Ain Ardini melangkah longlai menuju
perpustakaan. Macam biasa setiap kali masuk time rehat Ain Ardini akan
menghabiskan masanya di perpustakaan. Ain Ardini memang minat membaca. Lebih-lebih
lagi novel-novel cinta. Ain Ardini juga dah dapat gelaran 'hantu novel' daripada
kawan-kawannya. Apa taknya, Ain Ardini kalau dapat saja novel, kawan-kawan lalu
di sebelah pun dia takkan perasan.
Ain Ardini juga bercita-cita menjadi seorang
penulis suatu hari nanti. Hanya itulah impiannya. Sampai saja di perpustakaan,
Ain Ardini menuju ke rak kegemarannya. Novel Adam dan Hawa dipilihnya. Ain
Ardini mencari tempat duduk dan mula membaca.
Lima belas minit berlalu. Ain Ardini
mendongakkan wajah untuk seketika. Tiba-tiba matanya bertembung dengan
seseorang yang sedang merenungnya di meja bertentangan dengannya. Sepantas
kilat Ain Ardini menundukkan wajahnya semula. Cuba menyembunyikan wajahnya di sebalik
buku yang dipegang. Berdebar dadanya usah dicakap. Penangan renungan Mohd
Haikal, pelajar aliran sastera bersebelahan dengan kelasnya memang menyengat. Buat
Ain Ardini sentiasa teringat. Ain Ardini memang sukakan Mohd Haikal sejak
tingkatan dua lagi. Ain Ardini hanya memendam saja perasaannya kerana Ain
Ardini seorang yang amat pemalu.
"Rajin Ain membaca?"
terdengar seseorang menegur di sisinya. Ain Ardini menoleh. Mak oii…Ain Ardini
terkejut besar. Bila masa pula Mohd Haikal sudah ada di tepinya?
"Adam dan Hawa. Best tak cerita
tu?" Mohd Haikal bersuara lagi. Ishh..apa kena dengan Haikal hari ni?
Ramah la pula. Selalunya dia ushar aku dari jauh saja. Ain Ardini berbisik di
dalam hati.
"Ain.." Mohd Haikal
memanggil. Ain Ardini memandang sekilas. Wajahnya dah mula berbahang. Malu yang
teramat.
Ain Ardini memandang sekeliling
perpustakaan. Masing-masing yang ada di perpustakaan membuat hal sendiri, tapi
Ain Ardini tetap rasa resah. Tak boleh jadi ni. Ain Ardini membelek jam di pergelangan
tangannya. Masa rehat masih berbaki lima belas minit. Tanpa membalas walau
sepatah sapaan Mohd Haikal, Ain Ardini terus bangun dan mencari tempat kosong.
Jumpa…Ain Ardini menuju ke tempat
tersebut dan mula duduk seraya menyambung pembacaannya. Ain Ardini sempat
menoleh ke arah Mohd Haikal. Melihat wajah Mohd Haikal yang mendung, Ain Ardini
mengulum senyum. Walaupun Ain Ardini mempunyai perasaan pada Mohd Haikal, tapi
Ain Ardini tidak mahu terus melayan perasaan. Biar masa menentukan. Paling Ain
Ardini tak suka. bercinta bagai nak rak, tup-tup jodohnya ditakdirkan dengan orang
lain. Merana.
Masa rehat berlalu. Ain Ardini dan
pelajar-pelajar menuju ke kelas masing-masing. Ain menapak perlahan ke
kelasnya.
"Ain! Tunggu kejap." Ain terpempam.
Alamak, aku terlupa dengan kewujudan Haikal di perpustakaan tadi. Kenapa pula
dia panggil aku? Nak marah aku ke, sebab aku tak layan dia tadi? Ain cuba
melajukan langkahnya.
"Kenapa dengan Ain ni? Ain tak sukakan
Haikal, bagitau aje la. Dari jauh bukan main lagi. Tapi bila Haikal nak dekat,
mesti Ain larikan diri." Wajah Mohd Haikal dah memerah. Ain tak peduli itu
semua, yang Ain tahu, Ain nak segera masuk ke kelas. Badan Ain Ardini dah mula
mengigil. Malu berhadapan dengan Mohd Haikal. Ain Ardini memang ada masalah
untuk berhadapan dengan orang yang dia suka. Darah gemuruhnya mula menyerbu
naik ke muka. Jantungnya pula bagai nak luruh. Laju jantungnya berdegup
bagaikan baru lepas dikejar anjing.
