Isnin, 8 Julai 2019

Akhirnya, Belangnya Tersingkap Jua


               TAK sangka sungguh, buah cempedak akan jadi nangka. Pepatah orang dulu-dulu bertepatan sangat dengan keadaan aku sekarang ni. Suami aku nampak macam lurus sangat. Dua puluh lima tahun perkahwinan kami dia sangat setia. Walaupun, dia bukan seorang suami yang romantik tapi dia seorang yang bertanggungjawab dan penyayang.

                 Semuanya terjadi kerana Facebook. Laman social inilah yang menjadi pemusnah kebahagiaan aku sekarang ni. Secara tak sengaja, aku terbaca perbualan antara suami aku dengan seorang perempuan dalam messegger telefonnya.

                  Kebetulan, malam itu suami aku tertidur dengan telefon masih di tangan. Niat awalnya ingin menyimpan telefon itu saja tapi tak tahu apa yang merasuk fikiranku, ada satu keinginan yang sangat kuat agar aku  membukanya.

                Ya Allah, berderau darahku. Sebaik saja aku berjaya on telefonnya, ada satu mesej masuk ke dalam mesegger. Aku mencuri membaca mesej itu. Pada mulanya, aku sangka hanya mesej biasa saja. Namun, tekaan aku meleset sama sekali. Ternyata, suami yang aku sangka hanya setia dengan aku, rupa-rupanya sedang menganyam kasih dan sayang dengan perempuan lain.

                    Sakit. Sangat sakit rasanya membaca mesej mereka. Kesakitan itu tak dapat nak diungkapkan dengan kata-kata. Hanya air mata yang sedang berbicara. Hangat rasanya air mata yang  meluncur laju di pipiku.

                       Aku tak sanggup untuk berkongsi kasih seorang suami dengan perempuan lain. Aku tak rela walaupun dipaksa. Aku bukan kekasih paksa rela macam drama yang sedang disiarkan di TV3 tu. Aku isterinya yang sah sejak 25 tahun yang lalu. Ya Allah, macam mana aku nak hadapi ujianMu ini? Aku bingung sekarang ni. Apa yang paling aku takut, kalau dia minta izin nak kahwin satu lagi.

                   Kalau diikutkan dari segi ekonomi rumah tangga kami, suami aku memang tak mampu nak tambah isteri. Gaji bulanannya hanya cukup untuk menyara kami lima beranak. Nak bagi duit untuk emaknya yang sudah menjadi ibu tunggal pun dia tak mampu, takkan dia nak kahwin lagi? Hati aku merusuh bila memikirkan segala kemungkinan ini. Takkanlah dia tergamak nak menduakan aku? Hati aku menyoal lagi.

**************

                     “APA salah Som abang? Apa yang kurang dalam rumah tangga kita ni? Jujurlah  abang, Som tak suka kalau abang asyik menidakkan kekurangan Som, tapi dalam masa yang sama abang cari perempuan lain. Abang bukannya muda lagi untuk bercinta. Anak kita semua dah besar panjang. Kita dah layak untuk dapat menantu dan cucu. Rambut pun dah memutih di kepala. Apa yang abang fikir sebenarnya? Apa lebihnya janda tu berbanding Som?’’ aku melepaskan segala persoalan yang menghantui benakku pada Syukran suamiku. Aku benar-benar ingin tahu, apa salahku.

                       ‘’Hati dan perasaan bukan boleh dikawal Som. Dah Allah anugerahkan abang perasaan ni, macam mana abang nak tolak. Tak baik menolak takdir ni Som. Lagi pun, Emylnn dah janji nak terima abang seadanya. Dia pun sanggup jadi madu Som dan sanggup untuk hidup bermadu. Abang..’’

                       ‘’Huh! Anugerah dari Allah konon. Cakaplah kerana nafsu daripada setan yang selalu berbisik untuk meruntuhkan rumah tangga kita ni. Kenapa nak salahkan Allah, kalau abang sendiri yang tak dapat mengawal nafsu? Macam ni la..Som tak kisah kalau abang nak kahwin dengan janda ke, dengan anak dara ke, nak ada ada bini sepuluh ke, sebelas ke, yang Som tahu sekarang ni, Som tak mahu berkongsi suami. Kalau abang nak kahwin jugak, teruskan! Som takkan melarang.’’ Aku potong kata-kata Syukran dengan nada yang kasar. Ya, aku tak kisah kalau dia nak kahwin lain, tapi aku tak ingin berkongsi kasih seorang suami dengan perempuan lain. Selama ini aku sudah banyak beralah dengannya. Aku banyak memendam perasaan selama perkahwinan kami.

                       ‘’Yang awak ni Som, kahwin dua pun belum lepas lagi, yang nak suruh saya kahwin sampai sepuluh, sebelas tu kenapa?’’

                    ‘’Contoh! Kalau abang gatal jugak nak kahwin ramai, kahwinlah kalau abang rasa mampu tapi denagn syarat bukan Som yang jadi isteri abang!’’ aku berkata tegas dengan perasaan geram yang teramat sangat. Aku punyalah serius, dia masih ada hati nak main-mainkan perasaan aku. Masih lagi nak berloyar buruk dengan aku?

                     ‘’Awak ni cakap, main sedap mulut awak sajakan. Kalau awak bukan isteri saya, habis tu siapa? Bila masa pulak kita bercerai? Abang tak pernah pun lepaskan talak. Mahkamah syariah pun abang belum pijak lagi.’’

