Ahad, 27 Oktober 2019

Depression


               Dahlia seorang suri rumah sepenuh masa selepas dia menamatkan zaman bujangnya. Dia ingin menjadi seorang isteri yang setia dan hanya berbakti untuk suami dan anak-anaknya. Awal perkahwinan mereka suaminya hanya bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang. Gaji suaminya hanya sekadar cukup makan saja namun mereka tetap hidup bahagia kerana keluarga mertuanya sering membantu ketika mereka dalam kesusahan.

                     Masalah mula timbul bila ibu dan ayah Dahlia bercerai dan masing-masing berkahwin lain. Mereka berdua pentingkan diri sendiri. Dahlia hidup susah mereka tak pernah ambil peduli tapi bila mereka dalam kesempitan Dahlialah yang mereka cari.

                  ‘’Lia ada duit tak? Mak nak pinjam seratus, nanti ada duit mak bayarlah balik.’’ Ibu Dahlia meminta duit lagi. Dahlia keliru dengan kerenah ibu dan ayahnya. Bukannya mereka tak tahu hidup Dahlia macam mana, tapi mereka tak pernah fikir apa yang Dahlia tanggung. Mereka hanya nampak hidup Dahlia penuh kesenangan.

                   ‘’Lia mana kerja mak, gaji abang cuma tujuh ratus saja sebulan. Kadang-kadang abang cuma bagi Lia lima puluh ringgit saja.’’ Dahlia berkata sejujurnya.

                  ‘’Kenapa jadi orang bodoh sangat, dia bagi Lia lima puluh, Lia ambillah sendiri dalam dompet dia tu. Ingat Lia, harta suami harta isteri juga.’’ Mak Limah mengajar Dahlia yang sedang kebingungan. Terkedu Dahlia mendengar cadangan ibunya. Selama ini dia belum pernah menjadi pencuri, kerana perlukan duit, ibunya sendiri yang mengajar dia menjadi pencuri.

                   ‘’Lia tak beranilah mak. Lia tak pernah buat kerja tu. Apa yang abang beri, itu saja yang Lia ambil.’’

                     ‘’Jangan lurus bendul sangat Lia..kalau Lia tak ambil siapa lagi nak ambil.’’

                  ‘’Mak pula, kenapa tak ambil duit suami mak saja, kenapa datang minta dengan Lia?’’ Dahlia menyoal ibunya kembali. Terbuntang mata Mak Limah memandang ke arah Dahlia.

                 ‘’Kalau suami mak tu berduit, mak tak datang minta dengan kaulah Lia.’’ Garang suara Mak Limah. Terasa hati dengan kata-kata Dahlia sebentar tadi.

                  ‘’Abang tu pun bukannya berduit sangat mak, tujuh ratus ringgit tu sekelip mata saja habis mak. Barang semua dah naik harga. Hanis tu pun perlukan duit untuk persekolahan dia mak.’’ Dahlia berkata sayu. Antara suami dan ibunya Dahlia akan memilih suami kerana syurganya sekarang terletak di bawah tapak kaki suami. Ibunya juga ada suami sepatutnya ibunya tak perlu menganggu kehidupan mereka yang hanya kais pagi makan pagi, kais petang belum tentu dapat makan.

                 ‘’Huh..kedekut, dengan mak pun kau berkirakan. Bagi sajalah berapa yang kau ada.’’ Mak Limah masih belum berputus asa. Dia tetap mahukan duit untuk keperluannya.

                     ‘’Lia tak ada duit mak, abang belum dapat gaji lagi, sekarangkan tengah bulan mak.’’ sayu nada suara Dahlia. Mak Limah mendengus kuat. Ada saja alasannya. Mak Limah mengutuk Dahlia di dalam hati.

    ******************   

                      Dahlia bermenung lagi, hidupnya tak pernah habis dengan masalah. Dia kesunyian seorang diri. Dia tak ada kawan baik untuk berkongsi masalah. Adik beradik Dahlia masing-masing buat hal sendiri. Ibu dan ayah Dahlia selalu bawa masalah mereka dan datang jumpa Dahlia. Dia anak bongsu daripada lima adik beradik. Dahlia seorang yang pendiam dan tak banyak kerenah namun kerana dia juga selalu mengikut kata ibu dan ayahnya Dahlia selalu dijadikan tempat rujukan masalah kewangan mereka. Dahlia buntu kerana dia juga tidak bekerja.

                     Suaminya Rahmat juga bukan seorang pendengar yang baik. Rahmat selalu menghabiskan masanya dengan kawan-kawan dan keluarganya. Keluarga mertua Dahlia baik tapi Dahlia tetap rasa terasing kerana antara ipar dan duainya ada juga yang  cemburukan Dahlia kerana Dahlia adalah menantu kesayangan kedua-dua mertuanya. Dahlia bingung setiap kali berhadapan dengan masalah. Tiada siapa yang sudi mendengar masalahnya. Hanya pada Allah saja Dahlia boleh mengadu tapi Dahlia sering juga buntu dan sering menangis seorang diri.

                   Hari ini Dahlia menangis lagi. Dia hilang selera untuk menjamah makanan. Dia hanya nampak mee segera sebagai hidangan paling lazat. Dahlia keluar untuk pergi ke kedai runcit berdekatan rumahnya. Dahlia sudah membayangkan keenakan mee segera yang akan dimakannya. Perut Dahlia sudah berkeroncong sejak pagi namun Dahlia belum menjamah sebarang makanan hari ini.

                   Sampai di kedai Dahlia mengambil dua paket besar mee segera dengan perisa tom yam dan perisa asam laksa. Perutnya teringin dengan makanan masam hari ini. Satu paket ada lima bungkus, dua paket bermakna sepuluh bungkus. Cukuplah untuk makanan Dahlia untuk seminggu ni.

                 ‘’Beli mee segera saja Lia?’’ pemilik kedai kak Lijah bertanya ramah. Dahlia tersenyum sambil mengangguk perlahan.

                 ‘’Banyak ni, stok untuk berapa hari?’’ Dahlia disoal lagi. Dahlia malas nak menjawab tapi kalau Dahlia tak bersuara tentu kak Lijah akan salah faham.             

                 ‘’Entahlah kak..seminggu kot.’’ Dahlia menjawab dengan nada suara yang lemah. Acuh tak acuh saja sekadar berbasa basi agar tidak disalah mengerti.

                 ‘’Hai..takkan seminggu makan mee segera jer..korang tak ada duit nak beli beras dah ke?’’ satu soalan dijawab menyusul pula soalan lain. Dahlia menahan rasa tapi terpaksa juga menjawab sekali lagi.

               ‘’Stok untuk Lia saja kak, tak ada selera nak makan. Abang Mat dengan Anis makan nasi juga.’’ Dahlia berkata dan membayar duit. Dia ingin segera pulang ke rumah. Tiada hati langsung untuk beramah tamah dengan sesiapa pun, Dahlia hanya ingin pulang ke rumah dan menjamah mee segera yang baru dibelinya.

                ‘’Oh..ingatkan makan sekeluarga.’’ Kak Lijah berkata sambil tersengeh. Dahlia juga turut memaksa bibirnya supaya tersenyum.

                   ‘’Lia balik dulu kak..’’ Dahlia meminta diri untuk pulang selepas urusan jual beli dilakukan. Dia melangkah longlai ke rumah. Perutnya masih lagi berlagu keroncong. Lututnya bergetar kerana menahan lapar. Jiwanya sudah melayang entah ke mana. Hati Dahlia merusuh di dalam, kalau boleh Dahlia ingin meraung sekuat hati namun Dahlia masih sedar diri. Dahlia juga punya ego dan rasa malu.

                       Sampai di rumah Dahlia terus merebus tiga bungkus mee segera berperisa asam laksa. Bukan kerana lapar tapi kerana tekanan jiwa yang sedang ditanggungnya. Dahlia ingin melepaskan semua perasaan marahnya dengan makanan. Dahlia teringin nak keluar bersantai jauh dari rumah tapi Dahlia tak mampu kerana tidak berduit. Nak beli makanan yang lebih mewah pun Dahlia tak mampu, hanya mee segera saja yang Dahlia boleh beli dengan duit yang ada dalam tangannya. Pagi tadi Rahmat hanya membeli telur sebagai makanan tengahari mereka. Dahlia hanya memasak nasi dan telur masak kicap untuk suami dan anaknya.

                     Hidup Dahlia penuh dengan dugaan sejak kecil lagi. Ayahnya suka berjudi nombor ekor. Ibunya pula suka berhutang setiap kali membeli barang. Adik beradik Dahlia pula suka bergaduh walaupun hanya ada masalah kecil. Dahlia tiada tempat mengadu. Setiap kali Dahlia mengadu pada suaminya tentang masalah keluarga, ada saja ceramah yang tak sedap didengar ataupun Rahmat akan menyalahkan Dahlia kembali.

                 Dahlia stress, tekanan yang dihadapinya terlalu berat untuk ditanggung. Dahlia pernah bertanya dengan diri sendiri kenapa ujian ini yang harus didepaninya. Dahlia hanya inginkan rasa bahagia bukannya penderitaan jiwa sebegini. Dahlia letih untuk melayan kerenah setiap manusia di sekelilingnya.

              Air yang direbus sudah mengelegak, Dahlia memasukkan perencah sup dan mee segera di dalamnya. Dahlia kacau sambil fikirannya terus melayang-layang entah ke mana. Hanya jasad Dahlia yang ada di rumah mereka sedangkan roh Dahlia sudah mengembara ke seluruh dunia. Dahlia seakan tiada semangat untuk meneruskan hidupnya lagi.

                Dahlia memasukkan kesemua mee segera yang direbusnya ke dalam mangkuk besar dan menuju ke meja makan. Sebelum makan Dahlia mengangkat tangan membaca bismillah dan membaca doa. Dahlia mula menjamah sambil air matanya terus berbicara. Dahlia menangis lagi sambil mulutnya mengunyah mee segera. Semakin lama semakin lebat air matanya yang gugur ke pipi.

                  Ya Allah..ambillah nyawaku dengan segera. Aku tak ingin hidup lagi atas muka bumi ini. Izinkan aku pergi untuk selamanya. Aku letih Ya Allah untuk merentasi onak dan duri ini. Biarkan mereka terus bahagia tanpa aku di sisi. Tiada siapa yang sayangkan aku. Mereka langsung tak menghargai aku. Aku ibarat sampah yang dibuang orang. Hanya berguna bila mereka perlukan aku dan disisihkan bila aku tidak berguna lagi. Dahlia terus merintih di dalam hati dan air matanya terus bercucuran laju.

               Aku ada suami tapi dia hanya menyentuh aku bila dia perlukan tubuhku untuk melepaskan nafsunya. Aku ada anak tapi dia tak pernah mendengar cakap aku. Dia terlalu manja dan langsung tak boleh ditegur. Semua orang salahkan aku kalau dia menangis. Walaupun aku tak memukulnya aku juga disalahkan juga. Aku letih untuk berdepan dengan semua kerenah manusia atas bumi ini. Mereka rasa mereka sudah sempurna hingga selalu menuding jari pada kesalahan orang lain.

              Aku selalu dipersalahkan walaupun kesalahan dan sikapku berpunca daripada mereka. Aku juga punya ego dan aku juga ada perasaan. Kenapa mereka rasa hanya mereka saja yang tahu sakit hati. Aku bagaimana? Tidakkah aku juga punya hati dan perasaan?

                Dahlia terus berperang dengan diri sendiri dan tangisannya terus berlagu tanpa henti. Mee segera yang ditelan sudah hilang nikmatnya, yang ada cuma rasa kesat ditekak ketika menelannya.

             Allah..kenapa semua ini yang perlu aku hadapi? Tidak layakkah aku untuk hidup bahagia seperti orang lain? Aku juga seorang hambaMu seperti mereka. Kenapa aku saja yang diuji sedangkan orang lain bahagia dengan hidup mereka. Boleh keluar bercuti ke mana saja, sedangkan aku nak ajak keluar bersantai pun seribu satu alasan suamiku beri. Aku hanya nak tengok dunia luar sekali sekala. Tak bolehkah?

***************

                     Dahlia mengandung lagi kali yang ke-5..seronok rasanya hati setiap kali dia mendapat keputusan positif hasil pemeriksaan urinnya. Dahlia suka kalau dia ada anak ramai supaya hidupnya tidak sunyi. Hanis seorang mana cukup untuk memeriahkan rumah tangga mereka. Namun Dahlia tidak bernasib baik, setiap kali mengandung, kandungannya akan gugur. Anak sulung mereka gugur ketika Dahlia sedang mengandung empat bulan, Anis anak kedua mereka juga sama, nyaris gugur ketika kandungannya berusia empat bulan, mujur masih ada rezeki mereka untuk melihat Anis lahir ke dunia dalam keadaan yang sihat dan sempurna.

                   Ketika Dahlia mengandungkan Anis, dia tumpah darah dan mertuanya memanggil bidan untuk merawatnya. Mereka tak pergi ke hospital kerana takut prosesnya lebih parah. Dahlia sudah boleh membayangkan apa yang bakal dilakukan doktor terhadapnya seperti kandungan pertamanya ketika dia tumpah darah.

                     Kali ini bidan Mak Lang Timah hanya memberinya minum air kelapa muda yang telah dibacakan doa saja. Mujur selepas minum air kelapa itu darah yang tumpah berhenti dan kandungan Dahlia selamat dilahirkan ketika cukup bulan. Hanislah satu-satunya anak mereka yang ada. Selepas melahirkan Anis, Dahlia keguguran terus dan kali ini Dahlia disahkan mengandung lagi.

                 ‘’Alhamdulillah..terima kasih Ya Allah..tolong selamatkan anakku kali ini. Aku tak nak keguguran lagi. Aku nak anakku Ya Allah. Tolonglah aku..’’ Dahlia berdoa dalam nada suara yang perlahan. Air matanya gugur juga kerana rasa gembira dan terharu.

                 ‘’Abang..Lia mengandung lagi..’’ khabar gembira itu diberitahu pada Rahmat sebaik saja Dahlia melihat Rahmat masuk ke dalam rumah. Alat ujian kehamilan yang dibeli dan bergarisan dua itu ditunjukkan pada Rahmat. Tersenyum lebar Rahmat mendengarnya.

                ‘’Tapi..Lia takutlah kalau anak ni pun gugur lagi. Lia trauma nak pergi hospital..trauma kena seluk dengan doktor..trauma dengan mulut laser doktor dan nurse yang adakalanya suka cakap ikut suka hati..’’

              Dahlia meluahkan kerisauannya. Rahmat hanya mendengar tanpa kata, wajahnya saja yang berubah riak. Kalau sudah tertulis tak ada rezeki mereka, apakan daya..terima sajalah ujian daripada Yang Maha Esa. Rahmat berbisik di dalam hati.

              ‘’Kita berubat kampung abang..’’ Dahlia mengeluarkan pendapat sambil merenung wajah suaminya. Rahmat tersenyum pahit sambil menunjukkan isyarat dengan jarinya. Rahmat mengerakkan ibu jari dan jari telunjukkan berkali-kali. Fahamlah Dahlia, suaminya tiada duit. Masalah mereka yang selalu timbul adalah duit.

                 Sekarang ni Rahmat sudah berhenti kerja kilang dan hanya bekerja kampung saja. Rahmat buat apa saja kerja yang dia mampu buat. Rahmat bukannya pemalas cuma ego rahmat terlalu tinggi. Dia juga seorang yang lurus bendul. Duit mereka selalu kekeringan. Kalau musim kemarau tu bermusim, duit mereka tak pernah bermusim. Boleh dikatakan, setiap hari mereka alami masalah kewangan. Dahlia teringin untuk keluar bekerja tapi dia juga tak mampu untuk bekerja. Dahlia senang mengandung dan senang juga keguguran. Sudah banyak kali Dahlia membuat pemeriksaan darah, semuanya mendapat keputusan negatif. Dahlia tiada masalah kesihatan. Doktor juga telah mengambil darah Dahlia dan memeriksa hormon Dahlia, namun semuanya normal. Doktor pun keliru dan tiada jawapannya.

                ‘’Abang carilah kerja..sampai bila kita nak macam ni?’’ Dahlia meluahkan suara hatinya. Rahmat hanya membisu, wajahnya mendung lagi. Dahlia menarik nafas dan melepaskannya perlahan. Mindanya kusut bila memikirkan masalah kewangan mereka yang tak pernah selesai.

                     ‘’Abang izinkan Lia berniaga, nanti Lia masak abang tolong letakkan di kedai runcit atau pasar raya di pekan. Boleh?’’

                   ‘’Ishhh..malu ar..kalau tak laku atau tak sedap, macam mana?’’

                   ‘’Oh..selama ni Lia masak tak sedaplah?’’

                     ‘’Untuk abang sedaplah..untuk selera orang lain belum tentu.’’

                     ‘’Lia belum cuba pun lagi, abang dah kutuk masakan Lia..tapi abang malas nak cari kerja..sampai bila kita nak macam ni?’’ Dahlia bersuara rajuk. Pedih hatinya mendengar kritikan Rahmat sebentar tadi. Niat dia nak menolong Rahmat menambah pendapatan tapi Rahmat menidakkan bakatnya sebagai tukang masak. Kecil hati Dahlia.

                ‘’Lia menyesallah sebab dapat suami macam abang?’’ Rahmat bertanya kasar. Dahlia terdiam lama, matanya merenung Rahmat dengan air mata yang sudah bergenang. Tersentap Dahlia mendengar kata-kata rahmat. Dahlia tahu jodoh mereka orang kampung yang atur tapi Dahlia terima Rahmat bukan kerana terpaksa. Dahlia redha dengan takdir Allah. Dahlia berserah dengan ketentuanNya.

                Air mata Dahlia terus merembes laju. Tanpa sedar esakan Dahlia semakin berlagu sendu. Rahmat terus membawa langkahnya keluar rumah, rimas melihat Dahlia yang menangis tanpa sebab. Sikit-sikit menangis, itulah orang perempuan..hati macam tisu. Rahmat merungut di dalam hati. Nak memujuk bukan kepakarannya. Setiap kali Dahlia merajuk atau menangis, Rahmat sentiasa berhati kering. Selalu dia buat tak peduli ataupun dia membawa diri berjumpa dengan kawan-kawan atau membawa Hanis keluar bersiar-siar meronda seluruh kampung dengan motosikalnya.

             Allah..kalau aku terus diuji begini aku mohon berikan aku lebih banyak kesabaran agar aku mampu untuk terus bertahan. Aku sudah tidak berdaya untuk meneruskan hidup ini lagi. Hati aku benar-benar kosong, hanya janin di dalam rahimku ini saja yang mampu memberi aku rasa bahagia saat ini. Dahlia merintih lagi sambil mengusap perutnya.

            Anak ibu..tolonglah bertahan hingga ibu selamat melahirkan. Ibu nak anak ibu kuat dan tabah, jangan jadi macam ibu yang berhati tisu dan mudah mengalah. Allah..peliharalah anakku ini. Jangan hampakan harapanku kali ini. Aku mampu terima suami yang tidak berduit tapi aku tak nak anak ini keguguran lagi. Aku nak anak ini untuk menyerikan kehidupan aku supaya aku tidak kesunyian seorang diri.

*******************

                        Kandungan Dahlia sudah hampir berusia enam bulan. Dahlia sudah dapat merasakan gerakan kecil dari dalam rahimnya. Hati Dahlia semakin terhibur dan rasa sudah tidak sabar untuk menimang anak lagi. Setiap kali terasa gerakan di dalam rahimnya Dahlia akan mengusap perutnya dan berdoa agar anaknya kali ini dapat dilahirkan dengan sempurna. Puas sudah mereka berubat. Bila rahmat tak mampu, kakak ipar sulung dan ibu mertua Dahlia yang membawa Dahlia pergi berubat dengan seorang bidan kampung.

