Isnin, 22 April 2013

Terlerai Kasih Antara Kita

  
         Ain Ardini melangkah longlai menuju perpustakaan. Macam biasa setiap kali masuk time rehat Ain Ardini akan menghabiskan masanya di perpustakaan. Ain Ardini memang minat membaca. Lebih-lebih lagi novel-novel cinta. Ain Ardini juga dah dapat gelaran 'hantu novel' daripada kawan-kawannya. Apa taknya, Ain Ardini kalau dapat saja novel, kawan-kawan lalu di sebelah pun dia takkan perasan.

        Ain Ardini juga bercita-cita menjadi seorang penulis suatu hari nanti. Hanya itulah impiannya. Sampai saja di perpustakaan, Ain Ardini menuju ke rak kegemarannya. Novel Adam dan Hawa dipilihnya. Ain Ardini mencari tempat duduk dan mula membaca.

           Lima belas minit berlalu. Ain Ardini mendongakkan wajah untuk seketika. Tiba-tiba matanya bertembung dengan seseorang yang sedang merenungnya di meja bertentangan dengannya. Sepantas kilat Ain Ardini menundukkan wajahnya semula. Cuba menyembunyikan wajahnya di sebalik buku yang dipegang. Berdebar dadanya usah dicakap. Penangan renungan Mohd Haikal, pelajar aliran sastera bersebelahan dengan kelasnya memang menyengat. Buat Ain Ardini sentiasa teringat. Ain Ardini memang sukakan Mohd Haikal sejak tingkatan dua lagi. Ain Ardini hanya memendam saja perasaannya kerana Ain Ardini seorang yang amat pemalu.

           "Rajin Ain membaca?" terdengar seseorang menegur di sisinya. Ain Ardini menoleh. Mak oii…Ain Ardini terkejut besar. Bila masa pula Mohd Haikal sudah ada di tepinya?

             "Adam dan Hawa. Best tak cerita tu?" Mohd Haikal bersuara lagi. Ishh..apa kena dengan Haikal hari ni? Ramah la pula. Selalunya dia ushar aku dari jauh saja. Ain Ardini berbisik di dalam hati.

           "Ain.." Mohd Haikal memanggil. Ain Ardini memandang sekilas. Wajahnya dah mula berbahang. Malu yang teramat.

          Ain Ardini memandang sekeliling perpustakaan. Masing-masing yang ada di perpustakaan membuat hal sendiri, tapi Ain Ardini tetap rasa resah. Tak boleh jadi ni. Ain Ardini membelek jam di pergelangan tangannya. Masa rehat masih berbaki lima belas minit. Tanpa membalas walau sepatah sapaan Mohd Haikal, Ain Ardini terus bangun dan mencari tempat kosong.

           Jumpa…Ain Ardini menuju ke tempat tersebut dan mula duduk seraya menyambung pembacaannya. Ain Ardini sempat menoleh ke arah Mohd Haikal. Melihat wajah Mohd Haikal yang mendung, Ain Ardini mengulum senyum. Walaupun Ain Ardini mempunyai perasaan pada Mohd Haikal, tapi Ain Ardini tidak mahu terus melayan perasaan. Biar masa menentukan. Paling Ain Ardini tak suka. bercinta bagai nak rak, tup-tup jodohnya ditakdirkan dengan orang lain. Merana.

          Masa rehat berlalu. Ain Ardini dan pelajar-pelajar menuju ke kelas masing-masing. Ain menapak perlahan ke kelasnya.

         "Ain! Tunggu kejap." Ain terpempam. Alamak, aku terlupa dengan kewujudan Haikal di perpustakaan tadi. Kenapa pula dia panggil aku? Nak marah aku ke, sebab aku tak layan dia tadi? Ain cuba melajukan langkahnya.

         "Kenapa dengan Ain ni? Ain tak sukakan Haikal, bagitau aje la. Dari jauh bukan main lagi. Tapi bila Haikal nak dekat, mesti Ain larikan diri." Wajah Mohd Haikal dah memerah. Ain tak peduli itu semua, yang Ain tahu, Ain nak segera masuk ke kelas. Badan Ain Ardini dah mula mengigil. Malu berhadapan dengan Mohd Haikal. Ain Ardini memang ada masalah untuk berhadapan dengan orang yang dia suka. Darah gemuruhnya mula menyerbu naik ke muka. Jantungnya pula bagai nak luruh. Laju jantungnya berdegup bagaikan baru lepas dikejar anjing.