                    ‘’Cubalah belajar hadam dengan maksud Som ni! Jangan dengar dan buat kesimpulan sendiri. Som bagi contoh, kalau abang tetap dengan pendirian abang nak kahwin lain, abang kena buat pilihan. Som memang takkan minta cerai tapi kalau abang nak kahwin jugak dengan janda tu, Som takkan jadi tunggul dalam rumah ni, dan abang kena tahu satu perkara, sebaik saja abang sah bergelar suami pada janda tu, perasaan Som pada abang pun hilang lenyap untuk selamanya. Takkan boleh diubah lagi. Titik!’’ hati aku semakin membara mendengar kata-kata Syukran. Lain yang aku maksudkan, lain pula yang dia faham. Kadang-kadang memang aku akan hilang sabar setiap kali cuba berkomunikasi dengan dia. Sebab itu selama perkahwinan kami, aku lebih banyak memendam perasaan dari meluahkannya.

                           ‘’Awak ni suka sangat cakap berbelitlah. Pening kepala saya ni Som. Siapa pula yang suruh awak jadi tunggul? Dan, sejak bila pula awak amalkan ilmu ghaib ni, sampai boleh hilang , lenyap semua?’’

                         Ya Allah, rasa nak pecah kepala aku mendengar jawapan balas daripada Syukran seolah-olah dia memang sengaja nak buat hati aku semakin terbakar. Kenapa dia tak mahu faham ayat-ayat aku yang sangat mudah tu? Kenapa masih nak menyoal aku dengan soalannya yang tak masuk akal? Hati aku memberontak. Rasa terbakar dan membahang di dalam dadaku ini.

                    ‘’Bukan Som yang cakap berbelit, tapi abang tu yang tak faham bahasa. Som cakap bahasa melayu pun abang tak faham, nasib baik Som ni tak pandai speaking omputih, mandarin atau tamil, kalau tak tentu abang lagi tak faham bahasa mudah Som tu!’’ aku membalas geram dan terus menapak masuk ke dalam bilik. Pintu bilik aku tutup dengan kuat dan menguncinya dari dalam. Sakit sungguh hati aku ni bagaikan lahar gunung berapi yang baru meletus. Nak dilepaskan kesemuanya aku tak mampu, macam biasa aku biarkan semua perasaan aku menjadi pekasam di dalam dada. Peram dan terus peram, entah sampai bila. Aku pun tak pasti sampai bila aku mampu untuk bertahan.

****************
                    AKU perhatikan gelagat wanita yang datang ke rumah kami dan memperkenalkan dirinya sebagai bakal maduku. Orangnya taklah cantik sangat pun. Namun, agak bergaya sedikit penampilannya. Aku tak tahu, apa tujuannya. Memandangkan dia datang tanpa diundang, aku pun tiada keinginan untuk melayannya sepenuh hati. Nak halau, aku tak tergamak. Apa yang mampu aku buat, hanya bertahan saja agar tiada kata-kata kesat yang akan aku lontarkan.


                  ''Macam ni la dik, akak ni datang dengan niat baik, akak bukannya nak merampas suami adik, cuma akak nak menumpang kasih dan nak tengok anak-anak akak ada ayah saja. Kesian anak-anak akak yang membesar tanpa ayah. Rasanya tak salah pun kalau kita berkongsi. Orang dalam facebook selalu kata, sharing is caring. Betul tak?'' aku tersenyum sinis mendengar kata-katanya. Apa? Sharing is caring? Kau ingat ini alam maya ke? Ini dunia realitilah. tak ada maknanya nak sharing, caring bagai. Hati aku memberontak di dalam.


                     ''Puan, keputusan saya muktamad dan saya dah terangkan secara terperinci dengan abang Syuk, kalau dia nak puan juga, teruskanlah, saya takkan membantah pun dengan syarat, kalau dia tetap nak nikah dengan puan juga dia kena buat pilihan. Dan..puan, saya nak tegaskan di sini, kalau puan nak suami saya tu, ambillah untuk puan dan anak-anak. Saya bagi percuma tanpa perlu berkongsi.'' aku berkata tegas tapi dalam nada sindirian. Sakit hatiku tak dapat nak diungkapkan dengan kata-kata. Berani dia datang ke rumah kami dan minta izin untuk berkongsi? Dia ingat aku macam dia ke? Hey! kongsi-kongsi ni tak mainlah. Ingat suami tu apa, nak kena kongsi? Kalau dia rela, aku tak hinginlah!


                      ''Jangan macam tu dik, akak datang dengan niat baik. Adik tak kesian ke dengan anak-anak adik nanti, kalau adik bercerai dengan Syuk? Bukannya payah sangat pun, cuma izinkan saja kami berkahwin. Ok, macam ni kalau adik izinkan akak berkahwin dengan Syuk, nanti akak akan beri duit untuk adik setiap bulan. Adik tak hilang suami, duit pun dapat, takkan adik nak tolak tuah?''


                         ''Ehh Puan, tolonglah faham. Kalau puan nak suami saya tu, puan ambillah terus. Saya tak hinginlah duit puan. Kalau nak bagi saya sebulan sejuta pun saya tak hinginlah!'' api amarahku mula membara. Suaraku berubah nada. Terbang melayang semua kesabaran yang aku pertahankan sebelum ini.

                        ''Sekarang ni akak tak faham ke, adik yang tak faham? Akak...''


                        ''Sudahlah Puan! Berakak, beradik bagai..baliklah puan..kita bukan saudara pun. Tak payah nak beradik dan berkakak di sini..'' aku semakin bengang dengan wanita yang sedang merenung aku dengan pandangan yang sukar aku mengertikan.



                      ''Puan nak suami saya tu, ambillah terus. Peluklah dia sampai puan mati. Saya sedekahkan dia untuk puan dan anak-anak puan. Full stop! Cukup sampai di sini, saya tak nak bincang apa-apa lagi!'' aku menyambung kata dan menudingkan jariku ke arah pintu yang sedang terbuka luas. kalau dia tak faham bahasa juga, perlukah aku menghalau dia cara terhormat?

