membuatkan wajah Seri berbahang hangat. Malu tak terkata dengan insiden yang tak diduga.

                 ‘’Tak ada apa ibu, kak Seri ni haa..nak bunuh diri. Dia kata nak terjun tangga, sebab...’’ belum habis Amy mengungkapkan kata, Seri sudah menutup mulutnya dan membeliakkan mata kepadanya. Seri gigit bibir mendengar kelancaran kata-kata Amy. Geram. Kalau tak ada tetamu yang bertandang, memang sudah lama dibelasah adiknya itu. Suka sangat menyakitkan hatinya.

                 ‘’Seri..’’ Puan Syafinaz, ibu Seri bersuara lagi. Terkejut dia tadi mendengar jeritan Seri. Ingatkan ada sesuatu telah terjadi.

                   ‘’Bukan ibu, Amy ni memang suka mengarut yang bukan-bukan. Seri cuma tergelincir saja tadi. Ibu tahulah, Seri ni macam manakan..’’ Seri memberi penerangan pada ibunya. Ingin dipanggung kepala dan memandang semua wajah tetamunya, tapi hati menegahnya. Dia gementar yang teramat sangat.

                    ‘’Sudahlah tu..pergi buatkan air. Macam-macam hal la. Moh la kita ke dalam semula. Anak-anak saya memang macam ni. Suka bergurau.’’ Sambil memberikan arahan pada Seri, sempat Puan Syafinaz menjeling Amy yang masih tak berganjak. Masih berdiri di sebelah Seri sejak tadi. Bibirnya masih bersisa senyuman nakal ingin terus mengusik Seri yang semakin mengelabah. Dalam masa yang sama, Puan Syafinaz mengajak tetamu-tetamu mereka kembali ke ruang tamu. Malu juga dengan tetamu-tetamunya bila melihat gelagat Seri dan Amy tadi.

                   ‘’Ini ke anak daranya?’’ Puan Siti Hajar bertanya sambil bibir terukir dengan senyuman. Mezwan juga turut menoleh dan memandang Seri.

                ‘’Ya, inilah anak kami. Seri Chempaka.’’ Puan Syafinaz memperkenalkan Seri dan mengamit Seri supaya datang untuk bersalam dengan Puan Siti Hajar. Dengan langkah terketar-ketar Seri berjalan ke arah ibunya. Longlai lututnya ketika ini. Macam nak pitam pun ada juga.

               ‘’Anak kami tak cantik pun, hitam...’’ Puan Syafinaz merendah diri. Dia berkata sebaik Seri menyalami Puan Siti Hajar dan mencium tangan wanita itu.

               ‘’Wan pun tak nak isteri cantik. Wan nak isteri yang ada akhlak yang cantik. Yang penting isteri Wan nanti sayangkan ummi macam Wan sayang ummi.’’ Lancar saja Mezwan berkata-kata. Tak malu betul anak teruna seorang ni. Baru saja datang merisik, sudah berani mencelah. Selamba badak pula tu.

                  Puan Syafinaz kelu lidah tiba-tiba. Dia sendiri hilang kata-kata untuk membalas. Dipandang saja wajah Mezwan dan Seri silih berganti. Memang jauh sangat bezanya. Memang tak padan, kalau nak digandingkan keduanya di atas pelamin. Bagaikan merak kayangan dan gagak di rimba. Tak mungkin berjaya disatukan. Itu kata-kata hati Puan Syafinaz.

             ‘’Seri..buatkan air. Nanti bawa ke depan.’’ Setelah beberapa minit Puan Syafinaz terdiam, sekali lagi dia bersuara dan mengarahkan Seri untuk membuat air. Diajak tetamu-tetamu mereka ke ruang tamu semula.

***********************

                Mezwan tergelak seorang diri. Sejak pulang dari merisik tadi, Mezwan tak habis-habis ketawa. Sungguh lucu bila mengingati setiap kejadian yang berlaku di depan mata. Mungkin, pada pandangan mata orang lain, Seri tak cantik, tapi..bagi Mezwan, Seri ada tarikan tersendiri. Seri manis dan berjaya menawan hati lelakinya. Dia sudah mula terpikat, apatah lagi bila melihat Seri yang sering tersipu-sipu malu begitu. Kepala Seri tak pernah diangkat lama. Kalau Seri berkulit cerah, mesti wajahnya sudah merona merah. Mezwan suka Seri yang malu-malu. Seri Chempaka..unik sungguh nama itu. Mezwan berdialog di dalam hati.

              ‘’Wan..kenapa tu?’’ Puan Siti Hajar menegur Mezwan. Pelik pula melihat Mezwan sekarang. Macam orang tak betul saja. Sekejap tersenyum meleret. Sekejap ketawa, macam orang kena sampuk pula.

               ‘’Ummi, serius Wan cakap, Wan dah berkenan. Tak payah bertunang ummi. Wan nak nikah terus.’’ Lancar saja Mezwan berkata tanpa dipinta. Kaget seketika Puan Siti Hajar dan selepas itu ketawanya meledak kuat.

           ‘’Wan! Ya Allah, anak bertuah sorang ni. Wan ingat anak orang tu tak ada mak bapak ke? Kita ni orang melayu Wan. Ada adat yang harus diikut. Nak nikah terus tu boleh Wan, tapi janganlah gelojoh sangat. Don’t be gelojoh, okey!’’ Puan Siti Hajar memujuk Mezwan dan ketawa lagi sambil kepala digelengkan berkali-kali. Tak sangka, semudah ini Mezwan akan setuju.

               ‘’Wan serius ni ummi. Wan bukan main-main. Wan memang betul-betul dah berkenan. Kenapa nak diikut adat semua tu ummi? Yang penting cukup syarat nikahnya, kan?’’ macam terror sangat Mezwan ni, kerana Seri, dengan umminya pun nak diajaknya berbahas. Dah berkenan sangat agaknya tu?

                 ‘’Memanglah Wan, tapi masalahnya..pihak perempuan belum beri kata putus lagi. Entah mereka terima ataupun tidak, kita tak tahu. Mana tahu Wan dah kena reject ke?’’ Puan Siti Hajar sengaja menguji anak terunanya. Berjeda juga Mezwan beberapa saat. Betul juga tu. Eh..takkanlah Mezwan yang ada rupa ni akan ditolak peminangannya. Mustahil tu...

            ‘’Ummi ni..takkanlah Wan yang kacak bergaya ni akan direject kot ummi?’’ ragu-ragu Mezwan bertanya kembali. Puan Siti Hajar mengangkat bahunya. Dia mengulum senyum, melihat wajah cuak Mezwan.

             ‘’Ummi call la mereka, bagitau Wan dah setuju.’’ Tak sabar betul Mezwan. Baru saja pulang dari merisik, sudah buru-buru membuat keputusan. Ketawa Puan Siti Hajar meledak lagi.

             ‘’Apa yang happy sangat ni, dari luar lagi walid dah dengar riuh rendah ketawa?’’ Encik Ibrahim masuk ke dalam rumah dengan satu persoalan yang sedang bersarang di benaknya. Wajah isteri dan anak tunggal mereka dipandang silih berganti.

            ‘’Apa lagi, Wan ni la. Tak sabar betul. Baru saja balik merisik, nak suruh telefon pihak perempuan pula. Kalau iya pun, tunggulah seminggu dua dulu, barulah beri kata putus. Wan tu, dah fikir masak-masak ke? Wan tak ingat ke, macam mana Seri tu layan kita? Macam nak tak nak saja, ummi tengok.’’ Puan Siti Hajar meluahkan pendapatnya. Nak cari menantu yang baik bukan semudah nak memilih baju di pasar raya. Baru sekali berjumpa, belum tahu lagi macam mana sikap sebenar Seri tu. Air yang Seri bancuh pun, Ya Allah, macam kilang gula terbalik di depan rumah mereka saja. Manisnya tak tertelan. Macam tu, nak dibuat menantu? Ishh..alang-alang wajah tak cantik, tapi kerja rumah mesti A, terutamanya bab masak memasak. Fikir Puan Siti Hajar.