         "Sorry…dah lewat ni. Ain masuk kelas dulu." dapat juga Ain Ardini bersuara. Laju langkahnya diatur walaupun lututnya dah mula berlaga. Di kelas Ain Ardini didatangi teman baiknya, Idayu dan Rosmaliza.

        "Apa cerita? Kau berbual apa dengan Haikal tadi?" Ain Ardini memandang Idayu. Matanya dibesarkan.

         "Apa?" Ain Ardini buat-buat terkejut.

        "Alah, kami nampak, kau berbual dengan Haikal tadikan?"Rosmaliza pula membuat kenyataan.

       "Dah la, jangan nak mengarut." Ain Ardini cuba menyembunyikan senyumnya.

       "Ek eleh..dengan kami pun nak berahsia juga ke? Tak nak kawan baru tauu." Rosmaliza mula mengugut. Mereka nampak sendiri sewaktu menuju ke kelas tadi. Ain Ardini dan Mohd Haikal sedang berbual berhampiran perpustakaan.

        "Bangun! Assalamualaikum cikgu." Ketua Kelas, Mohd Firdaus memberi arahan dan ucapan salam. Masing-masing kecut perut. Lepas rehat matapelajaran Bahasa Malaysia, cikgu Hayati. Cikgu yang paling garang dan payah nak senyum.

        "Assalamualaikum cikgu," bergema satu kelas. Semua pelajar kelas 6 sastera dua turut mengikut arahan. Bangun dan memberi salam.

         "Waalaikummussalam. Baik, duduk semua." Cikgu Hayati mula bersuara. Pelajaran dimulakan. Semua pelajar tekun mendengar setiap apa yang diajarkan. Segala hal yang tak berkaitan dilupakan untuk sementara waktu.

******************

          MASA terus pantas berlalu. Pukul 1.45 loceng akhir berbunyi. Masing-masing bergegas ingin pulang. Rosmaliza dan Idayu menghampiri Ain Ardin. Mereka memang selalu pulang bersama.
  
      "Ain, kau masih berhutang dengan kami." Ain toleh dan merenung Idayu. Matanya dikecilkan tidak mengerti. Rasanya dia tak pernah berhutang pun.

      "Bila masa pula aku berhutang dengan korang?" Ain bertanya lurus.

      "Kau dah lupa, kau berhutang penjelasan dengan kami." Idayu berkata selamba. Ain dah mula bingung.

      "Tak fahamlah?" Ain Ardini bertanya lagi.

     "Tak faham ke, buat-buat tak faham?"  Rosmaliza turut mencelah. Ain Ardini mula berfikir. Memang dia betul-betul tak faham.

       "Pasal kau dengan Haikal tadi la." Ain mula mengukir senyuman. Dengan selamba Ain Ardini mengalas begnya dan mula melangkah. Idayu dan Rosmaliza mengikut dari belakang.

         "Nak lari la tu?" Rosmaliza dah mula bengang dengan sikap Ain Ardini.

        "Mana ada. Aku jalan aje. Bila masa pula aku lari? Korang ni.." Ain Ardini tertawa perlahan. Faham benar dengan sikap dua orang kawannya itu. Selagi tak dapat mencungkil apa-apa cerita, mereka tetap takkan berputus asa.

        "Aku tak kira kau mesti cerita dari A sampai Z.." Idayu mula mengertak. Semakin galak Ain Ardini ketawa.

        "Ok, ABCDEF…" Sengaja nak menaikkan kemarahan kawan-kawannya Ain Ardini mula membaca ABC macam budak-budak tadika.

         "Woii! Aku belasah juga Minah ni. Main-main pula." Idayu bersuara lagi. Rosmaliza bercekak pinggang mengadap Ain Ardini, manakala Ain semakin galak ketawa. Hatinya digeletek lucu.

          "Korang dah salah faham la. Aku dan Haikal tak berbual apa-apa pun." Ain Ardini mula memberi penjelasan.

         "Aku tak percaya." Idayu tak berpuas hati. Dia melihat dengan mata sendiri Ain dan Haikal berjumpa waktu rehat tadi.