******************


                   AKU bercerai dengan Syukran dengan talak tiga. Malam sebelum kami bercerai kami bergaduh dan Syukran lepaskan talak dalam keadaan marah bila aku menyebut kekurangan dirinya sebagai seorang suami. Salah dia, kerana dia yang mulakan dulu menghina kekurangan aku.

                Malam itu aku menghalau Syukran keluar dan membuang semua pakaiannya. Rumah ini atas nama aku dihadiahkan oleh ayahku ketika kami baru berkahwin. Segala perabot dan isi rumah ini aku yang beli. Nak harapkan Syukran dia hanya tahu makan dan tidur saja. Gajinya tak seberapa pun dan dia memang tak mampu untuk menanggung seluruh isi rumah apatah lagi untuk beristeri dua.

               Selama kami menjadi pasangan suami dan isteri aku yang banyak bersabar dengan kerenahnya. Apa saja yang aku buat Syukran tak pernah menyokong, ada saja yang salah di matanya namun bila dia tiada duit, akulah tempat dia meminta. Kasih sayangnya hanya ada bila dia memerlukan aku. Bila dapat apa yang dia nak, aku ini bagaikan tunggul mati di matanya.

              Puas sudah aku memendam rasa namun malam pergaduhan kami aku lepaskan semuanya tanpa rasa was-was..

              ‘’Selama ni Som bersabar dengan abang. Som diamkan semuanya walaupun Som tak puas hati. Abang buat Som ni macam tunggul. Abang sentuh Som pun bila abang nak, bila dapat apa yang abang hajat, Som ni abang tinggalkan terkebil-kebil macam cicak telan kapur. Abang puaskan nafsu abang sedangkan Som selalu memendam perasaan sakit hati. Abang rasa abang dah buat yang terbaik sebabnya Som tak pernah merungut. Semuanya Som telan dan pendam. Abang ingat abang dah bahagiakan Som? Tak! Tak pernah! Som selalu menangis dalam bilik air sampai bengkak mata. Som selalu menangis atas tikar sejadah..Som menangis setiap malam, tapi abang tidur nyenyak tanpa pedulikan perasaan Som.’’


                  ‘’Ada saya suruh awak pendam semua tu?’’


                  ‘’Huh! Kata-kata Som ni macam mencurah air ke daun keladi, lansung tak ada kesan dalam hati abang. Dah banyak kali Som luahkan semuanya yang Som rasa..tapi setiap kali Som luah abang akan salahkan Som semula. Kalau Som bercerita abang tak pernah sokong Som. Salah Som saja yang abang nampak. Semuanya Som yang salah. Pernah abang minta maaf selama kita kahwin? Tak pernah! Sebab abang dah rasa abang dah sempurna sebagai seorang suami sedangkan hakikatnya abang nak kahwin dua ni pun sepatutnya abang tak layak pun. Selama ini Som yang tanggung keluarga kita. Kereta abang tu Som yang beli. Rumah ni pun abah yang bagi. Abang? Apa yang abang dah bagi pada kami? Hanya penderitaan.’’


                    ‘’Habis..anak-anak kita yang tiga orang tu awak buat sorang-sorang ke? Tanpa kerjasama saya tak menjadi la..’’

                     ‘’Itu saja yang awak pandai pun. Lepas puaskan nafsu awak..pernah awak tanya perasaan saya? Pernah awak tanya saya puas ke tak? Tanggungjawab awak sebagai suami banyak yang barai. Nafkah zahir dan batin pun awak abaikan tapi ada hati nak tambah lagi? Huh..tak sedar diri tak mampu..ada hati nak tambah bini..’’

                ‘’Awak nak bagitau selama ni awak tak puaslah. Nafsu anjing..awak punya pun dah longar tau tak?’’

                ‘’Elehhh..kurangnya Som, abang nampak..abang punya kecil dan kontot abang tak perasan pulak..’’

            Kami bergaduh besar malam tu hingga menghina kekurangan satu sama lain dan akhirnya…

                ‘’Ok..kalau macam tu Umi Kalsom binti Ismail aku ceraikan kau dengan talak tiga! Puas hati kau?  Kecil? Kontot? Huh…’’


                  ‘’Tunggu di sini..’’ hati aku membara bila selesai dia melafazkan talak. Aku terus masuk ke dalam bilik dan keluarkan beg paling besar dari dalam almari dan masukkan semua baju Syukran. Aku tak ingin lagi berkongsi rumah dengannya.


                    ‘’Keluar daripada rumah ni sekarang juga! Pergilah cari janda kesayangan awak tu. Saya dah malas nak tengok mula awak lagi. Saya benci dan tak hingin tengok muka awak lagi!’’ tegas sekali aku berkata sambil mencampakkan beg di depan Syukran.

                    ‘’Hey..apa ni? Ini rumah saya jugak tau.’’

                      ‘’Jangan nak perasan. Sesen pun awak tak keluar. Rumah ni abah saya yang beli dan rumah ni atas nama saya yang diwariskan untuk anak-anak kalau saya mati. Nama awak lansung tak ada.’’ Tegas dan penuh amarah nada suaraku. Huh! Syukran kata rumah dia? Dalam mimpi pun belum tentu rumah ni akan jadi milik dia.


                ‘’Kau jaga Som..kita jumpa di mahkamah syariah, aku akan tuntut harta sepencarian..’’

              ‘’Hahaha..harta sepencarian. Kau gila? Mulut kau pun aku suap tau. Tu perut kau yang boroi tu makan hasil duit titik peluh aku tau. Duit kau..beli minyak kereta pun tak cukup!’’ aku terus melepaskan perasaan amarahku. Tiada lagi rasa hormat padanya. Ahh..aku bukan isterinya lagi. Untuk apa aku hormat padanya?