               Hari ini badan Dahlia terasa letih lain macam. Dahlia hilang selera makan, awal pagi lagi Dahlia sudah makan buah limau yang dibeli oleh Rahmat. Nikmat rasanya dapat merasa masamnya buah limau itu. Perut yang terasa mual dan loya hilang seketika.

                Tanpa diduga..malang yang tidak berbau tiba juga. Ralit Dahlia menjamah limau perutnya tak semena-mena terasa sakit dan hanya beberapa saat selepas itu Dahlia terasa ada sesuatu yang keluar dan membasahi kain batik yang dipakainya. Dahlia terus memeriksa kainnya yang telah basah. Jantung Dahlia terus berdebar-debar..harapannya untuk menimang anak lagi terus hilang begitu saja. Dahlia ingin menangis namun dia terus memujuk hati agar jangan mudah mengalah.

               Allah..tolong, jangan ambil anak aku yang ini. Tolong Ya Allah beri aku kesempatan untuk melihat anak aku yang ini lahir dengan selamat, dapat memeluk dan membesarkannya. Aku sudah mula sayang dia Ya Allah sejak aku tahu kewujudannya dalam rahimku ini. Aku mohon Ya Allah..tolong jangan rampas dia daripada aku. Aku nak tengok dia membesar, menangis dan ketawa.

              Dahlia mula berdoa di dalam hati. Dia nampak tabah di luar sedangkan hatinya sudah mula gelisah. Dia sudah membayangkan suasana di dalam wad kecemasan dan di bilik bedah. Dahlia benar-benar trauma dengan situasi yang sudah kerap benar dilaluinya.

              Dahlia buntu dan takut..lebih-lebih lagi bila memikirkan kandungannya akan gugur lagi. Rahmat pula tiada di rumah dan dia hanya seorang diri. Pada siapa harus diadu masalah yang baru bermula ini? Telefon? Dahlia bangun dan mencari telefon bimbitnya.

             ‘’Di mana aku letak handphone aku tadi?’’ Dahlia bermonolog seorang diri. Di ketika ini semua yang dicari mesti payah nak jumpa.

              ‘’Oh..aku mana ada handphone, selama ni aku hanya guna handphone abang Mat saja, kenapa aku jadi pelupa macam ni?’’ Dahlia masih bermonolog sendiri. Dia hanya bersendirian di rumah, tiada Rahmat dan tiada Hanis, jadi pada siapa harus dia minta tolong?

               Ya Allah, aku benar-benar takut dan aku tak nak kehilangan anak dalam kandunganku ini. Tolong hantarkan orang untuk membawa aku ke hospital. Dahlia berdoa di dalam hati.
**********************

                  Dahlia memerhatikan seluruh wad dan matanya terus meratah setiap katil yang ada berhampiran. Semua penghuni wad ini datang dengan masalah masing-masing dan Dahlia dengan masalahnya. Dahlia kehilangan kandungannya selepas seminggu dimasukkan ke wad ini. Anaknya yang kelima ini keguguran juga. Sempat Dahlia menatap wajah anak lelakinya sebelum suaminya membawa pulang untuk dikebumikan. Sayu hatinya setiap kali membayangkan wajah kecil anaknya yang dilahirkan tidak cukup bulan itu.

              Akhirnya aku kehilangan lagi. Ya Allah..aku benar-benar letih dengan setiap ujianMu. Aku ingin jadi hambaMu yang tabah tapi aku tak berdaya. Hati aku tak mampu untuk menanggung semua beban ini. Dahlia merintih lagi di dalam hati. Saban masa dia hanya mampu mengadu dengan Allah. Hanya Allah yang mengerti penderitaannya.

                Aku hambaMu yang lemah. Aku tak cukup kuat tapi aku terpaksa bertahan kerana aku tiada pilihan. Aku hanya ada Kau Ya Allah..tolong kuatkan hatiku andai Kau ingin terus menguji. Jangan benarkan aku melakukan dosa kerana tidak tahan diuji.
            Allah..aku merayu berikan aku semangat untuk meneruskan hidup atas muka bumiMu ini. Berikan aku kesabaran dalam melawan arus kehidupan untuk berhadapan dengan badai dan gelombang. Hanya Kau yang tahu perasaanku. Aku sakit Ya Allah. Jiwa aku sakit dan pedih untuk melawan berterusan. Aku nampak tabah pada semua orang tapi hanya Kau yang tahu hati aku menangis setiap hari.

******************
                 Dahlia menekup telinga, hatinya terbakar mendengar bunyi alarm telefon suaminya berulang kali. Suaminya sudah bangun dan sudah keluar rumah namun alarm telefon tidak dimatikan. Sudah berbulan mereka tidak tidur bersama. Dahlia yang masih mamai ingin tidur lagi di atas sofa buruk di ruang tamu.

                Dengan rasa malas Dahlia bangun juga masuk ke dalam kelambu dan mengambil telefon suaminya. Dahlia terus membuka bahagian bateri dan mencampakkan isi telefon di atas almari. Sakit benar hatinya. Tv yang sedang terpasang juga ditutup dengan perasaan geram. Setiap hari dia terpaksa berhadapan dengan kejadian yang menyakitkan hati begini, Dahlia mula hilang sabar.

                 Malam ni aku akan beri amaran pada Rahmat, kalau pagi esok dia tidak menutup alarm, telefon bimbitnya aku akan buang dalam lubang tandas, tv pula aku akan potong wayar, biar dia tak dapat tengok perlawanan bola lagi..dan yang paling penting, tv takkan memekak tanpa penonton lagi. Sabar aku sudah sampai hadnya kerana kesabaranku yang senipis kulit bawang ini sudah mula koyak rabak. Dahlia nekad di dalam hati.

                      Kemarahan Dahlia semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Ada saja yang tak kena, kalau boleh apa saja yang terpendam di dalam hati akan diluahkan tapi macam biasa, semuanya hanya sekadar omong kosong di dalam mindanya. Dahlia tidak mampu melafazkan kemarahannya dengan suara.

                     Dahlia mengeluh untuk sekian kalinya. Sampai bila aku harus begini? Memendam dan terus pendam. Aku letih sangat dengan gelagat orang sekeliling, mereka buat aku macam patung bernyawa. Kenapa? Tidak layakkah aku untuk mengecap bahagia?

                      Alangkah indahnya kalau aku dapat apa yang aku impikan. Andai aku diberi peluang sekali lagi untuk memilih calon suami, aku tak mahu pilih orang biasa-biasa. Alang-alang memilih, aku nak pilih lelaki yang ada ladang bunga, ladang strawberry dan kebun sayur yang luas. Alangkah indahnya kalau impianku menjadi nyata. Dapat tinggal di tempat tinggi yang udaranya sejuk dan nyaman. Tiada musuh dan tiada pengacau.

                     Dahlia terus berangan berada di salah sebuah tempat peranginan yang diingininya. Hanya dengan imaginasi dia mampu mengecap bahagia walaupun hanya sekejap.

********************

                   Dahlia terjaga kerana terkejut daripada mimpi yang menyeramkan. Bulu romanya meremang dan tubuhnya seram sejuk. Dia memusingkan tubuhnya. Eh? Suami aku di mana? Dahlia bertanya dalam hati.
                                               
                   Perut Dahlia tiba-tiba terasa memulas. Dia bangun dan keluar daripada kelambu. Di luar kelambu dia nampak suaminya sedang tidur nyenyak di dalam bilik anak tunggal mereka. Huh! Selalu lebihkan anak berbanding aku. Sejak anak lahir aku seolah-olah dimadukan dengan anakku sendiri. Hati Dahlia memberontak. Rahmat selalu pilih kasih. Anak tunggal mereka selalu diutamakan. Dahlia selalu rasa terasing dan tersisih.

                   Dahlia meneruskan langkahnya ke bilik air, hajatnya harus dilaksanakan dengan segera. Keluar daripada bilik air Dahlia masuk semula ke dalam kelambu untuk tidur. Rasa sakit hati cuba dilupakan. Dia memejamkan mata rapat namun perutnya memulas lagi. Dia bangun semula dan pergi lagi ke bilik air.

                     Berulang kali Dahlia ke bilik air membuatkan badannya letih dan lemah. Dahlia cuba melelapkan mata sekali lagi namun baru saja terlelap Dahlia bermimpi ada makhluk berwarna hitam bersaiz besar menemaninya dalam kelambu. Dahlia cuba bangun namun kudratnya terlalu lemah untuk melawan. Dia membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan terus melawan. Dia bertakbir dan azan, dia mengucap dua kalimah shahadah dan beristighfar..akhirnya dia berjaya membuka mata. Bulu roma Dahlia meremang lagi. Jantungnya berdenyut laju. Seram, itu yang dirasakannya ketika ini.

                  Dahlia terus keluar dari kelambu dan masuk ke bilik anak tunggalnya. Dia cemburu melihat suami dan anaknya. Hatinya sakit sangat dan dia tidak dapat mengawal perasaannya.

                   "Aaaaaaaaaa.." Dahlia menjerit sekuat hati hingga suami dan anaknya terpinga-pinga bangun. Dia merenung tajam kedua-duanya dengan perasaan yang sangat geram. Dahlia tiba-tiba mendapat satu akal.

                     Aku sudah jemu untuk melayan kerenah mereka berdua. Lebih baik aku mati! Mindanya berkata-kata dan bangun mencari ubat tidur yang ada dalam simpanannya. Dahlia menuju ke dapur sambil memasukkan sepaket ubat tidur dalam mulutnya. Suaminya Rahmat mengikut Dahlia dari belakang.

                    "Ubat tu makan sebiji pun mengantuk. Luah!" Rahmat bersuara risau melihat gelagat Dahlia yang macam orang tiada pertimbangan. Dahlia pula masih terus berdegil. Dia mencapai gelas dan menuang air ke dalam gelas.

                    "Ingat dosa sama. Dah cukup amalan ke tu?" Rahmat masih memujuk Dahlia. Dahlia sakit hati namun mindanya masih berfungsi. Ya! Aku belum cukup amalan untuk mati. Dia meluahkan semua ubat yang belum ditelannya. Gelas kaca di tangan dilontarkan ke dinding.

                     Pranggg..berderai gelas itu pecah. Dahlia menuju ke bilik anak tunggal mereka.

                   "Aaaaaaa.." dia menjerit lagi. Anak mereka yang baru berusia lima tahun terus menangis ketakutan.

                          Dahlia pula macam orang hilang ingatan. Selepas menjerit dia terus meraung dan menangis. Dia tepuk dadanya berkali-kali. Sakit hatinya bagaikan dilapah ketika ini. Ya Allah..kenapa aku terus diuji begini? Minda Dahlia masih berfungsi. Dalam tak sedar Dahlia masih ingat Allah. Dia cuba tenangkan fikirannya dan cuba ketawa.

                         "Hahaha.." Dahlia memaksa dirinya untuk ketawa dan mengangkat mukanya memandang anak dan suaminya dengan renungan tajam. Anaknya menerpa Rahmat dan terus menangis.

                        "Tu la..mak tak sihat, tak boleh tidur sorang-sorang. Hanis nak suruh ayah teman jugak."

                        "Hanis takut tidur sorang-sorang."

                        Dahlia mendengar perbualan mereka, matanya merenung tajam anaknya dan kemudian dia duduk berlutut dan menyembamkan muka. Dia menangis lagi dan kali ini iramanya lebih sendu. Allah..aku letih dan tak mampu bertahan lagi. Beri aku kekuatan agar terus tabah. Hanya pada Allah tempat mengadu dan mujur Dahlia masih ingat Allah disaat jiwanya sedang dikuasai.

                     Hingga subuh menjelang mereka berjaga malam ini dan Dahlia nampak lebih tenang bila azan subuh berkumandang dari masjid berdekatan rumah mereka.

*****************

             Abang pernah berjanji dengan Lia bahawa abang akan bahagiakan Lia. Sejujur manakah kata-kata abang itu? Bolehkah Lia terus percaya? Sedangkan sejak kita bersama hanya air mata yang sering menemani Lia? Abang di mana? Abang panas pun, abang akan tinggalkan Lia tidur seorang diri. Tidakkah abang tahu, tindakan abang itu buatkan hati Lia pedih dan terluka. Lia tak perlukan harta yang banyak, tapi Lia perlukan abang di sisi Lia, biar apa pun keadaan Lia. Mengertikah abang, jiwa Lia sering terguris dengan sikap abang? Dahlia mengomel di dalam hati. Hanya di dalam hatinya saja, dia mampu meluahkan segalanya.



                    Pukul 1.00 pagi Dahlia bangun dari tidur. Bilik mereka masih terang benderang. Suaminya tiada, padahal siang tadi dia menangis sakan hingga bengkak mata. Tekanan jiwa yang dialaminya semakin berat. Emosinya terganggu dan dia merasa semua orang sudah menyingkirkan dirinya dari hidup mereka.

                     "Ada orang takutkan dia dengan hantu." Rahmat berkata tanpa disoal. Dahlia hanya berlalu di ruang tamu tanpa kata. Dia menuju ke dapur dan membasuh kuali yang tersadai di dalam singki.

                      Dahlia meletakkan kuali yang dibasuh di atas dapur. Dia menuju pula ke arah peti ais dan membukanya. Sebungkus mee segera jenama Cintan dikeluarkan. Selepas air panas, Dahlia masukkan sayur baki siang tadi, mee Cintan dan 3 biji telur. Hatinya masih sakit lagi dan makanan selalunya menjadi terapi diri. Siap masak Dahlia membawa mangkuk mee segera ke dalam bilik dan mula menjamah.

                    Ahh..Rahmat memang begitu, anak selalu didahulukan. Isteri mungkin jatuh nombor sepuluh baginya. Aku ini bagaikan melukut di tepi gantang. Sambil makan Dahlia berdialog di dalam hati. Air mata pula tak perlu disuruh keluar. Macam biasa air mata merembes laju bersama suapan mee segera ke dalam mulutnya.

                   Pagi hingga tengahari Dahlia hanya menjamah kuih yang dibeli Rahmat. Petang tadi Dahlia makan mee segera juga. Malam ini Dahlia makan bukan sebab lapar tapi kerana hatinya yang perlu ditenangkan.

                  Selesai makan perut Dahlia memulas. Masuk saja ke bilik air, terdengar sesuatu berlari di atas bumbung. Ahhh..kenapa selalu sangat benda tu berlari-lari di atas? Semakin kerap dan semakin kuat. Meremang bulu romanya.

                   Selepas melepaskan hajat Dahlia mencuci tangan dan keluar dalam keadaan jantungnya berlari laju. Janganlah terjadi lagi kejadian dulu. Dia tak ingin lagi mengikut perasaan seperti dulu. Biarkan Rahmat dengan apa yang difikirnya.

                     Masuk ke dalam bilik, Dahlia melihat Rahmat sudah berdengkur di atas katil. Eh? Boleh pula tinggalkan anak kesayangannya tu di luar bilik seorang diri? Dahlia berdialog lagi di dalam hati. Biarlah..yang pastinya malam ini aku takkan tidur di sebelahnya. Aku rela berjaga hingga pagi.

                       Dahlia menyelongkar rak buku yang berada di sudut bilik mereka. Dia mencari sebuah novel yang belum dibaca. Bila terjumpa sebuah novel yang masih baru kulitnya, Dahlia tersenyum puas. Harap-harap tiada konflik berat yang menyakitkan jiwa.

                        Dahlia membawa novel itu ke ruang tamu dan membuka lampu hingga terang benderang. Dahlia berbaring di atas sofa usang dan mula membaca. Sehelai demi sehelai diselaknya. Bibirnya tersenyum puas kerana permulaan cerita begitu santai dan membuatkan dirinya teruja untuk terus membaca.

                 'Abang..tak apa, Dahlia masih ada hiburan untuk membuatkan Dahlia bahagia. Moga abang juga bahagia dengan derita yang Dahlia terima.' Hati Dahlia berbisik lagi. Bila bibir tersenyum tapi air mata Dahlia bergenang lagi tanpa sedar. Hatinya takkan mudah untuk sembuh. Selagi Rahmat tidak sedar bahawa Dahlia yang nampak biasa ini juga mempunyai hati dan perasaan. Senyuman Dahlia adalah topeng untuk menutup segala luka.

*************

                    Ya Allah..aku benar-benar sudah letih dengan semua ujian yang Kau beri. Aku letih sangat Ya Allah, kalau aku mampu untuk mengambil nyawaku sendiri sudah lama aku lakukan. Tiada siapa lagi yang menghargai aku di atas muka bumiMu ini. Aku bagaikan sampah di mata mereka, hanya menghampiri bila aku diperlukan dan aku dibuang untuk terluka sendiri dikala mereka sudah tidak memerlukan aku lagi.

                    Ada suami..di mana dia berada saat aku perlukannya? Ada anak, kawan-kawan lebih bermakna untuknya. Aku? Hanya terbiar sepi seorang diri. Sakitnya Ya Allah, tak mampu lagi ku telan semua rasa pahit ini.

                     Dahlia merintih dan terus merintih. Tiada tempat mengadu untuk diluahkan semuanya. Hanya Allah yang dia ada. Hanya Allah tempat mengadu dan hanya Allah yang mengerti peritnya jiwanya yang sering ditinggalkan bersama luka yang semakin parah.

                       Air mata terus berbicara dan esak tangisnya berterusan, semakin lama semakin pilu hingga terfikir untuk menamatkan riwayatnya sendiri namun fikirannya masih waras kerana Allah masih ada dalam hati dan fikirannya.

                     Andai hari ini aku pergi, kau bahagiakan mereka yang masih hidup atas muka bumiMu ini Ya Allah. Semoga dengan pemergianku, mereka mampu untuk terus tersenyum dan ketawa.

****************
                     
                  Allah..sakitnya pinggang aku. Dahlia merintih dalam hati. Pinggangnya sakit yang teramat setiap kali bangun dari tidur. Sejak akhir-akhir ini Dahlia kurang selera makan dan selalu tidur lewat, kadang-kadang langsung tak boleh tidur. Fikirannya serabut, banyak betul perkara yang difikirkannya.

                    Mana abang Mat ni? Dahlia bertanya di dalam hati. Rumahnya sunyi sepi hanya tinggal dia seorang diri di dalam rumah. Dahlia bangun dan mengambil tuala di ampaian. Dahlia menuju ke bilik mandi untuk menyegarkan badan yang terasa lemah seluruhnya. Sambil berjalan Dahlia memegang pinggang dan memicitnya.

                     Allah..hanya Engkau yang tahu derita batinku ini. Kesakitan yang ku rasa ini hanya Engkaulah penyembuhnya. Kalau sakit ini tandanya dosa-dosaku akan diampunkan aku redha Ya Allah. Aku redha untuk terima takdirmu ini.

                    Selesai mandi Dahlia menuju ke dapur, Dahlia buka peti ais, kosong. Dahlia angkat tudung saji, kosong juga. Dahlia usap perut yang berkeroncong, laparnya. Nak makan apa ni? Abang Mat tak beli apa-apa ke pagi ni? Mentang-mentanglah aku terbabas tidur sebab semalam tak boleh tidur, takkan dia marah aku pula? Dahlia menyoal di dalam hati.

                    Dahlia melangkah ke bilik untuk mengambil duit. Hanya ada not seratus ringgit yang masih belum bertukar. Nak guna ke tak? Macam sayang saja nak guna. Dahlia berkira-kira di dalam hati tapi kalau tak guna, dia nak makan apa?

