Selasa, 30 April 2013

DUGAANNYA,...

   

 

                Termangu aku di jendela waktu, menghitung detik demi detik usia yang telah berlalu. Pahit getir kehidupan yang di tempuhi seakan takkan pernah habis. Aku rasa amat cuak untuk meneruskan kehidupan ini. Aku benar- benar letih untuk melangkahi onak dan duri yang berpanjangan ini.

                Kesabaran dan ketabahanku sudah punah di telan masa, di bawa arus gelombang kehidupan yang begitu hebat. Apa dayaku, tak mampu untuk melawan segala badai itu. Aku hanya mampu menurut dan menyerah seadanya. Bukan tak pernah aku mencuba menjadi sekuat gelombang, tapi aku sering tewas.

                 Kehidupanku sering kali di uji. Sejak kecil lagi. Aku benar-benar tidak mengerti. Aku hanya inginkan kekuatan dan ketabahan yang abadi andai aku perlu terus diuji. Aku takut benar-benar tewas. Kadang-kadang aku merayu kuatkanlah hati ini. Aku tak mampu terus bertahan lagi. Di mana lagi harus aku cari kekuatan itu? Aku sekadar insan biasa yang keimananku hanya senipis kulit bawang. Jiwaku benar-benar kusut saat dan ketika ini. Dugaan ini semua begitu hebat buatku.

                      ALLAH berikanlah aku kekuatan. Ujianmu ini tak mampu lagi ku bertahan. Aku hanya inginkan secebis kebahagiaan.

1.11.2011,..

                  Tanggal keramat buatku. Ujian yang paling getir dalam kehidupanku. Sudah sebulan aku hilang selera makan. Tak menentu kesihatanku. Tapi hari ini ALLAH menguji aku lagi. Aku tumpah darah dengan banyaknya. Mencurah-curah darah yang keluar dari rahimku. Aku tahu aku bakal keguguran lagi. Tika ini aku hanya pasrah pada yang ESA.

                     Pukul 3.00 pagi, aku sudah tak dapat melelapkan mataku. Kesakitan yang aku rasa di bawah ari-ariku membuat fikiranku rasa tidak tenang, namun jawapannya terungkai bila setiap kali aku batuk, rahimku memuntahkan darah. YA ALLAH, ujian apakah lagi yang bakal KAU berikan padaku? Aku merintih di dalam hati. Jiwaku amat resah dan terseksa. Pilunya hati dan perasaanku, kerana aku tahu bayi yang ku idamkan selama ini, aku akan bakal kehilangannya lagi.

                   Tiga helai kain batikku sudah berganti. Habis lencun dengan darah yang keluar dengan banyaknya. Aku tiba-tiba diserang kepenatan yang teramat. Disaat ini kesakitan dan ketakutanku tak mampu ku ungkap dengan kata-kata. Hanya kalimah ALLAH yang mampu ku ucap disaat ini. Terasa aku bagaikan kehilangan nyawaku. Terpana aku dengan keadaan ini.

                Aku hanya mampu menangis untuk memberitahu bahawa aku amat letih dan takut sekali menghadapi saat-saat getir ini. Aku dibawa dengan ambulan ke hospital. Ini bukan kali pertama aku berpeluang untuk naik ambulan ni. Dah banyak kali ku rasa. Berbeza kali ini, aku terpaksa dimasukkan dengan oksigen kerana aku sudah terlalu banyak kehilangan darah dan oksigen dalam darah pun sudah berkurangan.

                 Sampai di hospital aku di kelilinggi dengan para jururawat dan Doktor. Aku diperiksa, badanku penuh berselirat dengan wayar-wayar. Aku sudah tiada daya untuk berkata-kata. Aku hanya sekadar pasrah dan menyerah apa yang bakal dilakukan padaku. Walau aku ditelanjangkan sekali pun, aku sudah tidak mampu untuk menghalang. Saat ini, perasaan maluku terpaksa ku tolak ke tepi. Dari tangan hingga kaki badanku dicucuk dengan jarum, dimasukkan air dan darah.