              ‘’Kurang ajar!’’ kuat dia membentak, aku pula beliakkan mata tanpa perasaan takut. Kalau dia nak tunjuk jaguh, aku pun apa kurangnya..boleh juga tunjuk sikap samseng aku. Bukan selalu pun nak praktik. Ingat aku takut?

              ‘’Apa? Kau nak pukul aku ke? Kau ingat aku nak biar tangan kau naik ke muka aku? Ini Umi Kalsom anak Haji Ismail la..kami ni keturunan pahlawan melayu Melaka, nak cuba rasa pukulan Hang Pahlawan..marilah try test tengok..’’ aku terus mencabar Syukran yang sudah melipat lengan bajunya dan sedang mara ke arahku. Aku pula sudah mula bersedia dengan sebarang kemungkinan.

              ‘’Aku nak ambil beg la..’’ perlahan saja suara Syukran. Sudah ghaib ke mana sifatnya jantannya tadi?

                ‘’Tau pun takut..’’ perlahan juga suaraku sambil menahan ketawa.

                ‘’Siapa yang takut?’’ Syukran kembali bersuara. Senyum yang ingin aku ukir hilang begitu saja. Aku bersedia sekali lagi..andai Syukran akan menyerang.

                  ‘’Tikus mondok..’’ aku jawab selamba. Syukran mendengus kasar dan menuju ke pintu dengan langkah yang laju. Dia mencapai kunci kereta yang tersangkut tepi dinding di sebalik pintu.

                   ‘’Hoi..kereta kau tu nama aku. Jangan gatal nak ambil..aku report polis kau curi kereta aku nanti..tak pasal-pasal merengkok pula dalam lokap.’’ Aku ugut Syukran dan dia membaling kunci kereta itu sambil keluar dan menghempas pintu. Aku tersenyum puas hati. Itulah padahnya..orang beri kesenangan tapi tak setia. Ada hati nak kahwin dengan janda anak lima, padahal anak-anak kandung sendiri yang tiga orang pun tak terbela.

                 Malam itu juga aku buat panggilan pada bank dan bekukan semua akaun bank yang aku buka untuk Syukran. Padam muka dia..siapa suruh bermain dengan api..biar terbakar hangus seorang diri.

********************


                 LIMA bulan sudah berlalu selepas aku diceraikan oleh Syukran  dan dia juga sudah berkahwin dengan janda pilihan hatinya. Melalui berita yang aku dengar semua belanja kahwin ditanggung oleh janda itu. Dia janda kaya kematian suami. Hartanya pun peninggalan suaminya seorang bisnesman. Kini janda anak lima itu meneruskan bisnes suaminya menjual jamu perapat. Patutlah masih bergetah lagi walaupun sudah bergelar janda. Patutlah Syukran pun berkenan.

                Pernah tanpa sengaja aku terjumpa video janda itu dalam laman utama yang dikongsi oleh sebuah page yang telah aku like. Allahu Akhbar..aku sendiri tak sanggup nak tengok video tu sampai habis. Dia buat video live tapi bukan jual jamu, nampak macam dia jual tubuh sendiri. Sebagai seorang wanita yang beragama Islam aku malu melihat videonya. Apa kata non muslim agaknya melihat wanita yang mengaku Islam, nama melayu yang buat video live macam tu?

             Sebak bila mengenangkan nama Islam telah dikotorkan oleh orang Islam sendiri. Islam hanya dalam surat beranak dan kad pengenalan diri tapi hakikatnya dalam diri sendiri lansung tak ada identiti sebagai orang Islam. Selak menyelak perkara biasa bagi mereka. Menayang aset peribadi tanpa rasa malu. Gebu? Bangga sangat ke ada payudara yang gebu dan montok? Seronok ke bila dipuji orang?

              Neraka tak pernah menolak yang berkulit gebu. Neraka tak pernah menolak yang cantik. Gebu dan cantik tak laku di akhirat nanti. Yang dipilih hanyalah amalan yang dilakukan atas dunia ini.

             ‘’Mama..cuti sem nanti kita pergi bercuti di Langkawi nak tak? Ain teringin la nak pergi Langkawi. Banyak tempat menarik di Langkawi yang Ain teringin nak pergi.’’ Putri Quratul Aini anak sulungku bersuara. Hilang semua lamunanku yang muncul sebentar tadi.

              ‘’Angah cuti tak? Kak long Call angah tanya dia..call adik sekali, kalau semuanya cuti..mama pun teringin nak pergi bercuti. Asyik layan kerja saja letih jugak.’’ Aku membalas soalan anak sulungku dengan soalan juga. Anak sulungku masih belajar Di Universiti Islam Antarabangsa. Anak keduaku Saiful Adli sedang belajar di Kolej Kulinari dan yang bongsu Putri Quratul Adellina tinggal di asrama penuh dan akan mengambil peperiksaan SPM tahun ini.


                 ‘’Mestilah cuti mama, sebab tu la Ain tanya. Mama nak pergi ke? Bestnya mama..nanti mama belanja Ain coklat berperisa oren tu ya. Ain tengah mengidam ni..stress nak exam, kalau boleh nak beli banyak-banyak buat stok.’’ Aku tersenyum mendengar permintaan anak sulungku. Ain atau Kak Long memang suka makan coklat, kadang-kadang dia paksa aku buat coklat homemade. Aku pun suka melayan dan buat coklat bermacam perisa. Semuanya aku gunakan bahan-bahan tulen tanpa pengawet.

              ‘’Yalah..nanti mama belanja, kita beli kilang coklat tu sekali. Atuk jual tanah kebun dia dan masukkan lima puluh ribu dalam akaun bank mama..bolehlah kita cuti lama sikit di Langkawi nanti. Kak long nak apa lagi? Bagitau saja..nanti mama belikan.’’ Aku berkata mesra. Kebetulan aku baru saja mendapat duit hasil jualan tanah pusaka keluarga abah aku. Aku anak tunggal dan setelah dibahagikan bahagian aku cukup lumayan untuk menyara kami empat beranak.