              ‘’Yalah ummi, nanti kita lambat bertindak, disambar orang lain pula. Seminggu dua tu lama sangat kot ummi. Sehari dua, boleh kot?’’

              ‘’Hahaha..Wan, Wan..macam dah berkenan sangat nampaknya tu?’’ meledak pula ketawa Encik Ibrahim. Kelakar betul dengan respon Mezwan ni. Tak sangka pula, Seri yang hitam tu pun dia berkenan hingga tak sanggup untuk menunggu lama. Apa? Takut disambar orang? Wan, Wan..hati Encik Ibrahim pula berkata-kata.


               ‘’Mengarut saja. Siapa pula yang nak sambar. Jodoh tu Allah yang tentukan. Kalau ada jodoh dia dengan Wan, lambat ke cepat tetap jadi jugak. Kalau tak ada jodoh tu, buatlah macam mana pun..tetap tak ada jodoh.’’ Tegas kata-kata Puan Siti Hajar. Mezwan sudah tersengeh menyerah kalah. Kalau nak lawan berbahas dengan ummi, dia takkan pernah menang sampai bila-bila pun. Bekas guru sekolah, merangkap pembahas terbaik sejak sekolah menengah lagi.

             ‘’Yalah..ummi. Buatlah apa yang terbaik. Wan ikut saja kata ummi dan walid.’’ Mezwan menyerah kalah akhirnya. Dalam hati sudah berdoa panjang, semoga jodohnya ada dengan Seri. Dia macam sudah jatuh cinta pandang pertama dengan Seri. Tak tahu pula, di mana daya tarikan Seri. Yang dia tahu, dia tak sabar untuk memiliki Seri. Dia suka sangat dengan wanita yang pemalu macam Seri. Tak sabar dia nak menyakat Seri. Hati nakal Mezwan sudah berbisik. Bibirnya tersenyum lagi. Seri Chempaka..hatinya menyebut lagi nama Seri untuk kesekian kalinya. Unik sangat.

*******************

                Berkali-kali Seri menghentak kepalanya di meja makan. Mengingati kejadian demi kejadian yang memalukan, membuatkan Seri berkelakuan demikian. Apatah lagi, bila tetamu pulang, Seri baru merasa air minuman yang dibuatnya. Manisnya, alahai..dia sendiri pun tak mampu nak telan. Semua ini sebab Amy. Ketika sedang membancuh air tadi, dia menyuruh Amy yang merasa. Tiga empat kali gula ditambah, Amy masih mengatakan air yang dibancuhnya masih tawar. Seri pun apa lagi, percaya bulat-bulat dengan kata-kata Amy. Akhirnya..selepas tetamu pulang, Seri disindir pula oleh abah dan ibunya.

             ‘’Tak tahu pula abah, ada lori gula dah terbalik dekat rumah kita ni?’’ ini ayat-ayat yang abah Seri ungkapkan sambil tersenyum meleret.

              ‘’Sejak bila pula gula turun harga ni Seri? Seri nak membunuh kami semua ke? Ibu nak telan pun tak tergamak.’’ Ini pula kata-kata ibu Seri. Apa yang mampu Seri balas, hanya menahan geram di dalam hati. Menyesal pula sebab percayakan Amy seratus peratus tadi.

              ‘’Ibu..kak Seri tadi pandai betul buat lawakkan ibu? Nasib baiklah kak Seri tak jatuh tersungkur depan orang-orang yang datang tadi. Ishh..ishh..’’ Amy ketawa kuat sehabis berkata-kata. Seri menghantuk kepalanya lagi. Kali ini sedikit kuat hingga terasa pedihnya. Teringat lagi insiden yang tak dijangka. Oleh kerana terlalu mengelabah, dalam membawa dulang ke ruang tamu, Seri tersepak kaki sendiri. Nyaris air minuman di dalam dulang tertumpah. Nasib baik ada tetamu lelaki yang sempat menyambar dulang di tangannya.

            Kemudian..terjadi pula kejadian yang lain pula. Ketika sedang menuang air di dalam gelas, tangan Seri terketar-ketar, akhirnya air yang dituang lebih banyak tumpah di atas dulang dari masuk ke dalam gelas. Macam tadi, lelaki itu juga yang menjadi penyelamat. Dia kemudiannya menawarkan bantuan untuk menuang air ke dalam gelas. Kata ibu, lelaki itulah yang sedang mencari calon isteri. Lelaki itu juga yang bersuara ketika...

             ‘’Wan pun tak nak isteri cantik. Wan nak isteri yang ada akhlak yang cantik. Yang penting isteri Wan nanti sayangkan ummi macam Wan sayang ummi.’’ Kata-kata itu terngiang-ngiang pula di telinga Seri. Macam tak percaya pula Seri, lelaki sekacak itu akan mengeluarkan kata-kata sedemikian. Ikhlaskah dia dalam mengungkapkan kata? Seri bertanya dirinya sendiri.

                 Arghhh..lantaklah, dia ikhlas ke tak. Yang penting sekarang ni, mana aku nak letak muka aku ni? Biarlah, mereka reject aku pun. Tak sanggup aku nak berdepan dengan mereka lagi. Seri berdialog di dalam hati. Kepalanya dihentak lagi. Terbayang kejadian-kejadian tadi, hatinya diterpa lagi dengan perasaan malu yang teramat sangat.

             ‘’Ouchh..’’ Seri mengosok dahinya. Terkuat sedikit hentakannya kali ini. Pedih juga dahinya.

              ‘’Kenapa pulak tu Seri?’’ terdengar suara ibunya bertanya dengan suara yang kuat. Terus Seri menyembamkan wajahnya di atas meja. Rambutnya dikusutkan sedikit. Macam mana serabut otaknya sekarang sedang berfikir, biar begitu juga rambutnya kelihatan.

             ‘’Elok sangatlah buat perangai macam tu. Nak menyesal pun dah tak guna Seri, perkara dah terjadi. Tadi..mak cik Shuhada kau dah telefon ibu. Anak teruna suka Seri. Mereka tak nak bertunang. Nikah terus hujung bulan nanti. Lepas balik berbulan madu, baru nak buat majlis kenduri besar.’’ Tenang saja Puan Syafinaz memberitahu Seri. Ternganga Seri mendengarnya.


            ‘’Apa ibu?’’ Seri menyoal, seolah kata-kata ibunya hanya gurauan semata-mata. Dia tak percaya, lelaki tadi akan suka dirinya yang banyak kekurangan ini. Rupa, jauh sekali. Langsung tak ada daya pemikat. Itu yang Seri fikir.

              ‘’Mezwan nak nikah terus. Umminya cakap, Mezwan dah tak sabar nak ambil Seri jadi isterinya. Agaknya, air manis Seri tu tak, yang buatkan dia tak sabar nak nikah dengan Seri?’’ Puan Syafinaz berkata lagi sambil tersenyum meleret. Bersyukur ke hadrat Ilahi, ada juga yang berkenan dengan anak daranya yang seorang ini. Dahlah cemerkap buat kerja, mengelabah tak bertempat. Tak cantik pula tu.

                   ‘’Arghhh...’’ kedebummm..kuat sekali hentakan kepala Seri di meja makan.

                  ‘’Adoi..ibu..’’ Seri sudah merengek kesakitan.

               ‘’Sendiri buat, sendiri tanggunglah. Apa pulak panggil ibu. Sudah! Pergi mandi, solat dulu, mohon Allah beri ketenangan. Macam orang tak betul pulak ibu tengok.’’