                       Sampai satu ketika keletihan dan kepenatan itu menyerang lagi. Aku jadi kalut dan hilang punca. Nafasku tercungap-cungap. Doktor dan jururawat menjadi gelabah. Kelam kabut juga keadaan ketika itu bila aku tiba-tiba jadi senyap dan membisu. Aku dikejutkan berulang kali. Kata-kata semangat diucapkan untukku agar berlawan dengan keadaan tenatku itu.

                 “Kak, bangun kak. Buka mata kak. Lawan kak, lawan, lawan..”

                  “Kak, jangan tidur lagi. Bangun, bangun.”

                  Aku terus dikejutkan agar  tidak pengsan terus. Biar pun mataku sudah tidak mampu untuk diangkat, tapi aku masih sedarkan diri. Selepas satu beg darah dimasukkan dalam badanku, aku kembali stabil. Tapi, aku kesejukan. Aku mengigil. Kain selimut diselimutkan ke tubuhku, namun kesejukan yang ku tanggung tak juga hilang.

                   Aku bertahan, dan akhirnya sekali lagi aku di bawa menaiki ambulan untuk dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Star. Seorang doktor dan 2 orang jururawat mengiringiku di dalam ambulan. Suamiku juga turut serta menemaniku. Disaat aku melihat suami, aku rasa sayu dan dan tak sanggup untuk menyusahkan dirinya lagi. Tapi, aku hanya manusia biasa yang tak mampu melawan kehendak takdir. Andai ini ujian untuk kami harungi, aku terimanya dengan redha dan aku juga berharap suami dapat menerima diriku yang kekurangan ini seadanya.

                   Hidup tak semudah yang disangkakan. Banyak yang harus aku hadapi dan harungi. Selagi aku masih bernafas, ujian demi ujian harus aku tempuh dengan redha. Bukan mudah sebenarnya untuk terima hakikat, bahawa aku bukan seperti orang lain. Tapi, aku pasti setiap manusia ada ujian yang berbeza yang terpakasa dilalui. Aku hanya bahagia bila ALLAH telah anugerahkan aku dengan seorang suami yang penyayang. Aku amat bertuah memiliki dirinya yang sanggup menerima aku seadanya. Walaupun aku banyak kekurangan, dia masih tetap setia di sisiku.

                    Masa yang berlalu begitu pantas sekali. Tanpa sedar kami sudah sampai di Hospital Alor Star. Aku dikelilingi sekali lagi. Doktor yang mengiringiku terpaksa menerangkan tentang situasi diriku pada doktor yang bertugas. Kali ini badan aku dicucuk merata tempat untuk mencari urat yang boleh diambil darahku.Dua beg darah telah dimasukkan ke tubuhku, tapi dalam masa yang sama darahku juga diambil untuk diuji. Tujuh botol darahku telah disuntik keluar. Badanku usah dikata lagi, habis lebam dan sakit-sakit dikerjakan oleh doktor-doktor yang bertugas.

                Badanku disuntik dengan jarum. Sakitnya bila darah yang disuntik tidak keluar. Aku sudah mula rasa sengal-sengal urat bila doktor menyuntik di tempat yang sama walau darah tidak berjaya diambil. Dan akhirnya, setelah 7 botol darah berjaya diambil, barulah aku dilepaskan.

             Dari bilik kecemasan pakaianku disalin untuk dibawa terus ke bilik pembedahan. Bajuku digunting atas permintaanku sendiri. Alahai, sayangnya baju baruku dikerjakan. Tapi, memandangkan badanku dipenuhi wayar, jadi memang sukar untuk menanggalkannya. Biarlah aku kerugian sikit, yang penting segalanya dapat diuruskan dengan mudah. Masa tu baru aku terfikir alangkah eloknya kalau aku pakai baju buruk saja. Aduhaii…cobaannn.