                   ‘’Lima puluh ribu mama? Wow! Bertuahnya Ain jadi anak mama. Kalau mama nak beli kilang coklat tu Ain lagi suka. Tapi mama gurau sajakan?’’ Ain membalas sambil ketawa. Aku pun turut ketawa sama, rasanya lima puluh ribu tak cukup kot untuk beli sebuah kilang.

                 ‘’Cukup ke lima puluh ribu untuk beli sebuah kilang coklat?’’ aku tanya Ain dalam nada bersahaja. Ain memegang dagu dan mengeleng.

                 ‘’Tapi…cukup, kalau nak belanja Ain dan adik-adik bershoping di Langkawi nanti.’’ Selamba saja Ain bersuara dan menerpa ke arahku.

                  ‘’Sayang mama..rugikan papa sebab buang mama yang baik dan kaya raya ni?’’ Ain terus berkata sambil memeluk aku.

              ‘’Biarlah dia rugi..asalkan kita bahagia dengan hidup kita tanpa dia. Ain rindu papa ke?’’ aku tanya Ain untuk mendengar suara hatinya.

        
              ‘’Rindu tapi tak rindu..’’

              ‘’Macam mana tu?’’

              ‘’Mama tahukan, Ain rapat dengan papa..tapi selepas berkahwin baru ni papa langsung tak tanya khabar Ain dan adik-adik. Agaknya papa dah bahagia sangat kot dengan keluarga baru dia?’’ Ain bersuara sayu. Aku faham sangat maksud Ain. Aku dulu selalu kecil hati dengan Syukran kerana dia selalu manjakan anak-anak. Dia selalu memihak anak-anak bila aku berleter dan menegur kesalahan mereka.


               Ketika aku mengandung dia akan marah aku kalau buat kerja lasak dengan alasan dia tak nak kehilangan anak yang aku kandung padahal sebagai ibu sifat kasih sayang tu lebih mendalam ada dalam diriku. Dia selalu kutuk aku dan puji anak-anak walaupun anak-anak buat salah. Ketiga-tiga orang anak kami memang lebih rapat dengan dia berbanding dengan aku tapi apakan daya selepas kahwin baru dia seolah-olah melupakan mereka semua..anak-anaknya yang selalu dimanjakan.

************
               

               ‘’PEREMPUAN..aku nak tuntut harta sepencarian kau dan abang Syukran. Kau dapat duit pusakakan, lima puluh ribu..sepatutnya kau kena bahagikan dengan abang Syukran sebab dia bekas suami kau dan aku sebagai isterinya pun ada hak atas duit tu.’’ Aku didatangi isteri Syukran selepas kami balik dari Langkawi. Semuanya sebab Adelina terlepas cerita pada Syukran pasal duit pusaka yang aku dapat.


                 ‘’Aku ingat kau ni gila dan kemaruk dengan laki orang saja..rupa-rupanya kau ni bodoh jugakkan? Bodoh tak boleh diajar pulak tu. Harta sepencarian kepala hotak nenek kau! Itu duit pusaka tanah nenek aku la hantu gondol..’’ tanpa berfikir panjang aku keluarkan kata-kata itu. Ketika ini aku sudah malas untuk berbahasa, apa yang ada dalam minda aku luahkan semuanya.

               ‘’Hantu gondol? Hei..kau ingat kau tu ratu ka? Sedap saja mengata orang hantu gondol.’’

               ‘’Oh..maaf, aku salah sebut. Bukan hantu gondol tapi babi menyondol. Laki orang pun kemaruk. Huh!’’ aku sengaja membakar hatinya. Puas, sebab dapat meluahkan semuanya.

                   ‘’What the f***..’’ dia terus memaki aku dalam bahasa inggeris. Aku menyeringai dan mencebik.


                 ‘’Kenapa? Kau nak sondol aku pulak ke? Nak jadi gila babi pulak?’’ semakin dia marah semakin rancak aku memberinya gelaran. Wajahnya sudah berubah dan….dia menyerang aku yang sedang bersedia untuk menangkis.

                  ‘’%$^&*^#@@#$%^^&*((()_..’’ sambil menyerang dia memaki aku sampai benda dalam kain dia pun disebutnya. Aku takkan mengalah begitu saja..dia tarik tudung aku, aku juga berbuat perkara yang sama. Dia tampar aku, aku tampar dia semula. Dia tendang aku, aku kasi flying kick sampai dia jatuh terlentang. Aku tak kasi dia peluang lansung untuk menang. Kalau dia boleh, aku pun boleh.
             

                    ‘’%^^^^&*(*&^%$##@$%%..’’ dia hina aku pula dan mengutuk fizikal aku. Sambil mulut bersuara dia tarik rambut aku yang sudah terdedah. Aku tarik rambut dia sekuat hati dan cuba menewaskannya.

             ‘’Aaaaaaa..’’ akhirnya dia menjerit sekuat hati bila segengam rambutnya kini berada dalam gengamanku. Dia melutut jatuh dan meraung. Kepalanya botak separuh. Aku tersenyum sinis memerhatikan dia yang kini sedang melutut di hadapanku.

            ‘’Ehh..aku ni keturunan pahlawan melayu Melaka tau. Abang Syukran tak bagitau kau ke perempuan?’’ aku berkata bangga dan ketawa. Tiba-tiba terasa lucu memerhatikan seteru aku yang dikalahkan dengan mudah.

            ‘’Tak guna..kau tunggu surat saman daripada aku..’’ sambil bersuara dia bangun dan berlalu pergi dalam keadaan dirinya yang kusut masai.

            ‘’Gila! Harta sepencarian? Mengarut!’’ aku berdialog seorang diri dan ketawaku meletus tanpa sedar.