                 ‘’Kenapa orang tu suka Seri pulak ibu?’’ perlahan Seri bertanya.

                ‘’Ehh..baguslah, orang tu suka. Seri tu bukan muda lagi tau. Dah nak masuk tiga puluh tahun pun. Nak tunggu apa lagi?’’

                ‘’Seri malulah ibu. Seri rasa, macam tak padan pulak Seri dengan dia. Macam pinang dibelah dengan kapak tumpul ibu. Seribu kali belah pun, pinang tu tak terbelah..’’

             ‘’Apa yang mengarut sangat ni Seri? Sudah! Pergi mandi dulu. Syampu rambut tu, curah air banyak sikit atas kepala tu, bagi ringan. Lepas tu ambil wuduk dan solat. Jangan nak fikir yang bukan-bukan. Mengarut saja. Kan Mezwan dah cakap tadi, Seri tak dengar ke? Dia tak nak isteri cantik. Akhlak Seri tu biar cantik. Faham?’’ Puan Syafinaz cuba mententeramkan Seri, biar pun itu juga yang terfikir dalam fikirannya. Seri memang tak layak dengan Mezwan, tapi andai sudah jodoh, terima saja takdir ini dengan hati yang lapang.

*********************

Sebulan kemudian....

                Majlis akad nikah tetap berlangsung dengan meriah, walaupun majlis yang diadakan secara kecil-kecilan saja. Hanya dihadiri oleh saudara mara terdekat kedua-dua belah pihak dan juga jiran-jiran berdekatan rumah Puan Syafinaz.

             Tenang saja Mezwan mengadap Tok Kadi sambil menjawab beberapa soalan wajib. Sedangkan Seri pula yang mengelisah sakan di belakangnya. Hari ini wajah Seri dirias cantik. Baju pengantin yang berwarna putih susu sedondon dengan Mezwan nampak padan di tubuh Seri. Selendang putih berlabuci dan manik yang labuh melepasi dada dipadankan dengan net dan tiara di atas kepala. Seri yang gelap pun nampak berseri bila disolek oleh Mak Andam yang ditempah khas. Mak Andam terlatih yang pandai menyesuaikan warna-warna make-up yang dikenakan di wajah Seri. Beberapa jenis krim muka disapu ke muka Seri hinggakan Seri yang asalnya berkulit hitam, tetap nampak serinya. Hai..Serikan..tak berseri pun, tetap orang panggil Seri!

                  ‘’Mezwan Wanduren Bin Ibrahim..’’ nama Mezwan disebut dan tangannya digoncang sedikit oleh Tok Kadi sambil wajah Mezwan ditatap.

                 ‘’Ya saya.’’ Mezwan menyahut dengan tenang.

                  ‘’Dah bersedia? Kita mulakan sekarang?’’ Tok Kadi masih ingin menguji Mezwan. Dipandangnya wajah Mezwan lagi dengan wajah yang serius, namun bibirnya sedang menahan senyum.

                   ‘’Ya, saya.’’ Tenang Mezwan menjawab balas.

                  ‘’Mezwan Wanduren Bin Ibrahim.’’

                   ‘’Ya.’’

                   ‘’Aku nikahkan akan dikau dengan Seri Chempaka binti Abdul Mutalib dengan mas kahwinnya seribu seratus ringgit, tunai.’’

                   ‘’Ya, aku terima nikahnya.’’ Selamba saja Mezwan menjawab. Kemudian dia terdiam lama. Tok Kadi masih menunggu ayat-ayat Mezwan yang seterusnya.

                   ‘’Itu saja? Dengan siapa awak nikah?’’ Tok Kadi menyoal sambil mengulum senyum. Gelak ketawa sudah kedengaran dari saksi-saksi yang sedang melihat upacara akad nikah dilakukan.

                    ‘’Dengan Seri Chempakalah, takkan dengan Tok Kadi pulak?’’ Mezwan menyoal Tok Kadi kembali. Riuh rendah sambutan para-para saksi. Tergelak lagi mereka mendengar respon dari Mezwan.

                    ‘’Mezwan..sempat lagi tu..’’ walid Mezwan, Encik Ibrahim bersuara perlahan. Dia yang sedang duduk di sebelah kiri Mezwan sudah mula berbisik.

                ‘’Buat macam kita berlatih di rumah tadilah Wan. Macam ni ke, orang yang tak sabar nak jadi suami orang ni? Kata tadi, pandai sangat?’’ sempat Encik Ibrahim menyindir Mezwan yang masih nampak tenang tu. Tenang di wajah saja, dalam hati, belum tentu.

               ‘’Mulai sekali lagi.’’ Saksi di sebelah kanan meminta. Tok Kadi mengengam tangan Mezwan sekali lagi. Sudah berpeluh pun tangan Mezwan sekarang ni. Bukan senang rupanya nak diakad nikahkan. Gentar juga di dalam dada. Wajah mungkin boleh menipu, tapi hati di dalam hanya Allah saja yang tahu.

               ‘’Mezwan Wanduren Bin Ibrahim, aku nikahkan akan dikau dengan Seri Chempaka Binti Abdul Mutalib dengan mas kahwinnya, seribu seratus ringgit tunai.’’

             ‘’Okey. Baik..aku terima nikahnya..Err..Chempaka Seri Bin Mutalib..’’ belum habis Mezwan melafazkan akadnya, rumah kampung dua tingkat separuh papan dan simen itu bergegar lagi dengan ketawa para hadirin yang menyaksikan upacara itu.

               ‘’Wan..’’ lanjut saja Encik Ibrahim memanggil Mezwan. Menoleh pantas Mezwan ke arahnya, sambil mengerutkan kening.

               ‘’Sorry walid. Wan tersasul. Gabra..’’ perlahan Mezwan berbisik pada walidnya. Mengeleng tanpa sedar Encik Ibrahim dibuatnya.

               Akad nikah pun dimulakan sekali lagi. Alhamdulillah, masuk kali ketiga, barulah lancar sebutannya. Doa pun dibacakan. Sekarang giliran Seri pula yang semakin mengelisah. Usai saja Mezwan melakukan solat sunat, Seri sudah meratib di dalam hati. Saat yang paling mendebarkan buat Seri adalah majlis pembatalan air sembahyang. Seri takut nak bersalaman dan mencium tangan suaminya sendiri. Gentar tak terkata, tak terungkap dengan perkataan. Itulah Seri, bila sifat mengelabahnya menyerang.

             Mengigil tubuh Seri. Bukan saja tubuhnya yang berpeluh kesejukan, malahan tapak tangannya turut berpeluh. Seri memegang tangan sahabat baiknya yang menemaninya di sebelah. Seri cuba meredakan rasa gelisahnya dengan berbuat demikian, tapi sebaliknya yang berlaku.

           ‘’Kenapa dengan kau ni Seri? Cairlah make- up tu nanti, sakan kau berpeluh ni. Macam mana nak bersalam dengan suami kau nanti? Ya Allah, aku tak pernah jumpa lagi, pengantin perempuan yang mengelabah teruk macam kau ni. Handsome sangat suami kau tu Seri. Kalau aku jadi kau, tak sabar rasanya nak pegang tangan dia dan batalkan air sembahyang.’’ Sya Fysha bersuara ingin mengusik Seri. Dia kenal sangat dengan Seri yang malu berhadapan dengan setiap lelaki. Memang Sya terkejut sangat bila kali pertama melihat wajah Mezwan. Tak sangka betul dia, lelaki sekacak Mezwan akan menjadi suami Seri yang pemalu. Namun Sya sentiasa mendoakan kebahagiaan sahabat baiknya ini.