        "Up to you." Ain jungkit keningnya sambil terus menuruni tangga. Percaya ke tak lantak korang la. Ada aku kisah.

         "Ain!" terdengar seseorang memanggil Ain. Tiga pasang mata sudah ternampak si pemilik suara. Mohd Haikal melambaikan tangan. Idayu dan Rosmaliza dah tersenyum nakal. Ain Ardini dah mula berpeluh. Nak tunggu? Tak tunggu? Atau aku blah saja? Habis cerita.

        "Ain…" Haikal panggil lagi.

         "Ain...kami blah dulu la." Wah, Idayu dan Rosmaliza pula yang lebih-lebih. Nak jadi kawan yang paling sporting la kononnya tu.

        "Ain, Haikal nak bagi ni jer." Mohd Haikal menghulurkan kertas yang berlipat cantik. Ain tiada pilihan, dicapai kertas tersebut dan melihat Haikal berlalu pergi. Idayu dan Rosmaliza yang tak jadi meninggalkan Ain mula nak menyibuk.

        "Buka la Ain. Bacalah apa yang Haikal tulis." Idayu dah tergedik, terkinja-kinja. Dia pula yang teruja. Rosmaliza pula terangguk-angguk menyetujui kata-kata Idayu.

          "Dah…tak payah nak menyibuk." Ain Ardini terus menyimpan kertas tersebut dan terus melangkah. Malas nak melayan kawan-kawannya itu.

        "Boring betul aku dengan ‘Minah’ sorang ni." Idayu dan Rosmaliza buat muka. Ain Ardini tak peduli. Bagi dia apa yang Haikal bagi bukan untuk dikongsi.

********************

          SAMPAI di rumah Ain terus menuju ke bilik. Tidak sabar rasanya untuk tahu apa yang terkandung dalam surat yang Haikal beri. Ain Ardini keluarkan kertas dan merebahkan badannya di katil. Berdebar dan teruja perasaannya.

Ain,
Redup matamu memukau pandangan,
Membuat aku terpesona,
Dalam diam hatiku berkata,
Kaulah gadis idaman untuk selamanya,
Namun sayang kau begitu payah untukku dekati,
Dirimu umpama jinak-jinak merpati,

Ain,
Aku bukan nak meminta-minta,
Aku sekadar ingin berkawan tapi mesra,
Sudilah kiranya kau terima aku seadanya,
Aku sedar aku tak punya rupa,
Tapi aku ada sekeping hati yang suci,
Dan hatiku hanya khas untukmu Ain Ardini.

Iklas dariku untukmu
Mohd Haikal.

        Ain Ardini melipat kembali kertas pemberian Mohd Haikal. Luahan hati dari seorang lelaki. Kebetulan, Haikal adalah lelaki pertama yang berjaya mengetuk pintu hatinya, tapi Ain Ardini tak berani berangan lebih-lebih. Soal jodoh bagi Ain terletak di tangan ayahnya dan Ain  tak berani nak membantah. Walau Ain masih bersekolah tapi dah ada ura-ura ayahnya nak kahwinkan dirinya dengan anak kawan baik ayahnya. Dan lelaki itu bertugas sebagai seorang guru.

         Ain resah berfikir. Ini kali pertama Ain Ardini menerima luahan perasaan daripada seorang lelaki yang dia sendiri minat. Ain mengeluh perlahan. Wajahnya mendung tiba-tiba. Walau sedalam mana pun kasihnya pada Mohd Haikal, kasihnya pastikan terlerai jua. Setiap keputusan ayah adalah muktamad dan Ain Ardini tak berdaya untuk membantah. Setuju pada kata-kata ayah adalah wajib.

         Ain Ardini berteleku di meja belajarnya. Kegembiraan sebentar tadi hilang begitu saja. Dia memang ingin menjadi seorang pencinta yang setia, tapi pilihan tak memihak pada hatinya, kerana dia hanya perlu jadi anak yang patuh. Itu adalah hakikat, yang tak dapat Ain Ardini tolak.

******************

         Ayah Ain Ardini tiba-tiba sakit tenat. Ain resah. Dalam kekalutan yang melanda, ayah Ain Ardini buat permintaan agar Ain segera dinikahkan. Ain tepaksa tunduk atas kemahuan ayah, manakala ibu pula memang seorang isteri yang taat. Ain anak tunggal ayah dan ibu. Putih kata ayah dan ibu putihlah kata Ain.

