Ahad, 9 Julai 2017

Pergilah Sayang, Bersama Dia Yang Kau Cinta.

            Aku  menangis lagi malam ni. Sakitnya hati, sampai hati abang buat Anis macam ni? Tergamak abang!  Kononnya sayang. Huh! Sayanglah sangatkan? Anis ni bagaikan pungguk yang rindukan bulan, sedangkan abang langsung tak bertanya khabar. Seronok sangat ke berada di rumah isteri nombor dua tu, sampai abang terlupa giliran Anis?

          Abang tak adil! Abang berjanji dulu sebelum nikah dengan Sofia, abang takkan sesekali lupakan Anis. Kata abang, Anis ni cinta pertama abang. Anislah segalanya. Penipu! Masa berjanji lembut gigi dari lidah. Dah dapat apa yang abang nak, janji tinggal janji.

           Anis takkan maafkan abang! Ohh..masa abang nakkan Sofia, kononnya abang takkan buat Anis menangis. Sejak abang nikah dengan Sofia, dah beratus kali Anis menangis bang. Sakit hati Anis, bila buka semua laman sosial abang. Dalam Facebook, Twitter, blog, malahan dalam Instagram abang pun, abang tayang semua kebahagiaan abang bersama Sofia. Belum dikira gambar honeymoon abang dengan Sofia lagi.

          Bernanah hati Anis ni bang! Tengok gambar abang dengan Sofia, peluk-peluk macam tu! Jiwa Anis ni bagaikan terdera. Sakitnya tak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Seolah leher Anis ni dicekik dengan tangan abang sendiri. Anis pula tak berdaya nak melawan kudrat abang.

            Kalau abang tak sayang Anis lagi, kenapa tak lepaskan Anis cara baik? Kenapa Anis digantung tak bertali? Bagi Anis, walaupun abang gantung Anis tak bertali, tapi Anis rasa bagaikan leher Anis ni terjerut kuat. Sakit bang! Sakit sangat!

            My Hubby : Abang tak jadi balik hujung minggu ni. Sofia tak sihat.

           Sedang rancak aku mengarang dairy, Alif menghantar mesej melalui WhatsApp. Itu sajalah, alasan yang dia ada.

          Aku : Tak payah balik terus pun, tak apa! Anis bahagia walau tanpa abang.Terasa macam dunia ni milik Anis. Best sangat, tak ada abang! J

           Lain yang aku pendam dalam hati, lain pula yang aku taip. Geram sangat dengan Alif. Siapa kata lelaki beristeri dua ni boleh berlaku adil? Keadilan dalam rumah tangga selepas berpoligami takkan pernah terjadi. Aku yakin sangat, sebab aku sedang merasainya sekarang.

          My Hubby : Baguslah, kalau macam tu..

           Aku baca lagi mesej dari Alif. Bagus? Kau memang sukakan sebab takkan balik ke sini lagi? Aku ingatkan, dia akan marah dan pujuk aku. Huh! Alif..kau memang nak kenakan?

           Aku : Sukalah tu?

         My Hubby : Hmm..dah Anis kata macam tu, memang abang suka la. Boleh abang temankan Sofia. Dia mengandung sekarang ni. Sofia muntah-muntah dan masuk keluar hospital. Abang tak sanggup tinggalkan Sofia dalam keadaan macam tu.

            Sofia mengandung? Aku usap perut aku sendiri selepas membaca mesej seterusnya dari Alif. Abang, Anis juga sedang mengandung bang. Seminggu selepas abang nikah dengan Sofia, barulah Anis tahu, dalam rahim Anis sudah wujud zuriat kita yang abang tunggu selama ini. Abang tak sabar menerima ujian Ilahi. Abang kata rumah kita sunyi tanpa anak. Pernah tak, abang fikir..tanpa abang dalam rumah ni Anis akan kesunyian? Abang tak pernah fikir ke perasaan Anis ni? Tak pernahkan?

           Air mataku merembes lagi. Sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi. Sudah habis manis, hampas pun terus dibuang. Beginilah nasib diriku. Sesuai sangat dengan pepatah orang dulu-dulu.

           Betina gatal : Hey perempuan..kau ganggu abang Alif lagi ke? Kalau dia ada dengan aku, boleh tak, kau jangan mesej dia. Berbulu tau mata aku ni tengok abang Alif bermesej dengan kau, setiap kali dia datang rumah aku.

              Tak semena-mena masuk pula mesej dari Sofia. Aku sudah setkan namanya dengan Betina Gatal sebab, dia yang selalu panggil aku dengan panggilan tu, padahal..dia yang rampas Alif dari aku. Untuk menyedapkan hati sendiri, itulah nama yang aku beri untuknya. Baru adilkan?

              Aku : Jadi selama ni mata kau memang tak ada bululah ya? Macam mana Alif tu boleh berkenan dengan kau, sedangkan mata pun tak ada bulu. Sekarang ni kau pakai bulu mata palsu agaknya.

           Geram punya pasal, aku balas mesej Sofia tu semborono saja. Biar mendidih sikit hati dia. Dia ingat, dia seorang saja ada hati dan tahu rasa sakit hati? Habis, aku sebagai isteri pertama ni, macam mana? Nak dibiarkan saja, macam tunggul mati? Giliran aku dia bolot, boleh pula. Lagi pun, bukan aku yang mesej Alif dulu. Aku cuma balas mesej Alif saja. Nak salahkan aku pula. Kenapa tak marah suami kesayangan dia tu?

                  Betina Gatal : Betina! Kau cakap bebaik sikit erkk..aku jumpa kau, aku cili mulut tu!

                  Aku : Kenapa mulut aku pula yang kau nak cili. Sejak bila pula orang taip guna mulut? Aku taip guna jarilah betina!

                   Betina Gatal : &*(^%$#&**(((@#!%$

                  Sofia terus menyeranah aku selepas itu. Aku kebam bibir menahan geram. Sedap pula dia cakap aku anak ha..m dan kata aku b... dan macam-macam lagi. Perempuan macam ni pun Alif berkenan ke? Aku malas nak layan Sofia lagi. Aku biarkan mesej sumpah seranah dia tu tak berbalas. Kalau aku pun ikut jejak dia dengan mengeluarkan ayat-ayat sumpah seranah macam tu, maknanya aku dengan dia, tak ada beza langsung. Tak! Aku bukan Sofia. Ibu dan abah aku tak pernah ajar aku menyumpah, memaki atau pun mencarut. Lebih-lebih lagi kalau kata-kata sebegitu ditujukan untuk orang lain, hatta musuh aku sekali pun. 

           Kata-kata kita melambangkan akhlak kita. Semoga Allah sentiasa menjadikan aku sebagai hambaNYA yang berakhlak mulia. Aku berdoa pula dalam hati. Kerana aku juga insan biasa, tetap takut juga terbabas dalam berkata-kata. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

***********

                Semakin lama rumah tangga aku dan Alif semakin hambar. Macam lirik lagu Kian, yang dinyanyikan oleh Mawi.




  KIAN  By : Mawi

Kian jauh kian hilang
Kasih antara kita
Nampak tenang pada zahirnya
Tapi batin terseksa

Yang terguris tak nampak di mata
Yang terhiris terluka
Sesekali terbit air mata
Tahan sebak di dada

Ke manakah nak dibawa
Resah kian melanda
Di manakah hendak ku khabar
Pilu di dalam dada

Bila kasih di hujungnya nyawa
Rasa ingin dimanja
Perasaan pun kian tersentuh
Bila rindu ini berlabuh

Apakah yang dikejar dalam hidupmu
Berkali kukata padamu
Kita singgah di dunia yang sementara
Penuh tipu daya

Yang kekal di sana
Biarlah...kita bersama
Usahlah hanyut terus terlena
Kerana dunia

Pada aku masih ada
Kasih belum terhakis
Sebenarnya...sudah lama
Ku sungguh berkecil hati

                  Semuanya hambar, ibarat retak menanti belah dan Alif langsung tak pedulikan aku lagi. Sakitkah aku, sihatkah aku, dia langsung tak bertanya khabar. Perut aku yang semakin membengkak ini pun, dia tak tahu lagi. Macam mana nak tahu, wajahnya pun tak muncul lagi di rumah ini. Nombor telefon aku dah macam kena block saja. Keluarga mertua aku pun macam dah menyisihkan aku. Hairan betul, sebelum ini, keluarga mertua aku cukup baik dengan aku, terutamanya ibu mertua aku. Dia cukup sporting dengan aku, walau apa pun keadaan. Sekarang ni, semuanya berubah dalam sekelip mata saja.

                      Tak tahu di mana silapnya. Pemikiran aku sekarang ni penuh dengan persoalan. Apa yang berlaku dan apa salah dan dosaku? Dan, paling membuatkan fikiran aku serabut, dengan kejadian yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Aku tak boleh tidur malam. Kadang-kadang tu, aku mengantuk sangat. Aku menguap berkali-kali hingga mengalirkan air mata, tapi bila setiap kali aku terlelap, ada saja yang menganggu. Rasa seperti dicuitlah. Rasa geli dipinggang tanpa sebab. Atau, adakalanya aku terkejut bangun sebab bermimpi yang pelik-pelik.

                  Pernah aku bermimpi orang memanggil namaku, sedangkan aku baru beberapa saat terlelap. Kemudian, aku sudah tak boleh mengerakkan diriku lagi, bila muncul lembaga yang seakan sedang marah kepadaku. Aku melawan dan tak mahu mengalah. Dalam mimpi, seolah aku sedar, aku keseorangan dalam rumah ini. Lagi pun, aku yang sedang mengandung ini memang berbadan lemah. Senang didekati oleh jin-jin yang berniat jahat.

              Mimpi-mimpi aku semakin menjadi-jadi hari demi hari. Badan aku semakin lemah kerana tak dapat tidur dengan nyenyak setiap malam. Aku terpaksa berhenti kerja sebagai pelayan di sebuah restoran dan meneruskan perniagaan online yang sudah aku lakukan sejak dulu. Aku ingin tumpukan perhatian terhadap diriku dan anak dalam kandunganku pula. Sedih memang sedih, namun aku tak mampu untuk menolak suratan takdir. Allah tahu apa yang terbaik untukku. Apa yang berlaku terhadap diriku adalah dengan izinNYA juga. Seringkali aku pujuk diri sendiri dengan kata-kata itu.

                Tuk! Tuk! Tuk!

               ‘’Anis!’’ namaku dipanggil dari luar rumah. Aku yang keletihan dan sedang berbaring di katil ingin bangun membuka pintu. Tapi..belum sempat aku bangun, ada lembaga hitam yang berupa bayang-bayang menghampiriku. Aku terkaku di atas katil dan cuba membaca beberapa surah pelindung diri yang aku ingat. Aku mengelabah dan mengigil. Nafas aku semput dan cuba berlawan. Aku kuatkan hati dan ingat Allah. Tolong aku Ya Allah. Hati aku menjerit dan terus berlawan.

              Aku terjaga akhirnya dan tubuhku masih mengigil. Jantung aku sedang mengepam darah dengan laju. Bulu roma aku meremang dan perasaan takut masih menguasai diri. Aku ikut petua orang tua-tua dan meludah tiga kali ke arah kiri dan bangun bersandar di kepala katil. Aku memerhatikan sekeliling bilik. Terasa seolah aku bukan bersendirian. Seolah ada mata yang sedang memerhati, bulu romaku meremang lagi. Aku Istighfar untuk menghilangkan rasa takut. Aku meratib La Ilah Ha Ilallah berulangkali.

            Kemudian aku capai telefon dan mula membuka Rukyah dari Youtube. Ini pesanan seorang rakan baik kepadaku. Dia pernah dihantar ilmu hitam dan pernah sakit bertahun lamanya. Selepas dia mengamalkan rukyah dan memasang setiap hari dan malam di rumahnya, gangguan itu berkurangan. Aku juga mencuba nasib. Untung sabut timbul, mana tahu gangguan ini akan beransur pergi. Esok, bolehlah aku bersedia andai gangguan seperti ini datang lagi.

                Alhamdulillah..selepas beberapa minit, suasana seram tadi tenang kembali. Suasana bilik yang panas kembali normal dan surah Al-Quran yang sedang berkumandang dalam bilik sedikit sebanyak mengembalikan semangatku. Dalam masa yang sama juga, aku tak berhenti berzikir dan beristighfar. Nasib baik juga, line internet pun laju, jadi surah-surah yang dibaca tidak tersekat. Semuanya dengan izin Allah. Aku hanya mampu berserah dan aku berharap, biar apa saja yang bakal menghalang di hadapan, Allah akan tetap membantuku untuk menyelesaikan segala kekusutan.

               Aku dapat bernafas semula dan bersyukur kerana gangguan itu tak berterusan. Aku bangun dari katil dan menuju ke bilik air. Sampai di bilik air, aku mulakan langkah untuk masuk dengan kaki kiri dan membaca doa. Aku menuju ke arah paip air, membuka kepala paip dan membasuh tangan. Aku membaca bismillah dan mula mengambil wudhuk dengan sempurna. Aku niat dalam hati, nak buat solat sunat Tahajud dan membaca Al-Quran hingga pagi. Mana tahukan, kalau aku tidur, gangguan yang aku alami tadi datang lagi. Kalau bukan dalam sedar, mungkin dalam mimpi, makhluk itu akan muncul lagi. Aku tak nak! Jangan ganggu aku!

                  Selesai mengambil wudhuk aku mula melangkah keluar dari bilik air dengan kaki kanan dan membaca doa untuk keluar dari bilik air. Aku berdoa juga kepada Allah, mudah-mudahan makhluk yang ada dalam bilik air yang tak nampak di penglihatanku takkan mengikut aku keluar. Aku bersendirian dalam rumah ini sejak Alif nikah dengan Sofia dan sekarang semakin kerap aku ditinggalkan bersendirian. Nak mengadu dengan ibu dan abah di kampung, aku tak sampai hati pula. Malahan, hingga kini ibu dan abah serta seluruh ahli keluargaku tak tahu pun, Alif sudah nikah lagi satu. Aku sengaja tak nak menyusahkan mereka. Biarlah aku hadapi semua ujian ini seorang diri tanpa menyusahkan sesiapa pun. Aku tahu, ibu dan abah pasti akan lebih terluka kalau mereka tahu, Alif buat aku macam ni.

