Khamis, 31 Oktober 2019

Sama Tapi Berbeza

                    Aafiyah membelek gelang emas pemberian bakal ibu mertuanya. Di gelang itu ada tertulis namanya dan nama Amsyar. Kisah cinta mereka bermula sejak kecil lagi. Ayah mereka adalah kawan baik. Bila ayah Amsyar bercinta, dia bawa ayah Aafiyah sebagai teman dan ibu Amsyar juga membawa teman bersamanya.

                    Jodoh mereka panjang dan mereka disatukan dalam satu majlis. Selepas kedua pasangan pengantin itu melayari hidup pasangan suami isteri mereka bertemu lagi setelah ibu Amsyar dan ibu Aafiyah mengandung.

                 "Apa kata kita jodohkan anak kita nanti, boleh kita berbesan pula?" ibu Amsyar memberi cadangan dan semua orang setuju. Namun bila anak mereka lahir, kedua-duanya mendapat anak lelaki. Ibu Amsyar dan ibu Aafiyah kecewa tapi mereka tidak berputus asa. Setahun kemudian kedua-duanya mengandung lagi.

                   Kali ini ibu Amsyar mendapat anak lelaki juga tapi ibu Aafiyah melahirkan Aafiyah yang putih gebu dan comel. Mereka terus menunaikan janji dan menempah gelang itu sebagai tanda. Mengikut perjanjian, ketika usia anak mereka 21 tahun barulah mereka akan disatukan.

                   Tahun depan Amsyar akan berusia 21 tahun namun Aafiyah baru 20 tahun tapi kata sepakat telah dibuat dan mereka tetap akan disatukan. Aafiyah sungguh teruja untuk menjadi isteri Amsyar. Memang sudah lama dia mempunyai perasaan pada tunangnya itu. Perkahwinan yang bakal mereka tempuhi bukanlah kahwin paksa kerana Amsyar juga mencintai dirinya.

                   "Cantik gelang kau Fiya.." Aafiyah ditegur rakan sebiliknya. Nora ni pendiam orangnya dan agak warak. Dia hanya bercakap bila perlu saja.

                  "Hurm..gelang ni dah ada sejak aku lahir lagi." Aafiyah membuka cerita sambil bibirnya diukir dengan senyuman indah.

                      "Aku tak faham?" Nora berkata dan mengambil gelang yang sedang dipegang Aafiyah lalu dimasukkan ke tangannya.

                       "Ehh..mana boleh pakai! Gelang ni ada jampi tau, nanti kalau Amsyar jumpa kau, dia sangka, kau tu aku pulak." Aafiyah sekadar bercanda sambil tergelak kecil. Dilurutkan gelang daripada tangan Nora dan dibelek nama yang ada di gelang itu.

                      "Kau tengok ni, ada nama aku dan tunang aku, Amsyar Love Fiya. Romantikkan?"

                      "Siapa yang tulis? Tunang kau ke?"

                       "Hiesyy..bukanlah. Amsyar bukannya tau apa-apa pun. Semuanya kerja ibu aku dan ibu Amsyar. Mereka memang dah berangan sejak kami kecil nak jadi besan."

                        "Mesti bestkan, sejak kecil dah ada tunang?"

                       "Taklah. Aku tak tahu pun Amsyar tu tunang aku tapi aku mula suka dia sejak aku form 5. Kami bercinta tiga tahun, sampailah tahun lepas keluarga kami buka cerita. Masa rahsia ni terbongkar, aku dan Amsyar rasa bagai sudah berada di bulan dan bintang. Perasaan happy tu memang payah nak cakaplah."

                         "Kau ada pic tunang kau tak? Aku nak tengok."

                         "Mana boleh tengok, kau terpikat nanti..tak pasal-pasal kau jampi dia. Melepaslah aku, kalau dia dah terpikat dengan kau pulak."

                            "Kedekutlah kau ni Fiya. Aku nak tengok saja." Nora menarik muncung. Dia benar-benar terasa hati dengan gurauan Aafiyah.

                      "Kau lupa ya..kau pernah cerita, keturunan kau mengamalkan ilmu jampi serapah ni. Kau cakap, kau pun pandaikan?"

                       "Aku gurau sajalah. Kau ni, aku jampi betul baru tahu!"

                       "Kau tak kenal Amsyar, macam mana kau nak jampi?"

                        "Senang saja..aku jampi gelang kau, nanti tunang kau jumpa aku, dia akan nampak muka kau..masa tu aku masuklah jarum." Nora berkata sambil ketawa. Wajah Aafiyah berubah. Allah..Kau jauhkanlah kami daripada ahli sihir ni. Aku tak nak kehilangan Amsyar. Sempat Aafiyah berdoa di dalam hati.