******************


                      JANDA tu selalu kotakan apa yang dia kata, lebih-lebih lagi Syukran memihak padanya untuk mendapatkan duit lima puluh ribu yang aku dapat, namun mereka tak cukup fakta untuk menyerang aku. Semua fakta memihak padaku. Yang mereka hilang hanya segumpal rambut. Polis pun tak mahu melayan aduan mereka apatah lagi pihak mahkamah. Tak ada peguam yang nak ambil kes mereka kerana mereka tahu mereka takkan menang. Duit tu hak aku, bukan harta sepencarian.

              ‘’Kesian papa, kan mama..lepas kahwin dengan ibu Emelynn tu hidup papa macam tak terurus..baru-baru ni video live ibu Emylnn viral lagi mama. Lina tengok pun tak sanggup nak mengaku dia tu ibu tiri Lina.’’ Aku senyum sinis mendengar aduan Adelina. Emelynn konon padahal dalam surat beranak nama lain. Sopiah binti Awang, dan kenalan rapatnya memanggilnya Peah. Aku tahu pun sebab aku pernah terbaca komen-komen dalam facebook.

                ‘’Itu pilihan dia..biarlah, papa tu bukannya budak-budak kecil lagi.’’ Aku cuba memujuk Adelina, sedangkan kalau boleh nama Syukran pun aku tak mahu dengar namun aku tak boleh nafikan hak anak-anak yang masih rindukan ayah kandung mereka.

             ‘’Kalau papa menyesal dan nak rujuk dengan mama semula..mama mahu tak?’’ soalan yang tak pernah aku duga akan keluar dari mulut anak bongsu aku.

                 ‘’Mama dah tak ada hati dengan papa..’’ ringkas dan padat jawapan yang aku berikan.

                 ‘’Tapi..Lina nak papa semula macam dulu.’’

                    ‘’Dia masih papa Lina macam dulu..tapi jangan paksa mama untuk terima dia sebagai suami mama macam dulu. Tolong faham perasaan mama. Hati mama dah tak sama macam dulu dan mama tak boleh paksa hati mama untuk terima papa semula.’’

             ‘’Alaa..mama..’’ Adelina merengek dan hatiku tersiat luka. Takkan mereka tak mengerti hati aku yang parah terluka ini? Kenapa masih nak pentingkan diri sendiri? Hati aku macam mana? Perlukah aku korbankan perasaan aku demi anak-anak?

         ‘’Mama memang macam ni, tak pernah sayang kami.’’ Adelina berkata dan melangkah pergi. Aku pegang dada yang terada pedih. Berdesup kata-kata Adelina lantas merobek hatiku. Lama aku berjeda sebelum air mataku perlahan-lahan gugur ke pipi.

***************

          
                  ‘’KITA rujuk semula demi anak-anak. Mereka masih perlukan abang dalam hidup mereka.’’ Kata-kata Syukran membuatkan aku tergelak sendiri.

                 ‘’Demi anak-anak? Masa awak gila dengan janda tu dulu, ada awak terfikir pasal anak-anak?’’ aku bidas kembali kata-kata Syukran dan merenung tajam ke arahnya.

                ‘’Lagi pun..saya tak perlukan awak lagi. Saya bahagia tanpa awak.’’ Aku sambung ayat-ayatku meluahkan suara hati.

                 ‘’Jangan pentingkan diri sendiri. Anak-anak masih perlukan kita, awak cuma fikir diri awak sajakan, Som?’’

                 ‘’Saya pentingkan diri sendiri?’’ aku menyoal dia kembali. Semua orang cakap aku pentingkan diri sendiri, sedangkan selama ini aku telah korbankan hati dan perasaan aku demi kebahagiaan mereka. Sampai bila aku nak jaga hati mereka sedangkan hati aku sendiri bagai dilapah.


                   ‘’Sudahlah Som..jangan dera perasaan anak-anak lagi. Kita rujuk semula..’’

                    ‘’Mudah sungguhkan awak bercakap? Rujuk semula? Awak lupa, kita ni bercerai talak tiga? Awak nak suruh siapa pula jadi cina buta?’’ aku ingatkan Syukran tentang hakikat hubungan kami. Baru dia tahu langit tu tinggi atau rendah, masa dia lafazkan talak dulu mungkin dia tak pernah terfikir bahawa roda itu sentiasa berputar.


                  ‘’Jangan bimbang hal tu..abang ada seorang kawan yang sanggup nak jadi cina buta.’’ Melopong aku mendengar kata-kata Syukran. Gila! Aku terus mengutuk dia dalam hati.

                   ‘’Jangan mengarut! Perkara yang lepas tu biarkan lepas..Som takkan rujuk semula walaupun ada seribu orang yang sanggup jadi cina buta.’’ Aku memutuskan kata muktamad. Nak suruh aku kahwin dengan lelaki yang aku tak kenal? Nak nikah dengan pak sanggup? Dia ingat aku ni patung agaknya?


                  ‘’Demi anak-anak Som!’’

                     ‘’Okey..kalau macam tu suruh pak sanggup tu sediakan mas kahwin sejuta, lepas tu awak Encik Syukran Bin Shuib, sila sediakan hantaran dua juta ringgit Malaysia serba satu. Kalau awak sanggup saya on saja.’’ Aku beri syarat baru sekadar melepaskan diri sendiri kerana aku yakin dia takkan sanggup dan tak mampu untuk sediakan permintaan aku.

                         ‘’Abang setuju..nanti abang call awak untuk tetapkan tarikh..’’ sekali lagi aku melopong. Syukran memang betul-betul sudah sakit mental!

*****************


                  SAH..aku bergelar isteri kepada seorang lelaki yang tak pernah aku kenal sebelum ini. Orangnya agak smart juga. Umur mungkin lebih tua sikit daripada umurku. Aku setuju untuk jadi isterinya bukan sebab aku ingin rujuk semula dengan Syukran, cuma aku nak tengok sejauh mana mereka berusaha untuk tunaikan permintaan aku.