**************



   Apakan Daya Orang Tak Suka  By : Goodman Brothers

Penuh perasaan aku berdendang
Nyanyian hati pedih yang kini sepi
Ingin merayu kasih yang telah pergi
Ingin mencurah rasa selendang hati
Aku kesunyian tiada teman

Apalah daya kini orang tak suka
Ku curah kasih suci orang tak sudi
Mana sumpah dan janji dulu sama meniti
Sampainya hati kasih
Kau tinggalkan pergi

Musnahlah sudah sebuah harapan
Sedih tak tertahan keseorangan
Hati terkenang-kenang orang tak sayang
Hati merindu-rindu orang tak tahu
Pada kekasih hati ku mohon kembali

Apalah daya kini orang tak suka
Ku curah kasih suci orang tak sudi
Mana sumpah dan janji dulu sama meniti
Sampainya hati kasih
Kau tinggalkan pergi

Musnahlah sudah sebuah harapan
Sedih tak tertahan keseorangan
Hati terkenang-kenang orang tak sayang
Hati merindu-rindu orang tak tahu
Pada kekasih hati ku mohon kembali

                      Setiap kali aku rindukan Alif, aku layan lagu-lagu lama. Memang menusuk kalbu hingga tertusuk ke jantung. Sakitnya tak tertahan dan air mata terus gugur ke pipi tanpa dipinta. Sakitnya hanya Allah yang tahu. Bila berseorangan begini, rindu aku terhadap Alif semakin menjadi-jadi, tapi apakan daya, kalau orang dah tak suka, apa lagi yang nak ku katakan. Dia sedang bahagia mengulit isteri baru, sedangkan aku isteri pertama yang bersusah payah dengannya selama tujuh tahun ini, langsung tak dipedulikan lagi.

                  Aku usap pula perutku yang sudah hampir berusia lima bulan. Anak dalam perutku ini sudah mula bergerak sedikit. Sesekali terasa gerakannya di dalam rahimku, segala sakit hatiku terhadap Alif berlalu pergi buat seketika. Namun, sakit hati itu muncul lagi, setiap kali aku pergi membuat pemeriksaan di klinik. Paling parah bagiku, bila ada suara-suara sumbang yang bertanyakan Alif kepadaku. Apa jawapan yang harus aku berikan?

            ‘’Oh, Alif ke? Dia dah nikah lain, dah hidup bahagia pun dengan isteri baru dia.’’ Macam tu ke harus aku katakan pada mereka yang kerap bertanya? Atau..’’ Alif? Dia pergi outstation, sepuluh tahun sekali baru dia akan pulang.’’ Cis! Siapa yang akan percaya, pergi outstation begitu lama? Nampak benor nipunya ayat-ayat tu.

                Dalam melayan lagu-lagu lama melalui Youtube aku membuka diaryku yang aku taip di dalam laptop. Memang aku sediakan sebuah folder khas untuk aku tulis pesanan-pesanan pelanggan onlineku di dalam laptop. Cuma sejak akhir-akhir ini saja, aku mula menulis luahan hatiku yang terlalu kecewa kerana Alif.

                Aku mula menulis tarikh dan masa. Aku mulakan kata mengikut apa yang tersirat dalam hati kecilku. Pada mulanya aku keliru untuk memulakan kata. Apa yang harus aku tulis untuk menamakan Alif sebagai penerima luahan hatiku ini. Abangkah atau Alif?

                     Muhamad Alif Hakimi Bin Sulaiman..
                     Kaulah suamiku yang telah memegang tangan Tok Kadi dan melafazkan Ijab dan Kabul berwalikan ayah kandungku sejak tujuh tahun yang lalu, namun kini..aku rasa terbuang di rumah ini seorang diri. Kenapa Alif? Kau abaikan diriku ini dan lupakan semua janji-janji kau terhadap aku? Apa salahku terhadapmu Alif? Kurangkah layananku terhadapmu sejak tujuh tahun yang lalu? Sudah tiada lagikah, rasa cinta dan sayangmu untukku? Aku keliru Alif, siapa aku dalam hatimu kini? Adakah Sofia terlalu istimewa hingga aku diabaikan begini? Di mana tanggungjawabmu sebagai suami?

                 Alif..
                 Kenapa begini kesudahan cinta kita? Kau pernah kata, akulah kekasih pertama dan terakhirmu. Adakah kata-kata itu hanya sebagai penyedap rasa sebelum kau memiliki aku? Aku buntu Arif! Aku rindukan dirimu. Anak dalam rahimku ini juga perlukan ayah. Kesian dia Alif, kalau kehadirannya tak disambut seperti sepatutnya oleh seorang lelaki bergelar ayah.

                Alif...
               Jangan terus sia-siakan aku begini. Aku nampak kuat di luar, tapi sebenarnya aku lemah tanpamu. Aku perlukan kau di sisi Alif untuk hadapi semua kemungkinan. Aku mengandung anak sulung kita Alif. Aku nak kau Alif! Bukan Sofia saja yang perlukan kau. Aku juga! Aku nak suami aku semula!

               Air mata aku gugur ke pipi. Perasaan sebak mula menguasai diri. Hati aku sakit saat menaip kata-kata itu. Aku pegang dada dan esakan aku semakin menjadi-jadi. Ya Allah, aku tak mahu minta dipermudahkan segala ketentuan, tapi aku mohon Engkau kuatlah hatiku ini. Berikan aku hati dan jiwa yang kental untuk menghadapi semua dugaanMu.

*********************

                    ‘’Pergi! Pergi! Aku tak kenal kau. Aku tak ada menantu yang mengandung anak luar nikah. Entah anak jantan mana yang kau kandung tu?’’ air mataku menderu keluar mendengar kata-kata itu. Aku sudah lama tidak menjenguk ibu mertuaku sejak Alif nikah dengan Sofia. Aku merajuk dengan keluarga mertuaku kerana merestui pernikahan Alif. Sekarang, aku nekad untuk memberitahu keluarga mertuaku tentang kandunganku, sebaliknya hendikan yang aku terima.

                      ‘’Ini anak abang Alif mak. Anis tak pernah curang pun dengan abang Alif. Percayalah..Anis, Anis..’’ dalam esak tangis aku cuba menjelaskan segalanya, namun..

                     ‘’Sudah! Pergi dari rumah aku ni dan jangan datang ke sini lagi. Siapa kau nak perbodohkan aku? Kau ingat aku tak tahu ke, Alif dah lama tak balik ke rumah kaukan? Macam mana kau sanggup menipu aku, hah?’’ kasar sekali bahasa yang ibu mertua aku ungkapkan. Aku tak pernah dengar dia bercakap sekasar itu dengan sesiapa pun, sepanjang tujuh tahun aku menjadi menantunya, tapi..hari ini, aku terkejut sangat menrima tempikan darinya.

                  ‘’Anis cakap benar mak. Anis memang dah..’’

                  Panggg...perit terasa pipiku. Semakin laju air mataku mengalir, apatah lagi bila melihat wajah insan yang memberikan tamparan itu. Abang Alif? Kenapa buat Anis macam ni? Hati aku sudah merintih di dalam, sedangkan bibirku masih terkumat-kamit untuk berkata-kata. Kenapa aku diperlakukan seperti ini? Apa salahku? Apa dosaku?

           ‘’Kau pergi balik! Aku tak nak tengok muka kau lagi. Kalau aku dah benci, aku akan terus benci kau sampai mati! Tergamak kau berlaku curang di belakang aku? Anak Bangla mana yang kau bawa tu? Kau ingat, aku tak balik ke rumah tu, aku tak tahu apa-apa pasal kau? Kau silap Anis! Sekarang ni, aku haramkan kau pijak ke sini lagi. Kau jangan ganggu keluarga aku lagi. Pergi!’’

            Ya Allah..atas dosa apa, aku diuji sebegini? Sakitnya Ya Allah, hanya Kau yang tahu. Perit dan pedih. Lukanya sangat dalam dan takkan mungkin sembuh lagi. Kenapa? Kenapa Alif cakap macam tu? Apa bukti yang dia ada?

                 ‘’Anis tak pernah..’’

                   ‘’Diam! Kau jangan nak berpura-pura baiklah perempuan. Jangan nak jadi pembohong di sini. Aku takkan percayakan kau lagi. Bagi aku, kau dah lama mati Anis, sejak aku tahu kau mengandungkan anak jantan lain..’’

                  Ya Allah..ampunkan dosa hambaMu ini Ya Allah. Bantu aku Ya Allah..kenapa aku dituduh begini. Kenapa? Apa salahku? Bila pula aku berlaku curang? Sedangkan yang menduakan kasih kami adalah dia. Alif yang mengkhianati cinta kami, bukan aku. Kenapa aku pula yang dituduh berlaku curang? Apa semua ini? Air mataku semakin menderu keluar mengalir ke pipi. Lidah aku terus kelu untuk mempertahankan diri sendiri. Aku kenal Alif. Egonya sungguh tinggi. Kalau dia dah kata tak percaya, buatlah apa pun, dia takkan percaya dengan mudah.

                       ‘’Pergi! Kalau kau tak nak aku bunuh anak dalam perut kau tu, lebih baik kau pergi!’’ Alif terus bertempik. Aku terus kaku. Hati aku merintih sedih. Dalam hati terus beristighfar tanpa henti. Hanya Allah saja tempat aku mengadu saat ini. Hanya Allah yang tahu kebenarannya. Aku tak pernah curang. Ini anak Alif. Aku sangat pasti. Aku belum nyanyuk lagi.

***************
          
            Azan Isyak berkumandang dari masjid berdekatan. Sejurus kemudian kedengaran Iman mengetuai jemaah melafazkan dan seterusnya mengangkat takbir. Aku yang sedang berteleku di atas sofa di ruang tamu masih bermenung panjang, namun sebaik Iman membaca Al-Fatihah dan Surah Lazim, hati aku tak semena-mena menjadi sebak. Ya Allah, Ramadhan akan bertandang tak lama lagi, tapi Alif..

            Air mataku meluncur sebaik saja nama Alif terlafaz di dalam hati. Terbayang kemesraan dan gurau senda kami, ketika bersahur dan berbuka puasa. Bahagia sangat kami berdua menyulam kasih dan sayang. Ramadhan dan syawal disambut dengan penuh meriah. Ya Allah, aku tak kuat untuk menyambut Ramadhan kali ini tanpa Alif di sisi.

             Bantu aku, Ya Allah. Kuatkanlah hatiku ini. Kentalkan jiwaku untuk menghadapi dugaan ini. Aku bukan minta dipermudahkan kerana aku ingin redha dengan ketentuan takdirMu. Tapi aku mohon diberikan kesabaran dan ketabahan. Dengan terlafaznya doa itu di dalam hati, aku turut tersedu melayan perasaan sendiri. Ditambah pula dengan perasaan rinduku terhadap Alif. 

             ‘’Sayang, kenapa abah buat kita berdua begini? Sudah lupakah dia pada kita? Kenapa dia tuduh ibu begitu? Kenapa dia sanggup menuduh ibu berzina dengan lelaki lain dan tak mengaku anak ibu ini? Aku mengelus perutku yang sudah memboyot dan berdialog dalaman. Air mata pun turut sama berdialog tanpa henti. Tangisan aku semakin menjadi-jadi.

            Allahu Akhbar! Apa tu? Dalam keadaan aku bersedih, tiba-tiba aku terpandang bayang-bayang hitam yang melintas laju. Ya Allah, aku terlalai dengan kewajipanku untuk solat di awal waktu. Ampunkan dosaku Ya Allah. Aku tersedar dengan kesalahanku dan bingkas bangun menuju ke bilik air.

              Kaki yang melangkah penuh hati-hati. Aku pandang kiri dan kanan sambil bibir terkumat-kamit dengan Zikir dan Istighfar. Janganlah gangguan itu datang lagi. Aku berdoa lagi di dalam hati. Air mata yang masih bersisa aku kesat rakus. Perasaan sedih tadi bertukar menjadi takut dan trauma. Kalau gangguan ini berterusan, aku tiada pilihan, melainkan terpaksa meminta tolong ibu dan abah di kampung. Mungkin juga aku terpaksa bocorkan rahsia Alif yang aku simpan selama ini.

                Masuk saja ke dalam bilik air, bulu roma aku meremang. Seram sejuk seluruh tubuh seolah ada sesuatu yang ada bersamaku di dalam bilik air. Aku cuba kuatkan semangat dan mengambil wuduk. Dalam pada itu belakang aku terasa panas seperi terbakar. Perasaan takut muncul lagi, lebih takut dari tadi. Ya Allah, lindungi aku Ya Allah. Aku hambaMu yang lemah. Aku berdoa di dalam hati dan berpura-pura berani, padahal dalam hati aku hanya Allah saja yang tahu.

                  ‘’Allahu Akbar!’’ aku bertakbir tanpa sedar. Minda aku terus merusuh. Tolong aku Ya Allah! Aku menjerit di dalam hati. Sekarang ini hanya Allah saja tempat aku mengadu. Bayang-bayang hitam itu melintas lagi di depanku. Gerakannya cukup laju dan sepantas kilat. Aku berzikir lagi dan membaca beberapa surah lazim terutama tiga Qul.

                 ‘’Pergilah! Jangan ganggu aku bangsat!’’ aku bertempik tanpa sedar akibat terlalu geram bercampur rasa takut. Aku bercakap seolah aku tujukan untuk bayang-bayang hitam yang muncul dan pergi sepintas lalu.

                    ‘’Kenapa kacau aku?’’ sekali lagi aku bertempik tanpa sedar. Perasaanku cukup bercelaru. Aku cepat-cepat mengambil wuduk dan berlari keluar dari bilik air. Jiwa aku merusuh dan aku menangis lagi tanpa henti. Kali ini seolah aku tidak dapat lagi mengawal diri. Aku terus menangis dan menangis, namun dalam masa yang sama aku terus berzikir walaupun apa yang aku zikirkan sudah bercelaru sebutannya.