"Sorry…dah lewat ni. Ain masuk
kelas dulu." dapat juga Ain Ardini bersuara. Laju langkahnya diatur
walaupun lututnya dah mula berlaga. Di kelas Ain Ardini didatangi teman baiknya,
Idayu dan Rosmaliza.
"Apa cerita? Kau berbual apa dengan
Haikal tadi?" Ain Ardini memandang Idayu. Matanya dibesarkan.
"Apa?" Ain Ardini buat-buat
terkejut.
"Alah, kami nampak, kau berbual
dengan Haikal tadikan?"Rosmaliza pula membuat kenyataan.
"Dah la, jangan nak mengarut."
Ain Ardini cuba menyembunyikan senyumnya.
"Ek eleh..dengan kami pun nak berahsia
juga ke? Tak nak kawan baru tauu." Rosmaliza mula mengugut. Mereka nampak
sendiri sewaktu menuju ke kelas tadi. Ain Ardini dan Mohd Haikal sedang berbual
berhampiran perpustakaan.
"Bangun! Assalamualaikum cikgu."
Ketua Kelas, Mohd Firdaus memberi arahan dan ucapan salam. Masing-masing kecut
perut. Lepas rehat matapelajaran Bahasa Malaysia, cikgu Hayati. Cikgu yang
paling garang dan payah nak senyum.
"Assalamualaikum cikgu," bergema
satu kelas. Semua pelajar kelas 6 sastera dua turut mengikut arahan. Bangun dan
memberi salam.
"Waalaikummussalam. Baik, duduk
semua." Cikgu Hayati mula bersuara. Pelajaran dimulakan. Semua pelajar tekun
mendengar setiap apa yang diajarkan. Segala hal yang tak berkaitan dilupakan
untuk sementara waktu.
******************
MASA terus pantas berlalu. Pukul 1.45 loceng
akhir berbunyi. Masing-masing bergegas ingin pulang. Rosmaliza dan Idayu menghampiri
Ain Ardin. Mereka memang selalu pulang bersama.
"Ain, kau masih berhutang dengan
kami." Ain toleh dan merenung Idayu. Matanya dikecilkan tidak mengerti. Rasanya
dia tak pernah berhutang pun.
"Bila masa pula aku berhutang dengan
korang?" Ain bertanya lurus.
"Kau dah lupa, kau berhutang
penjelasan dengan kami." Idayu berkata selamba. Ain dah mula bingung.
"Tak fahamlah?" Ain Ardini bertanya
lagi.
"Tak faham ke, buat-buat tak
faham?" Rosmaliza turut mencelah. Ain
Ardini mula berfikir. Memang dia betul-betul tak faham.
"Pasal kau dengan Haikal tadi la."
Ain mula mengukir senyuman. Dengan selamba Ain Ardini mengalas begnya dan mula
melangkah. Idayu dan Rosmaliza mengikut dari belakang.
"Nak lari la tu?" Rosmaliza dah
mula bengang dengan sikap Ain Ardini.
"Mana ada. Aku jalan aje. Bila
masa pula aku lari? Korang ni.." Ain Ardini tertawa perlahan. Faham benar
dengan sikap dua orang kawannya itu. Selagi tak dapat mencungkil apa-apa cerita,
mereka tetap takkan berputus asa.
"Aku tak kira kau mesti cerita dari A
sampai Z.." Idayu mula mengertak. Semakin galak Ain Ardini ketawa.
"Ok, ABCDEF…" Sengaja nak
menaikkan kemarahan kawan-kawannya Ain Ardini mula membaca ABC macam
budak-budak tadika.
"Woii! Aku belasah juga Minah ni.
Main-main pula." Idayu bersuara lagi. Rosmaliza bercekak pinggang mengadap
Ain Ardini, manakala Ain semakin galak ketawa. Hatinya digeletek lucu.
"Korang dah salah faham la. Aku dan
Haikal tak berbual apa-apa pun." Ain Ardini mula memberi penjelasan.
"Aku tak percaya." Idayu tak
berpuas hati. Dia melihat dengan mata sendiri Ain dan Haikal berjumpa waktu
rehat tadi.
"Up to you." Ain jungkit
keningnya sambil terus menuruni tangga. Percaya ke tak lantak korang la. Ada
aku kisah.
