Ahad, 10 Jun 2018

KAMI BUKAN PENGEMIS


Mak Ngah Fauziah memulakan nyanyiannya sebaik saja semua alatan selesai dipasang oleh pembantunya. Pak Ngah Ya pula mula memeriksa mikrofon. Kedua-dua orang suami isteri ini cacat penglihatan sejak kecil. Mereka dijodohkan dan kini sudah mempunyai dua orang anak perempuan yang normal. Kedua orang anak mereka sudah menjawat jawatan besar di sebuah syarikat kerajaan.
                                                       
         Sebenarnya mereka bukanlah orang miskin tapi kerana sudah terbiasa mencari makan dengan menyanyi di rumah-rumah kenduri dan di pasaraya atau kaki-kaki lima kedai, mereka menjadikan pekerjaan ini sebagai hobi hari tua mereka.

        Suara merdu Mak Ngah Fauziah dan Pak Ngah Ya selalu menarik minat orang ramai. Kalau pergi menghadiri jemputan untuk menyanyi di rumah kenduri, kedua-duanya berpakaian cantik sekali. Tapi, hari ini keduanya sedang menyanyi di kaki lima deretan kedai, mereka hanya mengenakan pakaian lusuh.

         Dari jauh seorang wanita yang kelihatan begitu anggun menghampiri pasangan suami isteri ini. Laju langkahnya dan wajahnya kelihatan sangat bengis.

       ‘’Pak cik, Mak cik...jangan mengemis di depan kedai saya, boleh tak? Menyemakkan pandangan saja,’’ suaranya yang garang menyentap tangkai hati mak ngah Fauziah dan Pak ngah Ya. Lidah kedua-duanya terus terkelu. Kejadian ini disaksikan oleh Pak Mahat yang membaiki kasut berhampiran mereka. Pak Mahat mengelengkan kepalanya apabila dia mendengar percakapan pemilik baru kedai pakaian itu.

          ‘’Mak cik dan pak cik dah lama menyanyi di sini,’’ mak ngah Fauziah berkata perlahan. Kalau mereka dihalau sekarang, ke mana mereka harus pergi? Pembantu mereka sudah pulang sebaik menolong mereka memasang alatan yang diperlukan.

         ‘’Ah, saya tak kira. Saya tak sukalah ada orang nak ambil kesempatan mengemis depan kedai saya ni.’’ Wanita anggun itu bersuara lagi.

         ‘’Puan Sue, Mak ngah dengan pak ngah memang dah lama menyanyi di sini. Dulu bos lama kami yang izinkan. Tak apalah puan, lagi pun mereka bukan menganggu pekerjaan kita pun. Mereka pun macam kita juga, nak cari makan.’’ Yati pembantu kedai pakaian keluar dan memberitahu bos barunya yang telah mengambil alih kedai pakaian tersebut.

         ‘’Eh..kau tahu apa? Ini kedai aku. Kau nak kena pecat ke? Memandai-mandai saja. Ramai lagi orang di luar sana yang nak kerja kau ni!’’ Puan Suriani yang dipanggil Puan Sue oleh pekerja-pekerja barunya bersuara angkuh. Matanya dibeliakkan pada Yati. Tertunduk Yati melihat wajah bengis bosnya itu.

         ‘’Tak apalah Yati, Mak ngah telefon Mamat saja, suruh dia datang ambil kami di sini. Bumi Allah ni luas Yati. Lagi pun rezeki kami di tangan Allah. Bukan di tangan manusia,’’ Mak ngah bersuara lagi sambil meraba-raba isi di dalam begnya. Pak Ngah Ya hanya diam membisu.

        Bila mak ngah Fauziah menjumpai apa yang dicari. Dia mula meraba-raba pula punat-punat di telefon bimbitnya. Dengan mahirnya mak ngah menekan nombor satu yang bermaksud panggilan pantas yang telah disetkan oleh anak sulungnya. Nombor satu untuk memanggil Mamat pembantu peribadi mereka. Nombor dua untuk memanggil anak sulungnya. Nombor tiga untuk memanggil anak ke-2 mereka dan nombor empat untuk membuat panggilan kecemasan saja.

       ‘’Hello Mat, datang ambil mak ngah dengan pak ngah. Kami kena ubah tempatlah Mat.’’ Sebaik panggilannya dijawab, mak ngah terus bersuara. Yati memandang sayu pasangan tersebut. Puan Suriani pula mendengus kasar dan bergegas masuk ke dalam kedainya.

       ‘’Yati! Jangan nak curi tulang pula.’’ lantang suara Puan Suriani menyergah Yati yang masih berdiri kaku di depan mak ngah dan pak ngah. Yati menoleh pantas ke arah Puan Suriani yang berhenti di depan pintu masuk kedainya. Yati terus meloloskan dirinya dan hilang di dalam kedai.

        ‘’Huh! Nak raih simpati akulah tu.’’ Puan Suriani berkata penuh angkuh pada mak ngah yang sedang bercakap dengan Mamat di talian. Suara mak ngah yang lembut dan penuh sifat keibuan itu disalah ertikan oleh Puan Suriani.

       ‘’Esok saya tak mahu tengok lagi pak cik dan mak cik mengemis di sini. Faham?’’ sebelum masuk ke dalam kedai, mak ngah dan pak ngah diberi amaran. Mak ngah hanya mengeluh perlahan bila pak ngah mengapai tangannya dan mengusap perlahan. Hanya isyarat itu saja yang mampu pak ngah beri untuk menenangkan hati isterinya yang tersayang.

        ‘’Tak apalah...mungkin dah sampai masanya kita berehat di rumah dan mencari redha Allah pula. Kita bukannya akan muflis kalau tak menyanyi di sini.’’ Pak ngah berkata perlahan dengan niat untuk memujuk mak ngah.

