Ahad, 10 Jun 2018

: Cinta Lama Berputik Kembali


         ‘’Reunion, reunion, reunion..tak habis-habis dengan reunion. Setahun berapa kali kawan-kawan abang tu nak buat reunion?’’ Noriza membentak geram. Sejak bertemu kembali dengan kawan-kawan lamanya, suaminya Nazri, selalu sangat membuat perjumpaan dengan mereka. Boleh dikatakan dalam setahun ini mereka asyik bertemu saja. Itu belum dikira dengan perbualan di dalam group WhatsApp hingga masuk dinihari. Entah apa yang mereka bualkan.

         ‘’Tak boleh ke, abang nak berjumpa dengan kawan-kawan lama abang? Kami belajar bersama dulu. Bermain bersama, semuanya bersama. Sesekali, nak juga imbas balik kenangan lama tu.’’ Nazri membalas dalam nada bengang. Semuanya tak boleh. Nak berjumpa kawan-kawan lama pun tak boleh? Hati Nazri berdongkol.

           ‘’Huh! Cakap sajalah bang, sebenarnya..abang rindu sangat dengan bekas kekasih abang dulukan?’’ Noriza membidas kembali. Dia pernah terbaca perbualan suaminya dengan Sofia di dalam WhatsApp dan dalam peti masuk Facebook suaminya. Sesekali Noriza akan memeriksa telefon bimbit suaminya bila dia berpeluang, terutama ketika suaminya sedang tidur.

          ‘’Awak jangan nak tuduh abang sebarangan! Kalau nak cemburu pun, biarlah bertempat!’’ Nazri menengking Noriza tanpa sedar. Sakit hatinya, bila Noriza dapat menghidu segala tingkah lakunya selama ini. Sofia yang pernah dicintainya sejak zaman sekolah dulu, kini sudah menjadi janda anak lima. Walaupun begitu, Sofia masih kelihatan muda, masih comel dan bergetah. Tubuhnya yang kecil dan kulitnya yang cerah membuatkan Sofia nampak lebih muda daripada usianya yang sebenar.

           ‘’Cemburu tak bertempat? Abang jangan nak berdolak dalik, Za tahu apa yang abang buat di belakang Za. Di depan, bukan main lagi baik, tapi..belakang Za, siang dan malam, abang berchatting dengan perempuan tu kan?’’ Noriza tak mahu beralah, dia mesti meluahkan suara hatinya. Sampai bila dia harus berdiam diri dan membiarkan suaminya sendiri dibuai rasa cinta dengan perempuan lain?

                  ‘’Diam! Kalau tak mahu penampar abang ni naik ke muka awak!’’

                   ‘’Tamparlah, kalau abang berani! Abah Za pun, tak pernah…’’

                    Pang! Nazri memang pantang dicabar. Noriza belum lagi habis mengungkapkan kata, sebuah penampar sudah melekap di pipi kirinya. Nak sangatkan? Rasakan! Nazri berdialog di dalam hati. Wajah Noriza yang baru menerima habuan tapak tangannya dipandang dengan wajah menyinga. Geram. Itu yang dirasakannya.

                     ‘’Sampai hati, abang..’’ air mata sudah laju meluncur di pipi Noriza. Dia sendiri tak menyangka, Nazri tergamak mengangkat tangannya. Lima belas tahun rumah tangga yang terbina kini bersulam air mata, gara-gara Nazri bertemu kembali cinta pertamanya.

Gila Talak

                Masa terlalu pantas beredar. Kini, sudah setahun Nazri dan Noriza bercerai. Tiga orang anak mereka diletakkan di bawah jagaan Noriza. Nazri diperintahkan untuk membayar nafkah setiap bulan. Sebulan selepas mereka bercerai, Nazri dan Sofia bernikah. Noriza pula pulang ke kampung dan tinggal bersama keluarganya. Kerana desakan hidup, Noriza berniaga secara online. Apa saja peluang perniagaan yang ada, Noriza akan rebut. Dia mula aktif dalam laman sosial. Noriza sudah pandai berkawan dan berjinak-jinak dengan dunia alam maya. Terdetik dalam  hatinya untuk mencari rakan-rakan sekolah lamanya. Kali pertama Noriza rasa teruja. Bila berjumpa dengan salah seorang rakan sekolah, Noriza berjumpa pula dengan rakan-rakan yang lain, hinggalah dia di add masuk ke dalam group rakan-rakan sekolah di dalam Facebook.