        Pernikahan Ain Ardini dengan pemuda pilihan ayahnya berlangsung sederhana. Hanya adik beradik terdekat kedua belah pihak yang hadir. Mohd Aqil Qusyairi telah sah menjadi suami Ain Ardini. Orangnya berkulit cerah dan sedap juga mata memandang. Ain terima jodoh ini dengan hati terbuka. Kali pertama mencium tangan suaminya, air mata Ain mengalir. Sebu rasa hati, tapi Ain terima takdir ini. Dahi Ain Ardini dikucup mesra. Ain terharu. Ahh..ikhlaskah dia menerima aku sebagai isteri? Persoalan yang hanya berlegar dalam mindanya sendiri.

******************

         PERSEKOLAHAN  berjalan seperti biasa. Status isteri yang dipegang tak menghalang Ain Ardini untuk terus menyambung pelajarannya. Suaminya cukup sporting dan memahami. Ain bersyukur kerana suaminya banyak menyokong dan memberi galakan untuknya.

          "Aku dengar cikgu Hayati cuti bersalin. Hari ini ada cikgu baru. Harap-harap taklah garang macam cikgu Hayati tu kan?" kelas dah mula bising dengan ketiadaan cikgu Hayati. Si kepoh Alia Maisara, sudah mula buat pengumuman. Ain Ardini langsung tak ambil kisah, kerana walau siapa pun guru yang mengajar tak pernah ada masalah pada Ain Ardini. Dia tak pernah kena marah, kena herdik dan sebagainya, kerana Ain Ardini seorang yang tak pernah bawa masalah.

           "Bangun! Assalammualaikum cikgu. Selamat pagi cikgu." Mohd Firdaus bangun lalu memberi salam dan ucap selamat. Pagi ni pelajaran Bahasa Malaysia dua masa. Semua pelajar bangun. Semua mata tertumpu di hadapan kelas. Seorang guru muda yang agak kacak sedang berdiri di hadapan kelas. Nampak macam baik saja.

          "Assalammualaikum cikgu. Selamat pagi cikgu." macam biasa, seisi kelas memberi respon dengan arahan ketua kelas mereka.

           "Ok..waalaikummusalam. Sebelum kita mulakan pelajaran hari ini, saya nak memperkenalkan diri terlebih dahulu. Nama saya Aqil Qusyairi. Guru sementara yang akan mengantikan cikgu Hayati, guru Bahasa Malaysia kamu." Ain Ardini resah dalam diam. Alahai, Dah tak ada guru lain ke dalam Malaysia ni? Dah habis dah ke guru-guru di Malaysia ni? Alih-alih suami aku juga yang aku kena mengadap kat kelas ni.

          "Kita mulakan suai kenal. Bermula dengan baris depan sebelah kanan." seorang demi seorang bangun. Ain Ardini dah penat perah otak. Aku nak kena perkenalkan diri juga ke? Arghhhhh….

         "Ain, giliran kau la. Sempat lagi nak berangan." Idayu yang duduk di sebelah mencuit Ain Ardini. Ain Ardini terkejut dan tercengang. Seisi kelas sudah mula ketawa. Muka Ain merah. Dia pandang di depan kelas. Aqil Qusyairi senyum bersahaja.

        "Nama saya…Ain..Ardini." tergagap-gagap Ain menyebut namanya. Hishhh…kenapa dengan aku ni? Dah seminggu hidup bersama. Tinggal sebilik, tidur sekatil, okey saja.

            "Okeylah…awak boleh duduk." Ain Ardini duduk. Diraup mukanya. Fuhh…Pecah peluh. Ain merungut di dalam hati. Dalam masa yang sama dia menghela nafas lega.

           Kelas menjadi sunyi sepi. Masing-masing cuba menyesuaikan diri dengan guru baru. Hari ini cikgu Aqil Qusyairi arahkan kelas 6 Sastera dua untuk buat karangan bertajuk 'Cita-citaku'. Ain Ardini dah mula tersenyum sendirian. Kalau tajuk pilihannya adalah untuk menjadi penulis, apakah minatnya akan direstui suaminya nanti? Ain Ardini pandang ke depan. Wajah suaminya ditatap. Semacam merasai dirinya direnung Aqil Qusyairi panggungkan kepala. Ain Ardini terpana seketika.Ceh..kantoi sudah.