        ‘’Hidup kita di dunia ni memang macam ni dah la Pak Ya, Fauziah. Manusia ni selalu memandang hina kita yang bekerja biasa-biasa ni, sedangkan di sisi Allah tiada apa yang membezakan kita. Hanya amalan yang kita bawa ke sana esok, yang akan membezakan kita dengan orang lain.’’ Pak Mahat yang hanya memerhati saja dari tadi datang menghampiri mak ngah dan pak ngah. Pak Mahat menepuk perlahan bahu pak ngah Ya. Simpati dia kepada pasangan suami dan isteri itu yang baru lepas diherdik.

Tak Kenang Budi

            Haji Kamarul melangkah tenang keluar dari rumahnya. Seminggu yang lalu Haji Kamarul yang sudah lama pencen telah mewakafkan tanah miliknya untuk didirikan sebuah masjid dan juga untuk dijadikan tanah perkuburan. Bila anak-anaknya tahu tentang tanah yang telah diwakafkan itu Haji Kamarul telah dihalau sehelai sepinggang dari rumahnya. Rumah pusaka dua tingkat yang telah diwarisinya sejak turun temurun kini terpaksa ditinggalkan untuk anak sulungnya.

          Bagi Haji Kamarul semua yang berlaku adalah ujian yang Allah turunkan untuk dirinya dan anak-anaknya. Hari ini dia hanya kehilangan harta dunia. Dia tak pernah kesal dengan kehilangan harta. Apa yang dikesalkan bila anak-anak kandungnya sendiri yang telah menghalaunya kerana tamakkan harta. Dunia ini hanyalah sementara sedangkan dunia Akhirat itulah yang kekal abadi. Ramai manusia yang mengejar kemewahan dunia, termasuk anak-anak Haji Kamarul.

            Haji Kamarul menghayun langkahnya perlahan-lahan. Kudratnya sudah semakin kurang, apatah lagi umurnya pun sudah memasuki usia emas. Dalam melangkahkan kakinya Haji Kamarul berfikir akan nasib dirinya selepas ini. Dia percaya Allah Maha Mengetahui dan nasibnya sedang berada di tangan Allah. Haji Kamarul yakin dan pasti dia takkan merempat di jalanan walaupun sekarang dia sendiri sedang kehilangan tempat untuk berlindung.

   Ya Allah, aku serahkan nasibku kepadaMu. Kalau inilah takdirMu dan ujian dariMu bantulah aku agar aku sentiasa menjadi hambaMu yang Redha dengan ketentuanMu. Berikanlah aku tempat berlindung daripada hujan dan panas. Temukan aku dengan hambaMu yang mempunyai sifat kemanusian dan mempunyai hati yang suci.

           Haji Kamarul berdoa di dalam hati sambil kakinya terus melangkah tanpa arah tujuan. Sayup-sayup dari kejauhan terdengar laungan azan. Spontan bibir Haji Kamarul merekah dengan senyuman. Alhamdulillah, Allah sedang memanggil aku untuk menuju ke rumahNYA. Langkah kakinya dipercepatkan. Tak sabar rasanya untuk sujud dan bertemu dengan Allah. Rindunya dia kepada Allah Yang Satu. Hanya kepada Allah tempat dia mengadu.

Masih Ada Yang Sayang

          Usai solat Haji Kamarul bertafakur lama di atas sejadah. Banyak permintaan yang ingin dipohonkannya kepada Allah. Bila berada di rumah Allah ini hati Haji Kamarul menjadi tenang. Dia bersyukur kerana Allah masih memelihara imannya hingga ke hari ini.

      Mamat yang sedang memerhatikan gelagat Haji Kamarul sejak tadi menunggu Haji Kamarul selesai berdoa dengan sabar. Haji Kamarul adalah jiran sebelah rumahnya. Dia kenal Haji Kamarul yang baik hati itu. Haji Kamarul yang kaya harta dan juga kaya budi bahasa. Siapa tak kenal dengan Haji Kamarul yang mempunyai berbidang tanah di dalam kampung mereka. Tapi sayangnya, tanah-tanah Haji Kamarul sudah dijual oleh anak-anaknya sedikit demi sedikit.

        ‘’Pak Haji, dah makan ke belum ni? Saya perasan sejak Pak Haji keluar dari rumah tadi, Pak haji tak balik pun lagi,’’ Mamat bertanya Haji Kamarul setelah dilihatnya Haji Kamarul menyapu muka dan mula beralih dari tikar sejadah.

        ‘’Rezeki setiap manusia ni datangnya daripada Allah. In Sha Allah ada rezeki takkan lari ke mana,’’ dengan tenang Haji Kamarul menjawab. Sejak dihalau keluar dari rumahnya tadi memang dia belum makan lagi. Pagi tadi pun dia hanya dijamu dengan sebiji roti dan secawan kopi O oleh menantu sulungnya.

          ‘’Kalau macam tu, jomlah kita makan di warung depan tu. Saya pun belum makan tengahari lagi ni. Kebetulan Midah balik rumah orang tua dia dah seminggu dah. Tak ada orang rumah, tak berasaplah dapur kami tu,’’ Mamat berkata sambil ketawa. Dicapainya tangan Haji Kamarul supaya bangun dan mengikutnya. Haji Kamarul mengangkat tangan dan mengaminkan sesuatu. Sesungguhnya rezeki itu pemberian Allah. Hatta ulat dalam batu pun mampu hidup. Inilah pula manusia yang bernyawa dan diberi akal oleh Allah.

nota ; cerpen ni pernah di upload dalam Ilham Karangkraf tapi bila saya chek semula semua cerpen saya di Ilham sudah tak wujud lagi jadi saya update dalam blog sendiri pula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.