            ‘’Awak..kenapa awak sanggup jadi pak sanggup untuk kahwin dengan saya?’’ soalan pertama yang aku tanya selepas kami sah bergelar suami dan isteri.

              ‘’Boleh saya bahasakan diri saya abang?’’ dia menyoal aku sebelum menjawab soalan aku. Aku anggukkan kepala dengan segera kerana aku tak sabar untuk tahu jawapannya.

               ‘’Sebab yang pertama..abang mampu tunaikan permintaan awak sediakan sejuta mas kahwin. Masa Syukran bagitau abang, dia tak sebut pun sejuta ringgit Malaysia atau sejuta dollar jadi abang setuju saja sebab abang yakin sejuta rupiah pun boleh juga..’’ sambil tersenyum dia memberikan jawapannya. Aku terdiam tanpa kata..patutlah masa akad nikah tadi aku dengar tok iman kata sejuta rupiah..ingatkan aku salah dengar.


                  ‘’Habis tu, lepas ni memang awak akan ceraikan saya ke?’’ soalan kedua dan aku harap dia akan jawab dengan jujur.

                  ‘’Bab tu abang nak dengar pendapat awak. Boleh ke abang ceraikan awak?’’ aku mengeleng. Aku takkan rujuk semula dengan Syukran walaupun aku akan diceraikan.

                 ‘’Saya takkan rujuk semula dengan Syukran walaupun awak ceraikan saya. Tak kisahlah kalau Syukran nak lapah saya atau nak kerat 20 sekali pun.’’ Aku berkata yakin dan lelaki yang baru saja menjadi suami aku mengukirkan senyuman. Allahu Akhbar, indahnya ciptaanMu Ya Allah..sungguh sempurna ciptaanMu yang sedang berdiri di hadapanku ini. Dia lelaki yang mempunyai gigi yang tersusun cantik dan bila dia tersenyum, aku seakan ingin tersenyum bersamanya.

             ‘’Kalau macam tu abang takkan ceraikan awak dan akan belajar untuk menyayangi awak sebagai isteri abang setulus hati. Boleh abang panggil awak Umi?’’

               ‘’Umi?’’ kali pertama aku mendengar permintaan ini. Tak pernah lagi ada orang memanggil aku Umi terutamanya seorang lelaki.


                     ‘’Ya Umi..abang takkan lepaskan awak selagi nyawa abang dikandung badan.’’ Tiba-tiba terasa jiwaku melayang di udara. Benarkah ini? Dia akan kekalkan aku sebagai isterinya. Tentu Syukran akan mengamuk?

                   ‘’Okey..tapi beri saya masa untuk bersedia menjadi isteri awak. Saya tak nak buat keputusan terburu-buru. Saya nak kenal diri awak dan keluarga awak dulu.’’ Aku suarakan apa yang minda aku fikir. Dia mengangguk tanda setuju.

**************
       

                   Benar sekali dugaanku, Syukran mengamuk dan suruh suami baruku Fitri ceraikan aku dengan segera. Tapi Fitri nekad dengan janjinya terhadapku.

                ‘’Maaf Syuk..sekali aku lafazkan akad, aku takkan lepaskan dengan begitu mudah. Lagi pun dalam perjanjian kita, aku hanya cakap sanggup untuk nikah dengan Umi tapi aku tak pernah cakap aku akan ceraikan dia. Kau salah orang sebab suruh aku yang jadi pak sanggup..’’ tegas nada suara Fitri. Dalam diam aku mula kagum dengannya.

                  ‘’Aku nak kau suruh dia ceraikan kau Som, sekarang jugak!’’ Syukran menuju pula ke arahku. Fitri mengikut Syukran dan berdiri di sebelahku.

                  ‘’Maaflah Syukran, aku dah sayang dia dan kami dah bersama pun, dan dia cukup gentlement dan romantik. Rugi la kalau lepaskan dia..bukan senang nak dapat suami yang berkualiti macam ni..’’ aku sengaja membakar hati Syukran dan merangkul lengan Fitri. Sempat aku mengerling Fitri dan menangkap senyumannya.

                  ‘’Hei betina..’’

                    ‘’Dia isteri aku sekarang Syukran..jangan kau berani nak tangankan dia!’’ lantang sekali suara Fitri bila Syukran mengangkat tangannya. Sambil itu Fitri menarik aku supaya berada di belakangnya. Terasa diri aku selamat dan dilindungi, satu perasaan yang tak pernah aku rasa ketika menjadi isteri Syukran.


                 ‘’Mama..papa..apa semua ni?’’ Aini dan adik-adiknya muncul entah dari mana. Aku menerpa ke arah mereka. Kalau boleh aku ingin pujuk mereka agar terima Fitri sebagai papa baru mereka. Aku tak mahu rujuk semula dengan Syukran. Aku tak sanggup.

               ‘’Kak Long, angah, adik tolong jangan paksa mama, okey. Mama tak nak rujuk semula dengan papa. Izinkan mama bahagia..’’

              ‘’Rujuk apa lagi ni mama..bukan ke mama dah kahwin dengan pak cik Fitri?’’

              ‘’Ya..tapi papa suruh mama..’’

                ‘’Umi..awak jangan risau..abang takkan dengar cakap Syukran. Abang dah janji dengan awak takkan lepaskan awak..percayalah.’’ Fitri datang dan mengusap bahuku. Ketiga-tiga orang anakku mempamerkan wajah keliru.

                 ‘’Mama..maafkan Lina sebab suruh mama rujuk semula dengan papa..sebenarnya Lina baru tahu kenapa papa nak rujuk semula dengan mama..papa dah berpakat dengan ibu Emylnn untuk bolot harta mama..dan..’’