             "Ain Ardini awak ada soalan nak tanya ke?" Aqil Qusyairi menyoal Ain Ardini. Ain hanya mengeleng. Ditundukkan wajahnya kembali. Idayu di sebelah mencuitnya. Idayu menaikkan kening.

          "Kau kenapa? Lain macam aje aku tengok." Ain Ardini beliakkan matanya.

          "Mana ada. Pandai-pandai aje la." Ain cuba menafikan perasaannya.

          "Ain, apa cita-cita Ain? Boleh saya tahu?" Aqil Qusyairi dah terpacak di tepi meja Ain. Matanya merenung Ain tajam. Inginkan jawapan segera.

         "Err…jadi penulis kot." teragak-agak Ain menjawab.

          "Penulis? Okey..saya suka penulis. Dengar kata penulis ni romantis. Betul ke?" Riuh satu kelas dengan sorakan. Ain sudah mula panas punggung. Kalau ya pun, tak boleh tunggu balik rumah ke? Hiesy...bikin aku tension sajalah dengan cikgu sorang ni.

            "Cikgu! Kalau dah suka cepat-cepatlah masuk minang. Nanti melepas pulak." Mohd Shafik bersuara lantang dan mendapat tepukan ramai. Ain Ardini hadiahkan jelingan maut buat Mohd Shafik.

          "Kenapa kau jeling aku? Tak apalah, kau tak mahu kat cikgu Aqil, aku pun boleh. Tapi, kena tunggu aku habis sekolah dululah." Mohd Shafik bersuara lagi. Kelas semakin gamat.

          "Sudah, sudah…buat kerja masing-masing." Cikgu Aqil Qusyairi melangkah ke meja guru semula. Ain Ardini tersenyum kemenangan. Padam muka. Kenakan aku lagi. Ain Ardini bermonolog di dalam hati. Pada suaminya dihadiahkan senyuman yang paling manis sekali, tapi cuma seketika bila Aqil Qusyairi membalas senyumannya dengan muka yang serius. Ain Ardini tunduk kembali dan mula mengarang cita-citanya.

          Dua masa pelajaran Bahasa Malaysia hari itu pun berakhir. Ain Ardini lega kerana masa untuk berhadapan dengan suaminya sudah tamat. Bukan dia tak suka, tapi bila 'suamiku cikguku jua' yang bermain dalam kepalanya menjadikan dia amat rimas.

*****************

         WAKTU rehat seperti biasa, Ain menuju ke tempat kegemarannya. Perpustakaan sudah mengamitnya. Tidak sabar rasanya untuk membaca novel terbaru.

           "Ain, tak pergi makan ke?" Ain terkejut bila mendengar pertanyaan daripada Cikgu  Aqil Qusyairi. Entah dari mana muncul cikgu Aqil ni pun Ain tak perasan.

              "Taklah cikgu, Ain nak ke perpustakaan." Ain menjawab jujur.

          "Novel lagi penting dari makan ke Ain?" Ain dah mula terasa semacam. Mana dia tahu erk?

          "Malaslah cikgu, nak kena beratur bagai." Ain dah rasa tak selesa sangat berbual dengan Cikgu Aqil. Bukan tak suka, tapi takut ada pula yang berprasangka yang bukan-bukan.

           "Kita sambung di rumah nanti." Cikgu Aqil bersuara perlahan. Ain hanya mengangguk. Langkahnya diteruskan dan rak buku kegemaran dituju. Kali ini novel Kampung Girl pula dipilih sebagai santapan mindanya.

            ''Ain kenal cikgu baru tu ke?" Mohd Haikal bertanya serius. Dari mana pula mamat sorang ni datang? Takkan dia nampak aku berbual dengan cikgu Aqil tadi kot? Kalau ikutkan hati, memang Ain nak berterus terang bahawa Cikgu Aqil tu baru seminggu jadi suami dia, tapi kalau nak ikut akal yang logik, adakah Mohd Haikal nak percaya?

           "Ain, Haikal tanya Ain ni." Mohd Haikal masih setia menantikan jawapan daripada Ain Ardini, sedangkan Ain Ardini sudah mula resah.

