Ahad, 10 Jun 2018

Ampunkan Aiman Ibu


               Mak Senah mengensot perlahan untuk ke bilik air. Badannya kian lemah hari demi hari. Tubuhnya semakin kurus kering kerana kurang selera makan. Hatinya terlalu merindui anak tunggal kesayangannya Aiman. Sejak bekerja di bandar Aiman sudah jarang pulang ke kampung. Seingat Mak Senah, kali terakhir Aiman pulang lima tahun yang lalu.
                                                    
              Ya Allah, sebelum nafasku berakhir temukan aku dengan Aiman, anakku. Doa Mak Senah setiap hari. Rindunya pada Aiman semakin sarat. Dia teringin sangat untuk menatap wajah tampan anak tunggalnya itu. Dia teringin untuk memeluk tubuh Aiman lagi.  Mak Senah teringin untuk berbual mesra dengan Aiman seperti dulu. Makan sehidang dengan Aiman dan melihat wajah polos Aiman ketika dia sedang tidur. Rindunya Mak Senah pada Aiman. Rindukan semua kenangan itu dan ingin mengulanginya lagi.

                   Aiman bukan saja tidak pulang ke kampung, malahan langsung tiada khabar berita darinya. Sudah kahwinkah Aiman? Sihatkah Aiman? Bagaimana pula dengan kehidupan Aiman sekarang? Banyak betul persoalan tentang Aiman yang Mak Senah fikirkan.

                   Aiman anakku, pulanglah ke kampung, ibu rindukan Aiman. Rintih hati Mak Senah setiap hari. Air mata pula seringkali mengiringi kata-kata hatinya. Rindunya pada Aiman tak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Hanya hatinya yang sering berbicara.

                 Mak Senah menjadi ibu tunggal sejak dua puluh lima tahun yang lalu. Suaminya meninggal akibat kemalangan jalan raya ketika dia sedang sarat. Aiman satu-satunya anak yang dia ada. Mak Senah tak berkahwin lagi selepas suaminya meninggal. Cintanya pada suami terlalu mendalam. Dia hanya nak memberi Aiman sepenuh kasih dan sayang. Aiman ditatang bagai minyak yang penuh. Apa saja pekerjaan yang halal dilakukan demi membesarkan Aiman. Apa saja permintaan Aiman dipenuhi tanpa berbelah bahagi. Aimanlah Syurga baginya. Aimanlah kebahagiaan Mak Senah.

                 Bila Aiman dewasa dan ada kerjaya, Aiman membawa diri ke Kota kerana menunaikan tuntunan hatinya untuk hidup mewah. Aiman bercita-cita tinggi untuk menjadi orang ternama dan cita-citanya tercapai di tengah bandar besar. Aiman sudah dikenali ramai. Namanya sudah gah dipersada seni. Aiman menjadi seorang penghibur melalui rancangan Reality Tv. Dia berjaya dan mempunyai ramai peminat hingga dia terlupa, dia masih ada ibu di kampung yang sering merindui dirinya.

              ‘’Aiman, semalam pengarah tv menghubungi abang, katanya..mereka nak buat rakaman untuk hari raya. Macam mana, nak terima ke?’’ pengurus Aiman bertanya. Aiman yang sedang membaca kisah viral tentang dirinya yang terbaru, menoleh sekilas lalu sebelum menjawab.

                 ‘’Ikut abang Lan lah. Aiman ikut saja, apa kata abang Lan.’’Aiman menjawab malas sambil terus menumpukan perhatiannya pada skrin I-Phone miliknya.

                    ‘’Oh ya, abang lupa nak bagitau Aiman, hari raya pertama nanti, Aiman dijemput tau, ke rumah terbuka Dato Azmi, nak pergi tak?’’ soalan diajukan lagi pada Aiman. Macam tadi, Aiman menoleh ke arah pengurusnya, tapi kali ini dia berjeda seketika. Mindanya sedang berfikir tentang jawapan yang harus diberikan. Dia malas sebenarnya untuk hadir di majlis seperti itu. Sesekali timbul perasaan rimas bila berhadapan dengan orang ramai. Namun, dia juga terpaksa menerima ketentuan hidupnya begitu sebagai seorang penghibur yang diminati ramai.