"Ain!" terdengar seseorang
memanggil Ain. Tiga pasang mata sudah ternampak si pemilik suara. Mohd Haikal
melambaikan tangan. Idayu dan Rosmaliza dah tersenyum nakal. Ain Ardini dah
mula berpeluh. Nak tunggu? Tak tunggu? Atau aku blah saja? Habis cerita.
"Ain…" Haikal panggil lagi.
"Ain...kami blah dulu la."
Wah, Idayu dan Rosmaliza pula yang lebih-lebih. Nak jadi kawan yang paling
sporting la kononnya tu.
"Ain, Haikal nak bagi ni jer."
Mohd Haikal menghulurkan kertas yang berlipat cantik. Ain tiada pilihan, dicapai
kertas tersebut dan melihat Haikal berlalu pergi. Idayu dan Rosmaliza yang tak
jadi meninggalkan Ain mula nak menyibuk.
"Buka la Ain. Bacalah apa yang Haikal
tulis." Idayu dah tergedik, terkinja-kinja. Dia pula yang teruja. Rosmaliza
pula terangguk-angguk menyetujui kata-kata Idayu.
"Dah…tak payah nak menyibuk."
Ain Ardini terus menyimpan kertas tersebut dan terus melangkah. Malas nak
melayan kawan-kawannya itu.
"Boring betul aku dengan ‘Minah’ sorang
ni." Idayu dan Rosmaliza buat muka. Ain Ardini tak peduli. Bagi dia apa
yang Haikal bagi bukan untuk dikongsi.
********************
SAMPAI di rumah Ain terus menuju ke bilik. Tidak
sabar rasanya untuk tahu apa yang terkandung dalam surat yang Haikal beri. Ain
Ardini keluarkan kertas dan merebahkan badannya di katil. Berdebar dan teruja
perasaannya.
Ain,
Redup matamu memukau
pandangan,
Membuat aku
terpesona,
Dalam diam hatiku
berkata,
Kaulah gadis idaman
untuk selamanya,
Namun sayang kau
begitu payah untukku dekati,
Dirimu umpama
jinak-jinak merpati,
Ain,
Aku bukan nak
meminta-minta,
Aku sekadar ingin
berkawan tapi mesra,
Sudilah kiranya kau
terima aku seadanya,
Aku sedar aku tak
punya rupa,
Tapi aku ada sekeping
hati yang suci,
Dan hatiku hanya khas
untukmu Ain Ardini.
Iklas dariku untukmu
Mohd Haikal.
Ain Ardini melipat kembali kertas
pemberian Mohd Haikal. Luahan hati dari seorang lelaki. Kebetulan, Haikal
adalah lelaki pertama yang berjaya mengetuk pintu hatinya, tapi Ain Ardini tak
berani berangan lebih-lebih. Soal jodoh bagi Ain terletak di tangan ayahnya dan
Ain tak berani nak membantah. Walau Ain
masih bersekolah tapi dah ada ura-ura ayahnya nak kahwinkan dirinya dengan anak
kawan baik ayahnya. Dan lelaki itu bertugas sebagai seorang guru.
Ain resah berfikir. Ini kali pertama
Ain Ardini menerima luahan perasaan daripada seorang lelaki yang dia sendiri
minat. Ain mengeluh perlahan. Wajahnya mendung tiba-tiba. Walau sedalam mana
pun kasihnya pada Mohd Haikal, kasihnya pastikan terlerai jua. Setiap keputusan
ayah adalah muktamad dan Ain Ardini tak berdaya untuk membantah. Setuju pada
kata-kata ayah adalah wajib.
Ain Ardini berteleku di meja belajarnya. Kegembiraan
sebentar tadi hilang begitu saja. Dia memang ingin menjadi seorang pencinta
yang setia, tapi pilihan tak memihak pada hatinya, kerana dia hanya perlu jadi
anak yang patuh. Itu adalah hakikat, yang tak dapat Ain Ardini tolak.
******************
Ayah Ain Ardini tiba-tiba sakit tenat. Ain
resah. Dalam kekalutan yang melanda, ayah Ain Ardini buat permintaan agar Ain
segera dinikahkan. Ain tepaksa tunduk atas kemahuan ayah, manakala ibu pula
memang seorang isteri yang taat. Ain anak tunggal ayah dan ibu. Putih kata ayah
dan ibu putihlah kata Ain.