            "Ain nak membaca ni. Boleh tolong jangan ganggu Ain tak. Lagi pun kita masih di sekolah, tak manis kalau orang lain pandang." Ain bersuara. Kali pertama Ain berani berhadapan dengan Haikal. Ain tak perlu lagi takut dan gementar berhadapan dengan Haikal, kerana kini Ain dah kepunyaan Aqil Qusyairi. Semua perasaannya terhadap Haikal dibuang terus. Biarpun kasihnya pada Haikal sudah lama berputik tapi cinta dan sayangnya belum disemai.

         "Kenapa, Ain?" Ain pandang Haikal.

         "Kenapa, apa?" Ain bertanya kembali. Dia langsung tak faham apa yang ingin Haikal sampaikan.

         "Okey, just forget it. So, what your answer?" Haikal mula bermain tarik tali. Kerusi di sebelah Ain ditarik. Ain pandang Haikal. Bengang, nanti tentu orang ingat mereka sedang berdating. Buatnya cikgu Aqil pun datang ke perpustakaan waktu ni, haru biru jadinya.

         "Ain, dah sampai mana? Haikal tanya ni, apa jawapan Ain?" Ain kaget. Otaknya ligat berfikir. Jawapan? Jawapan apa erk? Haikal ni bikin aku penasaran betullah.

         "Ain tak faham. Maksud Haikal?" Ain bertanya terus pada Haikal. Semakin difikir kepalanya semakin pening.

        "Lahh…minggu lepaskan Haikal bagi sesuatu kat Ain. Takkan Ain tak ingat?" Ain mula mengukir senyuman. Tapi hambar dipandangan mata. Hmm…puisi yang membuatkan dia rasa bahagia seketika.

         "Maaf Haikal. Ain tak boleh. Ain dah terikat. Ain dah tak boleh ada perasaan pada mana-mana lelaki. Maaf sekali lagi." Ain berkata telus, kerana itulah hakikat kehidupannya. Dirinya sudah dimiliki dan hatinya juga wajib hanya untuk Aqil Qusyairi.

*****************

           MALAM itu Ain Ardini berhadapan dengan Aqil Qusyairi. Sejak pulang dari sekolah tadi suaminya seolah tak mengendahkan dirinya langsung. Ain sendiri tidak tahu, kesalahan apa yang telah menguris hati suaminya.

         Hari pertama bertugas di sekolah mereka, suaminya jadi bualan pelajar-pelajar perempuan. Dalam kelas 6 Sastera dua pun, ramai yang memuji paras Aqil Qusyairi termasuk Idayu dan Rosmaliza. Ain Ardini terpaksa menjeruk rasa. Sepatutnya dia yang merajuk kerana cemburu, tapi ini dah terbalik pula.

        Aqil masuk ke bilik, bersolat dan mula mengeluarkan buku-buku latihan pelajar. Ain hanya memerhati tanpa riak. Nak tegur ke? Tak payah tegur? Ain berbisik di dalam hati.

        "Abang…" Ain memanggil. Tiada respon. Ain garu kepala yang tidak gatal. Cari idea.

         "Abang…okey ke, kalau Ain tulis karangan yang abang bagi tadi? Errr…." Ain hilang punca. Nak cakap apa erkk?

         "Kenapa?" Aqil Qusyairi bertanya. Ain tersenyum. Yess!

           "Err…cita-cita Ain ni okey ke? Abang tak marah?"Aqil Qusyairi bangun dan menghampiri Ain. Di sisi Ain, Aqil Qusyairi mengukirkan senyuman.

           "Abang okey jer, tapi…Ain kenalah jadi isteri yang romantik untuk abang sorang saja. Bukan untuk Haikal ataupun untuk Shafik." sehabis berkata-kata Aqil Qusyairi mengelus lembut rambut Ain Ardini, dan kemudian dia bangun semula menuju ke meja kerjanya. Ain dah mula tak sedap hati. Kalau Shafik Ain tak hairan tapi Haikal? Ahh, Aqil Qusyairi memang misteri. Baru sehari mengajar di sekolah aku, dia dah tahu segalanya.

         "Lagi satu abang nak pesan, kalau Ain malas nak beratur di kantin, lain kali bawa bekal. Jangan biar perut kosong. Nanti kalau Ain sakit, abang juga yang susah. Bukan novel-novel tu nak merawat Ain pun." Panjang lebar Cikgu Aqil Qusyairi ni bersyarah. Free lagi.