                       ‘’Kalau tak pergi, tak boleh ke, abang Lan?’’ Aiman luahkan juga kata hatinya. Pengurusnya Encik Maslan menghela nafas perlahan.

                     ‘’Orang dah jemputkan, kenapa pula tak nak pergi? Aiman tu dah ada ramai peminat, Dato Azmi tu salah seorang peminat Aiman. Payah sangat ke nak terima undangan dia? Kita pergi makan sajakan. Kalau dia suruh Aiman menyanyi ke, apa ke, tunaikan saja permintaan dia. Lagi pun, Dato Azmi tu dah banyak berjasa pada Aiman. Takkan Aiman nak...’’

                 ‘’Okey, okey..kita pergi! Ishhh..abang Lan ni berjela-jela pula berleter. Macam mak neneklah. Rimas!’’ Aiman memotong pantas kata-kata pengurusnya sambil mendengus kasar. Kemudiannya, dia kembali mengadap skrin I-Phonenya seolah-olah hanya dia saja yang ada di dalam rumah. Bulan puasa macam ni, melepak di dalam rumah adalah akiviti yang paling disukainya.

               Encik Maslan menghela nafasnya untuk kesekian kali. Geram melihat gelagat Aiman sejak akhir-akhir ini. Cepat sangat berubah laku. Selalu baran tak bertempat dan suka melenting tanpa sebab.

*************

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar
La ilaha illallah Allahu Akhbar, Allahu Akhbar walillahil Hamd

                  Takbir raya berkumandang, penuh syahdu menusuk kalbu. Aiman yang sudah siap berpakaian sepasang baju melayu dan bersampin, sudah sedia untuk keluar rumah untuk bersama-sama bersolat sunat hari raya di masjid. Baru saja dia berniat untuk mencapai I-Phone miliknya di atas meja sofa di ruang tamu, I-Phone itu bergetar menandakan ada mesej yang masuk. Terus Aiman mengambil I-Phonenya dan membuka mesej yang masuk ke dalam group WhatsApp. Ada video yang dimuat naik ke dalam group itu oleh salah seorang ahlinya. Aiman terus klik pada video tersebut untuk memuat turun ke dalam I-Phonenya pula. Selesai memuat turut video itu, Aiman membukanya. Dada Aiman berombak kencang, sebaik wajah seorang perempuan tua yang kurus kering muncul.

                  Ibu! Hati Aiman menjerit sayu. Dia terus menatap wajah di dalam video itu dengan perasaan sebak. Timbul satu rasa yang sangat sukar difahami oleh dirinya sendiri. Dia terasa hatinya sangat sakit dan pedih. Hadir perasaan bersalah dalam nalurinya. Ampunkan Aiman Ibu! Hatinya menjerit lagi. Suara ibunya yang kedengaran di dalam video itu tengelam timbul di pendengarannya.

                    ‘’Aiman, baliklah nak. Ibu rindu Aiman. Ibu nak tengok Aiman, sebelum Allah panggil ibu. Baliklah Aiman..Ibu rindu sangat dengan anak ibu. Kenapa dah lama tak balik? Aiman dah tak sayang ibu ke? Ibu teringin sangat nak tengok anak ibu. Aiman, semua orang cakap, Aiman dah berjaya di bandar. Ibu tak tahu nak, tv di rumah kita dah lama rosak. Bila ibu tunjuk gambar Aiman pada orang, pada doktor yang merawat ibu, pada jururawat, semua orang kata, mereka kenal Aiman. Bangganya ibu, tapi..’’

                    Belum sempat Aiman mendengar kata-kata seterusnya, dia sudah jatuh terduduk. Hatinya pedih, bila melihat ibunya merayu supaya dia pulang. Ya Allah, aku anak yang tak tahu diuntung. Aku anak yang tak kenang budi. Ampunkan aku Ya Allah. Ampunkan Aiman Ibu. Aiman bersalah. Aiman berdosa. Aiman terus meratap hiba di pagi raya yang syahdu.

               

                                                        Tamat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.