              ‘’Aku takutlah Sya. Macam mana, kalau aku tiba-tiba pengsan?’’ Seri menyoal perlahan. Dia pernah terfikir untuk berpura-pura pengsan saja supaya semua adat membatalkan air sembahyang tak dilakukan. Ahh..nak bersalam dengan lelaki yang dah bergelar suami? Aku belum bersedia. Seri berbisik di dalam hati.

               Perlahan-lahan Mezwan melangkah ke arah Seri. Langkahnya teratur dan matanya sedang merenung tepat ke wajah Seri yang dirias cantik. Seakan tak mahu berpaling ke arah lain lagi. Dia duduk bersimpuh di depan Seri, bersedia menyarungkan cincin selepas umminya memberikan cincin padanya. Namun, beberapa minit menghulurkan tangan, Seri masih belum memberikan respon. Ingin saja Mezwan mencapai jari jemari Seri, tapi dia cuba bertahan dan menunggu dengan sabar.

                ‘’Seri..kan Wan nak sarungkan cincin tu.’’ Puan Shuhada bersuara sambil memegang tangan Seri supaya tangan Seri diangkat, namun Seri mengeraskan tangannya. Kepala Seri terus menunduk memandang ke bawah, tak berani Seri nak mengangkat wajahnya. Mezwan pula yang semakin hilang sabar melihat kelakuan Seri. Terdetik niat nakal dalam hatinya.

              Perlahan-lahan, Mezwan mencapai tangan Seri. Serentak dengan itu, Mezwan mendekatkan bibirnya ke telinga Seri yang bertudung litup. Dia membisikkan sesuatu yang membuatkan wajah Seri semakin berbahang. Berulang kali ayat-ayat Mezwan bergema dalam gegendang telinga Seri.

              ‘Sayang..jangan buat abang macam ni. Nanti orang ingat Seri nikah dengan abang sebab terpaksa pula. Seri buat perangai macam ni, nanti siap abang kerjakan bila kita tinggal berdua. Seri buat baik dengan abang..barulah abang layan Seri dengan baik.’’ Bisikan Mezwan, walaupun perlahan, tetap membuatkan hati Seri tergugat. Semakin gentar jiwanya. Apatah lagi, bila dia cuba panggungkan kepala, terlihat bibir Mezwan yang sedang tersenyum nakal. Arghhh..Seri menjerit di dalam hati. Buat-buat pengsan sekarang, boleh tak?

             ‘’Seri, salam Wan.’’ Sekali lagi Puan Shuhada memberi arahan pada Seri. Berat betul tangan Seri untuk diangkat dan bersalaman dengan Mezwan, lebih-lebih lagi tangan itu perlu dicium tanda hormat. Bukan Seri tak suka, cuma dia terlalu malu untuk bersentuhan dengan Mezwan yang sudah halal buatnya.

                ‘’Seri..nak abang paksa ke?’’ perlahan saja suara Mezwan kedengaran. Bibirnya sedang menahan senyum. Seri menghulur juga tangannya. Belum sempat Mezwan menyambut, Seri menarik tangannya semula. Berulang kali terjadi begitu, hinggalah Mezwan hilang sabarnya. Terus dia menarik kepala Seri dan mengucup dahi Seri yang masih berlapik dengan selendang. Lama betul bibirnya singgah di dahi Seri hingga membuatkan Seri mula rimas dan menolak tubuh Mezwan agar menjauh. Mezwan pula sengaja mengeraskan tubuhnya. Berlaku pula pergelutan dan membuatkan suasana kembali riuh rendah dengan gelak dan tawa.

                ‘’Malulah jugak. Dah halal pun malu lagi. Itu baru sikit.’’ Sempat Mezwan berbisik sebelum melepaskan Seri dan beralih pula untuk bersalam dengan kedua ibu bapa mereka. Tangannya tak juga disalam oleh Seri. Biarkan saja Seri tu. Malam karang, dia tuntut hutang tu kembali. Mezwan sudah nekad di dalam hati.

*******************

                 Sehari suntuk hari ini, Mezwan mengikut saja ke mana Seri melangkah. Seri ke dapur, Mezwan ke dapur. Seri masuk bilik, Mezwan pun nak masuk bilik, tapi Seri bijak. Bila Mezwan nak ikutnya masuk ke dalam bilik, Seri melencong ke arah lain. Yang parahnya bila kawan-kawan Seri dan kawan-kawan Mezwan mengajak mereka bergambar di dalam bilik dan melakukan pose-pose maut. Betul-betul Seri harap dia akan pengsan ketika itu.

              Bila Seri tak hendak, Mezwan pula dengan selamba mengikut arahan. Pinggang dan bahu Seri dipaut dengan selamba saja. Bergegar jantung Seri dibuatnya. Rentak degupnya berlari kencang. Hatinya meratip lagi, berdoa yang tak pernah habis, agar masa berlalu dengan pantas. Bila Seri terfikir akan waktu malam, Seri berdoa lagi, semoga malam takkan muncul. Seri benar-benar sedang bertarung dengan perasaan resah. Dia dalam persimpangan dilema perasaan. Bak kata pepatah, diluah bakal mati emak, kalau ditelan akan mati bapa. Ahh..sukarnya hendak berhadapan dengan kenyataan.

            ‘’Seri..jom, kawan abang ajak bergambar lagi. Mereka dah nak bertolak balik tu. Tak baik hampakan perasaan mereka.’’ Mezwan yang terpisah sekejap dengan Seri atas alasan Seri nak ke bilik air mencari Seri dan terjumpa Seri di ceruk dapur. Tersenyum dia bila melihat bibir Seri yang memuncung sedikit bila mendengar permintaannya. Dalam hati Mezwan sudah tergerak untuk menyakat Seri dengan aksi spontannya nanti. Spontan, namun dirancang dengan teliti.

              Tangan Seri dicapai dan Mezwan mengengam erat tangan Seri dan memimpin Seri hingga ke luar rumah. Seri terpaksa menahan rasa dan bertarung lagi dengan perasaan malunya. Hendak menarik tangannya, takut pula Mezwan terasa hati. Dibiarkan saja Mezwan menarik tangannya yang sedang berpeluh itu.

               Jantung Seri terus mengepam darah dengan laju. Mezwan buat hal lagi. Bila kawan-kawannya menyuruh Seri bergambar dengan Mezwan dan memberikan pose terbaik untuk kali terakhir, Mezwan menyuruh Seri berhadapan dengannya dan menatap ke dalam mata Mezwan. Bak kata orang, saling bertentangan mata, biar terus turun ke hati..maka terbitlah perasaan cinta. Mudah bagi Mezwan untuk melakukannya, tapi terlalu sukar bagi Seri. Kepalanya macam spring yang terlantun-lantun. Mezwan angkat dagunya untuk mendongak, Seri jatuhkan kembali wajahnya. Mezwan angkat lagi, Seri jatuhkan lagi wajahnya, hinggalah kali ke lima, Mezwan hilang sabar dan merangkul tubuh Seri di depan kawan-kawannya. Tergaman Seri. Lagi bengang, bila rakan-rakan Mezwan bertempik sorak. Serius, kali ini Seri betul-betul nak pengsan.

              ‘’Abang dah cakapkan, jangan buat perangai macam tu. Kan..dah kena.’’ Sempat Mezwan berbisik ke telinga Seri dengan tindakan drastiknya tadi. Seri tak berani bersuara langsung. Bibirnya bagaikan telah digam. Lidahnya kelu untuk bersuara. Hanya hatinya yang sedang berbicara, berceloteh, berleter dan meratipkan doa tanpa henti. Selebihnya..grrr..macam nak cubit-cubit saja tubuh Mezwan sepuas hati. Biar lebam tubuhnya. Padam muka!