                Di bilik pembedahan, aku lebih diutamakan. Mungkin kes aku lebih serius, jadi aku terus disorong untuk dijalankan proses D&C. Sebelum aku dibius, aku diminta untuk menandatangani borang keizinan. Selesai semua urusan aku diangkat di atas katil bedah. Badanku telah diletakkan dengan berbagai wayar. Sempat lagi aku mendengar arahan dari doktor bius.

                     “Puan, saya nak bius ni. Sebelum tidur Puan mengucap di dalam hati.”

                        Tanpa berfikir panjang, aku pun mula melafazkan kalimah shahadah.

                     Ashaduanlailahaillallah waashaduannamuhammadarasullullullah. Ya Allah, kau permudahkanlah segala urusan, dan selamatkanlah diriku ini. Sesungguhnya, aku masih belum bersedia untuk pergi. Masih banyak lagi yang aku ketinggalan, dan banyak lagi urusanku denganmu yang belum aku selesaikan. Hutang amalanku terhadapMU jua masih banyak yang tertangguh. KAU ampunkanlah dosa-dosaku Ya Allah, dan kau panjangkanlah usiaku. Aamiin.

                Terlafaz saja doa-doa  kudusku itu di dalam hati, aku terus merenung lampu pembedahan. Perlahan-lahan aku rasa alam ini hilang dari penglihatanku dan aku tertidur dengan nyenyaknya. Terjaga saja dari tidurku yang panjang, ku rasa tekakku amat perit sekali.

            “Puan, kita sedut kahak ya.”

               Kahakku yang ku rasa memenuhi setiap ruang mulutku disedut keluar. Aku merasa tekakku begitu kering dan aku batuk berpanjangan. Tak tahan rasanya menanggung segala penderitaan ini. Hampir sejam berlalu aku masih batuk-batuk.

                       Bila keadaanku sudah kembali stabil, aku mula disorong keluar dari bilik pembedahan. Aku dibawa ke wad KENANGA 2D. Aku diarahkan agar tidur dalam keadaan melentang dan tanpa berbantal selama enam jam. Seksaan yang amat sangat untukku lalui. Selama ini aku memang tak suka tidur melentang ni, pinggangku akan sakit yang teramat. Itulah yang aku rasa selama enam jam. Seksanya hanya Allah yang tahu.

                      Pukul sepuluh malam nurse yang bertugas mengarahkan aku bangun dan katilku telah ditinggikan, tapi aku dilarang berdiri atas sebab-sebab kesihatanku. Bimbang aku akan jatuh pitam kerana kekurangan darah. Aku disuruh minum air kosong untuk sementara. Apabila aku tak muntah, aku disuruh pula untuk makan nasi. Aku jamah juga sedikit nasi sebagai pengalas perut yang seharian kosong. Apa yang membuatkan aku semakin terseksa, bila setiap kali batuk perutku sakit yang teramat sangat. Terpaksa aku menahan segala kesakitan itu.

                   Ya ALLAH, dugaanMU ini amat berat untukku tanggung. Rasanaya sudah tiada daya lagi untukku tanggung segalanya ini. Tapi, aku juga tiada daya untuk menolak segala cobaan yang kau turunkan untukku.

                    Hanya rintihan di dalam hati yang mampu ku ungkapkan. Hidup ini tidak seindah yang ku duga. Disaat aku bahagia, aku di uji. Aku terlalu letih dengan setiap ujian ini.

                   Malam ini aku tertidur sambil duduk. Aku bukan sekadar letih fizikal, tapi jiwaku juga turut letih untuk menanggung bebanan perasaan ini. Aku cuba bertahan sedaya mungkin. Pukul satu pagi barulah nurse datang padaku dan menurunkan sedikit kepala katil supaya aku dapat tidur dengan selesa. Tapi, aku sekejap-sekejap terjaga kerana orang di katil sebelah sudah mula menahan kesakitan untuk bersalin. Kadang-kadang hatiku juga terguris. Kenapa orang lain mampu untuk menimang cahayamata mereka? Adakah aku ini memang tak layak untuk memilikinya?