                  Melalui group di dalam Facebook, Noriza di add masuk ke dalam group WhatsApp pula. Dan melalui group WhatsApp Noriza bertemu kembali dengan seorang lelaki yang pernah diminatinya dulu. Mohamad Amir, seorang lelaki yang tinggi lampai dan berkulit cerah. Dia masih bujang dalam usia 35 tahun. Dia seorang peniaga online yang berjaya. Amir banyak membantu Noriza menguruskan perniagaan secara online. Dia mengajar Noriza mencari pelanggan dan bagaimana untuk menarik pelanggan agar membeli barang-barang yang Noriza niagakan. Akhirnya, dari alam maya, mereka bertemu pula di alam nyata.

              Daripada perniagaan online, kini Amir dan Noriza menjadi rakan kongsi pula dan membuka butik pakaian pengantin. Mereka juga menjual jus kesihatan dan menyediakan pakej lengkap alat-alat solek untuk bakal-bakal pengantin. Noriza pula ingin mencari peluang mencuba sesuatu yang baru. Dia berkorban pula masanya untuk mengambil kursus solekan. Amir yang banyak menyokongnya untuk bangun semula dan menghadapi setiap cabaran hidup.

               Lama kelamaan, perhubungan mereka semakin akrab. Noriza pun sudah pandai berdandan dan bergaya. Wajah dan tubuhnya, semakin hari semakin cantik. Tubuhnya yang dulu berisi, kini semakin langsing. Semuanya, kerana nak menarik hati pelanggan butik mereka. Noriza sanggup melakukan apa saja demi kejayaannya.

                     ‘’Za..’’ Noriza menoleh, bila terperasan ada seseorang yang sedang memanggil namanya. Anak bongsunya Ikmal yang sedang dipimpin melonjak kegirangan. Hari ini Noriza sengaja membawa anak-anaknya keluar membeli-belah. Kesian anak-anaknya, setelah dia dan suaminya berpisah, dia sibuk menguruskan perniagaan hingga anak-anaknya terabai seketika. Duit nafkah yang Nazri beri bukannya banyak mana pun. Sekarang ni, harga barang-barang terlalu mahal. Lebih-lebih lagi bila Noriza sudah melibatkan diri dalam perniagaan. Bukan selalu untung pun. Ada ketikanya, mereka mengalami juga kerugian.

                   ‘’Za..abang nak rujuk balik. Abang, abang..’’ tergagap-gagap Nazri bersuara. Mata Noriza terbuntang tanpa sedar. Nak rujuk? Gila ke apa?

                 ‘’Jangan nak mengarut! Za tak nak bermadu.’’ Tegas nada suara Noriza. Dia tak ingin mendengar ayat-ayat yang seterusnya. Ditariknya tangan Ikmal dan menyuruh Intan Nasuha dan anak sulungnya Irma meninggalkan Nazri. Dengan pantas, Nazri cuba menghalang dan memegang pengelangan tangan Noriza.

                ‘’Lepaslah! Kenapa dengan awak ni? Nak pegang-pegang orang pula. Saya bukan isteri awak lagi. Awak dah ceraikan saya. Takkan awak dah lupa?’’ Noriza berkata geram. Ketiga-tiga orang anak mereka memerhatikan pertelingkahan mereka dengan wajah tercengang. Selepas mereka bercerai, bukannya mereka tak pernah berjumpa. Sebulan sekali, Nazri akan datang mengambil anak-anaknya, cuma sejak akhir-akhir ini saja dia berkelakuan pelik.

               ‘’Kita rujuk semula. Za tak kesian dengan anak-anak ke, hidup tanpa ayah?’’

                   ‘’Awak dah gila ke? Rujuk apanya, kita dah setahun lebih bercerai. Itulah..masa gilakan perempuan tu dulu, ada awak terfikir tentang anak-anak? Ada?’’ Noriza menempik kasar. Terlupa dengan keadaan sekeliling. Nazri yang mengelabah, bila mendengar suara Noriza yang lantang. Terus diletakkan jari telunjuk di bibirnya. Untuk mengingatkan Noriza di mana mereka berada. Tapi, ada Noriza kisah.