                         Dahlia membuat keputusan muktamad dan membuka almari. Sehelai tudung ditarik keluar dan disarungkan ke kepala. Niatnya untuk ke kedai kak Lijah membeli makanan untuk dirinya sendiri.

                      Kedai kak Lijah bersebelahan dengan rumah ibu mertuanya. Bila dia sampai di rumah ibu mertuanya Dahlia nampak banyak kereta yang diparking di depan dan tepi rumah. Terdengar riuh rendah suara orang berbual. Dahlia berjalan perlahan-lahan menghampiri tingkap dan mengintai.

                   "Woi Mat, minggu lepas kami jumpa mak we lama kau..dia dah jadi janda. Kami try test dia, tanya dia kalau kau masuk minang nak buat bini nombor dua, mau ka?" kakak ipar Dahlia yang berkata. Hati Dahlia sakit sangat mendengarnya. Isteri seorang pun tak mampu nak jaga.

                   "Elok sangat la tu. Kalau nak, jangan nikah di Siam. Cakap siap-siap..Lia pun nak contact bekas pak we Lia juga, senang nanti kalau abang nak nikah lain, boleh Lia minta cerai dan nikah lain jugak." tanpa berfikir panjang Dahlia terus berkata dari luar rumah. Semua orang tercengang dan mencari arah datangnya suara Dahlia.

                   Dahlia balik ke rumah dalam keadaan hati yang marah. Rasanya tahap marahnya sudah sampai ke otak. Fikirannya asyik membayangkan adegan tadi. Kata-kata kakak iparnya masih terngiang-ngiang di telinganya.

                Kenangan lama pun terus bertandang dalam fikirannya. Bekas kekasih suaminya itu memang selalu dipuji ibu mertuanya. Ayu tu baik. Ayu tu rajin dan yang paling menyakitkan hatinya bila Rahmat juga selalu memuji, Idayu tu cantik. Kalau cantik, kenapa pergi melamar aku, kenapa tak lamar saja Idayu tu? Pernah Dahlia bertanya pada Rahmat dulu dan jawapan Rahmat buat Dahlia ketawa besar.

                 ‘’Abang tak ada duit nak lamar dia dulu. Orang tua idayu letak hantaran dua puluh ribu ringgit, abang mana mampu. Umur dua puluh tahun Ayu kahwin dengan lelaki pilihan orang tuanya.’’ Penjelasan Rahmat yang masih segar dalam ingatannya.

                   Dahlia hitung pula jumlah hantaran untuk dirinya. Keluarganya letak hantaran paling murah dalam kampung mereka, hanya tiga ribu ringgit saja, tapi keluarga Rahmat minta tawar juga. Dahlia tersenyum lagi..hantaran pun boleh ditawar juga, samalah macam harga dirinya sekarang ini, seakan tiada nilainya lagi.

                 Dahlia tersenyum pahit dan dalam masa yang sama, air matanya sudah menuruni pipi. Tanpa sedar, esakan dahlia semakin menjadi-jadi. Dahlia kembali mengalami depression dan cuba mengawalnya. Namun semakin dicuba, dia semakin kalah. Akhirnya, Dahlia membuat keputusan untuk menelan dua biji pil tidur, mungkin dengan tidur Dahlia akan dapat melupakan segalanya.
            
                Beberapa minit kemudian, Dahlia sudah terlena dalam sendu yang masih berlagu. Ya Allah..andai aku boleh memilih hidup atau mati, mungkin aku akan memilih untuk kembali kepadaMu. Aku benar-benar sudah letih dengan kerenah manusia di atas muka bumiMu ini.  

*************

                      Bunyi mesej masuk bertalu-talu dari telefon suaminya, Dahlia terus membukanya. Kalau dalam group whatsApp sudah lama Dahlia mute semuanya. Ini mesti mesej personal? Dahlia menyoal dirinya sendiri di dalam hati.
           
                  "Assalamualaikum.." mesej pertama dibuka, dan mesejnya adalah suara seorang perempuan.

                   "Hai abang Mat..ni Ayu, ingat lagi tak Nurul Idayu." mesej kedua pula dibuka, suara perempuan yang kedengaran semakin manja.

                   "Abang Mat apa khabar? Sihat ke? Ayu sihat jer. Tapi dah empat tahun Ayu menjanda, suami Ayu dah meninggal. Dengar kata isteri abang Mat tak sihat, selalu sakit-sakit. Kesian abang Mat, kan?" Dahlia buka lagi mesej seterusnya. Allah saja yang tahu betapa sakitnya hati Dahlia ketika ini.

                 "Abang..kita jumpa nak tak? Ayu rindu laa.." Dahlia istighfar laju mendengar mesej yang terakhir ini. Suara merengek wanita itu buat Dahlia teringin untuk membalas mesej itu.

               "Ayu mana ni?" Dahlia menyoal dalam bentuk teks, takkan nak balas dalam mesej suara pula, nanti pecahlah rahsia.

             "Alaa..abang ni..takkan tak kenal Ayu lagi?" suara perempuan gedik itu semakin mendayu-dayu. Nada orang merajuk pun ada juga.

                  "Aku tak ingat..dah tua..otak semakin lupa. Bagi nama penuh kau, umur, tempat tinggal, bila kita jumpa." Dahlia balas lagi, dia benar-benar ingin tahu siapa wanita itu.

                  "Abang ni..sengajakan, pura-pura tak kenal Ayu?"

                 "Aku ada isteri dan isteri aku bukan nama Ayu, dalam hati aku hanya ada Dahlia sorang saja, isteri aku." Dahlia menaip lagi, sekadar menguji wanita itu.

                 "Isteri abang tu sakit, kan? Takkan abang nak setia dengan dia lagi? Kesian abang, mereka kata isteri abang tu mental, suka berkurung dalam rumah, tak suka bermasyarakat dengan orang. Betul ke?" Hati Dahlia mendidih mendengar ungkapan wanita itu.

                "Hoi perempuan, tak kisahlah kau Ayu atau kayu, jadi perempuan tu perangai mau jaga sama..laki orang pun kau nak kacau, dah tak ada lelaki bujang atau duda yang kau nak kacau ke? Kenapa yang nak jumpa sangat laki aku tu? Kau nak bini dia yang ada sakit mental ni belasah kau cukup-cukup ke? Di mana aku nak belasah kau? Di kepala kau, boleh? Biar bistari sikit hotak kau yang tak betul tu. Sapa yang mental? Aku atau kau? Mental-mental aku pun, aku tak pernah kacau laki orang, aku tak pernah runtuhkan rumah tangga orang. Kalau kau rasa kau waras, boleh berambuslah!"

                     Dengan senafas dan selaju mungkin Dahlia hamburkan kata-kata itu, kali ini dia menghantar voice mesej pula. Beberapa minit kemudian telefon bimbit suaminya terus diam. Tiada lagi mesej dari wanita bernama Ayu itu. Dahlia tak menunggu lama. Nombor wanita itu terus disenarai hitamkan. Puas hati aku. Dahlia berdialog di dalam hati.

***********

                    "Abang..selama ni Lia bersabar dengan abang, ajak abang ke sana, abang tak nak..ajak ke situ pun abang tak nak, sekarang ni Lia nak cari hidup Lia sendiri, sampai bila Lia kena berkurung macam ni? Lia nak keluar, cari kerja. Lagi pun, kerja abang pun tak menentu sekarang ni." Dahlia bersuara tegas. Entah kenapa hatinya meradang bila dia dipersalahkan dan dituduh sakit mental kerana asyik berkurung di dalam rumah.
           
                  Bukan Dahlia yang nak berkurung tapi dah nasib mereka tak berduit, nak pergi mana pun tak boleh. Rahmat pernah suruh Dahlia keluar bermasyarakat tapi Dahlia tak suka melepak tak tentu pasal, kemudian bergosip dan mendengar bermacam-macam cerita yang tak sepatutnya. Dahlia tak suka hidup macam tu.

                   "Huh! Boleh ke awak keluar bekerja? Dalam rumah ni pun awak tak mampu nak uruskan." Rahmat menyoal Dahlia kembali. Melihat rumah mereka yang bersepah di sana sini, dia jadi sangsi dengan keupayaan Dahlia.

                       "In Sya Allah..dengan kudrat yang Lia ada ni, Lia rasa masih mampu lagi bekerja. Bab rumah kita ni abang jangan risau, nanti Lia tinggalkan 'saka' untuk uruskan. Kan selama ni 'saka' yang uruskan rumah ni, cuma sekarang 'saka' Lia sedang bercuti sebab tu rumah kita bersepah." sengaja Dahlia membuat ayat-ayat sentap itu.

                      Setiap kali dia bertemu jiran-jiran atau saudara mara mereka mesti Dahlia disoal. " Bestlah kau Lia, tak berkerja..berkurung saja dalam rumah, makan dan tidur saja setiap hari. Nak makan apa, semua Mat belikan."

Dahlia tersenyum puas hati melihat muka kelat Rahmat, dia ingin menyambung kata tapi Rahmat sudah mengatur langkah. Begitulah Rahmat sejak mereka berumah tangga. Setiap kali ada isu yang sedang diperdebatkan, Rahmat akan keluar rumah dan meninggalkan Dahlia terkebil-kebil seorang diri. Akhirnya, kerana malas untuk terus berdebat, Dahlia akan terus diam dan lupakan semuanya.

***************

                    Dahlia mengambil keputusan tekad untuk keluar berhijrah, dia sudah letih berada di rumah sepanjang hari. Dengan duit yang sedikit Dahlia keluar juga untuk bekerja walaupun Rahmat tidak memberi keizinan.
           
                  Hari pertama Dahlia berada di Cameron Highland, hati Dahlia sangat teruja dengan pemandangan di sekelilingnya dengan udara yang nyaman dan sejuk. Di sini, jiwa Dahlia cukup tenang dan Dahlia berjanji untuk bekerja bersungguh-sungguh untuk membantu ekonomi rumah tangga mereka.

              "Cik Dahlia?"

               "Ya, saya.." Dahlia disapa seseorang dan Dahlia menoleh laju seraya bersuara ceria dan ramah.

                     "Cik ke yang datang untuk interview kerja tu."

                      "Ya..saya.."

                     "Oh..cik dah berurusan dengan Puan Rajmah ke?"

                     "Siapa tu?"

                     "Tuan punya nursery ni la.."

                      "Belum lagi. Di mana dia?"

                       "Cik boleh ikut saya."

                       "Err..sebelum tu, please ya, saya ni puan bukan cik atau pun panggil saja saya Lia."

                       "Oh..dah kahwin ke? Ingatkan belum lagi." sambil tersenyum, lelaki di depan Dahlia bertanya kembali. Dahlia mengangguk dan turut tersenyum.

                      "Dah ada anak?" sambil mereka berjalan, lelaki tadi terus menyoal Dahlia.

                       "Alhamdulillah..dah ada, baru sorang."

                      "Tak bawa sekali ke?"

                    "Tak. Suami saya jaga dia di kampung."

                    "Suami Lia izin ke Lia datang ke sini?"

                   "Err..mestilah izin." Dahlia auta saja tanpa rasa bersalah. Dia benar-benar perlukan kerja ini.

                   "Tak apa ke, perkahwinan jarak jauh ni? Tak takut ke, nanti suami Lia cari orang baru?" Dahlia terkelu. Ini soalan menguji minda atau menguji hati? Rahmat bukannya ada duit nak nikah lagi. Hantaran kahwin sekarang bukannya murah, janda pun ribuan juga kalau dilamar.

                     "Jodoh, ajal dan maut Allah dah tentukan sejak azali lagi, kenapa perlu takut?" yakin sekali Dahlia memberikan jawapan.

                      "Lia mesti percaya dengan suami Lia tu, kan?"

                       "Setakat ni dia tak pernah lagi curang dengan saya. Kenapa tanya? Ni soalan interview ke?" Dahlia sengaja menduga. Lelaki tadi ketawa sambil mengeleng.

                     "Taklah..kebanyakan yang datang bekerja di sini semuanya bujang, ada andartu, janda, balu dan ada yang lepasan sekolah. Lia minat bunga ke? Tahu ke pasal bunga ni?"

                         Dahlia berjeda lama mendengar soalan terakhir. Dahlia memang minat bunga tapi sekadar minat saja, nama bunga pun Dahlia tak pernah ambil tahu. Bab meracun dan membaja tu mungkin pernah Dahlia buat tapi bukan ikut aturan pun, sesekali saja Dahlia lakukan, ikut mod dirinya.

                        "Err..In Sya Allah, tahu juga la sikit-sikit." Dahlia menjawab dengan nada suara yang teragak-agak dan bibir tidak lupa untuk mengukir senyuman walaupun tidak seikhlas hati.

                 ‘’Oh..okey..jomlah saya kenalkan Lia dengan Puan Rajmah. Sebelum tu saya kenalkan diri saya dulu, nama saya Tajuddin, sepupu Puan Rajmah tapi saya datang sekali sekala saja untuk hantar anak-anak pokok ke sini. Nursery ni sebenarnya diuruskan oleh suami Puan Rajmah, iaitu encik Jabbar. Puan Rajmah tu suri rumah sepenuh masa, tapi hari ini dia datang sebab encik Jabbar pergi outstation ke Pahang.’’ Panjang lebar Tajuddin memberikan penerangan. Dahlia  sekadar mengangguk tanda faham.

                Tajuddin terus membawa Dahlia masuk ke dalam nursery. Mata Dahlia mula bersinar-sinar sebaik saja melihat pokok-pokok bunga yang berbagai jenis. Bibirnya serentak melebarkan senyuman. Inilah damai yang aku cari selama ini. Hati Dahlia pula yang sedang berkata-kata. Terpegun Dahlia seketika.

              ‘’Dahlia..you look beautiful, like this.’’ Tiba-tiba Tajuddin speaking. Dahlia melihat jari yang sedang Tajuddin tunjukkan. Sederet pasu bunga dahlia dengan bermacam warna. Senyuman Dahlia melebar lagi dan kepalanya mengangguk setuju.

               ‘’Bunga Dahlia memang cantik, tapi Lia taklah secantik bunga ni..’’ Dahlia berkata perlahan. Dalam hati dia kagum melihat bunga yang sama dengan namanya.

                ‘’Lia patut bersyukur sebab nama Lia seindah bunga ni, Dahlia Asrina..cantik sangat nama tu Lia..’’

                  ‘’Terima kasih..’’ Dahlia berkata lagi dan matanya terus menatap deretan bunga dalam nursery. Hatinya sudah tertawan di sini.

                     ‘’Kak Mah..pekerja baru kak Mah, Dahlia Asrina.’’ Dahlia diperkenalkan pada seorang wanita cantik yang sangat anggun bergaya. Dahlia tersenyum lagi dan menghulurkan tangan untuk bersalam. Mereka berkenalan dan semua pekerja nursery dipanggil dan Dahlia diperkenalkan.

                   ‘’So..selamat datang Dahlia..harap-harap tak adalah pelanggan yang tersalah panggil nama nanti.’’ Puan Rajmah cuba bergurau dengan pekerja barunya. Dahlia blurr sesaat.

                   ‘’Oh..ada nama sama dengan Lia ke?’’ Dahlia tanya juga soalan yang menerjah mindanya.

                    ‘’Ada..tu sederet dan ada macam-macam warna pulak tu.’’ Puan Rajmah menuding jari ke arah deretan pasu bunga Dahlia tadi. Suasana terus bertukar riuh dengan ketawa dan Dahlia turut sama ketawa. Alhamdulillah..ketawa Dahlia kembali menyinari hidupnya di sini.

*************


                 Tiga bulan sudah berlalu sejak Dahlia keluar dari rumah. Bulan pertama Dahlia bekerja gajinya cukup untuk menyara dirinya dan lebihan gaji dikirim ke kampung. Zaman sekarang serba moden dan mudah, ada pelbagai cara mudah untuk mengirim duit. Boleh saja melalui perbankan internet, hanya dengan satu jari selamat duit gaji Dahlia masuk ke dalam akaun bank Rahmat di kampung.

                 Dunia sudah makin terbalik, sepatutnya Rahmat yang perlu mengirim nafkah pada Dahlia tapi sebaliknya Dahlia pula yang mengirim duit pada Rahmat. Dahlia bekerja bersungguh-sungguh di sini demi untuk merubah kehidupan mereka. Siang Dahlia bekerja di nursery dari pagi hingga ke petang. Malam Dahlia akan bekerja di restoran hingga pukul 10.00 malam, balik dari restoran Dahlia berperang pula di dapur untuk memasak kerana Dahlia sudah mula teruja memegang duit sendiri dalam jumlah yang banyak. Pulangan modal yang diperolehi cukup lumayan dicampur dengan gaji daripada kerja di nursery dan restoran, Dahlia sudah mula rasa hidup senang.

                "Memasak ke Lia? Esok lauk apa Lia? Akak nak order ya, buat lebih sikit."sedang  asyik Dahlia membersihkan ayam dan daging, dia ditegur oleh kak Maznah rakan serumahnya yang bekerja di hotel berdekatan.

                        "Esok rendang ayam dengan rendang tok, kak Maz. Nasi lemak ikan bilis telur macam biasa. Akak nak lauk apa?"

                        "Akak nak ikan bilis telur lima, rendang ayam tu satu, rendang tok tu daging ya Lia?"

                     "A'ah kak..daging."

                     "Bagi 3 bungkus sebab rendang tok Lia sedap sangat."

                     "Ya ke kak? Terima kasih. Akak order banyak sangat untuk siapa?"

                    "Hihi..jangan marah ya Lia. Akak jual semula nasi lemak Lia tu kat rakan-rakan sekerja akak tapi akak naikkan sikit la harganya."

                       "Ye ke? Berapa harga akak jual."

                     "Alah..lebih 50 sen jer Lia. Akak ambil untung sikit ja." kak Maznah berkata selamba sambil tersenyum. Dahlia turut tersenyum. Letih dia memasak dan mengeluarkan modal, senang-senang saja kak Maznah kaut untung. Nasib kaulah Lia. Dahlia berdialog di dalam hati.

                   Tapi..Rahmat lagi untung, letih dia buat semua kerja, Rahmat yang kaut semua untungnya, walaupun Rahmat tak pernah minta tapi dia berharap Rahmat akan gunakan duit yang dia beri untuk memajukan dirinya dan keluarga. Mudah-mudahan bila Dahlia sudah penat bekerja di sini dan pulang ke kampung nanti, mereka sudah ada modal untuk memulakan bisnes sendiri. Dahlia berdialog lagi dalam hati dengan rancangannya sendiri.

*************

                    Dahlia semakin sibuk dengan kerja hingga lupa keluarga di kampung, namun duit untuk Rahmat tidak pernah lupa dikirim, malahan semakin banyak pula. Sesekali dikirim juga duit untuk emak dan ayahnya. Hari ini Dahlia ingin memberikan kejutan pada Rahmat. Dia pulang ke kampung tanpa memberitahu Rahmat terlebih dahulu. Sudah dua bulan dia tak pulang kerana terlalu sibuk bekerja.

                   Mesti Rahmat terkejut besar dengan kepulangannya kali ini. Dahlia membawa banyak hadiah untuk anaknya dan Rahmat dan Dahlia ingin mengajak Rahmat untuk pergi bersamanya. Di kampung ini kerja Rahmat tak menentu, duit nafkah pun sudah tidak diberi lagi pada Dahlia. Sampai bila Dahlia harus menanggung semuanya?

                       "Hah! Kau baru balik ke Lia? Suka la kau sekarangkan, Rahmat tu pun dah senang lenang baru kau nak tunjuk muka? Dulu masa Rahmat hidup merempat, kau pergi tinggalkan dia macam tu saja. Sekarang ni baru kau nak balik?" ayat pertama yang Dahlia dengar sebaik menjejakkan kaki di kampung mereka membuatkan jiwa Dahlia berperang dengan seribu rasa.