*****************

                Malam yang ditakuti Seri menjelang juga. Mezwan yang telah sah menjadi suaminya ditinggalkan seorang diri di rumah mereka. Semua saudara mara Mezwan sudah pulang semula ke rumah masing-masing. Mezwan akan bercuti seminggu di kampung Seri sebelum membawa Seri pergi berbulan madu. Mezwan berniat untuk berkenal mesra dengan saudara mara Seri terlebih dahulu sebelum membawa Seri pulang.

                   Majlis besar di sebelah mereka akan diadakan selepas mereka pulang dari berbulan madu. Dia nak biasakan diri dengan Seri dulu. Dia tak mahu Seri malu-malu alah macam sekarang. Dia nak Seri berbual mesra dengannya seperti pasangan suami isteri yang lain. Dia takkan paksa Seri, sebab itulah, dia minta keluarga mereka tangguhkan majlis. Yang penting, mereka berdua telah selamat diijab kabulkan.

              Bila Mezwan berfikir seperti itu, lain pula yang Seri fikir. Mana nak dia sembunyikan diri malam ini? Dalam almari atau dalam bilik air? Ataupun, lari keluar rumah senyap-senyap dan bersembunyi di rumah Sya saja? Ah..gawat sungguh. Rasa macam nak meraung saja bila dia membayangkan saat dia bakal berdua dengan Mezwan nanti. Apa pula tindakan Mezwan nanti? Di depan orang ramai pun, dia sanggup buat yang bukan-bukan, inikah pula bila mereka dah berdua. Ahh..Seri tak sanggup!

              ‘’Seri, dah mandi? Kita solat berjemaah. Walaupun, abang tak pandai sangat nak imankan solat kita, tapi abang akan cuba buat yang terbaik. Seri dah jadi tanggungjawab abang. Dah berwuduk ke? Pergilah berwuduk dulu, lepas tu kita solat berjemaah bersama.’’ Tenang saja Mezwan berkata. Dia memang macam tu, nampak macam tenang selalu. Dalam hati, tiada siapa pun yang tahu, apa perasaannya.

            ‘’Err..Seri cuti.’’ Seri cuba mengelak. Bukan dia sengaja nak menipu. Tapi, nak buat macam mana, baru tengok Mezwan saja, hati dia dah mula bergoncang, inikan pula nak solat berjemaah bersama. Tak kena gaya, kusyuk ke mana, apa pun ke mana.

              ‘’Oh..melepaslah abang, malam ni..’’ Mezwan ketawa sambil merenung Seri. Dia percaya bulat-bulat dengan kata-kata Seri. Dia menghampiri Seri yang sedang berdiri kaku di tepi katil, belum lagi tubuh Seri disentuh, cepat-cepat Seri mengelak dan lari keluar dari bilik. Seri turun ke bawah dan masuk ke bilik air. Dalam bilik air, Seri memegang dadanya dan cuba bernafas kembali. Macam nak tercabut juga nyawa Seri dek penangan Mezwan ni.

             Selepas debaran dalam dadanya reda, Seri mengambil wuduk. Dalam hatinya berkira-kira untuk masuk bersolat di dalam bilik adiknya Amy. Namun..Seri teringat pula dengan telekungnya yang masih ada di dalam biliknya. Nak masuk ke bilik semula untuk mengambil telekung, Seri takut pula bertembung dengan Mezwan. Seksa sungguh hidup Seri selepas ada suami ni.

               ‘’Tadi..Seri kata cuti?’’ Mezwan yang sedang menanti di luar bilik air, menyoal. Terkejut Seri, mana dia tahu, Mezwan akan mengikutnya hingga ke bilik air pula.

             ‘’Cuti apa? Cuti solat? Bukan minggu lepas Seri dah cuti ke? Tak habis lagi Seri?’’ Puan Syafinaz mencelah tiba-tiba. Seri mengigit bibir. Mezwan menahan senyum. Kantoi juga akhirnya.

                  Seri mendesah halus. Rumah kampung macam mereka hanya ada satu bilik air bersebelahan dengan dapur. Bilik ibu dan abahnya pula di tepi dapur. Bilik Amy di depan ruang tamu. Hanya bilik Seri di tingkat atas. Rumah atas pula rumah papan, namun masih kukuh lagi. Dalam rumah ni memang payah nak simpana rahsia. Ibu Seri, tahu sangat dengan helah Seri bila mendengar kata-kata Mezwan tadi. Sengaja dia mencelah, sedangkan di dalam hati Puan Syafinaz sudah tersenyum gelihati.

              ‘’Tak baik tau menipu suami. Seri tunggu abang di atas, Abang nak mandi dulu. Nanti kita jemaah.’’ Dalam senyuman Mezwan bersuara. Hatinya benar-benar tercuit kini. Isteri pemalu sangat, tapi bapa dan emak mertua, termasuk adik ipar lelakinya sporting pula.

            ‘’Abah ke mana ibu? Wan tak nampak pun abah.’’

             ‘’Lahh..abah kamu dengan Amy bersolat di masjid. Mereka tak ajak kamu ke?’’ terus Mezwan mengeleng. Tak ada pula dia diajak. Yang ajak tadi cuma salah seorang penduduk kampung saja. Tu pun, macam tak serius, macam ajak-ajak ayam, katanya ada kenduri di masjid malam ini. Entahlah..Mezwankan orang baru di kampung ini.

            ‘’Eloklah tu, boleh juga kamu ajak Seri tu solat berjemaah dengan kamu. Dengan Seri ni kamu kena banyak bersabar sikit Wan. Memang tak terlayan sikap degil dia tu. Tapi, kamu kenalah pandai ambil hati dia. Tak ke manalah keras hati dia tu. Orang perempuan ni, macam kerak nasi Wan. Kena rendam air, lembutlah dia nanti.’’

             ‘’Tak apa ibu, Wan memang sukakan cabaran. Seri dah jadi isteri Wan. Dia tak boleh lari dah..’’ selamba Mezwan menjawab balas sambil mengerling Seri yang sudah memijak anak tangga untuk naik ke atas. Puan Syafinaz turut memandang ke arah Seri. Bibirnya sedang menahan senyum. Sementara Seri menyambung ratib di dalam hati.

*********************

                  Seri memberi salam kanan dan kiri. Kalut sungguh solatnya malam ini. Permintaan Mezwan supaya menunggunya untuk solat berjemaah, tak dia endahkan pun. Masuk saja ke bilik, terus Seri sarung telekung dan bersolat seorang diri. Mezwan pula, macam anak dara, lambat benar mandinya. Seri dah selesai solat, dia baru nak masuk bilik semula. Tercengang juga Mezwan melihat Seri yang sedang memberi salam. Dia cuba berfikiran positif. Seri solat sunat Maghrib agaknya tu.

          Seri berwirid seketika sebelum mengangkat tangan dan membaca doa. Mezwan mula cuak. Dia mengulung kain pelikatnya dan mula mengenakan pakaian untuk bersolat. Sejadah yang ada di ampaian dicapainya dan dihampar di hadapan Seri. Dia menoleh ke arah Seri yang sudah selesai berdoa.

             ‘’Dah solat?’’ Seri tak menjawab, namun kepalanya dijatuhkan berkali-kali.

            ‘’Kenapa tak tunggu abang?’’

               ‘’Seri belum bersedia.’’ Perlahan Seri bersuara.

              ‘’Sepatutnya, abang yang cakap macam tu. Ini..Seri pulak yang belum bersedia. Bukan Seri yang kena jadi imam pun.’’ Macam rajuk saja nada suara Mezwan sekarang ni.

               ‘’Seri takut tak kusyuk.’’ Seri cuba memberi alasan.