                  ‘’Lina!!!’’ kali pertama aku mendengar Syukran meninggikan suara pada anak-anaknya. Semuanya terdiam melihat Syukran meluru laju ke arah kami. Aku bersiap siaga andai Syukran ingin memukul anak-anakku.

                   ‘’Jangan kau sentuh anak-anak aku!’’ aku bersuara garang namun Fitri mengambil tempatku dan melindungi kami empat beranak.

                ‘’Sudah Syukran! Sekarang ni tugas aku untuk melindungi mereka. Kau pulanglah ke rumah dan jaga keluarga kau. Awasi Peah tu, jangan sampai kau pun turut sama dilemparkan dalam neraka kerana dia.’’ Ayat Fitri memang makan dalam. Syukran berhenti serta merta dan berjeda lama.

              ‘’Pulanglah..dan berubahlah Syukran. Jadilah ketua keluarga yang dapat membimbing isteri dan anak-anak hingga ke Jannah. Mereka perlukan bimbingan kau melebihi segalanya. Peah tu dah jauh sangat tersasar dari landasan Islam.’’ Sekali lagi aku rasa kagum dengan Fitri. Ya Allah, siapa dia yang kau hantar untuk aku kali ini?

               ‘’Aku menyesal Fitri..melepaskan batu permata dan mengutip kaca di jalanan..’’ akhirnya Syukran bersuara lemah. Aku terkesima mendengar kata-katanya. Benarkah dia sedang menyesal ataupun sekadar untuk melembutkan hati kami.

               ‘’Masih belum terlambat untuk berubah Syuk..jodoh kau Allah dah tentukan dan sekarang jodoh aku memang sudah tertulis di sini. Izinkan aku bahagia bersama Umi dan anak-anak. Izinkan aku jaga mereka hingga akhir nyawa aku Syuk.’’ Jujurnya aku sebak mendengar kata-kata Fitri. Air mataku mula bergenang, menanti masa untuk gugur ke pipi. Terasa lenganku kiri dan kanan ditaut erat oleh Aini dan Adelina.

              ‘’Pulanglah Syuk..aku janji akan jaga mereka macam aku jaga nyawa aku sendiri. In Sya Allah..’’ air mataku sudah mula berguguran. Sebak, tak tertahan mendengarnya. Hanya Allah yang tahu betapa terharunya aku. Akhirnya ada insan yang sudi mengeluarkan kata-kata itu terhadap aku dan anak-anakku. Terima kasih Allah.

**************
Setahun kemudian

                   Hari ini kami bercuti di Langkawi dan aku sangat bahagia kerana dapat menunaikan impian aku untuk membuka butik di pulau lagenda ini. Butik ini adalah butik ke-5 dan akan diuruskan oleh Aini anak sulungku. Aini ingin membuka butik untuk pengantin muslimah. Kebetulan anak sulungku ini memang sudah bercita-cita untuk menjadi seorang pereka pakaian untuk wanita-wanita muslimah, tak terkecuali pereka baju-baju melayu trend terkini.

                ‘’Umi..baby lapar ni..daripada tadi lagi asyik merengek..’’ Fitri datang ke tepi pantai bersama bayi kami yang baru berusia dua bulan. Rezeki kami walaupun aku sudah berumur tapi aku masih lagi mampu untuk melahirkan anak untuk Fitri.

               ‘’Mengantuk agaknya tu, tadi Umi dah bagi makan.’’ Sambil berkata aku meyambut Mohd Fikri Adli dan mencium pipinya kiri dan kanan.

              ‘’Abang nak jugak.’’ Fitri meminta sesuatu yang mencurigakan.

              ‘’Nak apa?’’ aku pura-pura bertanya.

           ‘’Kiss..’’

           ‘’Hiesy..tua-tua pun nak mengatal lagi.’’

           ‘’Kalau tak gatal, mana mungkin wujudnya si kecil ni, kan?’’

            ‘’Ya la tu..’’ aku malas nak melayan Fitri. Tua-tua dia pun, permintaan dia bukan alang-alang, semua produk kesihatan kalau boleh dia nak suruh aku telan, katanya Fikri Adli seorang mana cukup, mesti tambah anak lagi.

             ‘’Umi..abang nak jugak..mana aci Adli sorang ja yang dapat kiss, abang cemburu tau.’’

             ‘’Jangan nak mengada-ngada sangat eaa..malu la..dah tua-tua ni..’’

              ‘’Malu apa? Dah setahun pun kita kahwin..’’

               ‘’Cuba tengok laut tu..abang nampak tak ada orang tengah berenang dalam laut tu?’’

                  ‘’Nampak. Kenapa?’’

                   ‘’Tak pasal-pasal Umi campak abang dalam laut tu dan berenang sama dengan mereka..’’

            ‘’Tak apalah..Umi campak abang dalam laut..abang campak Umi dalam hati abang..cia, cia, cia..’’

            ‘’Hahahaha..nasib baiklah yang dicampak dalam hati abang tu Umi, kalau perempuan lain yang abang campak dalam hati abang tu..maunya Umi campak abang dalam lahar gunung berapi pulak.’’

                ‘’Don’t worry sayang..cinta abang sentiasa berapi untuk isteri abang ni..nak tengok tak..nanti abang tolong belahkan.’’

              ‘’Seram dengar ayat-ayat abang..ayat-ayat Mat Romeo semuanya.’’

              ‘’Romeo abang, hanya untuk Juliet di depan abang ni saja.’’

             Allah..tolong selamatkan aku agar tidak lemas dan karam dalam lautan cinta si Romeo ini. Ayat-ayat yang diungkapkannya sentiasa membuatkan aku jatuh cinta berkali-kali. Sungguh, aku mabuk dalam  cintanya.

*************TAMAT*************


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.