                     "Oh..ye ke Tam? Lia tak tahu pulak abang Mat dah hidup senang sekarang. Dia dah kerja ke Tam?" Dahlia menyoal dalam nada ingin menyindir. Mak Tam Gayah ni adalah orang kampung mereka yang paling suka bergosip. Ayat-ayatnya pula selalunya berat sebelah. Dia hanya berkata dengan apa yang dia lihat dengan matanya.

                    "Kau tak tahu ke Lia..suami kau tu dah kahwin dengan janda kaya. Mereka buka kedai makan di pekan." Zuppp..terasa panas telinga Dahlia mendengarnya. Kalau betul apa yang wanita di depannya kata, alangkah tidak bergunanya Rahmat itu. Sia-sia saja Dahlia berkorban selama ini. Bekerja kuat untuk memulihkan ekonomi keluarga mereka.

                     ‘’Tak baik Tam, bergurau macam tu.’’ Dahlia cuba menafikannya. Mak Tam Gayah sudah mencebik hingga bibirnya mengherot ke kiri.

                      ‘’Baliklah tengok sendiri. Rahmat tu dah bahagia tanpa kau Lia. Itulah ada suami baik, kau tinggal-tinggalkan. Rahmat tu keramat hidup, kau tahu. Solat tak pernah tinggal, ke masjid dan ke surau setiap waktu tapi kau tak pandai nak hargai dia..’’ Mak Tam Gayah terus berleter. Ayat-ayat keramat itu disebutnya lagi. Dahlia sudah mangli dengan pujian orang kampung pada Rahmat sedangkan Dahlia lebih kenal siapa Rahmat berbanding orang-orang kampung.

                Rahmat memang baik sangat, puasa tak pernah ponteng, solat tak pernah tinggal tapi Rahmat bukan seorang suami yang bertanggungjawab. Rahmat tak pandai jaga hati seorang isteri seperti Dahlia. Selama ini Dahlia diam dan tak pernah ceritakan semua keburukan Rahmat pada sesiapa pun. Dahlia pendam semuanya dalam hati. Andai ada kepincangan dalam rumah tangga mereka, Dahlia akan dipersalahkan. Manusia memang tak pernah adil. Hanya Allah yang tahu derita batin yang Dahlia tanggung.

                 Rahmat solat tapi hanya untuk dirinya sendiri. Dia tak pernah suruh Dahlia solat dan tak pernah bimbing Dahlia dan Anis menuju ke jalan benar. Rahmat lalai dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan ayah. Rahmat tak pernah ajak Dahlia untuk solat berjemaah bersamanya walaupun sekali sekala dia akan solat di rumah. Hanya Dahlia yang selalu meminta. Itu pun Rahmat selalu gugup dan salah tingkah dalam solatnya. Kerap kali juga Dahlia tukar niat untuk keluar dalam solat jemaah mereka.

               Setiap kali Rahmat menjadi imam dalam solat bersama Dahlia, dia akan solat terlebih rakaat. Dahlia sendiri keliru ketika bersolat bersama Rahmat. Nak harapkan Rahmat mengajaknya solat di masjid atau surau, memang tak pernah Rahmat ajak. Di mana baiknya Rahmat sebagai seorang suami? Dahlia keliru dengan pujian orang-orang kampung. Rahmat hanya nampak baik di luarannya tapi Rahmat gagal untuk membimbing isteri dan anaknya menuju ke Jannah. Rahmat seorang suami yang gagal dalam segala urusannya.

**************

                 Dahlia masuk ke dalam rumah mereka tanpa rasa sangsi. Apa yang didengarnya ditolak ke tepi. Dahlia tak percaya Rahmat akan menduakannya. Rahmat selalu berterima kasih setiap kali Dahlia mengirim duit. Bila Dahlia pulang ke kampung walaupun sebulan sekali Rahmat tetap melayannya dengan baik. Takkanlah Rahmat sanggup memberinya madu dalam diam?
           
                      "Sayang.." suara Rahmat, tapi Rahmat panggil siapa, dia tak pernah panggil Dahlia dengan panggilan sayang sepanjang perkahwinan mereka.

                      "Alaa..abang ni gatalnya." suara seorang perempuan yang sedang merenggek dan ketawa galak. Jantung Dahlia seakan terhenti. Dia akhirnya berjalan perlahan-lahan ke arah bilik yang hanya ditutup dengan langsir tanpa pintu.

                     Mata Dahlia seakan ingin keluar menyaksikan adegan di depan mata. Allah, beratnya ujianMu ini. Apa yang harus aku buat? Berdepan dengan mereka atau bawa diri dan tak kembali lagi ke sini?

                  "Assalamualaikum. Bahagianya mereka.." Akhirnya, keputusan pun dibuat. Dahlia cuba mengawal diri dan berlagak selamba. Dua merpati sejoli yang sedang berasmara di dalam bilik terus terhenti dan melompat bangun. Masing-masing sedang sibuk mencari pakaian sendiri.

                  "Lia? Kenapa tak cakap nak balik?"

                  "Kalau Lia cakap, tentu Lia tak berkesempatan nak menyaksikan free show 18sx depan mata Lia, kan?" selamba badak saja Dahlia menjawab sedangkan Rahmat sudah mengelabah separuh nyawa. Setahun lebih Dahlia mengirim wang ribuan ringgit padanya setiap bulan hingga dia boleh membuka kedai makan dan berkahwin dengan bekas kekasihnya Idayu, tak sangka hari ini tembelangnya akan pecah juga.

                   "Apa Lia cakap ni? Kami bukannya berzina. Kami suami isteri yang sah!" Rahmat sedang menegakkan benang yang basah.

                    "Ada Lia cakap abang berzina ke?" Dahlia menjawab dengan wajah yang masih tenang. Namun, hati di dalam sudah mula terbakar bagaikan lahar gunung berapi yang sedang menunggu masa untuk meletus.

                   "Habis tu, kenapa nak sindir kami pulak?" seperti tadi, Rahmat masih tidak mahu mengaku salah. Meminta maaf, jauh sekali.

                  "Ehh..bila pulak Lia sindir. Yang abang terasa, kenapa? Abang dah buat salah ke?" Dahlia pula terus berkata seolah-olah dia langsung tak punya perasaan. Dia sedang menahan api marahnya daripada terus merebak dan terbakar.

                 "Memang! Banyak sangat salah Lia dengan abang..." tiba-tiba Rahmat menukar topik. Rahmat terus membebel tentang kesalahan Dahlia satu persatu. Telinga Dahlia tiba-tiba berdengung, suara Rahmat bagaikan suara lalat yang berbunyi menghurung sampah yang busuk. Dahlia berpaling dan...

                 "Arghhhhh..." nyaring sekali jeritan Dahlia. Kalau boleh dia ingin menikam kedua-dua makhluk yang sedang berada di depannya. Dahlia rasa mereka hanya dua ekor semut yang sangat berbisa dan sedang mengigit Dahlia. Mahu saja Dahlia menginjak kedua-duanya sepuas hati.

                  "Lia tu tak menghargai kami. Tergamak Lia tinggalkan abang dan Anis? Lia pergi macam tu saja, walaupun abang tak izinkan. Dalam hal ni Lia yang bersalah. Abang ni lelaki Lia, hidup abang sunyi dan abang perlukan teman." Memetir ayat-ayat yang masuk ke telinga Dahlia. Berdentum terus masuk ke hati. Fikiran Dahlia sedang berkerja keras menelan semua kata-kata itu.

                 Akukah yang bersalah? Niat aku cuma untuk memberi kesenangan kami sekeluarga. Rahmat tak mahu keluar mencari kerja, jadi aku galas tanggungjawab dia tanpa berfikir panjang. Inikah balasan yang aku dapat?

                 "Kenapa abang macam ni? Abang hanya nampak salah Lia. Jangan nak berat sebelah abang. Ramai perempuan di luar sana hidup terpisah dengan suami mereka bila suami mereka keluar bekerja. Tentera, TLDM, TUDM, Pilot, abang ingat mereka tu semua keluar bekerja bawa keluarga ke? Tapi..isteri mereka masih setia di rumah. Mereka tu lagi lama ditinggalkan, sekurang-kurangnya Lia ni balik juga sebulan sekali. Di mana salah Lia abang?" Dahlia menjawab balas penuh emosi.

                     "Pernah abang suruh Lia buat semua tu? Ada? Jangan nak bandingkan orang lain dengan abang. Mereka semua tu berbakti untuk negara. Lia hanya pentingkan diri sendiri!"

                    Allah..pedihnya ayat-ayat yang Rahmat ungkapkan. Aku pentingkan diri sendiri? Aku buat kerja lebih masa hingga kurang rehat. Bila cuti aku pulang ke kampung dan menguruskan rumah yang berantakan pula. Luar dan dalam rumah aku bersihkan. Aku layan dia bagaikan raja setiap kali aku pulang. Di mana salahnya aku? Dahlia terus berdialog di dalam hati.

                     ‘’Selama ni Lialah yang pentingkan diri sendiri? Abang? Bagus sangatlah jadi suami yang bergelar sura rumah tangga, makan duit isteri, lepas tu senang-senang saja nikah lagi satu? Bagus sangatlahkan, jadi suami yang dayus macam abang?’’ meletus juga kata-kata yang Dahlia pendam selama ini.

                      ‘’Dahlia Asrina!!!’’ berdentum suara Rahmat bagaikan halilintar. Dahlia pula terus mengangkat kaki dan keluar dari rumah mereka. Ikutkan hatinya, banyak lagi ayat yang ingin dihamburkannya namun, air matanya pula yang sedang menunggu untuk meluncur laju. Dahlia tak kuat untuk berperang dengan perasaannya sendiri. Itulah kelemahan Dahlia selama ini.

**********

                 "Padan muka Lia, yang Lia rajin sangat pergi bekerja jauh-jauh tu, kenapa? Dah tu bagi pulak duit kat Rahmat tu, semakin melemaklah dia. Kerja pemalas, hidup bagaikan lintah, menghisap darah saja kerjanya. Daripada Lia bagi duit kat dia, baik Lia bagi duit kat mak, ada juga faedahnya."

                Dahlia mengeluh keras, emak sendiri pun menyalahkan dia, belum lagi mengadu pada ayahnya tentang nasib dirinya ini. Pada abang dan kakaknya pun belum lagi Dahlia khabarkan atau mereka semua sudah tahu?

                     "Ayah tahu tak mak, abang Mat kahwin lagi?"

                   "Ehh..sejak bila pulak aku dan ayah kau tu sepakat? Kenapa? Kau nak adu pada ayah kau pulak ke? Baik tak payah Lia, nanti duit simpanan kau semuanya ayah kau rembat. Haa..alang-alang kau dah balik ni bagilah mak duit sikit. Mak nak tambah dapur rumah mak, bila anak cucu balik nanti taklah sempit sangat rumah tu. Berapa yang kau ada?"

                   Air mata Dahlia sudah bergenang. Pada siapa lagi harus diadu nasibnya ini? Emak kandung sendiri pun sedang mengambil kesempatan atas kelemahan dirinya. Ya Allah, bantulah hambaMu ini. Aku buntu dan aku letih dengan semua dugaan ini.

                   "Lia tak ada duit simpanan mak, semuanya Lia dah bagi pada abang Mat." Dahlia membalas juga kata-kata emaknya sebentar tadi. Dahlia bahagikan duit sama rata dengan Rahmat. Bahagiannya sudah habis dibelanjakan untuk diri sendiri, selebihnya dijadikan modal untuk perniagaan nasi lemak dan kuih muih. Kalau ada sedikit simpanannya untuk dibuat modal seterusnya.

                  "Kau memang bodoh Lia! Sekarang ni apa yang kau dapat? Kalau kau bagi mak, dapat jugak pahala."

                    "Kenapa mak buat Lia macam ni? Mak sama saja macam orang lain. Tak pernah memihak pada Lia, yang mak tahu duit, duit, duit.."

                   "Kau nak suruh mak buat macam mana Lia? Duit tu yang paling penting dalam dunia ni. Ada duit orang pandang, tak ada duit orang keji. Tengok macam kau, masa kau ada duit Rahmat puji kau, sekarang duit kau dia dah kebas, dia buang kau macam anjing kurap."

                  Allah..pedihnya mendengar ayat-ayat itu kerana ada benarnya. Dahlia bagaikan anjing kurap yang sudah tidak berguna lagi. Kini Rahmat sedang berbahagia dengan isteri baru. Anis pun sudah membuang dia, dengan Idayu dipanggilnya mama. Dahlia ni sudah tidak dipandang lagi. Keluarga mertuanya pun sudah pulaukan Dahlia. Kata mereka Dahlia isteri yang tidak tahu bersyukur, dapat suami yang baik seperti Rahmat pun ditinggalkan. Sekarang ni siapa yang tinggalkan siapa?

***********

                   "Ceraikan Lia abang, Lia tak mahu bermadu, lagi pun Lia tahu abang lebih sayang dia dan Lia juga tahu Lia ni sudah tak wujud lagi dalam hati abang."

                   "Mana kau tahu? Kau pernah tengok hati aku ke? Kaukan bank aku, kenapa pulak aku tak sayang kau? Aku sayang kau lebih daripada segalanya Lia. Tanpa kau Lia, aku takkan dapat apa yang aku ada sekarang ni. Tanpa kau Lia, tentu aku takkan dapat peluk Ayu macam sekarang. Kau ni berguna sangat untuk aku Lia, rugi kalau aku ceraikan kau."

                 "Abang ingat, Lia akan terus diperbodohkan ke? Dah setahun lebih abang tak bagi Lia nafkah, Lia yang hulurkan abang duit..dan Agama Islam itu indah abang. Islam juga adil dan saksama. Tak apalah, abang tak nak ceraikan Lia, kita jumpa di mahkamah syariah nanti. Lia akan tuntut cerai taklik. Assalamualaikum."

                      Dahlia terus berlalu dan tidak berpaling lagi. Hati dan fikirannya sedang berperang sendiri. Manusia memang tak pernah adil tapi Allah tu Maha Adil. Pasti ada jalan penyelesaiannya. Ingat Lia, Allah bukan sengaja nak menghukum kau. Pasti ada hikmah yang Allah sediakan untuk kau dikemudian hari. Dahlia memujuk diri sendiri. Hanya itu saja caranya untuk membantu dia tenang berfikir dan membuat keputusan.

*************

                 Dahlia mengamuk sakan hari ini. Berkali-kali dia menjadi tunggul di mahkamah syariah namun Rahmat tidak menghadirkan diri. Setiap kali dia pergi, dia diceramahkan oleh ustaz yang bertugas agar perkara perceraian itu dibawa berbincang terlebih dahulu.

                  "Allah benci hambaNya yang meminta cerai. Bukan mudah untuk membina sebuah masjid, kenapa nak diruntuhkan masjid itu? Isteri-isteri Nabi Muhamad SAW dulu pun bermadu, bukan seorang tapi ramai..mereka tetap hidup bahagia." terngiang-ngiang lagi di telinga Dahlia ceramah khas yang diberi untuknya. Masalahnya..kenapa nak dibandingkan Rahmat dengan Nabi Muhamad SAW, kekasih Allah itu?

                    "Kenapa buat Lia macam ni? Apa hak abang untuk persendakan hidup Lia. Abang dah bahagia dengan isteri baru abang. Lia juga nak bahagia macam orang lain! Ceraikan Lia sekarang! Biar mereka semua ni jadi saksi. Ceraikan Lia!"

                    "Istighfar Lia. Abang masih sayangkan Lia. Salahkah berkongsi kasih? Ayu tak kesah pun boleh bermadu dengan Lia, takkan Lia tak boleh beralah."

                    "Betul tu Lia..apa salahnya kita bermadu. Kami bukannya baru berkahwin, dah setahun kami kahwin Lia, sebelum ni okey saja kita berkongsi suami." lembut sungguh kata-kata Idayu madunya. Semua mata yang memandang adegan di dalam kedai makan ini sedang bersoksek sesama sendiri.

                  "Oh..sudah setahun, pandai betulkan abang? Bijak sungguh! Tahniah abang! Tahniah yang tidak terhingga kerana berjaya memperbodohkan Lia dan mengambil kesempatan atas keikhlasan Lia. Tapi..abang kena tahu satu perkara. Dosa seorang suami isteri takkan tanggung tapi dosa seorang isteri suami yang tanggung. Kalau abang nak terus tanggung dosa-dosa Lia, silakan gantung Lia selamanya. Silakan buat apa yang abang suka, tapi kalau abang nak suruh Lia taat dan setia pada abang macam dulu, jangan harap!"

                    Sekali lagi Dahlia gagal dengan misinya. Semua orang yang tidak tahu cerita sebenar akan mengutuk Dahlia. Semua orang akan menjadi hakim dan menghakimi Dahlia. Biarkan! Kalau itu membuatkan korang rasa bahagia, teruskan! Dahlia berdialog lagi dengan diri sendiri. Rahmat dan Idayu yang sedang berhadapan dengannya direnung tajam. Dahlia pandang pula orang sekelilingnya, pelbagai riak wajah dipamerkan.

                     "Lia..jangan terus jadi bodoh. Lia sudah lama jadi isteri derhaka. Kalau Lia mati tanpa restu abang, neraka tempat Lia."

                     "Haa..dosa Lia abang nampak, dosa abang macam mana? Nafkah Lia yang abang abaikan selama ni macam mana? Lia nak balik semua duit yang Lia laburkan untuk abang. Kembalikan semua duit Lia, kalau tak..Lia akan saman abang."

                     "Buruk siku Lia, bagi minta balik."

                   "Peduli apa Lia buruk siku ke apa? Itu duit Lia, hasil titik peluh Lia, hasil penat jerih Lia.."

                  "Apa semua ni Lia? Apa maksud Lia? Duit apa yang Lia cakapkan tu?" Sedang mereka bercakaran, suara seseorang mencelah. Ibu mertua Dahlia bersama salah seorang kakak iparnya sedang berdiri di belakang Dahlia.

                 "Entahlah mak, Lia ni sengaja nak fitnah abang, kononnya abang gunakan duit dia untuk buka kedai ni, padahal Ayu yang beri abang duit tu." Berdesing telinga Dahlia mendengarnya. Tak pernah pun dia cakap Rahmat buka kedai dengan duit dia. Dia cuma minta duit dia kembali.

                   "Ehh..kau jangan cuba nak fitnah aku ya, perempuan? Aku cuma minta duit aku semula. Pernah ke aku cakap Rahmat buka kedai ni dengan duit aku?" Dahlia membalas kata-kata Idayu dengan nada suara yang lebih tinggi.

                   "Cukup! Tak malu ke bergaduh depan orang ramai ni. Malulah sikit, nanti tak pasal-pasai viral dalam media sosial. Yang sedang record tu jaga-jaga, kalau saya jumpa sesiapa yang upload dalam internet, saya saman semuanya." sambil menegah Dahlia dan Idayu bertikam lidah, Rahmat juga memberi amaran pada orang ramai. Malu dia bila aib dia sebagai suami dicanang Dahlia. Masyarakat sekarang bukan suka menyiasat perkara sebenar. Masing-masing suka sangat membuat penilaian sendiri.

                      "Apa cerita sebenarnya ni Mat. Siapa yang ambil duit siapa? Mat bagitau mak, Mat pinjam duit bank untuk buka kedai ni."

                       "Tak ada apalah mak, nanti kita bincang di rumah."

************

                   "Jujur dengan mak, duit siapa yang Mat guna untuk buka kedai tu? Siapa yang bagi Mat duit." Puan Sariyah bersuara tegas. Dia tidak suka ditipu oleh anak sendiri.
           