Pernikahan Ain Ardini dengan pemuda pilihan
ayahnya berlangsung sederhana. Hanya adik beradik terdekat kedua belah pihak
yang hadir. Mohd Aqil Qusyairi telah sah menjadi suami Ain Ardini. Orangnya berkulit
cerah dan sedap juga mata memandang. Ain terima jodoh ini dengan hati terbuka. Kali
pertama mencium tangan suaminya, air mata Ain mengalir. Sebu rasa hati, tapi
Ain terima takdir ini. Dahi Ain Ardini dikucup mesra. Ain terharu. Ahh..ikhlaskah
dia menerima aku sebagai isteri? Persoalan yang hanya berlegar dalam mindanya
sendiri.
******************
PERSEKOLAHAN berjalan seperti biasa. Status isteri yang
dipegang tak menghalang Ain Ardini untuk terus menyambung pelajarannya. Suaminya
cukup sporting dan memahami. Ain bersyukur kerana suaminya banyak menyokong dan
memberi galakan untuknya.
"Aku dengar cikgu Hayati cuti bersalin. Hari
ini ada cikgu baru. Harap-harap taklah garang macam cikgu Hayati tu kan?"
kelas dah mula bising dengan ketiadaan cikgu Hayati. Si kepoh Alia Maisara, sudah
mula buat pengumuman. Ain Ardini langsung tak ambil kisah, kerana walau siapa
pun guru yang mengajar tak pernah ada masalah pada Ain Ardini. Dia tak pernah
kena marah, kena herdik dan sebagainya, kerana Ain Ardini seorang yang tak
pernah bawa masalah.
"Bangun! Assalammualaikum cikgu. Selamat
pagi cikgu." Mohd Firdaus bangun lalu memberi salam dan ucap selamat. Pagi
ni pelajaran Bahasa Malaysia dua masa. Semua pelajar bangun. Semua mata
tertumpu di hadapan kelas. Seorang guru muda yang agak kacak sedang berdiri di
hadapan kelas. Nampak macam baik saja.
"Assalammualaikum cikgu. Selamat pagi
cikgu." macam biasa, seisi kelas memberi respon dengan arahan ketua kelas
mereka.
"Ok..waalaikummusalam. Sebelum kita
mulakan pelajaran hari ini, saya nak memperkenalkan diri terlebih dahulu. Nama
saya Aqil Qusyairi. Guru sementara yang akan mengantikan cikgu Hayati, guru
Bahasa Malaysia kamu." Ain Ardini resah dalam diam. Alahai, Dah tak ada
guru lain ke dalam Malaysia ni? Dah habis dah ke guru-guru di Malaysia ni?
Alih-alih suami aku juga yang aku kena mengadap kat kelas ni.
"Kita mulakan suai kenal. Bermula dengan
baris depan sebelah kanan." seorang demi seorang bangun. Ain Ardini dah
penat perah otak. Aku nak kena perkenalkan diri juga ke? Arghhhhh….
"Ain, giliran kau la. Sempat lagi
nak berangan." Idayu yang duduk di sebelah mencuit Ain Ardini. Ain Ardini
terkejut dan tercengang. Seisi kelas sudah mula ketawa. Muka Ain merah. Dia
pandang di depan kelas. Aqil Qusyairi senyum bersahaja.
"Nama saya…Ain..Ardini."
tergagap-gagap Ain menyebut namanya. Hishhh…kenapa dengan aku ni? Dah seminggu
hidup bersama. Tinggal sebilik, tidur sekatil, okey saja.
"Okeylah…awak boleh duduk."
Ain Ardini duduk. Diraup mukanya. Fuhh…Pecah peluh. Ain merungut di dalam hati.
Dalam masa yang sama dia menghela nafas lega.
Kelas menjadi sunyi sepi. Masing-masing
cuba menyesuaikan diri dengan guru baru. Hari ini cikgu Aqil Qusyairi arahkan
kelas 6 Sastera dua untuk buat karangan bertajuk 'Cita-citaku'. Ain Ardini dah
mula tersenyum sendirian. Kalau tajuk pilihannya adalah untuk menjadi penulis,
apakah minatnya akan direstui suaminya nanti? Ain Ardini pandang ke depan. Wajah
suaminya ditatap. Semacam merasai dirinya direnung Aqil Qusyairi panggungkan
kepala. Ain Ardini terpana seketika.Ceh..kantoi sudah.