                     Ya Allah...tolong aku Ya Allah. Tolong Ya Allah..tolong aku. Hanya Engkau yang tahu apa yang telah berlaku ini. Hanya Engkau tempat aku mengadu sekarang ni. Aku bermonolog dalaman, dan air mata pula seolah hujan yang lebat mencurah. Aku cuba tarik nafas sedalam mungkin dan cuba tenangkan hatiku.

                   ‘’Assalamualaikum..Anis! Anis..ibu ni..’’

                      Ketukan di pintu beserta dengan suara seseorang di ruang tamu melegakan sedikit perasaanku. Namun, hanya seketika saja bila bayang-bayang yang muncul tadi menjelmakan dirinya di depanku.

                    ‘’Allahu Akhbar!’’ aku bertempik lagi. Suasana yang diterangi cahaya lampu bertukar warna menjadi merah senja. Aku seolah berada di dunia lain. Makhluk hitam legam yang menjelma di depanku menyeringai dengan wajah bengis. Tubuhnya setinggi siling rumah kami. Permandangan merah senja semakin lama semakin kabur dan tanpa sedar aku menjerit ketakutan bila pandanganku semakin lama semakin kelam dan kakiku seolah sudah membeku di tempat aku berdiri. Jantung aku pula sedang mengepam darah dengan laju.

                 ‘’Ya Allah! Anis!!’’

***************

              Aku membuka mata perlahan-lahan. Seluruh tubuh aku sakit. Aku cuba mengerakkan tanganku, terasa perit, sakit dan seolah terikat. Aku perhatikan sekeliling dan tiba-tiba pendengaranku menangkap bunyi hilaian seorang wanita, kemudian disusuli dengan tangisan yang sangat sayu, kemudian dia mengilai lagi. Bulu roma aku meremang. Tubuh aku mula seram sejuk. Aku menoleh kiri dan kanan. Ramai orang mengelilingiku yang sedang terbaring. Di mana aku? Persoalan itu yang muncul bila aku tidak dapat mengecam permandangan yang cukup asing di sekelilingku.

                  ‘’Anis..Anis dah sedar? Ini ibu sayang. Anis..’’ aku menoleh ke arah suara itu dengan perasaan separuh bingung. Di mana aku? Soalan itu menerjah lagi mindaku.

                  ‘’Anis..’’ suara itu sudah tersedu memanggil namaku. Aku memandang wajah perempuan separuh umur yang sedang mengelus rambutku.

                ‘’Anis..kak long ni. Anis okey?’’ suara lain pula yang kedengaran. Aku masih buntu. Fikiran aku masih bercelaru. Minda aku cuba mengimbas kembali apa yang telah berlaku terhadapku.

                 ‘’Hihihihi...heeeheeehee..’’ hilaian yang aku dengar tadi terus bergema. Suara riuh rendah orang ramai beserta seorang lelaki membaca Al-Quran memenuhi ruang.

                 ‘’Huhuhuuuuuuu..’’ hilaian berganti tangisan berselang seli. Seluruh tubuh aku meremang. Jantung aku berdetak hebat. Perasaan takut dan seram menguasai diri. Aku terbayang tubuh hitam legam yang besar agam sedang menyeringai dengan wajah bengis padaku.

                      Allah, Allah, Allah.. La Ilaha Ilallah..Allahu Akhbar. Aku meratip di dalam hati. Dua orang wanita yang berada di sebelahku aku pandang sayu. Ingin mengadu ketakutan yang aku rasai, tapi bibir aku seolah dikunci mati. Aku tak berdaya untuk bersuara. Lidahku menjadi kelu untuk berkata-kata.

                  ‘’Anis..mengucap Anis. Istighfar Anis. Lawan Anis. Jangan dilayan perasaan takut Anis tu. Kami semua ada di sini Anis. Ibu, abah, abang long dan kak long. Kami ada Anis. Istighfar Anis.’’ Aku tak tahu siapa yang bersuara, namun hati aku mengikut arahan suara itu. Aku mula beristighfar tanpa henti. Melawan perasaan takut yang menguasai diri. Cuba melupakan bayangan makhluk yang sesekali muncul dalam mindaku. Ditambah pula dengan suasana ruang seluruh rumah yang hingar bingar dengan suara orang ramai.

Allahu Akbar Allahu Akbar.
Asyhadu alla illahaillallah.
Asyhadu anna Muhammadar rasulullah.
Haiyaalas solah
Haiyaalal falah.
Allahu Akbar Allahu Akbar.
La ilahaillallah.


             Laungan azan bergema memenuhi ruang rumah. Suara hilaian wanita tadi semakin lama semakin lemah. Aku pula terus beristighfar tanpa henti. Sesekali mengalunkan Surah Qursi dan Tiga Qul. Aku ingin melawan rasa takut itu. Fikiran aku kembali lagi ke alam nyata selepas azan berkumandang.

             Aku raup dahiku yang berpeluh dingin. Aku dongakkan wajah dan bertentangan mata dengan ibu. Dan sebaik saja ibu membalas pandanganku, aku menangis lagi sambil bangun dan memeluk ibu. Perlahan ibu mengusap belakangku.

                   ‘’Kenapa dengan Anis, Ibu? Apa yang telah terjadi? Kita di mana ni? Kenapa ibu pun ada sekali. Macam mana..’’ pertanyaanku yang bertalu-talu terhenti. Ibu mengelengkan kepalanya. Aku pandang pula wajah kak long, wajah abah dan abang long. Macam mana mereka semua ada di sini bersamaku? Persoalan itu pula yang menerjah minda.

*************
          
                   Aku dibawa pulang ke kampung. Abah dan ibu ingin mengubati aku di kampung dengan seorang ustaz. Aku akan dirukyah oleh seorang ustaz yang arif tentang gangguan yang aku alami. Malam kejadian aku diganggu dan dirasuk, kata ibu kebetulan mereka datang ke rumah kami. Bila pintu yang diketuk bertalu-talu tidak dibuka, abah dan abang long nekad memecahkan pintu rumah, apatah lagi bila mendengar aku sedang menjerit-jerit histeria.   

                Bila mereka sudah masuk ke dalam rumah, aku dalam keadaan mengerikan, kata kak long. Aku sedang menjelirkan lidah ke arah mereka seolah sedang mengejek-ejek mereka. Kemudian aku mengilai dan suara aku berubah serak. Abah dan abang long cuba menenangkan aku dan membaca beberapa surah Al-Quran termasukkan melaungkan azan. Kemudian rumah kami didatangi jiran-jiranku. Salah seorang jiranku yang memberikan bantuan memulihkan aku hingga aku tidak sedarkan diri. Bila aku sudah terkulai, barulah mereka membawa aku ke rumah ustaz untuk memulihkan keadaan aku. Kebetulan, malam yang sama juga, ada sebuah sekolah berasrama penuh diserang histeria. Beberapa orang pelajar perempuan telah dirasuk.

                Ya allah, hebat betul ujian ini. Kalau boleh aku tak mahu mengingati lagi kejadian malam itu. Kalau aku tahu, aku bakal dirasuk, malam pertama aku diganggu lagi, aku sudah pulang ke kampung untuk berubat. Menurut ustaz yang merawat aku malam itu. Ada orang sudah mengenakan aku dengan ilmu hitam. Apa tujuannya, Allahu’alam. Hanya Allah saja yang tahu. Hati manusia ni bukannya kita boleh baca, Siapa pelakunya pun, aku malas nak ambil tahu.

                 ‘’Ibu..kenapa ibu dengan abah, tiba-tiba saja boleh ada di rumah Anis malam tu? Ibu tak pernah cakap pun, ibu nak datang?’’ aku tanya juga persoalan yang berligar dalam mindaku sejak malam itu. Memandangkan keadaanku masih lemah, jadi aku tangguhkan dulu niat untuk bertanya.

                      ‘’Hurm..yang Anis tu, Alif nikah lagi satu pun tak bagitau ibu dengan abah, kenapa? Kami ni dah tak penting lagi?’’ aku terkejut mendengar pertanyaan balas ibu. Aku ingin jawapan, tapi aku pula yang disoal kembali.

                             ‘’Satu lagi yang buat ibu terkilan sangat, tu..perut tu dah memboyot pun, kenapa tak bagitau apa-apa pun pada ibu? Ibu ni macam dah tak bermakna apa-apa pada Aniskan? Semuanya Anis nak rahsiakan dari pengetahuan kami. Sampaikan Anis sakit pun, tak bagitau..’’ suara ibu kedengaran serak seolah suara orang yang sedang rajuk. Allahu Akhbar, rupanya apa yang aku lalui ini kerana balasan Allah terhadapku sebab aku dah membuatkan ibu dan abah terasa dengan apa yang telah aku lakukan. Walaupun, niat aku kerana tak mahu menyusahkan mereka berdua. Ternyata aku telah mengecilkan hati keduanya.

                              ‘’Mana..macam mana ibu tahu semua ni? Macam mana ibu tahu abang Alif tu dah nikah satu lagi?’’ tergagap-gagap aku bersuara menyoal ibu. Rasa bersalah bersatu dengan rasa gugup. Belum lagi aku ceritakan perkara sebenar, ibu sudah tahu tentang kebenarannya.

                           ‘’Dari mana lagi, mak mertua Anislah yang cerita. Perut tu, betul ke anak Bangla?’’ aku Istighfar tanpa sedar mendengar pertanyaan ibu. Takkan tuduhan Alif dan ibu mertuaku pun sampai ke telinga ibu? Fitnah apa lagi yang telah mereka lakukan ni? Kenapa ibu dan abah pun turut sama menerima tempiasnya?

                      ‘’Anis tak pernah lakukan perkara terkutuk tu ibu. Anis tak pernah berlaku curang pun dengan abang Alif. Selepas abang Alif nikah dengan Sofia, baru Anis dapat tahu, Anis dah mengandung. Disebabkan Anis tak bagitau abang Alif, takkan mereka tergamak nak memfitnah Anis, ibu? Sampai hati mereka, buat Anis macam ni..’’ aku rasa sebak bila cuba menjelaskan pada ibu. Air mata sudah bersedia untuk mengalir ke pipi. Hati aku benar-benar terguris. Sampai macam tu sekali mereka buat aku? Kalau dah benci aku sekali pun, takkan sampai nak tabur fitnah? Apa salah aku?

                    ‘’Habis tu, macam mana sampai terkeluar cerita Anis berzina dengan Bangla? Mak mertua Anis tu telefon ibu, siap maki hamun lagi, cakap ibu dan abah ni tak pandai jaga anak. Ibu tak faham betul la dengan mak mertua Anis tu. Dulu bukan main baik lagi dengan ibu, tapi sekarang ni...entahlah..’’ ibu mengeluh selepas mengakhiri kata-katanya. Aku pun turut sama menarik nafas dan melepaskan nafas dengan lemah. Terasa perit untuk menelan kenyataan ini. Kalau ibu pun hairan dengan perubahan ibu mertuaku, apatah lagi aku. Dulu, dia cukup baik dengan kami sekeluarga. Segalanya berubah dengan mendadak saja.

                   ‘’Anis tak tahu dari mana mereka dapat cerita tu, selepas abang Alif nikah lagi satu, dia memang jarang balik ke rumah Anis. Bila dia balik sekali sekala, memang Anis tak ceritakan pasal kandungan Anis ni, sebab Anis sakit hati dengan dia kerana dia dah abaikan tanggungjawab dia terhadap Anis. Tapi, bila dia mula lebihkan Sofia dan tak pernah balik ke rumah lagi, barulah Anis buat keputusan untuk bercerita tentang kandungan Anis, tapi semuanya tu dah tak berguna ibu..’’ air mata aku gugur lagi. Tersedu sedan aku bercerita. Sakit, tersangat sakit perasaan aku ketika ini.

                  ‘’Sampai dengan ibu pun Anis nak rahsiakan kandungan Anis tu?’’ ibu tanya lagi soalan itu. Aku menarik nafas berat. Bukan niat aku nak rahsiakan semua ini dari ibu. Aku hanya tak nak menyusahkan ibu dan abah saja. Macam mana aku nak jelaskan pada ibu? Ahh..aku buntu sangat.

                     ‘’Bukan macam tu ibu..Anis, Anis..’’ arghh..macam mana nak pujuk ibu, agar jangan berkecil hati. Bagi aku, hal ini memang simple, tapi bagi ibu mungkin tak.

                        ‘’Anis apa? Kalau bukan sebab Anis mengandung anak Bangla? Apa lagi alasan Anis?’’ Masya Allah..takkan ibu percaya fitnah yang ibu mertua aku lemparkan? Jiwa aku semakin tertekan mendengar kata-kata ibu. Kalau ibu pun tak percaya aku, siapa lagi yang boleh aku bergantung harap, sekarang ni?

                        ‘’Anis tak buat perkara tu ibu! Dengan nama Allah, ini memang anak Anis dengan abang Alif!’’ aku sudah teresak-esak. Ya Allah, berat sangat ujian ini. Kuatkan hati aku, Ya Allah!

                     ‘’Habis tu, kenapa yakin sangat mak mertua Anis cakap macam tu kat ibu? Anis tahu tak, macam mana sakitnya hati ibu dengar dia cakap macam tu?’’ mendengar kata-kata ibu, aku terus menerpa ibu dan memeluk ibu. Aku menangis dan terus menangis. Macam mana lagi nak aku terangkan pada ibu. Apa bukti yang aku ada, anak yang aku kandung ni, bukan anak luar nikah? Bangla mana pula yang sanggup meniduriku itu? Seorang Bangla dalam Malaysia ni pun aku tak kenal? Apa tak munasabah sangat tuduhan mereka.

               ‘’Anis tak tahu ibu. Anis tak kenal pun mana-mana orang Bangla. Anis memang dah berhenti kerja selepas Anis tahu Anis mengandung. Anis buat kerja dalam rumah saja ibu, cuma sesekali saja Anis keluar untuk pos barang-barang pelanggan Anis. Selain tu, Anis keluar beli barang dapur saja ibu ataupun keluar ke bank untuk mengeluarkan duit. Anis, Anis tak tahu, dari mana mereka dapat semua cerita tu ibu..’’ sekali lagi aku cuba menjelaskan pada ibu. Aku melepaskan pelukanku dan memegang kedua belah tangan ibu. Aku menatap ke dalam mata ibu, untuk membaca isi hatinya. Ibu..tolong percayakan Anis. Hati aku merintih dan merayu di dalam. Terseksa rasanya jiwaku ini, kalau ibu pun tak percayakan aku.