                  "Sebenarnya..memang duit Lia mak. Lia yang kirim duit pada Mat setiap bulan dan Mat buat modal untuk buka kedai tu. Keuntungan yang Mat dapat, Mat gunakan untuk melamar Ayu. Mat mana ada duit mak, nak makan dua beranak kami pun tak cukup."

                 "Jadi, selama ni Mat tipu mak la?"

               "Alah..tipu sikit saja mak. Bukan seratus peratus Mat guna duit Lia." Rahmat menipu ibunya pula. Dia mana ada duit langsung. Sejak Dahlia bekerja, dia langsung tak keluar bekerja. Duit berkepuk dalam bank, pergi keluarkan saja, buat apa susah payah cari duit lagi. Dahlia memang bodoh.

                "Berapa ratus duit Lia yang Mat dah guna?" ibu Rahmat terus menyoal.

                 "Bukan ratus mak, ribuan jugak Lia kirim, entah-entah Lia jual badan di tempat orang tu mak. Dia pernah cerita dengan Mat, rumah sewa dia tu sebelah hotel tiga bintang." Demi menyelamatkan dirinya sendiri, Rahmat mereka-rekakan cerita, padahal setiap kali Dahlia pulang ke kampung, Dahlia akan cerita daripada mana hasil pendapatan yang diperolehinya.

                "Mat ada bukti ke? Kalau tak ada bukti, jangan tuduh melulu Mat. Fitnah tu.."

                    "Mak cuba bayangkan...bulan pertama dia pergi seribu lebih dia kirim pada Mat, bulan kedua hampir dua ribu ringgit, semakin lama semakin banyak jumlah duit yang dia kirim. Bos mana yang baik hati sangat sampai sanggup bagi duit sebanyak tu untuk dia? Lia cuma kerja di nursery saja mak." Rahmat masih cuba menegakkan benang yang basah, kesilapan dan kelalaian diri sendiri sebagai seorang suami, tidak pernah diakuinya.

                     "Jangan yakin sangat Mat. Lia memang tak pernah cerita apa-apa pada mak tapi anak kak long kamu pernah bagitau mak, Lia buat dua tiga kerja di Cameron tu. Lia pun buat kerja online untuk cari duit lebih."

                  "Siapa? Anak kak long yang mana? Mana dia tahu?"

                    "Syada la, siapa lagi. Mak tanya juga dia, tahu dari mana. Katanya dari apa, pesbuk ke apa? Tak pandailah mak nak menyebutnya."

                     "Facebook? Mat dah lama tak buka facebook mak, sibuk sangat sejak buka kedai ni. Laris pulak jualan kami. Mungkin berkat dapat isteri baru, kan mak? Sedap pulak Ayu masak."

                    "Ya la tu. Isteri baru jugak yang kamu nampak. Lia tu macam mana? Jangan gantung dia lama sangat, kalau kamu dah tak ada perasaan dengan dia, lepaskan dia dengan elok."

                    "Mat masih sayangkan Lia mak, Lia tu saja yang degil. Dulu pun Mat tak izinkan dia pergi Cameron tu, dia yang gatal nak pergi. Mat pun tak pernah minta dia kirim duit, dia yang hantar sendiri."

                  "Mat pernah ke bagi dia duit?"

                 "Lia dah banyak duit, buat apa Mat nak bagi dia duit lagi?"

                      "Sejak bila tu?"

                       "Sejak dia kerja di sana la mak."

                       "Mat, Mat..sepatutnya Mat kena tahu, tiga bulan nafkah zahir dan batin kamu tak tunaikan, taklik akan jatuh dengan sendirinya. Kamu, dah berapa bulan tak bagi nafkah zahir dan batin pada Lia?"

                  Rahmat berjeda lama, dia sedang menghitung di dalam mindanya. Nafkah batin, ada juga dia beri ketika rahsianya berkahwin dengan Idayu belum terbongkar, nafkah zahir mungkin sudah lebih setahun tidak dihulurkan sesen pun pada Dahlia.

                 "Entahlah mak, Mat pun tak ingat." semudah itu Rahmat menjawab. Tergeleng kepala Puan Sariyah tanpa sedar.

**********

                       Akibat semua tekanan yang Dahlia hadapi, Dahlia berubah terus. Dahlia hilang keyakinan diri. Dahlia jatuh tersungkur di kaki nafsu diri sendiri. Dahlia ubah imejnya daripada wanita muslimah yang berbaju longgar dan labuh, bertudung labuh paras dada menjadi sebaliknya.

                    Kini Dahlia menjadi Dahlia yang baru. Dia masih berbaju kurung, cuma bajunya semakin sendat mengikut lekuk tubuh. Tudungnya semakin singkat dan berfesyen baru. Dahlia yang menjaga batas dengan lelaki kini mula terdedah pada pergaulan bebas. Alah..yang akan tanggung dosa bukan aku. Allah..ampunkan dosa aku, padamu aku berjanji, bila Rahmat sudah ceraikan aku nanti barulah aku berkelakuan elok semula.

                  Ceteknya pemikiran Dahlia, kerana tekanan yang bertali arus, dia menjadi buta hati. Imannya jatuh tersungkur seperti dirinya juga. Solatnya juga sering terabai, kadang-kadang dia solat, kadang-kadang tak..pernah juga  langsung tak solat. Rahmatkan ada..biar dia yang tanggung semua dosa tu.

                 Rahmat suami dayus kerana membiarkan aku terkontang kanting sendiri meniti hidup yang penuh dengan kepalsuan. Rahmat suami yang tidak bertanggungjawab dan mengabaikan semua nafkah untukku. Ada suami bagaikan tiada, untuk apa aku taat padanya lagi? Untuk apa? Semua keikhlasan aku tak pernah dihargai.

                  Dahlia juga sudah berpindah rumah dan tinggal di asrama yang disediakan oleh encik Jabbar. Dia juga tak mahu dipergunakan lagi oleh Maznah. Letih dia memasak dan mengeluarkan modal untuk berniaga tapi Maznah sebagai rakan serumah, senang-senang saja mengaut untung untuk dirinya. Sekarang ni Dahlia hanya bekerja di nursery saja. Dia sudah tidah perlu risau dengan perbelanjaan dirinya dan tak perlu bekerja keras lagi untuk mengumpul duit. Semua usaha dia, tidak dihargai pun oleh orang lain. Mereka semua hanya ingin bahagia seorang diri sedangkan Dahlia yang banyak makan hati.

***********

                     Letih betul menjadi seorang isteri pelarian yang masih keliru dengan status sendiri. Masihkah aku bergelar seorang isteri atau sudah jatuh takliknya?
           
                Dahlia mengemas kini status terbarunya di dalam facebook selepas membaca sebuah artikal yang dikongsi oleh rakan facebooknya. Cerai taklik jatuh bila suami tinggalkan aku melebihi empat bulan berturut-turut tapi sekarang ni aku yang tinggalkan suami dan dia sedang mengantung aku tidak bertali. Ada orang kata, aku perlu meminta fasakh, ada yang kata aku kena tuntut cerai berbayar kerana aku yang lari tinggalkan rumah.

                 Cerai apa tu kena bayar? Ada juga ke bercerai, perempuan kena bayar. Dahlia membuat reseach pasal cerai tersebut.

                      Tebus talak. Kalau seorang isteri yang sudah tidak suka dengan suaminya lagi, dia boleh menebus talak dan membayar sejumlah wang pada suaminya.

                     Dahlia ternganga..boleh ke aku tebus talak. Kan senang kalau taklik sudah jatuh. Rahmat buat taklik ke masa nikah dulu? Dahlia tanya diri sendiri. Pernahkah Rahmat bertaklik. Soalan tu berulang-ulang dalam fikirannya.

                     Kalau aku gunakan alasan duit yang aku beri pada Rahmat tu, boleh ke aku tebus talak? Dahlia keliru, tidak sangka sukar juga untuk bergelar janda. Setiap kali tengok tv macam senang saja artis atau pelakon bercerai berai. Realitynya semuanya kena ada syarat dan bukti yang kukuh.

                     "Kau buat apa tu Lia?" suara itu membuatkan Dahlia mengalihkan tumpuannya dari skrin telefon bimbit di tangan.

                     "Tengah buat reseach.." selamba saja Dahlia menjawab.

                      "Hah?" sepatah saja kata disusuli dengan mulut yang ternganga luas. Dahlia menoleh sepintas lalu dan kembali mencari tajuk mengenai tebus talak.

                      "Aku tanya ni Lia, tiba-tiba saja buat reseach, pasal apa? " Iris rakan serumah baru Dahlia menyoal lagi sambil duduk di sebelah Dahlia.

                        "Aku letih betul digantung tak bertali. Aku pergi pejabat agama, soal mereka yang lebih berilmu aku diceramahkan mereka. Semua orang salahkan aku dan suruh aku kembali ke pangkal jalan. Aku letih dengan kerenah manusia, langsung tak adil. Nak salahkan Allah, aku ni hamba saja."

                       "Ishh..engkau ni Lia, cakap macam orang tak ada pedoman. Jangan prasangka buruk dengan Allah. Ada tu hikmah yang kau belum nampak."

                      "Aku tahu!"

                      "Dah tu..bersabar sajalah. Perkara ni kalau kau sabar dan hadapi dengan tabah pasti akan selesai juga suatu hari nanti."

                    "Sampai bila aku nak bersabar? Selama ni aku yang banyak beralah."

                    "Kuatkan hati kau Lia, ujian kau ni kecil jika dibandingkan dengan orang lain."

                   "Kau sembang senanglah. Cuba kau ada di tempat aku."

                    "Memanglah, nak sembang semuanya senang, sekurang-kurangnya aku dah nasihat kau, nak ikut ke tak..itu hak kau."

                     "Aku sedang ikhtiarlah ni..Rahmat ni pun satu, pentingkan diri sendiri. Kalau dia bekerjasama, kan senang kerja aku. Ni tak, ada hati nak gantung aku macam tu saja."

                    "Aku ada idea Lia. Dulukan..aku pernah dengar cerita, ada sorang perempuan ni tak suka suami dia..suatu hari tu dia tanya suami dia. Abang, macam mana orang boleh bercerai. Suami dia pun cakap, aku ceraikan kau dengan talak satu..jatuhlah talak. Maka..dengan sendirinya talak pun jatuh dengan kebodohan suami dia."

                  "Kau ingat, laki aku sebodoh tu ke?" Dahlia bertanya balas.

                 "Manalah aku tahu, laki kau pun aku tak kenal." Iris menjawab dengan nada suara bersahaja. Dia tak pernah tanya dan tak ingin ambil tahu pun siapa suami Dahlia. Dia tak ingin kenal lelaki yang tak bertanggungjawab macam tu. Dia jemu dengan lelaki yang berperangai sebegitu.

                   ‘’Tapi..aku tahu suami kau tu memang bodoh sebab lepaskan isteri yang cantik dan sebaik kau Lia.’’ Iris menyambung kata sambil menepuk bahu Dahlia dan terus bangun meninggalkan Dahlia yang sedang memikirkan masalah sendiri.

                     Huh!  Rahmat memang bodoh kerana curang dengan aku yang sangat setia. Semoga Allah bayar cash dan Idayu tu lari dan tinggalkan dia untuk bersama lelaki lain pula. Aamiin. Semoga Allah bagi kifarah untuk dia dan dia akan gila talak dengan aku, lepas tu bolehlah aku jual mahal dan nikah dengan lelaki lain pula. Hahahaha..

                  Dahlia mula berangan dan berdoa, agar segala perbuatan Rahmat terhadapnya akan mendapat balasan setimpal. Sesungguhnya doa, hambaNya yang teraniaya  akan termakbul juga. Mungkin bukan hari ini, tapi in sha Allah..suatu hari nanti. Hanya Allah yang tahu.

********

                Entah kali yang ke berapa Dahlia menjejakkan kaki ke Mahkamah Syariah dan dia berharap sangat Rahmat akan hadir hari ini.Sebelum datang ke sini, Dahlia sudah menghubungi Rahmat dan mengugut Rahmat, kalau dia tidak mahu berkerjasama juga kali ini..Dahlia akan membuka semua rahsia Rahmat dan mendedahkannya dalam media sosial.

                 Dahlia juga manusia biasa dan Dahlia juga ingin bahagia seperti orang lain. Dia ingin bebas dan memulakan hidup baru. Dahlia tidak mahu terus hanyut dalam derita. Ada suami tapi terpaksa bermadu dan digantung tidak bertali. Sakitnya bagaikan leher dijerut namun tak mati. Hanya terseksa menahan sakitnya.

                    "Datang pun, ingatkan tak nak datang, Lia dah bersedia nak buat video live tadi." terpacak saja Rahmat di depan mata, Dahlia mula membuat ayat. Dalam masa yang sama Dahlia turut bersyukur.

                   "Lia ingat Lia tu baik sangat. Semua keburukan Lia tu abang ada tau. Lia tu depan orang saja berlagak alim. Solat pun bukannya betul sangat pun. Kalau abang nak, abang pun boleh buka keburukan Lia pada semua orang." Rahmat tidak mahu kalah, dia juga turut mengugut Dahlia.

                     "Abang tu suami, kalau abang buka keburukan Lia, sama macam abang buka keburukan diri sendiri. Suami tu yang harus bimbing isteri, kalau isteri bengkok..maknanya abang tu pun bengkok sama." Dahlia membalas dan tersenyum sinis. Rahmat mengengam penumbuk kerana tidak dapat melawan hujah Dahlia. Geram tapi dia tiada pilihan.

                   Mereka masuk ke dalam Mahkamah Syariah bersama. Dahlia siap berdoa di dalam hati agar perkara ini selesai dengan segera. Dia mampu hidup tanpa Rahmat cuma bila memikirkan Anis hatinya jadi sedih namun dia tak mahu memaksa. Kalau Anis tak mahu ikut dia, biarlah Anis tinggal bersama Rahmat. Sejak kecil, Anis lebih rapat dengan Rahmat berbanding Dahlia.

               "Okey..puan dah banyak kali datang sini untuk memohon cerai tapi suami tak hadir. Hari ini suami hadir, kan?" ustaz yang bertugas mula menyoal sebaik saja mereka duduk. Dahlia hanya mengangguk sambil menoleh ke arah Rahmat.

                 "Puan pernah minta cerai taklik, jadi saya nak tanya suami puan, encik Rahmat..pernah bertaklik ke?" giliran Rahmat pula disoal. Perlahan-lahan Rahmat mengangguk.

                  "Pernah? Tolong bacakan."

                 "Bacakan?" Rahmat menyoal kembali. Otaknya tepu dan tak dapat berfikir dengan waras.

                "Bacakan taklik yang pernah dilafazkan tu.."

                     "Boleh ke? Saya tak ingat ustaz cuma yang saya ingat, kalau tiga bulan nafkah tidak dibayar talak akan jatuh." Rahmat menjawab sambil menunduk dan memandang lantai. Dia terasa sangat malu seperti sedang diperhatikan oleh semua orang yang ada dalam mahkamah syariah ini.

                 "Tiga bulan? Puan Dahlia, dalam fail ni puan pernah mengadu suami puan tidak membayar nafkah pada puan sudah setahun enam bulan sepuluh hari. Maknanya talak sudah jatuh kerana taklik tidak boleh ditarik balik."

                      Dahlia mengangkat kepala dan memandang lama wajah ustaz yang bertugas. Rasa macam nak ucap terima kasih sekarang juga, tapi Dahlia tahan perasaan suka dia tu. Rahmat pula sudah menundukkan kepalanya kembali kerana menahan malu.

                      "Ustaz..selama setahun lebih dia tak bagi nafkah tu, saya yang hantar duit pada dia, kalau saya nak minta balik duit yang saya bagi tu, boleh tak?"

                    "Macam mana tu? Selama ni puan yang bagi duit pada suami puan?"

                     "Ya saya."

                       "Ini kes special ni tapi ianya di luar bidang kuasa saya. Puan kena berbincang dengan suami puan atau bawa kes tu ke mahkamah keadilan untuk menuntut duit tu semula kalau suami puan tak mahu berkerjasama."

                      "Oh..terima kasih kalau macam tu. Sekarang ni saya nak tanya tentang status saya, adakah saya sudah diceraikan?"

                   "Mengikut pengakuan encik Rahmat dan aduan puan pasal nafkah tu, talak memang dah jatuh dan puan cuma perlu beriddah sekarang ni selama empat bulan sepuluh hari."

                     "Tapi..saya masih ada kemushkilan ustaz. Sebelum ni saya bekerja di Cameron dan suami saya masih di kampung. Saya akan pulang sebulan sekali dan kami akan bersama, cuma kata ustaz tadi tiga bulan nafkah tak dibayar talak dah jatuh. Kalau dalam masa tiga bulan tu kami bersama, adakah kami berzina?"

                       "Kalau talak dah jatuh dan puan dan suami bersama sebelum habis eddah, itu dikira sudah rujuk semula tapi kalau sudah habis eddah..bersama tanpa nikah semula itu dikira berzina."

                    "Macam mana pula dengan kes kami?" Dahlia masih ingin tahu lebih lanjut. Dia ingin pulang dengan minda yang kosong tanpa persoalan yang akan membelengu fikirannya lagi.

                 "Saya cadangkan puan dan encik balik buat solat sunat taubat dan perbanyakkan istighfar, sebab itulah suami dan isteri ni tak boleh pandang ringan tentang ilmu nikah kahwin ni. Bila terjadi kes macam ni tak ada siapa yang boleh tolong melainkan Allah. Bertaubatlah dan kembali pada Allah. Hanya Allah yang boleh memberi pengampunan."

                   "Oh..terima kasih ya, ustaz. Ni kes kami, kira dah selesailah ni?" Dahlia masih inginkan kepastian. Rahmat terus membisu tanpa kata, dia hanya membiarkan Dahlia yang bersuara sejak tadi. Lidah Rahmat sudah kelu dan tak mampu untuk menyusun sebarang ayat.

                   "Kalau bab tu terpulang pada puan dan encik ni, selesai atau tak, puan dan encik yang tentukan. Encik Rahmat, diam saja tak ada apa-apa nak komen ke?" Rahmat hanya mengeleng dan tersenyum pahit. Perasaan malu terlalu menebal dalam dirinya seakan sedang ditelanjangkan di khalayak ramai. Jahilnya dia sebagai seorang suami.

                  "Kalau macam tu, sekali lagi terima kasih, kami balik dulu." Dahlia bangun dan minta diri. Dikerlingnya Rahmat di sebelah, perhitungannya dengan Rahmat belum selesai. Dia akan tuntut balik duit yang diberinya pada Rahmat. Nak buruk siku ke apa, biarlah..asalkan dia dapat duit dia semula.

                     Dahlia menarik nafas lega. Keluar saja dari Mahkamah Syariah Dahlia tersenyum lebar. Rasa beban di bahunya berkurangan sikit. Dia benar-benar bersyukur walaupun statusnya kini sudah bertukar. Ah..janda pun jandalah. Jodoh dah tak ada, nak buat macam mana. Mudah saja falsafah Dahlia. Dia tak peduli kalau orang ramai akan pandang serong pada statusnya selepas ini.

                      Manusia memang suka menilai orang lain sesuka hati tapi kebanyakan manusia yang suka menjaga tepi kain orang terlupa untuk melihat kain sendiri hingga kain mereka sendiri koyak rabak pun mereka tak perasan.

                   "So..encik Rahmat, mulai hari ini kita dah tak ada hubungan lagi..cuma pasal duit tu, jangan lupa masukkan dalam akaun bank saya setiap bulan. Tak ada banyak, masukkan sikit-sikit, saya tak nak paksa cuma jangan tak masukkan langsung, yang tu memang mendatangkan marah. Okeylah..saya gerak dulu, buah hati saya dah tunggu tu. Khan! I' m coming!"