"Ain Ardini awak ada soalan nak tanya ke?"
Aqil Qusyairi menyoal Ain Ardini. Ain hanya mengeleng. Ditundukkan wajahnya
kembali. Idayu di sebelah mencuitnya. Idayu menaikkan kening.
"Kau kenapa? Lain macam aje aku tengok."
Ain Ardini beliakkan matanya.
"Mana ada. Pandai-pandai aje la."
Ain cuba menafikan perasaannya.
"Ain, apa cita-cita Ain? Boleh
saya tahu?" Aqil Qusyairi dah terpacak di tepi meja Ain. Matanya merenung
Ain tajam. Inginkan jawapan segera.
"Err…jadi penulis kot."
teragak-agak Ain menjawab.
"Penulis? Okey..saya suka
penulis. Dengar kata penulis ni romantis. Betul ke?" Riuh satu kelas
dengan sorakan. Ain sudah mula panas punggung. Kalau ya pun, tak boleh tunggu
balik rumah ke? Hiesy...bikin aku tension sajalah dengan cikgu sorang ni.
"Cikgu! Kalau dah suka
cepat-cepatlah masuk minang. Nanti melepas pulak." Mohd Shafik bersuara
lantang dan mendapat tepukan ramai. Ain Ardini hadiahkan jelingan maut buat
Mohd Shafik.
"Kenapa kau jeling aku? Tak apalah, kau
tak mahu kat cikgu Aqil, aku pun boleh. Tapi, kena tunggu aku habis sekolah
dululah." Mohd Shafik bersuara lagi. Kelas semakin gamat.
"Sudah, sudah…buat kerja
masing-masing." Cikgu Aqil Qusyairi melangkah ke meja guru semula. Ain
Ardini tersenyum kemenangan. Padam muka. Kenakan aku lagi. Ain Ardini
bermonolog di dalam hati. Pada suaminya dihadiahkan senyuman yang paling manis
sekali, tapi cuma seketika bila Aqil Qusyairi membalas senyumannya dengan muka
yang serius. Ain Ardini tunduk kembali dan mula mengarang cita-citanya.
Dua masa pelajaran Bahasa Malaysia
hari itu pun berakhir. Ain Ardini lega kerana masa untuk berhadapan dengan
suaminya sudah tamat. Bukan dia tak suka, tapi bila 'suamiku cikguku jua' yang
bermain dalam kepalanya menjadikan dia amat rimas.
*****************
WAKTU rehat seperti biasa, Ain menuju ke
tempat kegemarannya. Perpustakaan sudah mengamitnya. Tidak sabar rasanya untuk
membaca novel terbaru.
"Ain, tak pergi makan ke?"
Ain terkejut bila mendengar pertanyaan daripada Cikgu Aqil Qusyairi. Entah dari mana muncul cikgu
Aqil ni pun Ain tak perasan.
"Taklah cikgu, Ain nak ke
perpustakaan." Ain menjawab jujur.
"Novel lagi penting dari makan ke
Ain?" Ain dah mula terasa semacam. Mana dia tahu erk?
"Malaslah cikgu, nak kena beratur bagai."
Ain dah rasa tak selesa sangat berbual dengan Cikgu Aqil. Bukan tak suka, tapi
takut ada pula yang berprasangka yang bukan-bukan.
"Kita sambung di rumah nanti."
Cikgu Aqil bersuara perlahan. Ain hanya mengangguk. Langkahnya diteruskan dan
rak buku kegemaran dituju. Kali ini novel Kampung Girl pula dipilih sebagai
santapan mindanya.
''Ain kenal cikgu baru tu ke?"
Mohd Haikal bertanya serius. Dari mana pula mamat sorang ni datang? Takkan dia
nampak aku berbual dengan cikgu Aqil tadi kot? Kalau ikutkan hati, memang Ain
nak berterus terang bahawa Cikgu Aqil tu baru seminggu jadi suami dia, tapi
kalau nak ikut akal yang logik, adakah Mohd Haikal nak percaya?
"Ain, Haikal tanya Ain ni."
Mohd Haikal masih setia menantikan jawapan daripada Ain Ardini, sedangkan Ain
Ardini sudah mula resah.