                    ‘’Anis masih ada ibu, abah, abang long, kak ngah, kenapa Anis nak rahsiakan semua ni dari kami. Siapa kami ni Anis? Kami ni tak penting ke, bagi Anis?’’ ibu menyoal lagi sambil menangis bersamaku. Betapa bersalahnya aku rasanya, melihat air mata ibu mengalir kerana aku. Sungguh aku tak menduga, diam aku ini akan menyakitkan hati insan yang aku paling sayang dalam dunia ni.

                 ‘’Maafkan Anis ibu..maafkan Anis. Bukan niat Anis nak buang keluarga. Anis buntu ibu. Fikiran Anis tak dapat berfungsi dengan betul, Anis ingat, Anis dapat atasi semuanya seorang diri. Anis tak tahu, semua yang telah berlaku ini akan jadi lebih teruk, lebih parah dari apa yang Anis sangka.’’ Aku mengesat air mataku yang masih tak mahu berhenti. Aku pegang dadaku yang terasa amat perit. Semuanya berligar di ruang hati. Terasa sakit, perit yang tak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Segalanya bersimpang siur dalam pemikiranku.

                         ‘’Dahlah..ibu percayakan Anis. Lain kali, jangan buat lagi. Kesian kat anak dalam perut tu. Jangan difikirkan sangat. Ibu pun minta maaf, sebab ragu-ragu dengan Anis. Ibu sayang Anis, apa saja yang berlaku, jangan rahsiakan dari kami lagi. Ini..’benda’ tu dah lama ke kacau Anis? Kenapa Anis biar, sedangkan Anis dah sarat macam ni. Anis tak sayang anak ke? Mungkin boleh membahayakan nyawa Anis dan anak yang Anis kandung ni..’’

                        Soalan ibu yang seterusnya, aku sambut dengan gelengan. Ini kali pertama, makhluk tu munculkan diri di depan aku. Sebelum ni hanya bayang-bayang dan perasaan gerun saja yang aku alami. Aku pun tak pasti sejak bila ianya bermula..

                       ‘’Anis tak tahu ibu. Mungkin sejak...err, sejak abang Alif tak balik ke rumah lagi. Mulanya, Anis ingat sebab Anis tinggal seorang jadi Anis rasa takut, tapi lama-lama gangguan tu semakin menjadi-jadi, cuma malam tu saja dia munculkan diri depan Anis. Siapa yang tergamak hantar ‘dia’ pada Anis ibu? Apa salah Anis? Apa dosa Anis?’’ persoalan itu aku ajukan pula pada ibu. Ya..apa salahku pada mereka yang menghantar ‘benda’ itu untuk menganggu aku?

                   ‘’Yang namanya manusia ni Anis, tak perlu tunggu kita buat salah. Kalau mereka nak benci kita, mereka akan benci kita tanpa sebab pun. Hati manusia ni bukan boleh kita baca. Yang berdengki dengan kebahagiaan kita pun boleh jadi punca mereka nak khianat.’’

                       ‘’Kan ibu..manusia..’’

*****************
               
               ‘’Orang yang perasan mereka tu kuat, suka sangat pijak kepala orang yang lemah. Kalau dibiarkan terus, semakin menjadi-jadi mereka ni.’’ Along mengamuk sakan hari ini. Tak habis-habis membebel gara-gara cermin kereta kesayangannya dipecahkan oleh budak-budak nakal.

              ‘’Sudahlah Long, kalau membebel sampai pagi pun, kereta Along tu takkan elok semula kalau Along tak bawa ke workshop..’’ kak Ngah pula cuba menyabarkan Along. Kak Long pula hanya memandang Along tanpa kata. Aku ingin juga mencelah, tapi takut terkena batang hidung sendiri. Along selalu leterkan aku kerana terlalu berlembut hati, hingga ramai orang sekeliling, saudara-mara, serta pembeli-pembeli online aku pijak kepala.

              Aku hanya mampu berserah pada Allah, kerana bagiku Allah lebih tahu apa yang tersirat dalam hati setiap hamba-hambaNYA. Kalau mereka memang ada niat nak permainkan aku. Biar Allah saja yang membalasnya. Siapalah aku ini nak menuduh sebarangan. Setiap manusia ada masalahnya yang tersendiri.

                  ‘’Kau nak suruh aku jadi macam Anis ke? Lembut hati sangat, sampai laki dan madu dia buli dia pun, dia bertahan saja. Tak bertindak apa-apa pun..’’ ehh..aku diam pun kena juga ke? Along ni, menjawab karang..lagi teruk aku kena bebel. Diam lebih baik dari berkata-kata. Biarkan Along tu membebel sorang-sorang. Aku pujuk hati aku sendiri.

                ‘’Hah Anis,diam saja. Tak ada apa-apa bantahan?’’ kak Ngah ajukan soalan untuk aku. Bantahan apa? Cakap along tu ada benarnya. Sejak sekolah lagi, aku selalu dibuli. Aku memang lemah, kalau bab nak membalas semula. Aku hanya mampu pasrah setiap kali dibuli kawan-kawan. Hanya doa yang mampu aku lakukan, agar mereka yang selalu membuli aku tu akan mendapat balasan setimpal.

              Aku ingat lagi ketika aku darjah lima. Ada seorang budak dalam kelas aku yang suka mengambil duit aku. Sedeli namanya, dia akan ugut aku kalau aku tak kasi. Oleh kerana takut dengannya, aku terpaksa menahan lapar setiap hari. Tapi, suatu hari tu..aku berdoa bersungguh-sungguh supaya Allah beri dia balasan setimpal. Dan, dia memang mendapat balasannya. Dia pula dibuli oleh budak-budak nakal yang lebih kuat darinya, hinggalah suatu hari, dia dipukul dan dimasukkan ke hospital.

           Begitulah hidup kita ini, ibarat roda yang sentiasa berputar. Kita kenakan orang yang lemah, tipu orang yang percayakan kita, suatu hari nanti pasti Allah akan bayar tunai. Allah akan hantar orang yang lebih kuat untuk membuli kita semula. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segalanya.

                 ‘’Anis!’’ kak Ngah panggil aku.

                 ‘’Allah kan ada! Biar Allah saja yang balas, kalau kita asyik nak balas membalas, bila nak selesai?’’ perlahan saja aku menjawab kata-kata kak Ngah tadi.

                  ‘’Itu namanya tawakkal tanpa usaha. Orang pengecut saja yang buat macam tu!’’ tak semena-mena Along bertempik. Kuat juga suara dia, hingga aku tersentak dan menunduk takut. Along memang panas baran sejak kecil lagi. Janganlah ada yang nak kenakan dia, pasti dia akan balas semula.

                 ‘’Habis tu, Along nak suruh Anis buat macam mana?’’ aku menyoal Along dalam nada suara yang sangat lemah. Malas nak bertekak dengan Along, dia memang takkan pernah mengaku kalah. Kalau dia kata hitam, hitamlah jawabnya.

                 ‘’Rumah tangga kau, kenapa tanya Along pulak? Kalau rumah tangga Along, senanglah Along nak settle!’’ perghh..ayat Along, tadi macam banyak idea sangat, alih-alih aku juga yang kena settle sendiri? Bagi aku, senang sangat nak settle. Serah saja semuanya pada ketentuan takdir.

               ‘’Along tahu pula, itu masalah rumah tangga Anis. Kalau macam tu, biar Anis saja yang settle sendiri. Biar Anis yang tanggung. Along tu, jagalah rumah tangga Along.’’ Masih perlahan nada suara aku, tapi bila aku panggung kepala dan tengok Along, dia sudah bercekak pinggang dan menjegilkan matanya ke arahku. Aku mengesot sikit dan bersembunyi di belakang kak Ngah.

                 ‘’Ehhh..kalau bukan kerana kau tu darah daging aku, aku pun tak hinginlah nak masuk campur!’’ bergegar suara Along di ruang tamu rumah kecil ibu dan abah. Aku mengecilkan tubuh di belakang kak Ngah sambil menahan getar dalam hati.

                  ‘’Sudah, sudahlah tu abang Long, Anis ni sakit, kita ni sebagai abang dan kakak sepatutnya tolong dia selesaikan masalah, bukan marah dia. Tu..bab nak bersihkan nama Anis ni, along dah ada idea ke?’’ kak Ngah menyabarkan Along sekali lagi. Lega aku mendengarnya. Lapang sikit dada rasanya. Aku panggung kepala dan menoleh ke arah Along. Aku tatap wajah kak long juga untuk melihat reaksinya.

                  ‘’Kau bagitau aku, Bangla mana yang dah tidur dengan kau tu!’’

              ‘’Along!!!!’’ aku bertempik nama Along tanpa sedar. Mereka masih lagi sangsi dengan aku rupa-rupanya. Air mata aku mengalir lagi seiring dengan tempikanku itu. Sakit hati kini kembali menyerang dalam dadaku. Ya Allah, kuatkan hatiku ini.

                ‘’Jangan nak fitnah Anis pula! Semua tu mengarut! Anis tak kenal pun mana-mana Bangla dalam Malaysia ni!’’ suara aku terkuat sikit. Aku harus membela diri sendiri. Kenapa keluarga aku sendiri yang tergamak bertanya soalan seperti itu padaku?

                  ‘’Kalau tak ada angin, takkan pokok boleh bergoyang kot?’’

                   ‘’Along, pokok di luar rumah tu, kalau tak ada angin pun, kalau ada orang yang goyangkan, pokok tu akan bergoyang jugak. Macam tu la dengan hal Anis ni, kalau dah ada orang nak aniaya Anis, tentu mereka akan reka cerita tentang Anis. Takkan itu pun, Along tak faham-faham lagi.’’ Aku takkan berdiam diri kali ini. Sampai Along pun nak salahkan aku, takkan aku nak biarkan saja. Sebelum ini, ibu tanya aku dengan soalan yang sama, sekarang ni, Along pula. Siapa lagi akan percayakan aku ini, kalau bukan keluarga kandung aku sendiri?

                     ‘’Habis tu, anak tu anak siapa? Kenapa Alif tak mengaku, anak dalam perut kau tu ,anak dia?’’ Ya Allah, apa jawapan yang harus aku beri? Aku bukannya tahu, apa yang Alif fikir.

                   ‘’Manalah Anis tahu. Kenapa Along tak tanya dia sendiri.’’ Suara aku kembali mengendur sikit. Air mata yang masih bersisa, aku kesat dengan telapak tangan. Hanya air mata yang mampu mengungkapkan suara hatiku ketika ini. Kalaulah aku dapat mengungkapkan semua perasaan aku sekarang ni, tak perlulah aku memendam perasaan lagi.

            ‘’Apa hal ni, riuh rendah berbual. Korang berbincang ke bertekak?’’ ibu masuk dan mencelah sebelum sempat Along membalas kata-kataku. Di tangan ibu penuh dengan ulam-ulaman kampung. Aku terasa lapar bila melihat pucuk ulam raja yang segar bugar. Ada juga pucuk kaduk, pucuk lepai dan pucuk selom. Makan nasi dengan sambal belacan kalau ada ulam mesti tambah berselera. Fikiran aku menerawang seketika.

              ‘’Anak bongsu kesayangan ibu ni la, orang fitnah dia pun, dia buat derk saja. Kalau Manlah, memang lebamlah orang tu Man kerjakan..’’ aku kembali ke alam nyata bila mendengar suara Along yang sedang mengata aku.

              ‘’Kau tu memang..dari kecil sampai ke tua, tak habis-habis dengan baran kau. Anak dengan bini sendiri pun sampai takut nak bersuara, ada saja yang kena tengking. Belajarlah ubah sikap tu. Dah hilang anak dan bini nanti, baru nak berubah? Itu, dah terlambat namanya.’’ Aku tersenyum sumbing mendengar bebelan ibu, tapi bila perasan dengan jelingan Along, aku sorokkan diri di belakang kak Ngah sekali lagi.

             ‘’Ibu nak salahkan Man pulak? Yang bermasalah sekarang ni Anis, bukan Man! Tu..anak manja ibu tu, macam mana nak selesaikan masalah dia? Nak bersihkan nama keluarga kita semula. Satu kampung sudah mula menjaja, Anis mengandung anak luar nikah.’’

             ‘’Allah tahu apa yang benar. Biar Allah saja yang jatuhkan hukuman. Ibu percaya, Anis tak bersalah. Biarlah, apa orang kampung nak kata. Mulut orang, bukannya boleh ditutup.’’ Ibu mula membela aku. Terharu. Itu yang aku rasa. Macam nak saja aku bangun dan peluk ibu erat-erat sekarang ni.

               ‘’Sebenarnya, siapa yang mulakan semua ni Anis? Cuba cerita dengan kami.’’ Kak Ngah menyoal aku tiba-tiba. Aku hanya mengeleng, namun minda aku sedang mengimbas kembali detik-detik aku dihina oleh Alif dan ibu mertuaku. Air mataku berjurai lagi bila bayangan kisah semalam itu hadir.

               ‘’Anis tak tahu kak Ngah. Mungkin Sofia yang sengaja mereka-rekakan cerita supaya abang Alif dan keluarga mertua Anis bencikan Anis. Abang Alif memang dah jarang balik ke rumah selepas dia nikah dengan Sofia. Tapi..Anis dah mengandung tiga bulan ketika mereka baru bernikah. Cuma Anis yang tak perasan kerana tidak pernah alami alahan.’’ Aku cuba memberi penjelasan pada kak Ngah dan serentak itu, aku memandang wajah-wajah kesayangan aku yang sedang mengelilingi aku ketika ini.