                 Hanya satu persoalan yang selalu bersarang di benak mindaku. Kebanyakan orang dalam wad ini sedang menunggu saat-saat melahirkan anak mereka, sedangkan aku sudah kehilangannya

*****************
                   Pagi yang bening, aku masih terlantar dan tak mampu lagi bangun dari katil. Masih ada tiub kencing yang dipasang dan aku memang tak boleh untuk bangun lagi. Rasa tak selesa sangat dengan keadaanku ini. Aku cuba tabahkan hati, kerana aku pasti pagi ni segalanya yang menyeksakan aku akan berakhir dan aku akan dibenarkan pulang.

                    Aku didatangi dua orang jururawat praktikal. Kali pertama dalam hidupku, badanku dilap orang. Aku ni dah masuk dua hari tak mandi. Memang tak selesa sangat bila dilayan begini. Aku rasa, aku ni langsung tak berdaya. Selepas badanku dilap, aku diarahkan bangun dan duduk di kerusi. Tak selesa langsung, bila tiub kencing masih lagi terpasang. Aku cuba bergerak ke arah singki di tepi katilku untuk berkumur. Mulut aku ni dah rasa tak selesa sangat. Tapi, baru saja bangun, aku jalan terhuyung hayang. Aku dimarahi oleh nurse yang bertugas.

              Aku buat selamba saja. Selepas aku dibenarkan tidur semula barulah jarum yang berlambak tercucuk di lengan dan kakiku dibuang. Cuma satu saja yang ditinggalkan untuk disuntik ubat antibiotik. Akhirnya tiup kencing juga dibuang. Tapi, aduhh..sakitnya. Tahan sajalah. Ini bukannya ada apa-apa pun. Badan aku ni dah mangli dengan semua kesakitan. Aku dah tak hairan dengan semuanya. Aku dah rasa beberapa kali bakal kehilangan nyawa. Memang terseksa. Dengan dugaan yang sekecil ini apalah sangat. Aku mampu untuk menghadapi segalanya ini.

*********************


                Aku dipindahkan pula ke WAD KENANGA 2B. Di wad ni aku bebas berbuat apa saja. Aku sudah mampu berjalan sendiri. Aku kuatkan diri mudahan aku dibenarkan pulang hari ini.Tapi, ternyata doktor masih tidak berpuas hati dengan keadaan aku. Aku masih diperiksa. Darah diambil dan akhirnya aku dimasukkan lagi dengan satu beg darah.

            Malam ni aku tidur dengan nyenyak, tapi setiap kali aku tertidur aku dikejutkan. Bermakna, senyenyak mana pun aku tidur, aku masih di bawah pengawasan. Bukannya apa, selagi masih di wad, tekanan darahku diambil. Antibiotik disuntik setiap 12 jam sekali. Malam ini aku dimasukkan air dan darah berselang seli. Habis, barulah aku dapat berehat dengan tenang.

                  Awal pagi lagi doktor sudah mendatangiku dan memberitahu aku mungkin akan dibenarkan pulang hari ini. Gembiranya rasa hati, tapi sampailah ke petang barulah segala urusan keluar wad selesai.

**********************

                         Selepas seminggu keluar wad, aku dikehendaki untuk pergi sekali lagi  ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk diambil darah. Aku diarahkan berpuasa malamnya. Aku turuti segala arahan. Tepat pukul sembilan pagi, kami sampai di Hospital. Pukul sepuluh, urusan selesai. Leganya, kerana tak perlu tunggu seharian. Tapi, aku diarahkan untuk pergi sekali lagi dua bulan lagi.

                   Balik dari hospital, aku dan suami singgah di Bandar Alor Setar. Ronda-ronda sambil berdating. Bahagianya bila dapat peluang jalan berdua dan berpegangan tangan. Memang, dalam seminggu ni emosi aku tidak stabil dan aku sentiasa inginkan perhatian dari suami. Aku sentiasa ingin bermanja dan mendampinginya setiap masa. Aku rasa bahagia bila berdua, tapi hatiku mudah benar terguris. Entahlah, kenapa jiwa aku begitu amat sensitif sekali.