"Ain nak membaca ni. Boleh
tolong jangan ganggu Ain tak. Lagi pun kita masih di sekolah, tak manis kalau
orang lain pandang." Ain bersuara. Kali pertama Ain berani berhadapan
dengan Haikal. Ain tak perlu lagi takut dan gementar berhadapan dengan Haikal,
kerana kini Ain dah kepunyaan Aqil Qusyairi. Semua perasaannya terhadap Haikal
dibuang terus. Biarpun kasihnya pada Haikal sudah lama berputik tapi cinta dan
sayangnya belum disemai.
"Kenapa, Ain?" Ain pandang
Haikal.
"Kenapa, apa?" Ain bertanya kembali.
Dia langsung tak faham apa yang ingin Haikal sampaikan.
"Okey, just forget it. So, what
your answer?" Haikal mula bermain tarik tali. Kerusi di sebelah Ain
ditarik. Ain pandang Haikal. Bengang, nanti tentu orang ingat mereka sedang
berdating. Buatnya cikgu Aqil pun datang ke perpustakaan waktu ni, haru biru
jadinya.
"Ain, dah sampai mana? Haikal
tanya ni, apa jawapan Ain?" Ain kaget. Otaknya ligat berfikir. Jawapan?
Jawapan apa erk? Haikal ni bikin aku penasaran betullah.
"Ain tak faham. Maksud Haikal?" Ain
bertanya terus pada Haikal. Semakin difikir kepalanya semakin pening.
"Lahh…minggu lepaskan Haikal bagi
sesuatu kat Ain. Takkan Ain tak ingat?" Ain mula mengukir senyuman. Tapi
hambar dipandangan mata. Hmm…puisi yang membuatkan dia rasa bahagia seketika.
"Maaf Haikal. Ain tak boleh. Ain
dah terikat. Ain dah tak boleh ada perasaan pada mana-mana lelaki. Maaf sekali
lagi." Ain berkata telus, kerana itulah hakikat kehidupannya. Dirinya
sudah dimiliki dan hatinya juga wajib hanya untuk Aqil Qusyairi.
*****************
MALAM itu Ain Ardini berhadapan
dengan Aqil Qusyairi. Sejak pulang dari sekolah tadi suaminya seolah tak
mengendahkan dirinya langsung. Ain sendiri tidak tahu, kesalahan apa yang telah
menguris hati suaminya.
Hari pertama bertugas di sekolah
mereka, suaminya jadi bualan pelajar-pelajar perempuan. Dalam kelas 6 Sastera
dua pun, ramai yang memuji paras Aqil Qusyairi termasuk Idayu dan Rosmaliza. Ain
Ardini terpaksa menjeruk rasa. Sepatutnya dia yang merajuk kerana cemburu, tapi
ini dah terbalik pula.
Aqil masuk ke bilik, bersolat dan mula
mengeluarkan buku-buku latihan pelajar. Ain hanya memerhati tanpa riak. Nak
tegur ke? Tak payah tegur? Ain berbisik di dalam hati.
"Abang…" Ain memanggil. Tiada
respon. Ain garu kepala yang tidak gatal. Cari idea.
"Abang…okey ke, kalau Ain tulis karangan yang abang bagi tadi?
Errr…." Ain hilang punca. Nak cakap apa erkk?
"Kenapa?" Aqil Qusyairi bertanya.
Ain tersenyum. Yess!
"Err…cita-cita Ain ni okey ke?
Abang tak marah?"Aqil Qusyairi bangun dan menghampiri Ain. Di sisi Ain, Aqil
Qusyairi mengukirkan senyuman.
"Abang okey jer, tapi…Ain kenalah jadi
isteri yang romantik untuk abang sorang saja. Bukan untuk Haikal ataupun untuk
Shafik." sehabis berkata-kata Aqil Qusyairi mengelus lembut rambut Ain
Ardini, dan kemudian dia bangun semula menuju ke meja kerjanya. Ain dah mula
tak sedap hati. Kalau Shafik Ain tak hairan tapi Haikal? Ahh, Aqil Qusyairi
memang misteri. Baru sehari mengajar di sekolah aku, dia dah tahu segalanya.
"Lagi satu abang nak pesan, kalau
Ain malas nak beratur di kantin, lain kali bawa bekal. Jangan biar perut
kosong. Nanti kalau Ain sakit, abang juga yang susah. Bukan novel-novel tu nak
merawat Ain pun." Panjang lebar Cikgu Aqil Qusyairi ni bersyarah. Free
lagi.