                 ‘’Kau tak bagitau Alif, kau dah mengandung?’’ soalan Along aku respon dengan gelengan.
                     ‘’Kau tu bini dia! Dah tau kau mengandung, bagitaulah! Yang kau nak berahsia dengan laki sendiri tu, kenapa? Kan menyusahkan diri sendiri jugak! Kalau kau sorang yang busuk nama, tak apa. Ini..satu keluarga dah terpalit sama.’’ Suara Along sekali lagi bak halilintar menyalahkan aku.

                   ‘’Tapi..Anis tak buat perkara tu Along!’’ aku membela diri lagi. Biar seribu kali pun aku dituduh berzina, hakikatnya perkara tu tak pernah berlaku. Aku telah difitnah!

                 ‘’Ya! Kau tak buat. Tapi, macam mana nak menyakinkan orang-orang kampung, kau tak buat perkara tu?’’ tak habis-habis Along menyoal aku dengan soalan macam tu. Apa lagi yang harus aku jelaskan?

                  ‘’Biarkanlah Along. Takkan Along nak suruh Anis buat pengumuman pada semua orang kampung? Tunggulah, anak ini lahir dulu. Kita buat saja DNA untuk membuktikan anak dalam kandungan Anis ni anak abang Alif.’’ Tak semena-mena idea itu singgah dalam mindaku. Terdiam Along mendengarnya. Kak Ngah mengusap belakangku perlahan. Aku pun turut mengambil kesempatan menyandarkan tubuhku ke tubuh kak Ngah.

             Lantas, kak Ngah memberikan responnya dengan memeluk bahuku. Sempat aku melihat kak Ngah mengesatkan air matanya selepas itu, begitu juga dengan kak Long dan anak sulungnya Ain yang sudah berusia 15 tahun. Tentu Ain sudah faham masalah apa yang sedang melanda keluarga kami.

                ‘’Haa..tak payah nak menangis berjemaah pulak. Jom..tolong ibu masak, ibu ingat nak buat nasi ulam dengan sayur keladi.’’ Ibu bersuara memecahkan kesyahduan kami. Bibir aku merekah pula dengan senyuman mendengar kata-kata ibu. Tertelan liur aku bila membayangkan pula nasi ulam yang dibuat oleh ibu bersama sayur keladi. Terus aku kesat air mata hingga kering sambil berusaha untuk bangun dibantu oleh kak Ngah yang turut sama bangun. Along pula, perlahan-lahan melangkah ke arah pintu depan. Nak keluarlah tu, sebab dirinya tidak menjadi perhatian kami lagi.

                 ‘’Nak ke mana tu bang?’’ sempat pula kak Long bertanya sebelum Along menghilangkan diri.

                  ‘’Kau pergilah masak! Aku nak settlekan masalah aku pulak! ‘’ laung Along sebelum dia menghilang.

**************
              
                    Aku, kak Long dan kak Ngah sibuk membantu ibu di dapur. Ain, entah hilang ke mana? Beginilah gelagat anak-anak dara zaman moden ini. Orang sibuk memasak, bukannya mereka nak menolong atau belajar memasak sama. Mesti Ain sedang mengadap skrin telefon la tu? Aku serkap jarang di dalam hati sambil melihat ibu yang begitu tekun mengacau nasi ulam yang sudah direncah di dalam bekas.

                     ‘’Ibu, bagilah petua, macam mana nak buat nasi ulam yang paling sedap, macam yang ibu buat.’’ Aku bersuara separuh bergurau dengan ibu, walaupun aku melihat sendiri dari mula ibu menyediakan nasi ulam hinggalah dia mengaul semua rencahnya.

                    ‘’Tak ada bahan yang penting untuk menyedapkan masakan kita. Yang penting tu letak dalam hati. Niat kena ikhlas, masak kerana Allah untuk keluarga. Lagi satu yang terpenting, sambil memasak tu, rajin-rajinlah berzikir.’’ Senada suara ibu kedengaran. Perlahan tapi sangat mendalam maksudnya. Patutlah, suara ibu langsung tak kedengaran, rupanya ibu sedang berzikir di dalam hati sambil menyiapkan nasi ulam. Aku mengangguk perlahan, walaupun aku tak yakin tekaan aku benar atau tak, tapi aku percaya seratus peratus dengan ibu kerana ibu takkan menipu kami, anak-anak dan anak menantunya.

                  ‘’Anis tak nampak ibu masukkan garam pun, tapi nasi ulam ibu tetap terasa garamnya. Macam mana ibu buat?’’ aku masih ingin tahu rahsia ibu. Sepantas lalu ibu memandang ke arahku, kemudian ibu tersenyum kecil dan kedengaran selepas itu tawa kak Ngah dan kak Long berturut-turut.

              ‘’Anis tengok ibu ke atau Anis berangan?’’ kak Ngah yang menyoal. Minda aku blurr seketika. Memanglah aku tengok ibu menyediakan nasi ulam sejak tadi. Bila pula aku berangan? Minda aku membantah dalam diam kata-kata kak Ngah.

                     ‘’Anis tak nampak ke kak Long tumbuk ikan talang masin goreng tadi?’’ kak Long pula yang bertanya. Aku mengangguk perlahan. Apa pula kena mengena dengan ikan talang masin goreng tu?

                  ‘’Nampaklah! Bila pula Anis buta?’’ aku jawab soalan kak Long dalam nada bersahaja.

             ‘’Ibu..nampak sangat anak bongsu ibu tu sedang berangan. Otak letak di mana ntah?’’ kak Ngah bersuara lagi. Apa kena mengena pula? Eh..aku tak beranganlah! Aku menafikan lagi kata-kata kak Ngah, namun hanya di dalam hati.

               ‘’Kalau dah masukkan talang masin goreng, buat apa nak dimasukkan garam lagi Anis, tak pasal-pasal nanti semua seisi rumah kita ni kena tekanan darah tinggi pulak.’’ Ibu pula bersuara, mengungkapkan kekeliruan aku. Aku terus mengangguk perlahan setelah dapat mencerna maksud kak Ngah dan kak Long tadi.

                  ‘’Ooo..tak perlu masukkan garam lagi ke ibu? Tadikan, Anis nampak ibu masukkan kerisik, kalau tak masukkan kerisik tu tak sedap ke ibu?’’ soalan aku kali ini membuatkan kak Long dan kak Ngah turut berminat untuk ambil tahu, masing-masing sudah memandang tepat ke arah ibu, mungkin mereka juga sedang menanti jawapan ibu, macam aku juga.

                  ‘’Lain orang lain resepinya. Sedap tu bukannya terletak dalam perencah masakan tu. Kalau masak cincai-cincai pun, tapi orang yang masak tu terlalu bermakna untuk kita, mesti kita rasa semua masakan tu sedap, kan? Betul tak, kata ibu ni?’’ ibu menjawab sambil memandang tepat pula ke wajahku. Bagi aku, ibu masak apa pun sedap sangat, walaupun ibu goreng nasi hanya dengan menumis bawang goreng dan taburkan sedikit garam.

                   ‘’Betul ibu! Lebih-lebih lagi kalau yang masak tu ibu. Sedap hingga menjilat jari.’’ Aku menjawab soalan ibu sambil mengangkat kedua ibu jariku. Ini bukan sebab nak bodek ibu tau. Ini jawapan keikhlasan aku dari lubuk hati aku yang paling dalam. Beruntung aku yang masih punya ibu. Dapat lagi makan hasil air tangan ibu. Tiba-tiba aku terasa sebak. Ya Allah, bagaimana kalau ibu sudah tiada lagi?

                  ‘’Ibu, terima kasih kerana selalu masakkan makanan tersedap untuk Anis.’’ Terungkapnya ayat-ayat itu, air mata aku pun turut sama berbicara. Aku mengelap air mata sambil tertawa perlahan. Lain pula dengan ibu, kak Long dan kak Ngah, mereka memandang aku seolah tak memandang aku bertahun lamanya.

                ‘’Kenapa pula tu? Cengeng betullah Anis sekarang ni..’’ kak Long yang berkata-kata. Aku terus ketawa perlahan, namun tanpa sedar aku sudah bangun dan memeluk ibu lalu melepaskan tangis semahu-mahunya. Terima kasih Ya Allah, kerana hadirkan ibu di saat aku dalam kemelut duka macam ni.

                ‘’Dah, dahhh..Ya Allah bakal mak budak ni. Menangis pula dia..’’ ibu menepuk-nepuk bahuku sambil mencium ubun-ubunku. Semakin galaklah air mataku mengalir. Kalaulah ibu sudah tiada, apa yang perlu aku lakukan saat ini?

               ‘’Alaa...ini yang kak Ngah jealous ni. Kak Ngah nak join sekakilah. Kak Long meh kita join sekaki, peluk ibu berjemaah.’’ Serentak kak Ngah bersuara, dia turut memeluk ibu bersamaku, diikuti kak Long dan kami menangis berjemaah pula termasuk ibu juga kerana dapat aku rasakan hangatnya air mata ibu yang menitis ke wajahku.

            Ya Allah, anugerahmu ini adalah anugerah terindah dalam hidupku. Tanpa ibu, abah dan adik beradik, aku tak pasti, aku mampu harungi ujian sebesar ini. Tanpa keluarga, aku yakin aku takkan mampu menempuh ujianmu ini dengan jiwa yang kental. Aku masih lemah untuk mengharungi badai hidup ini. Manusia di atas muka bumiMu ini terlalu kejam. Engkaulah yang menyelamatkan keadaan dengan menghantar keluargaku di sisi ketika aku memerlukan kekuatan jiwa, mental dan fizikal. Terima kasih Ya Allah dengan rahmatMu ini. Aku bersyukur sangat kerana masih mempunyai keluarga yang akan menyokong dan terus mendorong aku.

               ‘’Ape mama anges? Adik nak anges ugak...’’ tangisan berjemaah kami bertukar menjadi gelak tawa bila Amrin anak kak Long yang bongsu datang menyapa.
*****************

Nur Anisa binti Shaharuddin     
Nasi Ulam Special Homemade masakan Ibu..

Bahan-bahannya:-
Nasi untuk makan sekeluarga
Ulam-ulaman ikut suka hati, lagi banyak lagi best
Dua potong besar ikan talang masin (digoreng dan ditumbuk)
Sedikit kerisik
Dua labu bawang besar dirincik halus
Lima biji cili padi dirincik halus

Cara membuatnya:-
Selepas dihiris halus semua jenis ulam dan ditumbuk dan dihiris semua bahan-bahan di atas, gaulkan semuanya dalam satu bekas. Gaul hingga sebati dan paling penting tak perlu masukkan garam. Kata ibu kalau sudah masukkan ikan talang masin goreng, garam tak perlu dimasukkan lagi.

Nota : Ibu pesan, kalau nak masakan kita jadi sedap..bila masak tu kena ikhlaskan hati dan banyaklah berzikir. In Sha Allah, pasti masakan kita akan sedap, lebih-lebih lagi kalau makan bersama yang tersayang.
#masakanibupalingsedapdalamdunia
#takkanadabandingannya

                     Aku terus pos status resepi nasi ulam ibu tu tanpa berbelah bahagi. Siap dengan hastag lagi. Betulkan, masakan ibu adalah masakan paling sedap dalam dunia?

Nur Anisa binti Shaharuddin
Sayur keladi paling best dalam dunia..

Bahan-bahannya:-
Batang keladi dan ubi keladi secukupnya
Lima ekor isi ikan kembung rebus
Udang segar (lagi best kalau udang kulit lembut)
Cili padi 10 biji
Asam keping
Garam dan serbuk perisa
Sedikit belacan
Tiga ulas bawang merah

Cara-cara membuatnya;-
Batang keladi dan ubi keladi direbus terlebih dahulu untuk menghilangkan gatalnya. Jangan lupa masukkan beberapa keping asam keping bersama. Kemudian tos dan asingkan. Potong cili padi dan bawang merah kemudian dipicit bersama sedikit belacan. Masukkan semula keladi yang telah direbus tadi ke dalam periuk. Masukkan cili padi dan bawang yang telah dicampur belacan tadi ke dalam periuk. Kemudian masukkan asam keping, garam dan serbuk perisa secukup rasa. Udang segar dan isi ikan kembung jangan dilupa. Masukkan semua bahan-bahan di dalam periuk dan akhir sekali masukkan air hingga menengelami batang keladi dan didihkan di atas api yang perlahan. Nyum, nyum, nyummy..sedap dimakan dengan nasi ulam homemade masakan ibu.

P/s: Sayur keladi ni pun resepi ibu jugak tau!

                  Aku update pula status baru berserta gambar sayur keladi yang ibu masak siang tadi. Memang aku sempat snap nasi ulam dan sayur keladi sebelum makan berjemaah siang tadi. Hari ini adalah hari terakhir untuk makan siang. Esok, semua umat Islam akan mula berpuasa. Seronoknya dapat makan beramai-ramai bersama keluarga tersayang. Lebih-lebih lagi bila ada anak-anak Along dan kak Ngah.

                    Anak-anak buah aku ni kebanyakannya nakal-nakal terutamanya anak-anak Along. Anak-anak kak Ngah baru dua orang, itu pun masih kecil lagi dan mereka tu jenis yang tak lasak sangat. Baik betul peel kedua-duanya. Abang Ngah pula rajin mengambil alih menjaga mereka. Seronok betul tengok hidup kak Ngah. Nampak sangat bahagia dengan pilihan hatinya. Abang Ngah seorang suami yang prihatin dan sangat romantik. Dia seorang yang bertanggungjawab dan penyayang. Serius, sesekali aku cemburu melihat kemesraan kak Ngah dan abang Ngah, namun aku turut bersyukur melihat kebahagiaan mereka sekeluarga.

                  ‘’Anak dia macam h^#(*@! Ja^&=-0, nak marah aku pulak! Tak guna betul, ingat aku beli kereta tu dengan duit bapak dia!...’’ sedang aku asyik melayan facebook, Along masuk ke dalam rumah, mulutnya menyumpah seranah dan memaki hamun.

                  ‘’Apa lagi tu Man? Sejak kemarin lagi nak mengamuk tak habis-habis..’’ ibu bertanya dengan suara lantang. Abah macam biasa, dia tak banyak cakap dan tak suka campur tangan hal anak-anak. Abah memang pendiam orangnya. Entah dari mana Along tu mewarisi sikap panas barannya. Kalau dari ibu, rasanya tak kot. Segarang-garang ibu, dia tak pernah memaki hamun orang pun. Sikap ibu hanya tegas di luar, namun lembut di dalam.