       "Abang…Ain nak tanya sikit." Aqil tidak menoleh tapi Ain tahu Aqil mendengar.

        "Mana abang tahu pasal Haikal?" Nampaknya soalan itu berjaya menarik minat Aqil. Aqil bangun dan membuka begnya yang disangkutkan di tepi katil. Sekeping kertas dihulurkan pada Ain Ardini. Ain menyambutnya. Aqil duduk di sisi isterinya itu. Wajah Ain direnung.

       Perlahan Ain membuka dan membacanya. Baru baris pertama, wajah Ain dah berubah pucat. Puisi yang Haikal berikan kepadanya. Macam mana boleh ada pada Aqil?

        "Mana abang jumpa?" pertanyaan pertama dari Ain.

       "Dalam laci meja Ain. Masa malam kita nikah. Abang tak sengaja, buka laci Ain dan jumpa kertas ni." Aqil masih tidak mengalihkan perhatiannya pada Ain Ardini. Wajah isterinya ditatap, mohon jawapan.

       "Ain suka Haikal?" ada getar di hujung suara Aqil. Ain mengeluh. Macam mana nak jawab? Nak berlaku jujur atau tidak? Arghhhh…

      "Ain mungkin pernah suka dia. Tapi, tu sebelum Ain kahwin dengan abang." itulah hakikatnya dan Ain pasti hatinya.

       "Sebanyak mana suka tu?" Ain pandang Aqil. Dah jawab satu soalan, ada lagi soalan yang menyusul. Kalau dijawab lagi, pasti ada lagi soalan yang bakal keluar.

     "Entahlah…Ain tak tahu. Mungkin suka-suka gitu aja kot." Ain jawab malas.

      "Abang macam mana pula? Ain suka abang?" Soalan apa ni? Cikgu Aqil ni suka sangat buat aku bingung. Ingat aku terpaksa sangat ke? Aku redha jadi isteri dia dengan hati yang tulus ikhlas.

      "Abang tanya apa ni? Ainkan isteri abang. Kalau Ain tak suka abang, abang ingat Ain nak tidur sebilik dengan abang. Abang ingat kalau Ain tak suka abang, Ain akan berbual dengan abang macam ni. Jangan harap!" Ain tarik muncung. Direbahkan badannya dan mula kelubungkan diri. Aqil mula ketawa, lapang rasa dada.

       "Baiklah sayang, tidurlah dulu. Abang ada kerja nak buat. Tapi, ingat satu jer, romantik Ain hanya untuk abang saja, bukan untuk lelaki lain." Aqil mengusap ubun-ubun Ain. Dihadiahkan kucupan kasihnya.

        "I love You sayang…" perlahan dan romantis. Ain hanya senyum tanpa membalas kata. Moga perkahwinan ini akan kekal untuk selamanya.

************TAMMAT************

P/s: Cinta lepas kahwin itu lebih afdal dan bahagia. Terhindar daripada dosa, bahkan sentiasa mengaut pahala berganda. Indahnya masa bercinta, tapi betapa terluka bila kecewa. Biar kasih terlerai sebelum diijab kabul. Takut-takut orang yang dicinta bukannya jodoh kita.


6 ulasan:

  1. Sweet le. Buat lagi cerpen cinta antara guru dgn ank murid. Saya suka baca

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hahaha,.terima kasih Paramaisurisabah Hattaie kerana suka cerita ni,.saya tengah nak siapkan cerpen Biarkan rindu terus berlagu part 2,.kalau ada idea tu nanti saya buat ya,.terima kasih sekali lagi ats cadangan anda!

      Padam
  2. sweet nye!! sambung la lg..hehe

    BalasPadam
  3. Terima kasih semua yg sudi meninggalkan komen di sini. Maaf lambat respon. Masalah line yg tak pernah selesai.

    Cerpen ni tercipta bila teringat zaman sekolah. Ada kawan2 yg suka bermain cinta dan lebih tragik lg yg minat cikgu sendiri. Akak cuba olah semula dan cuba bayangkn andai cikgu tu la suami. Syiok ke tak? Berimaginasi memang indah dan bahagia..lebih2 lg kalau ada yg membacanya..

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.