"Abang…Ain nak tanya sikit."
Aqil tidak menoleh tapi Ain tahu Aqil mendengar.
"Mana abang tahu pasal
Haikal?" Nampaknya soalan itu berjaya menarik minat Aqil. Aqil bangun dan
membuka begnya yang disangkutkan di tepi katil. Sekeping kertas dihulurkan pada
Ain Ardini. Ain menyambutnya. Aqil duduk di sisi isterinya itu. Wajah Ain
direnung.
Perlahan Ain membuka dan membacanya. Baru
baris pertama, wajah Ain dah berubah pucat. Puisi yang Haikal berikan kepadanya.
Macam mana boleh ada pada Aqil?
"Mana abang jumpa?" pertanyaan
pertama dari Ain.
"Dalam laci meja Ain. Masa malam kita
nikah. Abang tak sengaja, buka laci Ain dan jumpa kertas ni." Aqil masih
tidak mengalihkan perhatiannya pada Ain Ardini. Wajah isterinya ditatap, mohon
jawapan.
"Ain suka Haikal?" ada getar di hujung
suara Aqil. Ain mengeluh. Macam mana nak jawab? Nak berlaku jujur atau tidak?
Arghhhh…
"Ain mungkin pernah suka dia. Tapi, tu
sebelum Ain kahwin dengan abang." itulah hakikatnya dan Ain pasti hatinya.
"Sebanyak mana suka tu?" Ain
pandang Aqil. Dah jawab satu soalan, ada lagi soalan yang menyusul. Kalau
dijawab lagi, pasti ada lagi soalan yang bakal keluar.
"Entahlah…Ain tak tahu. Mungkin
suka-suka gitu aja kot." Ain jawab malas.
"Abang macam mana pula? Ain suka
abang?" Soalan apa ni? Cikgu Aqil ni suka sangat buat aku bingung. Ingat
aku terpaksa sangat ke? Aku redha jadi isteri dia dengan hati yang tulus
ikhlas.
"Abang tanya apa ni? Ainkan isteri abang.
Kalau Ain tak suka abang, abang ingat Ain nak tidur sebilik dengan abang. Abang
ingat kalau Ain tak suka abang, Ain akan berbual dengan abang macam ni. Jangan
harap!" Ain tarik muncung. Direbahkan badannya dan mula kelubungkan diri.
Aqil mula ketawa, lapang rasa dada.
"Baiklah sayang, tidurlah dulu. Abang
ada kerja nak buat. Tapi, ingat satu jer, romantik Ain hanya untuk abang saja,
bukan untuk lelaki lain." Aqil mengusap ubun-ubun Ain. Dihadiahkan kucupan
kasihnya.
"I love You sayang…" perlahan
dan romantis. Ain hanya senyum tanpa membalas kata. Moga perkahwinan ini akan
kekal untuk selamanya.
************TAMMAT************
P/s: Cinta lepas
kahwin itu lebih afdal dan bahagia. Terhindar daripada dosa, bahkan sentiasa
mengaut pahala berganda. Indahnya masa bercinta, tapi betapa terluka bila
kecewa. Biar kasih terlerai sebelum diijab kabul. Takut-takut orang yang
dicinta bukannya jodoh kita.
Sweet le. Buat lagi cerpen cinta antara guru dgn ank murid. Saya suka baca
BalasPadamHahaha,.terima kasih Paramaisurisabah Hattaie kerana suka cerita ni,.saya tengah nak siapkan cerpen Biarkan rindu terus berlagu part 2,.kalau ada idea tu nanti saya buat ya,.terima kasih sekali lagi ats cadangan anda!
Padamsweet nye!! sambung la lg..hehe
BalasPadamTerbaik...
BalasPadamBagus olahan bahasa
BalasPadamTerima kasih semua yg sudi meninggalkan komen di sini. Maaf lambat respon. Masalah line yg tak pernah selesai.
BalasPadamCerpen ni tercipta bila teringat zaman sekolah. Ada kawan2 yg suka bermain cinta dan lebih tragik lg yg minat cikgu sendiri. Akak cuba olah semula dan cuba bayangkn andai cikgu tu la suami. Syiok ke tak? Berimaginasi memang indah dan bahagia..lebih2 lg kalau ada yg membacanya..