                    Sengaja Dahlia memanggil nama rakan sekerjanya itu. Dia bukan datang seorang, dia ditemani oleh seorang pekerja Bangladesh ke sini sekadar untuk memberitahu Rahmat bahawa dia tidak keseorangan. Iris nak menemaninya tapi dia suruh Iris tunggu di rumah dan sediakan makan- makan. Bukan dia tidak berduka cita tapi dia ingin jadi wanita yang tabah. Hidupnya bukan bergantung pada manusia, tapi hidupnya bergantung dengan Allah.

                 "Sebab itulah Lia nak berceraikan? Jangan-jangan Lia dah lama berzina dan menjual badan Lia untuk mendapatkan duit yang banyak." melihat saja pekerja Bangladesh itu datang hati Rahmat bagaikan ditikam. Apatah lagi wajah Khan itu cukup kacak dan berhidung tinggi. Pakej sempurna seorang lelaki. Api cemburu mula membakar dada Rahmat hingga mengeluarkan kata-kata paling berbisa.

                 "So..what? Encik Rahmat peduli apa. Yang penting sekarang ni kita dah zero-zero. Bersyukurlah, sebab awak tak tanggung dosa saya lagi. Awak sepatutnya berbangga sebab saya dah ada penganti awak. Handsome tak pak we baru saya?" seronok betul Dahlia mengiat Rahmat. Melihat wajah Rahmat, Dahlia seakan ingin bersorak gembira.

                  Dahlia sedar, dia tak patut mengajak Khan bersamanya, dia sedar dosa berdua-duaan dengan lelaki bukan mahram cuma dia sekadar ingin beritahu pada Rahmat bukan hanya dia saja lelaki dalam dunia ini. Mungkin caranya agak kebudak-budakan dan tidak matang tapi, ada dia kesah?

                 "Jom balik Khan..I tak sabar nak balik tau." sengaja Dahlia bersuara manja pada Khan, niatnya untuk membalas dendam dengan apa yang pernah dilihatnya di depan mata. Rahmat dan Idayu yang sedang bermadu kasih. Sakitnya hingga sampai ke tulang hitam.

                "Abang takkan bayar sesen pun duit Lia tu!" hangat hati punya pasal Rahmat melaung kuat pada Dahlia yang sudah berlalu pergi. Seminit kemudian, ada mesej yang masuk ke dalam WhatsApp.

Dahlia : Aku takkan halalkan duit tu. Dan aku pun tak kebulur sangat dengan duit kau. Khan aku ni jutawan tau di Bangladesh sana!

Rahmat : Patutlah kau sanggup jual badan kau pada dia.

Dahlia : Kau ada bukti ke beruang?

Rahmat : Bukti dah ada depan mata, nak bukti apa lagi??

Dahlia : Ikut suka kau la monyet, cakaplah apa yang kau nak!

Dahlia sakit hati membaca mesej daripada Rahmat yang berunsur fitnah itu. Dia dengan Khan bersentuhan pun tak pernah. Sengaja dia ajak Khan datang untuk menyakitkan hati Rahmat. Kini dendamnya sudah terbalas. Kalau Rahmat tak nak bayar duit dia, tak guna lagi nak simpan nombor telefon Rahmat. Terus Dahlia senarai hitamkan nombor telefon Rahmat. Puas hati aku!

***************

                Dahlia ingin tahu apa perkembangan terbaru Rahmat dan bekas madunya selepas mereka bercerai. Dia juga ingin tahu apa khabar Anis, anak tunggal mereka. Dahlia stalk semua facebook mereka yang dikenalinya termasuk facebook Idayu.

Isteri pertama suami aku diceraikan kerana dia berzina dengan bangla, patutlah duit berkepuk..jual badan rupa-rupanya. Bukan salah aku kalau rampas suaminya, dia yang tak berakhlak. Kalau korang, nak simpan lagi ke betina macam tu? Korang asyik tuduh aku menyondol rumah tangga orang tapi suami aku tu bukan bodoh, dia tahu pilih antara intan dan kaca.

                  Salah satu status Idayu begitu menyentap tangkai hatinya. Status berunsur fitnah itu mendapat beratus like dan komen. Dahlia kuatkan hati dan cuba baca semua komen.

                 Allah, semua komen mereka membela Idayu dan mengutuk Dahlia bertalu-talu. Dahlia tidak ingin menangis lagi tapi air matanya sudah mengalir bagaikan hujan.Dahlia menampar dadanya berkali- kali, terasa sakit sangat hatinya ketika ini. Dahlia cuba tabahkan hatinya dan membaca lagi komen-komen mengenai status itu.

                 Semua netizen yang memberikan komen, tak ada seorang pun yang Dahlia kenal. Sesedap rasa saja mereka mengutuk tanpa bukti. Hanya kerana beberapa baris ayat, mereka sudah percaya dengan cerita yang disebarkan.

                       Mereka menilai Dahlia tanpa bukti. Dahlia pasti yang memberikan komen itu juga tidak kenal siapa Dahlia. Mudah benar mereka menaip kata-kata, sedangkan kalau perkara itu benar pun kita tidak harus membuka aib orang, inikan pula perkara yang tidak benar dihebohkan.

                      Allah, haruskah aku terus berdiam diri dan membiarkan mereka membuat angkara atau perlukah aku mengambil tindakan untuk membersihkan nama aku semula?Macam biasa hanya pada Allah Dahlia mengadu. Perlukah aku menyaman mereka, kerana telah menfitnah aku? Dahlia bermonolog dalaman lagi.

                       "Lia..are you okey?" Dahlia ditegur seseorang. Dia mengesat air matanya hingga kering sebelum dia menoleh.

                       "Kenapa Lia? Kau sakit ke?" Iris menyoal lagi. Dahlia mengeleng kepala, cuba menyembunyikan gelora di hatinya.

                     "Kau menangis ke Lia? Kau baca apa tu?" bila soalannya tidak dijawab, Iris menyoal lagi, terpandang telefon bimbit di tangan Dahlia, Iris sudah syak sesuatu.

                   "Minta sini handphone tu." terus Iris merampas telefon bimbit Dahlia.

                      "Apa kena mengena dengan kau? Status ni pasal siapa? Idayu tu siapa?" Iris terus menyoal sebaik saja membaca apa yang terpampang dalam skrin.

                   Iris memang tidak pernah ambil tahu siapa bekas suami Dahlia, dia hanya mendengar apa yang Dahlia cerita tapi dia tak pernah menyoal lebih-lebih. Dia ingin menjaga hati Dahlia. Dia tahu hati seorang wanita itu selembut tisu, mudah carik dan selembut kelopak mawar, mudah terlerai.

                    "Bekas madu aku. Bila kami bercerai aku lega sebab aku ingat semua perkara dah selesai tapi aku tak sangka mereka masih lagi cuba mencari salah aku. Aku tak faham dengan manusia macam mereka. Kalau mereka tak nak pulangkan duit aku, aku tak paksa mereka untuk bayar..tapi apa untungnya mereka fitnah aku sampai macam tu sekali?" akhirnya Dahlia lepaskan juga semua perasaannya. Sebak bertandang lagi dan esakan Dahlia berterusan. Iris rasa simpati dan memeluk Dahlia. Diusapnya belakang Dahlia lembut.

                       "Kesian kau Lia. Macam ni la, aku ada cadangan..daripada kau menangis sakit hati macam ni, lebih baik kau block saja semua akaun media sosial bekas suami kau dan isteri barunya tu. Jangan ambil tahu dah pasal mereka. Kalau kau tak baca status macam ni, hati kau pun tak sakit. Komen-komen macam ni walaupun berat sebelah tapi kau kena faham..manusia memang macam tu sifatnya. Sebab itulah Allah sediakan syurga dan neraka. Sekarang ni kau dah bebas dan kau berhak untuk mencari bahagia kau sendiri. Cadangan seterusnya daripada aku, deaktifkan semua akaun laman sosial kau buat sementara waktu. Jom..kita layan drama Korea, best punya. Aku baru download semalam, drama ongoing. Romance comedy story, plus fantasy..hero pun perghhh..lawa baq hang."

                    Panjang berjela Iris berkata, niatnya untuk memujuk Dahlia agar Dahlia tenang semula. Melihat Dahlia menangis, dia pun sebak juga, sebelum dia join Dahlia menangis lebih baik dia pujuk Dahlia dulu.

                 ‘’Tajuk apa? Pelakonnya siapa?’’ Dahlia bertanya dengan perasaan yang sangat teruja.

                 ‘’Melting Me Softly, heronya Ji Chang Wook..’’ Iris menjawab sambil menjeling manja.

                 ‘’Wow..mesti cair habis nanti..’’ Dahlia ketawa dan bangun, dia melangkah laju mengikut Iris ke biliknya. Sesekali layan drama Korea dapat juga melepaskan semua tekanan yang membelenggu perasaannya. Lupakan semua masalah, dan dia akan layan perasaannya dengan menonton atau pun membaca. Dia bebas seketika daripada segala bebanan perasaan.

***********

                   Dahlia meneruskan kerjanya di nursery seperti biasa. Iris yang menjadi rakan sekerja dan paling rapat dengannya, sentiasa ada untuknya. Mereka kerap berbual tentang perasaan dan kehidupan seharian mereka. Hanya Iris yang selalu menjadi pendengar setia.

                      "Lepas bercerai ni apa kau rasa, Lia?" Iris bertanya ragu-ragu. Dia sendiri sudah lima tahun menjanda. Bercerai kerana suaminya berlaku curang juga. Suaminya bermain kasih dengan rakan sekerja, sedangkan dia bersengkang mata mencari duit untuk menyara keluarga.

                  "Rasa apa? Tak rasa apa-apa pun.." Dahlia menyoal kembali dan menjawab bersahaja.

                   "Sunyi? Kau tak rasa sunyi?" Iris menyoal lagi, sekadar ingin tahu perasaan Dahlia kerana sesekali dia juga rasa sunyi kerana tiada suami di sisi.

                  "Perlu ke rasa sunyi tu?" Dahlia masih bermain teka-teki. Perlukah dia ceritakan hal masa lalunya pada Iris. Dia yang sudah digelar pesakit mental kerana selalu berkurung dalam rumah.

                  "Maksud kau, tak sunyilah?" persoalannya terus diajukan.

                  "Aku ada Allah. Dan Allah sentiasa ada untuk aku. Kenapa perlu rasa sunyi? Cukuplah dengan kasih sayang Allah, kerana Allah tak pernah minta balasan." Selamba dan tenang nada suara Dahlia. Dia malas untuk memikirkan tentang masalah dan perasaannya lagi.

                "Tapi..sebagai manusia kita tetap perlukan perhatian, ingin disayangi." Iris masih ingin menguji. Soalan demi soalan terus diajukan. Dahlia memandang Iris tepat ke dalam matanya.

                 "Aku tahu..dan aku faham maksud kau tu. Iris, orang gila tu pun, aku rasa kalau diberi kasih sayang mereka akan waras semula. Orang macam kita yang masih waras ni pun perlukan kasih sayang. Tipulah, kalau aku cakap aku tak perlukan kasih sayang tapi dengan manusia ni payah sikitlah sebab kasih sayang tu tak boleh dipaksa. Tak ikhlas kalau mereka memberi pun. Namun, kadang-kadang ada juga manusia ni yang tak pandai untuk menzahirkan kasih sayang mereka. Mungkin, tanpa kita duga ramai orang yang sedang mendoakan kita. Itu juga dinamakan kasih sayang. Itulah kasih sayang yang sebenarnya, bukan yang 24 jam dok kata I love you, I miss you tu. Yang terucap tu yang kena hati-hati.." panjang lebar Dahlia meluahkan pendapatnya.

                 "Kau rasa, ada ke orang yang masih sayang kau?" Iris bertanya sambil tersenyum, matanya melirik Khan yang berada berhampiran mereka dan sedang mendengar perbualan mereka berdua.

                      "Ada!" yakin sekali jawapan Dahlia.

                       "Siapa?" Iris tanya sambil memandang wajah Khan.

                        "Allah." Jawapan Dahlia membuatkan Iris ketawa bila Khan tiba-tiba menayang mimik wajah sedih.

                        "Selain Allah?" Iris tanya lagi. Kali ini dia pandang tepat ke  dalam mata Dahlia.

                          "Bekas suami aku." dan Dahlia terus tersenyum. Iris beliakkan matanya.

                           "Mana kau tahu?" Iris tanya dengan perasaan curiga. Khan semakin mendekati mereka berdua. Khan seolah-olah turut berminat untuk mendengar jawapan Dahlia.

                        "Sebab rumah tangga dia sedang bergolak sekarang ni. Tentu dia sedang menyesal dan berharap aku balik semula dengan dia." Dahlia berkata dan sengaja melirikkan matanya. Dia menoleh ke belakang dan bertentang mata dengan Khan pula, kemudian dia menoleh ke arah Iris semula.

                        "Amboi..yakin betul kau, kan?" Iris merasa tidak puas hati mendengar jawapan Dahlia. Apatah lagi melihat sikap Dahlia yang selamba.

                       "Well.." Dahlia berkata tanpa perasaan. Sengaja menguji emosi Iris yang sedang serius menyoalnya sekarang ini.

                      "Kau nak balik semula dengan dia ke?" mendengar soalan Iris yang seterusnya, Dahlia ketawa tanpa sedar. Khan terus menguping telinga dan semakin mendekati. Jarak mereka hanya beberapa inci saja dan tubuh Khan  nyaris menyentuh belakang Dahlia.

                       "Tolonglah..aku lagi rela nikah dengan Khan daripada rujuk semula dengan dia." Dahlia berkata lagi dan menjungkit kening. Iris tepuk dahinya sendiri. Khan angkat ibu jari tangan kanannya dan tersenyum lebar.

                   "Kau sayang dia lagi?" soalan Iris yang seterusnya. Khan sudah mula duduk di sebelah Dahlia. Iris mengeleng kepalanya memerhatikan gelagat Khan yang nampak semakin teruja.

                    "Jujurnya..aku tak pernah membenci dia. Buruk-buruk dia pun, kami pernah berkongsi hidup dan kongsi segalanya." Sekali lagi, Iris tepuk dahinya. Khan pula sengaja merapatkan dirinya dengan Dahlia sambil menuding dirinya sendiri. Bertanya dengan isyarat mata, dia bagaimana pula?

                      "Malaikatnya kau.." Iris berkata dan mencebik bibir.

                         "Well.." Dahlia menjawab sambil ketawa dan bangun. Tiba-tiba dia jadi rimas dengan gelagat Khan tapi sengaja berlagak selamba agar Khan tidak kecil hati.

                         "Angkuhnya kau." Iris masih tidak puas hati dengan jawapan Dahlia.

                          "Kau jealous ke?" Dahlia menyoal dan mula membelek bunga dahlia yang ada di sebelahnya. Dia tunduk dan menghidu bunga dahlia yang berwarna merah itu.

                        "Aku cepuk karang, nak?" Iris turut bangun dan mengiat Dahlia. Dahlia ketawa sambil berganjak sedikit.

                         "Tak nak!" sambil menjawab Dahlia berlari keluar.

                           ‘’Lia! You nak ke mana? I nak ikut?’’ barulah Khan bersuara. Dahlia sudah pun menghilang dan Iris mengikutnya dari belakang. Khan terus mengomel sendiri dengan bahasanya yang dia seorang saja yang faham.

***************

                 Pagi ini Dahlia bangun dalam keadaan terpinga-pinga. Dia bermimpi, dia berjumpa dengan Rahmat dan Rahmat merayunya untuk kembali bersamanya. Dahlia menjadi blank seketika.
            
                  "Iris, kau tau tak..semalam aku mimpi apa?" Dahlia ingin kongsikan mimpinya itu bersama Iris.

                   "Ehh, mimpi kau, kan. Bukannya mimpi aku, sejak bila aku boleh masuk dalam mimpi kau ni?" mendengar jawapan Iris, Dahlia sudah terkekeh ketawa.

                 "Aku mimpi lawak semalam. Ex suami aku kejar aku depan isteri dia. Aku malas nak layan, dia siap peluk aku lagi..aku tak tahan sabar..terus aku sepak terajang dia depan isteri dia sambil membebel dan ceramahkan dia."

                        "Apa maksud mimpi kau tu? Kau masih rindukan ex suami kau ke?"

                       "Ishh..takda maknanya aku nak rindukan dia!" Dahlia menafikan tuduhan Iris. Dia sudah bahagia hidup sendiri dan dia tak ingin lagi kembali bersama Rahmat. Serik!

                       "Agaknya..jin tak yang kejar kau?" Iris meneka lagi. Terjeda lama Dahlia dibuatnya sebelum ketawa Iris tercetus.

                           "Jin menyamar jadi ex suami aku dalam mimpi? Macam tak syak lagi." seolah-olah tidak terkesan dengan ketawa Iris, Dahlia bermonolog sendiri.

                              "Jaga-jaga..jin dah berkenan dengan kau!" Iris cuba menyakat.

                               "Pandailah kau."

                              "Lia..kalau Khan tu lamar kau, macam mana?"

                             "Tak naklah aku pergi Bangladesh. Aku nak cari pak we Korea, boleh pergi Korea." sempat Dahlia berangan sambil bibir mengulum senyum.

                             "Kalau Korea kau nak muka macam siapa?"

                             "Muka macam pengacara I Can See Your Voice, yang ada lesung pipit tu. Aku lupa nama dia tapi aku tau dia kaya dan Idol kumpulan Super Junior."

                            "Amboi..kau punya angan-angan.." Dahlia terus tersenyum sambil melirik manja pada Iris. Bila berangan segala-galanya boleh, tapi realitynya orang terkenal seperti mereka tetap bukan pilihan. Dahlia tak suka lelaki yang ada ramai peminat.

***********

                Doa Dahlia betul-betul termakbul. Rahmat sudah gila talak dan datang mencari Dahlia untuk rujuk semula tanpa dia sedar Dahlia tak ingin kembali bersamanya lagi. Rahmat bukan lagi suami yang membawa ‘rahmat’ dalam hidup Dahlia lagi. Tapi, Rahmat kini adalah pemusnah kebahagiaan Dahlia.

                       "Tolonglah Lia..abang buat semua ni demi Anis. Dia satu-satunya anak yang kita ada..takkan Lia sanggup tengok hidup Anis musnah kerana kita?" Rahmat masih merayu Dahlia. Sudah tiga hari dia berkampung di Cameron dan membawa Anis bersamanya semata-mata untuk membawa Dahlia pulang.

                        "Maaflah encik Rahmat, saya dah tak ada hati pada awak. Tolong jangan jadikan Anis sebagai alasan. Dia dah besar dan sudah tahu untuk berfikir." Dahlia yang sudah keras hatinya, tak ingin lagi untuk berlembut dengan Rahmat. Dia benar-benar serik dikurung dan terkurung dalam rumah seharian. Bahkan dia sudah menjadi trauma setiap kali mengingati masa lalunya.

                        "Anis cakap dengan mak, Anis nak mak balik dengan kitakan?" Rahmat bertanya pada Anis yang sudah tersedu sedan menangis.

                           "Anis nak mak balik." Anis bersuara dalam sendu. Dahlia ingin mengalah namun dia terus mengeleng.

                      "Anis tinggal di sini dengan mak. Nanti mak uruskan sekolah Anis." Dahlia cuba memujuk Anis pula. Laju Anis mengeleng.

                     "Anis nak ayah dengan mak tinggal sekali macam dulu." Dahlia mendengus kasar. Nak dimarahnya Anis, memang tak patut sangat. Nak kembali macam dulu, dia pula yang tak sanggup.