               ‘’Seri pasti, solat Seri tadi kusyuk?’’ Mezwan menyoal lagi. Seri mengeleng. Mezwan tak mahu terus berbahas. Dia mula mengadap kiblat dan mengalunkan iqamat. Malas nak fikir lagi, pasal Seri yang tidak menunggunya untuk solat berjemaah bersama. Esok masih ada. Fikir Mezwan di dalam hati.

***************

             Seri diserang rasa bersalah. Dia tahu, dia banyak menyakitkan hati Mezwan hari ini. Mezwan juga kena faham dengan keadaannya. Mezwan juga harus beri peluang untuk dia menyesuaikan diri. Apa yang berlaku bukan kehendaknya. Seri cuma tak dapat mengawal dirinya. Jantungnya selalu sangat mengepam darah dengan laju, setiap kali berhadapan dengan Mezwan. Bukan saja Mezwan, semua lelaki yang bukan mahramnya, hati Seri akan jadi tak menentu. Seri takut nak berhadapan dengan kaum Adam. Bila berdepan dengan Mezwan yang sudah bergelar suami, lagilah Seri takut bila mindanya sudah membayangkan yang bukan-bukan.

              ‘’Dah habis? Cepatnya..’’

               ‘’Hmm?’’ Seri bingung. Apa yang dah habis? Baru saja dia muncul di dapur, soalan itu yang ditanya ibunya.

                ‘’Solatlah. Ibu baru nampak Wan naik atas. Seri dah turun bawah.’’

                ‘’Oh..abang Wan sedang solatlah tu. Seri malas nak tunggu abang. Ingat nak tolong ibu siapkan makan malam.’’ Seri mereka alasan yang tak sepatutnya. Puan Syafinaz sudah menjeling geram.

              ‘’Seri..tanggungjawab seorang isteri ni berat tau. Perkara pertama yang wajib isteri buat adalan melayan suami, terutamanya layanan di tempat tidur. Keduanya melayan perut suami, apa saja yang suami nak makan, isteri kenalah masak untuk suaminya. Solat berjemaah tu untuk mengeratkan kasih sayang suami isteri. Sejak siang tadi lagi, ibu perhatikan Seri. Suka sangat engkar perintah suamikan? Dah salam dengan Wan? Kalau belum, masa solat tu la nak bayar hutang pun. Salam dan cium tangan suami tu, akan gugur dosa-dosa kita di celah jari. Seri faham tak, betapa pentingnya solat berjemaah ni?’’ Puan Syafinaz mula memberi ceramah. Terdiam Seri mendengarnya. Angguk tak, geleng pun tak.

               ‘’Malam ni malam pertama, jangan nak ngelat pula.’’ Selamba saja Puan Syafinaz menyambung bicara. Dia menahan senyum lagi seraya memandang wajah Seri. Tertelan liur Seri mendengarnya. Inilah masalah yang paling berat untuk Seri rungkaikan. Aci tak, Seri buat-buat sakit pula? Nak pengsan, masih tak berjaya pengsan pun sejak siang tadi. Heh..

               ‘’Ibu..Wan nak bawa Seri keluar. Boleh?’’ suasana sunyi di ruangan dapur dipecahkan oleh suara garau Mezwan yang datang dengan tiba-tiba. Seri menoleh kalut. Nak ke mana pula malam-malam ni?

                ‘’Kenapa tanya ibu? Isteri Wankan..bawalah ke mana saja yang Wan nak. Ibu dan abah bukannya boleh larang pun.’’ Tenang saja Puan Syafinas memberi kebenaran. Matanya sudah menjeling Seri yang sedang mengemas pinggan mangkuk.

            ‘’Seri, jom bersiap. Abang nak bawa Seri keluar sekejap.’’ Mezwan menghampiri Seri. Hatinya berdoa, agar Seri bersetuju kali ini. Puas dia berfikir selepas bersolat tadi. Macam mana nak rapat dengan Seri.

               ‘’Pergi mana?’’ Seri menyoal perlahan.

             ‘’Keluar dating.’’ Mezwan berbisik dan serentak mengungkapkan kata, dia mengenyit mata. Seri yang terpandang gelagat nakal Mezwan kembali menjadi resah. Hatinya buat hal lagi. Nak melangkah pun, kakinya tak mampu.

            ‘’Seri..jom, sekejap saja. Jangan bimbang, abang takkan larikan Seri. Tapi, kalau abang larikan Seri pun, rasanya abah dan ibu takkan marah abang.’’ Mezwan cuba memujuk. Dia berdiri rapat di tepi Seri. Jiwa Seri yang menyimpan gundah, takut dan seram tak mampu untuk menolak lagi. Dia anggukkan juga kepala dan mula bergerak naik ke tingkat atas.

            ‘’Jangan ikut. Seri nak naik, tukar pakaian.’’ Seri bersuara gentar, separuh mengeletar. Dia takut, Mezwan ada helah tersembunyi. Itu yang dia bimbangkan sejak tadi. Berdua-duaan dengan Mezwan di dalam bilik.

              ‘’Abang pun nak tukar baju jugak.’’ Seri mengigit bibir, mendengar alasan Mezwan. Parah ni.
             ‘’Pergilah..naik tukar baju dulu. Abang turun nanti, baru Seri naik.’’ Bijak Seri mengelak. Tapi, Mezwan lagi bijak. Alasannya memang logik sangat.

               ‘’Bukan berdosa pun Seri. Kita naik sekalilah. Tak bazir masa. Seri ni, dengan abang pun nak segan.’’ Selamba saja Mezwan berkata dan menarik Seri untuk naik ke atas. Walaupun dikeraskan badannya, Seri masih tak berjaya juga.

            ‘’Seri, takkan dah lupa, apa abang cakap siang tadi. Seri buat perangai macam ni, lagi teruk abang kerjakan Seri nanti. Ingat tu..’’ sengaja Mezwan mengingatkan Seri akan kata-katanya siang tadi.

              ‘’Nak abang cempung Seri naik ke bilik ke?’’ laju Seri mengeleng. Mezwan tersenyum kemenangan. Nak ke tak, terpaksa juga Seri menurut perintah.

********************

                Azan Isyak sudah berkumandang. Seri terpaksa masuk ke bilik air untuk mandi sekali lagi dan mengambil wuduk. Selepas solat Isyak nanti, baru Mezwan ingin mengajaknya keluar makan malam di luar. Orang lelaki ni, bukan boleh percaya sangat. Seri dah terkena sekali dengan Mezwan. Nak marah pun tak boleh. Dah menjadi tanggungjawab dia sebagai seorang isteri.

               Seri masuk ke dalam bilik dengan rambut yang berbalut tuala. Mezwan yang menanti giliran untuk masuk ke bilik mandi, memandang Seri dengan senyuman nakal terukir di bibir. Seri mengebam bibir. Geram usah dikata..lain dimulut, lain di hati. Penuh dengan tipu muslihat pula tu. Seri mengomel sendiri. Itu pun, di dalam hati. Berani Seri nak cakap depan-depan. Lain pula jadinya nanti. Dengan Mezwan, bukannya boleh dibuat main.

              ‘’Tunggu abang, kita solat jemaah. Seri solat sorang-sorang macam tadi, siap Seri..malam ni, Seri jangan tidur sampai pagi.’’ Amaran sudah diberi. Mezwan pula sedang tergelak di dalam hati. Seri tarik muka masam sambil menoleh ke arah lain.

                     ‘’Abang mandi dulu, Seri siaplah dulu sementara menunggu abang selesai mandi. Siapkan baju abang sekali. Ada dalam beg abang tu. Tolong keluarkan ya. Abang pakai saja, baju mana yang Seri pilih.’’ Sebelum melangkah keluar dari bilik, sempat Mezwan berpesan kepada Seri. Tak berani membantah lagi, Seri turutkan saja kehendak Mezwan.