*************

                  "Mohd Amsyar Iman bin Mohd Farid Farkhan aku nikahkan akan dikau dengan anak perempuanku Nur Aafiyah Imani binti Mohd Rais Jailani dengan mas kahwinnya tiga ribu ringgit serba satu, tunai."

                    "Aku terima nikahnya Nur Aafiyah Imani binti Mohd Rais Jailani dengan mas kahwinnya tiga ribu ringgit serba satu, tunai." lancar dengan hanya sekali lafaz sahaja.

                     "Sah?"

                     "Sah."

                        Semua saksi berkata sah dan doa pun dibacakan. Kini mereka yang sudah lama memadu kasih sudah bergelar pasangan suami dan isteri. Namun, sebaik saja akad nikah selesai Aafiyah rebah dan tidak sedarkan diri.

                       Majlis menjadi riuh rendah dan Aafiyah dibawa masuk ke dalam bilik. Wajah Aafiyah yang telah disolek cantik dibasuh bersih. Air bersih direnjis ke wajahnya disertai dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

                         "Fiya..bangun Fiya. Kenapa dengan Fiya ni?" Puan Noriah memanggil nama Aafiyah. Hatinya resah gelisah. Fikirannya mula merusuh dan berfikir yang bukan-bukan.

                          "Fiya..Am ni..bangun Fiya." giliran Amsyar pula memanggil sambil menyentuh lembut bahu Aafiyah namun mata Aafiyah masih terpejam.

                              "Kenapa dengan Fiya ni Nor? Apa yang tak kena?" ibu Amsyar bertanya Puan Noriah, hanya gelengan yang dia terima.

                            "Aku pun tak tahu Ann..tadi dia elok saja. Tak ada pula dia cakap dia sakit."

                            "Mama..ibu, kita bawa Fiya ke hospital." Amsyar yang sedang kebimbangan memberikan cadangan.

                            "Jangan-jangan mengandung tak? Masih belajar lagi dah bagi kahwin." entah siapa yang bermulut celupar bersuara tanpa rasa bersalah. Wajah Amsyar sudah merah bagai udang dibakar.

                            "Kalau tak ada bukti, jangan berani nak buat fitnah!" Amsyar terus bangun dan memetir, mencari orang yang bersuara tadi tapi dia tidak tahu siapa orang itu. Hati Amsyar panas berbahang.

                         "Sudah Am! Jangan dilayan..yang penting Fiya ni.." Puan Raihan cuba menenangkan Amsyar, walaupun hatinya juga turut bergelodak mendengar tuduhan tadi.

                           "Kita bawa Fiya ke hospital."

***************

                        Aafiyah dibawa ke hospital namun selepas diperiksa, doktor sendiri keliru dan tidak tahu apa puncanya. Darah Aafiyah juga diambil untuk dilakukan ujian.

                       Sejam selepas itu Amsyar pula yang berubah laku. Wajah Aafiyah di depannya dipandang dengan perasaan ngeri. Bulu romanya meremang dan Amsyar berlari keluar dan menghilangkan diri.

                    Di luar hospital Amsyar bertembung dengan Nora. Dia nampak wajah Aafiyah dan menyangka Nora tu Aafiyah.

                      "Am.." Nora memanggil dengan nada suara yang manja. Gelang ditangannya dipusing berkali-kali. Bibirnya bergerak-gerak seperti sedang membaca sesuatu.

                      "Am..Fiya ni. Jomlah kita pulang ke rumah kita." Nora bersuara lagi sambil memaut lengan Amsyar. Dia melentukkan tubuhnya di bahu Amsyar.

                       "Fiya..Fiya tak apa-apakan? Fiya pergi mana? Semua orang risaukan Fiya."

                         "Alaa..Fiya tak ke mana pun. Am tu yang tinggalkan Fiya. Jomlah kita pulang Am.." Nora masih mencuba mengajak Amsyar pulang. Dia sudah menjampi rumah yang disewanya agar Amsyar keliru. Dia mahu Amsyar jatuh ke dalam tangannya.

Nora sudah lama merasa iri hati dengan Aafiyah. Hidup Aafiyah serba sempurna. Dia anak orang berada,apa yang dia nak semuanya dapat. Nora pula serba serbi kekurangan. Dia terpaksa berlagak alim untuk mendapat kepercayaan semua orang. Dia mula mengambil hati semua orang yang dikenalinya hanya dengan sifat pendiamnya. Semua orang ingat dia baik dan warak. Namun, hakikatnya Nora benci semua orang yang baik dengannya. Mereka semua hanya berpura-pura baik dengannya. Mereka tidak ikhlas berkawan dengannya.