                      "Jangan degil Lia. Demi Anis, beralahlah sama. Abang janji akan berubah lepas ni."

                       "Saya tak nak! Awak tak faham ke? Demi Anis, demi Anis..itu saja alasan awak. Masa awak aniaya saya dulu, ada awak fikir pasal Anis? Ada awak fikir tentang saya?" suara Dahlia sedikit meninggi, dia sudah hilang sabar dengan sikap Rahmat.

                     "Bila pulak abang aniaya Lia ni? Abang tak pernah pun aniaya Lia." Rahmat memang takkan pernah sedar dengan setiap kesalahannya. Yang dia nampak, hanya Dahlia yang bersalah.

                   "Oh..tak mengaku? Macam tu awak nak ajak kita rujuk semula? Awak ni dari dulu lagi, kalau buat salah, tak pernah nak mengaku. Awak fitnah saya berzina dengan Khan tu bukan aniaya ke? Isteri awak tu, siap tulis status lagi fitnah saya, lepas tu siap kutuk saya dan hina saya berjemaah lagi dalam facebook tu."

                  "Itu Ayu, bukannya abang.." suara Rahmat semakin kendur. Hilang semua semangat yang membara tadi. Tu baru sikit Dahlia ungkit.

                 "Huh! Tak mengaku jugak? Dari mana Ayu tu dapat cerita kalau bukan dari mulut awak?"

                      "Perkara dah lepas, jangan diungkit lagi. Abang dah minta maafkan. Abang dah menyesal pun Lia."

                          "Senangnya awak cakapkan? Perkara dah lepas.." Dahlia terus ketawa sinis. Rasa kelakar bila Rahmat berkata begitu.

                         "Saya tak kisah, awak nak menyesal atau nak bertaubat, yang saya tahu antara kita..selesai! Saya tak nak ingat dah semua perkara yang menyakitkan tu. Oh ya, sebelum terlupa saya nak bagitau awak..saya sebenarnya dah dapat penganti awak tapi bukan Khan. Saya tak nak pergi Bangladesh. Saya nak pergi Korea jadi.."

                         "Lia lagi pentingkan diri Lia dari Aniskan?" Dahlia belum lagi habis bercakap, Rahmat sudah mengamuk. Dahlia baru saja nak auta.

                     "Well..bahagia saya mestilah saya yang cari sendiri. Nak harapkan awak..hari-hari saya berendam air mata menjadi isteri awak dulu. Encik Rahmat! Please..jangan gunakan anak awak untuk cari kesalahan saya. Sesekali awak tenung balik diri awak tu dan cari salah sendiri pulak. Awak ingat, awak tu dah cukup bagus ke? Kalau awak tak pentingkan diri sendiri, awak takkan nikah dengan Ayu dan gunakan duit saya. Sekarang ni apa? Sebab bisnes awak dah lingkup, Ayu dah lari dengan jantan lain, jadi awak cari saya semulakan? Awak ingat saya tak tahu semua tu? Zaman sekarang ni semua cerita awak di hujung jari saya tau!"

                  Dahlia memuntahkan segala-galanya yang terbuku dalam hatinya. Semua kenangan pahit yang pernah dia lalui kembali terimbas dalam fikirannya. Sakit dan pedih hatinya yang pernah terluka, kalau nak diungkit semuanya, berkajang kertas pun belum tentu cukup untuk menulisnya.

*************

                         Dahlia kembali stress bila Rahmat masih berdegil untuk membawa dia pulang. Bermacam helah dia cuba untuk membuatkan Rahmat berputus asa.Rahmat juga mencuba berbagai cara untuk memujuk Dahlia. Dia bawa emak dia pula dari kampung untuk pujuk Dahlia. Rahmat tahu, sedegil-degil Dahlia, dia tetap hormat dengan ibu mertuanya.

                          "Mak..maaflah, Lia takkan rujuk dengan abang Mat lagi. Lia dah serik dimadukan dan difitnah dulu. Emak carilah isteri baru untuk dia." Kerana hormat Dahlia masih memanggil emak pada bekas ibu mertuanya itu.

                       "Tak sama Lia, tengok Ayu dulu pun teruk dibawanya cerita pasal rumah tangga mereka pada orang. Lia lain, susah-susah Mat, Lia boleh bersabar. Lia diam saja bila ada masalah. Lia tak pernah buka aib suami pada orang. Ayu..hal dalam kelambu pun dia cerita, bagitau satu dunia."

                      "Hai mak..dulu bukan main lagi mak puji Ayu tu. Ayu baiklah. Ayu rajinlah. Ayu itu, Ayu ini." Dahlia membalas sinis. Dia pun pernah baca apa yang Idayu pos dalam facebook. Memang melampau dan keterlaluan.

                       "Mak sedar, mak salah menilai. Baliklah Lia. Kesian Anis..orang lain ada emak, dia sorang ja tak ada emak."

                  "Balik-balik Anis. Kenapa Dahlia perlu korbankan perasaan Lia mak? Mak tahukan, apa abang Mat dah buat pada Lia? Dia fitnah Lia mak. Dia buat Lia ni macam anjing kurap. Macam sampah."

                  "Allah, Lia…sedangkan Nabi ampunkan umat. Sedangkan Allah Maha Pengampun."

                    "Masalahnya mak, Lia ni bukan Nabi. Yang mak nak samakan Lia dengan Allah, kenapa pulak? Lia ni cuma hamba saja mak. Tapi Lia mushkil la, yang mak dengan abang Mat beria-ia pujuk Lia kahwin semula dengan abang Mat ni, kenapa ya?"

                    "Kenapa pulak? Demi Aniskan. Kesian dia.."

                     "Anis, Anis, Anis..tak ada alasan lain lagi dah ke? Lia dah muak la, semua orang gunakan Anis. Lia mampu untuk jaga Anis tu. Kalau dia nak mak dia, suruh saja dia tinggal dengan Lia. Lagi pun, kalau kami tak rujuk semula pun, Anis tu tetap anak Lia. Air yang dicincang takkan putus mak. Alasan mak tak logik langsung. Ramai lagi pasangan lain yang bercerai, anak mereka hidup jugak."

                       Dahlia melepaskan semua yang terbuku dalam dada. Ibu mertuanya mengeluh lemah. Ayat apa lagi yang harus dia guna? Dahlia dulu tidak sedegil ini. Dahlia dulu senang dibawa berbincang dan mudah beralah.

                      "Kenapa Lia dah banyak berubah?" terungkap juga ayat-ayat itu dan puan Sariyah mengeluh lemah.

                       "Pengalaman mak. Pengalaman hidup mengajar Lia untuk berhijrah ke arah kehidupan yang lebih baik. Lia dah jemu jadi orang sakit mental yang hanya berkurung dalam rumah. Abang Mat tentu tak pernah cerita dengan mak, kan bahawa Lia ni pernah cuba bunuh diri dulu?"

                         "Lia, semua tu dah lama Lia. Kenapa nak ungkit lagi? Kenapa degil sangat ni Lia?"

                        "Lia depress mak. Lia pernah kena penyakit depression sebab tak ada kawan. Lia tak ada tempat nak mengadu dulu. Mak tau tak, apa maksud depression tu? Kemurungan mak. Kemurungan. Mak nak Lia dapat penyakit tu lagi? Alaa..Lia sedar, Lia ni cuma menantu saja, sedangkan mak dan ayah kandung Lia pun tak pernah ambil tahu tentang hal Lia, inikan pula emak mertua. Yang mak nak, anak mak sorang ja bahagia, menantu ni bukannya penting pun, kan?" Dahlia berkata dalam nada menyindir dan sesungguhnya dia sedang berkecil hati dengan sikap bekas ibu mertuanya ini. Kata-katanya seolah-olah berat sebelah.

                         "Lia!! Kenapa biadap sangat? Macam tu ke Lia cakap dengan mak abang?" tiba-tiba Rahmat menerpa masuk dan bersuara lantang.

                       "Haa..tahu pun awak, mak awakkan? Bawalah dia balik! Lepas ni siapa pula awak nak bawa? Mak saya? Ayah saya? Adik beradik saya? Tak payah buang masa awak ya encik Rahmat. Awak bawa Perdana Menteri sekali pun, saya takkan ikut awak balik. Sila balik kampung awak, sekarang! Saya dah letihlah. Saya banyak kerja nak buat. Saya perlu cari duit untuk sara hidup saya, bukan macam awak. Makan duit perempuan!" meledak juga kemarahan Dahlia. Dilepaskan semua amarah yang dipendam sekian lama.

                     Pangggg..terus penampar Rahmat naik ke muka Dahlia. Pedih dan perit. Sedar-sedar air mata Dahlia sudah bergenang.

                     "Sudahlah mak, jom kita balik. Tak guna nak pujuk rayu dia lagi. Dia ingat kita ni tunggul kayu, tak ada perasaan." Sambil menarik tangan puan Sariyah supaya bangun, Rahmat bersuara dengan perasaan marah kerana terasa dirinya sedang dicabar Dahlia.

                    "Hoi!! Kau ingat, kau sorang saja ada perasaan? Aku ni dah lama tau, pendam apa yang ada dalam hati aku ni. Ni baru mukadimah. Hati kau saja ke yang tahu sakit? Selama ni kau buat aku macam tunggul kayu, boleh pulak? Sampai orang kampung kata aku sakit mental dan segala mak nenek tu. Hati korang saja ke yang harus aku jaga? Hati aku ni, macam mana? Biar korang lapah dan lahap tanpa hati dan perasaan? Boleh pulak, kan?’’ Dahlia terus membebel walaupun Rahmat sudah menarik tangan ibunya dan tangan Anis untuk keluar.

                 ‘’Baliklah..aku harap kau akan lupa jalan untuk ke sini lagi. Aku pun nak bahagia jugak.’’ Dahlia terus berkata walaupun Rahmat, Anis dan bekas ibu mertuanya sudah hilang daripada pandangan matanya. Sedetik selepas itu tangisan Dahlia pula yang kedengaran.

                    Dahlia menepuk-nepuk dadanya sambil menangis dan terus menangis. Dia nampak kuat di depan orang tapi hanya Allah saja yang tahu hatinya. Dia cukup lemah dan hanya pada Allah saja dia mengadu segala derita batinnya ini. Manusia hanya tahu mengungkit dan menyalahkan dia, tapi Allah lebih mengerti derita hatinya.

                  Dahlia Asrina..Allah tahu apa yang terbaik untuk kau. Bertahanlah untuk terus menerima ujian ini. Semua dugaan ini akan berakhir juga suatu hari nanti. Allah terlalu menyayangi kau Dahlia, sebab itulah kau terus diuji dan diuji. Berhentilah menangis kerana tangisan ini akan melemahkan semangat kau untuk terus bangun. Jangan terlalu menangisi nasibmu Dahlia. Allah ada dan Allah sentiasa bersama hambaNya yang teraniaya.

                Dahlia memujuk diri sendiri macam selalu. Dia tiada ibu dan ayah untuk diadukan nasibnya ini. Dia tiada kakak dan abang yang akan simpati dengan nasibnya ini. Walaupun dia ada kawan yang sanggup meminjamkan bahu kala dia menangis tapi dia tak suka menjadi beban pada kawan-kawannya. Dia yakin Allah sentiasa membantu di saat dia jatuh supaya dia mampu untuk bangun kembali.

************

6 Tahun kemudian..

                     Dahlia berjaya sebagai seorang ibu tunggal dengan galakan teman-teman baiknya. Dengan perkongsian modal bersama bos nursery tempat dia bekerja, Iris dan Khan, Dahlia kini sudah membuka sebuah restoran makanan Antarabangsa.

                     Dahlia belajar semua resepi di seluruh dunia dan mula promosikan makanannya sebelum mula membuka restoran. Kebetulan, ketika dia berniat untuk membuka restoran, ada sebuah restoran yang ingin dilelong kerana tuan pemilik restoran itu ingin berpindah.

                   Dengan semangat yang kuat Dahlia mencuba nasib dan dia mendapat galakan dan sokongan. Iris, Khan dan bos nursery tempat dia bekerja ingin membuat pelaburan dan menjadi rakan kongsi. Dahlia menerima tawaran mereka dengan hati terbuka. Pekerja di restorannya terdiri daripada ibu tunggal yang tiada pendapatan tetap. Dahlia simpati pada nasib mereka yang diceraikan dan ada yang ditinggalkan bersama anak-anak mereka yang masih kecil.

                     "Kau mesej siapa tu? Ex suami kau minta duit lagi ke? Kau jangan lembut hati sangat Lia, semakin melemaklah dia." sedang Dahlia membalas mesej dalam WhatsApp, Iris menjenguk.

                   Hari ni restorannya cuti dan Dahlia datang ke nursery untuk mencari ketenangan sambil menghilangkan letih badan yang penat bekerja seharian.

                  "Duit untuk Anis katanya, nak pergi rombongan sekolah ke Padang Besar." Dahlia menjawab bersahaja. Dia faham kenapa Iris marah sangat. Setelah dia berjaya dan berduit, ramai saudara mara termasuk bekas suaminya menjadikan dia sebagai ' bank' mereka.

                    "Kau bank in la nanti?" Iris berkata lagi bertujuan untuk menyindir Dahlia yang tak pernah menolak semua permintaan.

                   "Aku sedang fikirlah ni. Aku ni bukannya apa, lebih baik aku bagi ja apa yang mereka nak, sebab apa yang mereka nak tu aku ada. Harta atas dunia ni bukan boleh bawa mati pun kalau aku simpan. Ditakdirkan aku mati, semua duit aku jatuh ke tangan mereka juga." tenang Dahlia menjawab. Iris terdiam dan kemudian dia menghela nafas. Apa Dahlia kata tu ada benarnya.

                    "Sampai bila kau nak tanggung mereka semua?"

                     "In sya Allah, selagi aku masih bernafas."

                     "Untuk kau macam mana?"

                       "Aku dah simpan dalam tabung haji. Aku nak pergi buat Haji sebelum aku mati dan kalau ada rezeki aku, biar aku mati ja di sana." sayu nada suara Dahlia. Bergenang air matanya tanpa sedar.

                         Semua orang yang dia sayang hanya sedar kewujudannya bila dia berduit. Ketika ini abang, kakak, ayah dan emaknya sendiri asyik memuji dia dan berbuat baik dengan dia, namun dalam baiknya mereka ada maksud yang tersembunyi. Mereka muncul ketika mereka memerlukan bantuan dan hilang bila duit dihulurkan. Kasih sayang mereka hanya pada duit dan Dahlia yakin Allah lebih menyayanginya ketika dia tabah dan sabar bila diuji.

                      "Kau jangan buat aku nangis Lia." Iris turut terasa hati bila Dahlia berkata begitu, seolah-olah dia juga tidak diperlukan lagi.

                    "Maaf. Aku tak bermaksud nak buang kau Iris. Aku tahu kau yang banyak menyokong aku selama ini. Kaulah sahabat aku dunia dan akhirat..tapi andai Allah lebih menyayangi aku dengan segala ujian yang diberi, aku memilih untuk mati di rumah Allah berbanding di negara kelahiran aku ini."

                       "Aku macam mana?"

                     "Kau mula la menabung daripada sekarang, nanti kita pergi Haji bersama?"

                    "Aku belum cukup ilmu la Lia. Duit boleh dicari, ilmu ni nak belajar kena makan masa."

                    "Cuba jangan bagi alasan. Aku bukan ajak kau pergi esok. Aku pun masih bertatih lagi. Perlahan-lahanlah..belum terlambat lagi untuk belajar sekarang ni. Kecualilah..kalau dah tertulis esok kita dah mati." ayat-ayat Dahlia memang sentap habis. Lama Iris berdiam diri.

                    "Boleh ke?" Iris kemudiannya menyoal macam orang bodoh.

                   "In sya Allah..kau ingat aku ni warak sangat ke? Al-Fatihah yang aku baca dalam solat pun belum tentu lagi betul tajwidnya. Tapi, aku tetap solat. Kalau tunggu betul tajwid baru nak solat, sampai mati pun belum tentu aku mampu untuk solat. Kau faham tak maksud aku?" Dahlia berkata sambil merenung dalam dirinya sendiri. Dia sendiri pun masih banyak kekurangan. Nak pergi Haji, memang mudah untuk berkata sedangkan ilmu untuk menunaikan ibadah itu pun, dia belum belajar lagi. Dia hanya mencipta sebuah impian agar Allah akan tulis impiannya itu dan tunaikan impiannya itu suatu hari nanti. In sya Allah.

***********

                   "Lia..ada orang cari kau." Kak Rosyatimah datang ke dapur restoran dan memanggil Dahlia yang sedang sibuk memasak.

                  "Siapa?"

                  "Tak kenal. Muka macam cina tapi fasih betul cakap melayu." Dahlia mengerut kening. Tak ada pula dia kenal sesiapa yang macam tu.

                       "Dia sebut nama Lia ke kak?"

                       "Ehh...taklah. Dia nak jumpa tuan restoran katanya."

                      "Oh..Lia sibuk ni kak. Kejap lagi boleh tak. Selesai kerja Lia ni, Lia keluar."

                       "Ok..akak bagitau dia ya?"

                      "Ah'ah..akak tolong ya. Lia tak boleh tinggal kerja ni." kak Rosyatimah pun berlalu pergi. Dahlia menyambung kerjanya memasak daging salai goreng berlada, permintaan daripada seorang pelanggan tetap restoran mereka.

                   "Lia, akak dah cakap tapi dia minta izin masuk ke sini..nak tengok Lia masak katanya.." beberapa minit kemudian kak Rosyatimah muncul lagi.

                  "Pulak?"

                  "Boleh tak Lia?"

                 "Bolehlah..tapi bagi dia warning dulu.."

                  "Warning apa?"

                  "Jeng..jeng..jeng.." Dahlia terus ketawa.

                      "Tak apalah..bagi ja dia masuk, asalkan jangan buat kacau, sudah." Dahlia menyambung kata. Kak Rosyatimah mengangguk dan melangkah pergi. Dahlia meneruskan kerjanya, siap memasak daging salai berlada, dia memasukkan ke dalam pinggan dan meletak ke tepi. Masih ada lagi menu yang perlu dimasak. Pelanggan tu memesan untuk makan sepuluh orang dan menu yang diminta juga berjenis-jenis.

                     Dahlia tak ada tukang masak khas, semuanya dia masak sendiri. Pekerja yang lain sudah diatur kerja mereka. Yang berkemahiran dan dipercayai, disuruh menjaga kaunter. Yang bersemangat waja dan jenis tahan sabar disuruh melayan pelanggan. Yang jenis semuanya tak tahan, diletakkan di bahagian mencuci.

                    "Lia.." kak Rosyatimah datang lagi bersama dengan seorang lelaki yang tinggi lampai.

                     "Orang ni nak jumpa Lia.." kak Rosyatimah berkata lagi selepas Dahlia memanggung kepala. Api dapur dikecilkan agar masakannya tidak hangus.

                       "You faham bahasa melayukan?" soalan pertama Dahlia. Sambil menyoal tangan Dahlia tetap lincah memasukkan bahan-bahan ke dalam kuali.

                      "Nama I Soo Hyun tapi I ada nama Islam Mohamad bin Abdullah. Maaf I menganggu, tapi I nak tengok you masak sebab masakan you memang superb terutamanya makanan Korea. Di mana you belajar?" lelaki itu mula bersuara. Memang fasih sangat bahasa melayunya.

                     "I belajar dari internet tapi I olah semula ikut cara I. Kenapa yer?" Dahlia menjawab sambil menyoal. Sekarang dia sedang memasak menu ke-tiga yang sudah dipesan, daging masak rendang tok.