                  ‘’Kak Timah lembut tu la! Anak dia yang pecahkan cermin kereta Man, bila Man marah anak dia, boleh pulak dia marah Man semula. Ikutkan hati Man ni, nak lempang saja anak dengan maknya sekali!’’ Along melepaskan amarahnya dengan mimik wajah yang menyinga. Aku hanya memerhati saja dari jauh. Kak Long dan anak-anaknya keluar dari bilik.

                 ‘’Sabarlah bang. Asraf tu kan masih budak lagi. Belum cukup umur pun, lagi pun Nah rasa dia tak sengaja tu. Tersepak bola dan terkena kereta abang, nak buat macam mana...’’ kak Long cuba memujuk Along, namun jelingan yang kak Long dapat. Anak-anak Along, lagilah..tak berani langsung nak masuk campur.

             ‘’Kau diam Nah! Kau apa tau! Ingat nak beli cermin baru dengan air ke? Nak guna duit tahu! Ingat duit aku tu kutip tepi jalan?’’ kak Long pula kena seranah depan aku, abah dan ibu. Terkulat-kulat kak Long dibuatnya. Anak-anak semua sudah menikus di belakang kak Long. Aku hanya mampu mengeleng kepala melihat gelagat Along yang sedang berangin tu.

                   ‘’Banyak ke Along nak pakai? Anis ada duit sikit, daripada Along putuskan tali silaturahim dengan jiran sebelah rumah tu, lebih baik Anis labur duit Anis untuk Along..’’ tak tahu dari mana semangat dan keberanian itu datang, aku mencelah perbualan mereka. Dan kali ini Along membeliakkan matanya ke arahku pula sambil bercekak pinggang.

               ‘’Kau ingat aku sengkek sangat ke Anis? Kalau setakat nak beli cermin baru tu, aku masih mampu la! Cuma, aku geram saja, dahlah pecahkan cermin kereta aku, tak reti pulak nak minta maaf. Aku marah anak dia, dia marah aku semula. Itu yang aku hangin sangat tu.’’ Along tujukan kemarahannya pada aku pula, sambil membebel marahkan kak Timah jiran sebelah rumah ibu.

               ‘’Dah anak dia..memanglah dia bela. Kalau bukan dia nak bela anak sendiri, siapa lagi? Kau? Dengan budak-budak kecil pun tak reti nak bertolak ansur!’’ ibu mencelah lagi, membuatkan Along mendengus kuat, namun Along tetap tak menjawab bebelan ibu. Segarang Along pun, kalau ibu yang bersuara dia memang tak berani nak lawan, apatah lagi abah yang tak pernah marah kami adik beradik sejak kecil.

                    ‘’Berapa abang nak pakai? Nak boleh tolong sikit-sikit..’’ kak Long bertanya pula. Mungkin kak Long berfikiran seperti aku juga, tak baik mengamuk pada jiran sebelah kerana hal yang kecil saja.

                    ‘’Kau ingat aku ni apa Nah? Nak tunjuk baik sangat depan ibu dan abah? Hah! Kau pun sama Anis..banyak sangat ke duit kau? Ingat sama, kau tu dah tak berlaki. Ada laki bagi orang, hah..kan dah melopong. Berayalah kau sorang-sorang tahun ni. Menangis tak berlagulah. Bini orang lain beraya salam tangan laki, kau nak salam siapa tahun ni? Nak salam dengan aku ke dengan abah?’’ Ehh..ke situ pula Along ni melalut. Aku juga yang kena!

                ‘’Yang Along ni, kenapa? Esok kita dah puasa Along. Takkan Along nak cari pasal dengan kak Timah tu sebab kereta Along tu? Agak-agaklah Along kalau nak cari gaduh pun, maut tu tak mengira masa, kan orang lain tak ampun dosa Along tu. Mati tak sempat minta maaf, macam mana?’’ aku tetap menjawab bebelan Along kali ini. Along ni, kalau dibiarkan dia bersuara, kata dia saja yang betul. Semua orang cakap tak betul.

              ‘’Yang nak mati awal, tu kau! Bukan aku!’’ mengucap tanpa sedar aku, bila Along berkata begitu sambil menuding jari telunjuknya ke arahku.

             ‘’Macamlah Along tu boleh tengok masa depan.’’ Aku berkata perlahan, sekadar untuk menyedapkan hati sendiri. Tersentap beb! Dan..tanpa sedar air mataku mengalir lagi. Ya Allah..betapa terhirisnya hatiku mendengar kata-kata Along tu, seolah-olah dia sedang mendoakan agar aku segera mati saja.  

               ‘’Hah! Menangis! Sikit-sikit menangis. Itu saja yang kau tau!’’ Along menbebel lagi. Aku kesat air mata yang mula mengalir ke pipi. Abah merenung kosong ke arahku. Ibu sudah mengeleng laju. Kak Long dan Ain menuju ke arahku.

               ‘’Janganlah menangis Mak Usu, nanti Ain pun nangis jugak.’’ Kata-kata Ain buat aku jadi terharu. Semakin galaklah air mataku menuruni pipi. Ya Allah..kenapa Along tak mahu memahami aku?

                  ‘’Sabarlah dik..jangan ambil hati sangat dengan kata-kata abang Long tu. Dia memang macam tu, suka cakap lepas.’’ Perlahan saja kata-kata kak Long, memujuk aku.

                 ‘’Aku tak faham betullah dengan kau ni Anis. Tak menangis, tak boleh ke? Belajarlah jadi orang kuat sikit. Sebab itulah hantu tu suka kacau kau. Jiwa lemah sangat. Sebab tu senang sangat terasuk!’’ Along terus membebel dan membebel, sementara aku sedang melawan Along di dalam hati. Jadi macam Along, senanglah kan. Hati batu! Hati bebal, tak makan saman!

                ‘’Aaaaaaaaaaaaa....... Along apa tau!! Along tak rasa, Anis yang rasa semua ni!!!’’ aku bertempik tanpa sedar. Tiba-tiba kewarasanku hilang disebabkan leteran Along yang berterusan menyalahkan aku.

                  ‘’Sabar Anis..sabar. jangan macam ni, ibu, abah, kenapa dengan Anis ni. Ya Allah..Anis..’’ tengelam timbul aku dengar suara kak Long. Aku tak dapat berfikir dengan waras lagi. Tiba-tiba aku dikuasai oleh satu rasa yang sukar aku fahami. Aku menangis, ketawa dan kemudian perasaan aku bertukar dalam sekelip mata. Aku meraung tanpa henti. Rasa nak marah pada semua orang yang ada dalam rumah ini. Geram dan sakit hati terus menghantui perasaanku.

                 ‘’Aaaaaaaaaaaaaa....’’ dan aku terus meraung panjang selepas itu.

*****************

                     Aku membuka mata perlahan-lahan. Aku perhatikan sekelilingku. Semuanya serba asing bagiku. Tanganku terasa sakit, aku belek pergelangan tangan. Ada jarum dan wayar yang terdapat di pengelangan tanganku. Kedua-dua belah tanganku pula tu. Aku dongak ke atas, sebelah kiri ada beg berisi darah, manakala sebelah kanan ada beg berisi air.

                 Kenapa dengan aku? Aku di hospital ke? Macam mana dengan anak aku? Aku usap pula perut. Alhamdulillah, perut aku masih keras, cuma aku tidak merasa lagi gerakan-gerakan halus yang aku rasa sebelum ni. Ya Allah, kenapa dengan anak aku? Anak aku dah mati ke? Perasaan aku kembali berbaur resah. Air mata aku meluncur laju, seiring dengan kerisauan yang bertandang dalam hati.

                   Aku toleh kiri dan kanan. Aku perhatikan pesakit-pesakit lain yang ada di sebelah katilku. Aku nak bertanya tapi tak tahu nak tanya apa. Aku cari loceng kecemasan di hujung kepala katil, namun belum sempat aku menekan loceng, ada jururawat yang datang ke arah katilku.

                ‘’Nurse, kenapa dengan saya? Kenapa dengan anak saya? Anak saya dah mati ke? Kenapa anak saya dah tak bergerak?’’ bertalu-talu soalan aku ajukan pada jururawat sebaik dia berdiri di tepi katilku. Jururawat tersebut nampak agak terkejut dengan soalanku.

                ‘’Anak tak bergerak? Betul ke? Puan masuk ke sini sebab turun darah, tapi..doktor cakap keadaan puan stabil dan anak puan pun masih okey lagi.’’ Yakin betul jururawat itu berkata-kata. Aku pula yang tak percaya dengan kata-katanya. Aku yang alaminya sendiri. Tentu aku lebih tahu keadaanku sekarang ni. Anak aku memang dah tak bergeraklah bodoh! Aku bertempik di dalam hati.

                      ‘’Kalau okey, kenapa anak saya dah tak bergerak?’’ aku menyoal perlahan. Walaupun dalam hati aku masih bengang dan keliru, namun suaraku masih mampu aku kawal. Tak baik berprasangka lebih-lebih. Aku pujuk diri sendiri.

                    ‘’Ya ke? Nanti, saya panggilkan doktor. Puan sabar ya. Berdoa banyak-banyak. In Sha Allah, anak puan selamat.’’ Sebelum jururawat berlalu pergi, dia sempat memujuk aku agar bersabar dan berdoa. Lega sikit hati aku mendengarnya, namun kerisauanku masih belum surut. Anak ini adalah satu-satunya harta yang aku ada sekarang ni. Hasil perkongsian dan kasih sayang aku terhadap Alif. Bukti cinta kami. Ahh..masih ada lagikah perasaan cinta dan sayang itu?

                        Sedang aku memikirkan tentang persoalan antara aku dan Alif, doktor datang diikuti beberapa orang jururawat. Salah seorang jururawat menarik bidai dan mengelilingiku. Doktor pula mula memeriksa perutku. Bajuku mula disingkap hingga ke paras dada. Satu alat mula ditekap ke perutku untuk mengesan bunyi jantung janin. Aku memerhati saja dengan perasaan berdebar-debar. Doktor mencari bunyi jantung janin, namun kerut di wajahnya semakin merisaukan aku.

                      ‘’Puan..ada rasa pening tak? Boleh bangun tak? Kita pergi bilik scan.’’ Doktor memandang wajahku dan bertanya. Aku semakin keliru. Persoalan demi persoalan menerjah lagi mindaku. Kenapa? Anakku selamat tak? Kenapa dengan anakku? Benarkah dia sudah tak bernyawa?

               ‘’Kenapa doktor? Anak saya tak apa-apakan?’’ kerisauan jelas terpamer dalam soalanku.

                 ‘’Belum tahu lagi. Harap puan banyak-banyak bersabar ya.’’ Doktor cuba menenangkan aku. Namun, air mataku sudah mula berjuraian ke pipi. Ya Allah, kenapa aku terlalu lemah sangat sekarang ni. Mengapa mudah benar, air mata ini mengalir? Aku bertanya diri sendiri.

                 ‘’Puan..’’ aku mendongak dan memandang wajah doktor perempuan yang bertudung labuh di depan aku.

                  ‘’Puan boleh bangun tak? Kita pergi scan?’’ doktor itu menyoal aku lagi. Aku mengangguk perlahan. Bila jururawat yang berdiri di sebelahku mengarahkan aku supaya turun dari katil, aku ikutkan saja. Namun, sebaik kakiku mencecah lantai kepalaku pening dan seluruh ruang bilik berpusing. Aku terhuyung-hayang seketika.

                ‘’Tak boleh ni..tidur balik, tidur balik. Puan pening ke?’’ doktor  menyoal aku. Aku mengangguk lagi. Malas sangat nak bersuara.

                 ‘’Kak As, tolong..’’ doktor bersuara pada seorang jururawat di sebelahnya. Aku malas nak mendengar lanjut. Aku pejamkan mata dan cuba tenangkan hati sendiri. Dalam mata terpejam, tanganku mengusap perut. Anak mama, tak apa-apakan? Anak mama sihatkan sayang? Aku berdialog di dalam hati. Air mata sudah mula bergenang dan perlahan-lahan menitis ke pipi. Aku kesat air mata yang gugur dengan jari. Tarik nafas dan cuba mengawal emosi sendiri.

****************

   Betina Gatal : Aku dengar, anak kau dah mati. Baru puas hati aku. Padam muka kau!

                   Mesej dari Sofia aku terima melalui WhatsApp, sakit hatiku tak terkata membaca tulisannya itu. Aku tak mahu melatah. Aku nak jadi diri aku yang sentiasa cool menghadapi apa saja tohmahan. Aku tak mahu jadi dia, yang suka mengenakan orang, kemudian memadamkan pula muka orang. Aku pasti sangat, semua ini angkara dia. Setiap malam, aku bangun menunaikan solat sunat Tahajjud dan adakalanya aku dirikan solat Hajat dan mohon petunjuk pada Allah. Aku pernah bermimpi, Sofia muncul dalam mimpi aku selepas tiga malam berturut-turut aku bangun di tengah malam menunaikan solat sunat Tahajjud.

Aku : Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Aku percaya dengan Allah 100% dan aku yakin Allah menguji mesti bersebab. Terima kasih dengan ‘keprihatinan’ kau terhadap aku selama ini. Buatlah apa yang kau suka. Aku percaya dengan janji Allah. Kalau aku sabar dengan ujian yang Allah turunkan untuk aku, pasti ada balasan baik yang akan menunggu aku di Akhirat nanti. Yang membuat aniaya, bersedialah menempah api neraka di sana.
            
               Aku balas dengan kata-kata yang bersifat kiasan bertujuan untuk menyindir Sofia. Aku sabar menanti untuk membaca balasan mesej darinya. Pasti aku bakal ditohmah lagi. Orang macam Sofia, takkan pernah puas hati untuk menyalahkan orang lain.