                           "Am..kenapa ni? Am tak kenal Fiya ke?" Nora masih bersuara manja, separuh merenggek. Amsyar mesti ditaklukinya malam ini.

                           "Kita nak ke mana ni Fiya?"

                            "Pulang rumah kitalah. Kitakan dah jadi suami isteri yang sah. Kita dah halal Am. Fiya sayang Am. Am sayang Fiya tak?"

                               "Sayang! Siapa kata Am tak sayang?"

                              "Kalau sayang, jomlah kita pulang rumah kita."

                             "Baiklah..demi Fiya." Amsyar bagaikan lembu ditarik hidung. Dia ikut saja apa kata Nora. Mereka masuk ke dalam sebuah teksi yang sudah menunggu. Sampai di sebuah rumah taman perumahan, Nora membawa Amsyar keluar. Bibir Nora bergerak-gerak, kali ini rancangannya pasti berhasil. Nora menaruh harapan tinggi.

                           Sebaik Amsyar melangkah masuk ke dalam rumah, Amsyar rebah dan tidak sedarkan diri. Nora mengelabah kerana rancangannya akan gagal kalau Amsyar tidak sedarkan diri. Nora ingin menakluki seluruh jiwa dan raga Amsyar. Nora mahu Amsyar menidurinya dan dia mahu memiliki Amsyar dengan cara halus.

                        Manakala di hospital pula, ujian darah sudah keluar dan Aafiyah disahkan sihat oleh doktor yang merawat. Atas nasihat doktor, keluarga Aafiyah memanggil seorang ustaz untuk merawat Aafiyah pula. Namun ketika ustaz datang, mereka menyedari pula kehilangan Amsyar.

                           "Am ni hilang ke mana pula?" Puan Raihan berkata sangsi. Merata dicarinya Amsyar hingga ke surau dan tandas tapi Amsyar tetap tidak ditemui.

                            "Iffan nampak abang Am ikut perempuan naik teksi masa kami sampai tadi. Tanya abang Im, dia pun nampak tapi bila kami panggil abang Am, dia buat tak tahu saja." adik Amsyar yang menjawab sambil menuding jari pada Imran, abang sulung Aafiyah.

                            "Betul tu aunty, lain macam saja Am tu tadi, macam kena pukau.." Imran berkata yakin.

                              "Macam ni la..apa kata kita pergi surau dan buat solat sunat hajat berjemaah. Kaum hawa boleh tunggu pesakit di katil sambil baca surah Yasin. Saya rasa macam ada yang tak kena ni. Kita berdoa supaya Allah bagi kita petunjuk dan permudahkan.." Ustaz Hamid yang mendengar sejak tadi mula bersuara.

                             Kebetulan dia datang merukyah seorang pesakit di wad yang sama dan doktor yang merawat Aafiyah adalah anak sahabat baiknya. Melihat keadaan Aafiyah, dia sudah dapat mengagak puncanya.

*****************

                  Aafiyah meracau, dalam lenanya yang panjang, dia bermimpi.

                 "Am..Fiya lapar..Fiya nak makan." Aafiyah meminta makan pada Amsyar yang sedang bermesraan dengan Nora di depannya.

                       "Kau siapa? Aku tak kenal kau pun! Semua makanan ni untuk isteri aku. Pergi kau! Pergi! Pergi!" Aafiyah dihalau oleh Amsyar dan dalam masa yang sama Nora sedang tersenyum puas. Nora merangkul lengan Amsyar dan mencium pipi Amsyar. Hati Aafiyah sakit dan sangat terluka melihat dua insan yang sedang bermesraan di depannya.

                       "Sayang Fiya." sambil mencium pipi Nora, Amsyar berkata. Aafiyah keliru melihat adegan di depan mata.

                       "Am! Fiya di sini..tu bukan Fiya! Tu Nora kawan Fiya! Sedarlah Am! Am dah kena tipu! Mohd Amsyar Iman!" Aafiyah bertempik kuat.

                         "Fiya..bangun Fiya, mama ni. Kenapa dengan Fiya ni.." melihat Aafiyah yang meracau sambil menangis, puan Noriah cuba mengejutkan Aafiyah. Tubuh Aafiyah yang berbahang panas diusap perlahan. Dahi Aafiyah yang berpeluh, dilap dengan rasa penuh kasih sayang.
                           "Nor..kami nak pergi cari Am..Nor jangan tinggalkan Fiya tau. Imran teman mama, Iffan ikut kami, kita pergi cari teksi tu." puan Raihan tidak senang duduk. Hatinya runsing memikirkan keadaan Amsyar.

                            "Siapa lagi pergi?" puan Noriah bertanya balas. Dia juga turut runsing dengan kehilangan Amsyar.