                     "You sedang masak apa tu?" sambil menjengah lelaki yang bernama Soo Hyun itu bertanya lagi.

                   "Masakan tradisi orang melayu, rendang tok. You pernah makan?" Dahlia berbual sambil terus memasukkan rempah ratus ke dalam kuali. Baunya sudah memenuhi ruang dapur restoran.

                     "Belum lagi tapi I teringin nak cuba. Baunya pun sudah membuka selera. Wangi betul, apa bahan-bahannya?" Soo Hyun benar-benar ingin tahu. Dia sudah lama tidak pulang ke Malaysia walaupun ibu dan ayahnya tinggal di Malaysia.

                       "You orang Korea atau orang cina?" Dahlia tidak menjawab soalan lelaki itu, malahan lelaki itu pula yang disoal. Sambil menunggu rempah rendang tok masak, Dahlia beralih pula ke masakan seterusnya, sup sayur campur.

                       "Orang cina bukan, orang Korea pun bukan. I mix blood. Ayah I memang asal dari Korea tapi ibu I orang melayu Malaysia. Tapi dulu nenek I yang tinggal di Korea yang pelihara I, dia yang beri nama Korea pada I..panjang kisah I kalau nak cerita sekarang."

                       "Oh..ok.." Dahlia tidak faham apa yang cuba disampaikan lelaki itu, namun dia layan juga. Tangan masih lincah memasak, mindanya langsung tidak fokus pada lelaki di depannya.

                          "Kenapa you nak jumpa I?" Dahlia pula yang ajukan soalan.

                           "Sebab I suka dengan masakan you." Lelaki itu menjawab fasih dan matanya asyik merenung Dahlia yang masih asyik mengaul masakan di dalam kuali. Tangannya lincah bermain sudip dan berpindah ke kuali lain dalam masa yang sama. Sementara menunggu rempah rendang tok masak, dia memasak sup sayur pula dan bila sup sayur masih di dalam kuali..Dahlia beralih pula untuk masakannya yang ke empat. Teruja betul Soo Hyun menyaksikannya hingga dia tidak sedar perilakunya sedang diperhatikan.

                           "Terima kasih. Itu saja ke?" Dahlia bersuara lagi dan tersenyum mesra. Terasa gelihati melihat gelagat Soo Hyun yang sedang berdiri di depannya.

                           "Sebab I nak resepi you." Kening Dahlia terjungkit sikit. Nak resepi? Hatinya yang bertanya.

                              "Untuk apa?" bibir Dahlia pula yang bersuara.

                           "Sebab I suka dan nak cuba masak cara you." Soo Hyun menjawab dengan lancar. Dahlia kebingungan, dia memerhatikan wajah Soo Hyun dan cuba mencari sesuatu di wajah itu.

                          "Masakan apa yang you paling suka?" Dahlia menyoal lagi.

                           "Masakan Korea." Kali ini wajah Dahlia beriak hairan pula. Dia bukannya pandai sangat pun, masak masakan Korea.

                             "Kenapa?" Dahlia masih ingin tahu.

                            "Sebab rasa masakan you berbeza dengan apa yang I makan di Korea." Dahlia tersenyum dan ketawa perlahan. Haruslah berbeza, citarasa melayu tentu takkan sama dengan masakan asli orang Korea.

                            "Salah satunya?" Dahlia terus melayan walaupun jawapan yang dia terima banyak yang tak logiknya.

                           "Semua masakan Korea yang you masak, berbeza dan sesuai dengan citarasa I, lagi pun masakan you halal." Kali ini ketawa Dahlia terus terhambur kuat. Soo Hyun memandang Dahlia dengan rasa hairan.

                    "Wajiblah halal. I masak dulu rempah atau serbuk cili dengan api yang perlahan. Kami orang melayu tak suka makan makanan mentah. I ni peminat drama Korea tau. I tengok, orang Korea suka makan makanan mentah, tapi I masak ikut selera melayu." Dahlia memberi penerangan tentang masakannya. Dia memang peminat drama Korea dan selalu menontonnya dengan Iris sejak dia datang ke sini. Dulu, dia tak berpeluang menontonnya walaupun dia banyak masa untuk menonton.

                     "Bukan semua orang. I pun tak suka makan makanan mentah." Soo Hyun menjawab balas dan tersenyum. Ketika dia tersenyum, mata Dahlia terpaku seketika dan menatap ciptaan Allah di depannya. Ada lubang kecil di kedua-dua belah pipi Soo Hyun. Cantik sungguh ciptaan Allah di depannya ini.

                    ‘’Ohh..’’ Dahlia sudah hilang kata-kata, mungkin kerana terpesona melihat senyuman Soo Hyun sebentar tadi.

**********

                   Secara tak sengaja Dahlia dan Kim Soo Hyun menjadi rapat kerana Soo Hyun selalu berada di restoran untuk belajar memasak daripada Dahlia dan Dahlia menganggap hubungan mereka ibarat seorang pelajar dengan seorang guru, namun sebaliknya bagi Kim Soo Hyun yang mula terasa kelainan tentang perasaannya. Dia rasa Dahlia terlalu istimewa dan sudah berjaya mencuri hatinya yang sudah lama kosong sejak isterinya meninggal dunia. Hari ini Soo Hyun berhasrat untuk meluahkan perasaannya itu.

                      "Lia..you sudi tak kahwin dengan I?" Soo Hyun memulakan mukadimahnya dengan hati yang berdebar-debar. Lama Dahlia berjeda. Dia tidak menduga pemuda kacukan Korea itu akan menyoal begitu.

                     "Dahlia Asrina..sudi tak? I serius ni dan I ikhlas nak kahwin dengan you." Soo Hyun bertanya sekali lagi. Dia sendiri merasa gentar untuk melamar Dahlia kerana sedar perbezaan antara mereka berdua terlalu jauh, tapi dia tetap juga mencuba, untung sabut pasti timbul juga.

                     "You tahu ke maksud ikhlas tu?" Dahlia cuba berlagak tenang, disoalnya Soo Hyun kembali ataupun Mohamad bin Abdullah.

                       "Tentulah I tahu." yakin saja Soo Hyun menjawab.

                        "You tahukan, I ni janda anak satu, dan seluruh keluarga I tak macam orang lain. Kalau I kahwin dengan you, semua mission I akan tergendala dan keluarga I mesti senyum sampai telinga. Ex suami I akan gunakan you untuk kesenangan dia. You sanggup ke tanggung semua tu?" Dahlia berterus terang akan siapa dirinya yang sebenar, walaupun sebelum ini dia pernah berkias tentang semua itu.

                        "I tak takut semua tu, lepas you jadi isteri I, I bawa you lari ke Korea." Dahlia ketawa tanpa sedar. Terasa lucu tiba-tiba. Semua angan-angannya seolah-olah sedang diselongkar oleh Soo Hyun.

                        "Kenapa you ketawa. I bukannya sedang bergurau. I serius ni.." wajah Soo Hyun sudah mula tegang, dia rasa Dahlia sedang ketawakan perasaannya.

                         "I tak yakin you serius tapi I ada satu mission yang belum tercapai. You sanggup ke tunaikan mission I dan jadi mahram I?" Dahlia menguji Soo Hyun, untuk melihat sejauh mana keikhlasan lelaki itu.

                       "Wow! Mission imposiblekah?" Soo Hyun bertanya dalam nada gurauan dan bibirnya sudah melebarkan senyuman. Dahlia terpegun sekejap.

                       "Entahlah..imposible or posible. You sanggup ke tak?" Dahlia menyoal lagi. Dia sudah hilang keyakinan terhadap seorang lelaki. Dahlia sudah trauma dan tak sanggup untuk terluka lagi.

                         "I kena dengar dulu apa mision you tu?" Soo Hyun memberikan jawapannya dalam nada tegas pula.

                    "I nak ke Mekah, tunaikan Haji dan mati di sana. You sanggup tak, mati di sana sebagai mahram I?" Dahlia meluahkan rasa hatinya tanpa berselindung lagi. Soo Hyun seolah-olah terkejut dengan apa yang sedang didengarnya. Lama juga dia berjeda sebelum bibirnya kembali mengungkapkan kata-kata.

                   "You ni..tak baik tau minta mati. I sanggup temankan you ke Mekah tapi I tak nak mati. I nak hidup dengan you, bahagia dengan you dan ada anak dengan you." Soo Hyun kembali bermain dengan kata-kata manis untuk memujuk Dahlia yang kemungkinan sudah hilang keyakinan diri untuk hidup. Soo Hyun seolah-olah dapat membaca apa yang ada dalam minda Dahlia.

                  "You tahu ke Mekah tu di mana?" kata-kata Dahlia seterusnya membuatkan Soo Hyun tersentap, namun dia tetap tersenyum manis, sekadar memujuk hatinya sendiri.

                  "Hurm..untuk pengetahuan you, I dah tiga kali pergi Umrah dan sudah dua kali Haji, tapi kalau you ajak I seribu kali pergi Haji pun I sanggup lagi. Duit boleh dicari tapi perempuan yang tabah macam you sukar nak dapat." Soo Hyun menjawab sejujurnya, bukan dengan niat untuk membangga diri tapi itulah kenyataan yang pernah dilaluinya.

                   "I tabah? You baru kenal I, mana you tahu I ni tabah?" Dahlia menyuarakan pula kemushkilan hatinya.

                   "I ada sumber yang boleh dipercayai.." Soo Hyun menjawab sambil mendabik dada. Dia tahu, info yang diperolehinya daripada sumber tersebut, tak pernah silap.

                 "Siapa?" laju Dahlia bertanya balas. Hanya Iris yang tahu tentang angan-angannya nak kahwin dengan lelaki Korea. Takkanlah Iris?

                 ‘’Iris?’’ Dahlia terus menyoal apa yang ada dalam hatinya. Soo Hyun tidak menjawab, malahan dia meletakkan jari telunjuknya di bibir dan mengoyangnya kemudian. Dahlia pula mengebam bibir menahan perasaan geram.

***********

                       "Kau ni Lia..tuah dah ada depan mata, masih lagi nak berdolak-dalih. Terima sajalah Mohamad tu. Bukan ke cita-cita kau nak menetap di Korea?"

                      "Pembetulan. Sekarang ni cita-cita aku cuma satu. Nak mati di Mekah." tegas nada suara Dahlia. Iris terus mendengus dan menjeling tajam. Dahlia yang sedang membelek pokok bunga mawar baka kacukan yang dibawa dari Thailand itu hanya beriak selamba.

                       "Apa yang kurangnya dengan Mohamad tu?" Iris yang masih tidak puas hati menyoal lagi.

                      "Tak ada yang kurang cuma..yang kurangnya aku. Kurang yakin diri untuk kahwin kali ke-2. Aku dah seronok hidup single ni. Bebas ke sana sini tanpa perlu minta izin sesiapa. Tak ada tanggungjawab yang perlu aku pikul. Hanya tanggungjawab sebagai seorang hamba saja rutin aku sekarang ni dan aku nak fokus untuk menjadi seorang hamba yang hanya taat padaNya yang satu." Dahlia tersenyum dalam diam. Bunga mawar yang cantik di depannya dicium. Harumanya menjadikan jiwa Dahlia turut terbuai. Rasa nyaman dan tenang.

                     "Kau ni Lia..aku cakap dengan kaulah. Dengan bunga tu pulak kau nak senyum. Cuba ambil perhatian sikit. Kau terima sajalah Mohamad tu, tak rugi pun. Dia tu bukannya orang lain. Dia abang sepupu aku. Dia tua tiga tahun daripada kau. Bukannya muda lagi dan dia pun duda jugak, cuma tak ada anak jer.."

                       "Sepupu kau? Kenapa tak cakap sepuluh tahun lepas, dia tu sepupu kau." laju Dahlia menoleh ke arah Iris. Patutlah beria-ia benar, sepupu dia rupa-rupanya.

                       "Sepuluh tahun lepas, aku tak kenal kau lagi. Lagi pun, aku pun tak sangka, dia akan suka kau. Sebenarnya..dia baru balik ke Malaysia ni. Dia datang ke sini sebab tugas tapi bila dia jumpa aku, dia tanya pasal makanan Korea. Aku cadang la restoran kau tu. Pertama kali dia rasa masakan kau, terus dia jatuh cinta dan bila dia tahu kau dengan aku tinggal serumah terus dia cakap..dia nak kenal rapat dengan kau."

                   "Semua ni plan kau la?"

                   "Tak jugak. Kebetulan saja."

                   "Kebetulan Atau Suratan..aku suka lagu tu. Sesuatu yang tak disangka seringkali mendatangi kita..." Dahlia terus menyanyi dan sekali lagi dia fokus pada bunga di hadapannya. Dibelainya bunga itu dengan seribu satu perasaan.

                 "Merdunya suara you Dahlia Asrina. Tak sangka, you bukan saja pandai memasak, you pun pandai menyanyi." terus Dahlia kelu. Nyanyiannya terus terhenti. Baru nak fefeling..

                 "Iris..kerja kau lagikan?"

               "Ehh..aku pulak? Mana aku tahu, dia nak datang."

                 "I datang sebab rindukan you. I nak jawapan you sebab malam ni I dah nak bertolak balik. Tapi bukan ke Korea. Nak balik kampung I dulu ke Johor, nak bincang dengan keluarga I. Lepas tu nak bawa mak I untuk lamar you mengikut adat orang melayu. Itu pun kalau you sudi?"

                "Bagi I buat solat sunat istikharah dulu." gugup Dahlia menjawab. Perasaan malu sekejap tadi belum habis, datang pula perasaan mengelabahnya, dilamar di tempat yang penuh dengan bunga. Wow! Memang impian Dahlia sejak dulu dan ini lamaran kedua daripada pemuda kacukan Korea ini.

                         "Lia..terima sajalah. Abang Jabbar sokong 100%. Tak elok membujang lama-lama.." abang Jabbar tuan punya nursery merangkap bekas bos Dahlia juga kini yang telah menjadi rakan kongsinya turut mencelah secara tiba-tiba. Berbahang wajah Dahlia dibuatnya.

                         "Mana aci..sepakat ke ni?" Dahlia menyoal dalam nada suara yang sedikit bergetar.

                         "You kahwin Lia, lari pergi Korea..mesti aku rindu kau separuh mati. You punya masakan manyak sedap..makan sampai jilat jari. Aku pinang you tarak terima. Mamat ni kalu you terima, you memang pilih kasih la.." Khan juga turut mencelah. Dahlia semakin mengelabah. Semua orang sedang memandang Dahlia.

                          "Khan! You jangan potong jalan haa..Lia dah lama tolak cinta you. Borang cinta kontrak you dengan Lia dah lama date expired!" Iris pula berkata sambil ketawa. Dahlia mengigit bibir. Dia benar-benar sedang berada dalam dilema.

**************

                 Akhirnya Istikharah Dahlia terjawab juga. Dahlia selamat diijabkabulkan dengan Mohamad bin Abdullah, lelaki kacukan Korea yang tinggi lampai dan mempunyai lesung pipit di kedua-dua belah pipinya.

                Kisah Mohamad lebih tragis berbanding Dahlia dan melibatkan agama dan keluarga. Pada mulanya ibu bapa sebelah ibu Mohamad menentang perkahwinan kedua-dua orang tuanya. Tapi, mereka kahwin lari dan menetap di Korea. Ibunya kehilangan keluarga dan agama bila keluarga bapanya juga tidak suka ibunya yang beragama Islam. Perkahwinan mereka terhalang lagi.

             Ibunya dibawa ke Malaysia semula kerana keluarga ibunya takut ibunya akan tersesat haluan dan jatuh murtad. Mohamad tinggal dengan keluarga bapanya di Korea tanpa agama. Kemudian, bapanya pula datang ke Malaysia dan mencari ibunya. Mohamad ditinggalkan di Korea dan menganut agama nenek moyang keluarga bapanya hinggalah dia berusia sembilan belas tahun.

                 Suatu hari dia mendengar azan di masjid dan mula membuat kajian tentang agama Islam. Dia mula mendalami Islam bila umurnya berusia dua puluh tahun. Dengan duit yang dikumpulnya dia ke Mekah dan mencari seorang alim ulamak dan mula mendalami Islam. Dia menukar nama Kim Soo Hyun dan mengunakan nama Mohamad bin Abdullah. Tanpa pengetahuan nenek dan bapa saudara yang membesarkannya, Mohamad terus memeluk Islam.

                Hinggalah dia berkahwin dengan orang  muslim Korea dan  rahsianya terbongkar. Dia berjanji dengan neneknya untuk tinggal bersama neneknya walaupun mereka berlainan agama. Mohamad terus kekal bersama Islam hingga ke hari ini dan kerap pergi ke Mekah untuk berjumpa gurunya sambil melakukan ibadah Haji dan Umrah.

              Allahu Akhbar..kuat sungguh iman seorang lelaki bernama Mohamad ini. Dahlia yang mendengar ceritanya terus insaf kerana Dahlia sendiri tidak sekuat Mohamad. Iman Dahlia masih terumbang-ambing lagi setiap kali diuji.

               ‘’Kalau Lia nak, oppa akan bawa Lia honeymoon ke Mekah, sambil tu boleh kita mengerjakan ibadah dan buat umrah. Oppa pun teringin nak kenalkan Lia pada guru oppa tu.’’ Mohamad membahasakan dirinya oppa selepas mereka diijab kabulkan. Dahlia hanya tersenyum tersipu-sipu dan rasa gelihati. Oppa?

               ‘’Lia ikut saja, apa yang baik. Tapi..lepas balik dari Mekah, boleh bawa Lia ke Pulau Nami tak? Lia teringin nak jumpa dengan  nenek.’’ Dahlia menyuarakan kata hatinya. Dia memang teringin sangat untuk melihat Pulau Nami dan berjumpa dengan insan yang sudah membesarkan suaminya ini.

                  ‘’Alhamdulillah, sejuk hati oppa dengar Lia cakap macam tu.’’ Mohamad menjawab balas dan senyuman manisnya turut terukir sama. Dahlia terus menatap senyuman itu tanpa jemu.

                   ‘’Boleh pinjam tak, lubang kat pipi oppa tu, geram pulak, Lia tengok.’’ Dahlia sudah pandai bergurau sejak menjadi isteri Mohamad. Sambil mencubit pipi Mohamad dia berkata sambil ketawa.

                 ‘’Demi Lia, bukan lubang di pipi ni saja oppa bagi, seluruh tubuh badan oppa ni milik Lia tau.’’ Mohamad juga turut bergurau sekali. Bibirnya mengukir senyuman lagi. Dahlia turut ketawa mendengar kata-kata Mohamad.

                ‘’Oppa..nampak tak atas pokok tu ada apa?’’ tiba-tiba Dahlia mendapat satu idea untuk meluahkan hatinya.

                  ‘’Atas pokok mana? Oppa tak nampak pun. Ada apa?’’ sambil mencari pokok yang dimaksudkan, Mohamad bertanya.

                  ‘’Pokok depan tu..’’ sambil menuding jarinya ke arah pokok meranti di depan rumah.

                   ‘’Ada apa atas pokok tu, serius oppa tak nampak.’’ Mohamad menghampiri pokok tu dan memandang ke atas.

                    ‘’Ada sarang, nampak tak?’’

                    ‘’Sarang? Sarang apa?’’ Mohamad bertanya lagi sambil mendongak.

                     ‘’Sarang hae..’’ Dahlia berkata sambil membentuk love dengan kedua-dua belah tangannya di atas kepala.

                    ‘’Amboi..dah pandai sekarang, nak kenakan oppa ya…’’ Dahlia ketawa sambil melarikan diri.                 

*********TAMMAT************



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.