**************

Mac 2016…

               Dugaan itu ada di mana-mana saja. Selagi kita hidup di atas bumi Allah ini, dugaan hidup ini takkan pernah habis. Seingat aku keguguran aku di tahun 2011 adalah keguguran kali yang ke-9. Selepas itu aku gugur lagi. Kali ke-10 aku keguguran pada awal tahun 2012 dan kali terakhirnya pada hujung tahun 2012. Tiga kali berturut-turut membuatkan doktor mengambil keputusan supaya D&C tak perlu dibuat untuk keguguran kali yang ke-11. Doktor kata, rahim aku mungkin akan koyak atau dinding rahim akan melekat di antara satu sama lain kesan membuat D&C yang kerap. Aku pasrah saja dan menurut apa saja yang akan dilakukan untukku.

             Bila pulang ke rumah selepas keguguran kali ke-11, aku menderita sakit di dalam perut. Pada awalnya, aku menyangka, aku sakit batu meryam. Almaklumlah, kerap sangat aku keguguran, tapi rupanya bukan itu sebabnya. Selepas lima hari barulah janin yang tak menjadi itu keluar. Ya Allah, hanya KAU yang tahu, betapa sedihnya aku melihat dia yang keluar dari rahimku dalam keadaan itu. Begitu menyayat hati dan aku rasa terluka yang amat sangat. Walaupun begitu, aku harus redha, kerana semuanya ini adalah kehendakNYA.

             Hari ini setelah tahun semakin berlalu dan semua kenangan itu masih segar dalam ingatanku. Aku bersyukur kerana aku masih mampu berdiri dan masih bernafas di atas bumi Allah ini. Aku diberi peluang untuk berkongsi apa yang telah aku lalui dengan semua. Bukan untuk bercerita tentang nasib diri. Aku sekadar ingin berkongsi cerita, bahawa Allah bukan ingin mendera hambaNYA.

             Ada hikmahnya atas semua dugaan. Aku menjadi semakin matang dan tabah dalam mengharungi onak dan duri yang merintangi perjalanan hidupku.Aku lebih tenang dalam menghadapi apa saja situasi. Jangan mengeluh ketika diri diuji. Percayalah, Allah sedang menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk kita. Jangan BERPUTUS ASA!. Jangan sesekali merungut. Teruskan bertahan dengan setiap ujian. Kita mungkin tak nampak hikmahnya sewaktu diuji, tapi andai kita bersabar dan terus bertahan, Subhanallah, manisnya kehidupan di sebalik kepahitan.

           Ahad, 4 Disember 2016..

            Aku baca kembali catatan ini. Apa yang aku fikir? Ya Allah, semua ujian ini semakin mematangkan fikiranku. Kerana dugaan yang bertali arus, akhirnya aku di sini. Menjadi penulis bebas secara online. Biar pun tak dikenali oleh orang ramai tapi aku tetap bahagia berimaginasi dan berkongsi rahsia mindaku dengan orang lain. Begitu rupanya kesedihan aku dibalas dengan kemanisan berimaginasi. Seperti kata seorang rakan sekolah rendah dalam group WhatsApp..aku beruntung walaupun masih miskin seperti dulu kerana aku dianugerahkan dengan ilmu untuk berimaginasi. Wanita yang tak berpelajaran seperti aku yang hanya menjadi suri rumah tangga sepenuh masa, mempunyai begitu banyak masa di depan skrin monitor untuk melakarkan sebuah cerita untuk bacaan semua. Apa lagi yang aku mahu? Sekurang-kurangnya impian untuk bergelar seorang penulis sejak di alam persekolah berjaya juga aku raih dengan keadaanku yang serba kekurangan ini.

                Oleh itu, jangan sesekali merungut jika diuji dan terus diuji. Bertabah dan bersabarlah, dan pastikan kita sentiasa redha dengan semua ujian. Manisnya kejayaan takkan dapat diungkapkan dengan kata-kata selepas kesakitan yang pernah kita rasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.