               ‘’Kata tadi, nak keluar?’’ Mezwan baru nak membuka pintu bilik air, Puan Syafinaz sudah menegur. Terkejut juga Mezwan. Cuba mengawal diri yang terkejut, Mezwan berlagak cool.

             ‘’Ya ibu, lepas Isyak nanti. Solat dulu, baru keluar. Balik lewat sikit, tak apakan ibu?’’ Mezwan menjawab yakin. Kalau ibu mertuanya dapat membaca gerak lakunya ini, habislah.

            ‘’Ikut suka Wanlah..’’ Puan Syafinaz menjawab sambil melirik senyum. Mezwan terus masuk ke bilik air dan memulakan kewajipannya. Mandi wajibkan? Tentulah satu kewajipan sebelum menunaikan solat. Selesai mandi, Mezwan mengambil wuduk dan memakai t shirt yang dipakainya tadi. Takkan nak keluar bilik air tanpa berbajukan? Terserempak dengan ibu mertuanya lagi, mana nak letak muka?

              ‘’Mandi lagi Wan? Panas sangat ke bilik tu? Nak hujan agaknya malam ni.’’ Ramah Puan Syafinaz menegur Mezwan yang baru keluar dari bilik mandi. Mezwan tersenyum saja, masih cuba berlagak macho.

                ‘’Ha’ah ibu, panas sangat. Tak tahan Wan, agaknya di kampung, kalau nak hujan, memang panas macam ni ke ibu?’’ dilayankan saja serkap jarang ibu mertuanya. Nak hujan ke tak, aku tak kesah pun. Yang penting, jangan tertangkap macam ni lagi, sudahlah. Malu tak terkata dah ni. Mezwan berdialog di dalam hati. Dia tahu, ibu mertuanya sedang cuba menguji diri. Padam muka, tak sabar sangatkan?

                ‘’Selalunya macam tu la Wan. Kalau hujan malam ni, untunglah pesawah semua. Sejuk sikit malam ni.’’ Puan Syafinaz cuba berkias. Bibirnya menahan senyum. Dia melihat wajah Mezwan yang sedang melangkah naik ke atas. Mezwan tak menoleh ke arahnya pun, namun kepalanya terangguk-angguk beberapa kali.  Kepala Puan Syafinaz pula yang tergeleng-geleng. Dalam senyum lucu, Puan Syafinaz bersyukur, semoga Seri Chempaka benar-benar disayangi dengan ikhlas oleh suaminya.

                 Masuk saja ke dalam bilik, Mezwan sudah mengipas-ngipas wajahnya di depan Seri. Wajah dan telinganya sedikit merah. Seri memerhatikan saja gelagat Mezwan tanpa kata. Dia sudah duduk di atas sejadah dengan telekung sudah menutupi seluruh tubuhnya.

               ‘’Muka abang dah terbakar. Abang terkantoi dengan ibu. Seri ada cakap apa-apa tak, dengan ibu tadi?’’ Seri yang tidak memahami apa-apa, mengeleng laju.

               ‘’Betul, Seri tak cakap apa-apa?’’ Mezwan menyoal lagi. Seri tetap mengeleng.

               ‘’Abang serik, lepas ni tak nak buat lagi, kecuali..kalau ibu tak ada di rumah.’’ Seri masih bingung mendengar kata-kata Mezwan.

                ‘’Seri tahu tak?’’ laju Seri mengeleng.

               ‘’Ibu tahu, kita ehem-ehem tadi..’’

                ‘’Hah?’’ ketika ini, Seri betul-betul berharap, dia akan jatuh pengsan. Malu-malu dia dengan Mezwan di depan ibu dan semua orang, belum lagi lewat malam, Seri dah menyerah kalah. Oh, ibu..mana Seri nak letak muka Seri ni?

********************

             Seri dan Mezwan berjalan bergandingan tangan di tepi pantai.  Dengan Mezwan, Seri yang pemalu pun terpaksa menyerah secepat ini. Mezwan cukup tegas dengan keputusannya. Seri terpaksa pasrah, merelakan dirinya terus dimiliki. Kalau nak diikutkan perasaan malunya, dia ingin berjalan dengan jarak semeter di antara dia dan Mezwan. Masalahnya, Mezwan takkan sesekali membenarkan semua itu terjadi.

                 ‘’Kenapa ni sayang? Takkan malu lagi dengan abang? Dah ehem, ehem tadikan? Okey saja..’’ Mezwan mula menyakat Seri. Berubah wajah Seri. Dia baru hendak memujuk hatinya agar bertenang. Mezwan mula bermain kata, yang membuatkan wajah Seri berbahang hangat.

                  ‘’Berpeluh tapak tangan Seri. Panas ke?’’ masih lagi cuba menyakat. Seri mula menjadi tak tentu arah. Mezwan mengulum senyum. Suka melihat wajah Seri yang sedang mengelabah macam tu.

                 ‘’Malulah orang tengok. Pegang-pegang tangan macam ni. Macam nak menunjuk saja.’’ Perlahan Seri berkata, matanya melirik ke kiri dan ke kanan untuk melihat orang sekeliling mereka.

                ‘’Malu dengan orang ke, malu dengan abang? Seri tahu tak, kita pegang tangan macam ni, berguguran dosa-dosa kita di celah-celah jari tau.’’  Mezwan tak mahu mengikut rentak Seri. Malu ke tak, biarkan Seri tu. Pasangan melayu yang belum nikah pun, selamba saja pegang tangan di khalayak ramai. Tak malu pun.

                  ‘’Tak sukalah. Kita baru nikah siang tadi. Nanti, apa pula kata orang.’’ Seri masih beralasan. Mezwan pula semakin kejap mengengam jari jemari Seri.

              ‘’Biarlah meraka nak kata. Kita bukan buat dosa pun. Mereka yang berdosa, sebab mengata kat kita.’’ Selamba badak saja Mezwan menjawab balas. Seri mengigit bibir. Tangan yang cuba dirungkaikan dari pegangan Mezwan tetap tak berjaya dirungkai. Seri mencari idea lagi, untuk melepaskan jari jemari mereka yang sedang bertaut.

                 ‘’Kalau jumpa dengan kawan-kawan Seri, macam mana?’’

               ‘’Payah apa, kenalkan abang pada mereka. Di depan kawan-kawan abang tadi, mereka tak cakap apa pun, masa abang peluk Seri.’’ Mezwan menjawab soalan Seri dengan yakin. Seri kebuntuan, tapi dia tetap berusaha untuk mencari alasan lagi.

               ‘’Alaa.. mana sama, kawan abang orang pekan, kawan Seri orang kampung. Pemikiran tak sama. Kalau mereka tengok Seri jalan pegang tangan macam ni, mesti Seri kena kutuk kaw-kaw..’’

               ‘’Biarlah, mereka kutuk. Seri cakap saja Alhamdulillah..ustaz cakap, kalau ada orang kutuk kita, tapi kita tak balas balik, sebaliknya kita cakap Alhamdulillah, kita dapat pahala tau..’’ Mezwan berkata dan bibirnya terus tersenyum. Matanya merenung tepat ke wajah Seri yang menoleh sekilas lalu ke arahnya. Dia tak puas hati. Dia berhenti melangkah dan memegang bahu Seri.

               ‘’Seri, pandang abang..’’ Mezwan pegang dagu Seri supaya Seri mendongak.

                ‘’Seri sayang abang tak? Cakap jujur dengan abang.’’ Mezwan tanya direct. Kelu lidah Seri untuk memberikan jawapannya. Kalau Seri sudah mula sayang pun, untuk mengungkapkan rasa sayang itu, takkan semudah membaca ABC..