Betina Gatal : Hahaha..kau perempuan yang paling bodoh aku pernah jumpa. Hei perempuan, kau tahu tak, aku yang upah orang untuk tangkap gambar kau dengan Bangla tu dan cakap dengan abang Alif, Bangla tu kekasih kau. Hahaha..lawak betul tengok kau kena halau macam kucing kurap hari tu. Dan, untuk pengetahuan kau, aku juga yang upah orang untuk busukkan nama kau dan keluarga kau.

                      Terus aku beristighfar di dalam hati membaca mesej seterusnya dari Sofia. Berani betul betina ni mengaku perbuatan dia macam tu. Tak tahukah dia, dengan pengakuan dia ni, aku boleh saman dia? Kenapa dia mengaku macam ni? Apa tujuan dia? Adakah dia ingin menyakitkan hati aku? Atau, dia sengaja membodohkan diri sendiri dengan membuat pengakuan berani mati ni? Siapa yang bodoh sebenarnya ni? Aku atau dia?

Aku : Aku confused sangat sekarang ni. Sebenarnya aku yang bodoh atau kau yang bodoh, Sofia? Kau mengaku perbuatan kau ni, kau ingat aku tak boleh ambil tindakan ke? Dengan mesej kau ni aku boleh sebarkan dan viralkan di media sosial tau. Kau tahukan, aku ramai pengikut dalam media sosial?

                 Aku cuba mengugut Sofia untuk membaca apa pula responnya selepas ini. Bibir aku sudah terukir dengan senyuman. Tentu Sofia yang kononnya bijaksana itu akan mengelabah sekarang ni, kan? Aku cuba meneka di dalam hati.

Betina Gatal : Hei betina! Kalau kau berani, cubalah viralkan! Kau tak kenal lagi siapa aku. Kalau anak kau pun boleh mati dalam perut, keluarga kau dan diri kau tu pun aku boleh hapuskan dengan sekelip mata saja tau!

                  Astaghfirullah Hal azim...yakin betul Sofia berkata-kata, tidak percayakah dia bahawa Allah wujud dan Allahlah yang menghidupkan dirinya? Adakah dia sedang percaya, dirinya lebih berkuasa dari Allah? Aku yang baca mesej dia pun, rasa ngeri sangat. Inikan pula...Allahu Akhbar, ada juga hambaMu yang begini angkuh atas duniaMu ini.

Aku : Istighfar Sofia..kau lupa ke siapa diri kau yang sebenar? Kita ni semua hamba Allah Sofia! Nyawa kita pun hanya pinjaman saja. Aku tak kisah pun, kalau aku dan keluarga aku bakal ikut anak aku, tapi kau..adakah kau tak takut dengan seksaan yang bakal kau hadapi nanti. Ingat Sofia, dunia ni tempat meninggal, Akhirat tu tempat tinggal.

                    Aku cuba berlembut dengan Sofia walaupun dah sah-sah dia mengaku semua perbuatan dia terhadap aku. Entahlah, dalam hati aku langsung tiada dendam. Sampai bila-bila pun aku akan percaya, semua ini berlaku dengan izin Allah. Bukan sebab Sofia! Dia langsung tak ada kuasa. Dia hanya bermain dengan sihir untuk membakar dirinya sendiri. Bukan aku yang dia binasakan, malahan dia sedang membinasakan dirinya sendiri!

Betina Gatal : Aku cakap kau bodoh, kau tak mengaku. Tapi..kau memang bodoh tahap biollah tolol!

Aku : Aku cuma teraniaya di dunia yang sementara saja Sofia. Sedangkan kau, sanggupkah kau terseksa di Akhirat yang kekal abadi nanti? Insaflah Sofia. Aku tak mahu bermusuh dengan kau. Sudah-sudahlah kau aniaya orang lain. Kau takkan untung sesen pun Sofia. Yang semakin sakit adalah hati kau sendiri. Kau bahagia ke Sofia, aniaya aku macam ni? Kau tanya diri kau sendiri Sofia, jangan beri jawapan tu pada aku.

Betina Gatal : Bodoh betul kau ni!

             Dan mesej Sofia berakhir di situ, aku pun malas lagi untuk membalas mesejnya itu. Biarlah aku bodoh ke apa ke, dia peduli apa? Kesian betul dengan orang seperti Sofia, terlalu yakin dengan diri sendiri, akhirnya bakal membawa padah juga akhirnya. Dia tak tahu, atau mungkin dia tak sedar pun perbuatan dia itu akan merosakkan jiwanya sendiri, Penyakit iri hati dan dendam ini semakin lama akan membuatkan jiwa kita sendiri yang terseksa. Hidup harus berpandukan Hadis dan Al-Quran barulah tenang jiwa. Tapi, kalau hidup berpandukan perasaan dan kepercayaan terhadap iblis dan syaitan, buruklah padahnya nanti.

***********        

                  ‘’Ibu, anak Anis ibu! Mana anak Anis? Tolong ibu! Anis nak anak Anis. Ini semua sebab Along! Kalau bukan sebab Along, anak Anis masih selamat!’’ aku pandang Along dengan  perasaan geram. Hati aku sakit setiap kali aku tengok Along. Semuanya kerana Along! Hati aku membentak di dalam.

                 ‘’Sabar Anis..kita hanya hamba Anis. Allah menguji mesti bersebab.’’ Ibu berkata sambil memeluk bahuku. Tubuhku diusap perlahan. Aku rasa tenang seketika, namun sebaik saja mataku bertentangan dengan mata Along, hati aku mendidih lagi. Aku mengebam bibir menahan geram.

                 ‘’Dikk..sabar ya dik. Kak ngah tahu, adik kak Ngah ni kuat orangnya. Mungkin ada hikmahnya kejadian ini dik.’’ Kali ini kak Ngah pula datang dan memujuk aku. Ditariknya tubuh aku rapat ke tubuhnya dan aku dipeluk erat. Aku tak dapat mengawal perasaan lagi. Air mataku terus mengalir dengan laju. Aku tersedu dalam pelukan kak Ngah.

                   Ya Allah..aku tak kuat. Di saat orang lain gembira menyambut kedatangan Syawal, aku kehilangan dua orang kesayangan aku serentak. Mereka berdua nadi hidupku. Bantu aku Ya Allah. Kuatkan semangatku untuk menempuh gelombang hidup ini.

                   ‘’Anak Anis kak Ngah..’’ bila hati berdoa, bibir terus juga merintih sayu. Ya, aku tak kuat untuk menerima ujian ini. Apalah ertinya Syawal tanpa suami dan anak yang aku idamkan selama ini. Tapi..semuanya kini hanya tinggal kenangan.

                    ‘’Aniskan masih ada kak Ngah, ada ibu, abah, kak Long dan abang Long.’’ Kak Ngah memujuk aku lagi. Dilepaskan rangkulannya dan mengelap air matanya sendiri. Aku juga berbuat perkara yang sama sambil merenung tajam ke arah Along.

                 ‘’Huh! Along siapa? Siapa dia tu? Abang Anis atau musuh Anis?’’ aku menuding jari ke arah Along dan bersuara garang. Terkulat-kulat Along di tempat dia berdiri dan merenung balas ke arahku.

                ‘’Anis..jangan macam ni..’’

                  ‘’Aaaaaa..Anis tak nak dengar!!’’

                 Belum habis Along mengungkapkan kata, aku sudah meraung. Aku menjerit dan membantah apa saja kata Along. Cepat-cepat kak Ngah dan ibu memeluk dan menenagkan aku.

                ‘’Man..pergi keluar dulu. Biar Anis ni tenang dulu, nak berbalah pun.’’

                 ‘’Mana ada, ibu..man..’’

                 ‘’Sudah, sudahhh..jangan nak mengeruhkan keadaan lagi.’’ Ibu bersuara tegas. Abah yang hanya menjadi pemerhati menyuruh Along keluar sambil menenangkan Along. Puas hati aku!  Sengaja menyakitkan hati aku. Dia tak rasa apa yang aku rasa. Senanglah nak salahkan aku dalam semua perkara.

*******************
                       Allahu Akhbar..aku raup muka dengan kedua belah telapak tangan. Aku bermimpi rupa-rupanya. Kejadian yang berlaku di awal Syawal kembali hadir dalam mimpiku. Kehilangan anakku di awal Ramadhan di susuli kehilangan Alif selepas itu. Aku ingat lagi, bagaimana aku berdendam dengan Along kerana menyebabkan aku tumpah darah dengan banyak dan kehilangan anak aku. Bila difikirkan balik, aku macam tidak berlaku adil dengan Along. Kalau dengan Sofia, aku boleh berlagak cool walaupun dia mengaku perbuatannya, tapi dengan Along, aku tak boleh berlagak cool. Sebulan juga sepanjang bulan Ramadhan tu, aku tak bertegur sapa dengan Along. Asal terserempak saja dengan Along mesti aku mengamuk sakan, hinggakan Along tidak berani lagi munculkan dirinya di depan aku.

                  Namun, setiap kejadian ada hikmahnya, selepas daripada kejadian amuk aku tu, Along sudah tidak garang-garang lagi. Lucu pula bila kak Long dan anak-anaknya datang mengucapkan terima kasih kepadaku kerana Along sudah tidak baran lagi seperti dulu. Bukan kerana aku saja, Along berubah. Mungkin sebab Along di belasah oleh samseng jalan raya juga rasanya, Along berubah. Ya, aku ingat lagi, hari aku bergaduh sakan dengan Along pada lima belas Ramdhan, Along bergaduh di jalan raya kerana jalan raya yang jammed teruk.

                Alahai Along..dialah abangku seorang kerana kami hanya tiga beradik. Gelagat Along memang begitu sejak kecil. Seingat aku, sedari kecil aku banyak menangis kerana Along. Mungkin sebab itu juga aku berdendam dengan Along bila dia asyik menyalahkan aku dengan sesuatu yang tak aku lakukan. Sofia bukan sesiapa denganku. Dia hanyalah madu yang merampas suamiku, berbeza dengan Along, dia abang kandungku yang sangat aku harapkan agar membela aku ketika aku dilanda musibah. Tapi..Along tak seperti yang aku harapkan! Dia banyak sakitkan hati aku dengan kata-kata dia yang tak berlapik tu.


******************




Sabar ( Ismail Izzani)

Jangan menangis  sayangku
Ini hanyalah sementara
Berdoalah pada yang Esa
Terus menahan sabar
Agar bahagia di sana

Mungkin kau tak pernah sedar
Bukalah mata dan dengar
Dengarkan lagu ku
Ku cuba untuk lepaskan
Luahan hati ini
Ku disakiti

Namun jua kau sedar
Kau tersakiti
Jangan menangis sayangku
Ini hanyalah sementara

Berdoalah pada yang Esa
Terus menahan sabar
Agar bahagia di sana

Now, I’m all alone in the dark
Why should  I lose you
When I need you the most
The best is the best
The past is the worst
Just let it go2x

No....
Why is it hard for you to see
When everything I have done is for you and me
Ku disakiti
Namun jua kau sedar
Kau tersakiti

Jangan menangis  sayangku
Ini hanyalah sementara
Berdoalah pada yang Esa
Terus menahan sabar
Agar bahagia di sana

Jangan pedulikan
Teruskan berjalan
Biar waktu pisahkan kita
Walau bukan selamanya


Jangan menangis  sayangku
Ini hanyalah sementara
Berdoalah pada yang Esa
Terus menahan sabar
Agar bahagia di sana

                     Aku sedang mengambil angin di Utara Tanah Air, di Negeri Kedah Darulaman. Melalui sebuah page dalam Facebook, iaitu page Daerah Yan, aku mengambil keputusan untuk merehatkan minda di sini. Melalui pos-pos admin page tersebut, aku tertarik untuk datang ke Daerah Yan ini. Banyak betul tempat-tempat menarik yang ada di sini.

                Banyak tempat-tempat peranginan yang menarik minatku. Ada pulau-pulau, ada pantai dan air terjun. Apa yang lebih mengujakan adalah permandangan yang berlatarkan sawah padi dan Gunung Jerai. Memang cantik dan mendamaikan jiwaku.


Jangan menangis  sayangku
Ini hanyalah sementara
Berdoalah pada yang Esa
Terus menahan sabar
Agar bahagia di sana

              Sedang aku merenung permandangan indah sawah padi yang sedang menghijau di tepi tingkap homestay yang aku sewa, pendengaran aku sempat menangkap sebuah lagu yang lirikya sangat mengusik jiwa, seolah-olah sedang memujuk hatiku yang sedang lara ketika ini.

Now, I’m all alone in the dark
Why should  I lose you
When I need you the most
The best is the best
The past is the worst
Just let it go
Just let it go

No....
Why is it hard for you to see
When everything I have done is for you and me
Ku disakiti

              Ahh..lirik lagunya benar-benar menyentuh hatiku. Terima kasih pada sang Dj radio tersebut yang memutarkan lagu itu. Siapa pun dia, aku tak kisah, yang pastinya dia sudah berbakti padaku. Aku pendatang baru di Daerah ini, namun demi melayan hati yang sedang walang, aku layan juga hiburan sekadar meredakan perasaan.

                      Alif..aku tak sangka perkahwinan aku dengan dia yang berlandaskan cinta akan berakhir dengan tragedi. Akhirnya tembelang Sofia pecah, bila Alif menjumpai mesej Sofia yang dihantar padaku tempoh hari. Tentang pengakuannya menganiaya aku tu. Allah Maha Mengetahui segalanya. Tak perlu aku membuka mulut pun, Alif tetap tahu tentang kebenarannya. Alif dan Sofia bergaduh sakan hingga menyebabkan Alif terkorban dalam pergaduhan mereka suami isteri. Sofia membunuh Alif tanpa sengaja, ketika mereka bergaduh.

                         Aku sebenarnya, tak tahu cerita sebenar. Aku mengikuti cerita mereka melalui media-media masa saja. Itu pun, aku tak ikuti betul-betul. Apa yang aku tahu, Alif terjatuh dan tertikam pisau yang Sofia pegang. Wallahu’ alam..aku tak tahu kisah sebenar!