                ‘’Apa? Malu, sebab orang dengar?’’ Noriza bertanya dalam nada mengejek. Bibirnya sempat mencebik dan ingin melangkah pergi. Namun, Nazri masih seperti tadi, menghalang langkah Noriza dan anak-anaknya.

               ‘’Papa, mama..janganlah macam ni.’’ Irma yang menjadi pemerhati, bersuara secara tiba-tiba. Kalau Noriza dan Nazri tak mengendahkan orang sekeliling, tapi tidak bagi Irma. Dia terasa sangat malu, bila ada mata yang memerhatikan mereka. Remaja yang berusia 14 tahun sepertinya, sudah tahu tentang rasa malu. Kalau papa dan mamanya sedang bergaduh dikhalayak ramai, siapa yang tak malu?

                ‘’Sudah! Awak pun dah bahagia dengan Sofia. Jangan ganggu kebahagiaan kami.’’ Noriza melembutkan suaranya. Dia ingin beralah dan tenangkan hati sendiri. Dia sedar, kesilapannya meninggikan suara sebentar tadi.

                  ‘’Abang tahu, Za dah syok dengan bujang terlajak tu kan? Sedarlah diri, Za tu janda anak tiga. Dia tu masih teruna lagi...’’ Tanpa terduga, Nazri mengungkapkan kata-kata itu. Terbakar juga hati Noriza. Memang pedih hingga ke lubuk hati yang paling dalam, seolah-olah Nazri sedang menghinanya ketika ini.

                  ‘’Kalau ya, kenapa? Dia dah lamar Za dan emak dan abah pun dah terima dia. Kami akan nikah hujung tahun ni. Jangan lupa datang..’’ dalam keadaan hati yang sangat geram, Noriza sengaja memprovokasikan Nazri. Sengaja pula direka cerita yang belum wujud. Amir mungkin sangat rapat dengannya kerana mereka rakan kongsi, tapi setakat ini, Amir belum lagi meluahkan isi hatinya. Noriza pun tak ingin menaruh harapan terlalu tinggi. Dia sedar dengan statusnya sebagai ibu tunggal anak tiga.

                 ‘’Abang takkan izinkan..’’

                  ‘’Siapa awak nak menghalang? Awak tak ada hak ke atas saya lagi. Anak-anak dah setuju. Emak dan abah pun dah setuju.’’ Nazri belum habis berkata-kata, Noriza sudah memotong kata-katanya. Irma dan adik-adiknya yang menjadi saksi, mula tercengang lagi.

                ‘’Mama nak kahwin dengan uncle Amir? Irma setuju!’’ tanpa dipinta, Irma bersuara. Noriza terasa lega, bila mendengar Irma menyokongnya.

                  ‘’Papa tak setuju!’’ Nazri mencelah kasar. Noriza tersenyum mengejek.

                  ‘’Kenapa tak setuju? Awak boleh kahwin lain, kenapa Noriza tak boleh? Dia bukan isteri awak lagi. Dia bekas isteri awak.’’ Ada suara lelaki yang mencelah perbalahan mereka. Serentak mereka berlima menoleh ke  arah suara itu. Wajah Noriza sudah merona merah, sedangkan ketiga-tiga orang anaknya sudah tersenyum gembira.

Lamaran Diterima

                    Amir dan Noriza disatukan akhirnya. Puas juga Amir memujuk Noriza agar menerima dirinya. Dulu, Amir juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Noriza. Dia juga pernah meminati Noriza dalam diam. Tapi, Amir percaya dengan ketentuan Allah, kalau ada jodoh tak ke mana. Dia tak pernah meluahkan perasaannya dan menyambung pelajaran ke Menara gading. Bila habis belajar, Amir terkejut bila Noriza sudah berkahwin dengan lelaki pilihan keluarganya dalam usia 20 tahun. Amir kecewa dan pasrah pada ketentuan takdir hinggalah mereka bertemu kembali dalam group WhatsApp. Inilah peluang terbaik bagi Amir untuk menyulam kembali kasihnya yang terputus dulu.