               ‘’Abang sayang Seri. Serius, abang tak bergurau. Siapa pun Seri, hodoh ke cantik isteri abang ni, abang tak kesah sikit pun. Sekali hati abang berkata sayang, Seri akan tetap bersemadi dalam hati abang untuk selamanya. In Sha Allah..Seri kena percaya dengan abang dan abang, bukan memilih isteri kerana rupa parasnya. Yang abang cari adalah isteri yang berakhlak dan beriman. Yang taat dengan Allah dan agamanya.’’ Air mata Seri bergenang bila mendengar kata-kata Mezwan. Terharu benar Seri dengan kata-kata Mezwan. Ya Allah, siapa suami aku yang sebenarnya? Benarkah, dia menerima diri aku seadanya?

              ‘’Seri..’’ Mezwan memanggil Seri untuk kesekian kalinya dan memegang dagu Seri sekali lagi. Wajah itu didongakkan lagi. Dia cuba bertentang mata dengan Seri.

               ‘’Seri tak percaya dengan abang?’’ Seri hanya mampu mengangguk dan serentak itu, air mata Seri sudah berjuraian di pipi. Seri tunduk memandang pasir pantai yang dipijaknya. Hatinya sebak mendengar kata-kata Mezwan.

            ‘’Ya Allah Seri, buat drama air mata pula ke?’’ Mezwan menyapu air mata Seri yang sedang mengalir ke pipi. Seri tersenyum malu. Dia turut sama mengelap air matanya dan menoleh ke arah lain. Macam mana boleh tersyahdu pula ni?

           ‘’Hmm..cantik isteri abang, senyum macam tu. Senyum sekali lagi, abang nak tengok.’’ Semakin membahang wajah Seri. Mezwan ni, suka sangat buat Seri tak keruan.

           ‘’Jangan menangis lagi, abang minta maaf, kalau abang buat Seri terasa. Jom..kita makan, abang dah lapar ni.’’ Mezwan mengubah topik mereka dengan mengajak Seri meneruskan perjalanan mereka menuju ke arah kedai makan yang berderet di tepi pantai. Malam-malam ni, pekena nasi dengan ikan bakar, pun sedap ni. Mezwan berkira-kira di dalam hati. Tangan Seri dipimpin lagi. Tidak pula Seri membantah. Perlahan-lahan, Seri membalas gengaman Mezwan dan dengan perasaan sayang yang mula menyerap ke segenap sanubari, tangan Mezwan diangkat dan diciumnya. Tergaman juga Mezwan seketika, namun bibirnya mekar dengan senyuman selepas itu.

***************

            Hari kedua di rumah keluarga mertuanya. Mezwan ingin rapat dengan semua orang di dalam rumah ini. Semua orang mudah didekati, tapi Mezwan masih belum berjaya menjinakkan Seri. Walaupun mereka tidur sebilik dan sudah bersama, Seri masih malu-malu. Bila Mezwan ajak Seri berbual, payah benar untuk mendengar suara Seri. Hanya anggukan dan gelengan yang Seri lakukan. Mezwan belum berputus asa. Masih terlalu awal untuk dia mengaku kalah. Bila Seri tak mahu bersuara, dia akan ugut Seri dengan berbagai cara. Salah satu ugutan Mezwan, berjalan menghampiri Seri dan ingin menyentuh tubuh Seri. Suara yang hilang pun terus keluar. Masa tu, Mezwan memang tak dapat mengawal diri. Dia akan ketawa tanpa sedar, melihat wajah pucat Seri.

               ‘’Seri, cantikkan bunga cempaka? Wangi pula tu. Di rumah ummi pun banyak pokok cempaka yang ummi tanam. Mungkin sebab tu, abang pun terpikat dengan Seri Chempaka abang ni..’’ Mezwan mencari helah untuk berbual dengan Seri. Topik bunga cempaka yang sedang berbunga lebat di halaman rumah mertuanya menjadi pilihan.

            ‘’Hmm..’’ Seri tak cakap banyak. Itu saja yang dibalasnya. Mezwan tak mahu berputus asa.

                 ‘’Seri..’’ Mezwan panggil Seri sambil cuba merapati Seri, tapi Seri berganjak beberapa langkah ke belakang. Bibir Mezwan mula melebar dengan senyuman. Inilah peluang dia untuk terus menyakat Seri.

                 ‘’Seri, ada katak belakang Seri!’’ Mezwan ingin mengusik Seri, sengaja dia menipu untuk menakutkan Seri.

                 ‘’Katak? Mana?’’ Seri bersuara selamba. Langsung tak menunjukkan rasa takut. Dia masih kekal berdiri di tempat yang sama sambil menoleh ke belakang dan mencari katak yang dikatakan Mezwan.

                  ‘’Seri tak takut katak?’’ Mezwan bertanya, cuak. Seri mengeleng perlahan, Mezwan melepaskan nafas geram. Taktiknya tak menjadi. Dalam imaginasinya, Seri akan menerpa ke arahnya dan memeluknya.

                ‘’Ular!’’ datang Amy tanpa amaran dan melemparkan ular getah ke arah Seri. Menjerit Seri kerana terkejut dan meluru keluar. Terbahak-bahak Amy ketawakan Seri sedangkan Mezwan tercenggang memandang insiden di depan mata.

                ‘’Abang Wan, kak Seri tu dengan katak, dia pegang dengan tangan saja. Kalau ular dengan tikus, baru dengar orang cakap dia dah langkah seribu.’’ Tanpa perlu disoal, Amy memecahkan rahsia Seri. Mezwan tersenyum penuh bermakna.

                  ‘’Macam mana nak jinakkan kakak Amy tu? Boleh bagi petua sikit tak?’’ serius wajah Mezwan ketika menyoal Amy. Dia betul-betul ingin rapat dengan isterinya ini. Tak tahan sungguh dengan sikap Seri yang suka menjauhkan diri. Semuanya harus dipaksa dan diugut, baru boleh mendekatkan diri.

                   ‘’Tak ada petua khas. Abang Wan cuma kena bersabar saja. Kak Seri tu, memang macam tu, bila dia dah biasa nanti, okeylah tu. Bak kata orang, tak kenal maka tak cinta. Kak Seri tu pulak, dah lama-lama, ramahlah nanti.’’ Amy jawab sejujurnya. Itulah yang harus Mezwan lakukan. Nak lembutkan kerak nasi pun bukannya sesaat. Semuanya nak cepat, tak ke manalah jawabnya.

                   ‘’Macam tu ya?’’ Mezwan bertanya dalam nada perlahan. Termalu sekejap, macamlah dia seorang yang gelojoh. Eh..tak gelojoh ke tu? Baru merisik, tak mahu bertunang terus saja nak nikah?

                 ‘’Yupp..bersabar ya, abang Wan. Takkan lari gunung dikejar. Apa-apa pun, kak Seri tu dah jadi milik abang Wankan?’’ Kata-kata Amy buat Mezwan terdiam lama. Dia menoleh ke arah luar rumah dan mula memerhatikan Seri yang sedang mengutip bunga cempaka di halaman rumah. Bibir Mezwan mula tersenyum lagi. Ya, Seri Cempaka dah jadi milikku. Aku harus bersabar dalam melayan setiap kerenahnya, kerana dia adalah anugerah Allah untukku.

              Terima kasih ummi. Pilihan ummi adalah yang terbaik!

**********TAMAT***********
Nota cinta buat pembaca setia blogku : Cerpen ini berakhir di sini. Lama sangat cerpen ini terbengkalai. Mulanya nak bawa mereka honeymoon dan adakan beberapa adegan lucu, tapi nampaknya hasrat tak kesampaian. Minda terlalu sakit untuk mengarang. Kalau ada rezeki saya akan sambung cerpen ni dalam tajuk, Menantu Ummi. In sha Allah hanya dengan izinNYA saja, saya mampu mengarang. Tanpa izinNYA semuanya takkan terjadi.

                 

            

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.