                  Sekarang ini, aku hanya ingin mencari ketenangan hati. Aku datang ke sini untuk meleraikan kekusutan jiwa yang terbelenggu dengan sakit dan kehilangan insan-insan tersayang. Dengan restu ibu dan abah, maka aku terlantar di sini seorang diri. Di Daerah Yan ini aku ingin merasai keindahan alam semulajadinya. Dengar kata, Pulau-pulau di Daerah Yan ini pun masih belum diterokai lagi. Belum ada chalet disediakan. Siapa nak berkhemah di Pulau-pulau itu harus bawa khemah dan makanan sendiri. Mesti bestkan? Tapi..aku tak beranilah nak mencuba. Akukan perempuan, kenalah pandai bawa diri. In Sha Allah, suatu hari nanti, kalau ada mahram aku bersama, aku ingin mencuba juga pengalaman berkhemah di Pulau-pulau tersebut.

***************
     
                   Kisah viral Sofia yang membunuh Alif masih terus berleluasa di media-media sosial. Biarkan Sofia dengan hidup barunya. Sekarang, Sofia sedang meringkuk di dalam penjara, sedangkan aku bebas ke sana-sini menjelajah satu Malaysia. Kalau boleh, ada rezeki lebih, aku nak meronda satu dunia. Kini, aku dalam perjalanan dari Alor Setar ke Padang Besar menaiki Keretapi Tanah Melayu KTM.

              Selain daripada ingin menjelajah satu dunia, aku juga ingin berhijrah ke arah hidup yang lebih sempurna. Dalam Facebook, aku banyak mendapat mesej-mesej bernas dari beberapa rakan Facebook yang cukup prihatin, Kadang kala tanpa sedar, aku memang suka kongsi masalah peribadi dalam laman sosial. Orang yang menegur aku, memang jarang like pos aku dan ada yang tak pernah menegur aku pun. Tanpa aku duga, rupa-rupanya yang tak pernah tegur dan tak pernah like pos aku inilah sangat perihatin orangnya.

                Di antara mereka yang prihatin itu adalah Uncle Haji Alti. Dia orang Brunei, kata-katanya selalu berunsur kiasan, susah nak faham, tapi taklah payah sangat untuk memahamkan aku ini. Salah satu kata-katanya yang aku sentiasa pegang “ Anggap diri sendiri macam Perdana Menteri, Doktor, Pensyarah atau orang kenamaan.’’ Maksudnya, kalau nak pos sesuatu dalam laman sosial, kena anggap kita macam orang terkenal. Fikir seribu atau sejuta kali sebelum update status. Korang faham tak maksudnya?

              Dan, ramai lagi rakan-rakan Facebook yang prihatin ni. Mereka hanya memerhati dalam diam. Laman sosial ada banyak kelebihan dan kelemahannya. Ada yang boleh diguna pakai dan ada yang hanya perlu baca dan biarkan semuanya berlalu pergi.

                 Aku pandang ke arah kiri tempat duduk, bila terdengar pasangan di sebelahku berbual. Dua orang lelaki dan perempuan yang merupakan pasangan dari Pakistan yang selalu sangat meronda sana dan sini berhenti dan duduk di tempat duduk di sebelahku. Gelagat mereka sangat mencuit hati. Keretapi itu bagaikan rumah mereka saja. Seronok tengok mereka yang bagaikan pasangan sejoli yang sangat bahagia.

                    Di belakang mereka pula, sepasang merpati sejoli, pasangan Mat Saleh. Romantik sungguh bila melihat si lelaki tolong menyelimutkan pasangannya yang kesejukan. Aku hanya memeluk tubuh sendiri bila kedinginan penghawa dingin terasa hingga ke seluruh tubuh. Bak kata, ibarat berada di Luar Negara yang tahap bekunya mencecah beberapa darjah celcius saja. Sejuk sangat!

                 Di tempat duduk di hadapan sekali pula, sepasang warga emas warga melayu, namun nampak sangat mesra. Gembira juga hati aku melihat telatah mereka. Selebihnya, dalam koc tempat duduk aku kebanyakannya bukan bangsa melayu. Boleh dikatakan, dalam koc ini terdiri dari berbagai bangsa dan aku dapat mendengar perbualan perbagai bahasa juga. Meriah sungguh! Dalam hati yang sedang gundah, sekurang-kurangnya aku rasa terhibur dalam perjalanan ini.

                  ‘’Excuse me miss, ada tempat orang tak?’’ sedang aku ralit memerhatikan gelagat penumpang-penumpang lain, diriku ditegur oleh seorang lelaki. Aku mendongak dan memerhatikan lelaki yang sedang berdiri di sebelahku. Lidahku kelu beberapa saat, hanya kepala yang memberi respon dengan gelengan separa sedarku.

                ‘’I duduk ye, terima kasih. Nampak miss sorang saja. Tak ada teman ke? Dari mana nak ke mana?’’ banyak pula soalan lelaki ni? Nak mengorat aku ke? Hatiku berceloteh sendiri. Aku belum bersedia untuk mencari penganti. Hati aku masih terasa parut luka tu, dan luka itu masih belum sembuh sepenuhnya. Aku berceloteh lagi, namun macam tadi, sekadar di dalam hati.

                   ‘’Err..excume me, suara tak ada ke? Terlupa nak bawa ke, masa keluar rumah tadi?’’ wah, semakin galak dia menyoal. Perlukah aku membalas sapaannya?

                   ‘’Maaflah, saya tak ada mod!’’ perlahan, namun begitu nadanya sangat tegas.

                   ‘’Oh, mod awak dah lari ke mana? Boleh I tolong carikan?’’ aku memandang pegun lelaki yang sudah duduk di sebelahku. Tapi sekejap cuma, aku mengalihkan pandanganku keluar tingkap. Tak tahan betul dengan panahan matanya yang bersinar tu. Ya Allah, berikan aku kekuatan agar tak mudah menyerah kalah dengan godaan lelaki di sebelah aku ni. Patah tumbuh, mungkin akan berganti yang baru. Tapi, hati aku tak mungkin begini mudah mencari penganti. Aku tak kuat!

                    ‘’Nama I Alif. Alif Naufal Bin Abdullah. You?’’ Allahu Akhbar. Alif? Alif  lagi? Kenapa aku asyik dipertemukan dengan lelaki yang bernama Alif? Adakah Alif itu abjad permulaan dalam Al-Quran dan aku harus memulakan hidupku semula. Arghh..apa yang kau mengarut ni Nur Anisa? Aku berdongkol di dalam hati. Jahatnya hati mencemuh diri sendiri.

              ‘’You? Tak nak perkenalkan diri ke? Tak baik tau, menyombong. Kita ni seagama dan agama Islam tu kan bersaudara?’’ ramah pula lelaki ini. Nampak muka, macam ada darah kacukan. Bukan melayu tulen ni, tapi percakapan dia sangat fasih. Tak dengar pula macam orang Luar Negara.

                  ‘’You takut nak berbual dengan I ke? Mungkin you ingat I ni bukan orang Malaysiakan? Alah, I ni anak Malaysia jugak tau! Kitakan Satu Malaysia. I takkan buat hal tak senonohlah kat you. I ni lahir di Malaysia, membesar pun di Malaysia, cuma abi I saja, asal dari Mesir.’’ Laju. Cukup laju dia membuat ayat. Aku pun tak sempat nak menadah semua kata-katanya, namun dapat menangkap juga maksudnya. Nak ajak aku berbuallah tu!

                ‘’You tahu tak, I ni suka melancong tau! I paling suka naik keretapi. I suka berbual dengan orang macam you ni. Dari tadi lagi I perhatikan you. Macam sedih saja wajah you. Ada masalah ke? Okey, you tak suka berbual dengan I kan? Tak apalah, orang tak sudi nak berbual, nak buat macam mana. Terpaksalah I potpet, potpet sorang-sorang, macam orang gila.’’

                 Lucu, dan tanpa sedar bibir aku sudah merekah dengan senyuman. Pandai betul dia mengambil hati aku. Akhirnya, hati aku terpujuk juga dengan ajakannya untuk berbual. Dia memang banyak mulut. Asyik berceloteh tanpa henti menceritakan pengalamannya merantau ke Negara orang. Dia merantau sambil mencari ilmu. Sempat juga dia kongsikan sedikit ilmu dengan aku. Dia bacakan Nas Al-Quran dan Hadis untuk aku. Bila aku tanya pasal poligami, katanya, dia takkan sanggup untuk menduakan seorang isteri.

                        Dia seorang duda yang kematian isteri. Isterinya sudah tiga tahun meninggal dunia kerana melahirkan anak kembar sulung mereka. Isterinya bertarung nyawa melahirkan anak-anak mereka, namun anak-anak mereka juga meninggal selepas seminggu dilahirkan. Bila dia sanggup bercerita tentang kisah hidupnya, aku pun tanpa sedar tercerita tentang diriku juga. Katanya, kami senasib kerana mengalami pengalaman yang ada persamaannya.

                   Ya Allah, percaturan hidup yang kau aturkan sangat indah. Aku sebagai seorang hamba, tidak pernah melihat hikmah di sebalik kejadian yang berlaku. Kalau aku diuji, aku terlupa tentang orang lain yang turut diuji. Ujian mereka mungkin lebih dasyat dari apa yang aku alami. Ampunkan aku Ya Allah, kerana tidak pernah melihat dan memerhati penderitaan orang lain.

                 ‘’You menung apa tu? Letih tau, I berceloteh sorang-sorang. You tak banyak cakap pun.’’ Lamunan aku terhenti seketika, bila lelaki yang bernama Alif Naufal di sebelah aku ni terus membebel.

                  ‘’You tak rasa sedih ke, masa isteri dan anak-anak you meninggal?’’ aku sengaja tanya soalan sensitif tu untuk mendengar jawapannya.

                    ‘’Ishh..gila tak sedih. I rasa macam nak korek saja kubur mereka dan tinggal dalam tu bersama mereka. Tapi, I masih ada abi dan ummi serta adik beradik yang memerlukan I. Buat apa I nak menyusahkan lagi ramai orang yang masih sayangkan I. Yang pergi, biarkan mereka pergi. Beruntunglah, Allah sayangkan mereka lebih daripada kita menyayangi mereka. Past is past, let it go!’’

                    Perlahan-lahan kepala aku jatuhkan. Ya, aku setuju dengan kata-katanya. Aku pun sama, masih ada ibu dan abah yang menyayangiku. Aku masih ada kak Ngah, abang Ngah, Along, kak Long dan anak-anak saudara. Kawan-kawan yang menyayangi aku, saudara mara yang masih ingin melihat aku berjaya dan bahagia. Subhanallah, banyaknya nikmatMu yang aku tak terfikir Ya Allah! Ampunkan hambaMu ini Ya Allah. Yang sering terlupa dan terleka.

                ‘’Berangan lagi?’’ aku menoleh ke arahnya dan tersenyum sebelum menjawab.

                 ‘’Taklah! Sedang memikirkan kata-kata awak tu. Ada benarnya jugakkan?’’
                  Sengaja aku berawak pula dengan dia. Tak selesa pula ber I dan you ni. Aku bukannya orang bandar pun.

                   ‘’Hurm..you nak kahwin dengan I tak?’’

                    ‘’Hah?’’ tercengang aku mendengar soalannya. Takkanlah yang hilang akan berganti secepat ini?

                   ‘’Saya, saya...baru sangat lepas eddah awak!’’ tergagap-gagap aku menjawab.

                    ‘’Dah lepas eddahkan? Bolehlah tu, yang tak bolehnya kalau belum habis eddah.’’ Mudah sungguh, dia berkata-kata. Aku macam mana pula?

***************    
Lima tahun berlalu...

              Benarlah kata orang, yang patah akan tumbuh, yang hilang pasti akan berganti. Aku bahagia sekarang, selepas berkahwin dengan Alif  Naufal. Walaupun nama serupa, tapi sikap mereka sangat berbeza. Alif yang ini sangat tegas tapi penuh dengan keromantikannya. Dia adalah suami terbaikku.

              Alhamdulillah, keluarga mertuaku juga menerima aku seadanya. Walaupun, aku hanya anak orang kampung tapi aku tetap dilayan sama rata macam anak-anak kandung mereka. Sejak aku kahwin dengan Alif Naufal, aku tak pernah rasa terasing. Mereka cukup memahami keadaan diriku ini. Mereka juga tak pernah memandang kami yang kekurangan harta dunia ini. Bagi mereka yang paling kaya dalam dunia ini adalah orang yang paling tinggi imannya.

                   Ya Allah, rupanya Engkau hadirkan pelangi selepas hujan yang turun. Betapa indahnya pelangi ini, ditambah pula warnanya yang menyerikan suasana. Allahu Akhbar, nikmat yang Engkau anugerahkan ini tak terkira banyaknya. Aku bersyukur sangat dengan pemberianMu ini. Terima kasih Ya Allah kerana hadirkan dia dalam hidupku. Kini, aku sangat bahagia bersama dia dengan dua orang cahaya mata kami. Dan, yang paling membahagiakan aku, dia akan membawa kami anak beranak bersamanya, setiap kali dia keluar merantau ke Negara orang. KTM mempertemukan kami berdua dan keretapilah tempat kami menjelajah seluruh dunia. Ke mana saja dia membawa aku dan anak-anak, dia akan bawa kami naik keretapi, hatta di mana saja Negara yang kami pergi. Dia suka naik keretapi kerana dalam keretapi, dia akan berjumpa dengan perbagai bangsa dengan berbagai bahasa dan warna kulit. Unikkan suami aku yang ini?

                     ‘’Sayang! Menung apa lagi tu? Cepatlah, anak-anak dah tak sabar nak bertolak ni. Terlepas kapal terbang pulak nanti!’’ cepat-cepat aku mengemas apa yang patut. Negara yang akan kami pergi kali ini adalah Korea. Yeahaa..nanti boleh jumpa artis-artis Korea secara live. Hihi...aku sudah mula berangan seorang diri. Maaf oppa Alif  Naufal!

************Tammat***********

Nota cinta buat pembaca setiaku : Jangan pernah merungut dengan musibah yang melanda. Bersabarlah, kerana di setiap musibah pasti ada bahagia yang menanti. Kalau bukan di dunia, In Sha Allah, di Akhirat yang kekal abadi.

P/s : Sorry...terdapat sedikit kesilapan teknikal. Tak perasan dik non. Maaf ya!
                
                                 



                 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.