               ‘’Mohamad Amir Bin Sharif, aku nikahkan akan dikau dengan Noriza binti Hanafi dengan mas kahwinnya tiga ratus ringgit, tunai.’’

                ‘’Aku terima nikahnya Noriza Binti Hanafi dengan mas kahwinnya tiga ratus ringgit, tunai.’’ Lancar  Ijab dan Kabul yang Amir lafazkan.

                   ‘’Sah?’’

                   ‘’Sah!’’

                   ‘’Sah?’’

                    ‘’Tak sah! Saya tak setuju dengan pernikahan mereka! Batalkan semua ni!’’ orang lain yang ditanya, orang lain yang menjawab dengan suara lantang di muka pintu rumah. Semua orang terkejut dan tercengang. Nazri sudah berdiri di muka pintu rumah dengan wajah kusut dan aura tegang. Macam nak ajak bertumbuk pun ada.

                 ‘’Astaga..bawa mengucap E. Noriza tu bukan isteri kamu lagi.’’ Haji Hanafi bangun dan menghampiri Nazri yang kelihatan sangat tegang itu. Kebanyakan tetamu juga sudah berdiri termasuk pengantin lelaki. Noriza mula rasa tak sedap hati. Kenapa harus jadi begini? Hati Noriza bertanya sangsi. Apa salah aku padanya, hingga dia buat aku macam ni? Persoalan menerjah mindanya lagi.

                   ‘’Abah, saya takkan izinkan Noriza bernikah dengan lelaki lain. Dia hak saya, abah!’’ yakin sekali Nazri meluahkan kata. Ramai tetamu yang mengelengkan kepala mendengar kata-katanya. Tak kurang juga yang sedang tersenyum mengejek.

                 ‘’Hak apa Nazri? Kita semuanya hak Allah! Kita hamba Allah, bukan hak siapa-siapa pun. Walaupun, Noriza tu anak kandung abah, dia juga bukan hak abah. Allah pinjamkan dia pada kami. Kau dah buang dia dulu, tapi sekarang, berani pula kau mengaku dia hak kau?’’ Haji Hanafi cuba menenangkan Nazri yang macam orang kehilangan akal tu. Serabut sungguh melihat tingkahnya ketika ini.

                 ‘’Saya nak rujuk balik dengan dia abah.’’

                  ‘’Rujuk apanya? Ya Allah, bawa mengucap Nazri.’’ Haji Hanafi bersuara lagi. Di ruang rumah ini yang dipenuhi oleh tetamu kedua-dua belah pihak pengantin lelaki dan pengantin perempuan sudah mula terdengar bisikan-bisikan mengejek. Ada yang sudah ketawa gelihati mendengar kata-kata Nazri.

                  ‘’Saya tak kira abah. Saya takkan izinkan Noriza bernikah dengan lelaki lain.’’ Nazri masih berkeras dengan pendapatnya. Dia melangkah laju ke arah Noriza yang masih duduk bersimpuh di atas pelamin yang sudah dihias indah. Kejung juga Noriza melihat gelagat Nazri ketika itu.

                    ‘’Akad nikah dah selesai pun. Mereka dah sah pun jadi suami dan isteri.’’ Haji Hanafi menambah lagi. Nazri sudah terkelu dan terkaku di tempat dia berdiri. Amir pula pergi mendapatkan Noriza yang sudah kelihatan pucat riak wajahnya.

Akhirnya Bersatu Juga

               ‘’Riza, tak tidur lagi?’’ Amir menghampiri Noriza yang sedang bermenung di tepi jendela rumah mereka. Sudah sebulan mereka bergelar suami dan isteri. Mereka bahagia bersama tiga orang anak-anak Noriza yang tinggal di bawah jagaan mereka.

             Mamandangkan Nazri mengalami masalah mental selepas Noriza berkahwin lain dan Sofia lari dengan lelaki lain, anak-anak mereka, Irma, Intan dan Ikmal diserahkan pada Noriza sepenuhnya.

               ‘’Belum mengantuk lagi. Bulan mengambang malam ni. Seronok tengok bintang di langit yang gelap tapi diserikan dengan kerlipan bintang-bintang dan cahaya bulan.’’ Noriza berkata sambil menghadiahkan senyuman manis untuk Amir.