                              "Ustaz kata Fiya dengan Am kena guna-guna. Am ikut perempuan yang telah sihirkan mereka. Sementara kami tak ada ni, Nor terus bacakan surah-surah pendinding ya." sebelum keluar puan Raihan meninggalkan pesan. Istighfar puan Noriah mendengarnya.

Ya Allah..selamatkanlah anak dan menantuku.

***********

                 Aafiyah berlari sekuat tenaganya. Melihat berpuluh-puluh ekor babi perbagai saiz, kecil dan besar yang sedang mengejarnya dia menjadi mengah. Ya Allah..selamatkan aku Ya Allah. Sambil berlari Aafiyah berdoa di dalam hati. Badan Aafiyah berpeluh, lariannya semakin pantas, dia cuba memanjat batu yang tinggi untuk mengelak disondol oleh babi yang datang entah dari mana.

                     "Allahu Akhbar!" Aafiyah bertempik kuat. Di atas batu terdapat ular berwarna hitam yang sangat besar. Jantung Aafiyah bagaikan terhenti.

                    "Apa semua ni Ya Allah?" Aafiyah bertempik lagi. Jantungnya sedang berdetak dengan laju. Nafas Aafiyah tercunggap-cunggap.

                    "Fiya! Ya Allah..bantulah anak aku!" puan Noriah semakin runsing melihat keadaan Aafiyah yang meracau tanpa henti. Dibacakan surah-surah Al-Quran dan ditiup atas ubun-ubun Aafiyah. Melihat Aafiyah masih meracau, ditiup pula ke seluruh badan Aafiyah bermula dari kepala hingga kaki.

                     "Fiya! Fiya kena kuat sayang. Istighfar Fiya! Lawan sayang. Istighfar Fiya!" puan Noriah bersuara lagi sambil melagukan istighfar hingga habis.

                     "Mama..Im buka ngaji ya ma? Dalam handphone Im ada bacaan Al-Quran 30 juzuk. Im pernah dengar ustaz kata, kalau kita diganggu pasang surah Al-Baqarah dan amalkan selalu."

                       "Bukalah Im..kesian Fiya, dia sedang bertarung seorang diri. Meracau sejak tadi. Am pun, entah hilang ke mana? Kenapalah berat sangat ujian mereka. Allah..Kau permudahkanlah."

**************

                     Tiga bulan sudah berlalu. Aafiyah dan Amsyar kembali pulih namun masih trauma dengan apa yang menimpa mereka. Nora pula ditangkap tapi diberi kesempatan untuk bertaubat. Ilmu yang dimilikinya adalah ilmu turun temurun yang diwarisinya. Kini Nora ditempatkan di pusat pemulihan akhlak dan dibimbing oleh sepasang suami isteri yang bergelar ustaz dan ustazah.

                        Nora disuruh berzikir dan beristighfar seribu kali sehari atau setiap kali lepas solat. Nora juga dipaksa melakukan solat fardhu berjemaah dan solat sunat termasuk solat taubat, solat tahajud dan solat dhuha. Amsyar dan Aafiyah juga sedang berjuang untuk pulih sepenuhnya. Mereka juga sedang persiapkan diri dengan amal ibadah dan banyak menghafal surah Al-Quran.

                   Semua manusia sedang diuji akibat kelalaian sendiri. Allah terlalu sayang dengan setiap hambaNya. Ujian adalah tanda kasih sayang Allah. Adakalanya ujian itu penebus dosa namun bukan semua ujian itu kerana dosanya. Allah menguji kerana hendak melihat hambaNya semakin kuat, beriman dan bertaqwa. Semakin banyak ujian, semakin teguh iman seorang hamba, namun andai sebaliknya..kembalilah ke pangkal jalan.

                  "Fiya..jom solat. Dah azan tu." Amsyar bersuara bila melihat Aafiyah yang masih bermenung di tepi tingkap.

                 "Baiklah..tunggu Fiya ambil wuduk dulu." Aafiya berlalu dan menghilang di bilik air. Amsyar memulakan solat sunat sementara menunggu Aafiyah mengambil wuduk.

                  Hidup mereka semakin tenang bila setiap suruhan Allah dilakukan dengan sempurna. Setiap dugaan yang ditempuhi dijadikan pengajaran untuk hari muka. Semoga Allah ampunkan semua dosa dan beri hidayah saat mereka tersasar haluan. Hidup tidak semudah diduga. Selagi bernyawa, pasti ada cobaannya. Siapa yang menang pasti ada ganjaran yang menanti.

****TAMAT***"

Nota : Sebuah cerita yang berpandukan mimpi namun diolah kembali menjadi sebuah cerita. Letih bermimpi macam sebuah movies seram..sesekali dapat ilham, karanglah cerita pendek ni.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.