            ‘’Pandainya isteri abang bermadah pujangga. Abang nak join sama, boleh? Mana tahu, kot-kot boleh dapat ilham untuk bermadah pujangga juga.’’  Amir yang sudah berada di sisi Noriza turut mendongak ke langit. Benar kata Noriza, di malam yang kelam, tetap berseri dengan simbahan cahaya bulan dan kerlipan bintang-bintang. Subhanallah, cantik sungguh ciptaan Allah.

                  ‘’Mana ada bermadah pujangga pun. Za cakap, apa yang Za nampak. Cantikkan langit malam ni..’’ tersipu-sipu Noriza bila dikatakan dia sedang bermadah pujangga. Terasa semakin malu, bila berdua-duaan dengan Amir dalam suasana romantik ini. Sambil tengok bulan dan bintang pula tu.


             ‘’Abang, terima kasih, sudi terima Za yang dah ada anak tiga ni sebagai isteri. Macam mana abang bodek mak abang, senang pula dia terima Za dan anak-anak?’’

            ‘’Hmm..mana abang bodek pun. Abang memang dah lama sukakan Riza, sejak zaman sekolah lagi. Mama pun tahu, abang sukakan Riza, sebab  tu mama tak pernah paksa abang untuk kahwin. Selalu abang cakap pada mama, jodoh abang dengan Riza memang kuat. Abang yakin, suatu hari, Riza akan jadi milik abang juga. Alhamdulillah, Allah tak sia-siakan penantian abang selama ni. Selamat pengantin baru, sayang. Semoga rumah tangga kita, akan bahagia hingga ke Jannah.’’

               ‘’Ya Allah, betul ke ni? Riza macam tak percaya saja. Sejak bila?’’ tergaman Noriza mendengar pengakuan Amir. Tak sangka betul dia, rupanya cinta dia dulu,  bukan bertepuk sebelah tangan.

                ‘’Sejak bila? Sejak isteri abang ni pandai mengintai abang dari jauh. Riza ingat abang tak tahu ke, Riza selalu merenung abang kalau kita terserempak. Suatu hari tu, abang perasan, Riza pura-pura baca buku dalam perpustakaan, padahal, mata tu asyik menjeling abang saja, kan?’’ terdiam lagi Noriza mendengar kata-kata Amir. Wajahnya berbahang hangat.

                ‘’Abang tahu? Kenapa tak ada respon apa-apa pun? Macam orang tak ada perasaan saja Za tengok. Macam Za ni tak wujud.’’

                   ‘’Eii..sedap saja cakap abang tak ada perasaankan? Bukan abang tak nak bagi respon. Riza tu anak dara orang. Lagi pun, kita masih pelajar sekolah, tak elok bercinta masa belajar. Mak dan ayah, habiskan duit untuk biayai pelajaran kita, tapi kita sia-siakan harapan mereka. Abang percaya dengan Qada dan Qadar, kalau antara kita ada jodoh, tak ke mana perginya. Riza tetap akan masuk ke dalam dakapan abang juga akhirnya.’’ Yakin sekali Amir berkata-kata sambil merenung Noriza di sisi. Rasa bahagia hatinya, bila pujaan hati sudah menjadi suri hidupnya kini.

                 ‘’Betul juga tu, kalau dah kahwin pun, tapi jodoh tak kuat, berpisah jugakan? Kalaulah, Za tak bercerai, takkan abang nak membujang sampai ke tua?’’

              ‘’Tak baik berkalau-kalau, Allah dah tentukan jodoh kita ada, bersyukurlah. Lagi pun, kalau tak ada jodoh pun, tentu ada hikmahnya juga. Allah dah atur elok hidup kita ni sayang, berjodoh ataupun tak, pasti ada rahsianya yang Allah sembunyikan.’’

                 ‘’Alhamdulillah, rahsia Allah..tiada siapa yang tahu.’’ Usai berkata-kata, Noriza mendongak lagi ke langit, melihat kebesaran Allah. Amir juga turut mendongak ke langit sambil berdoa di dalam hati, semoga Allah merestui perkahwinan mereka ini. Terima Kasih Ya Allah, dengan rahmat dan kasih sayangMu!

                                                         Tamat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.